Friday, November 25, 2011

Gemleo 3

“Boleh saya cuba?” pinta Zawin kepada jurujual lelaki itu.
            “Boleh saja cik.” Jurujual muda itu membenarkan Zawin untuk masuk ke dalam kereta Honda Jazz berwarna baby blue keluaran syarikat Honda itu.
            Zawin benar-benar teruja. Senyumannya lebar terukir saat memegang stereng kereta itu. Penuh teruja dia menyeluruhi kereta buatan dari negara terbit itu. Fikiran yang serabut terasa kembali tenang. Wajah Yasmin mahupun Wan Zaidi serta merta hilang apabila berada didalam perut kereta itu. Setelah puas, Zawin meninggalkan kereta itu dengan senyuman lebih lebar. Apabila menyedari dirinya melenggang berjalan begitu, matanya membesar luas. “Beg tangan aku!” Zawin berpaling semula ke belakang. Tindakan reflek itu mengakibatkan tubuhnya merempuh tubuh tinggi seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan. Dia menjerit terkejut langsung tidak semena-mena tubuhnya hilang imbangan.
            Zharif memaut tubuh gadis di hadapannya daripada jatuh. Gadis itu memeluk tengkuknya erat dalam deruan nafas yang kencang. Apabila mata bertentang mata, seisi alam bagaikan hilang dari pandangan, masa seakan berhenti. Masing-masing hanya terdengar nafas sendiri. Zharif tersenyum nipis menatap wajah putih dalam rona segan itu.
            Sekejapan Zawin pantas melepaskan diri daripada dakapan lelaki itu.“Err...maaf.” Lambat-lambat Zawin bersuara. Terasa darah menyerbu ke muka. Sungguh dia malu. Tangannya menyentuh pipi yang terasa panas. Tidak pernah seumur hidupnya berada begitu dekat dengan lelaki. Dalam dakapan pula tu!
            “Tak apa,” balas Zharif selamba. “Awak selalu ke datang di pameran kereta?” Zharif cuba menyejukkan keadaan. Siapa menyangka, dia bertemu lagi dengan gadis itu setelah berjumpa di saloon rambut tiga hari lalu. Gadis ini pasti tidak boleh mengelak lagi.
            “Saya datang saja nak tengok keluaran Honda Jazz keluaran baru,” beritahu Zawin dalam sisa segan. Pandangannya dikalihkan pada Honda jazz warna baby blue tidak jauh dari tempatnya berdiri. Matanya menangkap lambaian tangan jurujual muda itu tadi ke arahnya seraya mengunjukan tas tangan miliknya.“Ha...tu pun beg tangan saya. Kejap ya.” Zawin terus menapak laju ke arah jurujual lelaki itu. “Terima kasih,” ucapnya dalam senyuman manis sebaik tas tangan putih itu beralih ke tangannya.
            “Sama-sama,” balas jurujual itu. Turut membalas senyuman gadis itu. Apabila ada pelanggan yang mendekati sebuah kereta Honda city, dia meminta diri lalu menapak ke arah wanita lingkungan 40-an itu.
            “Awak suka dengan Honda Jazz ke?”
            Zawin terkejut dengan suara yang begitu dekat di telinganya itu lantas mengurut dadanya. “Awak ni la. Terkejut saya,” rungutnya geram.
            “Ya la. Saya salah. Saya minta maaf. Erm...awak suka Honda Jazz ya?” duga Zharif . Matanya senang melihat penampilan sopan gadis itu dalam blouse hijau pucuk pisang.
            “Sangat suka. Kecil, ruang luas dan bergaya.”
            “Kenapa tak beli sahaja?”
            Zawin menggelengkan kepalanya dalam kuntuman senyum. “Bukan semua benda yang kita suka, kita harus miliki.”
            “Awak tak cukup duit ke? Kalau awak nak, saya boleh belikan,” tawar Zharif bersungguh.
            Zawin ketawa halus. “Saya boleh beli kalau saya mahu tapi macam saya cakap tadi...bukan semua benda yang saya suka saya harus miliki. Saya cuma mengagumi inovasi bangsa jepun juga sejarah Honda itu sendiri.” Zawin tersenyum lebar saat matanya sekali lagi menyeluruhi kereta kegemarannya itu.
            “Kenapa?” Zharif berpeluk tubuh, menatap sisi wajah gadis itu.
            The power of dreams. Kuasa sebuah impian. Tagline Honda ni membuatkan saya mengingati kembali dimana saya bermula.”
            “Cerita la. Awak suka menggantungkan ayat dihujung kata-kata,” komen Zharif.
            “Sebab awak adalah orang asing dalam hidup saya.” Zawin mendengus lalu menapak pergi.
            “Awak lupa pada janji awak sendiri?” laung Zharif kuat.
            Zawin berhenti melangkah, kembali berpaling. Keningnya dikerutkan, cuba mengingati kembali janji yang pernah dilafazkan kepada lelaki asing itu. Tatkala mengingati janji yang dibuat, Zawin menutup mulutnya yang terbuka luas. Ya Allah! Bagaimana mungkin aku melupakan janji itu! Zawin kembali menapak ke arah Zharif yang sudah tersenyum lebar. Matanya merenung mata penuh pesona itu. Jika ini satu takdir yang telah ditentukan-Nya, lelaki ini pasti hadiah ilahi untuknya. Hadiah seorang sahabat. “Maafkan saya. Saya terlupa. Jom saya belanja awak makan.” Zawin mula rasa selesa berada di sisi lelaki itu.
            Zharif tersenyum senang. “Ok. Restoren Miyako boleh?”
            Zawin mengukir senyuman. “Ok. Demi sahabat baru saya.”
*******
            “Umur awak berapa, Zawin?” soal Zharif sebaik melabuhkan punggung di meja tengah restoran perancis itu.
            Baby 85.”
            Zharif tidak dapat menahan senyumnya. “Sweet je dengar. Erm...24 tahun. Turning point seorang gadis menjadi dewasa,” ngumamnya perlahan.
            “Awak baby tahun bila pula?” pantas Zawin menyoal.
            Baby 79.”
            “Oo...jadinya awak ni pangkat Abang la kan. Tapi boleh tak kalau saya tak panggil awak dengan panggilan Abang?”
            “Boleh. Boleh saja. Sekarang ceritakan tentang diri awak kepada saya. Secara ringkasnya,” pinta Zharif.
            Zawin memuncungkan bibirnya, berfikir sejenak. “Saya Zawin Az-Zahra, berumur 24 tahun dan saya seorang muslimah,” beritahunya seringkas mungkin.
            “Az-Zahra? Wow. Yang menawan. Patutla awak manis menawan,” ujar Zharif teruja.
            Zawin berdehem. Tidak suka dipuji sedemikian.
            “So...boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai cerita tagline Honda tu?” pinta Zharif.
            Zawin terdiam. Lama dia termenung sendiri. “Dulu...saya seorang gadis yang tidak punya impian, takut membuat impian dan tidak percaya pada kuasa sebuah impian. Tambahan pula...saya bukan pelajar pintar. Cara pendekatan Cikgu Nur Zharifah amat menyenangkan. Kata-katanya yang lembut dan penuh hikmah telah berjaya mengubah saya 360 darjah. Pokoknya, Cikgu Nur Zharifah menyedarkan saya kuasa sebuah impian dan saya mula berani membina impian. Potensi diri saya yang sebelum ini tidak diketahui, berjaya digali beliau dan terkeluar habis. Jasa beliau memang tak akan mampu saya balas, sampai bila-bila pun,” terangnya panjang lebar dalam rasa.
            “Oh...begitu.” Zharif memegang hujung dagunya. “Cikgu Zharifah kan? Macam nama saya la,” ujar Zharif  sebaik menyedari persamaan nama guru itu dengan namanya.
            Zawin mengangguk. “Betul la tu dan err...itu la sebab kenapa saya mudah ingat nama awak walaupun pada malam itu saya dalam keadaan tidak stabil,” akuinya.
            “Ooo...” Zharif semakin memahami gadis itu.
            Zawin menghela nafas pendek. “Bagi alamat e-mail awak. Saya nak add dalam Facebook.” I-Phone sudah dikeluarkan dari dalam tas tangan lalu menghulurkan kepada Zharif.
            Zharif tersenyum lebar. Tangannya cekatan mengambil I-Phone itu lalu menaip alamat emailnya di satu ruang carian dalam laman Facebook itu. Butang add as a friend ditekan sebaik profile miliknya muncul di skrin. Dia tidak terus memulangkan I-Phone itu apabila tangannya menekan nombor di pad kekunci.
            “Awak nak buat apa tu?” soal Zawin cemas.
            Zharif mengangkat keningnya. Bunyi nada dering keluar daripada poketnya. “Miscall nombor saya la,” sahutnya selamba.  I-Phone putih itu Dihulur kembali kepada pemiliknya.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Saya tak kan mungkir janji la. Jika saya kata saya akan bagi nombor saya, maknanya saya akan bagi.”
            “Oo...maafla. Saya ingat awak tak akan bagi,” sahut Zharif dalam rasa bersalah.
            “Tak apa. Janji...satu perkataan yang sering lelaki katakan tetapi mudah melupakan.” Zawin bersuara perlahan.
            “Saya bukan lelaki begitu. Saya berpegang pada janji.” Zharif mencelah pantas.
            Zawin mengangkat wajahnya setelah tunduk merenung hidangan ikan kod bakar. “Awak  berpegang pada janji? Bagaimana awak memotivasikan diri untuk terus berpegang pada janji?”
            “Sebab...ayah saya ajar saya dulu...lelaki sejati adalah lelaki yang dapat memegang janji dan mengotakan janji. Ibu saya pesan juga jangan sembarangan membuat janji pada seorang perempuan berkenaan hati dan masa depan jika kata-kata janji itu bukan berdasarkan iman dan takwa. Itula pesanan yang cukup buatkan saya berhati-hati dengan janji dan memelihara apa jua janji yang dilafazkan.”
            Zawin merenung wajah lelaki itu. Lelaki ini...pasti dibesarkan dengan didikan yang baik. Wajah Wan Zaidi menyerbu ingatannya. Apabila mengenangkan janji-janji yang lelaki itu lafazkan, hatinya dipagut sayu. Lelaki Gemini itu bukan lelaki sejati! Untuk apa lelaki itu bersungguh memujuknya turut hadir di majlis perkahwinan dia dan Yasmin? Hatinya membentak keras.
            “Err...awak kenapa?” soal Zharif setelah melihat gadis itu mengerutkan dahinya.
            Zawin tersedar daripada lamunan. Dia tersenyum pahit. “Bekas kekasih saya...dia ajak saya ke majlis kahwin lusa. Awak rasa saya harus pergi?” soalnya meminta pendapat.
            Zharif pantas mengangguk. “Awak harus pergi.”
            Zawin mengangkat keningnya.
            “Awak kena tunjukkan pada dia yang awak ok. Awak bukan gadis yang lemah dan terus terusan meratap takdir. Awak kena buatkan dia rasa menyesal tidak memilih awak sebagai isteri,” lanjut Zharif lagi.
            Mata Zawin terkelip-kelip menatap wajah bersungguh itu. Tidak dia sangka lelaki itu sependapat dengan Najla. “Tapi...saya takut saya akan lemah, saya akan menangis,” ujarnya menyatakan kesangsian hati.
            “Saya ada. Kalau awak nak...saya boleh temankan awak.” Zharif menawarkan khidmat.
            Mata Zawin membuntang luas. Takkanla lelaki ini serius. Perasaan seram sejuk sebentar tadi masih belum hilang apabila ramai mata yang memerhatikan mereka sejurus menapak ke dalam restoren itu. Tidak pernah berlaku begitu biarpun Wan Zaidi kerap membawanya makan di restoren itu. Setiap kali Zharif berjalan di hadapannya di pusat pameran kereta, matanya menangkap hampir semua orang yang berpapasan dengan lelaki itu pasti akan menoleh, tidak sedikit juga yang mengerling.  Wajah kacak yang memiliki lekukan di bawah dagu itu ditatap sangsi. “Tak apa la. Saya tak nak nanti ada perempuan yang serang saya kerana awak.”  
            “Takkan jadi begitu. Saya tidak pernah mempunyai kekasih sejak dahulu. Cinta monyet pun saya tak ada,” jelas Zharif bersungguh.
            “Hah? Jangan nak tipu la. Muka macam awak ni...mustahil! Sedangkan lelaki biasa pun ramai bertukar-tukar pasangan, ini kan lagi muka market macam awak,” bidas Zawin tidak percaya.
            Zharif merenung mata bundar itu. “Ingat tak kisah nabi Yusof a.s?” soalnya lembut.
Zawin mengangguk.
            “Diceritakan dalam Al-Quran, rupa paras yang beliau miliki menyebabkan Zulaikha sanggup menggoda dengan pelbagai cara. Mengikut riwayat juga ada menceritakan yang Allah itu cantik dan Allah memberikan kecantikanNya kepada penduduk bumi namun sebahagian sahaja kerana baki sebahagian lagi telah diberikan kepada Nabi Yusof a.s. Maknanya, Nabi Yusof sangatla kacak, cantik dan rupawan sehinggakan kawan-kawan Zulaikha terhiris jari tangan saat memotong sayur kerana terlalu terpesona melihat wajah nabi Yusof...”
            “Erm...jadinya?” celah Zawin.
            Zharif tersenyum nipis, matanya menatap wajah ingin tahu itu. “Ibu saya pesan pada saya supaya mencontohi akhlak Nabi Yusof a.s yang tidak kufur, selalu muhasabah diri dan  tidak menyalah gunakan kelebihan rupa paras yang ada. Memang...saya tidak nafikan ramai perempuan yang sanggup menyerah diri kepada saya, tapi sering saya mengingatkan diri yang rupa paras yang ada adalah cebisan dari kurniaan kecantikan ilahi yang berupa satu bentuk ujian dari Allah S.W.T. Jika saya menyalah gunakannya, rugila saya, celaka la hidup saya dan jauh la saya daripada redha Allah S.W.T. Jadinya, awak tak perlu risau. Tidak wujud mana-mana perempuan istimewa dalam kamus hidup saya. Jika awak tidak percaya, terpulang la,” lanjutnya lagi.
            Zawin menahan nafasnya. Kata-kata itu kedengaran tulus dan ikhlas. Hatinya menyuarakan satu keputusan yang tepat menerima lelaki ini sebagai sahabat. “Jadinya, boleh awak temankan saya nanti?” Zawin meminta kepastian. Senyumannya menguntum lebar saat         Zharif mengangguk dalam senyuman manis berlemak.
*******
            Zamri terpaku saat melihat seorang gadis cantik memasuki ruang hadapan banglo itu. Tangan gadis itu memegang sekotak hadiah yang juga berbalut pembalut silver putih. Tubuh tinggi langsing itu menyerlah dalam kebaya moden silver disulam manik-manik putih. Tudungnya juga dari rona yang sama. Melihat gaya anggun itu, bagaikan lelaki yang tidak tahu malu, dia mengekori langkah gadis itu. “Hai,” tegurnya saat gadis itu berdiri di hadapan kanopi putih.            
            “Hai.” Zawin membalas dalam rasa malas. Dia tidak suka pandangan penuh nafsu lelaki yang mengenakan sut Armani berwarna silver itu.
            “Awak kawan Yasmin ke Wan Zaidi?” soal Zamri tidak putus-putus merenung wajah putih gebu itu. Bagai ingin dilahapnya terus. Matanya menyeluruhi atas dan bawah tubuh gadis itu dengan penuh terpesona. She’s like an angle!  
            “Dua-dua tu kawan saya,” sahut Zawin dalam rasa terpaksa. Kehadiran lelaki bermisai nipis itu membuatkan dia sukar untuk bernafas. Tidak menyenangi pandangan liar itu.  
            “Hai saya Zamri. Awak pula?” Zamri menghulurkan tangannya. Dia benar-benar berharap gadis jelita itu menyambut huluran persahabatannya.
            Zawin menggeleng laju. Dia menghadiahkan senyum kelat. “Maaf. Saya tidak mudah berkawan.” Zamri? Macam pernah dengar nama tu? Desis hatinya.
            “Kenapa? Saya serius ni nak berkawan dengan awak. Siapa nama awak? Bagi la saya kenal,” desak Zamri tidak mahu berputus asa.       
            Zawin sudah bertambah rimas. Dia berharap Zharif akan muncul saat itu juga menjauhkan dia daripada lelaki mata liar itu. Silap dia juga kerana berdegil tidak mahu datang bersama lelaki itu dalam satu kereta. “Awak...” Zawin menarik nafasnya apabila wajah lelaki itu terlalu hampir dengan wajahnya. Cepat-cepat dia menjarakkan diri. “Awak boleh kawan dengan saya...tapi kalau awak lepas satu soalan saya. Setuju?” ujar Zawin.
            “Boleh,” Zamri menjawab terburu-buru.
            Zawin tersengih sinis. Dia sudah dapat mengagak pilihan lelaki itu. “Katakan awak berada di rumah. Ada lima situasi yang awak hadapi. Pertama, air didalam bilik air sudah melimpah, kedua...air di atas dapur sudah berbunyi, kemudian ada bayi menangis, telefon berdering dan bunyi ketukan di pintu. Dalam lima-lima situasi ini,situasi apa yang awak akan buat dulu? Pilihan yang awak beri akan menjadi titik tolak samada awak diterima sebagai kawan saya atau tak...”
            “Kalau saya mestila saya buka pintu...lepas tu...”
            “Cukup...cukup...” celah Zawin pantas. Benar telahannya.
            “Kenapa? Saya boleh jadi kawan awak kan?” Zamri sudah tersenyum lebar.
            Zawin menjeling lelaki itu sekilas lalu menggeleng. Dikejauhan matanya sudah menangkap kelibat Zharif dalam sut putih berpadanan tali leher dan seluar silver. “Awak tidak diterima. Salam.” Zawin terus menapak ke arah Zharif yang sedang tercari-cari kelibatnya. Secepat kilat lengan Zharif dipegang kejap.
            Mata Zharif membulat merenung wajah cemas gadis itu. “Kenapa?”            “Awak...berlakon boleh tak? Ada lelaki kacau saya,” bisik Zawin.
            Zharif tersenyum. “Boleh saja,” sahutnya pantas. “Jom makan,” ajaknya.
            Zawin mengeratkan pelukan pada lengan kiri Zharif tatkala melepasi kawasan tempat lelaki itu tadi berdiri. Seboleh mungkin dia tidak mahu menatap wajah berkerut lelaki itu.
            Zamri mengetap bibirnya. Entah mengapa gadis bertudung itu benar-benar menyihir pandangannya. Melihat lelaki tinggi lampai di sebelah gadis itu, hatinya menyumpah geram.  
******
            “Err...Zawin ke?” soal Datin Zainab teragak-agak. Sejak tadi matanya menangkap kelibat gadis itu, menjadi pemerhati jauh sewaktu gadis itu menikmati makanan yang dihidang.         
            Zawin berpaling. Matanya membuntang luas lalu bangun dari kerusi. Tangannya dihulurkan lantas menyalami tangan ibu Wan Zaidi itu. “Apa khabar Datin?” soalnya cuba beramah.
            “Err...ba...baik,” balas Datin Zainab dalam serba salah. Melihat gadis itu tetap melayannya dengan baik membuatkan rasa berdosa dalam diri semakin tebal. Dia la punca kepada perkahwinan antara Yasmin dan anak lelaki keduanya itu. Dia juga yang menghasut suaminya dan anak keduanya itu untuk memilih Yasmin berbanding Zawin. “Err...jemput makan dulu,” pelawanya dalam suara perlahan. Sempat matanya menjeling penampilan anggun gadis itu. Zawin Az-Zahra benar-benar telah berubah!
            “Cik Zawin? Buat apa di sini?” soal Tengku Azura dengan teruja. Gadis berkebaya hitam itu berdiri di sebelah ibu saudaranya, memeluk lengan Datin Zainab.
            Zawin tersenyum simpul. “Saya datang nak beli ikan,” balasnya dalam seloroh. “Datang kenduri kawan la.”
            Tengku Azura ketawa besar. Anak rambut yang terjuntai didahinya pantas diseka. “Wahh...tak sangka kan? Kawan dengan kak Yasmin ke Abang Wan?”
            “Dua-dua tu kawan,” sahut Zawin bersahaja.
            Datin Zainab terkesima. Dia benar-benar rasa bersalah ketika ini. Namun melihat anak saudaranya itu begitu gembira bertemu gadis itu, timbul persoalan di benak. “Zura kenal ke Zawin ni?” soalnya kehairanan.
            “La Auntie...Cik Zawin ni la pensyarah yang sebabkan Zura pakai baju kurung dalam kelas dia.”
            “Ha?” mata Datin Zainab membulat luas. Pandangannya dikalihkan kepada gadis yang berwajah selamba itu. “Tapi...bukan ke Zawin pelajaran sampai SPM je? Bagaimana boleh jadi pensyarah?”
            Tengku Azura mengerutkan dahinya. “Auntie dengar dari mana? Bukan la. Cik Zawin ni lulusan degree Edinburg University dan pakar dalam IT. Baru saja dapat MBA dari UITM,” terangnya bersungguh.
            “Ish...details sangat tu Zura. Kamu siasat saya ya?” ujar Zawin menahan senyum.
            Datin Zainab terpempan lagi. Tapi mengapa gadis ini menyembunyikan hakikat sebenar? Mengapa gadis ini tidak memberitahu semua itu waktu berkunjung ke rumahnya? Hatinya diserang pelbagai rasa, lantas wanita akhir 40-an itu menyelinap pergi dalam diam.
            “Saya ada spy la cik Zawin. Gaji dah makin naik kan Cik Zawin? Boleh la belanja saya,” usik Tengku Azura lagi.    
            Zawin ketawa halus. “Ya la tu...Zura, bila pengantin tiba?” soalnya mengalihkan topik perbualan.
            “Ikut kan aturcara majlis, sekejap lagi. Cik Zawin makan la dulu.”
            “Ok.” Zawin tersenyum. Dia  kembali duduk di kerusi putih itu, menghabiskan minuman yang ditinggalkan sebentar tadi. Berpaling ke kiri, wajah Zharif sedang tersenyum lebar.
            Well...hari ni banyak saya tahu tentang awak. Master holder rupanya awak ni. Padanlah awak menjadi pendidik. Orang kata, seorang yang menjadi pendidik pasti memiliki seorang idola pendidik. Kan?” Zharif mengangkat-angkatkan kedua keningnya.
            “Erm...” Itu sahaja perkataan yang keluar dari mulut Zawin. “Awak tengok tak macam mana rupa terkejut Datin tu tadi? Saya tak pernah beritahu latar belakang saya. Saya cuma beritahu yang saya bekerja sebagai pembantu am di UITM,” beritahu Zawin selamba.
            “Kenapa awak buat begitu?”
            Zawin merapatkan jari jemarinya. “Pada mulanya saya hanya mengikut rentak Wan Zaidi yang tidak mendedahkan siapa sebenarnya dia. Saya telah buat kajian mengenai dia semasa kami mula berkawan. Terkejut juga la sebab baru saya tahu dia anak orang berada. Biasanya anak orang berada ni sombong, tapi dia tak pula. Saya ikutkan saja permainan yang dia mainkan sehingga saya dibawa ke rumah keluarga mereka. Di situ saya dapat rasakan layanan dingin semua orang kecuali ayah Wan Zaidi. Saya tidak tahu mengapa. Rupanya kelulusan SPM seperti saya dipandang rendah oleh mereka. Seronok juga melihat reaksi orang-orang yang rasa diri mereka mulia berbanding orang lain. Tetapi saya tak sangka jadi begini. Kawan saya Yasmin yang menjadi pilihan keluarga Wan Zaidi. Nasib baik juga Yasmin tidak tahu latar belakang saya.”
            “Kenapa dia tak tahu?”
            “Sebab masa mula-mula dia masuk rumah sewa kami, dia dah kutuk saya depan-depan. Dia kata saya selekeh. Menyirap betul darah masa tu. Bila dia tanyakan pekerjaan saya, saya terus jawab dalam geram yang saya ni kuli pejabat. Dia kata memang dia dah agak. Jadinya saya tak pernah ingin nak membetulkan fakta. Saya benar-benar tak sangka begini jadinya. Saya yang kenalkan Yasmin kepada Wan Zaidi dan tengoklah...sekarang kita berada di majlis perkahwinan mereka.”
            Zharif terdiam...merenung wajah selamba itu. Dia tahu hati gadis ini benar-benar terluka. Wan Zaidi tergamak pula menjemput bekas kekasihnya ke majlis menyambut menantu itu.“Awak layak mendapat lelaki yang lebih baik,” ujarnya bersahaja.
            Zawin tersenyum kelat. Mendengar paluan kompang dari arah hadapan banglo itu, Zawin terus bangun dari kerusi, menjenguk wajah raja sehari. Lelaki itu kelihatan tampan dalam baju melayu songket silver dan pasangannya menyerlah anggun dalam kurung moden silver. Wajah masing-masing kelihatan berseri dan gembira. Zawin mengetap bibirnya. Suara Wan Zaidi kedengaran di benaknya.
            “Zawin...bila kita kawin nanti...Wan nak pilih warna silver untuk baju melayu. Kita buat tema bersanding dalam taman nak? Zawin pun suka kan?”
            “Zawin ok je. Tapi apa yang Wan nak tu...buat masa menyambut menantu la. Kalau persandingan di tempat Zawin...Zawin nak warna kuning. Kalau tema...zawin suka budaya jepun. Nak pakai kimono dalam taman bunga sakura.”
            “Zawin ni la. Warna merah jambu? Tak cantik la. Budaya Jepun? Kita kan orang melayu. Nanti apa masyarakat kata pula.”
            “Zawin tak kira. Zawin nak juga. Lagi pula...bersanding ni hanya sekali dalam seumur hidup.”
            “Ya la...ya la. Sebab ni la kenapa Wan suka Zawin. Tak ikut je apa yang Wan kata.”   
            Lamunan Zawin terhenti apabila pengantin sudah duduk di atas pelamin berlatar belakang putih dan silver. Tema pelamin dalam taman yang dibina di luar perkarangan banglo putih itu benar-benar memukau mata tetamu yang datang. Saat pengantin memotong kek setinggi enam tingkat, Zawin menahan air matanya dari gugur.
            “Zawin...nanti kita bertunang...Wan nak beri wang hantaran RM 6,666. Kawin pula Wan bagi RM 16,666. Barang hantaran 16 dan Kek kawin nanti enam tingkat.”
            “Kenapa Wan suka nombor enam?”
            “Sebab tu nombor bertuah Wan. Nombor yang melambangkan duit. Lagi pula Wan lahir 16 Jun. Haa...kawin nanti pun Wan nak enam orang anak, dalam rumah pun Wan nak meja makan untuk enam orang makan.”
            Zawin tersentak apabila pipinya terasa hangat. Entah bila air matanya gugur. Pantas disekanya. Melihat pasangan mempelai yang kelihatan bahagia itu, Zawin tahu...dia belum kuat untuk berhadapan dengan dua insan yang pernah berlabuh dalam hidupnya. Perlahan dia menjarakkan diri, berniat untuk pergi dari situ. Langkahnya terbejat saat lengan kanannya dipegang kejap. Dia lekas berpaling, membundarkan mata saat melihat wajah Zharif. Jejaka itu menggelengkan kepalanya, melarang dia dari pergi.   
*******
            Majlis menyambut menantu itu sudah hampir tiba dipenghujungnya. Zawin mendekati Wan Zaidi yang baru selesai berbual dengan seorang tetamu lelaki. “Selamat pengantin baru. Semoga kekal sampai anak cucu,” ucap Zawin sambil menghulurkan kotak bungkusan hadiah ditangan. Sedaya upaya dia mengukir senyuman manis.
            “Terima kasih...terima kasih kerana datang...” balas Wan Zaidi sambil menyambut hadiah itu. Penampilan anggun gadis itu benar-benar memukau matanya. Hatinya dipagut rasa pilu apabila melihat baju kebaya moden silver dikenakan Zawin. Hadiah pemberiannya yang tidak mahu disarungkan gadis itu saat berkunjung ke rumahnya tetapi dipakai pada hari bahagianya.
            “Untuk apa kau harapkan kehadiran aku?” soal Zawin tenang. Sedaya upaya dia mengawal emosinya daripada terzahir. Dikejauhan matanya menangkap Yasmin yang sedang bergesel pipi dengan seorang tetamu wanita.
            “Wan...Wan rindukan Zawin. Wan tahu...Wan tak akan jumpa Zawin lagi selepas ni. Wan nak lihat Zawin buat kali terakhir.  Zawin Az-Zahra...gadis yang sangat istimewa...” luah Wan Zaidi perlahan.
            Zawin mengenggam penumbuk kanannya kejap. Dadanya terasa mahu pecah. “Dah la Wan. Segalanya telah berakhir antara kita. Sekarang Wan sudah bergelar suami orang. Wan tetap lelaki istimewa dalam hati Zawin. Jagalah Yasmin dengan baik. Jangan libatkan diri lagi dalam hidup Zawin. Biarlah segala kenangan yang kita ada, tercipta suatu masa dulu terus segar. Jangan rosakkan semua kenangan yang ada di masa akan datang. Semoga berbahagia,” ucapnya lirih.
            Menyedari pandangan Yasmin tertuju ke arah mereka, Zawin cepat-cepat mengubah air wajahnya. Dia tersenyum pahit saat Yasmin merapati lalu terus memeluk lengan Wan Zaidi erat, bagaikan memberi amaran supaya menjauhi lelaki yang telah bergelar suaminya.
            “Tahniah,” ucap Zawin dalam senyum nipis.
            “Erm...” sahut Yasmin dalam tidak acuhnya. Matanya sakit melihat perubahan penampilan gadis itu. Hatinya bertambah sakit apabila menyedari pandangan penuh pesona suaminya kepada Zawin.
            “Yasmin...aku nak pergi dah ni,” ucap Zamri sejurus merapati kedua mempelai itu. Matanya terpaku sebaik terpandang wajah jelita yang telah menyihirnya tadi berhampiran sepupunya itu. Bagaikan bateri yang baru dicas, dengan teruja wajah Yasmin direnungi. “Hei Min. Siapa bidadari cantik ni? Kenalkan dia pada aku.” Zamri mengalihkan pandangan ke wajah jelita itu, bersilih ke wajah Yasmin yang kelihatan terkejut.
            “Takkan la kau...” Yasmin agak keberatan.
            “Ala...perkenalkan je la,” desak Zamri tidak sabar.
            Zawin diburu rasa rimas. Dia memberikan isyarat tangan kepada Zharif yang sedang menunggunya di hadapan pintu gerbang.          
            “Erm...dia...Zawin. Tak kan la kau nak kenal dia...” Yasmin memperkenalkan dalam masa yang sama seakan mempersoalkan tindakan sepupunya itu.
            “Zawin...sedap nama tu. Hai, saya Zamri. Sepupu Yasmin.” Zamri menghulurkan tangannya.
            “Hai, saya Zharif. Teman lelaki Zawin,” ujar Zharif sejurus menyambut huluran tangan itu. Dia menahan senyuman tatkala lelaki bernama Zamri itu serta merta menarik jari jemarinya dalam wajah keruh.
            Zamri berlalu dalam hati yang membungkam geram.
            Zawin menahan senyumnya. Ada gunanya juga bawa mamat thai ni. Desis hatinya.
            Mata Yasmin membuntang luas apabila mendengar nama itu. Wajah lelaki itu amat familiar pada pandangannya. “Zharif? Awak Zharif Zahir kan?” soalnya meminta kepastian.
            Wan Zaidi yang masih terkejut dengan kehadiran jejaka tampan itu secara tiba-tiba, mengerutkan dahinya saat melihat reaksi isterinya itu.  “Kenapa Min? Kenal ke dengan err...dia ni?” Mata Wan Zaidi menyeluruhi penampilan lelaki yang mendakwa teman lelaki Zawin itu.  Dia benar-benar tidak percaya Zawin telah dapat pengganti dalam masa yang singkat.
            Zharif tersenyum nipis. “Awak salah orang kot. Ok la. Kami harus pergi. Tahniah atas perkahwinan kamu berdua,” ucapnya lalu menghela lengan Zawin yang sedang merenung tajam pada wajah pengantin perempuan.
            Yasmin merenung lama tubuh lelaki setinggi 185 cm itu. Dia tahu dia tidak tersilap orang. Tapi...kenapa lelaki itu bersama Zawin? Seingatnya, Zawin tidak pernah bercerita mengenai lelaki bernama Zharif Zahir. Adakah mereka berdua baru berkawan? Minda Yasmin tidak putus-putus membuahkan persoalan mengenai hubungan dua insan itu.
            “Min...Abang tanya ni...siapa Zharif tu?” soal Wan Zaidi lagi. Dia benar-benar kaget dengan perubahan wajah isterinya saat merenung jejaka tinggi lampai itu.
            Yasmin mendengus geram. Wajah suaminya ditatap tajam. “Kenapa Abang pandang Zawin tadi macam tu? Abang nak semula ke pada dia? Mentang-mentang la perempuan tu dah tahu melaram, biji mata tu macam nak terkeluar je tadi!”
            Wan Zaidi terdiam. Lambat-lambat dia menghela nafas berat. “Kenapa cakap macam tu? Min kan sekarang isteri Abang. Kita baru je kahwin. Janganla kerana Zawin, kita bergaduh macam ni,” pujuknya.
            “Memang!” Wajah Yasmin bertukar merah. “Kerana Zawin la...Min kenal Abang dan kawin dengan Abang. Sebab dia juga yang buatkan kita tak habis-habis bergaduh sejak kita bernikah. Kenapa Abang jemput dia? Apa motif Abang sebenarnya? Abang masih sayang pada dia kan? Abang rindukan dia sebab tu Abang nak dia datang dalam majlis kita. Betul kan?” Mata Yasmin mencerlung tajam memang suaminya. Nafasnya turun naik tidak teratur.
            Wan Zaidi terdiam lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia benar-benar kepingin melihat seraut wajah ayu itu. Dia tahu, hati gadis itu benar-benar terluka, tetapi apakan daya dia tersepit antara rasa hormat pada ibu juga rasa sayang pada Zawin. “Min...jangan terlalu kejam. Zawin kan pernah berkawan dengan Min. Cuba Min letakkan diri Min di tempat Zawin. Apa yang Min rasa? Apa yang Min akan buat?”
            “Itu takdir dia...bukan takdir Min!” tingkah Yasmin dalam nada tinggi. Sungguh dia benci  apabila mengingati wajah gadis yang bernama Zawin Az-Zahra.
            Wan Zaidi menahan nafasnya. “Jangan tinggikan suara pada Abang! Abang ni kan suami Min,” tegurnya dalam suara terkawal. Hatinya benar-benar panas dengan sikap Yasmin yang tidak tahu menghormatinya. Matanya menangkap renungan pelik tetamu-tetamu yang mendengar pergaduhan mereka. Ah! Kenapa semua ni berlaku pada aku?
            “Suami konon. Cakap je la Abang tu masih sayangkan perempuan berstatus rendah tu!” marah Yasmin sambil melemparkan jambangan bunga putih ditangan ke tanah. Pantas kakinya diatur lalu masuk ke dalam banglo putih itu.
            Datin Zainab diserang rasa pelik melihat wajah keruh Yasmin sejurus berpapasan dengannya di pintu masuk banglo. Tetamu yang menegur langsung tidak dipedulikannya. Kenapa menantunya itu berkelakuan begitu di tengah tetamu yang masih ramai membanjiri banglo keluarganya. Bebola matanya menangkap kelibat anak sulungnya di hadapan perkarangan banglo. Anak lelakinya itu kelihatan termenung sambil bersandar di tiang hadapan rumah. “Wan...ada masalah dengan Yasmin ke?” tegur Datin Zainab.
            Wan Zaidi lekas berpaling, memandang wajah ibunya. “Ada la sikit mama. Biasa la orang baru berkahwin,” balasnya dalam senyuman nipis.
            Datin Zainab menggosok lembut bahu anaknya itu. Wanita itu sedar, dia punca kenapa senyuman di wajah itu kelihatan pahit, tiada manisnya seperti dulu. “Wan...mama minta maaf.” Suara wanita separuh baya itu kedengaran sayu.
            “Eh, kenapa ni mama? Mama tak salah apa-apa pun. Wan yang salah. Wan tahu... Mama berkeras nak bermenantukan Yasmin sebab Wan kata Wan sayang Yasmin lebih daripada Zawin. Mama tak salah. Sekarang, semuanya dah berlaku. Wan terima takdir hidup Wan.”
            Datin Zainab menghela nafasnya. Kakinya terasa lemah lalu melabuhkan punggung pada buaian besi berwarna putih.
*******
            Zawin terasa lega apabila dia sudah berada jauh daripada Yasmin. Sambil berjalan ke kawasan letak kereta, fikirannya melayang memikirkan cara Yasmin merenung Zharif. Dia dapat mengagak apa yang tersirat dalam renungan itu. Itu pandangan yang sama dilontarkan kepada Wan Zaidi pada perkenalan pertama. Yasmin...Yasmin...kau tak pernah berubah. Tak pernah puas! Hatinya membentak. Wajah lelaki bernama Zamri bermain-main dimindanya saat itu. Yasmin...erm...Zamri...Oh ya! Mata Zawin membulat. Lelaki itu...nama lelaki itu...sering bermain dimulut Yasmin sebelum ini.
            “Zawin...awak ok tak?” soal Zharif teragak-agak sambil menatap wajah keruh gadis itu.
            Zawin tersedar dari lamunannya. Melihat wajah lelaki thai itu, perasaan syukur terbit dihatinya. “Terima kasih...atas segalanya,” ucap Zawin dalam rasa terharu.
            Zharif tersengih. “Kan saya dah kata, tak rugi awak jadi kawan saya.”
            “Itu memang saya tahu,” balas Zawin semula.
            Zharif tersenyum senang. Wajah anggun gadis itu direnung lama.
            Zawin menatap wajah kacak itu, namun bayangan wajah Yasmin hadir di situ.       “Tadi...Yasmin ada tegur awak. Err...awak kenal Yasmin?” soalnya  ingin tahu.
            “Tak. Saya tak kenal dia,” balas Zharif bersungguh.
            “Tapi...dia macam kenal awak?” Zawin merenung wajah lelaki itu penuh sangsi.
            Zharif mengerutkan keningnya. “Tak. Saya memang tak kenal dia.”
            “Tapi dia tahu nama awak. Pelik?”
            Zharif sudah tersenyum. “Cuba Zawin telefon jabatan pendaftaran sekarang,” sarannya bersahaja.
            “Kenapa pula?”
            “Ya la. Cuba semak berapa ramai lelaki di Malaysia ni yang guna nama Zharif Zahir,” balasnya selamba.
            Zawin menahan senyum. “Apa la awak ni.”
            “Ala...kenapa awak tak gelak?”
            “La...perlu ke saya gelak?”
            “Mestila. Saya suka bila tengok awak tergelak. Suka ‘eyes smile’ mata awak.”
            Zawin tersengih sinis. “Kalau macam tu, buatla saya tergelak.”
            “Awak cabar saya?”
            “Ya, Saya cabar awak.”
            Zharif merenung bersungguh wajah ayu itu. “Apa yang awak akan bagi kalau saya berjaya buat awak gelak?..”
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Erm...saya akan tunaikan apa sahaja permintaan awak pada hari awak berjaya buat saya tergelak.”
            “Betul ni?”
            “La...betul la.”  
            “Zharif Zahir?” tegur satu suara lelaki dari arah hadapannya.
            Zharif mengecilkan matanya, cuba mengecam wajah lelaki tua dihadapannya. “Dato’ Wan Zahid kan?” Zharif menapak perlahan mendekati lelaki tua berkaca mata empat segi itu.
            “Ha...betul la tu,” balas Dato’ Wan Zahid dengan gembira.
            Zharif tersenyum lebar lantas menyalami dan mengucup tangan lelaki tua itu. “Lama kita tak jumpa. Uncle sihat?”
            Dato’ Wan Zahid tersenyum senang. Anak muda dihadapannya ini masih sama seperti dulu. Didikan orang tuanya ternyata berjaya membentuk akhlak baik itu. “Uncle sihat. Ni uncle nak kenalkan dengan kawan uncle. Perkenalkan, Dato’ Zawawi,” ujarnya sambil mendepangkan tangan kanan ke arah seorang lelaki tua di sebelahnya.
            Mata Zharif dikalihkan pada lelaki tua berjanggut nipis yang mengenakan kemeja sut Armani putih. “Apa khabar uncle?” tegurnya selepas menyalami tangan lelaki itu.
            “Baik. Wah, tak sangka Zharif lebih kacak daripada yang uncle bayangkan,” puji Dato’ Zawawi.
            Zharif tersipu segan tatkala dipuji begitu. “Mana ada la uncle. Saya biasa sahaja,” ujarnya merendah diri.
            Dato’ Zawawi menepuk perlahan bahu anak muda itu. “Jangan salah gunakan rupa paras yang ada. Kelak di hujung kehidupan tidak ada penyesalan yang menghimpit. Jangan jadi macam pakcik,” nasihatnya lembut.
            Zharif cuma mengangguk. Mungkin lelaki tua ini bercakap menerusi pengalamannya. Ibu dan ayahnya juga pernah berpesan begitu. “Terima kasih uncle atas nasihat itu. Insyaallah, saya akan ingat sampai bila-bila.”
            Dato’ Wan Zahid tersenyum. Perlahan dia menyentuh bahu rakannya itu. “Zawawi...yang lalu biarlah berlalu,” pujuknya. Matanya dikalihkan kepada anak muda dihadapannya kembali. “Uncle tahu...Zharif lelaki yang baik. Ha...Zharif, terima kasih kerana datang. Tapi...pelik juga...” Dato’ Wan Zahid mengerutkan keningnya. “Setahu uncle, Zharif tak kenal dengan Wan Zaidi. Zharif kenal Yasmin ke? .”
            Zharif tersenyum nipis. “Tak. Zharif temankan kawan,” jelasnya.
            “Siapa kawan Zharif tu?” soal Dato’ Wan Zahid pantas.
            Zharif berpaling ke belakang, mencari wajah gadis melayu itu. “Zawin!” laungnya sambil melambaikan tangan ke arah gadis yang sedang bersandar pada kereta kelisa kuningnya.
            Zawin mengerutkan keningnya. Melihat isyarat tangan Zharif yang memanggilnya ke sana, dalam teragak-agak dia menapak perlahan. Hatinya menyuruhnya pergi, namun kakinya terus melangkah ke arah lelaki itu. Siapa menyangka, ayah Wan Zaidi itu mengenali Zharif. Matanya dikalihkan pada batang tubuh lelaki separuh baya di sebelah Dato’ Wan Zahid. Langkahnya terbejat di situ. Matanya membulat, nafasnya terasa tersekat.
            “Perkenalkan Zawin Az-Zahra,” ujar Zharif.
            “Apa khabar Dato’?” tegur Zawin dalam rasa kaget yang cuba dikawalnya. Matanya tertumpu ke wajah ayah pengantin lelaki. Dia tidak mahu memandang lelaki tua berjanggut nipis yang sedang merenungnya.
            “Dato’ Wan Zahid tersenyum pahit. “Alhamdulillah. Zawin...maafkan uncle. Tak sangka begini jadinya,” luahnya dalam suara lirih. Hati tuanya benar-benar bersimpati dengan nasib gadis itu. Menghadiri majlis perkahwinan kekasih dengan rakan baik sendiri, bukan calang-calang gadis yang sanggup lakukan. Pasti hati gadis jelita itu luka teruk.
            Zawin menundukkan wajahnya, merenung kasutnya sendiri. “Tak apa la Dato’. Dah begini nasib saya. Terima saja la. Dato’ tak buat apa salah pun, tak perlu meminta maaf begini.” 
            Zharif menghela nafasnya. Ada silapnya di situ. Dia terlupa mereka saling mengenali. Argh, mengapa aku kenalkan  mereka? Hatinya menjerit.
            Mata Dato’ Zawawi mencerlung luas memandang wajah rakannya. “Zahid...gadis ni ke...yang awak ceritakan dulu?” Jantungnya terasa bergedup lebih laju daripada biasa. Jika benar, hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan gadis itu saat menerima berita rakan baiknya akan berkawin dengan kekasih sendiri.
            Dato’ Wan Zahid mengangguk perlahan.
            Dato’ Zawawi terasa ingin rebah saat itu juga. Kakinya benar-benar lemah untuk terus berdiri. Mengapa takdir sering menguji gadis itu dengan cara yang sama?
            “Maaf...Zawin minta diri dulu. Assalamualaikum,” pinta Zawin dan cepat-cepat dia berlalu pergi. Air mata yang cuba disekat daripada menitis, akhirnya gugur juga.F
            Dato’ Zawawi terjelepuk di atas tanah. “Zawin...” panggilnya dalam suara lemah.
Dato’ Wan Zaidi dan Zharif berpandangan sejenak sebelum mereka meluru membantu lelaki bersut Armani itu bangun.
            “Zawin Az-Zahra...anak abah...jangan pergi...” rintih Dato’ Zawawi dalam suara lirih.


No comments:

terima kasih berikan komen ya.

 
Copyright 2016 Reserved to puteripelangi