BAB 41
“Gitar
Zawin? Zawin pandai main gitar?” soal Zharif tidak percaya. Gitar berwarna
kuning yang dipangku Zafuan itu ditatap dalam teruja.
Zafuan
mengangguk. Tangannya memetik tali gitar secara rawak. “Tapi Zawin dah berhenti
main gitar,” beritahunya lagi.
“Kenapa?”
soal Zharif ingin tahu. Dia membetulkan duduk diatas tikar mengkuang.
“Sejak abah
ceraikan mak. Zawin sangat rapat dengan abah. Bakat seni abah banyak tumpah
pada Zawin. Bila penceraian berlaku, Zawin terus lupakan minat dalam bidang
seni. Semua lukisan, piala dan hadiah daripada aktiviti seni zaman sekolah
dulu, habis Zawin buang. ”
“Sayangnya...”
Zharif menggelengkan kepalanya.
“Bagus
juga sebenarnya. Ada hikmah yang manis di sebalik peristiwa pahit yang terjadi.
Zaf tak suka Zawin menyanyi dikhayalak ramai. Arwah datuk sebelah abah pun ada
darah seni. Dia pun tak suka Zawin terlibat dalam dunia seni. Suara perempuan
akan jadi aurat apabila dilenggokkan dan dimerdukan biarpun penampilannya
menutup aurat dan bertudung litup. Kalau nak menyanyi boleh, tapi khayalaknya
pastikan hanya golongan perempuan sahaja...”
“Hiburan itu haram atau halal dalam islam?”
soal Zharif ingin tahu.
Zafwan
memetik tali gitar. Satu tiun lagu kedengaran. Dia berfikir dalam-dalam sebelum
menjawab soalan itu. “Ada khilaf dalam pendapat ulama-ulama semasa. Ada pendapat
hiburan dan muzik itu dibolehkan dan pendapat lain adalah sebaliknya. Bagi Zaf,
dua-dua pendapat itu betul. Yang salah adalah apabila apabila hiburan itu
dinikmati dengan cara melampau. Kita yang menjadikan hiburan itu menjadi salah
pada diri kita.”
“Terangkan
dengan lebih lanjut,” pinta Zharif. Perbincangan mengenai ilmu paling
digemarinya sejak kecil lagi. Wajah tenang Zafuan ditatap bersungguh.
“Begini.
Perumpamaan seperti gelas jernih yang ada suku air putih. Air putih itu ilmu
kita. Kemudian kita masukkan air kopi ke dalam gelas tadi. Kopi itu adalah
hiburan. Bila kita masukkan kopi terlalu banyak, sudah pastilah akan mengubah
warna air dalam gelas. Pada ketika itu berlaku, hati kita akan menjadi gelap dan
susah kita nak beramal dengan ilmu yang sedikit. Itu yang dikatakan hiburan
yang melampau. Lain pula apabila gelas tadi hampir penuh dengan air putih. Jika
air kopi dimasukkan untuk memenuhkan gelas, warna air tadi tidak akan berubah. Jika itu berlaku, hiburan atau muzik jadi
tidak salah. Kalau kita kenal artis, kita kenal juga dengan ulama. Kalau kita
hafal lirik-lirik lagu, kita hafal juga hadis dan surah Al-Quran. Itulah yang
sebaik-baiknya,” jelas Zafuan panjang lebar.
Zharif
tersenyum lebar. Penjelasan yang sangat memuaskan hatinya. “Zaf biasa main
gitar?” soalnya ingin tahu.
“Jarang.
Tapi kalau ada masa terluang, main jugalah. Zaman Linkin Park keluar dulu,
memang kerap ikut kawan-kawan jamming. Biasanya memang lagu Linkin Park menjadi
pilihan,” cerita Zafuan.
“Linkin
Park? Biar betul?” soal Zharif kurang percaya.
Zafuan
tersenyum penuh makna. Tangannya masih memainkan tiun lagu yang sama. “Tahu
lagu apa ni?” soalnya pada Zharif.
Zharif
pantas menggeleng.
“In
the end. Lagu ni keluar sekitar tahun 2002. Masa tu, Zaf memang minat habis
dengan Linkin Park sebab genre muzik yang dibawa sangat berbeza dengan
kolaborasi muzik hip hop dan DJ. Lirik lagu-lagu Linkin Park bukan mengisahkan
tentang cinta tetapi banyak menjurus pada kehidupan. Macam dalam lagu When
They Come For Me, mereka mengkritik
politikus-politikus dunia yang korup. Walaupun setiap lagu tidak dibuat video
klip namun setiap video klip yang mereka buat selalu memiliki idea yang bijak.
Mungkin ini saja satu-satu band rock underground yang Zaf minat,” jelas Zafuan
panjang lebar.
Kepala
Zharif terangguk-angguk. Setiap orang ada citarasa masing-masing. “Zaf minat
cerita hindi?” soalnya lagi apabila wajah Iskandar menerpa benaknya. Dia tahu
persamaan yang paling kuat antara Zawin dengan Iskandar adalah masing-masing
gemar menonton filem hindi. Filem-filem yang datang dari dunia bollywood
padanya tidak memberikan input yang berguna dan hanya kisah cinta semata.
“Minat.
Ramai orang pandang rendah dengan filem-filem bollywood. Itu tidak dinafikan
sebab kuantiti filem yang keluarkan lebih daripada kualiti. Sebab itu sebagai
penikmat karya, kita harus pandai memilih,” komen Zafuan.
Zharif
tersengih. “Ada filem bollywood yang boleh mengubah fikiran golongan yang
sebegitu?”
“Ada. 3
Idiot. Filem yang Zaf labelkan sebagai filem bollywood terbaik sepanjang zaman.
Kisah tiga pelajar kejuruteraan yang dipanggil bodoh oleh profesor yang
mengajar di kolej ICE. Banyak mesej-mesej filem itu yang kita boleh ambil.
Paling berkesan, filem tu mengkritik sistem pendidikan yang menggalakkan
pelajar menghafal daripada memahami. Filem itu membuatkan Zaf tersenyum
sendiri, mengingati memori-memori yang dikutip sepanjang belajar di fakulti
kejuruteraan.”
“Hah?”
Zharif membundarkan matanya. “Zaf belajar engineering dimana? Bidang apa?”
“Di
Jerman. Elecrical engineering.”
“Tapi...Zaf...mengajar
agama...” komen Zharif lambat-lambat.
Zafuan
mengumam seketika sebelum membalas. “Arwah datuk sebelah ayah ada membuat
permintaan sebelum meninggal. Permintaan yang Zaf kira sama dengan dengan
keinginan diri Zaf sendiri sebenarnya. Arwah datuk nak Zaf jadi jurutera yang
hafaz Al-Quran. Selepas dua tahun bekerja di Jerman, Zaf ambil keputusan untuk
pulang ke Malaysia dan belajar agama di Pattani. Bila belajar agama, Zaf ambil
keputusan untuk mengajar. Tak ada istilah terlambat untuk belajar agama. Kan?”
Zharif
tersenyum lebar. “Betul tu. Suatu masa nanti, Zharif juga akan hafal 114 surah
Al-Quran,” ikrarnya penuh semangat.
“Insyaallah.”
Tangan Zafuan masih ligat memainkan lagu In the End. “Kenapa Zharif
sukakan Zawin?” soalnya tiba-tiba.
Zharif
tersenyum. “Sebab dia hiasan dunia yang terindah,” jawabnya penuh yakin.
Zafuan
mengangkat sebelah keningnya. “Bukan sebab faktor cantik?” ujinya.
Zharif
masih tersenyum. “Sudah tentu bukan kerana cantik,” balasnya tenang. Dia
berfikir seketika, cuba memanggil semula ilmu agama yang masih dangkal dalam
dirinya. “Zharif ingat-ingat lupa satu hadis berkenaan empat sebab mengahwini
wanita. Cantik, harta, keturunan dan juga agama. Pesan Nabi Muhammad S.A.W,
memilih wanita kerana faktor kecantikan bisa mendatangkan kecelakaan. Binasalah
diri Zharif jika kecantikan itu yang menjadi ukurannya,” ujarnya bersungguh.
Zafuan
mengukir senyum senang. Dia membetulkan duduknya. “Zaf cuma inginkan kepastian.
Zawin satu-satunya adik Zaf. Pasti Zaf inginkan yang terbaik untuk Zawin. Jika
calon isteri yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah
bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas
hari-hari dipandang mata. Syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan
mahram agar kelihatan lebih cantik pada pandangan mata kita.”
“Insyaallah.
Zharif memilih Zawin bukan kerana faktor kecantikan,” tegas Zharif.
Zafuan
menepuk bahu Zharif beberapa kali. “Baguslah jika begitu. Bila Zharif kata
Zawin adalah perhiasan yang terindah, sebenarnya itulah nama yang arwah datuk
berikan. Arwah datuk dah sediakan nama Zayyan Az-Zahra sebelum Zawin lahir lagi.
Kata arwah datuk, Zayyan itu beerti perhiasan, Az-Zahra itu beerti menawan.
Jadi adik perempuan Zaf akan menjadi perhiasan yang menawan. Tapi abah suka
nama Zawin. Perbalahan berlaku disitu sebab abah jenis yang keras kepala. Nak
kata dia saja didengar. Akhirnya, datuk mengalah dengan syarat nama Az-Zahra
harus digabungkan. Sifat degil abah memang diwarisi Zawin,” ceritanya dalam
tawa kecil.
Zharif
turut ikut ketawa kecil. Memang gadis itu sangat degil! Desis hatinya. “Apa
maksud nama Zawin?” Mata Zharif dilarikan pada fram gambar di dinding. Zawin
kelihatan menawan dalam busana puteri perak berwarna kuning.
“Tak
pasti. Tak jumpa pula dalam bahasa arab tapi abah memang suka sangat nama tu.
Zawin memang anak abah sejak kecil. Semua abah buat, dia nak buat daripada
menyanyi di majlis-majlis orang kahwin sampailah memancing dilaut dalam. Mak
pun tak terkata apa. Mak suruh dia belajar menjahit baju, dia rosakkan mesin
jahit mak. Mak suruh dia belajar memasak, dia menyanyi di dapur. Mak suruh dia masuk
kelas tuisyen, dia pergi belajar silat. Nasib baik dalam bab agama, dia jenis
akur, ” cerita Zafuan sambil menggelengkan kepalanya.
Zharif
tergelak kecil. “Nakalnya dia.”
Tangan
Zafuan berhenti memainkan tali gitar. Lama dia merenung gitar yang dipegangnya
sebelum mengalihkan pandangan pada wajah Zharif. “Zaf harap, Zharif boleh
lenturkan kedegilan Zawin dan bimbing dia jadi gadis yang lebih baik. Kemarahan
Zawin pada abah masih tidak padam malah berdegil tidak mahu memaafkan. Zaf
boleh percayakan Zharif dalam hal ini kan?” pintanya dengan lembut.
Zharif
menghela nafas dalam-dalam. Ada rasa lega dan resah bersilih ganti. Kata-kata pengharapan
Zafuan menyatakan restu pada hubungan mereka dan kata-kata itu juga merupakan
satu tanggungjawab yang digalaskan pada bahunya. Saat mengingati reaksi Zawin
semasa dia bercakap mengenai Dato’ Zawawi dahulu sudah cukup memberikan signal
mengenai tugas berat sedang menantinya. Wajah manis itu serta merta berubah
menjadi keruh dan sinar matanya penuh dengan kemarahan yang tidak kunjung
surut. Wajah Zafuan ditatap dalam-dalam. “Zharif ada lamar Zawin sebelum ni
tapi Zawin tolak. Zharif kalau boleh nak cepat-cepatkan perkara yang baik sebab
ada pendapat yang kata berpasangan sebelum kahwin ni haram. Apa pendapat Zaf?”
Zafuan
ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. “Bercinta atau berkasih sayang
antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal melainkan yang
kontang fitrahnya. Cinta itu adalah arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh
dihalang. Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan dan
melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu dari zaman berzaman. Cuma yang menjadi
cinta itu terlarang atau dibenarkan bergantung kepada bagaimana mengawal dan
menguruskan cinta. Yang menghairankan, ada golongan tua yang mengharamkan cinta
untuk generasi muda kini sedangkan mereka pun pernah bercinta zaman mudanya. Hanya
melihat pada kerosakan akhlak generasi muda sekarang, maka ada yang ‘kuat
agamanya’ menyalahkan cinta. Jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta atau
berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah
hilang kekuatan iman. Sungguh aneh sekali. Islam tidak pernah menyalahkan
fitrah,” komennya bersungguh.
Zharif
turut ketawa kecil. “Ha...itulah yang Zharif fikir. Seolah-olah jatuh cinta
pada seseorang yang boleh dikahwini dianggap satu dosa,” sampuknya.
Zafuan
tersenyum lebar. “Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang Allah dan
Rasul-Nya mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan
hidup. Bahkan Al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Nabi Muhammad S.A.W tidak
pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang
bercinta berakhir dengan perkahwinan. Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina
dan perbuatan yang menghampiri zina seperti berpegangan tangan. Adapun bercinta
yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah
insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa
manusia lalu menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya,” bicaranya
dengan lebih lanjut.
Mata
Zharif bersinar gembira. “Insyaallah. Zharif akan jaga batasan fitrah
insaniah,” janjinya bersungguh.
Zafuan
mengukir senyum senang. Dia tahu lelaki ini boleh dipercayai. Zafuan merenung
gitar kuning dipangkuannya. “Zawin pernah kata muzik dan seni telah mati dalam
dirinya. Zawin boleh sahaja menipu orang
lain tapi dia pasti tidak dapat menipu dirinya sendiri.” Tali gitar dipetiknya
lagi, masih memainkan lagu yang sama.
Zharif menghela
nafas. Ternyata dia tidak mengenali Zawin sebagaimana yang disangkanya.
********
Apa
warna baju raya anda tahun ini? Sila pilih dari senarai warna yang tertera.
Kalau tak ada warna dalam senarai, jangan balas pos ini. Jangan marah daa...
Zawin
tergelak kecil membaca pos Facebook Zharif Zahir. Tangannya lincah
menaip papan kekunci laptop. Beberapa rakan yang dikenalinya turut membalas pos
itu. Seperti biasa, warna kuning menjadi pilihan saban tahun. Najla dan Anas
memilih warna coklat. Fuad pula memilih hitam. Sejurus menyedari pos balasan
Zharif mengenai maksud warna-warna yang dipilih, dia tidak sabar-sabar membaca.
Hitam
- Kita awesome
Coklat- Awak cute
Kuning - Awak milik saya
Pipi Zawin merona merah. “Benci!” getusnya
dengan geram. Malas dia mahu melayan laman sosial itu lagi. Matanya dilarikan
ke luar jendela. Angin malam menerobos masuk ke dalam bilik. Langsir oren
berkibar apabila angin petang bertiup kencang. Matanya dialihkan pada novel
Manikam Kalbu di atas meja belajar. Muka hadapan novel itu sudah cukup
membuahkan senyum lebar dengan lakaran seekor kucing Madura berwarna biru
keabu-abuan duduk dihadapan mesin jahit. Novel pemberian Zharif itu telah
tuntas dibacanya hanya satu malam. Padanlah sebelum ini Zharif pernah
menyatakan kekagumannya pada sejarah seni jahitan pakaian bangsa melayu rupanya
gara-gara novel itu.
Zawin tergelak kecil apabila
mengingati kenakalannya semasa zaman remaja. Dia kerap mencari alasan apabila
ibunya menyuruhnya untuk belajar mewarisi kemahiran menjahit dan membuat
pakaian. Apabila direnungi dalam-dalam terasa satu kerugian pada diri pula.
“Kenapa?
Nak tolong?” soal Puan Dahlia sejurus melihat Zawin berdiri tercegat
disebelahnya. Tangannya lincah menjahit butang pada baju kurung Pahang berwarna
coklat pastel.
Zawin
tersengih. Kerusi kecil ditarik lalu mendekati ibunya. “Baju Najla?”
Puan
Dahlia mengangguk. “Tinggal butang saja nak dijahit,” beritahunya.
“Apa
beza kurung Pahang dan kurung biasa mak?” soal Zawin ingin tahu.
Puan
Dahlia mengunjukkan baju kurung Pahang ditangannya bersama dengan baju kurung
pesak gantung. “Ini bezanya. Kurung Pahang berbelah di bahagian hadapan, ada
kolar tinggi dan ada butang dibahagian hadapan. Bahagian atas sama seperti
kurung pesak gantung ni, tapi pesak dibahagian bawah lebih kembang. Kalau badan
jenis berisi memang kurang sesuai dipakai sebab bahagian badan baju kurung
Pahang sedikit kecil dibahagian bawahnya,” jelasnya panjang lebar. Butang
berwarna putih diambil dari bekas butang lalu menjahit dengan teliti pada
bahagian hadapan kurung Pahang itu.
Zawin
mengangguk sambil melihat dengan tekun cara ibunya menjahit butang itu. “Berapa
banyak lagi butang yang perlu dijahit?”
“Ada
tiga lagi.” Puan Dahlia mengambil lagi butang putih dari bekas butang dan
meneruskan kerjanya.
Zawin
melabuhkan punggung di atas kerusi menghadap ibunya. Hatinya berputik rasa
kagum melihat kecekapan tangan ibunya bermain dengan jarum dan benang. “Berapa
lama mak ambil masa untuk betul-betul mahir menjahit dulu?” soalnya.
“Dalam
tiga bulan juga la. Itupun puas menangis kena marah dengan arwah nenek sebab
banyak buat silap. Tapi sebab mak minat menjahit, mak kuatkan semangat. Syukur.
Berkat sabar , akhirnya semua usaha sangat berbaloi. Itu yang mak tak nak paksa
Zawin menjahit sebab mak percaya nak buat sesuatu harus ada minat.”
Zawin tersenyum tawar. Ya itulah sebetulnya.
Dia tidak minat dalam seni jahitan. “Mak mesti terkilan kan...anak mak ni tak
jadi penyambung warisan jahitan mak...”
Puan
Dahlia menatap sekilas wajah anak gadisnya sebelum menyambung tugasnya.
“Mungkin. Nasib baik ada Daniel Iskandar. Syukur sangat Is tak jemu belajar
menjahit dulu. Sekurang-kurangnya Is mewarisi kemahiran mak ni. Sekarang ni dia
jahit orang pula. Daniel Iskandar memang bijak dan serba boleh orangnya,”
pujinya bersungguh.
Zawin
menahan senyum. Sejak kecil, Daniel Iskandar memang menawan hati sesiapa sahaja
yang mengenalinya termasuk ibunya. Minat
lelaki itu dalam seni jahitan amat mengagumkannya.
“Mak
pernah berharap Daniel Iskandar jadi suami Zawin kelak tapi mak sedar jodoh itu
rahsia Allah. Siapa mak nak menentukan jodoh kan?”
Zawin
mengangguk.
“Is
telefon tadi. Katanya nak datang esok. Zawin dah berbaik semula dengan Is?”
soal Puan Dahlia tiba-tiba.
Zawin
mengangguk lagi.
“Baguslah.
Mak harap sangat Zawin dapat maafkan abah dan berbaik macam dulu.”
Zawin
tersenyum pahit. “Mak, Zawin masuk tidur dulu. Mengantok dah.” Zawin terus
bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia cuba memejamkan matanya namun wajah
ayahnya menerpa dari segenap arah. Dia bangun, mencapai telefon pintar dan
melayari laman sosial.
Sayu
terasa. Ramadhan sudah hampir berlalu. Dapatkah berjumpa lagi dengan Ramadhan
tahun hadapan?
Zawin
tersenyum sayu menatap status Facebook Anas. Apa yang dirasai Anas, dia
juga merasainya. Adakah amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan
diterima Allah? Paling utama, apakah dirinya mendapat keampunan ilahi? Bukankah
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, celakalah manusia yang
membiarkan Ramadhan berlalu tanpa mendapat keampunan ilahi. Mengenangkan
hubungan keruh dengan ayahnya selama bertahun-tahun itu, kemarahan dan dendam
yang tidak pernah padam kepada lelaki itu, air mata Zawin tiba-tiba mengalir.
Tuhan, apakah aku termasuk dalam golongan yang celaka? Aku tahu amat, redha-Mu
datangnya dari redha kedua orang tuaku tetapi kenapa hati ini begitu keras
sekali untuk dilembutkan?
********
“Ha...masuk lubang!” Zawin menjerit teruja
apabila melihat buah striker berwarna kuning yang dijentik abangnya
masuk ke dalam poket papan karom. “Mari...mari...letak sini...” Tangan Zawin
mengetuk-ngetuk bulatan merah ditengah-tengah papan karom itu.
Zafuan
menjeling wajah adiknya. Sebiji buah putih diletakkan di bulatan merah sebagai
denda kesalahannya tadi. “Ha...sila-sila. Kalau pakar, masukkan buah ni dalam
lubang.”
Zawin
menjungkitkan keningnya. “Cabar atau perli tu?”
“Cabar.”
Zafuan memincingkan pandangannya pada Zawin. “Masukkan buah karom tu dengan
sekali serangan. Erm...senang sangat pula. Ha...masukkan tiga biji buah karom
termasuk ditengah ni,” arahnya.
“Kalau
Zawin berjaya masukkan?” Zawin tersenyum lebar.
“Abang
akan beri kapal layar dalam botol yang abang dapat masa di Jerman dulu. Macam
mana?” pancing Zafuan.
Zawin
membundarkan matanya. Biar betul? Desis hatinya. Hadiah dari seorang kenalan
abangnya itu sangat menarik hatinya sehingga dia pernah merayu Zafuan untuk
memberikan kapal itu kepadanya. Hatinya mula diserang rasa sangsi. Mengapa
abangnya menawarkan hadiah itu sedangkan abangnya tidak pernah mahu memberikan
kepadanya dahulu biarpun dia menawarkan wang tunai sebagai ganti. “Kalau Zawin
tak berjaya?”
Zafuan
tersenyum penuh makna. “Zawin wajib main gitar, tidak kira lagu apa pun. Terima
cabaran?”
Zharif
sudah tersenyum lebar. Satu tawaran yang sangat baik! Desis hatinya.
Zawin melagakan
gigi atas dan gigi bawah. Hadiah itu satu godaan yang tidak dapat ditolaknya
tetapi akalnya cuba menghalang apabila mengenangkan akibat jika dia gagal dalam
cabaran itu. Zawin merenung kedudukan lima biji karom dibahagian tengah bulatan
merah. Perlahan-lahan senyuman sinis terukir dibibirnya. “Zawin terima,”
ujarnya selamba lalu mengambil buah striker dari dalam poket karom.
Zharif dan Zafuan saling berpandangan,
menyembunyi senyum dan masing-masing menumpukan perhatian pada tangan Zawin
yang sedang berkira-kira untuk memulakan serangan. Mulut masing-masing
terlopong apabila satu demi satu buah-buah karom itu berjaya dimasukkan Zawin
dalam lubang poket karom. Bukan tiga biji tetapi lima biji buah karom!
“Banzai!
Banzai!” laung Zawin lalu bangun, menggawang-gawangkan tangannya dan
berlari-lari anak mengelilingi meja yang menempatkan papan karom.
Zafuan
ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Usahanya gagal tetapi dia gembira
melihat adiknya segembira itu. Sudah lama Zawin tidak berbuat begitu.
Zharif
mengerdipkan matanya berulang kali. Gadis dalam t-shirt lengan panjang putih
berpadanan tudung lebar hitam polos itu kelihatan terkibar-kibar tatkala
berpusingan begitu. Dia tidak pernah melihat sisi Zawin yang begini.
Zawin
menghentikan lariannya apabila matanya menangkap wajah terkejut Zharif.
Sejujurnya dia malu amat namun dikawalnya dengan berlagak tenang. Dia
berdehem-dehem beberapa kali sebelum kembali duduk. Wajah Zafuan ditatap dalam
rasa gembira bukan kepalang. “Jadi, hadiah kapal tu milik Zawin. Kan? Kan?
Kan?”
Zafuan
mengangguk seraya tersenyum meleret. “Ya. Abang ambil sekarang,” ujarnya lalu
menghilang ke dalam bilik.
“Betul
jangkaan Zharif...”
Mata
Zawin terus dihalakan pada wajah Zharif. “Jangkaan?”
Zharif
tersenyum nakal. “Zawin ada perangai kanak-kanak riang. Sweet sangat...”
Zawin
berdehem lagi. “Apa lagi yang Zharif jangka tentang Zawin?” soalnya kembali.
Zharif
mengusap bawah dagunya. “Gitar. Zawin pandai main gitar,” balasnya.
“Khabar
angin saja tu,” balas Zawin bersahaja. Jari telunjuknya laju menjentik buah striker
ke arah tengah bulatan papan karom. Sebiji buah karom terpelanting keluar.
Zharif
mengutip buah karom berwarna putih yang jatuh dilantai kemudian meletakkan di
bulatan merah. “Kenapa berhenti main gitar?”
soalnya lagi.
“Dah
lama tak main. Dah lupa.” Zawin mencipta alasan. Matanya merenung buah putih di
bulatan tengah lalu mensasarkan serangan buah striker dibahagian tengah.
Buah putih itu masuk ke dalam poket karom.
“Cubalah
main semula,” saran Zharif. Buah putih didalam poket karom di bawa keluar dan
meletakkan di atas bingkai papan karom dihadapan Zawin.
“Jari
dah tak fleksibel,” ujar Zawin memberi alasan lagi.
“Kalau
begitu, berlatih la semula,” giat Zharif.
“Tak ada
sebab nak berlatih lagi.”
“Buat
sebab baru...”
Zawin
berpaling menatap wajah Zharif. “Tak ada sebab untuk Zawin main gitar lagi,”
tegasnya.
“Ciptalah
satu sebab.” Zharif masih tidak jemu menyarankan.
Zawin
berfikir sejenak. Buah striker terasa kesat di atas permukaan papan karom.
Bedak putih ditabur dan dilumurkan ke segenap penjuru. Buah striker
diletakkan diatas garisan. Mindanya masih berfikir saranan lelaki itu.
“Nah.
Kapal layar yang Zawin idam-idamkan.” Zafuan menghulurkan botol kaca empat segi
kepada Zawin.
“Terima
kasih,” ucap Zawin sambil mengukir senyuman lebar. Kapal layar dalam botol itu
mengingatkannya pada hadiah Zharif.
“Suka?”
soal Zafuan.
“Sangat
suka,” balas Zawin. Matanya bersinar gembira. Wajah Zharif ditatap sekilas.
Lelaki itu masih menunggu jawapan daripadanya. Kapal layar didalam botol
direnung lagi. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyum nakal. Matanya dipusatkan
pada wajah Zharif. “Ok. Zawin akan main gitar semula kalau...”
“Kalau...”
Zharif menanti kata-kata itu dituntaskan Zawin.
“Kalau
Zharif buat bungee-jumping!” sambung Zawin bersulam senyum nakal.
“Hah?
Mustahil!” balas Zharif. Matanya membulat luas. Mengingatkan ketinggian sahaja
sudah cukup membuatkan lututnya menggigil.
Zawin
ketawa halus. “Jadi, mustahil untuk Zawin main gitar semula!” Tangannya kuat
menjentik buah striker. Buah Striker itu menampar hujung sudut
papan dan bergerak ke arah bertentangan lalu menolak buah karom berwarna putih
masuk ke dalam poket.
Zafuan
cuma tersenyum penuh makna.
Zharif
memincingkan pandangan pada wajah Zawin. Geramnya! Jerit hatinya.
Bunyi
enjin kereta dihadapan rumah membuatkan Zafuan menjengukkan kepala ke luar
jendela.
Anas
keluar dari perut kereta Honda City putih dan melambai ke arah Zafuan.
“Anas
dan Najla datang tu,” beritahu Zafuan sejurus melihat Najla yang manis berbaju
kurung merah hati turut keluar mendukung bayi lelakinya.
Zawin
terus meluru ke arah jendela. Dia membalas lambaian Najla dengan teruja.
“Sekejap,” laungnya. Dia tidak jadi melangkah apabila hidungnya menangkap bau
wangi dari tubuh abangnya. “Abang tak mandi lagi kan?” soalnya.
Zafuan
tersengih. “Tak mandi pun memang wangi kan?”
Zawin
memeluk lengan abangnya. “Memang wangi. Untung perempuan yang dapat abang,”
giatnya bersungguh.
Zafuan
ketawa halus. “Dah. Abang nak mandi. Pergi layan Najla dan Anas tu dulu,”
arahnya.
Zawin
akur dan menapak laju turun dari tangga tingkat atas ke luar rumah.
Zharif
menahan langkah Zafuan. Sejak mengenali Zafuan, hatinya sentiasa tertanya-tanya
mengenai bau wangi yang datang dari tubuh lelaki itu. Bau itu sangat berbeza
dengan mana-mana minyak wangi yang diketahuinya. Biarpun tubuhnya berpeluh, bau
badan lelaki itu tetap wangi. “Ada rahsia
wangikan badan?” soalnya ingin tahu.
Zafuan
tersenyum. “Ada keraguan?” soalnya semula.
Zharif mengangkat
keningnya.
Zafuan
tersenyum meleret, menepuk bahu Zharif lalu berlalu masuk ke dalam bilik.
Zharif
ketawa kecil. Dia harus bersabar dalam memperoleh ilmu. Jika mudah didapati,
pasti cepat melupai malah sukar untuk diamali. Zharif turut menyertai Zawin
yang sedang duduk diatas pelantar bawah pokok rambutan bersama Anas dan Najla.
Puan
Dahlia menghulurkan sebiji buah delima kepada Najla. “Rezeki kamu ni hah. Ada sebiji delima yang dah masak.”
“Terima
kasih makcik. Dulu masa mengandungkan Al-Fateh, makcik beri juga,” ucap Najla.
“Ala.
Makan saja. Elok untuk kulit bayi dalam perut tu. Putih dan halus macam
Al-Fateh.” Puan Dahlia mengagah anak lelaki Najla dan bayi itu ketawa riang.
Najla
memberikan Al-Fateh kepada Puan Dahlia. “Kami beraya di Pahang tahun ni makcik.
Itu yang datang sini, nak beritahu.”
Zawin
terus membundarkan mata. “Kata beraya di sini?”
Anas
mengangguk. “Memang sepatutnya beraya disini tapi kebetulan ketiga-tiga abang
giliran beraya tahun ni di pihak sebelah isteri. Ayah dan mak memang berharap
kami beraya disana, bawa orang baru dalam keluarga. Tak sampai hati pula nak
hampakan,” jelasnya.
Najla
mengenggam tangan Anas. “Najla ok saja, mana-mana pun sama juga kan?”
“Betul
tu. Apa yang penting...” belum sempat Puan Dahlia menghabiskan ayatnya, Zawin
sudah mencelah.
“Kerjasama...”
“Ish
budak ni,” marah Puan Dahlia lalu menampar perlahan bahu Zawin.
Anas dan
Najla tergelak besar.
Zharif
menggelengkan kepalanya dalam tawa halus.
“Makcik
bawa Al-Fateh jalan-jalan. Sembanglah dulu ya.” Puan Dahlia meminta diri lalu
mendukung Al-Fateh masuk ke dalam rumah.
Wonderpet...wonderpet...kami
datang...
Zawin menyanyikan rangkap lagu kartun
wonderpet itu lalu disambut oleh Najla.
Kami tak besar dan kami tak kuat. Bila
bekerjasama semua jadi mudah...
Anas
turut melayan lagu itu.
Apa
yang penting...
Serentak
mereka melagukan rangkap lagu seterusnya.
Kerjasama...
Zharif
ketawa terbahak-bahak. “Lah, korang pun sama!”
“Kenapa
ber wonderpet bagai ni Zawin?”soal Najla.
”Aku
sedih la Najla. Kucing bulu oren aku tu hilang. Entah mana dia pergi,” adu
Zawin.
“Sayangnya...Kalau
kau nak main dengan kucing, rumah aku ada. Sepupu aku bagi pada mak aku bulan
lepas.”
“Ya ke?
Kucing apa? Warna apa?”
“Kucing
siam. Bulu putih ada warna coklat sikit, mata warna biru. Sangat comel!”
beritahu Najla lagi.
“Nak!
Lepas ni aku ikut kau balik. Tapi kau bertolak ke Pahang bila?”
“Malam
ni.”
“Bagus
juga balik malam. Tinggal dua hari saja ni nak raya.”
Najla
menatap wajah Zharif yang tersenyum-senyum sendiri. “Kenapa Zharif? Ada yang
lucu?”
Zharif
tersentak apabila ditegur tatkala sedang melamun begitu. “Senyum kan sedekah,”
balasnya selamba. Nasib baik rumah ni tak ada wonderpet. Bisik hatinya.
“Kereta
kita hampir sama kan?” soal Anas tiba-tiba.
Zawin
terus menghalakan pandangan pada kereta Najla dan kemudian kereta Zharif.
Benar. Kedua Honda City itu kelihatan serupa pada pandangan pertama.
“Sebab
itu Zawin boleh tersilap masuk kereta Zharif. Kan?” usik Najla.
Zharif
ketawa besar. “Entah Zawin ingat lagi ke tak?”
Zawin
menahan wajah yang terasa membahang. Kejadian dia tersilap masuk dalam kereta
Zharif dahulu sering membuatkan dia rasa malu amat apabila terkenangkan kembali.
“Kenangan terindah. Siapa boleh lupa?” balasnya lalu berpura-pura ketawa.
“Mak
Zawin macam suka sangat dengan anak Najla tu,” tegur Zharif usai kereta Honda
City itu hilang daripada pandangan.
Zawin
mengangguk. “Mak pernah kata, bila lihat Al-Fateh terasa macam cucu sendiri.
Isteri abang Zafuan meninggal masa bersalin. Dapat anak lelaki tapi sayang anak
tu pun meninggal sebab lemas dalam perut. Mak memang sedih sangat, masih
kempunan nak timang cucu sendiri,” ceritanya membuka lembaran kisah
keluarganya.
Zharif
mengangguk. Dia bersimpati dengan takdir yang berlaku kepada Zafuan. Pasti
sukar menghadapi kehilangan orang tersayang. Wajah Zawin ditatap lama. “Kalau
nak beri mak cucu, Zawin kena cepat kahwin lah. Tawaran Zharif sentiasa terbuka
selamanya untuk Zawin. Macam mana?”
Zawin
menjeling sekilas. “Kahwin bukan perkara yang mudah,” ujarnya.
“Mudah,
jika kita yang menjadikan perkahwinan itu jadi mudah,” hujah Zharif.
Zawin
terdiam. Dia tidak mahu melayan isu yang tidak digemarinya. “Zawin nak ke kubur
dulu,” beritahunya.
“Nak
ikut. Zharif suka ke kubur,” ujar Zharif dalam teruja. Dia tidak mengendahkan
riak keruh pada wajah gadis itu.
“Suka
kubur? Zharif dah hilang akal ke apa?” soal Zawin sinis. Angin petang yang
bertiup agak kencang membuatkan tudungnya terlipat. Tangannya membetulkan
kedudukan tudung hitam dikepala.
Zharif
tersenyum lebar. “Nabi S.A.W pernah bersabda,
manusia yang paling bijak adalah manusia yang sentiasa mengingati mati.
Menziarahi kubur adalah satu cara untuk beramal dengan hadis itu. Doa kita
untuk mana-mana ahli kubur pula akan memberikan kita pahala sebanyak pahala
ahli kubur semasa mereka hidup dahulu.
Adakah itu dikatakan perbuatan yang hilang akal?” soalnya semula.
Zawin
menghela nafas dalam-dalam. Kata-kata bernas itu terasa menampar wajahnya
kembali. Bulan puasa memang banyak yang datang menguji. Desis hatinya.
Sabar...sabar... kalimah itu diulang-ulang dalam hati. Lebih baik dia diam
daripada mengungkapkan kata-kata yang mengurangkan pahala puasanya.
“Melawat
kubur siapa?” soal Zharif ingin tahu. Dia menahan tawa melihat wajah masam itu.
“Cikgu
Zharifah,” balas Zawin. Dia cuba berlagak tenang.
“Oh...cikgu
itu. The power of dreams. Kan?”
Zawin
terus menatap sisi wajah Zharif. “Zharif tahu daripada mana? Zafuan?” soalnya
dalam mata membulat.
Zharif
memincingkan pandangannya dan kemudian bersuara sayu. “Zawin sering lupa kan?
Tentang Zharif, tentang kata-kata Zharif, tentang memori kita bersama...”
Zawin
terpana. Tidak semena-mena dia menepuk dahinya apabila teringat pertemuan di
pameran kereta Honda tahun lepas. Pertemuan yang menjadi titik tolak Zharif
Zahir terlalu berlabuh dalam hidupnya. Dia hilang kata-kata sebaik matanya
bertembung dengan mata coklat itu.
“Zharif
rasa, Zawin bayangkan watak Ziryab dalam novel Manikam Kalbu itu adalah
Iskandar kan?” tebak Zharif.
Zawin
menelan liurnya. “Kenapa Zharif cakap begitu?” soalnya semula.
“Maaf,”
ucap Zharif tiba-tiba. “Zharif terdengar perbualan Zawin dan mak malam tadi,”
beritahunya lebih lanjut.
Zawin
menggigit bibirnya. “Ya. Memang Zawin bayangkan Ziryab dalam Manikam Kalbu
adalah Iskandar,” luahnya tidak mahu berselindung. Ekor matanya dapat menangkap
perubahan wajah Zharif. Senyuman lelaki berkemeja merah jambu itu kelihatan
hambar. “Is pernah kata dulu yang dia sangat mengagumi Ziryab, seorang ulama dan
tukang jahit terkenal pada zaman kegemilangan Andalus. Minat Ziryab terhadap
seni jahitan dalam Manikam Kalbu mengingatkan Zawin pada Is...”
“Daniel
Iskandar...dia memang menantu pilihan mak berbanding Zharif. Tak gitu?” Zharif
memasukkan tangannya dalam kocek seluar. Walaupun dia selalu yakin pada diri
namun mendengar kata-kata ibu Zawin membuatkan dia rasa kalah tidak
semena-mena.
“Itu
dulu...” balas Zawin pantas. Hatinya dihurung rasa bersalah. Mimpi beberapa
malam lalu mula menyesak benaknya. Dia benar-benar tidak mahu Zharif terluka
seandainya mimpi itu menjadi nyata.
“Dulu
dan sekarang pun sama. Iskandar tetap pertama dalam hati Zawin,” ujar Zharif.
“Zharif...sudah
lah. Kita berhenti cakap tentang perkara ni ya?” pinta Zawin lembut.
Zharif
mengukir senyum lebar. Dia juga tidak mahu melanjutkan perbualan tentang
perkara itu. Hatinya terasa sangat sakit. “Kalau begitu, ceritalah tentang
Cikgu Zharifah.”
Zawin
turut mengukir senyuman lebar. “Nak mulakan daripada mana ya?”
“Terpulang.”
Zawin mengatur langkah semula. “Sejak kecil,
kawan-kawan ada cakap, mereka cemburu Zawin punya abang seperti Abang Zafuan.
Baik, kacak, bijak, alim, dan macam-macam lagi la. Walaupun Zawin
memang bangga dengan Abang Zafuan, tapi sebenarnya Zawin sangat
tertekan. Abang Zafuan sangat bijak. Belajar ala kadar pun tapi keputusan
periksa tetap cemerlang. Jadi, orang sekeliling punya jangkaan yang sama pada
Zawin. Bila itu tak berlaku, macam-macam la orang kata pada Zawin...”
“Zawin
tak bijak? Kenapa cakap begitu? Pada Zharif, Zawin sangat bijak!” sampuk
Zharif.
Zawin
tersengih. “Bijak ke? Tak. Zawin tak bijak. Zawin hanya gadis biasa. Zawin
sangat yakin kedudukan yang Zawin dapat hari ini kerana doa guru-guru. Cikgu
Zharifah pesan, berbuat baik dengan pendidik dan suruhlah mereka mendoakan
kejayaan kita kelak. Insyaallah ilmu yang kita dapat akan jadi berkat. Katanya
lagi, kalau pun kita merasakan diri kurang daripada orang lain, jangan pula
merendah-rendahkan impian diri sendiri. Kuasa sebuah impian itu mampu membawa
seseorang ke tempat-tempat yang tidak pernah dibayangkan sekalipun...”
“Apa
impian Zawin?” soal Zharif tiba-tiba.
“Melancong
ke seluruh dunia dengan kapal layar,” beritahu Zawin dalam senyuman manis.
Zharif
tersenyum lebar. “Negara mana yang dekat dihati?” soal Zharif lagi.
“Kanada.”
“Kenapa?”
“Kanada
ada segalanya daripada pemandangan yang indah, bentuk rumah yang unik, air terjun terbesar sehingga pada fenomena northern
light. Walaupun ada sepuluh negara yang mempunyai fenomena northern
light tapi northern light di Yellowknife tetap paling istimewa.”
“Hanya
kerana Yellowknife terletak di Kanada. Begitu?” Zharif mengangkat sebelah
keningnya.
Zawin
mengangguk lantas ketawa kecil. “Nak tahu satu kata-kata yang Cikgu Zharifah
suruh Zawin ucap ulang-ulang pada diri?”
Zharif mengangguk.
“I
was born to be happy and I deserve to achieve everything I dreams.”
“Wow. Kata-kata yang bernas,” puji Zharif.
Matanya merenung nakal pada wajah Zawin. “Ini pula kata-kata bernas dari Zharif
Zahir. Semoga Zawin ingat sampai bila-bila.”
Zawin
menahan senyum. “Apa dia?”
“You
were born to be my baby and I was made to be your man.”
Zawin mencemberutkan bibirnya seraya menjeling
manja. “Whatever.” Apabila berpaling ke hadapan, Zawin terpana. Entah
bila lelaki itu muncul di halaman rumahnya.
“Hai
ma...” tegur Iskandar.
“Err...hai...”
Zawin menjawab lambat-lambat. Dadanya terasa sempit tiba-tiba. Matanya
mengerling sekilas wajah Zharif dan tersenyum lembut kepada Iskandar.
Iskandar
meleretkan pandangan pada wajah tenang Zharif. “Lama tak jumpa. Beraya di
sini?” Tangannya dihulurkan kepada lelaki itu.
Zharif
hanya mengangguk lalu mengenggam tangan Iskandar. Genggamannya erat, semakin
lama semakin kuat.
Iskandar
tidak mahu mengalah lalu saling berbalas genggaman. Dia teringat pertemuan
pertama mereka di gelanggang kick-boxing dahulu. Tidak jauh bezanya
keadaaan ketika itu dan kini. Lelaki dihadapannya ini terkesan ingin mengujinya
lagi.
Zawin
benar-benar rasa tersepit menyedari pandangan dua lelaki itu saling bertingkah.
Ada rasa yang tidak terlepas antara mereka. Sinar kurang selesa tersilau dari
sepasang mata Zharif, cahaya sangsi terpancar dari Iskandar. Akan diapa-apakan
mereka berdua?
BAB 42
Jangan
kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu
bukan kemuliaan bagimu. Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan
pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja. Muliakanlah
dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki
penghuni syurga.
Zawin merenung kata-kata dari
sebuah hadis yang dituliskan dalam kertas yang ditampal pada cermin meja
soleknya. Kata-kata itu dilontarkan abangnya dalam nada sinis melihat dia
menerima surat-surat cinta semasa zaman remajanya. Dia menulis kata-kata itu
dan menampalkan pada cermin solek sebagai peringatan setiap kali melihat
wajahnya dicermin. Telekung putih yang
masih tersarung pada tubuhnya ditanggalkan. Lama dia menyeluruhi wajahnya pada
cermin. Apakah kerana kecantikan sementara ini, Zharif dan Iskandar berusaha
bersungguh untuk mendapatkan hatinya? Jika kerana cantik, maka binasalah
dirinya kelak. Dirinya manusia. Secantik mana pun sebagai pemudi, kala tua
kelak pasti akan luput dari mata. Zawin
menyibak langsir oren. Cahaya mentari petang menerobos masuk ke dalam bilik.
Dari jendela bilik, dia melihat Iskandar sedang membantu ibunya menyusun pasu bunga.
Zharif dan Zafuan pula dilihatnya sedang duduk berbual-bual atas
pelantar di bawah pokok manggis sambil mengopek buah durian. Mereka
kelihatan begitu mesra dan seringkali ketawa. Apa sahaja yang mereka bualkan?
Desis hatinya. Cepat-cepat dia menanggalkan telekung dari tubuhnya.
“Di
bandar mana Zaf bekerja dulu?” soal Zharif. Bau durian membuatkan kecur liurnya
apalagi melihat isi durian kuning keemasan.
“Stuttgart,”
balas Zafuan.
“Wah.
Bandar kelahiran Carl Benz!” ujar Zharif teruja. “Seronok bekerja di sana?”
Zafuan
tersenyum. “Jerman antara negara maju
yang terbaik dalam segala hal terutama dalam mengeluarkan kereta terbaik dunia
dan menjaga kebajikan pekerja. Waktu
bekerja pula bermula dari 9 pagi sehingga 3 petang. Memang seronok bekerja di
sana.”
“Tak rindu bekerja dalam industri
automotif?” soal Zharif. Tangannya yang comot disapu dengan kain bersih.
Zafuan menggeleng. “Kerja sekarang
lebih menyeronokkan dan lebih tenang. Sekurang-kurangnya jauh dari pemandangan
yang memualkan. Kekalutan moral bangsa eropah dengan cara hidup yang dipaparkan
terasa sungguh mengerikan. Sukar untuk
percaya, bandar Stuttgart yang melahirkan pencipta kereta pertama dunia
telah menjadi bandar yang membenarkan sesiapa sahaja melepaskan pakaian di
khayalak ramai,” ceritanya bersungguh. Baki dua biji buah durian dibiarkan
tersadai apabila berpuas hati dengan isi durian yang dikumpul dalam bekas biru.
“Betul tu,” sokong Zharif. “Zharif
pernah singgah ke bandar Stuggart semasa berlayar dahulu. Dalam bilik sauna pun
bercampur lelaki dan perempuan yang masing-masing tidak mengenakan sehelai
pakaian. Walaupun mereka bukan islam, tetapi tidakkah terlintas pada fikiran
mereka untuk apa mereka diciptakan? Tidakkah terdetik dihati wanita-wanita
untuk menjaga maruah diri di tengah-tengah keliaran nafsu lelaki? Kenapa mereka
tidak punya rasa malu dengan membiarkan tubuh badan mereka dinikmati mata-mata
asing yang bukan halal bagi mereka?” soalnya bertubi-tubi dan menggeleng kesal.
Zafuan meletakkan telapak tangan
kanannya ke atas tempurung kepala lutut kiri. “Kerana mereka tiada iman,”
balasnya ringkas.
Zharif mengangguk tanda setuju.
“Iman itu sendiri ertinya,
kepercayaan yang terbit dari hati seseorang iaitu, mempercayai dengan penuh
keyakinan bahawa Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusan Allah S.W.T dan ajaran
baginda termasuk Al-Quran dan sunnah itu benar. Bila iman tiada dihati, rohani
manusia akan kosong. Ini yang berlaku
pada masyarakat barat hari ini. Otak mereka bergeliga dengan menguasai ilmu semua bidang dalam dunia tetapi
rohani mereka kosong kerana tidak diisikan dengan iman. Mereka teraba-raba
mencari pegangan dalam hidup sehingga akhirnya membunuh diri beramai-ramai
apabila ketenangan rohani yang dicari tidak diperolehi, ” hujah Zafuan dengan lebih lanjut.
“Islam dan Iman tidak dapat
dipisahkan. Amat menyedihkan melihat orang islam juga turut membunuh diri apabila
ditimpa musibah. Agaknya benar umat islam akhir zaman ini imannya semakin
nipis,” hujah Zharif pula.
Zafuan menggeleng kesal. “Itu yang
terjadi apabila manusia tidak beriman dengan hari akhirat. Mereka ambil
keputusan keluar dari dunia dengan membunuh diri. Mereka ingat dengan bunuh
diri akan selesai masalah, tapi mereka tidak tahu yang mereka terjun ke satu
alam yang bakal menyiksa mereka sehingga akhirat dan tidak akan boleh keluar
lagi. Masalah di dunia ni, kalau teruk sangat macam mana pun, manusia masih
boleh mengadu pada Allah pada mana tak ada orang yang mahu mendengar aduannya.
Allah sentiasa ada dan Allah boleh mengalih dan mengubah segalanya. Tapi bila mati
dalam keadaan bunuh diri, tamatlah manusia itu dari segala kebaikan.”
Zharif
mengangguk lagi. Dia terdiam seketika. Kata-kata itu membuatkan dirinya
termenung sendiri. Berdepan dengan pelbagai kes bunuh diri semasa menuntut di
negara matahari terbit beberapa tahun lalu, membuatkan hatinya dipagut sayu.
Alangkah ruginya manusia yang mencabut nyawanya dengan tangan sendiri. Desis
hatinya. Wajah Zafuan ditatap lembut. Wajah itu begitu bening dan bersih. Suka
benar dia menatap wajah itu. Jiwanya terasa disirami dengan ilmu dengan hanya
berada di sisi lelaki bernama Zafuan Al-Zahabi itu. “Macam mana Zaf mengatasi
ujian kehilangan orang tersayang?” soalnya ingin tahu.
Zafuan
tersenyum nipis. Matanya merenung jauh kehadapan. Seolah-olah merenung
sisa-sisa masa yang ditinggalkan ke belakang. “Zaf manusia biasa, bukan
malaikat. Zaf menangis semasa kehilangan isteri dan anak sekaligus. Lama juga
tempoh Zaf perlukan untuk kembali seperti sedia kala. Itulah hidup. Ada derita,
ada gembira. Allah jadikan derita, sesuatu yang mesti kita lalui. Derita itu
akan melatih sifat redha dalam jiwa manusia. Zaf bersyukur dengan ujian yang
menimpa kerana Zaf belajar untuk redha dalam setiap keadaan. Mereka yang
kehilangan sifat redha ertinya ia telah kehilangan Allah dalam hatinya. Bila kita
ada Allah, kita ingat Allah, kita sentiasa rasa kita ada hubungan dengan Allah,
kita akan rasa dunia ini adalah kecil sahaja. Sebab itu kita tak perlu bersedih
sangat dalam hidup ini. Biar kita kehilangan cinta dengan manusia, kerana Allah
akan ganti dengan yang lebih baik. Tapi jika kita kehilangan cinta Allah, apa
lagi yang hendak digantikan?”
Zharif
menelan liurnya beberapa kali. Kata-kata itu menusuk jauh dalam hati nuraninya.
Dia menghela nafas dalam-dalam sejurus melihat Zawin yang sedang berbual mesra
dengan Iskandar di kebun bunga. Jika benar jodoh gadis itu bersama Daniel
Iskandar, dapatkah dia redha dengan takdir itu? “Zaf, hati Zawin memang untuk
Iskandar bukan?”soalnya tiba-tiba.
Zafuan
turut melemparkan pandangan ke tempat yang sama dipandang Zharif. “Begitulah,”
komennya. “Zaf pun tak boleh salahkan Zawin. Cinta pertama seorang perempuan
itu memang selamanya istimewa. Hanya mereka yang pernah melalui perkara yang
sama sahaja yang akan memahami dilema Zawin.”
Zharif
terdiam. Dia menghela nafas dalam-dalam. “Apa yang perlu Zharif lakukan
sekarang?” soalnya meminta pandangan lelaki itu.
Zafuan menepuk
bahu Zharif beberapa kali. “Jika sesuatu itu milik kita, sesulit apapun
jalannya, apapun rintangannya, pasti akan jadi milik kita. Kerana itu memang
untuk kita. Tetapi, jika sesuatu itu bukan milik kita, walaupun mudah jalannya,
walaupun bersusah payah kita ingin mendapatkannya, tidak akan pernah jadi milik
kita. Kerana memang bukan untuk kita.”
Zharif
termanggu lama. Dia tenggelam dalam lamunan sendiri memikirkan kata-kata
Zafuan.
“Nanti
goreng durian ni,” arah Zafuan kepada Zawin.
“Baik
tuan,” balas Zawin berserta senyum nakalnya.
Zharif tersentak dari lamunannya. Entah bila gadis
itu berada di situ.
“Abang
nak pergi mana?” soal Zawin.
“Nak
mandi la. Belengas badan ni.”
Zawin
memeluk lengan abangnya. “Ala, tak payah mandi pun, abang tetap wangi.”
Zafuan
mencuit pipi Zawin. “Amboi. Ingat abang ni kambing?”
Zawin
ketawa halus. Dia melepaskan lengan abangnya lalu mengambil tempat di atas
pelantar berhampiran Zharif. Bekas isi durian dicapai dan diletakkan di atas
pangkuannya.
“Wangi
bau badan Zaf tu. Zawin tahu rahsianya?” soal Zharif. Matanya mengekori langkah
Zafuan sehingga hilang daripada pandangannya.
“Abang
Zafuan tak pakai minyak wangi,” ujar Zawin.
“Tahu...”
“Downey
passion sahaja,” balas Zawin selamba.
Zharif
menahan tawa lalu mengetap giginya. “Nak kena sekeh?”
Zawin
ketawa halus. “Abang Zafuan bukan jenis kedekut ilmu tapi bersabar adalah kunci
untuk dapatkan ilmu dia. Ada ketika yang kita tak sangka, dia akan berikan ilmu
yang kita dah lama inginkan. Macam Zharif kan? Sampai sekarang tak beritahu
minyak wangi yang Zharif pakai.”
Zharif
menjungkitkan keningnya. “Zawin suka kan bau minyak wangi ni...” usiknya dalam
senyum nakal.
Zawin
menjuihkan bibirnya. “Wangi lagi bau badan abang Zaf!”
Zharif
ketawa anak mendengar kata-kata itu. “Zafuan Al-Zahabi. Mesti dia anak yang
istimewa sejak kecil kan?” soalnya cuba merisik lebih dalam mengenai lelaki
itu.
Zawin
mengangguk. “Sejak dalam kandungan lagi,” beritahunya.
Zharif
membundarkan matanya. “Macam mana tu?”
“Mak
kata, masa kandungkan abang Zafuan, mak bermimpi nampak burung merpati yang
terbang di atas Kaabah. Ada lelaki berjubah putih tangkap burung merpati itu,
dimasak dan diberikan kepada mak untuk dimakan,” cerita Zawin.
“Oh,
begitu...” Kepala Zharif terangguk-angguk.
“Kata
mak, dia kerap berdoa supaya abang Zafuan menjadi seorang pemuda fisabilillah.
Nampaknya doa mak memang makbul,” beritahu Zawin lagi.
Zharif tersenyum lebar. “Doa seorang ibu tak
pernah Allah tolak.”
Zawin
tersenyum nipis. “Betul tu,” sokongnya.
“Tangan
tu kenapa calar balar?” soal Zharif sambil meneliti kura tangan gadis itu.
Zawin
tersengih. “Kena cakar kucing Najla. Seronok bermain dengan kucing,”
beritahunya teruja.
Zharif
terdiam. “Ada tak haiwan lain yang Zawin suka?”
“Arnab
pun ok juga. Pernah bela arnab masa kecil dulu.”
Zharif tersenyum lebar. “Ok, Zharif akan ingat
itu.”
“Pernah
makan durian goreng?” soal Zawin sambil merenung isi-isi durian didalam bekas
biru itu.
“Tak.
Sedap ke?” soal Zharif teruja.
“Sedap.
Zharif suka makan durian?”
Zharif
mengangguk bersungguh. “Kalau makan lempuk durian dengan pulut, aduhai
sedapnya,” ujarnya seraya menelan liurnya.
Zawin
tersenyum nipis. “Zharif memang suka makan manis-manis ya?”
“Ikut
sunnah nabi,” balas Zharif selamba.
Zawin memuncungkan
bibirnya. Malas dia nak melayan karenah Zharif lantas membawa besen berisi isi
durian ke dalam rumah.
Zharif mendekati
Iskandar sejurus Puan Dahlia beredar dari kawasan taman bunga. Lelaki itu
dilihatnya tekun mengambus tanah hitam didalam pasu. Dia turut duduk
mencangkung, menatap wajah lelaki itu. “Bro, aku minta maaf,” ucapnya lembut.
Iskandar
menghentikan kerjanya lalu menatap wajah Zharif. “Aku pun sama,” balasnya lalu
menghulurkan tangan.
Zharif
tersenyum senang dan menggenggam erat tangan Iskandar. “Selama ini, mungkin aku
ego dan menyangka aku mampu menawan hati Zawin. Mungkin aku tersilap dalam hal
ini,” luahnya.
Iskandar
menatap wajah Zharif lama. “Kau lelaki baik. Pasti kau mampu mendapatkan
mana-mana perempuan terbaik dalam dunia ini.”
Zharif
tersenyum penuh makna. “Tapi itu tidak bermakna yang aku akan mengalah semudah
itu. Kempen mesti adil!” ujarnya penuh yakin.
Iskandar
ketawa kecil. “Best men win, right?”
Zharif
turut ikut ketawa. “Absolutely right!”
“Assalamualaikum.”
Zharif
dan Iskandar serentak berpaling ke arah satu susuk tegap, berpakaian serba
hitam. Salam berbalasan.
Cikgu
Kamil tersenyum lebar.
********
Zharif
tekun memerhatikan beberapa lelaki termasuk Zafuan dan Iskandar sedang
melakukan tari silat didalam gelanggang silat. Dia mengesan ada yang
termengah-mengah setelah selesai melakukan satu set tari silat. Sejurus masuk
set yang kedua, ada yang otot peha dan lutut sudah bergegar. Dia mengalihkan
perhatian pada Cikgu Kamil yang turut melakukan tari yang sama. Dia benar-benar
kagum dengan guru silat separuh abad itu yang kelihatan tenang, sedikitpun nafasnya
tidak terganggu. Seketika dia berfikir. Apakah tari silat memerlukan stamina
yang tinggi?
Mata
Zharif beralih pada wajah gadis yang duduk tidak jauh daripada tempatnya duduk
di luar gelanggang. Dia kagum melihat Zawin dalam pakaian serba hitam
disebelahnya. Bengkung merah yang melilit pinggang gadis itu menyedarkannya
ilmu persilatan gadis itu cukup tinggi. Mindanya melayang pada hari
gadis itu mengunci nadi dilehernya semasa Zawin menyerang hendapnya. Rasa perit
dirasainya itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila. “Kenapa
Zawin tak sertai mereka?” soalnya lembut.
“Segan
la. Lagi pula, semua lelaki. Pesilat perempuan yang biasa berkumpul di sini
setiap tahun, tak ada pula,” sahut Zawin.
“Berapa
lama Zawin belajar silat? Bengkung merah tu rasanya nak dapat, makan tahun juga
kan?” Zharif cuba merisik perjalanan gadis itu dalam ilmu persilatan.
Zawin
mengangguk. “Zawin mula serius belajar silat semasa umur lapan tahun. Kira-kira
lapan tahun juga nak dapat bengkung merah ni. Dalam proses tu jangan kira lah
berapa banyak Zawin menangis. Latihan Silat Gayong memang keras. Tubuh
sakit-sakit dan lebam memang adatlah. Cikgu Kamil turunkan ilmu nafas melayu
untuk kurangkan kesan sakit apabila pukulan dan jurus kena pada tubuh.”
“Ilmu
nafas melayu?” Zharif menggaru bawah dagunya.
Zawin
mengangguk. “Semua pendekar melayu pasti akan diperturunkan ilmu nafas dan
pelbagai petua yang kesemuanya berkaitan dengan nafas. Silat terletak pada
kuda-kuda. Tapak kena kuat dan nafas memainkan peranan, baru tumbukan jadi padu.
Zharif kan ada belajar silat sebelum ni? Tak belajar ilmu nafas melayu?”
soalnya semula.
Zharif
menggeleng. “Tak. Arwah ayah ada turunkan ilmu Silat Kuntau Tekpi tapi semua
tu dah lama Zharif tinggalkan. Kalau ingat pun cuma buah dan keras. Ayah pernah
nasihat suruh Zharif cari guru belajar Silat Cekak dan Silat Sekeping Papan. Katanya
itu permainan Laksamana Armada Laut Kesultanan Melayu dulu. Hati dia rasa yang
Zharif akan jadi orang laut, berkelana di laut dan bekerja atas kapal. Tak
sangka betul gerak hati ayah.”
“Zharif
belajar tak dua silat tu?” soal Zawin.
Zharif
menggeleng. “Zharif lebih berminat dengan Muay Thai. Zharif percaya, tidak kira
seni bela diri apa yang kita belajar, tapi kalau memang kita pandai dan
kreatif, lawan sesiapa pun boleh menang. Apa yang penting tahu bila nak guna,
macam mana nak guna. Kalau belajar martial art paling power pun
tapi tak minat dan tak tahu guna pun tak guna.”
“Betul
tu,” sokong Zawin.
Buat
seketika, masing-masing terdiam. Mata masing-masing melayan persembahan tari
silat yang dimainkan. Alunan muzik gabungan serunai dan gendang memenuhi
segenap halaman rumah Cikgu Kamil.
“Bukan ke Arwah ayah Zharif...bangsa cina? Dia
minat dengan silat?” soal Zawin memecah suasana hening antara mereka. Jarang
sekali dia mendengar bangsa cina berminat dalam ilmu persilatan melayu.
“Ya,”
balas Zharif pantas. “Ayah memang minat dengan ilmu persilatan melayu. Ayah
pernah cerita mendiang Bruce Lee mati kerana terkena pukulan silat. Menurut
berita - berita dan sumber di Internet, media masa dan media cetak, beliau
meninggal kerana satu penyakit. Bila Zharif cari bukti daripada cerita ayah,
macam-macam versi ada. Lokasi perlawanan pun banyak versi. Ada yang kata
pesilat Indonesia, Dicky Zulkarnain yang tumpaskan Bruce Lee, ada pula yang
kata Zulkarnain dan ada yang kata Arwah Dato’ Meor. Akhirnya, Zharif buat
kesimpulan, perlawanan itu tidak pernah berlaku dan hanya mitos semata.”
“Masakan
tiada angin jika pokok bergoyang,” sampuk Zawin bersahaja.
Zharif
membundarkan matanya. “Zawin tahu sesuatu tentang mitos perlawanan tu?”
Zawin menghela
nafas dalam-dalam. “Kalau Zharif rasa itu mitos, teruskan percaya begitu.”
“Zawin
tahu kan?” Zharif menatap wajah Zawin dengan pandangan penuh mengharap.
Zawin
mengumam. “Generasi hari ini yang berkiblatkan Wikipedia dalam mencari
maklumat, sukar untuk mereka jumpa kebenaran dalam banyak perkara. Ramai
peminat Bruce Lee terutama kalangan bangsa melayu sendiri yang perlekehkan
kisah perlawanan Bruce Lee dengan Dato’ Meor. Ya la. Bruce Lee merupakan
seorang pengamal Kung fu yang begitu hebat. Namanya dihormati oleh
pengamal-pengamal Kung fu dan seni bela diri lain di seluruh dunia. Sebab itu orang
Melayu tidak percaya pada ilmu orang Melayu sendiri. Hari ini semakin ramai
anak melayu yang tidak tahu bersilat malah menjadikan silat adalah satu perkara
yang telah ditolak mentah-mentah didalam fikiran mereka. Anggapan mereka, silat
sudah menjadi sejarah sepertimana hilangnya sejarah Hang Tuah bersaudara.
Mereka tahu cakap sahaja sedangkan mereka tidak tahu banyak perkara,” luahnya
dalam kesal.
Zharif
terdiam. “Kalau kisah perlawanan Bruce Lee dan pesilat melayu itu benar,
mengapa tiada pencerahan daripada mana-mana pihak?” soalnya.
Zawin menggeleng. “Sejarah ditulis oleh mereka
yang menang,” ujarnya lalu melunjurkan kaki kanannya.
“Apa
maksudnya itu? Jeet Kun Do menang lawan dengan Silat ke?”
Zawin
mengumam. “Kenapa Bruce Lee diisytiharkan mati disebabkan penggunaan dadah yang
berlebihan? Kenapa dalam bedah siasat mayat, doktor kata ada satu kesan lebam
dirusuk kiri? Kenapa Bruce Lee bersungguh-sungguh mengkaji tentang Silat di
hari-hari terakhirnya sebelum beliau ditemui mati?”
Zharif
mengangkat kedua belah bahunya tanda tidak tahu.
“Persoalan
yang pernah menghantui Zawin sedikit masa dulu, mengapa Arwah Dato’ Meor
gunakan pukulan tangan Jurus Kipas Nandung kepada Bruce Lee. Itu adalah jurus kebatinan
tahap tertinggi dalam Silat Gayong. Biasanya, jurus itu digunakan pada lawan
yang menggunakan ilmu batin juga.”
Zharif
menelan liurnya. “Takkan lah Bruce Lee ada guna khadam?” soalnya tidak percaya.
Zawin mengembungkan kedua pipinya. “Apa pun
teruslah percaya cerita itu hanya mitos semata, ” putusnya akhirnya.
Zharif memincingkan
matanya memandang Zawin. Dia benar-benar geram bila gadis itu bermain tarik
tali dan tidak menjawab persoalannya dengan jelas. “Kenapa Silat terlalu
berahsia? Bukankah boleh menjadi fitnah bila tiada pencerahan sesuatu
persoalan?” soalnya tidak puas hati.
“Kadang-kadang
penyataan sesuatu rahsia itu boleh mendatangkan fitnah. Lebih-lebih lagi bila
diketahui orang-orang yang bukan ahlinya.” Zawin menyapu pasir pada kaki
seluarnya. Wajah tidak puas hati Zharif ditatap sejenak. “Kebenaran yang jelas
hari ini adalah Muay Thai dikenali diseluruh dunia. Tahniah. Pilihan yang
tepat,” pujinya.
Zharif
berdehem sekali. Dia malas mahu debatkan isu itu lagi. Pandangannya ditumpukan
ke tengah gelanggang. “Zharif pernah fikir, buat apa belajar silat dengan
tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Adakah salah Zharif fikir
begitu?”
Zawin
mencemberutkan mulutnya. Matanya memerhatikan langkah Iskandar disebelah
abangnya memainkan tari silat. “Tahu tak...lelaki paling kacak pada mata Zawin
berada dalam tiga situasi,” ujarnya.
“Apa?”
“Pertama,
apabila seorang lelaki memakai baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok.
Kedua, apabila lelaki menjadi imam dalam solat jemaah. Ketiga...” Zawin
tersenyum lebar, berpaling menatap wajah Zharif. “Apabila lelaki memainkan tari
silat,” sambung Zawin.
Zharif
terdiam. Dia menumpukan perhatian pada langkah tari yang dimainkan Daniel
Iskandar. “Semua situasi itu, Zawin pernah nampak dalam diri Iskandar. Tak
hairan Zawin sukar lupakan dia,” komennya selamba. Mungkin dia cemburu, namun
dia sedar doktor perubatan itu memang lelaki berkarisma. Lelaki itu mampu
menjadi imam solat berjemaah. Ya. Mungkin dia terlalu menghukum Daniel Iskandar
selama ini sehingga sukar melihat kebaikan lelaki itu.
Zawin
hanya mendiamkan diri. Tidak mahu mengiya atau menidakkan. Dia terus mengubah
topik perbualan. “Ramai yang berfikir tari silat atau bunga silat tidak relevan.
Silat Gayong antara silat yang menggunakan tari silat. Ini ialah Seni Silat. Gerakan
silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan
bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan-santun hatta dalam
bertempur sekalipun. Walaupun begitu, bila bergayong, tidak ada lagi tari dan
kelembutan tapi lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Lagi
pula Silat Gayong ada penamat yang mudah untuk mematikan lawan. Semasa
peristiwa 13 Mei 1969, Silat Gayong antara silat yang mempertahankan orang
melayu. Kerana itu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk
berperang.”
Zharif
mengangguk tanda faham.
“Anak-anak
muda yang ‘macho’ zaman sekarang sudah tidak minat belajar silat sebab kononnya
kena banyak belajar tari-tari dan gerak lenggoknya, nampak lembik dan tak
ganas. Mereka lebih gemar belajar seni bela diri yang nampak lebih ganas. Silap
besar jika mereka berfikir tari silat itu tidak ada guna,” hujah Zawin
bersungguh.
“Ada
rahsia di sebalik tari silat?” soal Zharif dalam tenang.
Zawin
tersenyum. “Apa pendapat Zharif?”
“Zharif
rasa...”
“Apa
yang Zharif rasa?” Zawin mengangkat keningnya.
“Ceritalah...”
Zharif menongkatkan tangannya dibawah dagu.
“Seperti
kalimah Silat Gayong, setiap gerak ada seni, setiap seni ada rahsia, setiap
rahsia atas rahsia, hanya yang bergerak dan digerak yang mengetahui erti
gerak,” balas Zawin.
“Terangkan...”
pinta Zharif.
Zawin
menegakkan jari telunjuk kanan dan menggoyangkan berulang kali dihadapan wajah
Zharif. “Rahsia hulubalang jangan dipecah,” balasnya ringkas.
Zharif
mengetap bibir bawahnya. Wajah gadis yang kelihatan selamba itu ditatap tajam.
“Ok. Kita buat tawaran. Kalau Zawin beritahu rahsia tari silat, Zharif akan beri
teras kayu Gemunggal.”
Mata
Zawin membulat luas. “Teras kayu Gemunggal? Zharif ada kayu tu? Macam mana
Zharif dapat?” soalnya bertubi-tubi.
Zharif
tersengih. “Pesilat jarang yang tak tahu khasiat kayu kayan hutan kan? Zharif
memang minat kumpul barang-barang yang dikatakan mistik tapi Zharif tak guna
pun. Ustaz Razak yang berikan Zharif teras kayu Gemunggal,” beritahunya.
Zawin melagakan gigi atas dan bawah
berulangkali. Dia tahu teras kayu itu banyak khasiatnya. Cikgu Kamil pernah
membuktikan khasiat kayu itu dengan membuat demonstrasi memasukkan tangan dalam
cuka getah. Wajah Zharif ditatap lama. Bukan sebarang orang dapat memiliki kayu
berharga itu. Siapa Zharif Zahir yang sebenarnya? Desis hatinya.
“Macam
mana?” Zharif masih sabar menanti keputusan gadis itu.
Zawin
menggelengkan kepalanya.
Wajah
Zharif bertukar riak kecewa.
“Zawin
tak nak kayu tu,” balas Zawin lambat-lambat.
“Kenapa?”
soal Zharif kehairanan.
Zawin
mengangkat kedua bahunya. Dia mengumam, memerhatikan pesilat-pesilat yang
bermandi peluh ditengah gelanggang. “Setiap beladiri mempunyai 'tari'
masing-masing seperti Tari Taici dalam Kung Fu. Tari dalam ilmu persilatan
boleh dikatakan sinonim, ibarat pokok dan buahnya. Apabila seorang pesilat mula
memainkan tari silat, dia dikatakan sedang bertari bukannya menari. Pandai
menari Tari Lilin, akan cantik mainan Tari Pedang Melayu. Pandai Tarian Zapin
Johor atau Joget Pahang akan tangkas dan lincah pergerakan langkah Silat. Tari
Inang pula melembutkan pergerakan. Tari silat bukan sekadar retorik tetapi
untuk menyembunyikan senjata. Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam
ketangkasan ada pukulan, dalam tarian terkandung seribu jurus.”
“Begitu...”
Kepala Zharif terangguk-angguk. Cuba menghadam susunan ayat tersirat itu
didalam minda. Melihat Zawin bangun, matanya terkebil-kebil seketika.
“Kita pergi sana,” arah Zawin lalu menapak ke
kawasan yang agak luas, tidak jauh dari kawasan gelanggang. Cahaya pelita cukup
untuk menerangi kawasan lapang itu. Apabila Zharif berdiri berhampiran
dengannya, Zawin mula memainkan tari silat.
Mulut
Zharif hampir terlopong melihat gerakan-gerakan penuh lembut tetapi tangkas
yang ditarikan gadis itu. Semakin lama, bunga silat yang dimainkan semakin
pantas.
Zawin
berhenti memainkan tari silat, mengelap peluh yang merinding didahi. Dia
bernafas sedikit kencang. “Ada apa-apa Zharif nampak semasa Zawin main bunga
silat tadi?”
Zharif menggeleng. “Tidak ada. Sama seperti
langkah pesilat-pesilat di gelanggang sana,” akuinya.
“Sungguh?”
Zawin menatap wajah lelaki itu bersulam senyuman sinis.
Zharif
mengangguk lagi.
Sekali
lagi Zawin memainkan bunga silat, kali ini lebih pantas. Apabila kedudukannya
semakin hampir dengan Zharif, tangannya tangkas menyerang leher Zharif.
Zharif
menahan nafas apabila merasa ada benda tajam sedang diacukan pada lehernya.
Halkumnya turun naik, jantungnya mengepam darah dengan lebih laju.
Zawin
menarik tangannya perlahan-lahan lalu mengunjukkan satu bilah tajam berbentuk
bulan sabit yang terletak dicelah tangannya. “Ini kerambit. Senjata paling
rahsia yang membunuh musuh dengan pantas. Terselindung dalam tarian silat yang
dimainkan. Saraf lutut dan leher lawan akan putus tanpa mereka sedar dengan
sekali serangan. Zawin harap Zharif tidak lagi memandang rendah pada tari silat.”
Zawin mengenyetkan mata kirinya lalu beredar pergi.
Zharif menghela
nafas dalam-dalam. “Tari silat ya?” bisiknya perlahan lalu menjatuhkan
pandangan ke tengah gelanggang. Zharif menyentuh perutnya yang tiba-tiba
berkeriut. Dia dapat merasakan gas-gas panas mula menari-nari dalam perut dan
bergerak ke dadanya. Dia terduduk disitu. Tangannya mengurut-ngurut perut, berharap
rasa sakit itu akan hilang.
“Anak-anak
gayong, tidak kira belajar dan bekerja di luar negara, bila dapat seruan
Gayoooong...Gayoooong...baliklah, kerana disaat itu tanah air memerlukan kita.
Sama-sama kita anak-anak Gayong bangun tentang musuh negara...” pesan Cikgu
Kamil sejurus sesi latihan berakhir.
“Kata bersahut, Gayong bersambut!”
sahut Zafuan dan disambut dengan suara-suara bertebaran bagaikan bunyi lebah.
Zawin tersenyum senang. Dia
menyedari pandangan Cikgu Kamil tidak setajam dulu kepada Iskandar. Baguslah
begitu. Desis hatinya.
“Jangan lupa baca Al-Fatihah, Qulhuwallah dan
Selawat sebanyak 70,000 kali. Itu amalan yang Dato’ Meor suruh kita lakukan.
Jangan tinggal langsung. Setiap satu 70,000. Pendinding untuk diri kita duduk
dalam ketiga-tiga itu. Kebaikan untuk diri kita pun duduk dalam ketiga-tiga tu.
Yang paling Allah kasihi dan Rasulullah paling sayang kerana kita selawat
banyak pada baginda. Selawat adalah amalan yang tiada hisab. Kalau solat dan
lain-lain amalan, Allah akan hisab, tetapi amalan selawat tembus sehingga
langit ketujuh. Bila kita selawat banyak pada Nabi Muhammad S.A.W, berkatlah
banyak pada diri kita,” pesan Cikgu Kamil lagi.
Usai
gelanggang silat ditutup dan semua bubar, Zawin melihat waktu pada jam
ditangannya. Hampir pukul 12 malam. Pandangannya tertumpu pada Zharif yang sedang berbual dengan Cikgu
Kamil. Sejurus Zharif beredar, Zawin terus menapak ke arah guru silat itu.
“Terima kasih cikgu. Insyallah, kita akan dapat berkumpul begini lagi tahun
hadapan,” ujarnya sambil tersenyum manis.
“Insyaallah,”
balas Cikgu Kamil. “Berapa lama Zawin kenal Zharif?” soalnya ingin tahu. Zawin mengerutkan keningnya. Dia sendiri
tidak pasti berapa lama dia mengenali Zharif. “Tidak lama mana pun cikgu.
Kenapa?”
“Zharif
bukan calang-calang orang,” beritahu Cikgu Kamil. “Zharif kidal tapi tangan
kanan dia kuat,” lanjutnya lagi.
Zawin
terpana. Jarang sekali dia mendengar Cikgu Kamil memuji sesiapa selama dia
mengenali guru silat itu. Dia berpaling menatap wajah Zharif yang sedang
berbual dengan Iskandar. Dua lelaki itu dilihatnya sudah boleh bergaul mesra.
Zawin memincingkan pandangan apabila menyedari wajah Zharif berubah keruh. Dahi
lelaki itu berkerut-kerut. Seolah-olah sedang menahan sakit. Kenapa dengan
Zharif? Desis hati Zawin.
********
“Lain
kali jangan nak gatal-gatal makan durian lagi,” bebel Zawin usai melihat lelaki
itu sudah mampu menarik nafas lega.
Zharif
yang tersandar lega di atas sofa cuma mampu tersengih. “Yang terlarang itulah
godaan,” balasnya selamba.
Zafuan
menahan senyum mendengar kata-kata Zharif. Keris Berlok Tujuh yang direndamkan
dalam air kelapa dikeluarkan lalu dilap perlahan-lahan.
Zawin
memincingkan pandangannya. “Kenapa tak beritahu pada Zawin yang Zharif tak
boleh makan durian?” soalnya tidak puas hati.
Zharif
mengumam seketika. “Dah lama tak makan durian. Ingat nak rasa sikit saja, tapi
durian goreng berbuka tadi memang menggoda sungguh. Tak sedar, terlebih
sudah...” terangnya bersulam senyum lebar.
Zawin
merengus. “Kalau jadi apa-apa kan susah,” bebel Zawin lagi.
“Kalau
tak terjadi apa-apa?” usik Zharif.
Zawin
menjeling geram. Keris Berlok Tujuh dicapai dari dalam bekas berisi air kelapa
lalu dihalakan ke wajah Zharif. “Kalau Zawin nampak Zharif makan durian lagi,
siap!”
Zafuan
ketawa kecil melihat telatah adiknya.
Zharif
terus mengangkat kedua belah tangannya ke atas. “Baiklah tuan puteri,” balasnya
dalam senyum nipis. Cawan kaca berisi air suam campuran madu asli dan serbuk
kayu manis diteguk lagi. Matanya merenung saki baki air itu. “Mana Zaf dapat
petua ni?” soalnya.
“Dari
arwah datuk,” balas Zafuan ringkas. “Campuran madu dan kayu manis boleh
melegakan sakit perut dan membersihkan perut dengan membebaskan angin-angin di
dalam perut. Kalau rasa terlebih makan dalam sehari, amalkan minum campuran
minuman ini juga. Kesannya, seolah-olah tak makan apa-apa,” terangnya
bersahaja.
“Sungguh?
Wah. Macam ni boleh la makan banyak-banyak!” ujar Zharif teruja.
Zafuan
tersenyum simpul. “Makan biar sederhana dan tidak melebih-lebih. Itu kan
pesan nabi kita. Perut mesti dijaga. Sakit angin, sakit urat saraf dan
sakit-sakit badan semuanya berpunca dari perut. Jagalah perut kerana perut kunci kesihatan,”
nasihatnya lagi.
“Ya
la. Betul tu.” Zharif akur dengan nasihat Zafuan lalu mengukir senyum segan. Matanya tekun memerhatikan tindakan Zafuan
yang sedang membakar kemenyan. Keris yang dilap tadi disapukan dengan kemenyan.
Zawin juga turut membuat tindakan yang sama pada keris ditangannya. Asap mula
bertebaran di ruang tamu itu. Dia hanya memerhatikan kelakuan dua adik beradik
itu sehingga keris-keris itu disapu dengan minyak.
“Hinanya
besi kerana karat. Tak begitu?” soal Zafuan tiba-tiba lalu menatap wajah
Zharif.
“Ha?”
Zharif sedkit terpinga. “Err...ya la kot,” balasnya lambat-lambat.
“Jadi
untuk menjaga keris daripada berkarat perlu ada penjagaan khusus seperti ini,”
terang Zafuan tanpa dipinta. Melihat Zharif mengangguk, dia menyambung. “Rendam
keris dalam air kelapa, air mengkudu atau air nenas adalah mengikut tradisi.
Kemudian disapukan kemenyan. Persepsi orang bila guna kemenyan, mesti kata nak
panggil jin. Padahal keris ni, kita tak nampak rongga-rongga besi. Kemenyan ni
berfungsi seperti lilin yang menutup rongga-rongga keris supaya keris lambat
karat.”
“Begitu
rupanya...” Zharif menyambut keris yang dihulurkan Zafuan kepadanya.
“Ini...keris berluk tujuh bukan?”
“Ya.
Keris berluk tujuh untuk bertikam dan melindungi diri manakala keris berluk
Sembilan adalah menunjukkan pangkat kebesaran seseorang,” terang Zafuan lagi.
Zharif
meneliti keris ditangannya itu dengan penuh minat. “Siapa yang buat keris
Zafuan ni?”
“Pakcik
Zulkarnain. Abang abah. Dia mewarisi seni buat keris daripada moyang kami.”
Zharif
membundarkan matanya. “Warisan keluarga?” soalnya bersungguh. Matanya sempat
mengerling Zawin yang tiba-tiba bangun, menyimpan kotak kayu berisi keris
kedalam almari kayu.
“Ya.
Pakcik Zulkarnain adalah generasi keempat yang warisi seni melayu lama ni.
Kenapa? Berminat? Kalau minat, mintalah Pakcik Zulkarnain buatkan satu keris
untuk Zharif,” saran Zafuan.
Zharif
tersenyum gembira. “Kalau ikutkan hati memang nak tapi jumpa pun tak pernah.”
“Kita
ke Kuala Kangsar la nanti. Pakcik Zulkarnain menetap dengan opah disana. Adik
beradik sebelah abah memang ramai. Sepuluh orang semuanya. Bermula dari
Zaharudin, Zahidi, Zulkarnain, Zuhri, Zulkefli, Zawawi, Zulfadli, Zainudin,
Zairi, dan akhir sekali Zikri. Semua legasi Z dari nama arwah datuk, Zainal
Abidin.”
Zharif
tergelak kecil mendengar cerita Zafuan. “Hebat! Dah la keturunan subur, legasi huruf
Z pula tu,” komennya selamba.
Zawin
tersenyum meleret mendengar kata-kata Zharif. Dia meletakkan pinggan berisi
enam biji buah tomato di atas meja kayu. Dia mengunyah sebiji tomato dengan
penuh selera.
“Tapi
sepupu-sepupu kami tak teruskan legasi Z. Macam anak-anak pakcik Zikri, tiga-tiga
anak dia huruf D, Danila, Damien dan Dallen. Pakcik Zikri kahwin dengan wanita
inggeris. Pakcik Zahidi kahwin dengan wanita Jepun. Pakcik Zuhri kahwin dengan wanita
Kelantan. Pakcik Zaharudin dapat anak mami Pulau Pinang, pakcik Zulkarnain
dapat orang Pahang, Pakcik Zairi pula dapat orang negeri Sembilan. Yang
lain-lain dapat orang Perak. Sesekali berkumpul ramai-ramai, memang tak kering
gusi. Macam-macam loghat keluar,” cerita Zafuan bersungguh.
“Meriah
tu. Untungnya saudara mara ramai,” ujar Zharif teruja.
“Tempat
Zharif tak meriah? Zharif beraya dimana saja selama ni?” celah Zawin tiba-tiba.
“Sebelum
arwah ayah dan ibu meninggal, kerap beraya di Pattani. Selepas mereka
meninggal, sambut raya banyak di luar negara lebih-lebih lagi bila nenek dan
atuk sebelah emak dah meninggal. Nenek sebelah abah masih dengan agama nenek
moyang. Jadi memang tidak ada sebab untuk balik beraya di Kedah. Raya memang
kurang meriah tanpa orang tua. Untunglah kamu berdua masih punya orang tua
apatah lagi nenek,” ujar Zharif bersulam senyum lebar.
Zafuan
dan Zawin sama-sama terdiam.
Zafuan
mencapai sebiji tomato diatas meja lalu mengunyah perlahan.
Zharif
mengerutkan dahi melihat dua beradik itu makan buah tomato mentah-mentah. “Sedap
ke?”
Zawin
mengangguk. “Masam-masam manis. Cubalah,” sarannya.
Zharif
menelan liurnya apabila lidahnya serta merta terasa masam biarpun buah itu
belum masuk kemulutnya lagi. Melihat Zafuan yang makan buah tomato seperti
makan buah epal, dia tidak teragak-agak mencapai buah tomato lalu mengunyah
perlahan. Sebaik masuk ke dalam mulut, dahinya berkerut menahan masam. Dia
terus berlari ke arah dapur lalu memuntahkan semula isi tomato ke dalam singki.
Zafuan
dan Zawin tergelak besar melihat telatah Zharif.
Zawin
mencapai kad raya dibawah meja yang diberikan Iskandar sebelum bertolak pulang
selepas latihan silat.
Selamat
Hari Raya my kidney.May Allah blessing you and your family. From your lover,
Daniel Iskandar.
Zawin
tersengih membaca tulisan pada kad raya sederhana besar itu. Nada lagu raya
yang berbunyi sebaik membuka kad raya itu kedengaran lucu pada pendengarannya.
“Zawin,
kita beraya di Kuala Kangsar tahun ni ya?” Zafuan bersuara tiba-tiba.
Zawin
berdehem sekali.
“Opah
telefon petang tadi. Opah harap sangat kita beraya di Kuala Kangsar tahun ni.
Mak dan abang dah setuju. Kasihan orang tua tu. Abah yang buat hal, takkan la
kita nak menjauhkan diri daripada opah juga. Dah bertahun Zawin tak beraya
disana. Zawin faham kan maksud abang?” pujuk Zafuan lembut.
Zawin
tunduk menatap permaidani dikakinya. Dia tahu jika hatinya masih berkeras untuk
tidak mahu menerima perlawaan itu, tidak ada gunanya erti ibadah puasa yang
telah dijalaninya hampir sebulan itu. Lagi pula mendengar kata-kata Zharif sebentar
tadi memberikan dia sejuta keinsafan. Dia tidak mahu terlepas nikmat beraya
sementara orang tua masih ada. “Bila nak bertolak ke sana?” soalnya kembali.
Zafuan
tersenyum senang. Kepala Zawin digosoknya lembut. “Lepas Zuhur. Semua dah
berkumpul disana. Mesti meriah sangat!” ujarnya dengan teruja. Sejak nenek di
sebelah ibunya meninggal dua tahun lalu, hari raya memang terasa kurang meriah.
Zawin
tersenyum lebar. Tidak kurang apa pun jika dia mengalah kali ini. Sudah lama
dia tidak berjumpa dengan sepupu-sepupu dan saudara mara sebelah ayahnya.
Ikatan silaturahim harus disemai kembali.
Zharif
membuat muka selamba sewaktu kembali dari dapur. Dia menghirup air coklat suam
dengan penuh nikmat. “Ahh...lega...” Zharif tersandar kelegaan. Rasa masam dalam
mulutnya perlahan-lahan hilang.
Zafuan
tergelak kecil. “Nanti nak beri Zharif cuba minum air tongkat ali. Mesti
terangkat punya la,” usiknya.
Zharif
menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. “Zharif tak boleh masuk dengan rasa
pahit dan masam. Nanti mesti muntah balik,” beritahunya.
”La.
Pahit kan ubat,” tegur Zawin.
“Manis
itu ubat!” balas Zharif dengan penuh yakin.
Zawin
memincingkan matanya, merenung tajam wajah Zharif. “Bakal diebetes tahap lapan
ni!”
Zharif
ketawa mengekek lalu mengembungkan kedua pipinya. “Ya la. Siapalah kita ni pada
dia. Hanya doa-doa yang buruk saja untuk kita.”
“Oh, kesiannya. Nah! Makan tomato. Elok untuk
hati yang dukacita,” perli Zawin lalu menghulurkan sebiji tomato.
Zharif
memuncungkan bibirnya. “Sampai hati,” ujarnya lalu mempamerkan raut wajah
sedih.
Zafuan
tersengih. “Zharif, Esok lepas Zuhur, kita bertolak ke Kuala Kangsar,”
beritahunya.
“Ok.”
Zharif menatap jam didinding. Sudah hampir pukul dua pagi. Matanya dialihkan
pada wajah Zawin dan Zafuan bersilih ganti. Dia memang kagum dengan kulit
mereka. Putih kemerahan tanpa cela. Dia menelan liur melihat Zafuan makan
tomato merah dengan penuh selera. “Macam mana Zaf boleh makan tomato mentah?”
soalnya.
“Opah
yang biasakan kami makan. Zharif kena bersedia dan bertahan di sana nanti,”
pesan Zafuan tiba-tiba. Bahu Zharif digosok-gosoknya.
“Kenapa?”
Zharif menggaru kepalanya yang tidak gatal.
BAB 43
“Ulam pegaga bagus untuk awet muda. Tomato ni
bagus untuk kulit muka. Makan ni, Zharif,” saran Opah Orkid lalu meletakkan
ulam-ulaman didalam pinggan lelaki muda itu.
Zawin
dan Zafuan saling bersabung pandang dan tersenyum nakal.
Zawin
menahan senyum melihat dahi Zharif yang berkerut sebaik Opah berpaling
mengambil lauk didalam talam. Lelaki itu dilihatnya selalu bermanis wajah melayan
karenah opahnya sebaik diperkenalkan. Menyedari mata Zharif terarah padanya,
dia membuat isyarat supaya Zharif meneruskan makan. Sempat matanya dikenyitkan
bersulam senyum nakal.
Zharif
mencemberutkan bibirnya. Apa la Zawin ni, bukan nak tolong! Jerit hatinya.Ini
rupanya maksud kata-kata Zafuan sebelum ini. Tak apalah. Bertahan sahaja. Pujuk
hatinya. Nasi bergaul ulam yang telah dicicah sambal belacan, dimasukkan
kedalam mulut.
“Sedap
tak?” soal Opah Orkid. Wajah anak muda itu ditatap lama. Suka benar dia
menatap seraut wajah kacak itu. Tidak jemu
dipandang.
Zharif
memaksa bibirnya untuk tersenyum biarpun rasa pahit ulam-ulaman membuatkannya
terasa ingin muntah. Nak tak nak terus ditelannya begitu saja. Dia hanya pasrah
apabila Opah Orkid terus meletakkan pelbagai ulam-ulaman didalam pinggannya. Wanita
berusia awal 80-an itu turut meletakkan ulam-ulaman dalam pinggan cucu-cucu
lain. Makan bersila diatas tikar mengkuang beramai-ramai mengelilingi talam yang
berisi lauk pauk pengalaman baru baginya. Matanya dikalihkan pada Zawin yang
kelihatan selesa menikmati pelbagai jenis ulaman. Padanlah Zawin kata dia tak
takut dengan pahit. Desis hatinya.
“Makan
kunyit hidup ni. Baik untuk badan. Kalau ada kanser, insyaallah boleh sembuh.
Otak lambat nyanyuk. Makan kunyit biar sederhana saja. Kalau makan berlebihan,
cepat putus haid.” Opah Orkid bersuara lagi sambil meletakkan kunyit hidup
dalam pinggan Zawin.
Kening
Zharif terangkat melihat Zawin selamba mengunyah kunyit hidup ke dalam mulut. Mata
Zharif melirik wajah Opah Orkid. Dia terpegun setiapkali memandang wajah wanita
itu yang bersih berseri-seri dan tampak cantik walaupun dalam usia emas. Menurut
Zafuan, wanita bekas bidan istana itu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik
dan masih kuat membuat kerja-kerja kampung. Apa rahsia awet muda wanita itu?
Adakah dengan makan ulam-ulaman sahaja? Hatinya berteka-teki.
“Diana,
mengapa muka kamu ada jerawat? Kamilia pun sama. Tak amalkan petua opah bagi
ke?” Opah Orkid menegur cucu-cucunya.
“Ala
Opah. Jerawat ni kan pemanis wajah,” balas Diana.
“Manis
kamu kata? Kalau sebiji dua memang la manis. Ini penuh satu muka. Cuba tengok
muka Zawin. Kulit muka dia bagaikan telur yang dikupas.”
Zharif
tersengih. Memang dia akui kulit muka gadis itu sangat cantik, gebu dan halus
licin. Sama seperti telur masak rebus yang telah dikupas kulit.
Zawin terasa wajahnya kebas apabila
menyedari banyak mata yang sedang memerhatikan wajahnya.
“Betul lah,” sokong Kamilia. “Kita
semua di sini tak boleh lawan kegebuan kulit Kak Zawin. Dahlah pipi warna pink.
Macam anak orang putih. Kulit Danila, Dallen dan Damien pun tak secantik
kulit kak Zawin. Apa rahsia Kak Zawin? Produk apa Kak Zawin pakai?” soalnya
ingin tahu.
”Tak pakai apa-apa produk. Amalkan
petua opah. Itu sahaja,” balas Zawin ringkas.
“Petua apa tu Kak Zawin?” soal Diana
pula.
“Akak pun ada masalah kulit muka
juga dulu. Akak ikut petua opah supaya basuh muka dengan air basuhan beras dan letak masker campuran tomato dan putih telur dimuka. Selain
tu minum jus pegaga sekerap mungkin. Bila akak amalkan petua opah, jerawat
beransur-ansur kering dan parut beransur-ansur hilang. Benda ni ambil masa,
kena buat selalu. Bila dah sebati dengan kulit, parut diwajah perlahan-lahan hilang, kulit jadi halus sangat dan jerawat tak
tumbuh lagi. Paling terbaik, kulit jadi tegang dan gebu macam kulit bayi,”
terang Zawin panjang lebar. Hirisan tomato dimasukkan ke dalam mulut, mengunyah
perlahan-lahan.
“La...itu saja ke?” Mulut Karmila
terlopong. Matanya bersabung pandang dengan Diana. Opah Orkid tersenyum meleret melihat hirisan-hirisan buah tomato
menjadi rebutan anak cucunya. “Petua-petua orang tua jangan dipandang enteng.
Selagi boleh jangan guna produk-produk yang berasaskan kimia sebab tidak elok
untuk kesan jangka masa yang panjang. Kulit
kita akan cepat nampak tua dan rosak,” pesannya lagi.
Zulkarnain yang memerhati sejak tadi ikut menyampuk.
“Generasi baru sekarang tidak mahu
amalkan petua-petua orang tua kerana merasakan kuno, tidak relevan lagi dengan
zaman moden. Kita ni, setinggi melangit sekalipun pelajaran, sebaik-baiknya
petua orang tua-tua jangan dilupakan. Jika
ilmu merupakan sesuatu yang terpahat, tersurat dan terluah, maka petua itu pula
tersimpan, tersirat dan terdiam. Ilmu itu mudah dipelajari, tetapi tanpa petua,
ia hanya menjadi ulangan pada lidah dan minda. Belajarlah ilmu, tapi tuntutlah
petua. Biarlah ilmu menjadi kenangan, tetapi petua menjadi pegangan,”
nasihatnya bersungguh.
Opah Orkid menyokong pendapat anak
keduanya itu. “Bila kita tidak lupa asal usul budaya, petua nenek moyang kita
sendiri, kita akan selamat dalam hidup,” tambah Opah.
“Mak Long
tercekik tulang!” laung Daniel sambil menepuk-nepuk belakang badan ibu
saudaranya.
Zharif
membundarkan matanya melihat seorang wanita dalam jubah hitam sedang
terbatuk-batuk. Sebelah tangan kirinya penuh dengan gelang emas sementara
tangan kanannya masih terdapat sisa-sisa nasi. Dia hanya menjadi pemerhati
apabila ramai yang mula mengerumuni wanita asal dari Pulau Pinang itu.
Macam-macam petua yang disarankan bermula dari makan nasi kepal sehinggalah
makan pisang tetapi tidak berhasil.
Zafuan
menggelengkan kepalanya, membasuh tangan dan mendekati ibu saudaranya itu. “Mak
Long, angkat kedua-dua tangan ke atas,” arahnya serius.
Mak
Long mengangkat tangannya dengan susah payah.
“Tangan
Mak Long dua-dua kena lurus!" arah Zafuan lagi.
Zawin menutup mulutnya menahan tawa melihat
situasi itu.
“Sebut
kuat-kuat Mak Long. Superman Return!!” Zafuan turut meluruskan kedua
tangannya ke atas.
Tawa
dan hilai serentak bergema dan memenuhi ruang tamu rumah kayu itu. Nasi
berhembur-hembur di sana sini.
Mak
Long juga ketawa sehingga tulang yang
tercekik itu terkeluar dari mulutnya.
Air
suam tersembur keluar dari mulut Zharif. Dia ketawa besar sambil menepuk-nepuk
lantai. “Zafuan memang sengal!” getusnya dalam batuk kecil.
Zawin
ketawa bersungguh. Apabila menyedari ayahnya sedang memandangnya, mendadak
tawanya mati.
Opah
Orkid benar-benar bersyukur dengan berkumpulnya semua anak cucu. Wajah arwah
suaminya banyak tumpah pada wajah Dato’ Zawawi dan kemudian turun pada wajah
Zafuan. Biarpun masing-masing hampir sama dari segi fizikal, namun air wajah
mereka amat berbeza. Air
wajah Zafuan begitu bening, bersih, teduh dan bercahaya manakala air wajah
Dato’ Zawawi pula kusam, gelap dan tiada nur. Dia sangat bersyukur apabila
impian suaminya untuk melihat seorang penghafaz Al-Quran dalam keluarga
tercapai sebelum menutup mata buat selamanya. Namun pada masa yang sama dia
terkilan melihat anak keenamnya itu tersasar jauh daripada landasan agama.
Wajah Dahlia dan Zawin ditatap silih berganti. Onar yang dilakukan anaknya
kepada mereka, pasti sukar untuk dilupakan apatah lagi melihat reaksi dingin
Zawin melayan Zawawi.
Usai
solat terawih berjemaah di rumah, Zulkarnain menyandarkan belakang badannya
pada dinding rumah. Wajah Zawawi disisi
ditatap lama.
“Kenapa
pandang andak macam tu?” soal Dato’ Zawawi apabila ekor matanya menangkap
pandangan tajam abangnya itu. Puntung rokok disedut dalam-dalam.
“Arwah
abah kan pernah pesan pada kita semua. Jangan ada perokok dalam generasi
keluarga kita. Alang tengok, andak dah jauh tersasar. Semua larangan yang arwah
abah pernah sebut, itu yang angah buat. Alang tak benci andak, kami semua tak pernah
pun benci andak, tapi kami minta andak fikir la dalam-dalam. Berapa lama andak
nak terlibat dalam kekufuran? Mati ni bila-bila masa sahaja andak.” Zulkarnain
memulakan bicara penuh nasihat dengan nada lembut.
“Kubur
lain-lain,” balas Zawawi selamba. Dia bosan dengan nasihat-nasihat yang
diberikan kepadanya. Seolah-olah dia telah melakukan dosa membunuh pula.
Zulkarnain
menggelengkan kepalanya dalam kesal. “Andak fikirlah dalam-dalam. Alang hanya
jalankan tanggungjawab sahaja, selebihnya akal andak itu yang akan
menimbangtara baik buruk segala tindakan,” ujarnya lalu menepuk peha adiknya
itu. Dia bangun, menapak ke dapur dan meneguk air sejuk perlahan-lahan. Hati
lelaki bernama Zawawi itu bagaikan telah ditutup untuk menerima hidayah. Zawawi
itu ertinya himpunan kebaikan. Dimanakah himpunan-himpunan kebaikan yang
dimiliki adiknya dahulu? Ayahnya pernah berkata bahawa jika seseorang sudah
mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak
akan pernah berubah hingga datang kematiannya. Jika perangai buruk lelaki itu
berterusan sehingga ajal menjemput, pasti perit kehidupan dialam sana.
“Jauh
termenung,” tegur Zafuan usai melabuhkan punggung menghadap ayah saudaranya
itu. Lelaki pertengahan 50-an dalam baju melayu hitam teluk belanga itu
kelihatan muda daripada usia sebenar.
Zulkarnain
tersenyum tawar. “Mana kawan kamu tu?” soalnya. Kepalanya terjegah ke sana
kemari mencari kelibat Zharif.
“Di
ruang tamu, tolong Opah pasang langsir. Suka benar Pak Lang dengan Zharif ya?” usik
Zafuan.
Zulkarnain
menatap wajah jernih dihadapannya itu. “Anak Pak Lang lima-lima perempuan. Bila
kenal Zharif, terasa bagai anak lelaki sendiri. Lagi pula kata Zharif, nama Pak
Lang sama dengan nama arwah ayah dia. Pak Lang nampak...Zharif berminat benar dengan
seni pembuatan keris. Sejak kecil, hanya Zaf sahaja yang minat nak belajar buat
keris daripada ramai-ramai anak saudara Pak Lang. Pak Lang nak turunkan seni ni
pada Zaf dan rasanya sekarang waktu paling tepat. Apa pendapat Zaf?” soalnya
tenang.
Zafuan
dilanda teruja. “Pucuk dicita ulam mendatang. Memang dah lama Zaf bersedia nak
belajar buat keris. Boleh ajar Zharif sekali.”
“Zawin
nak belajar buat keris juga,” sampuk Zawin yang tiba-tiba muncul didapur. Dia
mengambil tempat disebelah Zafuan.
Zulkarnain
tersenyum senang. “Boleh sangat. Tapi Zawin tak boleh sombong lagi.”
“Sombong?
Kenapa cakap Zawin sombong?” Wajah Zawin berubah sayu.
“Ya la.
Berapa kali jumpa Pak Lang dalam setahun? Kalau bukan Pak Lang yang datang
rumah Zawin, memang tak jumpalah kita.”
Zawin
memuncungkan bibirnya. “Boleh tak kalau Zawin beri alasan yang Zawin sibuk?”
Zukkarnain
tergelak kecil. “Ya la. Alasan diterima. Ni Pak Lang nak tanya satu benda pada
Zawin.”
“Apa
dia?” Zawin mencapai kuih tat nenas didalam balang kuih.
“Zawin
dengan Zharif ada apa-apa ke?” soal Zulkarnain ingin tahu.
Zawin
terdiam. Wajah abangnya dipandang sejenak. Pandangan redup abangnya itu sukar
ditafsirkan akalnya. “Kenapa Pak Lang cakap macam tu?” soalnya semula.
Zulkarnain
tersenyum penuh makna. “Kalau tak ada apa-apa, Pak Lang ingat nak jodohkan
Zharif dengan Zulaikha. Pak Lang berkenan benar dengan Zharif tu,” beritahunya
bersungguh.
Zawin
mengangguk. Sepupunya Zulaikha itu memang sudah cukup matang untuk berkahwin.“Begitu
rupanya. Cubalah tanya Zharif sendiri. Kalau jodoh tak kemana kan?”
Zafuan
mengangkat keningnya berulang kali memandang Zawin. “Ya ke?” usiknya.
Zawin
menjelirkan lidah kepada Zafuan.
Zulkarnain
tersenyum lagi. “Pak Lang ingat nak ajar Zharif main silat. Budak tu nampak
macam biasa, tapi pegang pada tapak tangan dia, memang ada potensi terima
banyak ilmu tinggi. Tangan kanan dia kuat walaupun dia kidal.”
Zawin
mengerutkan keningnya. Kata-kata itu sama dengan kata-kata Cikgu Kamil.
Zharif
muncul di pintu dapur dengan wajah letih. Memang betul kata Zafuan. Opah Orkid
memang suka mengujinya. Macam-macam kerja yang dibebankan kepadanya. Dia
menyambut cawan berisi air yang dihulurkan Zafuan. Sejurus mengangkat wajah,
dia terpana apabila mengesan enam pasang mata sedang menatapnya. “Err...ada
perbincangan yang serius ke? Zharif ganggu ke?” soalnya dalam rasa bersalah.
Zafuan
pantas menggeleng. “Tidak la. Seronok berkawan dengan Opah?” usiknya.
Zharif
tergelak. “Seronok sangat. Opah memang terbaik...” Zharif mengacukan ibu jari
kanannya.
Zulkarnain
tersenyum nipis. Tangan kanan Zharif dicapainya lalu ditelitinya. “Kamu
ni...tapak tangan besar, jari-jari panjang. Jangan aniaya orang dengan kelebihan
diri. Bukan semua orang ada kelebihan ini. Jangan simpan dendam. Orang
buat kita tak apa, jangan kita yang buat orang,” pesannya serius lagak seorang
ayah kepada anak.
Zharif
menelan liurnya. Kepalanya dianggukkan beberapa kali. Biarpun dia rasa selesa
dengan lelaki tua itu namun rasa gerun sejak saat pertama bertentang mata tidak
pernah hilang. Lebih-lebih lagi apabila Zafuan memberitahu lelaki itu merupakan
ahli Tariqat al-Shazilliah yang menambahkan rasa berdebarnya. Setiap pandangan
lelaki itu bagaikan menelanjangkan dirinya.
“Ini
cincin apa?” soal Zulkarnain melihat cincin yang dipakai Zharif.
“Cincin
teras kayu keluak,” balas Zharif.
“Wah...”
Zullkarnain menunjukkan rasa kagumnya. “Peminat barang-barang mistik?” soalnya.
Zharif
mengangguk. “Pengamal Tomoi memang guna teras kayu ini untuk tahan sakit bila
dipukul dalam gelanggang. Biasanya diikat dipinggang. Dibuat cincin atau gelang
untuk ketahanan kulit dan kebal,” terangnya tanpa dipinta.
Zawin
menatap wajah Zharif. Tak hairanlah Zharif ada kayu Gemunggal dalam
simpanannya. Desis hatinya.
Zulkarnain
tersenyum lebar. Cincin ditangannya ditanggalkan lalu diberikan kepada Zharif.
“Ambillah. Ini teras kayu Arash.”
Zharif
membundarkan matanya. “Kayu Arash?” Sudah lama dia mencari kayu berkualiti itu
namun tidak pernah berhasil menjumpainya. Dia pernah mendengar cerita antara
sebab masjid di Acheh tidak dihempas ombak Tsunami adalah kerana rangka bumbung
masjid itu diperbuat dari kayu Arash. Malah, istana nabi Sulaiman juga dibina
menggunakan kayu Arash. “Sungguh nak beri pada Zharif?” soalnya lagi meminta
pengesahan.
“Ya.
Ambillah. Zafuan dan Zawin pun Pak Lang ada berikan pada mereka. Rezeki Zharif pula
kali ni.”
“Terima
kasih. Memang Zharif sedang cari kayu ni. Tak sangka betul.” Zharif
menggelengkan kepalanya dalam teruja. Kayu berwarna coklat yang diikat kemas
dalam cincin silver itu direnung dalam-dalam. Apabila terkena cahaya, warna
kuning muncul ditengah-tengah kayu. Cantiknya. Maha suci Allah. Pujinya dalam
hati.
“Jom
ke bawah. Masak rendang tok dan dodol sama-sama,”
arah Opah Orkid yang muncul dimuka pintu dapur.
Masing-masing
akur dan turun ke tingkat bawah rumah kayu dua tingkat itu.
Zharif
terkagum-kagum sendiri. Cahaya pelita, lampu kerlip-kerlip dan lampu
kalimantang menerangi kawasan halaman rumah kayu setinggi dua tingkat itu. Jika
dulu mulutnya pernah terlopong melihat senibina Rumah Serambi Pahang di
kampung Anas, perkara yang sama terjadi sewaktu pertama kali menjejakkan kaki
dihadapan rumah Kutai itu. Lama dia meneliti setiap inci rumah itu. Seni ukiran papan pator dengan teknik
tebuk tembus di bahagian cucuran atap seakan corak renda manakala ukiran lebah
bergantung di bucu atap sebagai kemasan dan pelengkap kepada ukiran kayu buton.
Rumah ini jelas tersendiri, unik dan menawan. Bisik hatinya.
“Zharif
memang minat ke rumah melayu jenis lama macam ni?” soal Zawin. Dia sedikit
hairan melihat Zharif menunjukkan minat luar biasa pada rumah Kutai itu. Tangannya
lincah mengacau dodol dalam kawah sambil ekor matanya memerhatikan wajah
Zharif.
“Entah
kenapa, Zharif tertarik dengan senibina Melayu yang terdapat ukiran seperti
lidah terjulur keluar dari setiap sudut bumbung rumah. Rasanya, binaan sebegini
banyak terdapat di Perak. Kalau tengok tebar layarnya yang besar ada ciri-ciri
rumah adat Aceh,” komen Zharif.
Zawin
turut menyeluruhi rumah warisan keluarga itu. “Rumah Kutai sebenar yang masih
didiami di seluruh Perak tinggal tak banyak lagi. Ada antaranya masih elok
terjaga dan cantik, manakala sesetengahnya telah ditinggalkan tidak
berpenghuni,” beritahunya.
“Rumah
Kutai ni sama seperti rumah di Aceh dan Makasar yang terletak dalam lingkungan
dunia Bugis. Zawin dari keturunan Bugis ke Aceh?” soalnya.
“Menurut
sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak. Arwah nenek moyang dulu memang
Bugis,” cerita Zawin. Dayungan tangannya terasa semakin berat apabila kuih
dodol itu semakin likat.
Zharif
mengambil pendayung dari tangan Zawin dan menyambung mengacau dodol yang hampir
masak itu. “Zawin pastinya bukan dari kuturunan sebarangan kan?” soalnya.
Zawin
menyeka peluh didahi. “Kenapa? Ada keraguan?” soalnya kembali.
Zharif
mengangguk bersungguh. “Pak Lang Zulkarnain warisi seni membuat keris. Opah
pula bekas bidan istana. Arwah datuk Zawin, guru Silat Gayong dan guru agama di
Kuala Kangsar. Rasanya, keturunan Zawin ada susur galur pahlawan dan pendita
Bugis. Kan?” tebaknya.
Zawin
terdiam. “Arwah datuk pernah berpesan. Hanya dengan ilmu dan budi pekerti kita
akan meraih kemuliaan, maka, jangan berbangga dengan keturunan dan sentiasa
bersikap merendah diri,” balasnya bersahaja.
Zharif tersenyum
lebar. Semakin dalam dia mengenali Zawin, semakin dia jatuh cinta. “Tadi antara
waktu maghrib dan isyak, Pak Lang ada suruh Zawin dan Zafuan baca surah
Al-Waqiah tanpa melihat lembaran Al-Quran. Terus terang Zharif kagum. Makna
surah itu pun Zawin hafal. Pasti surah itu istimewa pada Zawin bukan?”
Zawin
tersengih. “Zharif memang Detective Conan kan? Si Mr. Hata yang banyak
tanya.”
Zharif
tergelak kecil. “Jika Zharif adalah Mr.Hata, Zawin tetap sahaja
Ms.Teruterubozu.”
Zawin tersengih. Matanya melirik
sisi wajah Zharif yang dipenuhi keringat. “Arwah datuk pernah pesan jika sibuk
sangat macam mana sekalipun dalam sehari, peruntukkanlah masa membaca surah
Al-Waqi’ah. Katanya, Al-Waqi’ah itu adalah rahsia dari Al-Quran untuk murah
rezeki, cari jodoh, dapat anak dan hilangkan sakit kepala. Ini pesan guru datuk
semasa menuntut ilmu di Mesir dulu dan arwah datuk turunkan pesan ini pada kami
semua pula,” ceritanya bersungguh.
Tangan Zharif berhenti mengacau
dodol. Dia menatap wajah gadis bertudung merah jambu itu sejenak.
“Kenapa?” soal Zawin kehairanan.
Zharif menggeleng dan meneruskan
kerjanya sehingga Zafuan datang mengambil alih pendayung.
Zawin mendekati kawah yang berisi
Rendang Tok yang sudah masak. Dia tersenyum manja sambil menghulurkan mangkuk
kecil kepada ibunya yang sedang mengaut rendang ke dalam periuk. Sejurus
mendapat rendang ayam yang telah lama diidamkannya, Zawin menuju ke arah pelantar
yang dibina dibawah pohon rambutan. “Fuh! Taste like heaven!” pujinya
bersungguh dalam keadaan mata terpejam dan mulut mengunyah.
“Nak rasa juga,” pinta Zharif. Dia
mengambil tempat tidak jauh daripada tempat Zawin duduk.
Zawin membuka matanya. Dia
menghulurkan mangkuk ditangan kepada Zharif.
“Dahsyat! Memang sedap! Best
rendang ever!” puji Zharif usai menikmati hidangan melayu tradisional negeri
Perak itu. Dia memasukkan satu sudu rendang ayam lagi ke dalam mulut.
“Zawin...terima kasih,” ucapnya dalam mulut penuh.
“Kenapa?”
“Mengenali Zawin banyak ajar Zharif
erti ilmu, pengalaman dan kasih sayang
dalam keluarga. Terima kasih banyak,” luah Zharif bersungguh.
“Sama-sama.” Zawin tersenyum manis.
“Malam akhir ramadhan memang rasa
sayu kan?” Zharif merenung langit malam yang cerah bertemankan bulan sabit yang
indah.
“Erm...” Zawin turut menjatuhkan pandangan ke
angkasa raya.
“Cerita Zawin tentang surah Al-Waqi’ah tadi,
ingatkan Zharif tentang arwah ayah,” beritahu Zharif.
“Ya? Ada kisah arwah ayah Zharif
dengan surah itu?” soal Zawin ingin tahu.
Zharif mengangguk. “Arwah ayah ada
didatangi seorang lelaki tua berjubah putih dan berjanggut panjang pada malam
ke 27 ramadhan sebelum memulakan perniagaan kapal. Orang tua itu berpesan
supaya arwah ayah amalkan membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari untuk murah
rezeki. Arwah ayah lakukan seperti yang dipesan dan rezeki datang tanpa
disangka. Maha suci Allah. Sungguh Al-Quran itu adalah mukjizat. Benar lah kata
nabi Muhammad S.A.W yang Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan. Arwah ayah pesan
pada Zharif baca surah Al-Waqi’ah sebanyak tiga kali selepas solat subuh dan
tiga kali selepas solat Isyak supaya menjadi orang yang kaya yang sentiasa
bersyukur,” ceritanya.
Zawin mengangguk beberapa kali.
“Terima kasih,” ucapnya pula.
“Kenapa?”
Zawin melagakan gigi atas dan gigi
bawah. “Saja,” balasnya ringkas.
Zharif memuncungkan bibirnya. “Baru
je ingat nak berikan puisi khas untuk Zawin.”
“Untuk Zawin? Zharif cipta puisi
untuk Zawin?” Zawin benar-benar teruja.
“Ya. Baru tadi Zharif tulis, tapi
nantilah Zharif bagi.”
“Terpulang,” sahut Zawin. Matanya dialihkan
pada bulan berbentuk sabit dilangit malam. “Ilmu Astronomi telah banyak yang
hilang dari khazanah Islam. Apa yang tinggal, ilmu falak Islam yang digunakan
apabila mahu melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh mula berpuasa dan hari
beraya berdasarkan perkiraan hisab dan rukyah,” ulasnya lalu menghela nafas
dalam-dalam.
Zharif mengangguk. “Ramai astronomi
islam seperti Nasir Al-Din dan Omar Kayyam yang ada balai cerapnya sendiri tapi
kini hanya tinggal bahan sejarah islam. Sufi Besar Syeikul Akbar Ibnul Arabi
menamakan langit itu kepada dua bahagian iaitu langit yang berbintang dan langit
yang tidak berbintang. Dalam kitab-kitab beliau ada menceritakan susunan
hirarki ciptaan falak-falak langit itu, serta perkaitannya dengan kita dan alam
semesta ini. Tidak dapat disangkal, orang islam adalah pelopor dalam ilmu
Astronomi, kemudian telah dipelopori pula oleh orang-orang barat.”
“Bagaimana pula dengan kajian zodiak
dua belas bintang?” soal Zawin.
Zharif tersenyum lebar. “Sarjana
Astronomi silam dan terkini membahagikan langit itu kepada dua bahagian.
Pertama, ruang langit yang mengandungi Fixed Stars dan kedua, Gugusan
Bintang-Bintang atau pun dalam bahasa Al-Qurannya disebutkan Al-Buruj. Maka
dari situlah terbitnya kajian dan ilmuan Zodiak atau Bintang 12, lalu diberikan
namanya Ilmu Astrologi atau Ilmu Falak. Oleh itu, setiap satu Bintang 12 itu
adalah bakat-bakat diperuntukkan bagi kita didunia ini. Maka sebab itulah
kenapa kita ada pelbagai perangai, ragam dan karenah.”
Zawin membetulkan lipatan tudungnya.
“Bagaimana pula peranan zodiak dalam membentuk watak-watak dan ragam yang pelbagai?”
“Terdapat sembilan buah planet yang
mempunyai pengaruh besar dalam penghidupan manusia dan setiap satunya telah
diperuntukkan vibrasi yang tertentu. Allah punya kuasa, tarikh dan masa
kelahiran seseorang merupakan petunjuk untuk mengetahui jenis sinaran dan vibrasi
planet-planet yang mempengaruhi personaliti, mencorakkan karekter dan biografi
sejarah kehidupan. Psikologi, pemikiran, sebab, emosi, cita-cita, suka, tidak
suka, kesihatan, kerjaya, dan sebagainya semuanya didominasi oleh vibrasi
tersebut. Zodiak mengikut susunan astrologer bemula dari zodiak Capricorn,
Aquarius, Pisces, Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio dan
Sagittarius. Kalau kita buat pemerhatian, boleh tersenyum sendiri kerana kita
dapat mengagak sikap dan perangai seseorang berdasarkan zodiak.”
Zawin ketawa halus. “Betul tu. Orang
yang lahir dalam zodiak Aries, maka wataknya aggressif dan dominen, kerana ruling
planet dalam Aries itu adalah planet Marikh. Berbeza pula mereka yang lahir
dalam zodiak Pisces kerana mereka agak passif dan sifatnya sentimental sebab ruling
planet adalah Neptune. Maka, begitulah juga seterusnya watak-watak dan
pengaruh-pengaruh yang dibawakan oleh zodiak-zodiak lain,” terang Zawin pula.
Zharif tersenyum nakal. “Ooo...tahu
tapi tanya lagi.”
Zawin tersenyum meleret. “Saja tanya
pendapat Zharif. Tapi yang pelik, orang islam sendiri yang menuduh ilmu
astrologi terutama kajian bintang dua belas sebagai ilmu syirik. Siap kaitkan
dengan hadis nabi yang kata belajar ilmu tilik atau tenung ni, solat tidak
diterima selama empat puluh hari. Mereka pertikai habis-habisan walhal mereka
sedang memperkatakan sesuatu yang mereka sendiri kurang arif,” komennya sambil
menggelengkan kepalanya.
Zharif mengangguk tanda setuju. “Tidak
dinafikan ramai yang prejudis tentang ilmu bintang 12. Mereka hanya tahu
mengutuk dan mengkritik tapi tidak sedar diri sendiripun banyak kekurangan. Bolehkah
kita pasti pemahaman kita tentang Islam itu benar-benar mengikut syariat? Sedangkan
sesama bijak pandai islam pun berlaku percanggahan sehingga timbul empat
mazhab. Ilmu bintang 12 ini sangat berguna untuk mempelajari tentang diri kita,
kekuatan, dan kelemahan kita supaya kita dapat mengawal dan memperbaiki diri.
Misalnya kita akan buka mata dan tahu akan keburukan diri yang membawa kesialan
dalam penghidupan kita,” hujahnya pula.
Zawin mengangguk, turut bersetuju
dengan hujah Zharif. Matanya menyeluruhi penampilan Zharif. Lelaki itu berbaju
melayu biru muda teluk belanga dipadankan dengan seluar jeans biru. Wajah
Zharif diteliti sungguh-sungguh. Dagu pemuda itu berlekuk, bibir itu cantik, berkening
lebat dengan hidung tinggi. Dia memang lelaki yang menawan. Desis hatinya.
“Kenapa Zawin renung Zharif macam
tu?” tegur Zharif. “Zawin dah jatuh cinta ke?” usiknya.
Zawin tersipu malu apabila ditegur
begitu. “Zharif lelaki Libra kan?”
“Apa pendapat Zawin?” Zharif menatap
tepat mata bening gadis itu.
Zawin mengumam, menyeluruhi wajah lelaki
itu lebih lama. “Zharif ada ciri-ciri lelaki Libra. Tampan, bijak dan ahli
perniagaan yang hebat. Najla pun rasa begitu.”
Zharif tersenyum penuh makna.
“Lelaki Libra tak sesuai ya dengan gadis Leo?”
“Entah. Tapi dari kajian satu juta
pasangan di Eropah, ramai perempuan Leo ada hubungan cinta yang lama dengan
lelaki Libra dan lelaki Aquarius. Lelaki Libra mungkin calon paling serasi
dengan gadis Leo.”
Zharif memanggung dagunya, menatap
lembut seraut wajah ayu itu. “Jika begitu, kenali Zharif dengan lebih dalam.
Fahami kata hati ini. Berilah peluang untuk Zharif bersaing dengan adil bersama
Iskandar. Mudah-mudahan Zawin akan tahu Mr.Hata yang mana berkongsi blue
moon dengan Teruterubozu.”
Zawin menahan nafasnya. Renungan lembut lelaki itu membuatkan dia hilang
kata-kata. Buat seketika, suasana riuh rendah dihalaman rumah opahnya itu
terasa fana. Dia hanya nampak lelaki dalam baju melayu biru muda teluk belanga
itu sahaja. “Kenapa Zharif rasa kita berkongsi Blue moon yang sama?”
soalnya ingin tahu.
“Sebab...” Zharif menarik
nafasnya dalam-dalam sebelum menyambung kata. “Zharif yakin Zawin adalah tulung
rusuk Zharif yang hilang.”
Zawin
terpana. Hampir sahaja mangkuk yang dipegangnya itu terlepas dari tangannya.
“Zharif benar-benar yakin?”
Zharif
mengangguk. “Tercipta Hawa dari tulang rusuk bengkok yang tugasnya adalah
melindungi Qalbu iaitu jantung dan hati nurani Adam. Zharif yakin Zawin adalah
penjaga hati nurani ini.” Zharif menyentuh dadanya dan menggosok perlahan
sambil matanya tepat memandang sepasang mata bening gadis itu. “Kalau la Zawin
tahu berapa banyak sayang Zharif pada Zawin dalam hati nurani ini, Zawin pasti
akan terus ajak Zharif kahwin hari ini juga.”
Zawin
tergelak kecil. Dia menggelengkan kepalanya. “Pandai Zharif bermain kata-kata,”
komennya. Dia tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata Zharif.
Zharif
mengembungkan kedua pipinya. “Sampai hati kata kita macam tu. Tak apa. Kalau
Zawin tak percaya, Zharif bagi luahan dalam bentuk puisi. Ok?”
Zawin
mengangkat kening kirinya.
Zharif
mengeluarkan sehelai kertas yang dilipat dari dalam saku baju melayu. “Fahamilah
hati nurani ini.” Zharif mengenyetkan mata kirinya usai Zawin menyambut kertas
itu. Sebaik menyedari Opah Orkid menggamitnya dari arah tangga rumah, Zharif
terus mengatur langkah.
Zawin
membuka lipatan kertas berwarna biru itu dalam rasa berdebar.
She gives me the vibe of a perfect Zaujah I keep
wishing for,
Starting from the way she dressed herself,
Up to the way she carried the radiance like no
other,
Her eyes are as beautiful as an angel,
Pairing with her lovely face,
Killing me every time I see it.
Her sweet sunny smile,
Always linger on my mind all the time,
It gave me strength as I need it,
Making me forgot, All of my miseries.
I wish I can be your friend,
No!
I wish I can be your boyfriend,
No!
I wish I can be your husband,
That way,
I can fall in love with you,
Numerous time.
Loving you so much,
Always and always.
Sincerely Loving you Eternally,
ZHARIF ZAHIR ZULKARNAIN
Bunyi
mercun mengejutkan Zawin daripada lamunan. Dia mendongak ke langit. Wajah
Iskandar dan Zharif muncul bersilih ganti pada dada langit. Jika mimpi sebelum
ini adalah petunjuk, mengapa Zharif tidak pernah berhenti berharap? Bagaimana
pula kalau dia tersilap memilih? Tuhan, aku tahu ilmu dan pengetahuan diriku
sangat terbatas malah nafsuku selalu membutakan akal. Hanya diriMu tempatku
mengadu dan meminta petunjuk.
******
“My kidney...apa
khabar kamu disana?” soal Iskandar sejurus panggilan disambung.
“Baik-baik
saja. Di mana ni?”
“Hospital
la. Ma di mana ni?”
“Dalam
kereta. Nak temankan Najla ke Ampang Puteri.”
“Ooo...hospital
swasta tu. Sakit apa?”
“Bukan
sakit la. Anas dah daftarkan Najla untuk bersalin disana. Jadi, Najla akan buat
pemeriksaan disana setiap bulan. Anas pergi outstation di Terengganu sebab tu
jadi pengganti Anas buat seketika,” terang Zawin.
“Ok.
Kirim salam dengan Najla.”
“Alright.
Sibuk ya sekarang Dr.Is?”
“Tiga
hari dah On call. Bosan. Letih. Mood libang-libung ni sayang,”
adu Iskandar.
“Kenapa
pula?”
“Tadi. Ada
pesakit lelaki, umur dalam 50 tahun. Dia masuk bilik, marah-marah sebab tunggu
lama. Masa tu nak saja cakap, kalau tak nak tunggu lama, pergi la hospital
swasta!”
“Kenapa
tak balas balik?”
“Ish,
mana boleh. Kena professional walaupun muka panas je masa tu. Lepas tu kan
ma...pakcik ni kutuk pa sampai rasa kembang tengkuk tahan makian dia. Dia kata
macam ni...doktor sekarang semua nak gaji beribu tapi kerja nak goyang kaki
saja!”
Zawin
tergelak. “Pakcik tu nak monopouse kot,” komennya.
Iskandar
tergelak besar. “Geram! Geram! Habis tadi keyboard komputer pa
tekan-tekan. Tapi walaupun muka panas, senyum kambing tetap terukir. Oh, apakah
erti hidup ini? Aku burung dalam sangkar, hidupku murung, hatiku
runsing...”
Zawin
ketawa mengekek. “Ooo...kasihan burung itu. Encik burung nak main teka-teki
tak?”
Iskandar
ketawa besar. “Ya la. Hamba ini burung yang hina dina. Apa teka-teki tu?”
“Ada
kalkulator tak kat sana? Kalkulator biasa pun ok.”
“Ada.
Jangan buat lawak A darab 10N tu pula. Sebab teka-teki tu, Pa jadi cuak dengan
pencuci AXION.”
Zawin
ketawa halus. “Ooo...beri kesan psikologi rupanya teka-teki ku selama ini. Ok.
Ini teka-teki baik punya. Tekan nombor berdasarkan nombor yang ada dalam cerita
ni. Ada seorang budak, berumur tujuh belas tahun. Budak ni sakit dalam lima
hari dan jumpa doktor tiga kali.”
“Ok.
Dapat 11753. Lagi?”
“Ha...bijak.
Kali pertama jumpa doktor, tak tahu penyakitnya, kedua kali pun tak tahu, bila
kali ketiga baru tahu penyakitnya. Apa penyakit budak itu?”
“Kiranya
tekan butang darab 1, darab 2 dan darab 3 la kan?”
“Ya.
Berapa jawapannya?”
“70518.
Ini ke jawapannya? Macam pelik je!”
“Ya.
Penyakit tu ada dalam nombor tu.” Zawin cuba meyakinkan.
“Mana
ada. Nak kenakan pa ke apa ni?”
“Cuba
baca terbalik jawapan tu,” saran Zawin. “Akan ada perkataan yang terbentuk.
Percayalah.”
“Bi..sol?
Bisol!” Iskandar ketawa terbahak-bahak sehingga keluar air matanya. “Melampau
punya penyakit bisol! Sampai tiga hari baru dapat detect!”
Zawin turut tergelak. “Mood
libang-libung lagi tak ni?”
“Tak
dah. Memang ma saja berjaya buat mood pa ok balik. Terima kasih untuk
itu. Pa nak makan ni. Lapar. Ma jangan lupa makan ya.”
“Ok.
Kalau jumpa pesakit kena bisol, sampaikan salam ma pada dia ya.”
Iskandar
tergelak lagi. “Sudah. Cukup-cukup sudah. Penat dah gelak ni. Ok sayang. Bye.
Assalamualaikum.
Zawin memasukkan telefon pintar ke
dalam tas tangannya. Dia mengeluh berat dan termenung panjang.
“Kenapa Zawin? Bukan selalunya kau
akan gembira ke bila Is telefon?” tegur Najla yang memandu disebelah Zawin.
Zawin berpaling memandang Najla. Dia
mengukir senyum tawar. “Semalam aku mimpi lagi kahwin dengan Is,” beritahunya.
“Bagus lah tu. Petanda baik. Jadi,
masalahnya apa?” soal Najla tidak faham.
“Entah. Aku rasa macam bersalah sangat pada
Zharif. Kalau aku tahu Iskandar dan aku akan kembali semula, memang aku tak
akan terima Zharif dulu.”
“Zharif tahu kau dan Is berbaik
semula?”
“Tahu. Zharif tak nak mengalah dan
bersedia bersaing dengan Is. Dia kata dia ada lagi sebulan untuk tempoh percubaan.
Sikap Zharif ni la buat aku jadi serba salah.”
Najla mengumam. “Apa kata hati kau?
Zharif atau Is?” Melihat Zawin membungkam begitu, dia tersenyum nakal. “Atau
kau nak pilih Fuad?”
Zawin membundarkan matanya lantas
ketawa besar. “Merepek saja. Tersedak Fuad tu nanti.” Bunyi nada dering Detektif
Conan berlagu nyaring. Zawin teragak-agak untuk menjawab panggilan itu.
“Jawab sahaja la,” saran Najla.
“Ya
Mr.Hata,” sahut Zawin usai panggilan dijawab.
“Ms.Teruterubozu.
Bosan ni. Semua nampak gelap disini. Perlukan matahari untuk menerangi. Datang
la sini. Bosan. Bosan. Bosan,” adu Zharif.
“Bosan?
Eh, eh. Robot pun reti bosan ke?” perli Zawin.
Zharif
tergelak kecil. “Sampai hati samakan kita dengan robot. Datangla sini. Di
bengkel kereta ni. Tunggu, punya tunggu dan tunggu si putih ni kena service.
Bawalah si kuning hitam tu sekali untuk service,” pujuknya lembut.
“Baru je
si kuning hitam itu kena service. Lagi pula keluar dengan kereta Najla
ni. Zawin temankan Najla buat pemeriksaan kandungan dia di hospital.”
“Datanglah eyes smile princess.
Suruh Najla hantar Zawin ke sini nanti.” Zharif tidak jemu memujuk.
“Ya. Zawin cuba. Ok. Wassalam.”
Najla berdehem sekali. “Beberapa
hari lalu aku terjumpa satu madah dalam sebuah buku. Kau mahu mendengarnya?”
“Ya. Katakan sahaja.”
“Jika kau jatuh cinta dengan dua
orang, pilih lah orang yang kedua kerana jika kau benar-benar mencintai yang
pertama, kau tak kan jatuh cinta dengan yang kedua.”
Zawin terkedu. Dia menelan liur
beberapa kali. “Kau menyindir aku, Najla?”
“Tidak. Aku hanya ingin berkongsi madah dengan
kau sahaja.”
Zawin termanggu sendiri. Sedar-sedar
kereta Honda City putih itu sudah memasuki perkarangan hospital.
BAB
44
“Sangat
setuju Anas daftarkan Najla ke hospital swasta. Kalau Zawin mengandung nanti
pun, Zharif akan masukkan Zawin ke hospital swasta juga.”
Zawin
tergelak kecil. “Apa bezanya hospital awam dan swasta. Sama sahaja. Sakit
bersalin pun sama,” tingkahnya.
Zharif
menggoyangkan jari telunjuknya. “Sangat berbeza. Hospital awam, doktor sakit
puan ramai lelaki berbanding swasta. Lagi pula pelajar perubatan lelaki wajib
masuk bilik bersalin masa praktikal. Zharif tak nak tubuh Zawin dilihat lelaki
lain. Zharif cemburu dalam hal ni tau,” terangnya bersungguh.
Zawin tersenyum
lebar. Dia tak tahu selebar mana senyumannya namun hatinya tiba-tiba merasa
cemburu dengan gadis bertuah yang akan menjadi suri dihati Zharif kelak. Zawin
menghela nafas, membetulkan duduk diatas sofa lalu membelek-belek majalah
ditangan.
“Ini...koleksi
majalah kereta yang Zharif suka beli setiap bulan.” Zharif menghulurkan
beberapa majalah kepada Zawin yang duduk mendepaninya.
“Motor
Trader, Care Car, Autoworld, Top Gear...” bisik Zawin perlahan, membaca
nama-nama yang tertera pada muka hadapan majalah-majalah ditangan. Zawin
meletakkan sebahagian majalah di atas meja. Dia membelek majalah Top Gear
secara rawak. Matanya terpaku pada gambar kereta berwarna kuning hitam. “Eh,
hampir sama dengan Kelisa kuning ku itu,” ujarnya dalam teruja.
Zharif menjenguk
kereta yang dimaksudkan Zawin. “Mini Cooper S? Berminat ke?”
Zawin
pantas menggeleng. Melihat harga kereta itu sehingga melebihi RM200,000 sudah
cukup membuatkan hatinya cuak. “Mahal gila. Dua pintu sahaja pun. Membazir saja
beli,” komennya.
“Kalau
mampu, apa salahnya. Lagi pula, kereta Mini Cooper ni dah dibeli BMW. Ibarat
dapat mini BMW bila bawa. Zharif pernah pandu uji. Memang puas hati tekan
minyak. Kereta tak bergoyang kalau bawa laju sikit. Enjin jenis turbo. Awesome
car indeed!” beritahu Zharif bersungguh.
Zawin
mengembungkan pipinya. “Zharif tak minat Mini Cooper?”
Zharif
menggeleng pantas. “Tak minat.”
“Habis
tu? Apa yang Zharif minat?” Zawin menyelak helaian baru majalah kereta
ditangan.
“Zharif
minat Zawin Az-Zahra saja.”
Zawin mengangkat
wajahnya, menjeling wajah nakal lelaki itu. “Serius la Zharif,” rungutnya.
“Apa
pendapat Zawin?”
“Zawin
rasa...”
“Apa
Zawin rasa?”
“Ha!
Kereta jenazah!” balas Zawin selamba.
Zharif
ketawa besar. “Ish, ish, ish...insaf sekejap...”
Zawin
tergelak kecil. “Cakaplah, kereta apa Zharif minat?”
“G-T-R.”
“Nissan G-T-R?”
soal Zawin semula.
Zharif
tersenyum lebar. “Dua minggu lepas baru sahaja test drive Nissan G-T-R
dengan Nabil. Sedap sangat tekan pedal minyak. Rasa macam tak pijak tanah.”
“Beli la
kalau dah suka...” saran Zawin.
“Bukan
semua benda kita suka, kita harus dapatkan...” balas Zharif.
Zawin
memerah mindanya. Kata-kata itu seakan sebati dengan dirinya. Matanya terus
merenung tajam wajah lelaki itu. “Hei, itu kata-kata Zawin!”
Zharif
ketawa mengekek. “Biarlah. Itu kata-kata Zawin masa Zharif suruh beli Honda
Jazz. Kitar semula kata-kata itu. Jangan membazir!” ujarnya penuh semangat.
Zawin
menahan tawa. Jika dilayan karenah Zharif, sampai bila pun tidak ada
penamatnya. Matanya merenung kereta Honda City putih yang sedang di selenggara
mekanik berbangsa cina. “Fuad kata,
setiap enam bulan Zharif tukar kereta. Kenapa Honda City tu masih tak
bertukar?”
Zharif
tersenyum penuh makna. Majalah Top Gear yang sedang dibeleknya,
diletakkan diatas meja. “Honda City itu yang menemukan tulang rusuk Zharif yang
hilang. Jadi mana mungkin Zharif boleh menjualnya kepada orang lain. Ada nilai
sentimental yang tidak akan Zharif dapat daripada mana-mana kereta sekalipun!”
Zawin terkedu.
Dia hilang kata-kata. Mengapa lelaki ini sering membuatkan diri ini serba
salah? Bisik hatinya.
“Yo,
bro!” tegur satu suara di sisi Zawin.
Zharif
terus bangun sejurus menyedari kehadiran Nabil. “Lambat bro hari ni,” tegurnya
lalu bersalaman dengan lelaki sederhana tinggi itu.
“Aku
kena stay selagi doktor yang ganti shif aku tak sampai. Lambat sungguh
dia masuk. Ada hal dirumah katanya.”
Zharif
mengangguk. “Zawin, ini Dr.Nabil. Doktor Neurosurgeri di Ampang Puteri.” Zharif
memberi isyarat mata kepada Zawin.
Zawin
terus terbangun apabila tersedar daripada lamunannya. Dia mengalihkan pandangan
pada wajah lelaki berdahi luas yang mengenakan kaca mata itu. “Oh. Hai. Saya
Zawin.”
Nabil
mengukir senyum manis. “Nice to meet you,” ucapnya ramah. Ditatap
sejenak wajah gadis itu sebelum berbisik perlahan pada Zharif. “Inilah dia
wajah yang kau lihat dibulan hari tu ya?”
Zharif
tersenyum segan. “Mana Mazda kau?” soalnya sambil menjengukkan kepalanya
mencari kereta lelaki itu daripada deretan kereta yang dipakir.
Nabil
mengangkatkan keningnya. “Cuba kau teka aku pakai kereta apa sekarang?”
Zharif
mengerutkan keningnya. Matanya meliar mencari kereta yang diparkir di hadapan
bengkel kereta itu. Matanya terpaku pada sebuah kereta jenis sport berwarna
kelabu. “Nissan G-T-R?” soalnya tidak percaya.
Nabil
tersenyum lebar. “Mazda RX7 aku dah jual. Banyak komponen dah rosak. Enjin rotary
memang tak best. Minyak mengalir bagaikan air...”
Zharif
ketawa halus. “Aku dah cakap kan, tapi tak sangka kau jual juga kereta tu. Tiga
tahun tu kau pakai.”
“Memang
ada nilai sentimental. Baru dua hari lepas, aku tengok kereta tu betul-betul diparkir
disebelah G-T-R aku.”
“Dah ada
orang beli?”
Nabil
mengangguk. “Sedih pula aku tengok masa tu. Ikut hati, nak saja aku turun dan
peluk cium itu kereta...”
Zawin
tergelak halus. Kata-kata lelaki berdahi luas itu menggeletek hatinya.
“Sekejap
ya.” Zharif meminta diri apabila mekanik berbangsa cina memanggilnya.
“Tahniah,”
ucap Nabil tiba-tiba usai melabuhkan punggung di atas sofa. Wajah gadis melayu
itu direnung dalam-dalam. Ada iras seorang pelakon latin yang diminatinya.
“Tahniah?
Kenapa?” Zawin mengerutkan keningnya.
“Sebab
berjaya ubah Zharif daripada menjadi Superman yang keseorangan kepada Batman
yang berteman.”
Zawin
menahan senyum.”Nak kata saya ni Robin la ya?” duganya.
Nabil
mengangguk bersungguh. “Akhirnya Batman tetap perlukan Robin disisinya. Tak
gitu?”
Zawin
hanya diam. Tidak mahu memberi komen pada kata-kata itu.
“Lagi
pula, Zharif tu tak pernah lulus pun jadi Superman. Cepat gayat dia tu,” bisik
Nabil lalu ketawa terkekeh.
Zawin
menutup mulut, mengawal tawa. “Doktor pun tahu dia takut tempat tinggi?”
“Cuba
ajak dia main roller-coaster. Zharif akan bertukar dari lelaki gagah
kepada lelaki paling comel dalam dunia,” ujar Nabil dalam sisa tawa.
Zawin
terenyum meleret. Kenangan bersama Zharif di Sunway Lagoon bermain-main dalam
benaknya. Mata Zawin merenung sisi wajah doktor bedah otak dan saraf itu. “Berapa
lama doktor kenal dengan Zharif?” soalnya ingin tahu.
“Sejak
di Ireland dulu. Jangan tak percaya, Zharif dikenali sebagai lelaki gay tau.”
“Hah?
Lelaki gay?”
“Ya.
Zharif selalu pakai t-shirt yang ada tulisan I hate girls. Perempuan
memang tak dapat nak dekat dengan dia langsung,” cerita Nabil bersungguh.
Zawin
ketawa bersungguh. “Biar betul? Zharif macam tu?”
“Percayalah.
Tapi yang pelik, dia boleh berbaik dengan Dr.Husna. Sampai sekarang mereka
masih rapat, tapi rapat sebagai kawan sahaja la. Setakat ini satu-satunya nama
perempuan yang bermain dibibir dia adalah Zawin Az-Zahra.”
Minda
Zawin menerawang mengingati wajah doktor perempuan yang pernah merawatnya
semasa dia keracunan makanan dulu. Pasti ada kisah antara mereka. Desis
hatinya.
“So,
neurotransmitter apa yang sedang berlaku?”soal Nabil. Majalah automobile
dibelek-belek secara rawak.
“Apa
tu?”
“Kimia
otak yang berkomunikasi melalui otak dan badan. Pernah dengar tentang
kimia-kimia yang terhasil dalam proses sebuah kisah cinta?”
“Oh itu.
Memang pernah dengar. Erm...doktor neurologi dan neurotransmitter. Maaf, tak
perasaan perkaitan itu. Dr.Nabil pasti sudah pakar dalam kimia-kimia ini bukan?”
Nabil
mengangkat kening kirinya. “Apa neurotransmitter yang sedang berlaku?” soalnya
cuba merisik perasaan gadis itu.
Zawin mengukir senyum tawar.”Pastinya bukan neurotransmitter
Oxytoxin,” balasnya tenang.
Nabil
tergelak besar. “Memang tak la. Itu hormon yang dirembeskan semasa hubungan
seks berlaku. Mungkin kimia Serotonin?” duganya.
Zawin
hanya mampu tersenyum. Seperti kata Zharif dahulu, kimia Serotonin yang
menyebabkan dia tak mampu lupakan Iskandar sehingga sekarang. Mana mungkin
kimia-kimia lain akan berlaku bila bersama Zharif.
“Tak nak
berkongsi ya? Tak apa. Jangan ikut macam saya. Neurotransmitter itu
sudah berhenti berlaku.”
“Kenapa?”
soal Zawin semula. Wajah muram lelaki itu membuahkan rasa hairan pada dirinya.
“Saya
baru bercerai,” beritahu Nabil tenang.
“Saya bersimpati,” ucap Zawin. Dia tidak tahu
kenapa lelaki itu mudah meluahkan rasa sedangkan ini kali pertama mereka
bertemu.
“Kadangkala
cinta pertama itu tidak semestinya menjamin hubungan yang kekal dalam
perkahwinan,” ujar Nabil dalam renungan yang jauh.
Zawin
merenung wajah lelaki berkaca mata, berdahi luas itu. “Cinta pertama? Ya.
Mungkin.” Zawin hilang kata-kata. Hatinya berlagu resah tiba-tiba. Jika
Iskandar adalah jodohnya, mampukah hubungan mereka bertahan selepas berkahwin?
“Zawin...”
panggil Zharif. Dia hairan melihat riak wajah Zawin yang keruh. Apa yang
menganggu fikiran gadis itu?
Zawin
mengangkat wajahnya. “Ya,” sahutnya lembut.
“Maaf.
Tak dapat temankan makan malam. Ada hal sekejap lagi.”
“Ok.
Kita balik sekarang la,” saran Zawin lalu bangun, mencapai tas tangan diatas
sofa.
“Nabil,
jumpa tempat biasa. Zul dah tempah tempat untuk kita,” beritahu Zharif.
“Alright.”
Nabil turut berdiri.
“Zharif
nak pergi mana nanti?” soal Zawin. Dia tidak pernah ambil kisah selama ini kemanapun
Zharif pergi, namun tiba-tiba dia ingin tahu aktiviti lelaki itu.
“Err...The
Beach,” balas Zharif serba salah.
“Pantai
mana?” Zawin mengerutkan keningnya.
Zharif
dan Nabil saling berpandangan.
******
“Lina
kembali pada Alif?” soal Zawin t?idak percaya. Rakan serumahnya itu kelihatan
gembira dan berseri.
Alina
mengangguk dalam senyum bahagia. Dia membetulkan tudung dihadapan cermin ruang
tamu. “Entah la kak. Hati hanya sayang dia. Semua orang buat salah. Jadi Lina
maafkan dia. Kalau Alif buat hal lagi, memang tak ada maaf untuk dia.” Alina
berpaling menatap wajah Zawin setelah berpuas hati dengan penampilannya. “Lina
pergi dulu. Nak jumpa Alif,” beritahunya berseli dengan kenyitan mata pada
gadis itu.
Zawin mencemberutkan
bibirnya. Dia hanya memerhatikan gadis tinggi lampai itu beredar pergi. Apa
sudah jadi? Kak Wan juga sudah kembali dengan kekasih lamanya. Hatinya diserbu
rasa cemburu. Orang sekelilingnya disenang-senangkan dengan cinta, sedangkan
dia masih ribut dengan cinta.
Damia tersenyum
manis pada Zawin sebaik muncul di pintu hadapan. “Konichiwa...” ucapnya
sambil mendepakan tangan. Dalam t-shirt putih lengan panjang, jeans biru dan
beberapa buku masih berada ditangannya, Damia berpusing-pusing dihadapan Zawin.
“Kenapa
pula ni Mia? Menang loteri ke?” soal Zawin bersahaja.
Damia
ketawa mengekek. “Amboi mulut...” Damia meletakkan buku-buku di atas meja ruang
tamu. Dia kembali berpusing-pusing sambil menggawang-gawangkan tangan. “Love
is in the air...Love is in the air...” ulangnya beberapa kali.
Zawin ketawa kecil. Tudung lebar hitam polos
yang dikenakan Damia kelihatan terkibar-kibar tatkala berpusingan begitu. “Aik?
Jatuh cinta kah? Ada pakwe ke? Katanya dulu solo itu indah.”
Damia
berhenti berpusing dan masih tersengih-sengih. “Anatawa inakute shimishi,”
ucapnya bersungguh.
Zawin
terlopong. “Wah! Siapa yang ucap rindu pada Mia tu? Takkan la Daniel?”
Damia
mengangkat kening kirinya. “Itulah hakikatnya. Memang Daniel Izairi yang ucap,”
beritahunya lalu duduk menghadap Zawin.
Mata Zawin membulat. “Jumpa Daniel
dimana? Bukan ke diploma dulu kamu berdua di Uitm Perak?”
“Itulah
takdir. Daniel sambung ijazah dalam kursus muzik di Shah Alam juga. Mia jumpa
dia balik dalam kelas Bahasa Jepun semester ni. Tiba-tiba sahaja petang tadi
dia luah perasaan pada Mia. Tak tahu nak sorok muka dimana masa tu? Rasa merah
satu muka tadi. Jantung berdebar gila,” cerita Damia.
Zawin
ketawa halus. Wajah Chinese-look gadis itu memang sedang merah. “Mia
terima dia tak?”
Damia
menggeleng. “Perempuan harus jual mahal,” ujarnya lalu ketawa besar.
Zawin
ikut ketawa. “Untunglah...”
Damia
tersengih. “Tadi Daniel nyanyi lagu ‘Yakinlah aku menjemputmu’. Teringat
kenangan lama semula.” Damia menepuk-nepuk pipinya perlahan sehingga terasa
panas. “Mia...bangun dari mimpi. Ini bukan mimpi kan?” soalnya kepada diri.
Zawin
menggeleng-gelengkan kepalanya dalam tawa lepas. “Ya. Teruskanlah bermimpi,” selorohnya. Zawin bangun dan menapak ke dalam
bilik sejurus nada dering Detective Conan berbunyi dari telefon pintar.
“Zawin,
temankan Zharif hari ni. Ada kawan kahwin,” pinta Zharif sejurus talian
disambut.
“Dimana
majlis tu?”
“Hotel
Hilton. Zharif dah sampai didepan pangsapuri ni.”
“Ok.
Zawin bersiap sekarang.” Zawin terus mematikan talian. Dia membuka almari,
membelek-belek baju yang tergantung disitu. Matanya terpaku pada baju kebaya
nyonya berwarna hitam dengan renda hijau bersama kain songket hitam kelabu.
Hadiah pemberian Iskandar itu tidak pernah dipakainya sebelum ini walaupun
telah digosok kemas. Tanpa berfikir panjang dia mencapai baju itu dan
menyarungkan pada tubuh. Tudung hitam bawal disarungkan pada kepala. Dalam agak
tergopoh, dia gagal menjumpai butang untuk mengemaskan kedudukan tudung lalu
kedua belah hujung tudung diselempangkan pada kedua-kedua bahu. Zawin terus
beredar sejurus memasukkan telefon pintar dalam tas tangan.
Zharif
terpana melihat penampilan Zawin dari jauh. Dia tidak terkata apa dan hanya
tersenyum tawar semasa gadis itu masuk ke dalam perut keretanya. Dia hanya
membisu sepanjang jalan dan hilang mood secara mendadak.
Zawin
hairan melihat reaksi Zharif. Biasanya lelaki itu akan bertanya itu ini dan
mulutnya kecoh bercerita macam-macam hal. Kenapa lelaki ini berubah sedingin
salju? Hatinya berbisik resah. “Siapa kawan Zharif yang kahwin ni?” soalnya
memulakan perbualan. Wajah lelaki itu ditatap bersungguh. Kulit cerah lelaki
itu dikesan berubah merah.
“Khalid.
Kawan satu sekolah dulu,” balas Zharif ringkas.
Zawin
malas bertanya lanjut apabila melihat Zharif menjawab soalannya dengan tidak
acuh malah tidak langsung memandangnya. Dalam hati berputik rasa marah dan
geram dengan cara Zharif melayannya. Bukan kah lelaki ini yang memintanya untuk
menjadi teman ke majlis kahwin itu? Kenapa reaksi Zharif seolah-olah mereka
akan ke majlis pengebumian pula? Dah la masing-masing pakai warna hitam! Memang
padan lah untuk berkabung! Jerit hati Zawin. Dalam dia berperang dengan ketidakpuasan
hatinya itu, kereta Honda City itu sudah memasuki perkarangan Hotel Hilton.
Zawin mengekori langkah Zharif masuk ke dalam perkarangan hotel mewah itu tanpa
banyak tanya. Mood dirinya juga sudah terbang ke laut.
“Hai
Zawin. Ingat saya lagi tak?” tegur Dr.Husna sejurus gadis itu mengambil tempat
di meja yang sama dengannya.
Zawin
berpaling ke arah kiri. Seraut wajah lembut itu amat dikenalinya. “Mana mungkin
saya lupa. Terima kasih sebab tolong saya dulu,” ucapnya bersulam senyum manis.
Wanita berkulit sawo matang itu tampak manis dalam baju kurung moden merah mata
berpadanan dengan tudung merah jambu.
“Ala,
perkara kecil saja. Cantik lah baju kebaya ni. Beli ke?” Dr.Husna
membelek-belek renda hijau pada hujung lengan kebaya itu.
“Pemberian
seorang kawan,” balas Zawin jujur.
“Tak
pernah tahu pula Husna kenal Khalid. Husna ni banyak rahsia ya?” usik Zharif
yang duduk disebelah doktor wanita itu.
Dr.Husna
tergelak. “Mana ada rahsia. Kenal Khalid macam tu sahaja. Suhaila tu yang Husna
kenal rapat.”
Zawin
mengetapkan giginya menahan geram. Zharif sedikit pun tidak menegurnya malah
rancak berborak dengan Dr.Husna tanpa menghiraukannya yang terkontang-kanting
sendirian. Dia tidak mengenali wajah-wajah yang turut berada dimeja yang sama
namun melihat gaya ranggi tetamu-tetamu yang hadir, menyedarkannya status
pasangan mempelai. Jantung Zawin bagai direntap sebaik melihat senyuman manis Zharif
kepada Dr.Husna. Membuntang matanya memerhati. Hati rasa ditoreh-toreh melihat
cara Zharif memandang Dr. Husna. Sakit! Zawin mengetap bibir, menahan sakit
hati yang gamat bergelojak. Diluar sedar, garfu yang digenggamnya patah dua.
Zawin menelan liur. Wanita separuh abad yang duduk disebelahnya itu menatap
wajahnya dengan pandangan hairan. Dia hanya mengukir senyum pahit. Dia tahu jika berada lama-lama disitu, pasti
hatinya akan meletup. Tanpa sebarang pesanan, Zawin mengangkat punggung dan
bergegas keluar dari dewan hotel itu.
Zawin
menghela nafas lega usai meloloskan diri ke dalam Taxi berwarna merah. Matanya
dipejam rapat-rapat. Hatinya sudah bertekad. Hubungan dengan Zharif harus
diputuskan. Dia tak akan melibatkan dirinya dalam hidup lelaki itu lagi. Zawin
membuka mata sebaik mendengar nada mesej masuk.
Ma,
temankan pa lunch hari ni.
“Pakcik, ubah haluan. Hantar saya ke
Hospital Ampuan Rahimah,” arah Zawin tanpa berfikir panjang. Nada deringan
Detective Conan mengejutkan Zawin dari lamunan. Melihat nama Zharif tertera
pada skrin, bibirnya mengetap geram. Zawin membungkam, membiarkan deringan
berterusan sehinggalah deringan berakhir. Laju tangannya menekan punat off
apabila panggilan daripada Zharif masuk lagi.
“Wah! So
beautiful!” puji Iskandar bersungguh. “Tak sangka ma akan pakai baju ni.
Ingat kan dah buang.” Iskandar benar-benar terpegun melihat penampilan anggun
gadis itu.
Zawin
tersenyum nipis. Entah mengapa dia tidak gembira mendengar pujian Iskandar.“Jom
makan,” ajaknya lalu menapak dahulu ke dalam kantin hospital.
“Siapa bidadari tu Is?” bisik Firash semasa
beratur untuk membayar makanan.
“My
kidney,” balas Iskandar dalam senyuman lebar.
“Wah!
Untung kau. Hot chick tu.”
Zawin
yang sedang membayar harga makanannya merasa tidak sedap hati mendengar
perbualan itu. Dia benar-benar tidak suka dilabel dengan panggilan sebegitu.
Sejurus mengambil tempat di sebuah meja kosong, Zawin terus menikmati hidangan
tomyam. Cili hidup yang ada dalam mangkuk dikunyah perlahan.
Iskandar
menahan senyum. “Sejak bila ma mula makan tomyam semula?” soalnya kehairanan.
Seingatnya gadis itu tidak mahu lagi menyentuh hidangan tomyam selepas
penceraian ibu bapanya. Kuah lontong dihirup perlahan tetapi pandangannya masih
terarah pada wajah gadis itu.
Zawin
berhenti mengunyah. Sudu tergantung di tangannya. Wajah Zharif menyerbu dalam
benaknya. Ya! Lelaki itu yang menyebabkan dia makan tomyam semula! Dia cuba
menghalau bayangan Zharif daripada mengasak benaknya. Zawin terus mencapai
gelas berisi kopi O yang masih berasap lalu dihirup perlahan. Mata Zawin
terpejam menikmati sensasi rasa paduan pedas, manis dan panas dalam mulutnya.
Wajah Zharif muncul dalam bayangannya. Tersenyum manis berlemak. Mendadak
matanya terbuka luas. Apa kena dengan aku ni? Kenapa aku tak boleh berhenti
memikirkan dia?
“Ma
pergi mana tadi?” soal Iskandar. Dia hairan melihat gadis dihadapannya ini
bagaikan sedang memikirkan sesuatu.
“Tak ada
mood nak jawab,” balas Zawin lantas menolak mangkuk yang masih banyak baki
tomyam. Seleranya terus mati.
Iskandar
semakin dilanda kehairanan. “Pelik saja. Sejak bila pandai tak ada mood
ni? Ma pergi mana tadi? Itu sahaja soalan pa kan? Tapi kalau ma rasa susah nak
cakap macam jawab exam fizik kertas dua, baik tak payah la jawab,”
ulasnya dalam nada kecewa.
Zawin
merenung wajah Iskandar. Renung yang lebih kepada renung kosong. “Maaf,”
ucapnya ringkas.
“Ma
fikir apa? Kongsilah dengan pa. Apa yang menganggu fikiran ma?” Iskandar cuba
merisik rahsia hati gadis itu.
“Fizik
kertas dua susah dari Biologi kertas dua ke?” seloroh Zawin, berusaha
melindungi keresahan fikirannya.
Iskandar
tergelak kecil. “Tahu tak apa.”
“Uncle
Is!”
Zawin
terkejut dengan kehadiran seorang gadis remaja disisi meja mereka. Gadis
berambut hitam paras bahu itu dilihatnya menyalami tangan Iskandar dan bergesel
pipi tanpa segan silu. Membuntang mata Zawin memerhati.
“Eh,
Maria. Lama dah sampai? Mama mana?” tegur Iskandar.
“Baru
lagi. Mama dah masuk bilik dia.”
“Ikutlah
mama masuk bilik. Kerja sekolah banyak tak?”
“Banyak.
Nak uncle ajar subjek sains. Uncle Is boleh ajar kan?” Maria
mengambil tempat disebelah doktor kacak itu.
“Ish, uncle
sibuk la. Kenapa tak buat kerja sekolah di rumah saja? Kan senang. Sini
bising.” Iskandar cuba mewajarkan.
“Ya la.
Maria masuk bilik mama, lepas tu Maria balik. Ok?”
“Ok.”
Mata
Zawin sekali lagi membuntang luas apabila gadis itu mencium pipi Iskandar.
“Siapa budak perempuan tu?” soal Zawin sejurus gadis remaja itu berlalu.
“Anak
Dr.Mariana. Biasa dia datang sini bila cuti sekolah. Kenapa? Cemburu ya? Ala,
budak sekolah tu. Baru tingkatan dua. Jangan risau la. Ma tetap juara dihati
pa.” Iskandar tersengih nakal.
“Isunya,
bukan cemburu tetapi budak tu dah baligh. Pa patut lebih menjaga batas
pergaulan. Ini bergesel dan cium pipi bagai,” bebel Zawin tidak berpuas hati.
Iskandar
terdiam. “Maria tu memang macam tu. Satu keluarga dia pun sama macam tu. Serba
salah juga nak tolak.” Iskandar cuba membela dirinya.
“Suka
hati lah. Dah besar kan? Fikir sendirilah,” putus Zawin akhirnya. Dia malas nak
bertelingkah pada masa jiwa dan fikirannya sedang berserabut. Nanti
berpanjangan pula dan dia yang akan sakit hati balik. Bayangan Zharif melintas
dibenaknya. Zawin benar-benar geram. Kenapa bayangan lelaki itu seakan
mengekorinya? Baki air kopi dihirup sehingga kering.
Iskandar
terdiam lagi. Wajah keruh Zawin diperhatikan bersungguh. Dia tidak pernah
melihat gadis itu bersikap hambar kepadanya selama ini malah fikiran Zawin
dikesan sedang dikuasai sesuatu biarpun dia di hadapan mata. “Ma ada masalah ke?”
soalnya ingin tahu.
“Tak ada
masalah pun,” balas Zawin pantas. “Ma
nak tengok baby. Pa habiskanlah makan tu.” Zawin terus berdiri, mencapai
tas tangannya.”
“Pa
temankan.” Iskandar turut bangun. Seleranya juga sudah mati. Lebih baik dia
temankan gadis itu.
Pemandangan
di sebalik dinding kaca itu sungguh menenangkan hatinya. Pipi-pipi mongel
bayi-bayi comel yang baru berusia beberapa hari itu dipandang dengan penuh
teruja. Tanpa sedar, tangannya diletakkan diatas perut sendiri. Keinginan untuk
menjadi ibu terasa membuak-buak.
“Suka
ya?” Iskandar tersenyum senang melihat senyuman bahagia itu terukir dibibir
Zawin.
Zawin
mengangguk bersungguh. “Tak sabar nak menimang anak sendiri,” akuinya jujur.
“Tahun
hadapan kita kahwin ya? Bila ma nak bersalin, pa hantar ke hospital swasta.
Biar doktor perempuan yang uruskan proses bersalin ma nanti. Ok?”
Zawin mengangguk
bersulam senyuman manis. “Ok, Zharif.”
Iskandar
tersentak. Wajah Zawin direnung bersungguh. Dia ingin menegur gadis itu, ingin
membetulkan namanya yang disalah sebut tapi melihat perubahan sikap Zawin yang
tiba-tiba berubah ceria membuatkan dia tidak sampai hati. Wajah yang sugul dan
keruh itu tadi sudah bertukar ceria malah berseri-seri! Bimbang jika tersalah
cakap, hilang pula sinar pada wajah itu dan paling teruk mood gadis itu
akan berubah.
“Kenapa?”
soal Zawin apabila menyedari pandangan pelik Iskandar.
Iskandar
lekas menggeleng. Bibirnya turut mengukir senyum melihat senyuman manis Zawin.
Jauh disudut hatinya, perubahan sikap Zawin begitu mendadak itu membuatkan
perasaannya gundah. Tidak sedap hati. Kenapa nama Zharif tiba-tiba meniti
keluar dari bibir Zawin?