BAB 2
Zawin
menikmati bersungguh sushi ikan salmon. Pinggannya penuh dengan pelbagai jenis
makanan jepun. Dia tidak menghiraukan orang ramai yang memenuhi Restoren Miyako itu. Harga yang
dikenakan restoren itu biarpun agak mahal namun dia tidak peduli. Dia hanya
mencari tempat menjamu selera untuk melepaskan rasa hati yang libang libung.
Sup miso dihirup penuh selera.
“Boleh
saya duduk di sini?”
Zawin
mengangkat wajahnya, sudu kaca tergantung didalam mulut. Matanya terpaku pada
seraut wajah yang pernah dilihatnya. Lelaki thai itu! Hatinya pantas mengecam.
“Boleh
saya duduk di sini? Semua tempat dah penuh,” ulang Zharif lagi.
Zawin
meletakkan sudu ke dalam mangkuk. Matanya menyeluruhi seisi restoren. Memang
benar, semua meja telah dipenuhi pelanggan terutamanya meja yang menempatkan untuk
enam orang makan. Meja yang didudukinya itu sahaja menempatkan untuk dua orang
makan. “Duduk la,” balasnya bersahaja, kembali menghirup sup.
“Terima
kasih,” ucap Zharif dengan gembira. Dua keping pinggan yang dibawanya diletakkan
di tengah meja. “Ini untuk awak.” Zharif menghulurkan pinggan yang berisi kek
black forest kepada gadis itu.
“Untuk
apa?” Zawin bertanya dalam kehairanan.
“Sebab
bagi saya duduk di sini. Lagi pula, kek coklat bagus untuk merawat hati dan
mengendurkan emosi,” balas Zharif sambil tersenyum.
“Macam
mana awak tahu saya ada masalah emosi dan hati? Terlukis ke di dahi saya ni?” Zawin
merenung tajam wajah jejaka yang mengenakan kemeja kuning cair itu.
“Sebab dizahirkan melalui air wajah awak.
Sangat keruh. Macam awak sedang menanggung seluruh masalah dunia.”
Zawin
tersandar pada kerusi. “Jelas sangat ke?” soalnya kembali dalam suara lemah. Mangkuk
sup ditolak ke tepi.
Zharif
mengangguk laju. “Ada masalah apa? Kalau awak tak keberatan, ceritalah.”
“Kita
bukan kawan, baru saja kenal.”
“Kalau
macam tu, kita jadi kawan.”
“Saya
tidak mudah berkawan.”
“Jadi...mudahkan
la. Rugi awak tak kawan dengan saya. Bukan semua perempuan saya ajak jadi kawan
tau,” balas Zharif bersulam senyuman.
“Oh,
really? Apa yang saya dapat kalau
jadi kawan awak?” Zawin berpeluk tubuh.
“Erm...kawan-kawan
saya kata, saya ni kawan dan pendengar yang baik. Pakar menyelesaikan masalah
tau. Kalau awak jadi kawan saya, hidup
awak akan sentiasa ceria.”
Zawin
menjuihkan bibirnya. “Macam yakin je.”
“Mestila saya yakin. Awak nak tak
jadi kawan saya?” Zharif menatap lembut wajah gadis itu.
Zawin
merenung lelaki berkulit putih itu. Kening hitam lebat lelaki itu ditatap
dengan kagum. Warna anak mata itu sama seperti Najla dan seorang yang telah
lama hilang dari hidupnya. Jarang dia bertemu lelaki yang memiliki sepasang
mata mempersonakan seperti dimiliki lelaki ini. Hidungnya tinggi membulat di
puncak. Bibir comel merah itu pula menawan mata sesiapa yang melihatnya
terutama semasa dia mengukir senyuman. Subhanallah. Hatinya melafazkan kata-kata
memuji Allah itu atas kesempurnaan penciptaan lelaki dihadapannya ini.
“Awak
boleh kawan dengan saya hanya selepas awak lulus ujian saya,” beritahunya sambil
berpeluk tubuh.
“Ok.
Saya memang suka diuji. Try me.”
Zawin
mencemberutkan bibirnya, matanya merenung sangsi pada wajah tenang itu. “Ok.
Katakan awak berada di rumah. Ada lima situasi yang saya akan beri. Awak cuma
perlu pilih situasi yang paling penting bagi awak. Pertama, air didalam bilik
air sudah melimpah, kedua...air di atas
dapur sudah berbunyi, kemudian ada bayi menangis, telefon berdering dan bunyi
ketukan di pintu. Pilihan yang awak beri akan menjadi titik tolak samada awak
diterima sebagai kawan saya atau tak. Fikirlah dulu.”
Zharif
menyentuh dagunya, mengerutkan keningnya. “Kalau saya la kan, saya ambil baby,
pujuk baby. Kesian baby menangis. Situasi yang lain tu boleh
diselesaikan kemudian,” jawabnya dengan yakin.
Zawin merapatkan
jari jemarinya. Wajah lelaki itu direnung lama, seakan mahu tembus pandangan
itu. “Erm...Ok. Ada satu lagi soalan. Siapa manusia yang paling bijak dalam
dunia ni?”
Zharif
berfikir sejenak. “Erm...Albert Einstein...rasanya bukan. Bill Gates?..Tak...dia
bukan orangnya...” ngumamnya seiring bola matanya disorotkan ke atas syiling
restauran. “Saya rasa...orang yang paling bijak adalah golongan manusia yang nabi
Muhammad S.A.W pernah sebutkan dalam sebuah hadis iaitu manusia yang sentiasa
mengingati mati dan membuat amalan untuk bekalan sesudah mati. Betul kan?”
Zharif meminta kepastian, kembali menyorot pandang wajah gadis itu.
Zawin menahan
nafas mendengar jawapan itu. Tidak ramai lelaki yang lulus dengan soalan itu.
Pasti lelaki thai ini bijak, juga pasti ada campuran melayu dan tentunya
seorang muslim. Dia benar-benar terkejut
apabila lelaki itu menyatakan hadis rasulullah S.A.W dalam menjawab soalannya.
Adakah dia muslim yang baik?
“Saya
diterima tak?” gesa Zharif.
Zawin tersenyum
nipis. “Awak diterima.”
Zharif
tersenyum gembira. “Betul? Kalau begitu, selamat berkenalan.” Zharif
menghulurkan tangannya.
Zawin
mengangkat sebelah keningnya. Huluran tangan itu dibiar tidak bersambut. “Oleh
sebab awak dah jadi kawan saya, awak kena tahu dan hormat prinsip hidup saya.
Saya tak akan bersalaman dan bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim.”
Zharif tidak
terkejut dengan kata-kata itu. Dia tersenyum penuh makna. Gadis itu lulus
ujiannya yang dibuat dalam diam. “Zawin memang kawan yang istimewa.”
Zawin membulatkan matanya. “Saya tak
pernah beritahu nama saya Zawin. Macam mana awak tahu?”
“Kejadian
malam tu...saya terdengar teman lelaki awak sebut Zawin banyak kali. Saya agak,
nama awak la tu kan? Nama yang menarik. Itu yang melekat dalam ingatan saya,”
beritahu Zharif bersahaja.
Zawin
terdiam. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mata lelaki itu ditatap lagi. “Zharif
kan?” soalnya pula.
Zharif
terkejut. “Awak boleh ingat nama saya?”
Zawin
mengangguk. “Saya ingat. Malam tu...awak ada kenalkan diri masa dalam kereta...”
Zawin menahan sayu dihati. Mana mungkin dia lupa nama yang membawa maksud
bijaksana itu. Nama itu mengingatkannya kembali kepada seorang insan mulia yang
telah banyak membantunya.
Zharif
tersenyum nipis. Gadis ini punya ingatan yang kuat. Desis hatinya.
“So, Zharif...darah thai
sebelah ayah ke mak?” soal Zawin lebih lanjut.
“Mak
saya berdarah thai. Ayah saya pula cina.”
“Hah?
Jadinya memang tak ada darah melayu?”
“Memang
tak ada. Nama saya Muhammad Zharif Zahir bin Zulkarnain Kwok. Nama saya bukan
nama melayu, tetapi nama arab. Islam itu
bukan untuk melayu sahaja kan?” soal Zharif kembali.
Zawin
mengangguk. Wajah itu ditatap bersungguh. Padan la lelaki ini begitu menawan
matanya. Beberapa kali kalimah subhanallah diucapkan hatinya. “Awak selalu
makan di sini?” soalnya seraya mencuit sesudu kek blackforest, dirasanya
sedikit. Sedap! Hatinya memuji. Terus dimasukkan ke dalam mulut, menikmati rasa
manis pahit itu langsung membangkitkan rasa gembira dalam diri. Benar kata
lelaki itu!
“Tak
selalu. Jarang. Awak pula?”
Zawin
menggeleng. “Pertama kali saya datang sini. Tak sangka saya jumpa awak lagi.
Kejadian malam tu...saya harap awak tak akan mengungkit lagi.” Udang goreng
tempura dimasukkan ke dalam mulut, dikunyah perlahan.
“Boleh,”
balas Zharif dalam senyum. Tidak sia-sia pencariannya selama ini. Kulit putih
merah gadis itu direnung dalam kagum. Lama matanya menatap paras jelita itu.
Mata yang bundar bening itu, alis mata lentik semulajadi, bibir comel juga
tulang pipi yang menonjol itu masih sama. Tahi lalat di bawah bibir kanan membuatkan
gadis itu lebih menawan dan manis.
“Jangan
renung saya macam tu,” tegur Zawin. Tidak berapa selesa dengan renungan dalam
itu.
“Saya
pandang je.”
“Tak.
Awak sedang memerhatikan saya, merenung wajah saya,” sangkal Zawin.
“Awak
mengingatkan saya tentang seseorang.”
“Oh...ramai yang berkata begitu. Wajah saya ni
mungkin familiar pada ramai orang. Selalu sangat berlaku begitu.”
“Bukan
begitu...wajah awak unik maksud saya. Hanya awak sahaja yang memilikinya.”
“Habis tu...siapa pula seseorang yang awak cakap tadi.”
“Oh...maksud
saya seseorang yang saya pernah jumpa beberapa tahun lalu tetapi hilang daripada
pandangan. Saya berusaha mencari dia dan akhirnya...”
“Awak
dah jumpa dengan dia semula?” soal Zawin pantas.
Zharif
menyeluruhi wajah itu lagi. “Dah. Saya dah jumpa. Melihat awak bagaikan saya
telah berjumpa kembali seseorang yang saya cari selama ini.”
“Erm...ya
la tu,” Zawin malas melayan. Zawin bangun, menapak ke bahagian buffet.
Dia kembali semula dengan pelbagai makanan memenuhi pinggan kaca itu.
Zharif
lebih banyak memerhati gadis itu daripada menikmati hidangannya. Melihat gadis
itu makan bersungguh, dia tersenyum sendiri. “Awak memang suka makanan jepun?”
soalnya sambil berpeluk tubuh.
“Sangat
suka,” balasnya sejurus mencicip teh hijau. “Bukan sahaja makanan, tetapi
banyak perkara yang saya suka termasuk budaya jepun, teknologi, inovasi,
animasi, komik, j-pop, drama, filem dan
sebagainya.”
“Ya?
Saya pun sama...Sangat suka.” Zharif
benar-benar teruja mendengar pengakuan itu.
Mata
Zawin bersinar serta-merta. “Wah. Ya ke? Tak sangka.”
Zharif
berpeluk tubuhnya, menatap mata bening gadis itu. “Erm...nampaknya saya tak
salah pilih kawan kan?”
Zawin
mengangkat bahunya, tersenyum nipis. “Mungkin.”
“So,
apa masalah awak? Cerita la,” pinta Zharif.
Zawin
mengeluh berat. Wajah kacak itu direnung bersungguh. Ada keikhlasan terbit
disebalik renungan lembut lelaki itu. “Ok. Apa pendapat awak tentang saya?
Maksudnya, pakaian saya, cara saya, sikap saya...semua la. Awak simpulkan sendiri.
Saya nak pengakuan jujur.”
Zharif
mendekatkan mukanya, merenung mata bening itu. “Awak adalah hiasan dunia yang
terindah.”
Zawin
terkesima mendengarnya. “Hah?” Mata Zawin terkedip-kedip memandang wajah lelaki
itu.
“Awak adalah
hiasan dunia yang terindah,” ulang Zharif lagi. “Bukan ke kata nabi...dunia ini
adalah perhiasan dan sebaik-baik, seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah?
Jadinya, gadis yang bernama Zawin dihadapan saya ini, saya ketegorikan sebagai
sebaik-baik dan seindah-indah perhiasan dunia.”
Zawin
menjatuhkan pandangan pada air teh didalam cawan. Merenung biasan wajahnya.
Ramai lelaki cuba mendekati dirinya selama ini kerana pesona wajahnya tetapi
lelaki ini memang lain daripada yang lain. Hatinya benar-benar terharu.
Wajahnya diangkat, merenung mata indah itu lagi. “Terima kasih. Saya anggap
kata-kata itu sebagai penghargaan.”
“Awak
memang layak untuk dihargai.”
“Bagaimana
pula dengan penampilan saya? Awak tak rasa saya ni selekeh?”
“Tak.
Awak tak selekeh,” balas Zharif pantas.
Zawin memincingkan
pandangannya, memasang telinga.
“Bagi
saya, asalkan awak menutup aurat, menyelindung kecantikan diri yang hanya dilihatkan
kepada suami, tidak menonjolkan bentuk tubuh...itu saya lihat sebagai
penampilan muslimah sebenar. Apa yang penting, hati kena bersih dan minda
muslimah haruslah cemerlang. Muslimah cemerlang adalah yang berakhlak mulia,
tidak jemu menuntut ilmu dan beramal dengan ilmu yang ada. Jadinya saya lebih
melihat pada kekuatan minda daripada penampilan luaran,” ujar Zharif lebih
lanjut.
Zawin
terkedu. Matanya terkelip-kelip memandang lelaki thai itu.
Zharif
menganggukkan kepalanya bersungguh, berusaha meyakinkan gadis itu yang dia
tidak bergurau dengan kata-katanya itu.
“Kan?” Sinar mata Zawin kembali
cerah. Dia tersenyum senang. Hatinya melonjak riang. Akhirnya ada juga insan
yang memahami pemikirannya. Dia
benar-benar gembira.
“Ya.
Awak tak perlu risau dengan kata-kata orang la. Apa yang penting awak kenal
jati diri dan beramal untuk bekalan sesudah mati. Tetapi tak salah juga kalau
awak jaga penampilan diri. Bila seorang muslimah itu cemerlang mindanya,
penampilan yang baik akan menjadi nilai tambah dalam dirinya. Golongan agama
lain juga akan turut membuka mata dan merasakan islam bukan agama jumud. Allah
itu cantik dan Allah suka pada yang cantik. Apa salahnya muslimah menghargai
kecantikan yang diberi melalui penampilan yang rapi. Awak pasti nampak lebih
hebat dan lebih mempersona jika seimbang luar dan dalam. Bukankah wanita
solehah itu adalah hiasan dunia yang terindah? Berhiasla asalkan jangan
berlebihan,” nasihat Zharif.
Zawin
menghela nafasnya. Wajah kacak itu ditatap lama. Kata-kata berbaur nasihat itu
benar-benar menusuk ke dalam nurani sekaligus mengubah paradigma diri. “Kenapa
kadang-kadang terasa orang asing bagaikan saudara sendiri, tetapi saudara
sendiri terasa bagaikan orang asing?” Zawin menahan sebak yang tiba-tiba
menyerbu dadanya.
“Sebab
itu saya kata, awak tak akan menyesal kawan dengan saya.”
Zawin
tersenyum nipis. “Betul kawan-kawan awak kata tentang awak.”
“Well
...itu memang saya. Erm...awak buat apa sekarang Zawin?Awak tinggal di mana?”
“Awak
tak perlu tahu.”
“Kenapa?”
“Sebab
saya tak nak awak tahu.”
“Kenapa
pula?”
Zawin
sudah mencapai tas tangannya, lantas dia bangun dari situ. “Sebab saya memang
mudah didekati...tetapi tidak mudah dikenali. Terima kasih jadi kawan saya.
Kalau kita bertemu sekali lagi dimana-mana, pada ketika itu, saya akan benarkan
awak mengenali saya. Assalamualaikum.” Zawin menapak ke luar restoren. Dia
tersenyum lebar. Zharif Zahir...erm...not bad. Jika ada pertemuan lagi, pasti lelaki itu
adalah anugerah daripada Allah S.W.T untuknya. Siapa sangka pertemuan dengan
lelaki asing itu berjaya mengubah persepsinya selama ini. Zawin Az-Zahra, sudah
tiba masa untuk kau berubah kerana kau hiasan dunia yang terindah!
********
“Betul
ni?” Najla meminta kepastian.
Zawin
mengangguk, lebih bersungguh.
“Ok.
Kalau begitu, kau harus ambil duit dulu. Bank mana yang kau paling banyak duit?”
Najla mengangkat-angkat kan keningnya sambil tersengih.
Zawin
menjeling sekilas. “RHB. Jom ke sana,” ujarnya lalu menghela lengan Najla ke
seberang jalan.
“Wow
Rashid Hussin Berhad,” Najla mengangkat-angkat keningnya sebaik berada di
hadapan Bank itu.
“Siapa
tu? Pakcik kau ke?” soal Zawin tidak tahu menahu.
Najla
menepuk lembut lengan kanan Zawin. “Oii makcik. Kalau Rashid Hussin tu pakcik
aku...dah lama aku kaya raya. Rashid Hussin tu la tu owner RHB dulu. A
brilliant malay guy,” jelas Najla.
“Ooo...”
panjang muncung mulut Zawin mendengar fakta itu. “Maknanya, Rashid Hussin tu
bukan pemilik RHB sekarang? Tapi kenapa nama RHB masih diguna pakai?” Zawin
mengeluarkan kad ATM bank RHB, meneliti tulisan yang tertera di atas kad biru
itu.
“Sebab tu aku kata dia lelaki bijak. Bank Utama dah beli
bank RHB tetapi sehingga kini, Bank Utama tak dapat jelaskan harga brand
name RHB tu. Tiada siapa tahu harga yang telah disetujui bersama. Mungkin billion
dan mungkin juga trillion. Oleh kerana itu, nama RHB masih diguna pakai
dan selagi itu la Rashid Hussin dapat untung atas usaha dia membina empayar
bank RHB. Tanam sekali, buah berkali-kali. Memang bijak,” jelas Najla
bersungguh.
“Memang bijak
dan kau tu pun bijak. Patut la Anas suka kau, banyak perkara yang kau tahu.”
“Mesti
la aku kena tahu. Aku kan graduan business admin. Ala...ilmu yang aku
ada tak sama dengan kau. Graduan information system macam kau lagi la
bijak. Dah...dah...pergi cucuk duit kau tu,” arah Najla sambil berpeluk tubuh
di sebelah mesin ATM.
Zawin
tersengih. Kad itu dicucuk ke dalam. Tangannya cekatan memasukkan nombor pin yang
dikehendaki. Dia seakan berfikir jumlah yang harus dikeluarkan. Mengingati
tahap pengeluaran maksima yang boleh dikeluarkan, kepalanya terangguk-angguk
sendiri. Zawin menunggu mesin itu memproses jumlah wang yang dipinta.
“Tu la
aku cakap...buat kad debit kan senang,” bebel Najla.
“Debit
ke kredit ke sama bagi aku. Aku tak suka benda-benda begini. Pasti terselit
unsur riba tanpa kita ketahui. Apa yang terjadi pada ekonomi dunia hari ini,
semuanya kerana kesan riba. Bank-bank menawarkan kad kredit tanpa bersyarat kepada
pelanggan sehingga membuahkan hutang yang tinggi apabila pelanggan berbelanja
di luar kemampuan mereka.”
Najla bertepuk tangan. “Wah...wah...dah jadi Suze Orman
nampak. Kalau kau nak tahu, financial guru tu...perempuan Gemini tau.
Kalau tengok dia dalam Oprah Winfrey Show, kita pun sampai ternganga dengar dia
bercakap. Tu la kelebihan bintang Gemini. Petah berbicara, bijak mempengaruhi
orang dan pastinya mereka tidak akan mengalah dalam mana-mana perdebatan. Sama
seperti mantan presiden Indonesia, Sukarno.”
“Ya la
tu. Kebetulan semua tu,” balas Zawin tidak acuh. Wang yang keluar, dimasukkan
cepat-cepat ke dalam tas tangan. Tidak mahu rakannya itu tahu jumlah yang
dikeluarkan. Apabila resit bank keluar,
dia terpaku sendiri apabila tangan Najla lebih pantas daripada tangannya. “Hei
makcik, bagi balik.” Zawin membulatkan matanya. Dia cuba merampas resit itu.
Najla
berusaha mengelak, bergelut untuk melihat jumlah yang dikeluarkan. Matanya
membuntang luas. “Lima ribu?! Ish ish ish. Jumlah yang bagus tu.” Najla tersengih
menang.
Zawin
menjeling geram. Resit itu pantas dirampas, dimasukkan ke dalam tas tangan.
“Kenapa
kau tak buang saja resit tu?” soal Najla kehairanan.
Zawin
menggelengkan kepalanya. “Kalau boleh kau pun mulai hari ni jangan buang resit
bank. Nanti aku cerita apa yang hacker boleh buat untuk masuk dalam
akaun kau. Jom, kita shopping,” ajak Zawin dengan teruja.
“Jom,” Najla
menyahut gembira.
“Perlu ke aku potong rambut?” soal
Zawin agak keberatan. Terasa sayang apabila mengenangkan rambutnya yang tebal
telah melepasi pinggang. Saloon rambut dihadapan tempat mereka melepaskan lelah
itu dijenguknya. Ada beberapa pelanggan didalam saloon itu.
“Perlu.
Kalau aku la, rimas ada rambut tebal, panjang pula tu. Anggap sahaja ini
permulaan pada perubahan penampilan kau. Walaupun kau pakai tudung, tak salah
kan untuk kau merasa seperti orang baru bila kau tanggal tudung kau tu.”
“Ya la.
Jom. Aku dah bersedia. Memang pun, kepala aku berat bawa rambut tebal ni,” ajak
Zawin seraya berdiri.
Najla
tersengih lagi.
“Mau
potong rambut didalam?” Seorang gadis cina berambut perang mendekati mereka
setelah lama menunggu.
Zawin
dan Najla serentak mengangguk. Beberapa lelaki sedang menerima perkhidmatan di saloon
itu. Tidak elok aurat diri dilihat oleh golongan lelaki bukan muhrim.
“Mari
ikut saya ke dalam.”
Najla
dan Zawin akur lalu mengekori gadis cina itu.
“Wah...banyak
cantik. Rambut kamu lembut, banyak sihat. Kenapa mau pakai tudung lagi amoi?”
Gadis cina itu bersuara sejurus tudung kuning putih itu ditanggalkan Zawin. Rambut
tebal gadis itu dilurut-lurut dengan kagum.
“Sebab
cantik la...harus ditutup Amoi. Haa...potong rambut dia macam ini,” Najla
mengunjukkan satu gaya rambut daripada sebuah majalah yang sempat dibeleknya
sebentar tadi.
“Ok.”
“Cantik
ma. Aiyaa...amoi melayu semua cantik-cantik. Saya keluar sekejap oo,” pinta
gadis cina itu selepas pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatannya.
“Memang
sesuai la rambut paras bahu ni dengan wajah bujur sirih kau,” puji Najla sambil
menyentuh bahagian rambut yang berlayer. Mendengar nada dering permata untuk
isteri, tangannya cekatan mencapai telefon dalam tas tangan lalu disambut
dengan senyuman. “Wassalam kanda. Tak habis shopping lagi. Kejap ya.” Najla
mengalihkan telefon bimbit, kembali memandang Zawin. “Aku keluar kejap. Nak
cakap dengan cik Abang aku.” Najla mengenyetkan matanya sebelum berlalu
keluar.
Zawin
menggelengkan kepalanya. “Beruntung kau Najla. Aku juga la yang tak tahu nasib
badan.” Zawin tersenyum melihat dirinya yang baru didalam cermin. “Kau hiasan
dunia yang terindah,” bisiknya. Langsung ingatannya membawa kepada lelaki kacak
yang ditemui kelmarin. “Zharif Zahir...terima kasih,” ujarnya dalam suara
perlahan. Mendengar pintu ditolak dari luar, Zawin terus berpaling ke belakang.
Dia terpaku melihat gerangan di muka pintu itu.
“Zharif?”
soal Zawin meminta kepastian.
Zharif
yang terpaku melihat diri sebenar gadis itu cuma mengangguk dalam rasa tidak
percaya. Hatinya berdetak kencang.
“Awak
buat apa di sini?” soal Zawin lagi.
“Err...Vivien...hair
stylist tu...sepupu saya. Saya sedang cari dia.”
Zawin
ketawa halus. “Tak sangka. Kita bertemu kembali.” Pandangannya tepat
menyeluruhi tubuh tinggi lampai itu. Gaya kasual lelaki itu menyerlahkan wajah
tampan itu tatkala mengenakan kemeja kuning cair dipadankan seluar jeans biru.
Kepalanya digelengkan perlahan. Dunia memang kecil.
Zharif
sudah tersenyum lebar. Dia masih tercegat di hadapan pintu. “Saya berpegang
pada kata-kata awak. Nampaknya awak tak
boleh halang saya daripada mengenali awak kan?”
Zawin
tersenyum senang. “Mungkin saja.”
“Awak
tak akan menyesal jadi kawan saya. Itu saya boleh pastikan.”
Zawin
tersenyum simpul. “Saya tahu itu.” Dia berpaling semula pada cermin dihadapannya.
Zawin terpempan. “Argh...” Dia terjerit kecil lalu terkocoh-kocoh mencapai
tudung di atas kerusi berhampiran lalu menyarung ke kepalanya.
Zharif
ketawa melihat tindakan kelam kabut gadis itu. “Agaknya, kalau ada tudung saji,
mesti awak sarungkan ke kepala juga kan,” usiknya bersahaja. Dia melangkah ke
dalam bilik itu, lalu melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah gadis itu.
Zawin menjeling geram. “Awak tu pun
satu. Tegur la saya masa masuk tadi.”
“Mana la
saya tahu awak ada kat dalam. Lagi pula, saya pun terkejut jumpa awak balik.”
“Ya la.”
Zawin menatap cermin besar itu lalu membetulkan tudung di kepalanya. Tudung
hadiah pemberian Najla itu amat mudah disarung di kepala. Malah blouse dan
seluar putih yang dipakai nya juga daripada sabahat baiknya itu. Sebaik dia
menyatakan ingin berubah, Najla menjadi orang yang paling gembira langsung
membelikan beberapa helai pakaian baru untuknya.
“Erm...awak
nampak lain dengan penampilan baru. Sangat menawan,” puji Zharif sebaik meneliti penampilan gadis itu. Seluar
panjang putih dipadankan dengan blouse kuning cair, sangat masuk dengan kulit
putih merah gadis itu. Tudung putih berjalur kuning itu menyerlahkan lagi paras
jelita itu. Dia benar-benar terpesona.
“Kecantikan...kelebihan rupa paras...adalah
perhiasan yang menipu, tarikan yang memperdaya. Semuanya sementara kan?” Zawin
merenung wajahnya bersungguh didalam cermin itu.
Zharif
mengerlipkan matanya beberapa ketika. Gadis ini adalah satu dalam sejuta! “Err...Memang
betul. Awak...err...awak...bersolek tak ni?” soalnya sambil menyeluruhi wajah
anggun itu. Pada pandangannya gadis itu punya kecantikan semulajadi tanpa
bantuan mana-mana material moden.
Zawin
pantas menggeleng. “Saya tak pandai bersolek la. Sejak dulu memang saya tak
bersolek.”
“Awak
makan jamu?”
Zawin
mengangguk lagi. “Sejak remaja.”
Zharif
tersenyum sendiri. Memang dia sudah mengagak melihat daripada kulit cantik itu.
Halus dan gebu. Bibir comel merah
semulajadi itu juga melambangkan dalaman yang sihat. “Sekarang kawan awak ni
nak kenali awak. Boleh bagi nombor telefon, e-mail, facebook, atau apa
sahaja yang membolehkan saya berhubung dengan awak?” pintanya penuh mengharap.
Zawin
melagakan gigi atas dan bawah. “Awak percaya dengan takdir?”
“Ya.
Saya sangat percaya.”
“Kalau
begitu, pasti ada lagi pertemuan kan? Saya janji jika ada pertemuan seterusnya,
saya sendiri yang akan memberi semua maklumat diri kepada awak. Setuju?”
Zharif
merenung wajah Zawin. Tajam pandangannya menikam mata hitam itu. “Awak tak rasa
ke pertemuan kita pada hari ni diaturkan oleh takdir? Nama awak sama huruf
pangkal dengan nama saya, baju kita juga sama...warna kuning. Kita sama-sama
sukakan budaya Jepun. Ini dikatakan sebagai telepati. Awak tak rasa begitu?”
Zawin
menggeleng dalam senyuman lebar. “Hanya sekali sahaja lagi pertemuan...dan jika
ditakdirkan berjumpa awak kembali, saya tahu yang awak ditakdirkan menjadi
kawan saya. Hanya sekali pertemuan sahaja lagi...” terangnya tenang.
Zharif
mengetap bibirnya. Hatinya benar-benar kecewa. Namun dia cepat sedar bahawa
dalam hidup pasti ada kesulitan untuk mendapatkan sesuatu. Jika dia bersabar,
pasti gadis ini akan menjadi permata yang paling berharga dalam hidupnya.
Wajahnya dipalingkan ke hadapan cermin. Cuba membuang rasa kecewa. “Saya
ikutkan sahaja. Kalau betul dalam takdir
saya ada awak dan dalam takdir awak ada saya, pasti ada sesuatu yang sedang
diatur oleh ilahi,” balasnya dengan yakin.
Zawin
tersenyum memandang wajah kecewa itu. Jika lelaki ini ditakdirkan berlabuh
dalam hidupnya, pasti ada pertemuan lagi. Dia tidak mudah menerima lelaki,
biarpun dia senang didekati. Wajah Wan Zaidi menyerbu ingatannya. Senyumannya
langsung mati. Lelaki itu juga pernah diuji sebegitu, namun entah kenapa takdir
sering menemukan mereka bersama sehingga menjeratnya dalam percintaan dengan
lelaki itu. Hatinya benar-benar kecewa apabila Wan Zaidi memilih Yasmin,
sahabatnya sendiri sebagai isteri. Namun, hatinya jauh lebih kecewa apabila
mengenangkan cinta pertama yang musnah gara-gara sahabat baiknya juga.
Zawin
menghela nafas berat. I-Phone dikeluarkan, berniat untuk melayari dunia
maya seketika. Melihat beberapa notification di laman facebook,
dia malas mengambil peduli. Namun notification pada bahagian friend
request membuatkan keningnya bertaut. Sebaik dibuka, Zawin menahan nafas.
Ada dua request. Satu daripada Arnida Azhar. Jari jemarinya cekatan
menekan butang deny. Sudah berapa kali gadis itu membuat friend
request kepadanya, namun ditolak mentah-mentah.
Beralih
pada baki friend request, matanya terpaku melihat nama profile itu.
Gemleo? Hanya seorang sahaja dalam hidupnya yang tahu gabungan nama itu.
Tangannya terketar-ketar menekan butang accept. Apabila laman profile
itu sudah dapat di buka, mata Zawin membundar luas. Benarlah dia! Gambar profile
itu ditatap lama. Lelaki itu sudah dewasa. Bukan seperti zaman remaja dahulu.
Cekatan tangannya menekan butang remove friend.
Zawin memejamkan matanya, membelek
nubari jiwa. Iskandar...nama lelaki itu
masih ada di situ, masih kekal rasa kasih terhadapnya. Biar dicuba sekuat mana,
lelaki itu sukar untuk dilupakan. Biarlah rasa itu disimpan dalam nubari yang
paling dalam.
“Awak
tak apa-apa ke?” soal Zharif agak cemas melihat kening gadis itu bergerak-gerak
dalam mata yang terpejam. Bagaikan sedang memikirkan sesuatu yang menyedihkan.
Zawin
membuka matanya. Ada air mata di tubir mata. Lekas-lekas dia menyekanya. Dia
terlupa dengan kehadiran lelaki itu di sebelahnya. “Oh...tak ada la,” nafinya
seraya memasukkan I-Phone ke dalam tas tangan. Wajah Zharif dikerling.
“Awak...kalau kucing mengiau, anjing menyalak, kambing mengembek...katak pula
apa ya?” soalnya selamba. Persoalan itu tiba-tiba menyerbu ingatannya, berusaha
mengalihkan emosi yang sedikit terganggu sebentar tadi.
“Oo...katak
meng frog-frog,” balas Zharif juga selamba.
Zawin
ketawa besar mendengar jawapan itu. Hatinya terasa lapang dan tenang. Langsung
terlupa pada kisah-kisah yang mencoret duka dalam nubari jiwa.
Mulut
Zharif sedikit ternganga melihat gadis itu ketawa begitu. Tawa manja itu
menambahkan pesona yang ada pada diri Zawin Az-Zahra. Mata yang mengecil itu
bagaikan turut tersenyum bersama bibir merah itu. She’s a killer!
Hatinya berbisik.
“Kau
sukakan gadis melayu itu bukan?” tebak Vivien setelah dua gadis jelita itu
menapak pergi dari salonnya. Selama ini dia tidak pernah melihat sepupunya itu
memandang perempuan dengan pandangan penuh terpesona seperti itu. Tambahan pula,
Zharif tidak pernah mendekati mana-mana pelanggan perempuan didalam saloonnya.
“Kenapa
kau rasa aku sukakan dia?” Zharif membelek-belek majalah pengantin di
tangannya.
“Just...lain
macam je aku tengok cara kau pandang amoi cun tu. Sejak kecil, kau langsung tak
bergaul dengan perempuan kecuali saudara terdekat. Nak tengok kau mengorat
perempuan pun susah, sebab tu aku rasa kau sukakan gadis melayu tu.”
“Erm...”
Zharif mengumam seketika. Wajah sepupunya itu ditatap lama. “Kau nak dengar
cerita tak?”
Viviennee
mengangguk laju. Dia turut melabuhkan punggung di kerusi sebelah sepupunya.
“Nanti la
aku ceritakan pada kau,” putusnya begitu bersulam senyuman nakal.
“Ala...Aku
tak kira. Aku nak tahu juga,” desak Vivien.
“Betul
ni nak tahu?” Zharif
mengangkat-angkatkan keningnya bersulam senyuman nakal.
*******
“Kau
tahu...aku dapat bayangan tadi tau.” Najla mengangkat-angkat keningnya.
“Apa dia?”
Kaki Zawin melangkah perlahan, matanya meliar melihat gedung-gedung dalam pusat
beli-belah itu.
“Aku terbayang
kau dan lelaki hensem dalam salon tu berpacaran, kawin dan ada anak.”
Zawin
berhenti melangkah secara mendadak. Matanya membulat merenung Najla. “Merepek la. Kitorang kawan je. Tak
ada peluang langsung la nak pergi jauh.”
Najla menutup
mulutnya, merenung wajah Zawin dalam riak terkejutnya. “Kau kenal dia? Kau
kawan dengan dia? Jangan kata kau baru kenal dia dalam saloon tu tadi?”
“Kalau
ya...kenapa?” Zawin memberikan sengih
nakal.
“Mustahil.
Sangat mustahil sebab bukan sikap kau memberikan peluang mudah kepada lelaki
untuk menjadi kawan kau.” Najla menghalang Zawin dari terus melangkah. Dia
inginkan penjelasan gadis itu.
Zawin
mencemberutkan bibirnya. “Oh?..Ek? Aku begitu ya selama ini? Erm...nanti la aku
cerita pada kau,” sahutnya sedikit tidak acuh. Dia kembali berjalan,
menyeluruhi gedung-gedung perniagaan di sekelilingnya.
Najla
mengetap bibirnya. “Ok...tak apa. Nanti aku tahu juga.” Keningnya dijungkitkan
ke atas. Mengingati wajah lelaki tampan itu, hatinya diterpa kemusykilan. Apakah
lelaki itu juga lulus ujian persahabatan Zawin?
0 awesome commentator:
Post a Comment
terima kasih berikan komen ya.