BAB 30

            Desiran angin pagi yang kuat, menyentak lena Zawin. Tubuhnya menggeletar kesejukan. Zawin menarik selimutnya ke tubuh yang berada di hujung kaki. Dia terasa kelainan pada diri apabila tekaknya terasa perit, kepalanya terasa berat, perutnya juga memulas tiba-tiba. Seluruh badannya terasa seram sejuk. Sebaik tangannya meraba dahi, dia terperangah. Panas! Aku demam? Peliknya? Tiba-tiba saja ni? Oh...mungkin sebab tidur tak pakai selimut, tambahan pula terdedah dengan angin yang kuat. Zawin membuat andaian. Perut yang memulas-mulas itu terasa begitu menyesakkan. Dia meluru ke tandas. Sudahnya sepanjang hari dia berulang alik ke tandas. Kudratnya terasa diperah.
            “Apa yang berlaku pada aku?” Zawin mula bertanya pada diri. Terasa lemah segenap tubuh. Apabila berdiri pasti tidak bertahan lama. Dia akan terduduk semula. Badannya terasa semakin panas. Dua pil panadol ditelan bersama air putih. Tubuhnya berpeluh-peluh. Rasa panas diseluruh badan membuatkannya menanggalkan baju panas. Panas yang luar biasa itu menyerang kakinya dahulu. Mangkuk berisi air yang sudah tersedia di bawah katil dicapai lalu direnjis ke kaki. Rasa panas itu kemudian menyerang di tubuhnya pula kemudian ke kepalanya. Apabila direnjis ke kepalanya, dia bagaikan terdengar desiran yang sama saat air direnjis api. Sungguh dia terkejut. Tidak pernah dia mengalami demam sebegitu.  
            Dalam keadaan lemah, dia mencapai telefon bimbit yang sudah dicas penuh. Langsung telefon itu diaktifkan. Melihat banyak panggilan tidak dijawab dari nombor ibunya, terus sahaja nombor itu didail semula.
            “Hello. Ha...Zawin. Mana pergi? Risau mak.” Suara Puan Dahlia kedengaran cemas dihujung talian.
            “Kenapa mak?”
            “Tak ada la. Hati mak ni berdebar-debar saja rasa. Macam ada perkara buruk yang berlaku pada anak mak.”
            Zawin tersenyum pahit. Dia benar-benar tidak mahu menyusahkan ibunya namun apakan daya naluri ibunya ternyata lebih tajam. “Oh...err...mak...Zawin...Zawin demam ni.”
            “Ya rabbi. Patut la hati mak rasa tak tenteram. Dah makan ubat?”
            “Dah mak. Mak jangan risau. Nanti baik la.”
            “Memang la. Tapi mak tak tahu kenapa mak tak sedap hati. Zawin cuti kan esok? Balik la Zawin. Kalau tak larat, nanti mak suruh Zafuan ambil.”
            “Ok,” sahut Zawin dalam susah payah.
            “Ha...macam tu la. Dah. Pergi tidur. Nanti mak beritahu Zafuan.”
            “Ya la mak. Ok mak, Zawin tidur dulu ya. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam.”
            Zawin menggelengkan kepalanya. Hati seorang ibu memang istimewa. Ada gerak hati yang mengetahui keadaan anak-anaknya. Nombor telefon pejabat fakulti didail pula untuk memaklumkan keadaannya. Kepalanya terasa berat. Lenanya datang dalam sekejapan.
            Zawin terkejut daripada lena. Bunyi loceng pintu rumah kedengaran nyaring. Beberapa kali loceng itu ditekan. Zawin bangun dengan susah payah. Kepalanya benar-benar pening akibat terjaga dalam keadaan terkejut. Dalam payah, digagahkan dirinya berdiri, mencapai baju panas dan menyarung tudung. Saat membuka pintu, lutut Zawin semakin lemah, lalu dia terjelepuk disitu.
            “Zawin! Kenapa? Sakit ke?” soal Zharif bertalu-talu dalam suara cemas. Wajah pucat Zawin menambahkan rasa paniknya. Puas dia menelefon, namun talian gadis itu tidak dapat dikesan. Hati yang bergolak tidak enak membuatkan dia nekad ke rumah Zawin.
            “Erm...demam,” jawab Zawin dalam perit tekak. 
            Zharif merasa pelik. Semalam Zawin baik saja. Bagaimana boleh demam mengejut begitu? Melihat keadaan Zawin yang tidak terdaya membuatkan dia yakin gadis ini benar-benar sakit. Zharif memegang gril yang masih berkunci. “Zharif hantar ke hospital ya?”
            Zawin menggeleng. “Nanti sihat la. Demam saja,” tingkahnya.
            “Jangan degil Zawin. Pergi hospital ya?” pujuk Zharif.
            Zawin tetap menggeleng.
            Zharif mengeluh. Dia harus cuba cara lain. Gadis ini memang sukar untuk dipujuk. “Tunggu sekejap. Zharif datang balik nanti.”           
            Zawin hanya mengangguk. Dia benar-benar tidak larat untuk bersuara. Matanya menghantar kelibat Zharif yang tergesa-gesa pergi. Tekaknya terasa mual, perutnya pula memulas dan kejang. Perutnya rasa  sungguh  perit membakar. Terburu-buru langkah Zawin menuju ke tandas. Ah! kenapa lain macam demam kali ini?
            “Siapa awak?” soal Zawin di hadapan pintu. Seorang wanita bertudung merah jambu dalam kurung merah bata tersenyum manis padanya.
            “Saya Dr.Husna.”
            “Kawan Zharif,” sampuk Zharif. “Tolong benarkan dia merawat Zawin ya?”
            Zawin menahan rasa sayu. Kepalanya dianggukkan seraya membuka mangga grill.  
            “Zawin kena keracunan makanan,” putus Dr.Husna setelah mengambil kira semua simptom-simptom yang dialami gadis itu. Beg bimbitnya dibuka, menarik kertas dan pen lalu menulis preskripsi ubat yang diperlukan.
            “Hah?” Zawin benar-benar tidak percaya. “Kenapa saya boleh kena keracunan?”
            “Demam, kesejukan, loya, cirit birit, dan perut memulas pada masa yang sama. Ini semua kesan keracunan,” terang Dr.Husna. “Makanan di gerai selalu menjadi punca keracunan. Zawin ingat makanan yang dimakan sebelum jatuh sakit?” soalnya lembut. Matanya dilarikan pada wajah serius Zharif yang jelas bimbang dengan kesihatan gadis itu.
            Zawin tersentak. Padanlah makanan malam semalam terasa lain amat. “Ayam panggang ...” beritahunya lambat-lambat.
            Dr.Husna terangguk-angguk. Tangannya lincah menulis. “Saya akan beri ORS untuk elak tubuh Zawin daripada dehidrasi. ORS akan dapat menggantikan semula air  dan tenaga dalam badan bila Zawin muntah. Selain itu saya akan bagi juga ubat cirit-birit dan muntah-muntah...” Mata Dr.Husna terpaku pada tangan Zawin yang kelihatan bintik-bintik merah. Pantas tangannya mencapai tangan Zawin dan meneliti kesan merah itu. “Zawin, pergi masuk bilik. Cuba tengok bintik-bintik merah ini. Ada tak diseluruh badan?” sarannya bersungguh.
            Zawin mengangguk lemah dan berjalan lambat-lambat ke dalam biliknya.
            “Bahaya ke Husna?” soal Zharif tidak sabar usai ekor matanya menghantar langkah lemah Zawin. 
            Husna terdiam, memikirkan kemungkinan yang berlaku. “    Bintik-bintik merah itu bukan di atas kulit, tapi daripada bawah kulit. Takut sahaja, denggi.” Husna menyuarakan pendapatnya.
            “Bahaya!” getus Zharif. “Tapi Zawin jenis degil. Susah nak paksa dia ke hospital,” luahnya dalam gelisah.
            Dr.Husna tersenyum penuh makna melihat air wajah risau lelaki itu. Biarpun Zharif tidak memberitahunya tapi segala tindak lelaki itu sudah menyatakan perasaannya pada Zawin.
            Sebaik membuka baju, Zawin benar-benar terkejut. Bintik-bintik merah itu ada pada setiap inci tubuhnya. Pada bahagian wajahnya sahaja tidak ada. Bintik-bintik itu tidak timbul namun berada di bawah kulit. Biarpun dia menekan kuat pada tangan, bintik-bintik itu hilang dan muncul semula. Zawin tidak mahu memikirkan kemungkinan yang lebih buruk dalam keadaan tubuhnya benar-benar lemah. Dia terduduk di atas katil. Kepalanya sangat berat dan pening. Dia merebahkan kepala seketika di atas bantal. Memikirkan dua tetamu yang berada diruang tamu, Zawin tidak jadi memejamkan mata. Baju panas dan tudung disarung kembali pada tubuhnya lalu menapak keluar.
            “Macam mana?” tegur Dr.Husna.
            Zawin mengangguk lalu duduk bersimpuh dihadapan wanita berkulit hitam manis itu. “Penuh satu badan,” beritahunya.
            “Saya takut denggi sahaja,” luah Dr.Husna. “Zawin pergi hospital ya,” pujuknya.
            Zawin menggeleng lemah. “Mana Zharif?” soalnya apabila menyedari ketiadaan lelaki itu.
            “Zharif pergi beli preskripsi ubat yang saya beri tadi. Zawin seorang sahaja di rumah?”
            Zawin mengangguk. “Housemate Zawin outstation.
            “Boleh saya ambil cawan? Saya ada bawa air 100 plus. Air isotonik bagus selain ORS untuk beri tenaga pada badan.”  
            “Silakan.” Zawin mengesot ke arah dinding dan menyandarkan belakang kepalanya pada dinding. Dia benar-benar tidak larat. Terasa seluruh kudratnya lupus.
            “Minum air ini.”
            Zawin membuka matanya. Gelas yang dihulur lambat-lambat disambutnya. Terasa lemah tangannya memegang gelas. “Terima kasih,” ucapnya. Air isotonik itu dihirup perlahan. Tubuhnya terasa segar. Zawin menatap wajah manis wanita dihadapannya. “Doktor kerja di hospital mana?”
            Dr.Husna tersenyum lebar lalu menggeleng. “Saya buka klinik sendiri,” balasnya lembut.
            Zawin mengangguk. Dia hanya membiarkan Dr.Husna menambah air isotonik ke dalam gelasnya. Dihirupnya lagi sehingga kering gelas. “Dah lama kenal Zharif?”
            “Lama juga. Sejak kami belajar di Ireland dulu.”
            Zawin mengerutkan dahinya. “Ireland? Bukan ke Zharif belajar di Jepun dan kemudian England?”
            Dr.Husna ketawa kecil. “Zharif memang jenis perahsia orangnya.”
            “Kenapa?” Zawin benar-benar tidak faham.
            “Zharif bekas pelajar perubatan,” beritahu Dr.Husna bersahaja.
            “Hah?! Biar betul?” Zawin membundarkan matanya.
            Dr.Husna mengangguk bersungguh. “Dia berhenti selepas semester pertama tamat. Mungkin  Zharif tidak berminat dengan bidang perubatan walaupun result exam dia sangat cemerlang,” ceritanya lebih lanjut.
            Zawin menelan liurnya. Perut yang memulas dan rasa loya membuatkan dia bangun mendadak dan berlari anak ke tandas.    
            Menjelang tengah malam, Zawin masih tidak dapat tidur. Bubur yang dibeli Zharif  hanya dua sudu masuk ke dalam mulutnya. Seleranya benar-benar mati apabila asyik berulang alik ke tandas. Matanya terkebil-kebil menatap siaran National Geography pada peti televisyen. Dia sendiri tidak faham apa yang ditontonnya. Mindanya tidak dapat menumpukan perhatian kerana setiap inci tubuhnya terasa membakar. Selepas makan ubat-ubat yang diberi, rasa perit diseluruh tubuh semakin bertambah. Terasa ada sesuatu bergerak dalam saluran darahnya. Dia cuba menafikan namun gerakan itu seakan menyerang segenap inci tubuhnya. Kaki dan tangannya kerap diserang gerakan itu. Matanya sangat berat. Dia benar-benar mengantok namun serangan dalam tubuhnya membuatkan dia tidak dapat tidur. Apabila dia tidak bergerak, serangan itu menyerang pada kaki dan tangannya. Dia terpaksa mundar-mandir bergerak dalam mata mengantok amat. Apabila dia benar-benar sudah tidak tahan, I-Phone dicapai lalu mendail nombor Zharif.
            “Zharif...maaf ganggu waktu macam ini.” Zawin melihat jam di dinding. Hampir pukul empat pagi. Rasa bersalah kerana mengejutkan lelaki itu daripada lena apabila mendengar suara mamai         Zharif.
            “Kenapa Zawin? Makin teruk ke?”
            “Ya...” Zawin terpaksa berterus terang.
            Listen...Bersiap sekarang. Zharif ambil Zawin sekejap lagi.”
            “Ok.” Zawin cepat-cepat bersiap. Melintas dihadapan cermin almari ruang tamu, Zawin terpana melihat imej diri. Kulit wajahnya pula naik bintik-bintik merah. Kata-kata Dr.Husna mula berlegar dibenak. Denggi?Ini serius! Hatinya bergalau cemas. 
*******
            “Macam mana?” tanya Zharif sebaik Zawin keluar daripada bilik bertulis nama doktor Aina.
            “Kena masuk air. Doktor cakap ubat antibiotik akan membuatkan gejala keracunan makanan semakin teruk. Tapi Zawin tak salahkan Dr.Husna. Perkara nak jadi kan?” Zawin menutup mulut, menahan menguap.
            Zharif menggeleng kesal. “Tak...bukan salah Dr.Husna. Preskripsi ubat yang Dr.Husna beri tak ada ubat antibiotik. Dr.Husna ada cakap dalam sesetangah kes keracunan, antibiotik boleh menyebabkan pembentukan toksin dalam badan. Zharif yang tambah dalam senarai ubat sebab nak Zawin cepat sembuh. Maaf sangat,” ucapnya dalam serba salah.
            Zawin menggeleng. Matanya menatap wajah lelaki itu bersulam senyuman nakal. “Tak apa. Niat Dr.Zharif baik.”
            Zharif mengangkat sebelah keningnya. Senyuman gadis itu penuh makna tersirat. “Dr.Husna ada beritahu sesuatu?” tebaknya.
            Zawin ketawa kecil. Dia lupa pada sakit yang dialaminya. “Kenapa berhenti belajar?”
            “Berhenti belajar apa?” Zharif buat-buat tidak tahu.
            Zawin menatap lama wajah selamba Zharif. “Tak nak beritahu...tak apa,” ujarnya.
            “Kalau nak tahu semua tentang Zharif...” Zharif tersengih nakal.
             Zawin sudah dapat mengagak ayat seterusnya yang akan dikatakan Zharif. Dia mendadak bangun. “Zawin harus ke bilik nombor tujuh. Kena drip,” beritahunya.
            Zharif mengangguk. “Ok.”
            Zawin meletakkan beg tangannya di atas kerusi. “Tolong jaga beg Zawin,” pintanya.
            Zharif mengangguk lagi.
            “Oh ya. Kalau ada call, Zharif angkat saja” pesan Zawin lagi. Dia terus melangkah, mencari bilik yang diarahkannya pergi. Seorang jururawat perempuan menyambutnya dalam wajah letih. Sewaktu jarum drip disuntik di atas kura tangan kiri, hujung jarum disungkit ke merata arah untuk cari urat darah. Zawin mengetap bibir menahan sakit dan ngilu.  
            “Awak terlalu kurus. Susah nak cari urat,” komen jururawat itu.
            Zawin akur dengan kata-kata itu. Memang dia akui beratnya banyak menyusut kebelakangan ini.  Satu kapas putih ditekap pada bekas suntikan jarum.
            “Berikan tangan kiri,” arah jururawat itu lagi. Jarum drip baru dikeluarkan daripada dalam plastik.
            Zawin hanya akur. Kali ini proses mencari urat lebih mudah. Hanya sekali suntik, terus urat darah dijumpai.
            “Pergi tunggu di Unit Rawatan Sementara,” arah jururawat bertudung biru itu. “Sampai air dalam botol drip ini habis, then awak boleh cabutkan jarum,” lanjutnya lagi.
            Zawin mengangguk tanda faham. Dia memegang drip stand, mengheretnya ke arah Unit Rawatan Sementara. Zawin mengambil tempat di atas katil kosong seperti yang diarahkan jururawat bertudung biru itu. Matanya menyeluruhi unit Rawatan Sementara itu. Di sebelahnya terbaring lelaki dengan bahagian kulit bibirnya terkoyak. Pasti kemalangan! Ngeri betul! Getus hatinya. Seumur hidupnya, boleh dikira dengan jari berapa kali dia pergi ke hospital. Berada di hospital pada waktu ini bagaikan satu mimpi ngeri. Matanya beralih pada katil hadapannya. Seorang kanak-kanak sedang terbaring disisi ibu muda yang wajahnya kelihatan bimbang. Mengerling pada katil sebelah kanan, Zawin terperangah langsung mengurut dadanya. Wajah Zharif terasa begitu hampir dengan wajahnya. Entah bila lelaki itu mengambil tempat pada kerusi disebelah katilnya.
            “Seronok masuk hospital?” soal Zharif bersulam senyum nakal. Terasa lucu melihat dahi gadis itu yang berkerut seribu. Seakan melihat pesakit-pesakit lain bagaikan makhluk asing.
            “Oh...sangat seronok,” balas Zawin sambil membuat mimik muka teruja.
            Zharif ketawa anak. Dia menghulurkan sebotol susu vitagen kepada Zawin. “Minumlah. Susu kultur baik untuk melawan racun dalam badan,” ujarnya.
            “Ya ke tuan doktor?” usik Zawin kembali.
            “Cepat minum,” saran Zharif tanpa mengendahkan usikan Zawin.    
            Zawin tersengih. Dia akur. Penyedut minuman dicucuk pada tengah botol susu lalu mula menyisip susu perisa oren itu. Rasa lemak-lemak masam terasa enak di tekak.
            Zharif menghulurkan lagi sebotol susu vitagen perisa anggur. “Habiskan,” sarannya lagi.
            Zawin hanya akur. Tanpa sedar, sudah lima botol susu kultur itu telah dihabiskan.  Matanya asyik melihat air dalam botol drip yang semakin menyusut.
            “Tadi...Abang Zawin ada telefon.” Zharif bersuara seraya menyisip susu perisa epal daripada penyedut minuman.
            Zawin berpaling menatap wajah Zharif. “Abang Zafuan cakap apa?”
            “Zafuan dah sampai Shah Alam.” Beg tangan warna kuning dihulurkan kepada Zawin. 
            “Hah? Bila?”  
            “Jam 5.30 pagi tadi. Dia di Masjid Shah Alam sekarang.”
            Zawin menahan rasa terharu. Pasti ibunya sudah memaklumkan keadaan dirinya kepada abang kandungnya itu. Merenung nasib diri yang berdepan perpisahan ibu bapa pada usia muda, entah mengapa tiba-tiba sahaja dirinya merasa bertuah. Dia dikelilingi orang-orang yang menyayanginya. 
            “Zawin ok? Sakit lagi ke?” soal Zharif ingin tahu.
            Zawin lekas menggeleng. “Terima kasih Zharif. Terima kasih banyak-banyak sebab selalu ada untuk Zawin,” ucapnya perlahan, berusaha menahan sendu.
            Zharif tersenyum menyeringai seraya mendepakan tangan. “Well baby let me tell you something. I am that good man. I’ll be your Superman baby, comin’ through to save you. Call me whenever you want, I’m here to help you.Your Superman baby, your man baby.” 
             Zawin ketawa kecil. “Superman? Lain kali datang pakai seluar dalam merah di luar seluar ya?”
            Zharif memincingkan pandangannya. Seakan mencabar. “Nak tengok ke?”
            Zawin memuncungkan bibirnya. Malas melayan lelaki itu. Matanya membulat sebaik mendengar bunyi klik. “Zharif!” marah Zawin apabila melihat lelaki itu tersengih menang sambil memegang I-Phone.
            “Comelnya dia...” Zharif menatap  gambar itu sejenak langsung memasukkan I-Phone ke dalam kot hitam apabila Zawin berusaha merampas telefon pintarnya itu. “Jaga-jaga. Jarum drip terkeluar nanti.” Zharif mengunjukkan jari ke arah tangan Zawin.
            Zawin menjeling tajam. “Whatever.
            Zharif tersengih menang. Zharif menatap sejenak jam Casio ditangannya. “Zharif nak solat dulu. Dah masuk waktu subuh. Zawin boleh solat?”
            Zawin menggeleng laju.
            “Ok. Zharif pergi dulu.” Zharif bangun mendadak lalu melangkah pantas. Langkahnya mati apabila teringat kata-kata Dr.Nabil.
            Zawin mengerutkan dahi apabila Zharif berpatah balik dalam senyum penuh makna. “Kenapa?”
            “Dah berapa hari tak boleh solat?” soal Zharif.
            “Empat hari,” balas Zawin bersahaja.
            Zharif mengira dalam diam tarikh kitaran haid gadis itu. Dia berusaha menyembunyi senyum. “Tiap-tiap bulan tetap ke atau tak tetap?” soal Zharif lagi dalam berlapik.
            “Tetap. Kenapa tanya?” soal Zawin kembali.
            “Saja tanya. Pergi dulu. Assalamualaikum.” Zharif berlalu dalam senyuman tersemat pada bibirnya.
            “Apahal lelaki itu?” Zawin menggelengkan kepalanya.
********
            “Hebatnya!” getus Zharif sambil mendongak ke arah pangkal pokok kelapa gading. Zafuan dilihatnya benar-benar cekap memanjat pokok kelapa gading hingga ke pangkal dalam waktu yang singkat. Satu keistimewaan yang jarang-jarang dilihat pada anak muda masa kini.  
             Zafuan mencantas setandan buah kelapa muda lalu jatuh berdebuk ke atas tanah. Parang dicampakkan ke bawah. Tiada rasa takut atau pun gayat dalam dirinya. Dia pernah memanjat pokok petai yang dipenuhi sarang kerengga merah dan mendapat upah yang banyak semasa remaja. Membesar sebagai anak kampung banyak mengajarnya kemahiran-kemahiran yang amat bernilai. Pantas dia turun dari pokok kelapa setinggi tiga puluh kaki itu.
            Zharif terkebil-kebil melihat kepantasan Zafuan turun daripada pokok kelapa gading. Tidak gayatkah lelaki ini? Desis hatinya.
            “Zharif boleh kupas buah kelapa?” soal Zafuan seraya menyeka peluh yang merinding didahi.
            Zharif mengangguk. Parang pendek di atas tanah segera dicapai.
            “Bagus. Zaf ambil nanas di sana dulu.” Zafuan terus menapak ke arah kawasan kebun yang dikhususkan tanaman nanas. Nanas yang cukup masak ranum dipetik lalu merendam ke dalam sungai buat beberapa ketika. Dia tersenyum lebar melihat lelaki sama baya dengannya itu mengupas kelapa gading dengan tangkas. Sengaja dia mengajak Zharif datang ke rumahnya untuk berkenalan dengan lebih lanjut. Pada pandangan pertama sahaja dia sudah menyenangi Zharif. Dalam hatinya berbisik bahawa Zharif satu-satunya lelaki yang tulus ingin melindungi Zawin. Kini dia tidak risau lagi dengan keselamatan Zawin dengan adanya lelaki seperti Zharif disisi adiknya itu. Nanas yang sudah bersih itu dibawa ke atas pangkin yang dibina di bawah pokok rambutan.
            “Ini nanas sarawak?” soal Zharif usai Zafuan mengupas kulit nanas dan menghiris kecil-kecil.
            Zafuan menggeleng. “Nanas Josephine. Ini nanas kacukan Johor dan Sarawak. Bila ada pihak yang kata nanas Josephine didapati sesuai ditanam di tanah negeri Perak, Zaf cuba tanam. Tak sangka menjadi malah menghasilkan buah yang lebih manis. Ada yang kata tanah di Perak dipercayai mengandungi mineral sesuai untuk tumbesaran nanas yang baik,” ceritanya bersungguh.
            Zharif mengangguk. Kemajuan teknologi memungkinkan segala yang mustahil. Dia membawa dua kelapa gading muda yang telah siap dikupas ke tengah pangkin. Zharif menelan liur melihat Zafuan menaburkan sedikit garam halus bersama serbuk lada putih pada hirisan buah nanas. Ini makanan dan minuman yang tepat dinikmati kala cuaca panas begini.
            “Zawin dah beransur pulih. Syukur sangat. Nasib baik bukan denggi,” ujar Zafuan sambil menikmati air kepala muda.
            “Syukur. Tak tahu pula air kelapa muda boleh ubati keracunan makanan.” Zharif mengambil sepotong nanas dan dikunyah perlahan.
            “Air kelapa muda banyak khasiat untuk kesihatan. Racun dalam badan akan neutral bila air kelapa muda diminum,” ujar Zafwan. Isi kelapa muda dinikmati penuh selera. Manis dan harum baunya.
            Zharif merenung bersungguh wajah jernih Zafuan. Dia bersyukur. Bertambah lagi seorang kenalan dalam kalangan mukmim yang baik. Walaupun Zafuan menjalani hidup biasa, mengajar di Mahad Tahfiz, tetapi dia yakin amat Zafuan seorang lelaki yang luar biasa. Berada disisi lelaki ini, dia dapat merasakan aura positif yang sangat kuat. “Zaf, boleh tanya sesuatu?” soalnya tiba-tiba.
            “Ya. Silakan.”
            “Tak ada niat untuk kahwin lagi?” soal Zharif berhati-hati.
            Zafuan tersenyum lebar. “Tentunya ada. Jodoh itu akan hadir bila tiba masanya,” balasnya penuh yakin. Wajah Zharif disisi ditatap lama. “Semoga berjaya,” ucapnya selamba.
            Zharif terpinga-pinga. “Untuk apa?”
            Zafuan tersenyum penuh makna. Dia menepuk lengan lelaki itu beberapa kali. “Mari pulang,” ajaknya seraya mengemas sisa-sisa kotoran di atas pangkin.
            Zharif akur biarpun hatinya tertanya-tanya dengan kata-kata Zafuan.
            Menjelang petang mereka pulang ke rumah membawa pelbagai jenis buah yang dipetik dari kebun. Zharif tersenyum manis apabila berpapasan dengan Puan Dahlia yang sedang membelai bunga orkid. Matanya terlalu seronok melihat bunga-bunga yang hidup subur di sekeliling rumah kayu dua tingkat itu. Pokok bunga orkid dikhususkan khas dalam sebuah bangsal. Dalam banyak-banyak pokok bunga orkid, matanya berkenan pada bunga orkid yang mempunyai lima kelopak warna yang unik. Empat daripadanya berwarna putih manakala satu kelopak berwarna ungu. Maha suci Allah! Cantiknya! Desis hatinya. Lama matanya tidak beralih daripada bunga orkid tu.
            “Zharif suka bunga orkid?” tegur Puan Dahlia. Hatinya berkenan amat dengan anak muda asal Kedah itu. Akhlaknya sangat baik. Hatinya terasa sejuk menatap wajah lelaki itu. Lawa orangnya. Hatinya memuji.
            “Suka. Tapi tangan Zharif tak rasi dengan bunga. Puas tanam tapi tak menjadi,” balas Zharif sopan. Wajah wanita separuh baya itu ditatap penuh kasih. Terasa ada bayangan arwah ibunya pada wajah wanita  itu.
           
            Puan Dahlia tersenyum. “Pokok bunga ini agak sukar dijaga. Kena selalu jaga. Tak boleh kena panas sangat, tak boleh terlebih air sangat. Tambah pula pokok berbunga sensitif sikit. Apa yang penting selalulah kena jaga, kena siram setiap pagi atau malam sahaja sebab pokok akan mati kalau siram pada waktu matahari tegak diatas kepala,” jelasnya.
             “Susah juga,” getus Zharif. Tangannya membelai bunga orkid berwarna kuning pula.
            “Ya. Pokok perlukan kasih sayang seperti manusia. Kena belai selalu dan selalu bercakap dengan pokok. Disitu akan wujudnya rasi tangan kita dan pokok akan tumbuh dengan baik. Seperti bunga orkid ini, cuaca hujan dan lembab menyebabkan bunga-bunga orkid yang berkembang cepat rosak tapi kalau kita selalu belai, kudup bunga yang baru pasti terus tumbuh,” tambah Puan Dahlia lagi.
            “Begitu?” Zharif benar-benar kagum dengan pengetahuan Puan Dahlia. Sesuai amat dengan namanya. Matanya terpaku pada dua kuntum bunga matahari yang tumbuh dalam satu bekas panjang. “Bunga matahari itu, makcik tanam juga?”
            “Tidak lah. Zawin yang tanam. Banyak juga letak benih tapi yang menjadi hanya dua. Itupun daripada benih dwarf sunflower.” Puan Dahlia menunduk, mengambil air basuhan beras lalu menyiram pada pokok-pokok bunga yang berada didalam pasu.
            Zharif terus mendekati dua kuntum bunga matahari dalam senyuman menguntum dibibir. Diperhati dalam-dalam. Bunga itu kecil berbanding bunga matahari yang pernah dihadiahkan pada Zawin, lagi pula tingginya lebih kurang dua kaki. Namun apa yang menarik perhatiannya kelopak bunga berwarna kuning itu mempunyai kelopak-kelopak yang berlapis dan agak tebal.
            “Pokok rambutan...semoga terus berbuah.  Keraplah berbuah untuk cucu dan cicit aku nanti ya.”  
            Zharif menahan senyum mendengar Puan Dahlia berkata-kata dengan pokok rambutan. Matanya dialihkan pada pohon teduh bersebelahan pohon rambutan. Buaian kayu yang dibina pada salah satu dahan pohon teduh menarik perhatiannya. Tempat duduk buaian itu diperbuat daripada kayu yang kukuh, diikat pula dengan tali sauh. Tanpa sedar Zharif mendekati buaian itu. “Berapa lama buaian kayu ini dibina makcik,” soalnya ingin tahu lalu menyentuh tali buaian. Dihayun perlahan.
            “Sejak Zawin berusia lima tahun,” beritahu Puan Dahlia. “Ayah dia yang bina,” lanjutnya lagi. Sejenak mindanya mengimbau kenangan indah semasa keluarga mereka menikmati bahagia dahulu. Buaian itu sering menjadi tempat bermain Zawin dan ayahnya kala petang merangkak tiba. Dia dan suaminya akan bergilir-gilir menghayunkan buaian itu bersama. Saat itu hanya gembira dan ria yang mengisi suasana. “Selepas makcik bercerai dengan pakcik, Zawin tidak pernah menyentuh buaian itu lagi. Memandang sekilas pun dia tidak mahu,” ceritanya lagi membuka kisah silam.
            Zharif hanya mengangguk. Dia faham amat mengapa Zawin menjadi sedemikian. Melihat wajah sayu wanita dihadapannya itu membuatkan dia rasa bersalah. Sudahnya dia menukar topik. “Cantik bunga-bunga makcik. Ada orang datang beli?”
            Puan Dahlia tersenyum lebar. Dia mengangguk. Tangannya lincah mencucuk batang muda pokok bunga ke dalam paket-paket tanah dikawasan tapak semaian. “Pelanggan tetap makcik seperti Jabatan Pertanian dan sekolah-sekolah yang nak tanam bunga di sekolah. Kadang-kadang orang cina yang lalu lalang depan rumah pun ada datang beli. Biasanya golongan cina kaya suka beli bunga kertas yang macam bonsai besar macam ini,”ceritanya lagi sambil mengunjukkan pada bunga kertas bonsai yang berwarna-warni di atas tanah. 
            Zharif benar-benar kagum dengan kemahiran Puan Dahlia. Dia sedar, bangsa Melayu adalah bangsa yang paling gemar menanam bunga-bunga di halaman rumah. Bunga bagaikan terlalu sinonim dengan bangsa melayu. Bahunya ditepuk perlahan. Dia berpaling.      Zafuan tersenyum manis dalam baju melayu kuning cair dipasangkan dengan kain pelekat petak-petak.
            “Mari makan petang,” ajak Zafuan.
            Zharif tersenyum segan apabila membandingkan dirinya yang masih kotor dan belengas. “Zharif mandi dulu. Tak selesa pula,” ujarnya.
            “Ok. Silakan.” Zafuan terus mendekati ibunya yang sedang sibuk menyusun paket-paket hitam dibawah pohon rambutan.
            “Jangan sentuh. Kamu dah mandi,” larang Puan Dahlia sebaik anak lelakinya itu ingin menyentuh paket plastik hitam berisi tanah.
            Zafuan tersengih. “Apa yang Zaf boleh tolong?” 
            “Tolong tengok,” balas Puan Dahlia seraya menyeka peluh didahi.
            Zafuan ketawa kecil. “Amboi mak, pandai melawak sekarang ya?”
            Puan Dahlia tersenyum lebar. Wajah Zafuan ditatap sejenak. “Apa pendapat Zaf tentang Zharif?”
            Zafuan tersenyum penuh makna. “Zaf suka dia,” balasnya seraya mendekati buaian kayu lalu melabuhkan punggung disitu.   
            Puan Dahlia tersenyum senang. Bila anak lelakinya berkata begitu, dia tahu gerak hatinya tidak salah kali ini.    
            “Kau dikampung Zawin?” soal Fuad dihujung talian. Ada kejutan pada nada suara itu.
            “Ya. Semalam lepas isyak aku tertidur macam orang mati. Punyalah letih. Tengah hari tadi baru aku bertolak ke sini.” Zharif menghela nafas dalam-dalam. Semalam dia keletihan minda dan juga fizikal. Seharian dia bersengkang mata dan bertegang urat berunding dengan beberapa ahli korporat berbangsa Jepun. Menjelang petang pula, Khalid meminta dia meneliti serta menjadi saksi kepada urusan jual beli sebuah kapal mewah milik jutawan Arab. Kembali ke kondominium miliknya menjelang senja, dia berfikir alangkah indahnya jika yang menyambutnya pulang adalah isteri dan anak-anak yang comel dan petah bercerita. Namun yang menyambutnya sehingga kini adalah kesepian. Apabila Zafuan menelefonnya, mengajak bercuti ke Perak, tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju.
            “Bagus juga tu. Dapatlah kau berehat di sana. Seronok?”
            Zharif tersenyum sendiri. “Sangat seronok. Rumah yang ada kasih sayang seorang ibu, bagaikan berada dalam syurga dunia.”
             “Baguslah. Baik kau tawan hati bakal mak mertua kau. Nak tawan anak wajib tawan orang tuanya dulu,” saran Fuad bersulam tawa halus.
            Zharif turut tergelak. “Pandailah kau. Macam mana dengan convention?”
            “Ok. Isu berbangkit tentunya pencemaran laut daripada kebocoran minyak kapal. Nanti aku cerita pada kau bila kau balik.”
            “Ok. Aku nak mandi. Jumpa nanti. Assalamualaikum.” Sejurus mematikan talian, Zharif terus mencapai tuala dan pakaian, menuruni tangga menuju ke bilik mandi. Melintasi Zawin yang sedang duduk dihadapan mesin jahit, kakinya berhenti melangkah. “Zawin pandai menjahit?” soalnya dalam tidak percaya.
            Zawin ketawa halus. “Tak pandai. Jahit tepi macam ini boleh la,” balasnya dalam tangannya cekap menjahit tepi kain polka dot hijau.
            “Jahit tepi pun, dikira menjahit.” Zharif memang memandang tinggi pada mana-mana gadis yang miliki kemahiran menjahit. Merasa ada sesuatu yang mengelilingi kakinya, Zharif terus melompat. “Eee...kucing!” Dia berusaha mengelak apabila anak kucing berwarna oren itu tidak jemu mencuba untuk meleset-lesetkan badan pada kakinya.
            Zawin membundarkan matanya. “Zharif tak suka kucing?” soalnya dalam tawa yang tertahan melihat wajah Zharif yang terzahir tidak menggemari haiwan itu. Jahitan ditinggalkan seketika lalu mendukung anak kucing berbulu lebat itu.
            “Bukan tak suka. Tapi geli.” Zharif berdehem beberapa kali, cuba mengawal rasa geli-geleman yang menguasai dirinya.
            So sweet,” getus Zawin bersulam senyum nakalnya.
            Zharif terasa wajahnya membahang. Dia hanya lelaki biasa yang punya banyak kelemahan. “Zharif mandi dulu,” pintanya lalu melangkah pantas menuju ke bilik mandi.
             Zawin tersenyum panjang. Tangannya lincah menyudahkan jahitan tepi kain polka dot itu. Wajah Zharif sebentar tadi benar-benar menggeletek hatinya namun puas ditahan daripada tawanya terhambur. Siapa sangka lelaki hebat itu punya kelemahan-kelemahan yang tidak pernah terlintas dimindanya. Usai menjahit, Zawin melangkah ke dapur, membuka tudung periuk pengukus. Bau pandan semerbak mewangi, mengapung dan menebar ke seluruh rumah. Kuih sampan telah masak. Teh bunga dibancuh dalam teko lalu meletakkan ke dalam dulang bersama sepinggan kuih sampan.
            “Wah! Dah lama mak tak buat kuih sampan,” tegur Zafuan sebaik adiknya meletakkan dulang dihadapannya. Mindanya sudah membayangkan kuih yang dimasak dalam kelongsong daun pisang berbentuk sampan itu akan cair dalam mulut apabila gabungan lapisan kepala santan dan tepung hijau berair gula dimakan sekali. Ada gabungan lemak, masin dan manis bersatu. Kecur liurnya!
            “Bukan mak yang buat. Zawin yang buat,” nafi Puan Dahlia. Dia membetulkan duduk di atas beranda.
            “Zawin yang buat? Habislah. Sampan ini pasti kurang manis,” usik Zafuan.
            Zawin menjeling sekilas. “Tambahkan manis dalam senyuman...kurangkan manis dalam makanan,” sahutnya selamba.
            Puan Dahlia dan Zafuan ketawa serentak.
            “Ada sahaja nak dijawabnya,” komen Zafuan lalu menyentuh kepala adiknya.
            Zharif yang baru sahaja bersiap selepas mandi terus menuju ke beranda yang luas. Pemandangan pohon-pohon bunga yang tumbuh subur di sekeliling rumah dari beranda amat menenangkan jiwanya. Paling dia suka melihat pohon kekabu yang menerbitkan warna-warna putih dipokok. Apabila angin menderu kencang, kekabu berterbangan dan bertaburan di atas tanah. Sungguh indah!
            “Mari makan Zharif,” ajak Zafuan sebaik melihat Zharif dalam baju melayu merah, berkain pelekat hitam merah petak-petak berdiri dihadapan pintu.  
            Zharif mengangguk bersulam senyuman manis. Dia mengambil tempat disebelah Zafuan.
            Zafuan membaca doa makan dan diaminkan beramai-ramai.
            “Ini kuih tako?” soal Zharif pada Puan Dahlia. Bentuk sampan yang dibentuk daripada daun pisang itu menarik perhatiannya.
            “Bukan. Ini kuih sampan atau tepung pelita. Kuih tako dibuat mengggunakan tepung jagung, kuih sampan pula guna tepung beras,” jelas Puan Dahlia. Air teh bunga dihirup perlahan.
            Zharif mencedok isi kuih menggunakan sudu. Dia mengangguk. Beza amat dengan kuih tako. Kuih tako tiada air bergula dan ada sengkuang cina. Kuih sampan ini pula tekstur kuih lembut dan berair gula. “Sedap!” getusnya teruja.
            Zafwan mengangguk. “Memang sedap,” sokongnya.
            Zawin tersenyum lebar melihat kuih yang dimasaknya itu dihabiskan satu demi satu.
            “Mak ingat lagi masa Zawin kecil dulu. Bila makan kuih sampan, Zawin selalu kata yang dia nak beli sampan bila dah besar nanti.” Puan Dahlia membuka cerita tiba-tiba.
            Zawin menahan merah wajahnya. “Ala mak ni, itu cerita lama.”
            Zafuan ketawa kecil. “Betul tu mak. Zawin selalu kata nak berlayar ke seluruh dunia guna sampan. Bila lah agaknya Zawin nak beli sampan sendiri ya?” sokongnya.
            Zharif ketawa kecil melihat wajah Zawin yang semakin merah.
            “Zawin beli betul, baru tahu...” Zawin menceceh seraya menjeling abangnya.
            Zafuan tergelak besar melihat telatah adiknya.
            Zharif menahan nafas apabila merasa ada sesuatu berbulu meleset pada belakang tubuhnya. Sejurus mendengar bunyi mengiau, mendadak Zharif terbangun. Kenapalah kucing ini malukan aku depan semua orang? Rungutnya didalam hati.
            Puan Dahlia dan Zawin hanya mampu tersenyum.
            “Mak nak pergi mandi,” pinta Puan Dahlia lalu beredar ke dalam rumah.
            “Kucing ini makhluk yang tiada najis. Kenapa menghindari kucing?” soal Zafwan lalu membelai kepala kucing betina itu.
            “Err...geli. Itu sahaja.” Zharif kembali duduk bersila apabila Zawin memangku kucing itu.
            Zafuan tersenyum penuh makna. “Malam ini Zaf ada latihan di gelanggang silat. Nak ikut?”
            “Silat gayong?” soal Zharif apabila teringat tentang cerita Iskandar sewaktu mereka berlatih boxing dahulu.
            Zafuan mengangguk. “Zharif mesti ada seni pertahankan diri bukan?”        
            “Tomoi,” balas Zharif.
            “Lagi?” Zafwan mengangkat keningnya.
            “Kenapa? Ada keraguan?” Zharif pula mengangkat sebelah keningnya.
            Zafuan mengangguk. “Ceritalah.”
            Zharif menatap dalam-dalam wajah tenang lelaki itu. Hatinya mula tertanya-tanya. Pandangan lelaki ini padanya seperti pandangan guru silatnya dahulu. Pandangan basyirah yang mampu menembus hijab diri seseorang. Apakah lelaki ini juga...
            “Kalau tak nak cerita, tak apa,” pintas Zafuan tiba-tiba.
            “Zharif ada berlatih silat tekpi,” beritahu Zharif pantas. Dia yakin sudah mendapat jawapan pada persoalan hatinya. Padanlah berada disisi lelaki itu dia merasakan tenaga positif yang sangat kuat. Sama seperti guru silatnya dahulu.
            Zafuan tersenyum lebar. “Selepas isyak nanti kita pergi,” putusnya.
            Zharif mengangguk. Teh bunga dihirup sehingga kering.
            “Dah nak maghrib. Mari ke surau,” ajak Zafuan lalu bangun.
            Zharif turut bangun, menuruni tangga kayu, menyarung sandal dan mengikut langkah Zafuan.
            Zawin mendukung kucing oren itu sambil ekor matanya menghantar langkah kedua lelaki itu ke surau. Matanya membundar luas sebaik melihat sebuah mercedez hitam meluncur masuk ke halaman rumah.
            Zharif terpaku melihat kelibat yang keluar dari perut kereta mewah itu. “Dato’ Zawawi?”
            Dato’ Zawawi membuka cermin mata hitam. “Zharif?” soalnya dalam tidak percaya.
            Zafuan terus menyalami ayahnya. Matanya sempat menangkap kelibat adiknya yang terburu-buru masuk ke dalam rumah.

8 awesome commentator:

  1. Best2..cpt2 up next n3..nk tau ape kesudahan antara zharif ngn zawin..cite nie terdapat bnyk pengajaran yg bleh di buat pnduan..

    ReplyDelete
  2. Harap2 abis kt blog jek..dan x de ag kuar cite psl yasmin yg busuk ati tu..hihihi
    - ita

    ReplyDelete
  3. best sgt2. tk sbr bk tggu zawin couple dgn zharif. tahniah maira. teruskan dan sy tk sbr bk tggu cerita zawin n zharif. ummuah kat maira

    ReplyDelete
  4. janganlah bersambung kat 'tempat lain' pulak nanti... dah siok2 baca ni...

    ReplyDelete
  5. nice..sib baek da x de part is n zawin..hehe..

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum kak maira.. cptla smbung ye..eija xsbar..huhu..love u kak maira..gemleo mmg best.!

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah.. stelah beberapa kali trgndala nk bca.. abess gakk...Hoo... haha.. Kambing kuzi ya.. ckp ngn zharif ngn sore mamai yaa.. haha.. pepaleh wehhh.. Nway.. Great job mya..

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top