BAB 20

            “Jadi...Zharif pinjamkan Jazz biru tu pada ma?” soal Iskandar sambil melarikan pandangan pada kereta sub-compact yang diparkir berhampiran restoren india muslim itu.
            Zawin mengangguk perlahan sambil menyisip jus tomato. Hatinya terasa lapang selepas menceritakan perihal kejadian malam semalam kepada lelaki itu.
            “Kenapa ma terima?” soal Iskandar dalam nada tidak berpuas hati. Seleranya terus mati lalu menolak pinggan berisi nasi biriani ke tengah meja.
            “Ma tak terima bulat-bulat ok. Ma sewa,” tegas Zawin.
            “Ermm.” Iskandar menghirup teh tarik. “Berapa lama agaknya kelisa kuning tu keluar dari bengkel?”
            “Paling lewat tiga minggu. Paling awal dua minggu.”
            “Ok la tu. Jangan lupa bayar sewa pada Zharif. Pa nak beri pinjam pun, tak ada kereta lain,” pesan Iskandar dalam wajah mencuka.
            Zawin menyedari perubahan riak wajah itu. “Tindakan ma salah ke?”
            Iskandar menggeleng. “Bukan,” balasnya dalam nada lemah.
            “Habis tu?” Zawin meminta kepastian.
            Iskandar menatap sepasang mata gadis itu. “Zharif mampu buat perkara yang pa tak mampu. Zharif sentiasa ada bila ma perlukan dia. Pa rasa...sangat tak berdaya. Sangat tak suka perasaan macam ni,” luahnya lalu menundukkan kepala sambil menguis-nguis nasi biriani dalam pinggan.
            Zawin tersenyum lebar. Fahamlah dia mengapa lelaki ini berubah riak wajahnya. “Bukan semua Zharif mampu buat,” ujarnya tenang.
            Iskandar mengangkat wajahnya. “Ya? Apa dia?”
            “Kalau Zawin sakit, pa yang mampu rawat. Kan?” balas Zawin dalam senyum manis.
            Serta merta senyuman terukir dibibir Iskandar. Gadis ini memang pandai memujuknya.      Nasi biriani disuap ke dalam mulut dengan penuh selera. 
            Zawin menahan senyum. Dia kembali menyisip jus tomato sambil matanya tidak lepas melihat cara Daniel Iskandar makan. Sekejapan sahaja pinggan putih itu licin. “Pa kata pergi Pet World tadi kan?”
            Iskandar mengangguk.
            “Beli arnab tak?”
            “Tak.”
            “Kenapa?”
            Iskandar mengambil tisu, mengelap mulutnya. Matanya merenung wajah gadis dihadapannya. “Sebab ma tak ada.”
            Zawin ketawa kecil. “Suka sangat guna alasan macam tu.”
            “Dah betul kan?” Iskandar tersengih.
            “Ya la tu. Kenapa bukan kucing? Arnab ni kata orang la...jenis statik. Kurang fun. Tak macam kucing.”
            Iskandar mengumam seketika. “Najis kucing ni...ermm bau sampai seluruh rumah. Lagi pula pa tinggal di pangsapuri. Tak sesuai. Nak jaga arnab lebih mudah. Najis arnab kurang bau dan mudah dibuang,” jelasnya panjang lebar.
            Zawin mengangguk. “Ok. Pa memang nak bela arnab la ni?”
            Iskandar mengangkat kedua bahunya. “Baru terfikir. Itu yang pa tanya pendapat ma.”
            Zawin tersengih. “Terpulang pada pa. Apa yang penting, pa gembira.”
            “My happiness is being with you,” balas Iskandar serius.
            Zawin merenung wajah kacak berkemeja polos kuning cair bersama tali leher kelabu itu. “But you never say that you love me.”
            Iskandar menghela nafas panjang. Matanya menikam anak mata hitam Zawin. “Love...is not describe by word or deliver through confession. Love...is also about how you take care about your spouse. The same goes with me. I’m showing my love to you by my action. My caring. And I hope that you understand my feeling toward you instead saying ‘I love you’.”
            Zawin mengetap bibirnya geram. Dia terus menyisip jus tomato sehingga kering.
            Can’t you feel my heartbeat?” Iskandar mengangkat-angkatkan keningnya lalu meletakkan tapak tangan kanan di atas dada.
            Zawin menjeling manja. “Bagi steteskop,” pinta Zawin sambil menadah tangan.
            “Serius?” cabar Iskandar.
            “Betul la,” jawab Zawin bersungguh.
            Iskandar tersengih. “Ada dalam kereta. Pergilah ambil.”
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Malas la.”
            Iskandar ketawa besar. “Orang malas selalu rugi,” giatnya.
            “Malas itu indah,” balas Zawin selamba.
            “Indah la sangat.” Iskandar ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. “Ma ni ada je benda yang buat pa melalut juga.”
            “Hello...siapa yang ajak melalut? Ok, berbalik pada isu tadi. Jangan nak ubah topik ok.”
            Iskandar tersengih. “Ma...kita cakap hal ni lain kali ya? Pa penat sangat hari ni.”
             Zawin mengangguk dalam senyum pahit. “Pa buat apa hari ni?”
            “Bersenam di gym. Ma ingat kan pa pernah kata nak bina otot badan?”
Zawin mengangguk.
            “Pa baru daftar pagi tadi. Murah juga la. Yuran tahunan dalam dua ratus lebih. Gym di seksyen 14,” beritahu Iskandar.
            “Erm...nampaknya hari cuti pun pa sibuk la lepas ni,” ujar Zawin, membuat muka bosan.
            “Pa janji...yang pa akan ada masa untuk ma.”
            “Kalau ada masa...”
            “Ma rasa...selama ini pa tak cukup luangkan masa untuk ma?” Iskandar menyeka rambutnya berkali-kali. Dia tidak suka melihat wajah muram gadis itu.
            Zawin terdiam. Wajah lelaki dihadapannya ini ditatap lama. “Tak  apa. Ma akan faham,” balasnya lambat-lambat.
            “Ma...tak setuju ke pa bersenam di gim ni?” soal Iskandar ingin tahu.
            “Badan pa dah ok. Tak perlu rasanya nak bina badan lagi,” balas Zawin lambat-lambat.
            “Pa...cuma nak hargai nikmat pemberian tuhan. Erm...ada seorang pesakit pernah kata begini pada pa. Pa diberikan banyak nikmat yang tak ramai insan miliki. Nikmat sihat, nikmat rupa, nikmat harta, nikmat cerdas. Bila pa fikir, memang ada benarnya. Tak ramai manusia yang peroleh nikmat sebegini kan? Jadi...pa fikir dengan bersenam dan membina otot badan adalah satu cara untuk menghargai nikmat ilahi. Ma rasa...betul ke tindakan pa?”
            Zawin menatap lama wajah lelaki dihadapannya itu. Dia tidak jadi bersuara sebaik menyedari dua orang gadis menghampiri meja mereka.
            “Dr.Daniel...what a coincident? Dah habis waktu kerja ke?” tegur gadis bertudung biru muda.
            “Oh...hai. Tak ada lah. Hari ni cuti,” balas Iskandar dalam senyuman lebar.
            “Ni ke doktor hensem yang kau cakap tu?” bisik seorang gadis bertudung coklat.
            “Ini la dia. Hensem kan?” balas gadis bertudung biru.
            Zawin menggelengkan kepalanya. Biarpun dua gadis itu saling berbisik, telinganya masih dapat menangkap butir-butir ayat yang dilontarkan.
            “Dr.Daniel kenal saya lagi tak?” soal gadis bertudung biru.
            Iskandar menggeleng laju. Setiap hari dia merawat berpuluh-puluh pesakit. Masakan dia boleh mengingati wajah-wajah yang pernah mendapatkan khidmatnya. “Maaf. Saya tak ingat,” balasnya dalam senyuman.
            Wajah gadis bertudung biru itu kelihatan hampa. “Ala...doktor yang buat ujian  Pap-Smear pada saya dua hari lepas,” beritahunya tanpa segan silu.
            Mata Zawin membulat luas. Wajahnya terasa diserbu darah daripada segenap inci. Bagaimana gadis ini boleh bersikap selamba dalam hal seperti itu?
            “Oh ya ke? Maaf la ya. Saya betul-betul tak ingat,” balas Iskandar sambil matanya mengerling wajah terkejut Zawin.
            “Erm...tak apalah doktor. Ganggu doktor nak makan saja. Kami pergi dulu.” Gadis bertudung biru menarik tangan rakannya dan berlalu pergi.
            Zawin menunduk. Tangannya bermain dengan alas meja. Rasa segan menggunung tiba-tiba menguasai diri. Daniel Iskandar pastinya mengenali segenap inci anatomi seorang perempuan!
            “Ma...ok ke tak ni?”
            Zawin cuba mengawal rasa segan lalu menatap selamba wajah lelaki dihadapannya. “Ma nak balik,” balasnya lalu berdiri.
            Iskandar tersengih nakal sebaik menyedari punca perubahan air wajah Zawin. “Ma...nanti buat ujian pap-smear dengan pa ya?” usiknya.
            “Nampak ni?” Zawin mengunjukkan buku limanya ke arah Iskandar. “Walau semua doktor perempuan dalam dunia ni mati sekalipun, ma takkan buat test tu dengan pa!” tegasnya dalam pipi yang merona merah.
            Iskandar menahan tawa. “Walaupun selepas kita kawin?” ujinya.
            Zawin menjeling tajam.
            Iskandar terus menghamburkan tawa besarnya.
*******
            “Kau yakin Zawin selamat?” soal Fuad sambil matanya menatap skrin TV. Tangannya lincah menekan-nekan butang pada alat kawalan PS3 itu.
            Zharif turut menekan kuat butang yang mewakili kelajuan kereta dalam permainan video itu. “Zawin selamat. Kau jangan bimbang,” balasnya yakin.
            “Macam mana kau tahu?”
            “Jazz biru tu...kau ingat sebuah kereta Honda biasa?” Zharif terus menekan butang kelajuan dan kereta biru yang dipilihnya pada awal permainan tadi menjadi juara perlumbaan itu.
            Fuad memandang sekilas pada skrin TV kemudian ke arah wajah tenang Zharif. “Kau...ada lakukan sesuatu di luar pengetahuan aku?” soalnya penuh sangsi. Dia sangat mengenali sahabatnya ini. Fikiran lelaki ini jauh ke hadapan berbanding dirinya.
            “Ya,” balas Zharif lalu meletakkan alat kawalan ke atas lantai. Bermain permainan video PS3 di kondominium Fuad antara rutin yang digemarinya setelah penat bekerja. Hirisan buah pear dicapai lalu dimasukkan ke dalam mulut.
            Fuad pantas meletakkan alat kawalan di atas lantai. Dia duduk mendepani lelaki yang mengenakan pijama tidur berwarna biru itu. “Apa yang kau lakukan? Cerita lah?” soalnya dalam teruja. Tangannya turut mencapai hirisan buah epal merah dalam pinggan yang penuh dengan pelbagai jenis buah itu.
            Zharif tersengih. “Aku pasang satu alat khas pada Jazz biru tu. Ada kamera khas yang tersembunyi. Siapa sahaja yang mendekati Jazz biru itu akan dirakam dalam video yang Raj pantau.”
            “Bila kau pasang?” soal Fuad tidak percaya.
            “Pada malam aku beri Zawin kunci Jazz.”
            Fuad mengerdipkan matanya beberapa kali. Wajah Zharif direnung lama. “Err...macam mana kau tahu yang Zawin akan pilih kereta kau malam tu?”
            Zharif tersenyum penuh makna. “Najla beritahu yang Zawin suka Jazz biru keluaran 2009. Lagi pula...malam itu kan malam rabu. Hari biru. Sebab itu aku yakin Zawin akan pilih Jazz biru,” beritahunya tenang.
            Fuad menepuk tangannya beberapa saat. “Bravo bro. Tak sangka pula. Kau ni memang cinta tahap kronik dah ni. Tak ada ubat yang boleh bantu ni.”
            Zharif menahan tawa. “Memang tahap kronik. Kau tu pun sama. Dulu kau juga cakap dah jatuh cinta dengan Zawin.”
            Fuad ketawa kecil. “Aku terjatuh cinta saja. Tapi perasaan aku tu tak serius. Ignore saja la. Gila apa nak bersaing dengan kau. Tak mampu aku. Dengan si doktor rambut terbelah tu pun aku tak tersaing,” ulasnya dalam tawa yang semakin beranak.
            Zharif ketawa besar. “Kau terlalu merendah diri. Kau lebih daripada mampu la.”
            Fuad mengesat air mata yang keluar. Tawanya semakin kendur. “Aku tak mampu kahwin buat masa ni. Kau tahu kan...aquarius guy pentingkan kerjaya,” jelas Fuad.
            Zharif menggeleng kepalanya dalam sisa tawa. “Aku...dah bersedia untuk bina keluarga,” beritahunya tiba-tiba.
            Fuad terus berhenti ketawa. “Kau serius?”
            Zharif mengangguk bersungguh.
            “Tapi...siapa ca...” Fuad tidak jadi menyudahkan bicara sebaik telefon bimbit Zharif berbunyi.
            Melihat nama tertera di skrin, Zharif cekatan menyambut panggilan penting itu. “Ya Raj.”
            “Tuan harus datang ke sini segera. Penting,” beritahu Raj.
            “Ada apa-apa yang berlaku?” soal Zharif dalam hati yang berdebar.
            “Ada suspek yang kami sedang soal siasat...”
            “Saya datang sekarang!” Zharif cekatan memutuskan talian. Dia meluru masuk ke dalam bilik lalu menyarung kot hitam.
            “Ada apa?” soal Fuad dalam cemas melihat tindakan rakannya itu.
            “Mari ikut aku,” arah Zharif.
*******
            “Tiada apa-apa kerosakan?” soal Zharif sambil meneliti setiap sisi kereta Honda jazz itu.
            “Tiada. Suspek tidak sempat melakukan sebarang tindakan. Orang-orang saya telah bertindak awal,” jelas Raj dalam nada tegas.
            “Bagus,” ucap Zharif sambil mendepani lelaki india berjambang yang sentiasa mengenakan jaket hitam bersama kaca mata hitam. Khidmat detektif yang bergerak secara rahsia ini telah digunakan arwah ayahnya semasa berlaku pertikaian urusniaga di pelabuhan. Cepat dan tepat. Sejak dulu dia memang mengagumi hasil kerja lelaki tinggi lampai yang jarang sekali mengukir senyum. “Bawa saya jumpa suspek,” arah Zharif.
            Raj mengangguk. “Ada sesuatu yang tuan perlu lihat dulu.” Raj menghulurkan kamera video kepada Zharif.
            “Terima kasih,” ucap Zharif. Sebaik video dimainkan, Zharif menahan nafas. Wajah itu...cukup dikenalinya. Gadis itu kelihatan sedang merancang untuk melakukan sesuatu pada tayar Jazz biru. Namun ternyata Raj lebih cepat bertindak. Sekejapan gadis itu ditangkap oleh orang-orang upahannya. Zharif menatap wajah Raj. “Bawa saya pada dia,” pintanya bersulam helaan nafas berat.
            “Ok,” sahut Raj lalu menuju ke arah kereta Mercedes biru metallic.
            Zharif pantas masuk ke dalam perut kereta Camry putih.
            “Apa yang  berlaku?” soal Fuad ingin tahu. Dia hanya mampu memandang dari dalam kereta. Tidak berani masuk campur dalam perbincangan serius antara Zharif dan Raj.
            “Ikut kereta Raj,” arah Zharif tanpa menjawab soalan Fuad. Dia masih rasa terpukul dengan imej gadis yang muncul dalam video yang diberikan Raj.
            Fuad akur dan membawa keretanya itu meninggalkan tapak parkir pangsapuri yang didiami Zawin.
            “Zawin tak patut tahu perkara ni,” ujar Zharif sambil merenung bangunan pangsapuri sewaktu kereta melepasi bangunan putih merah itu. Tiada sistem keselamatan di kawasan pangsapuri pastinya penghuni berdepan risiko tinggi kehilangan barang-barang berharga termasuk kereta.
            Raj menolak ke atas pintu gelunsur gudang. Bunyi bising menghambat suasana awal pagi itu.
            Zharif mengerling jam di pergelangan tangan. Hampir pukul satu setengah pagi. Fuad di sebelah sudah berkali-kali menguap.
            “Mari masuk,” ajak Raj dan terus menghilang ke dalam perut gedung.
            Zharif dan Fuad mengekori langkah Raj.
            Zharif menghela nafas sebaik melihat seorang gadis berkemeja putih diikat di atas kerusi. Matanya tertutup dengan kain hitam. Terdapat lima lelaki mengelilingi gadis itu. Masing-masing berwajah bengis.
            Sebaik Raj berkata sesuatu, lima lelaki itu beredar pergi.
            Raj pantas merungkaikan kain hitam di mata gadis itu dengan kasar.  
            Zharif menapak, mendepani gadis yang kelihatan menggigil itu.
            “A...bang Zhaa...rif...” panggil Tengku Azura dalam suara terketar-ketar. Air matanya luruh lagi. Dia benar-benar takut dengan orang-orang asing yang mengelilinginya sebentar tadi. Mujur Zharif datang menyelamatkannya.
            Zharif merenung wajah gadis itu. Pipinya kelihatan lebam dengan kesan darah di bibir bawah. Hatinya dirasuk rasa kasihan. Dia tahu Raj dan orang-orangnya tidak pernah berlembut dengan sesiapa biarpun kaum hawa sekalipun. Namun apabila peristiwa yang menimpa Zawin terlayang dibenak, rasa kasihan terus mati. “Kenapa Zura lakukan semua ini? Apa salah Zawin pada Zura?” soalnya lembut.
            Tengku Azura benar-benar terkejut dengan soalan itu. Rupanya Zharif mengenali lelaki-lelaki samseng itu! Apakah semua ini rancangan Zharif dalam menjejak dirinya? Bibirnya diketap geram. Dia tidak tahu jawapan yang tepat atas tindakan bodohnya itu. Dia hanya mampu menangis.
            Fuad masih berdiri kaku dibelakang gadis berdarah diraja itu. Masih terpempan dengan kebenaran yang terpapar dihadapan matanya. Semua ini angkara Tengku Azura! Padanlah wajah Zharif kelihatan tegang sepanjang perjalanan ke gudang kosong itu.
            “Raj...ada apa-apa maklumat yang kamu dapat?” soal Zharif.
            Raj menghampiri Zharif dan membisikkan sesuatu.
            Zharif terangguk-angguk sambil matanya tajam menatap wajah Tengku Azura yang dibasahi air mata. Dia menghela nafas dalam-dalam. “Lepaskan dia,” putus Zharif akhirnya. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.
            Raj akur dengan keputusan lelaki tinggi lampai itu. Cekatan dia merungkaikan ikatan tali pada kedua tangan gadis itu.
            Zharif merenung wajah menunduk Tengku Azura. “Zura...sila jauhkan diri daripada Zawin jika tak nak perkara buruk menimpa kamu. Faham!”
            “Ya...fa...ham...” balas Tengku Azura dalam suara terketar-ketar.
            “Lagi satu...kalau orang lain tahu tentang peristiwa malam ini, Zura bersiap sedialah untuk kena lebih teruk lagi!” gertak Zharif lagi.
             “Ya...ya...Zura...akan...rahsia...kan...” sahut Tengku Azura bersulam esak tangis yang mula beranak.
            Zharif mula bosan mendengar tangisan gadis itu. “Raj...uruskan seperti selalu,” arah Zharif.
            “Baik tuan,” sahut Raj patuh. Kain hitam kembali diikat menutupi kedua mata gadis itu.
Zharif terus menapak keluar dari gudang sambil diekori Fuad.
            “Apa yang Raj beritahu kau tadi?” soal Fuad dalam perjalanan pulang. Perubahan air wajah Zharif tadi membuatkan dirinya panasaran.
            Zharif menghela nafas. “Yasmin...dia juga turut terlibat,” beritahunya lambat-lambat. Benar kata Fuad dahulu. Perempuan tidak pernah kenal erti pertengahan dalam hal menyintai apatah lagi membenci.
            Fuad menelan liur. Wajah Zharif dikerling sekilas. “Err...aku tak tahu nak kata apa,” ujarnya perlahan.
            Zharif merenung tajam jalan dihadapan. “Aku rasa dah tiba masanya kita bertindak,” getusnya tiba-tiba.
*******
            “Wali sihat ke?” soal Puteri kepada Zeyra yang sedang menonton drama melayu.
            Zeyra mengangguk. “Bulan enam ni, Wali habis belajar. Lepas tu dia balik Malaysia dan terus merisik Zeyra,” beritahunya dengan teruja.
            “Ya? Untung la Zeyra,” sahut Puteri sambil mengunyah buah jambu batu.
            Zeyra tersengih. “Zeyra tak sabar nak kawin ni. Dah lama kami bercinta,” ceritanya lagi.
            “Mak ayah Wali tahu tak tentang hubungan kamu berdua?” soal Puteri lagi.
            Zeyra menggeleng. “Tak.”
            Puteri menatap wajah selamba gadis itu. “Tak tahu? Kenapa?”
            “Biarlah rahsia. Bila sampai masanya kami berdua akan beritahu,” balas Zeyra bersulam senyuman lebar.
            Puteri mengangkat kedua belah bahunya. “Harap-harap semua perancangan berjalan lancar,” putusnya begitu. Kata-kata yang ditujukan kepada diri sendiri juga. Dia sudah bersedia untuk memberitahu hubungan cinta bersama Tengku Amir kepada ibu bapanya di kampung.
            “Ya. Harap begitula kan,” sahut Zeyra perlahan. Telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik melihat nama kekasihnya di skrin telefon, terus dia menjawab panggilan itu. Zeyra terus meloloskan diri ke dalam biliknya.
            Puteri tersenyum pahit mendengar suara gembira Zeyra. Matanya dialihkan pada skrin telefon di atas meja. Sudah dua hari Tengku Amir tidak menghubunginya. Apa khabar lelaki itu? Adakah berlaku sesuatu yang buruk padanya? Jika diturutkan rasa rindu, ingin sahaja dia hubungi lelaki itu saat ini juga namun dia telah diingatkan lelaki itu berkali-kali supaya tidak menghubunginya tidak kira apa pun berlaku. Dalam diam dia mula mempersoalkan larangan lelaki itu. Bunyi tombol dibuka dari luar pintu membuatkan lamunan Puteri mati andar. Sebaik muncul wajah Zawin di muka pintu, Puteri mengukir senyum. Gadis itu nampak anggun dalam tudung putih, blouse hijau pucuk pisang yang dipadankan dengan seluar putih. “Jumaat yang sungguh hijau ya?” usiknya beserta kenyitan mata.
            Zawin tersengih. “Hijau itu menyembuhkan,” balasnya lalu melabuhkan punggung di sisi Puteri. Zawin meletakkan tas tangan, fail dan kunci kereta di atas meja ruang tamu.
            “Wah...Honda,” ujar Puteri dengan kagum lalu mencapai kunci kereta di atas meja. “Sejak bila Zawin guna kereta Honda?” soalnya lalu membelek kunci yang tertera lambang huruf H itu.  
            “Kereta pinjam tu,” balas Zawin sambil memejamkan matanya. Mindanya penuh dengan software yang akan dibangunkan untuk pertandingan inovasi anjuran MOSTI. Dia sudah berkira-kira untuk memulakan tugas itu dalam waktu cuti hujung minggu.
            “Kereta siapa? Mana si kuning itu?” soal Puteri penuh risikan.
            “My laling itu masuk bengkel. Ini kereta Zharif.”
            “Apa? Kereta Zharif? Honda City ke atau Civic?” soal Puteri teruja.
            Zawin membuka mata sambil tersenyum lebar. “Jazz,” balasnya sepatah.
            Mulut Puteri terlopong luas. “Ja...zz...?”
            Zawin tersenyum lebar. “Ya. Jazz. Kereta idaman Kak Puteri juga kan?”
            Puteri mengangguk laju. “Bertuahnya Zawin. Jealous akak,” ujarnya sambil menatap kagum pada wajah letih gadis itu.
            Zawin menggeleng. “Bukan tuah la. Zawin sewa dengan Zharif sementara si kuning itu masih dalam bengkel,” terangnya bersahaja. Dia kembali memejamkan mata.
            Puteri mengangguk-angguk tanda faham. “Ha...sebut pasal tuah ni, akak nak cerita satu benda ni.”
            Zawin membuka matanya. Kepalanya disandarkan selesa pada belakang sofa. “Apa dia kak Puteri?”
            “Akak rasa bertuah sangat hari ini. Akak jumpa seorang perempuan berpurdah di masjid masa akak singgah untuk solat Zuhur. Bila perempuan ni buka purdah, maha suci Allah...cantik sangat!” cerita Puteri dengan teruja.
            “Ya?” Zawin menunjukkan minat untuk mendengar lebih lanjut.
            “Akak sempat berkenalan dengan dia. Namanya Ainul Mardiah. Nama ketua bidadari syurga yang paling cantik kan?”
            Zawin tersenyum lebar. “Ya. Nama bidadari syurga. Ada apa-apa rahsia yang akak dapat?” soal Zawin ingin tahu. Mengenali Puteri Nur Deana selama setahun lebih membuatkan dia cukup masak dengan sifat wanita itu.
            Puteri terdiam seketika. Wajah Zawin dipandang lama. “Ainul memberitahu sesuatu yang buat akak tiba-tiba rasa nak pakai purdah. Erm...katanya...seluruh tubuh seorang perempuan itu adalah aurat termasuk wajah dan paling menakutkan bila Ainul memberitahu setiap inci wajah perempuan kecuali mata adalah melambangkan err...bentuk tubuh,” terangnya panjang lebar.
            Zawin menelan liur. Matanya berkerdip seketika. “Bentuk tubuh...?”
            Puteri mengangguk bersungguh. Tangannya mengambil fail biru di bawah meja dan menarik keluar sekeping kertas lalu dihulurkan kepada Zawin. “Ainul memberikan kertas ni pada akak. Isinya tentang purdah yang dibincangkan dalam empat mazhab.”
            Zawin meneliti isi kertas putih itu dengan penuh tekun. Matanya membulat luas sebaik membaca bait-bait tulisan itu. “Tak sangka,” getus Zawin usai membaca. “Mazhab Syafie menyatakan aurat wanita dihadapan lelaki ajnabi adalah seluruh badan termasuk wajah. Hukum pula wajib ditutup...” Zawin seolah-olah berkata-kata kepada diri.
            Puteri mengangguk. “Menurut Ainul...isu ini masih menjadi perdebatan ulama kerana ada yang mengatakan dalil-dalil dalam mazhab syafie dikira lemah. Tapi...kalau ikut jawapan Ustaz Azhar Idrus, cara terbaik bagi wanita pada zaman sekarang ini tiada lain melainkan memakai hijab yang menutup wajahnya memandangkan kebanyakan lelaki pada zaman sekarang adalah fasiq dan tidak bermoral,” ceritanya bersungguh.
            Zawin terdiam. Sedikit terpempan dengan fakta yang diberitahu Puteri. Wajah abangnya terlayang di benak. Pasti menarik jika isu purdah ini dibincangkan bersama abangnya. Wajah wanita berkemeja tidur biru laut itu ditatap dalam-dalam. “Tadi akak ada cakap yang...wajah seorang perempuan itu adalah cerminan bentuk err...tubuh. Apa maksudnya tu?” soalnya bersulam rasa ingin tahu yang menggunung.
            Puteri menghela nafas.  “Bila sampai masanya nanti...akak beritahu Zawin ya? Tapi apa yang boleh akak katakan, mungkin...akak akan berpurdah selepas kahwin,” balasnya sambil merenung syiling ruang tamu dalam-dalam. Wajah Tengku Amir muncul di situ. Benarkah lelaki itu adalah pemimpin terbaik untuk masa hadapannya? Jika benar Tengku Amir adalah jodoh yang tertulis dalam takdirNya, dia bernazar untuk mengenakan purdah selepas menjadi hak yang halal kepada lelaki itu.
            Zawin menahan rasa kecewa dengan jawapan Puteri itu. Perasaan ingin tahunya semakin meluap-luap. Dia ingin mendesak wanita itu memberitahu rahsia disebalik kata-kata itu, namun keinginannya terbantut apabila matanya mengesan riak kurang gembira pada wajah pemilik nama Puteri Nur Deana itu. “Wah...Kak Puteri nak pakai purdah? Macam ada bau-bau nasi minya saja ni?” usiknya dalam usaha menceriakan suasana.
            Puteri tersenyum kecil. Cuba menyembunyikan lara dijiwa. “Apa pendapat Zawin tentang hukum kewajiban berpurdah?” Puteri sengaja mengubah haluan perbicangan.
            Zawin mencemberutkan bibirnya sambil matanya meneliti kembali tulisan mengenai purdah dalam kertas putih di tangan. Laut fikirnya kembali aktif. “Zawin rasa...tidak jatuh dosa jika tidak berpurdah. Abang Zafuan pernah menyatakan pada Zawin yang wajah wanita adalah sebesar-besar fitnah yang mengundang berbagai maksiat dan dosa. Mungkin sahaja perintah tutup wajah ini bukan kerana wajah adalah aurat tetapi sebab menutup pintu fitnah. Wallahualam,” ulasnya selepas membuat kesimpulan sendiri.
            “Merepek saja!!”
            Zawin dan Puteri terkejut mendengar sergahan dari arah belakang. Pantas mereka berpaling mencari empunya suara.
            Zeyra menjuihkan bibirnya. Hatinya masih panas dengan teguran Wali mengenai gambarnya yang tidak bertudung di laman social Facebook, ini ditambah lagi dengan perbincangan mengenai purdah yang sangat dibencinya. “Islam itu mudah. Jangan nak menyusahkan lagi. Ingat orang pakai purdah tu baik sangat ke? Entah-entah lagi teruk dari orang yang tak pakai tudung!” bentaknya berapi-api.
            Zawin menahan rasa geram yang mula beranak dalam jiwa. Hatinya benar-benar cuak dengan gadis cantik itu sejak kes perdebatan tentang ilmu metafizik dahulu. Kata-kata yang dilontarkan tidak pernah bernada positif. “Apa masalah awak wahai cik Zeyra?” soalnya sambil merenung tajam wajah kelat itu.
            Zeyra menjegilkan matanya kepada Zawin. “Tak ada masalah! Cuma nak pesan, jangan nak tunjuk pandai tentang ilmu agama. Kewajipan pakai purdah tak ada pun dikatakan dalam Al-Quran mahupun hadis!”
            Puteri tersenyum pahit mendengar kata-kata itu. “Kami sedang membincangkan mengenai purdah yang dibincangkan dalam mazhab-mazhab...”
            “Tak ada!” potong Zeyra pantas. “Tak ada mazhab yang kata purdah adalah wajib,” sambungnya lagi dalam nada suara tinggi.
            Zawin sudah hilang sabar. Gadis ini hanya bergantung pada logik semata! Dia berdiri mendadak, mendepani gadis berambut ikal paras bahu itu. “Kalau tak tahu...jangan kata tahu. Kalau nak dapat ilmu, sila baca semua sumber rujukan termasuk mazhab-mazhab!” Zawin melontarkan lahar amarah yang telah lama tersimpan.
             “Aku tak nak tahu dan tak nak baca! Ada masalah pada kau?” cabar Zeyra sambil mengangkat kedua belah keningnya.
            “Memang ada masalah! Kalau kau tak nak tahu dan tak nak baca...sila dengar baik-baik. Pendapat ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Maliki menyimpulkan aurat wanita dihadapan lelaki ajnabi adalah seluruh badan melainkan kedua tapak tangan dan wajah manakala pendapat ulamak-ulamak mazhab Syafie dan Hanbali pula menyatakan seluruh badannya termasuk wajah adalah aurat yang wajib di tutup. Tetapi...” Zawin menghentikan hujah apabila melihat gadis itu menutup kedua lubang telinga sambil menyanyi-nyanyi kecil. Hatinya benar-benar panas melihat tindakan gadis itu. Dia mampu berhujah dengan sepuluh orang, namun dia pasti kalah berhujah dengan orang yang tidak berilmu kerana orang sebegini tidak memahami landasan ilmu. Pesanan iman As-Syafie itu dijadikan pegangan apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini.
            Puteri turut terbakar hati melihat Zeyra masih menyanyi-nyanyi kecil sambil menekup kedua belah lubang telinganya. Gadis ini memang tidak sedar diuntung! Tangannya pantas menarik telinga gadis itu dan mendorongnya ke arah pintu. “Keluar dari sini!” arahnya tegas dalam dada yang berombak-ombak.
            Zawin terpinga-pinga melihat tindakan Puteri.    
            Zeyra menjegilkan matanya. “Siapa kau nak halau aku?” soalnya tidak puas hati usai bergelut melepaskan telinganya dari pulasan Puteri.
            “Keluar sekarang!” arah Puteri dengan nada tinggi. Hatinya menyumpah tindakannya sendiri yang membawa gadis itu masuk ke rumah ini.
            Zeyra menjeling tajam pada wajah marah wanita itu. Jika diturut sakit hati, dia juga yang akan rugi. “I don’t care!” balasnya lantas bergegas menuju ke biliknya. Bunyi pintu berdentum kuat dan dia terus mengunci tombol pintu.
            “Perempuan tak sedar diri!” marah Puteri berapi-api seraya melangkah ke dalam biliknya. Dia perlu menenangkan diri ditambah rasa segan yang menggunung kepada Zawin.
            Zawin terkebil-kebil seketika. Sekejapan ruang tamu menjadi sunyi kembali. Dia menghela nafas dalam-dalam, mengharap hatinya kembali tenang.  Dalam malas, dia mencapai kunci kereta, tas tangan dan fail-fail di atas meja lalu dibawa ke dalam bilik. Zawin mengerutkan keningnya sebaik matanya menangkap Macbook Pro yang terpasang. “Ya rabbi...macam mana aku boleh lupa tutup?” keluh Zawin sambil menanggalkan tudung dikepala. Zawin melabuhkan punggung di atas kerusi empuk. Melihat pada skrin lap-top berwarna putih itu, Zawin tersengih sendiri. Dia lupa log keluar akaun friendster milik Daniel Iskandar pagi tadi. Tangannya cekatan menyentuh tetikus namun pergerakan tangannya terhenti sebaik anak panah dihalakan pada butang log keluar. Sejak semalam, dia kepingin melihat mesej-mesej yang ada dalam laman sosial milik kekasihnya itu. Sekejapan ruang mesej dibuka dan matanya terus membulat sebaik melihat mesej yang dihantar kepada pemilik akaun bernama Zarina. 
            I love you and I always do
            Tangan Zawin terketar-ketar serta merta namun jari jemarinya terus membuka satu persatu mesej yang pernah dihantar Daniel Iskandar. Dia mengesan ada lima gadis yang kerap berbalas kata sayang di situ. Biarpun balasan mesej-mesej tarikh-tarikh yang tertera itu dihantar sebelum mereka bersatu kembali, hatinya tetap diserang cemburu yang menggunung. Dia benar-benar tidak dapat berfikir saat ini. Hati yang masih belum sejuk selepas berselisih faham sebentar tadi menjadi semakin panas. Cekatan dia membuang semua mesej bergambar yang pernah diberikan kepada Iskandar lalu menekan butang log keluar. Air matanya gugur kerana terlalu geram. Akaun friendster miliknya pula dimasuki. Semua mesej bergambar yang diberikan Iskandar terus dibuang daripada kotak komen. Dia sudah tidak kisah dengan nilai sentimental mesej-mesej bergambar itu lagi.
*******
            “Tapi kenapa?” soal Yasmin tidak berpuas hati. Matanya merenung sayu anak mata coklat lelaki yang mengenakan kemeja merah jambu dipadankan dengan sut kelabu itu. Notis berhenti kerja yang diterimanya sebentar tadi memaksa dirinya menapak ke dalam bilik Zharif Zahir. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan keputusan mengejut itu. Jika dia tidak bekerja di syarikat perkapalan itu, pasti tidur malamnya tidak lena. Sehari tidak berjumpa Zharif sudah cukup mengundah gelisah, apatah lagi jika tidak dapat menatap wajah kacak itu lagi.
            Zharif menatap tajam wajah wanita yang kelihatan innocent itu. Siapa sangka hati wanita berblouse merah bata tanpa lengan dihadapannya ini sungguh hitam. Biarpun dia hanya membutakan mata, mentulikan telinga dengan perlakuan sumbang yang dilakukan Yasmin namun tahap kesabarannya telah hilang apabila Zawin turut menjadi mangsa Yasmin. Pekerja sebegini tidak layak disimpan!  “Awak nak tahu sebab awak dipecat?” soalnya serius.
            Yasmin mengangguk laju.
            “Rasanya saya tak perlu beritahu.” Zharif tersengih sinis sebelum melanjut bicara. “Tak gitu...Miss Gemini Geisha?”
            Yasmin tersentak. Mendengar  nickname yang digunakan dalam urusan bersama lelaki-lelaki yang sanggup menjadi teman tidurnya daripada mulut Zharif membuatkan kakinya menggeletar tiba-tiba. Seluruh tubuhnya terasa bagai ditelanjangkan. “Err...apa maksud Zharif?” soalnya dalam lagak tenang. Dia tidak mahu kelihatan goyah dihadapan lelaki itu.
            Zharif ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. “Yasmin...pintu taubat masih terbuka luas. Sebagai muslim, saya hanya mampu menasihati awak. Nama Gemini Geisha memang laris bukan? Tapi bila Gemini Geisha dikaitkan dengan Gemleo Corporation, saya rasa itu sudah melampau! Awak memberikan nama buruk pada syarikat ini. Saya rasa...itu sudah jelas menjadi sebab kukuh awak dipecat,” jelasnya dalam nada serius. Matanya tajam menatap wajah Yasmin yang tiba-tiba sahaja berubah riak. Dia tidak terkejut melihat wajah selamba wanita itu.
            Yasmin berpeluk tubuh. Dia tidak kisah dengan pandangan sinis lelaki itu. Dia hanya ingin mendapatkan pengesahan mengenai persoalan yang sentiasa berlegar dalam laut fikirnya. “Apa hubungan kau dengan Zawin? Benarkah kau mencintai Zawin?” soalnya.
            Zharif memincingkan pandangan matanya. “Sila jauhkan diri daripada Zawin. Kalau tak...”
            “Jadi betul lah! Kau dan Zawin ada hubungan istimewa?!” suara Yasmin meninggi tiba-tiba. Dia tidak dapat menerima hakikat itu. Jawapan Zharif seakan menjawab soalannya.
Zharif memainkan pen parker ditangan sambil matanya tidak lepas merenung wajah keruh itu. “Kalau betul kami ada hubungan, apa yang kau nak lakukan?” cabarnya.
            “Aku bunuh Zawin! Kau tengok lah!” ugut Yasmin berapi-api. Dia terus keluar dari bilik itu seraya membuat isyarat amaran kepada Zharif.
            Zharif terkebil-kebil seketika. Tidak menyangka Yasmin akan mengugutnya begitu. “Gila!” getusnya apabila akal warasnya mula memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku. Kejadian sebelum ini yang melibatkan Tengku Azura dan Yasmin sudah cukup membuktikan kata-kata wanita itu bukan sekadar omongan kosong. Zharif mencapai I-Phone di atas meja. Nama Zawin dicari dalam senarai kenalan.
            Hello Eyes smile princess,” usik Zharif sebaik gadis itu menjawab salamnya.
            Yes Jambu Prince. Makan dah ke?”
            “Belum. Temankan Zharif boleh?”
            “Oh...maaf tak dapat teman. Zawin di Kuala Lumpur.  Ada kursus dua hari di Hotel Four Season.”
            Zharif terdiam sejenak. “Maknanya esok Zawin tak ada ya?”
            “Ya. Maaflah Zharif. Terlupa nak beritahu ada kursus minggu ni.”
            “Oo...tak apa. Sekarang Zawin buat apa?”
            “Zawin sedang lunch ni. Pukul dua nanti masuk balik dalam bilik seminar.”
            “Ok. Zharif tak nak ganggu. Zawin...”
            “Ya.”
            “Jaga diri ya?”
            “Ya...Zawin akan jaga diri.”
            “Kalau...erm...” Kata-kata Zharif terhenti disitu. Dia masih berkira-kira untuk memberitahu tentang ugutan Yasmin juga gerangan yang bertanggungjawab merosakkan kereta kuning gadis itu.
            “Kenapa Zharif? Ada sesuatu yang buruk berlaku?”
            “Oh...tiada apa la. Jumpa minggu depan ya.” Zharif akhirnya memutuskan untuk merahsiakan dahulu. Gadis itu pasti akan diberitahu hanya pada waktu yang tepat.
            “Ok. Zharif pun jaga diri ya. Assalamualaikum. Bye.”
            Zawin memutuskan panggilan dan menapak ke arah meja makan.
            “Bunuh diri?” Najla benar-benar terkejut dengan cerita Dr.Nurin. Dia tidak jadi menghirup sup cendawan sebaik mendengar khabar berita daripada pensyarah kanan itu.
            Zawin melabuhkan punggung di atas kerusi, menyambung makan sambil memasang telinga.
            “Ya. Suami kawan saya ni seorang jurutera sivil. Rutin suaminya sejak bangun pagi adalah membaca surat khabar.  Semuanya bermula apabila suaminya mengadu tidak faham apa yang dibaca dan skrin komputer pun dilihat gelap biarpun sudah dipasang. Arwah memang tugasnya menemuduga calon-calon pekerja baru, tetapi dia hanya senyap saja semasa proses temuduga berjalan. Itu yang arwah terus hantar surat letak jawatan,” terang Dr.Nurin.
            Najla mengerutkan keningnya. “Arwah? Maknanya islam?”
            Dr.Nurin mengangguk.
            “MasyaAllah,” ucap Najla seraya mengelengkan kepalanya. “Arwah bunuh diri selepas letak jawatan ke?” tebak Najla.
            Dr.Nurin menggeleng. “Sebelum surat letak jawatan sampai ke meja bos arwah, kawan arwah sempat tahan. Arwah masih ada hutang kereta, rumah lagi...mana mampu nak tanggung semua kos tu kalau tak bekerja. Kawan saya ni sangat sedih la sehinggakan membawa ibu arwah datang ke rumah mereka. Menangis-nangis ibu arwah melihat keadaan arwah. Arwah tidak mahu bercakap biarpun sepatah. Tapi lepas mak arwah balik, awah boleh cakap pada isteri dia yang dia nampak mak dia menangis, tapi tak terkeluar pun sepatah kata nak tegur ibunya.”
            “Kemurungan atau sakit apa tu?” celah Najla.
            “Kalau ikut moden, kemurungan. Kawan saya ni iktiarkan juga mengubat arwah cara islam. Kata seorang ustaz yang merawat, arwah terkena buatan orang. Dalam tempoh rawatan itu lah...arwah membunuh diri. Itu orang pesan, kalau dekat dengan orang yang kemurungan, jangan ditinggalkan seorang diri. Arwah gantung diri guna tali kabel. Masa isteri arwah temui mayat tu...suhu badan masih panas. Maknanya baru sahaja meninggal. Ok, berbalik pada topik asal tadi kita bincang tentang insuran kan? Syarat-syarat Life insurance jika kematian kerana bunuh diri, memang tak akan dapat pampasan tapi oleh sebab arwah ni ambil life insurance yang jenis lama, keluarga arwah dapat duit pampasan. Najla ada ambil insuran tak?”
            Najla mengangguk. “Insuran sangat berguna apabila berdepan dengan keadaaan yang tidak kita jangkakan. Itu yang orang cakap, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.”
            “Kesian.” Zawin tiba-tiba bersuara.
            “Kenapa Zawin?” soal Dr.Nurin.
            Zawin tersentak. Monolog dalamannya tiba-tiba terlontar keluar gara-gara masih terkesan dengan kisah bunuh diri itu. Dia berdehem, cuba mengawal rasa segan. “Oh tidak. Saya cuma kesian dengan keluarga arwah. Pasti sukar terima hakikat. Berdasarkan hadis, golongan yang bunuh diri...tidak akan merasai syurga Allah. Kesian arwah.”  
            Dr.Nurin dan Najla mengangguk serentak.
            “Keluarga arwah memang kesian.” Dr.Nurin menggelengkan kepala. “Walaupun ada wang pampasan insuran, surat kematian arwah penyebab pada masalah lain pula. Punca kematian yang ditulis doktor adalah surpass throat by hanging. Perkara ini membawa masalah pada anak-anak arwah dalam urusan lain yang melibatkan surat kematian. Nasib baik melalui budi bicara doktor yang terlibat akhirnya memutuskan untuk memadam perkataan hanging,” lanjut Dr.Nurin.
            “Semoga kita semua dijauhkan daripada keinginan untuk mengambil nyawa sendiri,” ujar Najla tiba-tiba.
            Amin,” sahut Zawin dan Dr.Nurin hampir serentak.
            “Eh, dah hampir pukul dua petang. Kita solat zuhur dulu di surau hotel,” ajak Dr.Nurin seraya bangun lalu mencapai tas tangan.
            Zawin dan Najla turut bangun, mengekori pensyarah kanan itu.
            Zawin mengeluarkan I-Phone apabila nada mesej berbunyi. Melihat nama My Love tertera di skrin, bibir Zawin menguntum senyum. Namun sebaik membaca isi mesej, senyumnya tiba-tiba mati. Dia terlupa mengenai hal semalam.
            Apa ma dah buat pada friendster Pa? Kenapa mesej bergambar yang ma beri dah tak ada? Mesej bergambar pa beri pun dah hilang. Apa dah jadi?









BAB 21

            Zawin: Dah tengok komen friendster?
            Iskandar: Tak cukup pun...baru 21    
            Zawin: Tak dapat hantar lagi sebab friendster beri warning over capacity
            Iskandar: Waiting sampai penuh la...
            Zawin:Eeee nanti-nanti la ma bagi lagi...
            Iskandar: Dah buat friendster baru? Hantar kat sana juga komen ok
            Zawin: Buat apa nak buat baru?
             Iskandar: Akaun ni pa nak delete dah
            Zawin: Kenapa pa nak delete??
            Iskandar: Sakit hati...
            Zawin: tak sayang ke dengan komen dan mesej perempuan-perempuan lain?
            Iskandar: Tak ada nilai pun. Mesej bernilai pun pandai-pandai saja pergi buang. Rasa nak je pukul dengan kayu pemukul tengok komputer ni semalam
            Zawin: Mana la ma tau benda tu bernilai...lagipun hari tu ma sakit hati dgn mesej-mesej pa dengan perempuan lain
            Iskandar: Habis...boleh buat balik ke? Tak bolehkan. Hantar la beratus sekali pun, tapi tak sama dengan keadaan dan masa yang delete hari tu
            Zawin : Adess...
            Iskandar: Sedih sangat. Ma ada album gambar masa kecil  tak? Umpama ma bakar album tu...rasa macam mana agak-agak?
            Zawin: Tau...salah ma
            Iskandar: Bengkak dah mata. Ma punya pasal...Pa tak pernah sensitif macam ni tapi semalam entah kenapa rasa macam tak boleh stop je air mata ni...
            Zawin : Erm...
            Iskandar: Abang pa meninggal pun pa sebak je. Tak ada pun nak nangis macam semalam
            Zawin: Ma memang sangat-sangat minta maaf, tak tau nak cakap apa...ma memang tak expect yang pa pandang apa yang ma bagi bernilai
            Iskandar: Tu la ma...ikut la perasaan tu lagi...Lepas tu tengok la hasilnya...dah la buat salah, boleh buat tak tahu dan masih sempat nak sakitkan hati yang parah ni
            Zawin : Ma geram sangat.
            Iskandar: Ya la. Pa ni siapa sangat la kan? Macam buih sabun muka pada muka saja. Nak habis buih, basuh dengan air
            Zawin: Ma tak bermaksud macam tu pa...
            Iskandar: Habis bermakna atau bererti?
            Zawin: Ma yang salah
            Iskandar: Memang la...
            Zawin : Habis tu...pa nak ma buat apa?
            Iskandar : Erm...nanti pa fikirkan. Ok la. Pa nak out dah ni. Houseman macam pa ni akan selalu tak ada masa untuk ma. Lainlah tuan CEO tu.
            Zawin : Siapa pula?
            Iskandar : Erm...k lah. Salam and bye.

            Zawin mengeluh berat. Dia tahu dia yang salah. Bertindak tanpa berfikir inilah natijahnya. Dia rela menerima apa sahaja hukuman yang diberikan doktor perubatan itu. Mata Zawin masih menatap skrin Macbook Pro itu. Perbualan maya pada window yahoo messenger itu diulang baca. CEO?Wajah Zharif melayang di laut fikirnya. Selepas kejadian di restoren perancis dahulu, Iskandar terang-terangan menunjukkan rasa tidak suka apa sahaja yang berkaitan dengan Zharif. Malah Zawin tidak dibenarkan membawa kereta Zharif sewaktu mereka keluar bersama. Zawin hanya mengambil sikap berdiam diri demi mengelakkan tercetus pergaduhan antara mereka.  
            Notebook  MacBook Pro ditinggalkan lalu membawa I-Phone ke atas katil. Kepalanya dipalingkan ke arah kiri sambil berbaring. Melihat Najla yang sedang nyenyak tidur di katil sebelah, Zawin tersenyum nipis. Wajah Najla nampak berseri biarpun dalam lena. Seri ibu mengandung kata orang. Najla sering mengadu cepat letih sebaik kandungannya mencapai usia enam bulan. Emosi pula berubah-ubah. Mujur Anas memahami perubahan emosinya malah sabar melayani karenahnya. Najla sungguh bertuah! Getus hatinya.
            Menjeling jam di pergelangan tangan, Zawin mula memejamkan matanya. Sudah hampir pukul satu pagi, namun kantoknya tidak kunjung jua. Zawin membuka matanya semula. I-Phone dicapai lalu merenung gambar pemilik wajah yang dijadikan wallpaper. Wajah Daniel Iskandar yang sedang tersenyum dalam jubah putih itu direnung lama. Bola matanya dialihkan pada perut memboyot Najla. Serta merta tangannya menyentuh perut sendiri. Bibirnya menguntum senyum, membayangkan saat-saat indah mengandungkan zuriat sendiri. Pasti Daniel Iskandar akan menjaganya dengan baik. Dia tenggelam dalam mimpi-mimpi indah ciptaannya sendiri.
*******
            “Cantik kan ma?” soal Iskandar seraya menghulurkan I-Phone miliknya kepada Zawin.
            Zawin meneliti gambar pelamin ungu yang didakwa cantik pada pandangan Iskandar. Lelaki yang mengenakan t-shirt POLO biru tua dihadapannya ini memang dikenali dengan sifat cerewet dan terlalu memilih. Jika sesuatu itu dikatakan cantik dan kena pada matanya, beerti itu yang paling terbaik. “Erm...memang cantik,” sahutnya setelah beberapa ketika.
            “Kan?” Mata Iskandar bersinar gembira. Dia tahu pilihannya adalah terbaik. “Warna ungu lembut memang cantik. Pa yang tolong pilihkan.”
            “Ya.” Kepala Zawin terangguk-angguk sendiri. Tema ungu dan putih memang menjadi impian lelaki ini sejak dahulu. “Tapi...ini pelamin majlis tunang akak pa ke?” soalnya sangsi.         Pelamin itu menggambarkan jumlah yang telah dilaburkan untuk majlis itu sahaja. Pasti mahal!
            Iskandar mengangguk. “Akak nak buat ala kadar tapi papa dan mama la yang paksa buat besar-besaran. Susah jadi anak penghulu Kuala Sepetang ni. Akak pula baru habis MBA. Lagilah orang kampung pandang tinggi. Tambah pula tunang akak ada perniagaan sendiri. Itu sebab majlis tunang jadi macam majlis kahwin,” jelasnya panjang lebar.
            Zawin menghela nafas pendek. Matanya menyeluruhi ruang dalam kereta Nissan Fairlady itu. Citarasa mewah Iskandar banyak dipengaruhi gaya hidup keluarganya. Dia tahu keluarga Iskandar berstatus tinggi di Daerah Taiping. Hal itu juga kadang-kadang merunsingkan fikirannya. Keluarganya hanya kalangan orang biasa sahaja.
            “Mama kirim salam. Mama tak sabar nak jumpa ma,” beritahu Iskandar bersulam senyuman.
            Zawin menjawab salam itu didalam hati. “Mama dan papa sihat ke?” soalnya sambil tangannya laju menekan butang next pada skrin I-Phone. Hatinya kepingin melihat gambar-gambar lain di sekitar majlis tunang Iris Liyana. Kakak kandung Iskandar itu nampak manis dalam baju kebaya ungu moden.
            “Sihat,” jawab Iskandar dalam suara perlahan. Wajah Zawin yang sedang menunduk itu ditatap lama. “Zawin Az-Zahra...kita...bertunang...nak?”
            Gerakan tangan Zawin di atas skrin I-Phone terhenti. Mendadak kepalanya ditegakkan dan bebola matanya tepat menatap wajah lelaki di sebelahnya. “Pa...pa...serius ke?” soalnya tidak percaya.
            Iskandar mengangguk bersungguh. “Serius la. Pa dah slow talk dengan mama minggu lepas. Mama memang suka. Papa pula memang dah kenal keluarga ma. Tinggal saja nak hantar rombongan ni. Pa baru ingat nak ambil cuti hujung minggu ni untuk berjumpa dahulu dengan keluarga ma. Abang ma ada di rumah kan?”
            Zawin mengangguk dalam seribu macam perasaan yang bercambur baur. Sesungguhnya dia sangat gembira namun terselit rasa sangsi yang menebal. “Keluarga ma hanya kalangan orang biasa. Mampu ke keluarga pa terima?” soalnya, menyuarakan rasa hatinya.
Iskandar terdiam. “Keluarga kita telah kenal sejak dulu. Papa dan Dato’ Zawawi dah lama berkawan baik. Malah...papa ada bercerita tentang hubungan kita kepada ayah...err...” Iskandar menghentikan kata apabila menangkap jelingan tajam gadis itu.
            Zawin mengetap giginya. Dia tidak mahu mendengar nama lelaki itu lagi biarpun darah yang mengalir dalam tubuhnya tetap kuat ikatannya dengan pemilik nama itu.
            “Ok...ok...kita cerita tentang perkara lain pula ya?” Iskandar mengambil langkah menceriakan kembali suasana yang kelihatan tegang itu.
            Zawin hanya membatu. Tangannya kembali lincah bermain di atas skrin I-Phone Iskandar. Melihat gambar yang dijadikan kertas dinding pada telefon pintar itu, langsung membuatkan Zawin ketawa kecil. “Apa kes letak gambar baby menyusu badan ni? Tak senonoh betul!”
            Iskandar turut ketawa besar. “Saja. Membayangkan ma nanti dengan anak kita,” balasnya selamba.
            “Dr. Daniel Iskandar memang senget!” Zawin sudah ketawa melekek-lekek.
            Iskandar tersenyum melihat gadis itu ketawa sebegitu. “Zawin...tak baik ketawa lebih-lebih tau. Orang tua-tua kata, nanti menangis pula,” tegurnya sambil tersenyum manis.
            Zawin menutup mulutnya. Langsung mematikan tawa yang masih bersisa. Benar sekali kata-kata itu. Lantas kalimah istighfar dilafazkan berkali-kali. “Erm...kita nak makan di mana ni?” soalnya sambil matanya menjenguk ke luar tingkap kereta. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam bangunan SACC Mall, tidak jauh dari kawasan parkir itu.
            “Kita makan steamboat nak? Tu...ada di restoren Thai dalam mall. Teringin pula,” cadang Iskandar.
            “Erm...boleh juga. Ok, jom pergi.” Zawin sudah meloloskan diri keluar. Dia membetulkan lipatan lengan panjang blouse biru tua. Tudung hitam dibetulkan letaknya supaya menutupi dada.
            “Ma...ingat tak dengan hukuman yang pa tak tebus lagi tu?” soal Iskandar dalam senyum nakal. Kunci penggera kereta ditekan lalu kakinya melangkah laju, menyaingi langkah Zawin.
Zawin menahan senyum. “Ya la. Cakap saja lah apa hukuman tu.”
            “Mudah saja. Belanja pa hari ni,” balas Iskandar selamba.
            Zawin ketawa kecil. “Itu sahaja? Boleh sangat la.”
            Iskandar tersenyum lebar. Pipi gadis itu dicubit manja.
            Kaki Zawin berhenti melangkah sebaik melihat dua kelibat melintas di hadapannya. Giginya diketap geram. Penumbuknya digenggam kuat.
            Iskandar turut berhenti sebaik melihat wajah keruh Zawin. Matanya turut mengekori arah yang dipandang Zawin. “Eh...tu kan...” Mata Iskandar bekerdip beberapa saat. Cuba memastikan gerangan lelaki separuh abad yang sedang berpelukan dengan seorang gadis muda berpakaian seksi itu adalah Dato’ Zawawi atau pelanduk dua serupa.
            Zharif yang baru sahaja keluar dari SACC Mall turut kaget melihat Dato’ Zawawi sedang berpelukan dengan seorang gadis muda. Kedua insan itu hilang ke dalam perut kereta Mercedez berwarna hitam yang menunggu di bahu jalan.
            Zawin berusaha menahan air matanya daripada gugur. Dia benar-benar malu dengan Iskandar. Tanpa sebarang pesan, Zawin berlari laju bersama air mata yang mula gugur di pipi. Dia hanya mengikut langkah kaki sedangkan terasa seakan tubuhnya sudah tidak berpijak di bumi nyata.
            Iskandar tidak terkata apa. Dia ingin mengejar Zawin, namun dia sedar gadis itu hanya ingin bersendirian kala ini. Alat kelulinya tiba-tiba berbunyi. Dia mengeluh berat. “On call lagi di hari cuti,” ngomelnya lalu bergegas mendapatkan keretanya.
            Zharif mendongak ke langit apabila mendengar bunyi guruh. Menyedari ruang angkasa yang gelap tanpa ditemani sang bulan dan bintang-bintang, hatinya dipagut resah. Dia perlu mencari Zawin sebelum hujan turun. Zharif berlari anak menuju ke kawasan parkir. Honda City berwarna putih itu meluncur keluar dari kawasan parkir kenderaan.
            Zawin berlari dan terus berlari semahu hatinya. Dia ingin meninggalkan segalanya di belakang. Ingin melupakan segala yang berlaku. Ingin pergi jauh daripada insan-insan yang mengenalinya. Tanpa sedar, dia sudah berada di seksyen dua. Hujan renyai-renyai mulai turun. Zawin mengalah. Dia perlu berhenti berlari. Sambil berjalan mendekati stesen bas, tangannya menyapu sisa air mata dipipi.
            Zawin mengambil tempat di sebelah gadis bertudung putih yang sempat mengukir senyuman manis kepadanya. Zawin membalas dalam senyum pahit. Matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 9.47 malam. Padanlah stesen bas sedikit lengang. Sebuah bas rapid berhenti di hadapan stesen bas. Pada dada skrin paling atas bertulisan uitm puncak alam. Bas meluncur perlahan, membawa bersama gadis bertudung coklat dan beberapa remaja lelaki.
Hujan semakin lebat. Seorang demi seorang penghuni stesen bas itu berlalu pergi.
            Zawin merenung rintik hujan yang turun dari atap stesen bas itu. Kenangan bermain hujan bersama ayahnya terasa baru semalam terjadi. Pada saat itu, dia benar-benar bahagia. Bibirnya menguntum senyum tanpa sedar. Namun imej ayahnya yang berpelukan dengan perempuan muda sebentar tadi menyentak kenangan indah itu. Mendadak senyumnya mati. Zawawi Zainal! Mengapa lelaki itu tidak pernah berubah? Mengapa lelaki itu ditakdirkan menjadi ayahnya? Mengapa? Monolog-monolog dalaman itu terasa menggegar setiap nadi dan urat sarafnya. Air matanya gugur lagi.
            Menyedari hujan semakin renyai, Zawin bingkas bangun, berjalan perlahan-lahan. Dia tidak mahu sesiapa pun melihat air matanya. Dia tidak mahu dianggap lemah. Dalam pekat malam bertemankan hujan renyai-renyai,  Zawin membiarkan air matanya mengalir tanpa henti.
            Zharif merenung aliran hujan yang turun pada cermin hadapan Honda City itu. Hatinya benar-benar resah setelah gagal mencari Zawin. Sudahnya dia mengambil keputusan untuk menunggu di bahu jalan berdekatan rumah sewa gadis itu. Laut fikirnya penuh dengan wajah Zawin Az-Zahra bersilih wajah Dato’ Zawawi. Lelaki separuh abad itu pernah menceritakan kisah lalu yang menyebabkan Zawin menjauh daripadanya. Ternyata Dato’ Zawawi tidak pernah berbenah daripada kesilapan silam. Fahamlah dia mengapa gadis itu bertindak meninggalkan ahli perniagaan itu di majlis kahwin Wan Zaidi beberapa bulan lalu. Dalam diam, dia menyiasat wanita bernama Arnida. Malah dia turut hadir semasa majlis pengebumian wanita itu tanpa disedari oleh Zawin. Zharif memincingkan pandangan sebaik menyedari satu kelibat sedang berjalan dalam hujan renyai. Pantas tangannya mencapai botol heater berisi susu kambing, jaket jeans dan payung lalu keluar tergesa-gesa.
            Zawin berhenti berjalan apabila satu payung kuning menghalang langkahnya. Apabila dia bergerak ke arah kanan, payung itu turut mengikut langkahnya. Akhirnya dia membatu apabila payung itu turut mengikut langkahnya ke arah kiri. Payung kuning itu perlahan-lahan bergerak ke atas lantas menyerlahkan wajah yang tersembunyi. Melihat senyuman di wajah Zharif juga mendengar tawa kecil lelaki itu, bibir Zawin turut menguntum senyum. “Buat apa di sini,” soalnya dalam suara serak. Rasa segan mengusai diri apabila berdepan dengan lelaki itu dalam pakaian basah begitu.
            Zharif mengangkat kedua bahunya. Dia bergerak rapat mendekati Zawin sekaligus turut memayungi gadis itu. “Sebab nak beri ni.” Zharif menghulurkan botol heater 500ml berwarna kuning lembut kepada Zawin. “Susu kambing panas sangat sesuai diminum bila dalam cuaca sejuk begini. Ambillah.”
            Zawin menyambut botol itu dengan senang hati. “Terima kasih. Buat susah saja,” ucapnya dalam terharu.
            “Pegang payung ni sekejap,” arah Zharif.
            Zawin akur lalu memegang batang payung itu. Matanya mendongak ke atas dalam senyuman lebar. Air hujan yang menimpa payung itu dapat dilihat dari bawah payung kerana bahagian atas payung diperbuat daripada plastik lutsinar. Dia terpana apabila Zharif menyarungkan jaket jeans pada tubuhnya lantas mengambil kembali batang payung daripada tangannya. Zawin tidak terkata apa. Masing-masing membisu sambil kaki melangkah beriringan menyusuri jalan menuju ke rumah sewa Zawin. “Kenapa Zharif tak bertanya?” Zawin memulakan bicara. Hujung lengan jaket jeans itu digunakan mengesat wajah yang basah.
            “Tanya apa?”
            “Erm...tentang...erm...kenapa Zawin basah...atau berjalan dalam hujan.”
            Zharif tersenyum lebar. “Oh...itu ya...” Zharif mengumam sejenak. “Tak perlu tanya,” balasnya pendek.
            “Kenapa?”
            “Sebab setiap orang punya sebab masing-masing bukan?”
            Zawin menahan senyum. “Apa pendapat Zharif?”
            “Zharif rasa...”
            “Apa Zharif rasa?”
            Zharif berhenti berjalan lalu menyeluruhi wajah gadis itu. Mata gadis itu kelihatan bengkak. Hidungnya berbekas merah. “I love walking in the rain because no one know I’m crying,” balasnya tenang. “Zharif rasa...quote itu sudah cukup untuk menjawab persoalan kan?”
            Zawin tersenyum pahit. Dia sedar, sukar untuknya menyembunyikan apa sahaja daripada pandangan Zharif. Botol kuning ditangan direnung seketika. Wajah Zharif ditatap sekilas. Lelaki itu kelihatan kacak dalam sut hitam dipadankan dengan kemeja biru muda. Tali lehernya pula gabungan corak warna biru dan kuning. “Sejak bila Zharif suka warna kuning?” soalnya ingin tahu.
            Zharif tersenyum penuh makna. “Apa pendapat Zawin?”
            “Zawin rasa...”
            “Apa Zawin rasa?” Zharif memuncungkan bibirnya.
            Zawin menahan tawa melihat mimik muka comel lelaki itu. “Zawin rasa...Zharif tak suka kuning pun...”
            “Salah tu.” Zharif menggoyangkan jari telunjuknya. “Zharif suka kuning...” Melihat riak sangsi pada wajah Zawin, dia menambah. “Itu pun...sejak jumpa Zawin.”
            Zawin hanya mampu tersenyum. “Ya la tu.”
            “Betul...nak dengar satu pantun tak?” Zharif mengangkat keningnya.
            “Sila...sila...”
            Zharif berdehem beberapa kali sebelum melafazkan pantun dengan nada bersungguh. “Kuning...buat abang pening.”
            Zawin menahan tawa. Bibirnya sengaja dijuihkan. “Tengok...Zharif memang tak suka kuning,” ulasnya lalu kembali berjalan perlahan. 
             Zharif ketawa kecil. Kakinya turut mengikut langkah Zawin. “Percayalah. Zharif memang suka warna kuning.” Zharif cuba meyakinkan sambil tangannya menyentuh dada.
            Zawin menjelirkan lidahnya. “Ya la tu...”
            Zharif tersenyum lebar. Berada disamping Zawin sering membuatkan dia tersenyum hampir setiap masa. Sebelah tangannya menyentuh titisan hujan yang turun dari hujung bucu payung. Hujan mengingatkannya pada banyak kenangan indah dalam hidupnya. Matanya mengerling wajah manis disebelahnya. Dia akan menyimpan kenangan indah ini dalam diari hatinya. Bibirnya mengukir senyum tanpa henti sambil berjalan beriringan dengan gadis itu menuju ke arah bangunan merah putih.
*******
            “Kau dah buat istikarah?” soal Najla serius.
            Zawin menggeleng.
            “Kenapa kau tak buat?”
            “Entahlah. Mungkin aku yakin Daniel Iskandar adalah jodoh aku sejak dulu.”
            Najla terdiam. “Itu bukan jawapan yang tepat. Dirikanlah solat meminta petunjukNya Zawin. Insyaallah...Allah S.W.T akan tunjukkan jodoh terbaik untuk Zawin Az-Zahra,” pujuknya lagi. Air milo panas dihirup perlahan. Bilik rehat pensyarah kelihatan lengang. Hanya mereka berdua sahaja berada di situ.
            Zawin merenung wajah Najla. “Kenapa kau rasa...Is bukan lelaki terbaik untuk aku?”
            Najla menghela nafas dalam-dalam. “Kau sendiri tahu kan...aku kurang percaya dengan lelaki Gemini. Tapi itu tak bermaksud semua lelaki Gemini tidak boleh dipercayai. Tidak! Aku cuma mampu doakan kau dapat lelaki yang terbaik sahaja. Itu sebab aku sarankan kau buat solat istikharah. Pilihan yang terbaik ada dalam rahsia-Nya bukan?” jawabnya tanpa mahu bersikap berat sebelah.
            Zawin mengangguk. Dia turut menghirup milo panas. “Insyaallah. Aku akan buat dalam minggu ni,” putusnya setelah berfikir sejenak. Saranan Najla itu ada benarnya.  
            Najla tersenyum senang.  
            “Kamu berdua saja?” tegur Dr.Nurin yang muncul di muka pintu.
            Zawin dan Najla mengukir senyum.
            “Mari minum Doktor,” ajak Najla.
            “Tak apa. Saya baru lepas minum.” Dr.Nurin melabuhkan punggung di sebelah Zawin.      “Kandungan kamu ok Najla?”
            “Alhamdulillah. Sihat. Doktor dah ada berapa orang anak?” soal Najla. Dia kurang mengenali latar belakang doktor falsafah itu kerana masing-masing sibuk dengan tugas dan kehidupan sendiri.
            “Enam semuanya. Alhamdulillah, semuanya dah besar-besar. Kamu berdua tak salah profesion kalau rancang nak anak ramai.”
            “Kenapa pula doktor? Saya yang bujang ni pun terasa tak tertanggung beban. Paling sakit bila nak buat modul mengajar setiap kursus,” sampuk Zawin.
            Dr.Nurin tersenyum. “Kamu harus bersyukur berada dalam institusi kerajaan. Saya ada seorang kawan yang mengajar di institut swasta. Kalau berjumpa sahaja ada sahaja luahan tidak puas hati kerana dia bukan sahaja membuat tugas sendiri sahaja tetapi pihak pengurusan akan gunakan kebolehan dia sehabis mungkin. Saya mendengar pun terasa penat dengan kerja-kerja yang dia pikul. Sebab itu, pensyarah-pensyarah yang sudah pencen, lebih rela sambung kontrak dengan kerajaan biarpun dapat tawaran gaji yang lumayan daripada institusi swasta,” ceritanya panjang lebar.
            “Wah...begitu rupanya,” ujar Najla seraya menganggukkan kepala.   
            “Doktor dulu dari industri atau mengajar di mana-mana institusi?” soal Zawin.
            “Saya bekerja di Kementerian Perdagangan. Hampir sepuluh tahun juga la. Seronok terbang ke luar negeri. Tapi bila orang gaji lari, anak-anak jadi tak terurus. Sukar juga saya nak beralih arah ke cabang pendidikan ni sebab saya jenis suka mengembara. Suami pula memang beri kebebasan tapi bila fikirkan tentang anak, saya sendiri buat keputusan berhenti kerja. Alhamdulillah. Terbang juga la ke sana sini sebab bentang kertas kajian.” 
            “Wah...banyak pengalaman doktor ni. Sangat memberi inspirasi,” puji Najla dalam kagum.
            Dr.Nurin tersenyum manis. “Saya masih insan biasa yang masih kurang ilmu dan amalan. Apa yang penting, bekal yang kita akan bawa ke alam sana kan?”
Zawin mengangguk laju. Hatinya berputik rasa kagum dengan sifat merendah diri wanita awal 40-an itu.
             “Zawin...Good job. Software Index Traffic yang kamu bangunkan sangat bermanfaat. Kalau kita tak menang sekalipun dalam pertandingan inovasi kali ini, sekurang-kurangnya kita menyumbang dalam bidang penyelidikan.” Dr.Nurin menepuk bahu pensyarah muda itu tanda kagum.
            Zawin tersenyum nipis. “Saya buat ikut kertas kajian doktor juga. Siapa yang uruskan Banner, poster, dan brochure?”
            “Saya,” jawab satu suara lelaki.
            Masing-masing berpaling ke arah pintu. 
            Dr.Nasa mengangkat keningnya. “Panjang umur saya ya?”
Najla dan Zawin ketawa kecil.  
            Dr.Nurin tersengih melihat mimik lucu lelaki yang berasal dari negeri pantai timur itu.        “Dr.Nasa datang dari mana?” sapanya ramah.
            “Fakulti Engineering,” balas Dr.Nasa seraya mengambil tempat di sebelah kerusi Dr.Nurin.
            “Ada apa di sana?”
            “Saya jadi juri untuk penyelidikan di sana. Semester ni sangat memenatkan. Berulang alik ke Fakulti Engineering dan Fakulti Hotel. Orang rumah pun dah mula merungut sebab hari sabtu dan ahad pun saya mengajar. Nasib baik kelas dah habis,” jelas Dr.Nasa.
            Dr.Nurin ketawa kecil. “Sama la dengan saya, Dr.Nasa. Isnin sampai jumaat mengajar pelajar Degree, sabtu dan ahad pula pelajar Master. Kadang-kadang hak pada diri dan keluarga pun terabai. Sebab tu juga saya ubah kelas hari sabtu kepada malam jumaat. Barulah terasa ada life.”
            Dr.Nasa mengangguk. “Erm...kalau boleh saya nak cuti juga pada hari sabtu. Tapi sebab kawan minta tolong, saya mengajar juga lah satu kelas master di Fakulti Hotel.”
             “Doktor jadi juri apa di fakulti engineering?” Najla yang sejak tadi mendengar perbualan dua pensyarah kanan itu mula melabuhkan soalan.
            Supply chain. Ada yang kata business dan engineering tiada kaitan. Bagi saya orang-orang yang kata macam ni, tak cukup ilmu lagi tu. Budak-budak engineer ni tahu buat projek saja, tapi mereka lemah dalam cabang supply chain dan marketing. Disini peranan orang business dalam bidang engineering,” jelas Dr.Nasa.
            “Betul tu doktor,” sokong Dr.Nurin. “Kalau diikutkan, ramai pensyarah Business School berkahwin dengan Engineer,” lanjutnya lagi.
             Najla ketawa kecil. “Semasa saya belajar dulu pun, pelajar engineering ramai yang bercinta dengan pelajar business. Pelajar saya pun rata-rata bercinta dengan pelajar Engineering. Bagus buat kajian ni, cari correlation destiny between engineering and business,” cadangnya bersulam gurauan.
            Dr.Nasa ketawa besar. “Kamu sendiri patut jadi sample kajian. Suami kamu engineer di TNB kan?” 
            Najla mengangguk  sambil tersengih. “Saya sendiri yang akan tawar diri.”
            “Saya terkeluar daripada senarai,” celah Dr.Nurin sambil mengangkat tangannya.
            Dr.Nasa mencemikkan bibirnya. “Ya la. Untunglah Dr.Nurin boleh terbang dengan harga yang rendah.”
            Dr.Nurin ketawa besar mendengar usikan itu. “Jangan jealouse ya.”
            “Terbang? Rendah? Apa maksudnya Dr.Nasa?” celah Zawin, tidak faham.
            “Suami Dr.Nurin adalah Mr.Pilot,” terang Dr.Nasa. “Kenapa? Zawin nak Mr.Pilot juga ke?” usiknya.
            Zawin menahan merah di wajahnya apabila Najla dan Dr.Nurin turut mengusiknya. “Erm...Dr.Nasa nanti hadir tak di PWTC?” soalnya sekaligus mengubah topik perbualan.
            “Saya?..erm...” Dr. Nasa berfikir sejenak, mula mencongak jadual kerjanya. “Hari sabtu minggu depan ada present paper di China. Hari sabtu minggu seterusnya saya ada kursus di Penang. Ish...memang saya tak dapat nak hadir. Barang-barang persiapan untuk presentation saya dah uruskan. Tinggal  lagi Dr. Nurin, Dr.Kamal, Najla dan Zawin sajalah uruskan selebihnya nanti.”
            “Ok,” ujar Dr. Nurin.
            Najla dan Zawin mengangguk serentak.
            “Saya nak beransur dulu ni. Ada lagi kertas student yang tak marking lagi.” Dr.Nasa meminta diri.
            Dr.Nurin turut bangun. “Ya la. Saya pun sama. Tak habis marking lagi. Datang sini pun nak release tension.”
            “Apa pun Dr.Nurin, Cik Zawin dan Puan Najla...selamat hari guru...eh silap...hari pensyarah,” ucap Dr.Nasa.
            Dr.Nurin ketawa kecil. “Hari pensyarah tak ada...jadi hari guru pun consider hari pensyarah la kan?”
            Zawin dan Najla ketawa serentak.
            “Tau tak apa. Ok saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Dr.Nasa.
            “Waalaikumsalam.”
            “Saya pun nak beransur. Assalamualaikum,” ucap Dr.Nurin lalu kelibatnya hilang di sebalik pintu. 
             Najla mengangkat keningnya pada Zawin. “Aku tiba-tiba teringat tentang jawapan kuiz Facebook yang kau main dulu.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Yang mana satu?”
            “Ala...kuiz tentang kerja bakal suami. Kau buat tiga kali kalau tak silap. Jawapan tetap sama. Jurutera.” Najla mengukir senyum nakal.
             Zawin ketawa kecil. “Kuiz saja kot. Buat apa nak percaya.”
            “Takdir. Kau mana tahu kan?”
            “Amboi...macam la kau tahu,” bidas Zawin semula.
            Najla tergelak. “Hari ni...selasa kan? Aku nampak tadibunga mawar di atas kereta kau...opss tersalah pula. Kereta Zharif kan? Tengok...walaupun kereta dah bertukar,bunga mawar tetap ada bukan? Siapa ya secret admirer kau ni?” Najla menggaru bawah dagunya.
            Zawin terdiam. Dia malas untuk memikirkan gerangan si pemberi bunga. Apa yang penting, pertemuan antara Daniel Iskandar dan abangnya kelak. Dia yakin abangnya akan menyukai kekasihnya itu tanpa sebarang sangsi.
*******
             “Kamu yakin dapat membahagiakan Zawin”?” soal Zafuan dalam nada yang serius.
Zawin merenung wajah abangnya itu dalam kehairanan. Abangnya itu tidak pernah membuat muka sebegitu apabila berhadapan dengan tetamu biarpun orang yang tidak digemarinya. Tetapi kenapa apabila berdepan dengan Daniel Iskandar, abangnya berubah perwatakan? Ahh...mungkin sahaja ini satu daripada ujian kepada jejaka itu sebelum diterima masuk ke dalam rumah mereka. Hatinya berkira-kira sendirian.
            Iskandar tersenyum nipis. Setiap soalan yang meluncur keluar daripada bibir Zafuan disambut dengan senyuman. Ternyata abang kandung kekasihnya itu seorang guru agama yang tegas. “Saya yakin...mampu bahagiakan Zawin,” sahutnya dengan keyakinan yang tinggi.
            Zafuan menyorotkan pandangannya ke wajah kacak dihadapannya. “Kamu kelihatan matang. Sifat seorang pemimpin memang ada.  Tapi...kalau kamu dah mendirikan rumah tangga nanti, adakah kamu mampu memikul tanggungjawab ini dengan baik?” soalnya serius. 
            Iskandar berusaha untuk bersikap tenang. Dalam senyum nipis, dia menjawab. “Saya tahu saya adalah insan yang lemah. Sebagai manusia memang kita makhluk Allah S.W.T yang lemah. Tetapi saya berjanji depan abang dan makcik, saya memang serius untuk jadikan Zawin Az-Zahra sebagai isteri saya. Saya sangat yakin, dia tercipta untuk saya. Kelemahan yang saya dan Zawin miliki, akan saling menyempurna. Saya juga yakin, Zawin tidak akan susah sebagai isteri saya. Saya diajar ibu saya memasak di dapur sejak usia remaja. Kata ibu...biarpun rasululllah seorang nabi yang maksum, baginda tetap sahaja turun ke dapur membantu isteri-isteri baginda memasak. Saya juga tahu menjahit, bertukang, mengemas rumah dan sebagainya. Pokoknya, Zawin akan saya didik dengan baik dan menjadikan dia permaisuri syurga dunia kami kelak,” jawabnya dengan yakin.
            Zafuan merenung wajah lelaki yang kelihatan tenang dihadapannya itu. Semua soalan daripada sudut agama mahupun duniawi, lelaki ini dapat menjawab dengan baik. Namun ada sesuatu pada pandangannya yang sukar diterima hatinya.
            Zawin menahan senyum dibibir. Langsung matanya bertembung dengan mata bersinar gembira ibunya. Dia tersenyum bahagia. Kemudian pandangannya jatuh ke wajah abangnya. Senyuman dibibir terus mati. Tiada senyuman, tiada riak mesra dan abangnya itu terus menerus merenung wajah kekasihnya itu tajam. Pandangan tajam itu...sama seperti...Ya! Pandangan itu sama dengan cara Cikgu Kamil merenung Daniel Iskandar semasa mereka berlatih di gelanggang silat berapa bulan lalu. Ada apa disebalik renungan itu? Hatinya tiba-tiba berlagu tidak enak.
********
            “Cerita lah Zawin,” pinta Puteri sebaik gadis itu memberitahu mengenai pertemuan antara Daniel Iskandar dengan abangnya. Suara peti televisyen sengaja diturunkan.
            “Nak cerita apa ya? Tak ada apa yang menarik. Mak memang suka dengan Is. Abang Zafuan pula hanya suruh Zawin buat solat istikharah.” Zawin mengopek kulit kuaci lalu isi kuaci dimasukkan ke dalam mulutnya.
            Puteri mengerutkan keningnya. “Zafuan tak suka Is ke?” soalnya hairan.
            Zawin terdiam. Dia puas bertanya soalan itu kepada abangnya namun Zafuan berulang kali menyuruhnya meminta petunjuk ilahi. “Abang Zafuan jenis yang tak cakap banyak. Tapi dia pesan kalau Zawin bermimpi tentang Is atau gerak hati Zawin kuat mengatakan Is adalah jodoh yang terbaik untuk Zawin, abang Zafuan akan benarkan kami bertunang.”
            Puteri mengangguk tanda faham. Dia mengisar punggung, membawa bantal oren Garfield ke dalam pelukannya. “Zawin...abang Zafuan ada cakap tak, cara nak tahu seseorang itu jodoh kita selain mimpi dan gerak hati?” soalnya penuh mengharap.
            Zawin mengangkat bahunya. “Tak pernah tanya pula. Nanti Zawin tanya ya?”
            “Ok. Terima kasih Zawin.” Puteri tersenyum senang seraya menghirup air horlick suam.
            Zawin merenung wajah wanita itu. Dia mengesan ada riak kurang gembira yang terpancar diwajah itu. “Akak...ada masalah?” soalnya berhati-hati.
            Puteri menggeleng dalam senyum yang sengaja dilebarkan. “Akak ok,” balasnya ringkas. Sejujurnya dia tiada masalah cuma hatinya resah kerana sudah berminggu tiada khabar Tengku Amir. Hatinya pula merasa tidak enak. Apakah tanda ini?  
            Zawin terus mengunyah isi kauci. Dia tidak mahu mendesak jika Puteri tidak mahu berkongsi cerita. Bunyi pintu gril dibuka dari luar membuatkan Zawin menatap wajah Puteri.          “Zeyra ke?” soalnya ingin tahu. Seingatnya gadis itu sedang bercuti semester.
            Puteri menggelengkan kepalanya tanda tidak pasti.
            Daun pintu dikuak dari luar. Muncul wajah Zeyra di muka pintu. Air mukanya kelihatan pucat dan langkahnya tidak bermaya. Dia terus berjalan ke arah bilik tanpa menyapa dua rakan serumahnya itu.
             “Kenapa dengan Zeyra tu?” soal Zawin kepada Puteri setelah gadis itu masuk ke dalam bilik.
            Puteri terdiam sambil berfikir sejenak. “Agaknya dia masih kecewa dengan result exam,” tebaknya.
            “Kenapa?”
            “Macam ni. Hari jumaat...sebelum Zeyra balik ke kampung, dia ada mengadu pada akak tentang keputusan exam. Katanya teruk. Satu paper gagal. Kena ulang,” beritahu Puteri.
            Zawin mengangguk. “Ada hikmah disebalik semua yang terjadi. Kalau dia berfikir secara positif, insyaallah semua akan ok.”
            “Ya...harap begitulah,” ulas Puteri sambil menghela nafas. Telefon bimbit Sony Ericson ditatap sekilas. Hatinya benar-benar dihurung rindu yang menggunung. Berdoa dan terus berharap Tengku Amir akan menghubunginya malam ini. 
            Bunyi nada dering Yakinlah Aku Menjemputmu menganggu tumpuan Zawin pada peti televisyen. Zawin tersenyum sendiri. Cekatan tangannya menyentuh skrin telefon pintar itu seraya bangun mendadak. “Gayut sat na.” Zawin mengenyitkan mata kiri kepada Puteri lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.
            Puteri tersenyum pahit. Gadis itu disenang-senangkan oleh cinta tetapi dia digusarkan oleh cinta.
            “Ma...buat apa?” soal Iskandar dihujung talian.
            “Makan kuaci sambil tengok berita. Pa esok cuti kan?”
            “Ya. Esok Zawin wajib ambil si kuning itu dari bengkel dan pulangkan balik Jazz pada Zharif. Esok mesti settle semuanya. Ok?” Iskandar mengingatkan.
            “Ya. Semua selesai esok.” Zawin melabuhkan punggung di atas buaian kayu berbentuk bulat di sebelah jendela. “Esok pa nak bersenam di gym?”
            “Tak kot. Esok teman pa beli langsir ya?”
            “Untuk apa?”
            “Untuk bilik houseman. Nampaknya perlukan langsir yang baru.”
            “Ok.”
            “Erm...dan juga kita survey baju bertunang nak?”
            Zawin terdiam. “Pa...err...serius ke nak bertunang?”
            “Serius la. Pa dah terfikir tau. Tema hitam putih. Nak tau kenapa?”
            “Kenapa?”
            “Mewakili warna negeri Perak. Unik tak?”
            Zawin tergelak. “Mana perginya warna kegemaranmu itu?”
            Iskandar turut tergelak. “Oo...itu semasa majlis kahwin. Wajib!”
            “Warna kuning di majlis sebelah ma ya?”
            “Ala...warna kuning tak cantik la. Kalau oren, ok la juga.”
            Zawin terdiam. “Erm...ma teringin sangat nak bersanding dalam taman bunga sakura,” beritahunya bersungguh.
            “Insyaallah. Tak ada aral melintang, impian ma akan tercapai.”
            “Insyaallah.”
            “Ha...pa nak cerita ni. Ingat kan akak pa tunang hari tu kan?”
            “Ya. Kenapa?”
            “Hantaran macam low la...”
            Zawin sudah tersenyum lebar. “Sila...sila. Ma tunggu juga pa cerita. Memang pa ni cerewet macam pak nenek!”
            “Amboi. Ingat ya. Manusia tidak sempurna tapi kita wajib usaha untuk menyempurnakan sesuatu atau belajar untuk jadi sempurna. Pokoknya...pa memang nak gelak la hari tu. Berkumpul pula hari tu dengan pakar-pakar kraf. Siap kena kutuk semuanya.”
            “Erk...tak grand ke hantaran pihak lelaki?”
            “Bukan pasal grand atau  tak  ma, cuma cara penyampaian tak berapa cantik. Bukan tak puas hati tapi nak gelak la. Cerita pasal hantaran yang pa nak gelak, pihak lelaki ada hantar kek buah rasanya, salut dengan aising gula keras. Ok. Kritikan pertama. Kek cantik la juga sebab warna ungu...tapi...bila cabut hiasan ditepi kek tu nampak la cacat cela kek tu. Kalau buat bangunan sah roboh. Itu mula-mula yang ramai suka then potong la kek tu. Bila buang toping aising tu, dapat la kek buah. Kritikan kedua, ok ni lagi la buat pa gelak... kebetulan pakar buat kek ada juga masa tu, bila dengar pa cakap macam ni...gelak sakan depa.”
            “Pa cakap apa? Ish ish...pasti pedas kan kritikan Daniel Iskandar?” perli Zawin.
            “Oh...pa ambil itu sebagai pujian ya. Kata-kata perlianmu tidak berjaya menggugah kalbu ku.”
            Zawin ketawa lagi. “Melalut dah na. Sambung cerita tadi.”
            “Ok. Sambung pada kritikan kedua. Kek tu jenis kek span tapi ditambah buah. Pa cakap la pada semua. Ada ke buat kek span tambah buah untuk buat kek buah? Masa tu semua gelak. Kek tu dah la tiga lapis. Setiap lapisan diletakkan gambil.”
            “Gambil? Lain macam je bunyinya,” celah Zawin.
            “Bukan gambil makan dengan sireh tu, tapi gambil asam. Itu yang kek jadi lembik  Memang gelak gila la. Selepas tu, potong la nak bagi dua. Ini lagi la nak gelak. Ma tahu...aising keras tadi mereka buat macam murtabak. Ada seorang mak saudara bagi nama kek murtabak. Dah la rasa tak sedap langsung. Satu rumah gelak sakan.”
            “Wah...seronok mengutuk ya?”
            “Ala. Kami bukan kutuk sangat pun...just bagi pendapat sebab saudara-saudara pa termasuk keluarga pa, boleh kata lama la juga terlibat dalam dunia kek. Memang meriah la masa tu. Kalau ma ada mesti lagi seronok.”
            “Ya la tu. Pihak lelaki beri berapa hantaran?”
            “Hmmm...manisan, baju kebaya, buah, sirih...yang lain-lain pa tak ingat. Tapi yang pasti ada enam hantaran. Nasib baik enam. Enam itu tuah.”
            “Tuah ke? Enam tu nombor duit. Duit itu cenderung buat manusia jadi tamak. Tahu tak?”
            Iskandar ketawa besar. “Memang la. Duit bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya perlukan duit tau. Sila ingat kata-kata itu.”
            “Erm...bagi ma...duit bukan segala-galanya,” ujar Zawin. Dia tetap berpegang pada prinsipnya itu.
            “Memang...tapi zaman sekarang, segala-galanya perlukan duit,” tegas Iskandar pula.
            “Malas nak bertekak dengan pa,” putus Zawin.
            “Eh...awalnya mengalah. Leo lady kah ini?”
            Gelak tawa Daniel Iskandar di hujung talian terasa membakar hati Zawin. “Sebab kamu tu Gemini guy! Cakap nak menang sahaja.”
            “Dah pa cakap benda betul. Memang la akan menang.”
            Whatever...”
            “Ha...tengok. Keluar dah word favorite Zawin Az-Zahra.”
            Zawin tersengih. Bunyi bising dan suara bertelagah dari arah ruang tamu menganggu perbualan itu. “Tunggu sat na,” pesannya kepada Iskandar lalu meninggalkan I-Phone di atas katil. Zawin terus bergegas keluar daripada bilik  menuju ke ruang tamu. Dia terkaku di situ sebaik melihat wajah marah Tengku Azura, air mata Puteri Nur Deana juga wajah resah Tengku Amir.  



4 awesome commentator:

  1. ~Never bored !!!!!! kak rahimah ... nak tanya boleh ? Kak Rahimah nak bukukan ke novel-novel akq niey? Sebab sy rase mmg rgi kalau xbukukan... sgt2 rugi..! bukukan ye kak? sy nk bli buat koleksi.. karya yg amat mnyntuh jiwa sy.. kwn2 sy pom ske dgn karya akq...~

    *AznieAtiey*

    ReplyDelete
  2. salam...kepada pembaca gemleo..
    Terima kasih atas sokongan anda.

    K.sha..nantikan bab seterusnya

    AznleAtley..insyaallah..tak ada aral melintang...semua karya akan dibukukan...nantikan ya....kirim salam pada teman-teman saudari.

    ReplyDelete
  3. salam...baru saje habis baca gemleo 1- 20
    sangat puas hati..x sia2 baca penuh dengan ilmu, tertawan dengan zharif, cuma rasa zawin x tegas dengan pendirian dia yg x bersentuhan ngn lelaki tp dgn iskandar dia x rela pula disentuh..
    harap dapat baca kisah zharif ngan zawin ni pnjang2..love them

    ReplyDelete
  4. best la kak..penuh sangat dengan kejutan..dan zam betul2 tak sangka jumpa dengan nama2 yang dikenali di dalam gemleo kali nie..seorang insan yang bernama manusia..haha..kak maira..zam betul2 tak sabar nak tunggu GEMLEO dibukukan..=))

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top