“Bangun!” sergah Zawin apabila Zharif dilihatnya menyambung tidur diatas sofa putih. Dulang yang ditatang, diletakkan atas meja kayu dan melabuhkan punggung diatas sofa berhampiran. 
            Zharif menggeliat beberapa ketika. “Mengantoknya...” ujarnya lalu membuka mata dan duduk tegak. Matanya terbuka luas sebaik hidungnya menangkap bau hidangan yang diatas meja. “Bau ini...”
            Khao Man Gai,” ujar Zawin. “Dah lupa ke? Zharif yang minta Zawin masakkan.”
            Zharif menganggukkan kepalanya. “Memang. Tapi...”
            “Ya...Zawin tahu...bukan seperti yang Zharif biasa makan. Zawin buatkan nasi ni jadi kuning. Khao Man Gai biasanya nasi warna putiih.”
            Zharif menatap wajah Zawin sejenak sebelum membaca doa makan dan menyuap hidangan nasi ayam ala Thai itu. “Macam...” Zharif memejamkan mata.
            Zawin mengangkat keningnya.
            “Sama....macam...” Zharif memasukkan isi ayam yang dicicah sos cuka ke dalam mulut, mengunyah perlahan sambil matanya menatap wajah Zawin dalam mata yang bersinar gembira. “Sama macam...nasi ayam ibu Zharif,” beritahunya bersungguh. Sup ayam dihirup berulang kali.
             Zawin terpana. “Betul ke?”
            Zharif mengangguk bersungguh. “Sedap. Mesti Zawin masukkan serbuk kunyit dan serbuk kari dalam nasi kuning ni kan?”
            Zawin tersengih. “Ya. Zawin suka buat resepi ciptaan sendiri.”
            Zharif merenung wajah Zawin sejenak. “Zawin banyak ingatkan Zharif pada arwah ibu.”
            “Kenapa?” Zawin tersenyum simpul. Sup ayam dihirup perlahan.
            “Ibu suka warna kuning. Ibu selalu kata yang kuning adalah warna matahari dan warna cinta,” jelas Zharif lalu menyuap gaulan nasi bersama isi ayam kedalam mulut.
            “Oh begitu...” Zawin merenung bersungguh wajah lelaki itu.
            “Selama bertahun kata-kata ibu tergiang-giang pada telinga dan selepas jumpa Zawin baru Zharif mengerti. Zawin bukan sahaja berjaya pegang hati ini tetapi juga berjaya mengubat rindu Zharif pada arwah ibu. Terima kasih. Zharif betul-betul maksudkannya. Ikhlas dari hati ini.” Zharif meletakkan tapak tangan pada dadanya.
            Zawin tersenyum simpul. Tangannya mengipas wajahnya yang tiba-tiba terasa hangat. Kata-kata lelaki itu kedengaran telus dan terasa menusuk kedalam jiwa. Pandangannya dilarikan pada sofa putih yang diletakkan ditepi koridor berdepan rumah lelaki itu. “Panjang pula hayat sofa ni disini. Biasanya dah kena kebas awal-awal,” ujarnya bersahaja.
            “Nak tahu kenapa?” Bibir Zharif menguntum senyuman nakal.
            Zawin mengangkat kedua bahunya.
            “Zharif kata pada pihak pengurusan macam ni. Encik, jangan ambil sofa depan rumah saya. Saya nak dating dengan buah hati saya disitu.”           
            Zawin membulatkan matanya. “Zharif kata macam tu?”
            Zharif mengangguk seraya ketawa halus. Hidangan nasi ayam dalam pinggan dinikmati bersungguh. “Sedap betul. Zawin memang pandai masak,” pujinya lagi.
            Zawin menahan senyum. “Bukan semua hidangan Zawin boleh masak. Kek dan pastry memang mengaku kalah awal-awal,” beritahunya.
            “Kenapa?”
            “Memang tak reti nak ukur bahan. Sungguh leceh,” rungut Zawin.
            “Eh, bukan ke Zawin yang buat kuih tepung pelita dikampung dulu?” soal Zharif.
            Zawin ketawa halus. “Zawin buat adunan tu dengan pantauan mak. Kalau buat sendiri, pasti takkan menjadi.”
              Zharif merenung wajah Zawin. “Zawin tak pandai buat kuih atau kek pun tak apa. Zharif tetap sayang Zawin.”
            Zawin terasa wajahnya membahang. Dia berdehem-dehem beberapa kali untuk meredakan rasa pelik yang hadir. “Makan tu bagi habis!” arahnya dalam nada keras.
            Zharif tersenyum-senyum penuh makna sambil  menyuap nasi kedalam mulut. “Apa rancangan hari ini? Cuti kan?”
            Zawin mengangguk. Sup ayam dihirup perlahan. “Kemas rumah. Bulan puasa, nak pergi mana sahaja kan?”
            “Esok teman Zharif boleh?”
            “Kemana?”
            “Bandar Kinrara.”
********
            “Zawin berminat nak beli?” soal Zharif usai melawat dua buah unit rumah teres. Dia bersandar selesa pada badan Mercedes biru metalik itu.
            Zawin meneliti brosur ditangan, membaca setiap informasi berkaitan rumah teres di kawasan perumahan Sentosa Kinrara itu. “Kenapa ejen hartanah Zharif tawarkan dua unit rumah ni?” soalnya ingin tahu.
            “Rumah lot tepi tu pinjaman bank tak lepas dan lot tengah tu pula pelanggan tolak,” jelas Zharif.
            Zawin menimbang-nimbang dalam laut fikirnya. Terbayang wajah Najla dan Anas yang menyarankannya melakukan pelaburan hartanah. “Apa pendapat Zharif?” Zawin menatap tepat sepasang mata memukau lelaki itu.
            Zharif merenung rumah teres dua tingkat dihadapannya. “Ikut pengalaman, bandar ini bagus untuk buat pelaburan. Tiga tahun lalu bandar ini tidaklah sibuk seperti hari ini. Kawasan baru tak banyak dibuka. Harga rumah pun masih boleh tahan. Rumah lot tengah masih ada yang berharga tiga ratus ribu sahaja, tetapi sekarang, lot tengah dah capai harga lima ratus ribu ke atas dan harga rumah dijangka terus melambung naik. Apa lagi sejak pasaraya Giant dibuka, deretan kedai-kedai dibina, rumah pangsapuri, lot banglo dan kondominium pun tumbuh macam cendawan selepas hujan. Bandar Kinrara merupakan pelaburan terbaik untuk pelaburan hartanah,” jelasnya lebih lanjut.
            Zawin mengangguk beberapa kali. “Zharif ada rumah disini?”
            Zharif mengangguk. “Mari Zharif tunjukkan.” Zharif membuka pintu kereta bahagian penumpang. Sebaik Zawin memasuki perut kereta, dia turut meloloskan diri masuk. “Pak Hadi, kita ke BK6 Melodi Kinrara,” arahnya kepada lelaki separuh baya berambut putih, berjanggut nipis itu.
            “Baik boss.”
            Kereta buatan Jerman itu meluncur perlahan menuju tempat yang dituju.
            “Ini...rumah yang Zharif beli tahun lepas,” beritahu Zharif sebaik berada dihadapan rumah teres tiga tingkat itu.
            “Berapa harga rumah ni?” soal Zawin.
            “Enam ratus tujuh puluh ribu. Itu harga awal tahun lepas. Harga tahun ni dah naik sehingga ke lapan ratus ribu. Ramai telefon berminat nak beli, ejen-ejen hartanah tak usah cakap la tapi bila datang tengok, tak jadi nak beli.”
            “Kenapa?”
            “Bangsa cina sangat percayakan Feng Shui. Hanya kerana ada stesen TNB di belakang rumah ini, mereka tak nak beli sebab katanya panas, hilangkan rezeki dan mendatangkan penyakit. Jadi, rumah ini masih belum dapat dijualkan. Tak apa la Zharif belajar sesuatu, jika nak beli rumah yg sederhana tinggi, mesti belajar sedikit tentang unsur Feng Shui. Bukan percaya sangat tetapi jika nak membuat pelaburan untuk beli dan jual rumah, ilmu Feng Shui kena tahu juga.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Kenapa cina? Bangsa lain tak ada beli ke?”
            “Bukan tak ada pembeli bangsa lain berminat nak beli tetapi pinjaman bank selalu tak lepas. Pendapatan mereka tak cukup. Gaji lima ribu pun tidak lepas sebab kalau harganya enam ratus ribu, bayar deposit terus enam puluh ribu. Hanya orang berniaga seperti bangsa cina yang mampu membeli rumah berharga lebih tujuh ratus ribu ke atas. Mereka sekali beli sehingga lima atau enam unit rumah.”
            Tangan Zawin mengusap bawah dagunya berulang kali. “Kalau kata kedudukan rumah ni tak baik, apa kata rumah ni wakaf sahaja untuk anak-anak yatim. Jadilah baik dan berkat nanti,” sarannya.
            Zharif tersenyum lebar, menatap wajah gadis itu dengan pandangan penuh makna. “Zawin memang sama dengan ibu,” ujarnya bersahaja.
            Zawin menjeling sekilas sambil berpeluk tubuh. “Area mana lagi Zharif beli rumah?”
            “Awana Kinrara,” balas Zharif.
            “Awana Kinrara...erm...sedap namanya,” puji Zawin.
            “Marilah kesana.”
            Kereta Mercedez itu bergerak lagi. Zawin tersenyum melihat pembangunan bandar Kinrara. Memang pesat dan padat. Bisik hatinya. Zawin mengalihkan pandangan pada Zharif disebelahnya yang tersenyum-senyum sendiri membaca sekeping kertas. “Apa yang lawak tu?” tegurnya.
            “Soalan skala hubungan minggu ini. Setiap minggu petang jumaat setiausaha Zharif, namanya Salina akan jawab soalan dalam kertas ni. Nak baca?” Zharif mengangkat keningnya.
            “Boleh baca ke?” soal Zawin teragak-agak.
            “Ya.” Zharif menghulurkan kertas biru itu kepada Zawin.
            Zawin akur dan pantas membaca.
            Dalam skala 1 sehinga 10, berikan nilai kualiti hubungan minggu ini
            “Wah, ini dah macam borang penilaian yang Zawin beri pelajar pada setiap akhir semester, tapi tak sangka pula Zharif buat juga pada staf. Mingguan pula tu,” ujar Zawin teruja.
            Zharif mengangguk. “Zharif belajar buat macam ni daripada seorang taikun perniagaan di England. Soalan begini sangat bagus untuk mengetahui ketidakpuasan hati seseorang terutamanya pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan. Selain itu bagus untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan pekerja apatah lagi pasangan. Berapa skala Salina nilaikan hubungan kami minggu ini?” soalnya.
            Zawin meneliti nombor yang dibulatkan dalam senarai nombor yang tertera. “Lapan,” balas Zawin.
            “Soalan seterusnya?”
            “Apa yang perlu dilakukan untuk mencapai skala 10?”
            “Cuba bacakan komen Salina,” arah Zharif lagi.
            Zawin berdehem sekali sebelum membaca komen itu. “Kita sepatutnya berjumpa untuk bincangkan tentang jadual minggu depan tetapi bos sering tak ada masa malah tak pernah telefon saya semula. Saya rasa tak penting dan tidak diperdulikan. Saya nak bos berikan perhatian pada saya juga. Hal lain, saya rasa bos tak berikan kerja yang penting pada saya. Saya nak lebih tanggungjawab, saya nak bos percayakan saya untuk tugas lain. Saya perlukan cabaran.” Mata Zawin dikerdipkan beberapa kali. Seakan tidak percaya. Matanya dikalihkan pada Zharif. “Sungguh berterus terang...”
            Zharif ketawa halus. “Memang bukan sesuatu yang mudah diterima tetapi dengan melakukan seperti yang diminta, situasi menang-menang akan terjadi. Dia akan menjadi setiausaha yang gembira dan mampu bertugas dengan lebih baik untuk Zharif dan syarikat.”
            Zawin mengangguk lalu menghulurkan kembali kertas ditangan kepada Zharif. Dia bingung apabila Zharif menghulurkan kertas yang lain kepadanya.
            “Zharif rasa sudah tiba masa untuk membuat penilaian pada hubungan kita.” Zharif tersenyum lebar sambil mengangkatkan keningnya.
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Perlu ke?”
            “Terpulang.”
            Zawin mencapai kertas itu lambat-lambat. “Selepas tiga bulan, baru Zawin nilaikan. Boleh?” pintanya.
            Zharif mendepakan tangannya. “Terpulang pada sayang.”
            Zawin tersenyum senang. Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap. “Kita dah sampai?”
            “Dah. Tak perasan ke?”
            Zawin tersenyum segan. Entah bila kereta itu berhenti. Lelaki separuh baya ditempat pemandu tersenyum simpul apabila bersabung pandang dengannya. Zawin pantas keluar daripada perut kereta. Tiupan angin bukit terasa mendamaikan perasaannya. Dia merenung papan tanda didepan kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan itu. “Awana...nama yang menarik,” ujarnya kepada Zharif.
            Zharif mengangguk. “Semua nama perumahan di bandar ini...ada kaitan dengan Feng Shui. Semakin tinggi kedudukan di atas bukit, Feng Shui akan lebih bagus,” jelasnya.
            “Rumah teres juga disini?”
            Zharif menggeleng. “Perumahan jenis banglow dan semi-D. Harganya semua jutaan. Tak ada ratusan ribu.”
            “Membazir saja,” getus Zawin seraya menggelengkan kepalanya.
            Zharif ketawa besar. “Inilah yang dinamakan pelaburan. Jangan tak tahu, Najla dan Anas pun dah booking rumah di Awana Kinrara ni,” beritahunya.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Mereka berdua tu memang tak sayang duit. Tak takut ambil risiko besar,” bebelnya.
             Zharif tersenyum lebar. “Baby kan ada dalam kelas MBA dulu. Pelaburan hartanah adalah pelaburan paling bijak sebab cukai yang dikenakan rendah malah ada sesetengah pelaburan yang tidak dikenakan cukai langsung. Baby kan bijak. Sayang sangat kalau baby lepaskan dua rumah teres di Sentosa Kinrara tadi.”
            Zawin menimbang-nimbang dalam laut fikirnya. Dia sedar selama ini dia sentiasa berada dalam zon selesa dan takut mengambil risiko. Memikirkan ada Anas, Najla dan Zharif sebagai rujukannya kelak, sudahnya dia membuat keputusan sebulat hati. “Ok. Zawin beli,” putusnya.
            Zharif tersenyum gembira. “Memang keputusan yang bijak. Kita uruskan pembelian rumah dulu, lepas tu pergi Giant ya.”
            “Nak buat apa?”
            Zharif tersenyum-senyum penuh makna.
******* 
            “Kuih Seri Muka? Ala...Zawin tak pandai buat...” rungut Zawin. Matanya meneliti bahan-bahan yang dipilih Zharif dalam troli.  
            “Tak reti, boleh belajarkan?. Minggu ini kan minggu Zawin masak,” balas Zharif lembut.
            “Beli saja la...ya?” rayu Zawin.
            Zharif menggeleng. “Tak nak. Biasa kalau Kuih Seri Muka yang beli di bazar, susah nak dapat yang betul-betul sedap. Selalu dapat yang tak cukup lemak, bahagian atas banyak tepung, pulut keras dan macam-macam lagi.”
            “Ala...Zawin buat tak pernah jadi sebelum ni sampai fobia.  Kepala kuih tu asyik cair saja lepas tu masuk dalam pulut. Kalau tak jadi lagi macam mana?”
            Zharif tersenyum simpul. “Zharif akan makan semuanya,” ujarnya memberikan jaminan.
            “Betul ni?” Zawin merenung wajah lelaki itu.
            “Ya sayang. Percaya lah. Zharif tak akan gelakkan Zawin pun.”
            Zawin menghela nafas lega. “Ok. Kalau macam tu, Zawin cuba,” putusnya.
            “Lepas ni kita cari bunga telang pula ya?”
            “Untuk apa tu?”
            “Kalau tengok nasi kerabu, guna bunga telang lah untuk beri warna biru secara semulajadi. Jadinya, warna biru ni untuk lapisan pulut      Kuih Seri Muka.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Tak pernah tengok pula ada warna biru pada pulut Kuih Seri Muka. Resepi mana tu?”
            “Resepi cina-peranakan. Nenek suka buat. Suatu masa nanti, Zharif akan bawa Zawin jumpa nenek.” Zharif menyorong troli perlahan.
            Zawin membundarkan mata lantas menahan troli daripada bergerak. “Jumpa ne...nek? Biar Betul?” soalnya tersekat-sekat. Tiba-tiba dia diserang rasa gelabah tak menentu.
            “Apa pula tak betul? Zharif serius ni.”
            “Err...tapi...hubungan kita baru lagi...”
            Zharif berpeluk tubuh, merenung nakal wajah gadis dalam tudung putih dan blouse merah jambu itu. “Siapa kata dalam masa terdekat?”
            Zawin terasa wajahnya hangat. Dia menjeling geram. Matanya dikalihkan pada kemeja merah jambu yang dikenakan lelaki itu. “Pakai warna ni, tak takut kena kacau dengan gay dan mak nyah ke?” perlinya, memalingkan wajah lalu menyorong troli ke kaunter bayaran.
            Zharif meneliti kemejanya. Sejurus memahami maksud perlian itu, dia  ketawa besar. Peristiwa ditepuk punggung oleh golongan transgender dalam tandas KLCC dahulu terlayar dibenaknya. Laju dia menapak, menghampiri Zawin yang sedang beratur menanti giliran. “Kalau Zharif kena kacau lagi, Zawin kan ada Silat. Nanti boleh seligi-seligi kepala nyah and the geng,” ujarnya selamba.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Apa guna ada Tomoi? Dengan nyah pun boleh lemah.”
            Zharif ketawa halus. “Zharif memang insan yang lemah.”
            Zawin menjeling geram. “Ada saja nak dijawabnya,” bebelnya.
            “Dah ada mulut, jawab saja la,” usik Zharif lagi.
            Zawin malas melayan lelaki itu. Barang-barang dalam troli dipunggah dan diletakkan diatas meja kuanter bayaran. Melihat wajah nakal Zharif, Zawin terus berundur ke belakang. “Zawin kedekut bulan ni. Lagi pun banyak barang-barang Zharif. Sila bayar sendiri,” ujarnya bersahaja.
            Zharif tersenyum meleret. “Tak apa. Jumlah ini nanti, Zharif tolak daripada duit hantaran,” balasnya selamba.
            Zawin berusaha menahan tawanya. Dia memang tidak akan menang setiap kali berdebat dengan lelaki ini. Matanya meneliti pergerakan tangan lelaki itu sewaktu barang-barang diimbas oleh mesin pengimbas. Zharif menyebut jumlah harga barang-barang itu sebelum jumlah itu tertera di mesin bayaran. Hatinya berputik rasa kagum. Sejak dulu, hatinya tertanya-tanya apa rahsia disebalik gerakan tangannya itu.
            “Pak Hadi, kita ke Kristal Heights dulu ya? Ada barang saya nak ambil,” pinta Zharif sejurus kereta itu berhenti pada lampu isyarat. 
            “Ok.”
            Zharif berpaling memandang Zawin disisi kanannyaa. “Dari tadi ekor mata Zharif tengok Zawin pandang Zharif lain macam. Ada apa-apa persoalan yang berlegar dalam kepala tu?” tegurnya.
            Zawin tersipu malu. Dia berdehem beberapa kali. “Zharif pernah kata dulu kan, bila Zawin dah jadi pasangan Zharif, Zawin boleh tanya apa sahaja kan?”
            Zharif tersenyum lebar. “Ya. Tanya lah.”
            “Apa rahsia disebalik gerakan tangan Zharif dikaunter tadi?” soal Zawin tidak tunggu lagi.
            “Itu kalimah Subhanallah,” balas Zharif. “Guru silat pernah ajar. Bila kita gerakkan jari jemari kita mengikut bentuk kalimah subhanallah, minda kita akan bekerja dengan pantas. Pengiraan dalam minda akan lebih pantas berbanding kalkulator itu sendiri,” tambahnya lagi.
            Zawin terangguk-angguk penuh kagum. Itu rahsianya. Desis hatinya.
            BUMMP!!!
            Kereta terasa bergegar. Sebuah motosikal yang ditunggangi remaja lelaki menghentam bahagian depan kereta. Bunyi break kecemasan berkeriut nyaring.
            “Kamu berdua ok?” soal Pak Hadi sedikit cemas.
            Zharif dan Zawin serentak mengangguk.
            Zawin terpaku dengan kejadian tidak disangka itu. Dia merenung tangan Zharif yang berada dilehernya, menahan wajahnya daripada menghentam kerusi pemandu. 
            “Zawin ok?” soal Zharif tenang.
            Zawin mengangguk.
            Zharif menghela nafas lega. Dia keluar dari perut kereta bersama dengan Pak Hadi. Melihat remaja lelaki yang sedang mengerang kesakitan diatas jalan raya, pantas dia membantu.
*******
            Apa tak kena dengan laptop Mia tu kak Zawin?” soal Damia dalam resah. Tugasan kelas masih banyak tidak disiapkan, laptop Compaq itu pula buat hal pada saat-saat penting begini. 
            Tangan Zawin lincah bekerja, mencari punca skrin laptop itu tidak berfungsi biarpun setelah dihidupkan. “Hari itu akak ada tegur kan, laptop Mia berbunyi pelik dan panas semacam. Akak rasa masalah motherboard.” simpulnya.
            Damia mengeluh berat. “Mahal tak kalau nak baiki?”
            Zawin menatap wajah gadis lalu mengangguk. “Motherboard mahal. Paling murah yang akak tahu, lima ke lapan ratus. Better Mia beli laptop baru. Lagi pula syarikat Compaq ni dah dibeli syarikat HP tahun lepas. Kalau berlaku kerosakan mana-mana lagi, takut susah nak cari sparepart,” sarannya bersungguh.
            “Rasa nak menangis...adoyai.” Damia terus berbaring diatas katilnya sambil bergolek-golek dalam resah. “Laptop mahal! Kerja berlambak lagi ni,” rungutnya geram.
            Zawin menahan tawa. “Akak ada laptop ACER. Dah lama tak guna sejak ada MacBook. Nak guna tak?”
            Damia terus bangun. “Boleh ke?”
            Zawin mengangguk lalu menarik keluar beg hitam daripada bawah katil. “Guna lah.” Zawin menghulurkan beg hitam itu kepada gadis berkulit putih kuning itu.
            “Terima kasih. Tak tahu nak kata apa,” ucap Damia dalam nada manja.
            Zawin menepuk lengan gadis itu. “Cepat buat kerja.”
            “Lelaki tak guna! Sial!”
             Zawin dan Damia saling berpandangan. Mereka serentak keluar dari bilik sejurus mendengar suara marah-marah di ruang tamu.
            “Lelaki memang tak guna!” Wan Ezza penuh geram. Dia mencampakkan tas tangannya diatas meja lalu terduduk diatas lantai dan menangis teresak-esak. 
            “Kenapa Kak Wan?” soal Damia teragak-agak.
            “Aizat! Dia curang! Bunga kantan tu memang nak kena ganyang!” balas Wan Ezza berapi-api. Air matanya luruh bagaikan air hujan.
            “La...macam mana Kak Wan dapat tahu?” soal Damia lagi.
            Facebook!  Akak tengok si bunga kantan tu pos ayat-ayat cinta di wall facebook Aizat. Akak bagi mesej pada facebook bunga kantan. Dia memang mengaku bercinta dengan Aizat! Bila akak tanya Aizad, dia mengaku akhirnya. Memang la kami ada krisis baru-baru ini, tapi tak sangka dia pasang perempuan lain! Memang lelaki tak guna!” Wan Ezza menyapu air matanya berulang kali. Dia bangun, mencapai tas tangan lalu bergegas masuk ke bilik. Berdentum kuat pintu itu apabila ditutup dengan sekuat tenaga.
            Zawin menelan liurnya. “Kesian. Dahsyatnya penangan Facebook,” komennya. Mindanya melayang pada hari media sosial itu menemukannya dengan Dr.Dian seterusnya mencetuskan pergaduhan dengan Daniel Iskandar.
            Damia menghela nafas pendek. “Tak hairan la Kak Zawin. Tahun lepas, Facebook menjadi antara punca kenaikan kadar penceraian di negara Eropah. Isteri tukar status berkahwin kepada bujang pun menjadi punca penceraian sampai ada kes membunuh. Pasangan berkahwin pun boleh bercerai, ini kan pula pasangan biasa,” komennya pula.
            Zawin mengangguk. “Baru sahaja hari tu Kak Wan cerita perancangan dia nak kahwin. Jadi macam ni pula...”
            “Ayah dia pula baru meninggal. Erm...macam-macam menguji dibulan puasa ni,” tambah Damia pula.
            Zawin terdiam. Matanya dihalakan pada jam dinding. Sudah hampir pukul enam petang. “Akak nak masak Kuih Seri Muka. Mia nak tolong?”
            “Kuih Seri Muka? Sedap tu. Akak nak suruh Mia buat apa?”
            “Mia kisar daun pandan boleh?” pinta Zawin.
            “Kerja enteng saja tu.” Damia tersengih bangga.
            Zawin tersenyum senang. Kakinya melangkah ke dapur, mencapai mesin pengisar, daun pandan, pisau, bawang dan pelandas lalu membawa ke meja makan. “Mia hiris daun pandan dan bawang ni,” arahnya.
            Damia terus menghiris daun pandan itu dengan senang hati.
            “Nak tolong juga,” pinta Alina yang baru muncul dari arah biliknya.
            Zawin yang muncul dari dapur bersama lesung batu dan sepinggan bunga telang terus tersenyum lebar. “Ha...bagus. Lina tumbuk bunga Telang ni,” arahnya.
            “Bunga warna biru? Boleh makan ke?” soal Damia tidak yakin.
            “Boleh la Mia,” jawab Alina dalam suara serak. “Lina biasa guna bunga ini untuk birukan nasi kerabu,” beritahunya lebih lanjut.
            Zawin meletakkan lesung batu di atas lantai yang telah dilapik dengan kain bersih.
            Alina duduk bersimpuh. Bunga Telang dimasukkan kedalam lesung batu lalu ditumbuk perlahan.
            Zawin merebus pulut susu yang telah direndam lebih daripada empat jam. Sejurus dia kembali keruang tamu, matanya menangkap air mata Alina jatuh dipipi. Gadis itu cepat-cepat menyeka air matanya. Kenapa dia? Bisik hatinya. Gadis itu menumbuk bunga itu bagaikan seperti melepaskan geram. “Kenapa Lina?” soalnya.
            Alina menggelengkan kepalanya. Air mata masih menitis laju.
            “Cuba cerita. Bulan puasa ni. Tak baik menipu tau,” pujuk Zawin. Dia turut duduk bersimpuh mendepani Alina.
            “Alif...dia...” Alina tersedu-sedu tiba-tiba. “Dia...ada orang lain...”
            Zawin terkedu. “La...macam mana Alina tahu?”soalnya ingin tahu. Matanya bertembung dengan mata Damia.
            “Alif cakap dia sibuk. Tak ada masa untuk Lina. Lina terima saja la. Minggu lepas, Lina saja set facebook akan kelihatan offline walaupun Lina sedang online. Bila Lina buat begitu, Alif berbalas status facebook dengan Ain, kawan Lina sendiri. Cakap tentang hati dan perasaan...” Lina mengesat air matanya lagi kemudian menyambung cerita. “Selama seminggu, Lina bersabar dan lihat saja semua yang berlaku. Selama itu juga Alif kata dia sibuk. Baru tadi Lina berdepan dengan Alif dan Ain tentang hal ni. Akhirnya mereka mengaku sedang bercinta. Lina tak tahu nak kata apa...rasa seperti ditikam dari belakang!” Lina menangis dalam tersedu-sedu.
            “Sabar lah. Ujian semua ni.” Zawin menggosok belakang badan Alina.
            Alina mengesat air mata dengan hujung baju lengan panjangnya. Dia menatap wajah Zawin. “Kak Zawin, buat kuih ni banyak-banyak. Lina nak makan sampai kembung perut. Biar jadi gemuk. Kurus macam model pun lelaki pasang girlfriend lain juga.”
            Zawin dan Damia saling berpandangan lalu menghamburkan tawa.
            Alina tersengih.Dia tidak mahu terlalu melayan emosinya lalu menyambung tugas menumbuk Bunga Lewang itu. “Lepas ni...memang susah nak percaya pada lelaki dah. Memang tak akan. Kalau ada pun untuk kedua kali nanti, Lina rasa Lina takkan beri hati Lina sepenuhnya,” ujarnya lagi.
             Zawin menelan liurnya berulang kali. Kata-kata gadis itu adalah refleksi dirinya. Biarpun hatinya mula menerima Zharif, walaupun berputik rasa kagum yang menggunung pada lelaki itu, namun hatinya sentiasa berjaga-jaga untuk tidak diberikan sepenuhnya kepada lelaki itu. 
********  
            “Maaf. Tak dapat teman Zawin berbuka tadi,” ujar Zharif sejurus mengambil tempat disebelah buaian Zawin.
            Zawin menatap jam tangannya. Hampir pukul sepuluh malam baru lelaki itu pulang selepas menghantarnya tengah hari tadi ke rumah. “Tak apa. Macam mana urusan kes tadi?”
            “Semua dah selesai. Budak lelaki tu patah kaki. Nasib baik tak teruk.”
            “Tapi bahaya betul la. Salah budak lelaki tu sebab langgar lampu isyarat.”
            “Ada asbab semua tu berlaku. Mungkin kita tak nampak hikmahnya. Mungkin nak beri kesedaran pada kita, dan paling penting beri peringatan pada Zawin. Degil sangat tak nak pakai tali pinggang belakang!” Zharif menjuling-julingkan matanya sejurus bersabung pandang dengan renungan tajam gadis itu.
            Whatever...” sahut Zawin selamba lalu berbuai perlahan.
            “Mana Kuih Seri Muka?” soal Zharif.
            “Dah habis.”
            “Hah? Dah habis?” Zharif membundarkan matanya.
            Zawin mengangguk bersungguh. “Tadi makan dengan Damia dan Alina. Tak sangka kuih tu menjadi dan sedap...”
            Zharif menumbuk dadanya beberapa kali. “Batu belah...batu bertangkup...makan lah aku...telan lah aku. Aku kempunan Kuih Seri Muka...”
            Zawin ketawa halus melihat lelaki itu membuat mimik wajah kecewa. Dia mencapai beg sandang, mengeluarkan bekas makanan lalu menghulurkan kepada Zharif. “Nama kuih ni Kuih Seri Muka blue moon.”
            Zharif menyambut bekas biru itu dengan teruja. Dibuka penutup bekas itu tidak sabar-sabar. Sejurus melihat kuih tradisional melayu yang telah dipotong empat segi itu, bibirnya tersenyum lebar.  Lapisan atas berwarna hijau muda, lapisan tengah bahagian pulut berwarna biru dan lapisan bawah berwarna putih. “Berseri-seri kuih ini. Cantik kejadiannya. Pasti sedap!” ujarnya tidak sabar lalu mencapai sepotong kuih dan dimasukkan kedalam mulut. Dia memejamkan mata sambil menikmati keenakan kuih itu. “Pulut yang lembut, cukup lemaknya...tapi...” Zharif membuka matanya, menatap wajah Zawin. “Ada rasa lain...”
            “Rasa apa?” soal Zawin, menatap wajah lelaki dalam kemeja biru firus itu.
            “Rasa luar biasa. Sangat lain. Tapi memang sedap!” komen Zharif.
            Zawin tersengih. “Cuba teka, apa bahan istimewa yang Zawin letak?”
            Zharif menyuap baki kuih itu lantas memejamkan matanya. Berkerut-kerut keningnya, cuba memerah mindanya untuk mengesan bahan rahsia itu. “Macam bawang pun ada...macam...kayu manis...takkan la kot?” Zharif membuka mata, menatap wajah Zawin yang tersenyum-senyum penuh makna.  
            “Ada yang betul dan ada yang salah. Itu resepi mak. Berbeza sedikit la dari yang biasa orang buat. Lapisan hijau tu ada campur bawang merah dan jintan manis,” beritahu Zawin.
            Zharif membulatkan matanya. “Padanlah...” Tangannya mencapai sepotong kuih lagi lalu dimasukkan kedalam mulut.
            “Zharif memang suka makan manis-manis ke?” soal Zawin sambil mengerutkan mukanya melihat lelaki itu makan bersungguh.
            “Apa guna hidup kalau tak suka makanan manis?” Zharif mengangkat keningnya beberapa kali.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Betul orang kata. Lelaki hanya sweet dan hensem hanya semasa bercinta. Selepas kahwin, benda paling manis yang mereka beri adalah dijangkiti kencing manis,” ujarnya selamba.
            Zharif terkekeh ketawa mendengar ayat gadis itu. “Jangan risau. Benda paling manis yang Zharif akan beri selepas kahwin nanti adalah zuriat kita.”
            Zawin terasa wajahnya hangat. Sudahnya dia hanya diam. Tidak mahu membalas kata-kata itu.
            Zharif merenung wajah gadis itu penuh kasih. “Baby...” panggilnya.
            “Ya...” Zawin menggosok lengannya. Setiap kali lelaki itu memanggil nama itu dalam nada romantis begitu, bulu romanya pasti meremang.
            Be my wife...” pinta Zharif bersungguh.
            Zawin terkedu. “Belum masanya lagi...” balasnya lambat-lambat. Buaian dihayun perlahan.
            Zharif tersenyum tawar. “Ok. Zharif faham.” Dia menikmati baki kuih sehingga bekas itu licin. “Zawin...”
            “Ya..”
            “Kuih ni...Zharif sangat suka. Harap Zawin takkan lupa sampai bila- bila.”
            “Insyaallah. Zawin tak akan lupa.”
            “Zawin...Zharif serius tentang tadi...tali pinggang keledar.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Ok. Lain kali Zawin lebih hati-hati,” balasnya tidak acuh.
            “Bahaya tau. Buatnya tadi Zawin terhantuk, mau patah hidung tu.”
            Zawin merenung wajah serius lelaki itu. “Kalau hidung Zawin patah, kalau muka Zawin cedera...jadi cacat, belum tentu Zharif dapat terima Zawin seadanya.”
            Zharif pantas menggeleng. “Zawin berubah fizikal macam mana sekalipun, Zharif tetap sayangkan Zawin. Datanglah perempuan hebat macam mana sekalipun, hati ini hanya ada nama Zawin Az-Zahra sahaja,” ujarnya bersungguh.
            Zawin menahan nafas. Kata-kata itu membuatkan dia terpaku. Dia tidak tahu kenapa wajah lelaki itu nampak bersinar dan berseri. Entah kerana penangan Kuih Seri Muka atau sebab lain. Senyuman lelaki itu terasa lain macam. Pipi kanan lelaki itu ditatap bersungguh. Selama ini dia tidak menyedari lelaki itu mempunyai lesung pipit panjang disebelah pipi kanan. Dia tersedar daripada lamunan apabila lelaki itu melambai-lambaikan tangan dihadapan wajahnya.
            “Zharif memang hensem kan? Kan?” usik Zharif.
            Zawin mencebirkan bibirnya. “Tak pun,” nafinya lalu mengalihkan pandangan pada langit malam. “Tiba-tiba rasa rindu dengan langit Kanada.”
            Zharif turut mendongak, merenung langit malam yang dipenuhi dengan bintang-bintang. “Zawin pernah tengok Northern lights?” soalnya.
             Zain mengangguk. “Zawin lebih suka panggil fenomena itu sebagai Aurora Borealis. Semasa belajar dulu, Zawin memang suka melancong. Tahun pertama, Zawin dah sampai Canada sebab pengaruh cerita seorang rakan. Katanya, langit Kanada di Yellowknife akan bercahaya dengan sendirinya tanpa sumber elektrik. Cahaya yang dikeluarkan bermacam-macam warna dan bentuknya. Betul lah seperti yang dikata. Sangat indah. Entah bila Zawin akan dapat ke sana lagi.”
            “Kita akan pergi bersama...dalam masa terdekat. Itu janji Zharif.”
            Zawin tersenyum lebar. “Mungkin. Aurora Borealis dijangka berlaku biasanya dibulan Oktober. Takkan nak ambil cuti pada waktu itu.”
            “Ada penyelesaiannya.” Zharif mengelap tangannya dengan tisu.
            “Apa?”
            “Berhenti kerja, jadi isteri Zharif,” balas Zharif bersungguh.
            Zawin terdiam.
            “Tahu tak apa pekerjaan yang paling mulia dan banyak pahala?” soal Zharif.
            “Cikgu? Ustazah?” tebak Zawin.
            Zharif menggeleng. “Suri rumah.”
            Zawin terdiam lagi. “Tapi sekarang, masyarakat kita lebih menyanjungi wanita yang bekerjaya,” komennya.
            “Itu terjadi apabila masyarakat kita semakin dikuasai dengan materealistik. Mereka tidak lagi melihat suri rumah sebagai pekerjaan paling mulia sedangkan anak-anak yang sedang membesar, sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu. Bukan kata wanita bekerjaya ni tidak bagus, cuma masa yang diberikan pada anak-anak sangat terhad. Berapa banyak kes diluar sana berlaku, anak-anak lebih rapat dan menyayangi pengasuh berbanding ibu sendiri. Zharif tak nak perkara sama berlaku pada zuriat Zharif kelak.”
            Zawin merenung wajah serius lelaki itu. Kenapa lelaki ini sungguh berbeza? Desis hatinya. “Erm...makcik Zawin ada pesan pada Zawin satu perkara. Wanita yang dah berkahwin jangan terlalu bergantung pada suami sebab kita tidak tahu bila-bila masa sahaja lelaki akan menzalimi kita dan tinggalkan kita untuk perempuan lain.”
            “Zawin rasa Zharif akan buat macam tu?” Zharif merenung lembut seraut wajah manis itu.
            Zawin terdiam lagi buat kesekian kali.

4 awesome commentator:

  1. Kak maira.......
    Best sgt....
    !!!! Love u.. ;)

    ReplyDelete
  2. Entry kali ni sangat laaa sweet dan best akak! Keep up the good work. Banyak knowledge dapat sepanjang baca cerita ni

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top