BAB 1
“Kenapa
kau tiba-tiba pulang ke Malaysia?” soal Fuad sejurus memberhentikan Totoya
Camry di hadapan lampu isyarat. Hujan
renyai-renyai mengiringi perjalanan mereka semenjak di lapangan terbang KLIA.
Zharif tidak
menjawab soalan itu sebaliknya menurunkan cermin kereta dan menghulurkan tangan
ke luar tingkap kereta. Titisan-titisan hujan menimpa tapak tangannya. Hujan
pada waktu malam di tanah air sendiri terasa amat indah di pandangan. Zharif
tersenyum puas. Sejurus tangannya dimasukkan semula ke dalam perut kereta, nafasnya
terasa tersekat sebaik matanya menangkap seraut wajah seorang gadis di bawah
payung berwarna kuning. Gadis melayu bertudung putih itu sedang berbual dengan
rakannya dan sesekali senyuman terukir dibibir merah itu. “Gadis itu...”
getusnya dalam suara kaget. Zharif tidak tunggu lagi lalu terburu-buru keluar
dari perut kereta.
Fuad
membulatkan matanya. Dia benar-benar tidak percaya dengan tindakan rakannya
itu. Melihat lampu isyarat sudah bertukar hijau, dia tiada pilihan selain
menggerakkan semula keretanya.
Zharif
berusaha mengejar gadis itu, namun usahanya gagal apabila gadis itu telah
melintas jalan sebelum lampu isyarat bertukar hijau. Zharif meraup wajahnya
yang semakin dibasahi rintik hujan. Matanya masih mengawasi langkah gadis itu dari
seberang jalan. Apabila kenderaan berhenti semula, setelah lampu isyarat
bertukar merah, Zharif terburu-buru melintas jalan. Matanya menjalar liar,
meneliti di setiap sudut dan arah demi mencari kelibat gadis berpayung kuning
itu. Hatinya diserbu kecewa apabila gagal mengesani jejak gadis melayu itu. Dia
akur apabila hujan semakin melebat. Kakinya melangkah lemah ke arah stesen bas
yang kosong lalu melabuhkan punggung di situ.
Fuad
menggelengkan kepalanya melihat keadaan Zharif yang basah kuyup. Rakannya itu
kelihatan termenung panjang. Hon kereta dibunyikan apabila keretanya dilabuhkan
di bahu jalan berhampiran stesen bas itu.
Zharif
memasuki perut kereta dalam riak wajah kecewa. “Maaf. Aku...aku kejar dia...”
terangnya dalam suara perlahan.
“Siapa?”
Fuad mengerutkan dahinya.
“Gadis
melayu yang aku pernah jumpa dulu. Eye smile princess.”
*******
Zawin
menarik nafasnya berulang kali. Tangannya terketar-ketar melihat ungkai nama
yang tertera dalam kad berwarna merah itu. Benar-benar ini satu kejutan yang
tidak pernah terlintas difikirannya. Rupanya panggilan kekasihnya supaya ke
restoren Perancis itu bukan untuk memberikan penghargaan kepadanya, tetapi
memberikan kad perkahwinan! Suasana tegang dan panas terasa membahang dalam
restauran itu.
Mata Zawin
mencerlung tajam memandang Wan Zaidi. “Kenapa Wan buat Zawin macam ni? Sejak
bila semua ni berlaku?” soalnya serius. Matanya dikalihkan pula pada sahabatnya
yang berwajah selamba di sebelah teman lelakinya itu. “Dan kau Yasmin...tak ada
orang lain ke kau nak rampas?” nada suara Zawin yang lantang, menarik perhatian
beberapa pelanggan berhampiran.
Yasmin
tersengih sinis. “Semuanya telah terjadi. Kenyataannya kami akan berkahwin
bulan depan,” ujarnya sedikit angkuh.
Wan
Zaidi yang sedari tadi menundukkan wajahnya, merenung wajah sendu Zawin. “Dah lama Wan nak kata kan perkara ni pada Zawin.
Tapi Wan tak tahu nak bermula dimana. Zawin boleh salahkan Wan...Wan yang salah...”
luahnya dalam suara perlahan.
Yasmin
mendengus geram. Matanya merenung tajam wajah gadis itu yang terus menerus
memandang wajah bakal suaminya. Pandangan itu bersulamkan rayuan. “Zawin...kau
nak tahu apa sebabnya dia pilih aku berbanding kau?”
“Min...jangan
keruhkan keadaan,” tegur Wan Zaidi. Tangan kanan bakal isterinya itu dicapai
apabila gadis itu menarik muka. “Tunggu Wan di kereta. Masih ada perkara yang
perlu dibincangkan dengan Zawin,” pujuknya lembut.
“Ok!”
balas Yasmin sepatah lalu terus mengangkat punggungnya dari situ.
“Apa
kurangnya Zawin, apa lebihnya dia?” Zawin tak pernah menyesal dalam hidup...tapi
buat pertama kali Zawin rasa sangat menyesal kenalkan Wan dengan Yasmin.” Zawin
mengetap bibirnya. Matanya sudah berkaca-kaca.
“Zawin...mungkin
tiada jodoh antara kita...”
“Tapi
Wan janji akan pinang Zawin...Wan kata nak kahwin dengan Zawin.”
“Betul...tapi
Wan tak pernah kata Wan cintakan Zawin.”
Zawin
menahan nafasnya. Masa seakan berhenti.
Dirinya terasa melayang ke udara lalu hancur berkecai. “Zawin sangka selama ni...cinta
seorang lelaki hanya dipamerkan dari perbuatan. Kerana itu...Zawin tidak pernah
bertanya perasaan Wan pada Zawin. Oh...begitu rupanya...” Air mata yang ditahan
gagal dibendung lagi. Lekas-lekas dia menyapu air mata yang gugur.
“Zawin...Wan...err...”
“Kerana
dia ada kerjaya hebat, lebih lincah, lebih bergaya. Kan?” tebak Zawin. Dia tahu kecantikan bukan menjadi
faktor kekasihnya itu memilih rakan serumahnya itu.
Kali ini
mata Wan Zaidi pula membuntang luas. Hatinya bagaikan disentap. Wajah melayu-Acheh
gadis itu ditatap lama. “Err...Mungkin saja.” Memang semua itu benar. Biarpun Zawin lebih manis, lebih cantik
daripada Yasmin, tetapi personaliti dan kerjaya Yasmin sebagai akauntan lebih disenangi
keluarganya berbanding Zawin.
“Oh...begitu...”
Zawin menganggukkan kepalanya beberapa kali. Air mata disekanya lagi. Tidak
salah tindakannya selama ini. Benarlah kata rakannya yang lelaki itu
mementingkan pendidikan juga harta seorang perempuan. “Sebenarnya...banyak yang
Wan tak tahu mengenai Zawin, apatah lagi Yasmin biarpun dia housemate Zawin.
Tetapi biarlah semuanya menjadi rahsia. Zawin
redha dengan segala yang berlaku. Cuma...Zawin ada satu soalan...”
“Apa dia?”
Zawin
merenung wajah hitam manis lelaki dihadapannya. Wan Zaidi adalah lelaki
sederhana pada pandangannya, namun apa
yang membuatkan lelaki ini mencuri hatinya kerana sifat lucu dan bijaksana. Apabila
lelaki itu berkata-kata, terserlah karisma dirinya. Itu juga menjadi faktor
yang membuatkan ramai gadis mudah terpikat padanya. “Pernah tak Wan cintakan Zawin?”
soalnya dalam sendu. Biarpun rasa aib yang menggunung dirasakan kini, namun dia
ingin tahu rasa hati lelaki itu terhadapnya selama ini.
Wan
Zaidi terpempan dengan soalan itu. Lama dia membisu, menundukkan wajahnya,
membelek nubari jiwa. Wajahnya diangkat, merenung wajah sayu itu. “Pernah,”
balasnya sepatah. “Wan pernah cinta kan Zawin. Zawin gadis paling istimewa yang
pernah hadir dalam hidup Wan. Sweet, wise, fun to be with, and always makes
me laugh. Tapi...Wan tak tahu sejak bila rasa cinta itu hilang...Wan juga
insan biasa Zawin...tak dapat lari daripada kesilapan,” lemah suaranya
kedengaran.
Zawin
menghela nafasnya. Dia berusaha mengawal rasa sebak yang merajai ruang hati
kini. Siapa menyangka perkenalan tiga bulan lalu antara Yasmin dan Wan Zaidi
telah membuahkan bibit cinta antara mereka, langsung membuatkan dunianya
berpusing 360 darjah! Perkenalan yang berpunca dari dirinya juga. “Adakah Wan
masih teruna?” soal Zawin tiba-tiba.
“Hah?”
Wan Zaidi terkejut amat. “Err...kenapa tanya soalan tu?”
Melihat wajah tidak keruan itu, fahamlah Zawin lalu
mengambil tas tangan di atas meja lalu berdiri.
“Wan bukan lagi seorang teruna, kan? Memang padan la korang berdua!”
cemuh Zawin.
“Apa maksud Zawin?” Wan Zaidi juga berdiri mendepani. Dia
benar-benar terkejut.
Zawin
tersengih sinis. Bukan dia tidak kenal
sikap Yasmin yang sering bertukar lelaki malah tidak segan menceritakan
aksi-aksi sensual yang dilakukan di atas katil. Namun anehnya dia dapat bersahabat
baik dengan gadis itu. Tetapi kini rasa sesal yang menggunung berputik dijiwa. “Semoga
berbahagia...” ujarnya lirih. Air matanya keluar lagi entah untuk kali ke
berapa. Pantas disapu dengan kura tangan.
Wan
Zaidi meramas rambutnya beberapa kali. Apabila gadis itu mula melangkah keluar,
dia turut mengekorinya. “Zawin...” panggilnya tatkala menyedari gadis itu
melangkah laju sebaik berada di luar restauran.
“Terima
kasih,” ucap Zawin sebaik berpaling. Berusaha menahan sebak di dada.
“Untuk
apa?” Wan Zaidi mengerutkan wajahnya.
“Terima kasih atas hadiah harijadi juga hadiah ulang
tahun percintaan kita,” balasnya perlahan. Cuba mengawal sebak yang mencengkam
dada.
Wan
Zaidi terkesima. “Ha...hari ni ke?” soalnya dalam gagap.
Zawin menggenggam erat kesemua jari
jemarinya, mengumpul kekuatan untuk terus bertahan di situ. Dalam suara sedikit terketar, Zawin memandang
wajah lelaki itu sekilas. “Wan tak pernah mengingati dua tarikh istimewa ini bukan?
Rupanya 12 Ogos, tarikh yang tidak pernah membawa apa-apa erti dalam hidup Wan...Banyak
yang Zawin terlepas pandang...tersalah sangka.” Air matanya luruh tanpa dapat
dikawal lagi. Zawin sudah tidak betah menunggu di situ, dadanya bagai mahu
pecah.
Dalam pandangan
yang kabur ditakungi air mata, dia menekan butang hijau di alat penggera, membuka
pintu kereta, lalu terburu-buru masuk ke dalam perut kereta. Tangisannya
meledak tanpa dapat dikawal. Dilepaskan segala rasa yang terbuku dijiwa bersungguh.
Kedua tangan menekup mukanya dalam esakan berlagu pilu.
“Err...awak...”
tegur suara lelaki di sisi kanan.
“Kenapa?
Tak biasa ke tengok orang menangis? Jangan ganggu saya,” marah Zawin dalam sedu
sedannya. Ngongoian itu kini bertukar menjadi ngunguan yang menghibakan. Bahunya
terhenjut-henjut kencang. Dia sudah tidak kisah apa yang berlaku di
sekelilingnya.
“Err...tapi
ni kereta saya...”
Serta
merta tangisan Zawin terhenti. Kedua tangan dikalihkan dari wajahnya langsung
terus menatap gerangan di sisi. Seraut wajah kacak sedang menatapnya dalam
hairan. Iras wajah itu bukan milik lelaki melayu...tetapi lelaki Thai! Matanya
menyeluruhi isi kereta. Bagaimana dia boleh melakukan kesilapan memalukan ini?
Kereta Honda City berwarna putih itu kelihatan sama dengan kereta Najla yang
dipijamnya gara-gara kelisa kuningnya meragam. “Maaf...maaf...”
ucapnya laju sambil menundukkan kepalanya beberapa kali. Lekas-lekas disekanya
sisa-sisa air mata di pipi.
Lelaki
berkulit putih, berkening lebat dan berbibir nipis merah itu tersenyum. “Tak
apa. Setiap orang ada hari yang buruk kan? Hari ini hari awak...esok-esok
mungkin hari saya pula.”
Zawin
terdiam mendengar kata-kata itu. Rasa sedih, kecewa, sakit hati yang dirasainya
sebentar tadi hilang saat melihat wajah kacak itu mengukir senyuman. Maha Suci
Allah. Lelaki asing ini memang ciptaan yang sempurna. Zawin menundukkan kepalanya lagi. “Maaf...saya
patut pergi sekarang,” Zawin sudah menarik pembuka pintu.
“Lain
kali...apabila lelaki berlaku curang...jangan ditanya kenapa mereka berlaku
curang kerana hati lelaki yang telah beralih arah tidak punya jawapan untuk itu,”
lembut suara lelaki itu menasihati.
Pergerakan
tangan Zawin terbejat. Pintu kereta dibiar terkuak luas. Kepalanya pantas
dipalingkan semula, matanya tepat menatap mata coklat itu. Bibirnya
terketar-ketar. “A...awak...dengar? Segala-galanya?” Mata Zawin membulat luas.
Lelaki itu pantas mengangguk. “Maaf, saya terdengar. Saya
duduk di belakang kerusi awak di restoren tadi.”
Zawin kembali menekup mukanya. “Malunya...malunya...malu
nya tuhan saja yang tahu!!!” jeritnya kuat.
Lelaki
itu tersenyum melihat reaksi gadis itu. “Saya Zharif. Awak pula?” Tangannya
dihulurkan kepada gadis melayu itu.
Zawin
terpaku mendengar nama itu. Matanya menyeluruhi wajah lelaki itu lebih dalam.
Dia yakin lelaki kacak itu memang berdarah dari negara gajah putih berdasarkan
iras wajah itu. Mungkin sahaja ada campuran melayu berdasarkan bahasa melayu
yang fasih. Namun tetap sahaja lelaki itu seorang yang asing pada dirinya.
Kepalanya digelengkan. “Saya tidak mudah menerima kawan. Maaf.” Zawin terus melangkah
keluar dari perut Honda City itu, menutup perlahan pintu itu lalu melangkah
laju ke arah kereta Honda City milik Najla yang betul-betul di parkir di
hadapan kereta milik lelaki itu.
*******
“Kenapa
kau senyap je hari ni Zawin? Mata kau tu sembab. Kau gaduh lagi dengan Wan?” soal
Najla dalam rasa hairan. Rakan baik semenjak zaman persekolahannya itu jarang
mempamerkan wajah sedemikian. Pinggan berisi pelbagai jenis sushi itu ditolak
ke tepi.
Zawin berhenti
menyisip teh hijau lalu merenung anak mata kecoklatan sahabatnya itu. Matanya
tidak jemu menatap penampilan anggun Najla yang mengenakan sut hitam dan putih.
Tudungnya juga dari fesyen terkini. Tahi lalat tepat di batang hidung itu
sering dikatakan wanita yang disayangi suami. Selepas rakannya itu berkahwin
enam bulan lalu, dia kehilangan tempat mengadu apabila Najla berpindah rumah.
Melihat wajah rakannya itu, sering menghadirkan rasa cemburu. Wajah itu terpancar
seri menzahirkan bahagia di hati. “Najla...bila kali pertama dan kali terakhir
Anas ucapkan kata-kata cinta pada kau?” soalnya serius. Tangan kanannya menopang
dagu, menatap mata coklat itu bersungguh.
Najla
tersenyum agak tersipu. “Kali pertama...masa dia melamar aku jadi kekasih, kali terakhir dia
ucap pagi tadi. Kenapa?”
“Betul?”
Mata Zawin membulat.
Najla
mengangguk bersungguh.
Zawin
menundukkan wajahnya. Rasa sayu cuba dibuang jauh-jauh. Udang goreng Tempura didalam
piring, dikuis-kuisnya. “Kau bertuah...memiliki lelaki sebegitu.”
Najla
tersenyum lebar. “Syukur sangat. Ini lah harga, hadiah Allah S.W.T kepada aku
setelah diberi ujian. Sejak kecil, aku kehausan kasih sayang seorang ayah tetapi
dengan mengahwini Anas...aku memiliki kasih sayang seorang suami juga kasih
ayah pada masa yang sama. Lelaki biasanya dikatakan makhluk pelik yang tidak
mudah melafazkan kata-kata cinta, tetapi Anas bukan begitu. Setiap hari ada
sahaja nota cinta yang dia tinggalkan di mana-mana sudut rumah, setiap hari dia
tanya samada aku masih cintakan dia seperti dulu atau tidak...”
“Ya?” Bertambah
luas mata Zawin terbuntang. “Najla, kau perempuan bertuah. Sangat bertuah. Aku
sahaja perempuan yang sering dirundung malang,” luahnya dalam suara lirih.
Najla
meneliti wajah suram itu. “Zawin...kau jangan kata begitu. Tak baik. Aku pasti
kau akan bahagia. Kau cantik Zawin...”
Zawin
pantas mencelah. “Kau kata aku cantik...sering aku mendengar ramai yang berkata
begitu, tetapi kenapa aku sering kecewa? Kenapa sukar sangat menggapai bahagia?”
Bertambah lirih suara Zawin kedengaran. Air mata yang ditahan akhirnya gugur
juga.
Najla
diserbu panik. Dia tidak pernah melihat air mata rakannya itu kecuali sewaktu
ayahnya berkahwin lagi lapan tahun lepas. Tangannya menggenggam erat tangan Zawin.
“Cuba kau cakap pada aku...Ada sesuatu berlaku antara kau dengan Wan kan?”
Zawin
menggeleng. Dia tidak mahu rakannya itu tahu. Kura tangannya menyeka air mata
di pipi. “Tak. Aku cuma tanya. Wan tak pernah ucap kata-kata cinta pada aku,
dia tak pernah ingat tarikh lahir aku...dia tak pernah ingat tarikh kami
mula-mula berkasih, dia tak pernah beli hadiah apatah lagi bunga. Aku...cuma
kecewa...aku sedih...aku tak pernah merasa diri dihargai lelaki...”
Najla terangguk-angguk
sendiri. Fahamla dia punca rakannya itu berubah emosi. “Zawin...sejak dulu aku
sering cerita pada kau tentang ilmu metafizik. Aku menerima lamaran Anas tanpa
banyak fikir berpandukan ilmu yang kau sering kata tidak ada faedahnya. Tanpa
kita sedar, Dr. Fadzilah Kamsah juga mengkaji ilmu yang sama biarpun dimodelkan
dalam bentuk sifat-sifat bulan kelahiran. Kita ni wanita Leo, Zawin. Wanita
yang mendambakan cinta sejati, inginkan perhatian penuh dari lelaki juga
kesetiaan yang menggunung...”
“So?”
Dahi Zawin berkerut. Tidak dapat memahami mesej yang cuba disampaikan.
Najla
menatap mata gadis dihadapannya itu. “Ramai lelaki ingin mengenali kau, tetapi kau
perempuan yang memilih. Lelaki-lelaki yang kau suka, semuanya dari bintang yang
sama. Gemini! Berapa kali aku ingatkan kau tentang karekter lelaki Gemini yang
suka menggoda perempuan, tidak tetap pada mana-mana cinta, mudah jemu dan
golongan lelaki dalam bintang Gemini ini lah menjadi lelaki terakhir dalam
dunia yang akan memberikan kesetiaan!”
“Hah? Bila masa pula semua lelaki
yang aku suka semuanya Gemini?” nafi Zawin keras.
“Huh.
Kau nak aku buktikan ke? Wallpaper dalam handphone kau tu
terang-terang si capten Sparrow, Jhonny Deep. Gambar Kim Hyun Jun, si rambut
merah Boy Over Flower tu la yang kau hadap sebelum tidur. Poster Donald
Trump berlambak-lambak dalam simpanan kau. Dalam ramai-ramai pemain bola sepak,
kau boleh minat Frank Lampard pemain Chelsea tu. Antara tiga beradik kumpulan
KRU, kau paling minat dengan Yusry. Tu baru sikit aku bagi contoh. Ramai lagi. Wan
Zaidi dan err... Iskandar...mereka berdua tu lelaki gemini. Ha...ada apa-apa
lagi ke yang kau nak tokok tambah?” Cabar Najla.
Zawin
tidak terkata apa, matanya terkelip-kelip memandang rakannya itu.
*******
“Mak
sihat?” Zawin bertanya sebaik menyalami tangan Puan Dahlia.
Puan
Dahlia mencium pipi anak tunggalnya itu. “Sihat. Mari masuk.” Wanita itu
menghela tangan anaknya ke dalam rumah batu dua tingkat itu.
“Wahh...mak
masak kari ikan sembilang. Ada ikan masin dan sambal belacan! Memang terbaik la
mak.” Zawin mengunjukkan ibu jarinya kepada ibunya.
Puan
Dahlia tersenyum senang. “Zawin telefon semalam kata nak datang, mak masak la
makanan kegemaran Zawin ni. Makanlah. Haa tu ulam pegaga dan ulam raja jangan
lupa makan. Elok untuk kesihatan dalaman.”
“Yes,
madam.” Zawin membuat aksi tabik yang membuahkan tawa ibunya.
“Erm...dah
berapa lama Zawin tak makan ni? Badan tu dah susut. Tak nak kongsi cerita
dengan mak ke?” soal Puan Dahlia lembut. Cara anaknya itu makan seperti sudah
lama tidak menyentuh makanan. Gadis itu bagaikan sedang melepaskan rasa hati
terhadap makanan.
Tangan Zawin
tergantung di hujung bibir. Dia tidak jadi memasukkan butir-butir nasi ke dalam
mulutnya. Sukar untuk menyembunyikan rahsia hati daripada ibunya. “Kenapa mak
rasa Zawin ada masalah?” soalnya kembali. Udang goreng mayonis dicapai beberapa
ekor lalu diratah penuh selera.
“Sembilan
bulan Zawin didalam rahim mak. Mak besarkan Zawin dengan tangan mak sendiri.
Segala luar dan dalam Zawin, mak kenal sangat,” balas Puan Dahlia lembut.
Zawin
berhenti mengunyah, membasuh tangan lalu gelas berisi air rebusan asam jawa
yang dicampur kunyit hidup dicapai dan dihirup perlahan. Minuman jamu itu
sering dibuat ibunya sejak remajanya ketika datang bulan. Zawin merenung gelas
yang masih berbaki air jamu itu. “Mak...masa abah mula-mula curang dulu, macam
mana reaksi mak? Apa yang mak tanya? Apa yang mak lakukan?” Mata Zawin tepat
menikam mata bundar ibunya.
Puan
Dahlia tersenyum, merenung lembut wajah anak gadisnya itu. “Dalam hidup seorang
wanita, tiada perkara yang lebih dahsyat baginya selain pasangannya berlaku
curang. Mak akui memang mak sedih,
kecewa, sakit hati...tetapi itu semua pada permulaannya. Mak tertanya-tanya apa
kurangnya mak, apa salah mak? Kemudian mak sedari dan redha inilah takdir hidup
mak. Abah Zawin tiada jawapan kenapa dia berlaku curang. Lelaki yang telah
berubah hati sukar menjelaskan mengapa mereka berbuat demikian.”
Zawin
tersentak. Kata-kata itu sama seperti...kata-kata lelaki malam itu! Wajah kacak
lelaki thai itu menyerbu ingatannya. Zawin mengalihkan pandangan ke wajah
ibunya. “Mak, Zaidi...akan berkahwin
tiga bulan lagi...” beritahunya lirih. Matanya sudah berkaca.
Puan
Dahlia menghela nafasnya. Langsung tubuh anaknya itu dibawa ke dalam pelukan. “Zawin...sabarlah.
Allah selalu punya rahsia pada setiap sesuatu yang berlaku,” pujuknya lembut.
Belakang anaknya itu dielus-elus perlahan.
Zawin
menangis tersedu-sedu dalam pelukan ibunya. “Mak...sejarah telah berulang. Telah
berulang...”
*******
“Wah. Zawin.
Untuk kak Puteri ke semua ni?”soal Puteri sambil membulatkan matanya melihat
pelbagai jenis tumbuhan herba di atas meja ruang tamu.
Zawin
tersenyum dalam letih. “Ya, kak. Pegaga, petai, ulam raja, mengkudu, kunyit hidup...semua
ni untuk akak.”
Wanita
berusia 30 tahun itu tersenyum lebar. “Wah...merasa juga akak herba jamu dari
Perak.” Dibeleknya setiap tumbuhan itu dengan penuh teruja.
“Zawin
cerita yang kak Puteri nak berjinak-jinak dengan jamu, tu yang mak kirimkan
semua ni.” Zawin menyandarkan belakang tubuhnya ke sofa empuk, merehatkan
tubuhnya. Memandu dari Bagan Serai ke Shah Alam benar-benar meletihkan
tubuhnya. “Oh ya...lupa nak cakap. Mak kirim salam pada kak Puteri,” lanjutnya
lagi sambil memicit-micit kakinya.
Tangan
Puteri berhenti membelek buah mengkudu. Serta merta wajahnya berubah sayu. “Mak Puteri mesti benci akak kalau tahu siapa
akak sebenarnya kan?”
Zawin
tersentak. “Jangan kata begitu kak Puteri. Semua manusia itu sama sahaja. Dah
la...jangan cakap tentang perkara ini lagi ya. Zawin penatla, nak masuk tidur.
Esok ada kursus.” Zawin sudah bangun dari sofa putih ruang tamu itu, menggeliat
beberapa saat. “Selamat malam kak Puteri,”
ucapnya lalu menapak ke arah biliknya.
“Err...Zawin...”
panggil Puteri.
“Ya,”
sahut Zawin, berpaling semula.
“Zawin
baik sangat. Zawin tak pernah memilih orang dalam berkawan. Tapi apa yang Yasmin
lakukan pada Zawin, sangat tidak wajar.
Akak...tumpang sedih atas apa yang berlaku. Pagi tadi...Yasmin datang,
ambil barang dia yang masih ada. Akak malas nak layan. Akak turun ke bawah. Masa
tunggu lif, akak terserempak dengan Wan. Dia pesan pada akak supaya pujuk Zawin
datang ke majlis kahwin dia. Dia harap sangat Zawin hadir. Bila akak tanya kenapa,
dia senyap pula,” beritahu Puteri panjang lebar.
Zawin
menghela nafasnya, menatap wajah kuning langsat wanita itu. Zawin mengukir
senyuman kelat. “Akak rasa macam mana? Perlu ke Zawin pergi?”
“Tak
perlu sakitkan hati lagi Zawin. Tak usah pergi’, usul Puteri.
Zawin cuma
mengangguk, memberikan senyum letih lalu menapak ke dalam biliknya. Sebaik
pintu bilik ditutup, dia meluru ke atas katil, melepaskan tangisan yang
tertahan. Ditekup mukanya pada bantal, tidak mahu tangisannya didengari rakan
serumahnya.
Bayang Wan Zaidi dan Yasmin melintas
benaknya kemudian bersilih wajah Arnida Azhar dan Iskandar. Tersisip wajah ayahnya juga. Mendadak
Zawin mengangkat wajahnya daripada bantal, membaringkan kepalanya di atas tilam
lantas memeluk kemas bantal bercorak abstrak bunga sakura itu. Air mata yang
berlinangan disekanya lagi. “Tak apa...ini semua mimpi. Esok, bila aku bangun...aku
akan menjadi Zawin Az-Zahra yang ceria semula. Aku dilahirkan untuk mengubah
dunia, jadinya aku layak untuk berjaya dan berbahagia. Semua akan kembali seperti biasa. Semuanya...”
pujuknya kepada diri dalam sedu sedan.
*******
“Aku tak
nak cakap dengan kau!” marah Najla sebaik Zawin menegurnya di pantry.
“La...kau
ni kenapa? Period ek?” seloroh Zawin tanpa menghiraukan wajah keruh itu.
Dia mengekori rakannya itu ke dalam bilik tertera nama Najla Najmi di pintu itu.
“Apa ni?”
Najla mengunjuk satu kad berwarna merah di tangannya lalu mencampakkan kad itu
di atas meja kerjanya. Wajahnya merah menahan marah.
Zawin
menjeling sekilas, melabuhkan punggung di kerusi mendepani rakannya itu. “Bila
kau tahu?” soalnya selamba.
Najla
menarik nafasnya. Terasa geram membukit dengan reaksi gadis itu. “Yasmin datang
malam tadi ke rumah aku bagi kad ni. Bagai nak luruh jantung aku tengok nama
pengantin lelaki. Bila aku tanya kenapa semua ni berlaku, dia dengan selamba
cakap yang semua itu takdir. Dia kata kau tak layak memiliki seorang jurutera
berbanding dia. Di situ juga aku tampar
dia. Aku jerit suruh dia keluar dari rumah aku. Kalau dia tak bagi aku kad
kahwin ni, sampai sudah pun aku tak tahu benda ni. Kenapa kau tak beritahu aku?
Aku terasa tahu tak. Kau kata aku kawan baik kau sejak dulu, tapi kau tak pernah
maksudkannya. Sama dengan kes Arnida. Kau betul-betul buat aku kecewa,” luahnya
penuh perasaan sambil menghenyakkan punggung di atas kerusi.
Zawin
menundukkan wajahnya, membisu beberapa ketika. “Maafkan aku. Aku tak bermaksud
begitu. Kau memang sahabat baik aku sejak dulu. Sungguh. Cuma...aku malu nak ceritakan
pada kau. Semuanya bagaikan mengulang sejarah lalu.” Zawin mengangkat wajahnya,
merenung kosong ke luar jendela bilik rakannya itu. Dia tidak mahu lagi
menumpahkan air mata, kerana itu dia berusaha untuk mengawal emosinya.
Najla memegang lengan kanan Zawin. “Maafkan
aku juga. Aku terlupa mengambil kira perasaan kau.” Rasa marah yang menggunung
perlahan-lahan mengendur saat melihat wajah sayu itu.
“Tak
apa. Pasti ada hikmah semua ni berlaku. Kau tahu, semalam kak Puteri
terserempak dengan Wan Zaidi. Lelaki sengal tu pesan pada kak Puteri supaya aku
dapat datang ke majlis dia nanti. Sungguh lucu.” Zawin menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Najla membundarkan matanya. “Ini la peluang
kau. Kau harus pergi!” usulnya bersungguh.
“Kenapa?”
soal Zawin dalam rasa terkejut amat.
“Masa ni
la kau kena tunjukkan siapa kau sebenarnya. Kau tu berjuta kali lebih baik
daripada Yasmin. Tak sangka sebab taraf pendidikan dan jenis kerja yang buatkan
Wan Zaidi lebih memilih Yasmin berbanding kau.”
“Apa
maksud kau?”
“Malam
tadi, sebelum keluar dari rumah aku...Yasmin beritahu mengapa mak ayah Zaidi
lebih memilih dia berbanding kau sebagai menantu. Tak salah lagi, mereka
inginkan menantu yang sekufu. Mengapa kau tak beritahu sahaja siapa diri kau
yang sebenar, Zawin?”
Zawin
terdiam. “Aku punya sebab. Ternyata Wan Zaidi...bukan lelaki yang jujur. Dia
kata dia terima aku seadanya, tetapi semua itu bohong. Malam itu, malam hari
jadi aku dulu...aku sebenarnya bersedia untuk memberitahu siapa aku yang
sebenarnya, tapi siapa sangka...”
Najla
lekas mencelah. “Allah selalu punya rahsia terhadap sesuatu yang berlaku. Wan
Zaidi...dia bukan lelaki yang baik untuk kau Zawin. Kau layak mendapat yang
lebih baik. Erm...Wan Zaidi lelaki Gemini sama pula tu dengan Yasmin. Kita
tengoklah sejauh mana dua bintang yang sama ni bertahan.” Najla mengepal
penumbuknya.
“Ish. Tak baik doakan macam tu Najla. Aku dah
redha. Aku dah maafkan mereka pun.”
Najla mengeluh.
“Kau ni baik sangat la Zawin. Habis tu...Arnida Azhar tu...kau maafkan tak?
Bagaimana pula dengan Iskandar?” soalnya
serius.
Zawin
menatap anak mata kecoklatan Najla. “Aku maafkan...cuma hanya seorang sahaja
yang aku tak dapat maafkan sehingga sekarang.”
Najla
terdiam sejenak. Dia tahu siapa yang dimaksudkan Zawin. “Aku tahu...aku faham.
Kalau aku alami apa yang kau lalui, aku pasti bersikap seperti kau sekarang. Kalau
aku jumpa Arnida Azhar lagi, nak je aku basuh habis-habis. Tak tahu malu betul.
Banyak kali aku tolak friend request dia dalam facebook...”
“Apa
yang dia nak lagi dari kita?.. ,” keluh Zawin.
Najla
menggelengkan kepalanya. “Dia tak faham apa maksud kemaafan sebenarnya.
Kemaafan bukan beerti kita dapat menerima kembali seseorang itu dalam hidup
kita...”
“Dah la...kita
cakap pasal benda lain.” Zawin cuba mengubah topik perbualan.
Najla
memuncungkan bibirnya. “Kursus hari ni batal, kan? So, Petang ni lepas
kerja kau ikut aku pergi shopping. Aku nak ubah penampilan kau selama ni.
Beli pakaian baru,” usulnya bersungguh.
“Hah?
Apa salahnya baju kurung yang aku pakai selama ni?” Zawin mengerutkan dahinya.
“Tak
salah. Tapi kau tu profesion tinggi. Kena nampak wibawa sikit. Baju kurung kau
tu pun tak ada fesyen. Tudung lagi la. Dah tiba masanya untuk kau berubah,”
nasihat Najla lembut.
“Tak nak
la aku membazir. Aku tetap aku dan tak akan berubah jadi orang lain,” bidas Zawin
selamba.
“Kita
memang tak boleh jadi orang lain, Zawin...tapi kita boleh jadi lebih baik. Aku
sebenarnya...tak nak cakap perkara ni, tapi sebab kau berdegil sangat, tak nak
berubah...aku terpaksa beritahu. Maafkan aku kalau kata-kata aku ni kasar
sikit. Kau ingat kan masa Wan Zaidi nak bawa kau pulang ke rumah keluarganya?
Wan Zaidi ada belikan baju kebaya kepada kau, tapi kau degil tak nak guna
sewaktu berkunjung ke rumah keluarga Zaidi.
Kau lebih selesa dengan cara kau berpakaian. Tapi kau tak tahu apa yang
keluarga Zaidi kata dibelakang kau. Sama seperti kata-kata Yasmin masa
mula-mula dia kenal kau...”
Mata Zawin
mencerlung memandang rakannya itu. “Selekeh macam makcik? Macam tu?” Bibirnya
terketar-ketar menahan marah.
Najla
merenung kosong pada wajah yang telah berubah merah itu. “Zawin...kadang-kadang
ada baiknya kita dengar, teliti pandangan orang lain. Tak semestinya kita betul dalam semua
perkara. Kau tak ingat pesan cikgu Zharifah
pada kita dulu. Jangan buat apa-apa, jangan jadi sesiapa...jangan kata apa-apa
kalau tidak mahu menerima kritikan.”
“Apa
yang selekehnya? Cuba kau terang sikit?” cabar Zawin dalam rasa geram yang
menggunung. Baginya cara berpakaian tidak melambangkan jati diri seseorang.
Pemikiran adalah tunjang utama. Kerana itu dia tidak pernah menitikberatkan
penampilan selama ini.
Najla tersengih.
Dia tidak mahu berselindung lagi. Biarpun pahit, Zawin harus ditegur tentang sikap tidak acuhnya terhadap
penampilan diri. Tangannya memegang hujung tudung hijau Zawin. “Sibuk sangat ke
sampai berkedut seribu ni. Baju kurung kuning kau ni, langsung tak masuk dengan
tudung hijau ni,” tegurnya bersahaja.
Zawin
terdiam. Bibir bawahnya diketap. “Aku keluar dulu. Ada kelas,” ujarnya lalu
mengangkat punggung, berlalu keluar dari bilik itu. Benarkah cara berpakaian
aku selama ni teruk sangat? Hatinya yang panas menyoal geram. Dia tahu ini kelemahan
dirinya sebagai perempuan api. Mudah melenting apabila ditegur. Kakinya menapak
laju ke tempat parkir kereta. Melihat sejambak bunga mawar putih di hadapan
kereta kelisa kuningnya, Zawin mengeluh berat. Sejak dia mengajar di institusi
itu, dia kerap menerima pelbagai jenis bunga. Penghantarnya tidak pernah
menunjukkan diri. Entah siapa yang gila ini! Hatinya membentak.
*******
“Bangun
semua...longgar-longgarkan bahu anda...” arah Zawin sambil menggerak-gerakkan
bahunya, turut membuat senaman ringan itu. Matanya menyeluruhi seisi kelas yang
memuatkan 36 pelajar jurusan ijazah teknologi maklumat. Melihat
pelajar-pelajarnya akur dengan arahannya, dia tersenyum lebar. “Sekarang...angkat
kedua tangan ke atas. Siapa yang nampak pusat, sila keluar dari kelas ini.” Zawin
berjalan mengelilingi ruang kosong di bilik seminar itu, memerhatikan pakaian
setiap pelajarnya. Tenyata dia berpuas hati. “Bagus...Semua ikut apa yang saya
arahkan minggu lepas. Duduk semua,” arahnya lagi lalu menapak ke hadapan kelas.
Mata Zawin
menangkap wajah seorang gadis melayu dihadapannya yang mengenakan baju kebaya coklat.
Wajah itu pernah berkerut dalam body shirt ketat minggu lalu apabila
ditegurnya. “Ha...Tengku Azura, kan nampak sopan, ayu, sedap je mata memandang,”
pujinya seraya mengunjukkan ibu jari.
Tengku
Azura tersipu apabila dipuji dihadapan ramai pelajar.
Siulan
nakal pelajar lelaki mula kedengaran.
Zawin mengukir
senyum senang, kembali menyoroti setiap wajah yang berada di hadapannya. “Saya
bukan guru disiplin dari mana-mana sekolah apatah lagi cemburu melihat kamu semua
mengenakan pakaian yang singkat-singkat. Saya buat begini untuk membolehkan
kamu semua memperoleh berkat dalam menuntut ilmu. Guru paling saya kagumi
pernah berpesan yang berpakaian sopan sewaktu menuntut ilmu menjadi asbab
berkahnya ilmu yang diterima, mudah faham dan ilmu mudah masuk dalam kalbu. Saya
tidak kisah jika kamu kembali berpakaian lama menghadiri kelas-kelas yang lain,
tetapi untuk kelas saya, kelas membina laman web ini...saya tegaskan sekali
lagi, tidak akan teragak-agak menghalau para pelajar yang berpakaian tidak sopan. Faham semua?”
“Faham.”
“Ok,
mari kita mulakan kelas dengan bacaan doa dahulu.”
“Cik Zawin,
buku yang cik suruh kami rujuk minggu lepas ada tak? Kami nak buat cetakan...”
Seorang pelajar lelaki datang menemui Zawin sebaik kelas tamat.
Zawin
menepuk dahinya. “Ala...saya lupa nak bawa pagi tadi. Ada di rumah saya. Minggu
lepas saya bawa ke kelas,” beritahunya kepada pelajar bernama Khairi itu.
“Ok. Terima kasih cik.” Pelajar
lelaki itu berlalu pergi.
Zawin
mengemaskan barang-barang di atas meja, memasukkan ke dalam beg bimbitnya.
Dalam kepala sudah terbayang perpustakaan universiti. Ada beberapa journal
yang harus dirujuk untuk membuat proposal kajian.
“Maaf Kak.
Journal-journal yang akak cari ni masih dipinjam oleh pensyarah lain. Kena la
tunggu dia pulangkan, lagi pula...hanya pensyarah sahaja biasanya yang pinjam
buku-buku jenis ni...” beritahu wanita
pembantu perpustakaan itu dengan tidak acuh.
Zawin
menahan nafasnya, cuba mengawal marah dengan cara wanita bertudung merah itu
melayaninya. Seakan dia tidak layak meminjam buku-buku itu. “Erm...umur akak
berapa?” soal Zawin sambil tersengih. Solekan tebal diwajah itu membuatkan
wanita dihadapannya ini kelihatan seperti perempuan dalam opera cina.
Wanita
itu membulatkan matanya. “28. Kenapa?” soalnya sambil memandang perempuan
kurung kuning itu atas dan bawah.
“Jangan panggil saya kak lagi. Panggil
saya cik. Umur saya empat tahun lebih muda dari akak,” arah Zawin bersahaja.
“Siapa
awak ni? Pensyarah ke? Kalau pensyarah, tak kan la pakai macam ni? Selekeh je.”
Wanita itu menjuihkan bibirnya.
Mata Zawin
mencerlung tajam. Selekeh? Ayat yang pernah dilontarkan oleh Arnida juga Yasmin
kepadanya. Bahkan pagi tadi, rakan baiknya juga bagaikan turut menyokong
kenyataan itu. Dalam rasa marah yang membukit, Zawin mencapai kertas hijau didalam
satu bekas, mengeluarkan pen dari dalam tas tangannya lalu menulis perkataan Bad
service di ruang kosong borang kepuasan pelanggan itu. Kertas hijau itu
dilipat kecil, dimasukkan ke dalam peti lutsinar yang disediakan. Mata Zawin
kembali menatap wajah berkerut wanita itu. “Lebih baik selekeh daripada make
up melebih-lebih,” perlinya diiringi jelingan tajam sebelum melangkah
keluar dari perpustakaan itu.
0 awesome commentator:
Post a Comment
terima kasih berikan komen ya.