BAB 29

            “Nak masak apa ni, Anas?” soal Zharif. Matanya penuh minat memerhatikan orang kampung Anas bergotong-royong memasak untuk majlis aqiqah permata sulung Anas dan Najla.
            “Nasi Kebuli,” balas Anas ringkas. Tangannya sibuk membasuh beras. Peluh pada dahi diseka menggunakan hujung baju melayu merahnya.
            “Macam pelik je bunyinya. Siapa makan nasi ini kena buli ke?” sampuk Fuad dengan selamba.
            Anas ketawa besar mendengar kata-kata itu. “Bukan lah. Nasi Kebuli ertinya singkatan nasi kebawah duli. Asalnya nasi ini dihidang  kepada Sultan Pahang bermula di Kampung Kuala Kenong dan tradisi nasi kebuli dibawa ke Kampung Jeram Landak. Kamu berdua beruntung dapat makan nasi Kebuli sebab hanya dimasak bila ada majlis-majlis istimewa sahaja,” jelasnya panjang lebar.
            Fuad tersengih. “Untunglah kami. Tapi dah kebulur ni,”  komen Fuad sambil menggosok perutnya.
            “Sabarlah. Dah makan nanti, memang rasa sangat berbaloi menunggu,” pujuk Anas. Beras yang telah siap dibasuh, diangkat lalu dibawa ke arah sekumpulan wanita yang sudah menghidupkan api di bawah kawah.
            Zharif turut mengekori langkah Anas. Dia hanya memerhatikan Anas memasukkan beras yang telah ditoskan ke dalam kawah manakala dua orang wanita separuh baya menggoreng beras menggunakan kayu pendayung. Kawah berhampiran pula digunakan untuk menggoreng ayam yang telah direbus.
            “Air rebusan ayam tadi, digunakan untuk membuat nasi kebuli,” jelas Anas tanpa disoal. Dia sedar ada garis pertanyaan pada wajah Zharif usai air rebusan ayam dalam periuk dituangkan ke dalam kawah setelah beras menjadi retak.
            Zharif mengangguk lagi. Dia menunduk, mencolek sedikit baki air rebusan ayam dalam periuk. Lidahnya dapat menangkap rempah ratus yang digunakan. Lada hitam, ketumbar, bawang merah, halia, serai, lengkuas dan kunyit hidup. Tidak hairanlah bau air rebusan ayam ini sahaja sudah mampu membangkitkan selera.  
            “Panasnya lah,” rungut Fuad. Tudung periuk diambil lalu mengipas tubuhnya.  
            Zharif ketawa melihat wajah merah Fuad. “Siapa suruh pakai baju melayu hitam. Kan serap cahaya matahari.”
            “Itu la. Macam pendekar pula aku tengok,” tokok Anas.
            Fuad ketawa menyeringai. “Aku pakai baju ikut hari dalam terapi warna. Hari ahad kan warna hitam. Itu yang aku pelik kenapa Zharif pakai baju melayu ungu. Anas lain lah ikut tema merah putih.”
            Zharif berbalas senyum dengan Anas. “Ini baju Anas la. Aku tak bawa baju melayu. Lagi pula, berapa sahaja baju melayu yang aku dalam simpanan,” jelasnya bersahaja.
            Fuad tidak jadi bersuara apabila sekumpulan wanita separuh baya memainkan rebana diiringi sebuah lagu. Fuad memasang telinga, mengamati bait-bait lirik lagu itu. Bibirnya mengukir senyum lebar lalu menatap wajah Anas. “Lagu joget Pahang kan?”
            “Tahu ya?” soal Anas. “Biasanya semasa menunggu Nasi Kebuli masak, memang lagu-lagu rakyat akan dinyanyikan,” beritahunya lebih lanjut.
            Fuad mengangguk. “Negeri Pahang aman sentosa, kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Ha...lirik yang ini aku setuju sangat. Ini pengalaman kali pertama aku memandu ke Pahang. Penuh hutan, tumbuh-tumbuhan. Buatnya kereta mati tengah jalan, memang haru la.”
            “Sebab itu dinasihatkan jangan memandu waktu malam. Kalau jadi apa-apa susah,” tokok Anas.
            “Nasib baik tak ada apa-apa berlaku di lebuh raya Karak semalam,” sampuk Zharif.
            “Lebuh Raya Karak ok lagi tapi yang banyak kes seram waktu malam di Jalan Karak Lama. Orang dah tak lalu jalan situ sejak ada Lebuh Raya Karak,” beritahu Anas.
             Fuad dan Zharif saling bersabung pandang. Mujur perjalanan mereka malam semalam berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.  
            “Zharif...kau tak minat lagu-lagu rakyat?” soal Anas tiba-tiba.
            “Kurang lah tapi kalau dengar, layan saja.”
            Fuad sudah ketawa. “Mamat thai ni? Jangan ditanya. Lagu-lagu rock sahaja yang dia suka,” celahnya selamba.
            Anas turut ketawa. “Muka jambu, tapi berjiwa rock,” usiknya.
            Zharif menahan senyum. Apa boleh buat, memang dia lebih meminati muzik genre begitu. “Apa lagi makanan yang dihidang pada tetamu?” soalnya ingin tahu.
            “Adik aku uruskan semua masakan. Dia memang buat business catering. Nanti rasalah masakan-masakan Pahang yang orang utara tak akan jumpa dimana-mana melainkan di Pahang sahaja,” jelas Anas.
            “Wah, pasti sedap.” Zharif menelan liurnya.
            “Kambing ke lembu yang diaqiqahkan?” soal Fuad pula.
            “Dua ekor kambing. Adik kata semalam nak buat kambing panggang dan kambing masak kuzi. Dalam jam sebelas setengah dia datang la nanti sebab jam dua belas waktu jamu tetamu makan. Mari tolong di sana.” Anas mengambil alih kayu pendayung daripada seorang lelaki tua dan mengacau isi beras dalam kawah.
            Zharif turut membantu sementara Fuad hanya melihat dua rakannya itu saling mengacau rata-rata beras yang akan bertukar menjadi nasi itu.
            “Apa kenangan paling indah di bumi Pahang?” soal Zharif.
            Anas mengumam. “Sangat banyak. Pastinya kenangan paling indah adalah masuk dalam hutan.”
            “Hutan?” Zharif membulatkan matanya.
            “Kau tak pernah masuk hutan?”
            Zharif menggeleng. “Aku dan Fuad dibesarkan di kawasan pantai. Banyak masa kami dihabiskan di laut. Apa seronoknya masuk hutan?”
            “Aku juga dibesarkan di persisiran sungai tapi hutan juga sebahagian daripada kehidupan aku. Di sini banyak gua-gua yang sangat cantik. Berkhemah dan bermalam dalam hutan memang dah jadi kebiasaan, cuma yang paling aku minat melihat pelbagai jenis burung. Paling aku suka dengar bunyi burung kuang...”
            “Burung apa tu?” sampuk Fuad.
            “Macam rupa burung merak tapi ada pelbagai jenis dan warnanya. Di atas kepala burung kuang ada terhias sebarisan bulu-bulu halus tegak mencacak seperti mahkota. Cantik sekali! Bila Kuang berbunyi, bergema sehingga seluruh pelusuk hutan dan disahut oleh kuang-kuang yang lain. Seolah-olah seluruh pelusuk hutan adalah mereka yang punya!” cerita Anas dengan teruja.
            “Wah! Masih ada lagi burung Kuang didalam hutan sini?” Zharif menyeka peluh yang merinding di dahi.
            “Kurang. Pembangunan menyebabkan hutan-hutan ditebang dan habitat burung-burung hutan musnah. Kalau dulu aku sering terjaga lewat malam, mendengar burung tukang menukul sehingga terlena tapi kini tidak dengar lagi. Paling aku ingat, burung murai gila.”
            “La...ada spesis burung gila ke?” Fuad menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Bukanlah. Murai gila ni diberikan gelaran sebab terbang secara zig-zag dan tak tentu hala. Sekejap macam hendak turun, tapi tak jadi pula. Aku puas lastik burung murai gila ni, tapi tak pernah kena!” Anas ketawa besar apabila mengingati kembali kenangan indah zaman kanak-kanaknya itu.
            Zharif dan Fuad turut ketawa apabila membayangkan cara burung murai itu terbang.
            Zharif terus mengacau nasi Kebuli sambil pandangannya dilarikan pada rumah pusaka milik keluarga Anas. “Kau tahu Anas, nenek aku pasti suka berada di sini,” ujarnya.
            “Kenapa?”Anas memberikan kayu pendayung kepada Fuad dan sekejapan Fuad mengambil alih mengacau nasi Kebuli.
            “Nenek aku keturunan baba nyonya dari Melaka. Dia telah terbiasa dengan budaya melayu sejak kecil. Sering nenek aku menceritakan keindahan seni pembinaan rumah melayu Pahang. Nenek aku pernah bercinta dengan pemuda melayu asal Pahang tetapi ditentang moyang aku. Cinta mereka putus ditengah jalan. Tapi nenek aku tak pernah lupakan kekasihnya. Itu yang lepas aku tengok rumah kau, aku teringat cerita nenek aku tentang rumah melayu Pahang.” jelas Zharif.
            Anas mengangguk tanda faham. Dia tersenyum mendengar lagu dikir Pahang dilagukan sekumpulan wanita yang bermain rebana. “Rumah Tradisional Melayu Pahang dikenali dengan Rumah Serambi Pahang. Rumah jenis ini biasanya berbumbung panjang manakala di tepi dinding dipasang tabir layar dan terdapat ukiran di pinggirnya. Penduduk di sini sudah ramai bina rumah batu tapi mak ayah aku tetap bertegas untuk kekal dengan rumah kayu. Lagi pula ini sahaja tinggalan warisan nenek moyang dahulu. Aku harap anak aku nanti akan kekalkan rumah pusaka ini sebagaimana asalnya.”
            Zharif menatap lama senibeni rumah kayu dihadapannya usai kayu pendayung diambil alih Anas. Dia mengangguk, merasakan rumah tradisi melayu Pahang ini merupakan warisan seni bina yang cukup unik dan sangat bernilai.  Reka bentuknya menampakkan kemahiran dan kreatif dalam bidang seni bina zaman silam. Ciri binaan yang kreatif berunsurkan motif tumbuhan seperti daun, bunga, dan haiwan terutama burung dapat dikesan pada ukiran di tingkap, pintu, dinding, bumbung dan rasuk. Matanya dialihkan pada reka bentuk atap rumah itu. “Kenapa reka bentuk atap lebih cerun?” soalnya ingin tahu.
            Anas menyeka peluh pada dahi. Dua orang lelaki datang menggantikan tugas mengacau nasi Kebuli. Dia berdiri di sebelah Zharif, menatap rumah pusaka keluarganya sambil mengipas tubuh yang panas. Dia menahan senyum apabila melihat telatah Fuad yang sudah memasuki bawah kanopi, berdiri di hadapan kipas besar yang dipasang. Pandangannya ditumpukan kembali pada rumah kayu dihadapannya. “Faktor cuaca banyak mempengaruhi seni bina rumah.  Oleh sebab rumah ini dibina berdekatan kawasan pesisir sungai, reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang dibuat untuk mengelak banjir. Reka bentuk yang lebih terbuka seperti tingkap yang banyak, beranda dan tiang itu sendiri memberi laluan angin. Rumah ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku.”
            Mulut Zharif terlopong. “Betul ke?Macam mana tu?”
            Anas mengangguk bersungguh. “Ada sejenis alat yang dinamakan tanggam diguna atau diperkuatkan bagi menyambung bahagian tertentu. Tanggam dibuat untuk mencantum bahagian rasuk dengan tiang, alang, lantai, anak tangga dan kekuda bumbung.”
            Kepala Zharif terangguk-angguk dalam rasa penuh kagum. Sungguh rumah ini satu warisan seni bina yang cukup unik dan sangat bernilai.  
            “Dah nak hampir masak dah tu,” tegur Anas tiba-tiba.
            Lamunan Zharif tersentak. Dia turut berpaling. Keningnya bertaut apabila melihat daun-daun hijau bersaiz besar di letakkan di atas nasi. Ayam-ayam yang telah siap digoreng, dikumpulkan dalam satu talam berlapikkan daun yang sama. “Daun apa itu?” soalnya.
            “Daun tutor,” balas Anas. “Nasi yang hampir masak akan ditutup menggunakan daun tutor. Ini cara tradisi masyarakat sini sejak dulu,” sambungnya lagi.
            Zharif melarikan pandangan pada kawasan rumah Anas dan matanya terpaku pada kereta Kelisa berwarna kuning yang amat dikenalinya. “Anas...Zawin ada di sini ke?” soalnya tidak sabar.
            “Ya. Dia baru sampai pukul lapan tadi. Kau tak perasan la tu.” Anas menepuk bahu Zharif sebelum membantu membawa talam berisi dua belas ekor ayam goreng masuk ke dalam dapur.
*******
            “Tak banyak ragam anak kau ni Najla. Good boy,” puji Zawin sambil mengendong bayi yang baru berusia tujuh hari itu. Kulit bayi comel itu putih mulus manakala rambutnya hitam lebat.
            “Syukur. Moga jadi anak soleh kelak,” balas Najla bersulam senyuman bangga. Rambut anak sulungnya itu dibelai penuh kasih.
            “Kau tak macam orang dalam pantang. Berseri-seri wajah kau,” tegur Zawin pada wanita yang tampak manis dalam baju kurung Pahang merah bata. Tudungnya pula daripada campuran warna merah dan putih.
            “Bukan kau yang nampak berseri? Bertambah cantik lagi ada,” bidas Najla.
            Life must go on, right?” ucap Zawin tenang.
            “Syukur sangat kau dah kembali normal.” Najla mengelus kura tangan Zawin. Matanya bersinar gembira.
            Zawin tersenyum manis. “Mentari...pasti muncul lagi. Kan?”
            Najla mengangguk bersungguh. “Pasti!” balasnya penuh semangat.
            “Apa nama baby boy ni?” Zawin mengucup dahi bayi lelaki berpakaian merah putih itu. Wanginya. Desis hatinya. Dia pernah terbaca dalam hadis mengenai bau bayi bagaikan bau syurga ilahi. Tiada wangian sebegini dijual dimana-mana kedai sekalipun. 
            “Tunggu Ustazah Fatimah yang umumkan nanti.” Najla menyentuh lengan baju kebarung ungu yang dipakai Zawin. “Cantik  kebarung kau ni. Siap ada renda dan satin,” puji Najla dalam kagum meneliti hasil jahitan baju melayu tradisi itu. “Mak kau yang jahit?”
            Zawin menggeleng. “Abang aku yang jahit,” selorohnya.
            Najla ketawa kecil lantas menampar manja lengan Zawin. “Tersedak abang Zafuan tu nanti.”
            “Majlis dah nak mula,” ujar Zawin sebaik menyedari kehadiran kumpulan marhaban yang terdiri daripada kaum wanita mula memenuhi ruang tamu. Serba merah putih semuanya. Bayi comel dipangkuannya diserahkan kepada Najla.
            Najla meletakkan zuriat sulungnya itu didalam buaian yang menggunakan kain songket dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Dia melabuhkan punggung disisi Zawin. Nazam dialunkan oleh kumpulan marhaban. Sesekali tangannya menarik perlahan-lahan selendang yang diikat di kiri kanan buaian. Najla tersenyum senang melihat anaknya kelihatan tenang dan tidak meragam. Seolah-olah tahu sedang diraikan.
            Zawin turut membantu memberikan bunga telur dan bunga rampai kepada kumpulan marhaban usai nazam dialunkan. Dia hanya memerhatikan Anas mengambil bayi lelaki itu dari dalam buaian untuk upacara cukur jambul pula. Dia terpana melihat lelaki yang membawa dulang disisi Anas. Zharif? Dalam baju melayu? Zawin menggosok matanya beberapa kali tidak percaya.
            “Memang Zharif pun.” Najla bersuara dalam senyuman nakal.
            Zawin terus menatap wajah Najla. “Tak sangka dia datang.”
            Najla mengangguk. “Hensem kan? Lelaki akan jadi paling hensem dalam dunia bila berbaju melayu biarpun parasnya sederhana sahaja,” komennya dalam suara separuh berbisik.
            Zawin mengangkat keningnya. “Siapa yang cakap?”
            Najla mengunjukkan jari telunjuk menghala ke arahnya. “Aku yang cakap.”
            Zawin menahan tawa. Najla memang begitu. Kadang-kadang benda tak terjangka yang akan keluar daripada mulutnya. Dalam diam dia memerhatikan Zharif dan beberapa lelaki yang mengenakan baju melayu. Fuad pun ada? Desis hatinya sebaik melihat lelaki berbaju melayu hitam di sebelah Zharif. Betul juga. Kepalanya terangguk-angguk. Lelaki memang nampak kacak dan berbeza bila berbaju melayu. Matanya ditumpukan pula pada bayi lelaki yang dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat ke atas nabi Muhammad S.A.W.
            Zharif menyerahkan dulang kepada Fuad. Tangannya mengambil beberapa helai rambut bayi lelaki didalam dukungan Anas, menggunting sedikit lalu memasukkan rambut ke dalam sebiji kelapa muda yang dipotong bahagian kepala dengan potongan berkelok-kelok siku seluang. Dahi bayi itu dikucup lembut. Melihat wajah comel itu, hatinya menjadi sayu. Entah bila dia bakal memangku zuriat sendiri. Menatap wajah Anas yang berseri, jelas menunjukkan rasa bahagia lelaki itu. Zharif memerhatikan Anas menyerahkan zuriatnya itu kepada Najla untuk giliran orang perempuan pula mengambil alih. Lama matanya terpaku pada pemilik tubuh dalam kebarung ungu, bertudung putih itu. Wajah Zawin kelihatan berseri pada pandangannya. Adakah  hati gadis itu sudah pulih?
            “Nama bayi ini, Muhammad Al-Fateh bin Anas,” umum seorang wanita bertudung labuh usai mencukur keseluruhan rambut bayi lelaki itu.
            “Al-Fateh? Penakluk Konstantinopel?” Zawin menatap wajah Najla dalam teruja.
             “Ya. Nama tokoh islam yang sangat hebat semasa pemerintahan Turki Uthmaniyah. Kami sepakat pilih nama ini sejak hari pertama tahu jantina bayi,” jelas Najla tenang.
            “Nama yang sangat baik. Semoga Al-Fateh jadi anak yang soleh kelak,” ujar Zawin lalu memeluk lengan Najla.
             “Amin.” Najla tersenyum manis. “Pergilah makan. Kau tak datang semasa majlis resepsi aku dulu. Kali ini kau wajib cuba masakan Pahang. Sekali rasa, selamanya kau akan ingat. Nasib baik aku dalam pantang, kalau tak memang semua makanan masuk mulut.”
            Zawin ketawa kecil. “Itu yang aku nak rasa sangat.”
            “Khas untuk adinda.” Anas menghulurkan mangkuk kecil kepada Najla. “Kerak nasi Kebuli,” ujar Anas separuh berbisik          .
            Najla benar-benar gembira. Bukan semua orang dapat menikmati kerak nasi Kebuli kecuali yang terlibat semasa gotong royong memasak. Isi kerak dicubit sedikit lalu dinikmati dalam mata terpejam. Rasanya sungguh enak! “Terima kasih kanda.” Najla mencapai tangan Anas dan mengucup lembut.
            Anas memandang wajah isterinya penuh kasih. “Sabar ya. Selepas pantang, semua makanan kanda beri dinda makan,” pujuknya lembut.
            Zawin berdehem beberapa kali.
            Anas tersengih melihat wajah selamba Zawin. “Mari makan. Zharif dan Fuad sudah tunggu di meja makan,” beritahunya.
********
            “Tambah nasi lagi Zharif,” pelawa Anas. Dia meletakkan pinggan berisi kambing masak kuzi di tengah meja. Anas mengambil tempat di sebelah Fuad. Diantara tiga rakannya itu, Zharif dilihatnya begitu berselera menikmati lauk kambing kuzi.  
            My pleasure.” Zharif menambah nasi dan hidangan kambing kuzi yang masih panas.
            Zawin menahan senyum melihat Zharif makan bersungguh disebelahnya. Fuad yang duduk mendepaninya tidak banyak bersuara tetapi sentiasa menambah nasi dalam pinggan. “Ini gulai kari?” Zawin meneliti gulai berwarna kuning kemerahan itu didalam mangkuk, menceduk beberapa sudu kuah gulai dan isi ikan Kenerak ke dalam pinggan.
            “Bukan gulai kari. Itu gulai asam rom. Ini makanan warisan sebelah Pahang Barat terutama Ulu Tembeling,” jelas Anas.
            “Pelik saja namanya,” komen Zawin lalu menyuapkan gaulan nasi ke dalam mulut.
            “Sudah begitu nama yang diberi. Nak buat asam rom sama sahaja dengan asam tempoyak  cuma buahnya berbeza. Guna biji getah atau buah perah. Proses nak hasilkan asam rom memang ambil masa dan tenaga la. Kena jemur, tumbuk, uli, buang minyak biji getah dan diperam selama sebulan. Bila dah jadi asam rom, boleh tahan lama sehingga setahun,” jelas Anas lebih lanjut.
            “Sedap sangat!” puji Zawin dengan keenakan gulai asam rom itu. Biarpun dia agak terkejut dengan rasa pedas menyengat, tetapi semakin dimakan, semakin dia ketagih. “Kalau masak lemak cili api Negeri Sembilan orang kata pedas tapi gulai asam rom ni lagi pedas. Makin pedas makin sedap,” tambahnya lagi.
            Anas tersenyum simpul. “Memang. Gulai asam rom kalau tak pedas kurang menyengat.”
            “Sedap sangat!” Fuad pula bersuara usai merasai gulai asam rom.
            “Cuba sebut sedap pepaleh weh!” Anas mengajar loghat Pahang.
            “Sedap pe...pe...leh...” Fuad cuba mengikut namun tergagap-gagap.
            Pepaleh.” Anas membetulkan. “Pepaleh tu bermaksud sangat.”
            “Sedap pepaleh weh!” ujar Fuad bersemangat.
            Anas dan Zawin saling bersambung pandang dan berbalas senyum.
            Zharif turut mencedok gulai asam rom apabil melihat Zawin dan Fuad menambah kuah gulai asam rom ke dalam pinggan. Menyedari Zawin yang tersiut-siut menahan pedas, dia teragak-agak menggaul nasi dengan kuah gulai. Sebaik nasi bercampur kuah gulai asam rom memasuki mulutnya, matanya membundar luas. Terasa bagai memasukkan api ke dalam mulut. Rasa pedas cili benar-benar menyengat pada lidah.  Zharif terus mencapai hirisan timun dan mengunyahnya gopoh. Dia benar-benar lega apabila rasa pedas itu perlahan-lahan hilang.
            Fuad ketawa melihat wajah merah Zharif. “Sejak bila kau tak serasi dengan makanan pedas?”
            “Entah. Pelik juga. Sebelum ini aku tahan dengan pedas.” Zharif terus-terusan mengunyah hirisan timun.
            “Mungkin dah lama kau tak makan pedas. Lagi pula bertahun kau tinggal di England sebelum ini,” komen Anas.
            “Mungkin juga.” Zharif meneliti hidangan yang ada dihadapannya. “Ini apa pula? Warna hitam semacam saja.”
            “Itu sambal hitam atau sambal belimbing buluh. Walaupun rupanya buruk, sekali rasa nak lagi tau,” terang Anas. Gelas berisi air oren dicapai, diteguk perlahan.
            Zharif menaikkan ibu jari kepada Anas. Ternyata hidangan itu mengembalikan seleranya kembali.
            “Kau tak makan gulai masam tempoyak ikan patin?” tegur Anas setelah memerhati Zharif lebih banyak mengambil lauk kambing kuzi dan kambing panggang.  
             “Aku kurang serasi dengan ikan air tawar. Makan sikit saja boleh la tapi kalau makan banyak, rasa loya,” beritahu Zharif.  
            Fuad tersengih menyeringai. “Itu sudah bagus.” Wajah Zawin ditatap bersulam sengih nakal. “Zawin...kita habiskan semua ikan ya?”  
            “Boleh saja.” Zawin membalas pantas.
            Zharif menjuihkan bibirnya. “Makanlah. Aku habiskan semua lauk kambing ni,” ujarnya selamba.
            Anas ketawa berdekah-dekah melihat telatah mereka.
            Selepas menunaikan solat Asar, kereta masing-masing bergerak meninggalkan bumi Pahang. Mereka berhenti di Hentian Rehat Genting Sempah apabila hari sudah merangkak senja, menunaikan solat Maghrib dan menikmati makan malam di sebuah kedai makan. Makanan yang dibekalkan Anas dan Najla dikongsi bersama.
            “Macam rasa nasi biriani pun ada juga kan?” komen Zawin sejurus merasai keenakan Nasi Kebuli.
            Zharif mengangguk. “Ayam goreng pun sedap. Boleh rasa rempah-rempah yang digunakan.”
            “Sedap pepaleh weh,” ujar Fuad pula. “Betul orang kata, jauh perjalanan, luas pengalaman. Rasa nak cari jodoh dengan orang Pahang pula.”
            Zawin dan Zharif serentak ketawa.
            “Aku sokong saja. Bila majlis kahwin kau?” soal Zharif.
            Fuad menggosok bawah dagunya. “16 jun. Tahun tak pasti lagi.”
            Zharif menggelengkan kepalanya dalam tawa. “Macam-macam la kau ni. Aku nak pergi tandas.”
            “Aku ikut.” Fuad turut bangun beriringan dengan Zharif menuju ke tandas.
            Zawin menggigit straw minuman. Tarikh yang disebut Fuad sebentar tadi membuatkan hatinya bergetar. Biarpun bayang Iskandar sudah semakin sirnar, perasaannya semakin pulih namun entah mengapa hatinya masih ada getar sebaik mengingati lelaki itu. Terapi air yang diajarkan abangnya ternyata memberikan banyak kesan positif padanya. Mungkin sahaja dia perlu kerap melakukan terapi air untuk kesan yang menyeluruh. Zawin menghela nafas dalam-dalam lalu mengemaskan mangkuk tingkat yang sudah kosong. Matanya terpandang I-Phone milik Zharif di atas meja makan. “Cuai ini orang,” bebel Zawin. Telefon pintar itu diambil dan diletak dihadapannya.
            Merasa bosan menunggu seorang diri, Zawin menekan secara rambang butang I-Phone Zharif. Hatinya terasa bagai dipalu melihat gambar lock screen pada skrin I-Phone. Entah terdorong daripada keberanian apa, Zawin mula menggeledah telefon pintar itu. Zawin menelan liur melihat wajahnya menjadi gambar wallpaper juga. Jari telunjuknya semakin berani menggeledah fail lain termasuk fail gambar. Sebaik menyentuh fail bernama my lovely baby, Zawin benar-benar tidak percaya dengan gambar-gambar yang dilihatnya. Semua gambar ada wajahnya dalam pelbagai gaya. Sungguhkah dia benar-benar istimewa pada mata Zharif? Kehadiran Fuad melenyapkan lamunan Zawin.
            “Jom gerak. Zharif pergi kedai. Ada barang yang dia nak beli,” beritahu Fuad.
            Zawin mengangguk lalu berdiri.
            “Nampak telefon Zharif tak?”
            “Ini...” Zawin menghulurkan I-Phone Zharif kepada Fuad.
            “Jenuh itu orang cari tadi. Ingatkan tertinggal di Pahang. Haru la pula nak patah balik.”
            “Bagus juga patah balik. Boleh bawa balik bakal pengantin,” usik Zawin.
            Fuad ketawa besar. “Zawin nak tahu satu rahsia?” ujarnya separuh berbisik sambil berjalan ke arah kawasan parkir kereta.
            “Apa?”
            “Suka tengok wajah Najla. Manis sangat.”
            Zawin tersenyum penuh makna. Dia bersandar pada keretanya.  “Memang manis. Adik perempuan Najla ada seorang masih solo. Manis sama macam Najla. Nak cuba?”
            Fuad mengumam sejenak. “Tak mahu. Nak orang Pahang juga,” ujarnya bersahaja.
            Zawin ketawa kecil. “Apa-apa saja lah.”
            Fuad menatap lama wajah Zawin. “Apa pendapat Zawin tentang Zharif?”
            Good guy,” balas Zawin ringkas.
            “Selain daripada itu?”
            Zawin mengangkat kedua bahunya. “Cubalah Fuad cerita sendiri. Fuad kan kawan baik Zharif sejak kecil.”
            Fuad bersandar pada badan Honda City, berpeluk tubuh, memincingkan pandangannya pada wajah gadis itu. “Zharif peminat kereta yang tegar. Setiap enam bulan sekali, dia akan tukar kereta. Sejak tahun lalu, Zharif tidak pernah menukar Honda City ini. Tahu kenapa?”
            Zawin menggeleng lagi.
            “Sebab Zawin,” beritahu Fuad.
            “Kenapa pula?”    
*******
            “Siapa dia?” Zharif berbisik kepada Zulhelmi. Matanya meneliti gadis berambut blonde, berbaju pink sendat yang sedang melambai ke arah mereka.
            Girlfriend aku,” balas Zulhelmi.
            Zharif terkedu. Matanya mengekori langkah Zulhelmi mendekati gadis itu lalu berpelukan dan berlaga pipi. Lelaki itu baru lepas bercerai namun sudah ada pengganti. Zharif cepat tersedar dan mengulati hakikat. Bukankah sebelum berkahwin dahulu Zulhelmi kerap bertukar teman wanita? Jadi enteng sahaja rakannya itu kembali pada perangai dahulu. Zharif mengambil tempat disebelah Zulhelmi, mengerling sekilas wajah gadis yang tersenyum manis kepadanya. Dia menilai dalam diam. Cantik, tinggi dan pandai bergaya. Memang itu ciri-ciri wanita yang sering menjadi teman Zulhelmi sejak dahulu.
            “Saya Lina.” Lina menghulurkan tangan kepada lelaki kacak berkemeja biru lembut itu.
            Zharif menundukkan kepalanya tanpa menyambut huluran tangan gadis itu. “Saya Zharif.” Dia tidak peduli dengan pandangan orang dengan prinsipnya. Seharusnya seorang wanita islam itu sendiri tahu batas syariah dalam pergaulan. 
            Air wajah Lina berubah. Dia berdehem sekali, menyembunyikan rasa malu.    
            You dah order minuman?” Zulhelmi menggenggam jari jemari Linda. Zharif memang begitu sejak dulu. Hampir semua perempuan yang dikenalkan kepada Zharif mengadu tersinggung dengan cara lelaki itu.  
            I tunggu you,” balas Linda. Wajah selamba Zharif dijeling tajam. Lelaki gay la tu! Hatinya menyumpah seranah.
            Zharif tidak menghiraukan dua pasang sejoli itu berbual mesra. Sambil menikmati cappuccino, matanya memerhatikan orang ramai yang lalu lalang di kawasan Down Town Cheras itu. Zharif memasang telinga apabila Lina memanggil pelayan. Gadis itu memesan shisha berperisa strawberi. Dia menggeleng tidak percaya. Gaya merokok daripada timur tengah itu ternyata telah menular kalangan masyarakat Malaysia. Tidak lama kemudian, sisha yang dipesan tiba. Zharif  melihat Lina menyedut dalam-dalam paip shisha. Kembang kempis  hidungnya. Asap berkepul-kepul di udara. Gadis itu melayan shisha berperisa strawberi dengan nikmat sekali.
            You nak cuba?” soal Lina kepada Zulhelmi.
            Zulhelmi menggeleng. Dia perasan beberapa pengunjung di meja bersebelahan memandang Lina dengan muka berkerut dan riak kurang selesa. “Biasa ke you layan shisha ni?”
            Lina mengangguk, menggenggam kemas paip shisha, menyedut dalam-dalam. “I  layan masa study dulu. Kawan I yang ajar. Mak ayah I pun tak kisah bila I hisap depan mereka. Benda ni normal la hisap shisha dikhayalak ramai. Ada I tengok dulu, satu keluarga hisap sisha di Ampang. Perempuan bertudung pun ada. ” Lina terbatuk-batuk kecil semasa menyedut asap shisha. “Cubalah,” sarannya lagi kepada kekasihnya sambil menghulurkan paip shisha.
            Zulhelmi tetap menggeleng. “Tak pandai hisap,” balasnya memberi alasan.
            “Ok. Mari I ajar you. Macam ini. Sisha akan lebih sedap hisap masa you letak bawah lidah. Memang rasa sedap dan tak batuk,” terang Lina bersungguh. Sekali lagi dia menghulur kepada kekasihnya.
            “Tak apa. You saja la layan shisha,” putus Zulhelmi akhirnya. Dia hanya layan rokok bukan shisha.
            “Lelaki tak suka perempuan hisap shisha,” komen Zharif selamba. “Lelaki akan fikir dua tiga kali bila hendak jadikan isteri,” tambahnya lagi.
            Lina ketawa mendengar kata-kata itu. “I tak kisah apa orang nak kata. Yang penting I tahu siapa diri I cukuplah. Kalau diikutkan I ni perempuan terbaik tau,” balasnya serentak ketawa terkekeh-kekeh.
            “Apa bagusnya hisap sisha?” soal Zharif. Matanya mengerling wajah selamba Zulhelmi yang sedang menikmati kopi expresso.
            “Kalau hisap shisha mulut tak berbau busuk macam perokok tegar. Lagi pula tak ada apa-apa kesan pada kesihatan I. Sisha tak buat I ketagih. I layan Sisha sama macam karaoke,” hujah Lina penuh semangat. 
            Zharif ketawa kecil. Kepalanya tergeleng-geleng. “Siapa kata tak beri kesan pada kesihatan? Kajian di Perancis menunjukkan kandungan karbon monoksida saat menghisap satu sisha setara dengan 15 sehinga 52 batang rokok. Kandungan tar satu shisha setara dengan 27 hingga 102 batang rokok. Tak bahaya ke tu?”
            Lina terdiam. Tangannya masih menggenggam kemas paip shisha. “Seperti I cakap tadi, apa yang penting I tak ketagih sisha.”
            Zharif mengurut bawah dagunya beberapa kali. “Sepatutnya sisha diharamkan sama seperti rokok,” ujarnya tenang.
            Hello Mister. Orang Arab dah lama hisap benda ini. Kalau haram, takkan orang Arab hisap!” tegas Lina sambil matanya merenung tajam wajah Zharif.
            Hello Miss. Kajian populasi manusia 2009, umat islam seluruh dunia berjumlah lebih kurang 1.57 billion. Bangsa Arab hanya 20 peratus daripada jumlah itu. Arab tidak semestinya islam,” bidas Zharif tenang.
            Relax you all,” celah Zulhelmi apabila merasa suasana tegang di situ. Dia berdiri mendadak. “Khalid mesej aku. Semua dah berkumpul di sana.”
            Zharif mengambil tempat di sebelah Zulhelmi. Meja itu riuh-rendah mengalahkan orang berkenduri. Rakan-rakan yang bercampur latar belakang itu ada yang dikenali semasa menuntut  di luar negara dahulu dan ada juga yang dikenali melalui Zulhelmi. Semuanya ada sepuluh orang. Masing-masing meneguk minuman keras sambil bercerita itu ini. Dia puas menasihati rakan-rakannya itu namun semuanya bagaikan air mengalir pada daun keladi. Hidup hanya sekali. Umur masih muda. Itu antara jawapan berulang yang sering diberikan kepadanya. Zharif memerhati suasana pub itu. Kelihatan ramai pemuda pemudi. Kebanyakannya remaja melayu belaka. 
            Pelayan datang ke meja mereka untuk mengambil pesanan.
            Get me a Gin and Tonic please?” Lina memesan minumannya.
            I want Chivas.” Zulhelmi pula memesan minumannya pada pelayan pub.
            How about you sir?” tanya pelayan lelaki itu kepada Zharif.
            Zharif mengumam sejenak. “Give me an apple juice...
            Mulut Lina terlopong melihat Zharif memesan jus tomato. Mendadak senyum sinis terukir dibibirnya. “Ustaz pun masuk pub juga,” perlinya selamba.
            Zulhelmi tergelak. “Memang kami semua panggil dia ustaz pun.”
            Yeah, ustaz Zharif!” laung mereka beramai-ramai.
            Zharif hanya tersenyum. Dia telah lama melatih diri untuk menerima segalanya dengan senyuman.
            Lina merenung tajam wajah tenang Zharif. Padanlah muka budak baik. Desis hatinya. “So pak ustaz, mesti suka gadis bertudung. Kan?”
            “Mana-mana pun boleh,” balas Zharif tidak acuh.
            “Tapi gadis bertudung sekarang sama sahaja. Kadang-kadang lagi teruk. Cuba tengok sana.” Lina mengunjuk ke arah meja berhampiran mereka.
            Zharif menghela nafas. Beberapa gadis bertudung dalam pub sedang berbual sesama mereka tetapi atas meja mereka tidak pula kelihatan minuman keras. Dia pernah mendengar cerita Zulhelmi berkenaan gadis bertudung selamba meneguk arak dalam pub namun tidak pernah pula dia terserempak selama ini. “Mereka datang untuk berhibur sahaja kot,” komennya.
            Lina mendengus. “Bagi I bertudung ke tak bertudung ke...sama sahaja. In the end of the day hati yang baik juga yang tuhan tengok,” hujahnya bersungguh.
            Zharif malas membalas. Sudahnya dia hanya mengangkat kedua belah bahunya.
            Pelayan datang membawa membawa minuman yang dipesan. “Here’s your drinks lady, here’s your drink sir.
            Lina dan Zulhelmi terus meneguk minuman masing-masing.
            Zharif menikmati jus tomato sambil matanya melilau-lilau ke seluruh pub. Suasana dalam pub semakin meriah dengan kehadiran lebih ramai pengunjung dengan kemunculan kumpulan muzik electro dari Eropah membuat persembahan. Semakin lama, muzik semakin rancak dimainkan. Pengunjung khasnya golongan pemuda-pemudi sudah mengisi ruang tari. Ada yang menari shuffle, ada yang menari tectonic, ada juga yang sekadar menggoyangkan pinggul sahaja. Lina, Zulhelmi dan separuh rakan-rakannya turut menari mengikut muzik yang semakin rancak.
            “Diam saja. Chill bro,” tegur Khalid apabila dia menyedari Zharif lebih banyak memerhati daripada bersuara.
            Zharif mengukir senyuman. “Penat,” jawabnya ringkas.
            “Fuad ke mana?” Khalid meneguk arak Martel sehingga kering.
            “Dia ke Manila. Sepatutnya aku yang pergi, tapi dia tawar diri sebab kebetulan ada hal di  sana,” terang Zharif.
            Khalid tersengih nakal tiba-tiba. Dia mendekatkan wajahnya dengan wajah Zharif. “Kau tak nak awek ke? Aku ada ramai awek cun dan bergetah. Kalau kau nak, aku boleh aturkan,” tawarnya.
            Zharif tersenyum lebar. “Aku cari bakal isteri, bukan betina,” tingkahnya.
            “Ala...isteri biar seorang. Berkasih biar ramai.” Kepala Khalid sudah mula terangguk-angguk mengikuti irama electro yang semakin rancak.
            “Rosak generasi nanti. Apa kita buat hari ini, anak cucu kita akan buat benda yang sama juga. Zuriat kita kelak jenis tak boleh pakai belaka,” nasihat Zharif.
            Khalid ketawa berdekah. “Hidup hanya sekali...kita nikmati sepenuhnya. Lagi pula bukan semua bayi yang lahir dalam dunia ini lahir dari benih cinta!” Khalid pantas bangun lalu  menapak ke ruang tari. Dia menari semahu hatinya mengikut rentak muzik.
            Zharif menggelengkan kepalanya. Puas sudah dia membisikkan kata-kata keinsafan kepada Khalid, namun duit dan kuasa telah membutakan mata lelaki itu. Belum puas menikmati hidup dan menyangka nikmat dunia kekal abadi. Khalid  telah terpedaya dengan perhiasan dunia yang menipu. Dia tidak kisah jika dipanggil ustaz sekalipun kerana merasakan tuntutan dakwah itu harus pada setiap muslim. Lamunan Zharif tersentak apabila bahunya disentuh.
            Yasmin mengambil tempat di sebelah Zharif. Kakinya sengaja disilangkan, menampakkan pehanya yang putih gebu. “Tak sangka you boleh ada di sini. Ingatkan you baik sangat,” perlinya sambil menyedut puntung rokok dalam-dalam, dihembuskan asap rokok ke arah wajah lelaki itu.
            Zharif pantas bangun. Hatinya benar-benar cuak dengan wanita yang mengenakan gaun sendat merah jambu itu. “Please stay away from me. You tak serik kena dengan I hari itu? You nak cabar I lagi?” Zharif merenung tajam sepasang mata hitam itu.
            Mata Yasmin berlaga pandang dengan mata Zharif.  Hatinya dipalu gugup melihat mata Zharif bersinar penuh ancaman. Masih segar dalam ingatannya, rasa perit yang dialaminya apabila nadi lehernya dikunci lelaki itu. Tanpa sepatah kata, Yasmin menjeling tajam sebelum berlalu pergi.
            Zharif menghela nafas lega. Dadanya terasa sesak menghidu asap rokok yang menyatu di udara dan keadaan pub yang sangat bising. Sudahnya Zharif bangun, ingin mencari udara segar di luar pub. Semasa berpapasan dengan ramai pengunjung, dia puas beristighfar panjang. Wanita-wanita melayu meneguk minuman keras seperti air sejuk. Masing-masing ada pasangan, berpelukan dengan lelaki warga asing tanpa segan silu. Zharif mempercepatkan langkah dan menghirup udara segar sepuas-puasnya sebaik berada di luar pub. Matanya dipejamkan rapat-rapat.
            “Abang Zharif?”
            Zharif terpana lantas membuka matanya. Dihadapannya berdiri seorang gadis muda yang amat dikenalinya. “Zura?”
            Tengku Azura mengangguk dalam mata berkaca. “Abang Zharif sihat? Lama sangat tak jumpa abang,” luahnya penuh perasaan.
            Zharif tersenyum lebar. “Sihat sahaja. Kenapa Zura ada di sini? Bahaya anak dara pergi tempat macam ni.” 
            Tengku Azura menatap wajah kacak itu sepuas hatinya. “Zura tunggu kawan ambil,” balasnya bersulam senyuman manis.   
            Darling...” panggil satu suara garau lelaki.
            Tengku Azura terus meluru dalam pelukan kekasihnya itu.
            Zharif membundarkan matanya melihat lelaki Afrika, berkulit hitam legam dan berbibir tebal itu mengucup pipi Tengku Azura.
            Tengku Azura berpaling. Wajah Zharif ditatap sekilas. “Maaf. Zura harus pergi,” pintanya dalam senyum nipis dan beredar pergi.          
            Zharif tidak terkata apa. Hanya ekor matanya menghantar langkah gadis itu sehingga tenggelam dalam perut kereta Nissan Skyline. Apa sudah jadi?
*******
            “Laparnya perut”. Zawin menggosok perutnya. Kesibukan dalam menyusun modul subjek-subjek yang akan diajar pada semester hadapan, membuatkan dia lupa untuk makan. Peti sejuk dibuka. Zawin mengeluh hampa. Tiada bahan-bahan mentah yang boleh dimasak. Pantas tangannya mencapai kunci kereta, mencapai tudung hitam, menyarung sweater kuning dan melangkah keluar dari bilik. Dia malas mencari kedai makan, sudahnya hanya membeli nasi ayam panggang yang dijual ditepi jalan.
            Kembali ke rumah sewa, Zawin menikmati makanan yang dibeli. Walaupun rasa ayam panggang itu agak pelik, dipaksa juga masuk ke dalam mulutnya. Mungkin sahaja kerana tekaknya yang sakit. Makanan itu hanya dimakan separuh lalu ditinggalkannya Menyedari diri yang keseorangan di rumah, Zawin benar-benar terasa sunyi. Benarkah manusia akan lesu tanpa cinta? Cinta itu apa sebenarnya? Tiba-tiba sahaja laut fikirnya mula menerawang, memikirkan erti cinta yang berbagai-bagai. Ada yang menyatakan cinta itu penyatuan dua hati menjadi satu. Ada juga menyimpulkan cinta itu dari mata turun ke hati. Apa pun erti cinta, baginya cinta adalah sebuah perasaan yang diberikan oleh Tuhan pada sepasang manusia untuk saling mencintai, saling memiliki, saling memenuhi, saling  mengerti. Cinta itu sendiri sama sekali tidak dapat dipaksakan, cinta hanya dapat berjalan apabila kedua belah pihak melakukan “saling” tersebut.
            Zawin memejamkan matanya. Wajah Zharif hadir dalam benak. Hatinya dipagut sayu. Lelaki itu ikhlas menawarkan cinta, namun dia takut akan melukakan hati lelaki itu jika rasa cinta itu hanya berada dipihak Zharif semata. Wajah Iskandar pula menerpa, menggantikan bayang Zharif. Rasa getar itu masih ada untuk lelaki itu, namun kebelakangan ini dia mula meragui sesuatu. Benarkah dia berkongsi blue moon yang sama dengan Iskandar? Mencari cinta sejati itu seperti mencari blue moon. Sukar ditemui. Sukar dicari. Jika begitulah, apakah selama ini dia belum berjumpa dengan blue moon yang sebenar? Argh! Fikiran yang mula berserabut, menyebabkan Zawin keluar ke ruang tamu, membuka televisyen. Puas menekan semua saluran televisyen, tiada yang menarik perhatiannya. Sudahnya Zawin membuka lap-top  lalu tenggelam seketika didunia maya.
            Menatap gambar-gambar majlis cukur jambul di laman sosial Facebook Anas, senyuman serta merta mekar dibibir. Najla dan Anas kelihatan sangat bahagia dengan kehadiran zuriat sulung mereka. Gerakan tangan Zawin terhenti pada tetikus apabila gambar seterusnya muncul. “Eh, bila masa pula mereka ambil gambar ini?” Zawin membundarkan matanya melihat komen-komen pada gambar yang diambil ketika mereka duduk bersebelahan menikmati makanan kenduri. Kebetulan mereka memakai pakaian warna yang sama, ramai yang membuat andaian mereka ada hubungan. Paling sadis ada yang mengatakan mereka pasangan pengantin baru. “Ish...ish...ish” Zawin menggelengkan kepalanya. Ingatannya melayang pada gambar-gambar candid wajahnya dalam telefon pintar Zharif. Iskandar pun tidak pernah menjadikan gambarnya sebagai wallpaper telefon tetapi Zharif...
            Zawin mengurut dadanya apabila nada dering detective conan berbunyi tiba-tiba. Terasa luruh jantungnya seketika tadi. Melihat nama Zharif pada skrin I-Phone, Zawin mencemberutkan bibirnya. Kenapa selalu terjadi begitu? Pada saat dia teringatkan lelaki itu, pasti Zharif muncul tanpa disangka.
            “Zawin...esok temankan Zharif main squash boleh?”
            Zawin memikirkan cadangan lelaki itu sejenak. “Boleh juga,” putusnya. Memang sudah lama dia tidak bermain permainan itu.
            “Pagi atau petang?”
            “Mana-mana pun boleh.” Zawin menutup lap-top , lampu dan merebahkan badan di atas tilam.
            “Zawin...” panggil Zharif dalam suara romantis. 
            “Ya.” Zawin menguap beberapa kali. Lain macam rasa mengantok malam ini. Desis hatinya.
             “Zawin...” panggil Zharif lagi.
            “Ya...” sahut Zawin dalam mata terpejam.
            Zharif tergelak dihujung talian. “Suka dengar...”
            “Apa?” Zawin menguap lagi.
            “Tak ada apa. Ok. Tidur la ya. Assalamualaikum.”
            Zawin malas memikirkan maksud kata-kata lelaki itu. Matanya terasa digam. Sekejapan dia terlena.  
           

3 awesome commentator:

  1. assalamualaikum maira,

    nk panggil maira gak la.. hahaha.. ok, terapi air.. bottommmmmm skalii.. puas ati bacoo.. hehe... nway, thanx a lot dear.. rili nid dat.. huhu.. hormon2 tuu.. kene t8 time nk stady.. hek4.. sila sambung.. hehe..

    ReplyDelete
  2. best cite nie..de bnyk pengajaran yg bleh di wat panduan..cpt2 sambung n3 yg seterusnya..hehe

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top