BAB 28

            Zharif San. Dare ka ga anata ni aitai.”
            Zharif berhenti daripada mengepal nasi sushi lalu menatap wajah gadis jepun dalam kimono merah itu. Siapa pula ingin bertemu dengannya? “Dare?”
            Shirimasen.
            Zharif menggaru kepala yang tidak gatal. Gadis jepun yang telah berkhidmat selama dua tahun di restoren itu juga tidak mengenali gerangannya.
            Utsukushii josei.” Tambah gadis jepun itu lagi.
            Zharif mengangkat keningnya. Wanita cantik mana pula? Jika Vivien, mustahil stafnya itu tidak mengenal sepupunya itu. Siapa pula ni? Desis hatinya. Apron dan topi terus ditanggalkan lalu menapak ke ruang makan pelanggan.  
            “Hai,” tegur Yasmin dalam senyum manis.
            Zharif berdehem sekali. Tidak terlintas langsung difikirannya wanita ini yang mencarinya. “Kenapa datang ke sini?” soalnya dalam air wajah serius.
            “Tak boleh ke?” soal Yasmin dalam wajah sayu.      
            “Erm...niat diragui,” ujar Zharif selamba. Hatinya diserang rasa pelik melihat wanita itu mengenakan baju kurung Kedah dengan padanan warna hijau lumut dan merah jambu bertabur bunga sulam emas. Seingatnya, Yasmin tidak pernah dilihatnya mengenakan pakaian melayu tradisional selama mengenali wanita itu.
            Yasmin berdiri tiba-tiba. Dia memusingkan tubuhnya lagak model yang menggayakan pakaian. “Cantik tak? Ok tak pakai macam ni?”
            Zharif berpeluk tubuh, memincingkan pandangan. “Untuk apa tanya pendapat Zharif?”
            “Kan Zharif tak suka baju yang Min selalu pakai. Itu sebab Min cuba ubah. Ikut citarasa Zharif. Ok tak?” Yasmin memusing-musingkan tubuhnya lagi.           
            “Datang sini...semata-mata nak tunjukkan ini sahaja?” perli Zharif.
            “Salah ke?”
            Zharif berdehem lagi. “Kalau tak ada apa-apa, Zharif nak masuk dalam dulu. Assalamualaikum.” Zharif terus mengorak langkah.
            I love you!” ucap Yasmin dengan nada kuat. Dia tidak menghiraukan pandangan pelik pelanggan-pelanggan lain.
             Zharif menahan pijar pada wajahnya. Dia terus berpaling semula dalam wajah keruh. Wajah selamba Yasmin ditatap tajam. “Don’t you ever say that word!” ujar Zharif dengan tegas.
            Yasmin mendekatkan wajahnya. “I do. I really meant it. I really love you,” luahnya penuh perasaan. Wajah kacak itu ditatap penuh nafsu. Bau minyak wangi lelaki itu membuatkan keinginan untuk memiliki Zharif semakin meluap-luap.
            Zharif ketawa sinis. “Really?” 
            Yasmin mengangguk bersungguh. “Please give me a chance,” rayunya dalam suara manja.
            Why should I?”
            I’ll loving you till the end of time. Please?” Yasmin masih tidak jemu untuk merayu.
            Zharif menghela nafas panjang-panjang. Wajah serius wanita itu betul-betul mengejutkannya. “I was made is not to be your man. Please stay away from me.”
            “Beri peluang pada Min. Enam bulan. I’ll prove myself that I can be your good lover.” Yasmin masih mencuba. Dia tidak kisah. Lelaki ini perlu dimiliki biar apa cara sekalipun.
            Zharif mengetap bibir. Dia benar-benar tidak sangka Yasmin boleh mengujarkan sehingga ke takah itu. “Yasmin...jumpa saya di luar,” arahnya setelah puas menahan merah diwajah apabila ramai pelanggan memberikan perhatian pada mereka. Kakinya melangkah menuju ke pintu keluar.
            I miss you so much!” bisik Yasmin penuh perasaan sebaik menghampiri Zharif yang membelakanginya. Badan tegap dengan otot sasa itu kelihatan sangat seksi pada pandangannya. Tanpa amaran dia memeluk lelaki itu dari belakang.
            Zharif diserang rasa terkejut amat. Spontan dia menyentap kedua tangan wanita itu yang kuat memeluk tubuhnya. “Apa ni Yasmin? Dah gila ke?” Zharif menjegilkan matanya dalam rasa marah. Mujur dia memilih tempat yang agak tersorok di luar restoren itu, jika tidak pasti malu dibuatnya.
            “Jangan layan Min macam ni Zharif. Min  betul-betul cintakan Zharif,” rayu Yasmin lagi sambil cuba memeluk tubuh lelaki itu lagi.
            Zharif menepis seboleh mungkin. “I warning you, Yasmin. Jangan sampai saya berkasar dengan awak,” ugutnya dalam nada tegas.
            Yasmin terus mematikan usahanya untuk memeluk lelaki itu lagi sebaik menatap sinar mata lelaki itu. Dia tidak suka lelaki itu memandangnya seolah-olah dia satu ancaman. Dia ingin melihat sinar mata lelaki itu yang lembut dan sentiasa bening tatkala memandangnya sebagaimana suatu ketika dahulu. “Zharif...kenapa sukar sangat nak buka hati untuk Min? Min tahu Zharif bukan gay. Zharif lelaki normal. Kalau Zharif nak Min berubah, Min sanggup berubah ikut kehendak Zharif. Katakan saja Zharif...” rayunya lagi bersungguh.  
            Zharif menarik nafas dalam-dalam. Berdepan dengan karenah perempuan sebegini memang meletihkan. Buntu akalnya mencari cara untuk membuatkan wanita ini faham. “Yasmin...dengar sini baik-baik. Lelaki...suka memburu dan bukan diburu,” ujarnya tenang.
            “Tapi Zharif tak memburu Min ,” pintas Yasmin.
            “Sebab saya tak ada niat untuk memburu awak,” balas Zharif pantas.
            Yasmin terdiam. Wajah kacak itu ditatap semahu hatinya. Dia benar-benar tidak dapat menerima penolakan Zharif. Tidak pernah dalam hidupnya, lelaki menolak tawaran daripadanya.
            “Sebab itu...jangan buru lelaki yang tidak ada niat untuk memburu,” jelas Zharif lembut.               “Kalau begitu, macam mana Min nak buat supaya Zharif buru Min?”
            Zharif meletakkan tangannnya pada dada. “Hati Zharif sangat sukar disentuh apatah lagi dipegang oleh mana-mana perempuan. Hati Zharif kata...Yasmin bukan pemilik hati ini. Jadi, mana mungkin Zharif akan memburu Yasmin.”
            “Siapa? Siapa gadis yang memegang hati Zharif?” soal Yasmin sambil mengetap bibirnya. Kedua buku tangannya digenggam kuat. Dia yakin lelaki ini masih solo. Jika dahulu dia mengesyaki hubungan antara Zawin dan Zharif, namun tidak lagi selepas meyakini gadis itu telah bahagia bersama doktor perubatan yang pernah ditemuinya dahulu.
            Zharif menatap wajah Yasmin dengan penuh sangsi. “Kenapa? Min nak ugut Zharif sama seperti dulu?”  
            “Memang! Kalau Min tak dapat Zharif, jangan harap perempuan lain dapat miliki Zharif!” jawab Yasmin berapi-api.
            Zharif menggelengkan kepalanya. “Sampai bila Min nak hidup begini?”
            “Sampai Min miliki Zharif!”
            “Hati Zharif Zahir bukan untuk Yasmin. Nokhtah!” ujar Zharif tegas.
            “Bagi Min peluang. Min mampu buat Zharif jatuh cinta dengan Min.”
            Stop it Yasmin!” Zharif sudah mula hilang sabar. “Ini bukan perkara main-main. Kenapa u nak buatkan hidup sengsara dengan mengejar bayang-bayang?”
            “Min tak main-main kali ini,” jawab Yasmin bersungguh. 
            “Apa sebab Min kahwin dengan Wan Zaidi dulu? Cuba cakap,” cabar Zharif.
            “Jodoh dah sampai. Kahwin sahaja la.”
            “Bohong! Min kahwin sebab harta dia bukan?” Zharif memincingkan pandangannya.
            “Err...mana ada!” balas Yasmin sedikit gagap.
            “Sebab itu Zharif takkan sesekali beri ruang. Ingat Yasmin, wanita yang meminta cerai pada suami yang baik, tidak akan bahagia biarpun berkahwin berkali-kali selepas itu. Lebih baik Min pergi minta ampun dengan Wan Zaidi sebelum terlambat,” nasihat Zharif dengan tegas. Sudah lama dia ingin berkata begitu pada Yasmin.
            Why should I? Kami dah bercerai dan tiada apa-apa ikatan lagi.”
            “Kalau Min ingat dosa dah tak ada dengan Wan Zaidi, memang silap! Min curang dengan dia! Tak mustahil Min boleh buat benda yang sama untuk perkahwinan seterusnya,” hujah Zharif lagi.
            “Zharif...Mn datang sini bukan nak dengar ceramah. Min perlukan Zharif.” Yasmin cuba memeluk Zharif sekali lagi.
            Zharif tiada pilihan lain lalu sepantas kilat jarinya mengunci leher wanita itu. Sebaik Yasmin tidak sedarkan diri, tubuh itu terus rebah. Cekatan tangannya menyambut kepala wanita itu sebelum terhempas di atas simen. Telefon pintar dari dalam poket seluarnya dikeluarkan lalu mendail satu nombor. “Datang ke restoren.Ya. Sekarang. Ada hal yang harus diuruskan.”
*******
           
            “Saya pilih tutup air di bilik air.”
            Zawin mengangkat keningnya. “Then?
            Ridwan tersenyum lebar. “Buka pintu.”
            “Oh...begitu?” Zawin menatap tajam wajah lelaki berkumis nipis itu. “Saya akan berhenti kerja minggu depan,” ujarnya tiba-tiba. Sengaja ingin menguji lelaki melayu berbaju kemeja biru itu.
            “Kenapa? Tak sayang ke kerja tu?” soal Ridwan dalam dahi berkerut seribu.
            “Malas. Bosan.” Zawin memainkan sudu dalam mangkuk berisi kuah tomyam.
            “Kenapa pula boleh jadi macam tu? Perempuan sekarang harus ada kerjaya, pegang duit sendiri,” komen Ridwan.
            “Untuk apa?” Zawin berpeluk tubuh.
            “Status. Semua orang nak kan status dalam masyarakat. Kerjaya professional, pendapatan tinggi. Suami yang bekerjaya akan lebih dihormati bila membawa isteri yang sama status dalam mana-mana majlis,” hujah Ridwan bersungguh.
            Zawin malas untuk membalas kata-kata itu. Lagi pula lelaki dihadapannya ini  memang tidak setanding Iskandar dalam semua segi. Rambut lelaki ini tidak selebat Iskandar. Bibirnya tidak semerah Iskandar. Janggut di bawah dagu itu tidak serapi janggut Iskandar. Dia tidak tahu mengapa setiap lelaki yang dijumpainya pasti akan dibuat perbandingan dengan Iskandar. Kuah tomyam didalam mangkuk ditatap lama. Ada wajah Iskandar muncul di situ. Zawin mengetap bibir. Benar kata Zharif. Minda, hati dan matanya hanya nampak wajah lelaki itu ke mana sahaja dia pergi.
            “Jangan berhenti kerja ya?” pujuk Ridwan.
            “Kenapa? Awak nak kahwin dengan saya ke?” soal Zawin dengan malas. Kuah tomyam dihirup perlahan.
            “Ya. Saya sukakan awak,” luah Ridwan bersungguh.
            Zawin tersedak mendengar luahan itu. Kuah tomyam yang pedas memasuki rongga hidungnya. Dia terbatuk-batuk kecil. Cepat-cepat dia mencapai jus tomato. Tisu dicapai lalu mengesat air yang keluar dari mata.
            “Err...awak ok?” tegur Ridwan dalam rasa bersalah.
            Zawin mengangguk dalam segan. Pada saat dia cuba mengawal rasa perit dalam rongga hidung, telinganya menangkap sebuah lagu dari peti televisyen restoren Thailand itu. Lagu itu? Mata Zawin terus mencari arah sasaran. Video klip lagu kebahagiaan dalam perpisahan itu ditatap tanpa berkelip. Wajah penyanyi lelaki berbaju putih itu direnung sayu. Tanpa sedar air matanya mengalir lagi. Zawin menunduk, menyeka air mata di pipi.
            “Err...sakit sangat ke?” soal Ridwan prihatin.
            Zawin mengangguk. Ya. Hati dan jiwanya benar-benar sakit.
            “Nak saya hantar ke klinik?”
            Zawin menggeleng. Tas tangan dicapai lalu disarung ke bahu. “Maaf. Saya...nak balik,” beritahunya lalu menapak laju ke arah kereta kelisa kuning. Dia tidak peduli dengan lelaki bernama Ridwan Ramli itu. Lagi pula, lelaki itu yang menggesanya berulangkali untuk keluar bersama. Dia bersetuju hanya semata-mata untuk mengelakkan dirinya berfikir tentang Iskandar tetapi lain pula yang jadi. Bayangan lelaki itu seakan menghantui kemana sahaja kakinya melangkah. Sungguh dia benci dengan dirinya sendiri.
            Pedal minyak ditekan keras beberapa kali sepanjang menyelusuri lebuhraya. Apabila terasa segala kudratnya lupus, akhirnya Zawin mengalah. Kereta Kelisanya tersadai dibahu jalan.    Lama Zawin menyandarkan belakang kepala pada kerusi dalam mata terpejam. Bayang Iskandar ternyata menghambat setiap inci laut fikirnya. Matanya dibuka kembali. Cekatan tangannya mencari I-Phone dari dalam tas tangan. Nombor lelaki itu dicari lalu mula mendail. Panggilan itu disambut namun tiada suara yang menyapa. Zawin turut mendiamkan diri. Helaan nafasnya sahaja yang didengari ketika ini.  Degup jantungnya benar-benar menyesakkan dada.
            “Hai...”
            Mata Zawin membundar luas saat suara macho itu ditangkap halwa telinganya. “Err...hai,” sahutnya kembali.
            “Sihat?”
            Zawin tersenyum pahit. Nada suara lelaki itu kedengaran teruja dan gembira. “Ya. Is pula?”
            “Sihat...”
            Zawin menghela nafas pendek. “Selamat harijadi...” ucapnya setelah seketika membisu.
            “Terima kasih. Ingat juga harijadi pa...”
            Zawin mengetap bibirnya. Suara sayu lelaki itu menggetarkan nalurinya apatah lagi Iskandar masih menggelarkan diri dengan panggilan itu.  Lama mereka membisu sebelum Zawin bersuara kembali. “Ada...apa-apa yang pa nak cakap lagi?”
            “Tak ada...”
            Zawin mengetap giginya. Tangannya mencengkam kemas I-Phone. “Ok. Semoga panjang umur. Murah rezeki. Assalamualaikum.” Zawin terus mematikan talian. Hatinya benar-benar bengkak dengan lelaki itu. Belum sempat dia meladeni emosinya yang libang libung, satu panggilan masuk dengan nombor asing tertera pada skrin I-Phone. Kedua keningnya bertaut. Siapa pula ini? Desis hatinya. Panggilan itu mati. Namun tidak lama kemudian, nombor yang sama masih tertera pada skrin. Cekatan Zawin menyambut panggilan itu.
            “Awak ni Zawin kan?  Jangan ganggu Wan lagi!”
            Zawin terperangah. Tak ada angin, tak ada ribut dia diserang begitu. Suara perempuan itu kedengaran benar-benar marah. “Eh cik kak. Tak reti beradab ke? Cuba bagi salam dulu. Daripada mana dapat nombor saya? Apa masalah awak ni? Wan mana pula?”
            “Amboi. Nak nasihatkan saya pula. Kura-kura dalam perahu. Buat buat tak tahu. Dengar sini ya. Jangan dekati Ridwan Ramli. Dia boyfriend saya! Kalau tak, siap awak saya kerjakan. Faham!” Talian terus dimatikan.
            Damn it!” Zawin tidak dapat mengawal rasa marah. I-Phone dicampak sekuat hatinya ke bawah lantai kereta. Berderai isi telefon pintar itu. Wajah Iskandar terlayar di ruang mata kemudian berganti wajah Ridwan. Luahan perasaan lelaki itu sebentar tadi membuatkan dia benar-benar jengkel. Rupanya sudah ada teman wanita namun masih mahu bermain cinta! “Lelaki Gemini memang tak guna!” jeritnya sekuat hati.
*******
            “Jumpa lagi bulan depan.” Nabil bersalaman dengan Nawar, Jason, dan Azhar. Tiga sahabatnya itu ingin beransur selepas parti orang bujang tamat di banglo dua tingkat miliknya. Itu janji mereka selepas tamat pengajian dahulu yang mereka akan tetap berjumpa sebulan sekali. Biarpun dia sudah berkahwin, namun dia sering menyertai parti rakan-rakan yang semuanya masih bujang. 
            “Kau pun dah nak balik?” tegur Nabil sejurus melihat Zharif mencapai kot hitam.
            Zharif mengangguk. “Dah pukul satu pagi. Lewat dah ni.”
            “Tunggulah dulu.” Nabil menahan. “Tolong aku kemas semua ni,” pintanya sambil mengemaskan pinggan dan cawan kertas yang kotor.
            Zharif akur lalu meletakkan kot hitam semula. “Widuri mana? Aku tak nampak pun,” tegur Zharif sambil tangannya lincah mengemaskan apa yang perlu. Puas dia mencari wajah isteri doktor perubatan itu namun wanita itu tidak muncul sejak parti diadakan pada jam lapan malam.
            “Nanti aku cerita,” balas Nabil lambat-lambat.
            Zharif menatap sekilas wajah Nabil. “Ke kau dah hantar Widuri balik ke rumah orang tua dia semata-mata nak buat parti di rumah kau ni?” Seloroh Zharif diselangi tawa kecil. Biasanya mereka berkumpul di rumah Nawar namun Nabil menawarkan rumahnya pada perjumpaan kali ini.   
            Nabil mengukir senyum tawar. “Kita kemas dulu,” sarannya sambil memasukkan pinggan kertas yang telah dikumpulkan ke dalam plastik hitam.
            “Ok.”Zharif akur lagi. Dia sebenarnya malas untuk melepak lagi pada waktu ini namun dia tahu Nabil ada masalah dan memerlukannya. Air muka Nabil jelas keruh. Gelak tawanya semasa mereka berkumpul kelihatan seperti dipaksa-paksa.
            Usai mengemas, Zharif berdiri di balkoni, menatap bulan purnama didada langit. Maha suci Allah. Bisiknya didalam hati. Wajah Zawin muncul disitu. Zharif menghela nafas dalam-dalam.
            Nabil membawa dua mug hitam berisi kopi panas ke balkoni lalu meletakkan di atas meja kayu. Matanya turut menatap bulan purnama di dada angkasa raya. Kemudian pandangannya dikalihkan pada rakan yang pernah bersama menuntut di Ireland dahulu. Zharif seakan tidak menyedari kehadirannya malah kusyuk merenung bulan purnama. Apakah Zharif sedang merindukan seseorang? Seingatnya, Zharif tidak pernah bercerita tentang perihal hati apatah lagi hal perempuan. Biasanya Zharif lebih gemar bercerita tentang hal-hal semasa. Perlahan dia mendekati rakannya itu. “Kopi?” Nabil menghulurkan mug kepada Zharif.
            Thanks.”Zharif tersenyum nipis lalu menyambut mug hitam itu. Kopi yang masih berasap dibiarkan seketika lalu kembali merenung bulan.
            “Apa nama perempuan itu?” tegur Nabil selamba.
            “Zawin.” Zharif menjawab spontan. Dia terperangah apabila menyedari kesilapan diri. Matanya menatap sekilas senyuman penuh makna rakannya itu. “Err...perempuan mana pula?” soalnya kembali seraya berdehem sekali.
            Nabil menghirup kopi perlahan. “Perempuan yang kau lihat wajahnya di bulan.”
            Zharif ketawa kecil, berusaha menyembunyi gabra. Selagi boleh, dia tidak mahu bercerita tentang perihal hati. “Kau tahu kan...aku tidak berminat dengan perempuan,” balasnya tenang.
            Nabil tersenyum lebar. “Dan aku tahu juga kau bukan gay.”
            Zharif ketawa lagi. Dia tahu Nabil sedang memancing ceritanya.
            “Di mana dia tinggal?” soal Nabil lagi.
            “Siapa?”
            This...Zawin.” Nabil mengangkat keningnya. Kopi panas dihirup lagi.
            Zharif menjuihkan bibirnya. “Kau ni banyak sangat tengok cerita cinta.”
            “Zharif...aku kenal kau. Nama yang kau sebut tadi, pasti nama yang sentiasa bermain di minda kau. Oh ya. Aku tahu dimana Zawin tinggal.” Pancing Nabil.
            Zharif mengerutkan keningnya. Wajah Fuad terlayar di laut fikirnya. Tak mungkin Fuad yang menyampaikan perihal Zawin pada Nabil. Rahsia peribadinya sedikit sebanyak memang ditangan Fuad dan setakat ini tidak kedengaran kisah hidupnya dijaja orang. Dia memang yakin terhadap sifat amanah Fuad. Wan Zaidi dan Zulhelmi pula antara rakan rapat yang turut dipercayainya. “Err...dimana?” soalnya semula sambil merenung dalam-dalam wajah Nabil.
            Nabil tersengih nakal lalu meletakkan tapak tangannya di dada Zharif. “Dalam hati kau.”
            Zharif menahan merah diwajah. Dia tidak mampu membalas kata-kata itu. Air kopi dihirup perlahan.
            “Tengok...kau tak terkata apa. Betul la kan?” Nabil ketawa besar. Seakan meraikan sebuah kemenangan.
            Zharif hanya mampu tersenyum. Dia tahu tidak guna berselindung lagi.
            How is she?” soal Nabil tidak jemu ingin mengorek rahsia hati Zharif.      
            Zharif tersenyum lebar. “Dia hiasan dunia terindah,” balasnya penuh perasaan.
            “Wah...kau sedang dilamun cinta la ni.” Nabil menepuk bahu Zharif.
            Zharif menjungkitkan bahunya sambil terus menghirup kopi.
            “Apa masalahnya?” soal Nabil lagi.
            Zharif menghela nafas dalam-dalam. Dia berpaling menatap wajah tenang Nabil. “Eh, aku baru perasan. Muka kau penuh jambang. Serabut aku tengok. Kau yang ada masalah kan?” Zharif cuba mengalihkan topik perbualan.
            Nabil ketawa besar. “Kau pandai tukar topik.”
            Zharif turut tergelak. “Lama kau cuti?” soalnya pula.
            “Sampai esok. Lepas ni On call sampai hujung bulan. Kerja! Kerja! Hari hari kerja! Bosan betul,” luah Nabil.
            “Sebab itu aku lari awal-awal. Tak salah keputusan aku dulu kan? Ala...Kau kan banyak duit. Buka lah klinik sendiri. Kalau tak cukup duit, minta saja pada ayah kau tu,” saran Zharif bersungguh. Dia amat mengenali ayah Nabil. Dato’ Adam memiliki banyak cabang perniagaan. Harta yang keluarga mereka miliki takkan habis dimakan sampai tujuh keturunan pun. Banglo mewah dua tingkat itu juga adalah hadiah perkahwinan Dato’ Adam kepada Nabil.  
            “Tengoklah macam mana. Nak sambung belajar, aku malas.” Nabil merenung wajah Zharif dalam-dalam. “Kau tahu...kajian sains menunjukkan ada kimia-kimia yang terlibat dalam proses cinta.”
            Really? Then tell me.” Zharif menunjukan minat untuk mendengar hujah Nabil.
            ”Kimia Dopamine, Noradrenaline dan phenytalthylmine terhasil pada fasa hati mula suka. Ketiga-tiga istilah kimia ini sama dengan Amphetamine yang juga dikenali sebagai Speed, sejenis dadah merbahaya. Jadi kesannya hampir sama dengan Speed. Pada fasa ini berlaku seperti jantung rasa berdebar, makan tak lalu, tidur tak lena, peningkatan stamina...itu yang tak letih biarpun chatting sampai berjam-jam. Ada juga kesan gatal-gatal kulit, sangat tepat dengan istilah menggatal tu. Pendek cerita, hidup jadi serba tak kena. Kesan pada psikologi lebih kepada peningkatan kosentrasi, keyakinan, dan imsonia. Oh ya, juga peningkatan respons dan Euphoria yakni kita boleh tergelak sorang-sorang...”
            Zharif tergelak besar. “Lagi...lagi...” Dia betul-betul ingin tahu  hujah selanjutnya.
            Nabil tersengih. “Norepinephrine dan Dopamine sering dikaitkan dengan romantik. Manakala Phenytalthylmine atau PEA ini meransang orang yang sedang mabuk asmara jadi yakin, berani mencuba sesuatu yang baru dan membuat benda-benda pelik seperti lari dari rumah demi menunjukkan perasaan cinta yang membara kepada yang dikasihi. Kimia ini juga yang membuatkan senyuman orang yang dikasihi lebih memukau daripada senyuman orang lain.”
            Zharif tersenyum manis. Sejak dulu, senyuman Zawin sentiasa menghiasi laut fikirnya dan sehingga kini masih tidak ada senyuman yang bisa menandingi senyuman gadis itu.
            “Kau fikirkan Zawin bukan?” usik Nabil.
            Zharif tersenyum segan. Malas menafikan tebakan doktor perubatan itu. “Terus...apa terjadi jika seseorang putus cinta?” soalnya apabila wajah sayu Zawin di hospital dahulu menggamit ingatannya. Sinar mata gadis itu yang kian malap tidak sanggup dipandang lama-lama.
            “Ok. Bila cinta tidak kesampaian, kesannya amat parah kerana PEA akan serta merta berhenti dirembeskan. Sudahnya, orang yang putus cinta akan jadi tak tentu arah, resah, gelisah, panik dan kadang-kadang boleh jadi gila. Paling teruk sampai sanggup bunuh diri. Sama kesannya dengan penagih Speed yang tidak dapat stok.”
            Zharif mengurut bawah dagunya. Begitu rupanya. “Ada kimia-kimia lain yang terlibat dalam kisah cinta?”
            “Kau tahu sudah bukan tentang kimia-kimia ini semua?” Nabil mengangkat keningnya seiring senyuman penuh makna. “Maklumlah...kau kan bekas pelajar...”
            “Tak,” pintas Zharif. “Sungguh aku tak tahu. Aku cuma teringat satu artikel yang aku pernah baca tentang kimia Endorphins yang terhasil tatkala bercinta. Sebab itu aku ingin pengesahan daripada pakar seperti kau.”    
            Nabil tergelak besar. “Pakar la sangat. Ok. Memang ada kimia Endorphins yang terhasil apabila memasuki fasa cinta yang semakin mendalam. Itu pun selepas fasa PEA, Dopamine dan Noradrenaline sekitar 12-18 bulan. Otak yang telah lali dengan tiga kimia ini akan menghasilkan Endhorpins yang struktur bahan kimia semulajadi ini seakan morfin, dadah yang merbahaya. Sebab itu, apabila Endorphins ini dirembes, fungsinya sama seperti morfin yakni bertindak sebagai penstabil mood yang jauh lebih tinggi kesan ketagihannya berbanding PEA. Endorphins akan dirembes dengan banyak ketika disentuh. Jadi pasangan bercinta yang rajin pegang tangan, wajib hati-hati. Sangat merbahaya bila nafsu turut memainkan peranan. Lainlah kalau suami isteri. Pada fasa ini cinta membuatkan manusia menjadi buta apabila hormon Serotonin  dirembeskan. Kelemahan pasangan tak akan nampak biarpun sudah diberitahu kepadanya oleh orang terdekat. Kesan Serotonin  kepada seorang insan yang bercinta adalah sama seperti kesannya dalam obsessive-compulsive disorder. Sebab itulah mereka ini tidak boleh memikirkan orang lain. Hanya si dia sahaja yang ada ruang mata, fikiran mahupun jiwa. Biasanya kesan hormon Serotonin  ini akan pudar dalam tempoh dua tahun,” jelasnya panjang lebar.
            “Lamanya!” Getus Zharif tiba-tiba.
            “Itu minimum. Biasanya maximum tiga hingga empat tahun hormon Serotonin  ini akan pudar. Atas fakta ini jugalah, ramai berpendapat pesakit yang mengambil SSRI dan ubat-ubat antidepressant yang lain kurang mampu untuk jatuh cinta,” tambah Nabil lagi.
            Mata Zharif terbuka luas. “Betul ke? Err...tak ada cara lain ke untuk pendekkan tempoh kesan Serotonin ?”
            “Ada...”
            “Apa? Beritahulah.” Zharif benar-benar teruja.
            Nabil memincingkan pandangan. Dia tidak pernah melihat Zharif begitu teruja dengan perkara berkaitan cinta. “Jangan kata kau dalam fasa mengurat Zawin?”
            Zharif tersengih. “Beritahulah,” pintanya bersungguh.
            Nabil menepuk bahu Zharif. “Lelaki yang lebih bijak dan teliti, mencari masa yang sesuai untuk membuatkan usahanya lebih berkesan semulajadi yakni secara fisiologi. Tahu tak, wanita menunjukkan perasaan dan pergantungan kepada cinta dan rasa ingin disayangi lebih kuat pada waktu sekitar pengovulasian?”
            Zharif terpana. “Maksud kau dalam waktu kitaran haid berlaku?”
            “Apa yang kau ingat tentang kitaran haid wanita?”
            Zharif berfikir sejenak. Ilmu sains telah lama ditinggalkannya, namun dia mampu memanggil memori jangka panjang pada saat itu. “Seingat aku lah,  kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara puratanya 28-30 hari tetapi wanita masing-masing ada kitarannya sendiri. Ada 25 hari, ada yang lambat sampai 35 hari tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari. Itu yang aku ingat la,” balasnya tenang.
            Nabil mengangguk. “Betul tu. Fasa ini bermula pada hari pertama period. Hari pertama hingga keempat, dipanggil fasa pengeluaran haid atau menstruation. Then masuk hari ke lima sehingga tiga belas, ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Masuk hari ke empat belas, waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone atau LH. Kajian terkini mendapati LH-RF sejenis hormon yang dirembes untuk merangsang LH seterusnya merangsang pengovulasian, berfungsi seperti Serotonin  dalam hubungan lelaki dan wanita. Jadi, kau boleh tingkatkan usaha mengurat Zawin pada hari keempat belas period,” jelasnya panjang lebar.
            Zharif mengusap bawah dagunya berulangkali. Ekor matanya mengekori langkah Nabil yang beredar ke meja kayu. Dia turut mengambil tempat mendepani lelaki berdahi luas itu. “Maksud kau...pada waktu hari keempat belas, Zawin lebih mudah jatuh cinta pada aku?” soalnya bersungguh.
            “Ya. Terpulang pada cara kau nak ambil hati Zawin.”
            Zharif tersenyum lebar. Matanya bersinar penuh harapan. “Terima kasih Nabil. Ilmu yang kau beritahu aku malam ini, sangat bermanfaaat.”
            Nabil mengangguk dalam senyum manis. “Tentu Zawin tu hebat sampai kau jadi macam ni.”
            Zharif ketawa besar. “Widuri juga hebat bukan?” balasnya kembali.
            Air muka Nabil berubah keruh namun cuba disembunyikan dalam senyum pahit. “Kau tahu...pada waktu Endhorpins dirembeskan, pasangan bercinta akan merasa sehari tidak bertemu terasa sebulan, sebulan tak bertemu bagaikan setahun. Tapi kalau sudah bertahun-tahun asyik melihat, hati mula rasa meluat. Kesan Endorphins mula hilang, purata hanya bertahan empat bulan hingga empat tahun. Dulunya rindu bukan main. Sekarang mula mencari yang lain. Kerana itu ada pasangan mulai tidak merasa serasi lagi, hilang chemistry. Ada pasangan yang berkahwin pun hilang rasa hangat cinta yang pernah mereka alami,” ceritanya dalam suara perlahan.
            Zharif menatap lama wajah Nabil yang tiba-tiba berubah muram itu. “Kau ada masalah dengan Widuri?” soalnya hati-hati.
            Nabil terdiam lama sebelum bersuara. “Widuri keluar dari rumah. Dah tiga bulan.”
            Zharif hanya mengangguk.
            “Kami bergaduh besar. Entahlah. Banyak salah faham dan entah kenapa aku rasa dah tak serasi lagi,” cerita Nabil lagi.
            “Cubalah pujuk dia. Cari dia,” saran Zharif. Dia memandang simpati wajah rakannya itu. Padanlah dirinya kelihatan tidak terurus. Jambang yang meliar pada wajah itu menzahirkan derita dihati.
            Nabil menggeleng. “Aku banyak beralah selama ini. Kali ni aku tak nak beralah lagi. Sepatah aku cakap, seribu patah dia jawab balik. Hati aku banyak terluka dengan kata-kata dia. Aku perlukan isteri yang sentiasa ada untuk aku. Aku suruh dia berhenti kerja, dia marah aku balik. Aku mampu tanggung dia. Kerja aku dah sibuk begini, aku tak nak la dia sibuk juga. Entahlah. Serabut aku fikir tentang semua ini,” luahnya lagi.
            Zharif menghela nafas pendek. “Aku tak tahu nak kata apa. Cubalah kau jumpa kaunselor,” sarannya lagi.
            Nabil menggeleng. “Aku perlukan nasihat kau.”
            Mata Zharif membundar luas. “Kenapa aku pula? Aku belum pernah berkahwin apatah lagi ada masalah sebegini,” tukasnya.
            Nabil merenung mata bening rakannya itu. “Memang. Tapi aku tahu kau lelaki baik. Ilmu agama kau pun luas. Itu sebab aku harapkan nasihat daripada kau.”
            Zharif terdiam lama. “Insyaallah. Selagi mampu, aku akan tolong,” putusnya akhirnya.
            “Terima kasih.” Nabil menyandarkan belakang badannya sambil melarikan pandangan pada bulan purnama yang semakin hilang dibalik awan. “Kalau boleh, aku ingin unsur kimia Oxytocin dan Vasopressin mengikat hubungan kami, kekal bersama untuk tempoh yang lama sehingga nafas yang terakhir.”  
            Zharif mengerutkan dahinya. “Ada unsur kimia yang lain?”
            Nabil mengangguk. “Lebih spesifik Dopamine, Norepinephrine, dan Serotonin  terhasil pada fasa mengurat dan terpikat. Oxytocin dan Vasopressin pula dikaitkan dengan hubungan jangka masa panjang yakni apabila cinta dan kasih sayang sudah menebal. Unsur kimia ini yang mengikat pasangan bahagia hingga ke tua.”
            “Sila jelaskan,” pinta Zharif lalu membetulkan duduk. Memang tidak sia-sia dia menghabiskan waktu bersama Nabil malam ini.
            “Begini. Dopamine yang terhasil di kala bercinta berhubungkait dengan penghasilan Oxytocin, sejenis hormon yang diperlukan oleh ibu-ibu yang menyusukan. Oxytocin dirembes dgn banyak ketika aktiviti-aktiviti aktif seperti urutan. Sebab Itu, urut mengurut amat berbahaya bagi sesiapa yang tak nak jatuh cinta.”
            Zharif  ketawa besar. “Kalau macam itu, kena praktiskan urutan cakar harimau!“ selorohnya.
            Nabil tergelak. “Sebab itu urutan cakar harimau amat baik untuk pasangan suami isteri. Ha...sambung tadi.  Aktiviti-aktiviti lasak dan aktif ketika dating juga adalah salah satu cara yang baik untuk mengurat seperti roller-coaster...”
            Roller-coaster? Tak nak aku,” sampuk Zharif tiba-tiba. Dia benar-benar tidak suka dengan permainan itu.
            Nabil melampiaskan tawa besar. “Aku tak boleh lupa keadaan kau masa turun dari roller-coaster. Kau masih ada ketakutan pada benda-benda tinggi?”
            “Di darat itu lebih baik,” balas Zharif selamba. Baki kopi dalam mug dihirup sehingga kering.
            Nabil terus menghabiskan saki baki tawanya. “Sorry...sorry.” Nabil mengangkat kedua tangannya tanda mengalah. “Ok. Berita baik untuk kau sebenarnya. Unsur Oxytocin juga mengurangkan perasaan takut dan meningkatkan kepercayaan. Itu kualiti penting dalam percintaan. Mana tahu, selepas ini kau akan cuba pula bungee jumping?”
            “Di darat itu lebih baik,” ulang Zharif lagi.
            Nabil menahan tawanya. “Kajian juga menunjukkan Oxytocin melembapkan beberapa fungsi pembelajaran dan ingatan. Orang kata...angau. Begitulah lebih kurang. Hmm...tapi masih boleh dipertikaikan, sebab ada yang lebih berjaya dalam akademik bila bercinta cuma Oxytocin yang berlebihan akan membawa masalah,” tambahnya lagi.
            Zharif mengangguk beberapa kali. “Hormon yang satu lagi...untuk apa pula?”
            “Vasopressin. Unsur Vasopressin berlebihan menjadikan manusia agresif dan cemburu keterlaluan. Sebaliknya, kekurangan hormon ini menjadikan manusia mata keranjang. Yang satu mahukan dua. Yang dua mahukan tiga. Yang tiga mahukan empat. Yang empat mahu semua. Sudahnya, they lived happily ever after, separately. Begitulah proses cinta dalam kisah cinta yang agung,” cerita Nabil penuh perasaan dalam mata terpejam sambil mendepangkan tangan.
            Zharif ketawa separuh terpingkal melihat reaksi rakannya itu.
            Nabil menjungkitkan keningnya dalam tangan memanggung dagu menatap wajah Zharif yang sudah bertukar merah. “Ceritalah tentang Zawin,” pintanya.
            Zharif berdehem beberapa kali. Menyibak rambut yang terjuntai didahi lalu menatap wajah Nabil. “Tersebutlah kisah...” Zharif melagukan syair itu dengan penuh perasaan.
            Nabil yang sudah naik geram dengan Zharif terus mencekik leher Zharif.
            “Ampun...ampun...”
*******
            “Ramai orang yang menemui ALLAH dan mencari ALLAH ketika dia sedih dan tak ramai orang yang mencari ALLAH ketika dia gembira. Walaupun kita tidak disuruh mencari sedih,  tapi sedih berjaya membawa orang berjumpa ALLAH. Walaupun kita disuruh menyebut Allahumma inni waauzibika minal ham nil wal hazan, Ya ALLAH aku pohon perlindunganMu daripada dukacita terhadap perkara yang nak datang dan dukacita terhadap perkara yang menimpa kita, tapi dukacita selalu berjaya membawa manusia berjumpa dengan ALLAH. Ramai orang yang bukan kaki masjid tetapi datang ke masjid kerana ada perkara yang mendukacitakannya. Ramai orang sombong, tunduk kepada ALLAH kerana peristiwa yang mendukacitakannya. Jika tak kerana ALLAH mencampakkan rasa dukacita itu, mungkin dia mati sebagai ahli neraka. Tapi ALLAH dengan kesantunannya, dengan kelunakanNya, DIA bawa hambaNya daripada peristiwa ke peristiwa, kejadian demi kejadian sehingga apabila insan itu dirahmati, dia dapati tiba-tiba hari ini dia menyebut...Ya ALLAH, kasihanilah aku. ALLAH akan sentiasa mengenakan dukacita kepada manusia antara kecil dan besar supaya dia kembali kepada ALLAH dan bila dia balik ke akhirat kelak, dia menyebut segala puji bagi ALLAH yang telah menghilangkan daripada kami dukacita.”
            Zafwan menatap wajah tenang ibunya juga wajah sendu adiknya. Dia membetulkan duduk lalu kembali menyambung kuliah selepas solat maghrib berjemaah. “Bila insan berdukacita, maka insan mula bertanya, apa yang dia harus dibuat? Pertama, apabila berdukacita, dia kena beramal dengan amalan yang soleh. Apabila solat, keadaan kita berbeza. Ada hari bila kita solat, kita rasa dekat dengan ALLAH. Ada hari kita solat, kita pun tak ingat kita baca apa. Ada hari kita baca Quran kita rasa dekat dengan ALLAH. Ada hari kita bangun tengah malam, kita rasa kusyuk menghadap ALLAH. Ada malam sunyi kita bangun tetapi merewang fikiran kita. Untuk dekat dengan ALLAH, memerlukan jiwa, hati nurani yang dekat dengan ALLAH. Kadang-kadang banyak perkara tidak dapat dibawa insan kepada ALLAH, namun kesedihan mampu membawanya kepada ALLAH.”
            Air mata Zawin sudah mengalir laju. “Tetapi mengapa dukacita ini terlalu perit untuk dihadapi?” soalnya lalu merebahkan kepala di atas riba ibunya.
            Zafwan menghela nafas pendek.
            “Kenapa Zawin cintakan dia sangat? Kenapa sakit sangat luka ini?” adu Zawin lagi. Air mata dipipi dikesat menggunakan hujung  telekung sembahyang yang masih tersarung pada tubuhnya. Air matanya mengalir lagi buat kesekian kalinya.
            Puan Dahlia membelai kepala anak gadisnya itu. “Ada sebab semua ini berlaku. Kita sebagai hamba tidak tahu perancangan ilahi tetapi Zawin yakinlah dukacita ini juga petanda terbaik untuk diri dan kehidupan pada masa akan datang,” nasihatnya lembut.
            “Petanda? Bagaimana?” soal Zawin. Air mata dipipi disapu berulang kali.
            “Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya apabila kita bertemu jodoh yg sebenar, masih ada rasa syukur kita pada ketentuanNYA. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat menjadi penilai yang baik. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat kasih sayang yang terbaik, khas untuk diri kita,” nasihat Puan Dahlia.
            Zawin menangis tersedu-sedu usai mendengar kata-kata itu.
            Zafwan menggenggam tangan kanan adiknya. Kemudian dia menyambung kata-kata ibunya. “Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa ALLAH Maha Pemurah dan Penyayang kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi manusia yang hebat jiwanya. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa cinta yang terbaik hanya bersama ALLAH. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih mengenali kehidupan yang tidak selamanya kekal. Zawin harus sedar, kehidupan kita semakin sampai ke penghujungnya. Hari esok pun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Percayalah, rasa dukacita, rasa cinta, rasa rindu pada manusia pasti akan sirna jua. ALLAH maha tahu apa yang terbaik untuk hambaNya,” tambahnya lagi.
            Zawin terus menangis. Dia melepaskan segala rasa sengsara diriba ibunya semahu hatinya. Apabila tangisannya telah reda, dalam suara serak dia bersuara. “Mak sangat baik, tapi mak berjodohkan lelaki yang tak baik. Abah tinggalkan mak kerana perempuan lain. Abah bertukar perempuan silih berganti. Zawin malu mak...bila abah kahwin dengan kawan baik Zawin sendiri. Kadang-kadang Zawin terpikir, apa kebenaran surah An-Nur? ALLAH S.W.T mengatakan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, tapi kenapa ramai perempuan baik berjodoh dengan lelaki jahat?” Zawin pantas bangun, duduk mendepani ibunya.
            Puan Dahlia menggelengkan kepalanya. Wanita itu tersenyum lembut. “Janji ALLAH S.W.T itu benar Zawin. ALLAH S.W.T tidak pernah mungkir pada janji-janji-Nya. Zawin tahu kenapa mak cakap macam tu? Ya...mak cintakan abah. Dia lelaki pertama yang mak cinta. Kalau Zawin nak tahu, abah Zawin dulu...dia lelaki yang sangat baik. Akhlaknya, agamanya, ilmunya benar-benar baik. Kemudian benih cinta kami lahir. Zafwan dan Zawin melengkapkan cinta kami. Mak sangat bahagia. Namun…abah tiba-tiba berubah daripada lelaki yang sentiasa baik…bersikap lemah lembut, bertukar kepada kaki perempuan dan mengabaikan tanggungjawabnya. Seolah-olah sifat baik yang ada telah habis digunakan. Telah tamat tempohnya. Apabila sifat baiknya itu telah hilang, Allah S.W.T memutuskan jodoh kami. Ya, benarlah janji ALLAH S.W.T sebagaimana yang dinyatakan ALLAH S.W.T dalam surah An-Nur itu,” terang Puan Dahlia panjang lebar. Matanya menatap wajah puterinya itu yang  termanggu sendiri selepas mendengar penjelasannya. Tangan Zawin dicapai. Diramasnya lembut. “Percayalah pada janji ALLAH S.W.T. Pasti ada seribu macam hikmah disebalik  kejadian yang mendukacitakan insan.”
            Zawin menatap langit malam yang kelam. Sekelam hatinya saat ini. Wajah Daniel Iskandar muncul pada segenap ruang yang dilihatnya. Matanya dipejam erat-erat. Berharap wajah kacak itu tidak menghantui laut fikirnya namun dia gagal juga. Nafas dihela dalam-dalam. Dia tahu, telah tiba masa untuknya melupakan lelaki itu. Dia sedar akan perlunya membuat kaedah terapi air yang disarankan abangnya. Perlahan dia bangkit daripada kerusi malas, lalu melabuhkan punggung di atas tilam. Botol mineral berisi air zam-zam dicapai, dibuka penutup lalu dituang ke dalam sebiji gelas jernih. Zawin mendekatkan gelas itu dekat dengan bibirnya dan  membaca surah Al-fatihah sebanyak tujuh kali lalu menyeru perlahan.
            “Wahai air...kau makhluk ALLAH yang hidup, wahai air...kau makhluk ALLAH yang sentiasa patuh kepadaNya. Kerana itu wahai air, bantulah aku melupakan lelaki bernama Daniel Iskandar, matikan perasaan cinta padanya dalam lubuk jiwa ini, hilangkanlah bayangannya dari minda ini dan berilah kesembuhan pada jiwa ini daripada rasa dukacita. Amin.”


5 awesome commentator:

  1. best ya , banyak pengajaran di dalamnya.

    ReplyDelete
  2. sedih la n3 kali nie..x sbr nk tau kesudahan cite nie..dpt bnyk pengajaran dlm cite nie..x sbr tnggu next n3..:)

    ReplyDelete
  3. Salam kak maira.
    Ni eija kak @ cbox
    Akhrny kak maira smbung jgk..
    Best n sgt tacing..!!!
    Like3..
    Zharif..ade lg ye llki cm dy..huhu
    K kak maira..byee..

    ReplyDelete
  4. ASSALAMUALAIKUM tuan tanah..

    sweet.. p mmg lama lg la kn nk tggu zawin n zharif kawen.. hehe.. bila dekat x dihargai.. bila jauh bru nk carii.. kebenaran mmg pahit utk ditelan.. p 2 la.. life must go on..
    sila sambung cepat keyh..haha...

    ReplyDelete
  5. kekadang hangen plak rasa ngan zawin niii.. eiii

    sian zharif.. tabahla yer

    ~m.a~

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top