BAB 41

            “Gitar Zawin? Zawin pandai main gitar?” soal Zharif tidak percaya. Gitar berwarna kuning yang dipangku Zafuan itu ditatap dalam teruja.
            Zafuan mengangguk. Tangannya memetik tali gitar secara rawak. “Tapi Zawin dah berhenti main gitar,” beritahunya lagi.
            “Kenapa?” soal Zharif ingin tahu. Dia membetulkan duduk diatas tikar mengkuang.
            “Sejak abah ceraikan mak. Zawin sangat rapat dengan abah. Bakat seni abah banyak tumpah pada Zawin. Bila penceraian berlaku, Zawin terus lupakan minat dalam bidang seni. Semua lukisan, piala dan hadiah daripada aktiviti seni zaman sekolah dulu, habis Zawin buang. ”
            “Sayangnya...” Zharif menggelengkan kepalanya.
            “Bagus juga sebenarnya. Ada hikmah yang manis di sebalik peristiwa pahit yang terjadi. Zaf tak suka Zawin menyanyi dikhayalak ramai. Arwah datuk sebelah abah pun ada darah seni. Dia pun tak suka Zawin terlibat dalam dunia seni. Suara perempuan akan jadi aurat apabila dilenggokkan dan dimerdukan biarpun penampilannya menutup aurat dan bertudung litup. Kalau nak menyanyi boleh, tapi khayalaknya pastikan hanya golongan perempuan sahaja...”
             “Hiburan itu haram atau halal dalam islam?” soal Zharif ingin tahu.
            Zafwan memetik tali gitar. Satu tiun lagu kedengaran. Dia berfikir dalam-dalam sebelum menjawab soalan itu. “Ada khilaf dalam pendapat ulama-ulama semasa. Ada pendapat hiburan dan muzik itu dibolehkan dan pendapat lain adalah sebaliknya. Bagi Zaf, dua-dua pendapat itu betul. Yang salah adalah apabila apabila hiburan itu dinikmati dengan cara melampau. Kita yang menjadikan hiburan itu menjadi salah pada diri kita.”
            “Terangkan dengan lebih lanjut,” pinta Zharif. Perbincangan mengenai ilmu paling digemarinya sejak kecil lagi. Wajah tenang Zafuan ditatap bersungguh.
            “Begini. Perumpamaan seperti gelas jernih yang ada suku air putih. Air putih itu ilmu kita. Kemudian kita masukkan air kopi ke dalam gelas tadi. Kopi itu adalah hiburan. Bila kita masukkan kopi terlalu banyak, sudah pastilah akan mengubah warna air dalam gelas. Pada ketika itu berlaku, hati kita akan menjadi gelap dan susah kita nak beramal dengan ilmu yang sedikit. Itu yang dikatakan hiburan yang melampau. Lain pula apabila gelas tadi hampir penuh dengan air putih. Jika air kopi dimasukkan untuk memenuhkan gelas, warna air tadi tidak akan berubah.  Jika itu berlaku, hiburan atau muzik jadi tidak salah. Kalau kita kenal artis, kita kenal juga dengan ulama. Kalau kita hafal lirik-lirik lagu, kita hafal juga hadis dan surah Al-Quran. Itulah yang sebaik-baiknya,” jelas Zafuan panjang lebar.
            Zharif tersenyum lebar. Penjelasan yang sangat memuaskan hatinya. “Zaf biasa main gitar?” soalnya ingin tahu.
            “Jarang. Tapi kalau ada masa terluang, main jugalah. Zaman Linkin Park keluar dulu, memang kerap ikut kawan-kawan jamming. Biasanya memang lagu Linkin Park menjadi pilihan,” cerita Zafuan.
            “Linkin Park? Biar betul?” soal Zharif kurang percaya.
            Zafuan tersenyum penuh makna. Tangannya masih memainkan tiun lagu yang sama. “Tahu lagu apa ni?” soalnya pada Zharif.
            Zharif pantas menggeleng.
            “In the end. Lagu ni keluar sekitar tahun 2002. Masa tu, Zaf memang minat habis dengan Linkin Park sebab genre muzik yang dibawa sangat berbeza dengan kolaborasi muzik hip hop dan DJ. Lirik lagu-lagu Linkin Park bukan mengisahkan tentang cinta tetapi banyak menjurus pada kehidupan. Macam dalam lagu When They Come For Me,  mereka mengkritik politikus-politikus dunia yang korup. Walaupun setiap lagu tidak dibuat video klip namun setiap video klip yang mereka buat selalu memiliki idea yang bijak. Mungkin ini saja satu-satu band rock underground yang Zaf minat,” jelas Zafuan panjang lebar.
            Kepala Zharif terangguk-angguk. Setiap orang ada citarasa masing-masing. “Zaf minat cerita hindi?” soalnya lagi apabila wajah Iskandar menerpa benaknya. Dia tahu persamaan yang paling kuat antara Zawin dengan Iskandar adalah masing-masing gemar menonton filem hindi. Filem-filem yang datang dari dunia bollywood padanya tidak memberikan input yang berguna dan hanya kisah cinta semata.
            “Minat. Ramai orang pandang rendah dengan filem-filem bollywood. Itu tidak dinafikan sebab kuantiti filem yang keluarkan lebih daripada kualiti. Sebab itu sebagai penikmat karya, kita harus pandai memilih,” komen Zafuan.
            Zharif tersengih. “Ada filem bollywood yang boleh mengubah fikiran golongan yang sebegitu?”
            “Ada. 3 Idiot. Filem yang Zaf labelkan sebagai filem bollywood terbaik sepanjang zaman. Kisah tiga pelajar kejuruteraan yang dipanggil bodoh oleh profesor yang mengajar di kolej ICE. Banyak mesej-mesej filem itu yang kita boleh ambil. Paling berkesan, filem tu mengkritik sistem pendidikan yang menggalakkan pelajar menghafal daripada memahami. Filem itu membuatkan Zaf tersenyum sendiri, mengingati memori-memori yang dikutip sepanjang belajar di fakulti kejuruteraan.”
            “Hah?” Zharif membundarkan matanya. “Zaf belajar engineering dimana? Bidang apa?”
            “Di Jerman. Elecrical engineering.”
            “Tapi...Zaf...mengajar agama...” komen Zharif lambat-lambat.
            Zafuan mengumam seketika sebelum membalas. “Arwah datuk sebelah ayah ada membuat permintaan sebelum meninggal. Permintaan yang Zaf kira sama dengan dengan keinginan diri Zaf sendiri sebenarnya. Arwah datuk nak Zaf jadi jurutera yang hafaz Al-Quran. Selepas dua tahun bekerja di Jerman, Zaf ambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan belajar agama di Pattani. Bila belajar agama, Zaf ambil keputusan untuk mengajar. Tak ada istilah terlambat untuk belajar agama. Kan?”
            Zharif tersenyum lebar. “Betul tu. Suatu masa nanti, Zharif juga akan hafal 114 surah Al-Quran,” ikrarnya penuh semangat.
            “Insyaallah.” Tangan Zafuan masih ligat memainkan lagu In the End. “Kenapa Zharif sukakan Zawin?” soalnya tiba-tiba.
            Zharif tersenyum. “Sebab dia hiasan dunia yang terindah,” jawabnya penuh yakin.
            Zafuan mengangkat sebelah keningnya. “Bukan sebab faktor cantik?” ujinya.
            Zharif masih tersenyum. “Sudah tentu bukan kerana cantik,” balasnya tenang. Dia berfikir seketika, cuba memanggil semula ilmu agama yang masih dangkal dalam dirinya. “Zharif ingat-ingat lupa satu hadis berkenaan empat sebab mengahwini wanita. Cantik, harta, keturunan dan juga agama. Pesan Nabi Muhammad S.A.W, memilih wanita kerana faktor kecantikan bisa mendatangkan kecelakaan. Binasalah diri Zharif jika kecantikan itu yang menjadi ukurannya,” ujarnya bersungguh.
            Zafuan mengukir senyum senang. Dia membetulkan duduknya. “Zaf cuma inginkan kepastian. Zawin satu-satunya adik Zaf. Pasti Zaf inginkan yang terbaik untuk Zawin. Jika calon isteri yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata. Syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik pada pandangan mata kita.”
            “Insyaallah. Zharif memilih Zawin bukan kerana faktor kecantikan,” tegas Zharif.
            Zafuan menepuk bahu Zharif beberapa kali. “Baguslah jika begitu. Bila Zharif kata Zawin adalah perhiasan yang terindah, sebenarnya itulah nama yang arwah datuk berikan. Arwah datuk dah sediakan nama Zayyan Az-Zahra sebelum Zawin lahir lagi. Kata arwah datuk, Zayyan itu beerti perhiasan, Az-Zahra itu beerti menawan. Jadi adik perempuan Zaf akan menjadi perhiasan yang menawan. Tapi abah suka nama Zawin. Perbalahan berlaku disitu sebab abah jenis yang keras kepala. Nak kata dia saja didengar. Akhirnya, datuk mengalah dengan syarat nama Az-Zahra harus digabungkan. Sifat degil abah memang diwarisi Zawin,” ceritanya dalam tawa kecil.
            Zharif turut ikut ketawa kecil. Memang gadis itu sangat degil! Desis hatinya. “Apa maksud nama Zawin?” Mata Zharif dilarikan pada fram gambar di dinding. Zawin kelihatan menawan dalam busana puteri perak berwarna kuning.
            “Tak pasti. Tak jumpa pula dalam bahasa arab tapi abah memang suka sangat nama tu. Zawin memang anak abah sejak kecil. Semua abah buat, dia nak buat daripada menyanyi di majlis-majlis orang kahwin sampailah memancing dilaut dalam. Mak pun tak terkata apa. Mak suruh dia belajar menjahit baju, dia rosakkan mesin jahit mak. Mak suruh dia belajar memasak, dia menyanyi di dapur. Mak suruh dia masuk kelas tuisyen, dia pergi belajar silat. Nasib baik dalam bab agama, dia jenis akur, ” cerita Zafuan sambil menggelengkan kepalanya.
            Zharif tergelak kecil. “Nakalnya dia.”
            Tangan Zafuan berhenti memainkan tali gitar. Lama dia merenung gitar yang dipegangnya sebelum mengalihkan pandangan pada wajah Zharif. “Zaf harap, Zharif boleh lenturkan kedegilan Zawin dan bimbing dia jadi gadis yang lebih baik. Kemarahan Zawin pada abah masih tidak padam malah berdegil tidak mahu memaafkan. Zaf boleh percayakan Zharif dalam hal ini kan?” pintanya dengan lembut.
            Zharif menghela nafas dalam-dalam. Ada rasa lega dan resah bersilih ganti. Kata-kata pengharapan Zafuan menyatakan restu pada hubungan mereka dan kata-kata itu juga merupakan satu tanggungjawab yang digalaskan pada bahunya. Saat mengingati reaksi Zawin semasa dia bercakap mengenai Dato’ Zawawi dahulu sudah cukup memberikan signal mengenai tugas berat sedang menantinya. Wajah manis itu serta merta berubah menjadi keruh dan sinar matanya penuh dengan kemarahan yang tidak kunjung surut. Wajah Zafuan ditatap dalam-dalam. “Zharif ada lamar Zawin sebelum ni tapi Zawin tolak. Zharif kalau boleh nak cepat-cepatkan perkara yang baik sebab ada pendapat yang kata berpasangan sebelum kahwin ni haram. Apa pendapat Zaf?”
            Zafuan ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. “Bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal melainkan yang kontang fitrahnya. Cinta itu adalah arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan dan melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu dari zaman berzaman. Cuma yang menjadi cinta itu terlarang atau dibenarkan bergantung kepada bagaimana mengawal dan menguruskan cinta. Yang menghairankan, ada golongan tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda kini sedangkan mereka pun pernah bercinta zaman mudanya. Hanya melihat pada kerosakan akhlak generasi muda sekarang, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman. Sungguh aneh sekali. Islam tidak pernah menyalahkan fitrah,” komennya bersungguh.    
            Zharif turut ketawa kecil. “Ha...itulah yang Zharif fikir. Seolah-olah jatuh cinta pada seseorang yang boleh dikahwini dianggap satu dosa,” sampuknya.
            Zafuan tersenyum lebar. “Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang Allah dan Rasul-Nya mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan Al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina dan perbuatan yang menghampiri zina seperti berpegangan tangan. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia lalu menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya,” bicaranya dengan lebih lanjut.
            Mata Zharif bersinar gembira. “Insyaallah. Zharif akan jaga batasan fitrah insaniah,” janjinya bersungguh.
            Zafuan mengukir senyum senang. Dia tahu lelaki ini boleh dipercayai. Zafuan merenung gitar kuning dipangkuannya. “Zawin pernah kata muzik dan seni telah mati dalam dirinya.  Zawin boleh sahaja menipu orang lain tapi dia pasti tidak dapat menipu dirinya sendiri.” Tali gitar dipetiknya lagi, masih memainkan lagu yang sama. 
            Zharif menghela nafas. Ternyata dia tidak mengenali Zawin sebagaimana yang disangkanya.
********
            Apa warna baju raya anda tahun ini? Sila pilih dari senarai warna yang tertera. Kalau tak ada warna dalam senarai, jangan balas pos ini. Jangan marah daa...
            Zawin tergelak kecil membaca pos Facebook Zharif Zahir. Tangannya lincah menaip papan kekunci laptop. Beberapa rakan yang dikenalinya turut membalas pos itu. Seperti biasa, warna kuning menjadi pilihan saban tahun. Najla dan Anas memilih warna coklat. Fuad pula memilih hitam. Sejurus menyedari pos balasan Zharif mengenai maksud warna-warna yang dipilih, dia tidak sabar-sabar membaca.
            Hitam - Kita awesome                       
            Coklat- Awak cute
            Kuning - Awak milik saya
            Pipi Zawin merona merah. “Benci!” getusnya dengan geram. Malas dia mahu melayan laman sosial itu lagi. Matanya dilarikan ke luar jendela. Angin malam menerobos masuk ke dalam bilik. Langsir oren berkibar apabila angin petang bertiup kencang. Matanya dialihkan pada novel Manikam Kalbu di atas meja belajar. Muka hadapan novel itu sudah cukup membuahkan senyum lebar dengan lakaran seekor kucing Madura berwarna biru keabu-abuan duduk dihadapan mesin jahit. Novel pemberian Zharif itu telah tuntas dibacanya hanya satu malam. Padanlah sebelum ini Zharif pernah menyatakan kekagumannya pada sejarah seni jahitan pakaian bangsa melayu rupanya gara-gara novel itu.
            Zawin tergelak kecil apabila mengingati kenakalannya semasa zaman remaja. Dia kerap mencari alasan apabila ibunya menyuruhnya untuk belajar mewarisi kemahiran menjahit dan membuat pakaian. Apabila direnungi dalam-dalam terasa satu kerugian pada diri pula.
            “Kenapa? Nak tolong?” soal Puan Dahlia sejurus melihat Zawin berdiri tercegat disebelahnya. Tangannya lincah menjahit butang pada baju kurung Pahang berwarna coklat pastel.
            Zawin tersengih. Kerusi kecil ditarik lalu mendekati ibunya. “Baju Najla?”
            Puan Dahlia mengangguk. “Tinggal butang saja nak dijahit,” beritahunya.
            “Apa beza kurung Pahang dan kurung biasa mak?” soal Zawin ingin tahu.
            Puan Dahlia mengunjukkan baju kurung Pahang ditangannya bersama dengan baju kurung pesak gantung. “Ini bezanya. Kurung Pahang berbelah di bahagian hadapan, ada kolar tinggi dan ada butang dibahagian hadapan. Bahagian atas sama seperti kurung pesak gantung ni, tapi pesak dibahagian bawah lebih kembang. Kalau badan jenis berisi memang kurang sesuai dipakai sebab bahagian badan baju kurung Pahang sedikit kecil dibahagian bawahnya,” jelasnya panjang lebar. Butang berwarna putih diambil dari bekas butang lalu menjahit dengan teliti pada bahagian hadapan kurung Pahang itu.
            Zawin mengangguk sambil melihat dengan tekun cara ibunya menjahit butang itu. “Berapa banyak lagi butang yang perlu dijahit?”
            “Ada tiga lagi.” Puan Dahlia mengambil lagi butang putih dari bekas butang dan meneruskan kerjanya.
            Zawin melabuhkan punggung di atas kerusi menghadap ibunya. Hatinya berputik rasa kagum melihat kecekapan tangan ibunya bermain dengan jarum dan benang. “Berapa lama mak ambil masa untuk betul-betul mahir menjahit dulu?” soalnya.
            “Dalam tiga bulan juga la. Itupun puas menangis kena marah dengan arwah nenek sebab banyak buat silap. Tapi sebab mak minat menjahit, mak kuatkan semangat. Syukur. Berkat sabar , akhirnya semua usaha sangat berbaloi. Itu yang mak tak nak paksa Zawin menjahit sebab mak percaya nak buat sesuatu harus ada minat.”
               Zawin tersenyum tawar. Ya itulah sebetulnya. Dia tidak minat dalam seni jahitan. “Mak mesti terkilan kan...anak mak ni tak jadi penyambung warisan jahitan mak...”
            Puan Dahlia menatap sekilas wajah anak gadisnya sebelum menyambung tugasnya. “Mungkin. Nasib baik ada Daniel Iskandar. Syukur sangat Is tak jemu belajar menjahit dulu. Sekurang-kurangnya Is mewarisi kemahiran mak ni. Sekarang ni dia jahit orang pula. Daniel Iskandar memang bijak dan serba boleh orangnya,” pujinya bersungguh.
            Zawin menahan senyum. Sejak kecil, Daniel Iskandar memang menawan hati sesiapa sahaja yang mengenalinya termasuk ibunya.          Minat lelaki itu dalam seni jahitan amat mengagumkannya.
            “Mak pernah berharap Daniel Iskandar jadi suami Zawin kelak tapi mak sedar jodoh itu rahsia Allah. Siapa mak nak menentukan jodoh kan?”
            Zawin mengangguk.
            “Is telefon tadi. Katanya nak datang esok. Zawin dah berbaik semula dengan Is?” soal Puan Dahlia tiba-tiba.
            Zawin mengangguk lagi.
            “Baguslah. Mak harap sangat Zawin dapat maafkan abah dan berbaik macam dulu.”
            Zawin tersenyum pahit. “Mak, Zawin masuk tidur dulu. Mengantok dah.” Zawin terus bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia cuba memejamkan matanya namun wajah ayahnya menerpa dari segenap arah. Dia bangun, mencapai telefon pintar dan melayari laman sosial.
            Sayu terasa. Ramadhan sudah hampir berlalu. Dapatkah berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun hadapan?
            Zawin tersenyum sayu menatap status Facebook Anas. Apa yang dirasai Anas, dia juga merasainya. Adakah amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan diterima Allah? Paling utama, apakah dirinya mendapat keampunan ilahi? Bukankah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, celakalah manusia yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa mendapat keampunan ilahi. Mengenangkan hubungan keruh dengan ayahnya selama bertahun-tahun itu, kemarahan dan dendam yang tidak pernah padam kepada lelaki itu, air mata Zawin tiba-tiba mengalir. Tuhan, apakah aku termasuk dalam golongan yang celaka? Aku tahu amat, redha-Mu datangnya dari redha kedua orang tuaku tetapi kenapa hati ini begitu keras sekali untuk dilembutkan?
********
             “Ha...masuk lubang!” Zawin menjerit teruja apabila melihat buah striker berwarna kuning yang dijentik abangnya masuk ke dalam poket papan karom. “Mari...mari...letak sini...” Tangan Zawin mengetuk-ngetuk bulatan merah ditengah-tengah papan karom itu.
            Zafuan menjeling wajah adiknya. Sebiji buah putih diletakkan di bulatan merah sebagai denda kesalahannya tadi. “Ha...sila-sila. Kalau pakar, masukkan buah ni dalam lubang.”
            Zawin menjungkitkan keningnya. “Cabar atau perli tu?”
            “Cabar.” Zafuan memincingkan pandangannya pada Zawin. “Masukkan buah karom tu dengan sekali serangan. Erm...senang sangat pula. Ha...masukkan tiga biji buah karom termasuk ditengah ni,” arahnya.
            “Kalau Zawin berjaya masukkan?” Zawin tersenyum lebar.
            “Abang akan beri kapal layar dalam botol yang abang dapat masa di Jerman dulu. Macam mana?” pancing Zafuan.
            Zawin membundarkan matanya. Biar betul? Desis hatinya. Hadiah dari seorang kenalan abangnya itu sangat menarik hatinya sehingga dia pernah merayu Zafuan untuk memberikan kapal itu kepadanya. Hatinya mula diserang rasa sangsi. Mengapa abangnya menawarkan hadiah itu sedangkan abangnya tidak pernah mahu memberikan kepadanya dahulu biarpun dia menawarkan wang tunai sebagai ganti. “Kalau Zawin tak berjaya?”
            Zafuan tersenyum penuh makna. “Zawin wajib main gitar, tidak kira lagu apa pun. Terima cabaran?”
            Zharif sudah tersenyum lebar. Satu tawaran yang sangat baik! Desis hatinya.
            Zawin melagakan gigi atas dan gigi bawah. Hadiah itu satu godaan yang tidak dapat ditolaknya tetapi akalnya cuba menghalang apabila mengenangkan akibat jika dia gagal dalam cabaran itu. Zawin merenung kedudukan lima biji karom dibahagian tengah bulatan merah. Perlahan-lahan senyuman sinis terukir dibibirnya. “Zawin terima,” ujarnya selamba lalu mengambil buah striker dari dalam poket karom.
             Zharif dan Zafuan saling berpandangan, menyembunyi senyum dan masing-masing menumpukan perhatian pada tangan Zawin yang sedang berkira-kira untuk memulakan serangan. Mulut masing-masing terlopong apabila satu demi satu buah-buah karom itu berjaya dimasukkan Zawin dalam lubang poket karom. Bukan tiga biji tetapi lima biji buah karom!
            “Banzai! Banzai!” laung Zawin lalu bangun, menggawang-gawangkan tangannya dan berlari-lari anak mengelilingi meja yang menempatkan papan karom.  
            Zafuan ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Usahanya gagal tetapi dia gembira melihat adiknya segembira itu. Sudah lama Zawin tidak berbuat begitu. 
            Zharif mengerdipkan matanya berulang kali. Gadis dalam t-shirt lengan panjang putih berpadanan tudung lebar hitam polos itu kelihatan terkibar-kibar tatkala berpusingan begitu. Dia tidak pernah melihat sisi Zawin yang begini.
            Zawin menghentikan lariannya apabila matanya menangkap wajah terkejut Zharif. Sejujurnya dia malu amat namun dikawalnya dengan berlagak tenang. Dia berdehem-dehem beberapa kali sebelum kembali duduk. Wajah Zafuan ditatap dalam rasa gembira bukan kepalang. “Jadi, hadiah kapal tu milik Zawin. Kan? Kan? Kan?”
            Zafuan mengangguk seraya tersenyum meleret. “Ya. Abang ambil sekarang,” ujarnya lalu menghilang ke dalam bilik.
            “Betul jangkaan Zharif...”
            Mata Zawin terus dihalakan pada wajah Zharif. “Jangkaan?”
            Zharif tersenyum nakal. “Zawin ada perangai kanak-kanak riang. Sweet sangat...”
            Zawin berdehem lagi. “Apa lagi yang Zharif jangka tentang Zawin?” soalnya kembali.
            Zharif mengusap bawah dagunya. “Gitar. Zawin pandai main gitar,” balasnya.
            “Khabar angin saja tu,” balas Zawin bersahaja. Jari telunjuknya laju menjentik buah striker ke arah tengah bulatan papan karom. Sebiji buah karom terpelanting keluar.
            Zharif mengutip buah karom berwarna putih yang jatuh dilantai kemudian meletakkan di bulatan merah.  “Kenapa berhenti main gitar?” soalnya lagi.
            “Dah lama tak main. Dah lupa.” Zawin mencipta alasan. Matanya merenung buah putih di bulatan tengah lalu mensasarkan serangan buah striker dibahagian tengah. Buah putih itu masuk ke dalam poket karom.
            “Cubalah main semula,” saran Zharif. Buah putih didalam poket karom di bawa keluar dan meletakkan di atas bingkai papan karom dihadapan Zawin.
            “Jari dah tak fleksibel,” ujar Zawin memberi alasan lagi.
            “Kalau begitu, berlatih la semula,” giat Zharif.
            “Tak ada sebab nak berlatih lagi.”
            “Buat sebab baru...”
            Zawin berpaling menatap wajah Zharif. “Tak ada sebab untuk Zawin main gitar lagi,” tegasnya.
            “Ciptalah satu sebab.” Zharif masih tidak jemu menyarankan.
            Zawin berfikir sejenak. Buah striker terasa kesat di atas permukaan papan karom. Bedak putih ditabur dan dilumurkan ke segenap penjuru. Buah striker diletakkan diatas garisan. Mindanya masih berfikir saranan lelaki itu.
            “Nah. Kapal layar yang Zawin idam-idamkan.” Zafuan menghulurkan botol kaca empat segi kepada Zawin.
            “Terima kasih,” ucap Zawin sambil mengukir senyuman lebar. Kapal layar dalam botol itu mengingatkannya pada hadiah Zharif.
            “Suka?” soal Zafuan.
            “Sangat suka,” balas Zawin. Matanya bersinar gembira. Wajah Zharif ditatap sekilas. Lelaki itu masih menunggu jawapan daripadanya. Kapal layar didalam botol direnung lagi. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyum nakal. Matanya dipusatkan pada wajah Zharif. “Ok. Zawin akan main gitar semula kalau...”
            “Kalau...” Zharif menanti kata-kata itu dituntaskan Zawin.
            “Kalau Zharif buat bungee-jumping!” sambung Zawin bersulam senyum nakal.
            “Hah? Mustahil!” balas Zharif. Matanya membulat luas. Mengingatkan ketinggian sahaja sudah cukup membuatkan lututnya menggigil.
            Zawin ketawa halus. “Jadi, mustahil untuk Zawin main gitar semula!” Tangannya kuat menjentik buah striker. Buah Striker itu menampar hujung sudut papan dan bergerak ke arah bertentangan lalu menolak buah karom berwarna putih masuk ke dalam poket.
            Zafuan cuma tersenyum penuh makna.     
            Zharif memincingkan pandangan pada wajah Zawin. Geramnya! Jerit hatinya.
            Bunyi enjin kereta dihadapan rumah membuatkan Zafuan menjengukkan kepala ke luar jendela.
            Anas keluar dari perut kereta Honda City putih dan melambai ke arah Zafuan.
            “Anas dan Najla datang tu,” beritahu Zafuan sejurus melihat Najla yang manis berbaju kurung merah hati turut keluar mendukung bayi lelakinya.
            Zawin terus meluru ke arah jendela. Dia membalas lambaian Najla dengan teruja. “Sekejap,” laungnya. Dia tidak jadi melangkah apabila hidungnya menangkap bau wangi dari tubuh abangnya. “Abang tak mandi lagi kan?” soalnya.
            Zafuan tersengih. “Tak mandi pun memang wangi kan?”
            Zawin memeluk lengan abangnya. “Memang wangi. Untung perempuan yang dapat abang,” giatnya bersungguh.
            Zafuan ketawa halus. “Dah. Abang nak mandi. Pergi layan Najla dan Anas tu dulu,” arahnya.
            Zawin akur dan menapak laju turun dari tangga tingkat atas ke luar rumah.
            Zharif menahan langkah Zafuan. Sejak mengenali Zafuan, hatinya sentiasa tertanya-tanya mengenai bau wangi yang datang dari tubuh lelaki itu. Bau itu sangat berbeza dengan mana-mana minyak wangi yang diketahuinya. Biarpun tubuhnya berpeluh, bau badan lelaki itu tetap wangi.  “Ada rahsia wangikan badan?” soalnya ingin tahu.
            Zafuan tersenyum. “Ada keraguan?” soalnya semula.
            Zharif mengangkat keningnya.
            Zafuan tersenyum meleret, menepuk bahu Zharif lalu berlalu masuk ke dalam bilik.
            Zharif ketawa kecil. Dia harus bersabar dalam memperoleh ilmu. Jika mudah didapati, pasti cepat melupai malah sukar untuk diamali. Zharif turut menyertai Zawin yang sedang duduk diatas pelantar bawah pokok rambutan bersama Anas dan Najla.       
            Puan Dahlia menghulurkan sebiji buah delima kepada Najla. “Rezeki kamu ni hah.  Ada sebiji delima yang dah masak.”
            “Terima kasih makcik. Dulu masa mengandungkan Al-Fateh, makcik beri juga,” ucap Najla.
            “Ala. Makan saja. Elok untuk kulit bayi dalam perut tu. Putih dan halus macam Al-Fateh.” Puan Dahlia mengagah anak lelaki Najla dan bayi itu ketawa riang.
            Najla memberikan Al-Fateh kepada Puan Dahlia. “Kami beraya di Pahang tahun ni makcik. Itu yang datang sini, nak beritahu.”
            Zawin terus membundarkan mata. “Kata beraya di sini?”
            Anas mengangguk. “Memang sepatutnya beraya disini tapi kebetulan ketiga-tiga abang giliran beraya tahun ni di pihak sebelah isteri. Ayah dan mak memang berharap kami beraya disana, bawa orang baru dalam keluarga. Tak sampai hati pula nak hampakan,” jelasnya.
            Najla mengenggam tangan Anas. “Najla ok saja, mana-mana pun sama juga kan?”
            “Betul tu. Apa yang penting...” belum sempat Puan Dahlia menghabiskan ayatnya, Zawin sudah mencelah.           
            “Kerjasama...”
            “Ish budak ni,” marah Puan Dahlia lalu menampar perlahan bahu Zawin.
            Anas dan Najla tergelak besar.
            Zharif menggelengkan kepalanya dalam tawa halus.
            “Makcik bawa Al-Fateh jalan-jalan. Sembanglah dulu ya.” Puan Dahlia meminta diri lalu mendukung Al-Fateh masuk ke dalam rumah.
            Wonderpet...wonderpet...kami datang...
             Zawin menyanyikan rangkap lagu kartun wonderpet itu lalu disambut oleh Najla.
             Kami tak besar dan kami tak kuat. Bila bekerjasama semua jadi mudah...
            Anas turut melayan lagu itu.
            Apa yang penting...
            Serentak mereka melagukan rangkap lagu seterusnya.
            Kerjasama...
            Zharif ketawa terbahak-bahak. “Lah, korang pun sama!”
            “Kenapa ber wonderpet bagai ni Zawin?”soal Najla.
            ”Aku sedih la Najla. Kucing bulu oren aku tu hilang. Entah mana dia pergi,” adu Zawin.
            “Sayangnya...Kalau kau nak main dengan kucing, rumah aku ada. Sepupu aku bagi pada mak aku bulan lepas.”
            “Ya ke? Kucing apa? Warna apa?”
            “Kucing siam. Bulu putih ada warna coklat sikit, mata warna biru. Sangat comel!” beritahu Najla lagi.     
            “Nak! Lepas ni aku ikut kau balik. Tapi kau bertolak ke Pahang bila?”
            “Malam ni.”
            “Bagus juga balik malam. Tinggal dua hari saja ni nak raya.”
            Najla menatap wajah Zharif yang tersenyum-senyum sendiri. “Kenapa Zharif? Ada yang lucu?”
            Zharif tersentak apabila ditegur tatkala sedang melamun begitu. “Senyum kan sedekah,” balasnya selamba. Nasib baik rumah ni tak ada wonderpet. Bisik hatinya.
            “Kereta kita hampir sama kan?” soal Anas tiba-tiba.
            Zawin terus menghalakan pandangan pada kereta Najla dan kemudian kereta Zharif. Benar. Kedua Honda City itu kelihatan serupa pada pandangan pertama.
            “Sebab itu Zawin boleh tersilap masuk kereta Zharif. Kan?” usik Najla.
            Zharif ketawa besar. “Entah Zawin ingat lagi ke tak?”
            Zawin menahan wajah yang terasa membahang. Kejadian dia tersilap masuk dalam kereta Zharif dahulu sering membuatkan dia rasa malu amat apabila terkenangkan kembali. “Kenangan terindah. Siapa boleh lupa?” balasnya lalu berpura-pura ketawa.
            “Mak Zawin macam suka sangat dengan anak Najla tu,” tegur Zharif usai kereta Honda City itu hilang daripada pandangan.
            Zawin mengangguk. “Mak pernah kata, bila lihat Al-Fateh terasa macam cucu sendiri. Isteri abang Zafuan meninggal masa bersalin. Dapat anak lelaki tapi sayang anak tu pun meninggal sebab lemas dalam perut. Mak memang sedih sangat, masih kempunan nak timang cucu sendiri,” ceritanya membuka lembaran kisah keluarganya.
            Zharif mengangguk. Dia bersimpati dengan takdir yang berlaku kepada Zafuan. Pasti sukar menghadapi kehilangan orang tersayang. Wajah Zawin ditatap lama. “Kalau nak beri mak cucu, Zawin kena cepat kahwin lah. Tawaran Zharif sentiasa terbuka selamanya untuk Zawin. Macam mana?”
            Zawin menjeling sekilas. “Kahwin bukan perkara yang mudah,” ujarnya.
            “Mudah, jika kita yang menjadikan perkahwinan itu jadi mudah,” hujah Zharif.
            Zawin terdiam. Dia tidak mahu melayan isu yang tidak digemarinya. “Zawin nak ke kubur dulu,” beritahunya.
            “Nak ikut. Zharif suka ke kubur,” ujar Zharif dalam teruja. Dia tidak mengendahkan riak keruh pada wajah gadis itu.
            “Suka kubur? Zharif dah hilang akal ke apa?” soal Zawin sinis. Angin petang yang bertiup agak kencang membuatkan tudungnya terlipat. Tangannya membetulkan kedudukan tudung hitam dikepala. 
            Zharif tersenyum lebar. “Nabi S.A.W pernah bersabda,  manusia yang paling bijak adalah manusia yang sentiasa mengingati mati. Menziarahi kubur adalah satu cara untuk beramal dengan hadis itu. Doa kita untuk mana-mana ahli kubur pula akan memberikan kita pahala sebanyak pahala ahli kubur semasa mereka hidup dahulu.  Adakah itu dikatakan perbuatan yang hilang akal?” soalnya semula.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Kata-kata bernas itu terasa menampar wajahnya kembali. Bulan puasa memang banyak yang datang menguji. Desis hatinya. Sabar...sabar... kalimah itu diulang-ulang dalam hati. Lebih baik dia diam daripada mengungkapkan kata-kata yang mengurangkan pahala puasanya.
            “Melawat kubur siapa?” soal Zharif ingin tahu. Dia menahan tawa melihat wajah masam itu.
            “Cikgu Zharifah,” balas Zawin. Dia cuba berlagak tenang.
            “Oh...cikgu itu. The power of dreams. Kan?”
            Zawin terus menatap sisi wajah Zharif. “Zharif tahu daripada mana? Zafuan?” soalnya dalam mata membulat.
            Zharif memincingkan pandangannya dan kemudian bersuara sayu. “Zawin sering lupa kan? Tentang Zharif, tentang kata-kata Zharif, tentang memori kita bersama...”
            Zawin terpana. Tidak semena-mena dia menepuk dahinya apabila teringat pertemuan di pameran kereta Honda tahun lepas. Pertemuan yang menjadi titik tolak Zharif Zahir terlalu berlabuh dalam hidupnya. Dia hilang kata-kata sebaik matanya bertembung dengan mata coklat itu.
            “Zharif rasa, Zawin bayangkan watak Ziryab dalam novel Manikam Kalbu itu adalah Iskandar kan?” tebak Zharif.
            Zawin menelan liurnya. “Kenapa Zharif cakap begitu?” soalnya semula.
            “Maaf,” ucap Zharif tiba-tiba. “Zharif terdengar perbualan Zawin dan mak malam tadi,” beritahunya lebih lanjut.
            Zawin menggigit bibirnya. “Ya. Memang Zawin bayangkan Ziryab dalam Manikam Kalbu adalah Iskandar,” luahnya tidak mahu berselindung. Ekor matanya dapat menangkap perubahan wajah Zharif. Senyuman lelaki berkemeja merah jambu itu kelihatan hambar. “Is pernah kata dulu yang dia sangat mengagumi Ziryab, seorang ulama dan tukang jahit terkenal pada zaman kegemilangan Andalus. Minat Ziryab terhadap seni jahitan dalam Manikam Kalbu mengingatkan Zawin pada Is...”
            “Daniel Iskandar...dia memang menantu pilihan mak berbanding Zharif. Tak gitu?” Zharif memasukkan tangannya dalam kocek seluar. Walaupun dia selalu yakin pada diri namun mendengar kata-kata ibu Zawin membuatkan dia rasa kalah tidak semena-mena.
            “Itu dulu...” balas Zawin pantas. Hatinya dihurung rasa bersalah. Mimpi beberapa malam lalu mula menyesak benaknya. Dia benar-benar tidak mahu Zharif terluka seandainya mimpi itu menjadi nyata.
            “Dulu dan sekarang pun sama. Iskandar tetap pertama dalam hati Zawin,” ujar Zharif.
            “Zharif...sudah lah. Kita berhenti cakap tentang perkara ni ya?” pinta Zawin lembut.
            Zharif mengukir senyum lebar. Dia juga tidak mahu melanjutkan perbualan tentang perkara itu. Hatinya terasa sangat sakit. “Kalau begitu, ceritalah tentang Cikgu Zharifah.”
            Zawin turut mengukir senyuman lebar. “Nak mulakan daripada mana ya?”
            “Terpulang.”
             Zawin mengatur langkah semula. “Sejak kecil, kawan-kawan ada cakap, mereka cemburu Zawin punya abang seperti Abang Zafuan. Baik, kacak, bijak, alim, dan macam-macam lagi la. Walaupun  Zawin  memang bangga dengan Abang Zafuan, tapi sebenarnya Zawin sangat tertekan. Abang Zafuan sangat bijak. Belajar ala kadar pun tapi keputusan periksa tetap cemerlang. Jadi, orang sekeliling punya jangkaan yang sama pada Zawin. Bila itu tak berlaku, macam-macam la orang kata pada Zawin...”
            “Zawin tak bijak? Kenapa cakap begitu? Pada Zharif, Zawin sangat bijak!” sampuk Zharif.
            Zawin tersengih. “Bijak ke? Tak. Zawin tak bijak. Zawin hanya gadis biasa. Zawin sangat yakin kedudukan yang Zawin dapat hari ini kerana doa guru-guru. Cikgu Zharifah pesan, berbuat baik dengan pendidik dan suruhlah mereka mendoakan kejayaan kita kelak. Insyaallah ilmu yang kita dapat akan jadi berkat. Katanya lagi, kalau pun kita merasakan diri kurang daripada orang lain, jangan pula merendah-rendahkan impian diri sendiri. Kuasa sebuah impian itu mampu membawa seseorang ke tempat-tempat yang tidak pernah dibayangkan sekalipun...”
            “Apa impian Zawin?” soal Zharif tiba-tiba.
            “Melancong ke seluruh dunia dengan kapal layar,” beritahu Zawin dalam senyuman manis.
            Zharif tersenyum lebar. “Negara mana yang dekat dihati?” soal Zharif lagi.
            “Kanada.”
            “Kenapa?”
            “Kanada ada segalanya daripada pemandangan yang indah, bentuk rumah yang unik,  air terjun terbesar sehingga pada fenomena northern light. Walaupun ada sepuluh negara yang mempunyai fenomena northern light tapi northern light di Yellowknife tetap paling istimewa.”
            “Hanya kerana Yellowknife terletak di Kanada. Begitu?” Zharif mengangkat sebelah keningnya.
            Zawin mengangguk lantas ketawa kecil. “Nak tahu satu kata-kata yang Cikgu Zharifah suruh Zawin ucap ulang-ulang pada diri?”
            Zharif mengangguk.                                                      
            “I was born to be happy and I deserve to achieve everything I dreams.”
             “Wow. Kata-kata yang bernas,” puji Zharif. Matanya merenung nakal pada wajah Zawin. “Ini pula kata-kata bernas dari Zharif Zahir. Semoga Zawin ingat sampai bila-bila.”
            Zawin menahan senyum. “Apa dia?”
            “You were born to be my baby and I was made to be your man.”
             Zawin mencemberutkan bibirnya seraya menjeling manja. “Whatever.” Apabila berpaling ke hadapan, Zawin terpana. Entah bila lelaki itu muncul di halaman rumahnya.
            “Hai ma...” tegur Iskandar.
            “Err...hai...” Zawin menjawab lambat-lambat. Dadanya terasa sempit tiba-tiba. Matanya mengerling sekilas wajah Zharif dan tersenyum lembut kepada Iskandar.
            Iskandar meleretkan pandangan pada wajah tenang Zharif. “Lama tak jumpa. Beraya di sini?” Tangannya dihulurkan kepada lelaki itu.
            Zharif hanya mengangguk lalu mengenggam tangan Iskandar. Genggamannya erat, semakin lama semakin kuat.
            Iskandar tidak mahu mengalah lalu saling berbalas genggaman. Dia teringat pertemuan pertama mereka di gelanggang kick-boxing dahulu. Tidak jauh bezanya keadaaan ketika itu dan kini. Lelaki dihadapannya ini terkesan ingin mengujinya lagi. 
            Zawin benar-benar rasa tersepit menyedari pandangan dua lelaki itu saling bertingkah. Ada rasa yang tidak terlepas antara mereka. Sinar kurang selesa tersilau dari sepasang mata Zharif, cahaya sangsi terpancar dari Iskandar. Akan diapa-apakan mereka berdua?








BAB 42
           
            Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu. Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja. Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.
            Zawin merenung kata-kata dari sebuah hadis yang dituliskan dalam kertas yang ditampal pada cermin meja soleknya. Kata-kata itu dilontarkan abangnya dalam nada sinis melihat dia menerima surat-surat cinta semasa zaman remajanya. Dia menulis kata-kata itu dan menampalkan pada cermin solek sebagai peringatan setiap kali melihat wajahnya dicermin.     Telekung putih yang masih tersarung pada tubuhnya ditanggalkan. Lama dia menyeluruhi wajahnya pada cermin. Apakah kerana kecantikan sementara ini, Zharif dan Iskandar berusaha bersungguh untuk mendapatkan hatinya? Jika kerana cantik, maka binasalah dirinya kelak. Dirinya manusia. Secantik mana pun sebagai pemudi, kala tua kelak pasti akan luput dari mata.     Zawin menyibak langsir oren. Cahaya mentari petang menerobos masuk ke dalam bilik. Dari jendela bilik, dia melihat Iskandar sedang membantu ibunya menyusun pasu bunga. Zharif dan Zafuan pula dilihatnya sedang duduk berbual-bual atas pelantar di bawah pokok manggis sambil mengopek buah durian. Mereka kelihatan begitu mesra dan seringkali ketawa. Apa sahaja yang mereka bualkan? Desis hatinya. Cepat-cepat dia menanggalkan telekung dari tubuhnya.       
            “Di bandar mana Zaf bekerja dulu?” soal Zharif. Bau durian membuatkan kecur liurnya apalagi melihat isi durian kuning keemasan.
            “Stuttgart,” balas Zafuan.  
            “Wah. Bandar kelahiran Carl Benz!” ujar Zharif teruja. “Seronok bekerja di sana?”
            Zafuan tersenyum.  “Jerman antara negara maju yang terbaik dalam segala hal terutama dalam mengeluarkan kereta terbaik dunia dan menjaga kebajikan pekerja. Waktu bekerja pula bermula dari 9 pagi sehingga 3 petang. Memang seronok bekerja di sana.”
            “Tak rindu bekerja dalam industri automotif?” soal Zharif. Tangannya yang comot disapu dengan kain bersih.
            Zafuan menggeleng. “Kerja sekarang lebih menyeronokkan dan lebih tenang. Sekurang-kurangnya jauh dari pemandangan yang memualkan. Kekalutan moral bangsa eropah dengan cara hidup yang dipaparkan terasa sungguh mengerikan. Sukar untuk  percaya, bandar Stuttgart yang melahirkan pencipta kereta pertama dunia telah menjadi bandar yang membenarkan sesiapa sahaja melepaskan pakaian di khayalak ramai,” ceritanya bersungguh. Baki dua biji buah durian dibiarkan tersadai apabila berpuas hati dengan isi durian yang dikumpul dalam bekas biru.
            “Betul tu,” sokong Zharif. “Zharif pernah singgah ke bandar Stuggart semasa berlayar dahulu. Dalam bilik sauna pun bercampur lelaki dan perempuan yang masing-masing tidak mengenakan sehelai pakaian. Walaupun mereka bukan islam, tetapi tidakkah terlintas pada fikiran mereka untuk apa mereka diciptakan? Tidakkah terdetik dihati wanita-wanita untuk menjaga maruah diri di tengah-tengah keliaran nafsu lelaki? Kenapa mereka tidak punya rasa malu dengan membiarkan tubuh badan mereka dinikmati mata-mata asing yang bukan halal bagi mereka?” soalnya bertubi-tubi dan menggeleng kesal.
            Zafuan meletakkan telapak tangan kanannya ke atas tempurung kepala lutut kiri. “Kerana mereka tiada iman,” balasnya ringkas.
            Zharif mengangguk tanda setuju.
            “Iman itu sendiri ertinya, kepercayaan yang terbit dari hati seseorang iaitu, mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusan Allah S.W.T dan ajaran baginda termasuk Al-Quran dan sunnah itu benar. Bila iman tiada dihati, rohani manusia akan kosong.  Ini yang berlaku pada masyarakat barat hari ini. Otak mereka bergeliga dengan menguasai ilmu semua bidang dalam dunia tetapi rohani mereka kosong kerana tidak diisikan dengan iman. Mereka teraba-raba mencari pegangan dalam hidup sehingga akhirnya membunuh diri beramai-ramai apabila ketenangan rohani yang dicari tidak diperolehi, ” hujah Zafuan dengan lebih lanjut.
            “Islam dan Iman tidak dapat dipisahkan. Amat menyedihkan melihat orang islam juga turut membunuh diri apabila ditimpa musibah. Agaknya benar umat islam akhir zaman ini imannya semakin nipis,” hujah Zharif pula.
            Zafuan menggeleng kesal. “Itu yang terjadi apabila manusia tidak beriman dengan hari akhirat. Mereka ambil keputusan keluar dari dunia dengan membunuh diri. Mereka ingat dengan bunuh diri akan selesai masalah, tapi mereka tidak tahu yang mereka terjun ke satu alam yang bakal menyiksa mereka sehingga akhirat dan tidak akan boleh keluar lagi. Masalah di dunia ni, kalau teruk sangat macam mana pun, manusia masih boleh mengadu pada Allah pada mana tak ada orang yang mahu mendengar aduannya. Allah sentiasa ada dan Allah boleh mengalih dan mengubah segalanya. Tapi bila mati dalam keadaan bunuh diri, tamatlah manusia itu dari segala kebaikan.”
            Zharif mengangguk lagi. Dia terdiam seketika. Kata-kata itu membuatkan dirinya termenung sendiri. Berdepan dengan pelbagai kes bunuh diri semasa menuntut di negara matahari terbit beberapa tahun lalu, membuatkan hatinya dipagut sayu. Alangkah ruginya manusia yang mencabut nyawanya dengan tangan sendiri. Desis hatinya. Wajah Zafuan ditatap lembut. Wajah itu begitu bening dan bersih. Suka benar dia menatap wajah itu. Jiwanya terasa disirami dengan ilmu dengan hanya berada di sisi lelaki bernama Zafuan Al-Zahabi itu. “Macam mana Zaf mengatasi ujian kehilangan orang tersayang?” soalnya ingin tahu.
            Zafuan tersenyum nipis. Matanya merenung jauh kehadapan. Seolah-olah merenung sisa-sisa masa yang ditinggalkan ke belakang. “Zaf manusia biasa, bukan malaikat. Zaf menangis semasa kehilangan isteri dan anak sekaligus. Lama juga tempoh Zaf perlukan untuk kembali seperti sedia kala. Itulah hidup. Ada derita, ada gembira. Allah jadikan derita, sesuatu yang mesti kita lalui. Derita itu akan melatih sifat redha dalam jiwa manusia. Zaf bersyukur dengan ujian yang menimpa kerana Zaf belajar untuk redha dalam setiap keadaan. Mereka yang kehilangan sifat redha ertinya ia telah kehilangan Allah dalam hatinya. Bila kita ada Allah, kita ingat Allah, kita sentiasa rasa kita ada hubungan dengan Allah, kita akan rasa dunia ini adalah kecil sahaja. Sebab itu kita tak perlu bersedih sangat dalam hidup ini. Biar kita kehilangan cinta dengan manusia, kerana Allah akan ganti dengan yang lebih baik. Tapi jika kita kehilangan cinta Allah, apa lagi yang hendak digantikan?”
            Zharif menelan liurnya beberapa kali. Kata-kata itu menusuk jauh dalam hati nuraninya. Dia menghela nafas dalam-dalam sejurus melihat Zawin yang sedang berbual mesra dengan Iskandar di kebun bunga. Jika benar jodoh gadis itu bersama Daniel Iskandar, dapatkah dia redha dengan takdir itu? “Zaf, hati Zawin memang untuk Iskandar bukan?”soalnya tiba-tiba.       
            Zafuan turut melemparkan pandangan ke tempat yang sama dipandang Zharif. “Begitulah,” komennya. “Zaf pun tak boleh salahkan Zawin. Cinta pertama seorang perempuan itu memang selamanya istimewa. Hanya mereka yang pernah melalui perkara yang sama sahaja yang akan memahami dilema Zawin.”
            Zharif terdiam. Dia menghela nafas dalam-dalam. “Apa yang perlu Zharif lakukan sekarang?” soalnya meminta pandangan lelaki itu.
            Zafuan menepuk bahu Zharif beberapa kali. “Jika sesuatu itu milik kita, sesulit apapun jalannya, apapun rintangannya, pasti akan jadi milik kita. Kerana itu memang untuk kita. Tetapi, jika sesuatu itu bukan milik kita, walaupun mudah jalannya, walaupun bersusah payah kita ingin mendapatkannya, tidak akan pernah jadi milik kita. Kerana memang bukan untuk kita.”
            Zharif termanggu lama. Dia tenggelam dalam lamunan sendiri memikirkan kata-kata Zafuan.
            “Nanti goreng durian ni,” arah Zafuan kepada Zawin.
            “Baik tuan,” balas Zawin berserta senyum nakalnya.
            Zharif  tersentak dari lamunannya. Entah bila gadis itu berada di situ.
            “Abang nak pergi mana?” soal Zawin.
            “Nak mandi la. Belengas badan ni.”
            Zawin memeluk lengan abangnya. “Ala, tak payah mandi pun, abang tetap wangi.”
            Zafuan mencuit pipi Zawin. “Amboi. Ingat abang ni kambing?”
            Zawin ketawa halus. Dia melepaskan lengan abangnya lalu mengambil tempat di atas pelantar berhampiran Zharif. Bekas isi durian dicapai dan diletakkan di atas pangkuannya.
            “Wangi bau badan Zaf tu. Zawin tahu rahsianya?” soal Zharif. Matanya mengekori langkah Zafuan sehingga hilang daripada pandangannya.
            “Abang Zafuan tak pakai minyak wangi,” ujar Zawin.
            “Tahu...”
            “Downey passion sahaja,” balas Zawin selamba.
            Zharif menahan tawa lalu mengetap giginya. “Nak kena sekeh?”
            Zawin ketawa halus. “Abang Zafuan bukan jenis kedekut ilmu tapi bersabar adalah kunci untuk dapatkan ilmu dia. Ada ketika yang kita tak sangka, dia akan berikan ilmu yang kita dah lama inginkan. Macam Zharif kan? Sampai sekarang tak beritahu minyak wangi yang Zharif pakai.”
            Zharif menjungkitkan keningnya. “Zawin suka kan bau minyak wangi ni...” usiknya dalam senyum nakal.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Wangi lagi bau badan abang Zaf!”
            Zharif ketawa anak mendengar kata-kata itu. “Zafuan Al-Zahabi. Mesti dia anak yang istimewa sejak kecil kan?” soalnya cuba merisik lebih dalam mengenai lelaki itu.
            Zawin mengangguk. “Sejak dalam kandungan lagi,” beritahunya.
            Zharif membundarkan matanya. “Macam mana tu?”
            “Mak kata, masa kandungkan abang Zafuan, mak bermimpi nampak burung merpati yang terbang di atas Kaabah. Ada lelaki berjubah putih tangkap burung merpati itu, dimasak dan diberikan kepada mak untuk dimakan,” cerita Zawin.
            “Oh, begitu...” Kepala Zharif terangguk-angguk.
            “Kata mak, dia kerap berdoa supaya abang Zafuan menjadi seorang pemuda fisabilillah. Nampaknya doa mak memang makbul,” beritahu Zawin lagi.
             Zharif tersenyum lebar. “Doa seorang ibu tak pernah Allah tolak.”
            Zawin tersenyum nipis. “Betul tu,” sokongnya.
            “Tangan tu kenapa calar balar?” soal Zharif sambil meneliti kura tangan gadis itu.
            Zawin tersengih. “Kena cakar kucing Najla. Seronok bermain dengan kucing,” beritahunya teruja.
            Zharif terdiam. “Ada tak haiwan lain yang Zawin suka?”
            “Arnab pun ok juga. Pernah bela arnab masa kecil dulu.”
             Zharif tersenyum lebar. “Ok, Zharif akan ingat itu.”
            “Pernah makan durian goreng?” soal Zawin sambil merenung isi-isi durian didalam bekas biru itu.
            “Tak. Sedap ke?” soal Zharif teruja.
            “Sedap. Zharif suka makan durian?”
            Zharif mengangguk bersungguh. “Kalau makan lempuk durian dengan pulut, aduhai sedapnya,” ujarnya seraya menelan liurnya.
            Zawin tersenyum nipis. “Zharif memang suka makan manis-manis ya?”
            “Ikut sunnah nabi,” balas Zharif selamba.
            Zawin memuncungkan bibirnya. Malas dia nak melayan karenah Zharif lantas membawa besen berisi isi durian ke dalam rumah.
            Zharif mendekati Iskandar sejurus Puan Dahlia beredar dari kawasan taman bunga. Lelaki itu dilihatnya tekun mengambus tanah hitam didalam pasu. Dia turut duduk mencangkung, menatap wajah lelaki itu. “Bro, aku minta maaf,” ucapnya lembut.
            Iskandar menghentikan kerjanya lalu menatap wajah Zharif. “Aku pun sama,” balasnya lalu menghulurkan tangan.
            Zharif tersenyum senang dan menggenggam erat tangan Iskandar. “Selama ini, mungkin aku ego dan menyangka aku mampu menawan hati Zawin. Mungkin aku tersilap dalam hal ini,” luahnya.
            Iskandar menatap wajah Zharif lama. “Kau lelaki baik. Pasti kau mampu mendapatkan mana-mana perempuan terbaik dalam dunia ini.”
            Zharif tersenyum penuh makna. “Tapi itu tidak bermakna yang aku akan mengalah semudah itu. Kempen mesti adil!” ujarnya penuh yakin.
            Iskandar ketawa kecil. “Best men win, right?
            Zharif turut ikut ketawa. “Absolutely right!”
            “Assalamualaikum.”
            Zharif dan Iskandar serentak berpaling ke arah satu susuk tegap, berpakaian serba hitam.   Salam berbalasan.
            Cikgu Kamil tersenyum lebar.           
********
            Zharif tekun memerhatikan beberapa lelaki termasuk Zafuan dan Iskandar sedang melakukan tari silat didalam gelanggang silat. Dia mengesan ada yang termengah-mengah setelah selesai melakukan satu set tari silat. Sejurus masuk set yang kedua, ada yang otot peha dan lutut sudah bergegar. Dia mengalihkan perhatian pada Cikgu Kamil yang turut melakukan tari yang sama. Dia benar-benar kagum dengan guru silat separuh abad itu yang kelihatan tenang, sedikitpun nafasnya tidak terganggu. Seketika dia berfikir. Apakah tari silat memerlukan stamina yang tinggi?   
            Mata Zharif beralih pada wajah gadis yang duduk tidak jauh daripada tempatnya duduk di luar gelanggang. Dia kagum melihat Zawin dalam pakaian serba hitam disebelahnya. Bengkung merah yang melilit pinggang gadis itu menyedarkannya ilmu persilatan gadis itu cukup tinggi. Mindanya melayang pada hari gadis itu mengunci nadi dilehernya semasa Zawin menyerang hendapnya. Rasa perit dirasainya itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila. “Kenapa Zawin tak sertai mereka?” soalnya lembut.
            “Segan la. Lagi pula, semua lelaki. Pesilat perempuan yang biasa berkumpul di sini setiap tahun, tak ada pula,” sahut Zawin.
            “Berapa lama Zawin belajar silat? Bengkung merah tu rasanya nak dapat, makan tahun juga kan?” Zharif cuba merisik perjalanan gadis itu dalam ilmu persilatan.
            Zawin mengangguk. “Zawin mula serius belajar silat semasa umur lapan tahun. Kira-kira lapan tahun juga nak dapat bengkung merah ni. Dalam proses tu jangan kira lah berapa banyak Zawin menangis. Latihan Silat Gayong memang keras. Tubuh sakit-sakit dan lebam memang adatlah. Cikgu Kamil turunkan ilmu nafas melayu untuk kurangkan kesan sakit apabila pukulan dan jurus kena pada tubuh.” 
            “Ilmu nafas melayu?” Zharif menggaru bawah dagunya.
            Zawin mengangguk. “Semua pendekar melayu pasti akan diperturunkan ilmu nafas dan pelbagai petua yang kesemuanya berkaitan dengan nafas. Silat terletak pada kuda-kuda. Tapak kena kuat dan nafas memainkan peranan, baru tumbukan jadi padu. Zharif kan ada belajar silat sebelum ni? Tak belajar ilmu nafas melayu?” soalnya semula.
            Zharif menggeleng. “Tak. Arwah ayah ada turunkan ilmu Silat Kuntau Tekpi tapi semua tu dah lama Zharif tinggalkan. Kalau ingat pun cuma buah dan keras. Ayah pernah nasihat suruh Zharif cari guru belajar Silat Cekak dan Silat Sekeping Papan. Katanya itu permainan Laksamana Armada Laut Kesultanan Melayu dulu. Hati dia rasa yang Zharif akan jadi orang laut, berkelana di laut dan bekerja atas kapal. Tak sangka betul gerak hati ayah.”
            “Zharif belajar tak dua silat tu?” soal Zawin.
            Zharif menggeleng. “Zharif lebih berminat dengan Muay Thai. Zharif percaya, tidak kira seni bela diri apa yang kita belajar, tapi kalau memang kita pandai dan kreatif, lawan sesiapa pun boleh menang. Apa yang penting tahu bila nak guna, macam mana nak guna. Kalau belajar martial art paling power pun tapi tak minat dan tak tahu guna pun tak guna.”
            “Betul tu,” sokong Zawin.
            Buat seketika, masing-masing terdiam. Mata masing-masing melayan persembahan tari silat yang dimainkan. Alunan muzik gabungan serunai dan gendang memenuhi segenap halaman  rumah Cikgu Kamil.
             “Bukan ke Arwah ayah Zharif...bangsa cina? Dia minat dengan silat?” soal Zawin memecah suasana hening antara mereka. Jarang sekali dia mendengar bangsa cina berminat dalam ilmu persilatan melayu.
            “Ya,” balas Zharif pantas. “Ayah memang minat dengan ilmu persilatan melayu. Ayah pernah cerita mendiang Bruce Lee mati kerana terkena pukulan silat. Menurut berita - berita dan sumber di Internet, media masa dan media cetak, beliau meninggal kerana satu penyakit. Bila Zharif cari bukti daripada cerita ayah, macam-macam versi ada. Lokasi perlawanan pun banyak versi. Ada yang kata pesilat Indonesia, Dicky Zulkarnain yang tumpaskan Bruce Lee, ada pula yang kata Zulkarnain dan ada yang kata Arwah Dato’ Meor. Akhirnya, Zharif buat kesimpulan, perlawanan itu tidak pernah berlaku dan hanya mitos semata.”  
            “Masakan tiada angin jika pokok bergoyang,” sampuk Zawin bersahaja.
            Zharif membundarkan matanya. “Zawin tahu sesuatu tentang mitos perlawanan tu?”
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. “Kalau Zharif rasa itu mitos, teruskan percaya begitu.”
            “Zawin tahu kan?” Zharif menatap wajah Zawin dengan pandangan penuh mengharap.
            Zawin mengumam. “Generasi hari ini yang berkiblatkan Wikipedia dalam mencari maklumat, sukar untuk mereka jumpa kebenaran dalam banyak perkara. Ramai peminat Bruce Lee terutama kalangan bangsa melayu sendiri yang perlekehkan kisah perlawanan Bruce Lee dengan Dato’ Meor. Ya la. Bruce Lee merupakan seorang pengamal Kung fu yang begitu hebat. Namanya dihormati oleh pengamal-pengamal Kung fu dan seni bela diri lain di seluruh dunia. Sebab itu orang Melayu tidak percaya pada ilmu orang Melayu sendiri. Hari ini semakin ramai anak melayu yang tidak tahu bersilat malah menjadikan silat adalah satu perkara yang telah ditolak mentah-mentah didalam fikiran mereka. Anggapan mereka, silat sudah menjadi sejarah sepertimana hilangnya sejarah Hang Tuah bersaudara. Mereka tahu cakap sahaja sedangkan mereka tidak tahu banyak perkara,” luahnya dalam kesal.      
            Zharif terdiam. “Kalau kisah perlawanan Bruce Lee dan pesilat melayu itu benar, mengapa tiada pencerahan daripada mana-mana pihak?” soalnya.
             Zawin menggeleng. “Sejarah ditulis oleh mereka yang menang,” ujarnya lalu melunjurkan kaki kanannya.
            “Apa maksudnya itu? Jeet Kun Do menang lawan dengan Silat ke?”
            Zawin mengumam. “Kenapa Bruce Lee diisytiharkan mati disebabkan penggunaan dadah yang berlebihan? Kenapa dalam bedah siasat mayat, doktor kata ada satu kesan lebam dirusuk kiri? Kenapa Bruce Lee bersungguh-sungguh mengkaji tentang Silat di hari-hari terakhirnya sebelum beliau ditemui mati?” 
            Zharif mengangkat kedua belah bahunya tanda tidak tahu.
            “Persoalan yang pernah menghantui Zawin sedikit masa dulu, mengapa Arwah Dato’ Meor gunakan pukulan tangan Jurus Kipas Nandung kepada Bruce Lee. Itu adalah jurus kebatinan tahap tertinggi dalam Silat Gayong. Biasanya, jurus itu digunakan pada lawan yang menggunakan ilmu batin juga.”
            Zharif menelan liurnya. “Takkan lah Bruce Lee ada guna khadam?” soalnya tidak percaya.
             Zawin mengembungkan kedua pipinya. “Apa pun teruslah percaya cerita itu hanya mitos semata, ” putusnya akhirnya.
            Zharif memincingkan matanya memandang Zawin. Dia benar-benar geram bila gadis itu bermain tarik tali dan tidak menjawab persoalannya dengan jelas. “Kenapa Silat terlalu berahsia? Bukankah boleh menjadi fitnah bila tiada pencerahan sesuatu persoalan?” soalnya tidak puas hati.
            “Kadang-kadang penyataan sesuatu rahsia itu boleh mendatangkan fitnah. Lebih-lebih lagi bila diketahui orang-orang yang bukan ahlinya.” Zawin menyapu pasir pada kaki seluarnya. Wajah tidak puas hati Zharif ditatap sejenak. “Kebenaran yang jelas hari ini adalah Muay Thai dikenali diseluruh dunia. Tahniah. Pilihan yang tepat,” pujinya.
            Zharif berdehem sekali. Dia malas mahu debatkan isu itu lagi. Pandangannya ditumpukan ke tengah gelanggang. “Zharif pernah fikir, buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Adakah salah Zharif fikir begitu?”
            Zawin mencemberutkan mulutnya. Matanya memerhatikan langkah Iskandar disebelah abangnya memainkan tari silat. “Tahu tak...lelaki paling kacak pada mata Zawin berada dalam tiga situasi,” ujarnya.
            “Apa?”
            “Pertama, apabila seorang lelaki memakai baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Kedua, apabila lelaki menjadi imam dalam solat jemaah. Ketiga...” Zawin tersenyum lebar, berpaling menatap wajah Zharif. “Apabila lelaki memainkan tari silat,” sambung Zawin.
            Zharif terdiam. Dia menumpukan perhatian pada langkah tari yang dimainkan Daniel Iskandar. “Semua situasi itu, Zawin pernah nampak dalam diri Iskandar. Tak hairan Zawin sukar lupakan dia,” komennya selamba. Mungkin dia cemburu, namun dia sedar doktor perubatan itu memang lelaki berkarisma. Lelaki itu mampu menjadi imam solat berjemaah. Ya. Mungkin dia terlalu menghukum Daniel Iskandar selama ini sehingga sukar melihat kebaikan lelaki itu.
            Zawin hanya mendiamkan diri. Tidak mahu mengiya atau menidakkan. Dia terus mengubah topik perbualan. “Ramai yang berfikir tari silat atau bunga silat tidak relevan. Silat Gayong antara silat yang menggunakan tari silat. Ini ialah Seni Silat. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Walaupun begitu, bila bergayong, tidak ada lagi tari dan kelembutan tapi lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Lagi pula Silat Gayong ada penamat yang mudah untuk mematikan lawan. Semasa peristiwa 13 Mei 1969, Silat Gayong antara silat yang mempertahankan orang melayu. Kerana itu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk berperang.”
            Zharif mengangguk tanda faham.
            “Anak-anak muda yang ‘macho’ zaman sekarang sudah tidak minat belajar silat sebab kononnya kena banyak belajar tari-tari dan gerak lenggoknya, nampak lembik dan tak ganas. Mereka lebih gemar belajar seni bela diri yang nampak lebih ganas. Silap besar jika mereka berfikir tari silat itu tidak ada guna,” hujah Zawin bersungguh.  
            “Ada rahsia di sebalik tari silat?” soal Zharif dalam tenang.
            Zawin tersenyum. “Apa pendapat Zharif?”
            “Zharif rasa...”
            “Apa yang Zharif rasa?” Zawin mengangkat keningnya.
            “Ceritalah...” Zharif menongkatkan tangannya dibawah dagu.
            “Seperti kalimah Silat Gayong, setiap gerak ada seni, setiap seni ada rahsia, setiap rahsia atas rahsia, hanya yang bergerak dan digerak yang mengetahui erti gerak,” balas Zawin.
            “Terangkan...” pinta Zharif.
            Zawin menegakkan jari telunjuk kanan dan menggoyangkan berulang kali dihadapan wajah Zharif. “Rahsia hulubalang jangan dipecah,” balasnya ringkas.
            Zharif mengetap bibir bawahnya. Wajah gadis yang kelihatan selamba itu ditatap tajam. “Ok. Kita buat tawaran. Kalau Zawin beritahu rahsia tari silat, Zharif akan beri teras kayu Gemunggal.”
            Mata Zawin membulat luas. “Teras kayu Gemunggal? Zharif ada kayu tu? Macam mana Zharif dapat?” soalnya bertubi-tubi.
            Zharif tersengih. “Pesilat jarang yang tak tahu khasiat kayu kayan hutan kan? Zharif memang minat kumpul barang-barang yang dikatakan mistik tapi Zharif tak guna pun. Ustaz Razak yang berikan Zharif teras kayu Gemunggal,” beritahunya.   
             Zawin melagakan gigi atas dan bawah berulangkali. Dia tahu teras kayu itu banyak khasiatnya. Cikgu Kamil pernah membuktikan khasiat kayu itu dengan membuat demonstrasi memasukkan tangan dalam cuka getah. Wajah Zharif ditatap lama. Bukan sebarang orang dapat memiliki kayu berharga itu. Siapa Zharif Zahir yang sebenarnya? Desis hatinya.
            “Macam mana?” Zharif masih sabar menanti keputusan gadis itu.
            Zawin menggelengkan kepalanya.
            Wajah Zharif bertukar riak kecewa.
            “Zawin tak nak kayu tu,” balas Zawin lambat-lambat.
            “Kenapa?” soal Zharif kehairanan.
            Zawin mengangkat kedua bahunya. Dia mengumam, memerhatikan pesilat-pesilat yang bermandi peluh ditengah gelanggang. “Setiap beladiri mempunyai 'tari' masing-masing seperti Tari Taici dalam Kung Fu. Tari dalam ilmu persilatan boleh dikatakan sinonim, ibarat pokok dan buahnya. Apabila seorang pesilat mula memainkan tari silat, dia dikatakan sedang bertari bukannya menari. Pandai menari Tari Lilin, akan cantik mainan Tari Pedang Melayu. Pandai Tarian Zapin Johor atau Joget Pahang akan tangkas dan lincah pergerakan langkah Silat. Tari Inang pula melembutkan pergerakan. Tari silat bukan sekadar retorik tetapi untuk menyembunyikan senjata. Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, dalam tarian terkandung seribu jurus.”
            “Begitu...” Kepala Zharif terangguk-angguk. Cuba menghadam susunan ayat tersirat itu didalam minda. Melihat Zawin bangun, matanya terkebil-kebil seketika.
             “Kita pergi sana,” arah Zawin lalu menapak ke kawasan yang agak luas, tidak jauh dari kawasan gelanggang. Cahaya pelita cukup untuk menerangi kawasan lapang itu. Apabila Zharif berdiri berhampiran dengannya, Zawin mula memainkan tari silat.     
            Mulut Zharif hampir terlopong melihat gerakan-gerakan penuh lembut tetapi tangkas yang ditarikan gadis itu. Semakin lama, bunga silat yang dimainkan semakin pantas.
            Zawin berhenti memainkan tari silat, mengelap peluh yang merinding didahi. Dia bernafas sedikit kencang. “Ada apa-apa Zharif nampak semasa Zawin main bunga silat tadi?”
             Zharif menggeleng. “Tidak ada. Sama seperti langkah pesilat-pesilat di gelanggang sana,” akuinya.
            “Sungguh?” Zawin menatap wajah lelaki itu bersulam senyuman sinis.
            Zharif mengangguk lagi.
            Sekali lagi Zawin memainkan bunga silat, kali ini lebih pantas. Apabila kedudukannya semakin hampir dengan Zharif, tangannya tangkas menyerang leher Zharif.
            Zharif menahan nafas apabila merasa ada benda tajam sedang diacukan pada lehernya. Halkumnya turun naik, jantungnya mengepam darah dengan lebih laju.
            Zawin menarik tangannya perlahan-lahan lalu mengunjukkan satu bilah tajam berbentuk bulan sabit yang terletak dicelah tangannya. “Ini kerambit. Senjata paling rahsia yang membunuh musuh dengan pantas. Terselindung dalam tarian silat yang dimainkan. Saraf lutut dan leher lawan akan putus tanpa mereka sedar dengan sekali serangan. Zawin harap Zharif tidak lagi memandang rendah pada tari silat.” Zawin mengenyetkan mata kirinya lalu beredar pergi. 
            Zharif menghela nafas dalam-dalam. “Tari silat ya?” bisiknya perlahan lalu menjatuhkan pandangan ke tengah gelanggang. Zharif menyentuh perutnya yang tiba-tiba berkeriut. Dia dapat merasakan gas-gas panas mula menari-nari dalam perut dan bergerak ke dadanya. Dia terduduk disitu. Tangannya mengurut-ngurut perut, berharap rasa sakit itu akan hilang.
            “Anak-anak gayong, tidak kira belajar dan bekerja di luar negara, bila dapat seruan Gayoooong...Gayoooong...baliklah, kerana disaat itu tanah air memerlukan kita. Sama-sama kita anak-anak Gayong bangun tentang musuh negara...” pesan Cikgu Kamil sejurus sesi latihan berakhir.
            “Kata bersahut, Gayong bersambut!” sahut Zafuan dan disambut dengan suara-suara bertebaran bagaikan bunyi lebah.
            Zawin tersenyum senang. Dia menyedari pandangan Cikgu Kamil tidak setajam dulu kepada Iskandar. Baguslah begitu. Desis hatinya.
            “Jangan lupa baca Al-Fatihah, Qulhuwallah dan Selawat sebanyak 70,000 kali. Itu amalan yang Dato’ Meor suruh kita lakukan. Jangan tinggal langsung. Setiap satu 70,000. Pendinding untuk diri kita duduk dalam ketiga-tiga itu. Kebaikan untuk diri kita pun duduk dalam ketiga-tiga tu. Yang paling Allah kasihi dan Rasulullah paling sayang kerana kita selawat banyak pada baginda. Selawat adalah amalan yang tiada hisab. Kalau solat dan lain-lain amalan, Allah akan hisab, tetapi amalan selawat tembus sehingga langit ketujuh. Bila kita selawat banyak pada Nabi Muhammad S.A.W, berkatlah banyak pada diri kita,” pesan Cikgu Kamil lagi.
            Usai gelanggang silat ditutup dan semua bubar, Zawin melihat waktu pada jam ditangannya. Hampir pukul 12 malam. Pandangannya tertumpu pada  Zharif yang sedang berbual dengan Cikgu Kamil. Sejurus Zharif beredar, Zawin terus menapak ke arah guru silat itu. “Terima kasih cikgu. Insyallah, kita akan dapat berkumpul begini lagi tahun hadapan,” ujarnya sambil tersenyum manis.
            “Insyaallah,” balas Cikgu Kamil. “Berapa lama Zawin kenal Zharif?” soalnya ingin tahu.   Zawin mengerutkan keningnya. Dia sendiri tidak pasti berapa lama dia mengenali Zharif. “Tidak lama mana pun cikgu. Kenapa?”
            “Zharif bukan calang-calang orang,” beritahu Cikgu Kamil. “Zharif kidal tapi tangan kanan dia kuat,” lanjutnya lagi.
            Zawin terpana. Jarang sekali dia mendengar Cikgu Kamil memuji sesiapa selama dia mengenali guru silat itu. Dia berpaling menatap wajah Zharif yang sedang berbual dengan Iskandar. Dua lelaki itu dilihatnya sudah boleh bergaul mesra. Zawin memincingkan pandangan apabila menyedari wajah Zharif berubah keruh. Dahi lelaki itu berkerut-kerut. Seolah-olah sedang menahan sakit. Kenapa dengan Zharif? Desis hati Zawin.
********
            “Lain kali jangan nak gatal-gatal makan durian lagi,” bebel Zawin usai melihat lelaki itu sudah mampu menarik nafas lega.
            Zharif yang tersandar lega di atas sofa cuma mampu tersengih. “Yang terlarang itulah godaan,” balasnya selamba.
            Zafuan menahan senyum mendengar kata-kata Zharif. Keris Berlok Tujuh yang direndamkan dalam air kelapa dikeluarkan lalu dilap perlahan-lahan.
            Zawin memincingkan pandangannya. “Kenapa tak beritahu pada Zawin yang Zharif tak boleh makan durian?” soalnya tidak puas hati.
            Zharif mengumam seketika. “Dah lama tak makan durian. Ingat nak rasa sikit saja, tapi durian goreng berbuka tadi memang menggoda sungguh. Tak sedar, terlebih sudah...” terangnya bersulam senyum lebar.
            Zawin merengus. “Kalau jadi apa-apa kan susah,” bebel Zawin lagi.
            “Kalau tak terjadi apa-apa?” usik Zharif.
            Zawin menjeling geram. Keris Berlok Tujuh dicapai dari dalam bekas berisi air kelapa lalu dihalakan ke wajah Zharif. “Kalau Zawin nampak Zharif makan durian lagi, siap!”
            Zafuan ketawa kecil melihat telatah adiknya.
            Zharif terus mengangkat kedua belah tangannya ke atas. “Baiklah tuan puteri,” balasnya dalam senyum nipis. Cawan kaca berisi air suam campuran madu asli dan serbuk kayu manis diteguk lagi. Matanya merenung saki baki air itu. “Mana Zaf dapat petua ni?” soalnya.
            “Dari arwah datuk,” balas Zafuan ringkas. “Campuran madu dan kayu manis boleh melegakan sakit perut dan membersihkan perut dengan membebaskan angin-angin di dalam perut. Kalau rasa terlebih makan dalam sehari, amalkan minum campuran minuman ini juga. Kesannya, seolah-olah tak makan apa-apa,” terangnya bersahaja.
            “Sungguh? Wah. Macam ni boleh la makan banyak-banyak!” ujar Zharif teruja.
            Zafuan tersenyum simpul. “Makan biar sederhana dan tidak melebih-lebih. Itu kan pesan nabi kita. Perut mesti dijaga. Sakit angin, sakit urat saraf dan sakit-sakit badan semuanya berpunca dari perut.  Jagalah perut kerana perut kunci kesihatan,” nasihatnya lagi.
            “Ya la. Betul tu.” Zharif akur dengan nasihat Zafuan lalu mengukir senyum segan.  Matanya tekun memerhatikan tindakan Zafuan yang sedang membakar kemenyan. Keris yang dilap tadi disapukan dengan kemenyan. Zawin juga turut membuat tindakan yang sama pada keris ditangannya. Asap mula bertebaran di ruang tamu itu. Dia hanya memerhatikan kelakuan dua adik beradik itu sehingga keris-keris itu disapu dengan minyak.
            “Hinanya besi kerana karat. Tak begitu?” soal Zafuan tiba-tiba lalu menatap wajah Zharif.
            “Ha?” Zharif sedkit terpinga. “Err...ya la kot,” balasnya lambat-lambat.
            “Jadi untuk menjaga keris daripada berkarat perlu ada penjagaan khusus seperti ini,” terang Zafuan tanpa dipinta. Melihat Zharif mengangguk, dia menyambung. “Rendam keris dalam air kelapa, air mengkudu atau air nenas adalah mengikut tradisi. Kemudian disapukan kemenyan. Persepsi orang bila guna kemenyan, mesti kata nak panggil jin. Padahal keris ni, kita tak nampak rongga-rongga besi. Kemenyan ni berfungsi seperti lilin yang menutup rongga-rongga keris supaya keris lambat karat.”
            “Begitu rupanya...” Zharif menyambut keris yang dihulurkan Zafuan kepadanya. “Ini...keris berluk tujuh bukan?”
            “Ya. Keris berluk tujuh untuk bertikam dan melindungi diri manakala keris berluk Sembilan adalah menunjukkan pangkat kebesaran seseorang,” terang Zafuan lagi.
            Zharif meneliti keris ditangannya itu dengan penuh minat. “Siapa yang buat keris Zafuan ni?”
            “Pakcik Zulkarnain. Abang abah. Dia mewarisi seni buat keris daripada moyang kami.”
            Zharif membundarkan matanya. “Warisan keluarga?” soalnya bersungguh. Matanya sempat mengerling Zawin yang tiba-tiba bangun, menyimpan kotak kayu berisi keris kedalam almari kayu.
            “Ya. Pakcik Zulkarnain adalah generasi keempat yang warisi seni melayu lama ni. Kenapa? Berminat? Kalau minat, mintalah Pakcik Zulkarnain buatkan satu keris untuk Zharif,” saran Zafuan.
            Zharif tersenyum gembira. “Kalau ikutkan hati memang nak tapi jumpa pun tak pernah.”
            “Kita ke Kuala Kangsar la nanti. Pakcik Zulkarnain menetap dengan opah disana. Adik beradik sebelah abah memang ramai. Sepuluh orang semuanya. Bermula dari Zaharudin, Zahidi, Zulkarnain, Zuhri, Zulkefli, Zawawi, Zulfadli, Zainudin, Zairi, dan akhir sekali Zikri. Semua legasi Z dari nama arwah datuk, Zainal Abidin.”
            Zharif tergelak kecil mendengar cerita Zafuan. “Hebat! Dah la keturunan subur, legasi huruf Z pula tu,” komennya selamba.
            Zawin tersenyum meleret mendengar kata-kata Zharif. Dia meletakkan pinggan berisi enam biji buah tomato di atas meja kayu. Dia mengunyah sebiji tomato dengan penuh selera.
            “Tapi sepupu-sepupu kami tak teruskan legasi Z. Macam anak-anak pakcik Zikri, tiga-tiga anak dia huruf D, Danila, Damien dan Dallen. Pakcik Zikri kahwin dengan wanita inggeris. Pakcik Zahidi kahwin dengan wanita Jepun. Pakcik Zuhri kahwin dengan wanita Kelantan. Pakcik Zaharudin dapat anak mami Pulau Pinang, pakcik Zulkarnain dapat orang Pahang, Pakcik Zairi pula dapat orang negeri Sembilan. Yang lain-lain dapat orang Perak. Sesekali berkumpul ramai-ramai, memang tak kering gusi. Macam-macam loghat keluar,” cerita Zafuan bersungguh.
            “Meriah tu. Untungnya saudara mara ramai,” ujar Zharif teruja.
            “Tempat Zharif tak meriah? Zharif beraya dimana saja selama ni?” celah Zawin tiba-tiba.
            “Sebelum arwah ayah dan ibu meninggal, kerap beraya di Pattani. Selepas mereka meninggal, sambut raya banyak di luar negara lebih-lebih lagi bila nenek dan atuk sebelah emak dah meninggal. Nenek sebelah abah masih dengan agama nenek moyang. Jadi memang tidak ada sebab untuk balik beraya di Kedah. Raya memang kurang meriah tanpa orang tua. Untunglah kamu berdua masih punya orang tua apatah lagi nenek,” ujar Zharif bersulam senyum lebar.   
            Zafuan dan Zawin sama-sama terdiam.
            Zafuan mencapai sebiji tomato diatas meja lalu mengunyah perlahan.
            Zharif mengerutkan dahi melihat dua beradik itu makan buah tomato mentah-mentah. “Sedap ke?”
            Zawin mengangguk. “Masam-masam manis. Cubalah,” sarannya.
            Zharif menelan liurnya apabila lidahnya serta merta terasa masam biarpun buah itu belum masuk kemulutnya lagi. Melihat Zafuan yang makan buah tomato seperti makan buah epal, dia tidak teragak-agak mencapai buah tomato lalu mengunyah perlahan. Sebaik masuk ke dalam mulut, dahinya berkerut menahan masam. Dia terus berlari ke arah dapur lalu memuntahkan semula isi tomato ke dalam singki.
            Zafuan dan Zawin tergelak besar melihat telatah Zharif.
            Zawin mencapai kad raya dibawah meja yang diberikan Iskandar sebelum bertolak pulang selepas latihan silat.
            Selamat Hari Raya my kidney.May Allah blessing you and your family. From your lover, Daniel Iskandar.
            Zawin tersengih membaca tulisan pada kad raya sederhana besar itu. Nada lagu raya yang berbunyi sebaik membuka kad raya itu kedengaran lucu pada pendengarannya.
            “Zawin, kita beraya di Kuala Kangsar tahun ni ya?” Zafuan bersuara tiba-tiba.
            Zawin berdehem sekali.
            “Opah telefon petang tadi. Opah harap sangat kita beraya di Kuala Kangsar tahun ni. Mak dan abang dah setuju. Kasihan orang tua tu. Abah yang buat hal, takkan la kita nak menjauhkan diri daripada opah juga. Dah bertahun Zawin tak beraya disana. Zawin faham kan maksud abang?” pujuk Zafuan lembut.
            Zawin tunduk menatap permaidani dikakinya. Dia tahu jika hatinya masih berkeras untuk tidak mahu menerima perlawaan itu, tidak ada gunanya erti ibadah puasa yang telah dijalaninya hampir sebulan itu. Lagi pula mendengar kata-kata Zharif sebentar tadi memberikan dia sejuta keinsafan. Dia tidak mahu terlepas nikmat beraya sementara orang tua masih ada. “Bila nak bertolak ke sana?” soalnya kembali.
            Zafuan tersenyum senang. Kepala Zawin digosoknya lembut. “Lepas Zuhur. Semua dah berkumpul disana. Mesti meriah sangat!” ujarnya dengan teruja. Sejak nenek di sebelah ibunya meninggal dua tahun lalu, hari raya memang terasa kurang meriah.
            Zawin tersenyum lebar. Tidak kurang apa pun jika dia mengalah kali ini. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan sepupu-sepupu dan saudara mara sebelah ayahnya. Ikatan silaturahim harus disemai kembali.
            Zharif membuat muka selamba sewaktu kembali dari dapur. Dia menghirup air coklat suam dengan penuh nikmat. “Ahh...lega...” Zharif tersandar kelegaan. Rasa masam dalam mulutnya perlahan-lahan hilang.
            Zafuan tergelak kecil. “Nanti nak beri Zharif cuba minum air tongkat ali. Mesti terangkat punya la,” usiknya.
            Zharif menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. “Zharif tak boleh masuk dengan rasa pahit dan masam. Nanti mesti muntah balik,” beritahunya.
            ”La. Pahit kan ubat,” tegur Zawin.
            “Manis itu ubat!” balas Zharif dengan penuh yakin.
            Zawin memincingkan matanya, merenung tajam wajah Zharif. “Bakal diebetes tahap lapan ni!”
            Zharif ketawa mengekek lalu mengembungkan kedua pipinya. “Ya la. Siapalah kita ni pada dia. Hanya doa-doa yang buruk saja untuk kita.”
             “Oh, kesiannya. Nah! Makan tomato. Elok untuk hati yang dukacita,” perli Zawin lalu menghulurkan sebiji tomato.
            Zharif memuncungkan bibirnya. “Sampai hati,” ujarnya lalu mempamerkan raut wajah sedih.
            Zafuan tersengih. “Zharif, Esok lepas Zuhur, kita bertolak ke Kuala Kangsar,” beritahunya.
            “Ok.” Zharif menatap jam didinding. Sudah hampir pukul dua pagi. Matanya dialihkan pada wajah Zawin dan Zafuan bersilih ganti. Dia memang kagum dengan kulit mereka. Putih kemerahan tanpa cela. Dia menelan liur melihat Zafuan makan tomato merah dengan penuh selera. “Macam mana Zaf boleh makan tomato mentah?” soalnya.
            “Opah yang biasakan kami makan. Zharif kena bersedia dan bertahan di sana nanti,” pesan Zafuan tiba-tiba. Bahu Zharif digosok-gosoknya.
            “Kenapa?” Zharif menggaru kepalanya yang tidak gatal.
           








BAB 43
                                                                                                
             “Ulam pegaga bagus untuk awet muda. Tomato ni bagus untuk kulit muka. Makan ni, Zharif,” saran Opah Orkid lalu meletakkan ulam-ulaman didalam pinggan lelaki muda itu.
            Zawin dan Zafuan saling bersabung pandang dan tersenyum nakal.
            Zawin menahan senyum melihat dahi Zharif yang berkerut sebaik Opah berpaling mengambil lauk didalam talam. Lelaki itu dilihatnya selalu bermanis wajah melayan karenah opahnya sebaik diperkenalkan. Menyedari mata Zharif terarah padanya, dia membuat isyarat supaya Zharif meneruskan makan. Sempat matanya dikenyitkan bersulam senyum nakal.
            Zharif mencemberutkan bibirnya. Apa la Zawin ni, bukan nak tolong! Jerit hatinya.Ini rupanya maksud kata-kata Zafuan sebelum ini. Tak apalah. Bertahan sahaja. Pujuk hatinya. Nasi bergaul ulam yang telah dicicah sambal belacan, dimasukkan kedalam mulut.
            “Sedap tak?” soal Opah Orkid. Wajah anak muda itu ditatap lama. Suka benar dia
menatap seraut wajah kacak itu. Tidak jemu dipandang.
            Zharif memaksa bibirnya untuk tersenyum biarpun rasa pahit ulam-ulaman membuatkannya terasa ingin muntah. Nak tak nak terus ditelannya begitu saja. Dia hanya pasrah apabila Opah Orkid terus meletakkan pelbagai ulam-ulaman didalam pinggannya. Wanita berusia awal 80-an itu turut meletakkan ulam-ulaman dalam pinggan cucu-cucu lain. Makan bersila diatas tikar mengkuang beramai-ramai mengelilingi talam yang berisi lauk pauk pengalaman baru baginya. Matanya dikalihkan pada Zawin yang kelihatan selesa menikmati pelbagai jenis ulaman. Padanlah Zawin kata dia tak takut dengan pahit. Desis hatinya.
            “Makan kunyit hidup ni. Baik untuk badan. Kalau ada kanser, insyaallah boleh sembuh. Otak lambat nyanyuk. Makan kunyit biar sederhana saja. Kalau makan berlebihan, cepat putus haid.” Opah Orkid bersuara lagi sambil meletakkan kunyit hidup dalam pinggan Zawin.
            Kening Zharif terangkat melihat Zawin selamba mengunyah kunyit hidup ke dalam mulut. Mata Zharif melirik wajah Opah Orkid. Dia terpegun setiapkali memandang wajah wanita itu yang bersih berseri-seri dan tampak cantik walaupun dalam usia emas. Menurut Zafuan, wanita bekas bidan istana itu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan masih kuat membuat kerja-kerja kampung. Apa rahsia awet muda wanita itu? Adakah dengan makan ulam-ulaman sahaja? Hatinya berteka-teki.
            “Diana, mengapa muka kamu ada jerawat? Kamilia pun sama. Tak amalkan petua opah bagi ke?” Opah Orkid menegur cucu-cucunya.
            “Ala Opah. Jerawat ni kan pemanis wajah,” balas Diana.
            “Manis kamu kata? Kalau sebiji dua memang la manis. Ini penuh satu muka. Cuba tengok muka Zawin. Kulit muka dia bagaikan telur yang dikupas.”
            Zharif tersengih. Memang dia akui kulit muka gadis itu sangat cantik, gebu dan halus licin. Sama seperti telur masak rebus yang telah dikupas kulit.
            Zawin terasa wajahnya kebas apabila menyedari banyak mata yang sedang memerhatikan wajahnya.
            “Betul lah,” sokong Kamilia. “Kita semua di sini tak boleh lawan kegebuan kulit Kak Zawin. Dahlah pipi warna pink. Macam anak orang putih. Kulit Danila, Dallen dan Damien pun tak secantik kulit kak Zawin. Apa rahsia Kak Zawin? Produk apa Kak Zawin pakai?” soalnya ingin tahu.
            ”Tak pakai apa-apa produk. Amalkan petua opah. Itu sahaja,” balas Zawin ringkas.
            “Petua apa tu Kak Zawin?” soal Diana pula.
            “Akak pun ada masalah kulit muka juga dulu. Akak ikut petua opah supaya basuh muka dengan air basuhan beras dan letak masker campuran tomato dan putih telur dimuka. Selain tu minum jus pegaga sekerap mungkin. Bila akak amalkan petua opah, jerawat beransur-ansur kering dan parut beransur-ansur hilang. Benda ni ambil masa, kena buat selalu. Bila dah sebati dengan kulit, parut diwajah perlahan-lahan hilang, kulit jadi halus sangat dan jerawat tak tumbuh lagi. Paling terbaik, kulit jadi tegang dan gebu macam kulit bayi,” terang Zawin panjang lebar. Hirisan tomato dimasukkan ke dalam mulut, mengunyah perlahan-lahan.
            “La...itu saja ke?” Mulut Karmila terlopong. Matanya bersabung pandang dengan Diana.   Opah Orkid tersenyum meleret melihat hirisan-hirisan buah tomato menjadi rebutan anak cucunya. “Petua-petua orang tua jangan dipandang enteng. Selagi boleh jangan guna produk-produk yang berasaskan kimia sebab tidak elok untuk kesan jangka masa yang panjang.  Kulit kita akan cepat nampak tua dan rosak,” pesannya lagi.
            Zulkarnain yang  memerhati sejak tadi ikut menyampuk. “Generasi baru sekarang  tidak mahu amalkan petua-petua orang tua kerana merasakan kuno, tidak relevan lagi dengan zaman moden. Kita ni, setinggi melangit sekalipun pelajaran, sebaik-baiknya petua orang tua-tua jangan dilupakan.  Jika ilmu merupakan sesuatu yang terpahat, tersurat dan terluah, maka petua itu pula tersimpan, tersirat dan terdiam. Ilmu itu mudah dipelajari, tetapi tanpa petua, ia hanya menjadi ulangan pada lidah dan minda. Belajarlah ilmu, tapi tuntutlah petua. Biarlah ilmu menjadi kenangan, tetapi petua menjadi pegangan,” nasihatnya bersungguh.
            Opah Orkid menyokong pendapat anak keduanya itu. “Bila kita tidak lupa asal usul budaya, petua nenek moyang kita sendiri, kita akan selamat dalam hidup,” tambah Opah.
            “Mak Long tercekik tulang!” laung Daniel sambil menepuk-nepuk belakang badan ibu saudaranya.
            Zharif membundarkan matanya melihat seorang wanita dalam jubah hitam sedang terbatuk-batuk. Sebelah tangan kirinya penuh dengan gelang emas sementara tangan kanannya masih terdapat sisa-sisa nasi. Dia hanya menjadi pemerhati apabila ramai yang mula mengerumuni wanita asal dari Pulau Pinang itu. Macam-macam petua yang disarankan bermula dari makan nasi kepal sehinggalah makan pisang tetapi tidak berhasil.
            Zafuan menggelengkan kepalanya, membasuh tangan dan mendekati ibu saudaranya itu. “Mak Long, angkat kedua-dua tangan ke atas,” arahnya serius.
            Mak Long mengangkat tangannya dengan susah payah.
            “Tangan Mak Long dua-dua kena lurus!" arah Zafuan lagi.
             Zawin menutup mulutnya menahan tawa melihat situasi itu.
            “Sebut kuat-kuat Mak Long. Superman Return!!” Zafuan turut meluruskan kedua tangannya ke atas.
            Tawa dan hilai serentak bergema dan memenuhi ruang tamu rumah kayu itu. Nasi berhembur-hembur di sana sini.
            Mak Long  juga ketawa sehingga tulang yang tercekik itu terkeluar dari mulutnya.
            Air suam tersembur keluar dari mulut Zharif. Dia ketawa besar sambil menepuk-nepuk lantai. “Zafuan memang sengal!” getusnya dalam batuk kecil.
            Zawin ketawa bersungguh. Apabila menyedari ayahnya sedang memandangnya, mendadak tawanya mati.
            Opah Orkid benar-benar bersyukur dengan berkumpulnya semua anak cucu. Wajah arwah suaminya banyak tumpah pada wajah Dato’ Zawawi dan kemudian turun pada wajah Zafuan. Biarpun masing-masing hampir sama dari segi fizikal, namun air wajah mereka amat berbeza.  Air wajah Zafuan begitu bening, bersih, teduh dan bercahaya manakala air wajah Dato’ Zawawi pula kusam, gelap dan tiada nur. Dia sangat bersyukur apabila impian suaminya untuk melihat seorang penghafaz Al-Quran dalam keluarga tercapai sebelum menutup mata buat selamanya. Namun pada masa yang sama dia terkilan melihat anak keenamnya itu tersasar jauh daripada landasan agama. Wajah Dahlia dan Zawin ditatap silih berganti. Onar yang dilakukan anaknya kepada mereka, pasti sukar untuk dilupakan apatah lagi melihat reaksi dingin Zawin melayan Zawawi.
            Usai solat terawih berjemaah di rumah, Zulkarnain menyandarkan belakang badannya pada dinding rumah. Wajah Zawawi  disisi ditatap lama.
            “Kenapa pandang andak macam tu?” soal Dato’ Zawawi apabila ekor matanya menangkap pandangan tajam abangnya itu. Puntung rokok disedut dalam-dalam.
            “Arwah abah kan pernah pesan pada kita semua. Jangan ada perokok dalam generasi keluarga kita. Alang tengok, andak dah jauh tersasar. Semua larangan yang arwah abah pernah sebut, itu yang angah buat. Alang tak benci andak, kami semua tak pernah pun benci andak, tapi kami minta andak fikir la dalam-dalam. Berapa lama andak nak terlibat dalam kekufuran? Mati ni bila-bila masa sahaja andak.” Zulkarnain memulakan bicara penuh nasihat dengan nada lembut.
            “Kubur lain-lain,” balas Zawawi selamba. Dia bosan dengan nasihat-nasihat yang diberikan kepadanya. Seolah-olah dia telah melakukan dosa membunuh pula.
            Zulkarnain menggelengkan kepalanya dalam kesal. “Andak fikirlah dalam-dalam. Alang hanya jalankan tanggungjawab sahaja, selebihnya akal andak itu yang akan menimbangtara baik buruk segala tindakan,” ujarnya lalu menepuk peha adiknya itu. Dia bangun, menapak ke dapur dan meneguk air sejuk perlahan-lahan. Hati lelaki bernama Zawawi itu bagaikan telah ditutup untuk menerima hidayah. Zawawi itu ertinya himpunan kebaikan. Dimanakah himpunan-himpunan kebaikan yang dimiliki adiknya dahulu? Ayahnya pernah berkata bahawa jika seseorang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya. Jika perangai buruk lelaki itu berterusan sehingga ajal menjemput, pasti perit kehidupan dialam sana.
            “Jauh termenung,” tegur Zafuan usai melabuhkan punggung menghadap ayah saudaranya itu. Lelaki pertengahan 50-an dalam baju melayu hitam teluk belanga itu kelihatan muda daripada usia sebenar. 
            Zulkarnain tersenyum tawar. “Mana kawan kamu tu?” soalnya. Kepalanya terjegah ke sana kemari mencari kelibat Zharif.  
            “Di ruang tamu, tolong Opah pasang langsir. Suka benar Pak Lang dengan Zharif ya?” usik Zafuan.
            Zulkarnain menatap wajah jernih dihadapannya itu. “Anak Pak Lang lima-lima perempuan. Bila kenal Zharif, terasa bagai anak lelaki sendiri. Lagi pula kata Zharif, nama Pak Lang sama dengan nama arwah ayah dia. Pak Lang nampak...Zharif berminat benar dengan seni pembuatan keris. Sejak kecil, hanya Zaf sahaja yang minat nak belajar buat keris daripada ramai-ramai anak saudara Pak Lang. Pak Lang nak turunkan seni ni pada Zaf dan rasanya sekarang waktu paling tepat. Apa pendapat Zaf?” soalnya tenang.
            Zafuan dilanda teruja. “Pucuk dicita ulam mendatang. Memang dah lama Zaf bersedia nak belajar buat keris. Boleh ajar Zharif sekali.”
            “Zawin nak belajar buat keris juga,” sampuk Zawin yang tiba-tiba muncul didapur. Dia mengambil tempat disebelah Zafuan.
            Zulkarnain tersenyum senang. “Boleh sangat. Tapi Zawin tak boleh sombong lagi.”
            “Sombong? Kenapa cakap Zawin sombong?” Wajah Zawin berubah sayu.
            “Ya la. Berapa kali jumpa Pak Lang dalam setahun? Kalau bukan Pak Lang yang datang rumah Zawin, memang tak jumpalah kita.”
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Boleh tak kalau Zawin beri alasan yang Zawin sibuk?”
            Zukkarnain tergelak kecil. “Ya la. Alasan diterima. Ni Pak Lang nak tanya satu benda pada Zawin.”
            “Apa dia?” Zawin mencapai kuih tat nenas didalam balang kuih.
            “Zawin dengan Zharif ada apa-apa ke?” soal Zulkarnain ingin tahu.
            Zawin terdiam. Wajah abangnya dipandang sejenak. Pandangan redup abangnya itu sukar ditafsirkan akalnya. “Kenapa Pak Lang cakap macam tu?” soalnya semula.
            Zulkarnain tersenyum penuh makna. “Kalau tak ada apa-apa, Pak Lang ingat nak jodohkan Zharif dengan Zulaikha. Pak Lang berkenan benar dengan Zharif tu,” beritahunya bersungguh.
            Zawin mengangguk. Sepupunya Zulaikha itu memang sudah cukup matang untuk berkahwin.“Begitu rupanya. Cubalah tanya Zharif sendiri. Kalau jodoh tak kemana kan?”
            Zafuan mengangkat keningnya berulang kali memandang Zawin. “Ya ke?” usiknya.
            Zawin menjelirkan lidah kepada Zafuan.      
            Zulkarnain tersenyum lagi. “Pak Lang ingat nak ajar Zharif main silat. Budak tu nampak macam biasa, tapi pegang pada tapak tangan dia, memang ada potensi terima banyak ilmu tinggi. Tangan kanan dia kuat walaupun dia kidal.”
            Zawin mengerutkan keningnya. Kata-kata itu sama dengan kata-kata Cikgu Kamil.
            Zharif muncul di pintu dapur dengan wajah letih. Memang betul kata Zafuan. Opah Orkid memang suka mengujinya. Macam-macam kerja yang dibebankan kepadanya. Dia menyambut cawan berisi air yang dihulurkan Zafuan. Sejurus mengangkat wajah, dia terpana apabila mengesan enam pasang mata sedang menatapnya. “Err...ada perbincangan yang serius ke? Zharif ganggu ke?” soalnya dalam rasa bersalah.
            Zafuan pantas menggeleng. “Tidak la. Seronok berkawan dengan Opah?” usiknya.
            Zharif tergelak. “Seronok sangat. Opah memang terbaik...” Zharif mengacukan ibu jari kanannya.
            Zulkarnain tersenyum nipis. Tangan kanan Zharif dicapainya lalu ditelitinya. “Kamu ni...tapak tangan besar, jari-jari panjang. Jangan aniaya orang dengan kelebihan diri. Bukan semua orang ada kelebihan ini. Jangan simpan dendam. Orang buat kita tak apa, jangan kita yang buat orang,” pesannya serius lagak seorang ayah kepada anak.
            Zharif menelan liurnya. Kepalanya dianggukkan beberapa kali. Biarpun dia rasa selesa dengan lelaki tua itu namun rasa gerun sejak saat pertama bertentang mata tidak pernah hilang. Lebih-lebih lagi apabila Zafuan memberitahu lelaki itu merupakan ahli Tariqat al-Shazilliah yang menambahkan rasa berdebarnya. Setiap pandangan lelaki itu bagaikan menelanjangkan dirinya.
            “Ini cincin apa?” soal Zulkarnain melihat cincin yang dipakai Zharif.
            “Cincin teras kayu keluak,” balas Zharif.
            “Wah...” Zullkarnain menunjukkan rasa kagumnya. “Peminat barang-barang mistik?” soalnya.
            Zharif mengangguk. “Pengamal Tomoi memang guna teras kayu ini untuk tahan sakit bila dipukul dalam gelanggang. Biasanya diikat dipinggang. Dibuat cincin atau gelang untuk ketahanan kulit dan kebal,” terangnya tanpa dipinta.
            Zawin menatap wajah Zharif. Tak hairanlah Zharif ada kayu Gemunggal dalam simpanannya. Desis hatinya.
            Zulkarnain tersenyum lebar. Cincin ditangannya ditanggalkan lalu diberikan kepada Zharif. “Ambillah. Ini teras kayu Arash.”
            Zharif membundarkan matanya. “Kayu Arash?” Sudah lama dia mencari kayu berkualiti itu namun tidak pernah berhasil menjumpainya. Dia pernah mendengar cerita antara sebab masjid di Acheh tidak dihempas ombak Tsunami adalah kerana rangka bumbung masjid itu diperbuat dari kayu Arash. Malah, istana nabi Sulaiman juga dibina menggunakan kayu Arash. “Sungguh nak beri pada Zharif?” soalnya lagi meminta pengesahan.
            “Ya. Ambillah. Zafuan dan Zawin pun Pak Lang ada berikan pada mereka. Rezeki Zharif pula kali ni.”
            “Terima kasih. Memang Zharif sedang cari kayu ni. Tak sangka betul.” Zharif menggelengkan kepalanya dalam teruja. Kayu berwarna coklat yang diikat kemas dalam cincin silver itu direnung dalam-dalam. Apabila terkena cahaya, warna kuning muncul ditengah-tengah kayu. Cantiknya. Maha suci Allah. Pujinya dalam hati.       
            “Jom ke bawah. Masak rendang tok  dan dodol sama-sama,” arah Opah Orkid yang muncul dimuka pintu dapur.
            Masing-masing akur dan turun ke tingkat bawah rumah kayu dua tingkat itu.
            Zharif terkagum-kagum sendiri. Cahaya pelita, lampu kerlip-kerlip dan lampu kalimantang menerangi kawasan halaman rumah kayu setinggi dua tingkat itu. Jika dulu mulutnya pernah terlopong melihat senibina Rumah Serambi Pahang di kampung Anas, perkara yang sama terjadi sewaktu pertama kali menjejakkan kaki dihadapan rumah Kutai itu. Lama dia meneliti setiap inci rumah itu. Seni ukiran papan pator dengan teknik tebuk tembus di bahagian cucuran atap seakan corak renda manakala ukiran lebah bergantung di bucu atap sebagai kemasan dan pelengkap kepada ukiran kayu buton. Rumah ini jelas tersendiri, unik dan menawan. Bisik hatinya.
            “Zharif memang minat ke rumah melayu jenis lama macam ni?” soal Zawin. Dia sedikit hairan melihat Zharif menunjukkan minat luar biasa pada rumah Kutai itu. Tangannya lincah mengacau dodol dalam kawah sambil ekor matanya memerhatikan wajah Zharif.
            “Entah kenapa, Zharif tertarik dengan senibina Melayu yang terdapat ukiran seperti lidah terjulur keluar dari setiap sudut bumbung rumah. Rasanya, binaan sebegini banyak terdapat di Perak. Kalau tengok tebar layarnya yang besar ada ciri-ciri rumah adat Aceh,” komen Zharif.
            Zawin turut menyeluruhi rumah warisan keluarga itu. “Rumah Kutai sebenar yang masih didiami di seluruh Perak tinggal tak banyak lagi. Ada antaranya masih elok terjaga dan cantik, manakala sesetengahnya telah ditinggalkan tidak berpenghuni,” beritahunya.
            “Rumah Kutai ni sama seperti rumah di Aceh dan Makasar yang terletak dalam lingkungan dunia Bugis. Zawin dari keturunan Bugis ke Aceh?” soalnya.
            “Menurut sejarah, orang Bugis dan Aceh pernah menetap di Perak. Arwah nenek moyang dulu memang Bugis,” cerita Zawin. Dayungan tangannya terasa semakin berat apabila kuih dodol itu semakin likat.
            Zharif mengambil pendayung dari tangan Zawin dan menyambung mengacau dodol yang hampir masak itu. “Zawin pastinya bukan dari kuturunan sebarangan kan?” soalnya.
            Zawin menyeka peluh didahi. “Kenapa? Ada keraguan?” soalnya kembali.
            Zharif mengangguk bersungguh. “Pak Lang Zulkarnain warisi seni membuat keris. Opah pula bekas bidan istana. Arwah datuk Zawin, guru Silat Gayong dan guru agama di Kuala Kangsar. Rasanya, keturunan Zawin ada susur galur pahlawan dan pendita Bugis. Kan?” tebaknya.
            Zawin terdiam. “Arwah datuk pernah berpesan. Hanya dengan ilmu dan budi pekerti kita akan meraih kemuliaan, maka, jangan berbangga dengan keturunan dan sentiasa bersikap merendah diri,” balasnya bersahaja.
            Zharif tersenyum lebar. Semakin dalam dia mengenali Zawin, semakin dia jatuh cinta. “Tadi antara waktu maghrib dan isyak, Pak Lang ada suruh Zawin dan Zafuan baca surah Al-Waqiah tanpa melihat lembaran Al-Quran. Terus terang Zharif kagum. Makna surah itu pun Zawin hafal. Pasti surah itu istimewa pada Zawin bukan?”
            Zawin tersengih. “Zharif memang Detective Conan kan? Si Mr. Hata yang banyak tanya.”
            Zharif tergelak kecil. “Jika Zharif adalah Mr.Hata, Zawin tetap sahaja Ms.Teruterubozu.”
            Zawin tersengih. Matanya melirik sisi wajah Zharif yang dipenuhi keringat. “Arwah datuk pernah pesan jika sibuk sangat macam mana sekalipun dalam sehari, peruntukkanlah masa membaca surah Al-Waqi’ah. Katanya, Al-Waqi’ah itu adalah rahsia dari Al-Quran untuk murah rezeki, cari jodoh, dapat anak dan hilangkan sakit kepala. Ini pesan guru datuk semasa menuntut ilmu di Mesir dulu dan arwah datuk turunkan pesan ini pada kami semua pula,” ceritanya bersungguh.    
            Tangan Zharif berhenti mengacau dodol. Dia menatap wajah gadis bertudung merah jambu itu sejenak.
            “Kenapa?” soal Zawin kehairanan.
            Zharif menggeleng dan meneruskan kerjanya sehingga Zafuan datang mengambil alih pendayung.
            Zawin mendekati kawah yang berisi Rendang Tok yang sudah masak. Dia tersenyum manja sambil menghulurkan mangkuk kecil kepada ibunya yang sedang mengaut rendang ke dalam periuk. Sejurus mendapat rendang ayam yang telah lama diidamkannya, Zawin menuju ke arah pelantar yang dibina dibawah pohon rambutan. “Fuh! Taste like heaven!” pujinya bersungguh dalam keadaan mata terpejam dan mulut mengunyah.
            “Nak rasa juga,” pinta Zharif. Dia mengambil tempat tidak jauh daripada tempat Zawin duduk.
            Zawin membuka matanya. Dia menghulurkan mangkuk ditangan kepada Zharif.
            “Dahsyat! Memang sedap! Best rendang ever!” puji Zharif usai menikmati hidangan melayu tradisional negeri Perak itu. Dia memasukkan satu sudu rendang ayam lagi ke dalam mulut. “Zawin...terima kasih,” ucapnya dalam mulut penuh.
            “Kenapa?”
            “Mengenali Zawin banyak ajar Zharif erti ilmu, pengalaman dan  kasih sayang dalam keluarga. Terima kasih banyak,” luah Zharif bersungguh.
            “Sama-sama.”  Zawin tersenyum manis.
            “Malam akhir ramadhan memang rasa sayu kan?” Zharif merenung langit malam yang cerah bertemankan bulan sabit yang indah.
             “Erm...” Zawin turut menjatuhkan pandangan ke angkasa raya.
             “Cerita Zawin tentang surah Al-Waqi’ah tadi, ingatkan Zharif tentang arwah ayah,” beritahu Zharif.
            “Ya? Ada kisah arwah ayah Zharif dengan surah itu?” soal Zawin ingin tahu.
            Zharif mengangguk. “Arwah ayah ada didatangi seorang lelaki tua berjubah putih dan berjanggut panjang pada malam ke 27 ramadhan sebelum memulakan perniagaan kapal. Orang tua itu berpesan supaya arwah ayah amalkan membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari untuk murah rezeki. Arwah ayah lakukan seperti yang dipesan dan rezeki datang tanpa disangka. Maha suci Allah. Sungguh Al-Quran itu adalah mukjizat. Benar lah kata nabi Muhammad S.A.W yang Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan. Arwah ayah pesan pada Zharif baca surah Al-Waqi’ah sebanyak tiga kali selepas solat subuh dan tiga kali selepas solat Isyak supaya menjadi orang yang kaya yang sentiasa bersyukur,” ceritanya.
            Zawin mengangguk beberapa kali. “Terima kasih,” ucapnya pula.
            “Kenapa?”
            Zawin melagakan gigi atas dan gigi bawah. “Saja,” balasnya ringkas.
            Zharif memuncungkan bibirnya. “Baru je ingat nak berikan puisi khas untuk Zawin.”
            “Untuk Zawin? Zharif cipta puisi untuk Zawin?” Zawin benar-benar teruja.
            “Ya. Baru tadi Zharif tulis, tapi nantilah Zharif bagi.”
             “Terpulang,” sahut Zawin. Matanya dialihkan pada bulan berbentuk sabit dilangit malam. “Ilmu Astronomi telah banyak yang hilang dari khazanah Islam. Apa yang tinggal, ilmu falak Islam yang digunakan apabila mahu melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh mula berpuasa dan hari beraya berdasarkan perkiraan hisab dan rukyah,” ulasnya lalu menghela nafas dalam-dalam.
            Zharif mengangguk. “Ramai astronomi islam seperti Nasir Al-Din dan Omar Kayyam yang ada balai cerapnya sendiri tapi kini hanya tinggal bahan sejarah islam. Sufi Besar Syeikul Akbar Ibnul Arabi menamakan langit itu kepada dua bahagian iaitu langit yang berbintang dan langit yang tidak berbintang. Dalam kitab-kitab beliau ada menceritakan susunan hirarki ciptaan falak-falak langit itu, serta perkaitannya dengan kita dan alam semesta ini. Tidak dapat disangkal, orang islam adalah pelopor dalam ilmu Astronomi, kemudian telah dipelopori pula oleh orang-orang barat.”
            “Bagaimana pula dengan kajian zodiak dua belas bintang?” soal Zawin.
            Zharif tersenyum lebar. “Sarjana Astronomi silam dan terkini membahagikan langit itu kepada dua bahagian. Pertama, ruang langit yang mengandungi Fixed Stars dan kedua, Gugusan Bintang-Bintang atau pun dalam bahasa Al-Qurannya disebutkan Al-Buruj. Maka dari situlah terbitnya kajian dan ilmuan Zodiak atau Bintang 12, lalu diberikan namanya Ilmu Astrologi atau Ilmu Falak. Oleh itu, setiap satu Bintang 12 itu adalah bakat-bakat diperuntukkan bagi kita didunia ini. Maka sebab itulah kenapa kita ada pelbagai perangai, ragam dan karenah.”
             Zawin membetulkan lipatan tudungnya. “Bagaimana pula peranan zodiak dalam membentuk watak-watak dan ragam yang pelbagai?”
            “Terdapat sembilan buah planet yang mempunyai pengaruh besar dalam penghidupan manusia dan setiap satunya telah diperuntukkan vibrasi yang tertentu. Allah punya kuasa, tarikh dan masa kelahiran seseorang merupakan petunjuk untuk mengetahui jenis sinaran dan vibrasi planet-planet yang mempengaruhi personaliti, mencorakkan karekter dan biografi sejarah kehidupan. Psikologi, pemikiran, sebab, emosi, cita-cita, suka, tidak suka, kesihatan, kerjaya, dan sebagainya semuanya didominasi oleh vibrasi tersebut. Zodiak mengikut susunan astrologer bemula dari zodiak Capricorn, Aquarius, Pisces, Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio dan Sagittarius. Kalau kita buat pemerhatian, boleh tersenyum sendiri kerana kita dapat mengagak sikap dan perangai seseorang berdasarkan zodiak.”
            Zawin ketawa halus. “Betul tu. Orang yang lahir dalam zodiak Aries, maka wataknya aggressif dan dominen, kerana ruling planet dalam Aries itu adalah planet Marikh. Berbeza pula mereka yang lahir dalam zodiak Pisces kerana mereka agak passif dan sifatnya sentimental sebab ruling planet adalah Neptune. Maka, begitulah juga seterusnya watak-watak dan pengaruh-pengaruh yang dibawakan oleh zodiak-zodiak lain,” terang Zawin pula.
            Zharif tersenyum nakal. “Ooo...tahu tapi tanya lagi.”
            Zawin tersenyum meleret. “Saja tanya pendapat Zharif. Tapi yang pelik, orang islam sendiri yang menuduh ilmu astrologi terutama kajian bintang dua belas sebagai ilmu syirik. Siap kaitkan dengan hadis nabi yang kata belajar ilmu tilik atau tenung ni, solat tidak diterima selama empat puluh hari. Mereka pertikai habis-habisan walhal mereka sedang memperkatakan sesuatu yang mereka sendiri kurang arif,” komennya sambil menggelengkan kepalanya.
            Zharif mengangguk tanda setuju. “Tidak dinafikan ramai yang prejudis tentang ilmu bintang 12. Mereka hanya tahu mengutuk dan mengkritik tapi tidak sedar diri sendiripun banyak kekurangan. Bolehkah kita pasti pemahaman kita tentang Islam itu benar-benar mengikut syariat? Sedangkan sesama bijak pandai islam pun berlaku percanggahan sehingga timbul empat mazhab. Ilmu bintang 12 ini sangat berguna untuk mempelajari tentang diri kita, kekuatan, dan kelemahan kita supaya kita dapat mengawal dan memperbaiki diri. Misalnya kita akan buka mata dan tahu akan keburukan diri yang membawa kesialan dalam penghidupan kita,” hujahnya pula.
            Zawin mengangguk, turut bersetuju dengan hujah Zharif. Matanya menyeluruhi penampilan Zharif. Lelaki itu berbaju melayu biru muda teluk belanga dipadankan dengan seluar jeans biru. Wajah Zharif diteliti sungguh-sungguh. Dagu pemuda itu berlekuk, bibir itu cantik, berkening lebat dengan hidung tinggi. Dia memang lelaki yang menawan. Desis hatinya.
            “Kenapa Zawin renung Zharif macam tu?” tegur Zharif. “Zawin dah jatuh cinta ke?” usiknya.
            Zawin tersipu malu apabila ditegur begitu. “Zharif lelaki Libra kan?”
            “Apa pendapat Zawin?” Zharif menatap tepat mata bening gadis itu.
            Zawin mengumam, menyeluruhi wajah lelaki itu lebih lama. “Zharif ada ciri-ciri lelaki Libra. Tampan, bijak dan ahli perniagaan yang hebat. Najla pun rasa begitu.”
            Zharif tersenyum penuh makna. “Lelaki Libra tak sesuai ya dengan gadis Leo?”
            “Entah. Tapi dari kajian satu juta pasangan di Eropah, ramai perempuan Leo ada hubungan cinta yang lama dengan lelaki Libra dan lelaki Aquarius. Lelaki Libra mungkin calon paling serasi dengan gadis Leo.”
            Zharif memanggung dagunya, menatap lembut seraut wajah ayu itu. “Jika begitu, kenali Zharif dengan lebih dalam. Fahami kata hati ini. Berilah peluang untuk Zharif bersaing dengan adil bersama Iskandar. Mudah-mudahan Zawin akan tahu Mr.Hata yang mana berkongsi blue moon dengan Teruterubozu.”
            Zawin menahan nafasnya. Renungan lembut lelaki itu membuatkan dia hilang kata-kata. Buat seketika, suasana riuh rendah dihalaman rumah opahnya itu terasa fana. Dia hanya nampak lelaki dalam baju melayu biru muda teluk belanga itu sahaja. “Kenapa Zharif rasa kita berkongsi Blue moon yang sama?” soalnya ingin tahu.
            “Sebab...” Zharif menarik nafasnya dalam-dalam sebelum menyambung kata. “Zharif yakin Zawin adalah tulung rusuk Zharif yang hilang.”
            Zawin terpana. Hampir sahaja mangkuk yang dipegangnya itu terlepas dari tangannya. “Zharif benar-benar yakin?”
            Zharif mengangguk. “Tercipta Hawa dari tulang rusuk bengkok yang tugasnya adalah melindungi Qalbu iaitu jantung dan hati nurani Adam. Zharif yakin Zawin adalah penjaga hati nurani ini.” Zharif menyentuh dadanya dan menggosok perlahan sambil matanya tepat memandang sepasang mata bening gadis itu. “Kalau la Zawin tahu berapa banyak sayang Zharif pada Zawin dalam hati nurani ini, Zawin pasti akan terus ajak Zharif kahwin hari ini juga.”
            Zawin tergelak kecil. Dia menggelengkan kepalanya. “Pandai Zharif bermain kata-kata,” komennya. Dia tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata Zharif.
            Zharif mengembungkan kedua pipinya. “Sampai hati kata kita macam tu. Tak apa. Kalau Zawin tak percaya, Zharif bagi luahan dalam bentuk puisi. Ok?”
            Zawin mengangkat kening kirinya. 
            Zharif mengeluarkan sehelai kertas yang dilipat dari dalam saku baju melayu. “Fahamilah hati nurani ini.” Zharif mengenyetkan mata kirinya usai Zawin menyambut kertas itu. Sebaik menyedari Opah Orkid menggamitnya dari arah tangga rumah, Zharif terus mengatur langkah.
            Zawin membuka lipatan kertas berwarna biru itu dalam rasa berdebar.

She gives me the vibe of a perfect Zaujah I keep wishing for,
Starting from the way she dressed herself,
Up to the way she carried the radiance like no other,
Her eyes are as beautiful as an angel,
Pairing with her lovely face,
Killing me every time I see it.

Her sweet sunny smile,
Always linger on my mind all the time,
It gave me strength as I need it,
Making me forgot, All of my miseries.

I wish I can be your friend,
No!
I wish I can be your boyfriend,
No!
I wish I can be your husband,
           
That way,
I can fall in love with you,
Numerous time.
Loving you so much,
Always and always.

Sincerely Loving you Eternally,
ZHARIF ZAHIR ZULKARNAIN

            Bunyi mercun mengejutkan Zawin daripada lamunan. Dia mendongak ke langit. Wajah Iskandar dan Zharif muncul bersilih ganti pada dada langit. Jika mimpi sebelum ini adalah petunjuk, mengapa Zharif tidak pernah berhenti berharap? Bagaimana pula kalau dia tersilap memilih? Tuhan, aku tahu ilmu dan pengetahuan diriku sangat terbatas malah nafsuku selalu membutakan akal. Hanya diriMu tempatku mengadu dan meminta petunjuk.
******           
            My kidney...apa khabar kamu disana?” soal Iskandar sejurus panggilan disambung.
            “Baik-baik saja. Di mana ni?”
            “Hospital la. Ma di mana ni?”
            “Dalam kereta. Nak temankan Najla ke Ampang Puteri.”
            “Ooo...hospital swasta tu. Sakit apa?”
            “Bukan sakit la. Anas dah daftarkan Najla untuk bersalin disana. Jadi, Najla akan buat pemeriksaan disana setiap bulan. Anas pergi outstation di Terengganu sebab tu jadi pengganti Anas buat seketika,” terang Zawin.
            “Ok. Kirim salam dengan Najla.”
            “Alright. Sibuk ya sekarang Dr.Is?”
            “Tiga hari dah On call. Bosan. Letih. Mood libang-libung ni sayang,” adu Iskandar.
            “Kenapa pula?”
            “Tadi. Ada pesakit lelaki, umur dalam 50 tahun. Dia masuk bilik, marah-marah sebab tunggu lama. Masa tu nak saja cakap, kalau tak nak tunggu lama, pergi la hospital swasta!”
            “Kenapa tak balas balik?”
            “Ish, mana boleh. Kena professional walaupun muka panas je masa tu. Lepas tu kan ma...pakcik ni kutuk pa sampai rasa kembang tengkuk tahan makian dia. Dia kata macam ni...doktor sekarang semua nak gaji beribu tapi kerja nak goyang kaki saja!”
            Zawin tergelak. “Pakcik tu nak monopouse kot,” komennya.
            Iskandar tergelak besar. “Geram! Geram! Habis tadi keyboard komputer pa tekan-tekan. Tapi walaupun muka panas, senyum kambing tetap terukir. Oh, apakah erti hidup ini? Aku burung dalam sangkar, hidupku murung, hatiku runsing...” 
            Zawin ketawa mengekek. “Ooo...kasihan burung itu. Encik burung nak main teka-teki tak?”
            Iskandar ketawa besar. “Ya la. Hamba ini burung yang hina dina. Apa teka-teki tu?”
            “Ada kalkulator tak kat sana? Kalkulator biasa pun ok.”
            “Ada. Jangan buat lawak A darab 10N tu pula. Sebab teka-teki tu, Pa jadi cuak dengan pencuci AXION.”
            Zawin ketawa halus. “Ooo...beri kesan psikologi rupanya teka-teki ku selama ini. Ok. Ini teka-teki baik punya. Tekan nombor berdasarkan nombor yang ada dalam cerita ni. Ada seorang budak, berumur tujuh belas tahun. Budak ni sakit dalam lima hari dan jumpa doktor tiga kali.”
            “Ok. Dapat 11753. Lagi?”
            “Ha...bijak. Kali pertama jumpa doktor, tak tahu penyakitnya, kedua kali pun tak tahu, bila kali ketiga baru tahu penyakitnya. Apa penyakit budak itu?”
            “Kiranya tekan butang darab 1, darab 2 dan darab 3 la kan?”
            “Ya. Berapa jawapannya?”
            “70518. Ini ke jawapannya? Macam pelik je!”
            “Ya. Penyakit tu ada dalam nombor tu.” Zawin cuba meyakinkan.
            “Mana ada. Nak kenakan pa ke apa ni?”
            “Cuba baca terbalik jawapan tu,” saran Zawin. “Akan ada perkataan yang terbentuk. Percayalah.”
            “Bi..sol? Bisol!” Iskandar ketawa terbahak-bahak sehingga keluar air matanya. “Melampau punya penyakit bisol! Sampai tiga hari baru dapat detect!”
             Zawin turut tergelak. “Mood libang-libung lagi tak ni?”
            “Tak dah. Memang ma saja berjaya buat mood pa ok balik. Terima kasih untuk itu. Pa nak makan ni. Lapar. Ma jangan lupa makan ya.”
            “Ok. Kalau jumpa pesakit kena bisol, sampaikan salam ma pada dia ya.”
            Iskandar tergelak lagi. “Sudah. Cukup-cukup sudah. Penat dah gelak ni. Ok sayang. Bye. Assalamualaikum.
            Zawin memasukkan telefon pintar ke dalam tas tangannya. Dia mengeluh berat dan termenung panjang.
            “Kenapa Zawin? Bukan selalunya kau akan gembira ke bila Is telefon?” tegur Najla yang memandu disebelah Zawin.
            Zawin berpaling memandang Najla. Dia mengukir senyum tawar. “Semalam aku mimpi lagi kahwin dengan Is,” beritahunya.
            “Bagus lah tu. Petanda baik. Jadi, masalahnya apa?” soal Najla tidak faham.
             “Entah. Aku rasa macam bersalah sangat pada Zharif. Kalau aku tahu Iskandar dan aku akan kembali semula, memang aku tak akan terima Zharif dulu.”
            “Zharif tahu kau dan Is berbaik semula?”
            “Tahu. Zharif tak nak mengalah dan bersedia bersaing dengan Is. Dia kata dia ada lagi sebulan untuk tempoh percubaan. Sikap Zharif ni la buat aku jadi serba salah.”
            Najla mengumam. “Apa kata hati kau? Zharif atau Is?” Melihat Zawin membungkam begitu, dia tersenyum nakal. “Atau kau nak pilih Fuad?”
            Zawin membundarkan matanya lantas ketawa besar. “Merepek saja. Tersedak Fuad tu nanti.” Bunyi nada dering Detektif Conan berlagu nyaring. Zawin teragak-agak untuk menjawab panggilan itu.
            “Jawab sahaja la,” saran Najla.
            “Ya Mr.Hata,” sahut Zawin usai panggilan dijawab.
            “Ms.Teruterubozu. Bosan ni. Semua nampak gelap disini. Perlukan matahari untuk menerangi. Datang la sini. Bosan. Bosan. Bosan,” adu Zharif.
            “Bosan? Eh, eh. Robot pun reti bosan ke?” perli Zawin.
            Zharif tergelak kecil. “Sampai hati samakan kita dengan robot. Datangla sini. Di bengkel kereta ni. Tunggu, punya tunggu dan tunggu si putih ni kena service. Bawalah si kuning hitam tu sekali untuk service,” pujuknya lembut.
            “Baru je si kuning hitam itu kena service. Lagi pula keluar dengan kereta Najla ni. Zawin temankan Najla buat pemeriksaan kandungan dia di hospital.”
            “Datanglah eyes smile princess. Suruh Najla hantar Zawin ke sini nanti.” Zharif tidak jemu memujuk.
            “Ya. Zawin cuba. Ok. Wassalam.” 
            Najla berdehem sekali. “Beberapa hari lalu aku terjumpa satu madah dalam sebuah buku. Kau mahu mendengarnya?”
            “Ya. Katakan sahaja.”
            “Jika kau jatuh cinta dengan dua orang, pilih lah orang yang kedua kerana jika kau benar-benar mencintai yang pertama, kau tak kan jatuh cinta dengan yang kedua.”
            Zawin terkedu. Dia menelan liur beberapa kali. “Kau menyindir aku, Najla?”
             “Tidak. Aku hanya ingin berkongsi madah dengan kau sahaja.”
            Zawin termanggu sendiri. Sedar-sedar kereta Honda City putih itu sudah memasuki perkarangan hospital.









BAB 44
           
            “Sangat setuju Anas daftarkan Najla ke hospital swasta. Kalau Zawin mengandung nanti pun, Zharif akan masukkan Zawin ke hospital swasta juga.”
            Zawin tergelak kecil. “Apa bezanya hospital awam dan swasta. Sama sahaja. Sakit bersalin pun sama,” tingkahnya.
            Zharif menggoyangkan jari telunjuknya. “Sangat berbeza. Hospital awam, doktor sakit puan ramai lelaki berbanding swasta. Lagi pula pelajar perubatan lelaki wajib masuk bilik bersalin masa praktikal. Zharif tak nak tubuh Zawin dilihat lelaki lain. Zharif cemburu dalam hal ni tau,” terangnya bersungguh.
            Zawin tersenyum lebar. Dia tak tahu selebar mana senyumannya namun hatinya tiba-tiba merasa cemburu dengan gadis bertuah yang akan menjadi suri dihati Zharif kelak. Zawin menghela nafas, membetulkan duduk diatas sofa lalu membelek-belek majalah ditangan.
            “Ini...koleksi majalah kereta yang Zharif suka beli setiap bulan.” Zharif menghulurkan beberapa majalah kepada Zawin yang duduk mendepaninya.
            “Motor Trader, Care Car, Autoworld, Top Gear...” bisik Zawin perlahan, membaca nama-nama yang tertera pada muka hadapan majalah-majalah ditangan. Zawin meletakkan sebahagian majalah di atas meja. Dia membelek majalah Top Gear secara rawak. Matanya terpaku pada gambar kereta berwarna kuning hitam. “Eh, hampir sama dengan Kelisa kuning ku itu,” ujarnya dalam teruja.
            Zharif menjenguk kereta yang dimaksudkan Zawin. “Mini Cooper S? Berminat ke?”
            Zawin pantas menggeleng. Melihat harga kereta itu sehingga melebihi RM200,000 sudah cukup membuatkan hatinya cuak. “Mahal gila. Dua pintu sahaja pun. Membazir saja beli,” komennya.
            “Kalau mampu, apa salahnya. Lagi pula, kereta Mini Cooper ni dah dibeli BMW. Ibarat dapat mini BMW bila bawa. Zharif pernah pandu uji. Memang puas hati tekan minyak. Kereta tak bergoyang kalau bawa laju sikit. Enjin jenis turbo. Awesome car indeed!” beritahu Zharif bersungguh.
            Zawin mengembungkan pipinya. “Zharif tak minat Mini Cooper?”
            Zharif menggeleng pantas. “Tak minat.”
            “Habis tu? Apa yang Zharif minat?” Zawin menyelak helaian baru majalah kereta ditangan.
            “Zharif minat Zawin Az-Zahra saja.”
            Zawin mengangkat wajahnya, menjeling wajah nakal lelaki itu. “Serius la Zharif,” rungutnya.
            “Apa pendapat Zawin?”
            “Zawin rasa...”
            “Apa Zawin rasa?”
            “Ha! Kereta jenazah!” balas Zawin selamba.
            Zharif ketawa besar. “Ish, ish, ish...insaf sekejap...”
            Zawin tergelak kecil. “Cakaplah, kereta apa Zharif minat?”
            “G-T-R.”
            “Nissan G-T-R?” soal Zawin semula.
            Zharif tersenyum lebar. “Dua minggu lepas baru sahaja test drive Nissan G-T-R dengan Nabil. Sedap sangat tekan pedal minyak. Rasa macam tak pijak tanah.”
            “Beli la kalau dah suka...” saran Zawin.
            “Bukan semua benda kita suka, kita harus dapatkan...” balas Zharif.
            Zawin memerah mindanya. Kata-kata itu seakan sebati dengan dirinya. Matanya terus merenung tajam wajah lelaki itu. “Hei, itu kata-kata Zawin!”
            Zharif ketawa mengekek. “Biarlah. Itu kata-kata Zawin masa Zharif suruh beli Honda Jazz. Kitar semula kata-kata itu. Jangan membazir!” ujarnya penuh semangat.
            Zawin menahan tawa. Jika dilayan karenah Zharif, sampai bila pun tidak ada penamatnya. Matanya merenung kereta Honda City putih yang sedang di selenggara mekanik berbangsa cina.  “Fuad kata, setiap enam bulan Zharif tukar kereta. Kenapa Honda City tu masih tak bertukar?”
            Zharif tersenyum penuh makna. Majalah Top Gear yang sedang dibeleknya, diletakkan diatas meja. “Honda City itu yang menemukan tulang rusuk Zharif yang hilang. Jadi mana mungkin Zharif boleh menjualnya kepada orang lain. Ada nilai sentimental yang tidak akan Zharif dapat daripada mana-mana kereta sekalipun!”
            Zawin terkedu. Dia hilang kata-kata. Mengapa lelaki ini sering membuatkan diri ini serba salah? Bisik hatinya.
            “Yo, bro!” tegur satu suara di sisi Zawin.
            Zharif terus bangun sejurus menyedari kehadiran Nabil. “Lambat bro hari ni,” tegurnya lalu bersalaman dengan lelaki sederhana tinggi itu.
            “Aku kena stay selagi doktor yang ganti shif aku tak sampai. Lambat sungguh dia masuk. Ada hal dirumah katanya.”
            Zharif mengangguk. “Zawin, ini Dr.Nabil. Doktor Neurosurgeri di Ampang Puteri.” Zharif memberi isyarat mata kepada Zawin.
            Zawin terus terbangun apabila tersedar daripada lamunannya. Dia mengalihkan pandangan pada wajah lelaki berdahi luas yang mengenakan kaca mata itu. “Oh. Hai. Saya Zawin.” 
            Nabil mengukir senyum manis. “Nice to meet you,” ucapnya ramah. Ditatap sejenak wajah gadis itu sebelum berbisik perlahan pada Zharif. “Inilah dia wajah yang kau lihat dibulan hari tu ya?”
            Zharif tersenyum segan. “Mana Mazda kau?” soalnya sambil menjengukkan kepalanya mencari kereta lelaki itu daripada deretan kereta yang dipakir.
            Nabil mengangkatkan keningnya. “Cuba kau teka aku pakai kereta apa sekarang?”
            Zharif mengerutkan keningnya. Matanya meliar mencari kereta yang diparkir di hadapan bengkel kereta itu. Matanya terpaku pada sebuah kereta jenis sport berwarna kelabu. “Nissan G-T-R?” soalnya tidak percaya. 
            Nabil tersenyum lebar. “Mazda RX7 aku dah jual. Banyak komponen dah rosak. Enjin rotary memang tak best. Minyak mengalir bagaikan air...”
            Zharif ketawa halus. “Aku dah cakap kan, tapi tak sangka kau jual juga kereta tu. Tiga tahun tu kau pakai.”
            “Memang ada nilai sentimental. Baru dua hari lepas, aku tengok kereta tu betul-betul diparkir disebelah G-T-R aku.”
            “Dah ada orang beli?”
            Nabil mengangguk. “Sedih pula aku tengok masa tu. Ikut hati, nak saja aku turun dan peluk cium itu kereta...”
            Zawin tergelak halus. Kata-kata lelaki berdahi luas itu menggeletek hatinya.
            “Sekejap ya.” Zharif meminta diri apabila mekanik berbangsa cina memanggilnya.
            “Tahniah,” ucap Nabil tiba-tiba usai melabuhkan punggung di atas sofa. Wajah gadis melayu itu direnung dalam-dalam. Ada iras seorang pelakon latin yang diminatinya.
            “Tahniah? Kenapa?” Zawin mengerutkan keningnya.
            “Sebab berjaya ubah Zharif daripada menjadi Superman yang keseorangan kepada Batman yang berteman.”
            Zawin menahan senyum.”Nak kata saya ni Robin la ya?” duganya.
            Nabil mengangguk bersungguh. “Akhirnya Batman tetap perlukan Robin disisinya. Tak gitu?”
            Zawin hanya diam. Tidak mahu memberi komen pada kata-kata itu.
            “Lagi pula, Zharif tu tak pernah lulus pun jadi Superman. Cepat gayat dia tu,” bisik Nabil  lalu ketawa terkekeh.
            Zawin menutup mulut, mengawal tawa. “Doktor pun tahu dia takut tempat tinggi?”
            “Cuba ajak dia main roller-coaster. Zharif akan bertukar dari lelaki gagah kepada lelaki paling comel dalam dunia,” ujar Nabil dalam sisa tawa.
            Zawin terenyum meleret. Kenangan bersama Zharif di Sunway Lagoon bermain-main dalam benaknya. Mata Zawin merenung sisi wajah doktor bedah otak dan saraf itu. “Berapa lama doktor kenal dengan Zharif?” soalnya ingin tahu.
            “Sejak di Ireland dulu. Jangan tak percaya, Zharif dikenali sebagai lelaki gay tau.”
            “Hah? Lelaki gay?”
            “Ya. Zharif selalu pakai t-shirt yang ada tulisan I hate girls. Perempuan memang tak dapat nak dekat dengan dia langsung,” cerita Nabil bersungguh.
            Zawin ketawa bersungguh. “Biar betul? Zharif macam tu?”
            “Percayalah. Tapi yang pelik, dia boleh berbaik dengan Dr.Husna. Sampai sekarang mereka masih rapat, tapi rapat sebagai kawan sahaja la. Setakat ini satu-satunya nama perempuan yang bermain dibibir dia adalah Zawin Az-Zahra.”
            Minda Zawin menerawang mengingati wajah doktor perempuan yang pernah merawatnya semasa dia keracunan makanan dulu. Pasti ada kisah antara mereka. Desis hatinya.
            “So, neurotransmitter apa yang sedang berlaku?”soal Nabil. Majalah automobile dibelek-belek secara rawak.
            “Apa tu?”
            “Kimia otak yang berkomunikasi melalui otak dan badan. Pernah dengar tentang kimia-kimia yang terhasil dalam proses sebuah kisah cinta?”
            “Oh itu. Memang pernah dengar. Erm...doktor neurologi dan neurotransmitter. Maaf, tak perasaan perkaitan itu. Dr.Nabil pasti sudah pakar dalam kimia-kimia ini bukan?”
            Nabil mengangkat kening kirinya. “Apa neurotransmitter yang sedang berlaku?” soalnya cuba merisik perasaan gadis itu.
             Zawin mengukir senyum tawar.”Pastinya bukan neurotransmitter Oxytoxin,” balasnya tenang.
            Nabil tergelak besar. “Memang tak la. Itu hormon yang dirembeskan semasa hubungan seks berlaku. Mungkin kimia Serotonin?” duganya.
            Zawin hanya mampu tersenyum. Seperti kata Zharif dahulu, kimia Serotonin yang menyebabkan dia tak mampu lupakan Iskandar sehingga sekarang. Mana mungkin kimia-kimia lain akan berlaku bila bersama Zharif.
            “Tak nak berkongsi ya? Tak apa. Jangan ikut macam saya. Neurotransmitter itu sudah berhenti berlaku.”
            “Kenapa?” soal Zawin semula. Wajah muram lelaki itu membuahkan rasa hairan pada dirinya.
            “Saya baru bercerai,” beritahu Nabil tenang.
             “Saya bersimpati,” ucap Zawin. Dia tidak tahu kenapa lelaki itu mudah meluahkan rasa sedangkan ini kali pertama mereka bertemu.
            “Kadangkala cinta pertama itu tidak semestinya menjamin hubungan yang kekal dalam perkahwinan,” ujar Nabil dalam renungan yang jauh.
            Zawin merenung wajah lelaki berkaca mata, berdahi luas itu. “Cinta pertama? Ya. Mungkin.” Zawin hilang kata-kata. Hatinya berlagu resah tiba-tiba. Jika Iskandar adalah jodohnya, mampukah hubungan mereka bertahan selepas berkahwin?
            “Zawin...” panggil Zharif. Dia hairan melihat riak wajah Zawin yang keruh. Apa yang menganggu fikiran gadis itu?
            Zawin mengangkat wajahnya. “Ya,” sahutnya lembut.
            “Maaf. Tak dapat temankan makan malam. Ada hal sekejap lagi.”
            “Ok. Kita balik sekarang la,” saran Zawin lalu bangun, mencapai tas tangan diatas sofa.
            “Nabil, jumpa tempat biasa. Zul dah tempah tempat untuk kita,” beritahu Zharif.
            “Alright.” Nabil turut berdiri.
            “Zharif nak pergi mana nanti?” soal Zawin. Dia tidak pernah ambil kisah selama ini kemanapun Zharif pergi, namun tiba-tiba dia ingin tahu aktiviti lelaki itu.
            “Err...The Beach,” balas Zharif serba salah.
            “Pantai mana?” Zawin mengerutkan keningnya.
            Zharif dan Nabil saling berpandangan.
******           
            “Lina kembali pada Alif?” soal Zawin t?idak percaya. Rakan serumahnya itu kelihatan gembira dan berseri.
            Alina mengangguk dalam senyum bahagia. Dia membetulkan tudung dihadapan cermin ruang tamu. “Entah la kak. Hati hanya sayang dia. Semua orang buat salah. Jadi Lina maafkan dia. Kalau Alif buat hal lagi, memang tak ada maaf untuk dia.” Alina berpaling menatap wajah Zawin setelah berpuas hati dengan penampilannya. “Lina pergi dulu. Nak jumpa Alif,” beritahunya berseli dengan kenyitan mata pada gadis  itu.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. Dia hanya memerhatikan gadis tinggi lampai itu beredar pergi. Apa sudah jadi? Kak Wan juga sudah kembali dengan kekasih lamanya. Hatinya diserbu rasa cemburu. Orang sekelilingnya disenang-senangkan dengan cinta, sedangkan dia masih ribut dengan cinta.
            Damia tersenyum manis pada Zawin sebaik muncul di pintu hadapan. “Konichiwa...” ucapnya sambil mendepakan tangan. Dalam t-shirt putih lengan panjang, jeans biru dan beberapa buku masih berada ditangannya, Damia berpusing-pusing dihadapan Zawin.
            “Kenapa pula ni Mia? Menang loteri ke?” soal Zawin bersahaja.
            Damia ketawa mengekek. “Amboi mulut...” Damia meletakkan buku-buku di atas meja ruang tamu. Dia kembali berpusing-pusing sambil menggawang-gawangkan tangan. “Love is in the air...Love is in the air...” ulangnya beberapa kali.
             Zawin ketawa kecil. Tudung lebar hitam polos yang dikenakan Damia kelihatan terkibar-kibar tatkala berpusingan begitu. “Aik? Jatuh cinta kah? Ada pakwe ke? Katanya dulu solo itu indah.”
            Damia berhenti berpusing dan masih tersengih-sengih. “Anatawa inakute shimishi,” ucapnya bersungguh.
            Zawin terlopong. “Wah! Siapa yang ucap rindu pada Mia tu? Takkan la Daniel?”
            Damia mengangkat kening kirinya. “Itulah hakikatnya. Memang Daniel Izairi yang ucap,” beritahunya lalu duduk menghadap Zawin.
            Mata Zawin membulat. “Jumpa Daniel dimana? Bukan ke diploma dulu kamu berdua di Uitm Perak?”
            “Itulah takdir. Daniel sambung ijazah dalam kursus muzik di Shah Alam juga. Mia jumpa dia balik dalam kelas Bahasa Jepun semester ni. Tiba-tiba sahaja petang tadi dia luah perasaan pada Mia. Tak tahu nak sorok muka dimana masa tu? Rasa merah satu muka tadi. Jantung berdebar gila,” cerita Damia.           
            Zawin ketawa halus. Wajah Chinese-look gadis itu memang sedang merah. “Mia terima dia tak?”
            Damia menggeleng. “Perempuan harus jual mahal,” ujarnya lalu ketawa besar.
            Zawin ikut ketawa. “Untunglah...”
            Damia tersengih. “Tadi Daniel nyanyi lagu ‘Yakinlah aku menjemputmu’. Teringat kenangan lama semula.” Damia menepuk-nepuk pipinya perlahan sehingga terasa panas. “Mia...bangun dari mimpi. Ini bukan mimpi kan?” soalnya kepada diri.
            Zawin menggeleng-gelengkan kepalanya dalam tawa lepas. “Ya. Teruskanlah bermimpi,”  selorohnya. Zawin bangun dan menapak ke dalam bilik sejurus nada dering Detective Conan berbunyi dari telefon pintar.   
            “Zawin, temankan Zharif hari ni. Ada kawan kahwin,” pinta Zharif sejurus talian disambut.
            “Dimana majlis tu?”
            “Hotel Hilton. Zharif dah sampai didepan pangsapuri ni.”
            “Ok. Zawin bersiap sekarang.” Zawin terus mematikan talian. Dia membuka almari, membelek-belek baju yang tergantung disitu. Matanya terpaku pada baju kebaya nyonya berwarna hitam dengan renda hijau bersama kain songket hitam kelabu. Hadiah pemberian Iskandar itu tidak pernah dipakainya sebelum ini walaupun telah digosok kemas. Tanpa berfikir panjang dia mencapai baju itu dan menyarungkan pada tubuh. Tudung hitam bawal disarungkan pada kepala. Dalam agak tergopoh, dia gagal menjumpai butang untuk mengemaskan kedudukan tudung lalu kedua belah hujung tudung diselempangkan pada kedua-kedua bahu. Zawin terus beredar sejurus memasukkan telefon pintar dalam tas tangan.
            Zharif terpana melihat penampilan Zawin dari jauh. Dia tidak terkata apa dan hanya tersenyum tawar semasa gadis itu masuk ke dalam perut keretanya. Dia hanya membisu sepanjang jalan dan hilang mood secara mendadak.
            Zawin hairan melihat reaksi Zharif. Biasanya lelaki itu akan bertanya itu ini dan mulutnya kecoh bercerita macam-macam hal. Kenapa lelaki ini berubah sedingin salju? Hatinya berbisik resah. “Siapa kawan Zharif yang kahwin ni?” soalnya memulakan perbualan. Wajah lelaki itu ditatap bersungguh. Kulit cerah lelaki itu dikesan berubah merah. 
            “Khalid. Kawan satu sekolah dulu,” balas Zharif ringkas.
            Zawin malas bertanya lanjut apabila melihat Zharif menjawab soalannya dengan tidak acuh malah tidak langsung memandangnya. Dalam hati berputik rasa marah dan geram dengan cara Zharif melayannya. Bukan kah lelaki ini yang memintanya untuk menjadi teman ke majlis kahwin itu? Kenapa reaksi Zharif seolah-olah mereka akan ke majlis pengebumian pula? Dah la masing-masing pakai warna hitam! Memang padan lah untuk berkabung! Jerit hati Zawin. Dalam dia berperang dengan ketidakpuasan hatinya itu, kereta Honda City itu sudah memasuki perkarangan Hotel Hilton. Zawin mengekori langkah Zharif masuk ke dalam perkarangan hotel mewah itu tanpa banyak tanya. Mood dirinya juga sudah terbang ke laut.
            “Hai Zawin. Ingat saya lagi tak?” tegur Dr.Husna sejurus gadis itu mengambil tempat di meja yang sama dengannya.
            Zawin berpaling ke arah kiri. Seraut wajah lembut itu amat dikenalinya. “Mana mungkin saya lupa. Terima kasih sebab tolong saya dulu,” ucapnya bersulam senyum manis. Wanita berkulit sawo matang itu tampak manis dalam baju kurung moden merah mata berpadanan dengan tudung merah jambu.
            “Ala, perkara kecil saja. Cantik lah baju kebaya ni. Beli ke?” Dr.Husna membelek-belek renda hijau pada hujung lengan kebaya itu.
            “Pemberian seorang kawan,” balas Zawin jujur.
            “Tak pernah tahu pula Husna kenal Khalid. Husna ni banyak rahsia ya?” usik Zharif yang duduk disebelah doktor wanita itu.
            Dr.Husna tergelak. “Mana ada rahsia. Kenal Khalid macam tu sahaja. Suhaila tu yang Husna kenal rapat.”
            Zawin mengetapkan giginya menahan geram. Zharif sedikit pun tidak menegurnya malah rancak berborak dengan Dr.Husna tanpa menghiraukannya yang terkontang-kanting sendirian. Dia tidak mengenali wajah-wajah yang turut berada dimeja yang sama namun melihat gaya ranggi tetamu-tetamu yang hadir, menyedarkannya status pasangan mempelai. Jantung Zawin bagai direntap sebaik melihat senyuman manis Zharif kepada Dr.Husna. Membuntang matanya memerhati. Hati rasa ditoreh-toreh melihat cara Zharif memandang Dr. Husna. Sakit! Zawin mengetap bibir, menahan sakit hati yang gamat bergelojak. Diluar sedar, garfu yang digenggamnya patah dua. Zawin menelan liur. Wanita separuh abad yang duduk disebelahnya itu menatap wajahnya dengan pandangan hairan. Dia hanya mengukir senyum pahit.  Dia tahu jika berada lama-lama disitu, pasti hatinya akan meletup. Tanpa sebarang pesanan, Zawin mengangkat punggung dan bergegas keluar dari dewan hotel itu.
            Zawin menghela nafas lega usai meloloskan diri ke dalam Taxi berwarna merah. Matanya dipejam rapat-rapat. Hatinya sudah bertekad. Hubungan dengan Zharif harus diputuskan. Dia tak akan melibatkan dirinya dalam hidup lelaki itu lagi. Zawin membuka mata sebaik mendengar nada mesej masuk.
            Ma, temankan pa lunch hari ni.
            “Pakcik, ubah haluan. Hantar saya ke Hospital Ampuan Rahimah,” arah Zawin tanpa berfikir panjang. Nada deringan Detective Conan mengejutkan Zawin dari lamunan. Melihat nama Zharif tertera pada skrin, bibirnya mengetap geram. Zawin membungkam, membiarkan deringan berterusan sehinggalah deringan berakhir. Laju tangannya menekan punat off apabila panggilan daripada Zharif masuk lagi.
            “Wah! So beautiful!” puji Iskandar bersungguh. “Tak sangka ma akan pakai baju ni. Ingat kan dah buang.” Iskandar benar-benar terpegun melihat penampilan anggun gadis itu.
            Zawin tersenyum nipis. Entah mengapa dia tidak gembira mendengar pujian Iskandar.“Jom makan,” ajaknya lalu menapak dahulu ke dalam kantin hospital.         
             “Siapa bidadari tu Is?” bisik Firash semasa beratur untuk membayar makanan.
            “My kidney,” balas Iskandar dalam senyuman lebar.
            “Wah! Untung kau. Hot chick tu.”    
            Zawin yang sedang membayar harga makanannya merasa tidak sedap hati mendengar perbualan itu. Dia benar-benar tidak suka dilabel dengan panggilan sebegitu. Sejurus mengambil tempat di sebuah meja kosong, Zawin terus menikmati hidangan tomyam. Cili hidup yang ada dalam mangkuk dikunyah perlahan.  
            Iskandar menahan senyum. “Sejak bila ma mula makan tomyam semula?” soalnya kehairanan. Seingatnya gadis itu tidak mahu lagi menyentuh hidangan tomyam selepas penceraian ibu bapanya. Kuah lontong dihirup perlahan tetapi pandangannya masih terarah pada  wajah gadis itu.  
            Zawin berhenti mengunyah. Sudu tergantung di tangannya. Wajah Zharif menyerbu dalam benaknya. Ya! Lelaki itu yang menyebabkan dia makan tomyam semula! Dia cuba menghalau bayangan Zharif daripada mengasak benaknya. Zawin terus mencapai gelas berisi kopi O yang masih berasap lalu dihirup perlahan. Mata Zawin terpejam menikmati sensasi rasa paduan pedas, manis dan panas dalam mulutnya. Wajah Zharif muncul dalam bayangannya. Tersenyum manis berlemak. Mendadak matanya terbuka luas. Apa kena dengan aku ni? Kenapa aku tak boleh berhenti memikirkan dia?  
            “Ma pergi mana tadi?” soal Iskandar. Dia hairan melihat gadis dihadapannya ini bagaikan sedang memikirkan sesuatu.
            “Tak ada mood nak jawab,” balas Zawin lantas menolak mangkuk yang masih banyak baki tomyam. Seleranya terus mati.
            Iskandar semakin dilanda kehairanan. “Pelik saja. Sejak bila pandai tak ada mood ni? Ma pergi mana tadi? Itu sahaja soalan pa kan? Tapi kalau ma rasa susah nak cakap macam jawab exam fizik kertas dua, baik tak payah la jawab,” ulasnya dalam nada kecewa.
            Zawin merenung wajah Iskandar. Renung yang lebih kepada renung kosong. “Maaf,” ucapnya ringkas.
            “Ma fikir apa? Kongsilah dengan pa. Apa yang menganggu fikiran ma?” Iskandar cuba merisik rahsia hati gadis itu.
            “Fizik kertas dua susah dari Biologi kertas dua ke?” seloroh Zawin, berusaha melindungi keresahan fikirannya.
            Iskandar tergelak kecil. “Tahu tak apa.”
            “Uncle Is!”
            Zawin terkejut dengan kehadiran seorang gadis remaja disisi meja mereka. Gadis berambut hitam paras bahu itu dilihatnya menyalami tangan Iskandar dan bergesel pipi tanpa segan silu. Membuntang mata Zawin memerhati.
            “Eh, Maria. Lama dah sampai? Mama mana?” tegur Iskandar.
            “Baru lagi. Mama dah masuk bilik dia.”
            “Ikutlah mama masuk bilik. Kerja sekolah banyak tak?”
            “Banyak. Nak uncle ajar subjek sains. Uncle Is boleh ajar kan?” Maria mengambil tempat disebelah doktor kacak itu.        
            “Ish, uncle sibuk la. Kenapa tak buat kerja sekolah di rumah saja? Kan senang. Sini bising.” Iskandar cuba mewajarkan.
            “Ya la. Maria masuk bilik mama, lepas tu Maria balik. Ok?”
            “Ok.”
            Mata Zawin sekali lagi membuntang luas apabila gadis itu mencium pipi Iskandar. “Siapa budak perempuan tu?” soal Zawin sejurus gadis remaja itu berlalu.
            “Anak Dr.Mariana. Biasa dia datang sini bila cuti sekolah. Kenapa? Cemburu ya? Ala, budak sekolah tu. Baru tingkatan dua. Jangan risau la. Ma tetap juara dihati pa.” Iskandar tersengih nakal.   
            “Isunya, bukan cemburu tetapi budak tu dah baligh. Pa patut lebih menjaga batas pergaulan. Ini bergesel dan cium pipi bagai,” bebel Zawin tidak berpuas hati.
            Iskandar terdiam. “Maria tu memang macam tu. Satu keluarga dia pun sama macam tu. Serba salah juga nak tolak.” Iskandar cuba membela dirinya.
            “Suka hati lah. Dah besar kan? Fikir sendirilah,” putus Zawin akhirnya. Dia malas nak bertelingkah pada masa jiwa dan fikirannya sedang berserabut. Nanti berpanjangan pula dan dia yang akan sakit hati balik. Bayangan Zharif melintas dibenaknya. Zawin benar-benar geram. Kenapa bayangan lelaki itu seakan mengekorinya? Baki air kopi dihirup sehingga kering.    
            Iskandar terdiam lagi. Wajah keruh Zawin diperhatikan bersungguh. Dia tidak pernah melihat gadis itu bersikap hambar kepadanya selama ini malah fikiran Zawin dikesan sedang dikuasai sesuatu biarpun dia di hadapan mata. “Ma ada masalah ke?” soalnya ingin tahu.
            “Tak ada masalah  pun,” balas Zawin pantas. “Ma nak tengok baby. Pa habiskanlah makan tu.” Zawin terus berdiri, mencapai tas tangannya.”
            “Pa temankan.” Iskandar turut bangun. Seleranya juga sudah mati. Lebih baik dia temankan gadis itu.     
            Pemandangan di sebalik dinding kaca itu sungguh menenangkan hatinya. Pipi-pipi mongel bayi-bayi comel yang baru berusia beberapa hari itu dipandang dengan penuh teruja. Tanpa sedar, tangannya diletakkan diatas perut sendiri. Keinginan untuk menjadi ibu terasa membuak-buak.
            “Suka ya?” Iskandar tersenyum senang melihat senyuman bahagia itu terukir dibibir Zawin.                                    
            Zawin mengangguk bersungguh. “Tak sabar nak menimang anak sendiri,” akuinya jujur.
            “Tahun hadapan kita kahwin ya? Bila ma nak bersalin, pa hantar ke hospital swasta. Biar doktor perempuan yang uruskan proses bersalin ma nanti. Ok?”
            Zawin mengangguk bersulam senyuman manis. “Ok, Zharif.”
            Iskandar tersentak. Wajah Zawin direnung bersungguh. Dia ingin menegur gadis itu, ingin membetulkan namanya yang disalah sebut tapi melihat perubahan sikap Zawin yang tiba-tiba berubah ceria membuatkan dia tidak sampai hati. Wajah yang sugul dan keruh itu tadi sudah bertukar ceria malah berseri-seri! Bimbang jika tersalah cakap, hilang pula sinar pada wajah itu dan paling teruk mood gadis itu akan berubah.
            “Kenapa?” soal Zawin apabila menyedari pandangan pelik Iskandar.
            Iskandar lekas menggeleng. Bibirnya turut mengukir senyum melihat senyuman manis Zawin. Jauh disudut hatinya, perubahan sikap Zawin begitu mendadak itu membuatkan perasaannya gundah. Tidak sedap hati. Kenapa nama Zharif tiba-tiba meniti keluar dari bibir Zawin?

9 awesome commentator:

  1. kak maira..jaja mi.. :) waahhh...akhrnya..smbungn skli 4 epsd.. kak maira..cpt2 smbung..hehe..xsbr..gudluck kakmaira..salam maal hijrah :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. Finally! Keluar jugak sambungan cerita ni. Been waiting all night long sis. Banyak sangat input dapat dari sambungan kali ini. Semoga karya sis dapat memberi pengetahuan yang meluas akan datang

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..

    nak tanya, story ni memang tak dinovelkan ke? best reading this story. rasa tak boleh berhenti, nak baca aje sampai habis. tapi malangnya terstop kat sini pulak. sedihhhhhhhh. nak tau ending.

    teruskan menulis ya? :)

    ReplyDelete
  4. Terbaik tp bila nak dbukukn, tak sabar nak tahu ending

    ReplyDelete
  5. Lmbtnye smbgn cite ne..xsbr nak tau kesinambungannya..sis xmok d bukukn ke?tq..

    ReplyDelete
  6. assalammualaikum..

    follow sini...

    kuazue.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. dear makcik or tok bomoh

    jgn pernah berubah...miss u

    ReplyDelete
  8. As'salam.Kami sedia menerima tempahan mencetak novel.100% syrkt bumiputra yg bru bertapak.Harga & kualiti berpatutan,boleh dirunding kerana kami tidak perlu membayar sewa kedai&lain2.Kami berada dibawah naungan GiatMara .email = putihitampercetakan@yahoo.com . Terima Kasih.ape2 pn tak sabar nak baca novel gemleo yg dah dibukukan :D

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top