Thursday, November 8, 2012

GEMLEO 22, 23

BAB 22

            “Terima kasih Zharif,” ucap Zawin sambil menghulurkan kunci kereta kepada lelaki itu.
Zharif merenung sejenak kunci kereta jenama Honda ditangan kemudian mengarahkan pandangannya pada wajah gadis bertudung biru muda dihadapannya. Zawin tampil menawan dalam baju kurung merah jambu dengan bunga-bunga kecil berwarna biru lembut. Hujung lengan dan hujung bawah baju juga turut bersulam renda biru muda. “You’re so gorgeous today,” pujinya bersungguh.
            Zawin tersenyum nipis. “Gorgeous?”
            Zharif mengangguk bersulam senyum lebar. “When a guy calls you gorgeous, he looks at your clothes. Remember?”
            Zawin menahan tawa. Ya. Lelaki itu pernah mengungkapkan kata-kata itu semasa makan malam di restoren Perancis. Matanya menyorot Jersi biru kelab bola sepak Chelsea ditubuh lelaki itu. “Err...Zharif bercuti ke hari ni?” soalnya ingin tahu. Seingatnya, lelaki ini tidak pernah mengenakan pakaian santai kecuali pada hari ahad.
            Zharif turut meneliti Jersi biru ditubuhnya mengikut sorotan mata gadis itu. Bibirnya mengukir senyum nakal. “Apa pendapat Zawin?”
            Zawin terdiam. Bola matanya tertumpu pada untaian huruf yang membentuk nama syarikat telekomunikasi dari Korea pada bahagian dada jersi itu. Tangannya menyentuh hujung lengan pendek Jersi itu. “Erm...sila bangun dan pusing,” arahnya sambil menggaru dagu.
            Zharif akur lantas bangun dan memusingkan tubuhnya. Matanya sempat menangkap riak hairan pada wajah-wajah gadis berkimono merah putih yang berpapasan dengannya. Dia hanya mampu tersenyum.
            “Nombor enam?” tegur Zawin sebaik melihat ukiran nombor enam pada belakang jersi biru itu. Di atas nombor itu pula terukir nama Zharif dalam huruf besar. “Jangkaanku ternyata tepat.” Zawin menjungkitkan keningnya.
            Zharif terus memusingkan tubuhnya mendengar kata-kata itu. “Jangkaan? Apa dia?” soalnya dengan teruja. Dia kembali melabuhkan punggung di atas kerusi kayu.
            “Zharif peminat tegar kelab Chelsea. Kan?” tebak Zawin.
             “Ya ka? Apa bukti anda wahai eyes smile princess?” uji Zharif.
            Zawin tersengih. “Wahai jambu prince, kualiti jersi mu ini menjelaskan segala-galanya. Pasti jersi tempah. Nama dibelakang jersi pula terukir nama dalam kad pengenalanmu. Bukan John Terry,” jelasnya.
             Mata Zharif tiba-tiba bersinar gembira. “Zawin kenal John Terry?”
            Zawin mengangguk. “Dia ketua pasukan Chelsea. Pakai jersi nombor enam,” balasnya selamba. Teh jepun dihirup perlahan. Matanya menyeluruhi isi restoren Jepun itu. Rata-rata pelanggan sedang sibuk menikmati hidangan tengahari masing-masing.
            “Jangan kata...Zawin peminat bola sepak?” tebak Zharif berbaur risikan.
            “Tak salah kan?” Zawin menyuap sushi ikan salmon ke dalam mulut.
            “Memang tak salah. Tapi pelik juga la,” komen Zharif.
            “Perempuan minat bola sepak itu tak pelik, tapi lelaki yang tak minat bola sepak itu yang pelik,” komen Zawin pula. “Macam si Daniel Iskandar itu...” ngomel Zawin dalam suara perlahan sambil meneliti isi sushi ikan salmon sebelum memasukkan ke dalam mulut.
            Zharif menahan senyum mendengar omelan gadis itu. “Memang la. Doktor mana ada masa nak layan bola. Lebih-lebih lagi houseman macam Iskandar tu. Mereka terpaksa lalui tempoh yang sukar, masa yang terhad untuk diri dan pelbagai ujian untuk menguasai ilmu yang mereka belajar dalam bentuk praktikal. Bila lulus peringkat houseman, baru diberikan jawatan Medical Officer. Selepas itu pun, kerja takkan pernah habis. Orang yang benar-benar ada minat dan keazaman sahaja boleh bertahan. Zawin kena la faham kerjaya Iskandar,” pujuknya.
            Zawin mengerdipkan matanya. “Zharif tahu daripada mana?”
            “Ada beberapa kenalan dalam bidang perubatan. Sedikit sebanyak tahu la juga,” balas Zharif seraya menghirup Teh Jepun.
            Zawin terdiam. Benar sekali nasihat lelaki itu. Dia perlu banyak bersabar dan memahami tuntutan kerja lelaki itu. Bunyi nada mesej memecah lamunan Zawin.  Pantas tangannya menarik keluar I-Phone dari tas tangan dan membuka peti mesej.
            Akak tak apa-apa. Bila keadaan dah kembali tenang, akak akan balik
            Zawin mengeluh berat. Tangannya cekatan membalas mesej itu.
            Ok. Zawin cuma bimbang. Zawin akan tunggu akak balik
            Zawin meletakkan I-Phone di atas meja sambil merenung sushi ikan salmon yang masih berbaki didalam pinggan.
            “Kenapa Zawin? Ada masalah?” tegur Zharif sebaik menangkap wajah gusar gadis itu.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam sebelum menatap wajah lelaki itu. “Zharif...malam semalam Kak Puteri keluar dari rumah. Tak tahu mana dia pergi,” ceritanya.
            “Kenapa? Apa yang berlaku?”
            Zawin terdiam lagi sebelum menjawab. “Tengku Amir...dan Tengku Azura datang ke rumah semalam. Tengku Azura...err...serang Kak Puteri.”
            Zharif terkejut amat mendengar cerita gadis itu. “Zura ada serang Zawin tak?” soalnya dalam cemas. Gadis kerabat itu memang melampau! Sudah diberi amaran supaya menjauhkan diri daripada berada dekat dengan Zawin namun masih ingkar!
            Zawin menggeleng. Terasa pelik melihat reaksi Zharif. “Zura serang Kak Puteri sahaja.”
            Zharif menghela nafas lega. Wajah Tengku Amir memenuhi benaknya. Bersilih wajah Tengku Azura. “Kenapa dua beranak itu datang ke rumah sewa Zawin? Kenapa pula Zura serang Puteri?” soalnya lagi.
            “Tengku Amir...err...bercinta dengan Kak Puteri,” beritahu Zawin lambat-lambat. “Bila...ibu Zura dapat tahu, jadi pertengkaran besar. Kandungan ibu Zura tak dapat diselamatkan selepas terjatuh dari tangga semasa bertengkar. Erm...itu yang Zura marah sangat dengan Kak Puteri,” tambahnya lagi.
            Zharif menggelengkan kepala. Siapa sangka gadis ini terjebak dalam pelbagai drama orang sekelilingnya. “Kak Puteri...tahu tentang status Tengku Amir?” soalnya hati-hati.
            Zawin menggeleng. “Kak Puteri memang tak tahu. Sebab itu...Zawin tak sampai hati nak beritahu status Tengku Amir. Zawin tahu pun masa Zharif bawa Zawin makan malam ke rumah Wan Zaidi dulu.”
            Zharif menyandarkan belakang badannya pada belakang kerusi. Padanlah Zawin dilihatnya kerap merenung tajam ke arah Tengku Amir semasa makan malam di rumah Dato’ Wan Zahid. Rupa-rupanya ada makna disebalik renungan itu. “Jangan risau. Puteri adalah wanita matang. Bila tiba masa...dia akan balik. Ok?”
            Zawin mengangguk dalam senyum tawar. “Tapi kan Zharif...” Zawin berfikir seketika. “Semasa Zura serang Kak Puteri dengan pelbagai tuduhan...bila Zura nampak Zawin, terus wajah dia berubah. Tak semena-mena, Zura terus berlari keluar. Pelik!” Zawin meluahkan rasa hatinya.
            Zharif menahan senyum. Ternyata Tengku Azura benar-benar tergugah dengan amarannya. “Dia terkejut  la tu bila tengok tuan rumah pakai baju tidur seksi,” komennya bersulam gurauan.
            Zawin menjeling sekilas. “Habis tu...yang dia jadi Incredibel Hulk di restoren Perancis hari tu...apa kes pula?” 
            “Oo...masa tu dia datang bulan,” balas Zharif selamba.
            “Lawak tak jadi tu,” komen Zawin bersahaja. Dia cuba menyembunyi tawa dengan menghirup teh Jepun.
            Zharif ketawa besar mendengar kata-kata gadis itu. “Tak apa. Mungkin lawak Zharif tak jadi pada satu-satu masa, tetapi bukan pada setiap masa. Masih ada banyak peluang lagi dan Zharif sentiasa bersedia merebut peluang yang ada,” ujarnya penuh positif.
            Zawin mengangkat keningnya. “Zharif bercuti hari ini?” soalnya sekali lagi. Persoalan itu masih tidak dijawab lelaki itu sejak tadi.
            Zharif mengumam. “Separuh cuti...separuh kerja.”
            “Maksudnya?”
            “Jadual hari rabu...waktu pagi Zharif uruskan restoren ini. Lepas lunch Zharif akan pantau kapal-kapal dan urusan di pelabuhan,” beritahu Zharif.
            “Rancak berborak?” tegur Iskandar yang tiba-tiba muncul di tepi meja.
            Zawin mengukir senyum manis. “Borak biasa. Mari duduk,” ajaknya.
            “Silakan Dr.Daniel Iskandar,” pelawa Zharif pula.
            “Panggil Is sahaja,” ujar Iskandar dalam senyum nipis sebelum mengambil tempat di sebelah Zawin. Biarpun dia tidak selesa berada di situ namun dia harus bersikap profesional.
            Zharif berpeluk tubuh. Matanya menyorot wajah macho lelaki yang mengenakan t-shirt biru adidas itu. “Is nak makan apa?” soalnya cuba beramah mesra.
            “Erm...tak apa. Saya tak berapa masuk dengan masakan jepun.” Iskandar menolak secara baik.
            “Oh...ya ke? Tak tahu pula saya.” Zharif hanya mampu tersenyum.
            “Jangan salah faham ya Zharif,” celah Zawin. “Lidah Is dah sebati dengan kari. Sebab itu la...” lanjutnya lagi. Dia risau lelaki itu terasa dengan penolakan Iskandar.
            “Tak apa Zawin. Zharif faham. Citarasa setiap orang berbeza. Kan?” Mata Zharif menikam anak mata coklat lelaki itu.
            Iskandar tersenyum lebar.
            Zharif mendekatkan wajahnya ada wajah Iskandar. “Ada orang tua-tua pernah beritahu yang orang lelaki mata coklat selalunya akan dapat isteri yang cun. Nampaknya...macam betul.” Zharif berkalih pandang ke wajah Zawin pula.
            Zawin menundukkan wajahnya, menahan panas pada wajah.
            Iskandar ketawa besar mendengar kata-kata itu lebih-lebih lagi melihat pipi Zawin semakin merah. “I’m so lucky right?” Iskandar memicit perlahan pipi kiri gadis itu.
            Zawin mengukir senyum tawar sebaik matanya bertembung dengan wajah terkejut Zharif. Tangannya menepis lembut tangan Iskandar lantas mengusap pipi sendiri.
            Iskandar berlagak selamba seperti tiada apa yang berlaku. “So Zawin...shall we?”
            Zawin mengangguk. “Zharif...kami pergi dulu,” beritahunya sambil memasukkan I-Phone ke dalam tas tangan semula.
            Zharif turut bangun apabila Zawin dan Iskandar serentak bangun. “Jumpa lagi.” Zharif menghulurkan tangan kepada Iskandar.
            Iskandar menyalami tangan kekar lelaki itu. “Terima kasih kerana membantu Zawin selama ini,” ucapnya.
            “She’s my best friend. So...don’t mention it,” balas Zharif lalu meleraikan tangan.
            “Assalamualaikum,” ucap Zawin seraya mengukir senyum sebelum berlalu.
            “Wassalam,” balas Zharif.
            Iskandar berhenti melangkah apabila teringat sesuatu. “Zawin dah bayar sewa kereta?” soalnya meminta kepastian.
            “Saya halalkan segalanya. Tak perlu bayar.”
            Iskandar menggeleng. “Tak boleh begitu.” Dompet didalam poket belakang seluar ditarik keluar. Dua keping duit berwarna kelabu dihulurkan kepada Zharif. “Dua ribu cukup kan?”
            Zharif menghela nafasnya. “Saya...tak akan terima. Kalau betul awak rasa Zawin terhutang budi dengan saya, sedekahkan duit tu pada orang susah atau tabung masjid.”
            Well...” Iskandar memasukkan kembali dua keping duit kertas itu ke dalam dompetnya. “Saya akan sedekahkan atas nama awak,” putusnya sambil mengukir senyum.
            Great.”
            “Oh ya. Satu hal lagi. Kami akan bertunang,” umum Iskandar.
            Zharif tetap mengukir senyum lebar. “Tahniah saya ucapkan.”
            “Terima kasih. Assalamualaikum.” Iskandar terus berlalu usai menepuk bahu Zharif.
            Ekor mata Zharif mengekori langkah lelaki itu sehingga hilang daripada pandangan. Sukar sekali untuk dia berlapang dada mendengar berita itu daripada Daniel Iskandar. Jika benar jodoh Zawin Az-Zahra telah sampai, dia akan melatih diri untuk berada jauh daripada gadis itu.
            “Tuan...” tegur seorang lelaki bersut hitam putih yang baru masuk ke dalam restoren itu. “Sudah tiba masa kita ke pelabuhan.”
            Zharif mengangguk. Dia menghulurkan kunci Honda Jazz kepada lelaki itu. “Uruskan kereta ni,” arahnya.
            “Baik tuan.”
            Zharif terus berjalan keluar dari restoren. Sebuah Mercedes berwarna biru tua sudah menantinya dengan pintu terbuka.   
*******
            “Kau ok?” soal Wan Zaididalam nafas termengah-mengah. Kakinya terus dihayunkan, beriringan dengan kelajuan larian lelaki itu.
            “Ok,” balas Zharif sambil terus berlari melalui padang trek.
            “Tak. Kau tak ok,” komen Wan Zaidi.
            “Kenapa pula?” Zharif mengesat peluh yang mula merinding pada wajahnya.
            “Sebab aku kenal kau. Fuad juga pernah cakap...yang kau akan berlari bila ada sesuatu yang menganggu emosi kau.”
            Zharif hanya diam. Tidak mahu mengia mahupun menidakkan kata-kata lelaki itu. Kata-kata ayahnya tergiang di ingatan. Letak segala yang mengganggu diri di belakang dan bergeraklah ke hadapan. Dia hanya ingin melangkah ke hadapan. Tidak mahu berpaling lagi. Kelajuan lariannya ditingkatkan lalu meninggalkan Wan Zaidi di belakangnya.
            Wan Zaidi berusaha menyaingi larian Zharif. Sebaik berada di sebelah Zharif, dia tersengih lalu melontarkan kata-kata yang terbuku sejak mereka tiba di Pusat Akuatik itu. “Sebab Zawin. Kan?”
            Mendengar nama itu, mendadak Zharif memperlahankan lariannya. Dia tahu, dia tidak punya kekuatan lagi untuk meninggalkan gadis itu di belakang. Mendengar nama itu sahaja, sudah cukup membuatkan seluruh sendinya menjadi lemah.
            Wan Zaidi turut memperlahankan langkahnya. Nafasnya sudah tidak teratur. Dia menghirup udara sepuas-puasnya. Berlari pada waktu malam bukan kebiasaannya. Dia hanya ingin bermain squash di Pusat Akuatik itu namun dia akur apabila Zharif menyarankan untuk memanaskan badan di atas trek padang dahulu.
            Zharif berhenti berlari sebaik tiba digarisan penamat. Kenangan berlari bersama gadis itu di trek yang sama membuatkan bibirnya menguntum senyum. “Zawin Az-Zahra...memang dia hiasan dunia terindah...” ujarnya dalam suara separuh berbisik.
            Wan Zaidi melakukan senaman pemanasan sebelum menghela nafas dalam-dalam. Dia berdiri mendepani lelaki itu. Dia faham benar perasaan Zharif. Sesiapa yang mengenali gadis itu, pasti sukar untuk menghindar perasaan sayang apatah lagi melupakannya. Berada di sisi Zawin, tidak terasa masa yang berlalu. Melihat senyumannya sahaja sudah mampu menyejukkan hati yang marah. “I love her sweet sunny smile,”          ujarnya tiba-tiba bersulam senyuman lebar. “So sweet...so charming, right?”
            Zharif tersenyum manis. “And also...her eyes smile...” tambahnya lagi.
Zharif mengangguk lalu terus duduk di atas trek bersebelahan beg sukannya. Botol Nike berwarna kuning ditarik keluar dari beg dan meneguk perlahan.
            Wan Zaidi turut mengambil tempat di sisi Zharif. Tuala putih dicapai lalu mengelap peluh di seluruh wajahnya.
            I miss my parents,” ujar Zharif lagi sambil merenung ruang angkasa yang penuh dengan bintang-bintang.  
            Wan Zaidi merenung wajah kacak itu. “Tell you what...erm...ikut aku buat umrah minggu depan?” sarannya bersungguh.
             Zharif menatap wajah Wan Zaidi lalu mengangguk. “Siapa lagi yang ikut kau?”
            My parents,” balas Wan Zaidi sepatah.
            Zharif tersenyum lebar. “Kau beruntung masih punya ibu bapa.”
            Wan Zaidi tersenyum nipis. “Ya. Sebab itu aku bawa mereka mengerjakan umrah sekali. Mana tahu...berkat doa mereka di sana, jodoh yang baik akan datang dan...aku mampu melupakan Zawin dengan sepenuhnya.”
            Zharif menepuk bahu Wan Zaidi. “Bagus tu. Tapi...aku rasa...walaupun sekuat manapun aku berusaha, pasti sukar untuk melupakan Zawin.”
            “Kenapa?”
            Zharif terdiam sejenak sebelum membalas. “It’s hard to go or to live while loving someone secretly, it hurts to see the one you love happy with someone else...but the most painful thing about hidden love? It never fades away easily.”
*******
            “Lucu sangat ke?” tegur Zawin seraya melabuhkan punggung atas buaian kayu bulat.
            Najla terangguk-angguk dalam sisa tawa. Matanya masih tertumpu pada isi komek Sinchan. Dia tergelak lagi entah berapa kali sejak komek itu dibeleknya.
            Zawin tersengih melihat reaksi Najla. “Sebab itu...kalau berada dalam bas ke keretapi ke...atau di tempat awam...elakkan baca komek Sinchan. Tanpa sedar, boleh memalukan diri di khayalak ramai,” nasihatnya sambil menarik langsir jendela. Matanya menatap langit malam yang dihiasai bintang-bintang.
            Najla mengukir senyum lebar. Dia bersandar selesa di kepala katil. “Zawin...kak Puteri akan kembali semula kan?” soalnya tiba-tiba.
            Zawin berpaling, menatap wajah berseri wanita itu. “Ya. Kak Puteri...akan pulang kembali. Masa akan merawat segala luka dan duka,” balasnya penuh positif.
            Najla mengangguk. “I just...miss her so much. Lama sungguh rasanya aku tak berkunjung ke sini,” luahnya sambil menyeluruhi bilik gadis itu. Warna kuning dan putih mendominasi setiap sudut bilik termasuk barang dan hiasan bilik. Rak kayu di sebelah katil dipenuhi dengan buku-buku ilmiah manakala rak sebelah meja belajar diisi dengan komek-komek daripada kartunis Jepun. Segalanya masih tetap sama sebelum dia berpindah keluar daripada rumah itu.
            “Berapa lama Anas outstation?” soal Zawin sambil menghirup teh bunga matahari. Dia gembira Anas membenarkan Najla tidur di rumahnya sebelum mereka bertolak ke kampung pada awal pagi esok.
            “Tiga hari. Isnin ini balik la,” balas Najla. Matanya menangkapbunga mawar kuning yang telah layu didalam pasu putih di atas meja belajar. “Zawin...minggu ni kau tak dapat bunga kan?” soalnya sambil mengunjukkan jari ke arah pasu bunga.  
            Zawin mengangguk. Dia turut memandangbunga mawar kuning yang telah layu itu. Ada lapan kuntum semuanya. “Bekalan bunga dah habis la tu...tak pun sebab budget bulan ni dah lari,” tebaknya bersahaja.
            Najla ketawa halus. “Pandai la kau.” Najla kembali menumpukan perhatian pada komek sinchan di tangan. Dia tidak dapat menahan tawa dengan kisah perangai nakal budak lelaki berumur lima tahun itu.  
            Zawin merenung langit malam. Bulan purnama kelihatan samar-samar dilitupi oleh awan. Wajah Daniel Iskandar juga muncul samar-samar di dada langit. Dia menghela nafas dalam-dalam. “Najla...apa kau merasa tenang selepas melakukan solat sunat istikharah? Benarkah Anas muncul dalam mimpi kau selepas itu?”
            Najla berpaling, merenung wajah ingin tahu Zawin. “Ya. Sangat tenang. Anas memang telah muncul dalam mimpi aku...sebelum aku berjumpa dengan dia. Orang tua-tua kata...dejavu. Selepas itu juga aku kerap mimpi tentang Anas. Aku yakin yang Allah S.W.T telah tunjukkan lorong jodoh yang tepat melalui isyarat-Nya. Kenapa kau tanya?” soalnya kembali.
            Zawin terdiam. Lama matanya menyeluruhi wajah Najla. “Kenapa aku merasa sedih selepas melakukan solat isktikharah semalam? Perasaan itu tiba-tiba hadir usai aku berdoa,” beritahunya lambat-lambat.
            “Apa...pengisian doa kau?” soal Najla serius.
            “Doa istikharah seperti biasa la.”
            Najla terdiam. “Jangan risau. Kau terbawa-bawa dengan perasaan la tu. Insyaallah. Dia maha mengetahui. Jangan putus asa meminta petunjuk dari ilahi,” pujuknya dalam suara lembut.   
            Zawin tersenyum manis. “Ya. Aku berharap Daniel Iskandar adalah jodoh aku yang tepat.”
            Najla ingin menyangkal harapan rakannya itu namun memikirkan perasaan gadis sensitif itu akan terguris, akhirnya dia memutuskan untuk berdiam diri. Komek Sinchan dibelek lagi.            “Kau ingat tak kes bunuh diri yang Dr.Nurin cerita dulu?”
            Zawin mengangguk. “Ya. Kenapa?”
            “Aku cari tentang perihal bunuh diri diseluruh dunia. Korea dan Jepun mencatatkan bilangan bunuh diri yang tertinggi di Asia. Pencarian aku tu membawa pada pereka komek Sichan. Yoshito Usui turut membunuh diri pada tahun lepas.”
            Zawin membulatkan matanya. “La...ya ke? Eh, bukan ke dia mati dalam kemalangan mendaki gunung?”
            “Dalam maklumat wikipedia memanglah, tapi dari siasatan yang lebih mendalam, keluarga dan rakan-rakannya mengatakan dia dah dilanda kemurungan sejak tahun 2007. Puncanya dia tidak dapat menghasilkan karya yang lebih baik. Sungguh kematian yang sia-sia.”      Najla menggelengkan kepalanya.
            “Erm...begitulah terjadi pada orang yang tak beragama. Memikirkan bunuh diri adalah penyelesaian terbaik. Kononnya pada kelahiran akan datang, mereka akan menjadi lebih baik,” ulas Zawin.
            Najla menatap syiling bilik itu. “Itu orang tak beragama. Macam mana pula dengan orang islam yang bunuh diri?”
            Zawin menghela nafas berat. “Kata abang Zafuan, orang islam yang bunuh diri...tidak langsung memikirkan kehidupan akhirat. Otak mereka bergeliga tetapi rohani mereka kosong. Tidak diisikan dengan iman, kerana itu mereka teraba-raba mencari pegangan dalam hidup,” ulasnya dalam suara dalam.
            “Tidak!”
            Najla dan Zawin saling berpandangan. Suara jeritan dari arah ruang tamu itu membuatkan mereka terpinga-pinga.
            “Penipu!!” Serentak kedengaran bunyi berderai dari arah ruang tamu.
            Zawin pantas meluru keluar dari bilik. Matanya terkebil-kebil melihat tubuh Zeyra terjelepuk di atas lantai dalam tangisan yang menggila. Isi telefon bimbit berterabur akibat dibaling ke arah dinding. “Err...kenapa...Zeyra?”
            “Wali penipu!! Dia...dah ada orang lain!!” luah Zeyra dalam esak tangisnya. “Mak ayah Wali pun sama! Orang jahat!” Zeyra menghentakkan kakinya ke atas lantai sepuas hatinya.             Rambutnya digosok kasar laju-laju. 
            “Kenapa cakap macam tu?”
            Zeyra menyapu air matanya lagi. Dia benar-benar tidak dapat menerima berita daripada teman lelakinya itu. “Wali dah bertunang dengan perempuan pilihan keluarga dia. Semuanya penipu!” tuduhnya bersulam marah berapi-api.
            “Err...” Zawin tidak tahu ayat apa yang perlu diatur untuk memujuk gadis itu. Sudahnya dia hanya mampu memandang gadis itu tergesa-gesa menyusun kembali isi telefon bimbit lalu berlari masuk ke dalam biliknya.
            Najla hanya mampu memandang. Dia juga hilang kata-kata. Sudahnya dia menapak kembali ke dalam bilik. Panggilan telefon daripada suaminya membuatkan dia lupa seketika kejadian sebentar tadi.  
            Zawin melabuhkan punggung di atas sofa ruang tamu. Kepalanya pening memikirkan tentang konflik yang terjadi pada dua rakan serumahnya itu. Sedang dia melayan perasaan yang bercampur baur, lamunannya terganggu dengan bunyi nada mesej. Melihat I-Phone miliknya dibawah meja kaca, Zawin menepuk dahinya. Dia terlupa mengambil semula telefon pintar itu yang diletakkan di situ selepas berbual dengan Iskandar. Tangannya cekatan membuka peti mesej selepas melihat nama Dr.Nadiah tertera pada skrin telefon.
            Salam. Maaf kalau menganggu. Saya...serba salah nak cakap. Saya ada simpan satu rahsia besar Iskandar. Saya takut...rahsia ini akan memusnahkan kerjaya dia pada masa akan datang.
            Dada Zawin berdegup kencang. Tangannya laju membalas mesej itu.
Rahsia?Ceritalah.
            Zawin menunggu balasan mesej itu dengan penuh sabar. Wajah Daniel Iskandar melintas dibenaknya. Apakah rahsia yang cuba diberitahu Nadiah?
            Saya tak boleh cerita sebab saya dah berjanji dengan seorang kawan untuk simpan rahsia ini. Maaf. Tapi apa yang saya nak beritahu...rahsia silam Iskandar yang saya tahu ini akan memusnahkan kerjaya Iskandar.
            Zawin naik marah dengan jawapan itu. Sudahlah dia berdepan dengan masalah rakan-rakan serumahnya, gadis ini mahu menambahkan masalah baru pula.      
Saya...tak nak tahu jika rahsia ini daripada kisah masa lalu Iskandar. Saya terima dia seadanya.Bukan masa lalu dia. Jangan ganggu saya lagi. Salam.
*******
            “Fathia? Siapa?” soal Zharif sambil mengerutkan keningnya. Mindanya cuba mencari wajah-wajah yang mempunyai nama itu, namun tidak berhasil. Surat berisi kontrak perjanjian jual beli kapal ditinggalkan sebentar.
            “Sepupu aku,” balas Fuad. “Kalian tidak pernah berjumpa. Fathia tinggal di Jordan. Dia baru saja habis belajar. Bakal peguam. Alim orangnya. Keluarga mereka juga dari keturunan alim dan baik-baik. Sekarang mereka sekeluarga bercuti ke Malaysia,” lanjutnya lagi.
            Zharif menghela nafas. “Untuk apa kau nak kenalkan aku dengan Fathia?” soalnya lalu kembali meneliti kertas perjanjian jual beli yang perlu ditandatangani hari ini.
            “Untuk jodohkan kau dengan Fathia la,” balas Fuad serius.
            Zharif terkedu. Matanya membulat luas. “Err...kenapa kau bersusah mencari jodoh untuk aku?”
            “Sebab...kau pernah cakap yang kau dah bersedia untuk berumahtangga. Tinggal calonnya sahaja yang tidak ada. Kau inginkan perempuan yang solehah dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dan aku melihat ciri itu ada pada Fathia,” jelas Fuad. Cuba mengingatkan kata-kata lelaki itu beberapa minggu lalu.
            Zharif terdiam. Benar. Umurnya sudah memasuki 30-an. Dia sudah bersedia untuk membina keluarga. Dia pernah memasang impian untuk memiliki anak yang ramai tetapi calon ibu yang bakal melahirkan zuriatnya kelak masih tidak ditemui. “Aku setuju kau kenalkan aku pada dia tapi...aku ada syarat,” putus Zharif akhirnya.
            Fuad tersenyum menang. “Apa dia?”
            “Syaratnya...jangan terlalu berharap.”
            Fuad mengangguk.
            “Kalau Fathia bukan orangnya, aku akan berterus-terang sahaja.”
            Fuad mengangguk lagi. “Ok. Aku akan set date dengan Fathia. Malam ini kau lapang kan?”
            Zharif mengangguk.
            “Ok. Tempatnya di Hotel Grand Bluewave. Itu tempat penginapan Fathia sekeluarga,” beritahu Fuad dalam teruja.
            Zharif tersengih melihat wajah sahabatnya itu. “Boleh aku tanya kau sesuatu?”
            “Silakan tanya.”
            “Erm...kenapa tak kau sahaja yang meminang Fathia?”
            Giliran Fuad pula terkedu. Sudahnya dia ketawa besar. “Belum sampai seru,” balasnya bersahaja.
            Zharif ketawa kecil. Matanya kembali ditumpukan pada bait-bait ayat di atas kertas perjanjian. Setelah berpuas hati, dia mengukir senyuman. “Fuad...GEMLEO 4 akan beralih tuan,” beritahunya dengan senang hati.
            Fuad mengangguk. “Bila pembeli akan tandatangi perjanjian?”
            “Selepas lunch hari ini syarikat VIRGO corp akan datang untuk tandatangan dan pemberian geran.”
            “Boleh aku tanya kau sesuatu?” soal Fuad pula.
            Zharif mengangguk.
            “Kenapa kau nak jual GEMLEO 4?” soal Fuad ingin tahu. Setahunya, kapal itu masih berada dalam keadaan baik biarpun telah lama digunakan.
             Zharif memasukkan kertas perjanjian itu ke dalam satu fail biru keras. Wajah Fuad dipandang lama. “Kau percaya dengan gerak hati?”
            Fuad mengangkat kedua belah bahunya.
            “Mulai sekarang kau harus belajar mendengar gerak hati,” nasihat Zharif dalam senyum lebar bersulam kenyitan mata kiri.
            Fuad hanya mampu tersenyum. Dia akur dengan keputusan lelaki itu memandangkan Zharif lebih arif dalam hal melibatkan urusan jual beli kapal.
*******         
            “La...di sini adik abang...” tegur Zafuan sambil melabuhkan punggung di atas bangku kayu. Dia tersenyum senang melihat sawah padi yang menguning terbentang dihadapannya.
            Zawin tersengih. “Sesekali balik...seronok juga memancing kan?” ujarnya dalam suara perlahan. Matanya tetap tekun memerhatikan permukaan air telaga itu. Merasakan ada gerakan  pada tali pancing itu, Zawin cepat-cepat berdiri lalu mengangkat tinggi batang pancing.
“Ala...terlepas,” ngomelnya dalam geram apabila melihat umpan tepung kunyit pada mata kail sudah lesap. 
            Zafuan tersengih. “Gunalah umpan cacing cik adik oii.”
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Beri ikan makan cekodok lagi sedap,” balasnya selamba.
            Zafuan tergelak kecil. “Ada saja nak dijawabnya.”
            Zawin menjeling manja sebelum tangannya cekatan mencubit sedikit adunan tepung kunyit didalam bekas putih lalu disangkutkan pada mata kail pancing. Tali pancing dilontarkan perlahan ke dalam air telaga. Zawin kembali duduk di atas kerusi bersebelahan abangnya. Suasana sepi seketika. Masing-masing melayan lamunan sendiri. Zawin menatap sisi wajah abangnya dari ekor mata. Wajah putih bersih itu tidak jemu ditatap. Kumis dan janggut kelihatan rapi pada wajah bujur itu. Mengingati kembali saat abangnya itu diuji kematian isteri setahun yang lalu, wajah itu kehilangan serinya malah janggut dan jambang tumbuh meliar. Abangnya itu benar-benar terkesan dengan kehilangan permata berharga itu. Kini, segalanya telah kembali seperti biasa. Ya. Masa akan merawat segala duka dan kecewa. Getus hatinya.
            “Ada apa-apa nak tanya ke?” tegur Zafuan sambil mengangkat keningnya. Wajahnya sengaja didekatkan pada wajah adiknya itu.
            Zawin tersentak. Segera dia menjauhkan wajahnya seraya tersipu segan. Matanya kembali diarahkan pada permukaan kolam. Wajah Puteri Nur Deana muncul di situ. “Abang Zafuan...” Zawin memulakan bicara.
            “Erm...” Zafuan mengunyah jambu batu sambil merenung sisi wajah adiknya.
            “Betul ke purdah itu wajib pada pendapat mazhab Syafie?” soal Zawin ingin tahu.
            Zafuan tidak menjawab. Dia asyik mengunyah baki jambu batu didalam mulut sambil mindanya mencari jawapan yang paling tepat untuk soalan itu. “Pendapat sebahagian para ulama, wajib wanita muslimah memakai niqab atau purdah sementara jumhur atau majoriti ulama berpendapat wajah wanita tidak termasuk didalam auratnya. Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya...”
            “Jadi...apa pendapat Abang Zafuan?” celah Zawin.
            Zafuan menatap wajah adiknya lama. “Kedudukan purdah didalam perbahasan ulama ada berbeza pendapat. Namun, bagi abang tentang pendapat ulama yang mewajibkan purdah adalah lemah. Seperti yang abang sebutkan, persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah. Maksudnya para ulama berbeza pendapat mengenainya. Namun pendapat yang mewajibkan berpurdah adalah lemah, justeru itu berpegang kepada pendapat ini adalah berpegang kepada pendapat yang lemah. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi didalam kitabnya Al-Majmu iaitu sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain,” jelasnya panjang lebar.
            “Bagaimana pula dengan pendapat ulama semasa?” soal Zawin ingin tahu lagi.
            Zafuan menghela nafas pendek. “Erm...hampir majoriti ulama semasa menyatakan wajah wanita bukan aurat antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab li al-Marah dan Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam Jilbab al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah. Begitu juga Muhammad al-Ghazali r.h. dalam banyak buku-bukunya. Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya aurat adalah jelas dan nyata mengikut firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 31. Jadi, abang berpegang pada pendapat ulama semasa tetapi...abang tetap akan menyarankan seorang wanita itu memakai niqab seadainya wajahnya menjadi fitnah pada dirinya.”
            Zawin menganggukkan kepalanya. Penerangan itu cukup jelas dan disertakan dengan bukti sokongan yang padat. Wajar abangnya itu menjadi guru agama di sebuah madrasah di Kedah. “Abang Zafuan...nak tanya lagi,” pintanya dalam suara lembut.
            Zafuan tersenyum senang. “Silakan tuan puteri.”
            Zawin merenung air didalam kolam. Kata-kata Puteri masih menghantui fikirannya sehingga kini. “Betul ke wajah seorang perempuan itu...err...melambangkan...bentuk...err... tubuh?” soalnya lambat-lambat dalam nada tersangkut-sangkut.
            Zafuan tersengih nakal. Wajah adiknya itu direnung bersungguh lalu dia mengangguk.
            Zawin terpana. “Betul ke?” soalnya dalam mata yang membulat.
            Zafuan menganguk bersungguh. “Setiap inci wajah wanita itu mewakili anggota badan kecuali mata. Nak tahu ke?” usiknya sambil mengangkat keningnya.
            Zawin mengangguk bersungguh.
            Zafuan merenung tajam wajah adiknya lalu tersengih nakal. “Nanti la. Bila Zawin dah kahwin nanti baru abang beritahu. Itu pun abang akan beritahu suami Zawin, bukan Zawin.”
            “Ala...bencila macam ni.” Zawin mencemikkan bibirnya.
            Zafuan mencuit pipi Zawin. “Bila tiba masa yang tepat, abang beritahu ya,” pujuknya bersulam senyuman manis.
            Zawin mengangguk sambil memuncungkan bibirnya.    
            Zafuan menyentuh kepala Zawin dan digosoknya lembut. Lambang kasih seorang abang. “Erm...ada soalan lain?” soalnya.
            Zawin mengangguk dalam wajah yang dibuat-buat manja. “Tentang Iskandar.”
            Zafuan terdiam. “Erm...silalah tanya.” Jambu batu kembali dikunyah.
            “Apa yang abang tak suka tentang Iskandar?” soal Zawin tanpa mahu berselindung lagi.
            “Bukan tak suka.”
            “Habis tu...?”
            “Zawin dah buat solat istikharah?” tanya Zafuan semula.
            Zawin mengangguk.
            “Berapa kali?”
            “Tiga.”
            “Ada apa-apa petanda?”
            “Erm...” Zawin berfikir sejenak.
            “Macam ada saja tu?” tebak Zafuan.
            Zawin merenung wajah abangnya. “Entah mengapa...Zawin rasa sangat sedih selepas lakukan istikharah. Perasaan itu hadir mendadak selepas berdoa. Mengapa ya?”
            Zafuan merenung tajam wajah adiknya. Cuba memasuki satu dimensi diluar logik fikir manusia. Sudahnya, dia perolehi jawapan pada persoalan adiknya itu. “Erm...doa Zawin...sangat tidak tepat,” balasnya bersahaja.
            Zawin tersentak. Wajah abangnya itu ditatap lama. “Apa maksud abang?”
            “Zawin...pertama sekali Zawin harus faham apa itu istikharah. Istikharah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya. Manusia diciptakan oleh Allah Taala dalam keadaan lemah yang menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Taala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah. Tetapi...doa harus tepat Zawin. Kita tidak seharusnya menyuruh Allah S.W.T menyatukan kita dengan orang yang kita suka. Itu bukan doa istikharah yang tepat,” ulas Zafuan panjang lebar.
            Zawin benar-benar dilanda kejutan. Bagaimana abangnya tahu? Apakah abangnya memiliki keistimewaan ilmu ladunni? “Err...” Zawin ingin bertanya lagi namun membatalkan niatnya apabila melihat abangnya mendadak bangun dari kerusi.
            “Zawin, jom kita timba ikan nak? Air sawah dah surut tu,” ajak Zafuan dengan teruja.
            Zawin mengangguk. Dia memang menunggu saat menimba ikan didalam telaga bersebelahan sawah. Semua ikan akan mencari kawasan yang masih lagi berair apabila air sawah semakin kering dan akan berkumpul dalam telaga. Batang pancing dicacakkan atas tanah lembut lalu mengekori abangnya yang telah terjun ke dalam telaga. 


















BAB 23

            “Berapa lama bekerja di England dulu?” soal Fathia teruja. Meneliti wajah lelaki dihadapannya ini, benar-benar menggegar hati perempuannya. Benar kata sepupunya itu mengenai perawakan lelaki berkemeja ungu lembut ini. Air wajahnya jernih manakala aura lelaki itu begitu kuat.
            “Dalam tiga tahun,” jawab Zharif sopan. Matanya sesekali mengerling wajah kedua orang tua Fathia yang turut menemani mereka di ruang lounge VIP hotel Grand Blue Wave itu. Masing-masing berperwatakan warak dalam jubah moden. Gadis bertudung labuh dihadapannya dikerling sekilas. Niqab berwarna hitam telah ditanggalkan dari wajahnya. Wajah itu memang cantik. Tiada cacat cela pada matanya, namun hatinya tidak merasa tenang.
            “Hobi masa lapang saudara?” soal Fathia terus menerus.
            Boxing dan memasak,” balas Zharif tetap sopan.
            Fathia terpana mendengar jawapan itu. “Err...apa yang saudara paling sukai?”
            “Kanak-kanak.”
            “Nenek atau atuk masih ada?”
            “Ada. Nenek sebelah arwah abah sahaja yang masih hidup.”
            “Warna kegemaran?”
            Zharif terdiam seketika sebelum menjawab. “Kuning.”
            “Ada darah campuran?”
            Zharif mengangguk. “Arwah abah baba nyonya. Arwah ibu pula thai fattani.”
             Fathiah mengerdipkan matanya beberapa kali. “Err...ada darah eropah?” soalnya setelah yakin lelaki ini ada raut wajah lelaki eropah dalam wajah pan-asia itu.
            “Ya. Darah German di sebelah keluarga arwah ibu.”
            Fathiah menahan nafasnya. Benar tebakannya! “Saiz kasut?”
            “Lapan.”
            Fathiah menggigit bibirnya sendiri. Sungguh hatinya diterjah rasa bosan apabila hanya dia sahaja yang bertanyakan soalan sedangkan lelaki itu hanya menjawab tanpa mengujarkan soalan kembali. Bibirnya mengukir senyum manis sebelum berkata lanjut. “Ada apa-apa soalan yang saudara ingin bertanya pada saya?” soalnya lembut.
            Zharif menyatukan kesemua jari jemarinya. Matanya sempat menangkap isyarat Fuad yang menyuruhnya bertanya. Rakannya itu kelihatan tidak senang dengan tindakannya yang lebih banyak berdiam diri. Wajah gadis yang duduk mendepaninya ditatap sejenak. “Baiklah, saya hanya memiliki tiga pertanyaan,” putusnya bersulam dehem.
            Fathiah tersenyum gembira. “Hanya tiga pertanyaan? Silakan.”
            Zharif membetulkan duduknya lalu melontarkan soalan pertama. “Siapakah yang paling kamu cintai di dunia ini, seseorang yang dicintai yang tidak ada yang akan pernah mengalahkannya?” soalnya serius.
            “Ini adalah pertanyaan mudah. Ibu saya,” balas Fathiah sambil tersenyum.
            Zharif terdiam buat seketika. “Ok. Soalan kedua. Kamu beritahu yang kamu banyak membaca Al-Qur'an. Boleh kah kamu memberitahu saya surah mana yang kamu ketahui ertinya?”
            Fathiah menahan malu dan merah pada wajah. Soalan yang langsung tidak pernah dijangkanya. “Saya belum tahu ertinya langsung, tetapi saya berharap segera mengetahuinya. Insya Allah, saya hanya sedikit sibuk,” balasnya lambat-lambat.
            Zharif berdehem sekali. “Saya ada ramai kenalan gadis-gadis yang jauh lebih cantik daripada diri kamu. Jadi, mengapakah saya harus menikahi kamu?”
            Mendengarkan soalan itu. Fathiah benar-benar marah lantas berdiri mendadak. “Tiah tak nak kahwin dengan Zharif. Dia telah menghina kecantikan dan kepandaian Tiah!” Dalam tergesa-gesa itu, Fathiah terus mencapai tas tangannya lalu mengajak kedua orang tuanya untuk berlalu daripada situ. 
            Fuad merenung tajam wajah tenang Zharif sejurus keluarga Fathiah berlalu. Lelaki itu sedikit pun tidak terganggu dengan situasi tidak senang itu. “Mengapa kau membuat Fathiah marah?  Keluarganya sangat baik dan warak seperti yang kau inginkan. Mengapa kau bertanya soalan-soalan seperti itu?”
            Zharif merenung lantai lounge hotel itu lama kemudian berpaling menatap wajah tidak puas hati Fuad. “Fathiah bukan orangnya,” jawabnya tenang. “Lagi pula...aku sudah beritahu sejak awal jangan terlalu berharap” , lanjutnya lagi.
            Fuad berpeluk tubuh sambil memincingkan pandangannya. “Cuba cerita pada  aku. Apa maksud setiap soalan yang kau ajukan tadi?” pintanya dalam ingin tahu yang menggunung. Dia tahu sahabatnya ini menguji Fathiah dalam diam, namun mindanya masih tidak dapat menangkap apa tujuan untuk setiap soalan itu.
            Zharif menghela nafas dalam-dalam. “Pertama aku bertanya kepadanya, siapa yang paling kamu cintai? dia menjawab, ibunya.
            “Apa yang salah dengan itu?”
            “Tidaklah dikatakan Muslim, hingga dia mencintai Allah dan RasulNya S.A.W melebihi siapapun di dunia ini. Jika seorang wanita mencintai Allah dan Nabi shalallahu'alaihi wa sallam lebih dari siapapun, dia akan mencintaiku dan menghormatiku, dan tetap setia padaku, kerana cinta itu, dan ketakutannya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Cinta yang akan disulam bersama pasti lebih besar daripada nafsu untuk kecantikan,” jelasnya.
            Fuad mengerdipkan matanya. Begitu rupanya.
            Zharif menyambung lagi. “Kemudian aku bertanya, kamu banyak membaca Al-Qur'an, dapatkan kamu memberitahuku erti salah satu surah? dan dia mengatakan tidak, kerana belum memiliki waktu. Maka aku fikir semua manusia itu mati, kecuali mereka yang memiliki ilmu. Dia telah hidup selama 22 tahun dan tidak menemukan waktu untuk mencari ilmu. Mengapa aku harus menikahi seorang wanita yang tidak mengetahui hak-hak dan kewajibannya? Jika begitulah dia bukan guru yang akan ajarkan kepada anak-anakku perkara baik kecuali bagaimana untuk menjadi lalai, karena wanita adalah madrasah dan guru terbaik. Satu lagi, wanita yang tidak memiliki waktu untuk Allah, tidak akan memiliki waktu untuk suaminya. Percayalah.”
            Fuad menelan liurnya sambil sabar menunggu penjelasan Zharif selanjutnya.
            “Pertanyaan ketiga yang aku tanyakan kepadanya, bahwa aku dikelilingi banyak gadis yang lebih cantik jadi mengapa aku harus memilih dirinya? Itulah mengapa dia tiba-tiba naik marah...”
            “Memang patut pun dia marah,” celah Fuad.  “Soalan kau tu melukakan hati Fathiah.”
            Zharif mengggelengkan kepalanya. “Nabi Muhammad S.A.W mengatakan jangan marah, jangan marah, jangan marah ketika ditanya bagaimana untuk menjadi soleh, karena kemarahan adalah datangnya daripada syaitan. Jika seorang wanita tidak dapat mengawal kemarahannya dengan orang asing yang baru saja ia temui, apakah kau fikir dia akan dapat mengawal marah terhadap suaminya?” soalnya kembali.
            Fuad menyandarkan tubuhnya ke belakang sofa. Akhirnya fahamlah dia tujuan semua soalan itu diajukan.
            “Sekarang kau dah faham bukan? Aku nak balik.” Zharif bingkas bangun.
            “Eh sekejap. Kau rasa...Zawin dapat jawab soalan kau tu dengan baik?” uji Fuad tiba-tiba.
            Zharif tersengih. “Kalau nak tahu sangat, soal la sendiri. Assalamualaikum” balasnya kemudian beredar pergi.
            Fuad terkebil-kebil sendiri.  
*******
           
            “Amboi besarnya,” tegur Puan Dahlia dalam mata membulat. Saiz Ikan Haruan dan ikan Keli didalam bekas cat besar berwarna putih itu benar-benar luar biasa besar. Ikan air tawar saiz sebegini hanya dapat ditangkap menggunakan kaedah menimba. Air paya dibuang keluar sehingga hanya selut sahaja yang tersisa. Ikan-ikan yang bersembunyi didalam selut paya tidak akan lagi dapat menyembunyikan diri.
            Zafuan menyeka peluh didahi usai meletakkan sebilah kayu di atas permukaan bekas cat itu. Bimbang ikan-ikan yang bercampur didalam bekas itu meloncat keluar.  “Tak sangka boleh membesar macam ni dalam paya. Kira-kira sebesar peha lelaki dewasa,” ulasnya sambil membandingkan saiz pehanya sendiri dengan saiz ikan-ikan itu. 
            Zawin menghampiri ibu dan abangnya yang berada di pintu dapur rumah usai membasuh kaki yang dipenuhi selut. “Besar sungguh. Semalam masa memancing, tiba-tiba ada kepala ikan besar timbul. Besar macam ni la. Zawin tunggu lama, tapi haram umpan pun tak dimakan. Harap ikan puyu sahaja yang sangkut,” rungutnya sambil terus menerus memerhatikan pergerakan dua ekor ikan keli dan seekor haruan besar didalam baldi.
            Zafuan tergelak kecil. “Siapa suruh hang pakai umpan cekodok basi tu. Haruan dan keli pandang sebelah mata sahaja. Si sepat ronggeng tu pun jual mahal tau,” bidasnya selamba.
            Zawin menjeling abangnya. “Cekodok pun, puyu yang durinya gagah perkasa pun tewas ok,” tukasnya kembali.          
            Puan Dahlia tergelak mendengar perbualan dua beradik itu. Puan Dahlia menyentuh pipi anak daranya itu. “Tengok...kulit muka Zawin dah makin gelap. Mak dah larang jangan memancing waktu tengahari kan?” nasihatnya lembut.
            “Sia-sia sahaja larang budak degil ni mak,” ujar Zafuan lalu menyentuh pipi adiknya.  “Tak teruk sangat la mak. Sapu lendir lidah buaya, nanti ok la,” lanjutnya lagi.
            Zawin tersengih sendiri. “Berlengas badan ni. Nak mandi,” beritahunya lalu bergegas masuk ke dalam rumah.
            “Zawin...mak lupa nak beri bungkusan kiriman Is. Mak dah letak atas katil,” beritahu Puan Dahlia.
            “Ok. Terima kasih mak,” ucap Zawin lalu menyanyi kecil sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik. Sebaik melihat sebuah bungkusan plastik putih di atas tilam, Zawin terus mencapai bungkusan itu dan membuka dengan teruja. Senyuman lebar terukir dibibirnya sebaik menyedari isi bungkusan itu adalah sepasang baju kebaya berwarna hitam. Kerawang hijau disulam pada bahagian leher, hujung lengan dan hujung bawah baju. Kain pula diperbuat daripada songket benang emas.
             “Cantik,” getusnya dalam rasa terharu. Minggu lalu Iskandar ada memberitahu tentang sepasang kebaya hitam yang menarik perhatiannya disebuah butik. Tidak sangka pula lelaki itu benar-benar membeli kebaya itu untuk dihadiahkan padanya. Lamunan Zawin tersentak apabila mendengar nada mesej dari I-Phone di atas meja belajar. Dalam rasa malas, Zawin membuka peti mesej. Nama pengirim mesej itu membuatkan Zawin menjuihkan bibirnya. “Apa lagi Dr.Nadiah mahu?” ngomelnya seraya membaca bait-bait mesej.
            Salam. Maaf. Awak...baik-baik saja?
            Zawin mengeluh kecil. Cekatan tangannya membalas mesej itu.
            Wassalam. Baik saja.
            Belum sempat butang ‘hantar’ ditekan, satu panggilan masuk membuatkan bibir Zawin mengukir senyuman lebar. Cekatan dia menyambut panggilan itu.
            “Hello. Pa dimana?”
            “Sedang rehat ni di bilik houseman. Ma buat apa? Tak mesej pun seharian ni?”
            “Maaf. Ma menimba ikan dalam paya hari ni.”
             “Ma memang macam tu. Memancing, masuk dalam paya memang dah hobi kan. Dapat ikan apa saja?”
            “Keli dan Haruan la. Dua jenis ikan ni memang tak pernah berjaya ditangkap menggunakan pancing. Besar tau. Rasanya kami berjaya menangkap moyang keli dan haruan tau.”
            Iskandar tergelak di hujung talian. “Ya la tu. Kami? Siapa saja yang ikut menimba?”
            “Erm...abang Zafuan.”
            Iskandar terdiam seketika. “Abang Zafuan...ada kata apa-apa tentang kita?”
            Zawin pula yang terdiam. “Abang Zafuan ada suruh pa buat solat istikharah. Boleh pa buat?”
            “Erm...”
            “Macam menolak saja tu.”
            “Ma tahu...pa sedang dengar lagu empat dara. Teringat ma waktu dulu. Zawin Az-Zahra bersama gitar kuning...”
            “Jangan nak elak pa. Ma serius ni.” Zawin menghela nafas berat. Dia tahu lelaki ini gemar mengubah topik perbualan apabila tidak berminat dengan sesuatu perbincangan.
            “Erm...ma nak pa cakap apa?”
            “Ma nak pa buat solat istikharah,” ulang Zawin lagi.
            “Pa tak nak.”
            “Kenapa pula?”
            “Kalau wanita lain yang muncul dalam mimpi pa, sia-sia saja hubungan kita ni.”
            Zawin terdiam. Hilang kata-katanya. Tidak menyangka lelaki itu boleh berkata begitu.
            “Hello...still there?”
            “Erm...”
            “Ma...marah pa?”
            “Tak. Ma tak nak paksa tapi kalau pa nak abang Zafuan izinkan kita bertunang, silalah lakukan solat sunat istikharah,” saran Zawin.
            Off topic. Nanti pa fikir ya. Ma makan dah? Dapat tak hadiah pa?”
            Zawin tersengih. Tangannya menyentuh baju kebaya yang diletakkan di atas katil. “Dapat. Tak sangka pa beli untuk ma.”
            “Khas untuk ma. Pa suka tengok perempuan pakai kebaya.”
            “Ya la. Kimono yang pa beri hari tu pun tak terpakai. Ini pula kebaya. Pa tahu kan ma lebih suka pakai baju kurung moden. Apa pun terima kasih.”
            “Ya. Ma...jangan lupa malam ni.”
            “Ada apa?”
            “Kembar pa ada malam ni.”
            Zawin mengerutkan keningnya. Menjeling kalender di atas meja belajar, tangannya menepuk dahi sendiri. Tarikh 22 Mei telah dibulatkan dengan pen marker merah. “Ya rabbi terlupa. Konsert akhir Akademi Fantasia. Kan?”
            “Jangan lupa tengok ya. Pa rasa kembar pa tu mesti menang.”
            “Shahir? Kalau rezeki dia, menangla dia.”
            “Memang dia akan menang la ma.”
            “Kalau rezeki dia...”
            “Dia akan menang.”
            “Ceh...yakin sangat ke?”
            “Sangat yakin. Ada rupa, ada suara dan ada bakat. Di Malaysia ni kalau ada ciri-ciri tu mesti ramai orang suka.”
            “Tapi ma tak minat dia.”
            “Sebab ma dah dapat pa.”
            Zawin tergelak besar mendengar kata-kata itu. “Amboi, pa ingat ma suka sangat ke pada lelaki bernama Daniel Iskandar tu?”
            Iskandar tergelak besar. “Ok la ma. Pa nak sambung kerja. Ada masa pa mesej ma. Salam dan bye.”
            “Wassalam”
            Zawin sudah berkira-kira untuk bersegera mandi. Tubuhnya sudah berlengas dan gatal-gatal. Cekatan tangannya mencapai tuala di atas rak penyidai lalu mengatur langkah ke arah bilik air. Wajah Najla tiba-tiba melintas dibenaknya bersama kata-kata yang pernah diucapkan padanya dahulu.
              Orang-orang tua kata tak baik pasangan couple saling memberi hadiah yang berasaskan benang sebab benang mudah putus.
            Hati Zawin diserang rasa tidak enak tiba-tiba. Jiwanya gelisah. Entah mengapa perasan itu cukup kuat mencengkam nubari jiwanya. Ya Allah, petanda apa ini?
********
            “Apa yang hebat sangat Zharif pada mata kau?” soal Zamri ingin tahu. Keinginan wanita berblouse biru navy disebelahnya ini untuk memiliki lelaki kacak itu benar-benar mengundang panasaran. Sepanjang mengenali Yasmin sejak kecil, Yasmin bukan jenis perempuan yang mengejar lelaki.
            “Zharif bukan seperti lelaki lain...” balas Yasmin sambil membakar puntung rokok. Disedut penuh nikmat dan dilepaskan asap itu keluar lambat-lambat. Wajah kacak lelaki kacukan german-thai itu muncul dalam benaknya. “Zharif...tidak pernah pandang aku seperti lelaki lain. Dia tak pernah peduli kehadiran aku. Malah Zharif sering menjauhi aku. Zharif Zahir...lelaki yang sangat berbeza. Aku...cintakan dia. Sungguh aku cintakan dia Zamri, ” luahnya penuh perasaan. Puntung rokok disedut lagi. Asap rokok berkepul-kepul keluar di ruang udara.
            Zamri menatap lama wajah jelita itu. Fahamlah dia mengapa wanita ini tidak mahu melepaskan lelaki itu. Rupanya ada cinta yang lahir dalam diam. “Kalau kau sukakan Zharif, jadilah perempuan yang baik” nasihatnya tenang.
            Yasmin mendengus kuat. “Aku jahat sangat ke?”
            “Kau lebih tahu bukan?” Zamri tidak mahu mengulas lanjut.
            Yasmin menyedut puntung rokok lagi. “Aku selamanya akan begini.”
            “Kau mampu berubah Yasmin Yusuf.”
            Yasmin merenung tajam wajah sepupunya itu. “Kau juga sama seperti aku. Mengapa kau nasihatkan aku untuk berubah?”
            Zamri menghela nafas panjang. “Aku akui, dahulu aku jahil tetapi sekurang-kurangnya aku sudah berhenti daripada perbuatan terkutuk itu. Jiwa aku tidak pernah tenang selama aku hidup dalam dunia penuh maksiat. Aku pasti, kau juga mampu berubah.”
              Yasmin tidak menjawab. Dia sedar sepupunya itu sudah jauh berubah namun dia tidak mahu menerimanya. Zamri sudah tidak mahu lagi berkunjung ke rumahnya sejak sebulan lepas. Entah mengapa lelaki itu berubah mendadak sebegitu. “Mengapa aku perlu berubah?” soalnya kembali.
            Zamri menghela nafas dalam-dalam. “Pernah kau merasa tenang selama ini Yasmin?”
            Yasmin terdiam.
            “Pernah kau merasa bahagia?”
            Yasmin menatap wajah Zamri dalam-dalam. Dia tiada jawapan pada persoalan-persoalan itu. Lidahnya kelu seribu bahasa.
            “Kau rasa kau akan bahagia jika benarlah kau berjaya memiliki Zharif suatu hari nanti?”
            “Ya” balas Yasmin lambat-lambat.
            “Kalau Zharif berkahwin dengan perempuan lain...kau akan terima?”
            “Tak. Aku tak nak terima!” balas Yasmin dalam nada tinggi.
            “Zharif bukan milik kau Yasmin...”
            “Aku tak peduli!”
            “Jangan begitu Yasmin.”
            “Aku tak suka perempuan yang dekat dengan Zharif. Aku benci Zawin!” luah Yasmin penuh perasaan. Puntung rokok yang masih berbaki dilontar ke tanah lalu dipijak dengan geram. Seolah-olah melepaskan rasa geram pada pemilik nama Zawin Az-Zahra.
            “Zawin milik lelaki lain, bukannya Zharif.” Zamri cuba mewaraskan laut fikir wanita itu.
            “Aku tak peduli. Aku benci bila dia dekat dengan Zharif. Aku benci dengan cara pandangan Zharif pada Zawin , ” luah Yasmin sambil menggenggam penumbuknya. 
            Zamri menggelengkan kepalanya. “Jangan kau lakukan perkara bodoh yang boleh buatkan kau menyesal tak sudah, ” nasihatnya.
            Yasmin mendengus. Dia tidak suka mendengar bebelan lelaki itu lagi. “Apa tujuan kau nak jumpa aku di sini?” soalnya sambil menyeluruhi sekitar kawasan Taman Tasik Shah Alam itu. Hatinya terbetik rasa pelik apabila Zamri mengajaknya berjumpa di kawasan awam itu malah lelaki itu mengelak apabila dia cuba mengucup pipi Zamri sebentar tadi.
            Zamri terdiam lama. “Yasmin...aku sudah menemui ketenangan dalam hidup aku.”
            “Apa maksud kau?”
            “Aku...menemui cahaya sebulan lepas.” Zamri terdiam sebelum menyambung kata. “Seorang bidadari telah menunjukkan aku lorong cahaya itu.”
            “Bidadari?” Yasmin mengerutkan dahinya.
            Zamri mengangguk. Dia mengambil satu sampul hijau muda dari dalam kot putihnya lalu memberikan sampul itu kepada Yasmin.
            Yasmin membuka sampul hijau itu dengan agak tergesa. Melihat tulisan undangan walimatuhurus di atas kad ungu kulit keras itu, mulut Yasmin serta merta terbuka. “Kau akan berkahwin?”
            Zamri mengangguk. “Nama bidadari cahaya itu adalah Nur Ainul Mardiah. Nama ketua bidadari syurga yang paling cantik. Selama ini aku cenderung memilih perempuan melalui kecantikan luaran, tetapi bidadari ini menunjukkan aku erti cinta sebenar. Biarpun aku terpaku melihat wajah jelita itu dibalik purdah tapi ada sesuatu yang  istimewa. Sesuatu yang aku tak pernah rasai bila melihat mana-mana perempuan. Wajahnya membuatkan hati yang gelisah ini menjadi tenang. Hati aku sangat bahagia...kerna itu aku melamarnya tanpa berfikir panjang.”
            Yasmin menghela nafasnya. Matanya tertumpu lama pada nama bidadari yang terukir dalam kad itu.
            “Aku percaya, dalam hidup seseorang manusia itu akan ada turning point yang diberikan Allah S.W.T. Aku yakin, ini turning point yang diberikan ilahi pada aku. Rugilah kalau aku tak ambil peluang ini.” Zamri bangun dari kerusi panjang itu lalu mengukir senyuman manis kepada Yasmin. “Aku minta maaf atas salah silap aku selama ini. Maafkan aku jika aku penyebab kau semakin larut dalam dunia kau sekarang. Aku hanya mampu doakan kau berubah. Aku pergi dulu. Assalamualaikum.”   
            Yasmin mengerdipkan matanya beberapa kali. Tampang Zamri direnung dalam-dalam sehingga hilang daripada penglihatannya. Dia mula merenung satu persatu kisah hidupnya. Dia sudah terjebak dalam dunia maksiat sebelum sepupunya itu pulang dari luar negara lagi. Seawal usia remaja, dia sudah mengenal anatomi seorang lelaki dan kehilangan permata berharga semasa berusia enam belas tahun. “Aku...selamanya begini dan akan tetap terus begini, ” bisiknya perlahan sambil menjatuhkan pandangan ke dalam air tasik dihadapannya.
*******
            “Apa?” Mata Fuad membulat luas. Telefon bimbitnya digenggam erat. Dia cuba bertenang sambil terus mendengar berita yang dilaporkan seorang rakan yang bekerja di VIRGO Corp itu.
            Zharif mengangkat kepalanya, langsung menatap wajah Fuad dalam hairan. Dia meletakkan sudu didalam mangkuk berisi sup miso. Matanya dilarikan pada Vivien. Sepupunya itu kelihatan tidak terganggu malah terus menerus menyuap udang tempura ke dalam mulut.
            Fuad memasukkan telefon bimbitnya ke dalam kot selepas menamatkan panggilan. Wajah Zharif direnung lama. “Zharif...GEMLEO 4 karam di Pelabuhan Johor,” beritahunya dalam rasa yang bercampur baur.
            Zharif mengerdipkan matanya beberapa kali. “Ya rabbi. Ada kemalangan jiwa?”
            Fuad menggeleng laju. “Tidak. Tiada juga barang yang musnah.”
            “Syukur. ” Zharif menghela nafas lega.
            Vivien menyeka rambut yang terjuntai didahi. Dia hanya memasang telinga mendengar perbualan dua lelaki itu.
            “VIRGO Corp tidak berhak meminta ganti rugi daripada pihak kita. Segalanya sudah jelas dalam surat perjanjian” ujar Fuad sambil menghela nafas dalam-dalam.
            “Ya. Begitulah.” Zharif mengangguk. “Padanlah hati rasa tak sedap. Rupanya itu tanda-tanda tempoh luput GEMLEO 4. Sudah buat banyak kali inspection tetapi masih tak jumpa masalah utama. Pihak VIRGO Corp pun ada buat inspection yang sama dan pihak mereka masih ingin membeli GEMLEO 4.”
            “Mungkin juga sudah tercatat takdir yang GEMLEO 4 karam di Johor.” Fuad bersuara sambil mengunyah tetpanyaki.
            Zharif mengangguk. Sup miso kembali dihirup.
            “Dah lama Zharif tak balik Langkawi. Mama beritahu nenek dah mula merungut,” beritahu Vivien tiba-tiba.
            Zharif tersengih. “Nenek bebelkan tentang Zharif atau Vee?”
            Vivien ketawa kecil. “Dua-dua.”
            Zharif menahan senyum. “Tak apa. Nanti ada masa kita balik sama-sama. Zharif dah beritahu nenek. Pagi esok Zharif bertolak ke Arab Saudi. Nenek menangis semalam...”
            Vivien berhenti menghirup teh jepun. Wajah tenang sepupunya itu ditatap lama. “Pasti nenek terkenangkan uncle Zul dan aunty Zafirah,” ulasnya.
            Zharif tersenyum nipis. “Mati itu pasti Vee. Nenek bimbang jika Zharif pergi tak kembali like my parents. Nenek suruh sampaikan salam pada mereka. Itu sahaja yang nenek mampu lakukan.”
            Vivien mengangguk tanda faham. Masih jelas diingatan tiga tahun lalu neneknya benar-benar berduka kerana tidak dapat melihat jasad ibu bapa Zharif pada saat akhir. Lebih menyakitkan kubur mereka di bandar Mekah tidak boleh dikunjungi memandangkan golongan bukan islam tidak dibenarkan masuk di sana.
            “Wah, cantik cincin Vee,” tegur Fuad apabila matanya menangkap sebentuk cincin berlian pada jari manis gadis cina itu.
            Vivien tersenyum nipis. “Biasa saja.”
            “Biasa? Itu Asscher Cut Diamond. Almost five hundred thousand dollar!” Fuad menggangkat keningnya.
            Vivien terkedu. “Fuad tahu?”
            Zharif tersenyum penuh makna. “Vee, Fuad ni pencinta berlian. Mestilah dia tahu,” jelasnya sambil meneliti cincin yang dilengkapi dengan berlian yang dia tidak pasti berapa karat.
             “Ini cincin tunang,” beritahu Vivien dalam senyum manis.
            “Oh ya ke? Maaflah tak hadir majlis tunang Vee dan Ryan bulan lepas.” Fuad mengangkat keningnya.
            “Tak apa. Majlis kahwin hujung tahun ini. Jangan pula tak datang,” pesan Vivien.
             Fuad mengangguk. Dia meneliti penampilan gadis cina yang duduk dihadapannya itu. Blouse jingga jenama ZARA sehingga beg tangan jenama BONIA. Ternyata gadis yang memiliki beberapa buah salon kecantikan ini mempunyai citarasa tinggi. Wajah Zawin tiba-tiba menyentak benaknya. Soalan lima situasi yang pernah diutarakan gadis itu tergiang ditelinganya. Bibir Fuad mengukir senyuman licik. Dia ingin menguji gadis cina berambut merah ini. “Vee...nak tanya sesuatu.  Boleh?” Fuad berdehem beberapa kali.
            Zharif mengangkat keningnya, menatap sangsi pada senyum licik pada wajah Fuad.
            “Apa?” soal Vivien seraya membetulkan ikatan rambutnya.
            “Vee bayangkan sedang berada dalam sebuah rumah. Ada lima situasi berlaku serentak. Bayi menangis, air di dapur sedang masak, air melimpah di bilik mandi, telefon berdering dan pintu diketuk. Mana satu yang Vee akan uruskan dahulu dan susun ikut keutamaan.”
            Zharif sudah tersenyum lebar.
            Vivien berfikir sejenak. Bola matanya dilontarkan pada syiling restoren. Cuba membayangkan setiap situasi yang diberi. “Erm...pertama, tutup air dalam bilik air,” jawabnya penuh yakin.
            Fuad dan Zharif saling bersabung mata, ada sedikit riak terkejut pada wajah masing-masing.
            “Lagi.” Fuad bersuara bersulam dehem.
            “Kedua, buka pintu.”
            Kali ini Zharif pula berdehem.
            Vivien mengerutkan keningnya. “Kenapa?” soalnya kepada Zharif.
            Zharif menggeleng. “Nothing. Go on.”
            “Erm...ketiga angkat telefon, tutup air di dapur dan akhir sekali ambil bayi menangis.”
            Fuad mengerdipkan matanya. “Wow.”
            Zharif mencemberutkan bibirnya. “Bayi akhir sekali? Kenapa?”
            “Tak rasa penting,” balas Vivien.
            Fuad tidak dapat menahan senyum. “Vee memilih Ryan sebab dia ada kewangan yang kukuh ya?”
            Wajah Vivien berubah merah. “Erm...itu faktor penting dalam hidup hari ini, ” balasnya selamba.
            “Cinta tak penting ke?” giat Zharif pula.
            “Cinta bukan la segala-galanya. Cinta tanpa kewangan yang kukuh tidak akan kemana.”
            Fuad sudah menjuling-julingkan matanya. “Oh, begitu ke?”
            “Kenapa tanya soalan tadi tu?” soal Vivien dalam hairan. Reaksi Zharif dan Fuad yang agak pelik turut mendatangkan seribu satu persoalan.
            “Tiada apa-apa. Saja tanya.” Fuad mencapai cawan seramik lalu menghirup teh jepun.
             “Tapi...” Vivien tidak jadi bertanya apabila telefon bimbitnya melagukan nada dering forever love. “Wait a minute.” Vivien bangun dan melangkah ke luar restoren sambil menjawab panggilan tunangnya.
            “Tak sangka...” Serentak Zharif dan Fuad bersuara. Masing-masing terkedu dan kemudian melampiaskan tawa besar.
            “Selepas ni wajib tanya soalan lima situasi ni pada perempuan lain,” ujar Fuad setelah tawanya reda.
            Zharif menggelengkan kepalanya dalam tawa masih bersisa. “Yup. Wajib.”
            Fuad menatap wajah Zharif. “Berbalik pada isu GEMLEO 4 tadi, erm...kau ada gerak hati secara semulajadi atau kau ada belajar apa-apa ilmu?” soalnya ingin tahu.
            Zharif tersengih. Dia memejamkan mata sambil tapak tangan kanan dilekapkan pada dada. “Belajar mendengar apa kata hati.” Zharif membuka matanya kemudian mengukir senyum manis. “Macam itulah aku selalu buat.”
            Fuad mengangkat keningnya. “Apa kata hati kau sekarang?”
            “Aku rindukan Zawin, ” balas Zharif selamba.
            Call la dia, ” saran Fuad.
            Zharif tersenyum pahit. “Aku hormat hak orang. Sudah tiba masa aku jauhkan diri daripada Zawin.” Zharif mencapai gelas seramik lalu menyisip perlahan teh jepun.
            Fuad terdiam. Kisah Zharif dan Zawin padanya adalah kisah unik dan menarik. Mereka telah bertemu dilaman maya sebelum takdir menemukan mereka di alam nyata.  Namun kisah mereka hanya ada jalinan persahabatan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Mereka bertemu pada waktu yang tidak tepat. Fuad merenung pelbagai hidangan makanan Jepun didalam pinggan. Sudahnya dia mencapai sushi ikan salmon lalu menyuapkan ke dalam mulut.
*******  
            “Abang Zafuan, apa tanda seseorang itu adalah jodoh kita?” soal Zawin sambil mengunyah isi kuaci. Wajah Puteri Nur Deana tiba-tiba muncul dibenaknya sebaik slot iklan mengambil alih dalam waktu buletin utama disiarkan. Rakan serumahnya itu langsung tidak mengirimkan sebarang berita yang membuatkan dia benar-benar dihurung bimbang. Dia baru sahaja teringat pesanan wanita lewat 30-an itu untuk bertanyakan soalan itu kepada abangnya.
            Zafuan menatap sekilas wajah adiknya. Matanya sempat mengerling ibunya yang sedang kusyuk menjahit langsir menghadap tingkap cermin yang  terbuka. “Erm...selain mimpi dan gerak hati, ada dua tanda-tanda kalau seseorang itu adalah jodoh kita. Pertama, dipermudahkan dalam semua urusan dan kedua hubungan itu semakin mendekatkan kita kepada Allah,” jelasnya tenang.
            Zawin mengerdipkan matanya, menelan liur sambil matanya tidak lepas menatap wajah abang yang duduk mendepaninya di ruang tamu itu. Laut fikirnya cuba mewaraskan kata-kata abangnya dengan hubungan cintanya bersama Daniel Iskandar. Adakah hubungan mereka dipermudahkan selama ini? Apakah jalinan kasih antara mereka semakin mendekatkan diri masing-masing kepada ilahi? Zawin melagakan gigi atas dan gigi bawah. Matanya memandang ke atas syiling putih. Dia tidak pasti. Sesungguhnya dia tidak tahu. “Err...jika tidak ada tanda-tanda itu?” soalnya dalam dada berdebar.
            “Jika tidak ada kedua-dua tanda itu, bermakna dia bukan jodoh kita,” jelas Zafuan tenang.
Zawin tersentak. Bungkusan Kuaci ditangan terus diletakkan di atas meja kayu. “Apa perlu dibuat jika tiada dua tanda-tanda itu?” soalnya lagi.
            Zafuan menghela nafas pendek. “Apabila sudah menyedari tiada tanda-tanda itu, bukalah mata, jangan terus dibutakan oleh cinta.”
            Zawin menahan nafas. Wajahnya terasa membahang. “Apa pendapat abang Zafuan seadainya...seorang muslim itu tidak mahu membuat solat istikharah dengan alasan takut wajah orang lain yang muncul? Takut tidak berjodoh dengan kekasih hati.”
            Zafuan tersengih sinis. “Cakap macam orang tak ada agama saja tu,” komennya selamba.
            Zawin menelan liurnya. Jawapan pedas abangnya itu terasa menyesakkan dadanya. Sudahnya dia bangun, mendekati almari kaca yang menempatkan berpuluh-puluh bahan bacaan. Tangannya membelek-belek buku-buku di setiap bahagian rak namun tidak menjumpai buku yang dicari. Pelik! Dia yakin buku itu berada didalam almari ini sebelum ini. Zawin berpaling ke arah abangnya. “Abang Zafuan nampak tak novel Mereka Yang Tertewas karya Hasanuddin Md Isa?”
            “Ada dalam bilik abang. Atas meja belajar, ” balas Zafuan.
            “Zawin masuk bilik abang ya?”
            “Ok.”
            Zawin terus mengatur langkah ke arah tangga menuju ke tingkat atas. Zawin terus meluru ke arah meja belajar sebaik memasuki bilik abangnya. Novel itu terletak elok di atas sebuah buku hitam. Zawin terus menyambar novel itu tanpa menyedari buku hitam dibawah novel itu turut dicengkam jarinya. Sudahnya buku hitam itu tergolek jatuh ke lantai dalam keadaan terbuka.           Zawin mendengus perlahan, menunduk lalu mengutip buku hitam itu. Pada saat tangannya ingin menutup buku hitam itu, sekilas matanya ternampak nama Daniel Iskandar tertulis pada halaman mukasurat itu. Sepantas kilat, tangan Zawin membuka semula halaman muka surat yang hampir tertutup itu. Baru dia menyedari buku hitam ditangannya ini adalah diari abangnya.
            Zawin berperang antara perasaan bersalah menceroboh harta abangnya juga perasaan ingin tahu meluap-luap pada isi tulisan abangnya mengenai Daniel Iskandar. Ternyata perasaan ingin tahu mengatasi perasaan bersalah lantas bait-bait tulisan di halaman mukasurat tiga puluh enam itu dibaca Zawin bersulam debaran didada.





    
16 Mei 2010

            Zawin membawa seorang jejaka tampan ke teratak kami. Daniel Iskandar. Aku mengenalinya. Anak ketua kampung Kuala Sepetang itu sejak dahulu dikagumi ramai kerana kepintarannya juga wajah tampannya yang membuatkan ramai gadis tergila-gilakan jejaka itu. Aku juga turut menyenangi peribadi jejaka ini suatu masa dahulu namun pada hari aku bertentang mata dengannya, aku terasa Daniel Iskandar dihadapanku ini seolah-olah orang yang berbeza. Wajahnya tidak jauh berbeza berbanding waktu remajanya, namun ada sesuatu yang tidak kena pada pandangan batinku. Pada pandangan pertama, aku sudah mula tidak suka biarpun susuk tubuh dan rupa itu kelihatan sempurna pada mata sesiapa. Aku melihat lelaki itu memiliki ego yang tinggi, panas baran, selalu rasa diri betul, tidak boleh terima nasihat, apatah lagi dia gemar bersosial dan jenis yang suka keluar sehingga lewat malam. Ciri-ciri ini tidak pantas...untuk Zawin. Aku tidak akan memperjudikan kehidupan adik perempuanku kerna itu aku tidak mengizinkan mereka mengikat tali pertunangan.  
            Aku inginkan yang terbaik untuk satu-satunya permata berharga dalam keluarga ini. Setelah ayahku khilaf tanggungjwab pada keluarga ini, aku tidak mahu melihat kekhilafan yang sama berulang dalam hidup Zawin Az-Zahra. Aku tidak akan sekali-kali mengizinkan Zawin Az-Zahra menjadi milik Daniel Iskandar. Aku tidak menyukai jejaka itu bukan kerana kelemahan-kelemahan yang ada tetapi…aku melihat banyak kesan-kesan persetubuhan dengan pelbagai jenis perempuan dalam sejarah hidup jejaka itu. Sungguh ramai gadis yang tertipu dengan sifat luarannya yang baik sehingga ada gadis yang mengandungkan benih yang dicampakkannya ke dalam rahim mereka. Dia merosakkan kaum hawa dan mengelak daripada tanggungjawab! Sungguh kejam! Jika dia ingin berubah sekalipun, aku tidak akan yakin dan sesekali tidak akan yakin. Dia lelaki yang tidak tetap pendirian, juga kerap tunduk pada nafsu lawamah. Aku melihat, dia bukan lelaki yang baik. Dia tidak akan pernah berubah. Tidak pantas seorang penzina itu memiliki muslimah yang suci! Zawin Az-Zahra hanya layak dimiliki lelaki yang baik kerana aku yakin janji tuhan, lelaki yang baik tercipta hanya untuk perempuan yang baik.
            Zawin benar-benar tersentak dengan tulisan abangnya itu. Benar telahannya dahulu. Abangnya punya kelebihan dalam ilmu ladunni. Pandangan matanya tidak terhijab dan mampu melihat sesuatu  dimensi menerusi naluri sufi. Zawin menutup diari itu dalam beribu macam perasaan yang mula menyerangnya. Dia masih dalam keadaan terpempan dan tidak mahu percaya dengan kandungan tulisan diari itu. Laut fikirnya bekerja keras. Jika benar Daniel Iskandar yang sebenar seperti itu, dia perlukan bukti kukuh. Bertanya pada abangnya, bukan satu tindakan yang bijak.
            Dr Nadiah! Getus hatinya tiba-tiba. Wanita itu pernah memberi mesej yang berkaitan rahsia silam Iskandar namun tidak diendahkannya. Ya! Hanya doktor perubatan itu yang ada jawapan pada semua persoalan yang sedang bermain di mindanya! Tanpa berfikir panjang, Zawin menapak keluar dari bilik abangnya, menuruni tangga lalu terus meluru ke dalam biliknya ditingkat bawah. I-Phone dicapai lalu nama Dr.Nadiah dicari dalam senarai kenalan. Tiga kali panggilannya tidak disambut namun dia masih tidak berputus asa mendail nombor yang sama. Akhirnya pada panggilan yang ke enam, panggilannya bersambut.
            “Nadiah, apa rahsia Is yang awak cuba sembunyikan daripada saya?” soal Zawin usai salamnya berbalas. Dia tidak ingin berbasa basi lagi. Segalanya perlu dijelaskan ketika ini.
            “Erk...Saya tak boleh beritahu awak.”
            “Kenapa? Ada perempuan yang sedang mengandungkan anak Is ke?”
            “Err...macam mana Zawin tahu?”
            Bulat mata Zawin mendengar nada terkejut Dr.Nadiah. Liurnya ditelan beberapa kali. Diurut dada yang sedang turun naik. “Jadi...betullah ada perempuan yang sedang pregnant anak Daniel Iskandar?” soalnya dalam suara terketar-ketar.
            “Macam mana awak tahu. Is beritahu pada awak?”
            “Tak. Orang lain, ” balas Zawin dalam nafas kencang.
            “Siapa?”
            Jangan tanya siapa! Saya nak awak jelaskan sekarang!” Nada suara Zawin sudah semakin meninggi. Dia tidak suka disoal siasat semula pada saat ini.
            “Ok.Ok. Saya tak dapat beritahu dalam talian. Saya akan jelaskan dalam Facebook. Boleh?”
             “Ok. Deal.”
            Zawin terus mematikan talian dan menghenyakkan punggung di atas tilam katil. Tangannya mencapai botol mineral di tepi meja katil lalu meneguk rakus. Dia cuba bertenang namun sukar untuk meredakan badai yang menghempas hatinya. Sungguh ini sebuah tamparan yang maha hebat terjadi pada dirinya.

1 comment:

  1. besttnyaa gemleoo..adehh adakah pelik jika lelaki x suka sukan bola sepak...kak mairaa...sbnrnya zam pn x suka bola..hehe..<<kategori pelik...
    sampainya hati iskandar tgglkn zawin adehh...kesian zawin....
    kak mairaa all the besttt...kak mairaaa...akak zam yg alwazzzz sweeettt...=))

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Copyright 2016 Reserved to puteripelangi