BAB 24

            “Ma...kembar pa menang!” beritahu Iskandar dengan teruja.
            “Bagusla,” balas Zawin dalam suara serak. Matanya mengerling cermin pandang hadapan keretanya. Matanya kelihatan bengkak setelah puas menangis. Hati yang lara membuatkan         Zawin tidak betah lagi untuk menanggungnya. Dia ingin keluar, mengambil udara malam. Akhirnya dia memutuskan untuk balik ke rumah sewa usai menunaikan solat isyak. Masih terbayang wajah terkejut abang dan ibunya pada saat dia menyatakan hasrat untuk pulang ke Shah Alam. Dia tidak peduli biarpun abang dan ibunya melarang memandu diwaktu malam.
            “Ma...dengar tak ni?”
            “Erm...” balas Zawin tidak acuh sambil menarik brek tangan setelah kereta kelisa kuning itu memasuki kawasan parkir rumah sewanya. Mengerling jam digital dihadapannya menunjukkan pukul 11.37 malam. Zawin memejamkan matanya, memicit dahi sambil menyandarkan belakang kepala pada kerusi.  
            “Ma...ada masalah?”
            “Tak.” Zawin menghela nafas dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan diri.
            “Habis tu, lain macam saja. Ma tak sihat? Kenapa suara serak?”
            Zawin membuka matanya. Laut fikirnya terasa berserabut apabila semua mesej perbualan dengan Dr.Nadiah juga isi diari abangnya itu bercampur baur. Kemarahannya tiba-tiba sahaja memuncak. Dia tidak boleh lagi bersabar. “Pa...ada sembunyikan apa-apa daripada ma?” soalnya tidak tunggu lagi.
            “Sembunyi? Mana ada.”
            “Betul?” Zawin sudah mengetap bibir.
            “Ya la. Err...Nadiah ada cerita apa-apa pada ma?”
            “Kenapa? Ada rahsia yang pa kongsi dengan Nadiah?”
            “Err...tidaklah.”
            Zawin menggenggam penumbuknya kejap. Nafasnya turun naik. Dadanya terasa sesak akibat menahan rasa marah yang amat. “Pa tahu...tentang ilmu ladunni atau khasaf?”
            “Apa tu?”
            “Ladunni atau khasaf...ilmu yang diberikan Allah S.W.T kepada insan terpilih. Pandangan mata mereka tidak ada hijab dan boleh nampak peribadi seorang manusia lain yang tersembunyi daripada mata manusia biasa. Abang Zafuan antara mukmim yang bertuah. Dia dapat melihat siapa Daniel Iskandar yang sebenar. Jadi, pa ada cerita nak kongsi dengan ma?” soal Zawin dalam tenang sedangkan segenap inci urat sarafnya bergetar hebat. 
            Iskandar terdiam di hujung talian. Lama dia terdiam sebelum bersuara. “Pa...tak tahu nak kata apa. Kalau ma ada dengar apa-apa cerita daripada Nadiah, jangan percaya...”
            Stop it Is!” marah Zawin dalam nada tinggi.
            Iskandar terkedu. Gadis itu tidak pernah menaikkan suara kepadanya. Apa yang merasuk Zawin Az-Zahra?
            “Hentikan semua lakonan itu! Ma dah tahu segala-galanya. Diari abang Zafuan menjelaskan segala-galanya. Abang Zafuan nampak pa berzina! Ada perempuan yang mengandung! Masih nak berdolak dalih lagi?!” tengking Zawin berapi-api.
            Iskandar terpempan. Dia menelan liurnya beberapa kali. Tidak menyangka sisi hitam yang disembunyikan selama ini akhirnya dirungkai abang gadis itu.
            “Betul kan?!” Tangan Zawin sudah menggeletar. I-Phone ditangan hampir-hampir sahaja terlepas daripada genggaman tangannya.
            Iskandar menghela nafas berat. Dia tidak tahu ayat apa yang perlu diatur untuk menenangkan gadis itu.
            “Zawin betul-betul susah nak menerima semua ini dan tak nak terima langsung! Daniel  Iskandar yang Zawin kenali bukan seperti itu! Zawin...betul-betul tak sangka...” Kemarahan yang dihamburkan akhirnya bertukar kepada tangisan. Air matanya mengalir laju. Dia tersedu-sedu dalam tangis yang tersangkak.
            Iskandar mengeluh berat. Itu sahaja yang mampu dilakukan. Jari jemarinya menyeka rambut berulangkali. Hatinya tersayat mendengar tangisan gadis itu. Perasaaan serba salah yang mencengkam diri membuatkan dia kelu seribu bahasa. Dia tidak tahu mahu bermula daripada mana cerita tentang sisi gelap yang dilakukan selama ini. Bunyi amaran bateri telefon bimbit yang semakin lemah tidak diambil peduli.
            “Kenapa? Apa salah Zawin? Apa kurangnya lagi Zawin pada mata Is?” soal Zawin bertalu-talu berselang-seli esakan sendu.
            Iskandar mengeluh lagi. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Bunyi amaran bergema lagi dan akhirnya talian terputus apabila kuasa telefon bimbitnya terpadam terus. Dia mengeluh lagi untuk kesekian kalinya sambil menatap skrin telefon bimbitnya yang kelam.
            “Argh!” jerit Zawin usai panggilan terputus. Dalam marah dia melontarkan I-Phone ke tempat duduk sebelah. Zawin melepaskan tangisan semahu-mahunya. Dia benar-benar geram dengan sikap membisu Iskandar. Najla sememangnya benar. Lelaki gemini memang tak guna! Jerit hatinya. Zawin menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba bertenang. Sisa-sisa air mata dikesat menggunakan hujung baju. Tangannya mencapai I-Phone di atas tempat duduk sebelah, memasukkan ke dalam tas tangan lalu keluar dari perut kereta. 
            “Eh, tak berkunci?” Zawin mengerutkan keningnya sambil terus memulas tombol pintu dari luar. Seingatnya sebelum pulang pada jumaat lalu, pintu itu telah dipastikan berkunci. Apakah kak Puteri sudah pulang? Soal hatinya. Bunyi pintu berkeriut sebaik Zawin menolak daun pintu. Suasana kelam menyelubungi ruang tamu. Zawin menahan debaran dihati apabila melihat cahaya daripada peti televisyen dan kelibat hitam atas sofa. Bunyi esak tangis berlagu sendu membuatkan bulu romanya tiba-tiba berdiri tegak. Tangan Zawin teraba-raba dalam gelap mencari suis lampu. Sebaik suis lampu ditekan, Zawin menghela nafas lega.
            “Kak Puteri...terkejut Zawin, ” tegur Zawin sambil melabuhkan punggung di sofa. Dia menghela nafas melihat wajah pucat dan tidak terurus wanita itu dalam sweater tebal berwarna hitam. Puteri Nur Deana seakan tidak mendengar tegurannya malah terus mengalirkan air mata. Bola matanya tertumpu pada peti telivisyen sambil menyuapkan aiskrim coklat ke dalam mulut. Zawin melarikan pandangannya pada peti televisyen. Drama korea berjudul  I’m sorry i love you itu entah berapa kali diulang tengok wanita itu. Itu drama kegemarannya juga biarpun berakhir dengan kesedihan. Mengingatkan kisah cinta dirinya bersama Daniel Iskandar, membuatkan air matanya gugur lagi. Lelaki itu terlalu ego untuk menyatakan maaf apatah lagi mengucapkan kata cinta untuknya. Dia pula menangis tersedu-sedu.
            Puteri Nur Deana mengerutkan keningnya mendengar tangisan Zawin. Zawin menangis menonton babak lucu? Adakah Zawin sedang memikirkan hal lain yang menyedihkan, biarpun kelihatan tumpuannya pada drama itu. Dia malas untuk bertanya tetapi menghulurkan kotak tisu pada gadis itu. Gadis itu  menyambut tanpa sepatah kata. Bekas aiskrim pula dihulur. Melihat gadis itu menyuapkan aiskrim ke dalam mulut, tumpuan Puteri bukan pada peti televisyen sebaliknya merenung gadis bersweater kuning lembut itu yang tudung hitam masih tersarung dikepalanya. Zawin tidak menyukai aiskrim. Kenapa tiba-tiba sahaja...Apakah gadis ini ada masalah cinta? Puteri menghela nafas panjang-panjang. Dia tidak mahu memikirkan masalah orang lain sedangkan masalah sendiri tidak tuntas. Sudahnya matanya ditumpukan pada drama korea itu.
            Pintu utama rumah berkeriut. Wajah Zeyra yang muram muncul di muka pintu.
            Zawin dan Puteri mengerling sekilas namun masing-masing tidak mahu menghiraukan. Tumpuan kembali diberikan pada drama itu.
            Zeyra melangkah longlai ke dalam rumah itu dan langsung menuju ke dalam biliknya.
            “Dulu...semasa akak kecil, mak akak selalu cerita tentang kisah cinderella dengan putera impiannya...” Puteri bersuara tiba-tiba. Kereta berwarna putih didalam drama itu mengingatkannya pada sebuah kisah dongeng popular.
             Zawin berpaling, merenung wajah pucat wanita itu. “Teruskan...” balasnya perlahan.
            “Ayah akak adalah lelaki yang kuat berjudi. Hari-hari balik dalam keadaan mabuk. Mak akak pula sering dipukul. Melihat semua itu, akak katakan cerita dongeng tidak pernah wujud. Dalam realiti tidak ada kisah yang bahagia. Mak akak pujuk akak. Katanya dia memberi nama Puteri Nur Deana pada akak supaya kisah dongeng itu berlaku pada akak. Katanya lagi, apabila akak besar...ada seorang putera kacak yang akan datang bersama sebuah kereta putih. Putera itu akan membawa akak ke istananya dan hidup bahagia selamanya. Tapi...bila akak dewasa, memang ada kereta putih datang menjemput akak. Tetapi pemilik kereta putih itu silih berganti. Tidak pernah mahu membawa akak ke istananya. Akhirnya akak sedar, cerita dongeng itu tidak akan pernah berlaku dalam kehidupan realiti. Semua itu...hanya hikayat dunia khayalan semata...” Puteri menghela nafas panjang-panjang. Dia menyeka air mata yang gugur.
            Air mata Zawin turut mengalir laju. “Betul...kisah cinta sejati tidak pernah wujud, ” sahut Zawin sambil menghulurkan kembali bekas aiskrim kepada Puteri.
            Puteri menyuapkan aiskrim coklat ke dalam mulut sambil melayan rasa kecewa mengenang kisah cinta yang musnah bersama Tengku Amir.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Terasa matanya pedih dan bengkak. Dia perlukan air suam. Aiskrim coklat membuatkannya terasa mual. Zawin bangun dari sofa langsung menuju ke arah dapur. Mug kuning dicapai dari rak dapur lalu menekan butang air panas pada balang air. Butang air sejuk pula ditekan. Ekor matanya menangkap kelibat seseorang masuk dalam ruang dapur. Zawin terus berpaling.
            Zeyra mencapai mug hitam, meletakkan beberapa sudu serbuk milo ke dalam mug.
            Zawin memberi ruang pada gadis itu mengambil air daripada balang air. “Zeyra ok?” tegurnya.
            Zeyra mengangguk. Dia berlalu setelah mengambil sudu atas rak dapur.
            Zawin mengeluh. Rumah itu diselubungi suasana muram. Masing-masing kecewa dengan cinta manusia. Zawin mengambil uncang teh hijau Jepun dari dalam kotak hijau dan memasukkan ke dalam mug. Balang madu dari Iran di atas peti ais dicapai. Zawin mencapai sudu plastik dan menceduk madu dari dalam balang kaca. Sambil mengacau isi mug, Zawin menapak perlahan ke ruang tamu. Dia menikmati teh hijau itu sambil menghela nafas lega. Rasa mual hilang serta merta.  
            PRANG!!
            Zawin dan Puteri saling berpandangan. Bunyi kaca pecah itu beriringan dengan bunyi rintihan dari arah bilik Zeyra membuatkan masing-masing terpaku seketika.  
            Zawin mengurut dada sebaik mendengar nada dering selawat syifa dari dalam tas tangan. Dia melihat jam di dinding. Pasti ibu dan abangnya bimbang kerana dia tidak memaklumkan telah sampai ke Shah Alam. Dalam rasa bersalah, dia membuka butang tas tangan, mengambil I-Phone dan menjawab panggilan.  
            Puteri rasa tidak sedap hati. Dia mengerling Zawin sekilas sebelum bangun mendadak dan bergegas ke bilik Zeyra. Sebaik pintu bilik terbuka, dia  menutup mulut yang ternganga. Wajahnya pucat tak berdarah. Seluruh tubuhnya menggeletar melihat keadaan Zeyra yang sudah nyawa-nyawa ikan. Riak wajah Zeyra seperti dalam keadaan ketakutan. Matanya terbuntang luas.
            “Tak nak!!!”
            Tubuh Puteri menggeletar sebaik mendengar raungan gadis itu. Pekikannya terasa menggegar seluruh rumah. Dalam keadaaan masih terpaku, Puteri hanya mampu melihat tubuh gadis itu menjadi kaku. Cepat-cepat Puteri memeriksa tubuh Zeyra. Ya Allah! Gadis ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir! Puteri langsung terduduk di atas lantai. Bola matanya dikalihkan pada serpihan-serpihan kaca bercampur air milo diatas lantai. Dia mengesot untuk melihat satu paket berwarna putih tidak jauh daripada serpihan kaca. Matanya membulat luas sebaik melihat satu imej pada paket itu. “Racun tikus?!” jerit Puteri sekuat hati.
            Zawin meluru ke bilik Zeyra dalam keadaan masih melekapkan I-Phone ditelinganya. Kata-kata abangnya tidak lagi diendahkan sebaik melihat situasi dihadapannya. Puteri dilihatnya sedang terketar-ketar memegang satu paket putih dan kemudian berpaling memandangnya.  
            “Zeyra...dia...mi...num...ra...cun...ti...kus...” beritahu Puteri tersekat-sekat sebelum rebah tidak sedar diri.
            “Ya Allah!” ucap Zawin sepatah sebaik menyedari tubuh kaku Zeyra di atas katil.
            “Kenapa Zawin?” soal Zafuan di hujung talian.
            Mata Zawin membulat luas. Nafasnya menjadi kencang tiba-tiba. Tangannya terketar-ketar memegang I-Phone. Wajah gadis jelita itu bertukar kepada wajah yang menakutkan. Kulit wajah itu bertukar hitam. Darah mengalir lesu daripada lubang telinganya. Lidahnya juga terjelir keluar. Mata itu terbelalak seperti memandang sesuatu yang menakutkan. Seolah-olah rohnya disentap dengan ganas ketika keluar dari jasad.
            “A...bang...Za...fu...an...” panggil Zawin dalam suara terketar-ketar. Kedua lutut terasa benar-benar lemah. Sudahnya dia terduduk di atas lantai.
*******
            “Fathia?” Zharif terkedu. Wajah gadis berpurdah yang pernah ditemuinya dahulu memenuhi laut fikirnya.
            “Kenapa? Kau tak setuju?” soal Fuad ingin tahu.
            “Mengapa dia?” soal Zharif kembali. Botol air biru dicapai lalu diteguk perlahan. Pandangannya dilarikan pada dua lelaki cina yang baru memasuki gelanggang Squash.
             “Aku rasa dia pilihan yang baik. Ada didikan agama yang baik dan daripada keluarga yang baik. Walaupun Fathia tak menetapi ciri-ciri isteri yang kau mahukan, tapi dia adalah pilihan yang terbaik pada mata aku,” jelas Fuad lalu mengelap peluh di dahi.  
            Zharif menghela nafas. “Sudah kau suarakan pada keluarga Fathia?”
            “Belum. Aku sedang belajar mengenal hati budi Fathia. Bila tiba masanya aku akan beritahu mak ayah dia. Lagi pula mereka berada di sini selama tiga bulan. Aku ingat bulan depan nak balik ke Langkawi. Semua saudara mara berkumpul di rumah nenek. Mungkin masa tu aku akan umumkan pada semua.”
            Zharif mengangguk. “Ambil masa mengenal manusia. Kadang-kadang kita perlukan mata basyirah untuk mengenal manusia.”
            “Basyirah?” Fuad mengerutkan keningnya. Dia pernah mendengar perkataan itu tetapi minda jangka pendeknya tidak dapat memanggil kembali maksud perkataan itu.
            “Basyirah. Pandangan mata hati. Ustaz Razak pernah sebut dalam kelas Tasawwur dulu, ” jelas Zharif.
            “Oh ya. Aku baru ingat.” Fuad menepuk dahinya. “Tapi...kenapa kau cakap macam tu?     Ada sesuatu yang kau sembunyikan?” Fuad merenung sangsi wajah sahabatnya itu.
            Zharif mengangkat kedua belah bahunya. “Gali balik ilmu yang Ustaz Razak ajar dulu. Kadang-kadang kita rasa ilmu yang kita dapat itu tidak pun digunakan dalam alam pekerjaan tetapi tanpa kita sedar ilmu itu boleh diaplikasikan pada suatu ketika,” sarannya tenang.
            Fuad terdiam. Botol air dicapai lalu diteguk perlahan. Laut fikirnya penuh dengan wajah Fathia. Gadis itu ada menghantar beberapa keping gambar berpurdah dan tidak berpurdah menerusi yahoo messenger. Dia merasakan gadis itu sempurna pada matanya. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja secepat mungkin dipinang gadis cantik itu. Namun melihat reaksi Zharif seakan tidak senang dengan keputusannya itu, dia perlu menimbang kembali niatnya. Dia sangat yakin Zharif tahu sesuatu tentang gadis itu namun mengenal peribadi Zharif sejak kecil, lelaki itu tidak akan sesekali membuka cerita tentang sesuatu yang tidak baik. Apakah Fathia Farhan ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya?
            “Kau dah lama tak cuti kan?” soal Zharif.
            Fuad mengangguk.
            “Selama ini aku sahaja yang bercuti. Giliran kau pula harus bercuti, ” saran Zharif bersungguh.
            “Ok” balas Fuad dalam senyuman. Wajah tenang Zharif ditatap bersungguh. “Jadi, ada cerita menarik dari bumi Mekah?” soalnya ingin tahu mengenai ibadah umrah yang dilakukan sahabatnya itu.
            “Kau tahu...” Zharif membetulkan duduk di atas kerusi panjang itu. Matanya memandang sekilas permainan squash antara dua lelaki cina didalam gelanggang sebelum menatap wajah Fuad. “Aku melihat pintu kaabah dibuka,” beritahunya.
            “Hah? Apa yang kau nampak?”
            “Pada mulanya pintu kaabah sukar dibuka tapi apabila seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan empat tahun menyentuh pintu kaabah, terus terbuka. Kalau dianggarkan pintu kaabah itu beratnya dalam lapan tan. Maha suci Allah.”
            Fuad menganggukkan kepalanya. “Subhanallah. Pasti kanak-kanak itu daripada keturunan bani Syaibah. Hanya keturunan itu sahaja yang dapat buka  pintu kaabah biarpun kanak-kanak yang masih kecil.”
            “Benar sekali. Bani Syaibah pemegang kunci kaabah sejak zaman nabi Muhammad S.A.W. Beberapa kali aku ke sana, ternyata kali ini aku bertuah. Berpeluang melihat sendiri pintu kaabah dibuka. Bumi Mekah jika dipandang dengan mata basyirah, kita akan melihat keajaiban demi keajaiban yang tak terjangkau dek akal.” Zharif menatap wajah Fuad. “Ambil la cuti selama mana yang kau perlukan. Kalau boleh, cari Ustaz Razak. Segarkan balik ilmu yang pernah diberi dahulu, ” sarannya bersungguh.  
            “Insyaallah, ” sahut Fuad. “Apa cerita Wan Zaidi? Dapat dia lupakan Zawin?”
            Zharif mengumam seketika. “Aku tak pasti tapi katanya ada sesuatu yang dia akan cerita nanti.”
            “Ok.”
            Suasana kembali sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
            “Zawin Az-Zahra...” Fuad menyebut sebaris nama itu tiba-tiba.
            Zharif berdehem sekali. “Kenapa kau sebut nama itu?”
            “Kau...rindukan Zawin bukan?” usik Fuad.
            Zharif tersenyum nipis. “Mana kau tahu?”
            Fuad ketawa galak. “Reaksi kau masa aku sebut nama Zawin dah cukup menyatakan segalanya.”
            Zharif tersipu segan. “Ya la. Aku akui memang aku rindukan dia.”
            Fuad tersengih menyeringai. “Call la dia,” sarannya.
            Zharif menggeleng. “Tak nak ganggu hak orang lain, ” jawabnya jujur.
            “Kalau aku kata dia bukan hak milik sesiapa...?” Fuad mengangkat keningnya.
            Zharif tersentak. Lama dia menatap wajah sahabatnya itu. “Takkan la...”
            “Yup, ” pintas Fuad pantas. “Zawin dah berpisah dengan Iskandar,” lanjutnya lagi.
            Zharif terdiam lama. “Zawin...ok?”
            Fuad mengangkat kedua bahunya. “Call la dia, ” sarannya lagi.
            Zharif menghela nafas dalam-dalam.
********
            “Tahniah semua,” ucap Dr.Nurin dalam senyuman gembira.
            Dr.Nasa tersenyum lebar. “Kita menang sebab Dr.Nurin juga.”
            Najla dan Zawin serentak mengiyakan kata-kata Dr.Nasa.
            “Syukur. Mungkin rezeki kita memang dah tertulis. Kebetulan beberapa panel penilai tahu tentang thesis kajian saya dan mereka tahu beberapa rujukan yang kita letakkan dalam presentation hari itu. Tapi...saya tak rasa ini semua hasil kerja saya seorang. Semua yang terlibat turut menyumbang bukan? Jadi...saya nak belanja makan tengahari ni. Ok?”
            “Setuju!”
            Dr. Nurin tersenyum senang. Matanya menangkap senyum terpaksa pada bibir Zawin.       Dia sudah mengesani perubahan gadis itu sejak seminggu lalu. Kenapa dengan gadis itu?
            Dr. Nasa tiba-tiba berdiri selepas membaca pesanan dalam peti mesej. “Saya minta diri dulu ya. Dr. Kamal nak bincang sesuatu dengan saya,” beritahunya. “Maaf ya Dr.Nurin. Tak dapat nak sertai lunch nanti,” lanjutnya lagi.
            “Tak apa...pergilah.” Dr.Nurin mengukir senyum nipis.
            Dr.Nasa terus bergegas keluar daripada bilik rehat pensyarah itu.
            “Zawin...” panggil Dr.Nurin.
            Zawin mengangkat wajahnya yang sedang merenung air teh hijau dalam mug. “Ya.”
            “Ada masalah? Kalau sudi, ceritalah. Mana tahu...boleh bantu,” pujuk Dr.Nurin.
            Najla menatap wajah muram Zawin. Dia turut bersimpati. Dia tidak mahu menghukum gadis itu apabila mengetahui kisah cinta yang terlerai. Dia hanya menyatakan ada lelaki yang lebih baik untuk Zawin. Kes bunuh diri rakan serumah Zawin benar-benar mengejutkannya. Terasa baru sahaja dia bercerita tentang perihal bunuh diri semasa tidur di rumah Zawin.
            “Rakan serumah saya, pelajar IPTS bunuh diri,” beritahu Zawin lambat-lambat. Dia tidak mahu bercerita perihal cinta yang mati ditengah jalan.
            “Hah?” Mata Dr.Nurin membulat luas. “Macam mana dia bunuh diri? Sebab apa?”
            “Putus cinta dan gagal satu subjek. Dia minum racun tikus,” beritahu Zawin lambat-lambat.
            “Ya rabbi...” Dr.Nurin menggelengkan kepalanya. “Bunuh diri seakan menjadi budaya kalangan pelajar sekarang. Putus cinta pun boleh jadi sebab akhiri nyawa sendiri? Manusia yang tidak berakal!” Dr.Nurin melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
            Najla mengeluh. Wajah manis Zeyra melayang di benak. Dia masih terpempan dengan peristiwa yang berlaku di rumah Zawin. Apatah lagi dia sendiri melihat wajah Zeyra sebelum dibawa pulang ke negeri kelahirannya. Entah bila bayangan wajah menakutkan itu akan tersimpan dalam ingatannya.
            “Semalam kak  Puteri beritahu...” Zawin menarik nafas panjang. “Mayat Zeyra digali semula dan ditanam di kubur kristian,” beritahunya dalam sebak. Setitis air matanya gugur juga setelah puas ditahan.
            “Ya Allah...” Najla benar-benar terpempan.
            “Dia murtad?” Dr.Nurin menelan liurnya.
            Zawin menyeka air mata di pipi. “Mayat Zeyra dikebumikan berhampiran masjid. Imam masjid dengar suara tangisan dari kubur Zeyra. Bila tangisan itu berterusan, Imam masjid tanya semua kenalan Zeyra. Rupanya, ada kawan Zeyra beritahu...yang Zeyra pernah bernazar jika dia gagal dalam semester ini, dia akan peluk...agama...kris...tian...” beritahunya tersekat-sekat.
            Astargfirullahhalazim...” Dr.Nurin menggelengkan kepalanya.
            Najla sudah menitiskan air mata. “Kenapa sampai jadi begitu...?”
            Zawin menyeka air mata yang tidak berhenti mengalir keluar. “Selepas mayat Zeyra dipindahkan ke kawasan kubur kristian, baru tangisan itu berhenti...” lanjutnya lagi dalam suara serak. Dia mencapai mug di atas meja lalu menghirup teh hijau yang telah suam.
            Najla dan Dr.Nurin turut mencapai mug masing-masing. Masing-masing tidak terkata apa kerana masih terkejut dengan cerita Zawin.
            Zawin bangun mendadak tiba-tiba. “Saya nak ambil cuti setengah hari. Malam tadi saya tak tidur langsung. Maaf Dr.Nurin. Saya tak dapat sertai lunch hari ni,” ujarnya lalu membasuh mug di sinki.
            “Erm...ok. Tak apa. Lebih baik Zawin balik. Berehat, ” saran Dr.Nurin.
            “Kau nak aku hantarkan?” pelawa Najla.
            Zawin menggeleng. “Tak apa. I’m ok,” sahutnya lalu menapak keluar.
            Zawin menatap sayu seluruh isi rumah. Sejak seminggu lalu, rumah itu menjadi sunyi. Tiada lagi Puteri Nur Diana yang gemar menonton  drama korea sambil menangis teresak-esak di ruang tamu. Wanita itu nekad mengambil keputusan pulang ke Kelantan untuk berbakti pada orang tua yang uzur. Wajah Zeyra terlintas dibenaknya. Zawin tidak mahu lagi mengingati wajah itu. Dalam diam hatinya berdoa supaya tiada lagi insan lain melakukan tindakan bodoh seperti itu. Mata yang memberat memaksa Zawin untuk terus merebahkan tubuh di atas katil. Beberapa ketika, pandangannya menjadi kelam dan sekejapan dia terlena.
            Satu bayangan samar-samar muncul dalam mimpinya. Wajah itu semakin jelas. Zeyra mendatanginya dalam bentuk yang sungguh menakutkan. Kain kapan yang membaluti tubuh itu kelihatan sangat buruk. Wajah itu pada mulanya cantik jelita perlahan-lahan berubah menjadi buruk. Seraut wajah itu kusam lagi murung. Seakan-akan menggambarkan sedang menanggung kesengsaraan di alam yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Zeyra luluh binasa dialam sana.  
            Zawin tersentak daripada lena. Nafasnya kencang dan peluh memercik keluar daripada segenap tubuh. Suasana kelam menyelubungi segenap ruang yang dipandang. Zawin mengucap panjang apabila mengingati kembali mimpi sebentar tadi. Tubuhnya terasa seram sejuk. Selajur Zawin bangun mendadak lalu membuka lampu biliknya. Mengerling jam di atas meja belajar, Zawin terperangah. Hampir pukul sembilan malam. Tidak menyangka lenanya begitu panjang sekali. Zawin melabuhkan punggung di atas tilam katil. Lama dia termenung mengenangkan mimpi aneh yang mendatanginya. Bulu romanya berdiri tegak tiba-tiba. Perasaan takut luar biasa menguasai seluruh minda dan emosinya. Zawin terus mencapai luggage kuning di bawah katil, memasukkan pakaian-pakaian yang dirasakan perlu, barang-barang peribadi dan beberapa bahan bacaan. Lap-top di atas meja dimasukkan ke dalam beg hitam. Dia perlu pergi dari rumah itu secepat mungkin.
*******
            Aduhai adinda dengarla madah kekanda
            tercurahlah cinta ahai nyawa padamu juga
            Zawin tersenyum mendengar nyanyian Anas. Dia hanya tercegat berdiri di pintu dapur. Matanya terlalu seronok melihat gelagat romantis Anas dan Najla yang sedang menyediakan makan malam.  
            “Dinda...kenapa tak sambung?” soal Anas sambil tangannya ligat mengacau udang masak sambal petai dalam kuali.
            “La...dinda lupa sambungannya. Erm...” Najla memejamkan matanya. Sudah lama lama suaminya tidak menyanyikan lagu itu. Tangannya berhenti mengacau gulai ikan patin masak tempoyak.  Matanya dibuka apabila bait-bait lirik itu berjaya digali kembali dalam ingatannya.
Aduhai kekanda junjungan kasih ku puja
hidup bersumpah setia ahai sayang kekal bahagia
            “Aa....apa ya sambungannya?” soal Anas sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
            Najla ketawa manja. “Tengok tu. Kanda pun boleh lupa.”
            Anas ketawa kecil. “Ok...kalau macam tu, dinda la mula dulu.”
            “Eh, bukan ke ada orang-orang tua kata tak baik menyanyi di dapur. Kanda tak takut ke kahwin dengan perempuan tua,” usik Najla.
            “Bukan kah dinda perempuan tua itu?” Anas mengenyitkan mata kirinya.
            “Amboi...mentang-mentang dinda tua setahun daripada kanda. Sampai hati kanda.” Najla memuncungkan bibirnya.
            Anas memeluk pinggang Najla. Perut isterinya terasa semakin besar. “Tua-tua...lagi kanda suka,” bisiknya lembut.
            Najla ketawa manja. “Kalau begitu...cuba rasa kuah ni...” sarannya sambil menceduk kuah gulai didalam periuk ke dalam mangkuk.
             Anas melepaskan pelukan. Tangannya cekatan mematikan api di bawah Kuali.  Udang masak sambal petai telah pun masak. Kecur liurnya apabila aroma gulai yang dimasak isterinya menyengat deria baunya. 
            Najla mengambil sudu, mencedok sedikit kuah gulai didalam mangkuk lalu menyuakan sudu itu ke arah mulut suaminya.
            Anas meniup gulai yang masih berasap itu sebelum menghirup perlahan. “Erm...cukup semua rasa. Sedap,” komennya sambil menaikkan ibu jari pada isterinya.
            Najla tersenyum manis. 
            Kalau hati sudah suka...semua indah saja
            Itukah tanda bunga kasih bermula...Didalam jiwa
            Anas tersenyum mendengar nyanyian isterinya. Lagu itu yang sering dilagukan ibu dan ayahnya apabila masak bersama.
            Memang benar kata dinda...berkasih ada tanda
            Tetapi hati mana sanggup merana...sepanjang masa
            Zawin menahan senyum mendengar lagu duet 90-an itu dilagukan Anas dan Najla. Selama tiga hari dia menetap di rumah sahabat baiknya itu, dia sentiasa dihurung rasa cemburu yang menggunung. Benar kata Najla sebelum ini. Anas akan sentiasa meninggalkan kad-kad cinta di setiap sudut rumah malah Anas turun ke dapur membantunya menyediakan makan malam. Dia sendiri sangat kagum melihat Anas menguli doh sewaktu membuat karipap bersama Najla petang semalam. Kenangan membuat kek bersama Daniel Iskandar dikampungnya dahulu menerpa ruang ingatannya. Setitis air mata Zawin gugur di pipi. Cepat-cepat disekanya.
            “Eh Zawin...dah lama bangun?” tegur Najla sebaik menyedari kelibat Zawin dimuka pintu dapur.
            Zawin tersenyum pahit. “Maaf. Tak sedar tertidur lepas maghrib tadi,” balasnya dalam serba salah.
            “Tak apa. Zawin tetamu kami. Mari duduk. Makan,” pelawa Anas sambil menarikkan kerusi untuk Zawin.
            Zawin tersenyum segan lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Anas memang begitu. Jika mereka keluar makan bertiga, Anas tidak lupa menarik kerusi untuknya juga.
            “Minum...Zawin.” Najla menghulurkan segelas jus tomato tanpa ais.
            Zawin naik segan dengan layanan yang diterimanya. “Terima kasih. Maaflah susahkan kamu berdua. Tak tolong apa-apa pun,” luahnya.
            Anas menggeleng. “Tidaklah. Zawin ada...meriah sedikit rumah kami,” ujarnya dalam senyuman manis.
            Najla menyentuh bahu Zawin. “Jangan kata begitu. Kita dah lama kenal. Jangan anggap kami seperti orang asing,” tambahnya pula.
            Zawin menganggukkan kepalanya. Benar kata pepatah. Ada ketika keluarga sendiri seperti orang asing, namun ada ketika orang asing seperti keluarga sendiri.
            “Mari makan,” jemput Anas lalu menadah kedua belah tangan, membaca doa makan.
            Mata Zawin menyeluruhi hidangan-hidangan di atas meja. Gulai patin masak tempoyak, udang masak sambal petai, sayur kailan, ikan cencaru kukus, air asam dan kerabu pegaga. Masakan melayu yang begitu menyelerakan namun entah mengapa seleranya tidak terbuka.
            “Makan Zawin,” ujar Najla sambil meletakkan beberapa ekor udang dalam pinggan Zawin.
            Zawin makan perlahan-lahan. Terasa tekaknya perit dan tiada rasa. Namun digagahnya juga demi menjaga hati Najla dan Anas. Matanya seronok melihat Najla menikmati hidangan dengan penuh selera. Wanita berbadan dua itu tetap kelihatan anggun biarpun fizikalnya telah berubah. Dua bulan lagi, genaplah sembilan bulan kandungan Najla. Pasti pasangan romantis itu tidak sabar menantikan kelahiran zuriat sulung mereka. Zawin menahan senyum melihat adengan suap menyuap antara Anas dan Najla. Dia sudah terbiasa sejak dulu. Biarpun pinggan lain-lain, namun mereka minum dalam cawan yang sama. Peribadi Anas saling tidak tumpah dengan Abang Zafuan. Setiap kali bertemu Abang Zafuan mahupun Anas, satu hadis rasulullah yang diriwayatkan oleh Tirmidzi sering berlegar dalam laut fikirnya.
            Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik diantara kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya.
            Mata Zawin menyeluruhi dapur sederhana luas itu. Ternyata warna merah dan putih menjadi pilihan Najla dan Anas di setiap sudut rumah. Peti sejuk sahaja berwarna merah jambu. Aksesori dapur juga berwarna merah termasuk set dapur retro. Najla amat menyukai warna merah. Katanya itu warna semangat, berani dan tidak cepat mengalah dengan masalah. Anas yang lebih menyukai warna putih turut terjangkit dengan warna kegemaran isterinya.
            Usai makan, Zawin membuka lama sosial friendster. Laman itu semakin sepi memandangkan ramai pengguna friendster telah berpindah ke laman Facebook. Zawin mengeluh apabila dia tidak dapat menjejak akaun pemilik nama gemleo. Ternyata Daniel Iskandar telah menutup akaun Friendster. Begitu juga akaun Facebook. Air mata Zawin meleleh. Hidupnya terasa benar-benar kosong setelah Daniel Iskandar membisu. Dia tidak mengharapkan penjelasan lelaki itu. Dia hanya ingin mendengar ucapan maaf daripada mulut lelaki itu sendiri. Zawin menyeka air matanya lagi. Tekak yang terasa haus, memaksanya untuk turun ke dapur.   Langkahnya terhenti ditangga apabila melihat Anas dan Najla sedang menari di ruang tamu diringi alunan muzik seksofon Kenny.G. Cahaya lilin yang menerangi ruang tamu turut membangkitkan suasana romantis.  
            Zawin tersenyum pahit. Dia merasa tidak selesa bergerak dalam rumah itu. Dia sedar amat yang kehadirannya seakan menganggu keintiman pasangan romantis itu. “Ini tak boleh jadi,” getusnya lalu kembali ke dalam bilik. Tangannya laju sahaja menyentuh tetikus. Dia perlu mencari rumah sewa berdekatan tempat kerjanya secepat mungkin.


1 awesome commentator:

  1. Story yang sangat menarik dan mengandungi banyak info yang berguna... #^_^

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top