“Awalnya kau balik. Cukup ke cuti dua minggu?” soal Zharif sambil menghulurkan mug berisi coklat panas kepada Fuad. Dia melabuhkan punggung di sofa ruang tamu dan kembali menghadap lap-top. Dokumen kertas kerja yang telah ditaip sebentar tadi dibaca baris demi baris. 
            “Cukup...” balas Fuad sambil menghirup coklat panas. Fikirannya bercelaru. Dia perlukan tempat untuk meleraikan semua kekusutan yang melanda jiwanya. Turun sahaja daripada kapal terbang, kondominium Zharif yang terletak di seksyen 7 itu sahaja yang ingin dituju. “Kau buat apa tu?” soalnya sambil menjenguk dokumen yang sedang ditaip Zharif.
            Zharif melirik sekilas wajah Fuad sebelum menghulurkan kertas draf tulisan tangannya kepada Fuad sebelum kembali menaip.
            Fuad membaca isi draf di tangan. “Ini urusniaga dengan Mister Takeshi Yakamura kan?”
            “Ya. Esok sebelum pukul satu harus sampai di meja Mister perfect tu.
            Fuad mengangguk. Dia kenal dengan ahli perniagaan dari negara matahari terbit itu. Segalanya harus sempurna dalam semua segi. Gelaran Mister perfect sangat tepat menggambarkan peribadi ahli perniagaan lewat 50-an itu. Dalam diam dia memerhatikan cara Zharif bekerja. Lelaki ini juga sama. Zharif tidak segan menegur pengurusan yang tidak efektif dalam mana-mana syarikat yang memerlukan nasihat kepakarannya. Memang layak Zharif mendapat gelaran jurutera dan ahli perniagaan yang celik akal. 
            “Fuad...kau ok?” tegur Zharif sebaik menyimpan para terakhir kertas kerja itu. Tangannya cekatan menutup lap-top jenama Apple berwarna putih itu lalu memasukkan ke dalam beg biru. Sahabatnya itu kelihatan sedang mengelamun jauh.
             “Entah,” balas Fuad pendek.
            Zharif meneliti wajah Fuad. Ternyata nada suara lemah itu mendatangkan beribu persoalan dalam mindanya. “Ada apa-apa yang kau ingin kongsikan?” soalnya tenang.
            Fuad tersenyum pahit. “Aku lapar. Ada apa-apa yang boleh aku makan?” pintanya lambat-lambat. Dia tidak bersedia lagi untuk berkongsi cerita.
            Zharif tersenyum lebar lalu berdiri. “Ada tomyam aku masak tadi. Kari Massaman pun ada,” beritahunya.
            Fuad tersengih. “Kau buka restoren Jepun, tapi selera Thai kau tak pernah berubah,” usiknya lalu berdiri mendepani Zharif.
            Zharif ketawa kecil. “Hari ini mood makanan Thai,” balasnya. “Mari ke dapur,” ajak Zharif. 
            “Fathia dah pulang ke Jordan,” beritahu Fuad sewaktu membasuh pinggan bersama Zharif.          
            “Awal pula dia pulang. Mak ayah dia ikut juga?” Zharif mengelap tangan yang basah dengan kain bersih.
            Fuad mengangguk. Tangannya cekatan menutup kepala pili usai membasuh mangkuk terakhir. “Anak Fathia sakit,” beritahunya tenang seraya mendepani Zharif.
            Mata Zharif tegak menatap mata Fuad yang suram. “Anak?”
            Fuad mengangguk. “Fathia pernah berkahwin dan telah bercerai tujuh bulan lalu,” ujarnya lagi.
            Zharif hanya diam, memasang telinga.
            “Anak dia sekarang di Jordan dengan bekas suami dia,” ujar Fuad lagi. Lama dia terdiam sebelum menyambung kata. “Aku betul-betul tak tahu status Fathia. Aku dapat tahu daripada pakcik Farhan. Maaf, sebab nak jodohkan dengan Fathia dulu. Aku betul-betul tak tahu,” luahnya penuh perasaan.
            Zharif menepuk perlahan bahu Fuad. “Tak apa. Perkara dah berlaku kan? Ambil sebagai iktibar sahaja,” nasihatnya lembut.
            Fuad mengangguk. “Kadang-kadang aku rasa malas nak percaya pada gadis melayu lagi,” ujarnya seraya mengeluh.
            “Bukan semua gadis melayu begitu,” sanggah Zharif. “Kan aku sudah kata, praktikkan ilmu mengenal perempuan yang Ustaz Razak ajar dulu,” sarannya dalam senyum nipis.
            Fuad merenung anak mata coklat dihadapannya itu. Dia sedar Zharif adalah anak murid kesayangan Ustaz Razak. Pasti ilmu yang diperolehi Zharif daripada guru silat tekpi itu lebih banyak daripada ilmu yang diperolehinya. “Apa sebab utama kau menolak Fathia dahulu?” soalnya.
            Zharif tersenyum nipis. “Apa pendapat kau?”
            “Aku rasa bukan kerana ketiga-tiga soalan yang kau ajukan pada Fathia. Kan?” Fuad menebak.
            “Erm...” Zharif mengumam sambil menarik kerusi meja makan lalu melabuhkan punggung di situ. Terasa lenguh apabila berdiri lama begitu.
            Fuad turut duduk mendepani Zharif. “Betul kan?” soal Fuad sedikit tidak sabar.
            Zharif hanya diam. Dia masih berfikir, mencari-cari ayat yang tepat. “Aku melihat tiada tanda dara pada wajah Fathia,” beritahunya tenang.
            Mata Fuad serta-merta membulat. “Hah?”
            “Majoriti ulama berpendapat wajah wanita tidak termasuk didalam auratnya. Namun apabila ada sebahagian ulama yang mengatakan wajah wanita itu sebahagian daripada aurat, pasti ada sesuatu disitu. Ustaz Razak pernah turunkan ilmu membaca wajah wanita pada aku. Benarlah, wajah wanita itu adalah gambaran pada banyak perkara sulit termasuk hal berkaitan dengan dara.  Jika wanita-wanita diluar sana tahu tentang ilmu rahsia ini, pasti mereka sibuk menutup wajah masing-masing.” Zharif tersenyum penuh makna.
            Fuad mengerdipkan matanya beberapa kali. “Ajarkan pada aku!” pintanya dengan teruja.
            Zharif mengangguk. “Ada masa nanti aku ajarkan.”
            Fuad tersenyum senang. Dia menghela nafas dalam-dalam. Cuba membuang perasaan pedih yang dirasakan kerana seorang wanita bernama Fathia Farhan. Wajah Zawin tiba-tiba menyentap benaknya. Matanya tegak menatap wajah Zharif. “Kau pastinya telah menilai Zawin. Betul kan?”
            Zharif hanya tersenyum lebar. “Zawin Az-Zahra adalah hiasan dunia terindah. Itu sahaja aku boleh kata,” balasnya.
            Fuad menatap wajah sahabatnya itu dengan penuh sangsi. “Ada kau call Zawin?”
Zharif tersentak dan kemudian menggeleng.
            “Kenapa?”
            Zharif terdiam. “Aku terlalu sibuk sejak dua menjak ini...”
            “Sekarang bukan alasan lagi...” sampuk Fuad. “Aku dah balik. Sekarang kau pergi aturkan strategi pikat Zawin,” sarannya bersungguh.
            Zharif ketawa kecil. “Kenapa aku rasa kau yang beria-ia?”
            Fuad menumbuk perlahan bahu Zharif. “Sebab Zawin dah solo. Kau harus cepat. Mana la tahu ada lelaki lain yang masuk line dulu. Kecewa tak sudah kau nanti,” komennya selamba.
            Zharif mencemberutkan bibirnya sambil menjeling jam di dinding dapur. Sudah hampir pukul sepuluh malam. “Ok...aku call dia sekarang.” Zharif  bergegas ke ruang tamu, mencapai I-Phone di atas meja kaca lalu mencari nombor Zawin dalam senarai kenalan. Dia mengerutkan kening apabila suara dihujung talian menyatakan nombor itu tiada dalam perkhidmatan. Hati Zharif berlagu tidak enak. Tanpa membuang masa, dia mencapai kunci kereta dan kot hitam. “Fuad, aku keluar sekejap,” laungnya dari ruang tamu dan kemudian bergegas keluar.
            Butang loceng itu ditekan berkali-kali tetapi tiada sesiapa yang membuka pintu. Zharif mengeluh berat sambil bersandar pada dinding di tepi rumah itu. Kemana orang rumah ini pergi? Kemana Zawin pergi. Zharif memejamkan matanya. Wajah Zawin menerpa benaknya. Senyuman manis itu sentiasa berlegar dalam mindanya sejak sekian lama. Hatinya benar-benar merindui gadis manis itu. Apakah dia sudah terlewat?
            “Cari siapa?”
            Zharif terpana lantas membuka mata. Seorang wanita lewat 50-an muncul di hadapan rumah sebelah. “Err...maaf. Saya cari Zawin. Kemana semua orang pergi?”
            Wanita separuh baya itu memanggil Zharif menggunakan isyarat tangannya. Sebaik anak muda tinggi lampai itu mendekat, dia bersuara dalam nada berbisik. “Anak tak tahu ke? Orang rumah sebelah ni baru bunuh diri dua minggu lepas.”
            “Hah?” Zharif dilanda kejutan yang maha hebat. “Siapa?” Nada suaranya bertukar cemas. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali apabil wajah Zawin semakin kuat menerpa benaknya. Tak mungkin! Zawin bukan selemah itu! Hatinya menjerit.
            “Dengar cerita, mati sebab minum racun tikus. Eee...seram makcik. Ada orang terserempak dengan roh arwah di sekitar kawasan sini,” beritahu wanita itu lagi.
            Zharif menggosok tengkuknya yang tiba-tiba sahaja meremang. “Siapa yang bunuh diri?” 
            “Zeyra. Muda lagi budaknya.” 
            Zharif menghela nafas lega. Dia tahu Zawin tidak akan sesekali melakukan perbuatan tidak berakal itu. “Kemana semua orang pergi makcik?”
            “Semua dah pindah. Beberapa hari lalu, Zawin angkut semua barang-barang. Katanya dah dapat rumah sewa lain.”
            Zharif menarik nafas dalam-dalam. Zawin, dimana kau sekarang? Bisik hatinya.
*******
            “Makan Kak Wan,” pelawa Zawin pada gadis berkemeja merah jambu yang baru pulang daripada tempat kerja. Jam dinding dikerling sekilas. Gadis yang bekerja sebagai Executive Environment di sebuah syarikat minyak itu sering pulang kala mentari melabuhkan tirainya.
            “Masak ke? Rajinnya,” balas Wan Ezza sambil meletakkan kunci kereta di atas meja panjang itu. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi, mendepani gadis yang sudah mengenakan baju tidur itu.
            “Masak mee goreng saja. Ada lagi dalam kuali. Kalau nak, ambil ya,” beritahu Zawin ramah.
            “Ok. Makan dulu. Kak Wan dah kenyang. Baru lepas makan dengan client tadi,” tolak Wan Ezza lalu menanggalkan kemeja ditubuh. Seluar slack hitam turut dilurut daripada tubuh. Dalam berpakaian separuh telanjang itu, dia melenggang berjalan ke ruang dapur, terus membuka pintu bilik yang menempatkan mesin basuh.
            Zawin berpura-pura tidak nampak. Dia menunduk, menikmati mee goreng yang masih berbaki. Sudah seminggu dia berpindah di pangsapuri bersebelahan kampus induk UITM dan seminggu juga la dia masih kurang selesa dengan rakan serumahnya itu. Masih segar dalam ingatannya pada malam abangnya menghantarnya ke rumah itu bersama barang-barang yang dibawa. Gadis asal Kedah itu selamba menyambut dirinya dihadapan pintu dengan baju tidur bertali halus. Dia menyedari abangnya memalingkan muka ke arah lain biarpun hanya menunggu di luar pintu rumah. Dia hanya berfikiran positif. Tinggal serumah bersama orang asing pastinya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Biarpun gadis itu sebegitu, dia tidak kisah kerana hatinya telah tertawan dengan ketenangan dalam rumah itu biarpun bilik yang dihuninya sekarang lebih kecil daripada rumah dahulu. Sering dia berdiri di balkoni rumah itu menikmati angin bukit yang menerpa masuk memandangkan pangsapuri itu dibina di atas bukit. 
            “Zawin, malam ni akak keluar outstation ke Terengganu,” beritahu Wan Ezza yang muncul semula di muka pintu dapur sambil membawa mug berisi milo panas.
            “Ok,” balas Zawin. Air milo didalam mug hitam itu direnung lama. Sejak hari Zeyra membunuh diri, dia tidak pernah menyentuh minuman itu. Trauma yang dialami pasti sukar untuk lenyap dalam masa yang singkat.
            “Zawin jaga diri ok. Di sini, tiada apa-apa yang harus dirisaukan. Tahap keselamatan memang bagus. Nanti budak-budak tiga orang itu balik daripada cuti semester, riuh rumah dibuatnya,” ujar Wan Ezza sambil menyelongkar tas tangannya.
            Zawin menghirup teh hijau jepun. Dia diberitahu rakan sebiliknya berasal dari Klang bernama Damia. Dua rakan serumah di bilik Master Bedroom pula asal dari Penang. Alina dan Amira.
            “Damia selalu pulang ke Klang bila hujung minggu. Alina dan Amira pula bekerja sambilan di Masjid Shah Alam. Mereka ni jenis kerap masak. Semua baik-baik belaka,” cerita Wan Ezza lagi. Kotak rokok dicapai, puntung rokok di kepit dicelah bibir lalu menyalakan pemetik api. Puntung rokok disedut dalam-dalam sebelum melepaskan asap yang berkepul-kepul diudara.
            Zawin tersenyum tawar. Dia paling tidak suka orang yang merokok dihadapan orang lain tanpa rasa bersalah. Air teh yang masih berbaki, cepat-cepat dihabiskan lalu membawa pinggan dan mug kuning ke dalam sinki. Bunyi azan maghrib kedengaran lantang berkumandang dari surau pangsapuri. Hatinya menjadi tenang. Dia yakin tidak silap memilih kediaman itu. Suara azan sentiasa kedengaran lima kali sehari termasuk dari arah surau perumahan di belakang pangsapuri. Wajah Daniel Iskandar melayang di benak. Cara Wan Ezza merokok sebentar tadi mengingatkan dia tentang lelaki itu. Matanya dipejamkan, menahan perit dalam dada. Ya Allah, mengapa bayang lelaki itu tidak pernah padam? Mengapa rasa ini tidak pernah kelam?
********
            “Aku tak tahu nak cakap apa...” Fuad menggelengkan kepalanya beberapa kali.
            Zharif mengerdipkan matanya beberapa kali. Sukar untuk percaya dengan suasana majlis harijadi didalam banglo besar tiga tingkat itu. Tarian gelek arab menjadi pembuka majlis penuh meriah itu. Gadis-gadis berpakaian separuh telanjang menjadi pelayan tetamu manakala arak adalah hidangan utama.
            “Betul ke Khalid tu kawan sekolah kamu berdua?” soal Zulhelmi sambil menghirup wine merah.
            “Erm...” balas Fuad sambil berpeluk tubuh. Matanya bertembung dengan mata Zharif kemudian masing-masing tersenyum pahit.
            Zulhelmi ketawa galak. “Siapa sangka bekas budak sekolah agama macam Khalid tu lebih dahsyat daripada sekolah harian macam aku ni.” Arak yang dibuat daripada tulip merah itu diteguk lagi.
            Zharif menahan rasa pijar diwajah. Dia menyedari Fuad sudah memalingkan wajah ke arah lain. Wajah Zulhelmi dipandang sejenak. Jurutera sivil dihadapannya ini dikenali semasa mengambil peperiksaan IR di England dua tahun lepas. Siapa menyangka Zulhelmi mengenali Khalid lalu menemukan mereka kembali.
            Gesekan biola yang merdu tiba-tiba beralun di segenap rumah mewah itu. Sebuah troli dengan kek berbentuk hati berwarna merah dibawa ke tengah-tengah ruang oleh dua orang pelayan. Khalid ketawa gembira usia upacara meniup lilin dan memotong kek berjalan lancar. Nyanyian lagu ‘Happy Birthday’ oleh rakan taulan diiringi dengan iringan gesekan biola tanpa henti. Khalid meraih tubuh teman wanitanya ke dalam rangkulan dan gadis manja itu menghadiahkan kucupan di pipinya.
            Zharif beristighfar panjang dalam hati. Dia tidak menyangka rakan sekolahnya itu benar-benar telah tergelincir jauh daripada jalan orang mukmim. Khalid yang dikenalinya dahulu seorang lelaki yang baik dan rajin ke surau. Apa yang merubahnya menjadi sebegitu?  
            “Dulu...Khalid tu hidup susah.”Zulhelmi  bersuara tiba-tiba.
            Fuad dan Zharif serentak menumpukan pandangan pada Zulhelmi. Mereka benar-benar ingin tahu kisah perjalanan Khalid sehingga menjadi jutawan muda.
            Zulhelmi mencemberutkan bibirnya. “Selepas tamat belajar di UPM, Khalid gagal mendapat tawaran kerja. Dia pernah datang pada aku untuk pinjam duit untuk yuran ambil exam unit trust. Sekarang, dia dah kaya raya. Siap pakai Ferrari. Tu...perempuan sebelah dia tu namannya Erina. Bakal isteri dia tu. Anak Dato’ Helmi. Bakal berkahwin hujung tahun ini. Aku sendiri tak sangka Khalid boleh berubah jadi seperti sekarang. Dulu...tidur sebantal, makan sepinggan. Jenis alim. Kalau dah memang sejak azali, aku tak hairan la. Bukan nak cakap apa lah, rata-rata kawan aku yang masuk unit trust...semua jadi macam itu,” ceritanya bersungguh.
            Zharif mengelengkan kepalanya. Benar. Harta itu terkadang membuatkan manusia itu semakin jauh daripada tuhan. Sempat dia menitipkan doa agar hidayah Allah diberikan kepada rakan zaman sekolahnya itu.
            “Zharif...itu kan...Dato’ Zawawi...” Fuad mengunjukkan jarinya ke arah sekumpulan lelaki separuh abad yang sedang melagakan gelas masing-masing sambil memeluk gadis-gadis seksi.
            Mata Zharif terus mencari sasaran yang dimaksudkan Fuad. Dia memerhatikan setiap wajah lelaki separuh abad dalam kumpulan itu. Hampir semua lelaki-lelaki itu dikenalinya. Masing-masing cemerlang sebagai ahli perniagaan dalam bidang masing-masing. Namun hatinya berlagu kecewa, mereka tewas dengan harta dunia dan hanyut dalam budaya yang melalaikan. Sejenak pandangannya terpaku pada wajah gadis yang sedang memeluk lengan Dato’ Zawawi. Yasmin!
            Dato’ Zawawi membundarkan mata usai menyedari kehadiran Zharif beberapa meter daripada tempatnya berdiri. Pandangan mata anak muda itu kelihatan tajam menatap wajah wanita disebelahnya. Perasaan segan tiba-tiba menyerbu wajahnya. Dia sedar Zharif adalah bekas majikan Yasmin namun dia sedar juga Zharif mengenali Zawin. Wajah anak gadisnya itu terbayang di benak. Entah apa yang akan difikirkan gadis itu jika mengetahui tentang hubungannya bersama Yasmin. Dalam pelbagai rasa yang bercampur baur, lelaki separuh baya itu meleraikan pegangan tangan Yasmin pada lengannya lalu melangkah ke arah Zharif. “Tak sangka jumpa disini,” tegurnya ramah.
            Zharif tersenyum nipis. “Tak sangka Dato’ kenal dengan Khalid.”
            “Kenalan Zharif ke?” soal Dato’ Zawawi.
            Zharif mengangguk. “Kawan sekolah.”
            Dato’ Zawawi mengangguk. “Minggu depan ada convention di Manila. Zharif pergi tak?”
            Convention under International Maritim Organisation?” Zharif meminta kepastian.
            “Yup. Standards of Training, Certification and Watchkeeping for Seafarers.”
             Zharif tersenyum. “Insyaallah saya pergi.”
            Dato’ Zawawi turut mengukir senyuman manis. “Oh ya. Saya ada dengar GEMLEO 4 karam di Pelabuhan Johor.”
            “Ya. Takdir. Mungkin.” Zharif mengangkat kedua bahunya. “Saya ada dengar perancangan Dato’ nak kembangkan business di Terengganu. Betul ke?”
            Dato’ Zawawi ketawa besar. Tidak menyangka Zharif berjaya menghidu perancangannya dalam diam. Tangannya menepuk perlahan bahu anak muda itu. “Ya. Betul. Saya ada berhubung dengan pembuat kapal di Pulau Duyung. Insyaallah, mungkin dalam tempoh setahun dua ni kapal-kapal yang saya tempah siap sepenuhnya,” beritahunya tanpa berselindung.
            Zharif tersenyum lebar. “Welcome to the marine world.”
            Dato’ Zawawi ketawa lagi. “Thank you.” Dato’ Zawawi mendengar namanya dilaung dari tempatnya berada sebentar tadi. Dia berpaling sekilas sebelum menatap wajah Zharif dalam-dalam. Tangan anak muda itu digenggam erat. “Jumpa lagi pada lain masa.”
            “Ya. Jika ada umur yang panjang, bertemu lagi kita,” sahut Zharif tenang.
            Dato’ Zawawi berlalu dalam senyuman manis tersemat dibibirnya.
            “Betul la kan rumors tentang pembelian kapal di Pulau Duyung tu.” Fuad bersuara tiba-tiba. Dia sengaja tidak masuk campur dalam perbualan Zharif dan Dato’ Zawawi sebentar tadi.
            Zharif mengangguk. “Bagus juga begitu. Sekurangnya bertambah golongan bumiputera dalam dunia shipping,” ujarnya sambil mengerling wajah Zulhelmi. Raut wajah rakannya itu dikesani amat keruh. Apa sudah jadi?
            “Hai hensem.”
            Zharif terkedu apabila suara menggoda itu amat jelas sekali. Hembusan nafas itu terasa di cuping telinganya. Sejurus berpaling, seraut wajah jelita itu tersenyum menggoda. Spontan Zharif menjarakkan diri daripada wanita yang mengenakan gaun malam merah bertali halus dengan bahagian belakangnya terbuka luas. Bau minyak wangi Chanel no 5 kuat menusuk hidungnya.
            Fuad menggelengkan kepalanya melihat telatah Yasmin yang tidak jemu-jemu menganggu Zharif.
            “Kenapa kau menjauh Zharif?” soal Yasmin dalam suara manja.
            Zharif mengerling sekilas sebelum membalas sinis. “Pakaian yang tidak terdidik!”
            Yasmin hanya tersenyum. Kata-kata itu tidak memberikan kesan padanya. “Bukankah lelaki suka pada wanita yang berpakaian sebegini. Bukan begitu Fuad?” Yasmin mengerling Fuad di sebelah kanannya.
            “Suka pandang saja...tapi bukan untuk dibuat bini,” balas Fuas sinis. Dia malas melayan karenah wanita itu lantas menapak ke arah Zulhelmi yang sedang sibuk menekan punat telefon. Entah apa yang menganggu emosi rakannya itu sehingga dahinya berkerut seribu.
             Yasmin mencebirkan bibirnya. Dia berpaling melihat wajah lelaki kacak tinggi lampai itu. “Zharif...kau lelaki tulen atau tidak?” soalnya tiba-tiba.
            Zharif memincingkan pandangannya. “Apa pendapat kau?”
            Yasmin mendekatkan wajahnya dengan wajah lelaki itu. “Kau gay. Kan?”
            Zharif berusaha menahan tawanya daripada meletus. Wajah Yasmin direnung tajam. “Then...teruskan percaya begitu,” sahutnya selamba lalu melangkah pantas ke arah Fuad dan Zulhelmi.
            Yasmin mendengus geram. Buku limanya digenggam erat. Zharif...kau akan jadi milik aku suatu hari nanti! Jerit hatinya.
            “Ikut aku ke Hotel Shang-Ri-La!” arah Zulhelmi kepada Zharif lalu menapak laju menuju ke pintu keluar.
            “Kenapa?” Soal Zharif kepada Fuad. Dia tergesa-gesa mengikut rentak langkah Fuad.
            “Ikut saja.”
            Zharif hanya menurut sehingga mereka bertiga berada di hadapan hotel lima bintang itu. “Ada apa hal ni Zul?” soal Zharif tidak tunggu lagi.
            Zulhelmi merenung tajam pada setiap wajah yang keluar masuk di pintu masuk hotel. Rahangnya bergerak-gerak, menahan amarah yang bila-bila masa sahaja bisa meletus. “Fasha cakap dia ada kursus tiga hari di Melaka. Kawan aku baru mesej tadi, kata ternampak Fasha di kawasan sini. Aku trace lokasi Fasha guna friend finder. Sah! Dia ada di hotel ini!”
            Zharif menggelengkan kepalanya. Dia pernah menasihati Zulhelmi setahun yang lalu supaya berfikir panjang sebelum mengahwini Fasha. Gerak hatinya merasakan wanita lincah yang bertugas sebagai guru itu tidak sesuai dengan Zulhelmi. Pada saat Zulhelmi kenalkan Fasha kepadanya, wanita itu sudah berani bermain mata dengannya. Ingin sahaja Zharif menghalang perkahwinan Zulhelmi ketika itu, namun dia sedar tiada guna berbuat demikian. Zulhelmi benar-benar dilamun cinta. Biarpun lelaki itu agak sosial, gemar bertukar perempuan setiap bulan namun setelah bertemu Fasha, dia menjadi lelaki setia. Zharif berpeluk tubuh sambil bersandar pada kereta Honda City putihnya. Dia mengambil sikap tunggu dan lihat.
            “Fasha!” Zulhelmi memekik, memanggil nama isterinya sebaik matanya menangkap kelibat Fasha dalam pelukan seorang lelaki inggeris. Tudung yang selalu menutupi kepala entah terbang kemana. Isterinya itu kelihatan terkejut sebaik melihat dirinya namun tidak berapa lama, riak wajah itu berubah selamba lalu menapak menghampirinya.
             “Ceraikan saya sekarang atau saya akan failkan fasak,” ujar Fasha tanpa rasa bersalah.
            Zulhelmi benar-benar terkejut dengan kata-kata daripada isterinya. Seolah-olah perkahwinan mereka selama ini tidak ada erti langsung! “Apa salah Zul? Zul beri semua yang Fasha inginkan. Apa kurangnya Zul berbanding mat saleh tu?” soalnya seraya mengerling sekilas lelaki inggeris yang masih berdiri di hadapan pintu hotel.
            Fasha terdiam. Wajah lelaki dihadapannya dipandang lama. Mata lelaki itu kelihatan merah. “Zul selalu tak ada masa...” luahnya lantas mengeluh berat.
            “Kan Zul suruh Fasha berhenti kerja. Ikut Zul outstation. Tapi Fasha yang tak nak...” Zulhelmi menarik nafas panjang-panjang. Perasaan marah sebentar tadi tiba-tiba bertukar arah. Rasa sebak pula menguasai emosinya kini.
            “Fasha ingatkan...Zul dah tak cintakan Fasha,” celah Fasha sambil merenung dalam-dalam mata lelaki dihadapannya.
            Zulhelmi mengetap bibirnya. Air mata yang puas ditahan, gugur juga. “Pergi! Aku tak nak tengok kau lagi!” luahnya penuh emosi sebelum tergesa-gesa memasuki perut Nissan GTR dan berlalu pergi.
            Zharif dan Fuad saling berpandangan. Masing-masing terkebil-kebil seketika. Masih terkedu dengan drama yang berlaku dihadapan mata. Sudahnya, ekor mata masing-masing mengikuti langkah longlai Fasha menuju ke sebuah kereta Ford dan tenggelam dalam perut kereta bersama lelaki inggeris yang setia menunggunya di situ.
*******
            “Bila birthday awak?” soal Zawin kepada lelaki berkumis nipis bawah dagu dihadapannya. Wajah lelaki asal Pahang itu direnung lama. Lelaki ini biasa sahaja pada pandangannya. Tipikal lelaki melayu yang sederhana. Dia hanya menurut permintaan Umi yang bersungguh menyarankan dia berkawan dengan Ridwan, sepupu sebelah ibunya. Katanya, lelaki yang bertugas sebagai jurutera mekanikal ini anak yang baik.  
            “Kenapa? Awak nak beri hadiah ke?” soal Ridwan sedikit berseloroh.
            “Saja,” balas Zawin tak acuh. Tangannya bermain-main dengan straw minuman didalam bekas minuman. Dia malas menyoal soalan lima situasi yang sering diujarkan pada lelaki-lelaki yang ingin mengenalinya.
            Ridwan tersenyum lebar. “22 Mei 1984.”
Gerakan tangan Zawin pada straw minuman terus terhenti. “Huh! Another gemini...” ujarnya seakan berkata kepada diri.
            “Apa dia?” soal Ridwan.
            Zawin pantas menggeleng. “Tak ada apa.” Zawin meyuapkan coeslow ke dalam mulut. Matanya menyeluruhi restoren makanan segera itu. Hampir semua meja dipenuhi pelanggan, malah ada yang masih berdiri, menunggu meja dibersihkan pekerja restoren.
            “Awak suka makan disini?”
            Zawin menggeleng. “Tak. Ini kali kedua saya makan di sini sejak masuk mengajar,” akuinya.
            “Maaf sebab ajak awak ke sini.” Ridwan diburu rasa bersalah.
            “Tak apa.”
            “Awak suka makan apa?” soal Ridwan lagi.
            “Makanan Jepun.”
            Ridwan mengangguk. “Kalau begitu, lain kali kita makan di restoren Jepun. Ok?”
            Zawin mengangkat kedua bahunya. Garfu dicapai lalu menguis-nguis isi ayam bahagian dada selepas melihat minyak yang banyak pada ayam goreng itu.
            “Tak suka makan ayam?” soal Ridwan lagi.
            “Erm...” balas Zawin tidak acuh lalu menyuapkan isi ayam ke dalam mulut. Tekaknya terasa tidak selesa. Seakan baru sahaja dia menelan minyak. Seleranya terus mati.
            Ridwan berpeluk tubuh, merenung riak kosong pada wajah gadis itu. Dia ingin mengenali Zawin selepas melihat gambar-gambarnya dalam laman web sosial Facebook. Senyuman gadis itu yang meruntun naluri lelakinya. Tambahan pula menurut sepupunya, gadis ini baru sahaja solo. Tapi mengapa tiada segaris senyuman pun yang diukirkan gadis ini? “Awak...” panggilnya.
            “Ya”
            “Saya ada teka-teki. Nak jawab?” pancing Ridwan.
            Zawin menatap wajah lelaki dihadapannya itu. “Silakan.”
            Ridwan membetulkan duduk lalu berdehem sekali.   “10 ekor burung sedang terbang, tiba-tiba berdentum guruh dengan kuat. 6 ekor burung terus terbang tanpa masalah, namun 4 ekor burung telah jatuh ke bumi. Soalannya, kenapa 4 ekor burung itu jatuh ke bumi?” soalnya sambil menaikkan keningnya.
Zawin terdiam lama sebelum menjawab. “Sebab kena panah petir.”
            Ridwan menggeleng.
            “Sebab dah takdir,” balas Zawin selamba.
            Ridwan tergelak besar. “Mudah je jawab macam tu ya.”  
            “Habis tu jawapannya apa?”
             Ridwan menahan tawa. “Jawapannya adalah 4 ekor burung tu jatuh ke bumi...sebab terkejut dengar dentuman guruh yang kuat. 4 ekor burung itu menutup telinga dengan sayap lalu jatuh la keempat-empat ekor burung itu,” beritahunya lalu diikuti tawa kecil.
            Zawin menggaru bawah dagunya. “Habis tu...enam ekor burung lagi tu kenapa tak jatuh?”
            “Sebab enam ekor burung itu adalah burung tua yang dah pekak. Jadi tak ada kesan pada tahap terkejut yang melampau.” Ridwan sudah ketawa besar namun tawanya mati melihat gadis itu hanya merenung wajahnya.
            “Jadinya?” soal Zawin kembali.
            Ridwan berdehem beberapa kali. Dia menelan liurnya. Gagal membuat gadis itu ketawa, dia hanya merenung riak wajah kosong dihadapannya. “Bila awak berhenti tersenyum?”
            Zawin hanya diam sambil menyisip straw minuman. Dia sendiri sudah lupa bila kali terakhir bibirnya mengukir senyuman. Jika ada pun hanya senyuman terpaksa. Jiwanya terasa kosong. Dia pasti bukan kesedihan yang sedang menyelubunginya kini tetapi lebih dahsyat daripada itu. Dia sendiri takut untuk menerima kenyataan itu. Mengerling jam di tangan, Zawin terus bangun. Wajah lelaki dihadapannya ditatap sejenak. “Maaf. Saya harus pergi. Panjang umur, kita bertemu lagi.”
            Ridwan mengangguk. “Err...boleh saya call awak malam ini?” pintanya berhati-hati.
            Zawin mengangguk. “Up to you,” balasnya lalu mencapai tas tangan dan bergegas keluar daripada restoren makanan segera itu. Dalam kepala, banyak barang-barang peribadi yang perlu dibeli. Hanya pasaraya Giant sahaja ingin dituju saat ini.
            Radio kereta dihidupkan lalu menekan saluran radio secara rawak. Zawin menahan nafas saat satu lagu kedengaran di corong radio.
            seperti cinta kita yang jelas ternyata
            semakin lama oh semakin rebah
            menimbulkan tanya
            apa mungkin kita
            bertemu kebahagiaan...dalam perpisahan
            Setitis air mata zawin gugur dipipi. Setiap kali lagu itu berkumandang, dia akan dilanda sebak. Lagu itu merupakan tanda perpisahan tidak rasmi bersama Daniel Iskandar. Lagu yang mengingatkannya peristiwa sedih pada malam 22 Mei 2010. Zawin menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak boleh melayan perasaan sedih itu. Pantas tangannya menekan butang off lalu membawa kereta kuning itu keluar daripada kawasan parkir.
*******
            “Kelantan? Buat apa?” soal Zharif sambil menyorong perlahan troli. Matanya mengamati deretan minyak masak yang terdiri daripada pelbagai jenis dan jenama.
            “Aku mencari seseorang,” balas Wan Zaidi dihujung talian.
            Zharif ketawa kecil. “Siapa pula? Cik mek molek mana yang kau berkenan ni?”
            Wan Zaidi turut ketawa. “Doakan aku bertemu dengan dia.”
            “Ya la. Hati-hati memandu,” pesan Zharif.
            “Zharif...ada kau berjumpa dengan Zawin akhir-akhir ini?”
            “Tak ada. Sejujurnya selepas balik daripada umrah, memang tak berjumpa lagi dengan Zawin.”
            “Ok. Aku ada hal nak tanya dia. Aku cuba call dia, tapi nombor dia dah tamat perkhidmatan. Harap-harap Zawin sihat dan baik-baik sahaja.”
            Zharif berhenti menyorong troli. Mindanya penuh dengan wajah gadis itu. Jika dia mahu, Raj sentiasa bersedia menuruti arahannya untuk mencari Zawin namun dia sedar gadis itu sedang terluka hatinya. Dia tidak mahu menganggu. Mungkin juga dia tidak sanggup melihat wajah suram gadis itu. “Erm...semoga Zawin baik-baik sahaja,” balasnya tenang.
            “Zharif...i miss her so badly,” luah Wan Zaidi.
            Zharif tersenyum lebar. “Miss her. Like crazy!” luahnya pula. Terasa lapang hatinya bila berkata begitu. Selama beberapa minggu ini, dia hanya menyimpan rasa rindu itu di sudut hati yang paling dalam.
            Wan Zaidi ketawa besar. “Parah dah kau ni. Apa yang kau nak buat kalau Zawin ada depan mata kau sekarang?”
            Zharif tersengih. “Kalau dia ada depan mata aku sekarang...aku akan kata...aku...” Kata-kata Zharif mati disitu. Dia terpaku melihat batang tubuh yang berada dihadapannya.
            Zawin berhenti menyorong troli. Kepalanya ditundukkan sedikit tanda menyapa tanpa kata. Lama matanya bertembung dengan mata lelaki yang jelas sedang bercakap dengan I-Phonenya.
            “Zharif? Ooo Zharif. Still there?” panggil Wan Zaidi apabila lelaki itu tidak menyambung kata.
            “Err...ya,” sahut Zharif sedikit tergagap.
            “Apa yang kau akan kata?” ulang Wan Zaidi.
            Zharif memincingkan pandangan, menghela nafas pendek lalu mengukir senyum nakal.     I love you.”
            “Wah...wah...Pengsan Zawin kalau dengar luahan kau ni!”
            Sorry...got to go now. Drive carefully. Bye.”Zharif tersengih. Matanya masih tegak memandang gadis melayu itu seraya memasukkan I-Phone ke dalam poket seluarnya.
            Zawin menolak troli, menghampiri lelaki berkemeja hijau pucuk pisang itu.             “Assalamualaikum  Encik Zharif Zahir,” ucapnya dalam senyum nipis. Entah mengapa, terasa seakan telah berbulan lamanya dia tidak berjumpa lelaki tinggi lampai itu.
            “Waalaikumussalam Cik Zawin Az-Zahra,” balasnya bersulam senyuman manis.
            “Sungguh hijau hari ini. Ada pokok berjalan rupanya.” Zawin cuba berseloroh.
            Zharif ketawa kecil. “Hari jumaat bukan? Zawin pula...” Zharif menyeluruhi penampilan gadis itu. Bertudung putih, kemeja hitam strip putih dipadankan dengan seluar slack hitam.         “Erm...hitam putih. Bukan ke hari ini hari hijau?” lanjut Zharif seraya mengangkat keningnya.
            Zawin hanya mampu mengangkat kedua bahunya. Banyak perkara tidak diambil peduli sejak Daniel Iskandar menyepi. Tangan Zawin mencapai botol minyak bunga matahari di atas rak lalu meletakkan ke dalam troli.
            Zharif menatap semahu hatinya wajah mulus gadis itu. Siapa menyangka takdir masih menemukan mereka kembali.
            Zawin mengangkat keningnya apabila menyedari Zharif memerhatikan wajahnya. Dia berdehem beberapa kali.
            Zharif turut berpura-pura berdehem. “Zawin dah tukar nombor telefon?”
            Zawin mengangguk lambat-lambat. “Maaf. Ada sesuatu yang berlaku. Itu yang tukar nombor telefon,” beritahunya.
            “Tak apa. Apa yang penting, Zawin baik-baik sahaja.”
            Masing-masing terdiam sejenak.
            So?” Serentak perkataan itu keluar daripada mulut masing-masing.
            Zharif tergelak.
            Zawin menahan senyum.
            “Bagi Zharif nombor telefon baru.”
            “Ok.” Zawin menarik keluar I-Phone dari dalam tas tangan. Nombor Zharif memang ada dalam telefon itu, cuma dia tidak pernah terfikir untuk menghubungi lelaki itu. Cekatan tangan Zawin mendail nombor Zharif.
            “Erm...banyak nombor 8 ni. Peminat nombor lapan ek?” usik Zharif usai serangkai nombor asing muncul pada skrin I-Phone.
            Zawin menahan senyum lalu mengangkat bahu.  
            Nada  mesej berbunyi daripada I-Phone Zawin. Cekatan Zawin membuka peti mesej usai melihat nama Anas. Membaca isi mesej membuatkan Zawin membundarkan mata. Najla telah dimasukkan ke dalam wad bersalin kerana telah ada tanda-tanda sakit bersalin biarpun kandungannya baru memasuki usia lapan bulan. Pasti Anas sedang berdebar-debar menanti di luar bilik bersalin. Wajah Zharif ditatap sejenak. “Zharif...Zawin dah habis shopping. Ada hal lepas ni. Kita jumpa pada lain masa sahaja ok?”
            Zharif mengangguk. “Ok.”
            Zawin menyorong troli sambil meneliti senarai to do list dalam I-Phone. Dia mengeluh. Masih ada dua barang yang dia terlepas pandang. Pantas troli disorong ke arah rak barang-barang peribadi. 
            Zharif merenung tampang gadis itu sehingga hilang daripada pandangan. Benar telahannya. Senyuman Zawin telah hilang. Sinar matanya telah malap. Apatah lagi eyes smile yang sering membuatkan dia ikut tersenyum. Zharif menghela nafas dalam-dalam. Tangannya mencapai botol minyak zaitun di atas rak namun gerakan tangannya terhenti apabila terpandang minyak bunga matahari. Tanpa berfikir panjang, botol minyak itu dicapai dan ditatap bersungguh. “Zawin dan matahari. Erm...” Zharif mengukir senyum lebar. Ya benar. Gadis itu umpama matahari tetapi kini cahayanya telah sirna. Entah bila cahayanya akan bersinar kembali. Hanya masa sahaja yang mampu mengubat segala luka. Zharif meletakkan botol minyak bunga matahari itu ke dalam troli lalu menyorong troli menuju ke arah kaunter bayaran.
            Zawin berpeluk tubuh, menanti giliran di kaunter bayaran. Dia melihat barang-barng Zharif sedang dikira juruwang. Buat kali kedua, Zawin terpesona melihat gerakan jari jemari Zharif seolah-olah sedang menekan kalkulator halimunan. Ada apa dengan gerakan itu? Dia benar-benar panasaran.
           

5 awesome commentator:

  1. Lelaki durjana...
    Syukur..zawin sedar sblm terlambt..kalau dh kawin..naye..
    Now..zawin n zharif la..

    ReplyDelete
  2. Da lama tunggu entry ni...
    Tq

    ReplyDelete
  3. Tak sangka sampai macam tu teruk sekali perangai Daniel Iskandar....

    ReplyDelete
  4. wut a shock ya diz time... huhu.. nway, dats rite.. once org tu baik, dosent mean die akn baik utk selamanya..begitu jgk jka die jahat.. x bermkna die akn jahat selamanya.. mmg lam life kite akn d turning point, samada kite nk grab o not... terpulang pda hati kita.. mia, well done! u did it. berjaya menghuraikan pro n kontra hidup nie.. ALLAH itu indah. Bercintalah kerana ALLAH..

    ReplyDelete
  5. akak bila ye nak sambung cerita ini?

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top