BAB 27

            “Zawin tengok apa?” soal Zharif kehairanan saat melihat gadis yang mengenakan blouse labuh merah jambu itu merenung jauh dalam keadaan kepalanya mendongak ke atas.
            “Macam mana KLCC ini dibina ya?” soal Zawin ingin tahu.
            Zharif turut mendongak ke atas. Dia tersenyum lebar. “Apa pendapat Zawin?”
            Zawin mengumam sejenak sebelum bersuara. “Pasti KLCC tidak dibina hanya di atas tanah kan? Sky bridge...yang hubungkan dua menara itu pasti akan terpisah dua kalau ada gegaran atau gelinciran di bawah tanah. Kan?”
            Zharif menahan senyum. Wajah merah putih itu ditatap sepenuh hati. “Jangan kata Zawin penonton setia Discovery channel?”
            Zawin mengangguk lambat-lambat. “Sangat suka Extreme Engineering. Rasa kagum sangat dengan perancangan projek dan cara berfikir jurutera,” luahnya sambil berpeluk tubuh.
            “Jurutera atau doktor yang lebih Zawin kagumi?” soal Zharif sambil menatap lembut wajah gadis itu.
            Zawin tersentak. Wajah Zharif ditatap sekilas sebelum melarikan pandangan pada orang ramai yang lalu lalang di kawasan dataran luas itu. “Masing-masing ada kelebihan,” balasnya bersahaja.
            Zharif memuncungkan bibirnya. “Kalau Zawin kata jurutera...Zharif akan berikan jawapan pada persoalan Zawin tadi,” ujarnya selamba.
            Zawin menatap wajah tenang lelaki disebelahnya itu. “Kenapa Zawin perlu pilih jurutera?”
            Zharif memincingkan pandangannya. “Macam ni la. Zharif beri pilihan begini. Kumpulan pertama, ER dan Grey’s Anatomy. Kumpulan kedua pula, National Geography dan Extreme Engineering. Mana satu daripada dua kumpulan ini Zawin akan pilih kalau serentak ditayangkan?”
            “Mestilah kumpulan kedua,” sahut Zawin tanpa berfikir panjang.
            See...” Zharif mendepakan tangannya. “Clearly Zawin pilih jurutera. Masih mahu nafi kah?”
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Whatever...” balasnya seraya menjeling sekilas wajah nakal lelaki itu. Hatinya cuak kerana lelaki ini cukup bijak menggunakan kaedah psikologi padanya.
            Zharif tergelak kecil mendengar perkataan yang sering gadis itu ucapkan. Matanya dilontarkan pada puncak menara berkembar petronas itu dan kemudian pada sky bridge yang menghubung kan dua menara. “Seperti Zawin kata tadi, KLCC pastinya tidak dibina di atas tanah tanpa apa-apa sokongan. Sebenarnya, ada spring yang besar ditanam di bawah tanah untuk mengelakkan risiko besar jika terjadi sliding di bawah tanah. Reka bentuk struktur sky bridge pastinya sukar dibuat untuk menampung pergerakan dari setiap menara. Jadi, solusi terbaik adalah membina dua engsel bentuk V terbalik yang menyokong lengkungan jambatan di tengah yang dapat menampung semua gerakan,” jelasnya.
            Kepala Zawin terangguk-angguk sambil merenung ensel berbentuk V terbalik di bawah sky bridge.No wonder...” katanya lalu menatap wajah Zharif. “Zharif bukan jurutera sivil kan?”
            Zharif menggeleng. “Electrical,” balasnya ringkas.
            Zawin menahan nafas apabila lama matanya menatap sepasang mata memukau milik lelaki itu. Anak mata coklat itu mengingatkannya pada anak mata Daniel Iskandar. Cepat-cepat pandangan matanya dilarikan pada tempat lain. “Ingatkan Zharif jurutera sivil. Cara Zharif terang macam dah biasa bina bangunan saja.”
            “Zharif ada ramai kenalan dalam bidang Sivil. Zulhelmi is one of my best friend. Nanti ada masa, Zharif kenalkan pada Zawin. Very good sivil engineer.
            Zawin mengangguk. “Zawin haus. Jom masuk dalam KLCC,” ajaknya lalu bangun daripada kerusi rehat itu.
            Zharif turut berdiri. “Kita ke tingkat enam terus ya?” sarannya.
            Zawin bercekak pinggang. “Kenapa mesti enam?” soalnya dalam rasa kurang senang. Sekali lagi wajah Daniel Iskandar muncul dibenaknya. Lelaki itu sangat menyukai nombor enam sehingga nombor plat keretanya ditempah khas untuk nombor itu.
            Zharif mengangkat keningnya. “Tak ingat ke? Zharif pernah kata, nombor enam adalah nombor bertuah Zharif. Mana tahu...ada sesuatu yang indah berlaku di tingkat enam KLCC hari ni,” ujarnya bersahaja.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Ya la tu,” balasnya seraya menapak ke dalam bangunan menara berkembar itu.
            Two Godiva Dark Chocolate Decadence Shake.” Zharif memesan minuman kegemarannya itu dihadapan kedai GODIVA Chocolatier. “Tak apa kan?” soal Zharif berpaling memandang Zawin.
            “Dah pesan pun kan?” balas Zawin bersahaja.
            Zharif tersengih. “Sedap tau. Mesti Zawin pun akan suka.” Zharif cuba meyakinkan.
            Zawin hanya mengangguk. Melihat bahagian atas minuman coklat itu diletakkan whipped cream dan sos coklat hitam membuatkan tekak Zawin menjadi mual. Tidak apa lah. Dia memang sering membawa bekalan air mineral dalam tas tangan ke mana sahaja pergi.
            Zawin dan Zharif mengambil tempat duduk di sebuah kerusi kayu. Masing-masing hanya diam menikmati minuman coklat itu sambil mata menyeluruhi isi gedung pusat membeli belah itu.
            Zawin menyisip straw minuman coklat itu sambil mengerling lelaki disebelahnya. Zharif dilihat sedang memerhatikan sekumpulan beberapa gadis bertudung tidak jauh daripada tempat mereka duduk. Wajah Daniel Iskandar terlayang dibenaknya. Lelaki itu juga gemar berbuat demikian jika mereka berada ditempat awam. Kadang-kadang dia merasa sangat terganggu dengan cara Iskandar yang sengaja menguji gadis-gadis dengan pandangan yang menggoda jiwa.
            “Parah dah perempuan-perempuan zaman sekarang.”
            Zawin tersentak daripada lamunan. Wajah Zharif yang keruh menarik perhatiannya kini.    “Kenapa Zharif?” soalnya sambil menyisip straw minuman coklat.
            Zharif memincingkan pandangan sambil menggelengkan kepala. “Cuba tengok di sana. Pakai tudung singkat, nampak dada. Gadis tudung biru itu pula, baju lengan pendek, kain pula  terbelah nampak betis. Tudung oren tu pula...baju singkat atas punggung. Ini pula...” Zharif berhenti berkata apabila lalu seorang wanita bertudung hitam, blouse labuh hijau pucuk pisang yang dikenakan bersama legging hitam. “Mereka ini sedar atau tidak dengan mengenakan legging itu, mereka sah-sah tergolong dalam golongan wanita akhir zaman yang berpakaian tetapi telanjang?” luahnya tidak berpuas hati.
            Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali. Dia tidak sangka Zharif akan melontarkan kata-kata sebegitu. Tidak menjangka Zharif akan menjadi seteliti itu. Dia berdehem sekali. “Itu yang berlaku sekarang,” sokongnya. “Di kawasan-kawasan jogging juga begitu. Siap masukkan baju dalam legging masa berjoging. Sangat malu tengok kaum sendiri pakai begitu,” lanjutnya lagi.
            Zharif menyisip perlahan straw minuman coklat. Dia beristighfar panjang sebaik melihat lurah punggung gadis tudung oren yang duduk di sebuah kerusi yang membelakanginya. Cepat-cepat matanya dikalihkan ke arah lain. “Berpakaian...tapi telanjang!” ujarnya sinis.
            Zawin mengetap bibirnya apabila menyedari pemandangan memualkan di hadapannya. Kemana hilangnya erti malu seorang muslim? Zawin  menahan rasa mual di tekak. Minuman coklat sememangnya tidak pernah serasi dengan dirinya. Pantas sahaja botol mineral dikeluarkan dari dalam beg, dibuka penutup lalu meneguk perlahan.
            “Sungguh menakutkan apabila memikirkan golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak akan masuk syurga apatah lagi mencium bau wangi syurga sedangkan wangi syurga dapat dicium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai ke syurga,” ujar Zharif lagi.
            Zawin mengangguk lagi. Dia tahu Zharif merujuk kata-kata itu daripada sebuah hadis nabi. Abangnya pernah membacakan hadis itu selepas menegur kemeja yang dikenakannya terlalu singkat dan ketat di bahagian dada. Dia bersyukur kerana teguran itu yang membuatkan dia lebih berwaspada dalam memilih pakaian. Manusia pasti tidak lepas daripada melakukan kesilapan.
            Wajah Iskandar tiba-tiba hadir mendadak dalam benaknya. Riak wajah sayu lelaki itu semasa bertembung di kantin hospital malam semalam benar-benar menggocang nubari jiwanya. Ya. Daniel Iskandar juga melakukan kesilapan namun itu bukan kesilapan kecil tetapi kesilapan besar yang bakal menjejaskan kerjaya lelaki itu. Kesilapan yang pastinya sukar untuk diberikan kemaafan dan dilupakan semudah itu sahaja. Hatinya benar-benar terluka. Tanpa sedar tangannya menyentuh dada. Mengapa sakit benar jiwa ini? Tuhan. Ku mohon padaMu untuk menyembuhkan luka ini. Bawalah rasa duka ini pergi. Hamba ini tidak mampu menanggung lagi.
            “Zawin sedang fikirkan dia. Kan?” tegur Zharif selepas lama memerhatikan wajah gadis itu yang tiba-tiba sahaja berubah sayu.
            Zawin tersenyum pahit lantas menggeleng perlahan. Minuman coklat yang masih banyak berbaki terus dihirup perlahan. Sekejapan bekas minuman itu kering.
            Zharif menatap wajah sayu itu lebih lama. “Zawin sedang meminta sesuatu kan?” 
            Zawin terus berpaling memandang Zharif. “Kalau tok nujum pandai membaca rahsia hati, apa yang sedang dipinta hati ini?” soalnya sekaligus mengutarakan cabaran.
            “Nak Zharif cakap ke?” Zharif mengangkat keningnya.
            “Erm...” balas Zawin dalam nada malas.
            Zharif tersenyum penuh makna sambil menatap sepasang mata gadis itu dalam-dalam. “Hatimu ingin berhenti menderita,” ujarnya tenang.
            Zawin terkedu. Bagaimana bisa lelaki ini membaca rahsia hatinya.
            “Betul kan?” Zharif tersengih nakal.
            Zawin terdiam. Hanya bibirnya sahaja diketapkan.
            “Jawab ya atau tidak,” usik Zharif lagi.
            Zawin berdehem sekali. “Kalau tok nujum benar-benar pakar, apa ubatnya hati yang menderita?”
            Zharif memincingkan pandangannya lantas tersenyum lebar. “Nanti Zharif jawab. Zharif nak jumpa Mr.Tan sekejap,” ujarnya lantas berdiri mendadak.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Siapa Mr.Tan?”
            “Mr.Tandas,” balas Zharif selamba.
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Buat lawak la tu.”
            Zharif tergelak kecil. “Tunggu di sini ok. Jangan pergi mana-mana,” pesannya.
            Zawin mengangguk. Matanya mengekori langkah lelaki bertubuh sasa itu. Dia perasan beberapa gadis tidak berkelip memandang Zharif malah ada yang berbisik-bisik sambil mata mengekori langkah lelaki berkemeja merah jambu itu. Ya! Warna kemeja itu! Baru dia memahami kenapa dia merasakan Zharif nampak lain hari ini. Dia tidak pernah melihat lelaki itu mengenakan warna pakaian yang sering dikaitkan sebagai warna feminin itu. Beberapa minit kemudian Zharif muncul semula. Matanya menangkap wajah merah lelaki itu. “Ada apa-apa berlaku? Muka Zharif merah,” tegurnya.
            Zharif hanya diam seraya mengambil tempat di sebelah Zawin. Butang bahagian atas kemeja dibuka sambil menjuihkan bibirnya. “Zharif tak akan pakai baju warna pink lagi,” beritahunya tiba-tiba.
            Zawin mengerutkan dahinya. “Kenapa pula? Ok apa lelaki pakai baju pink. Bukan ke trend masa kini.”
            “Tadi...masa di tandas. Ada geng-geng lelaki gay dan transgender berkumpul di sana...” Zharif bersuara lambat-lambat.
            Then.” Zawin menanti cerita lelaki itu dengan sabar.
            “Serba pink semua...” Zharif berhenti bercerita apabila seorang lelaki berkemeja merah jambu kotak-kotak memberikan flying kiss dan berlalu pergi dalam wajah selamba.
            Zawin menahan tawa. “Oh...faham. Zharif kena cabul ke?” usiknya. Air mineral diteguk perlahan.
            “Zharif kena tepuk punggung tadi,” beritahu Zharif dalam suara separuh berbisik.
Mendengar pengakuan itu, air mineral dalam mulut Zawin terus tersembur keluar. Dia terbatuk-batuk kecil. “Betul ke?” Wajah merah lelaki itu ditatap dalam senyum tertahan.
            Zharif mengangguk. Dia benar-benar bengang dengan peristiwa yang berlaku diluar jangkaannya itu.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Macam-macam perangai gay dan nyah ni kan. Pantang tengok pakai baju pink saja, ingat spesis depa.”
            Zharif memuncungkan bibirnya. “Spoil betul la,” luahnya geram.
            Six. Lucky nombor huh?” perli Zawin seraya menjeling sekilas wajah lelaki itu.
            Zharif tersengih. Matanya menatap lembut seraut wajah ayu itu. Pandangan itu semakin lama semakin tajam apabila gadis itu seakan tidak terkesan dengan pandangan itu.“Kalau betul level enam KLCC ni beri tuah pada Zharif?” cabarnya.
            We’ll see,” balas Zawin ringkas.
            Try me...” Zharif tersengih nakal.
            “Ok...silakan.” Zawin membetulkan duduknya, menghadap wajah lelaki itu.
            Zharif menatap dalam-dalam seraut wajah gadis itu. Kulit putih gebu berwarna merah jambu itu ditatap penuh kagum. Mata gadis itu, hidungnya, bibir comel itu betul-betul memukau pandangannya. Zawin Az-Zahra sememangnya gadis melayu yang menawan!
            Zawin menjeling geram apabila menyedari mata lelaki dihadapannya itu bagai ingin menelan dirinya. “Jangan renung Zawin macam tu,” tegurnya tidak berapa selesa.
            “Ooo...tak boleh ya?” usik Zharif.
            “Memang tak boleh,” tegas Zawin.
            “Kenapa?”.
            “Dosa tau. Pandangan pertama dimaafkan. Pandangan kedua dan seterusnya dikira panahan mata syaitan,” hujah Zawin.
            “Oh...ya ke? Mana ada dosa? Zharif renung Zawin sejak tadi tak berkelip-kelip tau, jadinya boleh dikira sebagai pandangan pertama,” sangkal Zharif lagi.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Menyampah la Zharif ni. Macam lelaki gemini! Kata dia saja yang betul,” rungutnya dalam nada geram.
            Zharif ketawa besar. Wajah jelita itu ditatap lagi semahu hatinya. Jika gadis ini menjadi miliknya, alangkah indahnya dunia. Bisik hatinya. “Zawin...perasan tak, biasanya kalau kes kena rasuk...mesti gadis melayu yang kena kan?” soalnya tiba-tiba.
            Zawin mengumam sejenak. Mindanya aktif berjalan mengenai persoalan itu.           “A’ah..betullah”. Kepala Zawin terangguk-angguk. Wajah lelaki itu ditatap sambil berpanggung dagu. “Kenapa? Zharif tahu ke jawapannya?”.
            Zarif mengangguk penuh yakin. “Dulu...masa Zharif tinggal di asrama, ada kes beberapa pelajar perempuan melayu yang kena rasuk. Di sekolah pun pelajar melayu juga yang kena. Hairan juga kenapa gadis india dan cina tak kena. Jadinya, bila kes merasuk ni makin berleluasa, seorang ketua bomoh dipanggil untuk mengubat. Kata bomoh ni la...banyak jin yang merayau di kawasan sekolah. Bila ketua jin diseru...nampaklah wajahnya yang hodoh lagi mengerikan...”
            Zawin mendengar dengan penuh tekun. “Terus...apa yang dilakukan bomoh tu?” soalnya ingin tahu.
            Lebar senyuman terukir di bibir Zharif. “Ketua bomoh bertanya dengan suara yang nyaring.  Mengapa kau rasuk pelajar sekolah di sini hah? Jawab!!! Kenapa gadis melayu jadi sasaran kau wahai syaitan yang direjam,” ceritanya penuh semangat.
            “Apa sebabnya?” soal Zawin tidak sabar.
            Zharif merenung wajah gadis yang kelihatan teruja. “Ketua jin itu tarik nafas panjang-panjang  sebelum menjawab...” beritahunya lambat-lambat.
            Zawin menahan debaran di hatinya.
            Siapa bilang gadis melayu tak menawan
            Tak menarik hati tiada memikat
            Kalaulah memang tak mungkin aku tertarik
            Kalaulah sungguh tak mungkin aku merasuk.
            Aduhai...
            Zharif sudah tidak dapat bertahan lantas menghamburkan tawa yang berdekah-dekah.
            Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali sebelum larut dalam tawa yang panjang. Sungguh sungguh dia ketawa sehingga air matanya keluar. “Adeh...adeh...lawak sungguh”. Nafas Zawin tercungap-cungap, perutnya ditekan-tekan menahan rasa geli hati yang masih berbaki.
            Zarif tersenyum senang melihat reaksi gadis itu. “Kalau Zawin ketawa begini setiap hari, pasti matahari pun turut pudar sirnanya,” tegurnya tiba-tiba. Pesona gadis itu benar-benar menyerlah di matanya saat ketawa lepas begitu. “Eyes smile” mata itu membuatkan dirinya tersenyum tidak putus-putus.
            Zawin mengawal tawanya, berdehem-dehem perlahan sambil menggelengkan kepalanya. Baru menyedari sudah lama dia tidak ketawa sebegitu.“Terima kasih,” ucapnya perlahan bersulam senyuman manis.
            Zharif sekadar mengangguk disulami senyuman lebar. “Kan Zharif dah kata. Mungkin lawak Zharif tak berjaya pada satu-satu masa tetapi bukan pada setiap masa.”
            Zawin masih tersenyum senyum sendiri. Entah dari mana lelaki thai itu mendapat cerita lucu itu. Sungguh menggelikan hatinya.
            “Zawin ingat tak cabaran yang Zawin pernah buat dulu?”. Zharif cuba mengingatkan gadis itu.
            Zawin menahan senyumnya. “Ya...Zharif dah berjaya buat Zawin ketawa. Ok, jadinya apa permintaan Zharif?”.
            Zharif tersenyum penuh makna. “Be my baby,” pintanya penuh harap.
            Zawin terkedu dengan permintaan itu. “Apa maksud Zharif?”.
            Zharif merenung wajah Zawin. “Zawin kata Zharif boleh minta apa sahaja. Jadi, Zharif minta itu sahaja. Be my baby. Boleh kan? Zawin dah janji kan?”. Matanya bersinar penuh mengharap.
            Mata Zawin terkebil-kebil menatap wajah penuh mengharap lelaki itu. Dia tidak tahu apa yang merasuk Zharif sehingga mengujarkan permintaan itu.
********
            “Dia tolak kau?” soal Wan Zaidi sambil menyeka peluh. Kakinya dilujurkan ke hadapan di atas padang trek itu.
            Zharif menggeleng. “Zawin suruh beri dia masa,” balasnya tenang. “Zawin akan beritahu aku pada pada saat dia bersedia,” lanjutnya lagi. Kepalanya didongakkan menghadap langit malam. Bintang-bintang bertaburan di angkasa lepas. Bibirnya menguntum senyum.
            Wan Zaidi turut mendongak memandang langit malam. “Hanya sehari sahaja? Kenapa kau tak minta sebulan ke setahun ke?” soalnya lagi.
            Zharif mengumam. “Zawin pasti menolak.”
            “Kalau tak cuba mana kau tahu kan?”
            Zharif berpaling menatap wajah lelaki disebelahnya. “Satu hari itu sudah cukup.”
            Wan Zaidi mengangkat keningnya. “Nampaknya kau ada keyakinan yang tinggi.”
            Zharif tersenyum lebar. “Salah ke?”
            Wan Zaidi mengangkat bahunya. “Aku kenal Zawin. Walaupun waktu dia bersama aku dulu, aku tahu dalam minda Zawin hanya ada Daniel Iskandar. Pasti...tidak mudah untuk kau memulakan langkah.” Wan Zaidi cuba mengingatkan sahabatnya itu.
            Zharif mengangguk. Dia meneguk air daripada botol NIKE sambil kakinya dilunjurkan di atas padang trek. Dia tahu kata-kata Wan Zaidi itu memang benar cuma hatinya yakin jika Zawin melihat keikhlasan hatinya, lambat-laun bayangan Daniel Iskandar pasti akan hilang. Matanya kembali menatap langit malam yang dihiasai bintang-bintang bergemerlapan. “Berjuta bintang di angkasa tapi hanya satu sahaja yang akan nampak paling bersinar pada mata kita,” ujarnya setelah lama melayan lamunan.
            “Ya. Hanya satu sahaja yang akan kita simpan dalam hati,” sokong Wan Zaidi.
            “Walaupun yang paling bersinar tu sebenarnya adalah sebuah satelit?” soal Zharif.
            Wan Zaidi menatap mata lelaki itu. Sekejapan tawanya terburai.
            Zharif turut ketawa bersama.
            Wan Zaidi berdehem beberapa kali. “Ya. Kita menyangka bintang paling bersinar itu yang paling indah sehingga kita meletakkan bintang itu didalam hati. Rupanya kita tertipu. Bintang itu hanya sebuah satelit di angkasa raya. Kita tertipu dengan rupa luarannya yang sama dengan bintang-bintang lain.  Lambat-laun kita sedar juga ada bintang paling bersinar yang kita terlepas pandang dan pada saat itu bintang itu akan menjadi bintang di hati kita selamanya,” luahnya bersungguh.
            Zharif tersenyum nipis. Dia tahu ada sesuatu yang cuba disampaikan rakannya itu. Wajah Wan Zaidi ditatap bersungguh. “Dalam sungguh analogi yang kau gunakan. Ada apa-apa ke yang aku tak tahu?” giatnya sambil mengangkat keningnya.
            Wan Zaidi tersengih. “Apa pendapat kau?” cabarnya.
            “Kau cuba sampaikan yang kau sudah jumpa bintang yang kau terlepas pandang. Tak gitu?” Zharif tersenyum penuh makna.
            Wan Zaidi menahan senyum. Dia merenung bintang-bintang di ruang angkasa raya. “Aku pernah kata bukan, ada sesuatu yang aku nak ceritakan pada kau...”
            “Ya. Aku memang menunggu cerita kau.”
            Wan Zaidi memejamkan matanya rapat-rapat sebelum membuka mata semula. Wajah Zharif dipandang bersungguh. “Aku nampak wajah seseorang semasa di hadapan Multazam,” beritahunya tenang.
            Zharif mengerdipkan matanya beberapa kali. “Siapa?”
            “Seorang wanita yang aku pernah kenal,” lanjut Wan Zaidi lagi.
            “Aku kenal tak?” soal Zharif ingin tahu.
            Wan Zaidi menggeleng. “Aku tak pasti. Tapi...perkara yang paling menakjubkan, wajah wanita itu turut hadir dalam mimpi ibu aku semasa di Mekah dulu.”
            Zharif membulatkan matanya. Dia benar-benar teruja untuk mendengar kisah itu. “Terus?”
            Wan Zaidi tersenyum nipis. “Kerana itu aku pergi ke Kelantan jumaat lepas. Aku bawa ibu aku juga. Semuanya berlaku sangat pantas. Setiap urusan terasa sangat mudah. Jadinya, pernikahan kami berlaku bagaikan sebuah mimpi,” beritahunya lagi.
            Zharif terus duduk bersila. “Wah. Tahniah Wan,” ucapnya teruja. 
            Wan Zaidi tersenyum senang. “Nanti kau beritahu Zawin tentang berita ini ya? Suruh dia hubungi kami. Nasib baik kau berjaya berhubung dengan Zawin.”
            Zharif mengerutkan keningnya. “Ada kaitan dengan Zawin ke?”
            “Ya. Zawin sangat mengenali isteri aku.”
            “Siapa?”
********
            “Ya rabbi. Siapa sangka.” Zawin menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia benar-benar dilanda kejutan. Tidak pernah terlintas dikepalanya langsung. Mata wanita berpurdah dihadapannya ini ditatap dalam-dalam. 
            “Takdir tuhan sering mencengangkan manusia bukan?” ujar Puteri tenang.
            Zawin mengangguk bersungguh. “Macam mana semua ini berlaku? Bila Kak Puteri berpurdah?” soalnya ingin tahu. Air teh hijau yang dihidangkan Datin Zainab sebentar tadi dihirup perlahan. Dia sendiri tidak menyangka akan menjejakkan kaki lagi didalam banglo mewah itu setelah bertekad untuk menjauhkan diri daripada keluarga Wan Zaidi.
            Puteri terdiam. Lama matanya merenung wajah gadis dihadapannya ini sebelum memulakan bicara. “Akak pernah berniat untuk pakai purdah selepas menjadi yang halal buat seorang lelaki bernama suami bukan?”
            Zawin mengangguk. Masakan dia lupa dengan niat murni itu.
            “Akak pakai purdah sebelum Wan Zaidi melamar akak,” beritahu Puteri tenang.
            Zawin mengangguk dalam sabar menanti cerita dengan lebih lanjut.
            “Akak menuntut ilmu dengan seorang ustazah di surau kampung. Namanya Ustazah Noriah. Syukur sangat. Banyak ilmu yang akak dapat daripada Ustazah Noriah. Bila akak ajukan persoalan tentang pasangan hidup, Ustazah Noriah berkata begini. Kalau kita nak pasangan yang baik, kita kena jadi baik. Bila kita berubah menjadi lebih baik, insyaallah, kita akan menarik jodoh yang baik juga. Jodoh itu akan muncul tanpa kita sangka. Masa itu juga akak buat keputusan mendadak untuk memakai purdah. Akak perbaiki diri akak menjadi muslimah yang lebih baik. Seminggu selepas berpurdah, ada sebuah kereta besar berwarna putih berhenti di hadapan rumah akak. Bila akak tengok Wan Zaidi dan Datin Zainab keluar daripada kereta, hati akak sangat berdebar. Rupanya mereka datang untuk melamar akak,” cerita Puteri lagi.
            Zawin tersenyum lebar usai mendengar kisah itu. Cerita Zharif mengenai mimpi Wan Zaidi dan Datin Zainab kembali tergiang ditelinganya. Tangannya menggenggam tangan wanita itu erat-erat. “Nampaknya doa ibu akak termakbul kan? Puteri Nur Deanna akhirnya tinggal di sebuah istana bersama Putera hatinya dan hidup bahagia selamanya.”
            Puteri menahan rasa sebak. Dia membalas genggaman tangan Zawin. “Alhamdulillah. Syukur sangat,” luahnya penuh emosi.
            Zawin menahan air matanya daripada gugur. Kisah cinta luar biasa itu benar-benar menyedarkan dirinya. Benar kata Abang Zafuan, jika seseorang itu jodoh yang telah ditentukan ilahi, semua urusan dipermudahkan dan semakin mendekatkan diri pada penciptanya. Jika benar Daniel Iskandar bukan jodohnya, mengapa bayang lelaki itu tidak pernah hilang? Mengapa sukar benar untuk hatinya membunuh rasa cinta dalam nubari jiwa?
            “Zawin dan Is macam mana? Bila mahu bersatu?” soal Puteri tanpa mengetahui hal sebenar.
            Zawin sedikit tersentak. Wanita dihadapannya ini bagaikan mengetahui perkara yang bermain dalam laut fikirnya. Zawin tersenyum pahit lantas menggeleng. “Tak ada jodoh,” balasnya ringkas.
            Puteri terpana. “Kerana Abang Zafuan?” tebaknya.
            Zawin pantas menggeleng. “Bukan. Pokoknya...kami tak ada jodoh,” ulasnya ringkas.
            Puteri merenung mata gadis itu dalam-dalam. Padanlah sinar mata gadis itu begitu malap. Rupanya cinta yang disemai kecuncang ditengah jalan. Entah silap siapa, dia tidak mahu tahu. Apa yang penting, dia inginkan gadis ini kembali ceria dan bahagia seperti dahulu. “Zawin...akak kenal sangat dengan Zawin. Zawin menokhtahkan hati Zawin hanya untuk Daniel Iskandar sahaja. Itu sebab akak risau Zawin terus menutup pintu hati Zawin selamanya. Pasti...ada lelaki yang lebih baik daripada Is di luar sana. Zawin hanya perlu beri peluang kepada lelaki lain. Itu sahaja yang akak boleh nasihat,” sarannya bersungguh.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Wajah Zharif tiba-tiba memenuhi laut fikirnya. Perlu kah dia menerima tawaran lelaki itu?
*******
            “Dah sedia?” Zharif mengangkat keningnya, membetulkan kedudukan lutut di padang trek.
            Zawin tersengih. “Zharif akan kalah lagi,” ejeknya.
            Zharif mengangkat keningnya. “We’ll see,” balasnya dalam senyum nakal.
            Zawin menjeling sekilas dan kemudian matanya ditumpukan pada garisan penamat di hujung trek.
            “Sedia...” Zharif mengangkat lututnya. “Go!
             Zawin terus memecut. Dia berlari sekuat tenaganya dalam usaha memintas larian Zharif. Jika dia kalah dalam larian kali ini, dia harus menunaikan janji. Jika dia menang, perjanjian itu terbatal dengan sendirinya. Zawin menyedari larian Zharif ternyata lebih bertenaga dan pantas berbanding dahulu. Dia berusaha menyaingi lelaki itu, sudahnya Zharif berjaya meningggalkanya pada jarak satu meter sebelum tiba ke garisan penamat. 
            Cheetah girl hilang taring ya?” ejek Zharif dalam nafas yang tidak teratur.
            Zawin menjeling tajam. Dia menghirup udara dalam-dalam. Terasa mengah nafasnya. Pastinya kerana telah lama tidak melakukan rutin larian seperti selalu. Matanya menatap wajah Zharif yang kelihatan gembira amat, tersengih panjang meraikan kemenangan. “Nasib baik sahaja tu,” komennya selamba.
            Zharif ketawa kecil. “Cheetah girl dah turun pangkat ni. Jadi Leopard lady ok kan? Hampir-hampir sama dah tu dengan Leo lady,” giatnya lagi.
            Zawin menjeling tajam. “Whatever.”
            Bertambah besar gelak Zharif dibuatnya. Nafasnya masih beralun kencang namun dia tidak peduli lantas melompat-lompat kegembiraan. “I won!I won!
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Suka sangat ya?”
            Zharif berhenti melompat. Dalam nafas termengah-mengah, bibirnya tetap mengukir senyuman tidak putus-putus.  “Dah lama sangat Zharif tunggu saat ini,” akuinya.
            Zawin menghela nafasnya. Dia tahu, dia harus menunaikan janji. “Ok. Esok. Tapi bermula pada waktu tengah hari,” putus Zawin akhirnya.
            Zharif tersenyum lebih lebar.
            “Ingat. Sehari sahaja.” Zawin cuba mengingatkan. Matanya dipicingkan menatap wajah kacak itu.
            Zharif mengangguk dalam senyum manis.
            Good,” ujar Zawin seraya berjalan ke arah beg sukan. Tangannya mencapai botol air kuning dan tuala kuning lalu duduk bersila di atas trek padang.
            Zharif memejamkan matanya, menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan-lahan. Dia perlu bertenang untuk meredakan perasaan terujanya. Apabila perasaannya kembali terkawal, dia membuka mata. Zawin dilihatnya sedang bercakap dengan I-Phone. Wajah gadis itu kelihatan bosan dan seakan-akan memaksa diri untuk menjawab panggilan itu. Pantas dia mencapai beg sukan biru dan mengambil tempat di sebelah Zawin.
            Zawin mengeluh berat usai memasukkan I-Phone dalam tas tangannya.
            “Siapa call Zawin?” soal Zharif.
            “Kawan,” balas Zawin sepatah.
            “Tak nak kongsi cerita?” Zharif menjungkitkan keningnya.
            “Kawan ajak keluar. No mood. Tapi dia tak faham-faham. Bosan dengan orang macam ni,” cerita Zawin lalu mengelap peluh wajahnya dengan tuala kuning. Wajah Ridwan terlayang dibenaknya. Dia tidak suka dengan cara lelaki itu yang gemar mendesaknya untuk keluar bersama.
            “Zharif tak membosankan ke?” Zharif menahan senyum apabila gadis itu menjelingnya.
            “Apa rancangan untuk esok?” Zawin bertanya tanpa menghiraukan usikan lelaki itu.
            Zharif mendekatkan wajahnya. “Surprise,” balasnya dalam nada berbisik.
            Riak wajah Zawin berubah masam. Pantas dia mengesot, menjarakkan dirinya daripada Zharif. “Surprise la sangat,” ngomelnya geram.
            Zharif tergelak besar. “Zawin masih dapat bunga?”
            “Bunga apa?”
            “Bunga mawar. Bunga yang dihantar pada setiap hari rabu,” jelas Zharif.
            Zawin terpana. “Bagaimana Zharif tahu tentang bunga mawar tu?” soalnya tidak sabar. Dia sudah tidak menerima jambangan bunga mawar sejak beberapa minggu lalu. Biarpun dia berpura-pura tidak kisah namun hatinya meronta-ronta ingin tahu siapa pemberi bunga cinta itu selama ini. 
            Zharif tersenyum nakal. “Apa pendapat Zawin?”
            Zawin memincingkan pandangannya, menatap bersungguh senyuman penuh makna lelaki itu. “Jangan kata Zharif yang...” Zawin membundarkan matanya, cuba menafikan bisikan hatinya. Takkanlah Zharif orangnya?!
            Zharif tiba-tiba melampiaskan tawa besarnya.
            Zawin benar-benar bingung.
*******
           
            Nadiah : Awal online hari ni
            Satu kotak bual muncul di bahagian bawah laman social Facebook. Zawin yang sedang membaca surat khabar online, terus menatap ruang bawah skrin lap-top  itu. Jam digital itu menunjukkan waktu 6:16. Zawin terperangah sendiri apabila melihat tarikh yang berada di bawah tulisan jam digital itu. 16 Jun!
            Nadiah: Saya ganggu ke?
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Cuba menghindar jauh-jauh wajah Daniel Iskandar daripada ingatan. Zawin cekatan membalas mesej Nadiah.
            Zawin: Lepas subuh. Malas nak tidur balik. Sihat ke? Bila habis latihan houseman?
            Nadiah: Sihat. 23 Jun genap dua tahun jadi HO di HKL.
            Zawin: Tahniah. Semoga bertambah kerja nanti jadi MO
            Nadiah: Haha. Memang akan bertambah pun. Zawin dah ok?
            Zawin: Ok.
            Nadiah: Erm...semalam saya jumpa Is.
            Zawin: Then?
            Nadiah: Dia nampak merana sangat. Tak sangka pula dia jadi macam tu.
            Zawin menahan sebak dalam dada. Dia tahu, dia tidak akan mampu membenci lelaki itu biarpun hatinya berjuta kali menyuruhnya berbuat demikian.
            Nadiah: Hari ni birthday Is kan? Dia harap awak boleh ucap pada dia. Dia nak mesej awak pun dia tak tahu nombor baru awak.
            Zawin: Erm. No comment.
            Nadiah: Maaf kalau buat awak sedih. Hanya ingin menyampaikan pesan sahaja. Ok. Saya ada kerja. As-Salam.
            Zawin: Wassalam.
            Zawin terus hilang mood untuk membaca surat khabar. Dia terus bangun, menyarung sweater kuning dan tudung hitam di kepala. Dia tidak menghiraukan hari yang masih gelap. Dia perlu berlari untuk meredakan perasaan yang bercampur baur dalam fikirannya.
            Usai memakir kereta, Zawin membuat latihan pemanasan sebelum mula berlari-lari anak. Biarpun hari masih gelap namun itu tidak menghalangnya daripada berlari di sepanjang track joging. Semakin lama, lariannya semakin kencang. Semakin kuat bayangan Daniel Iskandar menerjah ruang ingatannya, semakin laju kakinya melangkah. Apabila tenaganya semakin lemah, akhirnya dia mengalah, memperlahankan larian dan berjalan perlahan. Mindanya tidak berhenti berfikir tentang Daniel Iskandar. Semua kenangan manis dan pahit bercampur baur. Ternyata obor cinta pertama memang sukar dipadam. Haruskah dia menunaikan permintaan lelaki itu?
            Kepalanya ditundukkan, matanya merenung kosong batu-bata yang membentuk trek laluan joging itu sambil melangkah ke hadapan. Apabila menyedari satu batang tubuh tinggi lampai menghalang jalannya, Zawin berundur dan melangkah ke arah kanan jalan. Hatinya menjadi panas apabila tubuh itu tetap menghalang jalannya. Pantas kepalanya ditegakkan. Melihat wajah lelaki yang dihiasi senyum nakal itu, hati yang panas beransur tenang. Zawin berdehem beberapa kali. “Buat apa di sini?”
            Zharif menjungkitkan keningnya. “Oh, sedang jual jambu. Nak beli?”
            Zawin menjeling tajam. “Selalu joging di sini?” soalnya ingin tahu. Seingatnya dia tidak pernah bertembung dengan Zharif selama berjoging di Taman Tasik Shah Alam.
            Zharif menggeleng. “Tak biasa. Hari ni tiba-tiba nak joging di sini. Tak sangka jumpa Zawin. Agaknya...memang kita berjodoh tak?” usiknya seraya mendepakan tangan.
            Zawin menjeling lagi. “Zharif tinggal dimana?” soalnya sambil beriringan berjalan bersama Zharif.
            “Kristal Heights.”
            “Oh, dekat sahaja la dengan apartment Zawin.”
            “Ya. Zawin selalu joging pada waktu macam ni ke?” soal Zharif sambil melabuhkan punggung di atas kerusi kayu.
            Zawin turut mengambil tempat di sebelah Zharif. “Tak,”  balasnya ringkas.
            “Bahaya anak dara keluar pada waktu macam ni. Tunggu cerah sikit baru selamat,” nasihat Zharif.
            “Ala...kalau nak jadi apa-apa yang buruk, waktu cerah pun boleh berlaku,” sangkal Zawin.
            “Memang. But prevention is better than cure. Please remember that,” tegas Zharif.
            Zawin mendengus tidak puas hati. “Zawin tahu jaga diri.”
            “Memang. Tahu Zawin ada seni pertahankan diri tapi Zawin tetap seorang perempuan. Sangat bahaya keluar seorang diri.”
            Zawin merenung tajam seraut wajah tenang itu. “Ini diri Zawin. Zharif tak ada kena mengena,” hujahnya lagi.
            Zharif memincingkan pandangannya. “You are my baby today. Zawin dah lupa?” Zharif cuba mengingatkan.
            Zawin terus terdiam. Dia sedar sebaik sahaja Daniel Iskandar merajai hati dan fikirannya, dia mudah lupa pada perkara lain terutama yang tidak dianggap penting. Wajah tenang Zharif ditatap lama. “Zawin tak puas hati...” beritahunya tiba-tiba.
            “Kenapa?”
            “Hal bunga tu.”
            Zharif menjungkitkan keningnya berulang kali. “I’ve told you right? Be my real baby and I will tell you about it.” 
            “Zharif bukan orangnya kan?” Zawin masih tidak berputus asa.
            Zharif ketawa kecil. “No comment,” balasnya ringkas.
            “Ceh. Suka sangat jawab ikut skema jawapan artis.” Zawin menjuihkan bibirnya.
            Zharif ketawa lagi. “Jom sarapan,” ajaknya lalu berdiri mendadak.
            “Awal lagi ni,” tegur Zawin sambil melirik jam tangannya.
            “6:45 pagi. Zharif memang selalu sarapan pada waktu macam ni, ” beritahu Zharif.
             “Ya la.” Akhirnya Zawin mengalah. “Di restoren Miyako ke?”
            Nope.”
            “Dah tu?”
            Mamak stall. Teringin pula nak makan roti canai pagi ni.”
             Zawin berdehem sekali. Ingin sahaja dia menolak namun memikirkan tentang janjinya untuk mengikut sahaja permintaan Zharif hari ini, terus dia mengunci mulutnya. Hatinya semakin rawan apabila Zharif membawanya ke restoren india muslim yang sering dikunjungi Iskandar. Zawin hanya merenung roti canai telur yang baru sahaja dihantar pelayan. Wajah Iskandar muncul di situ. Seakan melambai padanya. Seolah-olah menyatakan rasa rindu yang tidak berpenghujung.
            “Zawin ingatkan dia kan?” tegur Zharif apabila melihat Zawin hanya merenung roti canai dihadapannya.
            Zawin tersentak. Pantas dia menggeleng dalam senyum tawar. Cekatan tangannya mencapai garfu dan sudu. Seboleh mungkin dia ingin menunjukkan yang dia benar-benar menikmati hidangan dihadapannya.       
            Zharif cuba mengabaikan perasan terkilannya. Dia tidak boleh mementingkan diri. Hati gadis dihadapannya ini pastinya masih terluka. Benar kata Wan Zaidi. Bukan satu tugas yang enteng untuk membuang ingatan gadis ini pada cinta pertamanya. Roti canai telur dihadapannya dinikmati perlahan-lahan. 
            Zawin memerhatikan cara Zharif makan. Lelaki itu tidak kekok makan dengan menggunakan tangan namun penuh tertib. Hatinya tersentuh melihat lelaki itu menjilat-jilat jari, usai tray aluminium itu licin.
            “Lain kali makan guna tangan ya?” saran Zharif apabila menyedari gadis itu asyik memerhatikan caranya makan.
            Zawin menahan senyum. “Kalau makan nasi memang la. Roti canai sahaja yang guna garfu dan sudu.”    
            “Selagi boleh makan guna tangan, usahakan. Itu kan sunah nabi.”
            Zawin tersengih. “Apa yang Zawin akan dapat?”
            Zharif tersenyum lebar. Dia menuangkan air suam ke dalam tray lalu dihirup sehingga kering.
            Zawin tersenyum simpul. Abang Zafuan juga sering berbuat demikian biarpun makan di luar. Dia sahaja yang masih segan untuk berbuat demikian.
            “Berapa nombor arab yang terbentuk di tapak tangan kanan kita ni?” soal Zharif sambil menegakkan tapak tapak tangannya ke arah Zawin.
            “Lapan belas,” balas Zawin pantas. Sejak kecil dia diajar yang setiap tapak tangan kanan manusia ada terbentuk satu garisan panjang mewakili nombor 1 dan huruf V terbalik yang mewakili nombor 8 dalam nombor arab.
            “Allah punya kuasa, kajian saintis menunjukkan ada lapan belas enzim  di tapak tangan kanan yang jika dijilat manusia, akan menjadi penyembuh pada ketidakhadaman perut. Sangat padan dengan hadis nabi yang menyatakan pada setiap jari yang digunakan untuk makan, salah satunya diturunkan berkat dan juga penyembuh pada manusia,” jelas Zharif panjang lebar.
            Zawin terdiam. Fakta yang diberikan Zharif membuatkan dia merenung wajah Zharif  dalam-dalam. “Termasuk penyembuh hati?”
            Zharif tersenyum manis. “Insyaallah.”
            Zawin turut mengukir senyuman manis. Sudahnya dia meletakkan sudu dan garfu di atas meja lalu mengambil cebisan roti canai menggunakan tangan, dicicah dalam kuah kari lalu dimasukkan ke dalam mulut. Zawin mengunyah sambil memejamkan matanya. “Erm...rasa lebih sedap,” ulasnya usai membuka mata.
            “Kan? Tapi lebih sedap kalau Zawin suapkan Zharif,” usik Zharif.
            Zawin menjeling manja.
            So...beritahu lah apa yang Zawin fikir tadi...” ujar Zharif sambil menghirup teh tarik.
            “Zharif ni...tak mudah mengalah kan?” Zawin menatap wajah kacak itu.
            “Zawin fikirkan dia kan?” soal Zharif lagi meminta kepastian.
            Zawin mengeluh perlahan. Lama matanya merenung baki roti canai telur dalam bekas tray. “Hari ni hari jadi Is,” beritahunya tenang.
            “Oh...begitu.” Kepala Zharif terangguk-angguk.
            “Restoren ini...restoren kegemaran Is,” lanjut Zawin lagi.
            Zharif berdehem sekali. “Dah ucap pada dia?”
            Zawin menggeleng. “Ini makanan kegemaran Is,” beritahunya. Tangannya lincah menghabiskan baki roti canai telur hingga licin tray aluminum itu. Dijilat tiap jari jemarinya sehingga sisa makanan tidak lagi tersisa.
            Zharif berpeluk tubuh. Menatap bersungguh seraut wajah ayu itu. Apabila gadis itu menyedari sedang diperhatikan, terus sepasang mata memukau itu bersambung pandang dengan matanya. “Apa hebatnya Daniel Iskandar pada mata Zawin? Maksud Zharif...ciri-ciri yang ada pada dia ke...personaliti dia ke...apa-apa sahaja la.”
            Zawin tidak segera menjawab. Dia bangun, menuju ke sinki, membasuh tangan lalu mengelap sisa air menggunakan tisu. Zawin melangkah ke arah kaunter restoren meminta sekeping kertas dan sebatang pen. Sejurus dia melabuhkan punggung di kerusi semula, kertas kosong bersaiz A4 itu direnung lama. Apa hebatnya Daniel Iskandar pada matanya? Pantas jejari penanya menari di atas kertas itu. “Is...istimewanya dia, pada mata coklat dia...” Tangan Zawin lincah melukis bentuk mata. “Hidung kembang dia...” Zawin ketawa kecil sejurus melukis bentuk hidung itu. Hidung mancung lelaki itu sengaja dilukis kembang. “Bibir seksi dia...gigi besi dia...” Zawin ketawa anak usai melukis gigi itu besar-besar. “Janggut kambing dia...rambut Shah Rukh Khan dia...” Zawin meletakkan pen usai wajah kartun Daniel Iskandar siap dilakar. Matanya merenung sayu pada lukisan itu. “Is...dia hebat kerana memegang hati ini...dia hebat kerana melukai hati ini malah dia hebat kerana...membuat pintu hati ini terkunci,” jelasnya dalam senyum pahit.
            Zharif hanya diam. Dia menelan liur beberapa kali. Kata-kata Wan Zaidi kembali tergiang-giang pada telinganya. Ternyata hati gadis ini memang terkunci hanya untuk Daniel Iskandar. “Zawin...tak boleh ke buka hati untuk lelaki lain?” soalnya tiba-tiba.
            Zawin menggeleng.
            “Termasuk Zharif?”
            Zawin menahan nafas. Sejak dulu, lelaki thai-cina ini sering menunjukkan rasa hati namun dia tidak pernah peduli. Apa kan daya. Hatinya hanya terukir satu nama. Ruang hati itu telah tertutup serapat-rapatnya. Air limau yang sudah sejuk, dicapai lalu dihirup perlahan.
            “Kita batalkan sahaja hari ini,” putus Zharif tiba-tiba.
            Zawin terkebil-kebil menatap wajah serius lelaki itu. “Kenapa?”
            Zharif menghela nafas. “Mata Zawin hanya nampak Is. Seluruh jiwa dan minda Zawin hanya ada dia. Zharif akan tunggu sehingga pintu hati Zawin terbuka. Jangan terlalu mendesak diri demi untuk tunaikan janji. Bila masa tu sampai, Zawin yang akan datang pada Zharif. Ok?”
            Zawin mengangguk lambat-lambat.
            “Zharif belanja hari ini. Jaga diri. Assalamualaikum.” Zharif terus berlalu usai berurusan dengan kaunter bayaran. 
            Zawin termanggu-manggu sendiri.

5 awesome commentator:

  1. ish ish ayah zawin memang brengsek lelaki hidung belang, zarif cepat2 awak takle zawin . . . Mumpung dia lg galau

    ReplyDelete
  2. bru abes baca...
    mm... awat yg bley housemate gituu...
    klu den bertambah la power spek..hahaha... bnyk bahasa jopun.. abes gemleo leh siap 1 kamuss...
    terapi air xdo pom...

    ReplyDelete
  3. sukaaa...da lama tunggu n3...

    - ita

    ReplyDelete
  4. terubat rindu kat zawin. . . . . .ish menyampah pulat kat yasmin tu. Terlalu percaya diri bisa dapatkan zarif, ish ish dah lah bukan anak dara, udah bergelar janda pun masih ada hati kejar2 teruna.

    ReplyDelete
  5. best cite nie..sian zharif sbb zawin slalu lupakan die..cpt2 la up next n3..

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top