BAB 39          

            Kenapa Zharif janji macam tu?” soal Zawin tidak puas hati. Dia tidak jadi memasukkan sushi nigiri kedalam mulut.
            “Itu sahaja yang mampu Zharif lakukan. Zharif rasa itu tindakan yang terbaik buat masa ini,” jelas Zharif.
            Zawin mendengus geram. “Inilah masalah Zharif. Kenapa Zharif baik sangat nak bimbing budak tu. Ayah dia masih ada kan?”
            “Zawin...jangan begini. Tengku Amir minta tolong Zharif. Takkan lah Zharif nak hampakan harapan dia. Zharif dah janji,” terang Zharif dengan lembut.
            Zawin terdiam. Wajah Tengku Azura terlayar dalam laut fikirnya. Cerita rakan serumahnya mengenai perangai liar gadis itu sudah cukup membuatkan dia mampu menilai siapa sebenarnya gadis itu. Dia beristighfar beberapa kali apabila merasakan sangkaan yang buruk-buruk mula bermain dalam hatinya. Wajah Zharif direnung dalam-dalam. Jika Zharif mampu mengubah gadis itu kepada gadis yang lebih baik, dia akan turut gembira. Jika sebaliknya berlaku, sungguh dia takut memikirkan akibatnya.
            “Zawin percayakan Zharif?” soal Zharif meminta kepastian.
            Zawin mengangguk lambat-lambat. “Dua bulan dari sekarang. Zawin akan berdepan dengan Zura. Zawin harap selepas itu, Zharif tidak lagi ada sebarang hubungan dengan dia. Zawin tak suka.”
            Zharif tersenyum senang. “Ok. Zharif akan buat apa sahaja asalkan Zawin gembira. Makan la dulu. Lama kan Zawin tak makan sushi?”
            Zawin mengangguk. “Sejak ada orang paksa Zawin masak,” ujarnya selamba.
            Zharif ketawa besar. “Zharif nak latih Zawin awal-awal. Nanti dah kahwin kan senang.”
            Zawin mengunyah perlahan sushi Nigiri. Harapan Zharif itu membuatkan fikirannya semakin serabut. Wajah Daniel Iskandar muncul dihadapannya. Permintaan lelaki itu membuatkan jiwanya gusar tak menentu. Kenapa sukar sekali untuk dia menyatakan peluang itu sudah diberikan kepada Zharif? Atau sebenarnya separuh hatinya masih ingin kembali kepada Daniel Iskandar? Dia benar-benar keliru. “Zharif...” panggilnya.
            “Ya...”
            “Kenapa Zharif suka Zawin?” soal Zawin sambil merenung sepasang mata memukau itu.
            Zharif tersenyum meleret, menatap tepat pada mata bening itu. “Sebab Zawin berjaya sentuh hati Zharif,” balasnya seraya meletakkan tapak tangan pada dadanya.
            Zawin terpaku. Dia benar-benar dilanda kejutan. Jawapan itu...sama dengan jawapan Iskandar! Degupan jantungnya tiba-tiba menderu laju. Dadanya terasa berat. Tangannya mematah-matahkan jari jemari sendiri. 
             “Hubungan kita dah nak masuk tiga minggu, baru Zawin nak tanya ya?” usik Zharif.
            Zawin tersenyum tawar. Dia terus mencapai california roll dan dimasukkan kedalam mulut. Dikunyah perlahan-lahan sambil memikirkan persamaan jawapan daripada dua lelaki yang kini sedang cuba merebut hatinya. Adakah ini kebetulan? Atau...
            “Zawin buka puasa dengan siapa tadi?” soal Zharif usai membaca laporan harian gadis itu dalam peti mesej.
            “Hah?” Zawin terpana. Matanya terkebil-kebil menatap wajah Zharif. Terasa nasi sushi tersekat dikerongkong. 
            “Dengan Najla dan Anas ke?” tebak Zharif.
            “Erm...” Zawin hanya mampu berdehem. Dia tidak pasti jawapan yang tepat untuk soalan itu.
            “Emm? Macam bukan? Kawan lain?” soal Zharif lagi. Dia hairan melihat riak wajah gadis itu. Seakan menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
             Zawin menghela nafas pendek. Dia tahu dia tidak boleh merahsiakan apa-apa daripada pengetahuan lelaki itu. “Is. Zawin keluar dengan Is tadi,” beritahunya tenang.
            “Is? Sejak bila Zawin berhubung semula dengan dia?” soal Zharif tidak percaya.
            Zawin terdiam. “Dua hari lepas. Semasa kita bergaduh.”
            Zharif menyeka rambutnya beberapa kali. Hatinya merasa tidak enak tiba-tiba. Dia bangun daripada sofa dan berjalan mundar-mandir. “Apa yang Is nak?” soalnya dalam resah.
            Zawin mengetap giginya. Haruskah dia memberitahu permintaan lelaki itu? “Teman dia keluar makan sahaja. Itu pun salah ke?” soalnya semula.
            “Salah,” balas Zharif ringkas.
            “Salah? Kenapa pula? Dia kawan Zawin kan?” soal Zawin semula.
            “Salah sebab dia cinta pertama Zawin. Zharif tak suka,” beritahu Zharif bersungguh.
            “Dia...kawan sahaja.” Zawin cuba meyakinkan.
            “Memang la kawan. Tapi bezanya dia masih sayangkan Zawin...dan Zawin pun sama...”
            “Kenapa Zharif nak besar-besarkan isu ni? Zawin kata kawan, maknanya kawan la!” Suara Zawin sudah mula meninggi. Dia benar-benar rimas.
            “Zharif tak suka! Dia pesaing Zharif!” ujar Zharif tegas.
            “Dia hanya kawan! Kenapa Zharif nak besar-besarkan hal ni?” Zawin sudah bangun, mendepani Zharif. Matanya merenung tajam wajah Zharif yang jelas kelihatan tegang itu.
            “Kawan? Bukan kawan namanya bila masing-masing ada perasaan sayang,” balas Zharif lembut. Dia mengendurkan suaranya, melembutkan pandangannya sejurus menyedari wajah gadis itu bertukar garang.
            “Zawin tahu jaga diri.” Zawin turut merendahkan suaranya kembali.
            “Kalau Zawin tahu jaga diri, kenapa Zawin keluar dengan Is?”
            “Kenapa Zharif cakap macam tu? Seolah-olah Is tu jahat sangat pada pandangan Zharif.”
            “Bukan maksud Zharif macam tu...”
            “Habis tu?”
            Zharif menarik nafas berkali-kali. “Zharif tak suka Is dekat dengan Zawin...”
            “Kenapa?”
            “Zawin kata Zawin pandai jaga diri, tapi selama yang Zharif tengok bila Zawin berada dekat dengan Is, kenapa Zawin tak pernah marah bila Is sentuh Zawin? Zharif lihat Is sentuh pipi Zawin banyak kali. Macam tu Zawin kata pandai jaga diri?”
            Muka Zawin berubah merah. Terasa egonya tercalar dengan kenyataan itu. “Zharif tak ada hak nak nilai Zawin macam tu!” Suaranya meninggi. Tangannya menggigil menahan marah.
            “Zharif ada hak! Zawin sekarang dibawah jagaan Zharif. Zharif berhak untuk mengawal dengan siapa Zawin berkawan. Is tak hormati Zawin sebagai gadis muslimah dan Zawin hilang sifat muslimah bila berada dekat dengan Is. Lelaki yang baik, tak akan sentuh gadis yang bukan halal untuknya biarpun sentuhan itu sekadar di pipi!” hujah Zharif tegas.
            Zawin mengetap bibirnya menahan geram. Dadanya berombak kencang. Wajahnya terasa hangat. Setiap butir kata yang dilemparkan lelaki itu benar-benar mencabar egonya. Dia tahu jika dia membalas kata-kata itu, pertelingkahan itu tidak ada penyudahnya. “Fine! Zharif menang. Bravo!” Zawin bertepuk tangan, menjeling tajam lantas bergegas masuk kedalam rumah.
            “Kenapa Kak Zawin?” soal Damia usai melihat wajah masam gadis itu memasuki bilik.
            “Tangga dah tercabut dari rumah!” balas Zawin dengan geram. Dia menanggalkan tudung hijau muda itu dengan kasar. Selimut dicapai lalu menarik sehingga ke kepalanya. Tubuh Zawin bergerak ke kanan, sekejap-sekejap ke kiri. Kemudian meniarap dan kemudian menelentang. Kakinya menendang-nendang kuat tilam dhujung kaki. “Benci! Benci!” luahnya geram.
            Damia menahan senyum. Lebih baik dia tidak masuk campur dalam urusan rumah dan tangga orang lain. Dia kembali menyambung menonton drama Korea.
            Zawin mengalihkan selimut daripada kepalanya. Matanya merenung syiling bilik. Kakinya masih menendang-nendang tilam. Wajah Zharif muncul disitu bersilih wajah Iskandar. Kata-kata Zharif sebentar tadi bagaikan sembilu tajam menikam hatinya. Ada kebenaran pahit yang cuba dinafikan hatinya. Benarkah dia hilang sifat muslimah bila bersama Iskandar? Ingatannya melayang pada hari Iskandar memicit pipinya dihadapan Zharif semasa dia memulangkan kunci kereta di restoren Miyako. Wajah Zharif jelas terkejut dengan perlakuan Iskandar. Zawin merenung kedalam dirinya. Benar sekali kata-kata Zharif. Dia gadis yang tidak pandai menjaga diri. Bagaimana dia boleh membenarkan Iskandar menyentuhnya selama ini?
            Damia tergelak-gelak menonton aksi lucu drama korea itu. Dalam masa yang sama mulutnya ligat mengunyah kuih beras.
            Zawin merenung gadis campuran darah cina-melayu itu. Damia sentiasa riang. Tidak pernah dilihatnya gadis itu mengamuk mahupun berwajah kelat. Semenjak keluarga gadis itu memberikan PC rumah kepadanya, kerap dilihatnya Damia menonton drama Korea dan Jepun. Wajah Puteri Nur Diana muncul dalam ruang ingatannya. Wanita itu juga gemar menonton drama Korea. Kini wanita itu telah bahagia dan tenang disisi Wan Zaidi. Dia tersedar dari lamunannya apabila mendengar Damia ketawa. Dia tahu dia tidak akan dapat tidur. Pantas dia mendekati Damia yang mengenakan baju tidur besar warna kuning lembut itu. “Nak tumpang tengok,” pintanya.
            My pleasure,” sahut Damia lalu memberi ruang untuk Zawin duduk disebelahnya diatas tilam nipis merah bata itu.
            “Cerita apa ni?” soal Zawin.
            You’re beautiful. Cerita ni adalah gambaran cara hidup artis Korea. Memang best,” cerita Damia lanjut.
            Zawin mengangguk. Ikut hati malas dia nak melayan drama Korea yang berpuluh-puluh episod namun alang-alang matanya tidak dapat dilelapkan,  dilayankan sahaja. “Eh, cerita ni macam gabungan Hana Kimi dan Boy Over Flower kan?” komennya setelah melayan beberapa episod awal.
            “Ha! Mia pun rasa macam tu. Tak sangka Kak Zawin pun fikir sama,” sahut Damia teruja.
            Zawin tergelak halus. Sedar-sedar waktu berlalu begitu pantas. “Dah pukul empat setengah pagi ni Mia. Akak panaskan air dulu la.” Zawin terus bergegas ke dapur. Sewaktu mengisi air dalam balang pemanas air, telinga Zawin menangkap bunyi bising daripada dapur rumah Zharif. “Macam bunyi orang bergusti saja,” ngomelnya lalu menekan suis pemanas air.
            Kembali ke bilik, Zawin mencapai telefon pintar. Jarinya lincah bermain pada skrin telefon.
            Eh orang sebelah. Apa saja bising-bising pagi buta ni. Tak ingat ke orang sebelah nak tido ke nak apa ke. Asyik gedebang-gedebung-gedebang-gedebung. Kalau nak masak tu, tak boleh pelan-pelan sedikit ke?
            Zharif ketawa bersungguh usai membaca mesej itu. “Oh, nak tiru dialog cerita P.Ramlee ya?”Cekatan tangannya menekan skrin telefon.   
            Eh orang sebelah. Kalau ya pun, tak boleh cakap baik sikit ke?
            Zawin menahan tawa. Cepat-cepat dia membalas.
            Bukan cakap, tapi mesej je
            Zharif ketawa lagi.
            Eh orang sebelah. Kalau nak rasa Tomyam Kung panas-panas, keluar la sekarang
            Zawin menelan liurnya. Cepat-cepat dia menyarung tudung putih, mencapai kunci dan menapak keluar. Sejurus melihat senyuman manis Zharif dihadapan rumah, Zawin menarik wajah masam. Sengaja dia berbuat demikian. Ingin melihat sejauh mana lelaki ini akan memujuknya.
            Maaafkan kami
            Maafkan kami
            Maafkan kami
            Zawin sedaya upaya menyembunyikan senyum mendengar lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu dilagukan Zharif.
            Wahai cik adik jangan merajuk
            Maafkan kami si Bujang Lapuk
            Jikalau salah tolonglah tunjuk
            Kamilah rela hai kena ketuk
            Nandung-nandung dayang senandung
            Wahai saudari maafkan kami
            Zawin mengangkat keningnya melihat Zharif menghulurkan sekuntum bunga berbentuk unik berwarna kuning cerah dengan bintik-bintik coklat kemerahan dibahagian tengah. Kelopak bunganya ada tiga dan menghadap keatas. Seakan bunga anggerik. Sekejapan bunga itu beralih ke tangannya.
            Maafkan kami
            Maafkan kami
            Maafkan kami
            Maafkan kami
            “Eh, berapa banyak maaf dah...” celah Zawin apabila lelaki itu masih melagukan lirik yang sama berulang-ulang. Dia melampiaskan tawa yang tertahan.
            Zharif turut ketawa. “Terima maaf Zharif?”
            Zawin tersenyum manis. “Zharif tak salah. Zawin yang salah...”
            “Zharif yang salah. Zawin ada hak untuk berkawan dengan sesiapa. Lain kali Zharif tak akan halang dengan siapa Zawin nak keluar.”
            Zawin mengangguk. “Maaf buat Zharif marah. Tak pernah tengok Zharif naik angin macam tadi,” komennya.
            Zharif tersenyum segan. “Maaf kalau Zharif tak sempurna. Masa Zharif tengah hangin tadi, terus naik atas katil. Siap guling-guling lagi. Lepas tu fikir, sayang tak salah pun. Memang tak dapat lena tidur. Itu yang bunyi gedebang gedebung didapur tadi. Memasak memang boleh hilangkan hangin,” terangnya bersungguh.
            Zawin merenung wajah lelaki itu dalam pelbagai rasa mengapung dalam nubari jiwa. Wajah lelaki itu berseri-seri pada matanya. Mengapa kebelakangan ini wajah lelaki itu kelihatan bercahaya pada matanya? Zawin menjatuhkan pandangannya pada bunga kuning ditangan. “Ini bunga anggerik?” soalnya ingin tahu.
            Zharif menggeleng. “Bunga Iris,” balasnya. “Zharif terawih di Sungai Buluh tadi. Jumpa dengan kawan masa belajar di Jepun dulu. Tak sangka dia ada kebun bunga. Cari bunga matahari tak ada pula. Bunga Iris ini sahaja yang ada. Ingatkan bunga Iris jepun ini tak boleh hidup di Malaysia. Masa merantau belajar di Jepun, selalunya bunga iris ini berbunga bulan Jun, awal musim panas.”
            “Wangi,” puji Zawin usai menghidu bau bunga itu.
            Zharif tersenyum senang. “Mari makan...” ajaknya.
            Zawin akur dan duduk di sofa menghadap Zharif. “Wah! Tomyam dalam buah kelapa?” Zawin benar-benar tertarik dengan cara hidangan tomyam itu.
            “Ya. Istimewa untuk my lovely baby. Ini resipi ibu Zharif.” Zharif menadah tangannya. “Cepat tadah tangan...” gesanya.
            Zawin akur dan menadah tangannya. Dia hanya tersenyum mendengar doa makan dibaca Zharif sehinggalah masuk pada doa kedua.
            “Ya Allah, peliharakanlah hubungan kami supaya hubungan kami tidak dicemari oleh dosa-dosa zina. Jika diizinkan oleh mu Ya Allah, kekalkanlah hubungan kami. Semoga hubungan kami berlanjutan sehingga ke hubungan yang halal dan seterusnya hingga akhir hayat kami. Ya Allah, satukanlah kami di dunia dan akhirat kelak. Jauhkanlah hubungan kami dari godaan dan hasutan syaitan yang direjam. Sesungguhnya kami memohon keredhaanMu Ya Allah. Tentukanlah yang terbaik untuk hubungan kami dan satukanlah hati kami selama-lamanya. Amin.” Doa Zharif bersungguh lantas meraup wajahnya.
            “Amin.” Zawin turut menyapu wajahnya dengan kedua tapak tangan. Dia merenung dalam-dalam seraut wajah lelaki itu. Terasa bagai ada angin lembut bertiup masuk kedalam hatinya. Dia terpegun seketika.
            “Salah ya?” usik Zharif apabila gadis itu memandangnya dalam riak wajah keliru. “Ada yang kata antara waktu mustajab doa adalah waktu sahur. Mana lah tahu, makbul doa kita tadi. Cepat sikit Zawin lamar Zharif,” selorohnya.
            Zawin ketawa halus. “Macam-macam Zharif ni...” Tangannya menyentuh dadanya. Perasaan pelik yang tiba-tiba hadir itu membuatkan dia benar-benar bingung. Sudahnya dia menjatuhkan pandangan pada hidangan asal dari Thailand itu. Wajah ayahnya muncul disitu. Sudah lama dia tidak menyentuh hidangan itu. Bau aroma tomyam kung menyengat hidungnya lantas membangkitkan selera. Dia sudah tidak kisah. Sudu didalam buah kelapa dicapai lalu menghirup kuah tomyam. Dia membundarkan mata. Tomyam ini memang menyengat! Desis hatinya. Semua rasa seakan menerjah anak tekak. Masam,masin, pedas dan sedikit manis. “Sedap,” pujinya bersungguh. Nasi yang digaul bersama kuah dan isi tomyam disuapkan kedalam mulut.
            Zharif tersenyum senang. Dia turut menghirup kuah tomyam. “Ini resepi ibu. Zawin perempuan pertama yang Zharif masakkan tau,” beritahunya.
            Zawin turut tersenyum. Tangannya mengacau isi kuah tomyam itu. Dia mengerutkan keningnya. “Hanya ada sotong?” soalnya.
            Zharif mengangguk. “Tomyam Kung kurang menyengat kalau bercampur jenis makanan laut apatah lagi haiwan darat. Sotong sebenarnya tidak ngam bila disatukan dengan udang.”
            “Oh ya ke?” Zawin mengunyah isi sotong bersungguh. “Kenapa rasa macam ni...hanya ada di restoren Thailand saja? Apa rahsia orang Thai masak tomyam ya?”
            “Orang Thai gunakan fish sauce bagi menggantikan garam dan gula sebagai bahan perasa.”
            “Sungguh?” Zawin membundarkan matanya.
            Zharif mengangguk. “Kalau nak tahu kenapa tom yam di sebelah Thailand sedap, rahsianya mereka letak susu pekat.”
            “Lagi...lagi...apa lagi Zharif letak dalam tomyam ni.” Zawin semakin teruja.
            “Air kelapa dan santan. Ini yang beri rasa menyengat.”
             Zawin mengangguk. Dia makan bersungguh. Sekejapan hidangan itu dihabiskannya. Sejurus mengangkat wajah, dia terpana. Matanya menjeling manja pada Zharif yang tersenyum-senyum melihatnya makan.
            “Sedap sangat ya?” usik Zharif.
            Zawin tersengih. “Kalau sedap pun kenapa?”
            Zharif menggeleng-gelengkan kepalanya. “Ish...ish...ish...Mana-mana perempuan yang makan masakan Zharif pasti akan terus masuk meminang. Zawin tak rasa nak pinang Zharif ke?”
            Zawin ketawa besar.
            “Ketawa pula dia...”
            Zawin malas melayan kata-kata lelaki itu. Matanya jatuh pada bunga Iris yang diletakkan diatas meja. “Iris...erm...sedap nama bunga ni. Apa erti Iris?” soalnya ingin tahu.
            “Dalam bahasa Yunani, Iris beerti Pelangi. Personafikasi pelangi yang dianggap penyambung antara bumi dan syurga. Bunga ini dianggap memberikan erti kesetiaan, kebijaksanaan dan harapan. Bunga Iris kuning menjadi simbol semangat cinta,” jelas Zharif.
            Zawin membulatkan matanya apabila wajah Vinod melintas benaknya. Cara Zharif menerangkan perihal bunga itu mengingatkannya pada cara Vinod menjelaskan erti mesej disebalik warna-warna bunga ros. “Zharif! Sila jelaskan tentang Vinod,” pintanya serius.
            Zharif tersengih. “Ingatkan Zawin dah lupa...”
            “Cuba cerita. Macam mana Zharif tahu Vinod yang beri bunga ros setiap hari rabu?” soal Zawin sedikit mendesak.
            “Ingat Honda Jazz biru?”
            Zawin mengangguk.
            “Kotak tisu dalam kereta tu adalah sebuah kamera,” beritahu Zharif.
            “Hah? Kamera?” Zawin benar-benar dilanda kejutan.
            Zharif mengangguk lagi. Kejadian Tengku Azura dan Yasmin bekerjasama untuk menganiaya gadis itu terlayar dalam benaknya. Zawin tidak pernah tahu dan dia tidak mahu gadis itu tahu. Yasmin telah dipecatnya malah Tengku Azura telah diberikan amaran. “Zharif risaukan keselamatan Zawin masa tu, sebab itu lah Zharif letak kamera tu dalam bentuk yang sesiapa pun tak boleh kesan. Pada waktu itulah, kamera intip merakamkan wajah penghantar bunga. Zharif soal siasat dan ternyata Vinod yang menghantar bunga-bunga ros selama ini,” ceritanya tenang .
            Zawin terdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dikata. Hatinya dipalu rasa terharu. Lelaki ini melindungi dirinya tanpa diketahuinya. Ingin berterima kasih, lidahnya kelu. “Zharif pernah cakap yang Zharif adalah Superman untuk Zawin kan?”
            Zharif mengangguk bersungguh seraya mengukir senyum nakal. “Kenapa? Nak Zharif bawa Zawin terbang ke?”
            Zawin tersenyum penuh makna. “Ada baju Superman?” soalnya sambil menaikkan kening.
            “Ada. Kenapa?”
********
            Perlu ke buat macam ni?” soal Zharif cemas.  Matanya membulat merenung wajah nekad gadis yang mengenakan tudung putih dipadankan dengan t-shirt biru lambang Superman itu.
            Zawin mengangguk. “Kenapa pula tak boleh?” Tangannya lincah mengisi borang akuan yang memerlukan maklumat dirinya termasuk akuan tidak ada penyakit berkaitan jantung.
            “Ini kerja gila!” Zharif cuba mewaraskan gadis itu. Bagaimana seorang gadis seperti Zawin tidak mengenal erti takut? Sungguh hatinya berperang untuk menghalang tindakan gadis itu.
            “Zawin bukan golongan Acrophobia,” sahut Zawin selamba. Borang akuan diserahkan kepada petugas. Dalam langkah bersahaja, dia menimbang berat pula.
            Zharif datang menghampiri petugas lelaki yang sedang mengambil jumlah berat Zawin. “Kenapa perlu timbang berat?” soalnya hairan.
            “Penting. Setiap 5 kilogram, Cord perlu dipanjangkan satu meter. Kalau berat kurang daripada 35 kilogram, memang tidak akan dibenarkan membuat terjunan.”
            Zharif akur. Dia terpaksa mengikuti langkah Zawin sehingga ke dalam sangkar terjunan. Dia tidak mahu gadis itu jauh daripada pandangannya.
            Zawin terus duduk apabila diarahkan untuk berbuat demikian.
            Zharif hanya memerhatikan seorang lelaki berkulit hitam manis melakukan pemasangan dan ikatan tali pada kaki Zawin. Harness disarung melilit pinggang dan peha gadis itu. Bahagian kaki dibalut dengan sehelai tuala kebal yang diikat kemas bersama tali yang bersambung dengan cord elastic bungy. “Dah berapa lama bro buat kerja ni?” soalnya ingin tahu.
            “Tahun ini sudah masuk tiga tahun.”
            Zharif menghela nafas lega. Jika benarlah lelaki itu betul-betul ada pengalaman dalam terjunan Bungee itu, hatinya akan sedikit lega. Sedang dia melihat lelaki itu menyudahkan tugasnya, Zharif terkejut mendengar suara jeritan. Rupanya penerjun pertama sudah selamat terjun. Kaki Zharif sudah mula menggigil. Bagaikan dia pula yang akan terjun selepas ini. Dia cuba menjengah ke bawah jambatan gantung. Tasik dibawah sayup mata memandang. Orang ramai dibawah seakan semut. Penerjun pertama melantun turun naik berberapa kali seiring gerakan tali lantunan. Lututnya menggigil. Tubuhnya menggeletar. Peluh dingin mula terbit didahinya. Dia memang takut dengan tempat tinggi biarpun ketinggian jambatan gantung itu hanya 21 meter.
            Zawin tersenyum pada seorang petugas wanita yang datang menghulurkan tangan untuk membantunya bangun dalam kaki terikat kemas.
            “Nak mencecah sampai ke permukaan tasik tak?” soal petugas lelaki hitam manis tadi.
            “Nak!” sahut Zawin teruja. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Zawin akur apabila petugas lelaki itu mengarahkan kakinya rapat pada hujung platform. Zawin menarik nafas panjang-panjang dalam mata terpejam. Zawin melonjakkan kakinya dan terus menjunam jatuh. Perasaan luar biasa terasa disuntik kedalam jiwa. Terasa sayup, hanyut, sayu, sejuk sewaktu terawang diudara. Setiap kali tangannya dapat mencecah permukan tasik, tali itu akan menarik kakinya lembut dan melantunkan semula tubuhnya ke udara. Dia mengira empat kali cord bungy melantun dan sudahnya dia tergantung dalam kepala ke bawah sementera menunggu bot datang untuk turunkannya. Hatinya benar-benar puas!
            Zharif menggelengkan kepalanya sewaktu gadis itu mengunjukkan sijil yang diberikan petugas. “Padanlah dengan nama sijil tu. Certificate of Insanity!”
            Zawin ketawa mengekek. Wajah lelaki itu jelas menunjukkan ketakutan pada tempat tinggi. “Lepas ni kita naik Roller-Coaster pula,” sarannya bersungguh. Kata-kata Fuad tentang Zharif yang takutkan tempat-tempat tinggi mula berlegar dalam benaknya. Acrophobia. Itu kata-kata sains mengenai golongan sebegini.  
            “Tak nak!” sahut Zharif tegas.
            “Kalau tak nak, tak apa. Zawin tak akan keluar dengan Zharif lepas ni,” ugut Zawin serius.
            “Jangan la macam ni...” Zharif  bernada resah. “Zharif memang tak boleh...” ujarnya bersungguh. Peluh dingin mula terbit didahinya apabila membayangkan sahaja berada dalam roller-coaster itu.
            Zawin merenung lembut wajah lelaki yang mengenakan t-shirt biru lambang Superman itu. “Naik kapal lanun boleh kan?”
            “Kapal lanun? Tak tinggi kan?” soal Zharif inginkan kepastian.
            “Jom la tengok dulu...” ajak Zawin lalu melangkah pantas, matanya tercari-cari lokasi permainan itu.
            “Zawin kerap datang sini?” soal Zharif sambil berjalan mengiringi Zawin.
            “Tak. Masa kecil dulu pernah la. Masa dengar bungy-jumping dibuka, semangat sangat nak cuba tapi ada saja halangan nak sampai ke sini,”cerita Zawin. Matanya memerhatikan orang ramai yang memenuhi taman tema Sunway Lagoon itu kemudian menyeluruhi kawasan hiburan itu. “Ha...tu dia.” Zawin mengunjukkan ke arah kapal lanun yang sedang berhayun ke kiri dan ke kanan.
            Zharif hanya mengikut langkah Zawin dan beratur menunggu giliran. Dia hanya memerhatikan kapal yang sarat dengan penumpang itu bergerak ke kiri dan ke kanan. Semakin lama semakin tinggi kapal itu dihayunkan. Jeritan penumpang kapal itu semakin kuat. Kedua-kedua tapak tangan serta merta menjadi sejuk melihat kapal lanun itu berpusing hampir 360 darjah! Habis tunggang terbalik semua manusia didalam kapal lanun itu.
            You are my superman, right?” Zawin menaikkan keningnya, menatap tepat wajah pucat lelaki itu. Sengaja dia berkata begitu apabila menyedari ramai orang mula mengundur diri apabila tiba giliran mereka.
            Zharif menelan liurnya beberapa kali. Hatinya benar-benar cuak. Kapal lanun itu ditatap sejenak kemudian melontarkan pandangan pada wajah Zawin. “Ok,” balasnya dalam tenang biarpun hatinya melarang tindakannya berjuta kali. Dia cuba berlagak tenang semasa masuk ke dalam perut kapal. Sekilas dipandang wajah teruja Zawin. Kenapa gadis itu tidak mengenal erti takut? Gerutu hatinya. “Bismillah...” ucap Zharif berulang kali sambil memejamkan mata apabila merasakan kapal itu mula bergerak.
********
            “Zharif ok?” soal Zawin dalam rasa bersalah. Dia menghulurkan minyak angin kepada lelaki itu.
            Zharif mengangguk. Kepalanya disandarkan pada belakang kerusi dalam mata terpejam. Minyak angin disapu pada kepala dan belakang tengkuk lalu memicit-micit lembut.
            “Maaf. Tak sangka Zharif boleh pening-pening sampai macam ni.” Zawin bersuara lembut.
            Zharif tersenyum simpul. Jari jemarinya lincah mengurut kepalanya yang masih pening. “This is the real Zharif Zahir. I am not perfect at all.”
            “Mana ada manusia yang sempurna. Hanya nabi Muhammad S.A.W sahaja yang sempurna,” tukas Zawin.
            Zharif membuka matanya, berpaling menatap wajah gadis itu. “Zawin terima Zharif apa adanya Zharif?” soalnya.
            Zawin mengangguk dalam senyum manis. “Maaf. Lain kali Zawin tak akan paksa Zharif buat sesuatu yang Zharif tak suka...”
            “Tak apa...” Zharif menatap langit yang cerah. Bunyi enjin kapal terbang menarik perhatiannya. Asap enjin itu meninggalkan kesan dilangit. “Zharif bekerja di industri penerbangan sebelum ini untuk belajar terbang. Tapi...selama tiga tahun, Zharif masih tak dapat hilangkan fobia pada tempat tinggi. Fuad selalu gelak bila duduk disebelah Zharif masa dalam pesawat. Memang Zharif akan berpeluh dan menggigil tau,” ceritanya bersungguh seraya ketawa kecil.
            Zawin turut tergelak. “Macam tu sekali?”
            Zharif mengangguk bersungguh. Tangannya masih memicit-micit kepalanya. “Kalau naik lif kaca lutsinar, memang tak pandang bawah langsung. Inikan pula buat bungee-jumping? Memang tak akan buat la,”ujarnya serius.
            Zawin tersenyum meleret. Tiba-tiba dia teringat cerita Fuad tentang kerja Zharif di England. “Apa formula yang Zharif cipta untuk Jet pejuang di Britain?”
            Zharif menjuihkan bibirnya. Dia berhenti memicit kepalanya apabila rasa pening itu perlahan-lahan hilang. “Khabar angin saja tu,” balasnya bersahaja.
            “Khabar angin? Fuad bukan jenis orang yang sampaikan khabar angin. Kalau Zharif tak nak kongsi cerita, tak apa.”
            Zharif menatap wajah Zawin dalam sengih nakal. “Kalau Zharif beritahu Zawin, Zawin belum tentu nak kahwin dengan Zharif.”
            Zawin menjeling sekilas. “Tak sukar ke berpindah dari sistem elektrik kereta kepada sistem elektrik Jet pejuang?” soalnya lagi.
            Zharif menggelengkan kepalanya. Dia membetulkan duduk. “Jurutera elektrik membangun, menguji dan menyelia pembuatan peralatan elektrik dan elektronik seperti kereta, pesawat udara, radar, sistem navigasi dan banyak lagi. Jadi, bukan satu bidang kerja yang berlainan. Kedua bidang sebenarnya sangat sama dari segi teknologi dan fungsi cuma Jet pejuang mengambil masa beberapa bulan untuk dikeluarkan. Dalam bidang automotif, proses menghasilkan kenderaan berlaku setiap minit di kilang-kilang,” jelasnya. 
            Kepala Zawin terangguk-angguk tanda faham. “Anas ada cerita tentang ceramah Zharif di TNB. Zharif jenis lelaki yang cakap lepas dan berterus-terang. Erm...kenapa Zharif tak pernah tegur Zawin tentang err...Is sentuh Zawin?” soalnya lambat-lambat.
            “Oh, itu...” Zharif meraup mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Wajah Zawin ditatap bersungguh. “Zharif tak nak lukakan hati Zawin,” jelasnya.
            “Kenapa?”
            “Entah. Dengan orang lain, Zharif memang tak segan menegur. Tak tahu kenapa bila Zharif bersama Zawin, Zharif sangat jaga kata-kata Zharif. Zharif tak nak Zawin terluka apatah lagi bersedih. Mungkin sebab Zharif sangat sayangkan Zawin. Bagi Zharif, lelaki yang baik tidak akan menyentuh seorang gadis sehingga menjadi halal buatnya. Zharif tak suka tengok Zawin disentuh sesiapa yang tidak halal untuk Zawin. Sudah Zharif katakan sejak dulu bukan? Zawin adalah hiasan dunia terindah dan selamanya fakta itu tidak pernah berubah.”
            Zawin menggigit bibir bawahnya. Dia sedar amat selama ini dia tidak tegas terhadap Iskandar. Benar kata Zharif, dia hilang sifat muslimah apabila bersama dengan lelaki itu. Puas dia mengutuk pada diri mengapa dia menjadi selemah itu. Mungkin sahaja cinta yang mendalam pada lelaki bernama Danial Iskandar membuatkan dia alpa dan buta selama ini. Wajah Zharif ditatap dalam-dalam. “Zharif rasa...kita ada jodoh bersama?”
            Zharif mengangguk.
            “Sebab?”
            “Semua perkara perlukan sebab ke?” Zharif mengangkat keningnya.
            Zawin mengangkat kedua bahunya.
            I’m sorry...” ucap Zharif tiba-tiba.
            Why?
            I'm sorry. I can't make you happy. I may not be your superman today. I am not great, there's nothing speacial in me. I'll try to be your hero, so stay with me. I'll be the best person that I can. One day, I’ll be your superman,” ujar Zharif bersungguh.
             Zawin tersenyum manis. Matanya merenung lambang huruf S pada bahagian dada lelaki itu kemudian beralih pada wajah kacak itu. “You will always be my superman,” balasnya.
            Really?” Mata Zharif bersinar gembira.
            You amazing. Just the way you are,” tambah Zawin lagi.
            Zharif tersenyum senang. Matanya kembali menatap langit. “Seorang kawan Zharif pernah terangkan unsur-unsur kimia yang terlibat dalam kisah cinta. Dalam banyak-banyak unsur kimia, Zharif paling ingat unsur Oxytocin. Apabila Oxytocin dirembeskan akan mengurangkan perasaan takut dan meningkatkan kepercayaan. Oxytocin ini yang membuatkan pasangan bercinta menjadi angau. Itu kualiti penting dalam percintaan. Katanya lagi bila Oxytocin dirembeskan, rasa takut akan hilang dan Zharif akan mampu buat aktiviti seperti roller-coaster dan bungy-jumping.” Zharif berpaling, menatap wajah Zawin yang kelihatan teruja. “Mungkin sahaja itu akan berlaku bila Zharif dapat rasakan unsur Oxytocin daripada Zawin,” lanjutnya lagi.
            Zawin menahan senyum. “Cinta pun ada unsur-unsur kimia ya?”
            “Nak tahu unsur-unsur kimia yang terlibat dalam kisah cinta?” soal Zharif.
            Zawin tersenyum meleret. ”Mr.Engineer nak jadi Mr.Doctor hari ini?”
            “Salah ya?” Zharif mengangkat keningnya.
            Zawin menggeleng. “Kenapa Zharif berhenti belajar dulu? Dr.Husna kata, Zharif cemerlang sebagai pelajar perubatan.”
            “Kalau Zharif cerita pun, Zawin bukan nak kahwin dengan Zharif,” balas Zharif bersahaja.
             Zawin terdiam. “Erm...ceritalah. Kimia apa yang terlibat dalam kisah cinta?”
            Zharif mengangguk. “Kimia Dopamine, Noradrenaline dan Phenytalthylmine terhasil pada fasa hati mula suka.” Zharif merenung mata bundar gadis itu. “Zawin dah mula sukakan Zharif?” soalnya dalam senyuman nakal.
            Zawin mengembungkan pipinya lantas menjungkitkan kedua belah bahu.
            “Biarpun Sehari?Seminit?Sesaat?” uji Zharif lagi.
            Zawin tersenyum penuh makna. “Penting ke jawapan Zawin?”
            Zharif menatap lama sepasang mata bening itu. “Sinar mata Zawin...dah berikan jawapannya,” ujarnya dalam suara perlahan.
            Zawin tersenyum tawar. Pandangannya dihalakan pada langit yang membiru. Wajah Daniel Iskandar muncul disitu. Dia menghela nafas dalam-dalam. Kenapa rasa itu tidak pernah hilang dari nubari jiwa ini? Desis hatinya. Bagaimana bisa dia mampu untuk membuka hati sepenuhnya kepada Zharif Zahir?
            “Zawin ada ambil ubat antidepressant tak?” soal Zharif.
            Zawin menggeleng pantas. “Zawin memang tak suka ubat doktor. Selagi boleh dirawat, memang tak akan jumpa doktor. Kes keracunan makanan dulu saja jadi kes terkecuali.”
            Zharif mengangguk dalam senyuman meleret. “Zawin masih fikirkan Iskandar kan?”
            Zawin terdiam. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.
            “Tak apa. Zharif faham. Kimia Serotonin  membuatkan Zawin tak dapat lupakan Iskandar dalam tempoh yang singkat,” ujar Zharif tenang.
            Serotonin?” soal Zawin kembali.
             Zharif menatap wajah Zawin sebelum melontarkan pandangan ke arah langit. “Kimia Endorfin terhasil apabila memasuki fasa cinta yang mendalam selepas fasa tiga kimia yang Zharif sebut tadi. Apabila itu berlaku, hormon Serotonin turut dirembeskan seterusnya membuatkan manusia menjadi buta. Cakap la apa pun, kelemahan pasangan tak akan nampak biarpun sudah diberitahu. Biasanya Serotonin  akan pudar dalam tempoh dua hingga empat tahun. Sebab itu Zharif kata yang Zawin tak akan dapat lupakan Iskandar dalam tempoh yang singkat,” jelasnya panjang lebar.
            “Begitu?” Kepala Zawin terangguk-angguk. Ada benarnya kata-kata itu. Najla berulangkali menyatakan rasa kurang senang dengan sikap Iskandar tetapi dia hanya memekakkan telinga atas kepercayaan manusia boleh berubah.    
            “Nasib baik Zawin tak ambil SSRI dan ubat antidepressant,” ujar Zharif sambil tersenyum meleret.  
            “Kenapa?”
            “Kerana ubat-ubatan itu akan menyukarkan lagi seseorang itu untuk jatuh cinta semula.”
            Zawin terdiam. Dia memejamkan matanya. Bayang Iskandar dan Zharif muncul bersilih ganti. Sungguh dia benci dengan dilema yang menghimpitnya kini.
            Confundus!
            Zawin terkejut lantas membuka mata. Dia melihat hujung pen Parker diacukan ke arah wajahnya.
            Zharif tersengih. “Sihir cinta Zharif Zahir pasti akan memendekkan tempoh Serotonin. Zawin akan berjaya lupakan Iskandar suatu masa nanti,” ujarnya penuh yakin.
            Zawin menahan senyum melihat keyakinan lelaki itu. “Berapa banyak cinta Zharif untuk Zawin?”
********
            “Seluas asma Allah.”
            Zawin menatap tepat wajah Iskandar. Dia benar-benar cuak. Kenapa jawapan lelaki itu sama dengan Zharif. Entah itu hanya satu kebetulan atau suratan? Hujung straw digigit seketika sebelum menyedut jus tomato.
            “Ma...dah fikir tentang peluang kedua untuk Pa?” soal Iskandar serius. Teh tarik yang masih berbaki, dihirup sehingga kering.
            Zawin menarik nafas dalam-dalam. “Apa yang Ma dapat kalau Ma beri peluang untuk Pa?”
            “Pa akan cuba berubah menjadi lebih baik.”
            “Sejak dulu Pa cakap begitu...”
            “Pa serius kali ini!” Iskandar menatap bersungguh wajah Zawin.
            Zawin mengangkat keningnya. “Apa yang dah berubah?” cabarnya.
            Iskandar tersenyum lebar. “Pa...dah kurang merokok.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Sejak bila?”
            “Sejak Ma hilang dari hidup Pa...”
            Zawin merenung sangsi wajah kacak itu. “Semudah itu?”
            “Ya,” balas Iskandar. 
            “Apa buktinya?” soal Zawin sambil berpeluk tubuh.
            “Tak ada bukti. Allah saja yang tahu.”
            Tangan Zawin bermain-main dengan straw minuman. Roti canai telur yang masih berbaki dikuis-kuisnya. Mindanya melayang pada hari dia menemani lelaki itu berbuka puasa di restoren makanan laut. Sepanjang Iskandar bersamanya, memang disedarinya lelaki itu tidak merokok langsung. “Pa dan rokok memang susah nak berpisah sebelum ini. Ma bukan penyebab utama Pa kurang merokok. Kan?”
            “Ada beberapa sebab dan Ma salah satu sebab.”
            “Erm...apa dia?”
            “Kahak Pa tak hilang-hilang dah berminggu. Masa tu memang sedar sebab rokok.”
            “Tahu tak apa!” ujar Zawin selamba.
            Iskandar tersengih. “Lagi pula....ada Pa baca hari tu. Salah satu kandungan rokok ada racun tikus. Bila ingat tikus saja, memang geli geleman,” ceritanya lagi.
            “La...takut tikus kah?” Zawin menahan tawa.
            “Bukan. Erm...geli. Pernah bedah tikus?” soal Iskandar.
            Zawin pantas menggeleng.
            “Kalau Ma tengok sistem usus tikus, memang geli. Kotor. Lebih baik belah perut katak. Tak la teruk sangat.”
            “Habis tu, bedah perut orang tak geli ke?”
            “Ooo...itu kerja paling bahagia.” Iskandar ketawa anak.
             Zawin menjuihkan bibirnya. “Bahagia la sangat.”
            Iskandar tersenyum simpul. Mata bening gadis itu ditatap penuh kasih kemudian beralih pada pipi mulus dengan tulang pipi yang tinggi menonjol itu.
            Zawin cepat-cepat mengelak apabila tangan Iskandar hampir-hampir menyentuh pipinya. “Tolong hormat sikit,” ujarnya tegas.
            Iskandar terpana kemudian tersipu segan. “Maaf,” ucapnya sambil menyeka rambut yang terjuntai didahi.
            Zawin menghabiskan baki jus tomato. Matanya merenung wajah kacak dihadapannya itu. “Boleh Ma tanya sesuatu?”
            Iskandar mengangguk.
            “Pa yakin yang Ma ni...jodoh Pa?” soal Zawin serius.
            Iskandar mengangguk penuh yakin. “Pa mimpi dua kali kita bersanding. Sangat indah.”
            Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali. “Mimpi?”
            “Ya. Mimpi. Kita pakai sedondon warna ungu. Rasa tak nak bangun daripada tidur saja. Pa sangat yakin kita ada jodoh yang kuat,” cerita Iskandar bersemangat.
            Zawin menghela nafas. Baru sahaja dia ingin menyatakan hasrat untuk mereka kekal bersahabat namun kata-kata itu mati dikerongkong. Hatinya kian dipalu resah.


BAB 40
           
            “Fikir apa tu? Ada masalah?” tegur Zafuan. Dia mendekati adiknya yang berdiri dihadapan jendela yang terbuka luas.
            Zawin terus berpaling lalu menatap wajah tenang abangnya. “Tak ada apa...”
            Zafuan tersenyum penuh makna. “Bila perempuan mengatakan tak ada apa-apa, itu bermakna ada yang tak kena.”
            Zawin memuncungkan bibirnya. Dia tahu tidak guna berselindung dengan lelaki berjubah putih itu. “Wanita selalu diuji dengan perasaan. Kan?”
            Zafuan mengangguk. “Kerana wanita memiliki sembilan nafsu atau emosi berbanding satu akal. Sembilan nafsu itu terbahagi kepada pelbagai hal dalam kehidupan, emas, sofa, langsir, kereta dan lain-lain,  maka sebab itu wanita  tidak begitu sempat untuk mempelbagaikan cintanya untuk ramai lelaki. Apabila wanita didekati oleh terlalu ramai lelaki, dia akan keliru sebab rasa cintanya hanya satu.”
            “Terus...lelaki tidak pula dihambat dengan emosi?” soal Zawin semula.
            “Lelaki punya satu nafsu berbanding sembilan akal. Nafsu lelaki yang satu itu khusus untuk wanita. Kerana itu, lelaki boleh mencintai sepuluh wanita dalam masa yang sama sedangkan wanita tidak akan berupaya berbuat begitu. Lelaki selalunya lebih banyak mencuba nasib dengan mencintai ramai wanita untuk mencari yang terbaik.”
            Zawin mengembungkan pipinya. Jari jemarinya dipatah-patahkan. “Abang pun...sedang mencari wanita yang terbaik?”
            Zafuan mengangkat kedua bahunya. “Mungkin. Tapi bukan cara mencuba nasib dengan mencintai ramai wanita.”
            Zawin tersenyum nipis. “Untunglah wanita yang dapat abang.”
            Zafuan tersenyum nakal. “Untunglah wanita yang dapat Zharif.”
            Zawin menjuling-julingkan matanya. “Kesian lelaki yang dapat Zawin.”
            Zafuan ketawa besar. Hidung Zawin dicuit manja. “Tak nak kongsi cerita tentang Zharif?”
            “Erm...Zharif...dia sihat,” ujar Zawin.
            Zafuan ketawa lagi. “Tak nak cerita, tak apa...”
            Zawin tersengih. Matanya menatap tepat mata hitam abangnya. “Apa pendapat abang tentang Iskandar?”
            Zafuan terdiam lama. “Dia...banyak berubah ke arah kebaikan. Bagus la,” komennya.
            Zawin tersenyum senang. Jika abangnya berkata demikian, dia tidak ragu lagi.“Is minta peluang kedua...” ceritanya lambat-lambat.
            “Zawin nak terima Is semula?” Zafuan bernada serius.
            “Zawin dah terima Zharif. Zawin...cuma keliru. Zawin ingat selama ini, Zawin dah lupakan Is.”
            Zafuan merenung wajah adiknya yang tiba-tiba sahaja berubah keruh. “Wanita menghadapi kesulitan apabila dia berada di antara lelaki yang dicintainya dan yang mencintainya. Payah sungguh untuk mengatakan, dia tidak mencintai kesemuanya kecuali satu. Wanita akan lemas berada di tengah-tengah lelaki yang mencintainya meskipun satu-satunya lelaki yang dicintainya itu masih teguh kukuh di sanubarinya. Benar kenyataan itu kan?”
            Zawin menelan liur. Kata-kata itu kena tepat pada batang hidungnya. Itu lah dilema yang sedang dihadapinya kini. Separuh hatinya berlari ke arah Zharif manakala bahagian lain masih dipegang Iskandar. “Zawin...cuma...keliru,” luahnya dalam resah.          
            Zafuan tersenyum penuh makna. Dia menapak ke arah almari kayu yang menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan didalamnya. Sebuah buku ditarik keluar lalu dihulurkan pada Zawin yang sudah berada disebelahnya.
            “The Hidden Message in Water?” Zawin menatap hairan pada tajuk buku itu.
            “Buku ini adalah kajian saintifik molekul air yang dibuat ilmuwan Jepun, Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama. Hasil kajian beliau mendapati air boleh mendengar kata-kata, membaca tulisan dan boleh mengerti pesanan,” jelas Zafuan.
            Zawin benar-benar teruja lalu membelek isi buku itu secara rawak. “Cantiknya...” pujinya apabila melihat molekul air yang terbentuk seperti Kristal yang sangat indah dan bersinar.
            “Cuba tengok molekul air yang ini pula.” Zafuan mengunjukkan jarinya pada satu gambar lain. “Ini molekul air zam-zam yang tergolong antara molekul air paling cantik dan bercahaya. Molekulnya tersusun cantik, seperti berlian bersegi-segi, bersinar-sinar dan berwarna-warni melebihi dua belas warna! Air biasa tidak akan dapat menandingi khasiat air zam-zam walaupun telah diolah dengan pelbagai cara. Setelah menggunakan peralatan yang canggih untuk mengubah kandungan air zam-zam, ahli saintis Jepun tetap mengakui mereka tidak mampu mengubah kandungan khasiat yang terdapat dalam air zam-zam!” ceritanya bersungguh.
             “Wah! Maha Suci Allah,” ucap Zawin dalam kagum. “Padanlah dalam hadis, nabi kata air paling baik di muka bumi adalah air zam-zam.”
            Zafuan mengangguk. “Air-air yang dibacakan ayat-ayat suci Quran pula menghasilkan molekul air seperti berlian yang berkilau-kilau, cantik bercahaya. Kristal air yang sama juga ada pada air kolah masjid yang telah merakam suara azan, bacaan ayat-ayat Quran, zikir, doa dan pengajaran ilmu agama di masjid-masjid. Semakin kuat konsentrasi orang yang berkata-kata atau berdoa pada air, semakin kuat kesannya yang terhasil pada molekul air. Air boleh memindahkan bacaan tadi melalui molekul air yang lain.”
            Kepala Zawin terangguk-angguk.  “Barangkali penemuan ini dapat menjelaskan kenapa air biasa yang didoakan boleh menyembuhkan penyakit.” Zawin berhenti membaca kandungan buku itu apabila teringat terapi air yang disarankan Zafuan semasa dia dalam kesedihan dahulu. “Erm...abang rasa, terapi air yang dulu tu, tidak berhasil?”
            “Kenapa cakap macam tu?” soal Zafuan semula. Dia menutup pintu almari kayu itu lalu melabuhkan punggung diatas sofa.
            “Sebab...hati Zawin masih sayangkan Iskandar,” ujar Zawin lambat-lambat. Dia turut mengambil tempat mendepani Zafuan. “Atau...Is adalah jodoh Zawin?” sambungnya lagi.
            “Zawin buat dengan air zam-zam atau air biasa?”
            “Air zam-zam,” beritahu Zawin.
            Zafuan terdiam. “Nabi Muhammad S.A.W kata dalam hadis sahih, air zam-zam itu berdasarkan apa niat manusia itu sendiri. Apa yang dia nak jadi dan dapat. Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani semasa awal menuntut ilmu hanya minum air zam-zam. Beliau memohon supaya dikurniakan ilmu lebih daripada Imam Al-Zahabi. Al-Hafiz As-Saqawi yang merupakan anak murid Ibnu Hajar menyatakan memang benar ilmu yang dimiliki Ibnu Hajar melebihi ilmu Imam Al-Zahabi. Imam Al-Hakim As-Hasaburi semasa minum air zam-zam memohon dijadikan penulis terbaik pada zamannya dan benar, Allah S.W.T menjadikan beliau penulis terbaik pada zamannya. Ramai salafusoleh zaman dahulu mendapat apa yang mereka minta semasa minum air zam-zam. Barangkali, manusia yang hidup diakhir zaman ini tidak punya hati yang soleh, doa yang tidak sungguh-sungguh, maka air zam-zam itu dirasakan seperti tidak mengubah apa-apa. Sedangkan para imam dan salafusoleh dahulu punya hati yang yakin pada air zam-zam.”
            Zawin menahan sebak. Benar sekali apa yang dikatakan abangnya. Barangkali hatinya masih belum yakin, masih tidak sungguh-sungguh percaya dengan mukjizat air zam-zam. Barangkali juga hatinya masih belum bersih daripada dosa-dosa yang dilakukan sehingga doanya tidak makbul.
            “Buat lagi terapi air. Jangan lupa pula solat istikharah. Insyaallah akan ada petunjuk diberikan kelak,” saran Zafuan lagi.  
            Zawin tersenyum tawar. Ya. Itu la tindakan yang sepatutnya dilakukan. Desis hatinya.      Zawin terkebil-kebil menatap syiling bilik.     Terapi air dan solat istikharah telah dilakukan namun matanya sukar dilelapkan. Pantas dia mencapai buku The Hidden Message in Water diatas meja sebelah katil. Hatinya benar-benar kagum dengan hasil kajian saintis Jepun itu terhadap molekul air. Air bersifat boleh merakam pesanan, seperti pita magnetik atau compact disk. Siapa menyangka, kata-kata yang baik diungkapkan pada air mengubah bentuk molekul air seperti Kristal yang sangat indah dan bersinar. Manakala apabila kata-kata kesat dan buruk diungkapkan, molukel air berubah menjadi buruk dan menggerunkan seperti sel barah. Muzik heavy metal yang didengarkan pada air pula menghancurkan Kristal air yang cantik.
            Nada mesej berbunyi dari telefon pintar.
            Zawin mencapai telefon pintar. Melihat jam pada skrin telefon itu, dia mengeluh berat. Sudah hampir pukul dua pagi. Matanya masih belum mahu lelap. Peti mesej dibuka.
            My kidney...dah tidur?Maaf ganggu. Tiba-tiba rasa rindu teramat pada Ma.
            Zawin tersenyum simpul. Kidney? Sudah lama gelaran nama itu tidak didengarinya. Cekatan mesej itu dibalasnya.
            Tak tidur lagi? Kerja?
            Zawin terus menyambut panggilan sejurus melihat panggilan masuk daripada Iskandar tertera pada skrin.
            “Kenapa tak tidur lagi ni? Tak sihat?” soal Iskandar.
            “Tak ada la. Tak dapat tidur.”
            “Rindukan Pa la tu. Kan?”
            Zawin tersenyum sendiri. “Mungkin. Pa kerja?”
            “Ya. Rehat. Sekejap lagi masuk bilik OT balik. Cuma...tiba-tiba rindukan Ma. Itu yang hantar mesej. Tak sangka pula Ma masih berjaga. Pergi tidur tu. Nanti susah nak bangun sahur.”
             “Ya la. Nak tidur la ni. Eh, ada bunyi pelik la...” tegur Zawin.
            “Bunyi apa pula?”
            “Macam suara mengilai...”
            “Ma! Jangan nak mengarut!”
            “Orang tua-tua kata, kalau ada hilaian yang jelas, itu bermakna ia jauh dari kita. Tapi...kalau kedengaran sayup saja, itu bermakna...ia dekat dengan kita...” usik Zawin.
            “Ya rabbi! Ma! Jangan nak mengarut. Pesakit Pa baru meninggal petang tadi.”
            “Ok. Maaf. Saja nak mengusik. Bulan puasa, mana ada hantu. Apa daa...”
            “Bulan puasa kan? Tak ada la kan?”
            Zawin ketawa besar. “Pa...Pa. Masih tak berubah. Takut tak kena tempat.”
            “Amboi, tak pernah jumpa dan dengar benda-benda macam tu senang la cakap. Ini hospital. Macam-macam boleh jadi.”
            “Ya la. Maaf. Kerja elok-elok.”
            “Ok. Pa nak masuk balik ni. Sweet dream. I love you.”
            Zawin terpana. Daniel Iskandar tidak pernah mengucapkan kata-kata cinta selama mereka berhubungan. Zawin merenung telefon pintar ditangan. Wajah Iskandar memenuhi ruang matanya. Lelaki itu memang telah banyak berubah. Satu persatu kenangan manis bersama Daniel Iskandar berlegar dalam benaknya. Wajah Zharif pula mengambil alih. Lelaki itu banyak berjasa dalam hidupnya. Benar kah tiada sekelumit pun rasa cinta dihatinya untuk lelaki itu? Dia  benar-benar berada dipersimpangan dilema. Dia bakal menghadapi dua lelaki yang bersungguh ingin memiliki hatinya. Zharif atau Iskandar? Iskandar atau Zharif? Adakah dia perempuan yang baik jika dia ingin memiliki kedua-duanya?
            Nada dering Detective Conan mengejutkan lamunan Zawin. Tangannya mengurut dada yang berdebar hebat.
            “Eyes smile princess...” panggil Zharif usai berbalas salam.
            Zawin tersenyum sendiri. Sudah lama lelaki itu tidak memanggilnya dengan panggilan itu. “Ya...Jambu prince. Jambu dah habis jual?”
            Zharif ketawa halus. “Jambu dah habis. Tengok la siapa yang jual jambu.”
            “Ya. Zharif kan muka jambu. Tambah laris la.”
             “Apa boleh buat. Genetik keturunan Zharif memang begini. Tak ada bulu dimuka.”
            “Serius?”
            “Takkan lah Zharif nak bergurau bab-bab genetik ni. Teringin juga nak simpan janggut macam dalam sunah nabi. Tapi apakan daya...”
            “Ooo...baru tahu. Jangan la sedih. Terima la muka jambu anda seadanya,” ujar Zawin dalam nada seloroh.
            “Erm...kalau Zawin suka Zharif ada janggut, Zharif akan usahakan untuk makan pil hormon.”
            Zawin terpana. “Kenapa nak buat macam tu?”
            “Iskandar...ada janggut. Zharif tahu, Zawin suka tengok janggut Is.”
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. “Tak perlu berubah kerana Zawin. Zawin terima Zharif seadanya.”
            “Zharif sedar yang Zharif tak cukup sempurna untuk Zawin.”
            “Zharif...jangan kata begitu. Seronok balik kampung?” Zawin mengubah topik perbualan.
            “Seronok. Kalau Zawin ada disini lagi seronok.”
            “Takut la. Nenek Zharif keturunan cina kan?”
            “Takut? Zawin kan tak pernah kenal erti takut. Jangan risau. Nenek Zharif adalah cina peranakan. Nenek sangat suka lagu melayu asli dan sampai sekarang masih pakai kebaya dirumah tau. Nenek sangat suka gadis melayu yang benar-benar melayu. Zharif yakin yang nenek pasti akan sukakan Zawin.”
            Zawin mengigit bibir bawahnya. Keyakinan lelaki itu sentiasa membuatkan hatinya berasa tidak enak. Dia bimbang seandainya lelaki ini terluka pada akhirnya.
            “Kenapa Zawin tak tidur lagi? Dah lewat ni.”
            “Erm...tak boleh tidur. Zharif pula kenapa tak tidur?”
            “Tak dapat tidur. Rindukan Zawin.”
             “Sekarang masih rindu?” usik Zawin.
            “Dulu, kini dan selamanya. Zawin sahaja yang tak rindukan Zharif.”
            Zawin terdiam. “Zharif...seandainya hubungan kita ini tidak berhasil, masih kah kita dapat berkawan seperti biasa?”
            Zharif pula terdiam lama. “Zharif tak pasti. Mungkin Zharif akan memerhatikan Zawin dari jauh. Mungkin sahaja Zharif akan pergi jauh. Seandainya kita memang tiada jodoh bersama, Zharif akan sentiasa doakan kebahagiaan Zawin. Mudah untuk cakap bukan? Kenyataannya, pasti perit. Tapi Zharif nak Zawin ingat ini sampai bila-bila. Ada seorang lelaki paling bahagia dalam dunia ini hanya kerana Zawin bahagia.”
            Zawin menelan liurnya. Dadanya terasa sempit dalam sebak. “Maafkan Zawin seandainya jika Zawin yang jadi punca hubungan ini tidak menjadi.”
            “Zharif masih ada dua bulan bukan? Zawin jangan ingat Zharif akan mudah mengalah? Tak! Zharif takkan lepaskan Zawin semudah itu pada lelaki lain.”
            Zawin tersenyum senang. “Jika begitu, teruskan berusaha. Gambate!”
            “Hait!Teruterubozu!”
            “Hait!Mr.Hata!”
            “Dah lewat ni. Tidur ya.”
            “Ok.”
            “Boleh tidur tak ni?”
            “Erm...tak pasti.”
            “Nak Zharif nyanyikan lullaby?”
            “Boleh saja. Lagu apa?”
            I will love you more than that. ”
            Zawin membundarkan matanya. Dia menyangka lelaki itu hanya tahu satu lagu sahaja daripada kumpulan lelaki berasal dari Amerika Syarikat itu. “Backstreet Boys? Banyak lagu Backstreet Boys yang Zharif tahu?”
            “Tak percaya ya? Zawin suka kumpulan BSB. Zharif cuba dengar. Ada beberapa lagu yang Zharif rasa sedap dan liriknya kena dengan kisah kita. Nak Zharif nyanyi sekarang?”
            “Silakan.” Zawin meletakkan kepalanya dibantal, menarik selimut keparas dada.

            Baby, you deserve much better
            What's the use in holding on
            Don’t you see it’s now or never
            'Cause I just can’t be friends
            Baby knowing in the end, that...
           
            I will love you more than that
            I won't say the words then take them back
            Don't give loneliness a chance
            Baby listen to me when I say,
            I will love you more than that

            Mata Zawin mulai memberat. Sayup-sayup rangkap lirik seterusnya kedengaran.

            There's not a day that passes by
            I don't wonder why we haven’t tried
            It's not too late to change your mind
            So take my hand, don’t say goodbye
           
            Zawin merasa sejuk dan nyaman. Kabus yang mengelilinginya perlahan-lahan berarak pergi. Dia menyedari sedang berada dikawasan pergunungan. Kelibat Iskandar muncul dihadapannya dalam senyum lebar sambil menghulurkan tangan kepadanya. Dia terpukau oleh senyuman manis itu lantas menyambut tangan itu. Sewaktu kakinya mengorak beberapa langkah, satu suara yang amat dikenalinya memanggilnya dari arah belakang.
            “Zawin...tunggu Zharif...”
            Zawin lantas berpaling ke belakang. Muncul wajah Zharif seakan merayu. Merayu cuma dengan pandangan mata sambil menghulurkan tangan kepadanya. 
            “Kita berangkat ke syurga bersama ya?”
            Hati Zawin dipagut pilu sejurus mendengar rayuan Zharif kepadanya namun dia terus mengikut langkah Iskandar ke satu arah. Dia didudukkan diatas pelamin berwarna ungu bersebelahan Iskandar dalam pakaian sedondon berwarna ungu lembut. Zharif muncul dihadapannya dalam wajah sayu kemudian kelibat lelaki itu semakin samar pada pandangannya dan terus hilang.
            Zawin terbangun daripada tidur. Dadanya berombak kencang. Nafasnya menderu laju. “Ya Allah, apa petanda mimpi ini?” bisiknya dalam resah.
********
            “Lebat hujan malam ni,” ujar Nyonya Choi sejurus mendekati Zharif yang kelihatan leka menyaksikan titisan hujan dari anjung rumah.
            Zharif tersenyum lebar menatap wajah wanita yang sudah menjangkau usia lapan puluh tahun itu. “Tak tidur lagi?” soalnya sambil menadah titisan hujan yang jatuh dari atap.
            Nyonya Choi menggeleng. Dia melabuhkan punggung diatas kerusi kayu rotan. “Nenek ingat lagi. Masa kecil dulu, Zharif sangat suka mandi hujan. Tapi yang menghairankan, Zharif tak pernah demam selepas mandi hujan.”
             Zharif tersenyum sendiri. “Zharif memang kuat kan nenek?” selorohnya.
            Nyonya Choi tersenyum manis. Wajah cucunya itu ditatap penuh kasih. Wajah itu banyak tumpah wajah anaknya dan suaminya. “Ya. Zharif memang cucu yang kuat. Zharif, cucu yang sentiasa ceria. Nenek rasa, Zharif yang dulu sudah kembali. Ada sesuatu yang berlaku?”
            “Sesuatu? Apa pendapat nenek?” Zharif melontarkan soalan semula.
            “Zharif kelihatan gembira. Senyum setiap masa. Zharif sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang, kan?” komen Nyonya Choi.
            Zharif mengenyitkan mata kiri lantas mengangguk.
            Nyonya Choi tersenyum penuh makna. Benar telahan hatinya. “Siapa gadis itu? Bila nak bawa balik?”
            “Nanti Zharif bawa balik. Nenek pasti akan suka,” beritahu Zharif.
            “Ceritalah. Anak siapa? Tinggal di mana?”
            Zharif mendekati neneknya lalu duduk bersimpuh. Kaki wanita tua itu diurut-urut perlahan. “Namanya Zawin Az-Zahra. Gadis melayu. Orang Perak. Ada iras penyanyi kegemaran nenek, Siti Nurhaliza.”
            “Ya?Lagi?” Nyonya Choi benar-benar teruja.
            “Manis orangnya. Ada lekuk bawah dagu. Bila Zawin senyum, matanya akan ikut tersenyum. Mata bening itu bagaikan dua titisan kopi dalam secawan susu. Bila Zawin berjalan ditengah-tengah orang ramai, dia bersinar bagaikan mentari yang muncul disebalik awan mendung. Bila Zawin ketawa, seakan alunan muzik indah sedang dimainkan. Zawin Az-Zahra sememangnya hiasan dunia terindah,” cerita Zharif penuh perasaan.
            Nyonya Choi terpana. Sejak remaja, Zharif tidak pernah bercerita dengannya tentang mana-mana gadis yang dikenalinya. Sinar mata Zharif jelas menunjukkan rasa cinta yang mendalam untuk gadis melayu itu. Mata yang pernah lesu itu kini bersinar kembali. Senyuman yang pernah hilang itu kini mekar sentiasa. Dia benar-benar kepingin bertemu gadis yang berjaya mencuri hati cucunya itu. “Bawa lah Zawin ke sini. Tak sabar nak jumpa ni,”  ujarnya bersemangat.
            “Pasti. Suatu masa nanti.” Zharif terus mengurut kaki tua itu dengan lembut.
            Nyonya Choi membelai rambut Zharif. “Syukur sangat Zharif dah kembali semula seperti dulu. Selepas Iris dan Zul meninggal, Zharif tak nak balik ke Malaysia. Nenek rasa Zharif bukan lagi cucu yang nenek kenal. Zharif lebih banyak diam daripada bersuara. Bagaimana semua ini boleh berubah sekelip mata?” soalnya lembut.
            Zharif mencapai tangan neneknya, diciumnya lama. “Maafkan Zharif. Zharif tahu banyak salah Zharif pada nenek. Zharif banyak abaikan nenek,” pintanya.
            Nyonya Choi tersenyum senang. “Tidak ada apa yang perlu dimaafkan. Apa yang penting Zharif kembali seperti dahulu.”
            Zharif menggosok kura tangan neneknya sambil tersenyum manis. Dia mengalihkan pandangan pada titisan hujan. “Selepas ayah dan mak meninggal, Zharif terasa ada satu lubang dalam hati Zharif. Sejak Zawin muncul dalam hidup Zharif, lubang itu perlahan-lahan mengecil. Hati Zharif sangat bahagia. Tapi...” Sinar mata Zharif yang bersinar tiba-tiba menjadi lesu apabila mengingati kata-kata Zawin malam semalam. Dia dapat merasakan gadis itu tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Seakan hubungan mereka hanya olok-olok sahaja.
            “Tapi kenapa? Ada masalah?” soal Nyonya Choi hati-hati. Perubahan riak wajah itu membuatkan hatinya gusar.
            Zharif menatap tepat mata wanita dalam baju tidur biru lembut itu. “Hati ini, perasaan ini, tidak sama dengan hati dan perasaan Zawin.”
********  
            “Pelik saja mimpi tu,” komen Najla sejurus mendengar cerita Zawin. Telekung ditanggalkan daripada tubuh lalu dilipat kemas.
            Zawin turut melipat telekung lalu memasukkan ke dalam beg kertas. “Aku stress sampai kena selsema. Betul-betul ramadhan ini menguji aku,” luahnya dalam suara serak. Matanya memerhatikan jemaah-jemaah wanita yang sudah mula beredar keluar dari kawasan solat. 
            “Is pun pernah mimpi bersanding dengan kau, mimpi kau pun hampir serupa. Kalau benar Is jodoh kau, aku turut gembira. Tapi...kesian pula dengan Zharif. Cinta pertama dan cinta kedua. Ramai wanita lepaskan cinta kedua untuk cinta pertama. Aku tak hairan kalau kau pilih Iskandar berbanding Zharif kelak,” ujar Najla.
            Zawin terpana. Benar kah begitu? Desis hatinya.
            Najla berjalan mendekati sebuah cermin besar lalu membetulkan kedudukan tudung pashmina ungu dikepala. “Hati kau cenderung pada Is. Kan?” tebaknya.
            Zawin mematah-matahkan jari jemarinya. Dia tidak berani mencari jawapan pada soalan itu dan tidak akan sanggup berbuat begitu. “Aku malas nak fikir lagi. Nanti aku juga yang sakit. Dapat pula kau dan Anas solat terawih hari ni. Siapa jaga Al-Fateh?” soalnya lantas mengubah topik perbualan.
            “Mak mertua aku datang rumah. Apa lagi. Ambil peluang la.” Najla mencapai tas tangan lalu disangkutkan pada bahu. “Mari keluar. Kak Puteri nak jumpa kita,” beritahunya.
            “Kak Puteri? Di sini ke? Tak nampak pun...” Mata Zawin meliar, cuba mengesan wajah Puteri Nur Diana pada wajah jemaah-jemaah yang masih ada dalam kawasan solat.
            “Bukan la. Kak Puteri buka booth jual pakaian muslimah. Mari pergi,” ajak Najla.
            Zawin akur lalu mengikut langkah Najla. Hatinya merasa tenang melihat suasana Masjid negeri Shah Alam. Ibarat sebuah perkampungan islam yang besar dan sangat selesa. Mata Zawin melilau melihat barangan yang dijual di booth-booth yang dilintasinya. Seorang wanita dalam jubah dan niqab hitam menggamitnya dari booth paling hujung. Dia mengekori langkah Najla yang menapak laju mendahuluinya.
            “Rindunya!” luah Najla sambil berpelukan erat dengan Puteri.
            “Kenapa tak cakap buka booth di Masjid Negeri? Kalau tak, dah lama cari.” Zawin menatap mata hitam wanita itu.
            “Baru lagi. Sekejap ya,” pinta Puteri apabila dua wanita berjubah dan berniqab hitam masuk ke dalam booth.
            Zawin mengangguk. Matanya seronok melihat penampailan wanita-wanita yang mngenakan jubah dan niqab, hanya mata sahaja yang kelihatan. Nampak sangat cantik, kalah wanita tercantik didunia. Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali apabila melihat booth itu seperti bercahaya dan wanita-wanita muslimah yang berada disitu sangat cantik. Dia benar-benar terpegun.   
            “Zawin...” panggil Najla.
            “Hah?” Zawin tersedar daripada lamunannya.
            “Kenapa? Kau macam nampak hantu saja,” komen Najla.
            “Err... Tak ada apa,” balas Zawin dalam gugup. Dia jadi bingung beberapa ketika sebelum Puteri memaut lengannya.
            “Ingat tak cerita akak jumpa wanita bernama Ainul Mardiah dulu?” bisik Puteri.
            Zawin pantas mengangguk. Cerita Puteri mengenai wanita itu sentiasa berlegar dalam fikirannya. Kata wanita itu, wajah wanita melambangkan aurat seseorang. Abang kandungnya juga berpendapat begitu tetapi tidak mahu menjelaskan dengan lebih lanjut. 
            “Wanita sebelah kanan itu, Ainul Mardiah,” beritahu Puteri.
            “Hah? Mana?”
            “Beg sandang warna biru,” balas Puteri.
            Zawin terus berjalan ke arah wanita yang hanya matanya sahaja kelihatan. Tanpa teragak-agak, dia menyapa dengan sopan. “Bagaimana akak boleh pakai niqab secara istiqamah?”soalnya selepas diberitahu wanita itu memakai niqab sejak berusia 17 tahun.
            “Akak tak suka bila diganggu ramai lelaki. Terasa diri akak bagai tiada nilai, hanya objek seks semata. Akak sedar, wajah akak lah sebenarnya membawa fitnah. Dalam masa yang sama akak nak cari cinta Allah, akak nak sangat Allah pandang akak tetapi akak tahu dalam dunia ni, ramai sangat orang yang baik, orang yang beriman. Semoga dengan berniqab, Allah pandang akak juga,” jelas Ainul Mardiah panjang lebar.
            Air mata Zawin terus mengalir mendengar kata-kata itu. Maha suci Allah yang telah mengtakdirkan dirinya dikelilingi orang-orang yang baik. Menyedari diri yang penuh dengan kelemahan dan dosa, terasa rendahnya darjat diri pada pandangan ilahi.
            “Kenapa menangis? Akak salah cakap ke?” soal Ainul Mardiah.
            Zawin pantas menggeleng. Air mata disekanya dengan hujung tudung. “Tidak. Boleh tanya sesuatu?”
            “Ya.”
            “Adakah wajah wanita itu aurat? Benarkah wajah itu melambangkan anggota badan?”
             Ainul Mardiah mengangguk.
            “Boleh jelaskan?” pinta Zawin teruja.
            “Ainul, kita kena pulang sekarang.”
            Mata Zawin terus mencari pemilik suara lelaki itu.     Setelah diamati wajah lelaki berambut nipis dalam jubah putih itu, dia dilanda  kejutan. “Zamri?” tegurnya.
            Zamri terpana melihat gadis dalam kurung moden hijau serindit itu. “Zawin?”
            “Kalian sudah kenal rupanya. Zawin, ini suami akak,” ujar Ainul Mardiah.
            “Apa?”
********
            Zawin merenung langit malam yang kelam. Wajah Zamri muncul disitu. Dirinya benar-benar dilanda kejutan. Bagaimana lelaki yang selalu menjadi teman tidur Yasmin itu boleh berubah sehingga ke takah itu? Jodohnya pula dengan wanita yang baik. Mungkin itu yang dikatakan hidayah. Bisik hatinya. Abang Zafuan pernah berkata yang hidayah itu adalah rahmat Allah yang turun dari langit, umpama cahaya yang memandikan sesiapa yang terpilih. Zamri adalah lelaki yang terpilih. Beruntungnya dia. Begitulah perjalanan dalam hidup. Kadang-kadang hanya satu detik, manusia boleh berubah.
            Wajah ayahnya pula muncul dilangit malam. Walaupun hatinya sukar untuk memaafkan lelaki itu, namun dia sering berdoa supaya pemilik nama Zawawi Zainal diterpa hidayah sebelum ajal menjemput. Zawin menghela nafas dalam-dalam. Wajah Zharif dan Iskandar pula bersilih ganti muncul dalam laut fikirnya. Dia jadi kewalahan. Sebaik laut fikirnya mula berfikir tentang dua lelaki itu, pasti tidak ada penyelesaiannya. Sudahnya dia tidak mahu membuat sebarang keputusan. Buat masa ini dia tidak mahu terlalu memikir. Biarkan masa yang menentukan segalanya. Dalam hidup ini manusia selalu punya banyak pilihan tetapi hidup bukan sepanjang masa perlu menangani soal cinta. Hidup ada hal-hal lain yang perlu diselesaikan. 
            Setelah puas menikmati angin malam dari balkoni rumah, Zawin masuk ke dalam bilik. Komputer riba dihidupkan dan bersedia untuk masuk ke alam maya. Pencarian mengenai niqab atau purdah digali sehabis mungkin. Puas membaca artikel dan pendapat dari pelbagai sumber rujukan, dia masih gagal menjumpai penjelasan yang lebih lanjut perkaitan wajah wanita dengan aurat. Tisu diatas meja dicapai sejurus terbersin. Terasa hingus mengalir laju. Kepalanya tiba-tiba berdenyut. Zawin memejamkan mata, menyandarkan kepala pada belakang kerusi.
            Sebuah lagu arab beralun merdu, memecah keheningan bilik itu. Zawin membiarkan sahaja lagu itu dimainkan. Mungkin lagu arab itu dari mana-mana blog yang dibukanya tadi. Lagu itu terus diulang, dimainkan tanpa henti secara automatik. Zawin membuka matanya apabila menyedari lagu itu kedengaran sedap pada halwa telinganya. Jarang amat  lagu arab menarik perhatiannya. Dalam rasa ingin tahu yang menggunung, tangannya laju menekan tetikus, mencari blog yang memainkan lagu itu. Bibir Zawin mengukir senyum meleret apabila menemui lagu itu dalam sebuah blog muslimah yang menceritakan perjalanan memakai niqab. Zawin  mengeluh geram. Pemain Mp3 yang yang digunakan dalam blog itu tiada tajuk lagu. Bosan dengan pencarian yang tiada jawapan, laman sosial Facebook pula dibukanya.
            Dian Daniel: Sibuk?
            Zawin: Tak. Apa khabar? Lama tak dengar cerita. Dah habis praktikal HO kan? Dapat department mana?
            Dian Daniel: Masin mulut saya masa kita berbual dulu. Dapat Department Obstretric & Gynaecology
            Zawin: Wah! Tahniah. Pahala besar tu bantu ibu bersalin
            Dian Daniel: Hehe. Ya la. Tapi jujur ni, saya menangis sampai rasa dah kering air mata masa dapat surat pelantikan dari department O&G. Memang paling banyak cabaran dalam department ni. Ada masa hampir-hampir rasa nak berhenti. Mujur pesan mak bantu kuatkan semangat balik. Bila melihat satu tubuh bernyawa keluar dari perut ibu, saya rasa tenang. Mungkin ini takdir yang terbaik untuk saya
            Zawin: Ya. Semua ada hikmahnya kan?
            Dian Daniel: Ya. Kalau awak nak bersalin nanti, saya boleh uruskan. Nak bersalin normal ke, vacuum ke, forcep ke, ceaserean ke...serahkan pada saya. Ada masalah sakit cik dan puan pun boleh jumpa saya
            Zawin: Yeah. Girl power!
            Dian Daniel: Haha. Boleh tanya sesuatu tak?
            Zawin: Apa dia?
            Dian Daniel: Awak bersama semula dengan Is ke?
            Zawin: Kenapa?
            Dian Daniel: Entah. Sejak dua menjak ni, Is pelik semacam. Kalau bertembung dimana-mana, asyik tersenyum saja. Macam orang angau pun ada
            Zawin menggigit bibirnya. Apa jawapan yang perlu diberikan kepada gadis itu? Dia bersama Iskandar semula? Atau apa?
            Zawin: Tak pasti. Cuba la tanya dia sendiri
            Dian Daniel: Ok. Saya gembira tengok Is dah boleh tersenyum sekarang. Walaupun dia ada buat salah pada saya, saya dah maafkan. Dia tetap kawan baik saya. Manusia mana yang tak pernah buat salah kan?
            Zawin: Ya. Sama-sama kita berubah ke arah kebaikan
            Dian Daniel: Saya nak keluar dah ni. Selamat berpuasa dan selamat menyambut lebaran
            Zawin: Salam lebaran juga
            Zawin terbatuk kecil. Tekaknya terasa gatal. Hingus dihembuskan pada tisu.  Air suam campuran madu asli dan jus limau nipis diteguk perlahan. Saat berpaling melihat pada lama sosial Facebook, sebuah kotak bual muncul disitu.
            Nadiah: Apa khabar?
            Zawin: Batuk dan selsema
            Nadiah: Oh? Jangan lupa makan ubat ya?
            Zawin: Insyallah. Hati dah sihat?
            Nadiah: Erm...cakap tentang hati kan? Dah ada pengganti ni
            Zawin: Wah! Cepatnya. Duda atau suami orang?
            Nadiah: Benci!
            Zawin: Hehe. Gurau saja. Siapa pula kali ni? Doktor juga?
            Nadiah: Tak. Software engineer
            Zawin: Tahniah. Insyaallah. Kali ni pasti akan berjalan dengan lancar.
            Nadiah: Erm...cerita awak tentang kelahiran 1986 ada nombor pelaris tu, sering terjebak dalam hubungan sulit, saya rasa ada betulnya
            Zawin: Itu kajian metafizik selama beribu tahun. Itu bukan ramalan. Sebab itu kebarangkalian tinggi pada personaliti yang ada nombor tertentu
            Nadiah: Kawan-kawan saya, kelahiran 86, hampir semua terjebak dalam hubungan sulit sampai ada yang serik. Eh, nombor pelaris ni menarik duda juga ke?
            Zawin: Duda? Kekasih baru ni duda ke?
            Nadiah: Ya. Duda anak dua.
            Zawin: Ha...bagus sangat la tu. Awak kan Capricorn, kelahiran januari. Sangat sukakan kanak-kanak. Memang tugas enteng tu
            Nadiah: Haha. Memang la sukakan kanak-kanak, tapi anak duda tu dengan bekas isteri. Lain macam juga rasa
            Zawin: Mak ayah dah tahu?
            Nadiah: Dah. Dia dah jumpa mak ayah pun. Mak pun kata, kalau dah jodoh begitu, terima saja la
            Zawin: Good. Moga cepat kahwin. Amin
            Nadiah: Awak tu pun sama. Ha...ni nak tanya sikit. Kenapa Is tu gembira lain macam saja. Baru ni keluar dengan dia. Lama dah saya tak tengok dia senyum sampai ke telinga begitu. Ada kaitan dengan awak ke?
            Zawin: Oh, anak kucing dia baru lepas beranak tu kot
            Nadiah: Banyak lah anak kucing. Saya memang rindukan Is yang dulu. Hati saya kuat kata perubahan Is ada kaitan dengan awak. Tak nak kongsi cerita ke?
            Zawin: Haha. Kenapa awak rasa ada kaitan dengan saya?
            Nadiah: Biasalah. Saya kan ada nombor pelaris.
            Zawin: Amboi. Tak ada kena mengena nombor tu dengan gerak hati.
            Nadiah: Eh jangan lupa. Saya ada nombor lapan dalam kiraan tarikh lahir saya. Itu kan nombor yang pemiliknya ada gerak hati yang tajam?
            Zawin: Ya la. Awak betul. Is dan saya dah berbaik semula. Tapi bukan hubungan seperti yang awak sangka.
            Nadiah: Kan dah agak! Tak apa. Lepas ni jadi lah hubungan yang saya sangka. Is dah berubah. Tak salah kan beri peluang untuk kali kedua
            Zawin: Mungkin
            Nada dering yakinlah aku menjemputmu menjerit nyaring. Zawin cekatan menyambut panggilan itu.
            “Buat apa?”
            “Buat pandai.”
            Iskandar ketawa dihujung talian. “Memang dah pandai pun. Sibuk tak?”
            “Tak sangat. Kerja shif malam lagi?”
            “Ya. Semalam kenapa tak ada sebarang berita? Mesej pa pun tak berbalas, panggilan pun tak berjawab. Pergi mana?”
            “Err...tak sihat. Tak dengar suara serak ni?” Zawin berdehem sekali. Ya dia tak sihat dan dia juga bosan untuk melayan perasaan. Zharif juga tidak dilayannya.
             “Makan ubat tak?”
            “Malas. Minum air madu perahan jus limau saja.”
            “Tengok tu. Sejak dulu benci sangat dengan ubat doktor. Kalau tak suka ubat doktor, pergi farmasi beli gula-gula Jujubes, brand Hudson. Ubat macam gula-gula kenyal. Bagus untuk batuk dan sakit tekak. Selsema pun ok.”
            “Bosan dengar doktor membebel,” ujar Zawin selamba.
            “Please jangan degil,” pujuk Iskandar lagi.
             “Malas...” balas Zawin dalam nada panjang.
            “Eee...geramnya. Kalau dah kahwin nanti, memang tak ada kompromi dah.”
            “Siapa nak kahwin dengan Pa?”
            “Ooo...tak nak kahwin la ni? Kita tengok nanti. Apa pun, hari tu ada cerita kan tentang Damia.”
            “Ha...kenapa?”
            “Bagi nombor telefon Damia,” pinta Iskandar.
            “Kenapa nak nombor telefon dia?”
            Pintu bilik dikuak dari luar, muncul Damia dalam kurung merah jambu. “Gayut...gayut...” perli Damia seiring kenyitan matanya. Damia meletakkan buku-buku dan beg diatas katil dan kemudian keluar dari bilik.
            Zawin hanya tersengih.
            “Siapa tu?” tegur Iskandar.
            “Damia la.”
            “Ha...balik pada isu tadi. Pa nak nombor telefon Damia.”
            “Untuk apa?” soal Zawin ingin tahu.
            “Untuk saat-saat kecemasan.”
            “Erm...alasan yang lemah. Cuba bagi sebab-sebab yang kukuh.”
            “Ok, nak tahu apa Ma buat, keadaan Ma, kesihatan Ma...”
            “Eee...tak selesa lah. Kenapa nak tanya pada Damia?  Ma pun boleh beritahu sendiri. Ma tahu jaga diri. Tak perlu nak ambil tahu lebih-lebih,” tingkah Zawin.
            Iskandar ketawa besar. “Apa yang tak selesa? Bukan Pa akan mesej dia selalu pun.”
            “Kalau nak sangat, berikan rumusan akhir sebab-sebab tadi,” pinta Zawin.
            “Nak kena sekeh ke ketok kepala? Tadi tanya sebab sangat.  Ini nak bagi rumusan akhir untuk sebab-sebab tadi pula. Ok. Rumusannya, Pa nak tahu keadaan Ma saja. At least Pa tahu Ma macam mana. Ma kata boleh beritahu Pa semuanya? Jawapan Pa...hari Ma buat hal macam semalam, Ma nak cakap ke? Kedua, Ma kata Ma pandai jaga diri dan tak perlu risau. Jawapan Pa...kalau Ma kena stroke ke, pitam ke pengsan ke macam mana? Semua itu menyimpulkan tentang Ma, bukan orang lain. Itu cara Pa jaga orang yang Pa sayang. Jika tak sayang, ada Pa kisah nak tahu?”
            “Kesian mereka...” ujar Zawin bersahaja.
            “Kesian? Mereka? Siapa pula? Apa kena mengena?” soal Iskandar bertalu-talu.
            “Pesakit Pa la. Pa membebel macam mak nenek, mesti ada yang berdarah telinga,” komen Zawin selamba.
            “Eee...Zawin Az-Zahra!” jerit Iskandar geram.
            Zawin ketawa anak mendengar nada suara itu. “Ya la. Nanti Ma minta kebenaran daripada Damia. Kalau dia setuju, baru Ma mesej nombor dia. Ok?”
            “Bagus. Apa saja Ma buat semalam dan hari ini?” soal Iskandar.
            “Tak buat apa pun.” Zawin terdiam seketika. Kata-kata Dr.Dian dan Dr.Nadiah berlegar-legar dalam kepalanya. “Dr.Dian kata Pa pelik sekarang ni. Asyik tersenyum saja. Kenapa?”
            “Hah? Bila Ma berhubung dengan dia?”
            “Dalam Facebook la. Dr.Nadiah pun cerita benda yang sama. Pa terkena penyakit senyum ke?” soal Zawin selamba.
            Iskandar ketawa besar mendengar kata-kata itu. “Tak. Terkena penyakit angau. Semua tu sebab Zawin Az-Zahra! Itu pun mahu tanya lagi kah?”
            “Erk...” Zawin menelan liurnya berulang kali.
            “Kadang-kadang dalam bilik bedah pun Pa boleh senyum. Masa sedang operate pun Pa boleh senyum bila ingatkan Ma. Gila kan?”
            “Memang gila!” sahut Zawin bersulam tawa.
            “Terima kasih sangat. Ma punca Pa boleh tersenyum semula. Ma perempuan terbaik Pa pernah kenal dan sejak dulu Pa cakap yang Ma perempuan pertama yang dapat pegang hati Pa.”
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. “Kalau kita tiada jodoh bersama?” ujinya.
            “Ma antara objektif utama Pa untuk terus hidup. Melepaskan Ma ibarat melepaskan nyawa Pa dari jasad Iskandar. Pa sedar Pa dah buat salah besar pada Ma sebelum ini, tapi perasaan Pa hanya tuhan yang tahu. Pa sayangkan Ma. Teramat sayang...”
            Zawin terdiam. Lidahnya kelu tiba-tiba.
            “Ma...senyap saja. Pa kena masuk semula ni. Jangan lupa tidur awal.”
            “Err...ya.”
            Bye. Love you always.”
            “Dah habis gayut?” tegur Damia yang sedang bersantai duduk diatas katil. Tudung merah jambunya ditanggalkan dari kepala.
            Zawin tersenyum simpul. Telefon pintar diletakkan diatas meja. “Damia dari mana?”        
            “Ada kenduri doa selamat di rumah kawan. Kak Zawin bergayut dengan siapa? Lain macam saja bunyinya.”
            “Iskandar.”
            Damia membundarkan matanya. “Pakwe yang dulu tu ke?”
            Zawin mengangguk laju. Banyak rahsianya dikongsikan dengan gadis berwajah chinese-look itu.
            “Padanlah. Pelik juga bila tengok akak bergayut. Tadi sebelum masuk rumah, Abang Zharif ada tegur Mia. Dia baru balik. Tengok tak ada pula dia bergayut. Cuba cerita. Apa yang berlaku ni?”
            Zawin mengeluh berat. Dia tidak tahu dari mana dia perlu mulakan cerita. 
            TING TONG!
            Zawin saling berpandangan dengan Damia. Tanpa sepatah kata, Zawin mengenakan tudung putih dikepala, mencapai kunci rumah dan menapak keluar dari bilik. Benar gerak hatinya usai melihat wajah Zharif yang tersenyum manis berlemak dihadapan rumah.
            “Masih batuk? Selsema?” soal Zharif.
            Zawin mengangguk dalam senyum tawar. Dia terasa bersalah tiba-tiba. Biarpun benar dia sakit namun alasan itu lebih bermaksud untuk mengelakkan diri daripada Zharif.
            “Nah. Gula-gula Jujubes. Zawin tak suka ubat hospital kan? Gula-gula ni tak rasa ubat sangat tapi baik untuk sakit tekak, batuk dan selsema.” Zharif menghulurkan bungkusan ubat gula-gula itu kepada Zawin.
            Zawin terkebil-kebil seketika sebelum menyambut gula-gula ubat itu. Bukan ke ini gula-gula yang Is cakap tadi? Bisik hatinya. Dia meneliti bungkusan itu. Jelas tertera disitu jenama Hudson.
            “Kenapa? Ada keraguan ya?” tebak Zharif apabila melihat dahi Zawin berkerut seribu.
            Zawin berdehem sekali, menahan senyum. “Tak. Nama Jujubes ni. Macam bunyi kartun Teletubbies pula,” selorohnya.
            Zharif tergelak besar. “Macam-macam Zawin ni. Tapi Jujubes ni mula-mula rasa sedap macam gula-gula gitu tapi bila dah habis manis, ada rasa pahit. Harap Zawin tahan rasa pahit tu,”  beritahunya.
            Zawin tersenyum meleret. “Zawin tak takut rasa pahit. Apa pun terima kasih.”
            Zharif turut mengukir senyum. “Sama-sama. Dah. Pergi masuk. Tidur awal ya,” pesannya.
            Zawin mengangguk. Sewaktu tangannya menarik pintu grill, tangan Zharif menghalang tindakannya.
            “Boleh Zharif minta nombor telefon Damia?” pinta Zharif.
            Zawin membundarkan matanya. “Untuk apa?”
            “Untuk tahu keadaan Zawin. Semalam Zharif tak dapat hubungi Zawin. Zharif risau sangat tapi Zharif tak nak ganggu Zawin berehat. Sekurangnya Zharif tahu keadaan Zawin daripada Damia,” jelas Zharif.
            Zawin menggigit bibirnya. Wajah Zharif ditatap dalam-dalam. Dia benar-benar diserang rasa bersalah. “Berikan sebab-sebab kukuh kenapa perlukan nombor telefon Damia. Kalau Zawin rasa logik, Zawin akan beri,” putusnya.
            Zharif tergelak halus. Wajah Zawin ditatap semahu hatinya. Dia benar-benar merindui gadis itu. “Pertama, Damia kawan Zawin. Kedua, Damia orang paling rapat dengan Zawin. Ketiga, Zharif dapat rasa Damia tu gadis yang baik. Keempat, kalau ada kecemasan, Damia yang tahu dulu. Kelima, senang nak pesan apa-apa kalau Zawin jadi budak-budak dan sebab keenam...”
            Zawin menahan senyum. Wajah Zharif kelihatan nakal dalam kening yang sengaja dijungkitkan.
            “Saja nak tengok Zawin sayang Zharif ke tak...”
            Zawin pula tergelak. “Ok. Ada logiknya. Kalau Damia benarkan, nanti Zawin mesej nombor dia.”
            “Betul ke Zawin sayangkan Zharif?”usik Zharif.
            Zawin mengembungkan kedua pipinya. Dia tidak mahu melayan usikan itu. “Mak tanya tentang Zharif masa balik hari tu. Kalau Zharif sudi, datang la beraya ke rumah.”
            Mata Zharif bersinar gembira. “Sudi sangat!”


10 awesome commentator:

  1. Akhirnya dpt jgk baca entry cite nie.lma menunggu.hari2 sy tgk blog ni,kalo2 ada entry baru.xsbr nk tahu kesudahannya.agak2 bila la akan tahu penghujung cite nie.kalo boleh biarlah zawin dgn zarif di penghujung kisah nie.apa2 pun cite nie best sgt2 dan dpt bnyk ilmu yg bermanfaat yg boleh di amalkn..

    ReplyDelete
  2. Hangen plak ai ngn si zawin nii..
    Sian zhariff :(

    ~ma

    ReplyDelete
  3. Menyampah plk ngn zawin nie.terima je la lamaran zarif,wat pe nk fikir si is lg.sian zarif..:( harap2 ending cite nie,zawin ngn zarif la..

    ReplyDelete
  4. tbk apa memang padanlah zawin ngan iskandar,kahwinkan jeleh dia orang.. . So nanti zawin dapat kado istimiwa lah lagaknya, ingat tak iskandar ada mengandungkan perempuan, lah budak atau anak is nanti ni lah jdi kado istimewa zawin ye. . Jadi mather expres gituuu. N buwat zarif jangan sedih2 tau damia kan ada, watak minat damia mirip zawin la, padanlah kalian ber 2.

    ReplyDelete
  5. ala taknakla zawin dgn iskandar,iskandar pernah curang nti dia akan curang lg. Skali seseorg 2 x setia dia akan x setia selama-lamanya sbb dia x pernah puas. Lebih baik zawin dgn zarif,sbb bersama dgn org yg mencintai kita lebih baik dr bersama dgn org yg kita cintai.

    ReplyDelete
  6. salam.. k.love..mggu lepas sy buka blog ni xdapat..akk apa khbar ya?masih ingat rakan cb yg satu ni lgi tak..hehehehehe..xsabar tunggu bab seterusnya. caiyo2...hakunamatata...d@javu ;)

    ReplyDelete
  7. ermm makin lama makin best...tuan punya blog,sila teruskan...heee

    ReplyDelete
  8. hmm...tertanya tanya lak..adakah tuan punya blogger sudah berpunya..eheeee

    ReplyDelete
  9. Cerita yg menarik, padat dgn ilmu..saya suka...xsabar tgu sambungan..
    Harap cerita dpt disambung n bole dibaca online..
    Cerita ni best...
    I loike....

    Bile nk sambung??

    ReplyDelete
  10. Saya suka sangat novel ni. Belum keluar lagi ke di pasaran? :)

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top