BAB 35

            “Macam mana progres projek kapal Dato’ di Pulau Duyung?” soal Zharif. Dia menyuap gaulan nasi bersama daging kambing masak rendang kedalam mulut.
            Dato’ Zawawi mengelap mulutnya dengan tisu. “Setakat ini, saya berpuas hati. Ambil masa untuk siapkan kapal-kapal itu. Saya lebih beri tumpuan pada projek injap di Shah Alam.”
            “Rezeki bertambah-tambah ya Dato’. Bila kilang di Seksyen 15 akan dibuka?” soal Fuad sambil menatap wajah Dato’ Zawawi yang duduk mendepaninya.
            Dato’ Zawawi tersenyum bangga. “Hujung tahun ni.” Tangannya mencapai hidangan tepanyaki ayam dan sushi ikan salmon dalam pinggan. Dia termenung seketika melihat hidangan jepun itu. Dalam pelbagai hidangan buka puasa yang disediakan di Hotel Grandblue Wave itu, hidangan jepun juga yang diambilnya. Wajah anak gadisnya menerpa benak. Zawin Az-Zahra amat gemarkan makanan jepun sejak kecil lagi. Setiap kali hari jadi Zawin, dia pasti yang pertama membelikan kek dan makanan jepun untuk Zawin. Dia benar-benar rindukan kenangan indah yang pernah disulam bersama anak kesayangannya itu. Seandainya masa boleh diputarkan...
            “Zharif, sebelum aku terlupa nak beri, baik aku beri awal-awal.” Fuad mengeluarkan sebuah kotak empat segi daripada poket kot hitamnya lalu dihulurkan kepada Zharif.
            “Untuk apa ni?” soal Zharif kehairanan.
            “Hadiah untuk Zawin la. Hari ini kan harijadi dia. Memandangkan kau dah jadi jiran Zawin, kau memang orang yang tepat untuk sampaikan hadiah aku ni.”
            Zharif tersengih. “Ya la.” Kotak itu dimasukkan kedalam poket kot hitamnya.
            Dato’ Zawawi terkedu mendengar perbualan dua anak muda itu. “Zharif...berjiran dengan Zawin?” soalnya tidak percaya.
            Zharif mengangguk. “Saya mencari rumah di seksyen tujuh untuk dibeli, kebetulan rumah pangsapuri disebelah rumah Zawin tinggal sedang dijual pemilik asal. Saya terus beli selepas negotiate harga. Seingat saya, Dato’ pun ada beberapa buah rumah di seksyen tujuh bukan?”
            Dato’ Zawawi mengangguk. “Ya. Tapi sekarang saya sedang tumpukan pada Puncak Alam. Projek pembinaan Uitm sedang dalam progres disana. Tidak mustahil sepuluh tahun akan datang harga rumah disana akan berlipat kali ganda.”  
            Zharif mengangguk. “Betul tu.”
            “Zawin...sihat ke?” soal Dato’ Zawawi lambat-lambat, menatap lembut wajah Zharif.
            “Alhamdulillah. Dia sihat.”
            Good.” Dato’ Zawawi menghela nafas dalam-dalam. Seleranya sudah mati. Kunci kereta dicapai lantas bergegas pergi tanpa sepatah kata.
            “Kenapa pula tu?” soal Fuad kehairanan melihat tingkah laku Dato’ Zawawi.
            Zharif mengangkat kedua belah bahunya. Dia melarikan pandangan pada wajah Tengku Amir yang duduk mendepaninya. Lelaki itu lebih banyak mendiamkan diri sejak perbincangan urusniaga mereka tamat. Makan pun seakan terpaksa.“Tengku...ada masalah ke?” tegurnya.
            Tengku Amir mengeluh berat. Dia menguis-nguis daging kambing masak rendang didalam pinggan. “Harta ini tidak bernilai langsung,” getusnya berbisik perlahan.
            Zharif dan Fuad saling berpandangan.
            “Kenapa Tengku kata begitu?” soal Fuad.
            Tengku Amir tersenyum pahit. “Harta ini tiada nilainya apabila isteri tidak mendengar kata, apabila ada anak derhaka, apabila rumah tidak rasa lapang, apabila orang tidak mahu menerima sedekah harta kita...”ujarnya lambat-lambat.
            Zharif dan Fuad saling berpandangan sekali lagi kemudian memfokuskan pandangan pada wajah muram lelaki dari keturunan kerabat itu.
            “Apa guna ada limpahan harta yang banyak jika hati tidak bahagia...” Tengku Amir merenung jus oren dalam gelas sebelum meneguk rakus.
            “Kenapa Tengku? Kalau ada masalah, ceritalah. Mana tahu kami boleh bantu.” Fuad bersuara akhirnya.
            Tengku Amir mengeluh berat. “Isteri saya, ada di Australia sekarang. Puas saya larang dia pergi, tapi dia berdegil nak pergi sebab katanya dah rancang trip ke sana dengan kawan-kawan dia. Anak saya, Tengku Azura...saya baru tahu dia rajin ke kelab malam. Bila saya nasihat, dia lawan saya balik. Saya nak beri sedekah pada seorang pekerja yang saya pernah berhentikan dahulu tetapi dia kata pada saya yang dia tak perlukan harta saya, dia tak hadap pun dengan harta dan wang yang saya miliki. Semua ini berlaku pada awal ramadhan. Puas saya berfikir kenapa semua ini berlaku dalam hidup saya. Mungkin...saya yang salah mendidik. Mungkin...saya terlalu sombong dengan harta yang saya miliki. Entahlah. Saya tak tahu nak buat apa sekarang. Saya terasa saya telah kehilangan segala-galanya. Hati saya sangat gelisah. Tak tenang,” luahnya penuh perasaan.
            “Berat ni...” komen Fuad ringkas. Sebagai orang bujang yang tidak ada pengalaman dalam hal rumahtangga sukar baginya untuk berkata lanjut.
            Zharif meneguk jus mangga sambil matanya tidak lepas daripada menatap wajah Tengku Amir. Luahan lelaki pertengahan 40-an itu membuatkan dia terkenang pada satu habis nabi. Empat perkara daripada kebahagian seorang anak adam adalah isterinya seorang wanita solehah, anak-anaknya baik, kawan-kawannya golongan solihin dan rezekinya di tanah airnya sendiri.       Kepala Zharif terangguk-angguk sendiri. Benar sekali isi hadis itu. Zharif mengambil tisu, mengelap mulutnya. “Tengku, macam ni la. Kita pergi ke Masjid Shah Alam selepas ini, terawih bersama. Mungkin hati Tengku akan tenang,” sarannya bersungguh.
            Tengku Amir mengangguk dalam senyum tawar.
*******
            “Jika pipi gadis itu licin, gebu dan kemerah-merahan serta tidak langsung memakai peralatan solek seperti pemerah pipi, bedak atau cecair pelembab muka, bermakna gadis itu masih berdara. Pada pipi kiri dan kanan seseorang gadis yang telah berhubungan ada beberapa garis melintang.”
            Zawin menghela nafas dalam-dalam apabila kata-kata Zharif itu berlegar-legar dalam mindanya. Dia bangun dari katil, menuju kearah cermin almari pakaian. Zawin membelek kedua pipinya dihadapan cermin. Pipi itu gebu kemerah-merahan dan tiada sebarang garis melintang. Dia menghela nafas lega namun hatinya tertanya-tanya kesahihan teori Zharif itu. Zawin merenung matanya pula dihadapan cermin. Kata-kata Zharif mengenai mata bergema dihalwa ditelinganya.
            “Gadis yang masih dara, matanya kelihatan berseri dan tiada tanda seperti hitam, lebam atau bergaris-garis halus. Sebaliknya disekeliling matanya kelihatan rata dan apabila dia ketawa bahagian bawah matanya tidak menampakkan kedutan.”
            Zawin ketawa anak dihadapan cermin sambil memerhatikan perubahan bawah matanya. Apabila berpuas hati tiada kedutan yang muncul, Zawin berdehem sekali sambil matanya melilau melihat keadaan sekeliling rumah. Mujur tiada sesiapa yang perasan tingkah lakunya dihadapan cermin. “Dah macam orang gila aku ni...” Zawin menggelengkan kepalanya. “Semua Zharif punya pasal!” ngomelnya lagi.
            Nada dering Detective Conan kedengaran nyaring. Zawin memincingkan pandangan pada telefon pintar diatas meja belajar. Hatinya menggerutu geram. Entah kenapa lelaki itu selalu muncul pada kala mindanya terlintas wajah lelaki itu. Tangannya mencapai telefon pintar itu dan menjawab panggilan Zharif. 
            “Miss me?”
             Mata Zawin membuntang luas. “Dah buang tebiat ke?”
            Zharif ketawa besar dihujung talian. “Kan? Zawin rindu Zharif kan?”
            Zawin malas melayan karenah lelaki itu. Kelak dia juga yang sakit hati. “Oh betul kot. Tapi macam mana Zharif tahu ya?” Zawin bersuara sinis. Dia melangkah ke arah katil dan berbaring disitu.
            “11:11. Cuba tengok waktu sekarang,” saran Zharif.
            Zawin menatap jam digital diatas meja belajar. “Ya. 11:11. Kenapa?”
            “Kata orang...kalau kita terpandang jam pada waktu 11:11, maknanya ada orang rindu pada kita. Zharif terpandang waktu itu tadi. Zawin rindukan Zharif Kan?Kan?”
            Zawin tidak dapat menahan tawanya lebih-lebih nada suara lelaki itu kedengaran lucu pada halwa telinganya. “Mana Zharif dapat teori tu?”
            “Tak perlu tahu. Tak nak mengaku rindukan Zharif la tu,” usik Zharif lagi.
            Whatever...” putus Zawin apabila lelaki itu masih tidak mengalah.
            Zharif ketawa lagi. “Zawin...”
            “Ya...”
            “Maaf.”
            “Kenapa?”
            “Pukul 11 dah. Hari lahir Zawin dah nak habis. Zharif tak dapat luangkan masa dengan Zawin sangat hari ini.”
            Zawin menggigit bibir bawahnya. Entah kenapa kata-kata itu menyentuh nubarinya. “Tak apa. Zharif kan sibuk. Lagi pula bulan puasa. Asalkan doa Zharif panjatkan untuk Zawin, itu sudah cukup.”
            “Sejak dulu...doa Zharif tak pernah berubah untuk Zawin...”
            Zawin menelan liurnya. “Really? Zharif doa apa?”
            “Mana boleh beritahu. Doa kan rahsia...”
            Tangan Zawin bermain-main dengan rambutnya sendiri. “Ala...cakaplah. Demi harijadi Zawin. Please...”
            “Ok. Janji Zawin jangan ketawa...”
            “Ya...cepatlah.”
            “Ya Allah, jagalah Zawin Az-Zahra dikala penjagaanku tidak sampai kepadanya, sayangilah dia dikala rasa sayangku tidak mampu merangkulnya dalam dakapan yang nyata. Perhatikan dia dikala perhatianku tidak terangkum dalam kata yang sahaja kerana Engkau punya segala yang ku tak punya, kerana aku ingin dia selalu menjadi pendampingku, di dunia dan harapnya bertemu di syurga. Amin...”
            Zawin terkedu. Dia terus terbangun daripada kedudukan berbaring. “Err...”
            “Zawin...” panggil Zharif.
            “Err...Ya.” Zawin berdehem beberapa kali. Entah kenapa hatinya berdegup kuat tidak semena-mena.
            “Dah masuk bulan Ramadhan kan? Lama dah kita kenal. Lama dah Zharif lamar Zawin. Di hari baik, bulan baik ini...Zawin masih tak nak terima Zharif?”
            Zawin menggenggam bantal peluknya dengan kuat. Dia menelan liur berkali-kali. Kata-kata dalam nada rayuan itu benar-benar menggoncang seketul hatinya. Zawin memejam matanya, menarik nafas dalam-dalam dan menghembus nafas perlahan-lahan. “Zharif...”
            “Ya.”
            “Zharif ada tanya semalam, apa yang Zawin selalu buat semasa hari lahir Zawin kan? Erm...Zawin akan main buaian. Kalau Zharif tak keberatan, temankan Zawin main buaian.”
            “Buaian? Nak main buai di mana?”
            “Ada taman permainan dibawah pangsapuri. Disebelah kedai runcit.”
            “Ok. Zharif sedang memandu, dah nak sampai ni. Zawin tunggu disana dulu.”
            Zawin menghela nafas usai mematikan panggilan. Tapak tangan kanannya menyentuh dada. Cuba memahami ritma degupan jantungnya ketika ini. Nada mesej berbunyi menandakan satu mesej masuk. Tangan Zawin cekatan membuka peti mesej. Dia mengerutkan keningnya melihat mesej itu dihantar satu nombor asing yang tidak dikenalinya.
             Its a nice feeling when you know
             that someone likes you,
             someone thinks about you,
            someone needs you,
            but it feels much better when
             you know that someone
             never ever forgets your birthday.
            "HAPPY BIRTHDAY ZAWIN AZ-ZAHRA"  
            Zawin merenung nombor asing itu. Banyak nombor lapan dalam rangkaian nombor itu. Siapa pemilik nombor ini? Hatinya tertanya-tanya. Bagaimana dia tahu hari ini harijadinya? Ah! Biarlah. Zawin malas berfikir lagi. Dia terus mencapai jaket kulit kuning pastel, menyarung pada badan dan merenung penampilannya dihadapan cermin almari. Jaket kulit yang terdapat seni kaitan itu telah lama tidak dipakainya sejak sembilan tahun lalu. Semasa mengemaskan barang-barangnya, jaket itu dijumpai dalam satu bungkusan plastik. Mujur keadaan jaket kuning pastel itu masih baik dan dia terus mencucinya. Tudung biru lembut disarungkan pada kepalanya. Sejenak Zawin merenung wajahnya. “Apakah masanya telah tiba?” bisiknya perlahan.
            Zharif tersenyum lebar. Dia memejamkan mata sambil menikmati angin malam yang membelai tubuhnya. Tubuhnya terbuai-buai diatas buaian yang berhayun itu. Dia sendiri telah lupa bila kali terakhir dia bermain buaian. Kenangan bermain buaian bersama kedua orang tuanya tiba-tiba menyentak benaknya. Serta merta matanya terbuka. Hatinya dipagut sayu. Jiwanya merintih hiba. Entah mengapa tiba-tiba dia diselubungi rasa sedih. Seakan kehilangan kedua orang tuanya baru sahaja berlaku. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba membuang rasa perit itu jauh-jauh.
            “Assalamualaikum. Lama dah sampai?” Zawin menahan tawa melihat Zharif bermain buai dalam mata terpejam.   
            Zharif tersentak lantas matanya terus terbuka. Kakinya terus mendarat atas tanah sekaligus buaian berhenti berhayun. “Waalaikumsalam...” Sejurus melihat penampilan Zawin, Zharif terpana. Dia menahan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang.Rasa yang hadir sama dengan perasaan aneh yang menerpa nubarinya sembilan tahun lalu. Zawin dan jaket kulit itu! Takdir memang selalu mencengangkan manusia. Seakan baru semalam dia berjumpa gadis itu di bandar Tokyo, pada saat bunga sakura luruh menyembah bumi.
            “Kenapa pandang Zawin macam tu?” soal Zawin dalam hairan.
            Zharif tersedar lalu berdehem beberapa kali. Dia mengukir senyuman manis. “You look like a beautiful ray of sunshine. Your jacket is absolutely stunning! Even better with those blue tudung!” pujinya bersungguh.
            Zawin tersengih. “Thanks,” balasnya lalu mengambil buaian disebelah Zharif.  Zawin menyentuh hujung jaket kuning pastel itu. “I love this color especially mixed with the knit but it’s not often that designers use it.”
            KLIK!
            Zawin membundarkan matanya melihat Zharif mengenyetkan mata kiri sambil memegang telefon pintarnya. Sekali lagi cahaya flash menyerbu wajahnya.
            “The color of this leather jacket is incredible. Pastel yellow is such a warm, happy color.Suddenly it makes me happy!” ujar Zharif bersungguh.
            Zawin tersenyum lebar melihat wajah gembira lelaki itu. Jika itu yang membuat Zharif gembira, dia relakan sahaja. Sudahnya dia mengikut sahaja rentak Zharif dan membuat pelbagai gaya dan mimik wajah.
            You know that, pastel yellow is my life, and your jacket is my love. Zharif bersuara sambil meneliti gambar-gambar yang diambilnya pada skrin telefon pintar.
            Zawin ketawa halus. “Ya la tu.” Kakinya menolak tanah dan tubuhnya terbuai bersama buaian yang berhayun. Bibirnya mengukir senyum tidak putus-putus, menikmati angin malam yang menderu lembut.
            Zharif turut tersenyum melihat senyuman pada wajah gadis itu. Berada disisi gadis itu sentiasa membuatkan jiwanya tenang. Hilang rasa sedih dan gelisahnya. Telefon pintar dimasukkan kedalam poket kot hitamnya. Tangannya tersentuh pada sesuatu dalam poket itu. “Arr...lupa pula....” bisiknya lalu mengeluarkan kotak kecil yang diberi Fuad itu daripada poketnya lalu menghulurkan kotak itu pada Zawin. “Hadiah Fuad untuk Zawin,” beritahunya.
            Zawin terus menghentikan hayunan buaian dan menyambut hadiah itu. “Tak sangka...Fuad tahu harijadi Zawin...” Zawin merenung kotak hitam itu. Hatinya terusik. Lelaki itu masih asing pada dirinya namun sering melayannya bagaikan keluarga sendiri.
            Zharif tersenyum lebar. “Fuad pesan, buka hadiah dia depan Zharif. Tapi terpulang pada Zawin,” beritahunya lagi.
            Zawin merenung kotak hitam ditangan. Dia malas mahu persoalkan pesanan lelaki bernama Ahmad Fuad itu lantas membuka penutup kotak hitam itu. Mata Zawin membundar luas melihat isi dalam kotak itu. Seutas rantai dan loket kunci yang berbentuk hati ditengah itu memukau pandangannya. Zawin berpaling memandang Zharif yang kelihatan tenang.
            “Kunci bentuk hati?” getus Zharif.
            Zawin kembali meneliti hadiah itu dan dia menyedari ada sekeping kad yang dilekatkan pada bawah penutup kotak itu. 
            Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan tetapi seringkali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita. Jadi, loket kunci ini adalah hadiah terbaik untuk Zawin. Loket kunci ini boleh jadi kunci kepada hati Zawin sendiri, boleh jadi juga kunci pada pintu kebahagian yang sedang menanti dan boleh jadi juga kunci hati seseorang yang telah lama menyayangi Zawin. Selamat ulangtahun ke dua puluh lima Zawin Az-Zahra. Semoga Zawin Az-Zahra dirahmati ilahi dan dipanjangkan umur dalam kebajikan.    
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Wajah Zharif disisi ditatap lama.
            “Kenapa?” soal Zharif. Apabila gadis itu tidak memberikan sebarang reaksi, bibirnya menguntum senyum. “Zharif hensem sangat kan? Zawin baru perasan la tu,” usiknya.
            Zawin tergelak kecil. Wajah lelaki itu ditatap lagi. “Maaf buat Zharif lama menunggu...” ucapnya lambat-lambat.
             Zharif memincingkan pandangan pada wajah gadis itu. “Maksudnya?”
            “Kita tengok sejauh mana hubungan kita boleh pergi. Ok?” Zawin mengukir senyum manis.
            Zharif terpana. “Maksudnya...Zawin terima Zharif?” soalnya teruja tidak percaya.
            Zawin mengangguk.“Ikut janji Zawin pada Zharif hanya satu hari kan? Erm...memandangkan Zawin tak penuhi janji dahulu, jadi...tiada limit tempoh hubungan kita. Kita cuba dulu untuk tempoh tiga bulan pertama. Kalau Zawin rasa ok, kita teruskan. Ok?”
             Zharif menadah kedua tapak tangannya lalu mendongak, menatap langit malam yang dihiasi bintang-bintang. “Syukur alhamdulillah,” ucapnya penuh syahdu.
            Zawin turut melarikan pandangan pada langit malam yang cerah. Kakinya menolak tanah, dan tubuhnya terbuai perlahan. Dia menghela nafas dalam-dalam. Hatinya menjadi sangat lapang dan tenang.
            Zharif benar-benar gembira dengan penerimaan gadis itu. Dia turut melajukan hayunan buaian. “Wohooooo!!!” jerit Zharif dengan gembira.
            Zawin ketawa halus melihat telatah Zharif. Matanya merenung loket kunci berbentuk hati pemberian Fuad. Ya. Sudah tiba masanya aku berhenti menatap pintu yang tertutup. Terima kasih Ahmad Fuad. Bisik hatinya.
            “Zawin...” panggil Zharif. Dia terus menghentikan hayunan buaian.
            “Ya...” sahut Zawin.
            “Ada baki sepuluh minit sebelum hari lahir Zawin tamat.” Zharif menatap jam ditangan.
            “Ya...sudah hampir tamat,” sahut Zawin. Buaiannya juga turut berhenti berhayun.
            “Zharif...nak nyanyi sebuah lagu khas untuk Zawin.”
            “Lagu? Lagu apa?”
            Zharif menggosok bawah dagunya. “Zharif tak tahu lagu-lagu boy band yang Zawin suka dan Zharif hanya tahu lagu-lagu Bon Jovi...tapi Zawin tak suka pula. Lagu ini Zharif sering lagukan bila ingatkan Zawin. Mungkin Zawin pernah dengar. Erm...jadi Zharif rasa, lagu ini paling tepat untuk Zharif nyanyikan. Dengar ya...” Zharif berdehem beberapa kali.
            Zawin menepuk kedua tangannya. “Wah! Pasti menarik!” ujarnya teruja.
           
            Hadirnya tanpa kusedari
            Menggamit kasih cinta bersemi
            Hadir cinta insan padaku ini
            Anugerah kurniaan Ilahi
           
            Lembut tutur bicaranya
            Menarik hatiku untuk mendekatinya
            Kesopanannya memikat di hati
            Mendamaikan jiwaku yang resah ini
           
            Zawin mengetap bibirnya. Matanya telah mula berkaca. Lagu nasyid itu selalu didengarnya. Tidak pernah terlintas dihatinya seseorang akan menyanyikan lagu penuh makna itu kepadanya.
           
            Ya Allah
            Jika Zawin benar untukku
            Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
            Jika Zawin bukan milikku
            Damaikanlah hatiku
            Dengan ketentuan-Mu
           
            Zawin menelan liurnya, menahan sebak. Air mata telah luruh dipipi. Cepat-cepat disekanya. Tanpa sedar, dia turut melagukan rangkap lirik seterusnya.
           
            Dialah permata yang dicari
            Selama ini baru kutemui
            Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
            Apakah dia kan kumiliki
           
            Tidak sekali dinodai nafsu
            Akan kubatasi dengan syariat-Mu
            Jika Zawin bukan untukku
            Redha hatiku dengan ketentuan-Mu
           
            Zharif berhenti menyanyi. Dia berdehem beberapa kali, berusaha menahan sebak. Entah kenapa lagu nasyid yang biasa dilagukan itu tiba-tiba mengundang sebak dalam dadanya.
            Air mata Zawin merembes keluar tanpa dapat ditahan lagi. Dia hanya membiarkan air mata itu mengalir laju. Wajah Zharif yang sayu menambahkan lagi rasa sebak yang mengapung dalam dada.
            Zharif berdehem lagi, cuba mengawal emosi daripada menguasainya lalu menyambung rangkap terakhir.
           
            Ya Allah
            Engkaulah tempat kubergantung harapanku
            Ku harap Zawin Az-Zahra sentiasa di bawah rahmat-Mu
           
            Zawin mengesat air mata dipipi. Dia menepuk tangan, menghargai usaha lelaki itu. “Terima kasih Zharif,” ucapnya dalam suara serak. “Ini hari jadi paling bermakna sekali sepanjang dua puluh lima tahun Zawin bernafas dimuka bumi. Terima kasih sangat...” lanjutnya lagi.
            Zharif tersenyum puas. “Sama-sama,” balasnya. Mata gadis itu ditatap bersungguh. “Kata orang keajaiban itu hanya berlaku dalam dunia sihir tapi Zharif percaya yang keajaiban itu juga berlaku didunia nyata. Suatu masa nanti, sihir cinta Zharif Zahir pasti akan menakluk hati Zawin Az-Zahra dengan sepenuhnya. Keajaiban pasti akan berlaku.” 
             Oh really? Macam mana tu?” soal Zawin.
            Zharif tersenyum nakal. “Suatu masa nanti, mata Zawin akan bersinar memandang Zharif dan bila itu berlaku, itu tanda sihir cinta Zharif Zahir telah berkesan pada Zawin Az-Zahra,” jelasnya.
            Zawin tersenyum lebar. “We’ll see...”
            Baby...” panggil Zharif.
            Zawin terkedu. “Baby?”
            Zharif mengangguk dalam senyum nakal. “You are my lovely baby. Can I call you baby?”
            Zawin ketawa halus. “Agak childish disitu...” komennya.
            “Erm...tak apa la kalau tak suka,” getus Zharif sedikit kecewa.
            “Tapi unik juga,” tambah Zawin.
            Zharif menahan senyum. “Betul ni?”
            Zawin mengangguk. “Lain daripada lain tapi jangan panggil di depan orang lain. Itu sahaja,” pesannya.
            Zharif tersenyum lebar. “Zawin pun kalau boleh panggillah Zharif dengan panggilan manja...” sarannya.
            Zawin terus menggoyangkan jari telunjuknya dihadapan wajah Zharif. “Jangan sekali-kali suruh Zawin panggil abang. No! No! No!”
            Zharif tergelak besar. “Zharif pun tak suka. Kalau Zawin panggil Abang Zharif, Zharif akan panggil adik Zawin.”
            Zawin ketawa halus. “Tahu tak apa...”
            Baby...” panggil Zharif lagi.
            Zawin terus menggosok lengan kanannya. Meremang bulu romanya apabila lelaki itu memanggilnya dengan panggilan itu dalam nada romantis begitu. “Ya...” sahutnya lambat-lambat.   
            Zharif merenung penuh kasih seraut wajah ayu itu. “Setiap hari, hantar laporan pada Zharif. Boleh?”
            “Laporan? Macam mana tu?”
            “Zawin buat apa, Zawin pergi mana, Zawin makan apa, semua lah. Zharif nak tahu keadaan Zawin sebab mungkin ada hari yang Zharif tak sempat nak tanya khabar Zawin, ada hari yang mungkin Zharif ke luar negeri. Kalau Zawin rasa tak selesa, Zawin bagi laporan dalam satu rumusan sahaja. Boleh?”
            Zawin melagakan gigi atas dan gigi bawahnya. Laut fikirnya menimbang-nimbang permintaan lelaki itu. Dia sudah biasa hidup solo, terasa permintaan lelaki itu menyekat kebebasannya. “Zawin cuba...” putus Zawin akhirnya.           
            Zharif tersenyum senang. “Zawin...dalam hubungan ini, pasti ada ujian yang akan datang. Zharif nak Zawin percayakan Zharif biar apa pun berlaku. Zharif percayakan Zawin sepenuh hati ini...”
            Zawin merenung lembut wajah lelaki itu. “Zharif...macam mana Zharif kawal perasaan Zharif selama ini?” soalnya ingin tahu. Lelaki itu sentiasa kelihatan tenang biarpun dihadapan Daniel Iskandar. 
            Zharif menekap tapak tangannya kedada. “Sakit...jiwa ini sangat sakit. Betul kata orang...pedih sungguh pendam perasaan ni. Banyak kali Zharif cuba elak perasaan Zharif pada Zawin. Bila Zharif hilang lama...Zharif harap dapat lupakan Zawin tapi bila Zawin tak ada, Zharif rasa kosong sangat. Sebab itu Zawin ada disisi Zharif pun dah cukup. Apa yang Zharif cakap ni, ikhlas dari hati ini,” luahnya bersungguh.
            Zawin memainkan hujung tudungnya. Luahan rasa itu membuatkan dia benar-benar terharu. Sukar dibayangkan jika dia berada ditempat Zharif. Pasti hatinya akan luka parah melihat orang yang disayangi bersama kekasih hati. “Jiwa Zharif masih sakit?” soalnya lagi.
            Zharif mengangguk lagi. “Masih sakit...tapi dah kurang sikit. Hanya cinta Zawin Az-Zahra yang mampu ubati rasa sakit yang berbaki ini,” balasnya tenang.
            Mata Zawin kembali berkaca. Setitis air matanya gugur. “Tak suka macam ni!” rungutnya.
            “Kenapa?”
            “Zharif banyak buat Zawin menangis hari ni!”
            Zharif tergelak kecil. “Selepas ini, Zharif akan pastikan Zawin akan menjadi gadis paling bahagia dalam dunia. Sihir cinta Zharif Zahir pasti akan menawan hati Zawin Az-Zahra. Percayalah!”
            “Cuba tunjuk sekarang,” cabar Zawin.
            Zharif merenung lembut wajah gadis itu. Pen Parker dari dalam poket jaket dikeluarkan lalu melambaikan dan menghalakan hujung pen itu ke arah wajah Zawin. “Oblivate!” laungnya lantang.
            Zawin membundarkan matanya lantas ketawa besar. “Oblivate? Spell for losing memory? Zharif pun peminat Harry Potter?”soalnya tidak percaya.
            “Siapa sahaja tak terkena demam Harry Potter?” balas Zharif.
            Zawin merenung wajah lelaki itu. “Zharif nak Zawin lupa ingatan ya?”
            Zharif mengangguk. “Semoga ingatan Zawin tentang Daniel Iskandar hilang semuanya. Amin.” Zharif meraup kedua tapak tangannya pada wajahnya.
            Zawin ketawa halus. “Amin,” sahutnya. Dia turut meraup tangannya pada wajah. Seketika dia teringat sesuatu. “Eh, bukan ke spell untuk hilangkan memori adalah Confundus? Spell tu Hermoine guna pada mak ayah dia dalam The Deathly Hollow.”
            Zharif menggeleng. “Berbeza. Confundus hanya membuatkan seseorang memikirkan diri mereka seorang insan yang lain. Hermoine ada kata pada Ron yang dia tidak pernah menggunakan spell Oblivate kepada mak ayah dia melainkan pada dua orang death eater.  Oblivate dan Confundus saling berkaitan tetapi berbeza fungsi. Oblivate hilangkan terus ingatan seseorang,” jelasnya.
            Kepala Zawin terangguk-angguk. Dia tidak begitu teliti tentang perkara itu. Mungkin sahaja dia baru sahaja menyukai novel tujuh siri itu berbanding Zharif yang telah lama menjadi peminat Harry Potter. “Kalau Oblivate, ingatan Zawin tentang Teruterubozu dan Mr.Hata pun akan terus terbuang juga kan?”
            Zharif terdiam. Matanya menatap lama wajah gadis itu. “Kalau begitu...” Zharif menghalakan hujung pen Parkernya ke arah Zawin. “Confundus!”
            Zawin ketawa lagi. “Zharif nak Zawin fikir diri Zawin sebagai apa?”
            “Hiasan dunia terindah yang mencintai Zharif Zahir Zulkarnain sehingga ke syurga,” balas Zharif bersungguh.
             Zawin terkedu disitu.
********
            “Zura gaduh dengan daddy?” soal Yasmin sambil meneguk beer. Kepalanya tergoyang-goyang melayan muzik elektra dalam kelab malam terkenal itu.
              Tengku Azura mendengus geram. “Daddy memang tak sayang Zura! Sanggup daddy tampar Zura,” adunya lagi sambil mengusap pipi kanannya.
            Yasmin ketawa besar. “Pelik. Bukan ke selama ini daddy Zura tak kisah Zura nak buat apa pun?” soalnya.
            “Entah. Tak tahu apa yang merasuk orang tua tu!” marah Tengku Azura berapi-api.
            “Dah la. Forget about it. Let’s dance!” Yasmin terus mencapai lengan gadis itu, menuntunnya ke ruang tengah, lalu menari mengikut rentaknya sendiri.
            Tengku Azura menari bersungguh. Dia tidak kisah jika tariannya kelihatan sumbang. Dia hanya ingin melepaskan tekanan perasaan yang dihadapinya.
            “Fuh! Penat...” Yasmin menyeka peluh yang bercucuran keluar daripada dahi dan tengkuknya.
            Tengku Azura turut mengambil tempat dihadapan Yasmin dalam nafas termengah-mengah. “Kak Min puasa ke? Nampak macam letih saja?” tegurnya.
            Yasmin menggeleng bersulam tawa besarnya. “Nak puasa buat apa? Tak puasa pun hidup tetap bahagia,” balasnya.
            “Kan?” sokong Tengku Azura sambil melagakan gelas berisi beer dengan gelas Yasmin. Baru sahaja bibir gelas itu memasuki mulutnya, dia membulatkan mata apabila sekejapan gelas yang dipegangnya itu dirampas satu tangan. Matanya mencerlung garang menatap wajah gerangan yang telah mengganggunya itu. “Abang Zharif...” Mendadak Tengku Azura berdiri dalam wajah kurang percaya.
            “Buat apa disini?” soal Zharif tenang.
            “Err...err...saja...minum...” sahut Tengku Azura tersekat-sekat.
            Zharif menatap wajah Yasmin yang turut kelihatan terkejut sebelum memusatkan pandangannya pada wajah gadis yang mengenakan blouse merah jambu itu. “Mari balik...” ajaknya lembut.
            “Err...” Tengku Azura serba salah. Matanya menatap wajah Yasmin dan Zharif berselang-seli.
            “Duduklah dulu Zharif. Sembang-sembang. Lama dah tak jumpa,” saran Yasmin.
            Tengku Azura kembali duduk apabila Yasmin menarik tangannya.
            Zharif menghela nafas lalu mengambil tempat duduk disebelah Tengku Azura. “How’s your life been going lately?” soalnya tidak acuh.
            “My life? I think i’m doing fine,” balas Yasmin.
            Good.”
            “What are you doing here?” soal Yasmin lagi.
            It’s none of your bussiness.” Zharif mengalihkan pandangannya pada pengunjung-pengunjung kelab malam. Rata-rata wajah yang dikesaninya adalah bangsa melayu.
            Yasmin merengus geram. Gelas beer dicapai dan diteguk rakus.
            “Zura, selepas ni, abang tak nak Zura masuk tempat ini lagi.” Zharif menatap tepat pada mata gadis itu.
            “Kenapa?” soal Tengku Azura. Dia masih lagi diserang rasa terkejut dengan sikap mengambil berat lelaki itu. Hatinya benar-benar gembira.
            “Tempat ni tak baik, Zura...”
            “Jadi you nak kata I ni pun tak baik la?” sampuk Yasmin. Wajahnya mulai kemerahan, matanya berair. Dia membakar sebatang rokok dan menghisapnya. Berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya.
            Zharif merenung penampilan wanita berambut perang yang mengenakan baju putih jarang, pakaian dalam terpampang berwarna merah dipadankan dengan jean ketat. Yasmin memang seksi berani mati! Getus hatinya. “Family you tak marah ke pakai macam ni? Adik-beradik you tak ambil peduli tentang you ke?” soalnya selamba.
            No!” bentak Yasmin pantas. My parents love me so much. I anak bongsu dari tiga beradik. Abang dan kakak tak pernah marah. My parents, cukup faham tentang I sejak zaman remaja lagi. I diberikan hak ke atas diri I sepenuhnya. I perlukan hiburan sahaja untuk lepaskan tekanan,” hujahnya bersungguh.
            Zharif membundarkan matanya. “Takkan keluarga you tak letakkan batas pergaulan? Keluarga macam mana pun kena bertanggujawab!” balasnya tegas.
            Yasmin ketawa berdekah-dekah. “Zaman dah berubah! Orang sekarang bukan seperti dulu. Rata-ratanya sudah berfikiran terbuka. Bagi I, perempuan zaman sekarang yang ketagih arak, seks dan merokok seperti I ni adalah perkara biasa,” balas Yasmin serius.
            Zharif terdiam mendengar hujah wanita itu. “Keluarga you pun begitu ke?”
            Yes! Mama still clubbing. Sejak remaja, memang I ikut mama join clubbing. Kakak pun sama. Daddy tak pernah marah pun. Semua akan ok bila ibu bapa bersikap terbuka,” beritahu Yasmin lagi.
            “I tak setuju! Kita masyarakat yang ada budaya, ada agama!” tegas Zharif.
            Yasmin menjegilkan matanya. “Sebab itu you kena berfikiran terbuka! Janganlah nak campuradukkan hal agama dan sosial! Tengok orang barat, senang saja mereka hidup. Mereka tak banyak pantang larang tapi lebih maju daripada kita. Orang barat moden dan maju sebab tidak kaitkan agama dalam kehidupan. Kita janganlah jadi kolot! Itu ini tak boleh! Macam mana kita nak maju!” tengkingnya.
            Zharif merenung wajah Yasmin. Tengku Azura disebelahnya hanya membungkam, tidak mahu masuk campur barangkali. “Mahu tidak mahu you kena akui hakikat yang minum arak dan berzina adalah berdosa besar dan ditegah dalam islam. You hidup bebas, tak kenal halal haram sedangkan you melayu dan islam.You tak rasa bersalah ke dengan cara hidup you sekarang, Yasmin?” soalnya lagi.  
            Muka Yasmin berubah sebaik mendengar soalan itu. “Tak perlu you nak beritahu apa yang boleh dan apa yang tidak. My parents also don’t mind. I tak pernah buang agama I. Jangan nak masuk campur urusan orang lain. Ini zaman IT. Dunia tanpa sempadan. Tak perlu nak fikir apa orang lain nak kata!” hujahnya bersungguh.
            Zharif menghela nafas dalam-dalam seraya bangun. Tidak ada gunanya berbicara lanjut dengan wanita seperti ini. Desis hatinya. “Ok la Yasmin. I nak beransur dulu. If you dont mind, I nak bawa Zura balik.”
            Yasmin turut berdiri. Dia merenung wajah Tengku Azura dan Zharif bersilih ganti. “Kenapa you tiba-tiba nak kawal Zura? You bukan sesiapa pun!?” soalnya tidak berpuas hati.
            “Sebab I ambil tahu tentang dia. Sebab I abang dia. Puas hati?” Zharif tersengih sinis. “Zura...ikut abang balik,” arahnya.
            Tengku Azura akur. “Zura balik dulu ya Kak Min,” ujarnya lantas mengekori langkah lelaki itu.
            Yasmin terduduk semula. Dia betul-betul bengang dengan Zharif. Hidungnya kembang kempis menahan marah. “Damn it!”
********
             “Ok. Dah sampai.” Zharif bersuara usai keretanya berhenti dihadapan rumah banglo dua tingkat itu.
            Tengku Azura masih tersenyum lebar, merenung wajah kacak itu dengan penuh makna.
            Zharif melambaikan tangannya dihadapan wajah gadis itu. “Berangan ke?” tegurnya.
            Tengku Azura tersentak lalu ketawa halus. “Kenapa Abang Zharif buat macam ni?”
            Zharif tersenyum nipis. “Sebab Zura, adik abang. Abang tak suka Zura pergi tempat macam tu. Boleh?” Wajah gadis itu ditatap lembut.
            Tengku Azura tersenyum manis. “Ok.”
            “Bagus. Dah lewat ni. Sekarang Zura masuk. Esok puasa tau,” pesan Zharif.
            Tengku Azura merenung lama wajah Zharif. “Boleh...tapi dengan syarat.”
            “Apa?”
            “Bagi nombor abang pada Zura.”
            Zharif akur lalu memberikan nombor telefonnya kepada gadis itu.
            Tengku Azura menjerit kesukaan. “Ada satu lagi permintaan Zura. Nak tangkap gambar kita sama-sama. Boleh?”
            Zharif mengangguk. Dia hanya akur memandangkan dia telah berjanji dengan Tengku Amir untuk menjaga gadis ini. Dia agak tersentak apabila Tengku Azura merapatkan tubuh rapat pada tubuhnya namun dia tidak sempat berbuat apa-apa apabila wajahnya disimbah lampu flash kamera telefon pintar gadis itu.
             “Wah! Hensemnya,” puji Tengku      Tengku Azura, menatap skrin telefon pintarnya dalam senyum meleret. “Zura balik dulu ya. Selamat malam.” Tengku Azura keluar daripada perut kereta Honda City putih itu sambil terloncat-loncat. Dia benar-benar gembira.
            Zharif menghela nafas lega. Gear tangan diturunkan perlahan-lahan lantas kereta itu meluncur  keluar dari perkarangan rumah mewah itu. Sempat dia menjenguk cermin sisi    lalu tersengih sendiri. Tengku Azura dilihatnya melambai-lambaikan tangan sambil terlompat-lompat kegembiraan. “Girl...girl...” getusnya dalam gelengan kepala. Matanya menangkap sinaran bulan purnama didada angkasaraya. Hatinya disuntik rasa teruja tiba-tiba. Alat pendakap telinga dipasang, telefon pintar dicapai dan mendail nama tertera My lovely baby.
            Miss me?” soal Zawin dihujung talian.
            “Always missing you baby,” sahut Zharif.
            “11:11. Ada orang cakap kalau kita terpandang waktu 11:11, maknanya ada orang rindu. Tak gitu?”
            Zharif terus menatap jam digital dibahagian dashboard. Tepat waktu 11:11 malam. Dia ketawa besar. Sebuah kebetulan yang membuatkan hatinya benar-benar bahagia. “Betul la tu. Baby...cuba lihat bulan dilangit,” sarannya lalu memakir kereta dibahu jalan. Cermin tingkap diturunkan. Matanya merenung bulan yang bersinar penuh. “Subhanallah. Indah sungguh ciptaan-Mu ini Ya Allah,” bisiknya perlahan.
            Zawin terus bergegas keluar dari bilik menuju ke balkoni. Kepalanya mendongak menatap langit. Matanya terpaku melihat sinaran bulan purnama didada langit malam.  “Maha suci Allah,” ucapnya dalam senyuman lebar. “Maksudnya sudah separuh bulan Ramadhan berlalu. Sekejap sahaja Ramadhan memasuki minggu kedua. Alhamdullillah.”
            Zharif mengangguk dalam sebak. “Pastinya orang-orang yang mencintai Ramadhan sudah mula merasakan akan kehilangan Ramadhan, akan ketidakcukupan waktu untuk melakukan amal...”
            “Dan sudah mula menangisi akan Ramadhan yang bakal pergi,” potong Zawin. Dia turut dilanda sebak.
            “Zawin...masih ingat Ramadhan 2008 dahulu?” Zharif tiba-tiba bersuara setelah masing-masing melayan perasaan.
            “Ya. Mana mungkin Zawin lupa. Teruterubozu berada di Perancis ketika itu.” Zawin tersenyum lebar apabila mengimbas kembali kenangan berpuasa di negara yang terkenal dengan Menara Eiffel itu. Takdir tuhan amat mencengangkan. Siapa sangka, Mr.Hata yang dikenalinya lewat laman maya itu kini menjadi kekasihnya.
            “Mr.Hata tak akan lupa kata-kata Teruterubozu pada ketika itu. Once in a blue moon. Teruterubozu menafsirkan frasa itu sebagai takdir. Untuk mencari cinta yang istimewa adalah sangat jarang berlaku seperti “Once in a blue moon,” tetapi apabila kita berjaya memperolehnya...”
            “Cinta itu akan sentiasa bersama kita,” sampuk Zawin dengan teruja. “Wah, Zharif masih ingat?”
            “Mana mungkin Zharif lupa. Hata dan Teruterubozu berkongsi blue moon yang sama. Baby...adakah Zawin dan Zharif turut berkongsi blue moon yang sama?” soal Zharif.
            Zawin mengumam. “Mungkin....”
            Baby...” panggil Zharif lagi.
            “Ya.” Zawin menggosok lengan kanannya. Bulu romanya sentiasa akan tegak berdiri apabila lelaki itu bernada romantis seperti itu.
            “Zharif yakin kita berkongsi blue moon yang sama. Kita berdua selama-lamanya terikat dengan takdir. Walaupun kita tidak bersama untuk seketika, namun cinta kita disatukan oleh hati.”
            Zawin terdiam sejenak. Lidahnya kelu seribu bahasa.
            “Zawin Az-Zahra...” panggil Zharif lagi.
            “Ya.”
            “Sihir cinta Zharif Zahir masih tidak menawan hati Zawin Az-Zahra?”
            “Erm...”
            “Pernah tak...dalam seminit, dalam sejam, dalam sehari, Zawin menyayangi Zharif?”
            “Erm...”
            I guess...no for the answer.” Zharif ketawa kecil. Itu reaksi yang gadis itu selalu beri bila soalan itu diajukan sepanjang dua minggu mereka bersama.
            “Zharif...” panggil Zawin pula.
            “Ya.”
            Anata ga inakute samishi.”
            Mata Zharif membundar luas. “Betul ni Zawin rindukan Zharif?”
            “Ya. Zharif pergi mana tadi lepas berbuka?” soal Zawin.
            “Ada hal. Zawin buat apa saja tadi?”
            “Buat kerja sikit. Cari maklumat untuk sambung tulis artikel tentang e-commerce. Ada kan Zawin beritahu dalam laporan hari ini,” balas Zawin.
            “Ya. Teruskan tulis laporan begitu. Zawin nak tidur dah ke?”
            “Erm...memang masa untuk tidur.”
            “Ok. Ada apa-apa yang Zawin nak pesan pada Zharif?”
            Zawin terdiam. “Ada...”
            “Apa dia?”
            “Sila buat sit-up sebelum tidur. Perut tu dah buncit,” ujar Zawin selamba.
            Zharif ketawa besar. “Atau ada orang yang rindu nak tengok perut six pack ini?” usiknya. 
            Zawin pula ketawa besar dengan kata-kata itu. “Ketam buncit! Bye!” Zawin terus meletakkan panggilan. Dia tersenyum panjang menatap bulan purnama didada langit sebelum masuk kedalam rumah.





6 awesome commentator:

  1. suka suka suka, , , tapi azura mcam gedik sangat benci

    ReplyDelete
  2. Kak maira..best2..tp nnti mesti ad mslh kn sbb azura dh amek pic ngn zharif huhu..sje teka..kekeke..k kak maira cm biase.luv u. :) keep it up

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wkt..
    crab moncit suda muncul.. lpas ni apa lg ya..hehehe.. sweet sgt itu crab meh... good job.. pasal bateri lappy tu.. ku jga mempercayai mitos itu.. hehe..

    ReplyDelete
  4. Aaaaahhhh. The long awaited entry. Akhirnya mereka mula bercinta. Zharif sangatlaaa sweet dengan Zawin. Saya sangat menantikan cerita ni akak maira :))

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top