BAB 1


            “Kenapa kau tiba-tiba pulang ke Malaysia?” soal Fuad sejurus memberhentikan Totoya Camry  di hadapan lampu isyarat. Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan mereka semenjak di lapangan terbang KLIA.
            Zharif tidak menjawab soalan itu sebaliknya menurunkan cermin kereta dan menghulurkan tangan ke luar tingkap kereta. Titisan-titisan hujan menimpa tapak tangannya. Hujan pada waktu malam di tanah air sendiri terasa amat indah di pandangan. Zharif tersenyum puas. Sejurus tangannya dimasukkan semula ke dalam perut kereta, nafasnya terasa tersekat sebaik matanya menangkap seraut wajah seorang gadis di bawah payung berwarna kuning. Gadis melayu bertudung putih itu sedang berbual dengan rakannya dan sesekali senyuman terukir dibibir merah itu. “Gadis itu...” getusnya dalam suara kaget. Zharif tidak tunggu lagi lalu terburu-buru keluar dari perut kereta.
            Fuad membulatkan matanya. Dia benar-benar tidak percaya dengan tindakan rakannya itu. Melihat lampu isyarat sudah bertukar hijau, dia tiada pilihan selain menggerakkan semula keretanya.
            Zharif berusaha mengejar gadis itu, namun usahanya gagal apabila gadis itu telah melintas jalan sebelum lampu isyarat bertukar hijau. Zharif meraup wajahnya yang semakin dibasahi rintik hujan. Matanya masih mengawasi langkah gadis itu dari seberang jalan. Apabila kenderaan berhenti semula, setelah lampu isyarat bertukar merah, Zharif terburu-buru melintas jalan. Matanya menjalar liar, meneliti di setiap sudut dan arah demi mencari kelibat gadis berpayung kuning itu. Hatinya diserbu kecewa apabila gagal mengesani jejak gadis melayu itu. Dia akur apabila hujan semakin melebat. Kakinya melangkah lemah ke arah stesen bas yang kosong lalu melabuhkan punggung di situ.
            Fuad menggelengkan kepalanya melihat keadaan Zharif yang basah kuyup. Rakannya itu kelihatan termenung panjang. Hon kereta dibunyikan apabila keretanya dilabuhkan di bahu jalan berhampiran stesen bas itu.
            Zharif memasuki perut kereta dalam riak wajah kecewa. “Maaf. Aku...aku kejar dia...” terangnya dalam suara perlahan.
            “Siapa?” Fuad mengerutkan dahinya.
            “Gadis melayu yang aku pernah jumpa dulu. Eye smile princess.”     
*******
            Zawin menarik nafasnya berulang kali. Tangannya terketar-ketar melihat ungkai nama yang tertera dalam kad berwarna merah itu. Benar-benar ini satu kejutan yang tidak pernah terlintas difikirannya. Rupanya panggilan kekasihnya supaya ke restoren Perancis itu bukan untuk memberikan penghargaan kepadanya, tetapi memberikan kad perkahwinan! Suasana tegang dan panas terasa membahang dalam restauran itu.
            Mata Zawin mencerlung tajam memandang Wan Zaidi. “Kenapa Wan buat Zawin macam ni? Sejak bila semua ni berlaku?” soalnya serius. Matanya dikalihkan pula pada sahabatnya yang berwajah selamba di sebelah teman lelakinya itu. “Dan kau Yasmin...tak ada orang lain ke kau nak rampas?” nada suara Zawin yang lantang, menarik perhatian beberapa pelanggan berhampiran.
            Yasmin tersengih sinis. “Semuanya telah terjadi. Kenyataannya kami akan berkahwin bulan depan,” ujarnya sedikit angkuh.
            Wan Zaidi yang sedari tadi menundukkan wajahnya, merenung wajah sendu Zawin.  “Dah lama Wan nak kata kan perkara ni pada Zawin. Tapi Wan tak tahu nak bermula dimana. Zawin boleh salahkan Wan...Wan yang salah...” luahnya dalam suara perlahan.
            Yasmin mendengus geram. Matanya merenung tajam wajah gadis itu yang terus menerus memandang wajah bakal suaminya.  Pandangan itu bersulamkan rayuan. “Zawin...kau nak tahu apa sebabnya dia pilih aku berbanding kau?”
            “Min...jangan keruhkan keadaan,” tegur Wan Zaidi. Tangan kanan bakal isterinya itu dicapai apabila gadis itu menarik muka. “Tunggu Wan di kereta. Masih ada perkara yang perlu dibincangkan dengan Zawin,” pujuknya lembut.
            “Ok!” balas Yasmin sepatah lalu terus mengangkat punggungnya dari situ.
            “Apa kurangnya Zawin, apa lebihnya dia?” Zawin tak pernah menyesal dalam hidup...tapi buat pertama kali Zawin rasa sangat menyesal kenalkan Wan dengan Yasmin.” Zawin mengetap bibirnya. Matanya sudah berkaca-kaca.
            “Zawin...mungkin tiada jodoh antara kita...”
            “Tapi Wan janji akan pinang Zawin...Wan kata nak kahwin dengan Zawin.”
            “Betul...tapi Wan tak pernah kata Wan cintakan Zawin.”
            Zawin menahan nafasnya.  Masa seakan berhenti. Dirinya terasa melayang ke udara lalu hancur berkecai. “Zawin sangka selama ni...cinta seorang lelaki hanya dipamerkan dari perbuatan. Kerana itu...Zawin tidak pernah bertanya perasaan Wan pada Zawin. Oh...begitu rupanya...” Air mata yang ditahan gagal dibendung lagi. Lekas-lekas dia menyapu air mata yang gugur.
            “Zawin...Wan...err...”
            “Kerana dia ada kerjaya hebat, lebih lincah, lebih bergaya. Kan?”  tebak Zawin. Dia tahu kecantikan bukan menjadi faktor kekasihnya itu memilih rakan serumahnya itu.  
            Kali ini mata Wan Zaidi pula membuntang luas. Hatinya bagaikan disentap. Wajah melayu-Acheh gadis itu ditatap lama. “Err...Mungkin saja.” Memang semua itu benar.  Biarpun Zawin lebih manis, lebih cantik daripada Yasmin, tetapi personaliti dan kerjaya Yasmin sebagai akauntan lebih disenangi keluarganya berbanding Zawin.
            “Oh...begitu...” Zawin menganggukkan kepalanya beberapa kali. Air mata disekanya lagi. Tidak salah tindakannya selama ini. Benarlah kata rakannya yang lelaki itu mementingkan pendidikan juga harta seorang perempuan. “Sebenarnya...banyak yang Wan tak tahu mengenai Zawin, apatah lagi Yasmin biarpun dia housemate Zawin. Tetapi biarlah semuanya menjadi rahsia.  Zawin redha dengan segala yang berlaku. Cuma...Zawin ada satu soalan...”
            “Apa dia?”     
            Zawin merenung wajah hitam manis lelaki dihadapannya. Wan Zaidi adalah lelaki sederhana pada pandangannya,  namun apa yang membuatkan lelaki ini mencuri hatinya kerana sifat lucu dan bijaksana. Apabila lelaki itu berkata-kata, terserlah karisma dirinya. Itu juga menjadi faktor yang membuatkan ramai gadis mudah terpikat padanya. “Pernah tak Wan cintakan Zawin?” soalnya dalam sendu. Biarpun rasa aib yang menggunung dirasakan kini, namun dia ingin tahu rasa hati lelaki itu terhadapnya selama ini.
            Wan Zaidi terpempan dengan soalan itu. Lama dia membisu, menundukkan wajahnya, membelek nubari jiwa. Wajahnya diangkat, merenung wajah sayu itu. “Pernah,” balasnya sepatah. “Wan pernah cinta kan Zawin. Zawin gadis paling istimewa yang pernah hadir dalam hidup Wan. Sweet, wise, fun to be with, and always makes me laugh. Tapi...Wan tak tahu sejak bila rasa cinta itu hilang...Wan juga insan biasa Zawin...tak dapat lari daripada kesilapan,” lemah suaranya kedengaran.
            Zawin menghela nafasnya. Dia berusaha mengawal rasa sebak yang merajai ruang hati kini. Siapa menyangka perkenalan tiga bulan lalu antara Yasmin dan Wan Zaidi telah membuahkan bibit cinta antara mereka, langsung membuatkan dunianya berpusing 360 darjah! Perkenalan yang berpunca dari dirinya juga. “Adakah Wan masih teruna?” soal Zawin tiba-tiba.
            “Hah?” Wan Zaidi terkejut amat. “Err...kenapa tanya soalan tu?”
Melihat wajah tidak keruan itu, fahamlah Zawin lalu mengambil tas tangan di atas meja lalu berdiri.  “Wan bukan lagi seorang teruna, kan? Memang padan la korang berdua!” cemuh Zawin.
“Apa maksud Zawin?” Wan Zaidi juga berdiri mendepani. Dia benar-benar terkejut.
            Zawin tersengih sinis.  Bukan dia tidak kenal sikap Yasmin yang sering bertukar lelaki malah tidak segan menceritakan aksi-aksi sensual yang dilakukan di atas katil. Namun anehnya dia dapat bersahabat baik dengan gadis itu. Tetapi kini rasa sesal yang menggunung berputik dijiwa. “Semoga berbahagia...” ujarnya lirih. Air matanya keluar lagi entah untuk kali ke berapa. Pantas disapu dengan kura tangan.
            Wan Zaidi meramas rambutnya beberapa kali. Apabila gadis itu mula melangkah keluar, dia turut mengekorinya. “Zawin...” panggilnya tatkala menyedari gadis itu melangkah laju sebaik berada di luar restauran.
            “Terima kasih,” ucap Zawin sebaik berpaling. Berusaha menahan sebak di dada.
            “Untuk apa?” Wan Zaidi mengerutkan wajahnya.
“Terima kasih atas hadiah harijadi juga hadiah ulang tahun percintaan kita,” balasnya perlahan. Cuba mengawal sebak yang mencengkam dada.
            Wan Zaidi terkesima. “Ha...hari ni ke?” soalnya dalam gagap.
            Zawin menggenggam erat kesemua jari jemarinya, mengumpul kekuatan untuk terus bertahan di situ.  Dalam suara sedikit terketar, Zawin memandang wajah lelaki itu sekilas. “Wan tak pernah mengingati dua tarikh istimewa ini bukan? Rupanya 12 Ogos, tarikh yang tidak pernah membawa apa-apa erti dalam hidup Wan...Banyak yang Zawin terlepas pandang...tersalah sangka.” Air matanya luruh tanpa dapat dikawal lagi. Zawin sudah tidak betah menunggu di situ, dadanya bagai mahu pecah.
            Dalam pandangan yang kabur ditakungi air mata, dia menekan butang hijau di alat penggera, membuka pintu kereta, lalu terburu-buru masuk ke dalam perut kereta. Tangisannya meledak tanpa dapat dikawal. Dilepaskan segala rasa yang terbuku dijiwa bersungguh. Kedua tangan menekup mukanya dalam esakan berlagu pilu.
            “Err...awak...” tegur suara lelaki di sisi kanan.
            “Kenapa? Tak biasa ke tengok orang menangis? Jangan ganggu saya,” marah Zawin dalam sedu sedannya. Ngongoian itu kini bertukar menjadi ngunguan yang menghibakan. Bahunya terhenjut-henjut kencang. Dia sudah tidak kisah apa yang berlaku di sekelilingnya.
            “Err...tapi ni kereta saya...”
            Serta merta tangisan Zawin terhenti. Kedua tangan dikalihkan dari wajahnya langsung terus menatap gerangan di sisi. Seraut wajah kacak sedang menatapnya dalam hairan. Iras wajah itu bukan milik lelaki melayu...tetapi lelaki Thai! Matanya menyeluruhi isi kereta. Bagaimana dia boleh melakukan kesilapan memalukan ini? Kereta Honda City berwarna putih itu kelihatan sama dengan kereta Najla yang dipijamnya gara-gara kelisa kuningnya meragam.             “Maaf...maaf...” ucapnya laju sambil menundukkan kepalanya beberapa kali. Lekas-lekas disekanya sisa-sisa air mata di pipi.
            Lelaki berkulit putih, berkening lebat dan berbibir nipis merah itu tersenyum. “Tak apa. Setiap orang ada hari yang buruk kan? Hari ini hari awak...esok-esok mungkin hari saya pula.”
            Zawin terdiam mendengar kata-kata itu. Rasa sedih, kecewa, sakit hati yang dirasainya sebentar tadi hilang saat melihat wajah kacak itu mengukir senyuman. Maha Suci Allah. Lelaki asing ini memang ciptaan yang sempurna.  Zawin menundukkan kepalanya lagi. “Maaf...saya patut pergi sekarang,” Zawin sudah menarik pembuka pintu.
            “Lain kali...apabila lelaki berlaku curang...jangan ditanya kenapa mereka berlaku curang kerana hati lelaki yang telah beralih arah tidak punya jawapan untuk itu,” lembut suara lelaki itu menasihati.
            Pergerakan tangan Zawin terbejat. Pintu kereta dibiar terkuak luas. Kepalanya pantas dipalingkan semula, matanya tepat menatap mata coklat itu. Bibirnya terketar-ketar. “A...awak...dengar? Segala-galanya?” Mata Zawin membulat luas.
Lelaki itu pantas mengangguk. “Maaf, saya terdengar. Saya duduk di belakang kerusi awak di restoren tadi.”
Zawin kembali menekup mukanya. “Malunya...malunya...malu nya tuhan saja yang tahu!!!” jeritnya kuat.
            Lelaki itu tersenyum melihat reaksi gadis itu. “Saya Zharif. Awak pula?” Tangannya dihulurkan kepada gadis melayu itu.
            Zawin terpaku mendengar nama itu. Matanya menyeluruhi wajah lelaki itu lebih dalam. Dia yakin lelaki kacak itu memang berdarah dari negara gajah putih berdasarkan iras wajah itu. Mungkin sahaja ada campuran melayu berdasarkan bahasa melayu yang fasih. Namun tetap sahaja lelaki itu seorang yang asing pada dirinya. Kepalanya digelengkan. “Saya tidak mudah menerima kawan. Maaf.” Zawin terus melangkah keluar dari perut Honda City itu, menutup perlahan pintu itu lalu melangkah laju ke arah kereta Honda City milik Najla yang betul-betul di parkir di hadapan kereta milik lelaki itu.
*******
            “Kenapa kau senyap je hari ni Zawin? Mata kau tu sembab. Kau gaduh lagi dengan Wan?” soal Najla dalam rasa hairan. Rakan baik semenjak zaman persekolahannya itu jarang mempamerkan wajah sedemikian. Pinggan berisi pelbagai jenis sushi itu ditolak ke tepi.
            Zawin berhenti menyisip teh hijau lalu merenung anak mata kecoklatan sahabatnya itu. Matanya tidak jemu menatap penampilan anggun Najla yang mengenakan sut hitam dan putih. Tudungnya juga dari fesyen terkini. Tahi lalat tepat di batang hidung itu sering dikatakan wanita yang disayangi suami. Selepas rakannya itu berkahwin enam bulan lalu, dia kehilangan tempat mengadu apabila Najla berpindah rumah. Melihat wajah rakannya itu, sering menghadirkan rasa cemburu. Wajah itu terpancar seri menzahirkan bahagia di hati. “Najla...bila kali pertama dan kali terakhir Anas ucapkan kata-kata cinta pada kau?” soalnya serius. Tangan kanannya menopang dagu, menatap mata coklat itu bersungguh.
            Najla tersenyum agak tersipu. “Kali pertama...masa dia  melamar aku jadi kekasih, kali terakhir dia ucap pagi tadi. Kenapa?”
            “Betul?” Mata Zawin membulat.
            Najla mengangguk bersungguh.
            Zawin menundukkan wajahnya. Rasa sayu cuba dibuang jauh-jauh. Udang goreng Tempura didalam piring, dikuis-kuisnya. “Kau bertuah...memiliki lelaki sebegitu.”
            Najla tersenyum lebar. “Syukur sangat. Ini lah harga, hadiah Allah S.W.T kepada aku setelah diberi ujian. Sejak kecil, aku kehausan kasih sayang seorang ayah tetapi dengan mengahwini Anas...aku memiliki kasih sayang seorang suami juga kasih ayah pada masa yang sama. Lelaki biasanya dikatakan makhluk pelik yang tidak mudah melafazkan kata-kata cinta, tetapi Anas bukan begitu. Setiap hari ada sahaja nota cinta yang dia tinggalkan di mana-mana sudut rumah, setiap hari dia tanya samada aku masih cintakan dia seperti dulu atau tidak...”
            “Ya?” Bertambah luas mata Zawin terbuntang. “Najla, kau perempuan bertuah. Sangat bertuah. Aku sahaja perempuan yang sering dirundung malang,” luahnya dalam suara lirih.
            Najla meneliti wajah suram itu. “Zawin...kau jangan kata begitu. Tak baik. Aku pasti kau akan bahagia. Kau cantik Zawin...”
            Zawin pantas mencelah. “Kau kata aku cantik...sering aku mendengar ramai yang berkata begitu, tetapi kenapa aku sering kecewa? Kenapa sukar sangat menggapai bahagia?” Bertambah lirih suara Zawin kedengaran. Air mata yang ditahan akhirnya gugur juga.
            Najla diserbu panik. Dia tidak pernah melihat air mata rakannya itu kecuali sewaktu ayahnya berkahwin lagi lapan tahun lepas. Tangannya menggenggam erat tangan Zawin. “Cuba kau cakap pada aku...Ada sesuatu berlaku antara kau dengan Wan kan?”
            Zawin menggeleng. Dia tidak mahu rakannya itu tahu. Kura tangannya menyeka air mata di pipi. “Tak. Aku cuma tanya. Wan tak pernah ucap kata-kata cinta pada aku, dia tak pernah ingat tarikh lahir aku...dia tak pernah ingat tarikh kami mula-mula berkasih, dia tak pernah beli hadiah apatah lagi bunga. Aku...cuma kecewa...aku sedih...aku tak pernah merasa diri dihargai lelaki...”
            Najla terangguk-angguk sendiri. Fahamla dia punca rakannya itu berubah emosi. “Zawin...sejak dulu aku sering cerita pada kau tentang ilmu metafizik. Aku menerima lamaran Anas tanpa banyak fikir berpandukan ilmu yang kau sering kata tidak ada faedahnya. Tanpa kita sedar, Dr. Fadzilah Kamsah juga mengkaji ilmu yang sama biarpun dimodelkan dalam bentuk sifat-sifat bulan kelahiran. Kita ni wanita Leo, Zawin. Wanita yang mendambakan cinta sejati, inginkan perhatian penuh dari lelaki juga kesetiaan yang menggunung...”
            “So?” Dahi Zawin berkerut. Tidak dapat memahami mesej yang cuba disampaikan.
            Najla menatap mata gadis dihadapannya itu. “Ramai lelaki ingin mengenali kau, tetapi kau perempuan yang memilih. Lelaki-lelaki yang kau suka, semuanya dari bintang yang sama. Gemini! Berapa kali aku ingatkan kau tentang karekter lelaki Gemini yang suka menggoda perempuan, tidak tetap pada mana-mana cinta, mudah jemu dan golongan lelaki dalam bintang Gemini ini lah menjadi lelaki terakhir dalam dunia yang akan memberikan kesetiaan!”  
            “Hah? Bila masa pula semua lelaki yang aku suka semuanya Gemini?” nafi Zawin keras.
            “Huh. Kau nak aku buktikan ke? Wallpaper dalam handphone kau tu terang-terang si capten Sparrow, Jhonny Deep. Gambar Kim Hyun Jun, si rambut merah Boy Over Flower tu la yang kau hadap sebelum tidur. Poster Donald Trump berlambak-lambak dalam simpanan kau. Dalam ramai-ramai pemain bola sepak, kau boleh minat Frank Lampard pemain Chelsea tu. Antara tiga beradik kumpulan KRU, kau paling minat dengan Yusry. Tu baru sikit aku bagi contoh. Ramai lagi. Wan Zaidi dan err... Iskandar...mereka berdua tu lelaki gemini. Ha...ada apa-apa lagi ke yang kau nak tokok tambah?” Cabar Najla.
            Zawin tidak terkata apa, matanya terkelip-kelip memandang rakannya itu.
*******
            “Mak sihat?” Zawin bertanya sebaik menyalami tangan Puan Dahlia.
            Puan Dahlia mencium pipi anak tunggalnya itu. “Sihat. Mari masuk.” Wanita itu menghela tangan anaknya ke dalam rumah batu dua tingkat itu.
            “Wahh...mak masak kari ikan sembilang. Ada ikan masin dan sambal belacan! Memang terbaik la mak.” Zawin mengunjukkan ibu jarinya kepada ibunya.
            Puan Dahlia tersenyum senang. “Zawin telefon semalam kata nak datang, mak masak la makanan kegemaran Zawin ni. Makanlah. Haa tu ulam pegaga dan ulam raja jangan lupa makan. Elok untuk kesihatan dalaman.”
            “Yes, madam.” Zawin membuat aksi tabik yang membuahkan tawa ibunya.
            “Erm...dah berapa lama Zawin tak makan ni? Badan tu dah susut. Tak nak kongsi cerita dengan mak ke?” soal Puan Dahlia lembut. Cara anaknya itu makan seperti sudah lama tidak menyentuh makanan. Gadis itu bagaikan sedang melepaskan rasa hati terhadap makanan.
            Tangan Zawin tergantung di hujung bibir. Dia tidak jadi memasukkan butir-butir nasi ke dalam mulutnya. Sukar untuk menyembunyikan rahsia hati daripada ibunya. “Kenapa mak rasa Zawin ada masalah?” soalnya kembali. Udang goreng mayonis dicapai beberapa ekor lalu diratah penuh selera.
            “Sembilan bulan Zawin didalam rahim mak. Mak besarkan Zawin dengan tangan mak sendiri. Segala luar dan dalam Zawin, mak kenal sangat,” balas Puan Dahlia lembut.
            Zawin berhenti mengunyah, membasuh tangan lalu gelas berisi air rebusan asam jawa yang dicampur kunyit hidup dicapai dan dihirup perlahan. Minuman jamu itu sering dibuat ibunya sejak remajanya ketika datang bulan. Zawin merenung gelas yang masih berbaki air jamu itu. “Mak...masa abah mula-mula curang dulu, macam mana reaksi mak? Apa yang mak tanya? Apa yang mak lakukan?” Mata Zawin tepat menikam mata bundar ibunya.
            Puan Dahlia tersenyum, merenung lembut wajah anak gadisnya itu. “Dalam hidup seorang wanita, tiada perkara yang lebih dahsyat baginya selain pasangannya berlaku curang.  Mak akui memang mak sedih, kecewa, sakit hati...tetapi itu semua pada permulaannya. Mak tertanya-tanya apa kurangnya mak, apa salah mak? Kemudian mak sedari dan redha inilah takdir hidup mak. Abah Zawin tiada jawapan kenapa dia berlaku curang. Lelaki yang telah berubah hati sukar menjelaskan mengapa mereka berbuat demikian.”
            Zawin tersentak. Kata-kata itu sama seperti...kata-kata lelaki malam itu! Wajah kacak lelaki thai itu menyerbu ingatannya. Zawin mengalihkan pandangan ke wajah ibunya.  “Mak, Zaidi...akan berkahwin tiga bulan lagi...” beritahunya lirih. Matanya sudah berkaca.
            Puan Dahlia menghela nafasnya. Langsung tubuh anaknya itu dibawa ke dalam pelukan. “Zawin...sabarlah. Allah selalu punya rahsia pada setiap sesuatu yang berlaku,” pujuknya lembut. Belakang anaknya itu dielus-elus perlahan.
            Zawin menangis tersedu-sedu dalam pelukan ibunya. “Mak...sejarah telah berulang. Telah berulang...”

*******

            “Wah. Zawin. Untuk kak Puteri ke semua ni?”soal Puteri sambil membulatkan matanya melihat pelbagai jenis tumbuhan herba di atas meja ruang tamu.
            Zawin tersenyum dalam letih. “Ya, kak. Pegaga, petai, ulam raja, mengkudu, kunyit hidup...semua ni untuk akak.”
            Wanita berusia 30 tahun itu tersenyum lebar. “Wah...merasa juga akak herba jamu dari Perak.” Dibeleknya setiap tumbuhan itu dengan penuh teruja.
            “Zawin cerita yang kak Puteri nak berjinak-jinak dengan jamu, tu yang mak kirimkan semua ni.” Zawin menyandarkan belakang tubuhnya ke sofa empuk, merehatkan tubuhnya. Memandu dari Bagan Serai ke Shah Alam benar-benar meletihkan tubuhnya. “Oh ya...lupa nak cakap. Mak kirim salam pada kak Puteri,” lanjutnya lagi sambil memicit-micit kakinya.
            Tangan Puteri berhenti membelek buah mengkudu. Serta merta wajahnya berubah sayu.  “Mak Puteri mesti benci akak kalau tahu siapa akak sebenarnya kan?”
            Zawin tersentak. “Jangan kata begitu kak Puteri. Semua manusia itu sama sahaja. Dah la...jangan cakap tentang perkara ini lagi ya. Zawin penatla, nak masuk tidur. Esok ada kursus.” Zawin sudah bangun dari sofa putih ruang tamu itu, menggeliat beberapa saat.  “Selamat malam kak Puteri,” ucapnya lalu menapak ke arah biliknya.
            “Err...Zawin...” panggil Puteri.
            “Ya,” sahut Zawin, berpaling semula.
            “Zawin baik sangat. Zawin tak pernah memilih orang dalam berkawan. Tapi apa yang Yasmin lakukan pada Zawin, sangat tidak wajar.  Akak...tumpang sedih atas apa yang berlaku. Pagi tadi...Yasmin datang, ambil barang dia yang masih ada. Akak malas nak layan. Akak turun ke bawah. Masa tunggu lif, akak terserempak dengan Wan. Dia pesan pada akak supaya pujuk Zawin datang ke majlis kahwin dia. Dia harap sangat Zawin hadir. Bila akak tanya kenapa, dia senyap pula,” beritahu Puteri panjang lebar.
            Zawin menghela nafasnya, menatap wajah kuning langsat wanita itu. Zawin mengukir senyuman kelat. “Akak rasa macam mana? Perlu ke Zawin pergi?”
            “Tak perlu sakitkan hati lagi Zawin. Tak usah pergi’, usul Puteri.
            Zawin cuma mengangguk, memberikan senyum letih lalu menapak ke dalam biliknya. Sebaik pintu bilik ditutup, dia meluru ke atas katil, melepaskan tangisan yang tertahan. Ditekup mukanya pada bantal, tidak mahu tangisannya didengari rakan serumahnya.
            Bayang Wan Zaidi dan Yasmin melintas benaknya kemudian bersilih wajah Arnida Azhar dan  Iskandar. Tersisip wajah ayahnya juga. Mendadak Zawin mengangkat wajahnya daripada bantal, membaringkan kepalanya di atas tilam lantas memeluk kemas bantal bercorak abstrak bunga sakura itu. Air mata yang berlinangan disekanya lagi. “Tak apa...ini semua mimpi. Esok, bila aku bangun...aku akan menjadi Zawin Az-Zahra yang ceria semula. Aku dilahirkan untuk mengubah dunia, jadinya aku layak untuk berjaya dan berbahagia.  Semua akan kembali seperti biasa. Semuanya...” pujuknya kepada diri dalam sedu sedan.
*******
            “Aku tak nak cakap dengan kau!” marah Najla sebaik Zawin menegurnya di pantry.
            “La...kau ni kenapa? Period ek?” seloroh Zawin tanpa menghiraukan wajah keruh itu. Dia mengekori rakannya itu ke dalam bilik tertera nama Najla Najmi di pintu itu.
            “Apa ni?” Najla mengunjuk satu kad berwarna merah di tangannya lalu mencampakkan kad itu di atas meja kerjanya. Wajahnya merah menahan marah.
            Zawin menjeling sekilas, melabuhkan punggung di kerusi mendepani rakannya itu. “Bila kau tahu?” soalnya selamba.
            Najla menarik nafasnya. Terasa geram membukit dengan reaksi gadis itu. “Yasmin datang malam tadi ke rumah aku bagi kad ni. Bagai nak luruh jantung aku tengok nama pengantin lelaki. Bila aku tanya kenapa semua ni berlaku, dia dengan selamba cakap yang semua itu takdir. Dia kata kau tak layak memiliki seorang jurutera berbanding dia.  Di situ juga aku tampar dia. Aku jerit suruh dia keluar dari rumah aku. Kalau dia tak bagi aku kad kahwin ni, sampai sudah pun aku tak tahu benda ni. Kenapa kau tak beritahu aku? Aku terasa tahu tak. Kau kata aku kawan baik kau sejak dulu, tapi kau tak pernah maksudkannya. Sama dengan kes Arnida. Kau betul-betul buat aku kecewa,” luahnya penuh perasaan sambil menghenyakkan punggung di atas kerusi.
            Zawin menundukkan wajahnya, membisu beberapa ketika. “Maafkan aku. Aku tak bermaksud begitu. Kau memang sahabat baik aku sejak dulu. Sungguh. Cuma...aku malu nak ceritakan pada kau. Semuanya bagaikan mengulang sejarah lalu.” Zawin mengangkat wajahnya, merenung kosong ke luar jendela bilik rakannya itu. Dia tidak mahu lagi menumpahkan air mata, kerana itu dia berusaha untuk mengawal emosinya.
             Najla memegang lengan kanan Zawin. “Maafkan aku juga. Aku terlupa mengambil kira perasaan kau.” Rasa marah yang menggunung perlahan-lahan mengendur saat melihat wajah sayu itu.
            “Tak apa. Pasti ada hikmah semua ni berlaku. Kau tahu, semalam kak Puteri terserempak dengan Wan Zaidi. Lelaki sengal tu pesan pada kak Puteri supaya aku dapat datang ke majlis dia nanti. Sungguh lucu.” Zawin menggeleng-gelengkan kepalanya.
              Najla membundarkan matanya. “Ini la peluang kau. Kau harus pergi!” usulnya bersungguh.
            “Kenapa?” soal Zawin dalam rasa terkejut amat.
            “Masa ni la kau kena tunjukkan siapa kau sebenarnya. Kau tu berjuta kali lebih baik daripada Yasmin. Tak sangka sebab taraf pendidikan dan jenis kerja yang buatkan Wan Zaidi lebih memilih Yasmin berbanding kau.”
            “Apa maksud kau?”
            “Malam tadi, sebelum keluar dari rumah aku...Yasmin beritahu mengapa mak ayah Zaidi lebih memilih dia berbanding kau sebagai menantu. Tak salah lagi, mereka inginkan menantu yang sekufu. Mengapa kau tak beritahu sahaja siapa diri kau yang sebenar, Zawin?”
            Zawin terdiam. “Aku punya sebab. Ternyata Wan Zaidi...bukan lelaki yang jujur. Dia kata dia terima aku seadanya, tetapi semua itu bohong. Malam itu, malam hari jadi aku dulu...aku sebenarnya bersedia untuk memberitahu siapa aku yang sebenarnya, tapi siapa sangka...”
            Najla lekas mencelah. “Allah selalu punya rahsia terhadap sesuatu yang berlaku. Wan Zaidi...dia bukan lelaki yang baik untuk kau Zawin. Kau layak mendapat yang lebih baik. Erm...Wan Zaidi lelaki Gemini sama pula tu dengan Yasmin. Kita tengoklah sejauh mana dua bintang yang sama ni bertahan.” Najla mengepal penumbuknya.
            “Ish.  Tak baik doakan macam tu Najla. Aku dah redha. Aku dah maafkan mereka pun.”
            Najla mengeluh. “Kau ni baik sangat la Zawin. Habis tu...Arnida Azhar tu...kau maafkan tak? Bagaimana pula dengan  Iskandar?” soalnya serius.
            Zawin menatap anak mata kecoklatan Najla. “Aku maafkan...cuma hanya seorang sahaja yang aku tak dapat maafkan sehingga sekarang.”
            Najla terdiam sejenak. Dia tahu siapa yang dimaksudkan Zawin. “Aku tahu...aku faham. Kalau aku alami apa yang kau lalui, aku pasti bersikap seperti kau sekarang. Kalau aku jumpa Arnida Azhar lagi, nak je aku basuh habis-habis. Tak tahu malu betul. Banyak kali aku tolak friend request dia dalam facebook...”
            “Apa yang dia nak lagi dari kita?.. ,” keluh Zawin.
            Najla menggelengkan kepalanya. “Dia tak faham apa maksud kemaafan sebenarnya. Kemaafan bukan beerti kita dapat menerima kembali seseorang itu dalam hidup kita...”
            “Dah la...kita cakap pasal benda lain.” Zawin cuba mengubah topik perbualan.
            Najla memuncungkan bibirnya. “Kursus hari ni batal, kan? So, Petang ni lepas kerja kau ikut aku pergi shopping. Aku nak ubah penampilan kau selama ni. Beli pakaian baru,” usulnya bersungguh.
            “Hah? Apa salahnya baju kurung yang aku pakai selama ni?” Zawin mengerutkan dahinya.
            “Tak salah. Tapi kau tu profesion tinggi. Kena nampak wibawa sikit. Baju kurung kau tu pun tak ada fesyen. Tudung lagi la. Dah tiba masanya untuk kau berubah,” nasihat Najla lembut.
            “Tak nak la aku membazir. Aku tetap aku dan tak akan berubah jadi orang lain,” bidas Zawin selamba.
            “Kita memang tak boleh jadi orang lain, Zawin...tapi kita boleh jadi lebih baik. Aku sebenarnya...tak nak cakap perkara ni, tapi sebab kau berdegil sangat, tak nak berubah...aku terpaksa beritahu. Maafkan aku kalau kata-kata aku ni kasar sikit. Kau ingat kan masa Wan Zaidi nak bawa kau pulang ke rumah keluarganya? Wan Zaidi ada belikan baju kebaya kepada kau, tapi kau degil tak nak guna sewaktu berkunjung ke rumah keluarga Zaidi.  Kau lebih selesa dengan cara kau berpakaian. Tapi kau tak tahu apa yang keluarga Zaidi kata dibelakang kau. Sama seperti kata-kata Yasmin masa mula-mula dia kenal kau...”
            Mata Zawin mencerlung memandang rakannya itu. “Selekeh macam makcik? Macam tu?” Bibirnya terketar-ketar menahan marah.
            Najla merenung kosong pada wajah yang telah berubah merah itu. “Zawin...kadang-kadang ada baiknya kita dengar, teliti pandangan orang lain.  Tak semestinya kita betul dalam semua perkara.  Kau tak ingat pesan cikgu Zharifah pada kita dulu. Jangan buat apa-apa, jangan jadi sesiapa...jangan kata apa-apa kalau tidak mahu menerima kritikan.”
            “Apa yang selekehnya? Cuba kau terang sikit?” cabar Zawin dalam rasa geram yang menggunung. Baginya cara berpakaian tidak melambangkan jati diri seseorang. Pemikiran adalah tunjang utama. Kerana itu dia tidak pernah menitikberatkan penampilan selama ini.
            Najla tersengih. Dia tidak mahu berselindung lagi. Biarpun pahit, Zawin harus ditegur  tentang sikap tidak acuhnya terhadap penampilan diri. Tangannya memegang hujung tudung hijau Zawin. “Sibuk sangat ke sampai berkedut seribu ni. Baju kurung kuning kau ni, langsung tak masuk dengan tudung hijau ni,” tegurnya bersahaja.
            Zawin terdiam. Bibir bawahnya diketap. “Aku keluar dulu. Ada kelas,” ujarnya lalu mengangkat punggung, berlalu keluar dari bilik itu. Benarkah cara berpakaian aku selama ni teruk sangat? Hatinya yang panas menyoal geram. Dia tahu ini kelemahan dirinya sebagai perempuan api. Mudah melenting apabila ditegur. Kakinya menapak laju ke tempat parkir kereta. Melihat sejambak bunga mawar putih di hadapan kereta kelisa kuningnya, Zawin mengeluh berat. Sejak dia mengajar di institusi itu, dia kerap menerima pelbagai jenis bunga. Penghantarnya tidak pernah menunjukkan diri. Entah siapa yang gila ini! Hatinya membentak.   

*******
            “Bangun semua...longgar-longgarkan bahu anda...” arah Zawin sambil menggerak-gerakkan bahunya, turut membuat senaman ringan itu. Matanya menyeluruhi seisi kelas yang memuatkan 36 pelajar jurusan ijazah teknologi maklumat. Melihat pelajar-pelajarnya akur dengan arahannya, dia tersenyum lebar. “Sekarang...angkat kedua tangan ke atas. Siapa yang nampak pusat, sila keluar dari kelas ini.” Zawin berjalan mengelilingi ruang kosong di bilik seminar itu, memerhatikan pakaian setiap pelajarnya. Tenyata dia berpuas hati. “Bagus...Semua ikut apa yang saya arahkan minggu lepas. Duduk semua,” arahnya lagi lalu menapak ke hadapan kelas.
            Mata Zawin menangkap wajah seorang gadis melayu dihadapannya yang mengenakan baju kebaya coklat. Wajah itu pernah berkerut dalam body shirt ketat minggu lalu apabila ditegurnya. “Ha...Tengku Azura, kan nampak sopan, ayu, sedap je mata memandang,” pujinya seraya mengunjukkan ibu jari.
            Tengku Azura tersipu apabila dipuji dihadapan ramai pelajar.
            Siulan nakal pelajar lelaki mula kedengaran.
            Zawin mengukir senyum senang, kembali menyoroti setiap wajah yang berada di hadapannya. “Saya bukan guru disiplin dari mana-mana sekolah apatah lagi cemburu melihat kamu semua mengenakan pakaian yang singkat-singkat. Saya buat begini untuk membolehkan kamu semua memperoleh berkat dalam menuntut ilmu. Guru paling saya kagumi pernah berpesan yang berpakaian sopan sewaktu menuntut ilmu menjadi asbab berkahnya ilmu yang diterima, mudah faham dan ilmu mudah masuk dalam kalbu. Saya tidak kisah jika kamu kembali berpakaian lama menghadiri kelas-kelas yang lain, tetapi untuk kelas saya, kelas membina laman web ini...saya tegaskan sekali lagi, tidak akan teragak-agak menghalau para pelajar yang  berpakaian tidak sopan. Faham semua?”
            “Faham.”
            “Ok, mari kita mulakan kelas dengan bacaan doa dahulu.”
            “Cik Zawin, buku yang cik suruh kami rujuk minggu lepas ada tak? Kami nak buat cetakan...” Seorang pelajar lelaki datang menemui Zawin sebaik kelas tamat.
            Zawin menepuk dahinya. “Ala...saya lupa nak bawa pagi tadi. Ada di rumah saya. Minggu lepas saya bawa ke kelas,” beritahunya kepada pelajar bernama Khairi itu.
            “Ok. Terima kasih cik.” Pelajar lelaki itu berlalu pergi.
            Zawin mengemaskan barang-barang di atas meja, memasukkan ke dalam beg bimbitnya. Dalam kepala sudah terbayang perpustakaan universiti. Ada beberapa journal yang harus dirujuk untuk membuat proposal kajian.
            “Maaf Kak. Journal-journal yang akak cari ni masih dipinjam oleh pensyarah lain. Kena la tunggu dia pulangkan, lagi pula...hanya pensyarah sahaja biasanya yang pinjam buku-buku jenis ni...”  beritahu wanita pembantu perpustakaan itu dengan tidak acuh.
            Zawin menahan nafasnya, cuba mengawal marah dengan cara wanita bertudung merah itu melayaninya. Seakan dia tidak layak meminjam buku-buku itu. “Erm...umur akak berapa?” soal Zawin sambil tersengih. Solekan tebal diwajah itu membuatkan wanita dihadapannya ini kelihatan seperti perempuan dalam opera cina.
            Wanita itu membulatkan matanya. “28. Kenapa?” soalnya sambil memandang perempuan kurung kuning itu atas dan bawah. 
            “Jangan panggil saya kak lagi. Panggil saya cik. Umur saya empat tahun lebih muda dari akak,” arah Zawin bersahaja.
            “Siapa awak ni? Pensyarah ke? Kalau pensyarah, tak kan la pakai macam ni? Selekeh je.” Wanita itu menjuihkan bibirnya.
            Mata Zawin mencerlung tajam. Selekeh? Ayat yang pernah dilontarkan oleh Arnida juga Yasmin kepadanya. Bahkan pagi tadi, rakan baiknya juga bagaikan turut menyokong kenyataan itu. Dalam rasa marah yang membukit, Zawin mencapai kertas hijau didalam satu bekas, mengeluarkan pen dari dalam tas tangannya lalu menulis perkataan Bad service di ruang kosong borang kepuasan pelanggan itu. Kertas hijau itu dilipat kecil, dimasukkan ke dalam peti lutsinar yang disediakan. Mata Zawin kembali menatap wajah berkerut wanita itu. “Lebih baik selekeh daripada make up melebih-lebih,” perlinya diiringi jelingan tajam sebelum melangkah keluar dari perpustakaan itu.


0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top