BAB 14
           
            “Untuk Zawin.” Fuad menghulurkan satu jambak bunga mawar kuning kepada Zawin.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Untuk apa?”
            Fuad tersengih di sebelah Zharif. “Bunga mawar kuning kan bermaksud untuk memulakan persahabatan baru. Cik Zawin sudi kawan dengan saya?” soalnya penuh berharap.
            Zharif tersengih sendiri. Dia yang mencabar Fuad untuk mendekati Zawin memandangkan rakannya itu dalam diam mula menyukai gadis melayu itu.
            Zawin terdiam. Dia merenung wajah bersih lelaki yang duduk menghadapnya itu. “Awak sambut hari Valentine ke?” soalnya ingin tahu. Dia menyedari ramai remaja menyambut hari kekasih yang kebetulan jatuh pada hari minggu itu.
            Fuad lekas menggeleng. “Saya tak sambut Valentine’s day. Haram kan hukumnya. Saya cuma berniat memberi bunga  kuning ini tanda saya nak berkawan dengan Zawin. Tak salah kan?”
            Zawin mengangkat bahunya. Dia memasukkan sushi ikan salmon ke dalam mulut. Sesekali matanya melingkar melihat orang ramai yang sedang menikmati makanan masing-masing di kawasan food court Mid Valley itu. Wajah lelaki yang mengenakan t-shirt hitam jenama Levis itu ditatap sejenak. “Awak...boleh jadi kawan saya...tapi ada syaratnya,” balasnya sambil berpeluk tubuh.
            Mata Fuad terkelip-kelip. “Syarat?”
            Zawin mengangguk bersungguh. “Ada kuiz untuk awak. Soalannya berbunyi begini. Ada lima situasi yang saya akan beri. Awak cuma perlu pilih situasi yang awak nak selesaikan dahulu. Pertama, air didalam bilik air sudah melimpah,  kedua...air di atas dapur sudah berbunyi, kemudian ada bayi menangis, telefon berdering dan bunyi ketukan di pintu. Sila lah pilih dengan berfikir dalam-dalam.”
            “Erm...” Fuad menggaru dagunya. “Apa kaitannya kuiz ni dengan permintaan saya tadi?”
Kening Zawin terangkat sebelah. “Sangat berkaitan. Pilihan yang awak beri akan menjadi titik tolak samada awak diterima sebagai kawan saya atau tak. Fikirlah lah masak-masak ya,” terangnya sambil memasukkan udang tempura ke dalam mulut.
            Zharif memanggung dagunya. Dia ingin tahu penjelasan gadis itu mengenai maksud disebalik lima situasi itu.
            “Erm...saya akan pilih pujuk baby la. Itu kan makhluk yang bernyawa. Yang lain tu boleh diselesaikan kemudian,” jawab Fuad dengan yakin.
            Zawin merenung wajah lelaki berkumis nipis di bawah dagu itu. “Ok...soalan kedua...”
            “Kejap...kejap,” celah Fuad. “Tadi awak kata...hanya satu kuiz. Berapa kuiz sebenarnya?” soalnya meminta kepastian.
            “Kuiz ini yang terakhir,” beritahu Zawin selamba.
            Fuad mencemberutkan bibirnya. “Maknanya...saya lepas kuiz pertama tadi kan?” tebaknya.
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya. “Mungkin sahaja. Ok, dengar soalan kedua saya. Bayangkan awak masuk  ke dalam sebuah hutan dengan senapang patah ditangan. Apa sahaja haiwan liar yang lalu, awak tembak. Tiba-tiba...awak nampak seorang wanita cantik dan berpakaian seksi berada beberapa meter daripada tempat awak sedang mengacukan pistol ke arah awak. Apa yang awak akan buat? Tembak atau apa tindakan awak?”

            Zharif mengerdipkan matanya beberapa kali. Soalan itu...bukan soalan yang diujarkan Zawin semasa dia meminta gadis itu menjadi sahabatnya.
            Fuad menggaru dagunya lagi. Keningnya berkerut-kerut, bagai sedang memikirkan hal yang rumit. “Kalau saya...” Fuad menatap mata bundar gadis itu. Cuba membayangkan perbezaan wanita hutan itu dengan gadis itu. “Saya akan tembak,” jawabnya penuh yakin.
            Zawin tersentak. “Sila berikan sebab atas pilihan awak tu,” soalnya serius.
            Fuad merapatkan kesemua jemarinya menjadi satu. “Dia...wanita yang tinggal di hutan dan sedang mengacukan saya pistol. Pastinya...wanita seksi itu seorang insan yang bahaya dan jenis yang tak ada hati perut. Jadinya, untuk keselamatan diri sendiri, daripada peluru dia sampai ke tubuh saya dulu...lebih baik saya tembak wanita itu dulu,” terangnya bersungguh.
            Zawin sudah tersenyum nipis. Teh hijau dihirup perlahan.
            “Jadi...err...saya lepas kuiz awak?” soal Fuad sambil meneliti wajah jelita dihadapannya itu.
            Zawin mengangguk laju. “Soalan kedua itu...sering ditanyakan pada lelaki dalam sebuah kursus motivasi. Menariknya, 90 peratus lelaki menjawab akan melampiaskan nafsu pada wanita seksi itu sebelum menembak. Lelaki yang punya 9 akal, tiba-tiba sahaja menjadi tidak berakal apabila 1 nafsu sudah merajai minda biarpun mereka sedar, mereka dalam bahaya. Hanya 10 peratus lelaki yang mendahulukan akalnya daripada nafsu. Tahniah saya ucapkan pada awak.”
            Fuad sudah tersenyum panjang. Benar kata Zharif, gadis ini memang istimewa dan tidak pernah membosankan. “Jadinya...awak terima salam persahabatan saya?” soalnya sambil menghulurkan kembali sejambak bunga mawar kuning kepada Zawin.
            Zawin mengangguk, tersenyum nipis lalu menyambut jambangan bunga itu. Dia menghidu sekuntum mawar kuning itu beberapa kali. “Erm...harum wangi cantik berseri, hari ini aku nak makan kari,” ujarnya dalam nada suara meniru watak lelaki transgender dalam sebuah kartun animasi tempatan.
            Serentak Fuad dan Zharif ketawa besar sebaik menyedari kata-kata gadis itu diambil dari salah satu watak dalam animasi Upin dan Ipin.
            “Zawin ni lucu betul la. Boleh ingat ya dialog Abang Salleh tu,” ujar Fuad lalu kembali menyambung tawa.
            Zawin bercekak pinggang sambil melentukkan tangan kanannya. “Hei, nama kita bukan saleh la. Nama kita Sally la. Sebut betul-betul. S.I.L.L.Y.”
            “Eh...Silly ka?” Zharif membuat nada seperti suara Uncle Muthu pula. Menambah rencah yang dibawa Zawin dan Fuad.
            “Eh. apa-apa lah,” balas Zawin selamba. Dia menahan geli dihati lalu menyembunyi senyum.
            Serentak tawa dua lelaki itu pecah lagi.
            “Upin dan Ipin memang fenomena la.” Fuad menggeleng-gelengkan kepalanya dalam sisa tawa.
            “Betul, betul, betul,” sahut Zawin pantas.
            Zharif menyambung tawanya sebaik mendengar suara Zawin yang sengaja dibuat-buat seperti suara Ipin. “Zawin...dah la. Tak larat nak gelak,” tegur Zharif sambil menyandarkan belakang tubuh pada kerusi.
            Zawin tersenyum nipis. Lama dia merenung isi gelas yang sudah kosong. Bayang watak animasi Upin dan Ipin muncul didalam isi gelas. “Upin Ipin...satu produk tempatan yang sangat membanggakan. Disamping membawa budaya kita, animasi Upin dan Ipin membawa diplomasi pada negara jiran kita yang sekarang sedang terbawa-bawa dengan sentimen ganyang Malaysia kerana beberapa isu budaya. Upin Ipin membuatkan anak-anak Indonesia mula bertutur dalam bahasa melayu dan memberi tamparan keras pada media di sana yang bersifat vulgar. Mereka tidak menyangka animasi sederhana yang dikemas dalam bentuk wajah nusantara dan khas untuk anak-anak boleh laku dan mendapat permintaan yang tinggi,” ceritanya merujuk pada isu-isu yang dilaporkan dalam media dan forum-forum di internet.
            Fuad mengangguk. “Betul tu. Aku dah muak dengan sinetron-sinetron sampah yang ditayangkan beberapa saluran TV. Merendahkan intelektual masyarakat Malaysia saja. Antara sebab Upin Ipin popular di Indonesia adalah masyarakat di sana sangat dahaga pada cerita yang bersifat mendidik dalam masa yang sama mengajar budi pekerti yang baik tanpa bersifat menggurui. Bagi orang dewasa pula, Upin dan Ipin membawa mereka mengimbau nostalgia silam lebih-lebih lagi kenangan zaman kanak-kanak melalui gambaran suasana kampung yang aman, permainan rakyat, adat, dan sebagainya,” jelasnya lebih lanjut.
            Zharif tersenyum. “Ingat lagi semasa isu ganyang Malaysia tahun 2007 dulu. Laungan slogan Ganyang Malaysia, selamatkan Siti Nurhaliza. Sekarang ni pula Ganyang Malaysia, selamatkan Siti Nurhaliza dan Upin dan Ipin. Nampaknya Upin dan Ipin memang telah berjaya mengambil hati berjuta-juta rakyat seberang dan boleh jadi diplomat yang bagus dalam membaik pulihkan kedua hubungan negara yang sama rumpun ini. Media...sangat memberi peranan sebenarnya dalam memanaskan isu yang kecil kepada sesuatu yang nampak besar.” Zharif menggelengkan kepalanya, merujuk pada media-media seberang yang suka menimbulkan provokasi yang menularkan rasa kebencian rakyat Indonesia kepada Malaysia.
            Zawin menganggukkan kepalanya. “Ada dalang yang sengaja ingin menciptakan sengketa antara Malaysia dan Indonesia sedangkan sebelum ini kita aman sahaja,” komennya.
            “Semoga pelbagai isu budaya, perebutan pulau dan kes-kes penderaan amah yang timbul akan diselesaikan dengan cara baik oleh pihak kerajaan kita dengan kerajaan negara seberang,” ujar Zharif penuh mengharap.
            “Ya...seeloknya begitulah,” sokong Zawin.
            Fuad merenung wajah putih kuning gadis dihadapannya itu. Gadis ini memang istimewa. Banyak pengetahuan mengenai isu semasa. Getus hatinya. “Zawin...apa maksud kuiz pertama tadi. Boleh jelaskan tak?” soalnya ingin tahu. Sejak tadi dia menahan rasa untuk terus menyoal rahsia disebalik lima situasi yang diberikan Zawin.
            Zharif memasang telinga. Dia sememangnya menantikan penjelasan gadis itu sejak dulu.
            Zawin merapatkan kesemua jemarinya, menatap mata Fuad yang kelihatan teruja untuk mengetahui rahsia disebalik soalannya. “Sebenarnya...itu soalan psikologi yang secara berselindung merungkai ciri-ciri pasangan pilihan seseorang,” beritahunya tenang.
            Zharif dan Fuad saling berpandangan dan kemudian melontarkan pandangan pada wajah gadis bertudung hitam dihadapannya.
            “Ceritakan dengan lebih lanjut,” pinta Fuad dengan penuh minat. Siapa sangka soalan itu bersifat menyiasat peribadinya tanpa disedari.
            “Pilihan Fuad tadi, memilih memujuk bayi yang menangis, erm...menggambarkan Fuad pilih pasangan hidup atas dasar cinta. Pilihan terbaik antara semua pilihan. Jika seseorang memilih untuk menutup air didalam bilik air, bermakna memilih pasangan yang mempunyai harta atau kewangan yang kukuh. Menutup air didapur, memilih pasangan yang dapat memberikan keselamatan dan kepimpinan. Mengangkat telefon beerti memilih pasangan kerana akhlak dan membuka pintu rumah...errm...memilih pasangan kerana wajah, bentuk fizikal dan personaliti yang menawan,” jelas Zawin panjang lebar.
            Zharif dan Fuad terangguk-angguk sendiri. Memang sesuatu yang diluar jangkaaan masing-masing.
            “Kenapa situasi yang lain itu bukan pilihan yang terbaik?” soal Zharif ingin tahu.
            “Sebab...jika memilih pasangan kerana harta, apabila pasangan melalui masalah yang melibatkan kewangan, pasti...seseorang itu tidak dapat menerimanya. Begitu juga dengan memilih kerana rupa. Apabila waktu berlalu, kecantikan atau kekacakan semakin pudar, bentuk fizikal pula berubah, pasti seseorang itu akan mencari pasangan yang baru yang lebih cantik atau kacak. Tetapi apabila memilih pasangan kerana cinta...seseorang itu akan menerima diri pasangan dengan seadanya tidak kira susah dan senang, tidak kira rupa dan bentuk pasangan sudah berubah berbanding sewaktu mula mengenali pasangan. Perkaitan yang mudah...kan?”        Zawin mengangkat keningnya menatap wajah Zharif yang sudah mengukir senyuman manis.
            “Sebab itu Zawin terima saya kan? Sebab Zawin rasa saya ikhlas ingin berkawan dengan Zawin tanpa sebab-sebab lain yang bersifat memandang fizikal dan kebendaan. Betul tak?” tebak Fuad pula.
            Zawin tersenyum lebar lalu menganggukkan kepalanya. Dia terus terusan menghidu keharuman bunga mawar kuning itu.
            “Kenapa Zawin pakai serba hitam hari ini,” soal Zharif tiba-tiba. Dia sering memerhatikan penampilan gadis itu.  Seingatnya, dia tidak pernah pula melihat Zawin memakai pakaian ber warna hitam.
            “Erm...terapi warna. Najla ajar, memakai warna pakaian yang berlainan mengikut hari tertentu boleh memulihkan sistem tubuh. Setiap Isnin warna putih, selasa...ungu atau pink. Biru pula pada hari rabu. Kuning atau oren pada hari khamis. Jumaat pula warna hijau. Warna merah hati atau merah pada hari sabtu dan hari ahad, warna hitam  yang melambangkan istirehat,” jawab Zawin sambil terus menerus menghidu keharuman bunga mawar yang diberikan Fuad.
            “Zawin...boleh tuliskan warna-warna mengikut hari untuk saya,” pinta Fuad sambil mencapai pen dan kertas didalam beg sandangnya lalu dihulurkan kepada Zawin.
            Zawin mengangguk lalu menyambut kertas dan pen mata bulat itu. Sambil menulis, mulut Zawin turut seiring berbunyi. “Warna putih melambangkan kesucian rohani. Ungu atau pink pula lambang kasih sayang atau tumpuan. Biru...perhubungan atau komunikasi. Kuning atau oren bermakna pemikiran atau tenaga. Hijau mewakili keseimbangan. Merah atau merah hati membawa keberanian atau tuah atau kemewahan. Hitam pula melambangkan istirehat. Nah.”            Zawin menghulurkan semula kertas dan pen itu kepada Fuad.
            “Nanti tolong salin untuk aku,” pesan Zharif pada Fuad.
            Fuad mengangguk. Dia tersenyum lebar. “Inilah hadiah terbaik pada harijadi tahun ini,” ujarnya dalam senyuman tidak putus-putus.
            “Harijadi? Maknanya hari ini la?” Zawin membulatkan matanya, menzahirkan rasa terkejutnya.
            Fuad mengangguk perlahan. “Ya. 14 Febuari 1979. Itulah setepatnya.”
            “Oo...selamat ulang tahun kelahiran Mohd Fuad. Semoga terus diberikan rezeki dan rahmat ilahi dalam kehidupan,” ucap Zawin sambil tersenyum manis.
            “Terima kasih,” ucap Fuad sambil terus menerus menatap wajah jelita itu. Benar kata Zharif, senyuman gadis ini benar-benar menawan. Terasa bagaikan mentari yang baru muncul di waktu pagi lantas membuatkan dia turut tersenyum. ‘Eyes smile’ itu lah yang pernah dikatakan Zharif berulangkali. Sayangnya gadis ini jarang sekali mengukir senyuman sebegitu. Jika tidak, entah berapa kali dia terpana menatap pesona hiasan dunia itu.
            “Erm...maknanya awak ni...lelaki aquarius la kan?” Zawin menebak.
            “Ya. Awak tahu tentang zodiak dua belas tu?” Fuad mengerdipkan matanya.
            Zawin mengangkat kedua bahunya. “Tak sangat. Kawan saya, Najla yang sering ceritakan kajian mengenai zodiak dua belas tu. Buat masa ini, ada separuh percaya dan ada yang tidak. Terpulang pada diri masing-masing kan?”
            Fuad mengangguk. “Najla tu...macam Zharif. Suka sangat baca personaliti diri orang melalui tarikh lahir,” beritahunya.
            Zawin terus menatap wajah Zharif yang tersenyum-senyum. “Betul ke? Kalau macam tu...Zharif tahu ke...apa zodiak Zawin?”
            Leo. The goddest leo lady,” sahut Zharif pantas.
            Zawin membundarkan matanya kemudian memincing pandangan pada Zharif yang merenung nakal. “Maknanya...Zharif tahu banyak tentang personaliti Zawin kan?”
            Zharif mengangguk dalam senyuman tak putus putus. “Erm...Zawin Az-Zahra...memang ada ciri-ciri gadis Leo yang penuh tenaga, menawan, anggun, tabah, bersikap positif, bijak, riang, dan hatinya penuh dengan kasih sayang. Tapi...ada juga sifat-sifat Zawin yang agak berlainan daripada ciri-ciri gadis Leo.”
            “Erm...berlainan ke? Najla pun ada cakap benda yang sama.” Zawin berpeluk tubuh. Matanya tepat merenungi wajah kacak jejaka berkemeja biru firus  kotak-kotak itu.
            Zharif mengangguk. “Zawin...erm...sangat merendah diri, bersikap tawadduk, tidak bercakap besar, tidak mudah membangga diri, tidak suka menunjuk-nunjuk dan paling penting, gadis yang penuh misteri dan perahsia. Sangat berlainan daripada karakter kebanyakan leo ladies yang Zharif kenal,” ceritanya bersungguh.
            Zawin tersengih. “Mungkin sahaja’, jawabnya ringkas. Tidak mahu mengulas lebih. Kata orang, rakan atau sahabat lebih mengenali diri kita berbanding kita mengenali diri sendiri.  Matanya jatuh pada jam ditangan. “Zawin kena balik ni. Malam nanti ada hal. Zawin beransur dulu ya,” ujarnya lalu bangun, mencapai tas tangan kuning di atas meja.
            Zharif dan Fuad turut terbangun.
            “Zharif hantarkan Zawin ya,” pinta Zharif.
            Zawin mengangguk. Keretanya masih dalam bengkel sejak kelmarin untuk proses maintanance.
            “Ok. Kalau begitu korang balik la. Saya nak pergi ke rumah ayah saudara di Setiawangsa selepas ini,” beritahu Fuad. Matanya dikalihkan pada wajah Zawin. “Zawin Az-Zahra...kita jumpa lagi minggu depan di pusat akuatik ya,” pesan Fuad lalu mengenyitkan matanya.
            Zawin tersengih. “Ya. Terima kasih kerana beri bunga ni.” Zawin mengunjukkan jambangan bunga di tangannya.
            “Sayangnya la Zawin sudah berpunya,” ujar Fuad dalam suara perlahan.
            Zawin terkedu di situ.
*******
            “Kenapa tersengih-sengih ni?” tegur Zawin apabila melihat riak wajah rakan serumahnya itu.
            “Pergi masuk dalam bilik Zawin. Ada sesuatu untuk Zawin,” arah Puteri bersulam senyuman nakal.
            Zawin yang sudah keletihan, hanya akur lalu membuka pintu biliknya. “Ya rabbi,” ucapnya spontan sebaik melihat mawar merah memenuhi setiap sudut biliknya. “Siapa yang hantar semua ni kak Puteri?” soalnya dalam rasa tidak percaya.
            “Entahlah Zawin. Penghantarnya tadi ramai. Akak cuma suruh mereka letakkan di ruang tamu. Lepas tu akak pindahkah ke bilik Zawin. Ni  ha...ada kad untuk Zawin.” Puteri menghulurkan satu kad bewarna merah hati kepada gadis itu.
            Zawin lekas membuka isi kad dalam tergesa. Siapa yang gila ini!
            Seribu mawar merah sebagai tanda hati ini telah lama ada namamu
            Zawin mengerutkan keningnya. Hatinya berdetak laju. Bagaimana si penghantar bunga misteri ini tahu alamat rumah aku? Atau...penghantar bunga ini orang yang sama yang sering menghantar bunga kepadanya selama ini? 
            “Daniel Iskandar kot,” tebak Puteri apabila melihat gadis itu seakan berfikir.
            Zawin lekas menggeleng. “Tak. Zawin kenal Is macam mana. Dia bukan mamat bunga,” tingkahnya.
            Puteri mengangkat bahunya. Matanya membulat melihat jambangan bunga dalam pelukan Zawin. “Wah...wah...Daniel Iskandar yang bagi bunga mawar kuning tu kan?” tebaknya lagi dalam kenyitan mata kiri.
            Zawin melemparkan pandangan pada jambangan bunga di tangan. Dia tersengih sendiri. “Kan Zawin dah cakap. Daniel Iskandar bukan jenis lelaki yang akan beri benda-benda macam ni,” sangkalnya lagi.
            “Habis tu...siapa bagi?”
            “Seorang kawan yang beri...” beritahu Zawin lalu masuk ke dalam bilik.
            Puteri mengekori dari belakang. Dia melabuhkan punggung pada sofa kecil didalam bilik Zawin. “Zharif ke yang bagi?” soalnya penuh minat.
            Zawin menggeleng lagi sambil tersenyum. “Seorang kawan lelaki.” Zawin meletakkan tas tangan dan jambangan bunga di atas meja kecil sebelah katilnya. Cekatan tangannnya menanggalkan keronsang di bahu kanan lalu melucutkan tudung hitam dari kepala. Dia duduk di atas katil yang hampir dipenuhi dengan bunga mawar merah seluruhnya. Sekuntum mawar merah diraih lalu dibawa ke hidung.
            “Zawin sangat bertuah kan? Ramai yang suka pada Zawin...” Puteri bersuara tiba-tiba, merenung wajah jelita itu dengan kagum.
            Zawin ketawa halus. Menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak. Itu bukan bertuah. Semua ini...buat Zawin takut sebenarnya. Manalah tahu, lelaki yang tak betul yang beri seribu kuntum mawar ni,” luahnya dalam suara sedikit gusar.
            “Ish...kamu ni. Tak ada maknanya orang tu tak betul. Kak Puteri rasa dia betul, cuma belum masanya lagi untuk dia munculkan diri,” komen Puteri.
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya lalu mengalihkan bunga-bunga mawar di atas katil ke bawah lantai. “Mai la kak Puteri. Lama dah tak lepak atas katil Zawin,” ajaknya lalu merebahkan badan di atas tilam.
            Puteri dengan senang hati merebahkan tubuh di sebelah gadis itu. Matanya memandang atap shiling bilik itu. “Zawin...benarkah dalam hati Zawin hanya ada Daniel Iskandar?” soalnya ingin tahu.
            Zawin tersenyum. Matanya turut dipandang ke atas shiling bilik. Wajah Daniel Iskandar hadir di situ. “Ya kak Puteri. Cinta pertama...adalah segala-galanya bagi seorang gadis. Itu lah cinta paling agung dan manis,” luahnya penuh perasaan.
            “Zawin memang tiada perasaan lagi pada Wan Zaidi?” soal Puteri. Dia sedar gadis itu tidak mengambil waktu yang lama untuk pulih daripada luka yang ditinggalkan lelaki kaya itu.
            Zawin berpaling ke kiri, menatap wajah wanita itu lalu mengangguk bersungguh. “Bila Zawin fikir semula, selami hati dalam-dalam, perasaaan pada Wan Zaidi memang sudah hilang. Kadang-kadang Zawin terasa yang Wan Zaidi tidak pernah wujud dalam hidup Zawin selama ini. Mungkin sahaja Zawin tidak menyayangi dia dengan sepenuh hati atau mungkin sahaja kehadiran Daniel Iskandar telah melenyapkan luka lalu.”
            Puteri tersenyum senang. “Bagus la begitu.”
            “Abang Amir...cinta pertama Kak Puteri?” soal Zawin kembali. Rambutnya yang lebat di sibak ke belakang. Matanya sudah layu sebaik merebahkan kepala pada bantal empuk bersarung kuning putih itu.
            Puteri tersenyum sendiri. Mengangguk bersulam senyuman malu. “Akak tercampak ke dunia gelap sejak remaja. Amir yang keluarkan akak dari dunia gelap itu. Syukur sangat. Rupanya ada juga sinar baru untuk akak mulakan hidup. Cinta itu sangat indah kan Zawin?”
            Zawin tersenyum lebar. Wajah Daniel Iskandar menerjah benaknya. “Ya...sangat indah. Cinta itu membuatkan dunia lebih berwarna-warni. Kadang-kadang cinta itu menjadi satu motivasi dalam diri manusia untuk lebih menikmati hidup,” luahnya dalam mata terpejam
Puteri tersenyum manis. Dia turut memejamkan matanya. Membayangkan impian indah yang diciptanya bersama lelaki yang dicintainya sepenuh hati.
********
             “Siapa yang bagi kad ini? Seribu mawar? Ma ada dapat bunga ke?” soal Iskandar bertalu-talu. Dia merenung sangsi wajah kekasihnya itu.
            Zawin mengukir senyuman kelat. “Ma tak kenal. Ma sering dapat bunga mawar sejak hari pertama ma bekerja di UITM.”
            “Kiranya...dah hampir setahun la ma dapat bunga kan?” Iskandar berpeluk tubuh merenung wajah tenang gadisnya itu. 
            Zawin mengangguk.
            “Kenapa tak pernah beritahu pa tentang hal ini?”
            “Tak penting pun la,” balas Zawin tidak acuh.
            Kening Iskandar terangkat. “Maknanya pa tak penting lah pada ma kan? Ok...fine. I’ve got it.” Iskandar mengeluarkan sebatang rokok, menyalakan api lighther, lalu menyedut puntung rokok itu dalam-dalam. Asap rokok berkepul-kepul keluar memenuhi ruang udara restoren Hakim itu.
            Zawin menghela nafasnya. “Pa...kenapa ni? Pa penting la cuma kes pemberi bunga ni, ma tak anggap penting sebab ma tak kenal dia,” pujuknya dalam suara lembut.
            Iskandar mengangkat bahunya. “Erm...apa lagi yang ma sorokkan daripada pa. Cuba ma jujur dengan pa.”
            “Jujur? Ma jujur dengan pa selama ini. Tak ada benda yang ma sembunyikan daripada pa!” tegas Zawin. Matanya mencerlung garang menikam anak mata coklat lelaki dihadapannya.         Dia paling tidak suka apabila lelaki itu meragui kejujurannya.
            Iskandar menatap mata bulat gadis itu lalu tersenyum nipis. Puntung rokok ditenyehkan pada bekas abu rokok. “Ok. Pa percaya. Jadinya, memang ma dapat seribu kuntum mawar merah la tadi?”
            Zawin mengangguk. “Entah siapa la yang sanggup membazir duit sebanyak itu.” Air teh limau suam dihirup perlahan.
            Pelayan lelaki datang, menghantar dua hidangan roti canai telur.
            Iskandar tersenyum lebar. Cekatan tangannya mencapai roti canai yang masih panas itu.    “Ouch! Panasnya,” adunya sambil meniup tangan kanannya.
            Zawin tersengih melihat telatah Iskandar. “Pa...memang macam budak kecil.” Dia mengambil sudu, menekan berulang kali pada kepingan roti canai yang telah dipotong. Lantas  kepingan roti canai yang sudah sejuk itu, dicelupkan ke dalam kuah dal dan kari. “Buka mulut,” arahnya kepada Iskandar yang sudah tersenyum senyum.
            Iskandar mengangakan mulutnya dengan senang hati.
            Zawin cekatan menyuapkan isi roti canai itu ke mulut kekasihnya.
            “Erm...terasa lebih sedap bila makan daripada tangan orang lain,” ujar Iskandar sambil mengunyah perlahan.
            Zawin tersenyum senang.
            “Ma...bukan beerti pa tak sayang ma bila pa tak ucap kata-kata sayang... Pa bukan lelaki yang romantis, bukan lelaki yang memberi bunga atau hadiah-hadiah istimewa. Pa sayang ma sangat. Cuma pa ada cara lain menunjukkan rasa sayang pa,” luah Iskandar bersungguh.
            Zawin merenung wajah serius itu dalam rasa terharu. Ini kali pertama Iskandar menyatakan perasaannya secara telus dalam keadaan berhadapan dengannya. “Erm...ma tahu. Sebab itulah ma tak hantar lagi research proposal. Ma akan sambung Phd selepas kita kahwin nanti.”
            Wajah Iskandar bertukar ceria. “Betul ni? Ma sanggup tunggu tiga tahun lagi?” Iskandar meminta kepastian. 
            Zawin mengangguk bersungguh dalam senyuman manis.
            Iskandar tersenyum panjang. “Ma tahu...pa baru ingat nak beli kereta Hyundai. Apa pendapat ma?”
            “Erm...Hyundai. Kereta buatan Korea. Kenapa kereta tu jadi pilihan?”
            “Pa nak beli Hyundai warna kuning. Ok tak?” cerita Iskandar lagi dengan teruja.
            Zawin membulatkan matanya. “Kuning? Eh, bukan ke pa tak suka warna kuning?”
            Iskandar tersenyum penuh makna. “Kuning nampak cantik pula. Yellow yellow dirty fello,” ceritanya lalu ketawa lagi.
            Zawin ketawa halus mendengar suara Iskandar yang sengaja dibuat dalam slang india.  
            Zharif merenung sayu wajah gadis yang sedang ketawa selang beberapa meja dari tempatnya duduk. Gadis itu kelihatan bahagia dan wajahnya bersinar gembira. Reaksi itu seringkali dilihatnya bila gadis itu bersama doktor perubatan itu. Benarlah cinta pertama adalah cinta teragung bagi seorang gadis. Zharif menghela nafas dalam-dalam. 
            “Zharif...” panggil Fuad.
            “Erm...” sahut Zharif. Matanya menatap wajah rakannya itu 
            “Jika Zawin bahagia, redha sajalah kan,” nasihat Fuad.
            Zharif  mengangguk. “Aku redha. Aku bahagia bila tengok dia bahagia. Cuma...aku mampu melihat dia dari jauh,” luahnya sambil menghirup teh o panas.
            Fuad tersenyum nipis. “Aku nampak dalam sinar mata kau. Kau meluahkan rasa melalui pandangan. Sesiapa yang melihat cara kau memandang Zawin, pasti dapat melihat perasaan kau pada Zawin.”
            Zharif tersenyum segan. “Jelas sangat ke?”
            Fuad mengangguk. “Kalau la Zawin ambil masa menatap mata kau melalui hati dia biarpun sejenak, dia pasti akan tinggalkan Daniel Iskandar untuk Zharif Zahir,” ujarnya bersungguh.
            Zharif tersengih. “Ya? Tapi itu tak mungkin berlaku. Once Leo gives her heart, she expects that it will be forever.You cant handle a leo. She is strong minded and super loyal. She wont dump her man just for another man,” balasnya penuh yakin.
            Fuad menggelengkan kepalanya. “Memang susah la macam tu.”
            “Erm...esok aku nak jumpa Zura, sepupu Wan Zaidi,” beritahu Zharif.
            “Janganlah,” larang Fuad.
            “Kenapa?”  soal Zharif.
            “Budak tu macam ada obsesi pada kau. Jangan nak cari nahas,” nasihat Fuad lagi.
            “Erm...aku hanya ingin tahu siapa lelaki yang selalu hantar bunga pada Zawin.”
            “Kenapa kau tak suruh Raj yang siasat?”
            Zharif menggeleng. “Raj ada tugas lain. Lagi pula...aku kenal Zura tu. Alah, dia budak yang tak matang lagi. Obsesi dia pada aku tu hanya sementara.”
            “Kau pasti?” Fuad tersengih sinis. “Kau tahu...perempuan tak akan pernah matang dalam soal hati, inikan pula budak perempuan yang belum matang. Bila kau ajak jumpa Zura, pasti fikiran Zura tu tak lain tak bukan mengandaikan yang kau sukakan dia. Baik kau batalkan niat kau tu.”
            Zharif mengangkat keningnya. “Banyak pengalaman nampak?”
            Fuad tergelak besar. “Memanglah! Aku cakap melalui pengalaman lah ni.”

0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top