BAB 7
“Hah?. Cerai?. Biar betul?”, soal Haikal dalam mata terbeliak.
     Dato’ Tengku Haris mengangguk. “Dato’ Mirza yang sampaikan pada abah. Bukan dari pihak ketiga atau khabar angin. Dato’ Mirza ceraikan Datin Mona err..dengan talak tiga”, beritahunya lagi.
     Hakim terbangun dari sofa. “Apa?. Talak tiga?. Mesti kes serius ni!”, tebaknya dalam mata yang membulat. Dia kembali terduduk apabila ibunya menarik tangannya.
     Datin Haida menggeleng-gelengkan kepalanya. “Dato’ Mirza tak ceritakan pada abang ke apa puncanya?”.
     Dato’ Tengku Haris menggeleng lagi. “Dato’ Mirza tak nak buka mulut. Katanya jangan ditanya kenapa. Nampak macam dia marah sangat”, terangnya.
     “Ada la tu yang dilakukan Datin Mona sampai bawak bercerai. Talak tiga pula tu”, Datin Haida menggelengkan kepalanya.
     Dato’ Tengku Haris merenung Haikal dan kemudian ke wajah isterinya. “Macam mana ni?. Perjanjian kita dulu, tetap berjalan ke?”, soalnya meminta pendapat isteri dan anaknya.
     Tengku Haikal mengangguk laju. “Saya akan teruskan abah. Tapi ikut perjanjian asal dulu”, beritahunya tenang.
     Datin Haida dan Dato’ Tengku Haris saling berpandangan.
 Hakim terpinga-pinga. Hatinya mula berdebar.
     “Maksud Haikal, bukan Erina...tapi Puteri?”, soal Dato’ Tengku Haris dalam rasa terkejut yang amat.
     “Haikal...apa yang buatkan Haikal bertukar fikiran ni?”, soal Datin Haida lembut.
     “Haikal dah buat keputusan. Lepas Puteri tamat belajar, Haikal nak kami disatukan. Haikal dah cakap hal ni dengan Erina. Erina sokong keputusan Haikal. Haikal berharap sangat sokongan abah dan mama”, pintanya penuh mengharap.
     “Abah ok je. Kalau kedua pihak bersetuju. Dato’ Mirza..kita kena ambil pandangan dia juga dan tentunya Puteri”.
     “Mama pun ok je”. Datin Haida menyatakan keputusannya.
     Hakim terbangun mendadak. Tengku Haikal menyukai Puteri Ishika?. Sejak bila?.  “Puteri....dia...”. Hakim tidak jadi menghabiskan kata-kata apabila nafasnya bagai disekat, jantungnya terasa bagai digenggam dan dilepaskan kembali. Sungguh perit menanggung sakit itu. Dalam kesejapan, tubuhnya rebah di atas permaidani putih ruang tamu itu.
“Hakim!!!”
*******
“Sunyi kan Hakim tak ada. Mana la dia pergi?’, Shafawati bersuara perlahan. Tangannya menyelak buku latihan Kimia, namun matanya ditumpukan pada kerusi kosong di hadapannya.
Puteri menghela nafas panjang. Matanya merenung tempat duduk kosong itu. Musim berganti musim, hari bertukar hari, bulan berganti bulan. Peperiksaan percubaan telah lepas. Kini, dalam tempoh yang berbaki, Puteri meningkatkan usahanya untuk menghadapi peperiksaan besar SPM pula. Sudah puas ditanya kepada ayahnya khabar keluarga Dato’ Tengku Haris namun jawapannya tetap sama. Tidak pasti.  
Mei Ling menghela nafasnya melihat kedua rakan kelasnya itu. Sejak pemergian Hakim yang bagaikan sudah kehilangan jejak, kedua remaja perempuan itu banyak berdiam diri. Dia turut terasa sunyi dengan ketiadaan jejaka kacak itu. “Puteri..Sha..mau dengar cerita kah?”, Mei Ling bersuara membuka cerita.
“Apa”, sahut mereka serentak.
“Itu aa..Tong Leik Kian. Dia sudah peluk islam ma”, beritahunya dalam nada berbisik.
“Hah?”. Puteri dan Shafawati berpandangan. “Macam mana kamu tahu?”, soal Shafawati penuh minat.
“Itu aa..saya jiran dia. Saya tahu la. Dia kena halau dari rumah ma. Sekarang dia duduk dengan Ustaz Asri. Nama baru dia Iman...Iman...macam tu la”, cerita Mei Ling lagi.
Puteri mengalihkan pandangannya ke belakang. Matanya bertembung dengan jejaka cina itu. Puteri turut tersenyum saat Tong Leik Kian menghadiahkan senyum manis ke arahnya. Jejaka cina itu amat berjasa dalam hidupnya, menyelamatkan maruahnya daripada direnggut oleh buruh-buruh dari negara seberang empat tahun lalu.  Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menaip mesej di situ.
Hi. Saya dengar awak dah peluk islam. Betul ke? 
Telefon itu bergegar. Puteri membuka peti mesej.
Ya. Alhamdulillah. Hidayah yang dikurniakan ALLAH lewat sebuah lagu
Lagu apa?
Menanti di Barzakh. Nyanyian kumpulan Far East. Saya tak sengaja dengar saat saya alihkan siaran radio ke Ikim.fm.
Puteri merenung lama mesej itu. Hidayah itu datang dalam pelbagai bentuk dari ALLAH. Siapa sangka hanya dengan sebuah lagu nasyid yang menceritakan tentang kematian dalam islam, membuka pintu hati seorang bukan muslim. Tangannya cekatan membalas mesej itu lagi.
Syukur alhamdulillah kan. Apa nama islam Ah Kian?   
Muhammad Iman Saifullah. Saya ingin menjadi pedang ALLAH yang menegakkan islam berdasarkan kalam suci Al-Quran dan hadis nabi.
Bagus sangat tu. Good luck dalam SPM nanti.
Kamu juga, Puteri Ishika.
*******
TIGA TAHUN KEMUDIAN

Dalam keriuhan orang ramai di majlis perkahwinan seorang saudara jauhnya, dia berjalan mengikut naluri ke satu arah. Matanya menangkap sepasang tubuh mengenakan kebarung ungu lembut dalam kedudukan membelakanginya. Hatinya mula dipalu rasa berdebar. Tawa itu masih sama. Masih merdu seperti dulu. Dia kah?.Insan yang sama seperti tiga tahun dulu?. “Puteri Ishika??”, tegurnya sedikit teragak-agak.
Puteri pantas berpaling. “Ya”, jawabnya. Sebaik memandang wajah kacak itu, dia terlopong. “Hakim?”. Air mata bergenang di pelupuk matanya. Lelaki ini hilang tanpa pesan suatu masa dahulu. Dia bagaikan sukar mempercayai lelaki berkumis nipis, berkaca mata Levis itu berada dihadapannya kini. Masih kacak seperti dulu dan pastinya lebih kacak tatkala berkemeja biru turqoise petak-petak itu dipadankan dengan seluar jeans Levis.
Hakim mengangguk laju..tersenyum lebar dalam rasa terharu. Kemudian senyumannya perlahan surut apabila melihat seorang kanak-kanak perempuan di dalam dukungan Puteri. “Err...anak Puteri sama cantik dengan ibunya”, pujinya dalam rasa yang hati yang bermacam-macam.
Puteri tersenyum nipis. “Semua orang cakap macam tu”, sahutnya lembut. Dia membetulkan letak tudung putih dikepalanya apabila kanak-kanak perempuan itu menarik hujung tudungnya.
“Ok la..saya kena balik ni. Ada kerja sikit”, pinta Hakim dalam senyuman pahitnya.
“Eh..makan la dulu. Biar Puteri yang sediakan. Tengku Shafika kawan puteri di UM. Saja tolong-tolong di  majlis orang”. Puteri menahan lelaki itu dari pergi. Ada banyak perkara yang ingin dia ketahui mengenai diri Hakim.
     “Oo..tak apa..”, tolaknya lagi.
     “Erika...mari dekat mama”, Erina datang mencelah antara mereka, mendukung kanak-kanak comel itu lantas membawanya pergi.
Puteri melambai kanak-kanak perempuan itu sambil tersenyum.
     Hakim membulatkan matanya. “Dia.....dia....bukan anak Puteri?”, soalnya dalam riak kaget.
     Puteri ketawa kecil. “Tak. Tapi ramai kata wajah kami seiras. Sebab tu Puteri kata tadi ramai cakap macam tu”, terangnya dalam senyum yang tidak putus.
Hakim turut ketawa kecil. Terasa lucu apabila mengenangkan semula tanggapannya sebentar tadi. Wajah yang dirindui itu di tatap sepenuh hati. Lesung pipit itu..masih sama. Mata itu..wajah itu...terlalu indah.
“Arr..Hakim..betul ni tak nak makan dulu?”, soal Puteri lagi.
“Nak. Tiba-tiba rasa lapar pula”, ujarnya seraya memegang perutnya.
“Mari..ikut puteri. Kita makan kat sana”, ajaknya seraya melangkah ke satu arah.
Hakim akur, mengekori gadis itu sambil tersenyum panjang.
“Oh..begitu”, Puteri terangguk-angguk, mula memahami punca lelaki itu menghilangkan diri tiga tahun lalu. Memandang wajah kacak jejaka itu lama. “Tak hairanlah Puteri tak jumpa Hakim. Tiga tahun..jangka waktu yang agak lama kan?. Hakim dah benar-benar sihat ke?. ”, soalnya penuh prihatin. Nasi minyak digaul bersama lauk ayam masak merah bersama rendang daging  di masukkan ke dalam mulut.  Dikunyah perlahan.
Hakim mengangguk, meneguk air oren di dalam gelas. “Alhamdulillah. Selepas operasi di Hospital Chenai, doktor yang merawat Hakim selalu buat pemeriksaan susulan. Dia kata, Hakim dah sembuh sepenuhnya. Teknik perubatan di Chenai India memang sangat maju. Tau tak, operasi pembedahan Hakim tiga tahun lepas, dibuat menggunakan teknik robot surgery?”, beritahunya lanjut.
Puteri berhenti mengunyah. Sebelah pipinya cembung dengan makanan. “Robot?. Wah. Tak sangka. India bakal menjadi negara maju sedikit masa lagi kan. Berapa lama Hakim duduk sana?. Ada jumpa Shah Rukh Khan tak?”, usiknya seraya meneguk air oren.
Hakim tersengih. “Tak jumpa la. Tapi kan...Hakim banyak kali ke Agra. Hakim masuk dalam Taj Mahal. Sangat mengagumkan apabila melihat tugu cinta yang dibina Shahjahan kepada Mumtaz di hadapan mata”, ceritanya lagi. Matanya menyorot wajah ayu dihadapannya yang sedang menunduk.
Tangan kanan puteri berhenti menyuap nasi. Butir-butir nasi di dalam pinggan di pandang lama. “Taj Mahal”, ujarnya seperti berkata kepada diri. Wajahnya diangkatkan memandang wajah Hakim. “Ceritalah..apa yang buat Hakim kagum”, ajunya dalam riak bersungguh. Seleranya telah mati lalu dia membasuh tangan dengan air basuh tangan di atas meja. Tisu putih diraih lalu dilapkan kedua belah tangannya.
“Pemandangan di Taj Mahal membangkitkan perasaan duka dan membuatkan matahari serta bulan menitiskan air mata”, ujar Hakim sedikit berpuisi.
“Wah..indah sungguh. Sejak bila pandai bersastera ni?”, usik Puteri dalam senyuman manis.
Hakim memuncungkan bibirnya. “Bukanlah. Kata-kata puitis tu ditulis oleh Abdul Hamid Lahori mengenai pemerintahan Shahjahan dalam buku Badshah Nama. Semasa Hakim di sana, berada di dalam Taj Mahal..Hakim rasa sangat sayu. Seakan Hakim dapat merasa, menyelusuri kembali cinta agung Mumtaz dan Shahjahan yang romantis, tulus dan penuh tragedi. Mula-mula Hakim pelik kenapa Taj Mahal termasuk dalam satu daripada bangunan ajaib dunia..tetapi lepas beberapa kali ke sana..benarlah memang Taj Mahal bangunan ajaib. Mengagumkan!”, ujarnya bersungguh.
Puteri memanggungkan dagunya selepas mengelap tangannya. “Apa yang buatkan Taj Mahal tu banggunan ajaib?”, soalnya ingin tahu.
Hakim tersenyum manis memandang wajah Puteri. “Hakim lapar la. Nanti Hakim beritahu”, sahutnya langsung menghadap hidangan yang tidak disentuh sejak tadi. Dia makan dengan penuh selera.
Puteri ingin memprotes, namun melihat cara Hakim menikmati hidangan itu, dia tidak jadi menyuarakannya. Biarlah..banyak lagi masa. Bisik hatinya. “Hakim...lama ke Hakim balik ni?”.
Hakim berhenti mengunyah. “Malam ni Hakim balik ke UK semula. Ada dua tahun  lagi, lepas tu konvo”, balasnya.
Puteri membulatkan matanya. “UK?. Hakim ambik perubatan ke?”, soalnya lagi.
Hakim menggeleng. “Tak. Ingat tak dulu..Hakim pernah lukis satu pelan sebuah rumah?”.
Puteri pantas mengangguk. Mana mungkin dia lupa. Lukisan itu merupakan satu karya yang mengagumkan.
“Hakim ambil kos architecture sebab nak tunaikan impian Hakim untuk bina rumah tu”, terangnya dalam suara perlahan.
Puteri terpempan. Mata Hakim direnung lama. “Are you serious?”, soalnya tidak percaya.
Hakim mengangguk beberapa kali. “Hakim akan bina sebagai tanda cinta Hakim kepada Mumtaz Mahal. Permaisuri istana Hakim”.
Mata Puteri tidak berkedip. Wajah arwah ibunya kembali bermain di benaknya. Ayahnya telah menunaikan janji kepada ibunya dengan membangunkan sebuah rumah yang menjadi tugu cinta Mirza kepada Mumtaz. Kini..lelaki ini pula cuba menunaikan impian cintanya. Wajah Hakim direnung lama. “Err..siapa mumtaz mahal...err..permaisuri istana Hakim tu?”, soalnya ingin tahu. Tiba-tiba dia merasa cemburu begitu. Cemburu kepada gadis bertuah itu.
Hakim      terdiam, merenung mata bundar bening itu. “Malam nanti..Hakim bagitau. Tapi Puteri kenalah hantarkan Hakim ke Airport”, balasnya berbau saranan.
Puteri tersenyum lebar. “Boleh. Malam ni pun Tengku Shafika akan terbang ke UK. Honeymoon kat sana. “Haa..lupa tanya. Abang Haikal buat apa sekarang?”.
“Insyaallah, tahun depan dapatla gelaran Dr. Haikal. Abang Haikal ambil perubatan di India”, Hakim bercakap dalam mulut penuh.
Puteri menganggukkan kepalanya. “Kak Erina pun dah kawin. Dah ada anak pun. Masa berlalu dengan cepat kan?. Esok-esok giliran Puteri pula...”.
Hakim berhenti menyuap, wajah Puteri direnung lama. “Giliran apa?”, soalnya serius.
 “Kat sini rupanya puteri”, tegur satu suara lelaki.
Hakim mengangkat wajahnya. Matanya membulat melihat gerangan lelaki yang amat dikenalinya. “Tong Leik Kian?”, soalnya kaget.
Lelaki berkulit putih cerah itu mengangguk. “atau..Muhammad Iman Saifullah”, dia membetulkan lantas menyalami Hakim.
Puteri tersenyum manis kepada lelaki cina itu kemudian bangun, berdiri di sebelah Saifullah. Saling menghadap Hakim yang tidak berkelip mata sedari tadi. “Hakim..perkenalkan..Muhammad Iman Saifullah...tunang Puteri. Bakal suami Puteri”.
     Hakim terasa dirinya terbelah menjadi dua, lalu hancur berkecai.
*******
 “Nah, hadiah..untuk Puteri”, Hakim menyerahkan satu kotak sederhana besar kepada Puteri. Matanya tidak puas menatap penampilan Puteri yang kelihatan anggun walaupun tatkala mengenakan t-shirt putih lengan panjang, bertudung hitam dipadankan dengan seluar jeans hitam.
Puteri menyambut senyuman itu. “Terima kasih. Buat susah je”, ucapnya terharu.
“Mana Saifullah?”, soalnya tercari-cari kelibat jejaka itu.  
“Oh..dia pergi tandas tadi. Haa..sekarang bagitau Puteri..siapa Mumtaz Mahal tu?”, soalnya tidak sabar.
Hakim tersenyum pahit. Kemudian dia mengeluarkan satu compact powder berwarna putih dari kocek jaket jeans biru lalu dihulurkan kepada gadis itu.
Puteri mengerutkan dahinya. Dalam hairan, dia meletakkan kotak berbalut kertas putih itu ke bawah. Dengan teragak-agak dia menyambut lantas membuka penutup bedak padat itu. Dia tersenyum saat melihat biasan wajahnya di cermin bekas berbentuk empat segi itu. Wajah Hakim dipandang dengan geram. “Apalah Hakim ni. Apa kena mengena benda ni dengan Mumtaz Mahal?. Cepat cakap, siapa permaisuri bertuah tu?”,soalnya lagi.
Hakim mengenyetkan matanya, menjelirkan lidahnya. “Cari lah sendiri”, cabarnya.
Puteri mencemberutkan bibirnya. “Ala..bagitau je la. Lagi pun kita tak tahu bila akan berjumpa lagi”, desaknya.
Hakim menggoyangkan jari telunjuknya. “Kita akan berjumpa lagi. Pasti. Kerana kisah kita pasti ada”, balasnya tenang.
“Kisah kita?”, sampuk Saifullah tiba-tiba.
Puteri yang terkejut dengan kata-kata Hakim bertambah cemas dengan kehadiran tunangnya itu secara tiba-tiba. “Ohh..tak adalah. Hakim ni, dia ungkit kisah kita orang masa kat sekolah dulu”, terangnya berselindung. Tidak mahu tunangnya itu salah faham.
“Oh..kisah korang dulu..”, Saifullah menepuk dahinya. Perlahan dia mendekatkan wajahnya ke wajah Hakim. “Dulu..saya ingatkan kamu berdua yang akan kawin. Tapi tak sangka..takdir kembali menemukan saya dan Puteri setahun yang lepas. Selepas membuat solat istikharah..saya yakin dia permaisuri istana saya. Tak sangka dia terima saya akhirnya”, ceritanya sambil merenung manja ke mata Puteri.
Puteri tersenyum segan. Telefon di dalam tas tangan berbunyi. Dia membuka tas tangan, mengambil telefon i-pad berwarna putih. Melihat nama Tengku Syafiqa yang tertera di skrin telefon, dia tahu dia harus menjawabnya. Pasti pengantin baru itu tercari-cari kelibatnya. “Maaf ya”, ucapnya seraya menjarakkan kedudukannya daripada mereka.
“Oh..begitu..Senang tak, nak dapatkan Puteri?”, soal Hakim kembali memandang lelaki cina dihadapannya.
Saifullah menggelengkan kepalanya. “Susah..dia bukan mudah untuk dijinakkan. Saya sampai sekarang tak percaya dia akan jadi isteri saya dua bulan lagi. Rasanya...dia terima saya sebab saya pernah kata macam ni pada dia. Saya nak ulang kembali kisah cinta Shahjahan dan Mumtaz. Saya akan jadikan dia permaisuri istana saya di dunia juga di akhirat kelak”, ceritanya lebih lanjut.
Hakim terpempan dengan cerita itu. Adakah aku terlambat?. Soal hatinya. Mendengar panggilan terakhir penumpang ke UK di corong speaker, dia tersenyum pahit kepada lelaki cina itu. Bersalaman lantas berpelukan erat. “Jaga Puteri baik-baik. Semoga berbahagia bersama permaisuri istana, Puteri Ishika”, ucapnya tulus.
Saifullah mengangguk dalam senyuman manis.
Puteri melangkah laju ke arah dua lelaki itu apabila selesai bercakap dengan rakannya. Tengku Shafika akan terbang ke UK untuk berbulan madu. Dia menunggu kelibat gadis dari keluarga diraja itu di terminal yang sama. “Dah nak masuk?”, soalnya memandang wajah Hakim.    
Hakim mengangguk. Beg sandangnya dibetulkan letak kedudukan. “Pergi dulu..Assalamualaikum”, ucap Hakim mengangkat tangannya seraya melangkah perlahan ke balai perlepasan.
Waalaikumussalam”, sahut mereka serentak. Puteri dan Saifullah melambaikan tangan mereka kepada Hakim.
Bahu Saifullah ditepuk dari tepi. Melihat wajah Megat Shahran disebelah Tengku Shafika dia terus menumbuk lembut bahu lelaki itu.  
“Puteri”, panggil Tengku Shafika dari jauh. Terasa pelik melihat rakannya itu menapak perlahan ke satu arah.
Puteri berpaling, membuat isyarat tangan supaya gadis itu menunggunya. Puteri kembali merenung tampang Hakim beberapa meter di hadapannya. Tanpa sedar, kakinya semakin melangkah laju, bagaikan mengekori langkah Hakim. Hatinya berat melepaskan jejaka itu pergi. Dia tidak tahu mengapa. Adakah jejaka itu akan hadir pada hari perkahwinannya?. Kahwin?!!. Matanya membuntang luas. Dalam langkah tergesa-gesa dia berjalan laju, cuba menyaingi langkah Hakim.
“Kenapa Puteri?”, soal Hakim kaget melihat Puteri muncul di hadapannya dalam nafas yang termengah-mengah.
Puteri membuka tas tangannya, mengambil satu sampul berwarna ungu lembut lalu dihulurkan kepada Hakim.
Hakim membuka sampul itu. Satu kad cantik berwarna putih bertulisan warna silver. Kad undangan perkahwinan itu di renung kosong. Kembali memandang wajah ayu itu.
“Hakim akan datang kan?”, soal Puteri meminta kepastian.
Hakim merenung sayu menatap wajah gadis itu, kemudian kepalanya digelengkan. “Tak”, balasnya sepatah. Melihat ada garis pertanyaan di wajah gadis itu,  Hakim menambah. ”Hakim tak akan datang...”, ucapnya seraya berlalu menuju ke pintu balai perlepasan.
Puteri Ishika tergamam. Dia benar-benar terpempan dengan kata-kata itu. Masa seakan berhenti, terasa seluruh terminal itu menjadi lengang. Bedak padat ditangan, dibukanya kembali. Melihat imej wajahnya di cermin empat segi itu..membuatkan matanya membuntang. “Akukah..akukah..permaisuri istana yang dimaksudkan Hakim?”, soalnya dalam rasa tidak percaya.
Hakim berjalan laju sejurus melepasi pegawai yang bertugas di pintu balai pelepasan. Air mata yang ingin menitis, sedaya upaya ditahannya. Kepalanya digelengkan beberapa kali. “Tak. Kisah kita...akan ada..pasti ada...”, ucapnya kepada diri.    

3 awesome commentator:

  1. a`salam. writer saya minat sangat novel writer yg bertajuk kisah kita tapi malangnya writer dah lama x upload cerita nii saya rindu sangat nak baca cite nii harap writer sambung laa novel nii.=)

    ReplyDelete
  2. Novel ni best sgt. Saya suka. Harap dapat diteruskan lagi. Kalau boleh jadikan novel, saya pasti akan membelinya.

    ReplyDelete
  3. to writer: saya masih setia menunggu karya novel kisah kita ni harap novel ni akan disambung secepat mungkin sebab saya berminat nak tau cerita ni.terima kasih kepada writer kerana sudi membalas komen saya:)

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top