“Oh...maksud kau lelaki Thai yang kita jumpa dalam salun hari tu?” soal Najla dalam rasa kaget usai mendengar cerita Zawin. Hanya kerana kata-kata itu, rakannya itu mengubah paradigma diri?
            Zawin mengangguk. “Dia juga yang temankan aku hari tu masa di majlis Wan Zaidi dan Yasmin,” beritahunya lagi.
            Mata Najla serta merta membulat. “Hah? Dia temankan kau?” Najla benar-benar terpempan.
            “Ya la sayang oi. Janganla kau buat mata macam tu. Takut aku,” tegur Zawin.  Perut yang berbunyi membuatkannya terus menikmati Nigiri Sushi dan Sashimi.   
            Najla menghela nafas sambil berpeluk tubuh. Wajah Zawin dipandang penuh sangsi. “Ada apa-apa ke yang aku tak tahu tentang kau dan mamat Thai tu?”
            “Nama dia Zharif la.” Zawin membetulkan.
            “Ooo...Zharif...” Kepala Najla terangguk-angguk dan kemudian matanya membulat lagi. “Eh, dia islam ke?”
            “Ya dan dia ada darah kacukan thai-cina.”
            “Wahh...padan la muka dia ada ala-ala putera Thai gitu.”
            Zawin mengangguk, mengiakan kata-kata Najla. “Kau tak nak rasa ke Miyako Green Tea Ice Cream tu? Zharif syorkan aku cuba minuman ni minggu lepas. Sedap tau,” beritahunya lagi.
            “Hah? Kiranya kau memang selalu keluar dengan dia la?” soal Najla semakin  berminat.
            Zawin cuma mengangguk. “Dia lepas semua ujian BFF aku. Apa salahnya aku hang out sesekali dengan dia.”
            Najla sudah tersengih. “Best friend forever ke boy friend forever?” usiknya dalam kening terangkat-angkat.
            Zawin ketawa halus. “Dah. Jangan nak mengarut. Minum Green Tea Ice Cream kau tu. Ni ha...” Zawin menyorong pinggan berisi Miyako special role ke arah Najla. “Cuba Miyako special role ni. Ada udang tempura, isi ketam, acavado, unagi, dan mayonis dalam role ni. Di luar role ni disalut dengan telur udang. Sedap sampai menjilat chopstick tau,” saran Zawin bersungguh.
            Najla ketawa besar mendengar kata-kata Zawin. “Ya la aku makan,” sahutnya sejurus menyisip green tea ice cream. “Memang sedap,” puji Najla sebaik merasai hidangan yang disaran Zawin. Najla terangguk-angguk sendiri sebaik menikmati Miyako special role itu. “Memang sedap la Zawin!” pujinya.
            Zawin tersenyum kecil. “Tu baru sikit. Nanti aku order kan side dish. Tak sama tau dengan yang ada kat sushi bar dan lunch buffet tu,”  ujarnya lagi. Penutup Dobin Mushi sejenis soup pot kecil dibuka. Hidangan sup itu masih berasap.  Zawin mengambil lemon yang telah dihiris kecil lalu memerah jus lemon ke dalam pot kecil berisi sup yang sudah suam itu. Sup campuran jus lemon dituangkan ke dalam cawan kecil dibuat daripada seramik. “Nah, cuba la. Sup ni berisi cendawan dan beberapa jenis makanan laut. Aku namakan sebagai a perfect soup. Sedap tak hingat dunia tau,” sarannya lagi sambil menghulurkan cawan comel itu kepada Najla.
            “Kau ni la. Macam kau pula tuan punya restauran,” perli Najla dalam tawa tertahan.
            Zawin ketawa besar mendengarnya. “Tak apa. Nanti aku ngorat tuan punya restauran ni. Hari-hari aku dapat makan percuma.”
            “Ha...cakap la macam tu. Buatnya malaikat tepi kau tu aminkan, kawin betul kau nanti dengan taukey restoren ni. Kalau muda tak apa la, tapi kalau tua...nasibla kau,” bidas Najla.
            Zawin tersengih. “Biarlah. Asalkan poket dia penuh,” balasnya selamba.
            Najla menahan tawanya. “Dah la. Aku nak cuba sup perfect kau ni.” Cawan comel itu diraih lalu menyisip sup perlahan-lahan. Matanya terbuka luas. “Erm...rasanya luar biasa. Aroma cendawan terasa burst dalam mulut aku. Ada rasa manis dan masam dalam sup ni. It is a soup of perfection!” pujinya bersungguh.
            “Kan? Tu la aku dah cakap.” Zawin tersengih sendiri. Ikan kod yang dihidangkan bersama green tea noodles dan lemon grass sauce dinikmati bersungguh.
            Najla tersenyum melihat cara gadis itu menikmati hidangan makanan jepun itu. Udang tempura dikunyah perlahan sambil matanya menyeluruhi hiasan dalaman restoren hasil gabungan klasik dan moden. Simple and very inspiring! Hatinya memuji tanpa sangsi. Pandangannya kemudian dihalakan pada gadis-gadis berkimono kelihatan berkumpul di ruang hadapan restauran. Mereka bersama-sama menundukkan kepala dihadapan seorang lelaki muda. Najla mengerutkan keningnya. Eh, pemilik restoren ni orang muda ke? Soal hatinya. Sebaik wajah lelaki itu jelas pada pandangannya, mulut Najla serta merta terlopong luas. “Zawin!” panggilnya dalam nada cemas.
            Zawin terpinga-pinga. “Kau kenapa?”
            “Tu...Zharif kan?” soal Najla tidak sabar.
            Zawin berpaling ke belakang. Matanya dikecilkan, cuba menangkap wajah lelaki yang sedang berbual dengan beberapa gadis yang mengenakan kimono berwarna merah. “Ha...memang dia la. Kenapa?” Zawin kembali memandang wajah Najla.
            “Kau dapat tangkap tak apa yang aku fikir sekarang?” soal Najla kembali apabila melihat tiada reaksi pada wajah Zawin.
            Zawin mengerutkan dahinya. Cuba memikirkan apa yang sedang difikiran Najla. Pandangannya kembali dilontarkan ke arah Zharif yang sedang meneliti sebuah dokumen ditangannya. Kemudian jejaka itu melangkah ke arah seorang chef berketurunan Jepun di bahagian sushi bar. Zawin merasa hairan apabila melihat gadis-gadis berkimono yang berpapasan dengannya, masing-masing menundukkan kepala ke arahnya. Bagaikan memberikan hormat kepada V.I.P atau orang atasan. Orang atasan? Maknanya...eh, takkan la kot. Mata Zawin membundar luas. Pandangannya bersambung dengan pandangan Najla.
            Excuse me,” panggil Najla ke arah seorang gadis cina berkimono merah berhampiran meja mereka. 
            Gadis muda itu akur dan mendekati Najla. “Yes. Any dish to order?”
            Najla menggeleng. “No. I just curious. Who is that young guy?” soalnya sambil mengunjukkan jari telunjuk ke arah Zharif yang sedang berbual dengan chef di bar sushi.
“Oh. He is the owner of this restaurant. Why?” Gadis cina itu menyoal kembali.
            Zawin dan Najla serta merta bersabung pandang. “What?!”
********
            “Apa? Zawin...anak Dato’ Zawawi?” soal Datin Zainab dalam mata yang membulat. Cawan berisi teh hijau tergantung ditangan. Wajah suaminya itu dipandang dengan dalam rasa tidak percaya.
            Wan Zaidi dan Yasmin saling berpandangan dalam kaget.
            Dato’ Wan Zahid menganggukkan kepalanya. Perlahan lelaki tua itu menyisip teh hijau tanpa gula itu. Angin petang yang bertiup kencang, menyejukkan teh itu dengan cepat. Wajah isteri, anak dan menantunya itu dipandang seorang demi seorang. “Dato’ Zawawi cerita yang dia tinggalkan bekas isteri dan Zawin selepas berkawin lain. Katanya, dia benar-benar menyesal dengan keputusan terburu-buru lapan tahun lalu yang menyebabkan Zawin membenci dirinya sehingga kini. Mungkin...sebab itu Zawin tak pernah bercerita dengan kita latar belakang dia sewaktu berkunjung ke rumah kita,” ujarnya lebih lanjut.
            Yasmin benar-benar terkejut dengan cerita itu. “Maknanya Zawin tu...anak orang kaya?”
            Datin Zainab meraup wajahnya. Sungguh dia menyesal dengan keputusan terburu-buru mengahwinkan anaknya dengan Yasmin. Terasa berdosa apabila mengingati caranya melayan Zawin sebelum ini. “Dan Zawin juga bekerja sebagai pensyarah di UITM,” ujarnya perlahan.         
            Wan Zaidi hanya diam membisu. Dia masih terkejut dengan cerita ayahnya.
            Yasmin merenung wajah suaminya yang sedikit kaget kemudian ke wajah ibu mertuanya. “Hah? Mustahil la umi! Min ni kawan serumah dia dulu. Dia sendiri yang kata kerja dia pembantu am je. Bila Min tanya kenapa dia selalu hilang dan balik lambat, katanya buat kerja sambilan. Macam mana pula dia boleh jadi pensyarah?” Yasmin benar-benar tidak percaya dengan cerita ibu mertuanya.
            “Umi pun tak percaya masa mula-mula Tengku Azura beritahu umi yang Zawin tu pensyarah dia. Tapi takkanla Tengku Azura nak menipu pula. Depan Zawin pula tu Tengku Azura beritahu umi. Rasa malu tak payah cakap la bila ingat cara umi layan dia dulu. Tak sangka Zawin tu lulusan luar negeri. Betul Abang kata yang Zawin bukan sebarang gadis masa saya kutuk Zawin,” luahnya penuh kesal.
Dato’ Wan Zahid tersenyum pahit. “Abang dah nasihat pada Zai sejak dulu kan. Jangan pandang latar belakang seseorang itu tapi lihat daripada cara fikir seseorang. Masa pertama kali Abang tengok Zawin, Abang dah dapat rasa dia gadis terpelajar biarpun pakaiannya bukan dari jenama yang mahal. Masa Abang berbual dengan Zawin, Abang betul-betul kagum dengan pengetahuan yang dia ada. Setiap pertanyaan Abang, Zawin dapat jawab dengan baik. Bila Abang tanya dia betul ke dia belajar sampai peringkat SPM, dia jawab betul la dia ada sijil SPM. Rupanya kata-kata tu ada maksud yang lain.”
            Datin Wan Zainab mengeluh kecil. Karipap ubi dicapai lalu dikunyah perlahan.
            Wan Zaidi menghela nafas panjang. Dia juga pernah diserbu pertanyaan mengenai latar belakang pendidikan Zawin sejak dulu. Cara gadis itu bercakap penuh dengan ilmu dan bukan sekadar omongan kosong. Itu antara punca mengapa Zawin Az-Zahra istimewa dimatanya.
            Yasmin mengetap bibirnya. Faham la dia kenapa bilik gadis itu penuh dengan buku-buku rujukan dan kertas yang bertimbun di atas meja biliknya. Terasa ingin sahaja dia mengetuk kepalanya saat ini apabila memikirkan semua itu. Teh hijau yang sudah sejuk itu dihirup dengan rakus. Berpaling ke kiri, matanya menangkap wajah penyesalan suaminya. Hatinya jadi panas menggelengak serta merta. “Kenapa Abang senyap? Abang menyesal ke kawin dengan Min?” soalnya tanpa memperdulikan kedua mertuanya.
            Wan Zaidi tersentak. “Apa yang Min cakap ni?”
            “Min tahu, semua orang menyesal kan? Abang lebih-lebih lagi!” jerit Yasmin dengan geram.
            Dato’ Wan Zahid dan Datin Zainab terus berubah air muka. Mereka saling berpandangan, mempamerkan rasa tidak berkenan dengan sikap menantunya itu.
            Mata Wan Zaidi mencerlung garang. “Min! Tak malu ke buat perangai macam ni? Depan abah dan umi pun, Min berani tengking Abang!” marahnya dalam suara keras.
            Yasmin mendadak bangun dari kerusi. Wajahnya menjadi merah menahan marah. “Habis tu? Abang nak Min layan macam mana lagi? Min dah bosan. Asyik asyik nama Zawin yang jadi topik. Sekarang, semua orang menyesal kan bila tahu siapa Zawin tu kan?” Yasmin menjeling tajam lantas melangkah laju masuk ke dalam banglo. Sekejapan Yasmin keluar semula, menghidupkan enjin Toyota Vios lalu kereta buatan Jepun itu keluar dari perkarangan banglo.            
            Wan Zaidi menahan hatinya. “Maafkan isteri Wan ya umi, abah,” ucapnya dalam suara lirih.
            Datin Zainab mengetap bibirnya. “Mama yang patut minta maaf pada Wan, pada Abang. Mama...mama yang silap.” Air mata wanita itu luruh laju.
            “Mama...jangan la nangis. Mama tak silap, tapi Wan yang silap,” rayu Wan Zaidi bersulam rasa bersalah yang menggunung.
            Dato’ Wan Zahid menggosok-gosok belakang tubuh isterinya. “Biarlah, semuanya telah ditakdirkan. Jangan kita mengungkit hal lalu. Sekarang kita kena pandang ke hadapan,” pujuknya lembut.
            Datin Zainab mengesat air matanya. “Tapi mama betul-betul menyesal. Zawin...Zawin memang gadis yang baik,” ujarnya penuh lirih.
            “Mama...dah la. Benda dah jadi. Sekarang mama kena terima Yasmin seadanya. Dia menantu mama.” Wan Zaidi menggenggam tangan ibunya.
            Dato’ Wan Zahid berdehem sejenak. “Bercakap tentang Yasmin...boleh abah kata sesuatu?” Mata lelaki tua itu menatap wajah anak lelakinya.
            Wan Zaidi pantas mengangguk.
            “Ajar isteri kamu tutup aurat rambut. Abah tak berapa berkenan dengan rambut perang dia tu. Pakaian pula terlalu menjolok mata. Abah harap Wan fikirlah dalam-dalam tentang apa yang abah cakap ni. Kita ni orang islam, Wan. Abah tak nak anak abah tanggung dosa sebab perkara ni. Cakap la baik-baik dengan dia,” ujar Dato’ Wan Zaidi dengan tenang. 
            Wan Zaidi tersentak lalu mengangguk laju. Dia tahu tanggungjawabnya kini amat berat. Bagaimana harus aku mendidik Yasmin? Ah! Sukarnya!
*******
            Teruterubuzo : Apa khabar hata di sana? Bagaimana cuaca di Jepun sekarang?
            Hata : Baik baik sahaja. Di sini sekarang musim panas. Hujan sudah tidak turun dalam beberapa hari. Malam ni bulan mengambang penuh. Sangat cantik. Bagaimana di Perancis?
            Teruterubozu : Hah? Sama la. Bulan sangat terang malam ni. Sangat indah. Tak sangka dah masuk malam ke 14 ramadhan.
            Hata : Tu la kan. Bulan penuh ni mengingatkan hata pada lagu Once in a blue moon  karya Ban Kazuhiko. Tahu kan, lagu ni yang Hasegawa Takeishi compose dalam drama With Love?
            Teruterubozu : Mestila saya tahu. Saya kan Teruterubozu. Encik hata salah hantar lagu ni ke email saya.
            Hata : Hahaha. Pandai la. Teruterubozu dalam drama With Love tu nama dia Murakame Amane. Teruterubozu yang sedang berada di sana apa nama ya?
            Teruterubozu : Oops...encik hata dulu yang perlu beritahu nama sebenar dan saya tahu hata bukan bermaksud hasegawa takeishi kan?
            Hata : Kenapa?
            Teruterubozu : Sebab awak bukan orang jepun. Awak melayu kan?
            Hata : Tak la. Saya bukan melayu.
            Teruterubozu : Ya la tu. Ha...berbalik pada lagu Once in a blue moon, lagu ni sangat menyentuh hati saya dengan mendalam.
            Hata : Betul? Ok, terangkan kenapa.
            Teruterubozu : Once in a blue moon...sangat jarang berlaku. Dalam drama with love, saya tafsirkan frasa lagu ni sebagai “takdir.” Saya masih ingat sewaktu Hasegawa Takeishi terangkan pada Mukarame Amane bahawa bulan penuh walaupun membawa maksud peristiwa misteri akan berlaku namun bukan satu malam yang misteri. Mungkin maksud yang cuba dikatakan hasegawa takeishi adalah “Once in a blue moon” tidak perlu selalu berlaku. Untuk mencari cinta yang istimewa adalah sangat jarang berlaku seperti “Once in a blue moon,” tetapi apabila kita berjaya memperolehnya, cinta itu akan sentiasa bersama kita.
            Hata : What a lovely thought. Benar. Hata dan Teruterubozu berkongsi blue moon yang sama. Mereka berdua selama-lamanya terikat dengan takdir dan walaupun mereka tidak bersama untuk seketika, namun cinta mereka disatukan oleh hati.
            Teruterubozu : Betul tu. Saya juga ingin terikat oleh hati bukan oleh idea cinta. Saya ingin memiliki seseorang yang sentiasa ada di sisi walaupun kadang-kadang untuk memperolehinya ada jalan sukar yang perlu ditempuh.
            Hata : Saya boleh jadi seseorang itu.
            Teruterubozu : Erm...Saya masih merindui seseorang yang istimewa.Seseorang yang saya tak mampu lupakan sehingga kini.
            Hata : Oh, begitu. Boleh saya tahu siapa nama dia.
            Teruterubozu : Tak perlu la tahu. Lagu Once in a blue moon adalah satu-satunya lagu yang saya tahu main menggunakan piano.
            Hata : Kenapa?
            Teruterubozu : Sebab saya tak ada basic piano. Tapi sebab saya minat sangat lagu tu, saya push diri saya untuk belajar main piano. Hasilnya, hanya lagu itu saja yang saya tahu main.
            Hata: Wah!! Memang saya kagum dengan usaha awak. Awak tahu...saya nak sangat jumpa awak.
            Teruterubozu : Malangnya saya belum bersedia untuk jumpa dengan awak.
            Zharif mengeluh berat. Mesej archieve yahoo messenger itu sering diulang baca tatkala rasa rindu terbit kepada sang pemilik nama pena Teruterubozu. Gadis itu dikenalinya lewat sebuah forum bual yang membincangkan mengenai drama jepun With Love. Serta merta mereka menjadi kawan namun dia tidak pernah mengetahui nama sebenar apatah lagi melihat gambar gadis itu. Gadis misteri itu terlalu berahsia! Semenjak gadis itu hilang setahun lalu, mendadak hidupnya menjadi sunyi kembali.
            Zharif bangun daripada kerusi lalu melangkah ke balkoni biliknya. Kepalanya didongakkan ke arah langit malam yang terang. Bulan purnama sedang bercahaya megah di angkasa. “Subhanallah! Begitu indah ciptaanMu ini Ya Allah,” ucapnya perlahan. Lama matanya merenung bulan penuh itu sehingga wajah Zawin muncul di situ. Zharif tersenyum sendiri. Gadis melayu itu sungguh istimewa. Zawin Az-Zahra berjaya mengisi kekosongan dalam hidupnya selepas teruterubozu menyepi.
            Zharif mengeluarkan dompet Levis birunya lalu merenung gambar wajah seorang gadis remaja di sudut tengah dompet itu. “Siapa sangka...takdir tuhan menemukan kita kembali,” bisiknya perlahan seraya tersenyum lebar.
********
            “Ke mana suami kau pergi outstation?” soal Zamri sambil membelai rambut Yasmin. Tangannya membetulkan selimut di tubuh wanita itu.
            “London,” balas Yasmin dengan malas. Tubuh sepupunya itu dipeluk erat dalam pelukan.
            “Kau cintakan dia?”soal Zamri ingin tahu.
            Yasmin melepaskan pelukan, merenung mata Zamri. “Come on la. Kau kenal aku bukan? Cinta bukan elemen penting pun dalam sesuatu hubungan.”
            “Habis tu kau kawin dengan dia atas dasar apa? Kau tidur dengan aku pula atas dasar apa?”
            Yasmin membelai pipi Zamri. “Malas la cakap tentang Wan Zaidi. Kau tahu bukan, aku kenal seks bermula daripada kau. Dalam ramai-ramai lelaki yang tidur dengan aku, kau yang paling hebat.”
            “Habis tu kenapa kau tak kahwin je dengan aku?”
            Yasmin membuat muka bosan. “Aku tak suka la terikat.”
            “Kalau kau mengandung anak aku macam mana?”
            “Ala...apa yang kau nak risau. Wan Zaidi kan ada. Lagi pula dalam dunia ni bukan semua bayi dilahirkan atas dasar cinta.”
            Zamri terdiam. Wajah gadis jelita yang ditemui di majlis perkahwinan sepupunya itu melintas di benak. “Zawin jenis yang sosial juga ke?”
            Yasmin tersentak. “Kenapa kau tanya begitu? Kau tahu kan aku tak suka apa-apa persoalan berkaitan perempuan tu.”
            “Aku cuma tanya. Aku rasa dia macam perempuan yang baik.”
            “Habis tu aku perempuan tak baik la.” Mata Yasmin sudah mencerlung tajam.
            Zamri menggelengkan kepalanya disulami senyuman nakal. “You perempuan yang baik tapi...baik sikit je.” Zamri mengenyetkan matanya.
            Yasmin tergelak mendengar kata-kata itu. Dia kembali memeluk tubuh sasa itu. Saat-saat berharga bersama Zamri perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Berada di rumah Wan Zaidi membuatkan dia sentiasa rasa sesak dan sukar bernafas. Ibu mertuanya sering mengajaknya melakukan aktiviti yang tidak digemarinya. Ayah mertua pula sering membuat air muka tidak senang terhadapnya. Sungguh dia bosan. Sekejapan dia terlena diatas dada Zamri.
*******
            “Habis tu, kau tak tanya Zharif?” soal Najla sambil mengerutkan keningnya. Tangannya mengurut kaki yang lenguh setelah lama berjalan di pusat beli belah Mid Valey.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Tak. Bagi aku dia ada hak nak beritahu atau sembunyikan apa-apa daripada aku. Aku ni kan kawan dia je sebab tu aku tak terasa pun.”
            “Tapi betul ke kau tak nak tahu siapa Zharif Zahir yang sebenarnya? Kalau aku la, dah lama aku tanya lepas kau nampak dia dengan lima buah mercedez tu.”
            “Aku rasa tak perlu berbuat begitu. Itu hal peribadi dia. Aku tak ada hak nak tanya dan masuk campur. Lagi pula, dia tak pernah bertanya lanjut tentang Dato’ Zawawi kepada aku dan aku tak nak dia tanya tentang lelaki tu.”
            Najla terdiam sejenak. Dia mengisar punggung di atas kerusi besi berwarna coklat itu. Wajah Zawin dipandang lama. “Kau rasa bila kau akan maafkan ayah kau?”soalnya hati-hati.
            Zawin mengeluh pendek. “Entah la Najla. Luka hati aku ni sangat dalam. Biarpun dah dijahit, tapi parutnya tetap ada. Selagi parut itu ada, selagi itu mengingatkan aku tentang luka semalam. Sungguh sukar!” luahnya dalam suara lirih. Pandangannya dilontarkan pada seorang kanak-kanak perempuan yang sedang didukung oleh ayahnya. Dia juga pernah bahagia begitu, malah dia pernah berbangga memiliki ayah yang penyayang tetapi kerana satu peristiwa, hatinya benar-benar keras untuk memaafkan apa lagi menerima kembali lelaki bernama Dato’ Zawawi dalam hidupnya. Hatinya menjadi sayu dan bertukar kepada rasa sebak. Dia mendongak ke atas, berusaha meleraikan emosi yang mencengkam dada.
            Najla tidak terkata apa. Luka yang ditinggalkan ayah gadis itu nampaknya lebih besar dan dalam berbanding luka yang diberi  Iskandar mahupun Wan Zaidi. “Aku faham Zawin. Tapi sungguh pun begitu, lelaki bernama Dato’Zawawi adalah punca kau lahir ke dunia ni. Aku sampai sekarang masih ada rasa kempunan dengan kasih sayang seorang ayah. Ayah aku tidak pernah hadir saat aku perlukan dia di sisi. Masanya banyak diberikan pada keluarga yang satu lagi sehingga dia meninggal pun keluarga kami tidak diberitahu. Kau sangat bertuah Zawin. Aku sering cemburukan kau sewaktu kita kecil dahulu. Ayah kau seorang lelaki yang sangat penyayang dan selalu ada di sisi kau,” beritahunya dalam suara yang bergetar.
            Zawin terkesima mendengar kata-kata itu. Lama dia menyepi sebelum menyambung bicara. “Tapi kau bahagia dalam urusan hati, kau berjaya mendapat cinta sejati. Tapi aku...”
            “Jangan kata begitu. Hidup kita masih panjang. Separuh peta ada dalam genggaman kita tetapi yang selebihnya ada dalam pengetahuan ilahi. Mungkin sahaja Allah S.W.T telah ciptakan lelaki yang lebih baik untuk kau selepas memberi dugaan sebegini.”
            Zawin menghela nafasnya lagi. Matanya tepat menatap anak mata coklat wanita itu. “Terima kasih Najla. Kau memang sahabat sejati aku. Hari ni kau cakap je apa yang kau nak. Aku belanja,” ujarnya seiring senyuman manis.
            “Betul ni?” Najla sudah tersenyum kambing.
            “Pernah ke Zawin Az-Zahra yang kau kenali ini tidak mengotakan kata?” Zawin memuncungkan mulutnya.
            Najla tergelak besar. “Ok. Jom gerak semula.” Najla mengambil beberapa beg berisi barangan shopping di lantai dan berjalan dahulu dihadapan.
            Zawin mengikuti langkah Najla.
            “Eh! Itu kan...” Najla mengarahkan jari telunjuknya ke arah eskelator kepada Zawin berbaur rasa kaget.
            Zawin membulatkan matanya melihat pasangan yang sedang berpelukan di atas tangga lif itu. “Yasmin?”
Zawin dan Najla saling berpandangan.
            “Siapa lelaki tu? Gila la Yasmin ni. Bukan dia baru kahwin ke? Kalau ya pun biarlah setahun ke dua tahun ke baru tunjuk perangai sebenar dia tu. Kau kenal ke lelaki yang berkepit dengan dia tu?” soal Najla bersulam rasa sebal.
            Zawin memerhatikan wajah lelaki itu dengan lebih lama. Setelah kedua pasangan itu dibawa eskelator turun ke bawah, matanya terus membulat luas. “Itu Zamri! Sepupu Yasmin. Aku jumpa mamat tu masa majlis kahwin hari tu,”beritahunya lambat-lambat.
            Najla tersengih sinis. “Bila lah dia nak insaf. Kesian Wan Zaidi...eh silap, padan muka Wan Zaidi!” cemuhnya dalam mimik muka meluat.
            Zawin tidak membalas kata-kata rakannya sebaliknya menapak ke arah pasangan itu.
            Mulut Najla terlopong melihat tindakan Zawin.
            “Hai Yasmin, Zamri,” tegur Zawin dengan mimik muka gembira.
            Yasmin tersentak.
            Zamri terkesima. Serta merta dia melepaskan pelukannya daripada tubuh Yasmin.
            Zawin memandang sinis pada dua insan itu. Nama lelaki itu sering meniti dibibir Yasmin tentang kehebatannya beraksi di ranjang.  “Tak sangka begitu cepat kau mencari kepuasan dari luar. Kenapa? Wan Zaidi tak cukup hebat di ranjang ke?”
            Yasmin diserbu rasa malu yang amat. Apatah lagi kata-kata itu didengari oleh orang ramai yang lalu di situ. “Apa masalah kau? Kalau aku hubungan di luar pun, ada kena mengena dengan hidup kau ke? Tak ada kan? So, jangan nak masuk campur dalam urusan hidup aku!”
            “Ok. Memang aku tak akan masuk campur pun dalam urusan hidup kau. Cuma satu je aku nak nasihat. Pintu taubat masih terbuka. Cepat-cepat la bertaubat sebelum ajal menjemput,” nasihat Zawin sebelum berlalu.
            “Kau nak aku buat perkara yang sama pada Zharif ke?” laung Yasmin separa kuat.
            Zawin berhenti melangkah. Dia kembali berpaling, mendekati wanita berambut perang itu. Wajah wanita itu ditatap tajam. Benarkah Zharif tidak mengenali perempuan sosial ini? Hatinya mula sangsi. “Ok, aku cabar kau goda Zharif dan rampas dia daripada aku. Tapi aku yakin yang kau tak akan dapat sebab Zharif lelaki yang bijak. Zharif tidak sedungu suami kau!”    
            Hati Yasmin menggelodak marah. Serta merta tangan kanannya diangkat untuk menampar pipi gadis itu.
            Zawin menepis pantas, lalu memulaskan tangan kanan itu ke belakang tubuh Yasmin.
            “Aduh!” jerit Yasmin kuat. Terasa kesakitan di bahagian tangan menjalar ke seluruh badan.
            Zawin mendekatkan bibirnya ke telinga Yasmin dari arah belakang. “Satu lagi kau harus tahu yang aku pemegang tali pinggang merah silat gayong. Jadinya apa-apa tindakan bodoh kau di masa hadapan, kau akan tahu apa akibatnya. Faham?” Zawin memberikan amarannya lantas melepaskan pantas tangan itu.
            Tubuh Yasmin terdorong ke hadapan namun sempat disambut oleh tangan Zamri. Rambut ikal perang itu menutup sebahagian wajahnya. Dia cepat-cepat berdiri, menyeka rambut di wajah, lalu merenung Zawin dengan penuh dendam. Dia sudah tidak peduli pada mata-mata yang memandang pertelingkahan itu. “Jaga kau Zawin! Zharif akan jadi milik aku nanti!”
            Zawin tersengih. “Buat la. Aku pun tak sabar nak tengok kekalahan kau,” sahutnya penuh sinis.          
*******
             Reunion? Bila?” soal Zawin dalam mata membulat.
            “Bulan depan,” beritahu Najla.   
            “Erm...kau nak pergi ke?” soal Zawin lagi.
            “Pergilah. Lama sungguh tak jumpa kawan-kawan lama. Kau pun...apa salahnya pergi. Selama kau di Edinburg, kau ada alasan untuk tak hadirkan diri. Apa salahnya kau pergi kali ni kan?” Najla mengujarkan.
            Zawin terdiam. Dia memang ingin berjumpa kembali sahabat-sahabat lama, namun apabila wajah Arnida melintas di benak, rasa terujanya terus mati. “Nanti la aku buat keputusan,” beritahunya lambat-lambat.
            Najla merenung wajah gadis itu. “Aku takkan paksa kau. Tapi tahun ni aku nak pergi. Kau tahu sebab apa aku nak pergi?” pancingnya sambil mengangkat-ngangkatkan keningnya.
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya. “Mana la aku tahu.”
            “Aku nak jumpa dengan Nasran dan Umi. Aku nak interview depa tentang macam mana depa boleh kawin.”
            Zawin kaget. “Depa berdua tu? Ha? Biar betul...”
            “Tu la. Anjing dan kucing tu entah bila berdamai. Dulu gaduh bagai nak rak, tup tup tiba-tiba bulan lepas boleh bersatu. Aku baru tahu tadi masa aku approve Nasran punya request dalam Facebook. Terkejut sangat eh. Rasa nak pengsan aku tengok gambar kahwin depa,” terang Najla bersungguh.
            Zawin ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Siapa sangka takdir tuhan menyatukan dua seteru itu. Apabila mengingati wajah rakan-rakan seperjuangan dahulu, serta merta terbit rasa rindu. Namun dia tidak mahu bertembung dengan insan-insan yang pernah melukakan hatinya.
            “Kau tahu...Raihan yang charge reunion ni kata, Arnida tak dapat datang,” beritahu Najla lagi sambil meneliti wajah gadis dihadapannya.
            Zawin diam lagi.
            “Aku tahu, Arnida adalah punca kau sentiasa mengelak bila ada reunion bukan? Pergi la Zawin, ikut serta. Ramai sangat tanya tentang kau masa reunion dua tahun lepas,” pujuk Najla.
            Zawin mengeluh kecil. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. “Kau benar-benar yakin yang...perempuan tu...tak datang,” soalnya lambat-lambat.
            Najla mengangguk penuh yakin. ”Dan satu lagi yang kau harus tahu.  Iskandar. Dia dah pulang Ke Malaysia.”
            Jantung Zawin bagaikan mahu luruh mendengar berita itu. .”.err...apa kau kata?” Zawin meminta kepastian. Lelaki itu pernah membuat tiga kali friend request dalam laman sosial Facebook yang membawa rentetan akaun Facebook nya sehingga kini tidak diaktifkan.
            “Ya.  Iskandar. Dia baru balik dari Jepun. Sekarang bertugas di hospital Tengku Ampuan Rahimah. Dekat sangat dengan kita ni kan? Dengar cerita, dia pun akan datang reunion,” cerita Najla lagi.
            Zawin sudah tidak keruan. Sebetulnya, hatinya melonjak gembira...namun akalnya menahan rasa itu.
            “Kau masih marahkan dia? Lupakan lah semua tu. Kita tahu, itu semua rancangan Arnida. Bukan salah dia sepenuhnya,” pujuk Najla lagi.
            Zawin menelan liurnya, menarik nafas dalam-dalam. “Aku balik dulu,” beritahunya sambil mengambil tas tangan dan dua buah buku di atas meja. Kakinya melangkah laju keluar dari bilik Najla.
            Najla menggelengkan kepalanya. “Zawin...Zawin. Aku harap kau akan datang.  Iskandar...lelaki itu benar-benar harapkan kedatangan kau,” bisiknya perlahan.
*******

            “Min...makan la aiskrim tu,” tegur Wan Zaidi apabila dilihatnya isterinya itu seperti tidak berselera untuk menyentuh pencuci mulut di restoren perancis itu.
            “Ya la,” jawabnya tidak acuh. Dia berusaha menghabiskan aiskrim berperisa strawberry itu dengan malas.
            “Min ada masalah ke? Abang tengok Min macam tak ada mood je beberapa hari ni?” soal Wan Zaidi penuh prihatin.
            “Tak ada apa la,” balasnya lambat-lambat.
            “Erm...” Wan Zaidi sudah malas untuk bertanya. Sungguh dia bosan dengan kehidupan sekarang. Tetapi kenapa dulu hidup aku ceria, sentiasa bahagia? Hatinya menyoal kembali. Bayang wajah Zawin menerpa ingatannya. Terasa bagaikan sembilu yang merobek dada sendiri. Berada di sisi Zawin, sering membuatkannya tersenyum dan ketawa. Tidak pernah ada rasa bosan yang menerpa. Gadis itu sebenarnya punca dia bahagia dahulu dan kerana kebodohan sendiri, kebahagiaan itu turut pergi dari hidupnys.
            “Hai guys, makan tak ajak pun,” tegur Zamri yang tampil kacak dengan t-shirt polo putih berpadanan seluar jeans hitam.
            “Oh, Zamri. Dudukla,” pelawa Wan Zaidi. 
            Zamri tersenyum lantas mengambil tempat duduk di sebelah Yasmin.
            Yasmin yang kelihatan layu tiba-tiba bagaikan baru di cas bateri baru. Dia tersenyum lebar. “Buat apa kat sini?” soalnya dengan gembira.
            “Makan dengan kawan tadi. Dia dah balik. Tak sangka jumpa Min dan Wan di sini,” beritahu Zamri.
            Wan Zaidi terasa pelik dengan perubahan isterinya namun memikirkan hubungan rapat antara Yasmin dengan sepupunya itu  sejak dulu, rasa sangsi menjadi pudar. “Oh ya Zamri, hari tu masa kita keluar tengok wayang, ada soalan yang kamu nak tanya kan, tapi kamu terlupa tanya balik. Apa dia? Maafla baru teringat tentang ni.”
            “Ha...tu la. Tentang soalan Zawin,” beritahu Zamri tanpa menghiraukan perasaan Yasmin yang sudah berubah air muka saat dia menyebut nama gadis itu.
            Wan Zaidi mengerutkan keningnya. “Soalan apa?” Hatinya berdetak laju mendengar nama itu disebut Zamri.
            “Masa aku nak mengorat dia kat majlis korang hari tu, Zawin ada tanya mengenai lima situasi yang berlaku serentak dan suruh aku pilih situasi mana yang aku nak selesaikan dulu. Ada air mendidih di dapur, air melimpah di bilik air, bayi menangis, telefon berdering dan pintu diketuk dari luar. Aku pilih la buka pintu dulu. Tapi pilihan aku tu yang menyebabkan Zawin tak nak berkawan dengan aku. Kenapa agaknya? Kau tahu tak?” Zamri menatap wajah suami sepupunya itu.
            “Oh...tentang tu...” Fahamla Wan Zaidi mengapa gadis itu terus menolak Zamri biarpun sekadar menjadi kawan. Matanya dikalihkan kepada isterinya. “Kalau Min...apa yang Min nak pilih dulu?” soalnya serius. Dia ingin menguji isterinya sebelum menjelaskan maksud kelima-lima situasi itu.
            Yasmin melagakan gigi atas dan bawahnya. “Kalau Min mestila tutup air yang melimpah dulu. Membazir tu.”           
            Wan Zaidi tersentak. Benar kah isterinya begitu? Jika benar, sungguh sukar dia menerima hakikat. Soalan itu pernah ditanya Zawin dan siapa sangka dengan memilih untuk memujuk bayi yang menangis, dia diterima menjadi kawan dan tidak lama kemudian menjadi teman istimewa. Sungguh dia merindui saat-saat dahulu bersama Zawin Az-Zahra.
            “Wan...apa maksudnya?” gesa Zamri dengan tidak sabar.
            Wan Zaidi berkira-kira sendiri samada ingin memberitahu maksud sebenar atau tidak. Telefon Yasmin yang berdering, membuatkan isterinya itu bangun dari kerusi dan menapak ke luar restoren. Matanya mengekori langkah isterinya dan kemudian menatap wajah Zamri.          “Sebenarnya ini adalah soalan psikologi yang ada maksud terselindung,” terangnya.
            “Ha? Ada kaitan ke?” soal Zamri tidak percaya.
            Wan Zaidi menganggukkan kepalanya. “Maksud situasi tu adalah menerangkan ciri utama yang seseorang itu pentingkan dalam memilih pasangan. Kau memilih untuk membuka pintu dulu bukan? Ini bermakna kau mementingkan rupa dan fizikal luaran. Sebab tu...kau ditolak oleh Zawin. Zawin paling tidak suka orang yang nak berkawan dengan dia kerana rupa dia,” terangnya lagi.
            Mulut Zamri terlopong luas. “Biar betul...err...” Zamri hilang kata-kata. Siapa sangka, dia terperangkap di situ.
            Wan Zaidi tersengih sendiri. Zawin memang gadis yang bijak dengan menguji soalan psikologi itu kepada sesiapa yang ingin mengenalinya. “Kalau pilih pujuk bayi yang menangis, maksudnya mementingkan cinta dan kasih sayang. Kalau pilih untuk jawab telefon maknanya pentingkan akhlak, budi bahasa. Ramai perempuan yang jawab untuk menutup air yang mendidih. Itu bermakna mementingkan keselamatan dan kebolehan pasangan untuk membimbing. Tapi pilihan yang terbaik adalah memujuk bayi yang sedang menangis,” terangnya lebih lanjut.
            Zamri sudah terangguk-angguk. Baru kini dia faham kenapa dia ditolak. “Dan...pilihan Yasmin tadi...apa maksudnya?” soalnya ingin tahu.
            Wan Zaidi tersentak. “Ha?..Erm...maknanya...dia mementingkan harta, kekayaaan dan wang ringgit,” terangnya dalam suara lemah.
            Zamri sudah mengangkat keningnya. “Habis tu kenapa kau pilih Yasmin berbanding Zawin? Aku rasa kau buat silap besar dengan memilih Yasmin,” ujarnya bersahaja.
            Wan Zaidi tidak terkata apa. Sudahnya dia menghela nafas berat.    



0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top