BAB 7
             
Conan Edugawa: Salam si cantik menawan Zawin Az-Zahra
            Zawin menatap lama window yahoo messenger di skrin lap-top. Dia ingin membalas, namun apabila mindanya mengimbas kembali pertemuan tidak sengaja bersama Zharif dan Yasmin, hatinya terus hilang minat untuk membalas. Zawin membuka laman Facebook lalu mengaktifkan kembali akaun Facebook. Tanpa teragak-agak, dia menerima friend request  Iskandar. Pertemuan sebentar tadi banyak menjernihkan salah faham lalu yang berlaku antara mereka. Benarlah Arnida punca keretakan hubungan mereka semasa remaja dahulu.
            Zharif Zahir: Baru aktif kan semula Facebook ek.
            Zawin buat tidak endah dengan kehadiran kotak bual di laman media sosial itu. Tekak yang terasa kering, membuatkan Zawin bangun untuk mencari air di dapur. Melintasi bilik rakan serumahnya, dia tersenyum senang tatkala mendengar bacaan ayat suci Al-Quran dari celahan pintu bilik. Ya Allah, semoga kekal hidayah yang kau berikan kepada Puteri Nur Diana. Doanya didalam hati.
            Zawin kembali semula ke bilik bersama mug berisi air horlick suam. I-Phone di atas tilam berbunyi, mengeluarkan lagu detektif Conan. Zawin malas untuk menjawab panggilan daripada Zharif. Sudahnya, dia hanya membiarkan panggilan itu tidak berjawab.  
            Zharif Zahir : Saya tahu awak ada di sana dan saya tahu juga awak marah dengan saya.
            Zawin menatap kotak bual kecil itu sambil mengherotkan bibirnya. Siapa yang tak marah! Air horlick suam dihirup perlahan.
            Zharif Zahir : Saya tidak pernah mengenali Yasmin sebelum ini. Siapa sangka, dia diambil bekerja didalam syarikat saya bekerja. Sebagai pekerja dibawah syarikat yang sama, pasti tidak dapat lari daripada bekerjasama bukan?Zawin...jangan marah saya. Tolongla balas mesej saya. Saya call pun awak tak jawab. Saya tak nak hubungan kita menjadi renggang gara-gara perkara ini.
            Zawin menghela nafasnya berulang kali. Penjelasan itu sedikit sebanyak menyejukkan hatinya. Namun persoalan besar muncul di fikiran. Siapa Zharif Zahir yang sebenarnya? Bukan kah dia pemilik restoren jepun? Adakah dia juga bekerja di bidang korporat sebagaimana Yasmin? Mindanya melayang pada hari dia melihat lelaki itu menerima tunduk hormat daripada lelaki-lelaki yang keluar daripada lima buah kereta mewah kira-kira dua bulan lalu. Mindanya juga masih kuat mengingati kata-kata Zharif mengenai kerjayanya yang tidak tetap.
            Perlahan kepalanya terangguk-angguk sendiri. Pasti Zharif seorang yang memegang jawatan tinggi di syarikat itu. Jika tidak, mustahil Zharif dikenali Dato’ Wan Zahid semasa dia membawa lelaki itu ke majlis perkahwinan Wan Zaidi dan Yasmin. Ayah Wan Zaidi itu amat terkenal dalam perniagaan hartanah dan perkapalan. Pasti Zharif juga orang kuat korporat! Hatinya menyimpulkan begitu.
            Zawin Az-Zahra : Siapa awak sebenarnya?
            Zharif tersenyum lebar saat membaca balasan dari gadis itu. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya Zawin memberikan tindak balas.
            Zharif Zahir : Kita keluar sekarang. Saya akan jelaskan siapa saya dan awak boleh tanya sebanyak mana yang awak nak.
            Zawin Az-Zahra : Tak nak la. Saya penat. Lain kali la saya tanya. Dah la perut meragam sekarang.
            Zharif Zahir : Kenapa? Tak sihat ke? Nak saya hantarkan ke klinik?
            Zawin Az-Zahra : Tak perlu. Cuma makanan korea tadi...tak kena dengan lidah jepun saya.
            Zharif ketawa besar usai membaca ayat itu.
            Zharif Zahir : Zawin...Zawin. Esok kita jumpa di restoren Miyako boleh? Dah lama kita tak keluar bersama kan.
            Zawin Az-Zahra : Ya la. Semuanya sejak awak berkawan dengan Yasmin. Entah mungkin suatu hari nanti awak pun akan buang saya dari hidup awak.
            Zharif Zahir : Jangan cakap begitu. Zawin adalah kawan istimewa saya. Tak ada orang boleh menggantikan tempat Zawin tau. Frankly speaking, apa yang Zawin rasa masa nampak Yasmin dan saya tadi?
            Zawin Az-Zahra : Err...mestila saya cemburu. Awak sendiri tahu kan sejarah saya dan Yasmin. Masa saya nampak awak dan Yasmin tadi, saya rasa awak sama dengan Wan Zaidi. Saya rasa saya telah kehilangan awak sebagai sahabat dan yang paling saya risau, awak akan terjebak dalam cinta terlarang dengan isteri orang.
            Zharif Zahir : Ok. Erm...saya tidak mudah jatuh cinta, apatah lagi dengan isteri orang. Itu awak jangan risau. Apa yang perlu saya buat supaya kawan saya ni tak rasa cemburu dan risau lagi?
            Zawin mengetap bibirnya perlahan. Perlu kah aku suruh dia memutuskan hubungan dengan Yasmin? Zawin menggelengkan kepala beberapa kali. Tak...tak...itu tindakan yang tidak profesional. Biarpun ingatannya masih lekat dengan amaran Yasmin untuk merampas Zharif daripada hidupnya, entah kenapa hatinya yakin Zharif tidak akan termakan pujuk rayu wanita sosial itu.
            Zawin Az-Zahra : Erm...pastikan kalau awak keluar bersama Yasmin, saya tiada di situ. Itu sahaja.
            Zharif Zahir :  Ok. Saya dah jangka apa yang awak cakap tadi.
            Zawin Az-Zahra : Kenapa?
            Zharif Zahir : Sebab saya tahu isi hati awak. Walaupun Yasmin dah buat perkara yang tidak patut pada awak, tapi awak tidak berdendam. Sebenarnya, kalau awak suruh saya putuskan hubungan dengan Yasmin, saya akan ikut cakap awak sebab saya tak nak kehilangan sahabat seperti awak gara-gara wanita bernama Yasmin. Lagi pula saya dan dia berurusan atas dasar kerja semata.
            Zawin tersenyum simpul sambil tangannya cekatan menaip.
            Zawin Az-Zahra : Kononnya tahu baca isi hati...ceh. Ok, boleh awak beritahu apa yang hati saya cakap sekarang?
            Zharif Zahir : Oo...awak sedang mengata saya kan?
            Zawin Az-Zahra : Eh, mana tahu? Betul la.
            Zharif Zahir : Hahaha...awak ni la. Ok, dah pukul 1 pagi ni. Mata saya pun dah berat.Selamat malam eyes smile princess.
            Zawin tersenyum melihat panggilan nama yang sering menjadi usikan lelaki itu. Zawin menutup Macbook Pro jenama Apple itu lalu melangkah menuju ke balkoni. Tatkala matanya menangkap bulan yang mengambang penuh di dada langit, senyumannya lebar terukir di bibir. “Once in a blue moon, bila kah bulan akan bertukar menjadi biru? Adakah aku berkongsi blue moon yang sama dengan  Iskandar?” bisiknya perlahan sambil memejamkan matanya rapat-rapat.

********

            “Zawin tak kisah kan?” soal Zharif saat mengambil tempat duduk didalam restoren perancis itu.
            Zawin menggeleng laju. “Kenapa?” soalnya kembali.
            “Err...tempat ni kan...err...”
            “Tempat saya dapat kad kawin Wan Zaidi dan Yasmin?” soal Zawin selamba.
            Zharif merenung lembut wajah selamba itu. “Siapa Zawin Az-Zahra sebenarnya?” Bagaimana gadis ini seakan begitu mudah melupakan kenangan pahit yang lalu?
            Zawin terkejut dengan soalan tidak disangka itu lantas mengerutkan keningnya. “Kenapa? Eh, soalan itu yang saya nak tanya pada awak. Ha...sekarang, terangkan siapa awak dulu?”
            Zharif tersenyum nipis. Jari jemarinya dirapatkan. Dia meneliti penampilan Zawin. Tudung krim campuran abstrak kuning dan biru dipadankan blouse labuh kuning cair dan seluar putih menyerlahkan sisi elegan gadis itu. “Zawin minat warna kuning ke? Kereta warna kuning. Jam tu pun kuning. Pendek kata barang-barang Zawin banyak warna kuning. Apa istimewanya kuning?”
            Zawin mengangkat keningnya. “Kenapa? Sakit mata ke?”
            “Kuning...buat Abang pening.” Zharif ketawa kecil usai mengungkapkan ayat itu.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Erm...kuning... Kenapa saya suka warna kuning? Mungkin sebab saya suka matahari. Saya suka cahayanya yang menggambarkan kecerahan dan keceriaan. Dulu suka sangat warna merah jambu, warna bunga sakura. Tapi kemudiannya, Cikgu Zharifah menerangkan peranan warna dalam psikologi. Kata Cikgu Zharifah, warna yang terbaik adalah kuning kerana peminat warna kuning bermakna dia seorang yang ceria, selalu berbaik sangka, dan tak suka gaduh dengan orang lain. Secara psikologi, warna ini merupakan warna paling bahagia dalam spektrum, memberi perasaan optimis, kegembiraan, watak riang dan meransang daya kretif dan imaginasi. Jadinya, kuning sering menjadi warna utama dalam apa jua pilihan,” terangnya lanjut.
            Zharif merenung wajah gadis itu bersungguh. “Sebab itu...Zawin mudah melupakan rasa kecewa pada Wan Zaidi kan?” duganya.
            Zawin terdiam sejenak. “Mungkin...mungkin juga sebab Zawin tak memberi hati sepenuhnya pada Wan Zaidi.”
            “Kenapa? Dia...bukan cinta pertama Zawin kan?” tebak Zharif lagi.
            Zawin merenung wajah jejaka dihadapannya. “Apa yang buat Zharif fikir begitu?”
            “Ada pepatah begini. Seorang lelaki sangat bertuah jika mendapat seorang isteri yang memilih lelaki itu berdasarkan cinta pertama.  Biasanya cinta pertama pada seorang perempuan adalah segalanya. Seluruh perasaan dicurahkan pada cinta pertama. Jika cinta pertama gagal dan bertemu dengan cinta kedua, perasaan yang ada biasanya tidak sepenuhnya diberikan untuk cinta yang kedua. Sebab, cinta pertama bagi seorang perempuan adalah cinta yang paling agung. Biarpun dia berada bersama lelaki lain, di fikirannya hanya ada lelaki yang wujud dalam cinta pertama sahaja.”
            Zawin terkedu mendengar kata-kata itu. “Macam mana...err...Zharif tahu? Melalui pengalaman ke?”
            Zharif menjungkitkan bahunya. “Saya tak pernah bercinta. Saya hanya mendengar cerita daripada kawan-kawan,” jelasnya.
            Zawin merenung wajah lelaki itu Benarkah lelaki ini tidak pernah ada ikatan hati dengan mana-mana gadis?
            “Boleh tanya sesuatu tak?” soal Zharif.
            Zawin mengangguk.
            “Siapa lelaki yang ada dalam fikiran Zawin sekarang?”
            Zawin tersentak. Wajah  Iskandar terus hilang dari ruang ingatannya. “Err...” Zawin memainkan jari jemarinya, memandang lapik meja berwarna merah, kemudian melarikan pandangan ke wajah Zharif. “Biarlah rahsia,” balasnya perlahan.
            “Siapa lelaki bertuah tu?” soal Zharif cuba mencungkil rahsia hati Zawin .
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Tak payah tahu la.  Hei! Saya tanya tadi tentang awak. Awak pula yang interview saya!” marahnya apabila kembali mewarasi diri tentang tujuan sebenar mereka keluar.
            Zharif ketawa besar. Dia menutup mulut apabila tersedar ketawa itu agak berlebihan.         “Zawin la...Zharif cuma ikut flow je,”balasnya dalam sisa tawa.
            Zawin tersengih melihat reaksi lelaki itu. Bunyi dentingan piano dari arah hadapan restauran itu menarik perhatian Zawin. Seorang lelaki cina bersut hitam putih sedang bermain piano. Sesekali matanya melirik seorang gadis cina yang duduk di meja berdekatan piano putih itu.  Zawin mengesani, wajah gadis itu kelihatan terharu. Gadis itu sangat bertuah! Hati Zawin menyimpulkan. Dentingan piano itu membuahkan irama lagu Can’t help falling in love with you, sebuah lagu evergreen nyanyian Elvis Presly. Zawin menyentuh pipi sendiri apabila lagu itu membuatkan pipinya terasa hangat saat wajah  Iskandar muncul di benak.
            Zharif berpeluk tubuh, merenung reaksi gadis itu yang sepertinya telah melangkah ke satu alam yang lain. Wajah jelita itu menggambarkan, ada seseorang yang istimewa sedang bermain difikiran. Siapakah lelaki bertuah itu? Hatinya tertanya-tanya. Dalam diam, rasa cemburu perlahan-lahan bertunas dalam ranting hatinya.
 *******
            Zawin tersenyum sendiri saat melihat gambar-gambar semasa zaman persekolahan dahulu dimuat turun dalam laman Facebook itu. Dia ketawa sendiri saat membaca komen-komen lucu yang ditulis rakan-rakan yang lain. Tangannya beralih pada notification friend request. Satu kotak bual muncul di laman Facebook itu. Zawin kembali tersenyum.
            Iskandar: Hai sayang.
            Zawin: Hai
           Iskandar: Buat apa?
            Zawin: Saja tengok-tengok gambar masa sekolah dulu. Baru je lepas balik dari kelas. Is  buat apa ja? Sedang rehat ke? Ramai tak pesakit hari ni?
            Iskandar: ramai juga. Zawin tahu kan sampai bila pun is tak akan mampu lupakan zawin.  zawin orang pertama yang is cinta. Zawin juga org pertama buat is menangis tau, zawin juga yang buat hidup is happy. Thanks for doing that. Hidup is dah kembali happy.
            “sayang!” jerit Najla sebaik Zawin berpaling ke belakang.
            “Oh, mak kau terbang,” latah Zawin lantaran terkejut dengan kehadiran Najla yang secara tiba-tiba itu.
            “Uit...mak aku bukannya superman nak terbang-terbang. Eh, ada perkembangan nampak? Ada cerita menarik ke?” usik Najla sambil mengambil tempat duduk di kerusi putih itu.
            Zawin mengurut dadanya. “Kau ni la. Perangai tu tak pernah berubah.”
            “Kau tahu aku macam mana kan? Erm...aku tanya kau ni...cinta lama bertaut kembali ke? Dalam hati ada taman ke? Kenapa muka kau tu makin berseri.”
            Zawin memuncungkan bibirnya.  Dia mengisar punggung di atas kerusi empuk itu. “Erm...kau rasa aku dan dia ada jodoh yang kuat tak?” soalnya sambil memanggung dagu menghadap Najla.
            Najla tersengih. “mungkin..’
*******
            “Zawin?” bisik Wan Zaidi perlahan saat melihat kelibat gadis itu bersama seorang lelaki sedang ketawa bersama di malam tahun baru itu. Saat bunga api sedang rancak dimainkan di dataran City Walk, matanya hanya tertumpu pada wajah gadis yang sangat dirindui itu.
            “Zawin...Wan rindu Zawin,” ucapnya perlahan dalam suara sayu. Apabila wajah Yasmin terbayang diingatannya, isterinya itu tidak pernah ada pada waktu dia memerlukan wanita itu di sisi. Dia mengeluh perlahan. Bahunya ditepuk dari belakang, lantas dia berpaling.
            “Hai. Ingat saya lagi?” soal Zharif sambil  tersenyum nipis. Kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
            Wan Zaidi mengangguk lantas menghulurkan tangan kepada lelaki yang pada perkiraannya ada darah dari negara gajah putih itu.
            “Seorang je datang sini?” soal Zharif usai bersalaman dengan lelaki korporat itu.
            Wan Zaidi mengangguk lagi. Lelaki ini ramah menegurnya. Terasa bersalah apabila mengenangkan dia tidak begitu melayani lelaki itu saat berkunjung ke majlis perkahwinannya dahulu. “Zharif datang seorang juga? Eh, bukan ke awak dan Zawin...”
            “Bercinta?” Zharif mengukir senyum kelat. “Tak ada la. Saja saya berlakon begitu hari itu demi mengelakkan Zawin daripada terus dikacau lelaki bernama Zamri,” terangnya lanjut.
Wan Zaidi dilanda kaget. “Err...habis tu, siapa lelaki di sebelah Zawin...tu?” Tanpa sedar, tangannya mengunjukkan ke arah kawasan Zawin dan lelaki berjanggut nipis bawah dagu itu sedang berdiri. Zawin kelihatan begitu gembira di samping lelaki itu. Hatinya dilanda seribu perasaan galau dan resah. Entah mengapa dia sukar menerima keadaan itu.
            Zharif merenung lama lelaki di sebelah gadis melayu-acheh itu. “Itu lelaki yang sentiasa ada dalam fikiran Zawin,” balasnya perlahan. Zawin Az-Zahra jarang kelihatan begitu ‘hidup’ kecuali malam itu. Lelaki itu pasti memiliki kunci hati pertama dalam hidup Zawin.
            “Hah?” Wan Zaidi mengerutkan keningnya. “Apa maksud kau?”
            Zharif memusatkan pandangan pada wajah Wan Zaidi. “Lelaki pertama yang ada dalam hati Zawin. Cinta pertama Zawin,” terangnya lagi.
            Wan Zaidi benar-benar terkejut. Pandangannya dikalihkan pada wajah lelaki melayu di sebelah Zawin. Lama pandangannya itu, bagaikan menusuk wajah lelaki berambut terbelah tengah itu. “ Iskandar...pasti lelaki itu adalah  Iskandar,” beritahunya.
            Giliran Zharif pula mengerutkan keningnya. “Maksud kau?”
            “Cinta pertama Zawin. Najla, kawan Zawin pernah memberitahu pada aku tentang lelaki bernama  Iskandar. Zawin...dia pasti tidak akan bercerita kisah lalunya, sebab itu aku bertanya pada Najla. Semasa kami berkawan dulu, Zawin kerap berbisik sendiri satu perkataan. Gemleo. Apabila kerapkali aku mendengar perkataan itu, aku bertanya pada Zawin.  Zawin Az-Zahra seperti biasa, penuh dengan sifat misterinya dan sering mengubah tajuk agar aku tidak bertanya lagi. Aku yakin gemleo itu...pastinya  Iskandar,” cerita Wan Zaidi panjang lebar.
            Kepala Zharif terangguk-angguk. “Gemleo?” Zharif menggaru dagunya. Perkataan itu bagai pernah hadir dalam hidupnya, tetapi mindanya tidak dapat memanggil ingatan jangka panjangnya. 
            “Kadang-kadang aku menyesal,” ujar Wan Zaidi tiba-tiba.
            Zharif tersentak, kembali memandang wajah lelaki itu. “Apa yang kau sesalkan?”
“Memilih Yasmin lalu meninggalkan Zawin. Aku tersilap perkiraan. Aku sendiri yang membunuh kebahagiaan lalu dengan tangan sendiri. Andai dapat diputarkan kembali masa...”
            “Jangan berbicara begitu,” tegur Zharif tiba-tiba. “Semuanya telah ditakdirkan dalam kisah hidup kau. Jaga la Yasmin dengan baik. Itu sahaja yang kau perlu lakukan sekarang. Biarlah Zawin bahagia. Kalau betul kau masih sayang Zawin, kau harus relakan dan doakan lelaki bernama  Iskandar akan membahagiakan hidup Zawin Az-Zahra,” lanjutnya lagi.
            Wan Zaidi mengeluh berat. Relakan? Tetapi hati ini tidak rela melihat Zawin bahagia dengan lelaki lain!Ah! Sungguh sukar.
******* 
            “Kenapa kau datang sini? Siapa jemput kau?” soal Yasmin dalam wajah tidak puas hati. Matanya merenung tajam penampilan Zawin yang mengenakan baju kebaya kuning cair dipadankan dengan tudung gabungan warna perak dan kuning cair.
            Zawin tersengih sinis. Terasa kurang selesa matanya melihat tubuh gadis itu separuh terdedah dalam gaun malam berwarna hitam. Wajah anggun wanita bernama Yasmin Yusof itu direnung tajam. “Wan Zaidi tak ajar kau ke cara berpakaian seorang wanita muslimah?”
            Yasmin tersentak dengan soalan itu. Wajahnya merah menahan marah. Tanpa sedar tangannya naik untuk menampar wajah Zawin. Pergerakan tangannya terbejat apabila satu tangan menghalang tindakannya.
            Wan Zaidi menjegilkan matanya ke arah isterinya. “Jangan nak buat hal di sini. Ini majlis orang, bukan majlis kita,” tegurnya dalam berbaur rasa malu dengan tindakan tidak rasional isterinya.
            “Huh!” bentak Yasmin sambil terus berlalu dari situ.
            Wan Zaidi menghela nafasnya, kembali memandang wajah Zawin. “Maaf Zawin. Maaf sangat,” ucapnya dalam rasa bersalah.
            “Tak apa,” balas Zawin tidak acuh. Yasmin...Yasmin...kenapala kau tak pernah berubah?
            “Err...Zawin datang sini dengan siapa?” soal Wan Zaidi. Adakah Zharif menjemput gadis ini? Hatinya menebak.
            “Tu...” Zawin mengunjukkan jari telunjuk ke arah kanan dewan ball room hotel quality itu. Najla dan Anas sedang beramah mesra dengan beberapa tetamu yang lain.
            “Oh, atas jemputan Anas. Wan ingatkan Zharif.”
            “Zharif? Apa kena mengena pula dengan dia? Zawin datang sini sebab malas nak masak dan. Kebetulan Anas kata majlis malam ni ada makanan jepun, itu yang Zawin terus langkah kanan.”
            Wan Zaidi ketawa mendengar tujuan gadis itu menghadiri majlis annual dinner Syarikat Gemleo Corporation. “Zawin tak pernah berubah. Tetap setia dengan makanan jepun.” Wajah itu direnung dalam rasa rindu yang menggunung. Gadis ini benar-benar menawan pandangan matanya.
            Zawin cuma tersengih. Dia malas menyertai Anas dan Najla bertegur sapa dengan ahli korporat yang lain. Baginya tujuan dia datang di situ hanya untuk memenuhkan perut. Wajah Zharif terbayang diingatannya. “Eh, kenapa Wan kata Zharif jemput pula? Apa kena mengena dia dengan majlis makan malam ni?”
            Wan Zadi membundarkan matanya. “Zawin memang tak tahu atau pura-pura tak tahu?”
            “Tak. Zawin memang tak tahu.”
            “Kita mulakan majlis dengan menjemput Zharif Zahir Zulkarnain Kwok untuk memberikan ucapan selaku Ketua Lembaga Pengarah dan CEO syarikat Gemleo Cooperation,” umum Yasmin selaku pengerusi majlis.
            Zawin terkedu. Benar seperti telahannya dahulu. Zharif pasti daripada golongan korporat juga. Agaknya hal ini yang lelaki itu ingin ceritakan pada saat mereka keluar bersama di restoren perancis dahulu, namun semuanya terbantut apabila lelaki itu tiba-tiba meminta diri, menyatakan ada hal penting yang perlu diuruskan. Sudahnya, persoalan itu tidak pernah terjawab.
            “Zawin memang tak tahu ke Zharif pemilik Gemleo Corporation?” soal Wan Zaidi lagi.
            Zawin menggeleng laju dalam rasa yang sukar untuk dimengertikan. Dalam diam, Zawin meneliti penampilan Zharif yang mengenakan kot hitam dan kemeja kuning cair. Karisma lelaki itu ternyata terserlah. Kemahiran pengucapan awam lelaki itu sangat baik. Wajarlah dia memegang jawatan tertinggi itu. Bisik hati Zawin.
            Wan Zaidi menghela nafasnya. Hatinya benar-benar tersentuh. Zawin juga tidak pernah mengetahui status dirinya sewaktu mereka mula-mula kenal dulu. Gadis ini...bukan gold digger seperti yang dituduh Yasmin sebelum ini. “Zharif pemegang saham terbesar dan syarikat Gemleo Corporation ada dua belas anak syarikat di seluruh Malaysia. Itu baru perkapalan. Keluarga Zharif turut memiliki syarikat-syarikat daripada pelbagai cabang perniagaan lain,” jelasnya tanpa ditanya.
            “Macam mana Wan tahu semua ni?” Zawin berpeluk tubuh, sesekali matanya jatuh pada wajah Zharif yang masih rancak memberikan ucapannya.
            “Abah ada cerita, tapi masa tu memang tak jangka yang pemilik syarikat terbesar Gemleo pemiliknya adalah Zharif. Bila Yasmin bekerja dalam syarikat Zharif, baru Wan tahu tentang latar belakang Zharif. Dia graduan electrical engineering dari Universiti Tokyo dan  menyambung master di Universiti Oxford,” cerita Wan Zaidi lebih lanjut.
            Zawin menghela nafasnya. Fahamla dia kenapa lelaki itu pernah dikelilingi beberapa buah kereta mewah dahulu.
            “Zharif dan Zawin ada satu persamaan.” Wan Zaidi bersuara lagi.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Kenapa pula?”
            “Berisi dalam diam. Penuh rahsia dan misteri,” ujar Wan Zaidi seraya merenung wajah gadis itu. Ditatap sepuas hatinya wajah anggun itu.
            Zawin tidak selesa dengan pandangan itu lantas meminta diri, mencari kelibat Najla yang entah ke mana menghilang. Sebaik bertemu Najla, semua fakta yang diberitahu Wan Zaidi diceritakan semula kepada rakannya itu.
            “Biar betul?” Najla menutup mulutnya yang terlopong luas.
            Anas yang turut menumpang dengar menganggukkan kepalanya. “Tak sangka korang berdua boleh kenal dengan Zharif  Zahir. Sebelum ini, dia belajar di Jepun dan kemudian bekerja di Britain. Selepas mak ayah dia meninggal, dia langsung tidak ingin kembali ke Malaysia. Tiba-tiba tahun ni dia balik ke Malaysia,”  cerita Anas pula.
            “Macam mana kanda tahu?” Najla merenung wajah suaminya.
            “Kanda kenal Zharif tiga tahun lepas. Zharif kenalkan dengan Fuad. Fuad salah seorang pemegang saham terbesar dalam Gemleo Corporation. Dia yang uruskan semua syarikat Zharif sebelum ini. Fuad adalah anak rakan kongsi Allahyarham Dato’ Zulkarnain Kwok, sebab itu Zharif terus memberi mandat kuasa kepada Fuad. Sekarang, Zharif ambil alih semula jawatan dia. Semoga syarikat Gemleo akan lebih berjaya dan pengurusan akan lebih licin dengan adanya Zharif Zahir.” 
            Zawin termanggu sendiri. Apa sebab Zharif kembali semula ke Malaysia? Tulisan Gemleo yang dihias cantik di bahagian depan ball room direnung penuh minat. “Anas...apa maksud Gemleo?” soalnya dalam rasa ingin tahu yang menggunung.
            “Tahu tak apa Zawin. Baru terlintas nak tanya,” celah Najla teruja.
            Anas tersenyum meleret. “Gabungan dua zodiak. Gemini dan Leo.”
            “Hah?” Najla dan Zawin benar-benar terkesima.
            “Arwah ayah Zharif berzodiak Gemini dan arwah ayah Fuad adalah Leo. Fuad yang beritahu abang tentang asal usul nama Gemleo. Tak sangka pula ada kaitan dengan ilmu metafizik yang dinda suka sangat kaji tu,” ujar Anas lantas mencuit hidung isterinya.
            Najla tersenyum meleret. “Tapi...gabungan Libleo lebih baik kan kanda?”
            Anas mengangguk dalam senyuman manis. Jari jemari isterinya dikucup lembut. “I love you dinda.”
            Najla tersipu malu. Suaminya memang tidak segan berbuat demikian biarpun dikhayalak ramai dan dia tentunya sangat senang dengan sikap romantis lelaki Libra itu.
            Zawin tersenyum hambar. Bohonglah jika hatinya tidak merasa cemburu dengan kemesraan pasangan romantis itu. “Najla, aku nak cari makanan. Lapar ni.”
            Najla ketawa halus. “Ya la. Dah tu tujuan utama kau datang sini kan. Jom, aku teman kau.”
            Zawin tersenyum lebar melihat pelbagai jenis makanan jepun yang terhidang secara buffet itu. Setelah pinggannya penuh, baru Zawin beredar untuk menyertai Najla yang menunggunya bersama Anas.
            Najla ketawa melihat isi pinggan Zawin. “Amboi cik kak, banyak nya. Tak takut gemuk ke?”usiknya.
            Zawin tersengih. “Biarlah gemuk pun. Yang penting perut kenyang, hati pun senang.”
Anas menahan senyum melihat keletah Zawin.
            “Huh! Buat malu je. Macam orang kebulur je. Ini majlis orang, cubalah beradab sikit!” tegur Yasmin yang kebetulan melintas di situ.
            Najla dan Anas saling berpandangan, manakala Zawin menyambut teguran itu dengan senyuman sinis.
            Perlahan Zawin menapak  ke arah wanita yang mengenakan dress malam hitam yang menampakkan hampir seluruh bahagian belakangnya. Matanya tajam menikam wajah sombong itu. “Don’t hate me because i’m beautiful,” balas Zawin dan terus berlalu dalam senyuman puas.
            Yasmin mengetap bibirnya menahan geram. Lebih-lebih lagi apabila menangkap senyuman di wajah Najla dan Anas. Dalam hati yang membengkak, Yasmin menuju ke arah podium di atas pentas. Dia tahu, ini masa yang sesuai untuk mengenakan Zawin di hadapan tetamu ternama yang sedang menjamu selera. “Selamat menjamu selera kepada semua. Sambil menikmati makan malam, apa kata kita mendengar alunan piano yang akan dimainkan oleh seorang pemain piano yang berbakat. Dipersilakan Zawin Az-Zahra.”
            Zawin tersedak apabila satu lampu sorot tepat menghala ke arahnya. Cepat-cepat dia mencapai gelas di atas meja dan meneguknya rakus. Udang tempura terasa melekat di tekaknya apabila para tetamu memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
            “Zawin?” Zharif benar-benar dilanda kejutan. Bagaimana gadis itu boleh berada di sini?    Matanya bersambung pandang dengan mata Fuad yang duduk bersebelahan dengannya.
            Yasmin tersenyum puas. Padan muka kau Zawin. Ini lah akibatnya kalau cuba bermain api dengan aku!
            Zawin cuba mengawal aliran adrenalin yang mengalir pantas dalam tubuhnya. Disuruh membuat sesuatu yang bukan kepakarannya adalah satu mimpi ngeri! Dia tahu Yasmin cuba malukannya dihadapan orang ramai, namun dia tidak akan sekali-kali lari dari cabaran yang diutarakan oleh perempuan itu. Perlahan kakinya menapak ke arah pentas. Bunyi tepukan dan sorakan sudah tidak diendahkannya lagi. Matanya merenung tajam wajah Yasmin sebelum mengambil tempat di hadapan piano putih itu. Dalam beberapa kali helaan nafas, tangannya menyentuh kekunci piano dan mula menekan kekunci itu dengan rawak dan pantas. Bagaikan melepaskan geraman dan marah pada kekunci itu, bunyi yang terbit ternyata tidak disenangi tetamu-tetamu yang hadir.
            Najla menepuk tangannya kuat. Dia tahu jika Yasmin ingin mengenakan Zawin, sahabatnya itu pasti akan kenakan semula perempuan sosial itu dengan lebih teruk.  
            Yasmin mengetap bibirnya. Kemudian dia tersengih sendiri apabila mengenangkan gadis itu pasti akan malu dengan tindakan tidak profesional itu.
            Zawin berhenti menekan kekunci piano apabila suara keluhan dan cemuhan terbit daripada para tetamu. Dia memejamkan mata rapat-rapat, berusaha mengingati pesan guru kesayangannya. “Zawin, nota-nota muzik kadangkala adalah sebuah misteri yang tidak terungkap. Seperti lagu once in a blue moon adalah satu makna misteri yang tersirat. Zawin perlu cari misteri itu dan gabungkan semua pancaindera untuk memahaminya. Nota-nota musik itu akan kekal dalam jiwa dan ingatan sebaik misteri itu berjaya dirungkai.” Zawin tersenyum nipis, menghela nafasnya lantas jari jemari runcing itu mula bermain di atas kekunci piano.
            Nada dan irama yang sangat indah itu membuatkan para tetamu mula bertepuk tangan sekaligus melahirkan rasa kagum.
            Najla tersenyum sendiri sambil menggenggam erat tangan suaminya. Once in a blue moon. Lagu itu kedengaran lagi setelah sekian lama. Mengingati semula kenangan indah semasa remaja saat drama dari matahari terbit, With Love ditayangkan di saluran TV3.
            Zharif langsung terbangun daripada kerusi saat irama itu kedengaran. Hatinya berdenyut dengan kencang, matanya tepat merenung wajah Zawin yang kelihatan begitu asyik dalam menjiwai lagu yang dimainkannya. Adakah...Zawin Az-Zahra...teruterubozu yang aku cari selama ini? Atau...Yasmin? Zharif merenung wajah Yasmin yang kelihatan kelat di satu sudut di atas pentas. Ah! Drama apa pula yang terjadi ini?



0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top