BAB 11

            “Ini Tengku Amir. Adik ipar saya.” Dato’ Wan Zahid memperkenalkan lelaki tinggi lampai bermisai nipis itu kepada Zharif.
            Zharif meletakkan sudu dan garpu. Dia bangun bersalaman dengan lelaki bersut putih yang muncul pada saat dia sedang menikmati stik daging. “Zharif Zahir,” ujarnya.
            Tengku Amir menepuk perlahan bahu Zharif. “Memang kacak orangnya. Padanlah Tengku Azura asyik bercerita tentang Zharif ni,” pujinya pada jejaka berkemeja biru laut itu.
            Zharif tersipu segan. “Saya biasa saja. Zura melebih-lebih cerita ni,” balasnya dalam janggal. Dia diperkenalkan oleh Wan Zaidi dengan gadis berambut perang itu semasa makan malam di hotel blue wave minggu lepas. Tidak dia menyangka sepupu Wan Zaidi itu begitu teruja dengan perkenalan itu.
            Dato’ Wan Zahid ketawa besar mendengarnya. “Tengku Azura tu tak pernah begitu. Biasanya dia tak ambil pusing pun tentang lelaki. Betul la Zharif ni memang ada aura.”
            Tengku Amir tersenyum senang. “Itu la. Risau saya dengan anak tunggal saya tu. kalau dia serius dengan perasaan budak-budak dia tu.”
            “Ha? Tengku ni...ayah Tengku Azura?” soal Zharif dalam kaget.
            “Ya,” balas Tengku Amir. Matanya dikalihkan pada gadis bertudung hitam di sebelah Zharif.  Saat matanya memasuki ruang dapur mewah itu, pandangannya telah disihir  oleh seraut wajah jelita itu namun rasa hairan bertandang dibenaknya apabila menyedari gadis itu merenung tajam ke arahnya sejak tadi. “Erm...siapa bidadari blouse biru tu?” soalnya kepada Zharif.
             “Zawin. Kawan saya,” beritahu Zharif.
            “Encik Tengku Amir...ayah Tengku Azura? Maknanya suami orang la,” soal Zawin tiba-tiba. Dia tahu soalannya kedengaran lucu, namun dia tidak peduli. Wajah lelaki itu direnung dalam-dalam. Dia tahu dia tidak silap orang.
            “Err...Ya. Isteri saya sekarang sarat mengandung. Itu yang dia tak dapat datang. Err...cik Zawin kenal ke dengan anak saya?” soal Tengku Amir semula.
            Zawin cuma mengangguk. Dia menunduk, merenung stik daging yang masih berbaki didalam pinggan. Wajah Puteri Nur Deana muncul di situ.
            Datin Zainab berdehem. “Zawin ni pensyarah Zura,” beritahunya apabila melihat gadis itu tidak bercerita lanjut.
            “Wah, pensyarah UITM la ni?” Tengku Amir memandang gadis itu dengan kagum.
            Zawin mengangguk dalam senyuman pahit. Dia sudah hilang selera. Melihat cara Zharif makan di sisi, membuatkan dia tersengih sendiri. Lelaki itu begitu teliti memotong daging, menggaulkan bersama sos dan memasukkan ke dalam mulut dengan sopan.
            “Zawin...dah kenyang ke?” tegur Wan Zaidi saat melihat gadis itu begitu asyik merenung Zharif. Stik daging dalam pinggan gadis itu juga masih berbaki banyak.
            Yasmin mencebirkan bibirnya. Hatinya meluat dengan perhatian suaminya yang tidak putus-putus merenung gadis itu sejak mereka berada di meja makan.
            “Hah?” Zawin bagai dikejutkan dari lena. Dia terleka sebentar tadi melihat cara Zharif makan. “Nak makan la ni’, balasnya pantas. Dia cuba membuat muka selamba saat menyedari banyak mata yang sedang memandangnya. Gelas berisi jus mangga di atas meja dicapai. Belum sempat sampai ke mulutnya, tidak semena-mena jus mangga itu tumpah ke atas meja saat tangannya berlaga dengan tangan Zharif yang ingin mencapai tisu di hadapan Zawin.      
            “Maaf Zawin,” ucap Zharif dalam panik.
            “Nah.” Wan Zaidi dan Zharif serentak menghulurkan tisu kepada Zawin.
            Mata Zawin terkelip-kelip melihat situasi itu.
            Zharif dan Wan Zaidi saling berpandangan dan kemudian menghalakan pandangan pada Zawin.
            “Tak apa,” balas  Zawin tenang. Tangannya mencapai sendiri tisu berhampiran mejanya. Dia mengelap jus mangga yang terperecik ke bajunya. “Saya nak ke bilik air. Boleh awak tunjukkan,” pinta Zawin kepada Wan Zaidi yang duduk mendepaninya.
            Wan Zaidi lekas mengangguk lalu bangun. “Mari...arah sini.”
*******
            “Kau memang hebat,” tegur Yasmin sebaik melihat Zawin sedang mencuci tangannya didalam sinki.
            Zawin terus berpaling. Melihat senyum sinis di wajah wanita itu, dia menjuihkan bibirnya. Tisu di dinding dicapai. Tangannya cekatan mengelap sisa-sisa air di kedua tangan. “Aku tak hebat. Aku ini hanya makhluk Allah yang masih dangkal ilmu dan amal,” balasnya tenang.
            Yasmin menepuk tangannya beberapa kali. “Kau memang mahir menggunakan kata-kata. Sebab itu la kau berjaya mendapatkan doktor perubatan pula ya?”
            Zawin tersentak. Entah dari mana berita itu tersebar. Dia merenung wajah keruh wanita itu. “Kau kata aku hebat bukan? Aku rasa kau lagi hebat sebab kau berjaya mendapatkan Wan Zaididalam masa hanya tiga bulan. Cinta Wan Zaidi kepada Zawin Az-Zahra sekelip mata terus hilang. Pasti kemahiran linguistik kau lebih baik berbanding aku,” perlinya bersahaja.
            Yasmin ketawa besar mendengarnya. “Memang. Tetapi Wan Zaidi bukan lagi tujuan utama aku. Aku ingin lebih. Aku masih belum puas.”
            “Zharif Zahir adalah buruan kau sekarang kan?” tebak Zawin sambil berpeluk tubuh.
            Yasmin tersenyum lebar. “Pandai. Tapi sebenarnya hati aku betul-betul fall in love dengan dia. Tak pernah aku jumpa lelaki sekacak dan sekaya dia. Aku sanggup buat apa sahaja untuk mendekatinya termasuk mengaku sebagai teruterubozu.”
            Zawin tersengih sinis. “Allah tak akan izinkan orang jahat daripada menang selalu. Zharif Zahir adalah Mr.Hata dan aku selamanya tersimpan dalam ingatannya sebagai Teruterubozu. Kau tak akan mampu menyisihkan kenangan indah yang aku berikan kepada Zharif. Aku berani jamin.”
            “Apa yang buat kau yakin sangat?”
            “Apa pendapat kau?” duga Zawin ingin  tahu.
            Yasmin merapati Zawin, matanya menikam tajam pada mata hitam itu. “Aku rasa kau silap. Zharif sama seperti lelaki lain. Mereka dahagakan belaian tangan aku apabila sekali telah merasainya.”
            Zawin ketawa lepas. “Zharif Zahir bukan seperti lelaki-lelaki lemah dan bodoh yang kau pernah tiduri. Hidup Zharif berpandu pada ilmu, bukan pada nafsu. Kau ingat, selagi aku hidup, aku takkan benarkan kau memiliki Zharif. Aku akan pastikan dia dapat perempuan yang baik,
bukan perempuan jahat seperti kau!”
            Rahang pipi Yasmin bergerak-gerak menahan marah. Matanya bersabung pandang dengan gadis itu. “Aku tak pernah gagal dalam mencapai sesuatu. Kau tunggu la. Satu masa nanti, aku pasti akan memiliki Zharif dan sekali lagi aku akan musnahkah segala memori indah yang Zharif ada mengenai Zawin Az-Zahra,” ujarnya penuh yakin.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Yasmin...Yasmin. Hidup ni tak lama pun. Buat apa kau nak menempah derita sedangkan bahagia betul-betul ada di depan mata. Walaupun Wan Zaidi pernah melukakan hati aku, tapi aku tahu yang dia lelaki yang baik, suami yang boleh membimbing. Belajar la untuk setia pada yang satu,” nasihatnya sebelum melangkah keluar dari bilik air itu.
            “Zharif milik aku Zawin! Kau tunggu la!” laung Yasmin serentak menghempaskan tangannya ke atas sinki. 
*******
            “Yasmin tu cantik kan...tapi dia tak menawan,” ulas Zharif semasa dalam perjalanan pulang.
            “Kenapa Zharif cakap macam tu?” Zawin menatap wajah kacak itu.
            “Biasanya kalau muka cantik tapi tiada seri, maknanya hati kotor, suka cari gaduh dengan orang lain, tak pernah puas dengan nikmat yang diperoleh dan dalam hati tu jadi tempat syaitan berkampung.”
            “Ish...mana Zharif tahu ni?”
            “Seorang ulama pernah berkata begitu,” beritahu Zharif.
           zawin mengangguk. nada mesej masuk, zawin membuka mesej dan tersengih membaca mesej iskandar.
            “Siapa nama dia?”
            zawin terpinga. “Siapa?”
             “orang yang beri mesej tu.”
           zawin tersengih. “Daniel Iskandar.”
            “Sedap nama dia. Tapi nama Iskandar ni...selalunya playboy besar tau,” komen Zharif selamba.
            “Ish...suka hati je cakap macam tu.”
            Zharif tersengih. “Iskandar, pernah nyanyikan lagu romantis untuk Zawin?”
            Zawin menggeleng. “Tak.”
            Zharif mencemberutkan bibirnya. “Uih...tak romantik tu. Apa sebab yang buat Zawin sukakan dia? Dia kacak?”
            Zawin merenung sejenak. “Rupa bukan ukuran utama. Dia...sangat caring, sangat bijak, lucu dan berkarisma. Lelaki yang satu-satu nya ada dalam jiwa Zawin sejak dulu. Sangat sukar untuk lupakan dia biarpun Zawin bersama dengan Wan Zaidi dulu.”
            “Macam mana Zawin boleh kenal dia?” soal Zharif lagi.
            Zawin mengangkat bahunya. “Satu sekolah dan juga jiran'.
            “Macam mana boleh terjebak dengan Wan Zaidi? Erm...maaf kalau Zharif tanya. Kenapa boleh putus dengan Iskandar?”
            Zawin menghela nafas berat. “Wan Zaidi ada jelmaan  Iskandar. Sangat mirip. Mungkin sebab itu Zawin dapat beri ruang hati untuk dia. Punca perpisahan  dulu...biarlah menjadi rahsia. Erm...Zharif pula bagaimana? Pasti banyak cinta masa lalu kan?”
            Zharif tersengih. “Zharif tidak pernah tahu apa itu erti cinta. Tidak pernah menyulam rasa kasih dengan makhluk keturunan hawa. Zharif pernah cakap dulu kan? Tiada cinta monyet, cinta kampus mahupun cinta di tempat kerja,” jelasnya dengan suara tenang.
            Zawin mengerutkan wajahnya. “Sukar la Zawin nak percaya. Zharif...ada semua ciri-ciri lelaki yang perempuan cari. Perempuan pasti jatuh cinta dengan Zharif pada pandangan pertama...”
            “Tapi Zawin tak jatuh cinta dengan Zharif pun kan,” sampuk Zharif pantas. Wajah gadis itu direnung sekilas.            
            Zawin terdiam. “Err...itu kes terkecuali. Ok...Kalau betul Zharif tak ada couple zaman remaja dulu, masa Zharif habis pada aktiviti apa je?”
            “Tomoi dan skateboarding.”
            Zawin membulatkan matanya. “Wah. I’m impress!”
            Zharif menghela nafas. “Arwah ibu seringkali berpesan jika seseorang bersungguh-sungguh di usia mudanya, dia akan dihormati di usia tua. Hidup Zharif dahulu hanya bertujuan satu iaitu menimba ilmu sebanyak mungkin. Aktiviti seperti Tomoi dan Skateboarding sudah cukup buat Zharif sibuk daripada terlibat dengan cinta monyet,” jelasnya panjang lebar.
            Zawin merenung sisi wajah lelaki itu dengan kagum. “So sweet...hati masih suci la ni,” usiknya.    
            Zharif menahan senyum. “Apa la Zawin ni.  Segan tau.”
            “Apa ciri-ciri perempuan idaman Zharif?” Zawin menatap bersungguh wajah kacak itu. Pasti lelaki ini sangat demand. Tebak hatinya.         
            Zharif mengenggam stereng, menatap wajah ingin tahu itu. “Apa pendapat Zawin?”
            Zawin menggaru dagunya. “Mungkin perempuan kelas atasan, mungkin juga perempuan dari golongan diraja,” balasnya tanpa teragak-agak.
            Zharif ketawa kecil. “Amboi...patutla Zawin takut nak jatuh cinta dengan Zharif. Rupanya fikir Zharif ni high demand.”
            Zawin memuncungkan bibirnya. “La...mesti la. Zharif muka market tau. Ok, Zawin minta maaf kalau buat Zharif terasa. Cuba habaq mai, ciri-ciri perempuan idaman Zharif.”
            Zharif tersenyum malu. “Betul ni nak tahu?”            
            Zawin mengangguk bersungguh.
            Zharif tidak menjawab sehinggalah keretanya memasuki kawasan pangsapuri. Zharif memberhentikan keretanya di bawah pohon besar. Wajah Zawin direnung lama kemudian menjatuhkan pandangan ke hadapan. “Gadis yang Zharif cari adalah pada saat Zharif melihat dia...terasa bagai segala hasrat hati dan impian cinta dipenuhi sepenuhnya.”
            Zawin menahan senyum. “Oh...how sweet.”
            Zharif tersenyum simpul. “Janganlah panggil sweet. Seganlah.”       
            “Dah memang sweet pun,” usik Zawin lagi.
            Zharif menjeling sekilas. “Jom Zharif hantarkan ke atas,” pelawanya.         
            Zawin lekas menggeleng. “Jangan. Zawin boleh balik sendiri,” tingkahnya.
            “Kenapa Zharif tak boleh hantar?” soal Zharif.
            “Err...tak manis la. Dah malam ni.”
            “Sebab malam la...Zharif nak temankan. Bahaya tahu. Zawin adalah tanggungjawab Zharif sekarang sebab Zharif yang membawa Zawin keluar. Faham? Zharif tak nak dengar alasan. Jom Zharif temankan naik,” tegas Zharif lagi.
            Zawin menahan senyum. “Well...do i have any choice?”
            Zharif tersenyum senang.
            “Ok...dah sampai pun rumah Zawin.”
            “Erm...nombor enam. Nombor kegemaran Zharif.”
            “Zharif suka nombor enam?” Zawin mencebirkan bibirnya.
            “Kenapa? Salah ke suka pada nombor enam?”
            “Tak salah, cuma Zharif menambahkan golongan peminat enam yang Zawin kenal. Erm...apa pun terima kasih sebab temankan Zawin.”
            Zharif mengangguk sambil tersenyum. "Nah.” Zharif menghulurkan beg kertas berwarna coklat kepada Zawin.
            "Apa ni?” soal Zawin dalam kaget.
            Zharif tersengih, mengenyetkan matanya. "Hadiah daripada seorang kawan juga tanda terima kasih sebab temankan Zharif.”
            Zawin menahan senyumnya.  "Ok...Kalau macam tu saya terima.” Zawin menyambut beg kertas itu dengan hati yang lapang.
            "Saya pergi dulu.” Zharif meminta diri.
            "Ok.” Zawin tersenyum manis.
            Zharif merenung wajah jelita itu. "Zawin ingat lagi tak cabaran saya semasa di majlis kawin Wan Zaidi dulu?”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. "Untuk buat saya tergelak. Kan?”
            "Pandai. Suatu hari nanti...Zharif Zahir akan berjaya buatkan Zawin Az-Zahra tergelak dan ketawa tak henti-henti. Dan kalau itu terjadi...Zawin bersedia untuk tunaikan janji?”
            Zawin mengangguk dalam senyum simpul. "Ya...Zawin akan tunaikan apa sahaja permintaan Zharif .”
            Zharif tersenyum lebar. "Pasti...saat itu akan datang.”
            Zawin mengangkat kedua bahunya. Tangannya cekatan membuka mangga grill. Dia berpaling memandang Zharif. "Terima kasih. Hati-hati k drive nanti,” pesannya.
            Zharif memasukan kedua tangannya ke dalam poket seluar. "Kenapa ucapan tu macam bosan je kan.”
            Zawin sudah tersengih. "Ok. Kalau macam tu...berjantung-jantunglah di jalan raya,” ucapnya selamba.
            Zharif sudah tergelak besar. "Ha...macam tu la.”
            "Ya la tu. Ok Zharif...selamat malam.Assalamualaikum.”     
            “Err...Zawin...lupa nak cakap...”
            Zawin yang sudah memulas tombol pintu, kembali berpaling. “Apa?”
            “Aishiteru,” ucap Zharif dalam sengih nakal.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Blah la.” Zawin menjeling sekilas jejaka yang sudah ketawa besar mendengar kata-katanya itu. “Nite,” ucap Zawin sambil terus merapatkan pintu rumahnya.
            “Ha...macam mana dinner di rumah orang kaya? Jumpa dengan Wan Zaidi? Yasmin?” tegur Puteri  yang sedang bersandar atas sofa ruang tamu.
             Zawin mengangkat bahunya. “Jumpa...macam biasa la. Yasmin dengan perangai lama...Wan Zaidi...erm...dia ok,” balasnya sambil melabuhkan punggung di atas sofa.
            “Zawin pula...ok ke tak ni?” Puteri meneliti wajah gadis itu.
            Zawin melempar senyum manis pada wajah wanita itu. “Ok. Zawin dah beritahu kan...Wan Zaidi memang dah tak ada dalam hati Zawin. Sejak dulu...hanya ada  Iskandar.”
            “Erm...bagus la kalau gitu. Eh...Zawin...hensem la Zharif tu.”
            “Aik? Macam mana Kak Puteri tahu?” soal Zawin.
            “Tadi...akak intai di lubang pintu tu. Hensem gila!”
            “Oo ek? Dia hensem...tapi tak gila lagi,” jawab Zawin bersahaja.
            Puteri ketawa besar. “Adeh...sakit perut...” Puteri memegang perutnya dalam wajah berkerut menahan sakit.
             “Kenapa kak?” soal Zawin dalam cemas.
            “Senggugut la. Letihnya jadi perempuan ni. Kalau la orang lelaki diberi penyakit senggugut...pasti depa akan lebih menghargai perempuan.” Puteri mengurut perutnya dengan minyak panas.
            Zawin tersengih mendengar omelan itu. “La...Zawin kan dah ajar hari tu. Bila datang bulan je, minum rebusan air asam kunyit. Sangat berkesan mengurangkan sakit senggugut.”
            “Akak lupa la.” Puteri tersengih menyeringai.
            “Kejap kak. Zawin buatkan air asam kunyit. Ada Zawin beli yang dah dipaketkan.” Zawin terus menapak ke dalam dapur.
            Puteri menggelengkan kepalanya. Gadis  ini terlalu baik terhadapnya. Entah bagaimana dia dapat membalas segala jasa baik Zawin. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia tersenyum lebar melihat nama lelaki kesayangannya muncul di skrin.
            Zawin muncul dari dapur bersama dua gelas mug. “Nah...minum sampai habis,” ujarnya sambil menghulurkan mug berwarna hitam.
            Puteri menyambut dalam senyuman. “Terima kasih. Susah susah ja.”
            Zawin mengangguk. Dia menghirup perlahan mug berisi minuman horlick. “Riuh tadi ya. Akak berborak dengan siapa?” soalnya ingin tahu.
            “Abang akak la telefon. Amir...lelaki yang sangat memahami akak. Akak bahagia sangat,” beritahu Puteri dalam senyuman meleret. Minuman jamu itu dihirup perlahan.
            Zawin menghela nafasnya. Matanya merenung wajah bahagia itu. Dia tidak sampai hati untuk memberitahu tentang status sebenar lelaki bernama Tengku Amir. “Err...dia ada cakap nak lamar akak tak?”
            Puteri menganggukkan kepalanya. “Ada. Dia cakap akan lamar akak nanti.”
            Zawin terus menghirup horlick suam dalam pelbagai persoalan muncul dibenaknya.  “Macam mana akak kenal dia? Akak ada siasat latar belakang dia?”
            “Kan akak cerita dulu...dia yang bawa akak keluar dari dunia pelacuran. Kami kenal di sebuah pub. Dia cakap dia seorang duda yang mencari bakal isteri sebagai pengganti. Katanya...akak ada ciri-ciri isteri yang dia cari. Puteri doakan ya...supaya hubungan akak dan Amir berakhir dengan bahagia.”
            Zawin mengangguk perlahan. Sungguh sukar sebenarnya untuk dia memaniskan muka saat wanita itu memandangnya dengan penuh mengharap. “Semoga akak bahagia,” ucapnya dalam rasa yang macam macam. Untuk apa Tengku Amir berbohong sedemikian? Bukan kah lelaki itu seorang suami dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi? Apakah tujuan Tengku Amir mendekati Puteri Nur Deanna? Kasihan wanita ini jika hubungan yang diharapkan bahagia berubah derita. Zawin malas untuk memikirkan apa-apa lagi. Dia perlu mandi dan berehat. “Ok kak...Zawin masuk dulu ya. Jangan lupa buat air jamu ni, minum sampai habis period,” pesannya sebelum menapak ke arah bilikny a.
            Puteri mengangguk dalam senyum. “Eh, barang Zawin tu...tak nak bawa sekali ke?” tegurnya sambil mengunjukkan jari ke arah beg kertas di atas karpet ruang tamu.
            Zawin menepuk dahinya. “Ya rabbi. Boleh lupa pula.” Zawin membawa beg kertas berwarna coklat itu ke dalam bilik. Dia meluru ke atas tilamnya dan bergolek-golek sepuas hatinya. “Erm...penatnya hari ni. Zharif ni memang nak kena. Dah la dia bawa aku lumba lari, main kick-boxing...tadi pula buatkan aku hampir sesak nafas jumpa dengan minah sengal tu,” ngomelnya sambil menatap syiling bilik. Melihat beg kertas di sisinya, Zawin menjenguk isi dalam beg  itu. “Jadi...inilah upah untuk semua kepenatan hari ini?” Zawin tersengih sendiri. Tangannya menarik keluar sebuah kotak sederhana besar. Satu kad kecil ditarik dari atas penutup kotak itu. Tangannya cekatan membuka kad berwarna kuning itu.
           untuk bintang paling bersinar di bumi.
            Zawin tersengih. “bintangla sangat.' belum sempat zawin membuka hadiah itu, nada dering berbunyi. setelah melihat nama di screen, zawin mengerutkan keningnya. jarang iskandar menelefonnya pada waktu begini. nada suara iskandar pun kedengaran seperti tidak ceria seperti biasa. 
            “Hari ni kan zawin pergi mana?' soal iskandar.
             zawin terkedu. tidak pernah pernah iskandar bernada serius seperti itu.' ..main kick-boxing,” beritahunya dalam serba salah.
            “erm...sejak bila?”
            “Baru lagi. Hari tu kebetulan zawin ke Pusat Akuatik jumpa kawan...”
            “Siapa kawan tu?”
            “Zharif. Dia yang temankan dinner di rumah Wan Zaidi tadi,” jelas Zawin tanpa berselindung.
            “Zharif? Dia kerja apa?”
            Zawin mengeluh. “Kalau is nak kenal dia..zawin bawa dia jumpa is. Nak?”
            “Perlu ke?”
            “Ya la. Dah banyak tanya sangat.”
            “Ala...is nak tahu je latar belakang dia. Nak pastikan Zawin Az-Zahra berkawan dengan orang yang baik.”
            “Dia lelaki yang baik. jangan risau.”
            Iskandar menjuihkan bibirnya. “Mana zawin tahu?”
            Zawin merengus geram.“Kalau tak percaya, baik is jumpa dia.”
            “Ok,” balas Iskandar.
            Zawin membulatkan matanya. “Ok?”
            “is nak kenal. Nak tengok sejauh mana baik nya dia tu seperti yang didakwa zawin.”
            Zawin termanggu seketika. apa yang merasuk daniel iskandar? selama ini Iskandar bukan lelaki jenis kuat cemburu, namun dia agak hairan dengan permintaan yang tidak langsung terlintas dimindanya itu. “Kalau itu yang is minta...insyaallah, zawin akan tetapkan pertemuan dengan Zharif.”
*******
            “Ini Zharif. Zharif...ini Iskandar.”  Zawin bersuara apabila dua jejaka itu saling berdepan didalam bangunan gelanggang kick-boxing itu.
            Iskandar Menghulurkan tangannya. “Iskandar.  Daniel Iskandar.”
            Zharif menyambut huluran tangan itu. Matanya tajam menikam anak mata coklat itu. “Zharif. Zharif Zahir.”
            Iskandar mengerutkan keningnya apabila terasa tangan kekar itu kuat mengenggam tangannya. Dia bergelut untuk menarik semula tangannya.
            Zawin mengerutkan wajahnya melihat reaksi Zharif. Seakan ada api pada pandangan mata itu yang menunggu untuk menjulung keluar ke arah Iskandar.
            Zharif tersengih sinis lalu melepaskan genggaman tangannya. “Maaf. Cuma nak uji kekuatan dalaman awak.”
            Iskandar tersenyum lega. “Oh...tak apa. Dah lama awak main kick-boxing?” soalnya ramah.
            Zharif mengangguk. “Sejak remaja.”
            “Err...guys. Zawin nak ambil beg dalam kereta,” sampuk Zawin. “Kenal-kenal la dulu ya,” saran Zawin lalu menapak ke arah pintu keluar.
            Mata Iskandar mengekori langkah kekasihnya itu kemudian melarikan pandangan pada wajah tampan dihadapannya itu. Pasti dia ada darah campuran. Bisik hatinya. Tingginya sahaja pada anggarannya...sekitar enam kaki. Tubuhnya kekar, dadanya sasa manakala otot tangannya berketul. Jauh beza berbanding dirinya. Erm...awak ada darah campuran?” soalnya sambil menatap anak mata kecoklatan jejaka itu.
            Zharif tersengih. Matanya turut menyeluruhi wajah kacak jejaka itu. Tingginya sederhana, tubuhnya sedang elok manakala wajahnya tidak jemu dipandang. Tambah pula suara machonya. Lambang suara lelaki sejati. Padanla Zawin tidak dapat melupakan jejaka ini. “Ya. Cina-thai-german. Awak pun ada darah campuran bukan?” tebaknya pula.
            Iskandar mengangguk. “Melayu-India-thai.”
            “Wow...ada darah thai juga. Erm... belajar muay thai tak?”
            Iskandar ketawa kecil. “Muay thai? Abah ada hantar saya ke rumah seorang guru tomoi. Masa tu, guru tu buat ujian buluh runcing. Bayangkan buluh tu digosokkan di kawasan urat keting.  Menjerit-jerit saya masa tu tak tahan sakit. Jadi, saya gagal dalam ujian tu dan tak ada rezeki dalam dunia tomoi,” ceritanya panjang lebar.
            Zharif menganggukkan kepalanya. “Habis tu...awak ada masuk martial art yang lain?” soalnya sejurus mengambil tempat di kerusi yang disediakan dalam bangunan gelanggang itu.
Iskandar turut mengambil tempat, mendepani jejaka tampan yang mengenakan singlet hitam itu.   “Erm...silat gayong.”
            Zharif meneliti wajah macho itu lebih lama. “Mesti awak hebat bukan? Dengar cerita silat gayong boleh tumpaskan muay thai?”
            Iskandar mengangkat bahu. “Entah la. Setahu saya, pengamal Tomoi mungkin tahu apa kelebihan Silat sebab kebanyakan guru tomoi mengajar silat juga. Cara silat bertempur berbeza dengan cara tomoi yang mementingkan ketahanan. Bab silat gayung lawan tomoi ni tak tahu lah saya sebab ada peristiwa yang menyentuh kekalahan diantara satu sama lain.”
            “Oh...ya ke? Cerita la. Saya tak pernah tahu pula.” Zharif membetulkan duduknya, menunggu cerita daripada jejaka itu dengan penuh minat.
            “Erm...pernah ada satu peristiwa, orang penting Gayung aliran Dato Meor  pernah tewas dengan pengamal Tomoi namun menurut kawan saya pengamal tomoi itu juga adalah seorang pesilat dari satu aliran permainan pukulan Acheh. Rakan saya yang juga seorang pengamal Tomoi juga memberitahu Tomoi boleh tewas mudah dengan Silat Melayu Asli ataupun Pulut jika pesilat itu betul-betul mahir. Jadi kelebihan tentulah kepada orang yang mempelajari kedua-dua aliran iaitu Tomoi dan Silat. Betul tak?”
            Zharif tersenyum nipis. “Betul tu. Kenal dengan Master Narong Sak?”
            Iskandar mengangguk dalam senyum. “Atau dikenali juga dengan nama Razak bin Kasa. Seorang lagenda Muay Thai Thailand,” balasnya penuh yakin.
            “Wah...awak kenal juga ya.” Zharif bertepuk tangan tanda kagum.
            “Abah saya...salah seorang peminat master Razak. Dia ni seorang pengamal silat yang menggabungkan aliran silat ayahnya dan tomoi yg dipelajarinya dari seorang guru. Master Razak banyak kali menjuarai pertandingan Muay Thai sehingga tidak dibenarkan bertanding lagi oleh badan Muay Thai di Thailand,” cerita Iskandar dengan teruja.
            “Muay Thai?” soal Zawin bersama kerutan di dahi. Beg sukan Nike diletakkan di atas kerusi lalu menyertai dua jejaka itu berbual.
            Zharif tersengih melihat kerutan di dahi Zawin. “Lama Zawin ambil beg?” usiknya.
            “Ala...tadi Najla call. Biasalah kan kalau perempuan dah berbual...tak ingat dunia,” seloroh Zawin.
            Iskandar menjuihkan bibirnya. “Memang la ma tu. Sampai pa ni pun dilupakan...bagai melukut di tepian gantang...”
            Zawin menjeling manja. “Dah...dah...tak mau drama di sini. Tadi korang cakap pasal Muay Thai ke?”
            Zharif mengangguk. “Ya. Cuma perbincangan sekitar muay thai versus silat.”
            Mulut Zawin separuh ternganga. “Wow...tajuk yang menarik. So...silat ke Muay Thai yang lebih baik?”
            Iskandar mendekatkan wajahnya ke arah wajah Zawin. “Tak ada yang terbaik sebab semua orang akan kalah bila Zawin Az-Zahra dah buka bunga silat.”
            Zawin bercekak pinggang dalam wajah geram. “Melalut na...”
            “Eleh...kata is melalut...zawin tu pun enam kali ganda melalut daripada is,” balas Iskandar seraya menjelirkan lidahnya.
            Zharif menatap dua wajah itu silih berganti. “Err...Zawin berlajar silat juga?” soalnya penuh berminat.
            Zawin mengangkat bahunya. Memberi isyarat mata kepada Iskandar supaya tidak menceritakan perihal dirinya dengan lebih lanjut.
            Iskandar ketawa besar melihat tingkah Zawin. “Zharif...kalau nak tahu, Zawin Az-Zahra pernah menang pertandingan silat gayong peringkat kebangsaan. Jangan pandang enteng pada srikandi melayu ni.”
            Zharif  membulatkan matanya. “Biar betul?”
            Zawin merenung tajam wajah Iskandar, menyampaikan isyarat rasa tidak selesanya.
Iskandar tersengih. “Betul la. Dia ni juga atlet olahraga masa zaman sekolah dulu,” beritahunya tanpa menghiraukan tendangan Zawin dikakinya.
           Zharif menatap wajah gadis itu dengan penuh kagum. Benar tanggapannya sebelum ini. Zawin Az-Zahra bukan tipikal gadis melayu biasa.  
          

0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top