BAB 13

            “Ala...tak suka la gelang ni,” komen Yasmin terhadap gelang pemberian suaminya itu.
Wan Zaidi mengeluh. Dia benar-benar letih dalam melayan karenah isterinya. “Itu kan gelang yang Min nak hari tu. Abang belikan gelang yang sama kan?” ujarnya sambil merebahkan diri di atas tilam. Dia ingin tidur sebentar sebelum masuk waktu asar.
            “Memangla. Tapi tak suka la tebal macam ni. Min nak gelang yang lebih kecil,” ngomel Yasmin tidak puas hati. 
            “Min nak macam mana lagi?” soal Wan Zaidi sambil menanggalkan tali leher. Tubuhnya terasa letih setelah melalui penerbangan yang panjang.
            “Min nak gelang emas putih. Ni emas kuning. Tak suka la.” Yasmin memasamkan mukanya.
            “Ya la...ya la...nanti Abang belikan gelang emas putih yang lebih kecil,” pujuk Wan Zaidi lalu memejamkan matanya. Dia tidak mahu pertengkaran berlaku antara mereka biarpun hatinya benar-benar sedih dengan sikap Yasmin yang tidak menghargai pemberiannya.
            Yasmin tersenyum lebar. Dia melabuhkan punggung di sisi suaminya. “Betul ni?”
            Wan Zaidi membuka matanya, menatap wajah jelita itu. Rambut blonde isterinya dibelai lembut. “Ya. Min...Abang nak rehat. Temankan Abang tidur ya?” pintanya lembut.
            Yasmin menggelengkan kepalanya. “Abang tak nampak ke Min dah siap ni?”
            Wan Zaidi terperangah. Mata yang layu sebentar tadi terasa bugar kembali. “Min nak pergi mana?”
            “Min kena pergi kursus. Zharif hantar Min kursus ke Langkawi. Zharif akan sertai Min hari sabtu nanti,” beritahu Yasmin dengan gembira. Dia membetulkan skirt pendek merah bata ditubuhnya sejurus bangun dari katil.
            Wan Zaidi terdiam. “Abang baru balik kan...teman la Abang untuk malam ni. Esok sahaja la bertolak,” sarannya.
            Yasmin mengerutkan wajahnya. “Mana boleh! Tak sempat sampai kalau Min bertolak esok,” sangkalnya keras. Kakinya melangkah pantas ke meja solek.  
            “Erm...” Wan Zaidi mengeluh perlahan. “Min pergi berapa hari?”
            “Tiga hari.” Yasmin mengenakan gincu merah ke bibir mungkilnya, kemudian menempel bedak padat ke wajahnya.
            “Min dah solat?” soal Wan Zaidi ingin tahu.
            “Malas,” sahut Yasmin dengan selamba.
            Bulat mata Wan Zaidi mendengarnya. “Min! Solat itu tiang agama. Solat membezakan orang islam dengan orang kafir. Sanggup Min cakap macam tu?”
            Mata Yasmin tajam merenung wajah suaminya yang tegang. “Ini hidup Min la. Min yang tanggung dosa, bukannya Abang!”
            Wan Zaidi terus bangun dari pembaringan lalu mendekati isterinya yang sedang berdiri dihadapan meja solek. “Min kata apa? Dosa? Hei...Abang yang tanggung dosa Min tau tak? Min tak pakai tudung, Min tak tutup aurat, Min tak solat...semua tu jadi dosa Abang kalau Abang tak tegur!” marahnya dalam nada tinggi.
            “Sekarang Abang dah tegur kan? Jadi...sekarang dah jadi dosa Min. Jadi, Abang tak perlu tanggung dosa Min lagi,” balas Yasmin sambil tersenyum sinis. Tas tangan hitam disarungkan ke bahu,  luggage berwarna merah dicapai. “Min pergi dulu. Nanti dah sampai Min telefon Abang,” ujarnya lalu terus beredar pergi.
            Wan Zaidi terduduk di atas katil. Tangannya menggenggam kuat cadar satin ungu itu. Dia benar-benar marah dengan sikap isterinya yang tidak mahu berubah biarpun ditegur dengan cara yang baik. Dia sudah buntu memikirkan cara untuk mengubah isterinya supaya kembali berpegang pada syariat agama. Wajah Zawin melintas dibenaknya. Beribu sesalan menyelubungi dirinya setiap kali mengingati tindakannya meninggalkan gadis itu. Benar kata ayahnya yang dia akan menyesal kerana memilih isteri yang tidak ada ciri-ciri perempuan solehah sedangkan              Zawin Az-Zahra sudah tersedia sebagai perempuan yang baik. Wan Zaidi tersentak apabila bunyi ketukan di pintu biliknya. “Masuk,” arahnya.
            Wajah Dato Wan Zahid muncul di muka pintu sebaik daun pintu diselak. Wajahnya keruh. Matanya merenung wajah anaknya tajam. “Kenapa dengan isteri kamu tu? Abah tanya dia nak ke mana, dia jeling abah balik. Dah la tak hormat abah, pakaian isteri kamu tu...ish...buruk benar. Kamu tak ajar dia ke?” soalnya dalam rasa geram membungkit dengan perangai menantunya itu.
            Wan Zaidi mengeluh berat. “Abah...Wan tak tahu nak buat apa dah,” balasnya dalam suara lemah. Dia menundukkan wajahnya. Tidak berani memandang wajah kecewa ayahnya.
            Dato Wan Zahid ingin menyambung syarahannya, namun melihat wajah suram anak lelaki itu, dia membatalkan hasrat. Perlahan lelaki separuh abad itu mendekati anak lelakinya lalu menyentuh kedua bahu itu. Sebaik anaknya itu mengangkat wajah, lelaki tua itu bersuara.“Wan adalah permata yang berharga dalam hidup abah. Aset abah dan umi ke syurga kelak. Abah sedih melihat hidup anak abah jadi begini. Tak guna kita menyesal sekarang atas pilihan yang telah dibuat. Abah tak nak salahkan Wan, cuma abah harap Wan boleh didik Yasmin menjadi isteri yang baik,” nasihatnya lalu menepuk perlahan pipi kanan anaknya itu.
            Wan Zaidi mengangguk dalam senyuman manis. Hatinya benar-benar lega mendengar kata-kata ayahnya.
            “Zharif ajak abah ke Masjid Al-Iman. Ada kuliah maghrib. Wan nak ikut?” soal Dato Wan Zahid.
              Wan Zaidi lekas mengangguk. “Wan nak pergi.”
*******         
            “Enam golongan yang tidak layak dijadikan isteri. Pertama, Al-ananah iaitu perempuan yang membanyakkan keluh kesah. Selalu rasa tak cukup...bagi kereta tak cukup...bagi rumah tak cukup. Kedua...Al-mananah iaitu perempuan yang banyak mengungkit kepada suaminya. Ketiga, Al-hunanah iaitu perempuan yang ingin pada lelaki lain. Yang keempat, Al-hudaqah iaitu perempuan yang gemar untuk tiap-tiap sesuatu maka dia paksa suami dia buat. Yang kelima...Al-buraqah iaitu perempuan yang hari-harinya sibuk bersolek tanpa memperdulikan amalan-amalan yang lain. Dan yang keenam As-Salakah iaitu perempuan yang membanyakkan bercakap, berleter siang malam pagi petang.”
            Wan Zaidi menelan liurnya. Terasa kata-kata penceramah itu menampar wajahnya. Ciri-ciri perempuan yang dikatakan itu, ada dalam diri isterinya. Wajah Yasmin muncul di ruang ingatannya. Ya Allah, adakah pilihan aku selama ini salah?  Jika aku salah ya Allah, tunjukkan aku jalan penyelesaian atas semua kekusutan ini. Wan Zaidi tersedar dari lamunannya apabila gelak tawa jemaah masjid menampar gegendang telinganya. Dia mengukir senyuman pahit, berusaha untuk menumpukan perhatian pada isi ceramah ustaz yang berasal dari negeri Perak itu.
            “Perkara ketiga dalam kitab Muhimmah menyatakan, sunat memilih perempuan yang elok mukanya. Orang lelaki kalau nak kawin...sunat pilih perempuan yang elok rupanya. Orang perempuan pula sunat memilih suami yang elok rupanya. Tuan-tuan, elok muka disini bukan makna cantik, bukan maksud lawa semata-mata. Cantik disini bermakna subjektif.  Ada orang yang kita tengok tak lawa, tapi bagi dia cantik sangat. Sebab cantik itu subjektif. Maksud perkara ketiga ini adalah bila tuan-tuan tengok dia...tuan-tuan rasa tenang hati. Itu lah maksud cantik yang sebenarnya. Sebab ada orang yang cantik tapi bila kita tengok dia...lemas perut. Ada orang yang hensem, tapi bila tengok dia...serabut mata. Sebab itu yang dikatakan cantik adalah apabila kita tengok...menenangkan jiwa.  Tuan-tuan tolonglah jadikan muka tuan-tuan bila orang tengok...kita rasa tenang. Sebab itu sunat memilih perempuan yang cantik yakni yang baik rupanya supaya terpelihara daripada ingin kepada perempuan yang lain. Tuan-tuan kitab ni pesan dengan kita, carilah isteri yang segak, carilah suami yang segak sebab bila dah dapat yang segak, kita tak pandang yang lain.”
            Zharif tersenyum sendiri. Wajah Zawin menerpa benaknya. Setiap kali dia memandang wajah ayu itu, hatinya serta merta menjadi tenang. Ya Allah, jika Zawin Az-Zahra benar untukku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-MU. Doanya didalam hati. Zharif membetulkan kedudukan silanya, kembali menumpukan perhatian pada wajah ustaz berserban putih itu. Dia benar-benar menyukai cara pendakwah itu menyampaikan ilmu.
            “Jangan pula berkahwin dengan perempuan yang baik rupanya, tetapi tidak mempunyai agama. Jangan berkahwin dengan lelaki hensem...tetapi agamanya tidak ada. Kata penulis kitab ini, barangsiapa yang nak rumahtangganya ada sunnah, menjadikan perkahwinan yang baik, atau berkehendak menghasilkan anak atau berkehendak rumahnya jadi elok, maka memadailah berkahwin dengan perempuan yang kurang cantik tetapi mempunyai agama dan perangai yang baik. Insyaallah anak dapat...seronok berkahwin pun dapat. Berapa ramai orang yang kahwin dengan perempuan cantik, ada anak ramai? Kitab ni kata, siapa yang nak menghasilkan anak...kawin dengan yang tak berapa cantik sebab yang tak berapa cantik ni dia tak kisah kalau mengandung sekalipun. Tapi yang cantik-cantik ni tuan-tuan...maklum sajalah. Cuba tuan-tuan tengok ratu cantik...anak dia berapa orang?  Artis...berapa ramai anak yang mereka ada? Ada tak artis anak ramai? Ada tak ratu cantik anak ramai? Mana ada tuan-tuan. Takut...kendur la, takut gelebeh, takut selulit. Kadang-kadang nak cium pun tak boleh sebab muka penuh dengan minyak krim. Whitening Krim...macam-macam krim la...Cium ni...bukan pipi tapi cium krim...”
            Zharif ketawa besar mendengar kata-kata itu. Matanya bersabung pandang dengan mata Dato Wan Zahid, lalu ketawa besar terhambur lagi.  Dia menoleh ke sisi kanannya.  Melihat wajah Wan Zaidi yang keruh, hatinya dipagut beribu soalan.    
            “Tapi kalau  isteri tak berapa cantik ni, bukan kita yang panggil dia...dia yang datang pada kita. Haa...tu bezanya. Kalau tuan-tuan cari suami yang hensem, bukan tuan-tuan sahaja yang minat, orang lain pun minat pada suami yang hensem-hensem ni. Akhirnya isteri duduk rumah tak tidur malam. Suami balik lambat...susah hati. Ramai perempuan telefon nak kan suami. Sebab apa? Sebab hensem. Orang teringin...orang berkenan. Sebab itu kitab ni kata...boleh memilih yang cantik, yang segak, tetapi dengan syarat pilih yang beragama. Kalau kamu nak rumahtangga kamu aman, jangan pilih yang cantik sangat...ambil yang sedang-sedang tetapi mempunyai fahaman agama. Anak kamu dapat, bahagia rumahtangga kamu dan kamu boleh hidup sejahtera.”
            Zharif menganggukkan kepalanya. Benar sekali pesanan penulis kitab itu. Mata Zharif dikalihkan pada wajah Wan Zaidi disisinya. Apa yang menganggu fikiran lelaki itu? 
            “Wan...ada yang tak kena ke?” soal Zharif saat berjalan beriringan dengan lelaki itu menuju ke tempat parkir kereta.
            Wan Zaidi mengeluh. Wajah tampan lelaki yang mengenakan baju melayu biru muda itu ditatap lama.“Apa ciri-ciri perempuan yang Zharif akan jadikan sebagai isteri?” soalnya ingin tahu. Anak mata kecoklatan jejaka itu direnung penuh kagum.
            Zharif memuncungkan bibirnya. “Yang sedang sedang saja...yang penting dia setia,” balas Zharif dalam seloroh, mengambil lirik sebuah lagu dangdut.
Wan Zaidi tersenyum sambil menumbuk perlahan bahu Zharif. “Serius la Zharif.”
            Zharif tersengih. “Erm...perempuan yang Zharif cari adalah pada saat Zharif melihat dia...terasa bagai segala hasrat hati dan impian cinta dipenuhi sepenuhnya.”
            Wan Zaidi ketawa kecil. “Itu universal sangat la. Cuba kecilkan kepada beberapa sub topik,” sarannya.
            Zharif mengangkat bahunya. “Perempuan yang Zharif cari...samada seorang ustazah yang berwajah ratu universe...atau ratu universe yang berpenampilan ustazah.”
            “Fuh...macam high taste bunyinya,” komen Wan Zaidi.
            Zharif menggeleng. “Mana ada lah. Itu kan ciri-ciri yang Ustaz Kazim kata tadi. Wajah ratu universe beerti wajah yang menenangkan hati, berperwatakan ustazah itu bermaksud beragama. Itu lah ciri perempuan terbaik yang layak dijadikan isteri,” jelasnya.
            Wan Zaidi tersenyum pahit. Ya...itulah ciri-ciri perempuan yang layak dijadikan isteri. Desis hatinya. Wan Zaidi menghela nafasnya dalam-dalam. Matanya merenung langit malam yang tenang. “Zharif...Wan rasa...Wan dah buat pilihan isteri yang salah,” ujarnya.
            “Kenapa?” Zharif berpeluk tubuh, menatap wajah muram itu.
            “Enam ciri perempuan yang tidak layak dijadikan isteri...semua ada pada diri Yasmin. Wan tak tahu la macam mana nak buat lagi. Yasmin terlalu sukar untuk dibentuk apatah lagi dididik menjadi isteri solehah. Wan buntu sekarang,” luah Wan Zaididalam nada resah.
            Zharif menghela nafas, turut menatap langit malam yang cerah. Dia sendiri tidak menyenangi perangai Yasmin yang tidak menjaga adab sopan seorang isteri orang. Wanita itu seperti tidak terkesan dengan amarannya supaya berhenti daripada meraih kasihnya. Oleh sebab itu, dia selalu menghantar Yasmin menghadiri kursus supaya berada jauh darinya. Wajah Wan Zaidi dipandang lama. “Kalau Wan nak Zharif tolong...insyaallah Zharif boleh usahakan sesuatu. Itu pun Zharif nak minta kebenaran Wan dulu.”
            “Apa dia?”
*******
             “Apa? Kereta hilang?” Zawin membulatkan matanya. Dia benar-benar kaget mendengar berita itu.  
            “Ya. Pa tak tahu nak buat apa ni,” beritahu Iskandar dihujung talian.
            Suara lelaki itu kedengaran resah pada pendengaran Zawin. “Pa kat mana ni?”
            “Di balai polis Ampang. Buat laporan.”
            “Tak apa la pa. Pasti ada hikmah atas apa yang berlaku,” pujuk Zawin.
            “Ma senang cakap. Honda Civic tu ibarat my baby. Aduh...pa tak redha siapa yang curi tu!” luahnya penuh geram.
            “Pa...benda dah berlaku. Redha saja ok. Pencuri...dah kejenya memang mencuri kan?”
            “Apa-apa saja la ma. Pa tengah serabut ni. Dah la banyak barang penting dalam kereta tu.”
            “Pa...tak ada masalah yang tak boleh selesai. Pa nak ma temankan?”
            “Ma...err...nak turun ke Ampang?”
            “Ya. Pa dah habis kursus kan?”
             “Ha...itu la. Pa nak balik la ni. Pa singgah di restoren dulu, nak makan. Habis makan, kereta pa dah tak ada. Semua luggage dan barang penting conference ada dalam kereta tu,” cerita Iskandar lagi bersulam suara resah.
            “Erm...ma nak bersiap ni. Pa tunggu ya. Ma ambil pa. Tapi pa nak ke naik kelisa ma yang kecil tu?”
            “Ma...betul-betul ke nak turun Ampang ni?” Iskandar memohon kepastian.
            “Ya. Buat apa ma nak tipu. Pa tunggu ya.”
            “Terima kasih ma...”
            “Pa tunggu ya.”
*******
            “Kenapa Najla?” tegur Zawin apabila melihat wajah masam rakannya itu.
            Najla menyelak helaian kertas dengan kasar. “Aku geram la dengan student aku ni,” balas Najla seraya mengeluh berat. Matanya masih ditumpukan pada kertas jawapan kuiz pelajar-pelajarnya.
            “Apa yang buatkan kau geram?” soal Zawin ingin tahu. Dia melabuhkan punggung dihadapan Najla. “Ibu mengandung harus jaga emosi tau...” nasihatnya pula.
            Najla tersenyum pahit. “Kau ingat tak tentang The Veblen effect?” soal Najla lalu melemparkan pandangan pada gadis berbusana merah bata itu.
            Zawin berfikir sejenak mengenai ilmu yang diberi Najla dalam syarahannya. Dia memang gemar berada dalam kelas-kelas yang diajar Najla kerana rakannya itu disukai ramai pelajar melalui teknik penyampaian ilmunya. Itu antara kaedah dia membaiki cara mengajar secara tidak langsung. “Erm...bukan ke Veblen effect berlaku bila permintaan tidak mengikuti harga?” tebaknya.
            Najla mengangkat keningnya. “Mengapa Veblen Effect terjadi?” duganya.
            “Biasanya fenomena ni berlaku daripada pola sikap pelanggan yang mementingkan status dan prestige dengan memiliki barang-barang mewah seperti kereta Lamborghini. Kan?” Zawin meminta kepastian mengenai ilmu dari cabang bidang ekonomi itu.
            Najla menepuk mejanya. “Ha...kau boleh ingat...tapi student yang muda-muda...otak masih segar...tak boleh ingat. Geram aku!”
            Zawin tersengih. “Cuba cakap pada aku...kau ada masalah kan?” tebaknya sambil mengangkat kening. Dia sedari, sahabatnya itu sering marah-marah terhadap perkara kecil tatkala ada masalah.
            Najla mengeluh lagi. Dia meraup wajahnya dengan tapak tangan. “Ok la. Kau ingat cerita aku tentang sepupu aku, Iqram?”
            Zawin mengangguk.
            “Semalam aku...tidur di USJ.”
            “Anas outstation lagi?”
            Najla mengangguk. “Ya. Ke Sarawak. Kebetulan Iqram balik ke rumah makcik aku. Masa tu aku sedang goreng pisang. Boleh dia masuk dapur, lepas tu rapatkan badan dia pada aku. Ikutkan hati memang nak aku tampar je muka dia,” ceritanya bersungguh.
            Zawin membulatkan matanya. “Gila! Habis tu...kau buat apa je?” Zawin mengisar punggungnya, menanti cerita Najla dengan penuh minat.
            “Aku marah la. Aku jerit pada makcik aku...ngadu tentang perangai Iqram yang tak pernah berubah. Kau tahu...apa jawapan dia masa makcik aku marah dia?”
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya.
            “Boleh dia salahkan makcik aku. Dia kata...sebab makcik aku larang dia pinang aku dulu la...yang buatkan dia merana, tak dapat lupakan aku. Makcik aku terdiam...tak terkata apa lepas tu. Padahal...aku sendiri pun tak ingin dia jadi suami aku...dah la amalan agama teruk, sosial...Lelaki macam ni ke yang nak membimbing aku?” luah Najla dalam wajah berkerut.            
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Ish ish ish. Aku ingat lagi masa kau kahwin dulu...Iqram lari ke Penang kan? Punya la dia kecewa bila kau tolak cinta dia, kahwin dengan Anas.”
            “Dia balik semalam...sebab nak buat persiapan kahwin,” beritahu Najla.     
            “Biar betul?” Sekali lagi mata Zawin membuntang luas.
            “Makcik aku banyak kali kata pada Iqram yang dia boleh kahwin dengan mana-mana gadis di Malaysia...minah saleh pun tak apa kecuali perempuan bernama Ariana.”
            Zawin mengerdipkan matanya. “Macam tu sekali makcik kau tak suka perempuan tu?”
            Najla mengangguk lagi. “Perempuan tu...dah banyak kali terlanjur dengan Iqram. Iqram boleh kata apa tau? Dia nak kahwin sebagai syarat je, lepas tu dia ceraikanlah perempuan tu.”
            “Semudah itu?” Zawin menelan liurnya.
            “Memang lelaki tak guna!” cemuh Najla. “Dia ingat perkahwinan itu sekadar adat sahaja kah? Padanlah kes-kes penceraian banyak berlaku dikalangan generasi muda. Erti sebenar perkahwinan itu gagal dilihat dan difahami dengan pandangan mata hati,” luahnya geram.
            Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali. “Umur Iqram berapa?”
            “Erm...dah cukup tua untuk berfikir dengan waras. Dia muda setahun daripada kita. Kelahiran 86, lelaki scorpio,” balas Najla sambil mencebirkan bibirnya.
            “86? La...Iqram ni la yang ada nombor pelaris tu kan?” soal Zawin.
            Najla mengangguk lagi. “Iqram ada tiga nombor pelaris. Satu dalam nombor 86, kemudian pada tarikh lahir dia, 7 november yang akan menghasilkan gabungan nombor 729 sehingga dua kali.”
            Zawin mengerutkan wajahnya. “Cuba kau ajar aku...macam mana nak tahu ada nombor pelaris?” 
            “Macam ni...nombor pelaris adalah tiga rangkai nombor 729. Orang-orang yang lahir pada tahun 86...memang sah ada nombor pelaris. Selain itu...orang yang lahir 7 november...sebab nombor 7 tu akan ditambah kepada 2 yang mana hasil tambah bulan November, 1+1 seterusnya menjadi 9. 729. Kelahiran 2 julai pun sama...automatik ada nombor pelaris ni. Orang yang ada nombor pelaris ni...biarpun tak hensem atau tak cantik, tetapi wajah mereka...sedap dipandang mata. Ada potensi jadi jutawan atau pengarah syarikat. Kalau perempuan ada nombor pelaris, mereka sangat mudah terjebak dengan cinta suami orang, kalau lelaki pula...cenderung kawin lebih daripada satu. Iqram...punya ramai peminat, lebih-lebih pula wajah kacak yang dia miliki. Aku perhatikan, sejak dulu Iqram terlalu mudah mendapatkan perempuan hanya dengan sekali ayat.”
            Zawin terangguk-angguk tanda memahami penerangan Najla. “Kalau dia boleh dapatkan perempuan yang dia nak...kenapa dia masih tak boleh lupa tentang kau?”
            Najla mengeluh berat. “Entah la. Dia cakap aku cinta pandang pertama dia. Iqram...lelaki scorpio, lelaki yang amat posessive dalam berpasangan dan sangat cemburu. Dia menganggap aku sebagai kekasih dia biarpun aku dah bergelar isteri orang. Kelahiran november seperti Iqram mempunyai perangai yang tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah. Dia tidak pasti dengan hubungan kasih sayang. Dia kata...semalam, dia nak deal dengan Anas...suruh Anas lepaskan aku. Memang dia dah gila.”               
            “Erk...takutnya la aku dengar.” Zawin mencemberutkan bibirnya.
            “Tapi kelahiran november ni la banyak pujian melangit yang diberi. Bijak, fikiran tajam, penuh dengan idea baru yang luar biasa, badan yang sasa, sifat berahsia, pandai mencungkil rahsia...dan biasanya ramai doktor lahir dalam bulan November,” lanjut Najla lagi.
            “Err...Iqram...doktor gigi kan?” Zawin bertanya sambil berpeluk tubuh. Air cond bilik Najla itu terasa mencengkam sehingga ke tulang hitam.
              Najla terdiam lama. “Dia...doktor gigi yang sangat baik. Kau tahu Zawin...malam semalam aku renungkan penciptaan lelaki bernama Iqram Ibtisam. Mata dia...hidung...bibir...senyuman dia... Sungguh sempurna. Aku bertanya pada diri aku...tidakkah dia berfikir untuk apa tujuan dia diciptakan di atas muka bumi ni? Dia diberikan Allah segala-galanya. Rupa yang kacak, otak yang bergeliga, tubuh yang sempurna...keluarga yang baik...tetapi...sukar sekali untuk sujud pada Allah, mengucap syukur atas semua nikmat yang diberi. Sungguh aku sedih melihat sepupu aku itu jauh terpesong daripada syariat agama,” luahnya dalam perasaan kecewa yang mendalam.
            Zawin bermain-main dengan jari jemarinya sendiri. Diletupkannya beberapa kali sambil merenung wajah Najla yang muram. “Hanya kembali pada pengamalan agama...yang akan meluruskan kembali kehidupan manusia. Aku teringat kata-kata sinis seorang ustaz. Kalau pandai dalam pelajaran, berjaya dalam kerjaya...tapi tak tau dalam ilmu agama, tak reti solat...itulah orang paling bodoh sekali dalam dunia.”
            Najla mengangguk dan menghela nafasnya lagi. “Tahun lepas...kau masih ingat kunjungan kita ke rumah seorang profesor kenalan Dr.Nasa?”
            “Aku tak akan lupa dan aku akan ingat sampai bila-bila.” Zawin merenung mata Najla. “Kehidupan prof itu sangat mewah, punya isteri dan zuriat-zuriat yang lawa, cerdik lagi sempurna. Tetapi bila ditanya arah kiblat...semua ahli keluarga tidak tahu. Mereka kelihatan sangat hebat daripada segi ilmu dunia...tetapi ilmu akhirat...mereka jahil. Itu antara sebab kenapa aku benci dengan kekayaan. Selalu membuatkan manusia lupa. Kadang-kadang aku menangis apabila memikirkan tentang golongan manusia yang tertipu dengan hiasan dunia yang melalaikan.”
            “Semoga Allah kurniakan hidayah dalam hati-hati mereka kelak,” ujar  Najla penuh tulus berbaur harapan.
            “Ya...mudah mudahan begitu la hendaknya.” Zawin menguap sambil menutup mulutnya. Kepalanya disandarkan pada belakang kerusi lalu memejamkan matanya.
            Najla merenung wajah Zawin dengan sangsi. “Kau tak cukup tidur kan? Kau buat apa malam tadi?”
            Zawin membuka matanya. “Aku temankan Is. Aku turun Ampang malam semalam.”
            “La...buat apa?” Najla mengerutkan keningnya.
            “Kereta Is...kena curi.”
            Najla terdiam. “Mesti dia ada buat salah tu,” tuduhnya sambil menggaru dagunya.
            Zawin menjeling wajah sahabatnya itu. “Tak baik kau kata begitu. Ini kan semua ujian Allah,” tegurnya dalam nada tidak puas hati.
            “Ya la. Aku minta maaf. Jadinya, dah buat laporan polis?” soal Najla sambil tangannya kembali menyambung menyemak kertas jawapan kuiz di atas mejanya.
            Zawin mengangguk laju. “Harap-harap Is bersabar atas ujian ini.”
            Najla merenung wajah Zawin dalam-dalam.
            “Kenapa kau renung aku begitu?” tegur Zawin tidak selesa.
            Najla tersengih. Dia mengangkat kedua belah bahunya. “Perempuan Leo...memang loyal lover. Kau sangat sayang pada Daniel Iskandar kan?”
            Zawin tersenyum segan. “Aku...tak mampu nak kawal hati aku daripada terus menyayangi dia biarpun Is ada banyak kelemahan. Kalau ada apa-apa terjadi pada hubungan kami, kalau kami ditakdirkan berpisah, aku rasa...aku tak akan kahwin dengan sesiapa,” luahnya dengan serius.
            Najla menggeleng, menatap tajam wajah Zawin. “Tak. Aku takkan benarkan itu terjadi. Lagi pula aku yakin kau tak boleh hidup tanpa cinta. Ada astrologer pernah menyimpulkan golongan Leo dengan tagline ni. Love me or i die. Kalau kau tak ada jodoh dengan Is, kau pasti akan bercinta semula. Itu janji aku,” tegasnya.
            Zawin mengangkat kedua bahunya. “Aku...hanya inginkan Daniel Iskandar sebagai suami aku. Nokhtah,” balasnya dalam nada tegas.
            Najla menggelengkan kepalanya dengan sifat degil gadis itu. “Kau dah buat solat istikharah?”
            Zawin tersengih, membuat muka manja. “Perlu ke?”
            “Zawin!!” jerit Najla dalam mata yang membulat.
********
            “Abang Zharif!!” jerit Tengku Azura sebaik ternampak wajah lelaki yang sering hadir dalam mimpinya itu.
            Zharif terkejut dengan kehadiran gadis lincah itu di samping Wan Zaidi. Dia terus terbangun dari kerusi restoren miliknya itu.
            Tengku Azura terus memeluk lengan lelaki itu dengan manja. “Kenapa Abang Zharif tak jawab panggilan Zura?” soalnya ingin tahu. Wajah tampan berkemeja merah jambu itu direnung bersungguh.
            Zharif lekas meleraikan pelukan gadis itu. “Err...Abang sibuk,” balasnya memberi alasan dalam rasa kurang selesa. Matanya memandang wajah Wan Zaidi meminta penjelasan.
            “Maaf Zharif. Kebetulan Zura ada di rumah aku masa kau telefon. Dia beria nak makan makanan jepun di restoren kau. Itu yang aku tak sampai hati nak tolak permintaan Zura,” jelas Wan Zaididalam senyum pahit.
            Apabila gadis itu sekali lagi memeluk lengannya, lekas-lekas Zharif meleraikan. “Zura...tak baik begini,” tegurnya.
            “Ya la.” Tengku Azura memuncungkan bibirnya. Dia membetulkan kedudukan baju body shape merah yang terangkat di atas pusatnya.
            “Erm...Zura nak makan apa?” soal Zharif ramah apabila menyedari wajah gadis itu bertukar riak masam. Zharif mengukir senyuman manis. Teringat pesan ayahnya supaya melayan perempuan dengan baik biarpun hati tidak berkenan.
            Hati Tengku Azura terpujuk dengan senyuman menawan itu. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman. “Zura nak makan apa sahaja yang Abang Zharif pesan,” balasnya dengan teruja.
“Ok...Zura duduk dulu. Nanti Abang ambilkan makanan jepun yang paling laris.”
            Tengku Azura tersenyum lebar. Wajah kacak itu diseluruhi bersungguh. Terpujuk jua rasa rindunya selama ini. Rambut hitam lelaki itu ditata kemas, tercacak menjulang ke atas. Kulit putih itu kelihatan bersinar. Bibir terbentuk cantik itu kelihatan merah sentiasa. Sungguh dia terpesona dengan lelaki yang mempunyai ciri lelaki metroseksual itu. “Ok. Zura tunggu.”
            Zharif tersenyum lagi. Dia mengalihkan perhatian pada wajah Wan Zaidi yang terpacak berdiri di sisinya. “Jom...teman aku ambil makanan,” ajaknya.
            Wan Zaidi mengangguk. Dia mengekori langkah Zharif menuju ke arah bar sushi. “Maaf tau Zharif. Wan pun tak sangka dia beria nak ikut,” katanya lagi.
            Zharif menggeleng lantas tersenyum manis. “Tak apa la. Memang sengaja nak belanja Wan pun. Zura ada pun dah bertambah meriah kan?” Zharif menghulurkan pinggan kepada Wan Zaidi.
            Wan Zaidi menyambut pinggan seiring senyuman lebar. Tangannya cekatan mengambil makanan yang nampak sedap pada pandangan matanya.
            “Yasmin masih balik lambat ke rumah?” soal Zharif tiba-tiba. Beberapa ekor udang goreng tempura diletakkan ke dalam pinggan.   
            “Macam tu la dia Zharif. Tak tahu macam mana lagi nak tegur,” keluh Wan Zaidi.
            “Erm...Wan jangan risau. Nanti tahu la Zharif nasihatkan dia. Yasmin...memang pekerja yang baik tetapi sikap dedikasi pada kerja bukan menjadi satu alasan untuk mengabaikan tugas-tugas lain terutama sebagai isteri.” Zharif memberi harapan sambil menepuk perlahan bahu Wan Zaidi.
            Wan Zaidi mengangguk lemah. “Err...Apa cerita dengan perkara yang Zharif minta tolong hari tu?”
            Zharif terdiam. “Nanti Zharif cerita. Kita makan dulu ya,” balasnya lalu melangkah ke arah Tengku Azura yang sudah melambai-lambaikan tangannya dari jauh. Dua pinggan yang berisi penuh pelbagai makanan jepun diletakkan di atas meja.
            “Wah...banyaknya?” Mata Tengku Azura membulat luas.
            “Makan la,” saran Zharif. Dia memilih duduk di sebelah Wan Zaidi, mendepani gadis berambut lurus perang itu.
            Tengku Azura mengangguk penuh teruja. Dia menggerakkan chopstik, mengambil udang tempura lalu memasukkan ke dalam mulut. “Erm...sedap!” pujinya.
            Zharif tersengih. “Makan banyak-banyak,” sarannya lagi.
            Wan Zaidi menahan senyum. Dia menyeluruhi wajah gadis muda itu. Penampilan sepupunya itu tidak jauh daripada isterinya. Hatinya berlagu hairan apabila mengingati penampilan sopan Tengku Azura yang sedang menikmati minum petang sewaktu dia pulang dari pejabat petang tadi. “Zura...kenapa tukar baju kurung tadi? Kan manis pakai macam tu.”
            Tengku Azura mencebirkan bibirnya. “Erm...terpaksa. Zura baru balik dari kelas. Cik Zawin tak suka pelajar pakai baju seksi. Dia masuk dalam kelas, suruh angkat tangan tinggi-tinggi lepas tu kata...siapa nampak pusat dipersilakan keluar dari kelas,” ceritanya bersungguh.
            “Hah? Zawin buat macam tu?” Zharif terperangah dalam tawa besar.
            Wan Zaidi terdiam.
            “Err Abang Zharif kenal dengan Cik Zawin?” Tengku Azura merenung wajah lelaki itu sangsi.
             Zharif mengangguk pantas. Abang ada datang bersama Zawin masa Wan Zaidi dan Yasmin kahwin.”
            “Oh...tak perasan la pula masa tu,” keluh Tengku Azura. Dia sudah hilang selera lalu menolak pinggan ke tengah.
            “Kenapa Zura? Tak sedap ke?” Zharif berkerut muka.
            Tengku Azura membuat mimik wajah seperti merajuk. “Kenapa semua lelaki sukakan Cik Zawin tu? Nak kata cantik...” Tengku Azura cuba mengingati kembali wajah pensyarah IT nya itu. “Erm...agak cantik la,” lanjutnya lagi.
            “Semua lelaki? Siapa lagi?” celah Wan Zaidi ingin tahu.
            “Cik Zawin selalu terima bunga dari seorang lelaki’, beritahu Tengku Azura.
            “Macam mana Zura tahu?” soal Zharif pula.                     
            “Zura la yang jadi tukang hantar bunga tu,” akui Tengku Azura dengan bangga.
            “Siapa?” Serentak soalan itu diajukan Wan Zaidi dan Zharif.

0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top