BAB 2

            Zawin menikmati bersungguh sushi ikan salmon. Pinggannya penuh dengan pelbagai jenis makanan jepun. Dia tidak menghiraukan orang ramai yang  memenuhi Restoren Miyako itu. Harga yang dikenakan restoren itu biarpun agak mahal namun dia tidak peduli. Dia hanya mencari tempat menjamu selera untuk melepaskan rasa hati yang libang libung. Sup miso dihirup penuh selera.
            “Boleh saya duduk di sini?”
            Zawin mengangkat wajahnya, sudu kaca tergantung didalam mulut. Matanya terpaku pada seraut wajah yang pernah dilihatnya. Lelaki thai itu! Hatinya pantas mengecam.
            “Boleh saya duduk di sini? Semua tempat dah penuh,” ulang Zharif lagi.
            Zawin meletakkan sudu ke dalam mangkuk. Matanya menyeluruhi seisi restoren. Memang benar, semua meja telah dipenuhi pelanggan terutamanya meja yang menempatkan untuk enam orang makan. Meja yang didudukinya itu sahaja menempatkan untuk dua orang makan. “Duduk la,” balasnya bersahaja, kembali menghirup sup.
            “Terima kasih,” ucap Zharif dengan gembira. Dua keping pinggan yang dibawanya diletakkan di tengah meja. “Ini untuk awak.” Zharif menghulurkan pinggan yang berisi kek black forest kepada gadis itu.
            “Untuk apa?” Zawin bertanya dalam kehairanan.
            “Sebab bagi saya duduk di sini. Lagi pula, kek coklat bagus untuk merawat hati dan mengendurkan emosi,” balas Zharif sambil tersenyum.
            “Macam mana awak tahu saya ada masalah emosi dan hati? Terlukis ke di dahi saya ni?” Zawin merenung tajam wajah jejaka yang mengenakan kemeja kuning cair itu.
             “Sebab dizahirkan melalui air wajah awak. Sangat keruh. Macam awak sedang menanggung seluruh masalah dunia.”
            Zawin tersandar pada kerusi. “Jelas sangat ke?” soalnya kembali dalam suara lemah. Mangkuk sup ditolak ke tepi.
            Zharif mengangguk laju. “Ada masalah apa? Kalau awak tak keberatan, ceritalah.”
            “Kita bukan kawan, baru saja kenal.”
            “Kalau macam tu, kita jadi kawan.”  
            “Saya tidak mudah berkawan.”
            “Jadi...mudahkan la. Rugi awak tak kawan dengan saya. Bukan semua perempuan saya ajak jadi kawan tau,” balas Zharif bersulam senyuman.
            “Oh, really?  Apa yang saya dapat kalau jadi kawan awak?” Zawin berpeluk tubuh.
            “Erm...kawan-kawan saya kata, saya ni kawan dan pendengar yang baik. Pakar menyelesaikan masalah tau.  Kalau awak jadi kawan saya, hidup awak akan sentiasa ceria.”
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Macam yakin je.”
            “Mestila saya yakin. Awak nak tak jadi kawan saya?” Zharif menatap lembut wajah gadis itu.
            Zawin merenung lelaki berkulit putih itu. Kening hitam lebat lelaki itu ditatap dengan kagum. Warna anak mata itu sama seperti Najla dan seorang yang telah lama hilang dari hidupnya. Jarang dia bertemu lelaki yang memiliki sepasang mata mempersonakan seperti dimiliki lelaki ini. Hidungnya tinggi membulat di puncak. Bibir comel merah itu pula menawan mata sesiapa yang melihatnya terutama semasa dia mengukir senyuman. Subhanallah. Hatinya melafazkan kata-kata memuji Allah itu atas kesempurnaan penciptaan lelaki dihadapannya ini.
            “Awak boleh kawan dengan saya hanya selepas awak lulus ujian saya,” beritahunya sambil berpeluk tubuh.
            “Ok. Saya memang suka diuji. Try me.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya, matanya merenung sangsi pada wajah tenang itu. “Ok. Katakan awak berada di rumah. Ada lima situasi yang saya akan beri. Awak cuma perlu pilih situasi yang paling penting bagi awak. Pertama, air didalam bilik air sudah melimpah,  kedua...air di atas dapur sudah berbunyi, kemudian ada bayi menangis, telefon berdering dan bunyi ketukan di pintu. Pilihan yang awak beri akan menjadi titik tolak samada awak diterima sebagai kawan saya atau tak. Fikirlah dulu.”
            Zharif menyentuh dagunya, mengerutkan keningnya. “Kalau saya la kan, saya ambil baby, pujuk baby. Kesian baby menangis. Situasi yang lain tu boleh diselesaikan kemudian,” jawabnya dengan yakin.
            Zawin merapatkan jari jemarinya. Wajah lelaki itu direnung lama, seakan mahu tembus pandangan itu. “Erm...Ok. Ada satu lagi soalan. Siapa manusia yang paling bijak dalam dunia ni?”
            Zharif berfikir sejenak. “Erm...Albert Einstein...rasanya bukan. Bill Gates?..Tak...dia bukan orangnya...” ngumamnya seiring bola matanya disorotkan ke atas syiling restauran. “Saya rasa...orang yang paling bijak adalah golongan manusia yang nabi Muhammad S.A.W pernah sebutkan dalam sebuah hadis iaitu manusia yang sentiasa mengingati mati dan membuat amalan untuk bekalan sesudah mati. Betul kan?” Zharif meminta kepastian, kembali menyorot pandang wajah gadis itu.
            Zawin menahan nafas mendengar jawapan itu. Tidak ramai lelaki yang lulus dengan soalan itu. Pasti lelaki thai ini bijak, juga pasti ada campuran melayu dan tentunya seorang muslim.  Dia benar-benar terkejut apabila lelaki itu menyatakan hadis rasulullah S.A.W dalam menjawab soalannya. Adakah dia muslim yang baik?
            “Saya diterima tak?” gesa Zharif.
            Zawin tersenyum nipis. “Awak diterima.”
            Zharif tersenyum gembira. “Betul? Kalau begitu, selamat berkenalan.” Zharif menghulurkan tangannya.
            Zawin mengangkat sebelah keningnya. Huluran tangan itu dibiar tidak bersambut. “Oleh sebab awak dah jadi kawan saya, awak kena tahu dan hormat prinsip hidup saya. Saya tak akan bersalaman dan bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim.”
            Zharif tidak terkejut dengan kata-kata itu. Dia tersenyum penuh makna. Gadis itu lulus ujiannya yang dibuat dalam diam. “Zawin memang kawan yang istimewa.”
            Zawin membulatkan matanya. “Saya tak pernah beritahu nama saya Zawin. Macam mana awak tahu?”
            “Kejadian malam tu...saya terdengar teman lelaki awak sebut Zawin banyak kali. Saya agak, nama awak la tu kan? Nama yang menarik. Itu yang melekat dalam ingatan saya,” beritahu Zharif bersahaja.
            Zawin terdiam. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mata lelaki itu ditatap lagi. “Zharif kan?” soalnya pula.
            Zharif terkejut. “Awak boleh ingat nama saya?”
            Zawin mengangguk. “Saya ingat. Malam tu...awak ada kenalkan diri masa dalam kereta...” Zawin menahan sayu dihati. Mana mungkin dia lupa nama yang membawa maksud bijaksana itu. Nama itu mengingatkannya kembali kepada seorang insan mulia yang telah banyak membantunya.
            Zharif tersenyum nipis. Gadis ini punya ingatan yang kuat. Desis hatinya.
            “So, Zharif...darah thai sebelah ayah ke mak?” soal Zawin lebih lanjut.
            “Mak saya berdarah thai. Ayah saya pula cina.”
            “Hah? Jadinya memang tak ada darah melayu?”
            “Memang tak ada. Nama saya Muhammad Zharif Zahir bin Zulkarnain Kwok. Nama saya bukan nama melayu, tetapi nama arab.  Islam itu bukan untuk melayu sahaja kan?” soal Zharif kembali.
            Zawin mengangguk. Wajah itu ditatap bersungguh. Padan la lelaki ini begitu menawan matanya. Beberapa kali kalimah subhanallah diucapkan hatinya. “Awak selalu makan di sini?” soalnya seraya mencuit sesudu kek blackforest, dirasanya sedikit. Sedap! Hatinya memuji. Terus dimasukkan ke dalam mulut, menikmati rasa manis pahit itu langsung membangkitkan rasa gembira dalam diri. Benar kata lelaki itu!
            “Tak selalu. Jarang. Awak pula?”
            Zawin menggeleng. “Pertama kali saya datang sini. Tak sangka saya jumpa awak lagi. Kejadian malam tu...saya harap awak tak akan mengungkit lagi.” Udang goreng tempura dimasukkan ke dalam mulut, dikunyah perlahan.
            “Boleh,” balas Zharif dalam senyum. Tidak sia-sia pencariannya selama ini. Kulit putih merah gadis itu direnung dalam kagum. Lama matanya menatap paras jelita itu. Mata yang bundar bening itu, alis mata lentik semulajadi, bibir comel juga tulang pipi yang menonjol itu masih sama. Tahi lalat di bawah bibir kanan membuatkan gadis itu lebih menawan dan manis.
            “Jangan renung saya macam tu,” tegur Zawin. Tidak berapa selesa dengan renungan dalam itu.
            “Saya pandang je.”
            “Tak. Awak sedang memerhatikan saya, merenung wajah saya,” sangkal Zawin.
            “Awak mengingatkan saya tentang seseorang.”
             “Oh...ramai yang berkata begitu. Wajah saya ni mungkin familiar pada ramai orang. Selalu sangat berlaku begitu.”
            “Bukan begitu...wajah awak unik maksud saya. Hanya awak sahaja yang memilikinya.”
“Habis tu...siapa pula seseorang yang awak cakap tadi.”
            “Oh...maksud saya seseorang yang saya pernah jumpa beberapa tahun lalu tetapi hilang daripada pandangan. Saya berusaha mencari dia dan akhirnya...”
            “Awak dah jumpa dengan dia semula?” soal Zawin pantas.
            Zharif menyeluruhi wajah itu lagi. “Dah. Saya dah jumpa. Melihat awak bagaikan saya telah berjumpa kembali seseorang yang saya cari selama ini.”
            “Erm...ya la tu,” Zawin malas melayan. Zawin bangun, menapak ke bahagian buffet. Dia kembali semula dengan pelbagai makanan memenuhi pinggan kaca itu.
            Zharif lebih banyak memerhati gadis itu daripada menikmati hidangannya. Melihat gadis itu makan bersungguh, dia tersenyum sendiri. “Awak memang suka makanan jepun?” soalnya sambil berpeluk tubuh.
            “Sangat suka,” balasnya sejurus mencicip teh hijau. “Bukan sahaja makanan, tetapi banyak perkara yang saya suka termasuk budaya jepun, teknologi, inovasi, animasi, komik,  j-pop, drama, filem dan sebagainya.”
            “Ya? Saya pun sama...Sangat suka.”  Zharif benar-benar teruja mendengar pengakuan itu.
            Mata Zawin bersinar serta-merta. “Wah. Ya ke? Tak sangka.”  
            Zharif berpeluk tubuhnya, menatap mata bening gadis itu. “Erm...nampaknya saya tak salah pilih kawan kan?”
            Zawin mengangkat bahunya, tersenyum nipis. “Mungkin.”
            “So, apa masalah awak? Cerita la,” pinta Zharif.
            Zawin mengeluh berat. Wajah kacak itu direnung bersungguh. Ada keikhlasan terbit disebalik renungan lembut lelaki itu. “Ok. Apa pendapat awak tentang saya? Maksudnya, pakaian saya, cara saya, sikap saya...semua la. Awak simpulkan sendiri. Saya nak pengakuan jujur.”
            Zharif mendekatkan mukanya, merenung mata bening itu. “Awak adalah hiasan dunia yang terindah.”
            Zawin terkesima mendengarnya. “Hah?” Mata Zawin terkedip-kedip memandang wajah lelaki itu.           
            “Awak adalah hiasan dunia yang terindah,” ulang Zharif lagi. “Bukan ke kata nabi...dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik, seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah? Jadinya, gadis yang bernama Zawin dihadapan saya ini, saya ketegorikan sebagai sebaik-baik dan seindah-indah perhiasan dunia.”
            Zawin menjatuhkan pandangan pada air teh didalam cawan. Merenung biasan wajahnya. Ramai lelaki cuba mendekati dirinya selama ini kerana pesona wajahnya tetapi lelaki ini memang lain daripada yang lain. Hatinya benar-benar terharu. Wajahnya diangkat, merenung mata indah itu lagi. “Terima kasih. Saya anggap kata-kata itu sebagai penghargaan.”
            “Awak memang layak untuk dihargai.”
            “Bagaimana pula dengan penampilan saya? Awak tak rasa saya ni selekeh?”
            “Tak. Awak tak selekeh,” balas Zharif pantas.
            Zawin memincingkan pandangannya, memasang telinga.
            “Bagi saya, asalkan awak menutup aurat, menyelindung kecantikan diri yang hanya dilihatkan kepada suami, tidak menonjolkan bentuk tubuh...itu saya lihat sebagai penampilan muslimah sebenar. Apa yang penting, hati kena bersih dan minda muslimah haruslah cemerlang. Muslimah cemerlang adalah yang berakhlak mulia, tidak jemu menuntut ilmu dan beramal dengan ilmu yang ada. Jadinya saya lebih melihat pada kekuatan minda daripada penampilan luaran,” ujar Zharif lebih lanjut.
            Zawin terkedu. Matanya terkelip-kelip memandang lelaki thai itu.
            Zharif menganggukkan kepalanya bersungguh, berusaha meyakinkan gadis itu yang dia tidak bergurau dengan kata-katanya itu.
            “Kan?” Sinar mata Zawin kembali cerah. Dia tersenyum senang. Hatinya melonjak riang. Akhirnya ada juga insan yang memahami pemikirannya. Dia  benar-benar gembira.
            “Ya. Awak tak perlu risau dengan kata-kata orang la. Apa yang penting awak kenal jati diri dan beramal untuk bekalan sesudah mati. Tetapi tak salah juga kalau awak jaga penampilan diri. Bila seorang muslimah itu cemerlang mindanya, penampilan yang baik akan menjadi nilai tambah dalam dirinya. Golongan agama lain juga akan turut membuka mata dan merasakan islam bukan agama jumud. Allah itu cantik dan Allah suka pada yang cantik. Apa salahnya muslimah menghargai kecantikan yang diberi melalui penampilan yang rapi. Awak pasti nampak lebih hebat dan lebih mempersona jika seimbang luar dan dalam. Bukankah wanita solehah itu adalah hiasan dunia yang terindah? Berhiasla asalkan jangan berlebihan,” nasihat Zharif.
            Zawin menghela nafasnya. Wajah kacak itu ditatap lama. Kata-kata berbaur nasihat itu benar-benar menusuk ke dalam nurani sekaligus mengubah paradigma diri. “Kenapa kadang-kadang terasa orang asing bagaikan saudara sendiri, tetapi saudara sendiri terasa bagaikan orang asing?” Zawin menahan sebak yang tiba-tiba menyerbu dadanya.
            “Sebab itu saya kata, awak tak akan menyesal kawan dengan saya.”
            Zawin tersenyum nipis. “Betul kawan-kawan awak kata tentang awak.”
            “Well ...itu memang saya. Erm...awak buat apa sekarang Zawin?Awak tinggal di mana?”
            “Awak tak perlu tahu.”
            “Kenapa?”
            “Sebab saya tak nak awak tahu.”
            “Kenapa pula?”
            Zawin sudah mencapai tas tangannya, lantas dia bangun dari situ. “Sebab saya memang mudah didekati...tetapi tidak mudah dikenali. Terima kasih jadi kawan saya. Kalau kita bertemu sekali lagi dimana-mana, pada ketika itu, saya akan benarkan awak mengenali saya. Assalamualaikum.” Zawin menapak ke luar restoren. Dia tersenyum lebar. Zharif Zahir...erm...not bad.  Jika ada pertemuan lagi, pasti lelaki itu adalah anugerah daripada Allah S.W.T untuknya. Siapa sangka pertemuan dengan lelaki asing itu berjaya mengubah persepsinya selama ini. Zawin Az-Zahra, sudah tiba masa untuk kau berubah kerana kau hiasan dunia yang terindah!
********
            “Betul ni?” Najla meminta kepastian.
            Zawin mengangguk, lebih bersungguh.
            “Ok. Kalau begitu, kau harus ambil duit dulu. Bank mana yang kau paling banyak duit?” Najla mengangkat-angkat kan keningnya sambil tersengih.
            Zawin menjeling sekilas. “RHB. Jom ke sana,” ujarnya lalu menghela lengan Najla ke seberang jalan.
            “Wow Rashid Hussin Berhad,” Najla mengangkat-angkat keningnya sebaik berada di hadapan Bank itu.
            “Siapa tu? Pakcik kau ke?” soal Zawin tidak tahu menahu.
            Najla menepuk lembut lengan kanan Zawin. “Oii makcik. Kalau Rashid Hussin tu pakcik aku...dah lama aku kaya raya. Rashid Hussin tu la tu owner RHB dulu. A brilliant malay guy,” jelas Najla.
            “Ooo...” panjang muncung mulut Zawin mendengar fakta itu. “Maknanya, Rashid Hussin tu bukan pemilik RHB sekarang? Tapi kenapa nama RHB masih diguna pakai?” Zawin mengeluarkan kad ATM bank RHB, meneliti tulisan yang tertera di atas kad biru itu.
“Sebab tu aku kata dia lelaki bijak. Bank Utama dah beli bank RHB tetapi sehingga kini, Bank Utama tak dapat jelaskan harga brand name RHB tu. Tiada siapa tahu harga yang telah disetujui bersama. Mungkin billion dan mungkin juga trillion. Oleh kerana itu, nama RHB masih diguna pakai dan selagi itu la Rashid Hussin dapat untung atas usaha dia membina empayar bank RHB. Tanam sekali, buah berkali-kali. Memang bijak,” jelas Najla bersungguh.
            “Memang bijak dan kau tu pun bijak. Patut la Anas suka kau, banyak perkara yang kau tahu.”
            “Mesti la aku kena tahu. Aku kan graduan business admin. Ala...ilmu yang aku ada tak sama dengan kau. Graduan information system macam kau lagi la bijak. Dah...dah...pergi cucuk duit kau tu,” arah Najla sambil berpeluk tubuh di sebelah mesin ATM.
            Zawin tersengih. Kad itu dicucuk ke dalam. Tangannya cekatan memasukkan nombor pin yang dikehendaki. Dia seakan berfikir jumlah yang harus dikeluarkan. Mengingati tahap pengeluaran maksima yang boleh dikeluarkan, kepalanya terangguk-angguk sendiri. Zawin menunggu mesin itu memproses jumlah wang yang dipinta. 
            “Tu la aku cakap...buat kad debit kan senang,” bebel Najla.
            “Debit ke kredit ke sama bagi aku. Aku tak suka benda-benda begini. Pasti terselit unsur riba tanpa kita ketahui. Apa yang terjadi pada ekonomi dunia hari ini, semuanya kerana kesan riba. Bank-bank menawarkan kad kredit tanpa bersyarat kepada pelanggan sehingga membuahkan hutang yang tinggi apabila pelanggan berbelanja di luar kemampuan mereka.”
Najla bertepuk tangan. “Wah...wah...dah jadi Suze Orman nampak. Kalau kau nak tahu, financial guru tu...perempuan Gemini tau. Kalau tengok dia dalam Oprah Winfrey Show, kita pun sampai ternganga dengar dia bercakap. Tu la kelebihan bintang Gemini. Petah berbicara, bijak mempengaruhi orang dan pastinya mereka tidak akan mengalah dalam mana-mana perdebatan. Sama seperti mantan presiden Indonesia, Sukarno.”
            “Ya la tu. Kebetulan semua tu,” balas Zawin tidak acuh. Wang yang keluar, dimasukkan cepat-cepat ke dalam tas tangan. Tidak mahu rakannya itu tahu jumlah yang dikeluarkan.  Apabila resit bank keluar, dia terpaku sendiri apabila tangan Najla lebih pantas daripada tangannya. “Hei makcik, bagi balik.” Zawin membulatkan matanya. Dia cuba merampas resit itu.
            Najla berusaha mengelak, bergelut untuk melihat jumlah yang dikeluarkan. Matanya membuntang luas. “Lima ribu?! Ish ish ish. Jumlah yang bagus tu.” Najla tersengih menang.
            Zawin menjeling geram. Resit itu pantas dirampas, dimasukkan ke dalam tas tangan.
            “Kenapa kau tak buang saja resit tu?” soal Najla kehairanan.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Kalau boleh kau pun mulai hari ni jangan buang resit bank. Nanti aku cerita apa yang hacker boleh buat untuk masuk dalam akaun kau. Jom, kita shopping,” ajak Zawin dengan teruja.
            “Jom,” Najla menyahut gembira.
            “Perlu ke aku potong rambut?” soal Zawin agak keberatan. Terasa sayang apabila mengenangkan rambutnya yang tebal telah melepasi pinggang. Saloon rambut dihadapan tempat mereka melepaskan lelah itu dijenguknya. Ada beberapa pelanggan didalam saloon itu.
            “Perlu. Kalau aku la, rimas ada rambut tebal, panjang pula tu. Anggap sahaja ini permulaan pada perubahan penampilan kau. Walaupun kau pakai tudung, tak salah kan untuk kau merasa seperti orang baru bila kau tanggal tudung kau tu.”
            “Ya la. Jom. Aku dah bersedia. Memang pun, kepala aku berat bawa rambut tebal ni,” ajak Zawin seraya berdiri.
            Najla tersengih lagi.
            “Mau potong rambut didalam?” Seorang gadis cina berambut perang mendekati mereka setelah lama menunggu.
            Zawin dan Najla serentak mengangguk. Beberapa lelaki sedang menerima perkhidmatan di saloon itu. Tidak elok aurat diri dilihat oleh golongan lelaki bukan muhrim.
            “Mari ikut saya ke dalam.”   
            Najla dan Zawin akur lalu mengekori gadis cina itu.
            “Wah...banyak cantik. Rambut kamu lembut, banyak sihat. Kenapa mau pakai tudung lagi amoi?” Gadis cina itu bersuara sejurus tudung kuning putih itu ditanggalkan Zawin. Rambut tebal gadis itu dilurut-lurut dengan kagum.
            “Sebab cantik la...harus ditutup Amoi. Haa...potong rambut dia macam ini,” Najla mengunjukkan satu gaya rambut daripada sebuah majalah yang sempat dibeleknya sebentar tadi.
            “Ok.”
            “Cantik ma. Aiyaa...amoi melayu semua cantik-cantik. Saya keluar sekejap oo,” pinta gadis cina itu selepas pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatannya.
            “Memang sesuai la rambut paras bahu ni dengan wajah bujur sirih kau,” puji Najla sambil menyentuh bahagian rambut yang berlayer. Mendengar nada dering permata untuk isteri, tangannya cekatan mencapai telefon dalam tas tangan lalu disambut dengan senyuman. “Wassalam kanda. Tak habis shopping lagi. Kejap ya.” Najla mengalihkan telefon bimbit, kembali memandang Zawin. “Aku keluar kejap. Nak cakap dengan cik Abang aku.” Najla mengenyetkan matanya sebelum berlalu keluar. 
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Beruntung kau Najla. Aku juga la yang tak tahu nasib badan.” Zawin tersenyum melihat dirinya yang baru didalam cermin. “Kau hiasan dunia yang terindah,” bisiknya. Langsung ingatannya membawa kepada lelaki kacak yang ditemui kelmarin. “Zharif Zahir...terima kasih,” ujarnya dalam suara perlahan. Mendengar pintu ditolak dari luar, Zawin terus berpaling ke belakang. Dia terpaku melihat gerangan di muka pintu itu.
            “Zharif?” soal Zawin meminta kepastian.
            Zharif yang terpaku melihat diri sebenar gadis itu cuma mengangguk dalam rasa tidak percaya. Hatinya berdetak kencang.
            “Awak buat apa di sini?” soal Zawin lagi.
            “Err...Vivien...hair stylist tu...sepupu saya. Saya sedang cari dia.”
            Zawin ketawa halus. “Tak sangka. Kita bertemu kembali.” Pandangannya tepat menyeluruhi tubuh tinggi lampai itu. Gaya kasual lelaki itu menyerlahkan wajah tampan itu tatkala mengenakan kemeja kuning cair dipadankan seluar jeans biru. Kepalanya digelengkan perlahan. Dunia memang kecil. 
            Zharif sudah tersenyum lebar. Dia masih tercegat di hadapan pintu. “Saya berpegang pada kata-kata awak.  Nampaknya awak tak boleh halang saya daripada mengenali awak kan?”
            Zawin tersenyum senang. “Mungkin saja.”
            “Awak tak akan menyesal jadi kawan saya. Itu saya boleh pastikan.”
            Zawin tersenyum simpul. “Saya tahu itu.” Dia berpaling semula pada cermin dihadapannya. Zawin terpempan. “Argh...” Dia terjerit kecil lalu terkocoh-kocoh mencapai tudung di atas kerusi berhampiran lalu menyarung ke kepalanya.
            Zharif ketawa melihat tindakan kelam kabut gadis itu. “Agaknya, kalau ada tudung saji, mesti awak sarungkan ke kepala juga kan,” usiknya bersahaja. Dia melangkah ke dalam bilik itu, lalu melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah gadis itu.
            Zawin menjeling geram. “Awak tu pun satu. Tegur la saya masa masuk tadi.”
            “Mana la saya tahu awak ada kat dalam. Lagi pula, saya pun terkejut jumpa awak balik.”
            “Ya la.” Zawin menatap cermin besar itu lalu membetulkan tudung di kepalanya. Tudung hadiah pemberian Najla itu amat mudah disarung di kepala. Malah blouse dan seluar putih yang dipakai nya juga daripada sabahat baiknya itu. Sebaik dia menyatakan ingin berubah, Najla menjadi orang yang paling gembira langsung membelikan beberapa helai pakaian baru untuknya.
            “Erm...awak nampak lain dengan penampilan baru. Sangat menawan,” puji Zharif  sebaik meneliti penampilan gadis itu. Seluar panjang putih dipadankan dengan blouse kuning cair, sangat masuk dengan kulit putih merah gadis itu. Tudung putih berjalur kuning itu menyerlahkan lagi paras jelita itu. Dia benar-benar terpesona. 
             “Kecantikan...kelebihan rupa paras...adalah perhiasan yang menipu, tarikan yang memperdaya. Semuanya sementara kan?” Zawin merenung wajahnya bersungguh didalam cermin itu.
            Zharif mengerlipkan matanya beberapa ketika. Gadis ini adalah satu dalam sejuta! “Err...Memang betul. Awak...err...awak...bersolek tak ni?” soalnya sambil menyeluruhi wajah anggun itu. Pada pandangannya gadis itu punya kecantikan semulajadi tanpa bantuan mana-mana material moden.
            Zawin pantas menggeleng. “Saya tak pandai bersolek la. Sejak dulu memang saya tak bersolek.”
            “Awak makan jamu?”
            Zawin mengangguk lagi. “Sejak remaja.”
            Zharif tersenyum sendiri. Memang dia sudah mengagak melihat daripada kulit cantik itu.  Halus dan gebu. Bibir comel merah semulajadi itu juga melambangkan dalaman yang sihat. “Sekarang kawan awak ni nak kenali awak. Boleh bagi nombor telefon, e-mail, facebook, atau apa sahaja yang membolehkan saya berhubung dengan awak?” pintanya penuh mengharap.
            Zawin melagakan gigi atas dan bawah. “Awak percaya dengan takdir?”
            “Ya. Saya sangat percaya.”
            “Kalau begitu, pasti ada lagi pertemuan kan? Saya janji jika ada pertemuan seterusnya, saya sendiri yang akan memberi semua maklumat diri kepada awak. Setuju?”
            Zharif merenung wajah Zawin. Tajam pandangannya menikam mata hitam itu. “Awak tak rasa ke pertemuan kita pada hari ni diaturkan oleh takdir? Nama awak sama huruf pangkal dengan nama saya, baju kita juga sama...warna kuning. Kita sama-sama sukakan budaya Jepun. Ini dikatakan sebagai telepati. Awak tak rasa begitu?”          
            Zawin menggeleng dalam senyuman lebar. “Hanya sekali sahaja lagi pertemuan...dan jika ditakdirkan berjumpa awak kembali, saya tahu yang awak ditakdirkan menjadi kawan saya. Hanya sekali pertemuan sahaja lagi...” terangnya tenang.
            Zharif mengetap bibirnya. Hatinya benar-benar kecewa. Namun dia cepat sedar bahawa dalam hidup pasti ada kesulitan untuk mendapatkan sesuatu. Jika dia bersabar, pasti gadis ini akan menjadi permata yang paling berharga dalam hidupnya. Wajahnya dipalingkan ke hadapan cermin. Cuba membuang rasa kecewa. “Saya ikutkan sahaja.  Kalau betul dalam takdir saya ada awak dan dalam takdir awak ada saya, pasti ada sesuatu yang sedang diatur oleh ilahi,” balasnya dengan yakin.
            Zawin tersenyum memandang wajah kecewa itu. Jika lelaki ini ditakdirkan berlabuh dalam hidupnya, pasti ada pertemuan lagi. Dia tidak mudah menerima lelaki, biarpun dia senang didekati. Wajah Wan Zaidi menyerbu ingatannya. Senyumannya langsung mati. Lelaki itu juga pernah diuji sebegitu, namun entah kenapa takdir sering menemukan mereka bersama sehingga menjeratnya dalam percintaan dengan lelaki itu. Hatinya benar-benar kecewa apabila Wan Zaidi memilih Yasmin, sahabatnya sendiri sebagai isteri. Namun, hatinya jauh lebih kecewa apabila mengenangkan cinta pertama yang musnah gara-gara sahabat baiknya juga.
            Zawin menghela nafas berat. I-Phone dikeluarkan, berniat untuk melayari dunia maya seketika. Melihat beberapa notification di laman facebook, dia malas mengambil peduli. Namun notification pada bahagian friend request membuatkan keningnya bertaut. Sebaik dibuka, Zawin menahan nafas. Ada dua request. Satu daripada Arnida Azhar. Jari jemarinya cekatan menekan butang deny. Sudah berapa kali gadis itu membuat friend request kepadanya, namun ditolak mentah-mentah.
            Beralih pada baki friend request, matanya terpaku melihat nama profile itu. Gemleo? Hanya seorang sahaja dalam hidupnya yang tahu gabungan nama itu. Tangannya terketar-ketar menekan butang accept. Apabila laman profile itu sudah dapat di buka, mata Zawin membundar luas. Benarlah dia! Gambar profile itu ditatap lama. Lelaki itu sudah dewasa. Bukan seperti zaman remaja dahulu. Cekatan tangannya menekan butang remove friend.
            Zawin memejamkan matanya, membelek nubari jiwa.  Iskandar...nama lelaki itu masih ada di situ, masih kekal rasa kasih terhadapnya. Biar dicuba sekuat mana, lelaki itu sukar untuk dilupakan. Biarlah rasa itu disimpan dalam nubari yang paling dalam.
            “Awak tak apa-apa ke?” soal Zharif agak cemas melihat kening gadis itu bergerak-gerak dalam mata yang terpejam. Bagaikan sedang memikirkan sesuatu yang menyedihkan.
            Zawin membuka matanya. Ada air mata di tubir mata. Lekas-lekas dia menyekanya. Dia terlupa dengan kehadiran lelaki itu di sebelahnya. “Oh...tak ada la,” nafinya seraya memasukkan I-Phone ke dalam tas tangan. Wajah Zharif dikerling. “Awak...kalau kucing mengiau, anjing menyalak, kambing mengembek...katak pula apa ya?” soalnya selamba. Persoalan itu tiba-tiba menyerbu ingatannya, berusaha mengalihkan emosi yang sedikit terganggu sebentar tadi.
            “Oo...katak meng frog-frog,” balas Zharif juga selamba.
            Zawin ketawa besar mendengar jawapan itu. Hatinya terasa lapang dan tenang. Langsung terlupa pada kisah-kisah yang mencoret duka dalam nubari jiwa.
            Mulut Zharif sedikit ternganga melihat gadis itu ketawa begitu. Tawa manja itu menambahkan pesona yang ada pada diri Zawin Az-Zahra. Mata yang mengecil itu bagaikan turut tersenyum bersama bibir merah itu. She’s a killer! Hatinya berbisik.
            “Kau sukakan gadis melayu itu bukan?” tebak Vivien setelah dua gadis jelita itu menapak pergi dari salonnya. Selama ini dia tidak pernah melihat sepupunya itu memandang perempuan dengan pandangan penuh terpesona seperti itu. Tambahan pula, Zharif tidak pernah mendekati mana-mana pelanggan perempuan didalam saloonnya.
            “Kenapa kau rasa aku sukakan dia?” Zharif membelek-belek majalah pengantin di tangannya.
            “Just...lain macam je aku tengok cara kau pandang amoi cun tu. Sejak kecil, kau langsung tak bergaul dengan perempuan kecuali saudara terdekat. Nak tengok kau mengorat perempuan pun susah, sebab tu aku rasa kau sukakan gadis melayu tu.”
            “Erm...” Zharif mengumam seketika. Wajah sepupunya itu ditatap lama. “Kau nak dengar cerita tak?”
            Viviennee mengangguk laju. Dia turut melabuhkan punggung di kerusi sebelah sepupunya.
            “Nanti la aku ceritakan pada kau,” putusnya begitu bersulam senyuman nakal.
            “Ala...Aku tak kira. Aku nak tahu juga,” desak Vivien.
            “Betul ni nak tahu?”   Zharif mengangkat-angkatkan keningnya bersulam senyuman nakal.
*******
             
            “Kau tahu...aku dapat bayangan tadi tau.” Najla mengangkat-angkat keningnya.
            “Apa dia?” Kaki Zawin melangkah perlahan, matanya meliar melihat gedung-gedung dalam pusat beli-belah itu. 
            “Aku terbayang kau dan lelaki hensem dalam salon tu berpacaran, kawin dan ada anak.”
            Zawin berhenti melangkah secara mendadak. Matanya membulat merenung Najla.             “Merepek la. Kitorang kawan je. Tak ada peluang langsung la nak pergi jauh.”
            Najla menutup mulutnya, merenung wajah Zawin dalam riak terkejutnya. “Kau kenal dia? Kau kawan dengan dia? Jangan kata kau baru kenal dia dalam saloon tu tadi?”
            “Kalau ya...kenapa?”  Zawin memberikan sengih nakal.
            “Mustahil. Sangat mustahil sebab bukan sikap kau memberikan peluang mudah kepada lelaki untuk menjadi kawan kau.” Najla menghalang Zawin dari terus melangkah. Dia inginkan penjelasan gadis itu.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Oh?..Ek? Aku begitu ya selama ini? Erm...nanti la aku cerita pada kau,” sahutnya sedikit tidak acuh. Dia kembali berjalan, menyeluruhi gedung-gedung perniagaan di sekelilingnya. 
            Najla mengetap bibirnya. “Ok...tak apa. Nanti aku tahu juga.” Keningnya dijungkitkan ke atas. Mengingati wajah lelaki tampan itu, hatinya diterpa kemusykilan. Apakah lelaki itu juga lulus ujian persahabatan Zawin?












0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top