BAB 1

    “Mama...adik...semoga roh kalian ditempatkan dikalangan mukmim yang berbahagia”. Doa Puteri dihadapan pusara itu. Setiap minggu, dia tidak pernah jemu mengunjungi pusara yang menempatkan dua jasad insan yang amat disayanginya. Rutin yang sentiasa dilakukan sejak sebelas tahun lalu. Puteri memegang batu nisan, membelai sejenak. Seakan dia sedang membelai kepala ibu yang disayangi. “Mama...impian cinta mama tidak pernah tertunai meskipun mama dan adik pergi sudah lama. Tahun ni..genap umur Puteri 17 tahun, mama. Tiada apa yang berubah, semua sama sahaja. Hidup Puteri penuh dengan dendam dan kekesalan. Hati Puteri seakan sudah mati sejak sekian lama. Abah..tak pernah berubah. Langsung tidak terkesan dengan kehilangan mama dan adik..Mama..”. Puteri mengesat air matanya yang luruh setelah puas menampung empangan.
Puteri cuba mengukir senyuman. Kemudian dia menyambung kata. “Mama...maafkan Puteri. Puteri tak seharusnya menangis kan?. Mama pesan dulu..Puteri Ishika harus kuat untuk jalani hidup yang masih panjang. Mama kata hidup ini sangat indah biarpun datang dengan sedikit duka. Tapi mama..Puteri tak pernah rasa bahagia, duka dan lara menjadi teman sejiwa. Setiap kali Puteri rindu mama..Puteri mainkan lagu Serenade. Itu lagu kegemaran mama kan?. Mama kata..Puteri tak akan hadapi tragedi kisah cinta sebagaimana mama. Kisah cinta Puteri nanti akan mengulang kembali kisah cinta agung Shah Jahan dan Mumtaz. Mama doakan ada lelaki yang akan membina sebuah istana demi cintanya kepada Puteri. Tapi mama..saat ini..Puteri sangat membenci lelaki. Sangat benci..”. Puteri mengesat air mata yang tidak henti-henti mengalir keluar.
Puteri meletakkan kepalanya di atas pusara itu. Membayangkan dirinya berada di atas riba ibunya. “Mama..tak boleh ke Puteri ikut mama?. Puteri nak ikut mama dan adik. Puteri dah tak sanggup hidup di dunia yang penuh dengan kekejaman. Penuh dengan ketidakadilan. Mama...Puteri rindu mama...”, adu Puteri dalam sedu sedan yang menghiris kalbu. Setelah tangisannya reda, Puteri mengangkat kepalanya, merenung sekilas jam di tangan. Dia tahu dia harus pulang ke rumah. Jika terlewat, ayahnya akan bising dan pasti dia akan didenda. Perlahan Puteri bangun berdiri. “Mama..Puteri akan datang lagi nanti. Tunggu ya”.  
*******     
     “Awak nak rasa tak?”, tanya seorang remaja lelaki yang duduk di hadapan Puteri. Bekas berisi makanan diunjukkan kepada gadis yang sedari tadi melontarkan pandangan ke luar tingkap keretapi.
     Puteri mengerutkan keningnya. Terasa pelik dengan pelawaan remaja lelaki itu sedangkan mereka saling tidak mengenali. “Tak apa”, balasnya tidak acuh. Dia kembali melayan lamunan yang terhenti, menyoroti kenangan lalu yang indah bersama arwah ibunya. Bunyi enjin keretapi terasa begitu indah di halwa telinga, bagaikan irama lagu Serenade hasil dentingan piano yang sering dimainkan ibunya. 
     “Awak tak nak cuba ke?. Rugi tau. Nasi kebuli ni tak selalu orang Kuala Lipis masak kecuali ada upacara tertentu. Saya ke rumah pakcik saya di kampung Jeram Landak. Kebetulan ada majlis cukur bayi di sana. Orang kampung pun gotong-royong masak nasi ni. Sultan Pahang pun turun ke kampung Jeram Landak sebab nak rasa nasi ni”, cerita remaja lelaki itu bersungguh. 
     Puteri menghela nafasnya. Dia benar-benar tidak mahu diganggu kala ini. “Ya ke?. Bagus la”, sahutnya dengan malas.
     Remaja lelaki itu tersenyum lebar. “Kalau awak tak nak tak apa la. Tapi kan..saya baru tahu rupanya kampung Belimbing Kuala Lipis betul-betul terletak di titik tengah Semenanjung Malaysia. Ada batu tanda kat situ”, ceritanya lagi. Masih cuba memancing gadis berwajah keruh itu untuk berbicara.
      Puteri mencemberutkan bibirnya. “Bukan batu bertanda 0 di sebelah pejabat pos Kuala Lipis ke?”, soalnya kehairanan dengan fakta itu.
     Lelaki itu tersenyum lebih lebar. Gadis ini akhirnya memberikan reaksi tindak balas. “Tak”, balasnya seiring gelengan kepala. “Batu 0 di Bandar Kuala Lipis itu adalah lokasi permulaan ukuran jarak perbatuan Kuala Lipis ke lain-lain destinasi di Pahang. Tapi..batu tanda di Kampung Belimbing yang terletak di tepi jalan utama Jerantut-Lipis merupakan  pusat bagi Semenanjung Malaysia jika diukur daripada satu sudut Garis Pusat”, lanjutnya lagi.
     “Mana awak tahu?”. Mata Puteri merenung sangsi wajah jejaka itu. Bola matanya kemudian dikalihkan pada cermin mata jenama Levis yang dikenakan jejaka itu.
     “Pakcik saya yang cakap. Dia bekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan. Saya dapat nasi kebuli ni pun dari majlis cukur jambul anak dia”, balas remaja itu dengan tenang.
     Puteri terdiam. Mungkin ada benarnya. Tidak banyak fakta yang diketahui berkenaan daerah Kuala Lipis, cuma dia punya sebuah nostalgia semasa menetap sementara di daerah yang juga tempat membesar seorang penyanyi tersohor tanah air. Mindanya hanya tersimpan ingatan bahawa daerah kecil itu ada mengandungkan jasad arwah ibu dan adiknya. Itu sahaja.
     “Awak asal mana?. Saya asal Kuantan. Tapi sekarang menetap di Temerloh”. Jejaka itu bercerita lagi.
     Puteri malas melayan. Dia memejamkan matanya, melentokkan kepalanya di tepi tingkap keretapi.
     “Nama saya Putera cahaya. Awak pula mesti Puteri ais kan?”.
     Puteri serta merta membuka matanya. “Kenapa awak panggil saya Puteri Ais?”, marahnya dalam riak tidak puas hati.
     “Sebab awak memang beku. Sama seperti ais. Awak perlukan Putera cahaya macam saya untuk cairkan ais yang keras dan beku dalam diri awak”.
     Mata Puteri mencerlung garang. Jari telunjuknya diarahkan tepat ke wajah lelaki itu. “Jangan kacau saya lagi. Awak tak ada hak nak kata saya macam tu. Awak tak kenal saya!. Jadinya saya harap awak duduk diam-diam sehingga sampai ke destinasi yang awak nak turun. Faham?!”. Puteri memberikan amarannya.
     “Uih..takutnya”. Jejaka itu membuat muka takut yang dibuat-buat sambil berpeluk tubuh. “Kalau saya nak kacau awak juga, apa yang awak nak buat?”, cabarnya. Kedua kening sengaja diangkat-angkat ke atas.
     Mata Puteri berlawan pandang dengan mata jejaka berkulit putih itu. “Awak cabar saya?”, soalnya dalam geram.
     “Ya..dan saya yakin awak tak berani punya la”, giat jejaka itu lagi.
     “Kenapa awak rasa saya tak berani?”.
     “Sebab perempuan pengecut. Sikit-sikit menjerit”.
     Telinga Puteri terasa berdesing mendengar pelekehan lelaki itu terhadap kaum perempuan. Tanpa teragak-agak,  Puteri terus menendang sepenuh tenaga ke arah kaki kanan lelaki itu.
     “Aow!”. Jejaka itu mengaduh kuat. Matanya membulat luas sementara tangannya menggosok-gosok kaki yang disepak dengan kasut sukan itu. Terasa kebas juga rasa sakit yang mula bertunas.
     Puteri memetik jarinya. “Jangan rasa diri awak tu bagus sangat. Lelaki adalah insan perosak alam ini,  insan paling teruk dan jahat dalam dunia ni!. Jangan kacau saya lagi!”, jeritnya lantang. Dia kembali membuang pandang ke luar jendela kaca keretapi itu. Puteri menarik nafasnya dalam-dalam, berusaha untuk mengawal emosi yang tiba-tiba bergelodak dalam jiwa.
     Jejaka melayu itu tersengih. Kepalanya digelengkan. Siapa gadis berani ini?. Dia hanya ingin menambah kenalan dan berbual dengan warga tempatan sepanjang perjalanan itu tetapi yang diharapkan berlaku sebaliknya. Matanya merenung sisi tepi wajah gadis bertubuh gempal itu. Wajah gadis itu pernah dilihatnya tetapi dia tidak pasti dimana. Apabila hatinya mula mengecam, mata jejaka itu mencerlung luas. Eh..bukan kah dia...Denyutan di hati terasa dipalu pantas.
*******
     “Dia hensem kan?”, soal Shafawati kepada Puteri.
     “Siapa?”, soal Puteri kembali. Matanya masih di fokuskan pada buku rujukan Sejarah Dunia.
     “Tu....”. Shafawati memuncungkan mulutnya ke arah tempat duduk berhampiran mereka di dalam perpustakaan daerah Temerloh itu.
     Puteri mengangkat wajahnya. Matanya menyorot seraut wajah lelaki yang sedang menunduk, kusyuk membaca di hadapan meja mereka. Sesekali lelaki itu membetulkan kedudukan cermin matanya.  “Hensem ke?”, soalnya kembali. Dia tidak mahu terlibat dengan orang yang tidak ada kena mengena dalam hidupnya.
Senyuman di bibir Shafawati terus mati. Perlahan dia memukul lengan kanan Puteri. “Ish kau ni..memang tak ada mata. He’s too handsome to be a human. Cuba kau tengok kulit muka dia. Putih siot. Tak ada cela. Bibir dia tu yang mahal. Merah je. Mesti tak merokok ni“, simpulnya sendiri seraya memberi pujiannya lagi. Pandangannya lama menatap wajah kacak itu. Seakan tersihir dengan keindahan makhluk ciptaan tuhan itu.
Puteri menggelengkan kepalanya. “Biasa je”, jawabnya selamba. Buku Sejarah itu kembali di berikan tumpuan.
Shafawati membulatkan matanya, merenung rakannya itu dalam riak pelik. “Biasa je?. Puteri...Kau ni memang sakit. Ish..ish..ish”, Shafawati menggelengkan kepalanya. Pandangannya dilontarkan kembali ke hadapan. “Eh, mana dia?”. Mata Shafawati melingkar mencari empunya tubuh itu.
Puteri tiba-tiba bangun. “Kejap ek. Aku nak cari novel. Kepala aku dah tak dapat terima fakta-fakta ni”, beritahunya.
Shafawati lekas membalas. “Aku pun nak cari novel”. Dia juga pantas bangun mengekori langkah Puteri. Sambil berjalan melepasi rak demi rak, matanya melingkar ke setiap sudut.
“Kau ni kenapa?”, soal Puteri kehairanan melihat tingkah Shafawati yang terhendap-hendap begitu.
“Aku cari lelaki hensem tadi tu. Dia dah hilang dari tempat kita tengok dia tadi.”, balasnya seakan berbisik.
Puteri malas melayan. Novel Igauan Maut karya Ramlee Awang Murshid di celahan rak dicapai. Dia meneliti bahagian sinopsis lantas mengangguk-anggukkan kepalanya. “Aku nak pinjam cerita ni”. Puteri mengunjukkan novel itu ke arah Shafawati.
Shafawati menghela nafasnya. “Novel thriller lagi. Kau ni kan..apa salahnya sekali sekala baca novel cinta. Biar betul sikit otak kau tu. Tengok lelaki hensem pun tak ada perasaan”, komennya selamba. Matanya kembali menyeluruhi setiap sudut yang ada di ruang yang sempit itu.
Puteri memincingkan pandangannya . “Kau ingat cinta tu indah ke?. Semuanya khayalan. Aku tak percaya langsung..Aku..
“Syys...”, Shafawati membuat isyarat supaya Puteri merendahkan suaranya. “Tu..”, jari telunjuknya mengunjukkan ke satu batang tubuh di rak sebelah mereka. “Lelaki hensem tu la”. Shafawati terjerit kecil dalam teruja. Buku-buku di rak hadapannya di alihkan sedikit. Memudahkan pandangannya terus pada wajah yang menyihirnya sejak tadi.
Puteri menepuk dahi Shafawati tiba-tiba, memegang kedua belah bahu gadis itu, lalu menggoyangkan-goyangkan perlahan tubuh Shafawati. Tepat pandangan Puteri ke mata hitam gadis itu. “Sha.....wake up...lelaki memang tak guna. Tambah-tambah lagi..lelaki hensem. Lelaki gunakan perempuan hanya sebagai alat pelepas nafsu buas mereka. Ok...kiranya di masa akan datang bila kau dah ada teman lelaki, kau pasti nak kawin bukan?. Tau tak, perkahwinan itu adalah pengakhiran sebuah cinta?. Macam mana nak rak pun kau bercinta..macam mana agung pun cinta kau pada lelaki, tetapi pada satu tahap..cinta lelaki akan hilang. Bila rasa cinta tu dah hilang..lelaki tu pasti akan tinggalkan kau. Apa yang kau nak buat masa tu? Apa kau nak buat?”, soal Puteri serius.
Mata Shafawati terkelip-kelip memandang sahabatnya itu. Kemudian dalam suara yakin dia membalas. “Kalau takdir hidup aku begitu..apa yang aku dapat buat adalah.....aku kawin lagi. Kenapa perlu berhenti bercinta?. Mak aku kata...cinta tu seperti hidup kita juga. Tak selalu senang...dan juga tak selalu beri kebahagiaan. Tapi hidup tetap diteruskan bukan?. Kalau kita berhenti bercinta..seolah-olah kita berhenti daripada meneruskan perjalanan kehidupan”, terangnya bersungguh.
“Uff...”, Puteri menepuk dahi sendiri dalam rasa geram yang tidak terkata. “Lupakan...lupakanlah apa aku cakap tadi ok”. Bibirnya dijuihkan ke hadapan. Bunyi gegaran di dalam poket kanannya terasa menganggu. Pantas dikeluarkan telefon bimbitnya.
Shafawati tersengih sendiri. Dahi Puteri di sentuh dengan belakang tangannya. “Ish ish ish..kau ni memang sakit Puteri. Kau harus jumpa doktor sakit jiwa ni”, sarannya bersungguh.
Puteri tidak jadi membuka mesej yang masuk tadi. Matanya membulat. “Aku sakit?. Tolong sikit”, nafinya sedikit keras.
Shafawati mengangguk-anggukkan kepalanya bersungguh. Menyampaikan pesan yang dia memang serius dalam saranan itu.
Puteri menarik nafas panjang. “Cukup ok. Aku nak balik”, ujarnya seraya meletakkan novel di rak semula. Hilang perasaan untuk membaca. Dalam langkah panjang, dia meninggalkan Shafawati di situ. Hatinya membungkam, menjerit dalam hati. Aku sakit?. Kau tu yang sakit!. Tengok lelaki hensem, terus cair.
     Shafawati menggelengkan kepalanya melihat perangai rakannya itu. Semoga suatu hari nanti, ada seorang lelaki yang akan mengubah kau Puteri. Doanya dalam hati.
*******
     “Pergi mana tadi?”, soal Dato’ Mirza dalam riak serius.  
     Puteri mengerutkan wajahnya. “Pergi library Lipis. Macam biasa. Jadual hari isnin kan?’, soalnya kembali. Itulah jadual yang di tentukan ayahnya sejak dahulu. Perlahan kakinya menapak masuk ke dalam rumah.
     Dato’ Mirza bangun dari sofa ruang tamu. Matanya mencerlung garang, menentang mata bening bundar anaknya. Mata itu sering mengingatkannya pada cinta pertamanya dahulu. “Kalau  pergi library, kenapa abah call tak jawab?”, soalnya tegas.
     “Tapi..tak bunyi pun..”. Puteri bersuara seraya menyeluk poket kanan seluar jeansnya. Matanya membulat. Dalam rasa cemas, poket kiri turut di seluk. Tak ada?. Eh kemana pula handset aku ni?. Beg sandangnya pula digeledah. Apabila pasti telefon bimbit pemberian ayahnya itu tiada dengannya, dia terpempan. Terasa bagai sebuah batu besar menghempap kepalanya. Beberapa kali tempat yang sama digeledah namun tidak menemui telefon bimbit pemberian ayahnya itu.
     Dato’ Mirza tersengih sinis. “Cari semula telefon tu. Hari ni tak payah pergi kelas piano. Kalau tak jumpa, jangan harap Puteri dapat yang baru. Duit saku bulan ni pun abah akan tahan”, ugutnya seraya berlalu ke tingkat atas.
Puteri mengetap bibirnya, menahan perasaan marah. Aku tak perlukan duit kau wahai Dato’ Mirza!. Hatinya menjerit. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Setelah hatinya kembali tenang,  Puteri melaga-lagakan giginya, memikirkan kembali tempat terakhir dia memegang telefon bimbit itu.
******
“Awak cari ni ke?”.
Mata Puteri terkelip-kelip beberapa ketika, mengangguk bersungguh apabila dia menyedari telefon Sony Ericsson berwarna ungu di tangan jejaka berbaju biru itu adalah miliknya. Tidak sia-sia dia ke perpustakaan itu semula. Saat dia terkocoh-kocoh mencari telefon bimbitnya di celah-celah susunan buku, dia dihampiri seorang jejaka.
“Nah”. Jejaka berbaju biru itu menghulurkan telefon bimbit Sony Ericsson itu kepada gadis itu.
Puteri lambat-lambat mengambilnya. Dia merenung selamba apabila jejaka itu mengukir senyuman manis kepadanya. Pantas dia menyedari yang jejaka di hadapannya ini adalah lelaki yang ditendangnya di dalam keretapi dulu. Lelaki ini juga yang membuatkan Shafawati, sahabat baiknya itu seperti tersihir. “Terima kasih”, ucapnya dalam riak wajah yang kosong. Puteri mengatur langkah keluar dari perpustakaan.
“Macam ni ke cara awak ucap terima kasih pada orang lain?”, soal jejaka itu apabila Puteri mula menapak pergi.
Puteri tidak jadi melangkah. Dia berpaling semula, menatap wajah itu. “Habis tu..macam mana?”, soalnya sinis.
Lelaki itu tersenyum lagi. “Macam ni..”, balasnya seraya tersenyum lebih lebar. “Senyum. Takkan tu pun susah”, nasihatnya lembut.
Puteri memincingkan pandangannya, merenung tajam wajah lelaki itu. “Mak saya pernah cakap..ucapan terima kasih itu sudah mencukupi, lebih berharga daripada segunung intan berlian!”, balasnya tegas.
Lelaki itu menatap tajam mata gadis dihadapannya. “Awak ni kan..dah la tak minta maaf masa tendang saya dalam keretapi hari tu. Ucap terima kasih lagi la payah. Nama awak memang puteri ais kan?. Dah la tak pandai senyum. Perangai pula sedingin dan sebeku ais. Awak datang dari negara ais mana ni?. Antartika ke?”, komennya selamba.
 Puteri membulatkan matanya. Hatinya panas membara. Serta merta kakinya dihayunkan ke arah kaki kiri lelaki itu.
Lelaki itu pantas mengelak. Dia memberikan senyuman mengejek pada gadis itu. “Ish..Ish..Ish..Awak memang perlukan cahaya untuk cairkan hati awak tu”, perlinya lagi.
Puteri menghela nafas geram. “Saya memang begini..ini cara saya..dan siapa awak nak ajar saya?. Huh!. Tepi sikit!”. Puteri sengaja melanggar bahu lelaki itu, berlalu pantas dalam wajah yang kelat.
Lelaki itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. “Kalau  panjang umur, kita akan jumpa lagi”. Sengaja dia melaung kuat begitu.
Puteri berpaling semula, menjeling tajam. “Tak akan lagi!”.
*******
     “Geram aku tau tak. Baru je jumpa, terus tegur perangai aku. Sengal betul!”, luah Puteri penuh perasaan apabila menceritakan sebab musabab ketidakhadirannya ke kelas piano semalam.
Shafawati terangguk-angguk. “Siapa lelaki tu?”, soalnya ingin tahu. Sempat dia mengerling jam di tangan. Lagi lima belas minit kelas piano mereka akan bermula.
“Erm..mesti kau terkejut. Lelaki yang kau kata hensem tu la”.
What?. Kau biar betul?” soal Shafawati dalam mata membulat. Gadis tinggi lampai itu benar-benar terkejut.
“Buat apa aku nak cakap tak betul pula. Kan aku dah cakap..lelaki ni tak guna. Perasan diri hensem, terus rasa ada hak nak menegur orang yang baru dikenali. Sengal! Sengal! Sengal!”. Puteri menekan-nekan papan kekunci piano dihadapannya dengan geram.
Shafawati memuncungkan mulutnya. “Kenapalah bukan telefon aku yang tertinggal”, ujarnya dalam riak yang kesal.
Puteri menjuihkan bibirnya. Terasa hairan juga melihat sikap Shafawati yang tidak pernah terserlah sebelum ini. Dalam diam, dia merenung wajah cantik itu. Rakannya itu ramai peminatnya. Penari kelab kebudayaan itu sering mempersonakan ramai lelaki tatkala berada di atas pentas dengan lemah gemalai tariannya. “Pelik la kau ni. Tak pernah-pernah kau kejar lelaki. Biasanya lelaki yang kejar kau. Kau kan banyak peminat. Kenapa tak terima je salah sorang lelaki yang mengorat kau tu?”, soalnya lagi.
Shafawati berdehem kecil. “Mak ayah aku garangla. Deorang tak bagi aku couple masa sekolah. Lelaki semalam tu..entah kenapa aku rasa lain dari yang lain. Eh...kau tak tanya ke budak lelaki semalam tu sekolah mana, nama dia apa?”.
“Buat apa aku nak tahu?. Tak beri faedah langsung pun”.
“Kau ni la Puteri. Ok..kalau kau jumpa dia lagi, kau nak buat apa?”.
“Huh. Selisih malaikat 44. Aku harap takkan jumpa lagi dengan lelaki perasan bagus tu. Kalau pun aku jumpa dia balik...aku akan...aku akan...”. Puteri berfikir sejenak.
“Hah?. Kau akan buat apa?”, gesa Shafawati.
“Aku akan cium dia”, jawab Puteri selamba.
“Hah?”, Shafawati membuntang kan matanya. “Kau waras ke tak ni?”, soalnya seraya meletakkan belakang tangannya ke dahi Puteri.
Puteri menepis tangan itu. “Aku waras la”.
Shafawati ketawa besar. “Kau memang. Buatnya malaikat di bahu kau tu aminkan apa yang kau kata tadi, akulah orang pertama yang akan gelakkan kau”.
Puteri mengangkat-angkatkan kedua keningnya. “Mustahil. Kalau aku jumpa dia lagi..aku buat tak tahu je la. Tapi..kalau dia cuba-cuba nak nasihat aku, tegur aku..bersiap sedialah dia dengan ini..”. Kesemua jari jemari kanannya dikembangkan, kemudian menyambung. “Tamparan wanita”.
Shafawati ketawa dan sesaat kemudian tawanya mati, mulutnya terlopong.  
“Kau kenapa?. Macam nampak hantu je?”, soal Puteri.
Shafawati terangguk-angguk, pandangannya masih terpaku dihadapan pintu kelas piano itu. “Tu..”. Tangannya mengunjukkan ke arah tersebut.
Puteri melarikan pandangan ke hadapan. Mulutnya terlopong luas. Lelaki yang tidak ingin dijumpanya lagi sedang tercegat di hadapan pintu kelas bersama dengan guru pianonya, Miss Raveena. Matanya menyoroti langkah lelaki itu masuk ke dalam kelas.
Suasana kelas menjadi riuh. Terdengar siulan kecil daripada pelajar perempuan.
“Perempuan sekarang memang tak tahu malu”. Puteri mendengus geram.
Miss Raveena tersenyum kecil. “Handsome right?”, soalnya kepada pelajar kelas itu berselang seli menatap wajah kacak jejaka itu.
Yes!..”,  sahut beberapa orang pelajar perempuan.
Class..today, we have a new student. So, it does gonna be 12 members in our class. Ok, introduce yourself to the class”.
Puteri memekakkan telinganya. Malas untuk mendengar suara itu. Malas untuk melihat wajah itu lagi. Dikerlingnya Shafawati di sebelahnya yang seolah-olah terpukau memandang lelaki itu. “Semua orang dah jadi gila”, ngomelnya sambil membuat muka meluat.

1 awesome commentator:

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top