“I.T.A.L.Y ?”, Nur Damia mengerutkan keningnya. Cuba mencari makna di sebalik tulisan yang ditulis di dalam kad ungu lembut itu. Matanya dihalakan ke wajah tenang Izwan dihadapannya. Anak mata kecoklatan milik jejaka berdarah melayu-india itu ditatap lama. Suhu panas di kedai mamak berhampiran universiti tempatnya mengajar itu terasa semakin hangat.

Izwan tersenyum penuh makna. Wajah kacak itu semakin terserlah apabila mengukir senyuman sebegitu. Keningnya diangkat-angkat. “Teka lah”, ujarnya seraya masih bermain teka-teki. Sengaja mahu mengenakan kekasih hatinya itu. Sudah dua tahun mereka memadu cinta dalam diam.

Nur Damia melagakan kedua gigi atas dan bawahnya. Akalnya ligat mencari maksud huruf yang membentuk maksud yang barangkali nama sebuah negara di Eropah. “Iz nak sambung belajar ke Italy? Bukan ke Iz kata dapat sambung ke Jepun semalam?”, soal gadis berkulit putih merah itu.

Izwan menggelengkan kepalanya kemudian mengenyetkan matanya. “cuba teka lagi?”

Damia sudah membuat muka bosan. “Cakap je la”.

Izwan tergelak kecil. “Cepatnya mengalah sayang ni. Ok lah. Jawapannya ada di belakang kad itu. Tapi Mia kena hati-hati. Takut-takut jantung Mia boleh jatuh”, jawab Izwan dalam nada berbau ancaman.

Nur Damia menjuihkan bibirnya. “Tak takut pun”, balas Damia seraya menterbalikkan kad ungu itu. I Trust And Love You. Lama matanya menatap sebaris ayat itu. Jantungnya berdegup kencang seraya warna kulit wajahnya bertambah merah.

Izwan menatap wajah jelita itu dengan senyuman nakal. “Kan Iz dah cakap. Nak berlagak lagi tu”, ujarnya. Tangan kanannya perlahan mendarat dipipi mulus ayu itu namun pantas ditepis Nur Damia.

Wajah gadis itu berubah kelat. “tak habis-habis perangai sengal tu. Cubalah kawal diri sikit”, pesan Nur Damia dalam suara yang serius.

Izwan tersenyum segan. “Ala..siapa suruh sayang cantik sangat. Rasa nak gigit-gigit je tau pipi gebu sayang ni”, Izwan merenung geram wajah putih mulus tanpa sebarang cela itu.

Nur Damia mengetap bibirnya menahan geram. Pandangannya dilemparkan ke luar kedai. Kemudian ke wajah hitam manis Izwan. “Mia rasa..dah tiba masanya Iz jumpa mak dan abang Mia. Iz dah sedia?”, soal Nur Damia serius.

Izwan tersenyum manis. Dia menganggukkan kepalanya dengan yakin. “Memang Iz dalam perancangan untuk jumpa Puan Noriah dan Abang Daniel. Iz pun dah kerja. Minggu depan harijadi Mia kan?. Iz rasa itu waktu yang paling tepat. Tapi kan…nak tau tak satu rahsia?”, Izwan kembali berteka-teki.

“Apa?”, soal Nur Damia pantas.

Izwan tersenyum lebar sambil menyentuh kumis nipis dibawah dagunya. “Sebenarnya semalam, Iz ada call Puan Noriah. Seronok jugak berborak dengan bakal mak mertua Iz tu tau”, beritahu Izwan sambil mengeyetkan matanya kepada Nur Damia.

“Hah?”

*******
“Abang Daniel!!”, jerit Damia kegirangan. Abang yang setahun tua dari umurnya itu sememangnya amat rapat dengannya sejak kecil. Kedua beradik itu saling berpelukan melepaskan rindu lima tahun tidak berjumpa.

Puan Noriah memandang kedua anaknya itu dalam senyuman bahagia. Akhirnya pulang juga anak yang dihantar ke mahat tahfiz itu semenjak usianya tiga belas tahun. Tidak sempat melepaskan rindu, anak sulungnya itu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang usuludin di Mesir.. Ibu mana yang tidak berbangga dan terharu dengan kejayaan anaknya.

“wah, abang memang hebatlah. Habis master je, UKM dah panggil mengajar”, puji Nur Damia kepada abangnya.

Daniel tersenyum nipis. “Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. DIA yang memperkenankan semua jerit perih abang selama ni, juga doa ibu yang tak pernah putus. Ala..adik abang ni pun apa kurangnya kan?. Dalam diam ambik master sambil mengajar…”, Daniel meneliti lama seraut wajah dihadapannya itu. “Eh..eh….”.

“Apa yang eh nya?”, Nur Damia membuat muka hairan.

Daniel tersenyum. “Adik abang ni dah membesar dengan baik. Cantik pulak tu”, pujinya seraya memandang ke wajah ibunya. “Umi..anak umi ni dah masuk 25 tahun kan tahun ni?. Rasanya dah cukup matang ni untuk jadi isteri orang”, ujar Daniel seraya mengenyetkan matanya ke arah Nur Damia.

Air muka Nur Damia berubah. Bibirnya dijuihkan.

Puan Noriah tersenyum manis. “Dia dah ada calon tu. Tunggu masa je”, sahut Puan Noriah tenang.

Daniel menepuk dahinya. “La..ye ke?. Kalau macam tu, lagi senang kerja abang. Damia kenalkan lah dengan abang. Kalau boleh suruh dia datang rumah. Kenal-kenal dengan keluarga kita”, saran Daniel.
Nurul Damia tersenyum malu. “Rabu ni dia datang ke rumah. Abang dan umi pasti akan suka dia. Namanya Izwan Isyraf. Dia bekerja di sebuah klinik di Kuantan”, terang Nur Damia serba sedikit mengenai kekasih hatinya.

Daniel menyentuh ubun-ubun Nur Damia. “Abang harap dia mampu bahagiakan Damia”, ujar Daniel. Tangannya mengusap rambut lurus itu penuh kasih. Apa pun, abang akan pastikan yang terbaik untuk Damia. Itu janji abang ”, lanjut Daniel lagi.

*******
“Berapa usia kamu”?”, soal Daniel dalam riak yang serius.

Nur Damia merenung wajah abangnya itu dalam kehairanan. Abangnya itu tidak pernah membuat muka sebegitu apabila berhadapan dengan tetamu biarpun orang yang tidak digemarinya. Tetapi kenapa apabila berdepan dengan Izwan Ishraf, abangnya berubah perwatakan?. Ahh..mungkin sahaja ini satu daripada ujian kepada jejaka itu sebelum diterima masuk ke dalam rumah mereka. Hatinya berkira-kira sendirian.

Izwan tersenyum nipis. Setiap soalan yang meluncur keluar daripada bibir Daniel disambut dengan senyuman. Ternyata abang kandung kekasihnya itu seorang hafiz yang tegas. “Umur saya 22 tahun pada tanggal 16 jun”, sahut Izwan dengan keyakinan yang tinggi.

Daniel mengerutkan dahinya. “22?. Maknanya kamu muda tiga tahun daripada Damia. Errm..”

Nur Damia pantas memotong. “Ala..abang Daniel, jarak tiga tahun bukan jauh mana pun. Lagi pun berkahwin dengan lelaki yang lebih muda, dah jadi satu trend sekarang”.

Daniel menjeling tajam ke wajah adiknya itu. Menjatuhkan pandangan ke karpet ruang tamu itu sambil berdehem kuat beberapa kali.

Nur Damia kecut perut. Dia tahu, itu tanda abangnya sedang marah. Dalam diam, dia berjanji tidak akan masuk campur dalam perbualan serius itu. Tetapi..kenapa abangnya jadi begitu?.

Daniel kembali menyorotkan pandangannya ke wajah kacak dihadapannya. “Kamu baru 22 tahun. Kamu nampak lebih matang dari usia sebenar…”, Daniel menghentikan kata-katanya seraya merenung tajam wajah hitam manis itu. “Apa yang abang nampak, kamu tidak matang lagi. Sifat seorang pemimpin, kamu memang ada. Tapi..kalau kamu dah mendirikan rumah tangga nanti, mampu ke kamu buang sifat-sifat mazmumah yang ada?”, soal Daniel serius.

Izwan berusaha untuk bersikap tenang. Dalam senyum nipis, dia menjawab. “Saya tahu saya adalah insan yang penuh lemah. Sebagai manusia memang kita makhluk Allah S.W.T yang lemah. Tetapi saya berjanji depan abang dan makcik, saya memang serius untuk jadikan Nur Damia Iman sebagai isteri saya. Saya sangat yakin, dia tercipta untuk saya. Kelemahan yang saya dan Damia miliki, akan saling menyempurna. Saya juga yakin, Damia tidak akan susah sebagai isteri saya. Saya diajar ibu saya memasak di dapur sejak usia remaja. Kata ibu..biarpun rasululllah seorang nabi yang maksum, baginda tetap sahaja turun ke dapur membantu isteri-isteri baginda memasak. Saya juga tahu menjahit, bertukang, mengemas rumah dan sebagainya. Pokoknya, Damia akan saya didik dengan baik dan menjadikan dia permaisuri syurga dunia kami kelak”, jawab Izwan dengan yakin.

Nur Damia menahan senyum dibibir. Langsung matanya bertembung dengan mata bersinar gembira ibunya. Dia tersenyum bahagia. Kemudian pandangannya jatuh ke wajah abangnya. Senyuman dibibir terus mati. Tiada senyuman, tiada riak mesra dan abangnya itu terus menerus merenung wajah kekasihnya itu tajam.

*******
“Kenapa abang tak setuju dengan pilihan Damia?”,soal Nur Damia. Terketar-ketar suaranya menahan sebak yang meledak dalam dada. Dia merasa tidak adil abangnya melayan kekasihnya begitu dengan membuatkan jejaka itu pergi tanpa kata putus. Abangnya menyarankan lelaki asal Terengganu itu pulang sahaja untuk memberi ruang kepadanya memutuskan keputusan.

Daniel merenung lembut wajah adiknya itu. Tangannya menyentuh bahu Nur Damia. “Ada sebabnya. Suatu masa nanti, Damia akan tahu juga. Percayalah pada abang. Izwan Ishraf…lelaki itu tidak sesuai untuk Damia”, balas Daniel lembut.

Damia menepis tangan abangnya di bahu. Air mata yang ditahan akhirnya mengalir keluar. Pantas diseka dengan hujung baju kurung Pahang itu. “Abang kata abang akan pastikan kebahagiaan untuk Damia. Abang berjanji yang abang akan pastikan yang terbaik untuk Damia. Abang tahu tak, Izwan satu-satunya punca kebahagiaan Damia. Dia..cinta pertama Damia. Abang…tolonglah bagi Damia kawin dengan Izwan. Tolonglah abang..Damia terlalu sayangkan dia..”, rayu Nur Damia dalam sendu. Dia terduduk di atas karpet merah ruang tamu itu.

Puan Noriah pantas menghampiri anak gadisnya itu. Memeluk bahu itu lembut, menyapu air mata yang tidak berhenti-henti mengalir dari bibir mata bundar itu. “Damia..pasti ada sebabnya abang Daniel menghalang hubungan kalian. Umi pasti itu. Walaupun umi sudah jatuh suka pada Izwan Ishraf, tapi..umi pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam diri jejaka itu pada pandangan abang Daniel. Damia rasa…Damia sudah mengenali sepenuhnya siapa Izwan Ishraf itu?”, pujuk Puan Noriah. Rambut lembut itu diusap penuh kasih.

Nur Damia mengangguk lemah. Pandangannya kemudian disorotkan ke wajah abangnya yang serius merenungnya. Dalam keadaan duduk itu, dia melutut, mendepani Daniel. Kedua tapak tangannya disatukan seperti memohon pertolongan. “Abang…tolonglah beritahu apa yang abang sorokkan dari pengetahuan Damia. Berikan sebab yang kukuh kenapa abang buat Damia macam ni. Apa sebabnya abang?”, soal Nur Damia lagi. Suaranya sedikit merintih dalam sedu sedannya. Sungguh kejam tindakan itu dilakukan pada hari ulang tahun kelahirannya.

Daniel mendekati Nur Damia, turut melutut di hadapan adiknya itu. Perlahan tubuh langsing itu diraih dalam pelukan. “Abang larang bersebab. Abang tak boleh beritahu Damia. Suatu masa nanti, Damia akan tahu juga. Percayalah, abang inginkan yang terbaik untuk Damia. Damia berhak pada yang lebih baik. Apa Damia lupa dengan janji Allah S.W.T kepada hamba-Nya?. Lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik ”.

*******
“Maaf Iz. Mia tak mampu untuk menentang keputusan abang Daniel. Nampaknya disinilah bernokhtahnya cinta kita. Mia harap Iz terima dengan rela hati dan bersangka baik”, lemah suara Nur Damia mengucapkan kata-kata itu. Taman bunga itu menjadi saksi cintanya berputik juga berakhirnya sebuah kisah cinta pertamanya. Rasa sebak yang bertandang membuatkan dia tidak berani menatap seraut wajah kacak itu.

Izwan menahan sebak di dada. Matanya merah. Wajahnya dipalingkan ke tepi tasik. “Mia…Iz terima semua ini Mia. Iz tahu, ini adalah balasan tuhan pada Iz. Tapi apa yang Iz dapat katakan, Nur Damia Iman binti Daud adalah perempuan pertama yang dapat pegang hati Izwan Ishraf bin Iskandar. Sampai bila-bila pun akan kekal begitu. Abang Mia tak salah..”, ujar Izwan lambat-lambat.

Nur Damia kelihatan terpempan dengan ayat yang meluncur keluar dari mulut jejaka itu. “Kenapa Iz cakap macam tu?”.

Izwan tersenyum dalam hiba. “Iz tahu..siapa diri Iz. Tak ada siapa yang tahu sisi gelap Iz walaupun keluarga Iz. Benarlah kata janji Allah S.W.T, lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan sebaliknya, lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Abang Daniel betul sewaktu dia merenungi Iz dulu. Dia seorang hafiz…Mia. Dia dapat melihat sesuatu yang mata kasar tak boleh nampak. Maafkan Iz. Maafkan Iz. Itu je yang Iz dapat cakap. Nur Damia Iman…akan tetap ada dalam sanubari Iz sampai bila-bila. Semoga Damia dipertemukan dengan lelaki yang lebih baik. Maafkan Iz”, ujarnya terburu-buru beredar dari situ.

Nur Damia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Pandangan yang dihalakan ke tengah tasik itu seakan kabur. Air mata seakan tidak henti-henti keluar dari tubir mata itu. “Apa sebenarnya yang terjadi?”.

*******
Susuk tubuh tegap itu tiba-tiba muncul di hadapannya. Belakang tubuh lelaki itu dipandang penuh hairan. Semakin dia mengejar ke hadapan, terasa semakin jauh tampang lelaki berjubah putih itu. Tanpa disangka, sekoyong-koyong seekor ular bersisik emas menjalar keluar dari bawah pasir dan langsung mematuk kaki kanannya.

Nur Damia pantas membuka matanya. Degup jantungnya terasa laju. Terasa tubuhnya bermandi peluh. Matanya menyorot jam dinding. Sebentar lagi pasti azan subuh akan berkumandang merdu dari surau berhampiran. Dalam kebingungan memikirkan mimpi aneh itu, perlahan tubuhnya bangkit dari katil, mencapai tuala, langsung melangkah ke bilik air.

Nur Damia membaca surah An-Nur dengan penuh tertib sambil melagukannya. Bacaannya terhenti apabila tiba pada ayat yang ke-26.” perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik”. Ayat itu direnungnya lama, cuba mengaitkan dengan peristiwa yang dialaminya baru-baru ini. Ya Allah..apa petanda-Mu ini?. Hatinya menyoal. Matanya kemudian jatuh pada telekung putih yang tersarung ditubuhnya.

“Dah bangun ye?”, ujar Puan Noriah seraya melangkah masuk ke dalam bilik anaknya itu.

Nur Damia tersenyum nipis. Wajah manis berseri ibunya itu ditatap penuh kasih. “Dah umi..Damia tertidur selepas buat solat istikharah tadi. Err..Umi…Damia ada mimpi pelik tadi. Damia nampak seorang lelaki, kemudian lelaki tu hilang..tak semana-mena ada seekor ular emas yang patuk kaki Damia. Apa maksud mimpi tu umi?”, soal Nur Damia. Kitab Al-Quran itu ditutup, diletakkan diatas rehal berhampirannya.

Puan Noriah membulatkan matanya. “Kalau menurut tafsir ulama islam, itu petanda Damia akan dipinang orang atau bertemu jodoh dalam masa terdekat ni”, terang Puan Noriah.

Nur Damia mengerutkan keningnya. “Jodoh?”. Kemudian matanya bersinar ceria. “Adakah dengan Izwan? Umi..akhirnya…kami memang berjodohkan umi..?”, Nur Damia sudah mengalirkan air mata bahagia.

Puan Noriah memandang sayu wajah anak gadisnya itu. Dia tahu, Damia amat terganggu dengan perpisahan itu. Cinta pertama..adalah cinta yang sanggup dibawa sehingga hujung nyawa, cinta yang telah disimpulkan dalam hati oleh kebanyakan gadis. “Tidak sayang..bukan dia. Izwan Ishraf, bukan tercipta untuk Nur Damia Iman. Berhentilah daripada membina angan-angan itu. Umi yakin, ada jejaka di luar sana yang lebih baik tercipta untuk Damia”, lembut suara itu memberikan nasihatnya.

Nur Damia termanggu-manggu begitu. Memikirkan kata-kata ibunya. Wajah ibunya itu kembali direnungi. “Umi rasa..apa yang Abang Daniel tahu tentang Izwan?. Iz ada cakap pada Damia yang dia ada sisi gelap yang tak ramai orang tahu. Err..macam mana Abang Daniel boleh tahu?”, soalnya dengan serius.

Puan Noriah mengangkat kedua bahunya ke atas. “Umi pun tak tahu. Bila umi tanya pada Abang Daniel, tiada jawapan yang diberi. Sama sahaja jawapan yang dia bagi dulu. Bila sampai masanya, kita akan tahu juga. Umi bersyukur yang Abang Daniel dianugerahi oleh Allah S.W.T keistimewaan itu”, ujar Puan Noriah.

“Keistimewaan?”

“Ya..keistimewaan. Ilmu khasaf atau ladun. Bukan semua makhluk Allah S.W.T yang diberi oleh-Nya keistimewaan sebegini. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda : Takutilah oleh kamu firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan cahaya Allah s.w.t. Ini lah dikatakan ilmu khasaf atau ladunni. Ilmu yang disalurkan sebagai perantara daripada pencipta kita kepada makhlukNya yang terpilih. Suatu masa nanti, kita pasti tahu apa sebabnya. .apa musababnya abang kamu berbuat begitu…”.

*******
“Kenapa Damia harus kawin dengan dia?. Damia tak nak!”, bentak gadis itu. Sungguh dia tidak berpuas hati apabila lamaran dari sepupu jauhnya itu diterima oleh abang dan ibunya tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

Puan Noriah membelai rambut panjang Nur Damia. “Kami rasa, inilah jodoh yang tepat buat Damia. Kami Cuma inginkan yang terbaik untuk Damia. Damia ingat kan mimpi kena patuk ular minggu lepas?. Umi rasa, inilah jawapan pada mimpi Damia tu”.

Nur Damia merenung sayu wajah yang sudah dimamah usia itu. “Tapi kenapa Darius?. Kenapa dia umi?. Umi tahu kan yang Damia benci dia sejak dulu”, lirih kedengaran suara Nur Damia. Dia cukup mengenali Darius dan dia tahu jejaka itu tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada dirinya.

Puan Noriah memeluk tubuh anak keduanya itu erat. “Damia…ada sesuatu yang membuatkan abang Daniel berkenan dengan dia. Umi pun amat berkenan dengan Darius. Dia lelaki yang baik sebenarnya”.

Nur Damia tidak betah lagi mendengar pujian ibunya terhadap lelaki bernama Darius itu lantas bangun dari kerusi. “Maaf Umi. Damia nak tenangkan fikiran. Damia nak keluar sekejap”.

Puan Noriah hanya mampu memandang tubuh anak gadisnya itu sehingga hilang dari pandangannya.

*******
Nur Damia melabuhkan punggungnya di kerusi itu. Dia cuba mencari sisa-sisa kenangan cinta pertama di tasik itu. Cinta yang telah disimpul mati dalam hatinya. Kata-kata Izwan tergiang-giang di telinganya. “Mia sayang, kalau Mia rindukan Iz..Mia pejamkan mata dan Iz pasti akan muncul dihadapan Mia”. Nur Damia memejamkan matanya. Wajah kacak itu muncul lagi di benak. Air matanya mengalir lesu. Sungguh dia teramat rindukan jejaka itu. Matanya perlahan dibuka. Sungguh dia terkejut bukan kepalang melihat susuk tubuh itu. “Iz?”, soal Damia tidak percaya.

Izwan menganggukkan kepalanya. Pantas punggungnya dilabuhkan disebelah bekas kekasihnya. “Mia sihat?”, soal Izwan. Ada getar dalam suara itu. Suara yang menanggung kerinduan.

Nur Damia menyapu air matanya. Sungguh hatinya bagai diradak belati tajam melihat tubuh itu yang semakin susut. “Iz, kenapa sampai macam ni?. Kenapa muka Iz cengkung. Iz tak makan ke?. Dah makan?. Nak Mia teman Iz makan?”, ujarnya penuh prihatin. Obor cinta lama masih menyala. Bagaimana bisa dia melupakan dalam sekelip mata?.

Izwan menggeleng lemah. Sikap mengambil berat gadis itu antara punca mengapa dia sukar untuk melupakannya. “Mia..sungguh Iz merana. Mia satu-satunya perempuan yang buatkan Iz jadi macam ni. Ego Iz selama ini yang Iz junjung, akhirnya jatuh juga. Mia..hari ahad depan, Iz akan bertolak ke Jepun…Iz…”, kata-kata itu tidak dapat diteruskan Izwan. Kemudian dia menggenggam kuat jari jemarinya. “Iz masih harapkan Mia..kalau boleh kita kawin lari?”, ujar Izwan lambat-lambat.

Nur Damia pantas mengangguk. Dia tak dapat berfikir panjang saat ini. Peluang ini hanya akan berlaku sekali dalam hayatnya. Jika tidak, pasti dia akan menderita bersuamikan lelaki yang dibencinya itu. “Bawaklah Mia kemana-mana Iz. Mia rela. Mia tak nak kawin dengan orang lain”.

Sinar mata Izwan terpancar bahagia. “Jom…kita masih ada masa untuk larikan diri dari sini. Kita kawin di Thailand dan ikut Iz ke Jepun”, saran jejaka itu.

Nur Damia sudah melonjak gembira. Akhirnya cinta pertamanya itu akan menjadi miliknya. Bunyi telefon bimbitnya terasa amat menganggu. Nama ibunya tertera di atas skrin telefon. Hatinya berkira-kira samada untuk menjawab panggilan itu atau tidak.

*******

Sudah kering air matanya. Sudah puas meratap dan menangis. Suasana kawasan perkuburan itu sunyi dan sayu. Kelihatan ibunya teresak-esak saat mayat itu dimasukkan ke dalam liang lahat. Nur Damia menahan sebak yang mencengkam didada. Abang Daniel..kenapa abang pergi terlalu cepat?. Kenapa abang buatkan Damia serba salah sekali lagi?. Hatinya merintih. Panggilan ibunya sewaktu hatinya bulat dan tekad untuk melarikan diri bersama kekasih pertamanya itu, rupanya membawa khabar buruk. Abang Daniel terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membawa kepada kematian, juga menuntut Nur Damia menunaikan impian terakhir abangnya itu.

Maafkan aku Iz. Aku telah berjanji dengan abang Daniel untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya. Maafkan aku”, ujar Nur Damia dalam suara sedikit garau. Terasa sakit tekaknya apabila terlalu banyak menangis dan meratap.

Izwan mengangguk lemah. “Nur Damia Iman…semoga kau bahagia. Selamat tinggal”, Izwan melangkah lemah dari tapak perkuburan itu.

Nur Damia hanya mampu memandang sayu. “Maafkan aku Iz. Aku harap kau turut berbahagia”, balasnya perlahan.

*******

“Hei...Kau siapa?”, Soal Darius dalam keadaan terhuyung hayang. Bayang-bayang isterinya itu kemudian semakin jelas dipandangannya. Tangannya perlahan membelai pipi itu namun pantas ditepis Nur Damia.

“Jangan nak sentuh saya. Kenapa awak jadi macam ni?. Ini adalah antara sebab kenapa saya tak pernah setuju kawin dengan awak!. Awak memang takkan pernah berubah. Sejak dulu!. Kalau awak terus macam ni…lebih baik kita bercerai saja!”, jerit Nur Damia penuh perasaan. Sungguh dia benci melihat wajah berjambang tidak terurus itu.

Tubuh sasa itu tergolek dihadapannya. Darius tidak betah lagi mendengar bebelan itu. Kepalanya yang terasa pening, turut membuatkan isi perutnya terasa bergelodak. Dalam sekejapan muntahnya melambak keluar di atas lantai ruang tamu itu.

Nur Damia pantas menutup hidungnya. “Huh!. Awak tidurlah atas muntah sendiri. Saya nak tidur!”, Nur Damia terus menapak ke tingkat atas tanpa sedikit belas kasihan terhadap suaminya. Dalam meniti tangga itu, air matanya mengalir perlahan. Dia tahu dia derhaka terhadap suaminya. Tidak memberikan layanan yang sempurna juga nafkah batin yang diminta suaminya. Tak!. Tubuh aku hanya untuk lelaki yang aku cinta…lelaki yang baik..bukan seperti dia!. Abang Daniel…apa sebenarnya yang abang buat sekarang?. Abang sengaja memasukkan Damia dalam lembah neraka ini atau apa sebenarnya tujuan abang?. Darius Danish….dia bukan suami yang baik…bukan lelaki idaman Damia…

*******

“Damia!. Itu derhaka namanya. Kenapa Damia layan Darius macam tu?”, soal Puan Noriah dalam wajah tidak percaya. Sungguh dia terkejut mendengar cerita itu saat dia bertandang di rumah puterinya itu.

Nur Damia merenung ibunya. Matanya berkaca. “Umi..adakah ini keturunan?. Umi juga hadapi masalah rumahtangga. Adakah badinya terkena pada Damia juga?”,soal Nur Damia. Lemah suaranya kedengaran.

“Tidak Damia..tidak. Ada sebabnya Damia. Allah S.W.T tidak akan membiarkan hambanya yang mengaku sudah beriman sebelum diuji-Nya. Damia...cuba pandang dengan pandangan mata hati. Jangan menilai seseorang secara luaran sahaja”, balas Puan Noriah.

Nur Damia menggeleng lemah. “Tak..Darius bukan lelaki yang baik. Damia kenal dia siapa. Sejak kecil..semua orang akan cakap yang Damia gadis yang baik, gadis yang hormat orang tua..pandai mengaji..Umi..kalau Damia ni perempuan yang baik..kenapa Damia dapat lelaki yang tak baik?. Umi pun sama…Umi sangat baik, tapi umi berjodohkan lelaki yang tak baik. Abah tinggal umi macam tu je kerana perempuan lain.. Abah bertukar perempuan silih berganti. Damia malu umi..bila abah kahwin dengan kawan baik Damia sendiri. Kadang-kadang Damia terpikir, apa kebenaran surah An-Nur?. Allah S.W.T mengatakan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, tapi kenapa ramai perempuan baik berjodoh dengan lelaki jahat?”, Nur Damia merenung ibunya. Mengharapkan jawapan yang sering bermain difikirannya itu.

Puan Noriah menggelengkan kepalanya. Wanita itu tersenyum lembut. “Janji Allah S.W.T itu benar Damia. Allah S.W.T tidak pernah mungkir pada janji-janji-Nya. Damia tahu kenapa umi cakap macam tu? Yer..umi cintakan abah Damia. Dia lelaki pertama yang umi cinta. Kalau Damia nak tahu, abah Damia dulu..dia lelaki yang sa..ngat baik. Akhlaknya, agamanya, ilmunya benar-benar baik. Kemudian benih cinta kami lahir. Arwah Daniel dan Damia melengkapkan cinta kami. Umi sangat bahagia. Namun…abah Damia tiba-tiba berubah daripada aripada lelaki yang sentiasa baik…bersikap lemah lembut, bertukar kepada lelaki pembengis dan mengabaikan tanggugjawabnya. Seolah-olah sifat baik yang ada telah habis digunakan. Telah tamat tempohnya. Apabila sifat baiknya itu telah hilang, Allah S.W.T memutuskan jodoh kami. Yer, benarlah janji Allah S.W.T sebagaimana yang dinyatakan Allah S.W.T dalam surah An-Nur itu”, terang Puan Noriah panjang lebar. Matanya memandang puterinya itu yang seperti termanggu sendiri selepas mendengar penjelasannya.

Tangan anak keduanya itu dicapai. Diramasnya lembut. “Damia…lebih baik kita menjadi manusia yang berdosa pada mulanya tetapi pada satu tempoh, kita berubah menjadi baik daripada seorang yang baik bertukar sebaliknya. Jangan kita membenci pelaku dosa itu, tetapi benci pada perlakuan dosanya. Darius Danish Irham…dia lelaki baik…”, Puan Noriah memberhentikan kata-katanya di situ. Membuka tas tangan hitamnya kemudian mengambil sesuatu di dalamnya.

Nur Damia terpempan apabila ibunya itu menghulurkan satu buku catatan berwarna hitam. Dia kenal buku itu. Itu diari abang Daniel!. Matanya menikam mata ibunya dalam rasa tidak percaya.

Puan Noriah meletakkan buku catatan itu di atas meja kaca dihadapannya. “Damia bacalah diari ni. Umi terjumpa sewaktu mengemaskan barangan arwah Abang Daniel. Umi harap segala persoalan yang bersarang dalam kepala Damia akan terjawab. Sekali lagi umi nak tegaskan yang janji Allah S.W.T itu benar. Perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik dan perempuan yang jahat hanya untuk lelaki yang jahat”.

*******
“Abang dah makan?. Nak Damia masakkan apa malam ni?”, soal Nur Damia lembut. Tangan suaminya diraih lantas dikucup mesra.

Darius tercengang-cengang sendiri. Tidak pernah isterinya itu bersuara lembut seperti itu kepadanya apatah lagi mengambil berat perihal dirinya. Dalam perasaan yang kaget, dia menelan liurnya sendiri. Nur Damia Iman dihadapannya ini bukan seperti wanita yang dikahwininya dua bulan lalu yang sentiasa menutup aurat sekalipun rambutnya. Kini, baru dia melihat rambut separas bahu itu, leher jinjangnya juga kulit putih gebu itu. “Dia…dia..bagaikan bidadari!. Getus hatinya. Jantungnya bagaikan mahu luruh ketika isterinya itu memeluk tubuhnya kejap.

Darius membelai rambut isterinya. Pipi gebu itu dikucupnya penuh kasih. Isterinya itu lena dalam pelukan eratnya. “Syukur Ya Allah. Dia akhirnya menerima diriku seadanya”, bisik Darius sendiri. Perlahan-lahan dia bangun dari katil, menapak ke bilik air. Yer..sudah tiba masanya dia berubah. Solat taubat, hajat juga tahajud itu ditunaikan penuh kusyuk. Lama doanya dipanjatkan kehadrat ilahi. Air matanya menitis perlahan dari pelupuk mata. Sungguh dia bersyukur terhadap rahmat Allah S.W.T kepada dirinya. Akhirnya dia berjaya memiliki wanita idamannya sejak zaman remajanya. Dia pernah bernazar dahulu sekiranya Damia menerima dirinya seadanya, segala perilaku negatifnya akan dibuang jauh daripada tata cara hidup. Nur Damia Iman…akan aku jadikan kau permaisuri di syurga dunia ini..juga bidadari syurgaku di akhirat kelak.

*******

Nur Damia membaca surah An-Nur itu dengan nada perlahan. Air matanya menitis perlahan apabila bacaannya sampai ke ayat 26. Mushaf suci itu ditutup dan diletakkan di atas rehal. Telekung putih perlahan ditanggalkan dari tubuh. Dalam duduk yang masih bersimpuh di atas sejadah, matanya menyorot gambar perkahwinannya lima bulan lalu di dinding tengah biliknya. Bibirnya mengukir senyuman bahagia. Wajah suaminya yang mengenakan songket ungu lembut itu ditatap lama. Darius Danish Irham…dia…lelaki yang baik. Sangat baik. Aku sahaja yang cepat membuat penilaian..aku sahaja yang salah dalam buruknya sangkaan. Perlahan diari milik arwah abangnya dibuka. Menatap bait-bait itu lagi yang menjadi asbab dia belajar untuk mencintai..membuka hati untuk lelaki bernama suami.


29 Julai 2010

Aku terkejut apabila mengetahui adik kesayanganku sudah memiliki lelaki pilihannya. Tidak apalah. Aku tumpang bahagia. Cuma..aku rasa terkilan kerana sejak dulu, aku mengharapkan Darius Danish Irham yang akan menjadi pemimpin Nur Damia Iman. Aku tahu betapa bencinya Damia terhadap Darius, namun itu semua kerana adikku itu tidak mengetahui perkara sebenar. Dia hanya menghukum Darius melalui pemerhatiannya sahaja. Aku berjumpa Darius setelah lima tahun tidak bertemu. Jurutera kimia itu ternyata berbeza. Tubuhnya susut amat juga banyak bulu tumbuh liar diwajah itu. Hilang kacaknya…juga hilang tarikannya. Semua itu gara-gara kesedihan yang teramat apabila kehilangan ayah dan ibu sekaligus dalam sebuah kemalangan. Dia menyalahkan diri penyebab kematian itu berlaku. Ternyata minuman keras masih menjadi kegemarannya untuk menangani emosinya. Aku tahu, kegemaran Darius inilah yang membuatkan Damia tidak berkenan dan menjauhkan diri sejak dulu. Tapi kau tahukah adikku…dia yang mendermakan sebelah buah pinggangnya kepadamu sewaktu kau di ambang maut dulu?. Darius…dalam diam rupanya menaruh hati kepada adikku itu…


31 Julai 2010

Damia membawa seorang jejaka tampan ke teratak kami. Dari pandangan pertama, aku sudah mula tidak suka biarpun susuk tubuh dan rupa itu kelihatan sempurna pada mata sesiapa. Aku melihat lelaki itu memiliki ego yang tinggi, panas baran, selalu rasa diri betul, tidak boleh terima nasihat, apatah lagi dia gemar bersosial dan jenis yang suka keluar sehingga lewat malam. Ciri-ciri ini tidak pantas..tidak sesuai untuk Damia. Aku tahu aku kejam terhadap adikku dengan membuatkan hubungan Damia dan lelaki itu berakhir. Namun, bukan kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada diri jejaka itu yang membuatkan aku bertindak sedemikian tetapi….aku melihat banyak kesan-kesan persetubuhan dengan pelbagai jenis perempuan dalam sejarah hidup jejaka itu. Sungguh ramai gadis yang tertipu dengan sifat luarannya yang baik sehingga ada gadis yang mengandungkan benih yang dicampakkannya ke dalam rahim mereka. Dia merosakkan kaum hawa dan mengelak daripada tanggungjawab!. Sungguh kejam!.

Biarpun begitu, aku tahu dia sangat menyintai Damia…dia cuba mengubah perilaku mazmumah itu perlahan-lahan. Namun..aku tidak yakin. Dia lelaki yang tidak tetap pendirian, juga kerap tunduk pada nafsu lawamah. Aku melihat, dia bukan lelaki yang baik. Dia tidak akan pernah berubah. Tidak pantas seorang penzina itu memiliki muslimah yang suci. Damia…maafkan abang. Abang hanya inginkan kebahagiaan Damia. Dalam diam, aku menghubungi Darius…aku menggalakkan jejaka itu menghantar pinangan. Damia…abang tahu, pasti kau membenci abang ketika ini, tetapi abang tahu….hanya Darius yang mampu membahagiakan adik abang. Lelaki yang baik tercipta hanya untuk perempuan yang baik..

*******
“Assalamualaikum. Dah siap?”, sapa Nur Damia seraya memeluk belakang tubuh sasa itu. Kandungan yang bakal memasuki usia tiga bulan itu membuatkan seleranya menjadi-jadi. Mengidam yang macam-macam.

Darius berhenti mengacau bubur pulut hitam itu. “Waalaikumsalam. Sikit je lagi”, sahutnya dalam senyum lebar. Pantas tubuhnya di palingkan seraya memberikan kucupan di dahi itu. Tubuh isterinya lantas diraih ke dalam pelukan.

Nur Damia mendongakkan kepalanya. Pipi kanan suaminya dikucup penuh kasih. Kemudian dia berpaling, menjenguk isi periuk di atas para dapur itu seraya mengacau perlahan. “Terima kasih abang. Bubur special abang ni, Damia namakan bubur pulut hitam An-Nur”, ujar Nur Damia. Bibirnya menguntum senyum apabila aroma wangi bubur itu menyengat hidungnya.

Darius ketawa kecil. Tubuh itu dipeluk lagi dari belakang. “Kenapa An-Nur?”, bisik Darius manja. Beberapa kali pipi gebu itu dikucupnya.

Nur Damia tersenyum bahagia. “Kerana An-Nur…kerana surah An-Nur…Damia mencintai abang. Bubur An-Nur ini dimasak oleh lelaki yang baik…sebab…”

Darius lekas memotong kata. “Sebab lelaki yang baik..hanya untuk perempuan yang baik”.

Nur Damia berpaling menghadap wajah suaminya. Wajah sebenar suaminya disebalik jambang lebat dahulu ditatap penuh kasih. Lebih kacak berbanding cinta pertamanya dahulu. Pipi kanan suaminya itu diusap lembut. Ya Allah, janji-janji-Mu semuanya benar belaka. Aku bersyukur Ya Allah dengan kasih sayang dan rahmat-Mu kepadaku. Benarlah firman Allah dalam surah An-Nur ayat ke 26 : ” perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik”.

1 awesome commentator:

  1. Best!!! Penuh keteladanan... sebak kejap...huhu...

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top