BAB 16


            “Zawin memang tak akan maafkan saya kan?” soal Dato’ Zawawi kepada bekas isterinya. Matanya merenung taman yang penuh dengan pelbagai jenis bunga. Dia tahu wanita itu gemar pada bunga. Arwah ibunya pernah mengatakan tangan Dahlia ‘rasi’. Apa sahaja yang ditanam pasti menjadi.
            “Zawin...bukan begitu sebelum ini. Hatinya mudah memaafkan. Dalam kes awak ni sahaja...dia sukar memaafkan.” Puan Dahlia bangun, menyiram bunga matahari yang banyak tumbuh di sekitar buaian kayu.
            Dato’ Zawawi mengeluh berat. Matanya memerhatikan buaian yang dibuat dibawah pohon teduh untuk puterinya. Terasa baru semalam puterinya itu ketawa lepas saat buaian itu dihayunkannya. Kayu buaian itu masih kukuh, begitu juga talinya, cuma...hatinya terasa benar-benar rapuh saat kenangan bersama puterinya itu terbayang di ruang matanya. Dia sedar...puterinya itu benar-benar terluka dan kecewa dengan tindakannya menceraikan Dahlia lalu mengahwini Arnida,  sahabat baik Zawin. “Entah bila Zawin boleh maafkan saya,” ujarnya dalam suara lirih.
            Puan Dahlia melabuhkan punggung di kerusi kayu menghadap Dato’ Zawawi. “Biarlah masa menentukannya.” Dia menuangkan teko berisi teh bunga matahari ke dalam cawan. “Minumlah,” pelawanya.   
            Dato’ Zawawi merenung bunga matahari didalam air teh yang masih panas. Hatinya tersentuh. Wanita itu masih mengingati minuman kegemarannya itu. Bebola matanya dikalihkan pada wajah wanita yang masih kelihatan jelita itu biarpun sudah menginjak usia lewat 40-an. “Sukar untuk saya hapuskan kesilapan lalu. Awak sendiri pun tidak mahu menerima saya kembali.”
            Puan Dahlia tersenyum nipis, menghirup teh bunga matahari lalu merenung wajah lelaki yang pernah menghuni ruang jiwanya dulu. “Wanita...boleh memaafkan, mudah memberi maaf...tetapi...tidak sesekali melupakan. Segala yang berlaku dahulu, keperitan masa lalu, air mata yang ditumpahkan...semuanya...masih segar dalam ingatan. Ibarat pita rakaman yang tidak berhenti berputar.” Puan Dahlia menunduk, merenung bunga matahari didalam pasu kecil di atas meja kayu bulat dan menatap kembali wajah lelaki dihadapannya. “Jadi, bagaimana mungkin saya boleh menerima awak kembali dalam hidup saya,” lanjutnya lagi dalam nada tegas.
            Dato’ Zawawi mengetap bibirnya. Dia tahu...ini harga yang harus dibayar atas kesilapan masa lalu. Keputusan dan tindakan kerana terlalu mengikut hawa nafsu sendiri.
            Puan Dahlia merenung wajah muram lelaki bermisai nipis itu. Garis-garis kedutan sudah muncul di bawah pelipis mata, pipi malah dahi. Masih ada sisa-sisa kekacakan yang pernah digilai ramai perempuan suatu ketika dahulu. “Erm...dengar cerita awak bakal berkahwin lagi.”
            Mata Dato’ Zawawi membulat luas. “Awak tahu daripada sumber mana?”
            Puan Dahlia tersenyum kelat. “Dunia berada di hujung jari. Maklumat datang sendiri biarpun tanpa dicari.”
            Dato’ Zawawi mengetap bibirnya. Entah siapa yang bermulut tempayan menyebarkan berita itu. “Err...awak tahu bila?”
            Puan Dahlia mengangkat kedua belah bahunya. Cerita arwah Arnida mengenai bekas suaminya yang tidak pernah berubah itu, membuatkan dia sedikit jengkel. “Awak...menang tidak pernah berubah kan?” tebaknya sambil merenung tajam sepasang mata lelaki itu.
            Dato’Zawawi terkedu. Dia membalas pandangan tajam bekas isterinya. “Err...saya memang...ingin berubah...”
            “Tiada guna...jika kata-kata itu sekadar dimulut,” bidas Puan Dahlia.
            Dato’ Zawawi terdiam.
            “Awak nak tahu...kenapa Zawin tak pernah memaafkan awak?”
            Dato’ Zawawi mengerdipkan matanya, merenung wajah wanita itu.
            “Jawapannya mudah...sebab awak tak pernah berubah.”
            Dato’ Zawawi terkedu.
 ********
            Hai, ini ke girlfriend Is? Cute nya!!
            Zawin mengerutkan keningnya sebaik membaca komen itu di laman sosial friendster. “Siapa Ida ni?” soalnya kepada diri apabila gagal masuk ke ruang profile bernama Ida itu kerana di tetapkan private kecuali untuk kenalan. Dia berkira-kira untuk menekan butang friend request, namun niatnya dimatikan. “Ahh...abaikan saja la.” Matanya menjeling timbunan tugasan yang dihantar pelajarnya sebentar tadi. Dia tiada mood memeriksa hasil tugasan subjek matemathics for economic and  business memandangkan waktu lunch semakin hampir. Bila-bila masa sahaja Najla akan muncul di depan pintu biliknya.
            Zawin menutup laman friendster. Baginya, laman sosial itu kurang menarik berbanding Facebook yang lebih meluas dan menawarkan lebih banyak aplikasi kepada pengguna. Walaupun begitu, laman sosial friendster terasa dekat dihatinya kerana di situ banyak kenangan dengan Daniel Iskandar. Mesej-mesej bergambar dan tulisan grafik penuh makna mendalam kerap dikirimkan Daniel di ruang komen profile friendsternya dan dia gemar membaca berulangkali semua kiriman itu. Zawin beralih pula pada laman sosial Facebook.  
            “Nadiah?” Zawin mengerutkan dahinya apabila melihat nama profile itu dalam ruang mesej Facebook. Dia ingin membuang terus mesej itu seperti lazimnya apabila profile yang tidak dikenali menjengah peti mesejnya, namun pergerakan jari jemarinya terhenti seketika. Tanpa sedar, jari jemarinya menekan tetikus, membuka isi mesej.
            Assalamualaikum. Maaf menganggu awak. Saya...cuma ingin mengenali kekasih hati Daniel Iskandar.
            “Siapa dia ni? Dia...kenal Is? Untuk apa dia nak kenal aku?” Zawin diserbu pelbagai persoalan. Jari jemarinya lincah membalas mesej itu.
            Waalaikumussalam. Erm...awak siapa? Awak kenal saya melalui siapa?
            Zawin meninggalkan ruang mesej itu lalu menekan butang friend request. Melihat ada permintaan daripada profile Nadiah, tanpa berfikir panjang, Zawin menekan butang accept. Profile gadis bernama Nadiah kini berada di hadapan matanya. Gambar profile gadis itu direnung bersungguh. Bertudung hijau muda, berkaca mata dan berkulit kuning langsat. Dia yakin...gadis itu bukan kenalannya. Segenap maklumat profile itu digali seboleh mungkin. “Tokyo University? Ini tempat Daniel belajar.” Zawin menepuk dahinya apabila melihat nama profile Gemleo dalam ruang mutual friend. “Oh...pasti mereka rakan sekuliah,” tebaknya sendiri.
            Satu kotak bual kecil muncul di laman Facebook.
            Nadiah: Hai. Terima kasih accept saya.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. Hatinya berlagu sangsi. Adakah gadis ini ada agenda tertentu?
            Zawin : Hai. Adakah awak tahu tentang saya daripada Daniel Iskandar?
            Nadiah : Erm...boleh kata macam tu la. Sebenarnya, seorang rakan yang lain beritahu tentang awak.
            Zawin menghela nafasnya dalam-dalam. Hatinya berlagu tidak enak.
            Zawin : Maksud awak...Ida ke?
            Nadiah : Errk...awak tahu daripada mana?
            Zawin : Saya teka saja sebab ada nama Ida yang beri komen di ruang komen friendster.
            Nadiah : Oh. Betullah. Dia yang beritahu tentang awak pada saya.
            Hati Zawin diserang badai. Terasa sedikit jengkel apabila dirinya disiasat dalam diam oleh insan-insan yang tidak dikenalinya.
            Zawin : Bukan nak kurang ajar, cuma...untuk apa kalian bercerita tentang saya?
            Nadiah : Saya...bekas kekasih Daniel Iskandar.
            Mata Zawin membulat luas. Jari jemarinya lincah membalas mesej itu dalam hati berdebar.
            Zawin : Err...saya tak tahu nak kata apa. Is...tak pernah cerita apa-apa pada saya tentang awak.
            Nadiah : Tak apa. Lagi pula...kami couple contract je pun. Tamat belajar...jadinya tamatlah juga hubungan kami. Tapi...mustahillah kan...sebagai perempuan, rasa sayang itu tiada. Semalam...masa Ida beritahu tentang awak, hati saya diserang rasa cemburu yang menggila. Tangan saya terketar-ketar sewaktu membuka profile awak di friendster. Saya call Is masa itu juga meminta kepastian.
            Zawin menelan liurnya.
            Zawin : Apa katanya?
            Nadiah :  Is memang akui, awak dan dia telah bersatu kembali. Sebenarnya, saya tidak terkejut sangat...sebab Is seringkali menceritakan tentang awak pada saya. Seringkali juga sukar saya menepis rasa cemburu pada awak.  Is selalu kata, saya dan beberapa gadis lain hanya dapat menyentuh hati dia, tapi Zawin Az-Zahra adalah satu-satunya gadis yang berjaya memegang hati dia dengan sepenuhnya. 
            Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali di depan skrin. Kasihan gadis ini. Bisik hatinya.
            Zawin : Maaf, seandainya penyatuan saya dan Daniel Iskandar membuatkan hubungan kalian putus.
            Nadiah : Jangan kata begitu. Sudah saya nyatakan bukan? Kami hanya pasangan kontrak. Hubungan kami automatik berakhir setelah tamat pengajian. Saya rasa...awak memang gadis yang paling tepat untuk dia. Awak gadis yang bertuah. Cantik dan bijak. Maaf, kerana saya tidak dapat menghapus rasa cemburu dengan kelebihan yang awak miliki.
            Zawin :  Maaf...itu saja yang dapat saya katakan. Saya faham apa yang awak rasa. Apapun, saya tidak rasa diri ini istimewa kerana setiap manusia diberi peta hidup masing-masing yang berlainan takdir. Mungkin awak bertuah dalam hal yang saya tidak beruntung. Begitulah sebaliknya kan?
            Nadiah : Kenapa awak minta maaf pada saya?Awak buat saya rasa bersalah pula...
            “Zawin...jom.”
            Zawin mendongak, menangkap kelibat Najla dalam kurung pahang berwarna biru di muka pintu biliknya. “Wait a minute.” Zawin membuat isyarat tangan, menyuruh sahabatnya itu menunggu. Jari jemarinya kembali lincah menari di atas papan kekunci.
            Zawin : Maaf. Saya nak keluar makan ni. Ada masa lagi, kita chatt lagi ya.
            Nadiah : Saya pun dah nak keluar ni. Apa pun...nice to know you, miss Zawin.
            Zawin : Me too.
*******
            “Betullah tu sayang.” Daniel Iskandar menyedut putung rokok dalam-dalam. Dia memasukkan abu ke dalam bekas abu rokok yang disediakan di meja makan warung mamak itu.
            “Macam mana pa boleh couple dengan dia?” Zawin cuba mencungkil rahsia.
            Iskandar merenung roti canai yang masih berbaki didalam tray aluminium. Wajah gadis manis berkaca mata muncul di situ. “Nadiah...yang minta couple dengan pa. Ma sendiri tahu...pa macam mana kan? Hati pa bukan untuk sesiapa. Ma juara carta hati pa sejak dulu.”
            Zawin menahan senyum. “Ya ke?”
            Iskandar menjuihkan bibirnya. “Tak pun.”
            Zawin ketawa halus. “Kenapa pa terima Nadiah?”
            “Pa kesian.”
            “Kesian?”
            “Erm...pa terima dia atas dasar kasihan. Dia...pelajar yang agak susah la. Hanya bergantung pada biasiswa semata, mana cukup nak hidup di bumi Jepun. Lagi pula...Nadiah seorang anti sosial. Pa fikir, dengan terima dia...pa boleh ajar dia meluaskan pergaulan. Bagi pa...bila hidup di perantauan, kawan ibarat keluarga sendiri.”
            “Pa sayangkan dia?” soal Zawin tiba-tiba.
            Iskandar menatap wajah ingin tahu Zawin. “Sayang...sebagai kawan.”
            “Pa tahu...dia sayangkan pa?”
            Iskandar mengangguk. “Pa dah kata kan...sukar nak pegang hati pa ni.”
            “Kasihan pula,” luah Zawin sambil menghela nafas.
            “Kenapa ma cakap macam tu?”
            “Ya la. Nampak sangat Nadiah tu sayang pa walaupun dulu hubungan pa dan dia sekadar kontrak.”
            Iskandar mendengus perlahan. “Ma...tak mau cakap pasal ni lagi. Ok?”
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Ya la.”
            “Lagi satu...boleh pa minta sesuatu tak?”
            “Apa?” Zawin merenunung wajah serius jejaka itu.
            “Tolong jangan berhubung dengan perempuan-perempuan yang kata kenal pa.”
            Zawin mengerutkan dahinya. “Kenapa pula tak boleh?”
            “Sebab pa kata tak boleh la.”
            “Beri sebab yang konkrit.” Zawin berpeluk tubuh merenungi wajah jejaka yang tidak putus-putus merokok. Dia mengambil sapu tangan, menekup hidungnya. Berkali-kali ditegurnya tabiat jejaka itu yang merokok di hadapannya, namun seperti tidak terkesan dihati. Dia sudah malas untuk menegur lagi.
            “Ma sayang pa tak?”
            “Soalan apa tu?” balas Zawin acuh tak acuh.
            Iskandar menatap mata indah itu kemudian beralih pada sapu tangan yang menutup hidung gadis itu. Cara psikologi yang digunakan gadis itu seringkali membuatkan dia mengalah tanpa sedar. “Ya la...ya la. Pa padamkan sekarang.” Segera Iskandar mematikan putung rokoknya didalam bekas abu rokok.   
            Zawin tersengih menang. “Kalau pa nak orang sayang pada pa...sila sayangi diri sendiri dulu. Berhentilah merokok,” nasihatnya lembut.
            “Ma sayang pa tak?” soal Iskandar lagi, merenung bersungguh wajah gadis dihadapannya.  
            Zawin mengangguk lambat-lambat. “Kalau sayang...kenapa?”
            Iskandar menyatukan semua jari jemarinya, merenung mata bundar gadis itu. “Kalau sayang...tolong jangan berhubung dengan sesiapa pun yang pernah wujud pada masa lalu pa. Pa nak lupakan semuanya. Boleh ma?” pintanya penuh mengharap.
            Zawin tersenyum lebar lalu mengangguk. “Ok.”
            Iskandar tersenyum senang. “Ma tahu...pa nak sangat dengar ma nyanyi melayu  tradisional. Sama seperti dulu...”
            Zawin membuat muka bosan. “Semua itu hanya tinggal kenangan.”
            “Kenangan boleh di ulang semula kan?” pujuk Iskandar.
            Zawin menjeling. “Itu semua kenangan pahit. Kenapa perlu diulang kembali?”
            “Sayang sangat. Ma ada bakat dalam bidang seni suara...”
            “Ma tak pernah meletak impian menjadi penghibur...”
            “Biarpun penghibur untuk pa?”
            Zawin menghela nafasnya. “Muzik telah mati dalam diri Zawin Az-Zahra. Nokhtah.”
            Iskandar mengeluh berat. “Sejak bila muzik itu mati bagi ma? Pa memang tak faham.”
            Zawin terdiam.“Pa memang tak akan faham dan tak akan pernah faham.”
            “Kalau begitu...cuba fahamkan.”
            Zawin memincingkan matanya ke arah wajah selamba jejaka di hadapannya. Dia benar-benar tidak suka didesak begitu.
            Well...ini ke kekasih hati Zawin Az-Zahra?”
            Iskandar dan Zawin pantas berpaling ke arah pemilik suara itu.
            Zawin berpeluk tubuh, merenung selamba wajah sinis Yasmin. “Kenapa? Ada masalah ke bagi kau?”
            “Ya...ada masalah pada aku,” balas Yasmin dalam senyuman sinis. Yasmin merenung wajah tampan lelaki berkumis nipis bawah dagu yang sedang memandangnya dalam riak hairan.  Biarpun lelaki ini tidak sehebat Zharif Zahir pada pandangannya, namun masih ada persona tersendiri. Yasmin menghulurkan tangan kepada lelaki berambut belah tengah itu. “Hai...saya Yasmin...dan awak?”
            Iskandar menyambut huluran tangan wanita berskirt pendek biru laut itu. Bau minyak wangi DKNY menusuk masuk ke dalam rongga hidungnya. “Hai...saya Iskandar. Panggil Is je,” sahutnya ramah.
            Zawin membulatkan matanya melihat reaksi kekasihnya.
            Yasmin tersenyum manis lalu menarik kerusi, mengambil tempat di sebelah Iskandar. “Is bekerja di mana?” soalnya lagi sambil menjeling wajah marah Zawin.
            “Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Yasmin...dah lama kenal Zawin ke?” soal Iskandar tanpa mengetahui hubungan keruh antara dua wanita itu.
            “Jadi Is ni...memang doktor la ya?” Yasmin meminta kepastian.
            Iskandar ketawa kecil. “Ada sebarang keraguan?”
             Yasmin mengangkat kedua bahunya dalam senyuman manis. “Ya la...biasanya doktor ni sibuk kan? Ada masa lapang pula...keluar di tempat...erm...macam ni pula...” Mata Yasmin menyeluruhi restoren india muslim itu dalam rasa jengkel. 
            “Salah ke? Di sinilah kehidupan kaum lelaki selepas penat bekerja. Makanan mamak sudah menjadi makanan harian saya,” jelas Iskandar lalu menyisip teh tarik.
            Zawin memincingkan pandangan matanya. Hatinya benar-benar berang dengan kemunculan Yasmin yang tiba-tiba begitu. Apatah lagi wanita itu terang terangan sengaja ingin membakar api amarahnya. “Kau pula...kenapa boleh ada  di sini? Bukan ke tempat ni tak sesuai dengan jiwa kau?” perlinya dalam suara yang sengaja diterankan.
            “Suara sumbang siapakah itu?” balas Yasmin selamba. Jika diikutkan hatinya, dia hanya ingin ke restoren yang menghidangkan fine dining sahaja, namun client berbangsa india yang berurusan dengannya kali ini bertegas untuk menikmati hidangan di restoren india muslim itu.
            Zawin mengetap bibirnya. Penumbuk kanannya digenggam kejap. Kalau mereka bukan di khayalak ramai, sudah lama wanita bermekap tebal itu menerima tamparannya. Dia berusaha memujuk dirinya, melatih diri bersabar dengan permainan yang dimulakan Yasmin. Perlahan-lahan senyuman sinis terukir di bibirnya. “Kau...gagal menggoda Zharif Zahir. Kan?”
            Wajah Yasmin terus berubah mendengar kata-kata itu.
            Semakin lebar senyuman terukir di bibir Zawin. “Aku tahu kau akan gagal. Aku dah beritahu sebelum ini kan yang Zharif Zahir bukan selemah lelaki-lelaki bodoh yang kau berjaya tundukkan selama ini.”
            Iskandar mengerdipkan matanya beberapa kali. Dia mula menyedari ada perseteruan yang berlaku apabila melihat senyuman sinis di wajah Zawin juga wajah marah wanita blouse biru tanpa lengan itu. “Err...Yasmin dah kahwin ke?” soalnya cuba melarikan topik perbualan.
            Yasmin tersengih sinis, cuba menutup rasa perit atas perlian Zawin. Ya...memang dia gagal menakluk hati Zharif. Lelaki itu sukar didekati malah sengaja membina benteng pemisah antara mereka. Ada sahaja yang dilakukan Zharif untuk menjauhkan dirinya lalu memusnahkan semua tindakan yang dirancang. Wajah Iskandar ditatap bersungguh. Anak mata coklat itu mengingatkannya pada anak mata Zharif Zahir. Ah! Lelaki itu gay agaknya! Bentak hatinya. Melihat senyuman sinis di wajah Zawin, hatinya bertambah sakit. Wajah kacak Iskandar ditatap kembali. “Zawin tidak pernah bercerita tentang saya pada awak? Kalau nak tahu status saya, sila tanya pada Zawin. Oh ya, awak harus kenal dengan lelaki bernama Wan Zaidi,” ujar Yasmin lalu bangun mendadak, membetulkan kedudukan skirt yang sedikit kusut.
            “Err...apa semua ni ma?” soal Iskandar yang masih bingung dengan drama yang terjadi dihadapan matanya. 
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya. Matanya masih tajam merenung wajah wanita yang berdiri di sebelah Iskandar.
            Yasmin tersenyum lebar melihat renungan tajam Zawin. Dia menundukkan badannya, tanpa amaran terus melekapkan bibirnya pada pipi Iskandar.
            Iskandar terpana.
            Zawin terkedu.
            Yasmin berlalu dalam gelak tawa yang panjang.
*******
            “Apa perkara yang penting sangat ni?” Soal Wan Zaidi usai melabuhkan punggung di kerusi kayu restoren Jepun itu.
            Zharif menghulurkan cawan seramik berisi teh jepun kepada Wan Zaidi. “Jemput minum dulu,” sarannya dengan tenang. Sengaja dia menghubungi lelaki itu pada waktu petang memandangkan jumlah pelanggan tidak begitu ramai.
            Wan Zaidi menyambut cawan comel itu lalu menghirup perlahan. Matanya tidak lepas menatap wajah tenang lelaki dihadapannya. Hatinya berlagu tidak enak tiba-tiba.
            “Wan...permintaan Wan yang dulu...Zharif dah tunaikan.” Zharif memulakan bicara. Kesemua jari jemarinya disatukan. Wajah lelaki berkulit sawo matang dihadapannya direnung dalam-dalam.
            Mulut Wan Zaidi terlopong. “Tentang Yasmin...?” soalnya dalam hati yang berdebar.
            Zharif mengangguk. “Zharif harap Wan bersabar...”
            “Ada sesuatu yang teruk berlaku?” pintas Wan Zaidi sedikit cemas.
            Zharif terdiam. “Wan nilaikan sendiri.” Zharif mencapai beg bimbit hitam di kerusi, membuka zip lalu menarik keluar satu sampul besar berwarna coklat. “Ambillah.”
            Wan Zaidi menyambut huluran sampul coklat itu dalam hati yang berdebar. Tatkala matanya tertumpu pada foto-foto yang baru ditarik keluar dari sampul tersebut, hatinya terasa bagai dipalu! Matanya digosok beberapa kali dalam rasa tidak percaya. Tangannya terketar-ketar membelek pantas pada setiap keping foto yang memaparkan pelbagai aksi ranjang Yasmin bersama dengan seorang lelaki dikenalinya! “Zamri!” getusnya seraya menghentak meja dengan sekuat hatinya. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah yang teramat.
            “Wan...sabar,” nasihat Zharif cuba menenangkan lelaki berkemeja biru itu.
            “Sabar?” Wan Zaidi berdiri mendadak. Nada suaranya semakin meninggi. “Kau nak aku sabar macam mana? Semua gambar ni... bukti ini...bagaimana aku boleh bersabar?”
            “Duduk dulu. Kemarahan dan tindakan melulu bukan cara terbaik menangani kes Yasmin ni,” pujuk Zharif.
            Wan Zaidi merengus kasar. Dia melabuhkan punggung kembali. Cawan berisi teh hijau dicapai dan diteguk rakus. Kemarahannya kendur tidak lama kemudian. Gambar-gambar di atas meja diteliti lagi. Hatinya menangis dalam diam. “Sampai hati Yasmin. Abang beri apa sahaja yang Yasmin inginkan, apa kurangnya abang berbanding dia?” rintihnya dalam suara lirih.
            Zharif memandang simpati pada wajah sayu itu. Wajah Zawin menerpa mindanya. Rintihan dan persoalan itu pernah diucapkan Zawin semasa Wan Zaidi memberikan kad undangan perkahwinannya bersama Yasmin. What goes around, it comes around. Pepatah itu seakan bergema di pendengarannya lalu disuarakan oleh hatinya berkali-kali. Dia tidak mahu menghukum rakannya itu. Segala-galanya telah ditulis dalam takdir. Tangannya menggosok-gosok belakang badan Wan Zaidi. “Wan...semua ini...pasti ada hikmahnya. Kalau...”
            “Kalau perkara ni berlaku pada kau...apa yang kau akan buat?” celah Wan Zaidi pantas. Merenung wajah tampan itu penuh mengharap.
            Zharif terkedu. Matanya bekerdip beberapa saat. “Aku?”
            Wan Zaidi mengangguk bersungguh.
            “Kalau aku...mungkin...” Zharif memerah mindanya, cuba meletakkan diri dalam kasut Wan Zaidi. “Aku akan berdepan dengan Yasmin, berbincang secara baik. Beri peluang pada Yasmin untuk berubah...didik dia dengan ilmu agama...”
            “Kalau Yasmin tak nak berubah?”
             Zharif terdiam, mengumam beberapa ketika. Wajah Wan Zaidi direnung lama. “Kau cintakan Yasmin?”
            Wan Zaidi terkedu. Wajah Zawin muncul di kotak fikiran bersilih wajah Yasmin. Lambat-lambat dia mengangguk.
            “Kalau kau cintakan dia, kalau kau nak dia bersama kau di syurga kelak, kau kena bertegas dalam mendidik dia menjadi muslimah solehah. Kalau dia berdegil, kau harus gunakan kuasa kau sebagai suami. Asing tempat tidur, tinggalkan dia seketika. Kalau dia masih tak nak ikuti suruhan kau, kau layak memukulnya, tapi bukan di wajah. Kalau boleh, elakkan daripada mengangkat tangan pada perempuan. Itu bukan hukuman yang digalakkan dalam islam.”
            Wan Zaidi terdiam lama. Mindanya cuba memproses nasihat yang diberikan Zharif. “Kau...belum berkahwin, tapi macam mana kau boleh keluarkan nasihat yang matang macam tu?”
            Zharif tersenyum nipis. “Al-Quran ada semua jawapan pada semua pemasaalahan manusia. Baca Al-Quran, fahami isinya dan amalkan dalam kehidupan sehari-hari. Insyaallah, sampai bila-bila pun kita tidak akan sesat.”
            Air muka Wan Zaidi berubah mendengar kata-kata itu. Wajah Zawin menerpa kotak fikirannya. Kata-kata itu hampir sama seperti yang pernah diucapkan Zawin padanya. “Kalau aku menyunting Zawin sejak dulu...masalah ini semua...tak akan berlaku kan?”
            Zharif menepuk bahu Wan Zaidi. “Siapa kita hari ini adalah berpaksi pada tindakan masa lalu kita. Manusia sentiasa berdepan dengan pelbagai pilihan. Begitu juga takdir. Takdir itu adalah berpunca daripada pilihan kita di masa lalu. Kau telah memilih Yasmin...dan ini adalah takdir yang terjadi. Kalau kau memilih Zawin...lain pula takdir yang tercipta. Redha la dengan pilihan yang kau pilih. Minta pertolongan ilahi dalam hal ini. Insyaallah...Dia maha mengetahui pilihan yang terbaik dalam hidup seseorang hambaNya.”
            Air mata Wan Zaidi menitis laju mendengar kata-kata itu.
            “Err...maaf kalau aku menyinggung perasaan kau.” Zharif memegang lengan lelaki itu.
            Wan Zaidi menyeka air matanya, menggelengkan kepalanya. “Tak. Aku tak tersinggung. Aku...baru menyedari sesuatu. Perasaan aku. Aku cintakan Zawin lebih daripada perasaan cinta yang ada untuk Yasmin. Aku tahu...semua ini...balasan Allah pada aku kerana menyakiti Zawin...”
            “Jangan kata macam tu...”
            “Aku...sangat rindukan Zawin...” luah Wan Zaidi penuh perasaan.
            Zharif menghela nafas berat. Dia tahu sangat mustahil untuk gadis itu kembali semula pada Wan Zaidi. “Zawin gadis Leo...Wan. Once Leo done with a relationship, there will be no U-turn. Jangan mengharap bulan jatuh ke riba. Apa yang kau ada, itulah harapan kau sekarang.”
            “Kau banyak mengkaji tentang Zawin?” soal Wan Zaidi ingin tahu. Dia menyapu sisa air mata. Terasa sia-sia apabila menyedari air mata yang ditumpahkan gara-gara seorang wanita yang telah banyak memporak peranda kan hidupnya.
            Zharif mengangkat kedua bahunya. Tidak mahu mengulas lebih lanjut.
            “Aku nak ceraikan Yasmin...” ujar Wan Zaidi tiba-tiba. Hatinya yang rapuh sebentar tadi menjadi kuat semula apabila bayangan wajah ibu bapanya kuat menerpa benaknya. Dia tidak mahu lagi menyakiti hati mereka dengan tingkah laku Yasmin.
            “Kau serius?” soal Zharif.
            Wan Zaidi menyisip teh hijau. Hatinya yakin dengan keputusan yang dibuat. “Aku tak sanggup lagi untuk menanggung dosa Yasmin. Tiada peluang kedua untuk dia. Selama perkahwinan aku dengan Yasmin...aku tidak pernah merasa tenang. Ibu bapa aku kerap kali terasa hati. Seperti yang aku pernah kata dulu, Yasmin Yusuf ada ciri-ciri perempuan yang tidak layak dijadikan isteri. Foto-foto ini...” Wan Zaidi meneliti satu persatu gambar-gambar di atas meja. “Akan menjadi bukti yang paling kukuh.”
            Zharif merenung wajah Wan Zaidi. “Kau...tidak mahu mempertimbangkan lagi?”
            Wan Zaidi menggeleng penuh yakin. “Kau tahu kenapa?”
            “Apa dia?”
            “Tujuan Yasmin kahwin dengan aku...semata-mata kerana harta aku,” beritahu Wan Zaidi sambil merenung cincin perkahwinan di jari manisnya. Cincin platinum itu ditanggalkan perlahan-lahan.
             “Bagaimana kau tahu? Kau juga menyiasat tentang Yasmin?” soal Zharif ingin tahu.
            Wan Zaidi pantas menggeleng. Wajah tampan lelaki thai-cina dihadapannya di renung bersungguh. “Kau pasti pernah diuji Zawin dengan soalan-soalan pelik sebelum diterima menjadi kawan. Kan?”
            Zharif mengangguk. “Ya...tapi...apa kaitannya?”
             “Soalan lima situasi...bayi menangis, pintu diketuk, air melimpah, air masak dan telefon berdering. Yasmin memilih menutup air yang melimpah. Kau tahu maksudnya?” uji Wan Zaidi.
            Zharif tersentak. “Memilih pasangan kerana harta...”
            Wan Zaidi mengangguk. “Soalan pelik sebegitu, tanpa kita sedar...berjaya membongkar niat seseorang mendekati kita. Menarik bukan?”
            Zharif tersenyum nipis. “Brilliant hidden question right?”
            Wan Zaidi ketawa kecil. “Yeah .” Gambar-gambar di atas meja itu dimasukkan ke dalam sampul coklat. “Terima kasih Zharif. Apa yang kau nak sebagai balasan?”
             “Doakan kebahagiaan aku,” balas Zharif penuh makna.
            Wan Zaidi tersenyum lebar. “Insyaallah. Lelaki sebaik kau pasti akan menemui kebahagiaan. Aku doakan kau berjaya jumpa ratu dunia berperwatakan ustazah itu.”
            Zharif ketawa kecil. “Amin...”
             “Hai Abang Zharif.”
            Zharif mengerdipkan matanya beberapa kali dengan kehadiran Tengku Azura secara tiba-tiba itu. Melihat penampilan gadis itu, senyuman terukir dibibirnya. “Hai Zura. Assalamuaikum. Lama tak nampak?” sapanya dengan ramah.
            “Waalaikumsalam,” balas Tengku Azura dalam senyuman manis.
            “Tengku Azura?” Wan Zaidi benar-benar terkejut. Hampir-hampir sahaja dia tidak mengenali sepupunya sendiri. Gadis comel itu tampak ayu mengenakan baju kurung Pahang biru laut dipadankan dengan kain songket. Tudung juga daripada rona warna yang sama.  
            Tengku Azura tersenyum nipis. “Sampai hati tak kenal Zura.”
            “Maaf la Zura. Sangat berbeza!” balas Wan Zaididalam rasa kagum.
            Tengku Azura tersenyum segan.
            “Mari duduk,” pelawa Zharif.
            Tengku Azura melabuhkan punggung di sebelah Wan Zaidi, mendepani Zharif. “Zura datang ni...nak minta maaf pada abang. Pertemuan kita yang lalu berakhir dengan cara tidak baik kan? Zura minta maaf sangat.”
            “Tak apa. Abang tak ambil hati pun,” balas Zharif.
            “Terima kasih abang. Zura banyak berfikir tentang nasihat abang sebelum ini. Itu sebab...Zura ambil keputusan untuk jadi muslimah yang baik,” terang Tengku Azura mengenai penghijrahannya itu.
            “Syukur. Semoga Tengku Azura dapat beristiqamah dalam menutup aurat,” ujar Zharif dengan gembira.
            “Amin,” sahut Wan Zaidi.
            “Zura ada permintaan...” Tengku Azura menatap anak mata coklat lelaki dihadapannya. Nada suaranya bertukar serius.
            “Apa dia?” soal Zharif.
            “Zura nak lamar abang Zharif.”
            Wan Zaidi dan Zharif saling berpandangan.







BAB 17

            “Asal dari mana?” soal Zawin ramah. Dia melabuhkan punggung di kerusi kayu dalam bilik sederhana besar itu.
            “Kelate,” balas Zeyra sambil tersenyum nipis. Tangannya cekatan memunggah pakaian dari dalam luggage hitam.
            Zawin menepuk dahinya. Dia terlupa gadis ini sekampung dengan Puteri Nur Deana. “Belajar di mana ni?”
            “Unisel.”
            “Ambil kos apa?”
            “Human resource.”
            “Ooh...bagus tu. Berapa lama lagi belajar ni?”
            “Setahun lagi. Harap lepas grad dapat kerja yang baik. Tak sangka di tahun akhir ni, ada sahaja ujian yang menimpa. Kawan baik Zeyra jadi musuh pula. Rumah tu...dah macam neraka. Rasa panas setiap masa,” cerita Zeyra bersungguh.
            “Biasalah. Ujian dalam berkawan kan?” Zawin tersenyum nipis sambil meneliti wajah gadis Kelatan itu. Kulit putih susu, wajah yang ayu dihiasai dengan lesung pipit di kedua belah pipi. Memang gadis ini nampak manis dipandang. Zawin bangun, membuka pintu almari yang diperbuat daripada kayu jati. “Zeyra boleh guna almari kayu ini. Dulu...bilik ini dihuni kawan baik akak juga. Semuanya...sudah tinggal kenangan. Betul orang tua-tua kata...jangan terlalu baik dengan kawan...kelak pasti akan bergaduh.”
            “Akak pun sama?” soal Zeyra dalam mata membulat.
            Zawin tersenyum kelat. Matanya dilarikan pada gambar gadis itu bersama seorang lelaki didalam frame gambar di atas meja belajar. “Boyfriend?” soalnya sambil mengangkatkan kening.
            Zeyra mengangguk dalam senyuman lebar. “Ya. Namanya Wali. Dia sedang belajar di Sweeden,” terangnya.
            “Kacak orangnya,” puji Zawin.
            “Ya...dia memang kacak. Anak orang berada pula tu. Semua kata...saya bertuah.”
            “Ya...kamu memang bertuah,” ujar Zawin. “Bila dia habis belajar?”
            “Bulan lima nanti dan dia akan terus masuk meminang Zeyra.”
            “Wah...tahniah. Memang kamu bertuah.”
            Zeyra tersenyum segan. “Akak pun bertuah juga kan? Dengar cerita boyfriend akak...seorang doktor?”
“Amboi...banyak buat risikan tentang akak?”
            Zeyra tersengih. “Kak Puteri yang beritahu.”
            Zawin ketawa halus. “Kak Puteri memang. Eh...lama pula kak Puteri keluar beli barang ni.”
            Nada dering Yakinlah aku menjemputmu berbunyi dari dalam tas tangan Zawin. Zawin mencemberutkan bibirnya. Sepanjang malam semalam dia menghubungi jejaka itu, namun langsung tiada jawapan. “Akak minta diri dulu,” ujar Zawin lalu keluar dari bilik itu.
            Hello My kidney...” usik Iskandar di hujung talian.
            “Erm...” sahut Zawin  tidak acuh sambil merebahkan diri di atas sofa ruang tamu.
            “Ma...janganlah marah,” pujuk Iskandar.
            “Bila masa pula ma marah?”
            “Ala kenal sangat dengan ma. Bila marah, tak puas hati, merajuk...boleh detect terus melalui suara tu.”
            “Dah tahu...kenapa tanya lagi?” soal Zawin dalam rasa geram yang membungkit.
            “Sekeh nak? Ok...biar pa cerita ya sayang. Ma tahu masa balik rumah semalam, pa basuh baju dan pa letak telefon dalam peti sejuk masa minum air. Lepas tu pa sambung buat kerja.  Lepas siap buat kerja, pa cari telefon macam kucing hilang anak. Pagi tadi baru tergerak hati nak buka peti sejuk. Baru jumpa telefon. Ingatkan dah rosak. Nasib baik ok lagi. Ma rasa sejuk tak semalam?”
            Zawin menahan tawa mendengar cerita panjang lebar itu. “Aah. Memang sejuk tak terkata. Terasa berada di Antartika,” balasnya dalam nada perlian.
            Iskandar ketawa besar. “Dah...dah...tak mau merajuk lagi. Ma...pa nak tanya pendapat ma ni.”
            “Apa dia?” Zawin tersenyum simpul. Sukar rasanya merajuk panjang dengan lelaki itu. Iskandar akan membawa topik perbualan baru yang membuatkan dia lupa dengan rasa merajuk daripada isu yang lalu.
            “Pa nak bina otot badan la ma.”
            “Ha? Badan pa dah ok kan?”
            “Memang la. Pa tengok badan Zharif masa main boxing dulu...rasa teringin pula nak buat otot macam tu.”
            Zawin ketawa halus. “Untuk apa Pa?”
            “Itu kan lambang maskulin seorang lelaki.”
            “Maskulin? Ya la tu. Nampak macam bodyguard ada lah.”
            “Mana ada,” sangkal Iskandar. “Perempuan kan suka lelaki badan macam Zharif tu. Rasa selamat bila jalan bersama.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Rasa selamat? Kalau pa badan macam Zharif tu...lagi la rasa tak selamat. Dah la mata tu tak reti nak duduk diam bila jalan dengan ma. Hari tu masa beli KFC pun pa boleh main mata dengan girl di kaunter.”
            Iskandar tergelak besar. “Pa suka menguji perempuan la sayang. Hari tu...suka tengok girl tu jadi tak keruan bila kena renung macam tu.”
            “Huh! Bagus sangat la tu. Kalau ma nampak pa buat macam tu lagi, ma merajuk seminggu.”
            “Ya la. Pa tak buat lagi. Sayang jangan la merajuk. Bosan tau hidup tanpa ma.”
            “Bosan konon. Berapa kali ma suruh pa berubah tapi macam mencurahkan air di daun keladi je.”
            “Dah la sayang. Pa janji kan. Pa dalam proses nak berubah.”
            Zawin terdiam. “Najla pernah cakap macam ni. Lelaki gemini selalu kata I'll change and never do it again, tapi maksudnya "I'll flirt a little less and make sure you won't know. Kalau ma tahu pa flirt di belakang ma...pa tahu apa akibatnya nanti.”
            “Pa nak berubah ma. Beri pa peluang. Please...”
            “Erm...hari tu kata nak beli kereta Hyundai warna kuning. Jadi ke?” soal Zawin. Dia sengaja mengubah topik perbualan demi mengelakkan pertengkaran yang berterusan.
            “Mungkin tak.”
            Zawin tergelak. “Dah agak. Pa mesti nak beli yang lebih gah daripada Hyundai.”
            “Bukan macam tu sayang. Hyundai...jenama yang berkualiti tapi susah nak maintain. Hyundai have great quality to compare with lots of other maker. Even better than Toyota and Honda...but the manipulators in the market make their spareparts so hard to obtain...highly inaccessible.”
            Zawin tersengih sendiri. Terkenang perbualan mengenai dunia automobil bersama Zharif dan Fuad. “Lelaki dan kereta memang tak dapat dipisahkan. Habis tu...kereta apa yang pa nak beli?”
            Nissan Fairlady,” balas Iskandar.
            “Mahal tu. Kereta sport. Erm...ikut pa la. Ma ikut saja.”
            “Ma...pa ada kerja ni. Nanti pa call bila free.”
             “Ok pa.”
            “Salam and bye.”
            Zawin meletakkan I-Phone di atas meja kaca. Matanya terbejat pada sejambakbunga mawar berwarna merah di atas meja. Zawin mengeluh kecil.  Pemberibunga mawar ini tidak pernah gagal menghantar bunga pada setiap hari rabu. Dia sudah malas memikirkan gerangan si pemberi bunga. Sekuntumbunga mawar dicapai, dibawa ke hidung. Bau harum menusuk ke dalam rongga hidung. Wajah Zharif melintas dibenak. Cerita Fuad mengenai Zharif yang fobia dengan ketinggian membuka satu lagi sisi watak lelaki tampan itu. Zawin tersenyum lebar. Lelaki berbadan sasa itu harus diajar menjadi lelaki maskulin. I-Phone dicapai, lalu nombor Zharif dicari dalam senarai kenalan.
            “Hello eyes smile princess.”
            Zawin tersengih mendengar kata-kata usikan lelaki itu. “Hello jambu prince.”
            Zharif ketawa besar. “Jambu prince? Apakah itu?”
            Jambu prince atau laki yang comel dan manja,” terang Zawin bersahaja.
            “Amboi...mengutuk Zharif ya? Putera jambu macam ni susah nak jumpa tau,” giat Zharif.
            “Oh...begitu ya. Apa tips untuk menjadi prince Jambu?”
            “Beli jambu 1 kilo dan perah di atas muka. Jadilah Prince Jambu.”
            Zawin menutup mulutnya, mengawal tawa daripada terlepas. “Oh ya ka? Lelaki-lelaki di luar sana harus guna tips ni untuk jadi lelaki jambu.”
            Zharif ketawa galak. “Ya. Tips dari prince jambu terhebat.”
            Zawin mengetap gigi menahan tawa. Dia tidak mahu tawanya terlepas. Jika tidak, Zharif pasti akan menuntut janji yang pernah dibuat dahulu. “Zharif...temankan Zawin hari ahad ni boleh tak?” ajaknya dalam muslihat.
            “Temankan Zawin? Zawin punya pasal, apa sahaja Zharif rela korbankan.”
            Zawin tersenyum lebar. “Oh ya ke? Kalau begitu, jumpa seperti biasa di pusat akuatik. Make sure...pakaian sukan.”
             “Ok. Zawin tahu tak...sebenarnya di malaysia tak ada orang kelantan.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Orang Kelantan? Jangan nak merepek la. Baru sahaja tadi dapat housemate dari Kelantan.”
            “Ek? Berapa ramai housemate Zawin?”
            “Dua sahaja. Kak Puteri dan yang terbaru ni...Zeyra.”
            “Erm...Zeyra tu dari Kelantan ya. Apa pun, berbalik pada cerita tadi tu...sahih tau. Orang Kelantan memang tak ada di Malaysia...yang ada hanya negeri Kelantan dalam perlembagaan,” cerita Zharif bersungguh.
            “Eh, kenapa pula begitu?” Zawin semakin ingin tahu.
            “Sebab... yang ada di Malaysia ni adalah orang Kelate. Cuba tanya pada rakyat Kelantan. Mesti depa cakap ambo ore Kelate.” Zharif ketawa berdekah-dekah usai memberi penjelasan.
            Zawin menarik nafas dalam-dalam, berusaha bersungguh-sungguh menahan tawa. “Oh begitu ya? Makcik baru tahu,” balasnya selamba.
            “Ala...susahnya nak buat eyes smile princess ketawa.”
            “Cuba lagi lain kali. Ok Zharif...Zawin nak mandi ni. Jumpa hari ahad nanti. Salam.” Zawin terus mematikan talian lantas menghamburkan tawa yang meleret-leret. Dia benar-benar geli hati apatah lagi mengenangkan loghat Zeyra sewaktu menyebut negeri asalnya sebentar tadi. Nada mesej berbunyi sekali. Dalam sisa tawa, Zawin membuka mesej kiriman Zharif.
            Dua tiga kucing berlari
            mana nak sama harimau malaya
            dua tiga lawak tak jadi
            Si gadis ada masalah jiwa ya?
            Gelak tawa Zawin semakin menjadi. Akhirnya dia kepenatan sendiri.
            “Ya rabbi...apa yang lawak sangat tu?” tegur Puteri sebaik muncul di depan pintu. Jarang benar dia mendengar gadis itu ketawa besar sebegitu.
            Zawin menggelengkan kepalanya sambil memegang perutnya. “Penat menahan ketawa kak. Ini la natijahnya,” balasnya lalu membetulkan duduk. Melihat beg-beg plastik di tangan wanita yang mengenakan blouse hitam itu, Zawin tersenyum lebar. “Wah...banyak akak memborong.”
            Puteri tersengih. “Malam ni kak Puteri masak special untuk kita bertiga. Dah kenal dengan Zeyra?”
            “Dah. Comel lote orangnya,” balas Zawin.
            “Comel lagi Zawin.” Puteri mengenyetkan mata kirinya lantas berlalu menuju ke arah dapur.
            Zawin ketawa kecil. “Apa sajalah Kak Puteri.” Zawin kembali berbaring di sofa sambil melayari alam maya. Menyedari mesej Nadiah di laman profile Facebook, laju sahaja jari jemari Zawin bergerak di atas skrin I-Phone.
            Salam. Maaf menganggu. Ada seorang gadis yang meletakkan gambar Daniel Iskandar sebagai gambar profile. Nak kenal? Sila cari guna nama Dian Daniel.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Apa tujuan Nadiah? Adakah gadis berkaca mata ini menyimpan rahsia Daniel Iskandar? Siapa pula Dian Daniel? Pesanan Iskandar tergiang-giang  di kotak fikiran, melarangnya daripada mengenali rapat kenalan-kenalannya. Zawin bergelut antara larangan kekasihnya itu dengan perasaan ingin tahu yang menggunung. Haruskah dia patuh...atau...sebaliknya?
********

            “Yasmin...boleh aku tanya kau sesuatu?” soal Wan Zaidi sebaik Yasmin masuk ke dalam bilik. Majalah TIME di tutup dengan tenang sambil bersandar di kepala katil.
            “Erm...tanya esok la. Penat ni,” balas Yasmin dengan malas. Tubuhnya masih penat melalui penerbangan yang panjang. Luggage merah ditarik ke tepi dinding bilik.             
            “Aku nak bincang sekarang!” tegas Wan Zaidi.
            Yasmin terpana. Tidak pernah suaminya menggunakan perkataan aku bila berbicara dengannya. “Kenapa awak ni? Saya kata...saya letih! Faham tak?!” balasnya kasar. Dia menanggalkan pengikat rambut dengan kasar.
            “Siapa teman awak ke London?” soal Wan Zaidi tidak tunggu lagi.
            Yasmin terkedu. Wajah lelaki berkemeja tidur itu direnung tajam. “Mana awak tahu saya ke London? Awak intip saya?” soalnya bertalu-talu, tidak berpuas hati.
            Wan Zaidi tersengih lalu turun daripada katil. Matanya tajam menatap sepasang mata bulat yang pernah menghadirkan getar dalam hatinya. “Saya nak tahu kebenaran. Siapa yang temankan awak di London? Awak kata...awak pergi kursus team building ke Langkawi tapi Zharif beritahu yang nama awak tak ada pun dalam senarai kursus. Ada apa-apa penjelasan?”
            Wajah Yasmin berubah mendadak. Terasa kecut perut melihat pandangan tajam Wan Zaidi. “Saya...err...saya...”
            “Siapa lelaki yang temankan awak di London?” soal Wan Zaidi lagi sambil berpeluk tubuh.
            Yasmin mengetap bibirnya. Lama matanya merenung wajah marah lelaki itu. “Awak dah tahu kan?” soalnya kembali dalam tergagap.
            “Jawab soalan saya! Siapa jantan tak guna tu?” Nada suara Wan Zaidi semakin meninggi.
            “Zamri,” jawab Yasmin dalam terpaksa.
            Wan Zaidi tersengih sinis. “Jadi...ada apa-apa yang awak nak cerita?”
            Yasmin menggeleng. “Dia hanya temankan saya...”
            “Termasuk jadi teman tidur?” celah Wan Zaidi pantas.
            Yasmin tersentak. “A...apa yang awak cakap ni?” soalnya sedikit gugup. 
            Wan Zaidi memincing pandangan. Dia mengambil sampul coklat di atas meja solek, lalu mencampakkan di atas lantai. Beberapa keping foto terkeluar daripada sampul.
            Mata Yasmin membulat luas sebaik matanya menangkap aksi ranjangnya bersama Zamri dalam foto-foto itu. Lututnya terasa lembik. Dia terduduk di atas lantai. Tangannya membelek-belek pantas foto-foto yang ditarik keluar dari sampul coklat itu.
            “Awak benar-benar buat saya kecewa,” luah Wan Zaidi sambil menarik nafas dalam-dalam. Hatinya benar-benar sudah hancur luluh. Rasa cinta yang ada turut dibawa pergi entah kemana.   
            Air mata Yasmin menitis. Laju sahaja Yasmin mengesot lalu memeluk kaki suaminya. “Abang...maafkanlah Min...” rayunya bersulam tangisan.
            Wan Zaidi memejamkan matanya. Menarik nafas dalam-dalam sebelum membuka mata semula. “Yasmin...mengahwini kau adalah kesilapan terbesar yang pernah aku lakukan dalam hidup ini.”
            “Jangan cakap macam tu. Min minta maaf. Maafkanlah Min untuk kali ini...tolonglah abang,” rayu Yasmin dalam raungan kuat.
            “Ada apa ni?” Datin Zainab menyerbu masuk apabila terdengar bunyi bising dari dalam bilik anak lelakinya itu. Melihat Yasmin memeluk kaki anaknya dalam tangisan bersulam raungan, Datin Zainab mengerdipkan mata beberapa kali. Matanya menangkap foto-foto yang berselerakan di atas lantai. Mulutnya terlopong, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
            Wan Zaidi berpaling pada wajah terkejut ibunya kemudian menatap wajah basah Yasmin yang tidak jemu merayu, menghafap kemaafan daripadanya. Wan Zaidi tahu dia perlu tegas menyuarakan keputusan yang telah dibuat. Perlahan tangan kanannya menyentuh kepala Yasmin. “Yasmin Yusuf...bersaksikan mama...saya ceraikan awak dengan talak satu.”
            Yasmin serta merta berhenti menangis. Dia bangun mendadak, mengesat air mata lalu tersengih sinis. “Kau ingat aku kebulur sangat nak berlaki kan kau! See you in court!” ujarnya garang. Yasmin mencapai barang-barang peribadi, menarik luggage merah lalu menapak keluar seiring jelingan tajam kepada Datin Zainab yang masih berdiri di muka pintu bilik.
            Wan Zaidi tidak terkejut dengan tindakan wanita itu. Dia telah lama bersedia dan dia benar-benar lega Yasmin telah keluar dari hidupnya.
            Datin Zainab mendekati Wan Zaidi lalu memeluk anak tunggalnya itu. Air matanya mengalir lesu. “Semua ini berpunca daripada mama. Maafkan mama.”
            “Mama...jangan salahkan diri. Anggap sahaja semua ini takdir. ,” pujuk Wan Zaidi.
            “Mama rasa bersalah.” Datin Zainab mengesat air mata di pipi, meleraikan pelukan lalu menatap wajah tenang anaknya. “Esok...temankan mama boleh?” pintanya.
            Wan Zaidi mengangguk.
            “Mama nak minta maaf pada Zawin. Mama nak pulangkan Zawin balik pada Wan,” jelas Datin Zainab mengenai hasratnya.
            “Hah?!”    
********
            “Habis tu...apa keputusan kau?” Fuad menatap wajah Zharif. Dia tidak jadi mengambil sabun cecair lantas menahan troli yang disorong Zharif.
            “Aku tolak secara baik. Cinta bukan boleh dipaksa,” balas Zharif.
            “Macam mana penerimaan Zura?” soal Fuad ingin tahu. Dia sudah dapat menjangka gadis berdarah kerabat itu akan menawarkan cinta pada sahabatnya.
            Zharif terdiam, merenung isi troli yang penuh dengan barang-barang keperluan harian. “Dia menangis. Aku memang kasihan...tapi kalau aku terima dia atas dasar kasihan, tiada keikhlasan di situ dan tentunya aku tak akan bahagia. Di hujungnya, kedua pihak akan menderita.”
            Fuad menggelengkan kepalanya. “Aku tak rasa Zura ikhlas menutup aurat. Dia buat semua itu kerana kau semata,” komennya seraya menarik sabun pencuci jenama kegemarannya dari rak lalu diletakkan ke dalam trolinya.
            Zharif tersengih. “Jangan kata begitu. Doakan dia istiqamah menutup aurat, bukan dengan mempertikaikan perubahan dia. Dia ikhlas atau tidak...hanya ALLAH sahaja yang layak menilai.” Zharif menolak troli menuju ke rak pencuci lantai.
            Fuad mengekori Zharif. “Kau pasti...Tengku Azura terima penolakan kau dengan baik?”
Zharif mencemberutkan bibirnya. “Hopefully, dia terima dengan baik. Hari tu...aku tinggalkan Zura pada Wan Zaidi.  Aku rimas dengan sesi pujuk memujuk ni.” Zharif mengambil pencuci lantai bauan lavender di rak paling atas. Wajah Wan Zaidi muncul di botol itu. Hatinya tertanya-tanya status hubungan Wan Zaidi dan Yasmin.
            “Apa kau renung tu?” tegur Fuad dalam hairan.
            Zharif tersedar daripada lamunannya. Bibirnya menguntum senyuman segan. “Tak ada apa lah,” balasnya lalu meletakkan botol pencuci lantai itu ke dalam troli.
            “Kau tahu...Wan Zaidi dan Yasmin dah bercerai,” beritahu Fuad dalam suara separuh berbisik.
            “Ooh...ya ke?” Zharif menganggukkan kepalanya. Wan Zaidi ternyata tidak main-main dengan keputusannya untuk bercerai.
            “Kau...macam tak terkejut pun...atau...kau dah tahu?” Pandangan Fuad penuh risikan ke wajah Zharif.
            Zharif ketawa kecil. “Aku terkejut tapi aku memang sudah menjangkakan sebab  sebelum itu Wan Zaidi pernah memberitahu hubungan mereka sudah retak menanti belah. Tidak sangka pula mereka bercerai secepat ini. Tak sampai setahun pun tempoh perkahwinan mereka,” jelasnya  bersahaja. Rahsia bersama Wan Zaidi biarlah tersimpan kemas dalam lipatan hidupnya.
Fuad mengangguk. “Kahwin cerai dah jadi trend pula dikalangan generasi muda. Ingatkan dunia hiburan sahaja yang kerap berlaku, tapi tak sangka pula masyarakat kita pun sama naik,” komennya.
            “Dunia akhir zaman,” balas Zharif ringkas. “Eh...aku nak pergi ke rak hujung sana,” beritahu Zharif apabila teringat pada shower cream kegemarannya.
            “Ok. Aku cari barang dalam kawasan ini saja,” sahut Fuad.
            Zharif terus menolak troli sambil matanya menyeluruhi setiap sudut pasaraya terbesar di Malaysia itu. Pandangannya terbejat dengan kelibat dua insan yang dikenalinya. Masing-masing mengenakan pakaian warna oren sedondon. Zharif menggelengkan kepalanya apabila melihat Iskandar memicit pipi dan hidung Zawin. Dia kerap melihat jejaka itu berbuat demikian dan Zawin seakan merelakan. Zharif sudah berkira-kira untuk melangkah ke arah mereka. Sudah lama dia tidak bertemu dengan doktor perubatan itu. Belum sempat dia menyapa, Iskandar tergesa-gesa keluar daripada pasaraya itu.
            “Assalamualaikum eyes smile princess,” tegur satu suara di belakang.
            Zawin lekas berpaling. Shower cream yang baru diambil di rak paling bawah dipeluk menggunakan tangan kiri. “Wassalam. Eh...Zharif. Buat apa di sini?” balasnya dengan teruja. Lelaki itu kelihatan tampan dengan kemeja oren dipadankan dengan tali leher putih.
            “Nak jual jambu,” balas Zharif sambil mengangkat keningnya.
            Zawin tersengih. “Oo...terlupa...jambu prince, right?” giatnya.
            “Banyak memborong?” tegur Zharif ramah seraya merenung wajah Zawin. Matahari telah terbenam tetapi wajah gadis ini kelihatan berseri-seri seperti mentari terbit.
            “Biasa sahaja. Barang-barang keperluan banyak dah habis,” jawab Zawin. “Tadi Is ada ikut sekali. Dia dah pergi. On call,” ceritanya lagi sambil meletakkan shower cream ke dalam troli.
            Zharif mengangguk tanda faham. Dia meneliti pakaian gadis itu dalam diam. Tudung jingga berbelang putih dipadankan dengan kemeja jingga berjalur panjang bersama seluar slack putih.  Sopan dan nampak manis sekali. “Warna oren pula ya?” tegurnya.
            Zawin tersenyum meleret. “Hari khamis kan? Samada kuning atau oren. Zharif pun nampak oren hari ini,” usiknya pula.
            Zharif tersenyum meleret. Matanya menangkap shower cream didalam troli Zawin. “Sunflower? Shower cream tu untuk Zawin ke atau housemate?” soalnya teruja.
            Zawin menjatuhkan pandangannya dalam troli. “Tentulah untuk Zawin. Shower cream ni campuran Sunflower dan yogurt. Wangi dan melembutkan kulit badan.”
            “Wah...” Mata Zharif bersinar gembira. “Kita banyak persamaan kan. Ini jenama kegemaran Zharif sejak dulu lagi,” beritahunya pula sambil menunduk, mencapai shower cream tersebut di bahagian rak paling bawah.
            “Ya?” Zawin benar-benar teruja. Dalam senyuman nakal, Zawin bersuara. “Agaknya kita kembar yang terpisah masa kecil tak?”
            Zharif ketawa besar dengan kata-kata itu. “Kan? Kalau lihat pada dagu kita...memang ada iras,” giatnya pula.
            “Itu lah. Kita kan berasal dari utara. Zharif dari Kedah, Zawin pula dari Perak. Erm...siapa ya ahli sihir jahat yang pisahkan kita sejak kecil?” Zawin menggosok dagunya dalam riak wajah dibuat-buat serius.
            Zharif sudah ketawa berdekah-dekah. “Zawin! Stop it. Tak larat nak gelak dah ni.”
            Zawin menahan tawa. “Ok. Zawin nak ke kaunter ni. Zharif dah habis shopping?”
            “Dah. Marilah.”
            Mereka bersama-sama menolak troli ke arah kaunter pembayaran.
            “Hai Zawin.”
            Zawin berpaling ke belakang. Bibirnya menguntum senyuman manis. “Hai Fuad. Datang dengan Zharif ya?” sapanya pada lelaki berkaca mata itu.
            Fuad tersengih nakal. “Biasalah. Kami kan gay,” sahutnya selamba.
            I heard that.” Zharif mengunjukkan buku limanya ke arah Fuad.
            Zawin menutup mulut, mengawal tawa. “Fuad pun oren juga hari ini ya?”
            Fuad tersengih sambil meneliti kemeja oren di tubuhnya. “Memang terapi warna yang berkesan.” Telefon bimbit Fuad berbunyi. “Wait a minute,” pesannya pada Zawin. Fuad terus menjawab panggilan itu. 
            Zawin berpaling semula ke hadapan. Dia mengerutkan keningnya melihat pergerakan jari jemari Zharif sewaktu gadis cina di kaunter sedang mengimbas barang-barangnya. Seakan ada kalkulator dihadapan Zharif.
            “Dua ratus enam puluh tujuh,” getus Zharif sebelum sempat barang-barangnya itu habis diimbas.
            Zawin membulatkan matanya sebaik melihat jumlah yang tertera di mesin wang sama dengan kiraan lelaki itu. Wah...brilliant! Hatinya memuji. Zawin merenung wajah Zharif dari sisi kiri. Lelaki ini memang punya pesona dan karisma tersendiri. Dia menyedari gadis cina di kaunter mengerling Zharif berulang kali tetapi lelaki itu sedikit pun tidak mengambil pusing. Sungguh berbeza dengan sikap Iskandar. Zawin memunggah barang-barang dari dalam troli. Mindanya melayang pada mesej yang dihantar Nadiah kelmarin. Harus kah aku mencari pemilik nama Dian Daniel? Tapi jika aku berbuat begitu, aku sudah melanggar janji pada Iskandar. Hatinya berperang sendiri.
            “Cik...dua ratus dua puluh lapan sen.”
            Lamunan Zawin terhenti. Cekatan dia menarik keluar empat keping wang kertas lima puluh ringgit lalu dihulurkan pada gadis cina dihadapannya.
*******
            “Orang tua tu tak faham ke?” Puteri melampiaskan rasa marahnya usai Datin Zainab pergi. Permintaan wanita anggun lewat 50-an itu sungguh tidak masuk akal. “Dia ingat Zawin Az-Zahra sebuah boneka ke?” Puteri mencapai gelas berisi teh bunga matahari di atas meja lalu menghirup rakus.
            Zawin hanya membatu. Tidak mahu mengulas lanjut. Dia berharap wanita kaya itu tidak lagi membuat permintaan sedemikian. Dia simpati melihat wajah kecewa seorang ibu namun dia harus bertegas kerana hatinya bukan untuk Wan Zaidi. “Dah la kak Puteri. Anggap sahaja semua ini tidak pernah berlaku. Erm...mana Zeyra?” soalnya cuba mengalihkan topik perbualan.
Puteri merenung wajah tenang gadis itu. Zawin seperti tidak tergoyah dengan berita perpisahan Wan Zaidi dengan Yasmin. “Zawin tak risau ke bila Yasmin dah solo ni?”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Risau? Untuk apa?”
            “Ya lah. Mana la tahu dia ada niat nak dapatkan Daniel Iskandar pula.”
            Zawin menggeleng penuh yakin. “Yasmin sedang memburu Zharif...bukan Iskandar.”
            Puteri terkejut mendengar kata-kata itu. “Zawin tahu daripada siapa?”
            “Yasmin yang beritahu semasa makan malam di rumah Wan Zaidi dulu,” beritahu Zawin. Majalah Rapi dicapai, diselak secara rawak.
            “Zharif ya? Si hensem tapi tak gila tu kan?” teka Puteri dalam kenyitan mata.
            Zawin tergelak. “Betul lah tu.”
            “Zharif tu...orang berada ke?” soal Puteri ingin tahu.
            Zawin mengangguk lagi. Dia tergelak halus sebaik membaca cerita lawak di ruangan ketawa ubat paling mujarab.
            “Erm...padanlah Yasmin buru Zharif. Orangnya pun memang tampan. Rasanya Yasmin tak akan berjaya dapatkan Zharif.”
            Zawin terus menutup majalah ditangan lalu menatap wajah Puteri. “Kenapa kak Puteri cakap macam tu?”
            Puteri mengangkat bahunya. “Entah lah. Masa akak tengok muka Zharif, rasa tenang je. Air muka lelaki baik. Rasanya, dia lelaki yang tak akan mudah ditundukkan oleh perempuan macam Yasmin,” ujarnya dengan yakin.
            Zawin tersenyum penuh makna. Ya...memang benar. Yasmin gagal dalam menawan hati lelaki bernama Zharif Zahir.
            Zeyra muncul di pintu rumah dalam wajah cemas. “Kak Puteri, nak pinjam tudung,” pintanya dalam nafas yang tidak teratur.
            “Ambil je la dalam bilik akak,” balas Puteri memberi kebenaran.
            Zeyra berlari masuk ke dalam bilik kecil di sebelah biliknya.
            “Tudung?” Zawin memandang wajah Puteri. Gadis comel itu tidak pernah dilihatnya mengenakan tudung.
            Puteri berdehem perlahan. “Kita tengok saja. Lambat laun kita tahu juga.”
            “Ok tak ni?” Zeyra meminta pendapat setelah menyarungkan tudung biru turqoise dipadankan dengan baju kurung Johor berwarna biru gelap.
            Puteri dan Zawin serentak mengangguk.
            Bunyi loceng rumah kedengaran nyaring.
            Zeyra pantas membuka pintu yang sengaja tidak dikunci grill. Dia tersenyum lebar sebaik menatap wajah kedua orang tuanya lantas menyalami mereka. ”Mari masuk,” ajaknya.
            Puteri dan Zawin pantas bangun, turut menyalami dan bertegur sapa dengan ibu bapa Zeyra.
            Zawin tersenyum hambar setelah memahami perubahan gadis Kelantan itu. Dia menggelengkan kepalanya sambil merenung simpati pada wajah kedua warga veteran itu. Pasti mereka kecewa jika melihat anak bongsu kesayangan mereka tidak bertudung di luar. Wajah Tengku Azura menerpa dibenak. Gadis lincah itu mengejutkannya apabila hadir ke kelas dengan mengenakan tudung. Jika benar gadis itu diterpa hidayah ilahi, dia mendoakan hidayah itu juga diberikan kepada gadis bernama Zeyra.
            Rasa bosan mula menerpa apabila kurang memahami loghat Kelantan dalam perbualan mereka lantas meminta diri untuk menyambung kerja didalam bilik. Dia perlu menyudahkan semakan kertas-kertas peperiksaan pertengahan semester dalam hari cuti untuk memasukkan markah dalam Excel secepat mungkin. Zawin bekerja dengan tekun sehingga azan Asar kedengaran dari masjid berdekatan. Zawin berhenti menyemak kertas lalu mengurut tengkuk yang terasa lenguh. Kepalanya disandarkan pada kepala kerusi sambil memejam mata. Bayang Datin Zainab dan Wan Zaidi bersilih ganti memenuhi benaknya. Dia benar-benar telah memaafkan kedua insan itu namun tidak mungkin dia akan kembali semula menyulam kasih bersama Wan Zaidi.
            Bunyi nada mesej membuatkan Zawin kembali membuka matanya. Melihat nama my love tertera di skrin telefon, cekatan tangannya membuka peti mesej.   
            Sayang. On Facebook kejap.
            Zawin cekatan menghidupkan Macbook Pro lantas membuka laman sosial Facebook. Satu kotak bual muncul di ruang bawah.
            Gemleo : Buat apa?
            Zawin : Buat pandai
            Gemleo : Memang dah pandai pun. Nak kena pulas telinga? Ma buat apa? Pa takut menganggu pula.
            Zawin : Tak ganggu. Sedang berehat. Penat semak paper student.
            Gemleo : Jangan lupa makan ya. Ma masih period?
            Zawin : Ya. Pa ok tak ni?
            Gemleo : Erm...tak sangat. Tadi...pa uruskan mangsa lemas. Jatuh dalam tali air. Ibu mengandung. Pa cuba selamatkan baby dalam perut, tapi gagal. Sedih sangat ni.
            Zawin :  Innalillah. Pa teringat pada abang-abang pa kan?
            Gemleo : Ya. Pa fikir nak tengok laut je sekarang.
            Zawin : Itu bukan terapi yang baik. Nanti pa lagi sedih.
            Gemleo : Entah lah ma. Pa rasa nak menangis di laut. Tengok laut je, buat pa ingat kes dulu. Nak jerit kuat-kuat ‘ombak jahat!!’.
            Zawin : Ma faham. Tapi itu takdir kan? Bukan salah ombak.
            Gemleo : Depan mata...abang-abang pa ditarik ombak.  
            Zawin : Pa...jangan begini. Jangan bersedih.
            Gemleo : Ma...pa pergi laut sekejap lagi ya? Nak sentuh buih-buih di tepian pantai. If pa tak balik untuk jangka masa yang lama, ma jgn menangis ek.
            Zawin : Pa nak tinggalkan ma?
            Gemleo : Bukan la sayang. Sayang fikir apa?
            Zawin: Ya la. Ma fikir pa nak terjun laut, hidup dengan duyung.
            Gemleo : Hahahahaha...ada-ada saja ma ni. Ok sayang. Pa ada kerja ni. Salam and bye
            Zawin : Ok
            Zawin tersenyum bahagia sambil meraup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Tekaknya terasa haus. Menyedari bekalan air mineral telah habis, Zawin bangun, berniat mengambil air masak di dapur. Namun satu kotak sembang muncul di laman Facebook membatutkan hasratnya. Zawin kembali melabuhkan punggung di atas kerusi.
            Nadiah : Salam. Hai. Dah tengok profile Dian Daniel?
            Zawin : Wassalam.  Maaf. Saya tak berminat. Siapa pun Daniel Iskandar, saya terima dia seadanya. Saya tak nak tahu masa lalu dia.
            Nadiah : Maaf. Saya tak berniat nak memecahbelahkan hubungan kalian. Saya cuma ingin menunjukkan yang Is memang ramai peminat. Dr. Dian Daniel adalah salah seorang. Harap awak tak terkejut kalau dapat tahu nanti.
            Zawin : Is...memang ramai peminat sejak zaman sekolah. Saya memang dah terbiasa.
            Nadiah : Erm...bagus lah begitu. Kalau awak ada apa-apa nak tanya saya in case...saya akan tinggalkan nombor telefon dalam mesej. Saya bertugas di HKL. Kalau ada masa...kita boleh jumpa.
            Zawin : Ok. Erm...boleh saya tahu kenapa awak buat semua ini wahai Dr.Nadiah.
            Nadiah : Saya...hanya nak kenal awak. Mulanya memang saya cemburu sangat, tetapi setelah mengenali awak...saya jatuh suka. Tak hairanlah awak jadi juara carta hati Dr. Daniel Iskandar sejak dulu. Sebab itu...saya nak lindungi awak daripada terluka.
            Zawin : Jangan bimbang. Saya tahu jaga diri saya. Terima kasih kerana ingatkan saya.
            Nadiah : Tak apa. Ok. Saya pun nak beransur ni. Salam.
            Zawin termenung panjang. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan Nadiah mengenai pemilik nama Dian Daniel? Hatinya kuat meronta-ronta untuk mengenali pemilik nama itu. Dia sudah tidak peduli pada janji dengan Iskandar lagi. Laju sahaja jari jemarinya menaip nama Dian Daniel di ruang carian. Terdapat beberapa nama yang sama disenaraikan, namun pada saat matanya menangkap gambar Daniel Iskandar, dia tahu itu profile Dian Daniel yang dimaksudkan Nadiah. Zawin mengeluh sebaik menyedari profile itu tidak dapat di akses. Dalam rasa bengang, dia menekan butang friend request. Beralih pada laman Facebook, Zawin meluahkan rasa hatinya di ruang status.
            Ex-gilfriend si dia mencariku. Aku tidak mahu dibebankan dengan perasaan serba salah ini.
            Zawin menyambung kerja yang tergendala lalu menghabiskan semakan kertas-kertas peperiksaan yang masih berbaki. Dia menghembus nafas lega usai menyudahkan kertas terakhir. Tumpuannya seratus peratus diberikan semasa memasukkan markah dalam microsoft excel.  Kertas-kertas yang telah disemak, dimasukkan dalam sampul perang lalu diikat dengan kertas putih bertulis kod kursus. Berpaling pada jam di atas meja tulis,  Zawin menghembus nafas dalam-dalam. Sudah hampir pukul enam setengah petang. Zawin bangun, meregangkan tubuhnya yang terasa kejang. Nada dering teman sejati berbunyi dari I-Phone. Dia tahu pemanggil itu adalah Najla. Cekatan Zawin menyambut panggilan itu.
            “Zawin...apa yang terjadi?” soal Najla di hujung talian.
            Zawin mengerutkan keningnya, tidak tahu apa-apa. “Terjadi apa?” soalnya semula.
            “Cuba tengok status kau di Facebook.”
            Zawin tergesa-gesa menekan butang maximize yang sengaja di minimize sewaktu membuat kerja sebentar tadi. Meneliti komen-komen pada status yang baru di post, dia terduduk dalam rasa terkejut amat. Komen Dian Daniel membuatkan dia terpana.
            Siapa Daniel Iskandar dalam hidup awak?
            Zawin menelan liurnya beberapa kali. Dia tidak tahu mengapa hatinya bergalau resah dan seluruh tubuhnya menjadi seram sejuk. Dalam kepayahan mengawal emosi, Zawin membaca komen-komen lain di status itu. Rata-rata rakan zaman sekolah membalas komen itu dengan jawapan menyebelahi pihaknya. Najla turut memberi komen sinis kepada Dian Daniel. Dia tidak menyangka, kerana status seringkas itu boleh menjadi bahan perdebatan ramai kenalan. Komen Umi Fadhillah paling merentap jiwanya.
            Ada apa ni Zawin? Sejak tadi aku tersengih membaca semua komen. Daniel Iskandar jadi bahan rebutan pula ya?
            Zawin memejam matanya rapat-rapat. Buku limanya digenggam erat. Terasa sakit di perut berpindah ke jiwa. Emosinya yang tidak stabil, semakin menjadi libang libung. Dalam rasa geram berbaur malu, dia memadam status itu. Mujurlah senarai kenalan yang ada tiada kalangan para pelajarnya. Jika tidak, perdebatan itu pasti jadi isu besar. Zawin menghela nafas dalam-dalam. Melihat satu kotak bual muncul di ruang bawah, Zawin terpana. Dia baru menyedari pemilik nama itu telah menerima friend request.
            Dian Daniel : Saya nak tahu daripada awak. Siapa Mohd Daniel Iskandar bin Mohd Izham dalam hidup awak? Urgent! Please reply ASAP.









 BAB 18

            Ma...jangan lah begini. Dah seminggu ma merajuk. Dian adalah kawan sekerja pa. Dia salah seorang pesakit pa juga. Tolonglah ma. Bagi pa terangkan segalanya. Ma...angkatlah panggilan. Pa nak dengar suara ma.
            Zawin mencebirkan bibirnya. I-Phone dimasukkan semula ke dalam tas tangan usai membaca mesej Iskandar. Nada dering Yakinlah aku menjemputmu berbunyi berulang kali. Zawin tidak ambil peduli. Dia terus menikmati makanan jepun yang terhidang dihadapannya.
            Najla menghirup sup miso sambil meneliti wajah muram rakannya itu. “Kau tak nak angkat?”
            Zawin menggeleng. Dia terus menerus memasukkan sushi ikan salmon ke dalam mulut. Lidah yang terasa kebas kerana terlebih mengambil wasabi tidak diendahkannya. Pipinya cembung, mengunyah perlahan-lahan.
            Najla berpeluk tubuh. Mangkuk sup ditolak ke tengah meja. Apa yang kau tahu dari Dian?” soalnya cuba mengorek rahsia. Wajah rakannya itu direnung lama.
            Zawin terdiam. Mulutnya terus mengunyah sambil menghirup sup miso. “Dian cakap...mereka couple sejak zaman belajar dulu,” ujarnya dalam suara perlahan.
            “Takkan lah...” Najla dilanda kejutan. “Bukan ke...”
            “Nadiah?” potong Zawin.
            Najla mengangguk bersungguh. “Siapa yang betul?”
            “Dua-dua.”
            Najla membulatkan matanya. “Biar betul?”
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. “Nadiah secara kontrak, Dian pula...” Zawin terdiam sebelum menyambung. “Kekasih Is. Mereka memang dikenali sebagai pasangan popular semasa belajar dulu. Dia juga tahu...Is ada hubungan dengan Nadiah dan beberapa gadis lain. Kau nak tahu apa yang buat aku kecewa?”
Najla mengangguk.
            “Is beritahu Dian yang Zawin Az-Zahra adalah kisah masa lalu.”
            He did not?” Najla menutup mulutnya.
            “Dian kata juga yang dia dah putuskan hubungan dengan Is. Is pujuk pun dia dah tak nak kembali lagi. Dian beritahu juga yang Is tak nak hubungan depa dipaparkan di Facebook. Baru aku faham kenapa Is pun tolak  relationship request aku. Rupanya...perempuan...keliling pinggang.” Zawin kembali menghirup sup miso.
            Najla menghela nafas. “Gemini guy memang begitu...lebih-lebih lagi yang ada rupa,” ujarnya sambil menggelengkan kepalanya. “Habis tu...apa rancangan kau sekarang?”
            Zawin mengangkat kedua belah bahunya. Nada dering yang sama masih kedengaran dari tas tangannya. “Kau rasa...apa aku patut buat?Kau nak aku berpisah dengan Is?” soal Zawin.
            Najla menggeleng. “Aku tahu...kau sayang sangat pada Is. Mustahil kau inginkan perpisahan bukan? Pada pendapat aku, erm...lelaki playboy macam tu perlu diajar.”
            Zawin terdiam. Mindanya cuba mencerna saranan Najla. “Macam mana?”
            Najla tersenyum penuh makna. Senyumannya semakin melebar sebaik melihat kelibat
Zharif yang baru sahaja masuk ke dalam restoren jepun itu. “Serahkan pada aku. Kau hanya ikut rancangan aku,” balasnya dalam sinar mata penuh licik.
            Zawin mengerutkan keningnya. Tidak dapat menangkap rancangan yang bakal dilakukan Najla.
*******
            “Aku tak ganggu kau ke?” soal Najla sambil matanya menyeluruhi kantin hospital. Beberapa orang doktor juga turut menikmati makan tengahari di situ.
Iskandar menggeleng lalu menghirup kopi. “Tak. Sekarang memang masa rehat. Petang nanti ada pembedahan lagi. Kandungan kau sihat?”
            “Alhamdulillah. Dr.Harlina kata keadaan kandungan nampak ok. Aku perlu ambil makanan berkhasiat dan elakkan mengangkat benda-benda berat,” terang Najla. 
            Iskandar mengangguk. “Baguslah begitu. Zawin...err...ada beritahu apa-apa pada kau?” soalnya serius. Dia kenal sikap Najla. Jika dia ada masalah dengan Zawin, Najla yang akan menjadi orang tengah, berusaha untuk mendamaikan hubungan yang keruh.
            Najla tersenyum penuh makna. “Aku datang sini...nak beritahu kau sesuatu,” jelasnya sambil menghirup kopi o.
            “Apa?”
            “Kau kenal Zharif?”
            “Ya,” sahut Iskandar. “Zawin pernah temukan kami,” lanjutnya lagi.
            “Apa pendapat kau tentang Zharif?” soal lagi Najla.
            Iskandar terdiam. Wajah tenang Najla dipandang lama. “Dia lelaki yang baik.”
            “Lagi?” soal Najla sambil meneliti wajah kacak itu. Doktor perubatan dihadapannya ini memang segak dalam kemeja belang ungu. Jubah putih di luar kemeja, memberikan nilai tambah untuk membuatkan para gadis dan wanita terpikat.
            “Zharif...ada ciri-ciri lelaki idaman perempuan,” ulas Iskandar lambat-lambat.
            “Aku rasa kau perlu bimbang tentang hubungan Zharif dengan Zawin,” jerat Najla.
            “Kenapa?”
            Najla menyatukan kesemua jari jemarinya, merenung wajah kacak itu dalam riak serius. “Zawin Az-Zahra lebih banyak menyebut nama Zharif Zahir berbanding nama Danial Iskandar. Tidakkah itu tanda yang kau harus berjaga-jaga?” giatnya cuba memancing sangsi. Dia tidak mereka cerita tetapi menurut penelitiannya, nama Zharif lebih banyak bermain dibibir sahabatnya itu berbanding lelaki dihadapannya ini. 
            Mata Iskandar membulat. “Hah? Aku tak percaya. Zawin...tak pernah bermain mata dengan lelaki lain walaupun dibelakang aku...”
            Hampir saja Najla mencebirkan bibirnya. Kau main mata dengan perempuan lain dibekalang Zawin...tak apa pula? Ngomel hatinya. “Kau percaya? Zharif tu...lelaki yang hot dan paling penting masih single and available. Mustahil Zawin tak terpikat kan?” Najla masih cuba menyalur sangsi lelaki dihadapannya.
            Iskandar berfikir sambil menghirup kopi sehingga kering. Memang benar kata Najla. Zharif adalah pesaing yang hebat. Tidak mustahil hati Zawin akan beralih arah. Riak wajahnya bertukar gusar. “Habis tu...kau nak aku buat apa?” soalnya meminta pendapat.
Najla tersenyum nipis. Lelaki ini telah memasuki perangkapnya. “Esok kau cuti, kan?”       Iskandar mengangguk.
            “Kalau...” Najla menghentikan bicara apabila seorang gadis berjubah putih mendekati meja mereka dalam riak kurang senang. Dia mengenali wajah itu. Rambut hitam lurus paras bahu, bentuk wajah bulat, berkulit kuning langsat dan tubuh agak berisi.
            “Siapa pula perempuan ni? Ramai sungguh ya skandal Dr.Daniel Iskandar,” soal Dian sinis. Wanita bertudung coklat cair itu dijeling sekilas.
            “Dr.Dian...jangan bawa hal peribadi di tempat kerja,” tegur Iskandar kurang senang.
            Najla pantas bangun mendepani gadis berbaju kurung hijau tua itu. “Hello miss...saya kawan sekolah Dr.Daniel. I’m married and now i’m pregnant. Jangan main serbu tak pakai helmet,” sindirnya kembali.
            Dian mengetap bibir, menahan sakit hati. Perlahan wajahnya didekatkan pada wajah wanita yang mengenakan baju kurung moden warna coklat emas. “Staff di sini panggil saya Dr. Dian. Not miss.”
            Oh really? In my campus, my students call me madam Najla. Not perempuan,” balas        Najla kembali bersulam senyuman mengejek.
            I’m not your student.” Dian mengangkat keningnya.
            And i’m not your patient.” Najla tersengih sinis. 
            Whatever.” Dian berlalu bersama jelingan tajamnya.
            Iskandar mengenggam buku limanya. Dia terpaksa menahan sabar, membiarkan Dian terus menerus menyindir dirinya. Ini harga yang perlu dibayarnya.
            “Berlagak!” getus Najla bersulam rasa geram.
            “Maaf Najla. Dian tu...”
            “Aku tak nak tahu,” potong Najla bersahaja.
            “Ok,” balas Iskandar dalam serba salah.
            “Kalau kau lapang esok, aku nak ajak kau ke satu tempat,” ujar Najla.
            Sure.”
            “Kalau macam tu...jangan lupa esok. Aku akan mesej nama tempat tu.” Najla mencapai tas tangan di atas meja. Berpaling ke arah Iskandar, Najla melebarkan senyuman. “Tak sabar tunggu esok. Assalamualaikum.”
********
             “Ciri-ciri kelahiran oktober. Suka berbual?” Puteri ketawa kecil usia membaca kertas yang diberikan Zawin mengenai bulan-bulan kelahiran.
            Zawin ketawa kecil. “Memang pun kak Puteri suka berbual,” giatnya.
            “Tu la. Banyak sangat yang betul. Ini kajian Dr.Fadzilah Kamsah ya?”
            “Ya. Kajian yang mengambil masa lebih daripada 25 tahun. Lama kan?” Zawin memberitahu.
            “Wahh...satu ilmu yang bagus kan? Dr. Fadzilah buat kajian ni daripada pemerhatian sahaja kah?” soal Puteri ingin tahu.
            Zawin tersenyum. “Mungkin pemerhatian dan juga diambil daripada dapatan kajian astrologer barat. Sebenarnya, banyak lagi kajian yang mengkaji tentang tarikh lahir. Salah satunya, hasil kajian daripada astrologer yang memberikan dapatan kajian yang agak mengejutkan. Orang melayu paling ramai lahir pada bulan oktober, orang india pada bulan Mei, orang Inggeris pada bulan Mac dan...”
            “Mengarut!”
            Puteri dan Zawin terkejut dengan teguran itu. Melihat wajah selamba Zeyra, mereka berdua saling berpandangan.
            “Tau tak  bila baca sahaja mengenai benda-benda ramalan ni, Allah tolak solat selama empat puluh hari,” beritahu Zeyra lagi lalu melabuhkan punggung di atas sofa, mendepani Puteri dan Zawin.
            Zawin tersengih. “Ok ya ke? Siapa yang cakap macam tu?”
            “Ustaz-ustaz la yang cakap. Kan ada dalam hadis nabi,” balas Zeyra dengan yakin.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Rasanya hadis nabi tu...ditujukan pada amalan orang yahudi yang menggunakan ramalan anak panah dalam melakukan sesuatu. Sangat berbeza daripada...”
            “Sama,” potong Zeyra. “Sebab itu adalah ramalan,” ujarnya lagi mengukuhkan hujahnya.
            “Ini dapatan kajian, bukan ramalan,” bidas Zawin lembut.
            “Sama sahaja. Tak guna solat tunggang tunggik hari-hari kalau baca benda-benda ramalan ni.” Zeyra tetap tidak mahu mengalah.
            “Zeyra tak baik kata macam tu. Sebelum bercakap, kita kena kaji dulu...bukan dengan menerima sesuatu secara melulu. Jangan pandang satu perkara daripada segi logik semata. Ilmu Allah dalam dunia ni luas. Ilmu astrologer ni asalnya ilmu islam tetapi dicuri oleh barat. Apabila barat menjadikan ilmu ini kepada profit oriented, mereka membuka cabang baru dalam bentuk ramalan. Ini yang menyebabkan ilmu astrologi dikatakan haram oleh ahli agama dan ulama,” jelas Zawin panjang lebar.
            Zeyra mencebirkan bibirnya. “Selagi tiada ulama atau ustaz yang kata kajian tarikh lahir ni dibolehkan, saya tetap tak akan terima.”
            “Terpulang,” balas Zawin ringkas. Dia malas nak berbeza pendapat biarpun hatinya benar-benar bengang dengan cara gadis itu menyampaikan hujah-hujah tanpa melakukan kajian dahulu.
            “Zeyra...akak ada tudung lebih. Nak tak?” Puteri cuba membawa perbualan yang lebih santai apabila merasa situasi tegang antara dua gadis itu.
            Zeyra menggeleng. “Kalau saya perlukan, baru saya minta pada akak,” balasnya sambil mengunyah keropok jagung.
            Puteri merenung wajah gadis itu. “Dulu kan Zeyra bertudung. Kenapa...”
            “Sama saja orang bertudung dengan tidak bertudung,” potong Zeyra pantas.
            Zawin mengerutkan keningnya sambil meneliti wajah Zeyra. Dia benar-benar kurang senang dengan cara gadis itu mencelah sebelum orang lain menyudahkan bicara. Tambahan pula gadis ini bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu.
            Puteri mengalihkan pandangan pada Zawin. “Zawin...sama ke orang bertudung dengan tidak bertudung?” soalnya ingin tahu.
            Zawin terdiam sejenak. Isu yang diujarkan wanita itu sangat sensitif. Dia tahu dia perlu memberikan hujah yang tepat berlandaskan syariah agama. “Soalan itu ada persamaan dengan kalam ilahi iaitu samakah orang berilmu dengan tidak berilmu? Jawapannya adalah sangat berbeza. Orang berilmu itu ibarat bulan yang terang di angkasa berbanding bintang-bintang yang kecil di sekelilingnya. Bertudung itu bukan bertudung semata tetapi dengan lebih tepat menutup aurat. Orang yang tidak bertudung...”
            “Tak baik, jahat, buruk. Macam tu?” celah Zeyra sambil merenung tajam wajah gadis yang mengenakan pijama tidur berwarna kuning itu.
            “Zeyra...dengar sampai habis, baru lah mencelah,” tegur Puteri tidak senang.
            Zeyra mendengus kuat. “Habis tu...orang bertudung tu bagus sangat lah? Ramai saya tengok perempuan bertudung hisap rokok, fitnah orang, buat jahat pada orang. Jadi lebih baik tak bertudung daripada bertudung tapi buat jahat,” hujahnya penuh semangat dengan tangan terangkat-angkat.
            Zawin menarik nafas dalam-dalam melihat gadis itu terbuntang-buntang biji mata semasa melontarkan hujah. Jika diikutkan rasa marah yang sejak tadi telah mendidih, gadis ini pasti telah dilahar secukup-cukupnya. “Sekurang-kurang nya mereka menutup aurat. Dosa tidak menutup aurat adalah termasuk didalam dosa besar kerana perbuatan mendedahkan aurat itu akan membuka pintu kepada zina,” jelasnya dalam nada suara yang terkawal.  
            Zeyra ketawa besar sedikit berdekah. “Siapa yang kata? Sebenarnya masalah zina, rogol, sumbang mahram dan sebagainya adalah berpunca daripada lelaki yang jahat dan bernafsu buas, bukan sebab perempuan berpakaian tidak bertudung dan berpurdah!”
            “Islam yang kata…fitnah yang membuka pintu zina itu adalah banyaknya berpunca daripada wanita yang tidak menutup aurat dan menjaga kehormatan mereka.”
            “Habis itu...salah orang perempuan la ya kalau orang perempuan dirogol, diragut kesuciannya oleh seorang lelaki tak guna?”
            Zawin menghela nafas. “Perempuan sekiranya tidak mendedahkan diri dengan penyebab yang menyebabkan lelaki cenderung untuk melakukan perbuatan yang jahat,  maka selamatlah dirinya daripada sebarang ancaman dan gangguan seksual. Perbuatan membuka aurat itu bukankah menarik ghairah lelaki untuk melakukan sesuatu yang tak senonoh kepada seorang perempuan?”
             Zeyra mendengus. “Semua yang tutup aurat tu dah pasti ke masuk syurga?” soalnya membawa persoalan utama.
            “Apa yang pasti...tak tutup aurat dah pasti masuk neraka,” balas Zawin bersulam senyuman nipis.
            Ceh! Pakai tudung labuh pun bukan baik sangat. Buat dosa juga mengumpat orang sana sini,” hujah Zeyra penuh sinis.
            “Bila iblis tak mahu mengikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, maka dia menyalahkan perintah Allah itu. Samalah dengan tudung, tudung pula yang disalahkan.”
            “Macam la kau tu bagus sangat. Entah-entah kau dulu lagi jahat,” tuduh Zeyra.
            Zawin memincingkan pandangannya. “Dakwah itu satu tuntutan. Selagi seseorang itu namanya islam, dakwah itu wajib keatasnya. Sekurang-kurangnya, orang yang kita dakwah itu insaf dan bertaubat.”
            Zeyra mengetap bibirnya. Dia benar-benar tercabar dengan hujah Zawin. “Weh perempuan, kau ingat aku jahil sangat ke? Aku walaupun tak bertudung tapi hati baik!”
            Zawin menyembunyikan senyum. “Baik? Adakah kamu mendakwa diri kamu mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi yang kononnya mampu menjamin maruah kamu tanpa perlu menutup aurat?”
            “Itu hak aku tak nak pakai tudung!”
            “Kamu berani jamin ke yang semua lelaki mempunyai hati yang suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan dan nafsu?”
            “Aku rasa aku tak pakai seksi pun. Terpulanglah pada orang yang melihat. So what?”
            “Seksi atau tidak, hukumnya tetap berdosa walaupun menayangkan sehelai rambut.”
            “Ala...tak bertudung pun, aku solat dan puasa macam kau juga.”
            “Oh begitu? Kamu yakin ibadat itu diterima? Kamu yakin dengan berpuasa sudah cukup untuk menjamin masuk syurga?”
            Zeyra mendengus. “Suka hati aku la nak pakai macam mana pun. Aku tak susah pun hidup orang lain.”
            Zawin menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Tak susahkan hidup orang lain? Kamu sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik dan suami dengan menarik mereka ke neraka bersama kamu kerana mereka tidak menegur dan mendidik kamu.”
            “Apa yang aku buat...semuanya antara aku dengan Tuhan.”
            “Di dunia berani la cakap. Berani di hadapan Allah nanti cakap macam tu?”
            “Aku tak nak jadi hipokrit bila buat tak ikhlas.”
            “Kalau begitu, kamu sememangnya hipokrit kerana tak ikhlas beragama islam,” tegas Zawin sambil berpeluk tubuh.
            Zeyra menjeling. “Akak ingat akak hebat sangat ke dengan sijil master tu? Sekurang-kurangnya saya dah pergi haji. Akak tu?” soalnya sinis.
            Zawin tersentak lalu menyembunyi senyum. “Ooh...Hajah Zeyra la ni,” ejeknya.
            “Wow...cik Hajah Zeyra...bila pergi haji?” soal Puteri bersulam tawa kecil.
            Zeyra menjeling. “Perli lah. Sila lah perli lagi.”
            “Bukan perli, cuma pelik. Kalau dah ada title hajah, kenapa masih refuse menutup aurat?” Zawin mengujarkan persoalan mindanya.
            “Ya. Pelik juga, sepatutnya bila sudah ke tanah suci, seseorang itu pasti akan menjadi lebih baik,” sokong Puteri.
             “Saya tak pakai tudung suka hati saya lah. Saya tak nak hipokrit,” tukas Zeyra.
            “Hipokrit? Habis tu...kenapa sibuk mencari tudung bila parents datang sini?” soal Zawin yang telah mula hilang sabar.
            Zeyra memincingkan pandangan ke arah Zawin. Seolah-olah tubuh gadis itu ingin di ratahnya hidup-hidup. “Itu hal saya. Jangan nak masuk campur. Huh! Buang masa saja,” marahnya lalu bangun mendadak.
            Puteri turut bangun, menahan gadis itu.“Zeyra...jaga bahasa tu. Kenapa kurang ajar sangat ni?”
            “Saya kurang ajar? Kenapa kak Puteri nak sokong orang berlagak tu. Mentang-mentang ada master...”
            Zawin mengerutkan keningnya. Kenapa gadis ini kerap menggunakan taraf pendidikannya sebagai bahan sindiran. Seingatnya dia tidak pernah mengangkat diri dihadapan gadis itu. “Sila bagi salinan IC. Akak dah minta sejak minggu lepas,” pinta Zawin serius turut bangun mendepani Zeyra. Dia malas melayan kata-kata merepek gadis itu lagi.
            “Kenapa nak salinan IC? Macam la saya ni pendatang tanpa izin,” bentak Zeyra.
            “Penting’, balas Zawin tegas. “Ini prosedur tuan rumah,” jelasnya.
            “Huh...macam la dia tu tuan rumah,” ngomel Zeyra lalu berlalu dalam langkah terhentak-hentak tanda protes.
            “Maafkan akak ya Zawin. Perempuan tu memang tak kenang budi,” keluh Puteri sambil memegang tangan Zawin.
            “Tak apa. Zawin nak masuk bilik. Nanti akak beri salinan IC Zeyra ya?”
            Puteri mengangguk.
*******
            “Ya rabbi. Kalau aku la...dah lama penampar aku melayang ke pipi minah sengal tu,” luah Najla di hujung talian usai mendengar aduan Zawin.
            Zawin tersengih. “Kalau aku buat macam tu...tak ada bezanya aku dengan Zeyra.”
            “Lain kali berpada-pada sikit nak buat baik dengan orang. Bagi susu...dibalas tuba. Umpama melepaskan anjing yang tersepit. Kalau dia buat hal lagi, jangan teragak-agak untuk ugut dia keluar dari rumah kau tu.”
            “Ya la. Aku hanya nak tolong. Tak sangka pula jadi begini,” keluh Zawin.
            “Haa...cakap pasal perangai Zeyra ni...ingatkan aku pada Dian Daniel. Tadi aku jumpa Dian tau.”
            Zawin terpana. Dia terus bangun,  bersila di atas katil. “Biar betul? Macam mana kau boleh jumpa dia?” soalnya dalam rasa ingin tahu yang menebal.
            “Hari ini kan aku ambil cuti setengah hari. Aku buat check up di Hospital Ampuan Rahimah. Alang-alang aku dalam hospital tu...aku call Is. Tak sangka pula dia free. Kami lunch sama-sama. Tiba-tiba Dian datang, siap sindir Is lagi. Aku terkena tempiasnya sekali. Dia ingat aku ni skandal Is.”
            Zawin terdiam. “Mereka memang dah berpisah ke?”
            “Nampaknya macam tu la.”
            “Ooh...” Zawin mengangguk. “Is...sihat tak?”
            “Erm...kau dah berbaik dengan Is ke?” Suara Najla sedikit kendur.
            “Tak. Aku tanya saja kan?” nafi Zawin.
            “Kau rindukan Is kan?” tebak Najla.
            “Erm...” sahut Zawin lambat-lambat.
            Najla terdiam lama. “Kau...masih nak teruskan rancangan aku?”
            “Mestilah. Tapi...kau tak rasa ke kita macam gunakan Zharif? Aku rasa bersalah la pula.”
            “Kau jangan risau. Zharif sendiri dah bersetuju. Kalau kau terus ada hubungan cinta dengan Zharif...aku lagi sokong.” Najla sudah tergelak besar.
            “Najla! Merepek betul!”
*******
            “Silakan eyes smile princess.” Zharif menarik kerusi untuk Zawin. Gadis itu kelihatan kaget dengan tindakannya.Peluang yang diberikan tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Matanya tidak jemu merenung wajah ayu yang diberikan sentuhan solekan nipis. Zawin Az-Zahra memang sangat menawan dalam busana hitam putih.
            Zawin melabuhkan punggung dalam rasa segan. Matanya merenung penampilan Zharif dalam sut hitam putih. Mereka tidak pernah merancang mengenakan warna yang sama, namun segalanya bagai dirancang biarpun mereka sendiri terlibat dalam sebuah perancangan.
            “Zawin Az-Zahra...you’re so beautiful,” puji Zharif sebaik duduk mendepani.
             Zawin kaget. Zharif tidak pernah bermanis mulut sebelum ini. “Zharif...jangan melebih-lebih. Kita berlakon sahaja kan?” bisiknya perlahan.
            Zharif ketawa kecil. “Zharif sekadar melahirkan rasa dihati. Tau tak, ada maksud disebalik pujian seorang lelaki kepada perempuan.”
            “Oh, ya ke? Apa?” soal Zawin. Dia berpura-pura seakan berminat mendengar cerita lelaki itu sebaik mendapat isyarat daripada Najla tentang kehadiran Daniel Iskandar.
            Pelayan datang membawa buku menu. Mereka sepakat memilih hidangan Sole Meunière, hidangan ketam bersalut mentega.
            Zawin memandang wajah Zharif. “Sambung cerita tadi,” pintanya selepas pelayan pergi.
            Zharif mengangguk. “Begini... When a boy calls you hot, he looks at your body.When a guy calls you pretty,he looks at your face. When a guy calls you gorgeous, he looks at your clothes. When a guy calls you beautiful, he looks at your everything. For me...you are a beautiful young lady,” jelas Zharif panjang lebar.
            Zawin menahan merah di pipi.“Erm...Zharif kata tak pernah bercinta. Nampak macam pakar pula dalam  hal cintan cintun ni,” komennya sambil melarikan pandangan pada seluruh isi restoren. Dia amat menyukai suasana romantis restoren perancis itu yang dihiasi dengan cahaya lilin yang pelbagai warna. 
            Zharif tersengih, matanya tidak lepas menatap wajah gadis yang sering hadir dalam lenanya. “Zawin Az-Zahra...you are so different,” komennya.
            Different?Please explain,” pinta Zawin.
            Zharif menatap mata bening Zawin. “Every Leo lady...loves flattering, but you...so different.
            Zawin tersenyum lebar. Mula memahami maksud Zharif. “You know that...flattering is the food of fool. I dont want to be a fool person.”
            Bibir Zharif mengukir senyum senang. “Ada cerita nak kongsi?”
            Zawin mengangkat bahunya. “Kenapa Zharif rasa ada cerita disebalik cerita?”
            The power of dreams. Itu pun cerita disebalik cerita. Zharif rasa...sikap Zawin yang tidak hargai pujian...pasti ada cerita sebaliknya bukan?” tebak Zharif.  
            Zawin tersenyum nipis. “Mungkin.”
            Hidangan mampir. Mereka menikmati hidangan itu dengan penuh selera.
            Zawin tersenyum panjang sewaktu menikmati hidangan ketam.
            “Kenapa Zawin?” soal Zharif. “Ada cerita pasal ketam ke?”
            Zawin mengangkat keningnya. Cuba menahan senyum. “Teringat kisah Mr.Krab dan plankton,” balasnya bersahaja. Isi ketam dimasukkan ke dalam mulut.
Zharif membulatkan matanya. “Zawin tengok spongebob squarepants ke?” soalnya dalam teruja.
             “Kenapa? Salah ke?”
            Zharif pantas menggeleng. “Tak salah langsung. Bukan kah orang dewasa ada 10 peratus sifat kanak-kanak? Tapi tak sangka la Zawin tengok kartun tu. Zharif pun peminat kartun spongebob squarepants,” akuinya.
            Mata Zawin bersinar teruja. “La...betul ke? Tau tak, semalam Mr.Krab bercerita pada Spongebob tentang asal usul krabby patty. Rupanya dulu plankton kawan baik Mr.Krab. Mereka bermusuh selepas resepi krabby patty ciptaan Mr.Krab berjaya tetapi resepi plankton gagal. Itu yang plankton asyik nak curi resepi krabby patty daripada Mr.Krab,” ceritanya bersungguh.
            “Ya?” Zharif benar-benar teruja.  “Tak sangka pula. Dalam tak logik cerita tu...ada logik juga.”
            Zawin menepuk meja. “Ada satu lagi tak logik. Macam mana Mr.Krab boleh dapat anak ikan paus? Siapa isteri Mr.Krab ek? Takkan lah ikan paus kot. Sungguh tak logik. Si ketam dengan si paus.”
            Zharif sudah ketawa besar. Garfu dan sudu tergantung dikedua belah tangannya. “Tidak lah. Mr.Krab tak pernah berkahwin. Pearl, anak Mr.Krab adalah anak angkat yang Mr.Krab jaga atas dasar duit sebab Mr.Krab ciptakan satu bond dengan Pearl,” jelasnya
            Zawin menahan tawanya. “Patut lah. Orang gila duit...eh silap. Ketam gila duit macam tu...mana la nak kahwin. Satu dollar pun susah nak sedekah,” komennya pula.
            Zharif ketawa meleret. “Tau tak apa. Paling lawak bila Pearl cuba buat business macam Mr.Krab, tapi selalu muflis. Mr.Krab selalu naik angin. Akhirnya Pearl ambil keputusan nak jadi macam Paris Hilton, berparti dan menghabiskan duit Mr.Krab.”
            Mata Zawin bersinar gembira. “Ha...episod Pearl berparti tu Zawin ada tengok. Memang patut pun Pearl habiskan duit Mr.Krab, si ketam kedekut tu.”
            Iskandar menggenggam penumbuknya sambil memerhati dari meja berdekatan meja pasangan itu. Dia sakit hati melihat wajah gembira Zawin juga gelak tawa Zharif. Benar kata Najla. Hubungan Zharif dan Zawin bagaikan ada sesuatu. Mereka nampak ‘klik’ bila bersama. 
            See...i told to you,” giat Najla yang sengaja menyimbah minyak pada amarah lelaki itu yang kian marak. “Kau tak nak makan?” soalnya lalu menyuap pencuci mulut.
            “Tak nak,” sahut Iskandar  seraya menatap wajah selamba Najla. Wanita itu begitu berselera menikmati aiskrim vanila coklat. Saat dia berpaling semula ke arah meja Zawin, matanya membulat.
            “Is sedang perhatikan kita,” beritahu Zharif dalam nada separuh berbisik. Bibirnya masih menguntum senyum manis. Garfu yang mengandungi isi ketam di suakan ke mulut gadis yang kelihatan tidak selesa dengan tindakannya itu.
            Zawin sedikit keberatan namun apabila memikirkan Daniel Iskandar sedang memerhatikan mereka, akhirnya dia mengalah. Sekejapan makanan yang disuap Zharif masuk ke dalam mulutnya. Apabila Zharif menyuakan isi ketam sekali lagi, Zawin mencemberutkan bibirnya tanda protes.
            “Makan lah sayang. Is sedang tengok kita.” Zharif menahan ketawa melihat wajah cemberut gadis itu.
            Zawin memincingkan pandangannya sebelum membuka mulut, menerima suapan Zharif.
            Good girl,” puji Zharif dalam senyuman menang. “Sekarang, giliran Zharif pula,” arahnya sambil membuat isyarat mata ke arah hidangan ketam didalam pinggan Zawin.
            Ya rabbi. Mamat ni memang nak kena. Hati Zawin menyumpah.
            I’m waiting.” Zharif membuat wajah manja sambil mengangakan mulutnya.  
            Zawin hampir-hampir tergelak melihat telatah manja Zharif. Lelaki ini ada sifat childish yang tidak terserlah sebelum ini. Demi mengelakkan tawanya terhambur, Zawin cekatan menyuapkan isi ketam ke dalam mulut lelaki itu.
            Zharif mengunyah isi ketam dalam rasa gembira bukan kepalang.
            Zawin tersenyum senang biarpun pada mulanya dia kurang selesa berbuat demikian. Melihat sinar gembira dalam mata Zharif, hatinya terasa bahagia. Sukar dia mentafsir perasaannya ketika ini. Zawin mencapai tisu lalu mengelap garfu yang digunakan menyuap Zharif sebentar tadi.  
            “La...kenapa dilap?” tegur Zharif tidak puas hati.
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Saja,” balasnya selamba.
            “Ish...ish...tak dapat berkat tau. Rugi,” ujar Zharif seiring kenyitan mata.
            Zawin menjelirkan lidahnya. “Ya la tu.”
Iskandar menghela nafas dalam-dalam. Terasa perit didada. Seakan ada sembilu yang menusuk sehingga ke hulu hati. Begini rasanya perasaan apabila dikhianati. Tekak terasa kering. Pantas dicapai gelas kaca berisi air kosong.
            Prang!!           
            Zawin tersentak mendengar bunyi kaca pecah. Saat matanya menangkap gelas pecah di atas meja Iskandar, pantas tangannya menutup mulut. Dia benar-benar terkejut.
            Mata Najla bekerdip beberapa kali melihat kejadian dihadapannya. Sekejap matanya memandang gelas kaca yang pecah kemudian beralih pada tangan Iskandar yang mula mengeluarkan cecair merah. “Is...darah...” tegurnya lambat-lambat.
            Dont worry.” Iskandar cuba bersikap tenang, lalu bangun dan menuju ke arah tandas restoren. Kepalanya digeleng-gelengkan melihat luka ditangan serta darah merah yang mengalir keluar. “Daniel Iskandar...apa dah jadi pada kau?” bisiknya perlahan. Siapa sangka, gara-gara aura cemburu membuatkan gelas yang digenggamnya pecah. Dia benar-benar tidak dapat menerima apa yang dilihatnya sebentar tadi.
            Zharif mengangkat-angkatkan keningnya. “Nampaknya menjadi kan? Akhirnya, gelas pun menjadi mangsa,” ujarnya dalam senyum penuh makna.
            Zawin menghela nafas lega. Dia turut tersenyum biarpun belum hilang rasa kagetnya. Ternyata rancangan Najla berjaya meraih cemburu Iskandar. Menyedari ada kelibat yang berdiri disisi kiri meja, Zawin lekas berpaling. Belum sempat dia membuka mulut, terasa air sejuk menyimbah wajahnya.
            Bitch!” tuduh Tengku Azura lalu meletakkan gelas kaca di atas meja semula.
            Zawin merenung wajah marah Tengku Azura dalam pandangan tidak percaya. “Apa hal ni?”
            Tengku Azura semakin berang melihat wajah innocent Zawin. Didorong perasaan cemburu yang menggila, laju sahaja tangannya dihayunkan ke arah wajah Zawin.
            Zharif pantas bangun, menahan tangan Tengku Azura sebelum hinggap di pipi Zawin. “Apa ni Zura?!” marah Zharif lalu menolak tangan itu ke arah bawah. Gadis itu telah kembali pada pakaian lama. Blouse merah jambu terdedah di bahagian leher bersama seluar jeans biru paling sontok di dunia! Tebakan Fuad ternyata benar. Gadis ini tidak ikhlas menutup aurat.
            “Abang tolak saya sebab perempuan ni kan?” tuduh Tengku Azura dalam mata berkaca. Dia benar-benar tidak dapat menerima kenyataan cintanya ditolak lelaki tampan itu.
            “Zura...kan abang dah cakap, cinta tak boleh dipaksa,” balas Zharif lembut. Terasa tebal wajahnya sebaik menyedari drama yang berlaku tanpa dirancang itu disaksikan pelanggan-pelanggan lain.
            “Zura tak puas hati!” luah Tengku Azura seraya merenung garang ke arah Zawin. 
            Wan Zaidi merentap tangan sepupunya dengan kasar. Dia tidak sangka Tengku Azura akan bertindak segila itu. “Sudah lah Zura. Mari keluar. Malu orang tengok.”
            “I dont care!” balas Tengku Azura. Dia berusaha melepaskan tangan dalam pegangan Wan Zaidi.
            “Mari balik!” arah Wan Zaidi lalu menghela tangan sepupunya itu keluar dari restoren.
            Mata Najla mengekori langkah Wan Zaidi dan Tengku Azura sehingga hilang dipandangan. Perlahan dia menapak menghampiri Zawin yang masih kelihatan terkejut. “Itu student kau kan?” soalnya.
            Zawin mengangguk.
            “Zawin ok?” soal Zharif sambil menghulurkan sapu tangan. Dia kembali duduk mendepani, menatap simpati pada wajah kaget itu.
            Zawin mengangguk perlahan sambil mengelap wajahnya menggunakan sapu tangan Zharif. Wajah Najla dipandang. “Najla...adengan tadi bukan sebahagian rancangan kau kan?”  
            “Ish...bukan lah,” nafi Najla bersungguh. “Itu kejadian di luar kawalan,” lanjutnya lagi. Zawin melampiaskan tawanya tiba-tiba. “Drama didalam drama kan?”
            Najla dan Zharif sama-sama tergelak biarpun tiada perkara yang lucu.
            “Jadi...semua ini hanya drama? Sebuah lakonan?” Iskandar berpeluk tubuh, merenung ketiga-tiga wajah insan yang telah berjaya mengenakannya.
            Najla menelan liur. Dia terlupa dengan jejaka itu gara-gara drama yang tidak diundang.
            Zawin menggigit bibir bawah. Matanya tertumpu pada tangan kanan Iskandar yang berbalut tisu.
            Zharif berbalas pandang, merenung selamba ke arah Iskandar.


           





           
BAB 19

            “Ma nak pa buat apa lagi?” soal Iskandar sedikit geram. Tangannya menyeka rambut yang disisir rapi. Dia sudah berjanji untuk berubah, memutuskan segala hubungan istimewa dengan beberapa gadis. Ternyata hati gadis ini sukar dicairkan biarpun tangannya terluka gara-gara misi balas dendam gadis itu. Kakinya menekan kuat pedal minyak. Kereta jenama Nissan Fairlady itu meluncur laju dijalan raya.
            Zawin merenung sisi wajah lelaki disebelahnya. “Bagi kata laluan Facebook dan friendster.”
            “Ma nak buat apa?”
            Zawin menghela nafas. “Supaya tiada curiga diantara kita.”
            Iskandar terdiam. “Kalau itu yang buatkan ma jadi seperti dulu, pa akan beri,” putusnya.
            Good.” Zawin mengeluarkan I-Phone, memasuki laman sosial friendster. Email Iskandar dimasukkan dalam ruang user name. “Kata laluan,” pintanya.
            “zawin616.”
            Zawin berpaling, tidak percaya dengan kata laluan itu. “Janganlah nak bergurau.”
            “Ya rabbi. Itulah kata laluan yang betul,” balas Iskandar.
            Zawin kembali menumpukan perhatian pada laman sosial friendster. Tangannya cekatan memasukkan kata laluan itu dan menekan butang enter. Dalam beberapa saat, akaun friendster Iskandar dapat dimasuki. “Erm...maaf,” ucapnya lambat-lambat.
            Iskandar tersengih. “Pa dah cakap...kurangkan ucapan maaf.”
            “Kenapa mesti begitu? Kalau buat salah, memang wajib minta maaf,” tukas Zawin.
            “Kurangkan buat salah...kuranglah minta maaf. Ada faham ma?”
            Zawin mendengus tidak puas hati. “Kalau pa memanglah. Ego! Tak pernah minta maaf bila buat salah.”
            “Ma...kita janji dah kan...tak nak cakap tentang ini lagi?” Iskandar mengingatkan.
            “Ya la...” sahut Zawin sedikit bosan.“Erm...kenapa letak nama ma sebagai kata laluan?”
Iskandar tersenyum segan. “Masa pa buat akaun friendster, pa sangat rindukan ma. Lagi pula senang pa nak ingat,” akuinya.
            Zawin tersenyum lebar. “Tak sangka pula ma ni penting dalam hidup pa.”
            “Sangat penting,” akui Iskandar serius. “Pa tak dapat bayangkan hidup tanpa ma. Masa ma merajuk seminggu, hanya tuhan saja yang tahu perasaan pa. Rasa...macam nak cekik-cekik Nadiah dan Dian. Tapi bila pa warasi balik, semuanya salah pa. Pa tak pernah bersyukur dapat miliki ma. Bila ma menghilang sekejap daripada hidup pa...masa tu pa baru sedar yang pa tak boleh hidup tanpa ma,” luahnya penuh perasaan.
            “Ma pun...tak boleh hidup tanpa pa,” akui Zawin lambat-lambat.
            Iskandar tersenyum senang. “Janji dengan pa boleh?”
            “Apa?”
            “Jangan tinggalkan pa.”
            Zawin mengangguk perlahan. “Ma tak akan...tinggalkan pa. Melainkan pa yang buat hal.”
            Iskandar tersenyum manis. “Kita nak makan di mana ni?” soalnya seraya memberhentikan kereta sebaik melihat lampu isyarat bertukar warna merah.
            “Mana-mana saja,” balas Zawin. Laman sosial Facebook dilayari selepas menutup laman friendster. Sebaik memasuki akaun Facebook, satu kotak bual muncul di skrin.
            Nadiah : Maaf sebab buat hubungan kalian menjadi keruh.
            Zawin : Tak apa. Apa pun terima kasih. Sekurang-kurangnya perang dingin antara kami telah merapatkan lagi hubungan kami.
            Nadiah : Kalian sudah berbaik?
            Zawin : Ya. Saya harap...tiada lagi cerita silam Daniel Iskandar yang awak sembunyikan. Saya terima dia seadanya. Masa silam dia...telah mati bagi diri saya.
            Nadiah : Saya doakan awak bahagia.
            Zawin : Thanks.
            “Pa...” panggil Zawin.
            Yes my kidney,” sahut Iskandar. Brek tangan diturunkan, pedal minyak ditekan apabila lampu isyarat kembali hijau.
            Zawin ketawa halus. “Buah pinggang la sangat. Tak romantis langsung,” komennya.
            Iskandar turut ketawa. “Ada apa sayang?”
            “Soalan terakhir boleh? Ma janji.” Zawin mengangkat tangan kanan seakan-akan membuat formasi ikrar.
            “Ok.”
            “Erm...apa tujuan pa couple dengan Dian?” soal Zawin.
            Iskandar meraup wajahnya. Merenung jalan raya dihadapan, cuba memanggil minda jangka panjang semasa menuntut di negara matahari terbit. “Dian...berasal dari keluarga yang pecah belah. Dia benci dengan lelaki sebab ayah dia kaki pukul. Hasilnya, dia sangat kasar dan tak hormat lelaki. Beberapa kawan cabar pa ubah sikap dia. Pa terima cabaran tu. Tak sangka pula Dian jatuh suka pada pa. Sekarang...dia kembali pada sikap lama. Pa malas dah nak ambil tahu lagi,” cerita Iskandar panjang lebar.
            Kepala Zawin terangguk-angguk. “Kesian pula.”
            “Dah...stop cakap pasal Dian. Sekarang...di mana kita nak makan?” soal Iskandar.
            “Restoren Jepun. Ok tak?” cadang Zawin.
            “Restoren Zharif ke?”
            “Ya la. Sedap makanan di situ.”
            “Erm...tak nak la. Ma tahu kan...pa kurang sikit dengan makanan jepun.”
            Zawin sudah tergelak. “Tahu. Memang pelik. Sepatutnya dah lama tinggal di Jepun akan ubah citarasa pa, rupanya kari masih nombor satu. Kalau dah darah keturunan Raja kapoor...susah nak ubah jadi darah Raja Conan.”
            Iskandar ketawa besar. “Tahu tak apa. Kita cari kedai mamak ya?” sarannya pula.
            “Ok.” Zawin mengukir senyum bahagia. Dia berdoa, berharap hubungan bersama Daniel Iskandar mendapat redha ilahi dan berpanjangan sehingga ke jinjang pelamin.
********
            “Maknanya...kau berlakon lagi?” soal Wan Zaididalam mata membulat luas. Raket squasy diletak ke tepi gelanggang.
            Zharif mengangguk seraya meneguk minuman isotonik 100 pluss. Peluh di dahi dikesat dengan tuala putih. “Aku lakukan demi Zawin. Hubungan mereka dah ok balik. Aku tumpang gembira.”
            “Kau...memang kawan yang baik,” puji Wan Zaidi. Air mineral diteguk perlahan.
Zharif merenung wajah muram Wan Zaidi. “Kau ok?” soalnya cuba merisik perubahan air wajah itu.
            Wan Zaidi mengangkat kedua bahunya. “Macam biasa. Leceh juga menguruskan penceraian. Naik turun mahkamah. Penat,” adunya.
            “Aku dengar cerita, Yasmin tuntut nafkah sampai lima ratus ribu.”
            “Ya. Aku akan pastikan dia tak akan berjaya,” sahut Wan Zaidi pantas. “Isteri yang nusyuz, ikut syarak...tidak akan dapat hak nafkah. Sampai bila pun, Yasmin tak akan dapat merasa satu sen daripada harta aku,” ujarnya berapi-api.
            “Apa rancangan kau sekarang?”
            Wan Zaidi mengangkat bahunya. “Tak tahu.”
            Zharif menyandarkan belakang badan di dinding gelanggang squash. “Aku tak tahu nak kata apa tentang Yasmin. Kau rasa...betul ke tindakan aku mengekalkan Yasmin di Gemleo corporation?” soalnya meminta pendapat.
            Wan Zaidi terdiam. “Aku tak pasti... Itu bergantung pada budi bicara kau. Setahu aku...dia pekerja yang baik. Rekod Yasmin semasa bekerja di syarikat dulu memang bersih,” beritahunya.
            Zharif merenung raket squash. Wan Zaidi tidak pernah tahu cerita mengenai sikap Yasmin di tempat kerja. Biarpun wanita itu pekerja yang berdedikasi, cerita Yasmin keluar masuk hotel sering berlegar kalangan staff lelaki mahupun rakan perniagaan lain. Dia sendiri letih melayan karenah Yasmin yang tidak jemu mengejarnya. Zharif menghela nafas dalam-dalam. Dia harus berbincang dengan Fuad berkenaan hal Yasmin.
            “Zharif...apa pendapat kau tentang Z awin?” soal Wan Zaidi memecah sunyi. Bola squash dilontar ke arah dinding putih lalu melantun semula ke arahnya.
            Zharif cekap menangkap bola kecil itu sebelum sempat ditangkap Wan Zaidi. “Zawin Az-Zahra adalah hiasan dunia terindah,” balasnya lalu melontar bola hitam ke arah dinding.
            Bola kecil itu kembali berada ditangan Wan Zaidi. Wajah Zharif direnung lama. “Aku rasa...Zawin adalah ratu dunia berperwatakan ustazah yang kau cari. Wanita yang kau impikan selama ini. Kan?” tebaknya.
            Zharif tersenyum lebar. “Apa sebab kau cakap begitu?”
            Wan Zaidi ketawa kecil. “Aku lelaki. Bukan kah lelaki yang memahami lelaki? Cara kau pandang Zawin, layanan dan senyuman yang kau berikan...sangat istimewa. Sinar mata kau sangat berseri bila berada disisi Zawin. Aku tak pernah melihat kau kelihatan gembira seperti malam itu. Walaupun kau berlakon menjadi pasangan Zawin tapi wajah bahagia kau menyatakan perasaan kau yang sebenar,” jelasnya panjang lebar.
            Zharif tersenyum segan. Tidak menyangka rakannya itu dapat menyelami perasaannya terhadap Zawin. “Jelas sangat ke?”
            Wan Zaidi mengangguk bersungguh. “Itu punca Zura nekad serang Zawin. Zura nampak perasaan kau pada Zawin.”
            Zharif terdiam lama. Dia meneguk air isotonik. Wajah gadis tinggi lampai itu melayang di benaknya. “Adakah Tengku Azura...anak tunggal?”
            “Ya. Anak tunggal yang sangat manja dan sudah terbiasa mendapat apa sahaja yang diingininya sejak kecil,” beritahu Wan Zaidi.
            “Jadi...itulah masalahnya.” Zharif terangguk-angguk, memahami punca gadis itu tidak dapat menerima penolakan cintanya. Zharif merenung sekilas wajah Wan Zaidi. “Kau...ada berhubung dengan Zawin?” soalnya ingin tahu.
            Wan Zaidi menggeleng. “Sejak aku berkahwin dengan Yasmin, tak pernah sekali pun aku hubungi Zawin. Aku malu dan rasa bersalah. Mama aku ada jumpa Zawin dua minggu lepas. Mama minta maaf dan minta Zawin kembali pada aku. Betul kata kau...once leo lady ended a relationship, there will be no U-turn. Zawin tolak secara baik termasuk huluran persahabatan 
aku. Aku cuma ingin berkawan dengan Zawin semula...sama seperti dulu...” Wan Zaidi mendongak ke atas, menatap syiling gelanggang.
            Zharif memandang simpati. “Mungkin Zawin tak nak kau berharap pada dia lagi,” ulasnya.
            Wan Zaidi menghela nafas seraya menyeka peluh yang merinding didahi. “Zawin kata pada mak aku yang dia dah tak nak sebarang hubungan dengan keluarga kami. Zawin tak nak kami menjadi sebahagian dalam hidup dia lagi. Zawin...memang dah buang aku...jauh sejauhnya,” ceritanya dalam suara lirih.
            Zharif menepuk bahu Wan Zaidi, merenung lembut dalam anak mata hitam lelaki itu. “Kalau kau sayang Zawin...turutkanlah permintaan dia. Biarkanlah dia bahagia bersama Daniel Iskandar,” pujuknya.
            Wan Zaidi mengukir senyuman pahit. Perlahan-lahan lelaki itu bingkas bangun sambil memegang raket squash. “Kau ada tip macam mana nak lupakan Zawin?”
            Zharif ketawa kecil. Dia turut bangun, mendepani Wan Zaidi yang berada di pintu masuk gelanggang. “Memang sukar mahu lupakan Zawin Az-Zahra. Selagi kau berada dekat dengan Zawin...selagi itu kau tak akan berjaya lupakan dia.”
            “Habis tu...kau nak aku buat apa?” tanya Wan Zaidi.
            Zharif tersenyum mesra. “Buat umrah,” sarannya.
            Wan Zaidi terpana. “Umrah?”
            Zharif mengangguk bersungguh. “Buat umrah. Berdoa pada ilahi untuk diberi kekuatan melupakan Zawin...juga...memohon dipertemukan dengan jodoh yang baik,” lanjutnya lagi.
            Wan Zaidi mengukir senyuman hambar. “Kau memang kawan yang baik. Thanks. Nanti aku bincangkan dengan mak ayah aku,” putusnya.
            Zharif menepuk belakang badan Wan Zaidi. “Insyaallah. All is well.”
            “Insyaallah,” balas Wan Zaidi seraya menarik nafas dalam-dalam.
            Keadaan hening seketika. Masing-masing diam, melayani perasaan.
            “Boleh aku tanya sesuatu?” soal Wan Zaidi tiba-tiba.
            Zharif mengangguk.
            “Zawin tahu...perasaan kau?”
            Zharif meraup wajahnya. “Zawin tahu dan buat tak tahu. Rasanya kami akan berkawan sampai bila-bila.” Zharif menarik pintu gelanggang, meloloskan diri keluar dan melabuhkan punggung di atas kerusi panjang.
            Wan Zaidi mengekori langkah Zharif. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu. “Hati Zawin memang untuk Iskandar. Sejak dulu lagi.” Wan Zaidi meneguk air mineral.
Mereka terdiam lagi. Masing-masing seronok menonton permainan dua lelaki cina yang baru masuk ke dalam gelanggang squash.
            “Adakah cinta pertama segalanya-galanya bagi seorang perempuan?” soal Wan Zaidi memecah keheningan.
            “Ya. Begitulah.” Zharif menghela nafas dalam-dalam.
            “Tengku Azura...pasti takkan lepaskan kau semudah itu,” ujar Wan Zaidi.
            Zharif mengerutkan keningnya. “Apa maksud kau?”
             “Kata pujangga, perempuan tidak pernah mengenal erti pertengahan termasuk dalam hal mencintai dan membenci,” ujar Wan Zaidi usai mengelap peluh dengan tuala kecil biru. “Hati-hati lah,” pesannya lalu menepuk lembut bahu Zharif.
*******
            “Apa?” Mata Yasmin membuntang luas. Dia terbangun dari sofa putih. Sudahlah hatinya panas apabila tuntutan nafkah di mahkamah tidak berjaya, ini ditambah pula dengan cerita cinta Zharif dengan gadis paling tidak disukainya.
            “Betul. Abang Zharif memang sukakan perempuan tu,” beritahu Tengku Azura bersungguh.
            “Macam mana Zura tahu?” soal Yasmin dalam mata yang terjegil.
            “Zura nampak dengan mata kepala sendiri la. Zura dinner di restoren perancis dengan abang Wan. Tak sangka jumpa Abang Zharif dan Zawin. Siap makan bersuap-suap lagi. Sakit mata Zura!” cerita Tengku Azura berapi-api.
            “Tapi...bukan ke Zawin ada teman lelaki? Takkanlah mereka dah putus kot?” soal Yasmin lalu melabuhkan punggung kembali di atas sofa. Kepalanya tergeleng-geleng apabila wajah Zharif dan Zawin bersilih ganti muncul di benak. Mustahil! Hatinya menjerit.
            “Ala...takkan kak Min tak kenal dengan Zawin tu. Lelaki keliling pinggang. Mesti lah dia goda Abang Zharif sampai masuk perangkap,” tuduh Tengku Azura.
            Yasmin menggeleng tidak percaya. Dia cuba mewaraskan diri, menolak kemungkinan cerita sepupu bekas suaminya itu. “Tak. Mustahil. Zawin bukan macam tu,” nafinya dalam usaha menyedapkan hati sendiri.
            “Kenapa mustahil pula? Zawin bukan kaya pun. Pergi kerja pakai Kelisa saja. Mesti Zawin yang goda abang Zharif,” tegas Tengku Azura.
            Yasmin mencapai gelas berisi jus oren lalu diteguknya rakus. Cerita Tengku Azura sungguh sukar diterima akalnya. Matanya menyeluruhi kondominium pemberian seorang ahli perniagaan yang pernah ditidurinya beberapa bulan lalu. Dia tidak menyesal diceraikan Wan Zaidi. Dia masih mampu hidup mewah biarpun tanpa lelaki itu.
            “Kalau Kak Min tak percaya, tanyalah pada abang Wan,” saran Tengku Azura bersungguh apabila melihat Yasmin kelihatan termanggu. Dia menekup mulutnya sebaik menyedari wanita bersinglet putih dihadapannya ini baru sahaja berpisah dengan sepupunya itu.
            Yasmin menjeling. Dia malas memikirkan tentang kegagalan perkahwinan bersama Wan Zaidi. Mindanya kini hanya penuh dengan wajah Zharif Zahir dan Zawin Az-Zahra. Matanya tegak merenung gadis alis mata lentik itu. Dia tahu gadis dari keturunan kerabat itu mempunyai misi yang sama untuk memiliki Zharif Zahir. “Kalau benar mereka bercinta...Zura nak buat apa?” cabarnya, ingin menguji sejauh mana gadis ini mampu bertindak.
            Tengku Azura mengangkat keningnya. Matanya bersinar licik. “Ada sesuatu yang Zura nak lakukan.”
            “Apa?” Yasmin menunjukkan wajah teruja.
********
            “Zawin...tak nak balik lagi ke?” soal Najla di depan muka pintu bilik Zawin.
            Zawin mengerling jam Rolex ditangan. Sudah hampir pukul lima setengah petang.             “Sekejap lagi kot. Kalau tak sempat, aku bawa balik saja kerja-kerja ni.”
            “Baik jangan bawa balik,” nasihat Najla.
            “Kenapa?” Zawin masih menumpukan perhatian pada skrin komputer.
            “Kau ada dengar cerita tak?” bisik Najla lalu merapati meja kerja Zawin.
            Zawin menggeleng. Jari jemarinya berhenti bekerja. Tugas memasukkan markah peperiksaan akhir dalam microsoft excel ditinggalkan lalu memusatkan perhatiannya pada wajah wanita mengandung yang kelihatan berseri itu. Najla tampil memukau dalam kebarung biru lembut.
            “Shieda. Dia kena buang kerja,” beritahu Najla dalam nada separuh berbisik. Dia melabuhkan punggung mendepani Zawin.
            “La...kenapa pula?” soal Zawin dalam mata membulat. Seakan tidak percaya dengan cerita Najla. Seingatnya pensyarah muda yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan kerja.
            “Shieda hilangkan kertas carry mark dan attandance student yang sepatutnya dihantar kepada unit audit.”
            “Hilang? Macam mana boleh hilang?”
            Najla mendekatkan wajahnya. “Sebab yang sangat sukar diterima. Puncanya Shieda bergaduh dengan Amar. Si boyfriend Sheida yang sengal tu...buang kertas-kertas carry mark dan attandance ke dalam semak mana entah. Kesian kan?” ceritanya seraya menggelengkan kepalanya.
            Zawin menggigit bibir bawahnya. Dia turut menggelengkan kepalanya. “Tak kan la terus kena buang?” soalnya tidak berpuas hati.
            Najla mengangguk. “Ya. Shieda bawa keluar kertas tu tanpa approved by faculty, sebab itulah dia kena bertanggungjawab sepenuhnya kerana kertas tu hilang di luar kawasan fakulti,” jelasnya panjang lebar.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Shieda...macam mana?”
            “Dia menangis la. Kerja dah stabil, tiba-tiba hal kecil macam ni buatkan dia kehilangan kerja. Kalau aku jadi Shieda...aku saman si Amar ikut jumlah gaji setahun,” ujar Najla sambil mengepal buku limanya.  
            Zawin terdiam. Hatinya dirasuk simpati pada nasib rakan sekerjanya itu namun dia yakin pasti ada hikmah disebalik musibah itu. Wajah Najla ditatap sekilas. “Kalau macam tu...aku stay up sampai senja nanti. Lagi pula...aku masih period. Tak la terkejar-kejar nak solat nanti,” putusnya lalu kembali menumpukan perhatian pada skrin komputer.
            Najla mengangguk. “Masa degree dulu, ada seorang pensyarah luar yang ajar subjek Law for business hilang kertas carry mark. Beg bimbit dia kena rompak, habis segala kertas penting termasuk kertas carry mark kena ambil. Tapi...kes tu selesai macam tu sahaja. Mungkin sebab dia pensyarah luar, bukan pensyarah tetap,” ceritanya lalu berdiri sambil melakukan senaman regangan.
            Zawin tersengih melihat aksi Najla. “Mungkin sahaja,” balasnya bersahaja. Matanya terpandang pada kalender berdiri di atas meja. Tarikh pertandingan inovasi anjuran kementerian MOSTI sudah semakin hampir. Projek penyelidikan bersama beberapa orang pensyarah kanan masih belum disentuh lagi. “Adus...banyaknya kerja,” keluh Zawin.
            Najla menggeleng. “Uruskan perkara paling penting dulu ok?” nasihatnya. “Aku nak balik. Malam ni nak gerak balik ke kampung. Ada apa-apa nak kirim?” Najla mengangkat keningnya.
            Zawin ketawa halus. “Teh tarik satu,” laung Zawin bersemangat.
            Najla menjuihkan bibirnya. “Teh tarik minta dengan si hidung kembang tu,” sindirnya.
Zawin merenung wajah rakannya itu. “Kau masih marah dengan Is ke?”
            “Kau nak jawapan jujur atau sebaliknya?” uji Najla.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Aku tak tahu. Aku tak pandai baca fikiran orang.”
Najla tersenyum nipis. “Kalau macam tu...aku dah tak marah pada Is,” akuinya.
            “Betul?” Mata Zawin bersinar gembira. Rakannya itu begitu sukar melupakan peristiwa Daniel Iskandar bermain kayu tiga. Bagi Najla...lelaki gemini itu tidak harus dipercayai. Puas sudah dia memujuk, namun Najla tetap dengan pendiriannya.
            Najla mengangkat kedua bahunya bersulam senyuman penuh makna. Tas tangan disarungkan kebahu, dia bersalaman lalu bergesel pipi dengan Zawin. “Aku balik dulu. Kau...jangan balik lewat sangat. Jaga kesihatan kau,” pesannya.
            “Baik puan.” Zawin membuat aksi tabik.
            Najla tergelak. “Aku pergi dulu. Assalamualaikum,” ucapnya seraya berlalu.
            “Waalaikumsalam. Kirim salam pada Anas,” laung Zawin.
            Najla berpaling kembali, mengukir senyum nakal. “Aku tipu kau tentang hal Iskandar tu,” ujarnya dengan selamba dan kemudian menapak pergi.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Dah agak pun.” Zawin kembali tekun menyudahkan kerja-kerja yang tertangguh. Dalam kepala penuh dengan pelbagai formula matematik demi mencipta sistem perisian khusus untuk pertandingan inovasi. Banyak jurnal harus dirujuk. Mujur intipati projek adalah dapatan kajian Phd salah seorang pensyarah yang turut terlibat, jadi kerjanya tidak terlalu sukar. Zawin mencapai gelas berisi air mineral lalu diteguknya perlahan. Tekak yang kering terasa lega.
            Menjeling jam ditangan, Zawin terperangah. Sudah hampir masuk waktu isyak. Tubuh yang melekit membuatkan dia merasa kurang selesa. Zawin menghela nafas lega usai menyudahkan tuntutan kerja. Tangannya cekatan mengemas meja kerja seraya memadamkan komputer.
            Zawin menghela nafas sewaktu melalui koridor dalam cahaya suram untuk menuju ke tangga hujung bangunan. Dia cuba berlagak biasa, tidak tergugah dengan suasana sunyi dan menyeramkan itu. Nafasnya terasa terhenti saat mendengar derapan kasut dari arah belakang juga bayang-bayang ditepi dinding.  Pantas dia berpaling ke belakang. Aneh. Tiada kelibat disitu. Diserang perasaan gementar berbaur cemas, Zawin memejam mata seketika, cuba mengawal debaran, mewaraskan minda. Sekejapan dia berselindung di sebalik ruang kecil menuju bilik rehat pensyarah. Bunyi derapan kaki kedengaran lagi. Dia sudah bertekad untuk bersiap sedia dengan kemungkinan yang terjadi.
            Apabila satu kelibat melintasi kawasannya berlindung, Zawin terus menyerang dari arah belakang. Kelibat yang diyakini seorang lelaki itu tidak melawan apabila tangannya cekatan mengunci leher dan mematikan sistem saraf lawan.
            “Zawin...Zharif ni,” beritahu Zharif dalam suara tertahan.  
            “Hah?” Zawin benar-benar terkejut. “Zharif? Macam mana boleh ada disini?”
            “Urgh...lepaskan...dulu...boleh...tak?” pinta Zharif. Dia bergelut dengan rasa kejang di leher.
            Zawin pantas meleraikan kuncian dileher lelaki itu. Dua jarinya meleraikan simpulan nadi leher Zharif. “Maaf Zharif. Tapi...awak buat apa disini?” soalnya berbaur rasa bersalah.
Zharif mengurut leher yang terasa sengal. Seumur hidupnya, kuncian nadi leher hanya pernah dilakukan guru tomoinya. Tidak menyangka, niatnya untuk menakutkan gadis itu berakhir dengan serangan itu. Zawin Az-Zahra ternyata seorang srikandi yang tidak boleh dipandang enteng. “Tadi Zharif ada call Najla sebab tak dapat hubungi Zawin. Bila Najla kata Zawin stay up di fakulti, terus Zharif ke sini.”
            “Oh...telefon Zawin tertinggal di rumah,” terang Zawin sambil menghela nafas lega. Melihat wajah berkerut Zharif, rasa bersalahnya semakin menggunung. “Sakit tak...?” soalnya teragak-agak.
            “Tak sakit...sedap...” sindir Zharif. Dia menahan senyum melihat wajah serba salah gadis itu.
            “Maaflah Zharif. Teruk ke? Kalau teruk, kita pergi klinik,” saran Zawin.
            Zharif tersengih. Tangannya masih mengurut leher. Rasa sengal sudah berangkat pergi.      “Tak perlu. Mari pergi. Bahaya tau anak dara berseorangan di tempat sunyi macam ni.” Zharif terus mengorak langkah menuju ke arah tangga.
            Zawin mengekori langkah Zharif. Dia akur dengan nasihat itu. Menghampiri kereta yang diparkir di kawasan fakulti, Zawin terpana.
********

            “Zawin ok ke?” soal Puteri sebaik gadis itu muncul dimuka pintu dalam wajah penat.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Dia mengangguk lemah lalu melabuhkan punggung di atas sofa. Matanya dipejamkan seketika. Siapa yang cuba menganiaya dirinya? Dia tiada musuh selama ini.  Keempat-empat tayar keretanya ditebuk. Cermin hadapan kereta diconteng tulisan-tulisan kasar dan berbau lucah. Malah hampir semua sudut kereta kuningnya itu digores dengan kesan yang dalam.  
            Fikirannya buntu mencari siapa pelaku itu. Rata-rata pelajar sudah pulang ke rumah untuk menghabiskan cuti semester. Mujur ada Zharif yang membantu menguruskan hal keretanya, jika tidak...pasti sukar untuk menghadapi seorang diri. Bayang Iskandar mengganti bayang Zharif. Sudah beratus kali dia menghubungi lelaki itu, namun tidak ada jawapan. Biarpun dia tahu Daniel Iskandar sibuk bekerja, namun dia hanya ingin mendengar suara lelaki itu kala ini.
            “Zawin ok tak ni? Kerja banyak sangat ke?” soal Puteri apabila memerhatikan wajah letih Zawin. Puteri memperlahankan suara peti telivisyen.
            Zawin membuka mata. Tudung putih masih tersarung elok dikepalanya. “Erm.banyak. Ada satu projek harus diselesaikan dalam masa terdekat. Biasalah kak Puteri. Inilah kehidupan pengajar,” beritahunya tanpa mahu berkongsi cerita mengenai keretanya yang kini berada di bengkel.
            “Pengajar tadika macam akak tentunya berbeza daripada pengajar universiti. Akak hanya perlu mengajar kanak-kanak, uruskan aktiviti mereka dan merancang persembahan tahunan. Jurang gaji pun sangat berbeza. Empat kali ganda. Mesti task kerja Zawin lebih mencabar kan?”
            Zawin mengangguk. “Ya. Pensyarah bukan mengajar perkara yang sama sahaja. Kadang-kadang harus mengajar subjek yang tidak pernah dipelajarinya. Harus tulis banyak artikel, terlibat dalam penyelidikan, hadiri kursus dalam dan luar negara, dan kalau nak tambah pendapatan boleh menjadi consultant pada syarikat yang memerlukan khidmat nasihat mahupun pembuat keputusan. Pokoknya, banyak guna mental. Bila mental letih...badan akan menjadi lebih letih,” ceritanya panjang lebar.
            Puteri mengangguk. Baru dia tahu. Jika begitu, wajarlah gadis itu mampu hidup selesa. “Zawin dah makan?” soalnya lalu menaikkan suara peti telivisyen.
            Zawin mengangguk. “Dah...baru makan dengan Zharif...”
            “Zharif?” Mata Puteri memancarkan sinar nakal.
            “Jangan fikir bukan-bukan ya?” Zawin menggoyangkan jari telunjuknya. “Apa kak Puteri tengok ni?” soalnya mengalihkan perhatian pada skrin telivisyen sekaligus merubah topik perbualan.
            Puteri tergelak kecil. “Nak mengelak ya?” giatnya lagi.
            “Ish...akak ni. Akak pasang CD tarian ni untuk apa?” Zawin menumpukan perhatian pada peti telivisyen. Hatinya sedikit terhibur dengan tarian ala samba itu.
Puteri tersengih. “Tarian Mexico. Ini untuk persembahan murid enam tahun untuk  pertandingan diperingkat daerah.”
            “Wow...tentu sukar nak ajar budak-budak.”
            “Ya...sukar,” akui Puteri. “Ikut hati...nak saja ajar budak-budak tarian Hips dont lie. Itu baru benar-benar latin,” selorohnya kemudian diikuti tawa anak.
            Zawin tergelak besar. Terlupa sebentar masalah yang menghimpit emosinya.
            Nada deringan siri detective conan menganggu perbualan mereka. Zawin cekatan menyambut panggilan itu.
            “Ya Zharif.”
            “Turun bawah sekejap.”
            Zawin terpana. “Zharif masih di bawah ke?”
            “Tak. Zharif dah balik rumah ambil sesuatu. Zawin mandi dulu lah. Kami tunggu di bawah.”
            “Kami? Zharif dengan Fuad ke?”
            “Ya. Zawin pergi mandi dulu.”
            “Ok.”
            Usai mandi, Zawin mengenakan baju biru muda lengan panjang bersama skirt labuh hitam. Tudung hitam yang baru digosok disarung dikepala. Melihat wajah di cermin, Zawin menggeleng melihat bawah matanya sedikit lebam. Sudah lama dia tidak memberikan hak kepada diri. Jadual tidurnya terganggu seketika sepanjang mengharungi minggu-minggu yang sibuk. Memikirkan tentang keretanya yang masih berada di bengkel membuatkan fikirannya kembali berserabut. Tiada kereta ibarat sebelah kakinya patah. Tidak dapat bergerak dengan sempurna. Zawin menghela nafas dalam-dalam. Tangan kanannya memegang dada kanan. “All is well,” ujarnya penuh semangat lalu menapak keluar dari bilik.
            Sejurus melihat Zharif dan Fuad di hadapan kereta masing-masing, Zawin mengerutkan dahinya. Kedua lelaki yang mengenakan kemeja biru muda itu sedang memandang ke langit.           Zawin turut mendongak. Melihat bulan mengambang penuh dihiasi bintang-bintang di angkasa, bibir Zawin menguntum senyum. “Subhanallah. Maha suci Allah,” ucapnya perlahan.
            “Assalamualaikum Zawin,” tegur Fuad sebaik menyedari gadis itu sudah berada dihadapannya.
            Zharif tersenyum melihat penampilan Zawin.  Gadis ini tidak pernah gagal membuatnya tersenyum biarpun berpakaian ringkas begitu.
            “Waalaikumsalam Fuad,” sahut Zawin. “Err...maaf tunggu lama,” ucapnya berbaur rasa segan kerana ditegur saat ralit merenung bulan.
            “Tak apa,” balas Fuad ringkas.
            “Zawin ok?” soal Zharif, merisik wajah gadis itu.
            “Ok,” sahut Zawin yakin. Matanya kembali merenung bulan penuh di dada langit. “Cantik bulan malam ni kan?”
            Zharif dan Fuad serentak mendongak ke arah langit. Mengangguk setuju dengan kata-kata Zawin.
            “Sama cantik macam Zawin,” ujar Fuad tiba-tiba.
            Zawin menahan merah di pipi. “Zawin  cakap tentang bulan lah,” tingkahnya.
            Zharif ketawa kecil. “Tapi sebenarnya Zawin lebih cantik daripada bulan. Nak tahu kenapa?”
            Zawin mengangguk dalam hairan. Lelaki ini makin kerap bermulut manis.
            “Bulan hanya menumpang cahaya matahari, bukan cahaya sendiri. Bulan mungkin cantik dipandang namun jika dilihat lebih dekat, penuh dengan kawah. Zawin adalah matahari itu. Matahari punca sang bulan memperoleh cahaya itu...kerana itu...sudah pastinya Zawin lebih indah daripada bulan,”terang Zharif lalu menguntum senyuman manis.
            “Wahh...pandai Zharif. Bravo bro,” giat Fuad sambil bertepuk tangan.
            Zawin tersenyum segan, menjuihkan bibirnya. “Ya la tu.”
            “Betul la. Ikhlas dari hati ini.” Zharif memegang dadanya.
            Zawin tersengih. “Erm...ada apa suruh Zawin turun malam-malam macam ni? Nak bagi Zawin hadiah ke?” selorohnya.
            “Ya,” sahut Fuad dengan yakin.
            Zharif mengangguk. “Sila pilih warna yang berkenan di hati.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Warna apa pula?”
            Fuad dan Zharif serentak mengunjukkan tangan ke arah kereta masing-masing.
            Zawin dilanda kejutan. “Biar betul?” soalnya tidak percaya. Kedua wajah lelaki itu dipandang seorang demi seorang. Kemudian menjatuhkan pandangan pada Honda Jazz warna merah milik Fuad kemudian beralih pada Honda Jazz warna biru muda milik Zharif.
            “Betul lah Zawin. Serius ni.” Fuad meyakinkan.
            “Ya Zawin. Kawan susah wajib tolong. Tentu Zawin ‘patah kaki’ tak ada kereta kan?” sokong Zharif.
            “Errr...” Zawin mengerdipkan matanya beberapa kali. Seakan tidak percaya dengan tawaran itu.
            Fuad mengangguk bersungguh sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. “Lagi pula...orang kata lelaki yang bawa Jazz ni lelaki gay. Kurang manis dipandang tau.”
            Zharif ketawa kecil. “Tahu tak apa.”
            Zawin tersenyum lebar mendengar kata-kata itu. “Pandangan orang usah dihirau,” ulasnya.
            “Apa pun...sekarang Zawin perlukan kereta. Sila pilih. Warna biru ke merah?” soal Zharif sekali lagi.
            Zawin terdiam seketika. Tawaran itu tidak pernah terlintas dimindanya. Namun dia bukan seorang yang mudah menerima budi orang lain. “Kalau Zawin tak nak, tak apa kan?” tolaknya dengan baik.
            “Kenapa Zawin tak nak terima?” soal Fuad pantas.
            “Erm...tak biasa guna harta orang. Mahal pula tu,” balas Zawin.
            “Zawin...kami ni bukan sesiapa kan dalam hidup Zawin?” Zharif bersuara sayu.
            Zawin dilanda serba salah. “Jangan cakap macam tu...”
            “Kalau anggap kami ni kawan...terimalah tawaran ni,” desak Zharif lagi.
            Zawin menghela nafas dalam-dalam. Merenung bulan di langit, Zawin cuba mencari cara supaya mereka berada dalam situasi ‘menang-menang’. Wajah Zharif dan Fuad direnung berselang seli. “Macam ni la. Zawin boleh terima...tetapi dengan syarat...”
            “Apa?” soal Fuad pantas.
            “Zawin akan bayar sewa sepanjang tempoh Zawin gunakan Jazz. Ok?”
            Fuad dan Zharif berlaga pandang. Masing-masing mengukir senyuman. “Deal,” ucap mereka serentak.
            Zawin tersenyum senang.
********   
            Gemleo: Hidup lagi rupanya. Ingat nak pergi ratik tadi
            Zawin mengerutkan keningnya melihat kotak bual itu sebaik membuka laman Facebook. Kertas-kertas kerja di atas meja ditolak ke tepi.
            Zawin: Kenapa pula?
            Gemleo: Mana ma pergi semalam? Pa call tak jawab.
            Zawin menghela nafas. Fahamlah dia punca jejaka itu berubah angin.
            Zawin : Ma minta maaf. Ma tertidur. Tak sedar malam tadi. Penat sangat.
            Gemleo: Pa dah cakap kurangkan kata maaf kan.
            Zawin : Ma masih pening kepala ni pa...
            Gemleo: Dah tu...potong la. Tak pun hantuk je pada dinding berdekatan.
            Zawin tersengih melihat kata-kata itu. Jika Daniel Iskandar mengamuk, begitulah ayat-ayat yang akan keluar.
            Zawin: Dah buat pun tapi tak berkesan.
            Gemleo: Ma sakit kepala tapi pa mati dah tahu tak? Geram la. Pi mana semalam?
            Zawin: Tak baca ke mesej ma tadi?
            Gemleo: Malas nak baca
            Zawin: Kenapa?
            Gemleo: Baca buat apa kalau pa dah mati masa tu.
            Zawin: Tapi pa hidup lagi kan?         
            Gemleo: Erm...Call tak angkat, geram tahu tak? Mula-mula memang geram tapi kalau lama sangat bimbang juga. Kalau ada apa-apa cakap awal. Kan selalu saja pesan macam tu. Nak pakai bahasa apa lagi baru ma faham eh? Berbuih dah cakap benda tu la.
            Zawin: Malam tadi memang ma tak sedar.  Ma pening. Ma makan dua biji panadol dan terus tak ingat apa.            
            Gemleo: Kalau pening, sakit... cakap la awal-awal. Pa memang sibuk malam tadi, banyak masuk bilik OT...so mesej saja la...pa akan faham la. Ini senyap saja.
            Zawin: Ma cuba call pa sebelum tu, tapi pa off phone. Pa nak ma buat apa lagi?
            Gemleo: Ma kena cakap selalu ok. Kan pa dah pesan, beritahu every your big move.  Walaupun tak dapat call pa, sekurang-kurangnya mesej. Mana lah tahu ma dah ok ke selepas beberapa ketika. Pa bukan tuhan sayang,  yang maha mengetahui. Kalau pa ada keistimewaan begitu tak apa juga. Macam-macam benda negatif pa fikir tau. Ma suke sangat buat pa bimbang dan cry.
            Zawin: Ma ingat...tapi ma betul-betul tak sedar malam tadi.
            Gemleo: Tolong la ma. Pa tak kisah ma nak tido 1000 tahun pun, tapi mesej saja la macam ni. Pa...ma sakit kepala sangat-sangat ni...Ma tido dulu ya. Mesej saja macam tu,  at lease pa faham la.
            Zawin: Ya...memang ma nak bagi mesej begitu...tapi ma nak pegang hp pun tak larat. Even though sekrang ni pun still rasa pening tapi tak kuat macam semalam. Perut pun dah ok. Semalam dua-dua buat hal, jadi tak dapat nak care pasal phone.
            Gemleo: Erm...pa ada hal ni. Ok la.bye and salam. Jaga kesihatan ok.
            Zawin : Erm.Bukan ke Pa cuti hari ni?
            Zawin mengumam seketika di depan skrin lap-top. Soalannya itu terbiar sepi. I-Phone dicapai, berniat untuk menghubungi Daniel Iskandar. Dia ingin bercerita pada jejaka itu mengenai kejadian yang berlaku malam semalam, ingin mengadu mengenai keadaan keretanya, namun menyedari kesibukan doktor perubatan itu membuatkan dia membatalkan hasrat. Zawin menyandarkan kepala pada kerusi kerja lalu memejam mata. Pelbagai perkara bermain difikirannya. Persoalan yang kerap memenuhi benaknya berkenaan musuh dalam diam yang tidak diketahuinya. Dia betegas tidak mahu melaporkan kejadian itu pada pihak polis memandangkan dia rimas dengan prosedur-prosedur yang harus dijalani. Hatinya bergalau resah tidak semena-mena. Wajah Zharif hadir mendadak lantas membuahkan senyuman. Pesanan lelaki itu semalam sebelum pulang semalam tergiang-giang ditelinga.
            “Zharif Zahir adalah superman Zawin Az-Zahra. Ingat saja pada Zharif,  pasti Zharif akan ada untuk Zawin.”
            Zawin terus membuka mata apabila nada dering detective conan berbunyi. Dia mengurut dada perlahan sebelum menjawab panggilan itu.
            “Teringatkan Zharif ke?” usik Zharif di hujung talian usai memberi salam.
            Zawin pantas menggigit bibir bawahnya. Macam tahu saja. Bisik hatinya. “Erm...terima kasih Zharif kerana tolong Zawin semalam,” ucapnya lembut.
            “Zharif kan superman Zawin. Anytime I’ll be there for you.”
            Zawin tersenyum nipis. “Thanks once again.”
            “Zawin...temankan Zharif lunch hari ni?”
            “Kalau Zawin tak nak?”
            “Kalau tak nak...superman ini akan terbang menemuimu walau dimana Zawin Az-Zahra berada.”
            Zawin menutup mulutnya menahan tawa. “Jika begitu...apalah dayaku. Akan ku nantikan kedatangamu wahai superman.”
             Tawa Zharif sudah meledak di hujung talian. “Ok...eyes smile angel. Got to go. Pukul 1 tepat Zharif sampai. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam.”
            Tidak sampai lima minit, nada dering Yakinlah Aku menjemputmu pula berbunyi. Zawin terus menjawab panggilan itu dengan teruja.
            “Pa kata ada hal tadi?” soal Zawin.
            “Ma rasa...pa ada dimana?”
             “Ma bukan tuhan yang maha mengetahui.”
            “Amboi...perli balik nampak?”
            “Siapa yang ajar?”
            “Erm...pa di Pet World.”
            “Mid Valley?”
            “Ya. Pa terasa nak beli arnab la. Apa pendapat ma?”
            “Arnab? Ma rasa...” Mata Zawin menangkap jam comel di atas meja kerja. Sepuluh minit lagi hampir pukul Sembilan pagi. Matanya membulat luas.  “Pa...nanti ma call pa balik. Ma ada kelas. Salam.” Zawin terus mematikan talian, mencapai buku rujukan dan beberapa fail lalu tergesa-gesa keluar dari bilik.



0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top