BAB 10

            “Weh, ada masalah di kampung ke?” soal Najla apabila melihat Zawin kelihatan termenung. Pelbagai makanan jepun di atas meja tidak disentuh sahabatnya itu.
            Zawin tersentak mendengar teguran itu. Fikirannya melayang memikirkan tentang pandangan pelik Ustaz Kamil kepada  Iskandar semasa mereka berkunjung ke gelanggang silat gayung. Entah untuk apa pandangan tajam itu dilontarkan kepada kekasihnya itu. “Erm...Najla. Kau ingat kan Ustaz Kamil?” soalnya.
            “Ish...mestila aku kenal. Guru silat paling tegas dan garang. Kenapa?”
            Zawin menggaru dagunya. “Kau pernah nampak tak dia merenung tajam pada seseorang?”
            “Banyak kali la. Dia kan memang suka renung orang. Renungan dia memang menakutkan. Macam harimau yang nak terkam mangsa buruan je.”
            Zawin menganggukkan kepalanya. Mungkin sahaja dirinya juga turut direnung sebegitu tanpa disedarinya. Dia tersenyum lega. Teh hijau dihirup perlahan. “Aku jumpa Ustaz Kamil balik baru ni. Dia masih macam dulu. Badan tegap, sikap tegas dan gemar merenung tajam,” beritahunya.
            “Ooo...patutla kau tanya tentang ni. Ala...ustaz tu memang macam tu. Kau dan Is je jenis muka tembok. Kena herdik banyak kali pun masa latihan, korang masih datang ke gelanggang. Aku awal-awal lagi dah cabut.”
            Zawin tersengih mendengar kata-kata itu. “Kau tahu...Is masih kalah dengan aku di gelanggang. Sama macam dulu. Dia tu...tak tunjukkan apa-apa kemajuan pun dalam silat.”  Tangannya mencapai tetpanyaki yang sudah sejuk.
            Najla terdiam. “Erm...doktor gemini tu memang tak ada bakat dalam martial art. Selalu kalah dengan kau. Tetapi silat la yang menyatukan korang berdua. Kau buatkan  Iskandar yang sombong tu terus menunduk di kaki kau. Tetapi...lelaki gemini tetaplah gemini. Kau sebagai perempuan Leo kena banyak bersabar dengan sikap flirt dia.”
            Zawin merenung wajah Najla. Rakannya itu selalu memberikan reaksi dingin apabila membicarakan mengenai kekasihnya itu. “Erm...sikap flirt tu memang ada dalam setiap lelaki bukan?” Dia cuba membela  Iskandar.          
            Najla mengangguk. “Yup. Tetapi...lelaki yang lahir sekitar 21 Mei hingga 21 Jun atau golongan gemini ni, adalah jenis yang gemar flirt around biarpun mereka sedang bersama kekasih. Biarpun lelaki gemini mempunyai kekasih, mereka masih mencari peluang bercinta dengan perempuan lain. Tidak mudah untuk menjadi kekasih mereka. Pokoknya, mereka jenis yang mudah bosan dan gemarkan kebebasan. Hanya perempuan yang kuat mental sahaja yang boleh serasi. Mereka tidak akan membenarkan diri dikuasai perempuan dan biasanya berkahwin dengan perempuan kerana faktor intektual. Rupa menjadi faktor nombor dua, ketiga atau faktor terakhir. Ini mungkin satu ciri yang bagus tentang lelaki gemini tetapi perempuan gemini terbalik pula sebab mereka ni pentingkan rupa lelaki.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Adakah  Iskandar begitu juga?”
            Najla mengangkat bahunya. “Dia memilih kau atas sebab apa? Cuba kau tanya dia. Kau akan lihat sendiri sikap lelaki gemini seiring dengan masa. Cuba kau perhatikan dia saat kau keluar di kawasan awam,” sarannya bersungguh.
            “Ok. Aku tanya nanti.”
            “Eh, apa cerita Mr.Hata kau tu? Kau kata nak jumpa dia di Pusat Akuatik kan?”
            “Aku terlupa,” sahut Zawin dalam senyum pahit. “Bila Is ajak aku balik kampung, terus aku setuju. Rasa bersalah memang ada...sebab tu, hari sabtu ni aku set semula masa untuk Mr.Hata.”
            Najla berpeluk tubuh. “Erm...aku teringin nak tahu zodiak Zharif. Nanti kau tanya bila dia lahir ya?” pintanya.
            “Kau rasa dia golongan zodiak apa? Kau kan pandai menilai orang,” duga Zawin.
            Najla tersengih. Merenung dan menilai sejenak personaliti jejaka tampan bernama Zharif Zahir. Dia tidak banyak berjumpa jejaka itu, namun dari cerita Zawin dia dapat menyimpulkan serba sedikit. “Aku rasa dia mungkin lahir around 24 September sehingga 23 Oktober. Lelaki Libra,” jawabnya dengan yakin.
            “Oh...sama dengan Anas kan? Kenapa kau rasa dia lelaki Libra?”
            “Tampan. Very handsome indeed. Kebanyakan lelaki Libra memang golongan lelaki tampan. Lelaki Libra ramai yang berjaya dalam perniagaan. Itu kerjaya utama Zharif kan? Lelaki Libra sukakan barangan mewah. Kalau perhatikan penampilan Zharif dari kepala sampai hujung kaki, semuanya barangan berjenama. Kalau betul la Zharif Zahir lelaki Libra, perempuan yang memiliki hati dia pasti perempuan bertuah dalam dunia.”
            “Kenapa?” pantas Zawin menyoal.
            Najla tersenyum nipis. “Lelaki paling romantis di kalangan zodiak adalah Libra. Ini kajian para astrologer dan ikut pengalaman dan pemerhatian aku, memang ada benarnya. Anas...sangat romantis. Aku pernah cerita pada kau dulu kan yang dia gemar meninggalkan nota-nota cinta di mana-mana sudut rumah. Itu antara sebab mengapa lelaki Libra sangat istimewa dan aku beruntung memiliki lelaki dari golongan Libra. Tak banyak zodiak yang boleh ngam dengan zodiak Leo yang suka memerintah dan mendominasi, tetapi Libra boleh menyempurnakan kekurangan Leo.”
            Zawin menggaru bawah dagunya. Sup miso dihirup perlahan. “Erm...macam menarik. Apa lagi sikap Anas yang mewakili lelaki Libra? Libra ni setia ke?”
            “Erm...Libra adalah zodiak jenis Air atau angin bersama zodiak Gemini dan Aquarius. Ciri-ciri zodiak angin ni jenis intelektual yang sukakan kebebasan, suka berparty, suka berkawan dan tentunya suka flirt around. Kebanyakan lelaki Aquarius yang aku kenal gemarkan perempuan cantik dan pandai bergaya. Lelaki Aquarius mudah bosan dengan perempuan, sebab tu depa ni jenis yang tak suka beri komitmen dalam hubungan hati. Mereka lebih utamakan kerja dan kawan-kawan. Lelaki gemini pun sama. Mudah bosan dan suka main kayu tiga. Kalau dalam kemunikasi, jangan haraplah mereka nak mengalah. Kata depa je yang betul. Ego sangat tinggi dan gemini ni mudah gemuk! Tetapi mungkin sahaja waktu darah muda je mereka berperangai sedemikian, sebab ikut kajian, gemini dan aquarius akan matang dan lebih baik seiring usia.”
            “Lelaki Libra macam tu juga ke?”
            Najla menggangguk. “Ya, cuma lelaki Libra ni...agak ok berbanding Aquarius dan Gemini dalam kes hubungan hati. Libra pun jenis suka flirt dan sukakan kebebasan tetapi apabila mereka sudah berjumpa dengan pasangan yang tepat, mereka akan setia. Cuma satu kelemahan depa ni. Bad decision maker. Tak reti nak buat keputusan. Anas selalu minta aku yang buat keputusan bagi pihak dia bila dia perlu memilih. Di sini Leo melengkapkan kekurangan Libra sebagai pembuat keputusan.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Tadi kau kata Anas dalam kategori angin. Leo dalam kategori zodiak api kan? Kau dan Anas bukan kategori sehati sejiwa kan?”
            “Erm...Zodiak angin seperti Gemini, Aquarius dan Libra, mereka dikategorikan sebagai sehati sejiwa dalam berpasangan. Contohnya gemini dengan aquarius, Libra dan gemini dan sebaliknya. Leo adalah kategori api bersama Aries dan Sagitarius. Jika mana-mana tiga bintang ni berpasangan, mereka turut dilabel sehati sejiwa. Lelaki Aries jenis anak mak, Sagitarius pula jenis yang baran dan kuat cemburu. Berdasarkan pengalaman, memang aku rasa ‘klik’ dengan lelaki Aries dan Sagitarius, cuma kurang fun dan tak serasi sepenuhnya. Tapi bila aku berkawan dengan Anas, baru aku rasa ada keserasian yang kuat walaupun astrologer melabelkan gabungan Leo-Libra dalam kategori saling memahami.”
            “Serasi macam mana tu?”
            “Erm...Kami saling melengkapi dan menyempurna. Kau tahu kan yang aku ni jenis emosi dan moody tetapi Anas melengkapi kelemahan aku dengan sifat sangat penyabar dan penyayang. Aku cenderung marah-marah untuk perkara kecil tapi Anas mampu buat aku sejuk semula. Aku akui...sebagai wanita Leo...memang ego aku tinggi, tetapi lelaki Libra jenis yang meletakkan ego dibelakang mereka sebab itu aku dan Anas hampir tidak pernah bertengkar. Anas...melengkapi diri aku dalam pelbagai segi. Kami berkongsi citarasa yang sama, love being in love, gemar candlelit dinners, menari, muzik, adventure, love to attend social gatherings, saling berbalas nota-nota cinta...dan menariknya kami berkongsi bakat artistik yang sama dalam mencantikkan rumah. Melalui kajian astrologer, ramai pasangan Leo-Libra cenderung kepada long lasting love. Ada yang menyimpulkan, Leo-Libra adalah cinta sempurna dari syurga.”
            “Kau percaya dengan semua kajian ni?”
            Najla mengangkat bahunya. “Walaupun astrologer ramai yang bukan muslim, tetapi ilmu yang mereka kaji ini boleh dijadikan sebagai panduan mencari keserasian. Alhamdulillah. Ilmu ni banyak membantu aku dalam membaiki kelemahan diri dan mengelakkan daripada mencetuskan perang dalam hubungan kami.”
            Zawin merenung wajah Najla bersungguh. “Apa sebab utama kau memilih Anas?”
            Najla tersengih. “Kau tahu...walaupun aku cenderung pada ilmu metafizik, tetapi faktor utama aku pilih Anas kerana dia lelaki yang menjaga agama dan batasan pergaulan. Semasa kami berpasangan dulu, dia tidak pernah menyentuh aku biarpun sekadar berpegangan tangan.”
            “Serius?” Zawin membulatkan matanya.       
            Najla mengangguk bersungguh.
            “Padanlah aku suka tengok air muka dia. Macam ada nur je. Wajah lelaki beriman.”
            Najla tersenyum lebar. “Aku meletakkan agama sebagai faktor utama dalam memilih jodoh dan tanpa disangka, banyak perkara-perkara baik yang menyusul. Ilmu metafizik membantu aku mengatasi sebarang halangan dalam hubungan kami. Contohnya aku perbaiki sikap yang suka mendominasi dan possessive dalam hubungan cinta kami. Aku mula memberikan ruang kebebasan kepada Anas dan aku boleh tersenyum walaupun ada rasa cemburu tatkala Anas berbual dengan perempuan lain.”
            Zawin terangguk-angguk sendiri. “Macam tu. Err...kalau gabungan Gemini-Leo macam mana pula?”
            Najla merenung wajah ingin tahu gadis itu. Kuih beras berinti coklat mentega dicapai lalu dimasukkan ke dalam mulut. Dikunyah perlahan sambil matanya masih terarah pada wajah Zawin. “Gemini-Leo adalah gabungan saling memahami. Sepadan dan serasi sebenarnya. Tetapi masalah akan wujud dengan sifat gemini yang suka menggoda perempuan, hilang mood pada satu-satu masa dan sharp-tounge. Kalau Leo mampu kurangkan sifat cemburu, bertoleransi dengan moody gemini dan juga Leo mampu merendahkan ego dengan menerima kritikan pedas gemini...hubungan gemleo akan berjaya.”
            Zawin terdiam mendengar kata-kata nasihat itu. Semua yang dikatakan Najla memang ada benarnya. “Rabu ni...Is cuti. Kebetulan kelas aku hari rabu bertukar ke hari khamis. Jadinya, aku ingat nak habiskan masa dengan Is. Sebelum ni kami hanya keluar dalam masa yang singkat je. Ada banyak perkara yang aku nak lakukan bersama dia. Harap-harap semua berjalan lancar.”  
            Najla mendepangkan kedua tangannya. “Kalau macam tu enjoy baby. Tapi...kena banyak-banyak bersabar tau.”
            Zawin mengerutkan keningnya dengan kata-kata itu. “Apa maksud kau?”
            “Tak ada maksud la. Cuma satu peringatan sahaja daripada sahabatmu ini.”
            Zawin memuncungkan bibirnya. “Kau ni...tak pernah berfikiran positif kalau melibatkan  Iskandar atau mana-mana lelaki gemini kan?”
            Najla mengangkat kedua bahunya. Dia tersengih sendiri sambil menghirup teh hijaunya.
*******
          
            “zawin nak makan apa?” soal  Iskandar sebaik Zawin berdiri disebelahnya di hadapan gerai Western Food.
            Zawin mengangkat bahunya. Matanya meliar memandang food court yang terdapat didalam bangunan  KLCC  itu. Sebaik matanya menangkap tulisan japanese food tidak berapa jauh dari tempatnya berdiri, dia sudah tersenyum sendiri. “zawin nak makan makanan jepun,” beritahunya seraya mengunjukkan jari ke arah gerai yang dimaksudkannya.
            Iskandar ketawa kecil. “Dah agak pun. Pergila.”
            Thanks,” ucap Zawin sambil terus mengatur langkah. Melihat gadis cina yang menjaga gerai makanan jepun itu membuatkan hatinya diserang keraguan. Dalam teragak-agak, dia mendekati gerai itu. “Err...makanan di sini halal tak?” soalnya ingin tahu.
            Gadis cina berambut perang paras bahu itu menggeleng. “Banyak makanan yang menggunakan alkohol. Tapi ada beberapa hidangan yang halal,” jelasnya.
            Zawin memberikan senyuman kelat. Seleranya tiba-tiba mati biarpun perutnya berkeroncong. “Tak apa la. Terima kasih,” ucapnya langsung mengatur langkah.
            “Kenapa tak beli makanan?” soal  Iskandar sebaik melihat Zawin melenggang lalu duduk dihadapannya.
            “Was was,” sahut Zawin spontan. Matanya membuntang luas tatkala melihat stik lembu di pinggan  Iskandar telah habis. “cepatnya is makan,” tegurnya.
            Iskandar tersengih. “is...tak kenyang lagi ni, nak beli nasi ayam.  tunggu sini ya.”  Iskandar mengenyetkan matanya lalu bangun.             
            Nada mesej berbunyi dari I-Phone didalam tas tangan. Cekatan dia menarik I-Phone keluar, membuka isi mesej.
            Maaf ganggu. Aku tiba-tiba teringat pasal satu benda ni. Orang tua-tua kata, lelaki yang makan secara tertib atau perlahan, menggambarkan lelaki itu sangat tertib semasa making love. Begitu la sebaliknya. Cuba kau tengok cara  Iskandar makan.
            Zawin ketawa halus usai membaca mesej dari Najla itu.mesej berbalasan. apabila iskandar kembali bersama nasi ayam, pesanan najla itu tergiang-giang dikepalanya. Melihat cara lelaki itu makan dengan cepat, matanya terkelip-kelip sendiri. Sebelum ini dia tidak mengendahkan langsung cara  Iskandar makan, namun mesej Najla sebentar tadi membuatkan dia berfikir sejenak.
            Usai makan, Zawin berjalan seiringan dengan  Iskandar lalu melabuhkan punggung di atas kerusi besi. Mereka bersama-sama memerhatikan gelagat pengunjung yang lalu lalang.
            Zawin menjuihkan bibirnya. Dia benar-benar bosan dengan  sikap lelaki itu yang gemar bermain mata dengan gadis-gadis yang lalu-lalang. Sama seperti Wan Zaidi!  Iskandar di sisi telah hilang dalam dunianya sendiri. Entah apa yang dilihat lelaki itu sehingga tersenyum-senyum sendiri. “Kenapa sengih macam kerang busuk ni?” soalnya bersulam rasa hairan.
             “Tu...”  Iskandar mengunjukkan tangannya ke satu arah. “Perempuan tu jalan kengkang. Buruk betul,” beritahunya selamba.
            Zawin membulatkan matanya mendengar kata-kata itu. “danial iskandar! Kalau pun perempuan tu jalan kengkang, kita sebagai manusia tak layak nak menghina kekurangan orang’, tegurnya tanpa dapat mengawal rasa marah.
            “Laa...is cakap betul apa. Cuba zawin bangun, nak tengok ma jalan kengkang ke tak?”
            “Dah la.” Zawin malas melayan lalu terus bangun, membawa kakinya ke dalam gedung Parkson.
            Iskandar pantas mengekori jejak kekasihnya. Dia memintas lalu menghadang Zawin daripada melangkah. “Yang zawin nak marah-marah ni kenapa?”
            “Marah? Memang patut pun zawin marah. rasa malu tiba-tiba.  Benda-benda sensitif macam tu tak perlu ditegur. Jangan terlalu outspoken. Memang la is tak reka cerita yang perempuan tu jalan kengkang, tetapi is tu sempurna sangat ke? . Huh.” Zawin terus berjalan ke dalam Parkson tanpa mengendahkan jejaka itu.
            Iskandar kembali mengekor langkah Zawin. “Ya la. Ya la. is tak buat lagi. Jom teman is pilih baju,” ajak  Iskandar tanpa mengendahkan kemarahan Zawin.
            Zawin menarik nafas dalam-dalam. Lelaki ini sama seperti Wan Zaidi! Sukar meminta maaf selepas lakukan kesalahan.
           “Ala.... jangan la marah,” pujuk  Iskandar apabila melihat wajah masam kekasihnya.
            Zawin mengetap bibirnya, melepaskan nafas dalam-dalam. lelaki itu selamba masuk ke bahagian pakaian lelaki dan leka membelek-belek pakaian. Zawin...kau kena terima dia seadanya. Apa pun yang berlaku, kau harus belajar bersabar. Pujuk hatinya. Dalam diam, cerita Najla mengenai zodiak dan kaitannya dengan personaliti diri mula diterima akalnya.
*******
            Teruterubozu : Saya tak mungkir janjilah.
            Hata : Habis tu...kenapa saya tak nampak awak
            Teruterubozu : Awak rabun ke?
            Hata : Tak. Kenapa?
            Teruterubozu : Cuba toleh sebelah kanan awak.

            Zharif pantas menoleh ke arah kanannya. Melihat wajah ayu dalam pakaian sukan Nike berwarna kuning itu membuatkan dia tersenyum lebar. “Erm...nampaknya teruterubozu telah mengenal Mr.Hata. Apa yang nak dikata?”
            Zawin menatap selamba wajah kacak itu. “Tak perlu kata apa-apa. Senyum,” ujarnya sambil mengukir senyum nipis.
            Zharif ketawa lepas. “Zawin...Zawin...Akhirnya kita berjumpa juga sebagai Mr.Hata dan teruterubozu.”
            Zawin mengangkat bahunya. “Takdir. Memang sungguh mencengangkan. Erm...Kenapa ajak saya ke sini? Setahu saya ini tempat banyak aktiviti seperti kompleks sukan. Itu yang saya pakai macam ni.”
            “Betul la tu. Itu yang saya suka awak. Buat kajian dahulu sebelum lakukan sesuatu.”
            Zawin berdehem perlahan. “Erm...apa aktiviti awak buat di sini?” soalnya ingin tahu. Matanya merenung lelaki yang mengenakan sweater putih hitam nike itu.    
            “Kita buat pemanasan dulu di trek belakang. Boleh?” saran  Zharif.
            “Ok.” Zawin memberikan persetujuan.
            “Zawin...apa kata...kita lumba lari? Kita tengok siapa yang paling pantas,” saran Zharif saat mereka tiba di kawasan trek balapan itu.
            Zawin mengangkat keningnya. “Zharif rasa boleh lawan Zawin ke?” cabarnya.
            “Eh, tengok kaki la. Ke...Zawin yang rasa dah kalah awal-awal?”
            Quitter never win. Try me.” Zawin sudah menyinsingkan lengan sweaternya. Dia menurunkan lutut kiri di atas trek.         
            Zharif tersengih. Gadis ini memang pantang dicabar. Dia turut menjatuhkan lutut kirinya disebelah Zawin. “Ok...sedia...Mu...!” Mata Zharif terkebil-kebil apabila Zawin sudah berlari dahulu sebelum dia menghabiskan ayat.
            Zawin berhenti berlari, menoleh ke belakang sambil menjelirkan lidahnya. “Kenapa pakcik? Sakit lutut ke?” ejeknya sambil tersengih. Dia menapak perlahan mendekati Zharif yang masih berkedudukan seperti tadi.
            Zharif tersengih sinis. Dia terus memecut tanpa mengendahkan gadis itu.
            Zawin membulatkan matanya. “Ooo balas balik ya!” Zawin terus melajukan lariannya, cuba mengatasi kelajuan lelaki itu.
            Zharif melabuhkan punggungnya ke atas trek balapan. Dia menghela nafas, melepaskan lelahnya. Peluhnya memercik keluar. Zawin di sebelah kelihatan selamba merenungnya. “Cuba cakap...Zawin bekas atlet kan?” soalnya tidak sabar-sabar selepas dikalahkan gadis itu.
            Zawin menggeleng laju. “Zawin menang sebab nasib je ni,” balasnya selamba.
            “Tipu!” Zharif merenung wajah merah putih itu. “Cara Zawin lari seperti pelari profesional.”
            Zawin menatap mata coklat lelaki itu. “Apa pendapat Zharif?” soalnya kembali.
            “Erm...Zharif rasa...”
            “Apa yang Zharif rasa?”
            “Zharif rasa...Zawin atlet olahraga zaman sekolah dulu kan?”
            Zawin tersenyum penuh makna. “Mungkin sahaja,” ujarnya seraya mengangkat bahunya. 
            “Zawin ni suka berahsia kan? Apa lagi yang Zharif tak tahu tentang Zawin ya?” Zharif meneliti wajah gadis itu. Personaliti gadis ini benar-benar menyihir dirinya.
            “Kalau sudah tiada rahsia...bukan menjadi satu misteri lagi,” balas Zawin sambil mengerdipkan matanya.
            “Ya...seperti lagu Once In A Blue Moon.” Zharif mengangkat keningnya.
            Zawin tersenyum nipis. “Erm...Zharif bukan datang sini semata-mata untuk berlari kan?” tebaknya sambil matanya menyeluruhi seluruh kompleks pusat akuatik itu.
            “Apa pendapat Zawin ?” soal Zharif semula.
            “Zawin rasa...”
            “Apa yang Zawin rasa?”
            “Rasanya...Zharif main kick-boxing kan?” tebak Zawin.
            Zharif tersentak. “Macam mana Zawin tahu?” soalnya dengan spontan.
            “Ooo...betul la ya?” Zawin sudah tersenyum lebar. Tebakannya ternyata mengena.
            “Macam mana Zawin tahu?” soal Zharif tidak puas hati.
            “Erm...kalau Zharif jumpa seseorang yang baru dikenali, biasanya mesti orang akan menebak Zharif  keturunan thai kan?”
            Zharif mengangguk laju. “Jadi, apa kaitannya?”
            “Zawin kaji aktiviti yang ada di pusat akuatik ni. Salah satu aktiviti yang sering diperkatakan dalam forum internet adalah kick-boxing, satu martial art yang berasal dari negara gajah putih. Zharif Zahir ada darah thai...dan Zawin cuma kaitkan begitu sahaja,” jelas Zawin panjang lebar.
            Zharif tersenyum manis. Gadis ini memang bijak. Matanya merenung wajah gadis itu dengan lebih dalam. “Zawin nak Zharif ajar kick boxing tak?” tawarnya.
            Zawin menjungkitkan bahunya. “Tengok dulu prestasi Zharif.”
            Zharif membulatkan matanya. “Amboi...underestimate nampak?”
            Zawin tersengih. “Kalau Zharif hebat, mesti dah lama jadi hero filem Om-Bak.”
            Zharif ketawa besar mendengarnya. “Pandai la. Zharif orang Malaysia ok. Bukan Thailand.”
            Zawin tersenyum nipis. “Zawin haus,” beritahunya lantas bangun, menapak  ke arah beg yang diletak di hujung trek.
            Zharif turut bangun, mengiringi langkah Zawin. “Zawin...malam ni jadi kan teman Zharif?”
            “Mestilah. Kan dah janji.”
            “Ok...Zharif ambil Zawin ok. Kita guna satu kereta je ya?” saran Zharif lagi.
            Zawin berfikir sejenak. Keretanya memang meragam akhir-akhir ini. Dia baru sahaja berkira-kira untuk hantar kereta kelisanya ke pusat service. “Ok.” Zawin memberikan persetujuannya. Usai sampai di permulaan trek, Zawin membuka beg kuningnya lalu menarik keluar botol air.
            Zharif tersenyum senang. Dia turut meneguk air daripada botol minumannya. “Zawin...dinner malam nanti di rumah Dato’ Wan Zahid. Maaf, sebab tak beritahu sebelum ini. Kalau Zawin menolak pun, saya akan faham,” beritahunya tenang.
            Zawin terdiam. Dia menghela nafas berat.
******
            “Zawin?” Datin Zainab terkejut melihat kelibat gadis itu di sisi Zharif.
            “Apa khabar Datin?” soal Zawin ramah. Tangannya dihulurkan kepada wanita berambut kerinting itu.
            “Baik,” balas Datin Zainab, menyambut huluran tangan gadis itu. Dia mengukir senyuman nipis dalam rasa tidak percaya. “Err...Zharif dah lama kenal dengan Zawin?” soalnya ingin tahu.
            Zharif mengangguk pantas. “Sejak tahun 2003.”
            “Waah...dah lama tu. Tapi kenapa auntie tak pernah nampak kamu berdua?” soal wanita itu lagi.
            “La...mari masuk. Kenapa tercegat di depan ni,” tegur Dato’ Wan Zahid yang datang dari ruang tamu. “Mari masuk Zawin...Zharif,” pelawanya dalam senyuman lebar.
            Zharif mengangguk. Matanya dikalihkan pada wajah Zawin yang mengukir senyuman paksa. Dia tahu gadis itu keberatan untuk masuk ke dalam banglo yang pernah memberikan sebuah kenangan pahit tetapi kesungguhan Zawin dalam menepati janji membuatkan dia semakin menghormati gadis itu.
            Datin Zainab memegang lengan suaminya.  “Abang memang dah tahu Zawin nak datang kan?” bisiknya perlahan.
            Dato’ Wan Zahid mengangguk. “Zharif beritahu dalam perjalanan tadi.”
            “Erm...mereka tu ada apa-apa ke Abang? Lain macam je saya tengok cara Zharif pandang Zawin,” tebak Datin Zainab.
            Dato’ Wan Zahid ketawa kecil. “Mana ada. Zawin tu dah ada teman lelaki pun. Kata Zharif,  lelaki tu doktor perubatan,” ceritanya dalam suara perlahan.
            “Wah, doktor.  Cepat juga Zawin cari pengganti ya.”    
            “Bukan pengganti. Tapi doktor tu teman lelaki pertama Zawin. Saya tahu ni pun masa saya keluar makan di hotel dengan Wan Zaidi dan Zharif. Mereka berdua bercerita tentang Zawin. Erm...biarlah Zawin tu bahagia.”
            “Ya la Abang. Saya pun masih ada rasa bersalah pada dia. Sedikitpun dia tak berdendam. Tengoklah tadi, dia yang hulurkan tangan pada saya. Memang sopan santun budaknya. Sangat berbeza dengan menantu kita...” Datin Zainab mengeluh kecil.
            “Jangan cakap tentang Yasmin. Elok-elok macam ni, boleh terkena serangan jantung pula.”
            Datin Zainab mengurut lengan suaminya. “Ya la Abang. Jom ke dapur,” ajaknya.
            Yasmin mengetap bibirnya. Perlahan-lahan dia menapak keluar dari tiang tempatnya berlindung. Dia tidak kisah dengan pandangan mertuanya terhadap dirinya. Dia cuma tidak suka mendengar kisah Zawin berpacaran dengan seorang doktor perubatan. Mengapa gadis itu sering mendapat yang terbaik? Senyuman lebar kemudiannya terukir dibibirnya. Nampaknya aku masih ada peluang untuk dapatkan Zharif. Bisik hatinya.
            “Min buat apa tercegat di sini? Jom masuk,” ajak Wan Zaidi yang muncul di muka pintu rumah.
            Yasmin melemparkan senyuman manis pada suaminya. Lengan itu dipeluk kemas. “Jom. Ada tetamu yang istimewa,” beritahunya dengan teruja.
            Wan Zaidi mengerutkan wajahnya. Tidak faham maksud isterinya.




0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top