Friday, November 25, 2011

Gemleo 4

BAB 4
           
            “Zawin...Boleh mak cakap sikit?” Puan Dahlia mendekati anak tunggalnya itu.
            “Boleh mak. Ada apa?” Zawin mengurangkan volume suara peti telivisyen, memandang tepat wajah yang masih jelita itu biarpun sudah ada garis-garis penuaan.
            “Tengah hari ni ada tetamu yang nak datang,” beritahu Puan Dahlia.
            “Siapa? Zawin kenal dia tak?”
            Puan Dahlia terdiam sejenak. Matanya merenung lembut wajah anaknya itu.           “Zawin...Zawin ingat tak kata-kata mak mengenai kemaafan?”
            Zawin hanya diam.
            Puan Dahlia melanjutkan bicaranya. "Hati seorang muslim yang pemaaf, doanya mudah makbul.”            
            “Mak terus terang saja la.” Zawin mengerutkan dahi. Terasa hairan berputik dibenak. Bagaikan ada sesuatu yang disembunyikan ibunya.
            “Zawawi bin Zainal. Nama yang mustahil untuk kita berdua lupa. Kan? Mak cuma...nak tahu perasaan Zawin sekarang. Zawin dah maafkan abah?” soal Puan Dahlia teragak-agak.
Wajah Zawin bertukar kelat. “Mungkin...selama...”
            Bunyi loceng pintu di hadapan pintu rumah membantutkan kata-kata Zawin.
            Puan Dahlia  bangun, mendapatkan pintu itu lalu membuka perlahan.
            Tatkala pintu terkuak luas, Zawin menahan nafasnya, mengetap bibirnya kejap.
            Dato’ Zawawi memandang dalam rasa terharu melihat zuriat yang telah menginjak umur dewasa itu. Matanya berkaca-kaca melihat anak perempuan yang sekian lama dirindui itu. “Zawin Az-Zahra...anak abah...” Dato’ Zawawi meluru untuk memeluk tubuh tinggi lampai itu, namun dia hampa apabila Zawin mengelak lalu berlari-lari anak, naik ke tingkat atas. Air mata tuanya gugur perlahan. “Zawin...dia...tak pernah maafkan saya. Kan?”
            Puan Dahlia menghela nafasnya. “Awak tunggu di sini. Biar saya yang bercakap dengan dia.”
            Dato’ Zawawi mengangguk dalam sebak.
            Zawin menangis bersungguh. Wajahnya disembamkan ke atas cadar katil. Tangan kanannya digenggamnya erat. Wajah lelaki tua itu menari-menari diruang ingatan. Peristiwa kecurangan lelaki itu bagaikan ditayangkan satu persatu, bertukar perempuan silih berganti sehinggala membawa kepada penceraian ibu bapanya. Sungguh dia tidak dapat menerima kehadiran lelaki itu semula dalam hidupnya.
            “Zawin...” Puan Dahlia membelai rambut hitam anaknya. Dia melabuhkan punggung di birai katil bercadar hijau kuning itu. “Abah Zawin datang dari jauh tu. Dah lama dia nak jumpa Zawin. Zawin tak kesian kan dia? Yang dulu tu...sudah la. Setiap manusia itu tak dapat lari dari buat salah,” pujuknya lembut.
            Zawin memalingkan wajah yang penuh juraian air mata. “Mak...Kenapa mak terlalu mudah menerima dia kembali dalam hidup mak?”
            “Sebab...dia ayah kandung Zawin. Dia...lelaki yang pernah berkongsi hidup dengan mak. Tapi Zawin jangan sesekali silap. Mak memang dah maafkan abah Zawin...tapi itu tidak bermakna mak memberi ruang untuk dia hadir kembali dalam hidup mak, hidup kita. Cuma...kita harus berlapang dada memaafkan kesalahan abah Zawin dulu.”
            Zawin merenung wajah sayu ibunya. Kepalanya direbahkan di atas riba ibunya. “Mak...Zawin dah cuba sedaya mungkin untuk maafkan, tapi...bila Zawin tengok wajah abah je,  memori sedih dulu pasti akan mengingatkan Zawin kembali perbuatan abah. Mak...Zawin salah ke? Zawin cuma...tak dapat lupa apa yang abah buat dulu dan Zawin tak akan pernah ada kekuatan untuk memaafkan abah apa lagi menerima abah kembali dalam hidup Zawin...” Zawin kian teresak-esak. Hatinya benar-benar hancur luluh apabila terkenangkan peristiwa silam.
            Puan Dahlia membelai rambut lebat itu lagi. “Mak faham. Belum tiba masanya untuk dia muncul kembali. Tak apa la. Mak turun sekejap. Tak sampai hati biar tetamu berlama-lama di bawah.”
            “Mak...” panggil Zawin tatkala Puan Dahlia sudah berada di ambang pintu bilik.
            “Ya sayang.”
            “Macam mana mak boleh berdepan dengan abah? Mana mak letak hati mak?”
            Puan Dahlia tersenyum nipis. “Zawin Az-Zahra...apabila kita mengingati mati, segala rasa terluka, kecewa dan sengsara akan perlahan-lahan terhakis dari lubuk jiwa. Kemanisan iman akan tumbuh dalam jiwa lalu kita hanya menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.”
            "Ingati mati?” Zawin bagaikan bercakap pada dirinya sendiri. Bukankah itu saranan Nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya? Serta merta matanya berkaca. Terasa dirinya jauh daripada pesanan yang ditinggalkan junjung mulia nabi akhir zaman itu. "Jadinya, mak redha dengan apa yang berlaku?” soalnya dalam suara lirih.
            Puan Dahlia mengangguk. "Mak redha, andai itu takdir hidup mak. Kalau diikutkan rasa hati, kalau diikutkan marah dan kecewa, mak memang tak kan layan abah Zawin malah tidak akan ambil peduli...Tapi...sejujurnya...mak bersyukur dengan ujian yang berlaku. Mak jadi lebih dekat dengan Allah S.W.T, mak punya waktu untuk hadirkan diri dalam majlis ilmu dan mak benar-benar lega apabila jodoh kami berakhir. Hati mak sekarang...tiada sekelumit pun rasa benci terhadap abah Zawin,” jelasnya lagi.
            Zawin termanggu sendiri. “Mak, macam mana kalau hati Zawin masih gagal memaafkan? Apa yang abah lakukan dulu...bagai pita diulang-ulang putar dalam kepala Zawin. Zawin takut mak...Zawin takut...hati Zawin yang keras ni akan buatkan Zawin jauh dari redha Allah.”Zawin kembali menangis. Dia teresak dalam sendu berlagu pilu.
            Puan Dahlia meluru mendapatkan Zawin. Anak itu dipeluk erat ke dalam dakapan. Rambut lebat itu dibelai lembut. "Mak faham apa yang Zawin rasa bila takdir hidup Zawin berulang kembali. Ambillah masa untuk maafkan abah. Buruk bagaimana pun dia...dia tetap abah kandung Zawin.”
********
            “So, macam mana dengan majlis perkahwinan dua gemini tu?” soal Najla agak sinis sebaik bertemu Zawin di pantry. Dia turut duduk mendepani gadis itu, menghirup milo panas sambil matanya memerhatikan riak wajah gadis itu.
            Zawin tersenyum nipis. “Macam biasa. Tak ada yang menarik pun.”
            “Kenapa pula tak menarik?”
            “Sebab tak ada bunga sakura,” jawab Zawin selamba. Teh hijau dihirup perlahan.
            Najla tersengih. Dia tahu persandingan dalam taman bunga sakura adalah impian rakannya itu sejak zaman remaja dulu lagi. “Jadinya, apa reaksi Wan Zaidi? Perempuan tu tak terkejut ke tengok kau datang? Mak ayah Wan Zaidi layan kau tak?” soalnya bertalu-talu.
            Zawin mengangkat bahunya sambil mengunyah popia basah.
            “Kau tak nak kongsi dengan aku?” soal Najla lagi.
            Zawin merenung anak mata coklat wanita dihadapannya.“Bukan aku tak nak kongsi dengan kau, cuma...apa yang boleh aku simpulkan aku dah ok. Hati aku dah lepaskan Wan Zaidi sepenuhnya. Semoga dia bahagia je la.” Zawin meraup wajahnya sambil menarik nafas dalam-dalam. “Aku dah pulih. Sekarang, aku nak pandang kehadapan. Hidup ni bukan lama mana pun untuk kita terus menerus meratap takdir,” sambungnya lagi dalam senyuman lebar.
            Najla turut tersenyum. “Bagus la. Aku tahu yang kau gadis Leo yang kuat. Kau terlalu baik untuk Wan Zaidi, sebab itu la kau tiada jodoh dengan dia.”
            Zawin mengangkat bahunya. “Mungkin sahaja.”
            Najla dan Zawin sama-sama tersenyum. Keadaan hening seketika. Masing-masing menikmati sarapan pagi yang dibawa.
            “Zawin...apa ciri-ciri lelaki idaman kau?” soal Najla tiba-tiba. Matanya dipusatkan pada gadis yang mengenakan baju kebaya merah jambu polos itu.
            “Erm...penting ke?”
            Just...nak tahu. Aku lihat selama ni kau asyik terjebak dengan lelaki Gemini, mungkin sahaja ciri-ciri yang kau nak tu, banyak karekteristik lelaki Gemini.”
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Sejujurnya, Wan Zaidi dan err... Iskandar...dua-dua tu masih tak menepati ciri-ciri yang aku nak.”
            Mata Najla membulat luas. “Really?”
            “Ya,” sahut Zawin dengan yakin.
            Najla sudah berpeluk tubuh. Matanya lama menatap seraut wajah jelita itu. “Zawin...aku juga wanita Leo, wanita yang sangat demand dalam memilih pasangan. Boleh aku tahu ciri-ciri lelaki yang kau impikan? Mungkin sahaja ada persamaan dengan citarasa aku?”
            Well...” Zawin berfikir sejenak. “Lelaki yang aku inginkan mestilah beriman kerana itu tunjang kepada akhlak dan hati budi. Kedua, aku inginkan lelaki setia kerana disitulah letaknya erti lelaki sejati. Ketiga, sifat bijaksana sangat penting pada aku kerana itulah keistimewaan lelaki yang dikurniakan sembilan akal. Keempat, lelaki itu haruslah ada karier tetap kerana ciri ini adalah asas kepada kehidupan dan yang kelima...erm...aku sukakan lelaki yang penuh dengan elemen kejutan kerana hidup akan lebih berwarni-warni dengan adanya lelaki sebegini,” jelasnya lebih lanjut.
            Najla tersenyum simpul mendengar kata-kata itu.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Err...kenapa kau senyum macam tu?” soalnya.
            Najla mengangkat kedua bahunya. “Saja,” jawabnya sepatah.
            Zawin merenung wajah itu penuh sangsi. “Tak. Pasti ada sebab. Aku kenal kau dah lama Najla. Cakap je la.”
            Najla tersenyum lebih lebar. “Malam tadi...aku tengok rancangan Oprah. Oprah terbang ke Scotland untuk menemubual J.K.Rowling. Kau tahu kan antara sebab aku suka J.K Rowling sebab dia lambang wanita Leo yang tabah. J.K.Rowling pernah ditanya seorang sahabat mengenai lelaki idamannya. Apabila J.K.Rowling menyatakan ciri-ciri lelaki idamannya...hampir sama dengan ciri-ciri yang kau kata tadi, rakannya membalas yang lelaki sebegitu tidak wujud di dunia nyata. Oprah sendiri turut mengatakan mustahil ada lelaki sebegitu, tapi...kata J.K.Rowling...dia menemui suaminya sekarang Dr.Neil Murray tidak lama selepas perbualan itu terjadi dan suaminya itu benar-benar menepati ciri-ciri lelaki idamannya. Jadinya...aku yakin ciri-ciri lelaki yang kau inginkan pasti ada di alam nyata,” terangnya bersungguh.
            Zawin  tersengih melihat reaksi sahabatnya itu. “Kau sangat meminati novel Harry Potter kan? Kau percaya dengan magic atau miracle?” soalnya ingin tahu.
            “Percaya,” jawab Najla penuh yakin.
            Oh, really? Macam mana tu?” Zawin membundarkan matanya.
            Najla tersenyum lagi. “Keajaiban terjadi...apabila kita berjaya memenuhi impian cinta yang dianggap mustahil oleh kebanyakan orang.”
            “Aku tak berapa faham.”
            Najla merenung wajah Zawin. “Kita wanita Leo, sering dikatakan wanita yang high demand dalam apa jua perkara termasuk dalam hal cinta. Wanita yang ego, sombong, panas baran dan terburu-buru dalam menyintai lelaki. Erm...mungkin ada benarnya. Dulu...aku ada nyatakan lelaki impian aku adalah lelaki yang sempurna, baik, beriman, romantis, tidak merokok, ada kerjaya tetap dan paling penting dapat mengawal dan membimbing aku dalam setiap perjalanan kehidupan. Ramai rakan-rakan semasa di universiti dulu kata lelaki sebegitu hanya wujud didalam novel, filem dan drama sahaja, tetapi...aku berhasil mendapatkan Anas yang memenuhi segala impian cinta yang aku inginkan. Ya...keajaiban itu berlaku apabila impian cinta yang diimpikan menjadi kenyataan.”
            Zawin terdiam mendengar kata-kata Najla. “Keajaiban itu...adakah akan berlaku pada aku juga?” soalnya lambat-lambat.
            Najla tersenyum. “Pasti. Malah semua orang dalam dunia ini pasti impikan keajaiban yang sama berlaku. Saat keajaiban yang terjadi tatkala impian cinta dipenuhi,” ulangnya lagi.
Zawin termanggu sendiri.
*******
            Computer Hacker is a typically knowledgeable person. He or she knows several different languages, familiar with UNIX and NT, Networking protocols. A hacker will look for internal and external system holes or bugs to break into the system, fun and challenging.
Zawin berhenti bersyarah apabila menyedari ramai pelajarnya sudah tidak fokus pada penyampaiannya. Dia faham apabila ilmu diberikan secara berterusan dalam tempoh yang panjang, hanya sebahagian ilmu sahaja yang masuk dalam minda pelajar. Dia pernah bergelar pelajar dan dia tahu hanya selingan cerita atau lelucon yang mampu merehatkan minda pelajar.
“Erm...nampaknya minda kamu semua dah melayang jauh ni. Hah kamu Amir, dah melayang kemana?” Mata Zawin menyorot wajah pelajar lelaki yang berada di belakang kelas.
            Pelajar lelaki itu tersentak. Dalam wajah selamba dia menjawab spontan. “Jepun.”
            Meledak tawa dikalangan pelajar.
            “Uih...jauhnya awak pergi. Erm...bercakap tentang Jepun...saya nak ceritakan pengalaman saya ke sana tahun lepas. Nak dengar tak?”
            “Nak,” sahut para pelajar hampir serentak.
            Zawin tersenyum nipis. “Ok. Di sana, saya agak pelik dengan orang Jepun. Masa naik keretapi, saya bosan betul. Semua orang Jepun buat hal masing-masing. Paling ramai, layan gadget la apa lagi. Tapi ada pula yang tidur. Yang peliknya bila stesen deorang sampai, terus bangun dan keluar. Macam tahu tahu je, padahal tidur sampai ada yang berdengkur.”
            “Uih...pelik tu Cik,” celah Tengku Azura.
            Zawin tersengih apabila melihat mata-mata yang layu sebentar tadi sudah mula bercahaya, berminat mendengar ceritanya dengan lebih lanjut. Zawin menyambung ceritanya lagi. “Memang pelik. Masa tu saya naik keretapi dari  Stesen Hamamatsucho ke stesen Tokyo untuk jumpa seorang kawan masa degree dulu. Bila tiba di Stesen Tokyo, kami mengambil  Keiyo Line ke Stesen Maihama untuk ke Disneyland. So, bila dah jumpa tu terusla kami bercerita itu ini. Almaklumlah kalau perempuan dah berborak macam tak ingat dunia kan?  Ya lah dah lama tak jumpa, macam-macam cerita keluar. Tengah sedap berborak tu...baru perasan yang kami berdua sedang diperhatikan banyak mata. Orang-orang Jepun yang berdekatan, pandang kami macam kami ni makhluk asing.”
            Gelak tawa sekali lagi bergema dalam kelas itu.
            Zawin tersenyum lebar. “Itula budaya Jepun yang kurang bercakap, kuat bekerja. Masa kami lepak di sebuah gerai di tepi jalan, sempat kami memberi komen yang orang Jepun ni kurang sebab semua tempat lengang. Tiba-tiba bila waktu lunch, entah dari bawah bumi mana ramai manusia keluar berpusu-pusu mencari kedai makan. Bila tamat waktu lunch, manusia yang berpusu-pusu tadi tu dah hilang, bagaikan ditelan tsunami.”
            “Ooo...”
            “Nampak kan, begitu hebatnya disiplin orang Jepun. Masa tu saya pikir mungkin sahaja disiplin hanya ada di tempat tertentu tak termasuk kawasan orang ramai. Semasa berada di Disneyland, Masa saya masuk dalam tandas di sana, saya betul-betul kagum. Sangat bersih, tandas siap dipasang baldu merah lagi tu. Kalau nak tidur pun boleh,” cerita Zawin lebih lanjut.
            “Wahhh.” Para pelajar menyatakan kekaguman mereka.
            Zawin senyum lebih lebar. “Bila saya renungkan kembali, disiplin dan kuat bekerja merupakan tunjang yang menjadikan bangsa Jepun disegani oleh dunia. Banyak inovasi, teknologi, industri, dan pelbagai bidang yang menjana ekonomi Jepun sehingga bergelar antara kuasa ekonomi dunia. Kita semua sebagai warganegara Malaysia terutama orang melayu khususnya harus mengamalkan sikap disiplin dan kuat bekerja untuk terus maju, supaya kelak bangsa kita boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama bangsa lain yang hebat. Sikap dan budaya kerja orang Jepun memberi inspirasi kepada Tun Dr. Mahathir dalam membuat dasar pandang ke timur. Jadinya...kita sebagai bangsa melayu harus mencontohi disiplin dan budaya kerja orang Jepun untuk jadi lebih maju,” lanjutnya lagi.
            Melihat wajah ceria pemuda pemudi dihadapannya, Zawin tersenyum senang.  “Oleh itu...mari kita sambung kembali kuliah hari ni. Boleh?”
            “Boleh!”
            Selepas kelas tamat, Zawin menapak ke arah keretanya. “Huh.” Zawin mengeluh sebaik melihat jambangan bunga mawar berwarna putih di atas kereta kelisa kuningnya. Jambangan bunga itu diambil lalu dicampakkan ke arah kerusi penumpang belakang. Dia tidak suka berada didalam keadaan tertanya-tanya mengenai gerangan si penghantar bunga cinta itu. Kat mana aku nak lunch ni? Najla pula sibuk. Aku nak ajak siapa? Soal hatinya. Zawin tidak jadi menghidupkan enjin keretanya apabila menangkap satu window messanger muncul di skrin I-Phone. Wajah Zharif muncul dibenaknya.
            Conan Edugawa :  Salam “eyes smile” princess
Zawin tersengih sendiri. Tangannya cekatan membalas mesej itu.
            Ran Maori : Salam putera penyiasat
            Conan Edugawa : Hey! Sejak bila guna nama Ran Maori?
            Ran Maori : Suka hati la. Lagi pula saya dah bosan guna nama sebenar. Hari ni ada kes yang tak selesai lagi ke?
            Conan Edugawa : Ada. Tapi kes ni untuk awak. Awak nak cuba selesaikan tak?
            Ran Maori : Ok. Apa dia?
            Conan Edugawa : Ikan apa pandai menari?? hahaha
            Ran Maori : La...ni teka-teki, bukannya kes
            Conan Edugawa : Sama la. Cepatla jawab.
            Ran Maori : Ok. Erm...Ikan Flowerhorn
            Conan Edugawa : Salah!!!
            Ran Maori : Erk...ikan ...ikan...duyung?
            Conan Edugawa : Salah!!!
            Ran Maori : Dolphin, singa laut, tapir laut, ikan paus...
            Conan Edugawa : Salah juga!! Kalau awak dapat jawab memang power la...
            Ran Maori : Entah...surrendur la
            Conan Edugawa : Ikat sepat rongeng... rongeng tu kan menari...
            Ran Maori : Baik awak lari jauh-jauh...Saya dapat awak,  siaplah!!!
            Conan Edugawa : Hahaha...letih la kena lari. Ok. Sebab awak tak dapat jawab, awak kena temankan saya lunch hari ni. Boleh?
            Ran Maori : Boleh saja. Tapi awak belanja la
            Conan Edugawa : Boleh. Jom. Jumpa saya di Miyako Restaurant
            Ran Maori : Ok.
*******
            “Awak, kenapa  kimono’s girls tu pandang pelik je pada saya? Saya salah pakai baju ke?” soal Zawin sejurus keluar daripada Restoren Miyako. Dia menyedari pandangan itu apabila dia berjalan seiringan bersama Zharif.
            Zharif berpaling ke belakang kemudian meneliti blouse krim yang dikenakan Zawin dipadankan dengan seluar slack hitam. “Tak la. Zawin seperti biasa la pakai apa pun tetap cantik dan menawan. Agaknya mereka rasa Zawin ni dari keturunan puteri kot,” balas Zharif bersulam kenyitan di mata kiri .
            Zawin mendengus geram. “Malas la tanya apa-apa dah lepas ni.”
            “Ala...jangan la marah,” pujuk Zharif. Matanya menangkap lambaian tangan seorang lelaki muda bersut hitam dan putih.  “Eh, kawan saya panggil tu. Tunggu sekejap kat sini ok?” pesannya kepada gadis melayu itu.
            “Kena...” Belum sempat Zawin bertanya, Zharif sudah menapak pergi ke arah seorang lelaki yang sedang bersandar pada sebuah kereta mercedes berwarna biru tua. Zawin mengira terdapat  lima buah kereta mewah itu diparkir berhampiran di luar restoren jepun itu. Keningnya seakan bertaut apabila melihat beberapa lelaki keluar daripada kereta mewah berhampiran lalu memberikan tunduk hormat kepada Zharif. Siapa Zharif yang sebenarnya? Hatinya berlagu hairan.
            “Fuad...masih ada sesuatu yang aku belum capai,” ujar Zharif kepada rakan baiknya itu. Dia masih belum bersedia untuk kembali bekerja.
            Fuad merenung wajah tampan dihadapannya. “Aku faham. Tapi...apa lagi yang kau nak cari sekarang? Gadis tu pun kau dah jumpa. Siapa lagi yang kau cari?” soalnya kehairanan.
            “Teruterubozu,”  jawab Zharif laju. Aku masih belum jumpa dia lagi,” lanjutnya lagi.
            Fuad terdiam. “Kau yakin yang kau akan jumpa dia?”
            “Aku yakin dengan kuasa tuhan. Tapi hati aku kata, teruterubozu ada dekat dengan aku. Suatu masa nanti, dia yang akan datang pada aku. Aku cuma nak kenal siapa dia je,” balas Zharif bersungguh.
            “Erm...kalau macam tu, aku tak boleh nak cakap apa. Kalau kau perlukan bantuan, kau cakap dengan aku. Aku doakan kau berjaya jumpa teruterubozu,” ujar Fuad dengan berat hati.
Zharif berpelukan erat dengan lelaki berambut ikal itu. “Bila tiba masanya, bila semua visi aku tercapai, aku akan bagi kau cuti selama setahun. Ini janji aku.”
            Fuad tersenyum senang. “Setuju. Aku tahu kau berpegang pada janji. Oh ya, hari tu...Dato’ Wan Zahid ada datang melawat. Dia ada bawa seorang ahli perniagaan dari Johor bersama. Dato’ Zawawi kalau tak silap namanya...”
            “Mereka nak apa?” soal Zharif kehairanan.
            “Saja nak jumpa kau. Aku cakap kau dalam cuti lagi. Ok lah. Aku nak kembali ke syarikat. Apa-apa pun, keep in touch,” pesan Fuad seraya membetulkan kedudukan ikatan tali lehernya.
            “Ok,” sahut Zharif. Sekali lagi tubuh lelaki itu dipeluk erat.
            Kelima-lima kereta mercedez itu keluar dari perkarangan kawasan restoren dan menghilang daripada pandangan. Zharif mendekati Zawin yang sedang bersandar pada kereta kelisanya. “Maaf. Ada hal sikit tadi,” ujarnya perlahan.
            “Tak apa,” balas Zawin. Dia ingin bertanya lanjut mengenai kehadiran lelaki-lelaki bersut hitam itu namun apabila mengingati yang Zharif tidak pernah mengujarkan persoalan mengenai kejadian di majlis perkahwinan Wan Zaidi, dia membatalkan hasrat.
            Zharif merenung wajah jelita itu. “Saya dapat baca yang minda awak sekarang bekerja keras. Ada apa-apa ke yang awak nak tanya?” soalnya sambil mengangkat-angkat keningnya.
Pantas sahaja kepala Zawin digelengkan. “Tak. Saya tak ada apa-apa persoalan pun,” jawabnya selamba. 
            Zharif merenung wajah itu penuh minat. Gadis ini tidak pernah bertanya mengenai pekerjaannya apatah lagi latar belakangnya. Fikirannya melayang pada gadis-gadis yang pernah berurusan dengannya selama ini. Biasanya latar belakang dan jenis pekerjaan sering menjadi persoalan utama. Tetapi gadis ini...“Zawin...nak tanya boleh?” soalnya lambat-lambat.
            “Apa?”
            “Bagi awak, kerjaya tetap seorang lelaki itu penting tak?”
            “Sangat penting.”
            “Kenapa?”
            “Sebab itu adalah basic of life.”
            Zharif merenung wajah itu penuh sangsi. “Zawin tak kisah berkawan dengan saya? Ya la...saya ni kan kerjaya tak tetap, hidup pun terumbang ambing.”     
            “Tak kisah pun, asalkan awak menghormati saya dan saya rasa selesa dengan awak. Itu sahaja.”
            “Habis tu...kenapa awak kata tadi kerjaya tetap tu penting?”
            “Sebab syarat tu saya letakkan kepada bakal suami saya, bukan kepada seorang kawan. Faham?”
            Zharif sudah tersenyum. “Nasib baik.”
            Zawin mengerutkan keningnya. “Apa yang nasib baik?”
            “Ya la. Mana la tahu, awak tak nak kawan dengan saya bila awak tahu saya tak ada kerjaya tetap.”
            Zawin menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Saya seorang yang sangat memilih kawan tetapi bila saya dah berkawan, saya sangat hargai kawan. Tak kisah la awak kerja apa ke, tapi sekali awak dah jadi kawan saya, saya akan tetap setia dan sentiasa ada untuk awak.”
            “Betul ni?” Zharif meminta kepastian bersulam senyuman di bibir.
            “Betul la.”
********
            “Haa...kesian...kesian...” Najla menggelengkan kepalanya beberapa kali. Matanya masih melekat pada skrin komputer di meja kerjanya.
            “Apa yang kesiannya?” soal Zawin sejurus melabuhkan punggung di kerusi, mendepani Najla.
            “Si rambut merah kau tu la, Kim Hyun Jun. Akaun  fan meeting dia hacker masuk. Duit yang peminat dia bayar lepas ke akaun hacker la. Nasib baik la si gemini guy ni ganti balik duit yang dah dibayar,” terang Najla sambil mencebikkan bibirnya.
            “Ala...dia banyak duit tu. Biarlah. Lagi pun susah nak trace hacker ni apa lagi nak dakwa. Ha...kau ingat tak aku pernah cakap pada kau jangan buang slip ATM machine kat mana-mana. Hacker boleh masuk dalam akaun kita hanya dengan informasi yang terhad dari slip tu je. Jangan buat pembayaran online kalau guna wireless awam. Senang sangat tu hacker nak serang, boleh masuk dalam akaun dan tukar pasword akaun.”
            Kepala Najla digelengkan. “Macam mana hacker ni bekerja?”
            “Hacker ni dikalangan genius. Mereka ada cara sendiri bagaimana untuk menggodam maklumat dalam internet. Sistem programming yang sedia ada diasaskan melalui algoritm, tapi hacker ni dia create alhgoritm based on genius yang lebih genius daripada program yang asal.  Ada berita hari tu kata kerajaan dapat detect hacker kan? Berita tu tak benar. Hacker ni dia boleh ubah kedudukan dia setiap saat. Sekejap dia boleh berada di Malaysia, sekejap boleh ada di Amsterdam. Susah nak jejak golongan bijak ni. Setiap tahun, lecturer IT di setiap universiti dunia akan memohon untuk hadiri kursus tentang sistem yang digunakan hacker. Orang-orang tertentu je yang terpilih melalui application. Kalau tak lulus, kena bayar lagi.”
            Najla ternganga mendengar cerita Zawin. “Oo...tahun lepas yang kau sibuk sangat tu...kau pergi kursus tentang ni juga ke?”
            Zawin mengangguk. “Sebenarnya masa di Edinburgh dulu, aku baik dengan seorang hacker. A very genius young guy. Nama dia Ryan. Dia banyak cerita pada aku apa yang dia buat. Sebenarnya hacker ni tak teruk mana pun, deorang ni hanya memecahkan suatu sistem yang dibangunkan melalui sistem yang deorang buat sendiri. Sebagai contohnya sistem Bad track. Paling teruk stealing duit dan pecah masuk dalam sistem sesuatu organisasi. Ryan cerita, dia pernah dicabar oleh satu organisasi untuk pecahkan sistem security syarikat ni. Dia sahut cabaran tu then dia berjaya. Mamat ni memang bijak.”
            “Macam mana kau boleh kenal mat saleh tu?” soal Najla ingin tahu.
            Zawin terdiam. “Erm...Ryan ni junior aku kat sana. Dia ni suka masuk dalam kelas-kelas senior terutamanya bila ada perbentangan sesebuah projek atau programming. Kebetulan masa tu aku ada perbentangan projek tahun akhir. Lepas perbentangan, dia datang jumpa aku...cakap yang dia nak kenal aku. Dia cakap masa mula-mula dia tengok aku, dia perlekehkan penampilan aku terutamanya tudung aku. Tapi bila aku mula bercakap tentang programming yang aku bina, terus pandangan dia berubah. Manusia mudah kagum dengan penampilan luaran yang menawan, namun manusia akan lebih kagum dengan pemikiran, ilmu yang seseorang itu miliki. Melalui ilmu, aku dihormati orang asing di bumi asing.  Sebab tu...aku tak pernah ingin mengubah siapa aku yang sebenarnya Najla.”
            Najla terdiam. “Habis...tu...apa yang mengubah kau sehingga sekarang?”
            Zawin tersenyum. “Zawin Az-Zahra adalah hiasan dunia yang terindah.”
            “Hah? Aku tak faham?”
            “Ada seseorang yang kata begitu pada aku. Nantilah aku cerita,” ujar Zawin seraya bangun dari kerusi. “Aku nak pergi tandas. Eh, nanti makan tengah hari sama-sama tau. Aku belanja kau hari ni. Kau cuma ikut aku je tau.”
            “Eh makcik, makanan Jepun lagi ke?”
            Zawin tersenyum nipis. “Well, you know me.” Zawin melangkah keluar dengan satu kenyitan diiringi ketawa halus.
            “Zawin...Zawin...kau kawin dengan mamat Jepun je la,” ngomel Najla sambil tersengih.

1 comment:

  1. Don't change yourself for somebody else. If they don't like the way you are, then find somebody that will love every one of your imperfections :)

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Copyright 2016 Reserved to puteripelangi