BAB 6

            “Betul ke keputusan aku ni Najla?” Zawin meminta kepastian.
            “Betul. Tak ada salahnya. Lagi pula kita dah sampai pun.” Najla merenung hotel grand blue wave dihadapannya itu. “Jom, kita masuk’, ajaknya seraya menarik lengan Zawin.
            Zawin melangkah dalam rasa teragak-agak. Beberapa kali langkahnya terbejat apabila kain kebaya ungu menyukarkan pergerakannya.
            Mereka melangkah ke arah dewan yang telah ditempah khas untuk perjumpaan reunion sekolah Menengah Alang Iskandar. Terdapat sebuah meja di luar dewan itu untuk sesi pendaftaran. Selepas mendaftar, Zawin dan Najla beriringan masuk ke dalam dewan. Melihat ramai rakan sekelas hadir bersama anggota keluarga, ruang bilik yang ditempah itu kelihatan penuh, riuh dan sekaligus mengundang nostalgia zaman persekolahan dahulu. 
            “Hai Najla, Zawin.”
            Zawin berpaling ke belakang. Sebaik melihat wajah gadis beralis lentik itu,tangan mereka bertaut diiringi geselan pipi. “Lama sungguh kita tak jumpa kan?” ujarnya dengan teruja.
Raihan mengangguk dalam rasa terharu. “Tu la. Baru tahun ni kau datang. Syukur sangat.”   
            Zawin merenung wajah Raihan. “Err...kau pasti ke Arnida memang tak dapat datang?”
            Raihan mengangguk laju. “Dia cakap ada urusan bisnes di Singapura. Suami dia pula pergi Dubai. Entah siapa la jadi suami dia kan? Dia tak pernah bawa pun masa reunion lepas. Dengar cerita ahli perniagaan juga,” ceritanya bersungguh.
            Zawin terdiam, menundukkan wajahnya.
            Najla menyedari wajah Zawin yang sudah berubah air muka.
            “Najla, mana Anas?” soal Raihan tiba-tiba.
            “Anas outstation ke Johor. Ada apa-apa aktiviti yang istimewa ke tahun ni?” Najla membetulkan hujung tudung merah jambu.
            “Mestilah ada. Pakaian tercantik akan mendapat hadiah lumayan tau,” beritahu Raihan.    
            Zawin dan Najla tersenyum sambil bersabung pandang. Mereka mengambil meja di bahagian kanan berdasarkan nombor yang telah diberikan.    
            Zawin tersenyum melihat nombor di kerusi yang dibalut dengan kain putih, beriben ungu. “Nombor 8,” bisiknya perlahan. Itu nombor bertuah bagi dirinya.
            Ashraf dan Raihan beriringan masuk ke dalam dewan sekaligus memulakan majlis. Ashraf membaca doa. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu negaraku dan lagu sekolah.
Ashraf mengambil rostrum untuk memberi kata-kata aluan sebagai pengerusi majlis. “Terima kasih kerana memberikan peluang pada saya menguruskan reunion buat kali ketiga ini. Setinggi penghargaan saya berikan kepada Raihan kerana menjadi pembantu saya yang merupakan kunci kejayaan reunion dinner pada kali ini. Terima kasih juga kepada dua rakan kita yang hadir buat pertama kali iaitu Zawin Az-Zahra dan  Daniel Iskandar.” 
            Bunyi sorakan bergema bersulam siulan dari rakan-rakan yang lain.
            Zawin menundukkan wajahnya apabila banyak mata tertumpu ke arahnya. “ Iskandar? Bila dia datang?” soal Zawin kepada Najla. Hatinya berdetak kencang serta merta.
            “Entah,” balas Najla dalam suara berbisik.
            Zawin mula tidak keruan. Kehadiran satu tubuh lelaki di sebelah Najla pantas disedari Zawin. Nafas Zawin serta merta terasa sesak, suara dan bunyi di sekeliling yang riuh pikuk hilang dari pendengarannya apabila matanya menatap seraut wajah tampan itu. Sekali pandang ada iras pelakon lelaki bernama Akasha.
            “Hai Najla,” sapa Iskandar.
            “Wah, makin hensem kau ya,” tegur Najla dengan gembira.
            Iskandar tersipu malu. “Najla pun apa kurangnya,” balasnya semula seiring kerlingan ke arah wajah gadis bertudung ungu lembut di sebelah Najla. Akhirnya sang bidadari datang juga. Getus hatinya. Sungguh dia gembira bertemu semula dengan gadis itu setelah sekian lama.
            Zawin hanya diam. Tidak berminat untuk menyertai perbualan itu. Mendengar pengumuman Ashraf mengenai makan malam yang telah disediakan, Zawin bangun dari kerusi, berniat untuk mengisi perut yang sudah berbunyi. Makan malam secara buffet itu membuatkan ramai bekas pelajar mengambil peluang berbual dan bertegur sapa. Mata Zawin menangkap dua wajah insan yang cukup dikenalinya tidak jauh dari tempatnya berdiri mengambil nasi. Seorang berkopiah putih dan seorang lagi bertudung labuh.
            “Hai Umi, Nasran,” tegur Zawin dengan gembira. Wanita bernama Umi Fadhilah itu masih sama. Masih kekal dengan pakaian jubah dan tudung labuhnya.
            “La...kau ke Zawin,” balas Umi dalam kaget. Pinggan di tangan di letakkan di atas meja lantas memeluk erat gadis yang sudah lama tidak ditemuinya itu.
            “Tak sangka korang kawin berdua,” ujar Zawin usai meleraikan pelukan.
            Nasran tersenyum lebar. “Siapa sangka. Bukan kah jodoh itu rahsia Allah S.W.T,” balasnya perlahan sambil menatap lembut wajah isterinya di sebelah Zawin.
            Umi tersenyum simpul. “Nak tahu tak, di sekolah aku mengajar sekarang masih ada ejek mengejek berlaku dikalangan pelajar. Sama macam kitorang dulu. Kau ingat tak panggilan Nasran pada aku dulu?” Umi menatap wajah gadis berkebaya ungu itu.
            “Cicak kubing kan?’, tebak Zawin.
            Nasran sudah tergelak.
            Umi menahan tawanya. “Aku cakap dengan pelajar aku jangan ejek mengejek. Macam suami saya dulu panggil saya cicak kubing, ha...dengan cicak kubing ni la dia kawin,” ceritanya bersungguh disulami tawa halus.
            Zawin turut tergelak bersama.
            Nasran merenung wajah Zawin. “Eh, Zawin...kau masih dengan err... Iskandar ke?”
            Zawin tersenyum pahit. Perlahan dia menggeleng. “Mana ada. Kami kan dah lama putus.”
            Tapi aku rasa masih ada peluang,” sampuk Umi pula. “ tu nampak sangat masih mengharapkan kau,” lanjutnya Umi lagi.
            Zawin membuat muka bosan. “Kenapa kau cakap macam tu?”
            “Aku baca status Facebook dia la. Dia tulis dia masih merindui Zawin Az-Zahra. Eh, kenapa Facebook kau, aku tak jumpa? Kau block aku ke? Sampai hati kau.” Umi memuncungkan bibirnya.
            “Ha?” Zawin benar-benar tidak menyangka  Iskandar menulis status sebegitu. “Err...aku deactivate kan buat sementara waktu. Nanti aku aktifkan balik. Eh, aku lapar ni...aku ambil makanan dulu. Lepas ni kita borak-borak lagi ya.” Zawin sudah mengambil pinggannya semula di atas meja.
            “Ok. Jangan lupa aktifkan semula Facebook kau tu,” pesan Umi sebelum berlalu bersama suaminya.
            Zawin tersengih sebelum mengambil nasi bersama lauk pauk yang terhidang.
            “Hai Zawin.”
            “Ya,” sahut Zawin serentak berpaling ke belakang. Sebaik menatap wajah wanita dihadapannya, hampir-hampir sahaja pinggan kaca terlepas dari tangannya. Matanya tajam mencerlung ke arah wajah itu. “Kenapa kau datang? Bukan kah kau maklumkan yang kau tak akan datang?” soalnya dalam suara bergetar. Zawin menahan rasa amarah yang bergelodak tiba-tiba.
            Arnida merenung wajah marah gadis itu. “Kalau aku datang, kau pasti tak akan datang, bukan? Sebab tu la...aku beritahu Raihan yang aku tak dapat datang. Zawin...perkara dah lepas pun. Kenapa kau tak dapat maafkan aku?” Pintanya bersungguh.
            Zawin mendengus keras. Pinggan ditangan pantas diletakkan di atas meja buffet. Kakinya melangkah mendekati wanita berdagu lekuk itu. “I will forgive, but i won’t forget. Dan selagi aku tak dapat lupa, selagi itu aku tak nak kau muncul di depan aku. Faham?” Keras bunyi amaran yang dilontarkan Zawin. Dia tidak mahu lagi berada di situ. Hatinya sudah berkira-kira untuk pulang sahaja.
            “Aku tahu kau masih marah aku sebab aku perangkap  Iskandar bukan?” Arnida bersuara tiba-tiba.
            Zawin kembali berpaling. “Jangan sebut apa-apa yang mengundang musibah pada diri kau. Cukuplah Arnida. Kisah kau dalam hidup aku telah tamat. Semoga kau bahagia dalam kehidupan yang singkat ni.”
            “Kau marah aku sebab aku kawin dengan ayah kau. Kan?” ujar Arnida dengan berani.
            Zawin terasa dirinya melayang ke udara lalu terbang ditiup angin. Entah dari mana kekuatan itu datang, Zawin menapak ke arah Arnida lantas menghayunkan tangan kanannya ke pipi wanita itu sekuat hatinya. “Aku dah kata, jangan sebut perkara lepas lagi,” ujarnya perlahan dalam suara terketar-ketar. Air matanya luruh tanpa dapat dikawal lagi. Zawin meluru ke arah mejanya, mencapai tas tangan dan berlari keluar dari dewan itu tanpa menoleh barang sekali ke belakang.
********
            I’ll beat you.” Zharif tersengih menyeringai. Raket skuash itu dipegang kejab.
            You wish!!” balas Zawin yakin. “Mari mulakan.” Zawin mula memukul bola kecil itu ke arah dinding hadapan gelanggang.
            Zharif turut membuat serangan balas. Dalam sibuk memukul bola, dia sempat mencuri pandang wajah gadis itu. Zawin kelihatan bersungguh membalas setiap pukulan yang dilontarnya. Zawin Az-Zahra ternyata lincah di gelanggang. Dia tersenyum sendiri. Sudah dua minggu dia mengajak gadis itu keluar, namun Zawin kerap menolak. Apabila malam itu dia mengajak bermain squash di komplek sukan Shah Alam, terus gadis itu setuju tanpa banyak soal.
Permainan itu benar-benar meletihkan kedua belah pihak. Setelah hampir empat puluh minit bermain tanpa henti, Zharif mula hilang fokus yang menjadi rentetan dia gagal membalas kembali bola lantun pukulan Zawin.
            Zawin berhenti bermain apabila Zharif mengangkat kedua belah tangan di atas kepala tanda mengalah. Lelaki itu tercungap-cungap sementara t-shirt adidas putih di tubuhnya sudah lencun dibasahi peluh. Zawin tersengih selamba lantas keluar dari gelanggang skuash. Tuala muka berwarna kuning ditarik keluar dari beg sukan NIKE. Sambil meneguk air isotonik 100 pluss, Zawin mengelap peluh di segenap wajahnya.
            Zharif menyeka peluh di dahi menggunakan hujung baju. Dia turut menapak keluar dari gelanggang, melabuhkan punggung di  kerusi panjang berhadapan gelanggang skuash itu. Matanya tepat menatap wajah gadis itu di sebelahnya. Kulit putih merah gadis itu benar-benar memukau pandangannya. “Zawin biasa main skuash ke?” soalnya panasaran.
            Zawin mengangguk laju. “Dulu aktif dalam kelab skuash di Edinburgh.”
            “Oh, begitu. Patut la Zawin teror main skuash,” puji Zharif sejurus mengelap wajahnya menggunakan tuala muka putih jenama adidas. Dia turut meneguk air isotonik 100 pluss.
            Zawin hanya diam. Dia merenung jauh mengenangkan takdir hidup yang sentiasa menguji keimanan diri. Semalam selepas pulang dari hotel blue wave, dia melampiaskan segala rasa kecewa dengan tangisan. Terasa tangisan itu adalah baki daripada luka lalu yang masih tidak sembuh dari jiwa. “Zharif...bila seseorang mengundur diri daripada hidup kita, adakah itu juga takdir?” soalnya tiba-tiba.
            Zharif mengangguk. “Ada pepatah begini. When people walk away from your life, let them go. Your destiny is never tied to anyone who leaves you and it doesn’t mean that they are bad people. It just means that their part in your story is over. Boleh juga anggap sebegini sebab perjalanan hidup ini masih panjang, barangkali pendek. Oleh itu, nikmati hidup ini dengan rasa bahagia. Tidak perlu berhabis air mata untuk orang-orang yang meninggalkan kita.”     
            Zawin menghela nafasnya. Wajah Zharif ditatap lama. “Bagaimana pula jika orang yang meninggalkan kita tu ingin kembali semula menjadi sebahagian kisah hidup kita?”
            “Erm. Semuanya terpulang pada diri sendiri untuk memberikan tempat itu semula dalam kisah hidup masing-masing. Tapi bukankah didalam islam, kita digalakkan menyambung silaturahim. Ada baiknya, lupakan hal lepas yang berlaku. Terima dengan berlapang dada pada orang yang ingin kembali semula menjadi sebahagian daripada kisah hidup kita,” terang Zharif.
            Zawin menahan rasa sebaknya. Dia tidak tahu kenapa kata-kata itu bagaikan kata-kata pujukan seorang ibu kepada seorang anak. Sungguh indah pada halwa pendengarannya. Tapi...apa sebenarnya tujuan ayahnya dan Arnida kembali semula dalam hidupnya? Kehadiran  Iskandar setelah lama menyepi juga menjadi persoalan diri. Kenapa semuanya mesti berlaku serentak? Tidak jauh berbeza pada saat dia diuji pelbagai ujian serentak suatu masa dulu. Zawin tersenyum pahit. Lebih kepada senyuman paksa yang bertujuan menghalang air mata daripada gugur.
            Zharif meneliti wajah gadis itu. Dia sedar ada beban yang berat sedang ditanggung oleh Zawin. “You know that, the worse kind of pain is when you’re smiling just to stop tears from falling. Its better if you crying right now,” sarannya bersungguh.
            Zawin mengetap bibirnya. Dia tidak mahu air matanya dilihat lelaki itu. Dia bangun tiba-tiba, kembali memegang raket squash dan satu bola hitam lalu menapak semula ke dalam gelanggang squash. Zawin melepaskan seluruh perasaan kepada pukulan demi pukulan bola yang dilakukan dengan pantas. Tanpa sedar, air matanya melurut jatuh apabila bayangan tiga insan itu muncul pada dinding putih di hadapannya. Zawin akur, mengalah pada emosi yang tidak dapat dikawal itu. Dia terduduk di tengah gelanggang sambil melepaskan tangisan disulami esakan sendu.
            Zharif berpeluk tubuh. Matanya merenung simpati pada gadis itu dari luar gelanggang. Apa sebenarnya yang berlaku?
*******
            “Kenalkan Puan Yasmin Yusof. Dia akauntan baru syarikat kita,” ujar Fuad kepada rakan perniagaannya. Air Japanese green tea dihirup perlahan.
            Zharif menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat.   
            Yasmin tersenyum manis seraya menghulurkan tangannya kepada Zharif. Akhirnya berjaya juga dia memasuki syarikat milik lelaki itu. Siapa sangka, peluang datang pada saat yang tepat.
            Zharif menatap lembut wajah wanita itu. “Maaf. Saya tidak bersalaman dengan perempuan,” balasnya sopan.
            Yasmin diserbu rasa malu menggunung, namun dia berpura-pura tidak tersinggung. “Oh ya ke? Bagusnya En.Zharif ni. Nampaknya kita akan bekerjasama selepas ini. Saya harap En. Zharif boleh beri tunjuk ajar kepada saya,” ujarnya lembut.
            Zharif menggelengkan kepalanya. “Buat masa ni saya tak terlibat dalam apa-apa urusan syarikat. Saya masih dalam cuti. Apa-apa pun, Puan Yasmin boleh rujuk pada En.Fuad,” terangnya tanpa memandang wajah wanita itu.
            Yasmin masih tersenyum biarpun hatinya kecewa dengan layanan lelaki itu kepadanya. Tak apa, peluang aku sangat luas untuk mendekati Zharif. Tunggu saja la. “Excuse me, saya ke tandas dulu,” pintanya lembut.
            “Ok,” balas Fuad pendek.
            Mata Zharif mengekori langkah wanita itu dan kemudian merenung tajam ke arah Fuad. “Kenapa kau ambil Yasmin bekerja di syarikat kita?”
            Fuad mengerutkan keningnya. “Dia calon yang paling layak. Kau kenal ke dengan Yasmin tu?”
            Zharif menghela nafasnya. “Aku pernah datang ke majlis kahwin dia.”
            “Eh, kau kan baru balik Malaysia. Bila masa pula kau kenal dengan Yasmin...atau...kau kenal dengan suami dia Wan Zaidi?”
            “Tak la,”nafi Zharif. ”Kebetulan aku teman seorang kawan yang mengenali mereka berdua. Aku kan cakap urusan pengambilan pekerja buat masa ni semua adalah dibawah tanggungjawab kau. Kenapa kau bersungguh-sungguh nak aku kenal dengan Yasmin?”
            Fuad menyandarkan belakang tubuhnya pada kerusi kayu restoren Miyako itu. Wajah jejaka kacak di hadapannya itu dipandang lama. “Kau masih lagi menjejak teruterubozu kan?”
            Zharif merenung sangsi. “Kenapa?”
            “Mungkin saja Yasmin tu adalah teruterubozu.”       
            “Hah? Apa maksud kau?”
            “Kau tengok ni.” Fuad menghulurkan dua keping kertas kepada   rakannya.
            Zharif meneliti kertas resume pemilik nama Yasmin Binti Yusof. Apabila matanya melihat alamat email wanita itu, matanya membulat luas.“teruterubozu85@yahoo.com?”ujarnya dalam rasa tidak percaya.
            “Itu la. Aku rasa tu alamat email yang kau selalu chatt dulu kan?” Fuad meminta kepastian.
            Zharif mengangguk lagi dalam rasa kaget. “Memang alamat yang sama,” balasnya dalam suara perlahan. Tapi...benarkah dia teruterubozu yang sama? Zharif menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu menerima kenyataan itu. Yasmin tiada ciri-ciri teruterubozu yang dikenalinya lewat laman maya. “Tak mungkin dia,” bisiknya perlahan.
            “Tak mungkin apa nya?” tegur Yasmin seraya melabuhkan punggung di kerusi, berdepan dengan Zharif. Dia tersenyum nipis melihat reaksi lelaki itu.
            Zharif menatap wajah Yasmin bersungguh. Dia cuba mencari bayang teruterubozu yang pernah dibayangkan mindanya suatu ketika dulu, namun entah mengapa hatinya tidak dapat menerima Yasmin sebagai teruterubozu. “Err...berapa lama Puan Yasmin guna alamat email ni?” soal Zharif sambil mengunjukkan resume wanita itu.
            “Sejak tingkatan lima lagi. Kira-kira tahun 2002. Kenapa?” soal Yasmin semula.
            Zharif merapatkan jari jemarinya. “Kenapa gunakan nama teruterubozu?”
            Yasmin tersenyum simpul. “Saya masih ingat pada tahun 2001, drama With Love masuk ke Malaysia. Rasanya hampir semua gadis remaja menyukai drama jepun tu dan saya adalah salah seorang yang terpengaruh untuk membuat email yang sama menggunakan nama teruterubozu,” terangnya.
            “Pernah ke Perancis?”
            “Saya pernah belajar di sana.”
            Zharif menelan liurnya. Wajah wanita dihadapannya kembali direnung. “Puan suka musim salji atau waktu bulan purnama?” ujinya lagi.
            “Pastila bulan purnama.”
            “Kenapa?”
            “Bulan penuh mengingatkan saya mengenai lagu Once in a blue moon dalam drama With Love. Satu karya yang sangat indah.”
            Zharif sudah tak terkata apa. Matanya menikam mata hitam Fuad yang duduk di sebelahnya.
*******
            “Kak Puteri, Zawin pergi dulu ya.” Zawin membetulkan tudung putih di kepala sewaktu berdiri di hadapan pintu rumah. Blouse merah jambu berjalur putih dikemaskan letaknya.        
            Puteri mengalihkan perhatian daripada kaca televisyen. “Wah, tak pernah pakai macam ni waktu nak keluar malam. Ada date ya?” soal Puteri sambil merenung kagum penampilan anggun gadis itu. Dia menyedari gadis itu semakin pandai bergaya, tidak seperti dahulu.
            “Tak ada la,” nafi Zawin pantas.
            “Habis tu?”
            “Nak keluar makan malam dengan Anas dan Najla,” balas Zawin seraya mendekati wanita itu di atas sofa. Tangan wanita itu disalam dan dikucupnya. “Zawin dah lambat ni. Zawin pergi dulu ya. Jaga diri baik-baik tau,” pesannya sebelum berlalu keluar.
            Puteri tersenyum simpul melihat kelibat Zawin. Gadis itu punya akhlak yang benar-benar mulia. Sungguh dia bersyukur memiliki gadis itu sebagai teman dan penasihat. Dia benar-benar ingin berubah dan berusaha mendekatkan diri dengan tuhan. Lagu as long as you love me kedengaran daripada ringtone telefon bimbit samsung miliknya. Kekasihnya Amir terlintas di benak. Puteri tersenyum bahagia.
            Zawin menghentikan keretanya di kawasan parking di pusat membeli belah 1 utama. Dia menapak perlahan sambil matanya meliar mencari Seoul Garden seperti yang diberitahu Najla. Hatinya merungut dalam diam apabila Najla berkeras mengajaknya menyertai makan malam bersama Anas di restoren Korea yang terletak didalam shopping centre itu. Memandu dari Shah Alam ke Petaling Jaya semata-mata untuk mencuba makanan Korea? Huh! Hati Zawin membungkam geram apabila masih tidak menjumpai restoren yang dikatakan Najla.
            “Kau di mana?” soal Zawin sebaik Najla menyambut panggilannya.
            Najla tergelak besar mendengar nada suara Zawin. Dia tahu gadis itu tidak sepenuh hati datang ke situ. “Kau tunggu di elevator tingkat satu. Aku cari kau kat situ,” sarannya.
            “Ok.” Zawin memasukkan kembali I-Phone ke dalam tas tangan. Matanya menyeluruhi gedung membeli-belah itu. Sebaik terpandang elevator tidak jauh dari tempatnya berdiri, Zawin terus mengatur langkah. Dia berdiri bersandar di sebalik tiang besar berhampiran elevator. Matanya sengaja ditujukan pada pintu lif yang baru sahaja terbuka.
            “Ha?” Zawin membulatkan matanya sebaik pintu lif terbuka. Matanya mengesan wajah-wajah insan yang dikenalinya sedang bergelak ketawa. Zharif kelihatan tersenyum lebar di samping Yasmin yang entah apa bercerita itu ini. Dia juga mengesani lelaki yang pernah dilihatnya di luar restoren Miyako turut menyertai perbualan itu. Zawin menahan nafas. Hatinya panas membara tiba-tiba apabila mengingatkan amaran Yasmin untuk merampas Zharif dari hidupnya. Adakah Zharif serupa dengan Wan Zaidi? Jika benar, dia sudah tersalah langkah dengan membenarkan lelaki itu menjadi sahabatnya. Bahunya tiba-tiba ditepuk dari arah belakang. Zawin berpaling pantas.
            Najla tersenyum lebar. “Jom,” ajaknya.
            Zawin mengangguk. Dia berpaling semula, menjeling sepintas lalu ketiga insan yang sedang rancak bercerita di sebuah meja didalam coffee house. Tatkala matanya dan mata Zharif berlaga pandang, cepat-cepat Zawin mengalihkan pandangan lantas mengekori langkah Najla.
*******

            “Erm...ada apa-apa yang istimewa ke hari ni? Tiba-tiba tukar selera nak makan makanan korea pula,” tanya Zawin sejurus melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
            Anas tersenyum lebar. “Ada orang mengidam, Zawin. Tak diturut, nanti merajuk panjang.”
            “Mengidam?” Zawin membundarkan matanya memandang wajah Najla yang tersenyum manis. “Maknanya...kau...”
            Najla mengangguk dalam senyuman simpul. “Balik kerja tadi...Doktor sahkan dah masuk dua bulan pun.”
            Zawin menjerit kecil. “Tahniah Najla. Tahniah Anas. Baby boy ke girl?” soalnya teruja.
            Anas dan Najla saling berpandangan dalam senyum bahagia. Jari jemari mereka bertaut erat. Anas mengalihkan pandangan pada Zawin. “Kami tak nak tahu. Kami terima sahaja tak kira lelaki atau perempuan. Apa yang penting bayi kami sihat.”
            Zawin tersenyum sendiri. “Ya lah kan. Ha...Najla...jangan kau renung lagi gambar jang keun suk sepanjang kau hamil. Tak pasal-pasal anak kau nanti sebiji muka pelakon korea tu,” pesannya seraya menggoyangkan jari telunjuk.
            Najla dan Anas ketawa serentak.
            Anas memuncungkan bibirnya. “Macam tahu tahu ke kau ni kan Zawin. Sepanjang dua bulan ni, memang isteri aku ni asyik menghadap drama You’re beautiful,lakonan Jang Keun Suk.  Tapi...kalau muka bayi kami nanti macam dia...ok juga. Boleh tahan juga la mamat korea tu.”
            Najla menepuk perlahan tangan suaminya seraya tertawa halus.
            Zawin ketawa bersungguh. “Korang ni la. Ajaib tu kalau Mak ayah muka melayu, tapi anak muka Korea.”
            Anas dan Najla turut ketawa besar.
            “Zawin tak minat ke drama Korea?” soal Anas ingin tahu.
            Zawin menggeleng laju. “Bukan tak minat, cuma tak ada masa tengok.”
            Najla mencebirkan bibirnya. “Eleh tak ada masa konon. Kanda tahu, bilik Zawin berlambak-lambak drama Jepun. Komik paling banyak, detektif Conan dan One Piece. Zawin ni memang Jepunholic. Dinda cuba pengaruh dia tengok drama Korea pun tak berkesan,” ceritanya bersungguh.
            Anas ketawa lagi. “Zawin nak makan apa? Hari ni Anas belanja. Macam biasa,” ujarnya dalam senyuman.
            Zawin tersenyum simpul. Wajah kacak lelaki dihadapannya itu direnung sejenak. Ada iras wajah pelakon Azhar Sulaiman ketika remaja. “Apa-apa saja yang rasa sedap,” balasnya. Dia memang tidak begitu tahu dengan makanan Korea.
            “Ok.” Anas dan Najla sudah bangun dan beriringan berjalan ke meja buffet.
            Zawin memerhatikan dua pasangan sejoli itu yang sedang berbisik dan ketawa bahagia. Hatinya sentiasa dipaut rasa cemburu melihat keintiman mereka. Cara Anas memandang Najla penuh dengan rasa cinta yang membuak-buak. Tidak pernah dia melihat Anas bermain mata dengan perempuan di sekeliling sepanjang mengenali lelaki asal Pahang itu. Sesungguhnya Najla beruntung memiliki Anas. Zawin menghela nafas panjang, matanya dijatuhkan pada lantai restoren itu. Entah bila bahagia itu akan menjadi milik aku? Hatinya berbisik.
            “Zawin?” Tegur satu suara lelaki di hadapannya.
            Zawin mengangkat wajah. Matanya membuntang melihat gerangan lelaki dihadapannya.   “Is?” soalnya dalam rasa kaget amat. Bagaimana lelaki ini boleh muncul di sini?
            “Err...Is datang dengan sepupu. Tu...di meja sebelah,” terang Iskandar tanpa disuruh.
            Zawin mengalihkan pandangan ke arah meja yang dimaksudkan Iskandar. Seorang lelaki berkulit hitam manis mengangkat tangan ke aranya. Zawin cuma memberikan senyuman tipis.
Dia kembali memandang wajah  Iskandar. Wajah Zawin serta merta merona merah apabila menyedari renungan  Iskandar ke arah wajahnya. “Lama dah balik Malaysia?” soalnya dalam suara bergetar. Wajah lelaki iras Aqasha itu direnung bersungguh. Rambut terbelah, berkulit putih kuning dan janggut sejemput di bawah dagu membuatkan lelaki itu tidak jemu dipandang. Hatinya mengakui yang dia benar-benar merindui lelaki itu.
            “Is rindukan kenangan kita dahulu.” Romantis suara itu kedengaran.
            Zawin terpempan mendengar pengakuan itu. Dia tidak tahu mengapa jantungnya berdegup pantas. Adakah obor cinta lama menyala kembali? “Jangan kata begitu,” balasnya lembut sambil mengalihkan pandangannya. Jari jemari dimainkan.
            “Kenapa Zawin tak terima friend request Is dalam Facebook?” soal Iskandar sambil melabuhkan punggung di kerusi hadapan gadis itu.
            “Err...er...” Zawin tidak dapat menjawab soalan itu dengan baik. Sudahnya dia hanya mengangkat bahu sebagai jawapan kepada soalan itu.
            “Zawin masih marah pada Is?” duga Iskandar.
            “Tak.”
            “Habis tu?”
            “Cuma...biarlah dulu. Err...kenapa guna nama gemleo?” Zawin merenung anak mata coklat lelaki itu. Sama seperti anak mata Najla. Wajah lelaki berdarah campuran india-thailand itu direnung bersungguh.
            Iskandar merapatkan jari jemarinya. Matanya masih tajam menikam wajah putih mulus itu. “Itu kan gabungan bintang kita berdua.” 
            Zawin menahan senyum. “Is masih ingat?”
            “Mana mungkin Is lupa. Zawin Az-Zahra, the goddest Leo dan  Iskandar...the witty Gemini. Gemleo. Itu kan panggilan yang diberi oleh Umi dulu.”
            Zawin terdiam. Mereka memang tidak dapat menyembunyikan hubungan yang telah terjalin sejak usia 15 tahun itu. Semuanya bermula apabila mereka bersama terlibat dalam persatuan silat gayung. Umi Wahida, rakan sekelas yang meminati ilmu metafizik sering mengatakan gabungan bintang mereka adalah serasi. Benarkah begitu?
            “Eh, Is. Buat apa di sini?” tegur Najla dalam kaget berbaur gembira.
            Iskandar tersenyum lebar. Turut membalas senyuman lelaki di sebelah Najla. “Itu la takdir kan? Wah, banyak ambil makanan. Dah ada isi ke?” soalnya ramah.
            “Alhamdulillah. Baru je petang tadi Doktor sahkan,” balas Najla dalam senyuman bahagia.
            “Wah...tahniah. Ooo...ni kira mengidam la sampai ke restoren korea ni,”usik Iskandar.
            “Macam tu la.” Najla tersengih. “Kenalkan suami Najla, Anas Asri.”
            Anas bersalaman dengan lelaki berkemeja hitam putih itu. “Anas,” ujarnya dalam senyum tipis.
            Iskandar mengangguk, mengukuhkan genggaman tangannya. “Iskandar.”
            “Join la sekali,” ajak Anas ramah.
            Iskandar merenung wajah Najla, beralih pada wajah Zawin. “Boleh ke?”
            Zawin menghela nafasnya. Dia tahu Najla pasti akan bersetuju. “Boleh. Ajak la sepupu awak tu sekali.”
            Iskandar sudah tersenyum lebar.


0 awesome commentator:

Post a Comment

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top