BAB 12

            “Wah...heel Gucci,” tegur Najla sambil mengangkat keningnya memandang Zawin. Kasut tumit tinggi bercorak kulit cheetah berhampiran meja kerja Zawin itu diteliti bersungguh. Jenama mahal ni. Bisik hatinya.
            Zawin menjuihkan bibirnya. “Kenapa? Salah ke?” soalnya kembali. Matanya kembali menumpukan perhatian pada skrin komputer.
            Najla tersengih. “Tak. Aku cuma terasa Zawin yang dulu dah kembali. Cheetah’ girl.” Kerusi dihadapan meja Zawin ditarik lalu melabuhkan punggung di situ.
            “Erm...aku tetap Zawin yang dulu ok. Tak ada apa yang berubah.”
            “Ya ke? Heel tu mahal tau. Seingat aku la...Zawin yang aku kenal tak akan beli barangan berjenama.  Atau...ada orang lain yang hadiahkan?” Mata Najla merenung sangsi.
            Zawin mengangkat kedua bahunya. “Kau rasa?”
            “Erm...aku rasa seorang lelaki yang beri dan pastinya bukan Daniel Iskandar,” balas Najla dengan yakin.
            Zawin terus menatap wajah Najla. “Kenapa kau rasa begitu?”
            Najla tersengih sendiri. “Betul kan? Aku tak pernah nampak sepanjang kau couple dengan Is...dia beri kau hadiah atau barangan sekadar kenangan. Cuma kimono hari tu saja la kan. Wan Zaidi...pun sama. Hanya sepasang kebarung saja hadiah dia dalam simpanan kau. Mereka ada persamaan. Lelaki gemini tak suka keadaan apabila mereka dikuasai oleh perempuan. Membeli barangan untuk dihadiahkan pada pasangan adalah tanda mereka telah dikuasi perempuan. Setakat yang aku lihat dari jauh...Daniel Iskandar masih belum dalam keadaan dikuasai oleh kau.”
            “Apa maksud kau?” Mata Zawin tajam menikam anak mata coklat itu.
            Well...masa kau beritahu aku yang Daniel Iskandar refuse in relationship request dalam Facebook, aku dah rasa lain. Kenapa dia tak nak rakan-rakan Facebook dia tahu hubungan korang?”
            Zawin terdiam. Dia ingin mematahkan kata-kata Najla, ingin membela Daniel Iskandar, tetapi dia tidak berdaya untuk menolak realiti. Masih terbayang-bayang dibenaknya t-shirt dan cincin couple yang ingin dimilikinya tetapi kekasihnya itu seperti tidak memahami kehendak hatinya . Sejujurnya dia kecewa apabila lelaki itu tidak mahu mempamerkan hubungan mereka di laman sosial itu.  “Ala...biarlah dulu. Hubungan kami pun baru sahaja bermula. Baru nak masuk bulan kedua. Tunggulah melebihi fasa enam bulan.”
            “Jadi, siapa yang belikan kau kasut tu?” soal Najla tidak tunggu lagi.
            “Zharif. Dia yang hadiahkan aku heel tu,” beritahu Zawin lambat-lambat.
            Zharif? Wow...i’m speechless.” Najla merapatkan jari jemarinya.
            “Dia hadiahkan sebagai tanda terima kasih temankan makan malam di rumah Dato’ Wan Zahid hari tu,” beritahu Zawin tanpa disuruh.
            Najla mengangkat keningnya. “Ada kau tanya dia zodiak apa? Kalau betul dia lelaki libra...well...you know...aku dah beritahu kan?”
            “Nantila aku tanya,” jawab Zawin dalam nada malas.
            “Is tahu tak kewujudan Zharif dalam hidup kau?”
            “Tahu. Baru je hujung minggu hari tu aku temukan Is dengan Zharif di pusat Akuatik. Setakat ni, Is kata Zharif ok.”
            Najla tersenyum sendiri. Jambangan bunga ditangan diletakkan di atas meja Zawin.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Anas beri kau ke?”
            Najla menggeleng. “Aku ambil atas kereta kau la,” beritahunya sambil tangannya membetulkan kedudukan tudung ungu polos dikepalanya.
            Zawin membulatkan matanya. “Kau nampak siapa yang beri?”
            “Tak. Siapa agak ya secret admire kau ni?” Najla menyentuh sekuntumbunga mawar merah jambu itu.
            Zawin mengeluh. “Malas la aku nak fikir. Baik aku buat kuiz yang kau suruh aku buat semalam.” Zawin terus menekan tetikus, berfikir sebentar sebelum menjawab soalan terakhir.
            “Kuiz untuk mengetahui pekerjaan bakal suami?” Najla menutup mulutnya apabila tawa besarnya terhambur. “Aku ingat kau tak nak main. Ya la...apa saja yang aku ujarkan, mesti kau bangkang selalu.”
            “Ala...saja je aku nak main kuiz ni,” balas Zawin sambil tangannya menekan tetikus untuk mengetahui hasil akhir kuiz itu. Mata Zawin membulat. “Engineer?”
            “Jurutera? Wah...nampaknya kau bakal bertemu dengan jurutera nanti,” usik Najla dalam tawa halus.
            Zawin menjeling. Matanya dikalihkan pada skrin komputer semula. “Aku tak puas hati. Aku nak buat sekali lagi.” Zawin terus meneliti soalan-soalan kuiz itu untuk memilih jawapan yang berbeza daripada jawapan sebelum ini.
            Najla menggelengkan kepalanya. “Kau berharap jawapan tu doktor perubatan. Kan?”
            Zawin mengangkat kedua bahunya.
            “Erm...kau pasti yang Daniel Iskandar tu...lelaki yang ditakdirkan untuk kau?”
            Gerakan tangan Zawin pada tetikus lansung terhenti. Matanya terus menatap wajah serius Najla. “Apa maksud kau?”
            “Aku tanya saja. Kau dah buat solat istikharah?”
            Zawin menggeleng laju. “Perlu ke aku buat?”
            Najla terus menampar tangan Zawin. “Kau ni...nak kena bebel betul la. Baik kau buat. Minta Allah S.W.T tunjukkan jodoh yang terbaik untuk kau dan lelaki yang membawa kebaikan di masa akan datang,” nasihatnya.
            Zawin mengangguk perlahan. Tangannya kembali lincah menekan tetikus. Matanya membulat melihat keputusan kuiz itu. “Engineer lagi? Ah...malas la aku main kuiz macam ni lagi!” marahnya. Laman sosial itu terus di tutupnya.
            Najla ketawa halus. “Siapa la agaknya engineer tu ya?” usiknya.
            Zawin menjeling geram. Jambangan bunga di atas mejanya dicapai, digoncang kuat. “Orang gila ni la kot!” balasnya sambil terus mencampakkan mawar merah jambu itu ke dalam tong sampah.
            Najla ketawa lagi untuk sekian kali. “Zawin...Zawin...jangan kau nak lepaskan marah kau pada bunga tu. Baik kau cari solusi macam mana nak tangkap pemberi bunga ni?”
            “Macam mana?”
            “Eh...kau kan pensyarah IT. Otak kau lagi geliga dari aku.” Najla bangun lalu beredar keluar dari bilik Zawin.
            Zawin termanggu sendiri.
*******                      
            “Apa yang kau fikir?” soal Fuad sambil bersandar di dinding bilik tuan CEO itu.
            “Eh...bila kau masuk?” Zharif meraup wajahnya. Tidak sedar dengan kehadiran lelaki bersut hitam putih itu. Jauh mindanya melayang entah kemana.
            Fuad menggelengkan kepalanya. “Siapa nama perempuan tu?”
            “Zawin,” balas Zharif spontan. Apabila dia tersedar telah diperangkap Fuad, terus dia berdehem perlahan. “Err...gadis apa pula?” Zharif membetulkan duduk, berusaha membuat wajah selamba.
            Fuad merenung selamba wajah Zharif usai melabuhkan punggung di kerusi empuk mendepani Zharif. “Lupakan saja dia. Zawin tu milik orang lain,” nasihatnya. Fail ditangan dihulurkan kepada Zharif.
            Zharif tersenyum pahit. “Akal aku kata nak lupakan dia tapi hati aku melarang. Ada sesuatu yang tak kena dengan Iskandar. Lelaki itu...”
            “Kenapa?” Laju Fuad bertanya.
            Zharif menggeleng. “Ahh...lupakan lah...” Tangannya cekatan membuka isi fail lalu menurunkan tanda tangan di situ.
            “Kau tahu sesuatu mengenai teman lelaki Zawin?” soal Fuad lagi.
            “Tak ada la,” balas Zharif bersahaja.
            “Kau lelaki impian semua perempuan. Ramai lagi gadis-gadis yang hebat di luar sana sedang menunggu kau. Aku kenalkan kau dengan kawan-kawan aku nak?”
            Zharif menggeleng. Fail ditangan dihulurkan kembali kepada Fuad. “Zawin Az-Zahra...gadis terhebat yang pernah aku kenali. Dia...sungguh berbeza,” kata Zharif penuh perasaan.
            “Cuba cerita pada aku...apa yang buatkan dia berbeza daripada perempuan lain?” soal Fuad ingin tahu.
            Zharif merenung wajah Fuad. “Zawin Az-Zahra...hiasan dunia yang terindah.”
            “Errr...hiasan dunia yang terindah? Maksudnya perempuan solehah?”
            Zharif mengangguk bersungguh. “Arwah ayah pernah pesan dulu...kalau cari isteri, pilihlah perempuan yang beragama kerana di situ terletaknya sumber ketenangan seorang lelaki. Waktu aku berjumpa Zawin dulu, hati aku dalam keadaan gelisah selepas kedua orang tua aku pergi. Aku ingin pulang ke Malaysia, tetapi kenangan dengan papa dan mama akan buat aku lebih gelisah dan tertekan. Ajaibnya, hanya...kerana senyuman Zawin, hati aku kembali tenang.”
            “Kau jatuh cinta pandang pertama la ni?” Fuad mengangkat keningnya.
            Zharif mengangguk. “Ya benar...aku jatuh cinta padanya pada waktu itu juga. Terasa seakan ada pancaran kilat yang terjadi saat melihat wajah comelnya, tawa lepasnya. Satu perasaan aneh, bahagia dan juga rasa sakit. Perasaan aneh dan bahagia yang seolah-olah saya baru sahaja melihat seorang gadis...rasa sakit yang tidak tertanggung kerana dia...hilang dari pandangan saat aku berkalih mata melihat bunga sakura yang gugur. Apabila takdir menemukan kami kembali di bumi Jepun...tahun lalu, aku bertekad untuk kembali semula ke Malaysia. Siapa sangka...dia adalah teruterubozu  yang aku cari selama ini. Mengenali Zawin Az-Zahra membuatkan aku jatuh cinta berkali-kali pandang. Kalau kau kenal dia...kau akan jatuh cinta dengan dia...”
            Fuad mengangkat kedua belah bahunya. “Entahla. Bagi aku...Zawin seperti gadis melayu lain.”
            “Sebab selama ini kau pandang enteng pada gadis melayu. Kan?” tebak Zharif.
            Wajah Fuad berubah mendengar kata-kata itu. “Apa maksud kau?”
            Zharif tersengih. “Aku pernah mendengar kata-kata kau kepada seorang kawan  masa kita belajar dulu. Kau kata, kau pandang gadis melayu seperti golongan bawahan biarpun mereka berpendidikan. Gadis jepun pula kau agung-agungkan seperti golongan atasan. Bila kau putus dengan Minami Nakaue, kau terus menerus mengejar cinta gadis jepun. Aku tahu, kau marahkan semua gadis melayu selepas kecewa dengan cinta pertama kau dulu kan? Fuad...bukan semua gadis melayu seperti Ezzah. Gadis melayu...sangat istimewa. Mereka dibekalkan dengan asas ajaran agama yang baik, di didik dengan kesantunan tinggi dan adat resam yang unik. Kau tak akan temui kualiti ini pada mana-mana gadis jepun.”
            Fuad terdiam lama. Matanya terkebil-kebil memandang wajah Zharif. Selama ini sahabatnya itu tidak pernah menyentuh perihal Ezzah apatah lagi gadis-gadis yang pernah singgah dalam hidupnya, tetapi kerana gadis melayu bernama Zawin, rakannya itu akhirnya bersuara. “Ok...kenalkan la Zawin dengan aku. Mana tahu...preference aku berubah.”
            Zharif tersenyum senang. “Kau selalu mengelak bila aku ajak kau main kick boxing kan?  Kalau kau nak mengenali Zawin...datang ke pusat akuatik seksyen 14 minggu depan.”
            “Dia...dia...main kick boxing ke?” Mata Fuad sudah terbeliak.
*******
            “Ma...pa ada kursus di Ampang minggu depan,” beritahu Iskandar sambil menyisip teh tarik.
            “Berapa lama?” soal Zawin.
            “Tiga hari.”
            Zawin mengangguk. Dia menyuap roti canai telur dengan penuh selera.
            Iskandar tersenyum melihat cara gadis itu menikmati makanannya. “Erm...siapa la nak jaga ma nanti bila pa tak ada. Makan pun ma boleh lupa.”
            Zawin tersengih. “Ala...hari ni je Zawin tak makan. Sibuk sangat dengan persiapan research proposal.”
            Iskandar membundarkan matanya. “Ma! Ma serius ke nak sambung Phd?”
            Zawin mengangguk bersungguh. “Kan ma dah habaq dulu kan? Pa ingat ma main-main ke?”
            “Memangla ma dah habaq, tapi pa tak jangka la secepat ini,” ujar Iskandar dalam riak wajah gusar. Dia mencapai rokok, menyalakan api lighther lantas menghisap puntung rokok dalam-dalam. Asap rokok bertebaran keluar dari hidung dan mulutnya.
            Zawin terus menutup hidungnya. Matanya merenung tajam wajah Daniel Iskandar yang kelihatan selamba merokok. “Bila masa pa merokok ni? Setahu ma...pa bukan perokok sebelum ni,” tegurnya sambil terus menerus menekup hidungnya dengan tisu.
            “Ma ingat...kursus perubatan mudah? Rokok...jadi salah satu ubat penenang, penghilang stress,” ujar Iskandar tidak putus putus merokok.
            Zawin mengibas-ngibas asap rokok yang menyerbu wajahnya. Dia terbatuk-batuk kecil apabila asap itu memasuki rongga pernafasannya. “Pa...you are a murderer who gets away with murder.” Zawin bersuara dalam wajah kurang senang.
            “La...kenapa pula?” soal Iskandar bersulam hairan.
            “Pa sendiri tahu kan asap rokok mengandungi carbon monoxide yang boleh menyebabkan sumbatan salur darah, keracunan kepada perokok dan juga pada orang sekeliling. Tapi pa selamba sahaja kan merokok di kawasan orang ramai. Pa tak rasa diri pa zalim ke?”
            “Kenapa pula?”
            “Ya la. Dah la pa menzalimi diri sendiri, ni pula ikut menzalimi orang lain demi keutamaan diri sendiri.”
            “Ala...jarang la kes orang lain sakit sebab rokok,” nafi Iskandar lagi.
            Zawin merenung tajam. “Ada. Kawan ma sendiri di Edinburg dulu. Dua kawan ma meninggal sebab alami Passive Lung Cancer. Pa sendiri tahu kan penyakit ini adalah berpunca daripada asap rokok. Berhenti la merokok, pa. Kalau ada kemahuan, insyaallah pasti boleh,” nasihatnya.
            Iskandar menggelengkan kepalanya. “Ini adalah ubat paling mujarab bila time stress. Kenapa perlu berhenti?” sangkalnya.
            Zawin menggelengkan kepalanya. “Pa ada baca thesis Dr. Stephen tentang kajian kenapa yahudi bijak?”
            Iskandar menggelengkan kepalanya.
            “Kalau pa nak tahu...tolong berhenti merokok sekarang. Ma tak nak terhidu asap rokok.”
Iskandar mengeluh perlahan. “Ya la.” Puntung rokok ditenyehkan pada bekas abu rokok. Api rokok terus padam. “Erm...cerita la.” Iskandar merenung tepat wajah Zawin.
            Zawin mengalihkan tisu dari hidungnya. Dia bernafas kencang, menghirup udara segar sepuasnya. Baki puntung rokok didalam bekas abu rokok direnung lama kemudian pandangannya beralih ke wajah ingin tahu Iskandar. “Selama lapan tahun Dr.Stephen lakukan kajian mendalam mengenai faktor yang menyumbang kebijaksanaan bangsa yahudi. Salah satu perkara adalah merokok merupakan taboo atau perlakuan yang dianggap tidak baik di Israel. Kerana itu, sesiapa yang merokok di rumah bangsa Yahudi, tanpa malu mereka akan menyuruh perokok keluar dari rumah mereka dan merokok di luar rumah mereka.”
            Tangan Iskandar melurut kumis bawah dagunya. “Itu sahaja?”
            Zawin menggeleng. “Pa seorang doktor dan mustahil pa tak tahu tentang bahaya nikotin dalam rokok. Suatu penemuan dahsyat ditemui oleh saintis yahudi yang mendalami bidang genes dan DNA di Universiti Israel menyatakan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes. Ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak atau lembam. Sebab itu, selepas melihat banyak kemusnahan yang diberikan rokok kepada bangsa Yahudi, mereka menjadikan rokok sebagai taboo tapi ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar dunia adalah bangsa Yahudi!” ujarnya bersungguh. Tekaknya terasa kering lalu mencapai gelas berisi air suam dan diteguk perlahan.
            Iskandar menggaru dagunya. Terasa kenyataan itu bagaikan menampar kembali wajahnya. “Ala...nanti kita kawin, pa berhentila merokok.”
            Zawin mengeluh lemah. “Terpulangla pada pa. Pa dah besar, dah boleh fikir.”
            “Pa nak ma sentiasa di sisi pa, beri semangat. Pasti pa dapat atasi ketagihan merokok.”   
            “Ma akan sentiasa ada untuk pa.”
            “Tapi nampak sangat ma cakap tak selari dengan tindakan. Ma akan tinggalkan pa juga kan?”
            Zawin terdiam sejenak. Matanya merenung wajah sayu lelaki dihadapannya. “Pa...ini impian ma sejak kecil. Kenapa pa tak boleh faham?”
            “Pa faham, tapi ma masih muda...”
            “Kalau pa nak halang ma, kita kahwin tahun ni.”
            Iskandar terkedu mendengar kata-kata itu. “Kah...win...?”
            Zawin mengangkat keningnya. “Kenapa? Pa yang ajak ma kahwin hari tu kan. Kenapa pa boleh lupa?”
            “Err...bukan lupa. Cuma.kahwin yang pa maksudkan tiga tahun lagi. Pa baru nak bina kerjaya...”
            Zawin menepuk meja perlahan. “Itu la maksud ma. Dalam tiga tahun ni, kita kukuhkan kerjaya dan selepas itu, kita kawin. Macam mana?”
            Iskandar menggelengkan kepalanya. “Pa nak ma di sisi pa selalu. Ma tahu kan, cinta jarak jauh hanya mengundang musibah.”
            Giliran Zawin pula mengeluh. “Pa suruh ma berkorban...tapi pa sendiri tak sanggup berkorban untuk ma,” ujarnya menahan rasa geram.
            “Sayang...jangan begini. Tiga tahun lagi pa hantar rombongan meminang ya?” pujuk Iskandar.
            Zawin menjeling. “Kalau begitu...ma tetap dengan keputusan ma. Ma akan sambung Phd tahun ini!” tegasnya sambil terus bangun dari kerusi. “Ma nak balik.”
            Iskandar menelan liurnya. Matanya terkebil-kebil merenung wajah serius Zawin.
            “Ma cakap ma nak balik,” ulang Zawin lagi dalam suara tegas.
*******
            “Kau dengar tak apa aku ajar ni,” tegur Zharif apabila menyedari Fuad tidak menumpukan perhatian pada arahannya. Mata lelaki itu seringkali terarah pada Zawin yang sedang melakukan lompat tali.
            Fuad berdehem beberapa kali. Matanya terlalu seronok melihat gadis melayu itu bersenam sejak permulaan kakinya melangkah ke dalam bangunan komplek akuatik itu.  “Erm...maaf. Ajar aku semula,” pintanya sambil membetulkan kedudukan dua kakinya dan memasang kemas Glove merah di kedua tangan.
            Zharif menggelengkan kepalanya. “Ok, kita akan mulakan dengan pukulan yang paling penting dalam boxing, pukulan Jab dan kemudian beralih pada pukulan penting yang lain iaitu Cross.” Tangannya menumbuk sekali punching bag berwarna merah itu dengan tangan kiri. “Ini dinamakan pukulan Jab. Teknik pukulan lurus dengan menggunakan tangan kiri. Target pukulan jab adalah wajah dan tubuh bahagian depan. Cuba kau buat,” arahnya serius.
            Fuad mengangguk tanda faham. Tangan kirinya pantas menumbuk punching bag itu dengan kuat.
            “Bagus,” puji Zharif. “Tips untuk melakukan pukulan yang kuat dan padu adalah memindahkan berat badan dari kaki belakang ke depan seperti kedudukan menghayun kayu pemukul bola lisut. Majoriti kuasa akan datang dari kaki dan pinggul manakala kelajuan lengan dan tangan menyampaikan tamparan atau pukulan’, jelas Zharif lagi.
            “Ooo...patutlah. Pukulan ini aku selalu tengok dalam pertandingan Muay Thai. Tapi apa yang bagus dengan pukulan Jab ni?” sampuk Fuad.
            “Pukulan Jab adalah pukulan yang paling banyak digunakan. Kedua, mencipta tumbukan yang lebih memudaratkan dan ketiga, digunakan untuk mengukur jarak dan mewujudkan sudut. Kau perhatikan cara aku lakukan pukulan Jab Cross pula.” Zharif menumbuk punching bag dengan kedua belah tangan berselang seli. “Mula-mula pukulan tangan kanan dibuat kemudian tangan kiri pula. Semasa membuat pukulan, kaki kanan dan kiri harus dipusingkan. Pastikan kedudukan wajah tetap sama dan kedudukan kaki pada sudut empat puluh lima darjah,” terang Zharif lagi sambil terus melakukan pukulan Jab Cross.
            Fuad turut melakukan pergerakan yang dilakukan Zharif. Kepalanya terangguk-angguk tanda mula memahami cara membuat pukulan Jab Cross.
            “Dapat tak?” soal Zharif sambil menyeka peluh di dahi.
            Fuad mengangguk dengan yakin.
            “Ok...giliran kau pula,” arah Zharif.
            Fuad melakukan tumbukan Jab Cross dengan penuh yakin. Berulang kali dia melakukan pergerakan yang sama apabila Zharif tidak menegur.
            Good. Faster learner,” puji Zharif lagi. “Teruskan berlatih.” Zharif menepuk bahu Fuad. Dia menapak ke arah Zawin yang sedang menumbuk punching bag biru.
            Zawin melepaskan seluruh perasaan marah dan geramnya pada punching bag itu dengan pukulan demi pukulan. Apabila bayang Iskandar muncul di situ, hatinya bertambah panas lalu melakukan tendangan tinggi ke arah punching bag itu. Dia benar-benar marah dengan tindakan membisu Iskandar selepas malam mereka bertengkar di kedai mamak. Sesekali, dia inginkan lelaki itu merendahkan ego sekaligus memujuknya. Seringkali terjadi perselisihan faham, seringkali  itu jugalah dia yang mengalah. Apa ertinya hubungan ini jika hanya satu pihak sahaja yang sering mengalah? Hatinya membentak. Tendangan kaki Zawin semakin kencang ke arah punching bag.
            “Macam nak bunuh orang je gamaknya,” tegur Zharif seiring senyuman nakalnya. Dia berdiri di sebelah gadis itu.
            Zawin berhenti menendang. Dia menyeka peluh di dahi. “Memang nak bunuh orang. Wanna be next?” balas Zawin sebelum memberikan tendangan kuat sekali lagi ke arah punching bag.
            Zharif tersengih.“Tanya sama pokok apa sebab goyang.” Zharif melagukan serangkap lagu yang popular semasa zaman kanak-kanaknya.
            Zawin menjeling. “Nanti jawab pokok...ribut yang goncang,” sahutnya bersahaja.
            Zharif ketawa besar mendengar balasan lagu itu. “Ada masalah ke?” soalnya ingin tahu. Dia mengambil tempat duduk di kerusi merah berhampiran.  Wajah merah gadis itu direnungnya dalam-dalam.
            Zawin berhenti menendang. Dia tidak suka diperhatikan begitu. Kakinya melangkah pantas ke arah beg kuning hitam yang diletakan di atas kerusi panjang, menarik keluar tuala kuning berjalur coklat lalu mengelap peluh di seluruh wajah. “Jangan pandang Zawin macam tu,” tegurnya apabila ekor matanya menangkap renungan Zharif ke wajahnya.
            Zharif tersipu segan. “Ala...beritahu la. Apa masalahnya? Zharif kan kawan Zawin,” pintanya bersungguh.
            Zawin menggelengkan kepalanya. Dia turut mengambil tempat duduk di sebelah Zharif lalu meneguk minuman dari botol air. “Kadang-kadang berdiam itu lebih baik daripada bersuara.” Zawin mengeluarkan bekas kuning berisi pisang emas, dibuka penutup lalu menghulurkan kepada Zharif. “Nak?”
            Zharif mengangguk. Sebiji pisang comel itu dicapai, direnung bersungguh dan kemudian merenung wajah Zawin yang kelihatan begitu berselera menikmati buah tropika itu. Dia ingin bertanya minggu lepas mengapa buah itu yang menjadi pilihan Zawin, namun kehadiran Daniel Iskandar membantutkan hasrat untuk bertanya. “Zawin suka pisang sebab warna kuning kan?” tebaknya.
            Zawin mengerutkan keningnya. “Bukanlah,” nafinya.
            “Habis tu?” Zharif mengangkatkan keningnya.
            Zawin tidak terus menjawab. Dia menghabiskan baki pisang yang tinggal. “Eat a banana a day, keeps your doctor away,” balasnya bersaja. Kulit pisang dimasukkan ke dalam bakul sampah.
            Zharif menggaru kepalanya. “Eh, bukan ke tu tagline untuk epal. Eat an apple a day, keeps your doctor away. Zawin dapat tagline tu dari mana pula?”
            “Reka sendiri,” jawab Zawin selamba.
            Zharif ketawa besar mendengar jawapan gadis itu. “Zawin ni la...nakal sungguh.”
            Zawin menahan senyum. Dia membuka bekas air yang dibawanya lalu diteguk perlahan. “Tahu tak, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai empat kali ganda kandungan protin, dua kali karbohidrat, tiga kali fosforus, lima kali vitamin A dan zat besi, dan dua kali vitamin dan mineral lain,” beritahunya.
            Zharif mengangkat kedua belah bahunya. “Erm...apa lagi khasiat pisang?”
            “Pisang mengandungi tiga jenis gula semulajadi sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa dua biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Sebab itu la ramai atlit terkenal dunia menjadikan pisang sebagai buah utama,” terang Zawin panjang lebar.
            Zharif terangguk-angguk sendiri sambil memandang wajah gadis itu dengan kagum. Apabila dia teringat cerita Daniel Iskandar tentang kehebatan gadis itu dilapangan olahraga, bibirnya mengukir senyuman nakal.  “Macam Zawin kan?..Si gadis cheetah yang paling pantas,” usiknya sambil mengangkat keningnya.
            Zawin menjeling sekilas. Telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Melihat nama di skrin I-Phone, dia terus terbangun dari duduk. Cepat-cepat dia menjawab dengan penuh teruja. “Abang Zafuan!” jeritnya penuh girang.
            “Assalamualaikum. Amboi...lupa dah ya bagi salam.”
            “Opps...maaf. Keterujaan yang tidak dapat dikawal. Waalaikumussalam.” Zawin mengipas-ngipas tangannya ke arah muka. Apabila Zawin menyedari pandangan pelik Zharif, terus dia menjauhkan I-Phone dari telinga. “Zawin keluar sekejap ya,” beritahunya sambil berjalan ke arah pintu keluar stadium.
            Fuad melabuhkan punggung di sisi Zharif dengan nafas tercungap-cungap. “Letih nya. Kalau setiap hari aku main boxing, boleh bentuk perut aku ni jadi six pack macam perut kau.”
            Zharif tersengih. “Boleh sangat. Bangun tidur buat sit up ok,” nasihatnya.
            “Ya la,” sahut Fuad sambil menyeka peluh didahi. Matanya meliar menyeluruhi seluruh stadium itu. “Mana Zawin?”
            “Keluar. Jawab panggilan,” beritahu Zharif seraya menyuapkan baki pisang ke dalam mulutnya.
            Fuad merenung wajah Zharif. “Zawin tu...suka warna kuning kan?”
            Zharif menatap wajah ingin tahu sahabatnya. “Kenapa kau kata begitu?”
            “Ya la...kereta kuning, jam dia kuning, baju dia kuning, kasut dia...beg dia...hai...kuning belaka la.”
            “Erm...apa pendapat kau?” Zharif tersenyum simpul.
            Fuad mengelap wajah dan badannya menggunakan tuala biru. “Aku pernah baca satu kajian yang mengenali perempuan melalui warna kegemaran.  Perempuan yang sukakan warna kuning adalah seorang yang amat menyukai ilmu, gemar membaca, tekun dan cerdas serta tabah menghadapi cabaran. Adakah Zawin begitu?”
            Zharif mengangguk laju. “Itu la Zawin.”
            Fuad terdiam melihat wajah serius Zharif. “Apa lagi tentang Zawin yang kau tahu?”  
            Zharif meneguk air 100 plus. “Zawin...seorang yang sangat menarik, optimis, periang dan penuh aspirasi. Dia tak pernah meremehkan sesiapa walaupun seseorang itu dungu atau buta maklumat. Zawin Az-Zahra...boleh menyelesaikan sesuatu perkara tanpa bantuan orang lain dan yang paling penting, akhlaknya sangat indah. Layaklah dia menjadi hiasan dunia yang terindah.”
            Fuad mencemberutkan bibirnya beberapa kali. Dia tahu Zharif sangat mengangumi personaliti gadis itu daripada cara sahabatnya itu bercerita tetapi dia belum yakin sepenuhnya yang gadis melayu bernama Zawin Az-Zahra seorang perempuan yang hebat.
            “Maaf tadi ada hal sikit,” beritahu Zawin dalam wajah yang ceria.  
            “Siapa Zafuan?” Laju sahaja Zharif bertanya.
            “Abang kandung,” sahut Zawin sambil mengambil botol air Nike lalu melabuhkan punggung di kerusi bertentangan.
            “Ooo Abang...” Zharif sudah tersengih sendiri. Apabila dia melihat senyuman sinis Fuad, terus dijuihkan bibirnya. “Zharif tak pernah tahu pun Zawin ada Abang.” Zharif merenung wajah ceria itu.
            “Zharif yang tak pernah tanya,” balas Zawin. Dia membuka penutup botol minumannya itu apabila melihat beberapa ekor semut menghurung botol kuning itu. “Ala...semut masuk la pula,” ngomelnya lalu terus menutup botol itu kembali.
            “Eh, semut masuk pun salah ke?” tegur Fuad.
            Zawin mengangguk. “Memang salah. Minuman yang telah dimasuki semut tidak boleh diminum. Itu pesan Abang Zafuan.”
            “Kenapa pula?” Fuad mengerutkan keningnya.
            Zawin meletakkan botol minumannya di bawah kerusi. “Didalam badan atau mulut semut mengandungi sejenis enzim yang apabila kita makan akan memberi kesan terhadap sistem saraf otak, terutama sekali saraf pembelajaran dan hafalan. Racun semut ini la yang akan rosakkan neuron otak.  Sangat bahaya,” jelasnya.
            Fuad menelan liurnya. “Betul ke?”
            Zawin mengangguk bersungguh.
            “Nampaknya saya kena lebih berhati-hati la dengan semut selepas ini,” kata Fuad dengan serius.
            Zharif sudah tersengih. Bahu Fuad ditepuk perlahan. “Ya la. Kau tanya saja dengan Zawin. Semua perkara dia tahu la,” giatnya.
            Fuad mengangkat keningnya memandang Fuad kemudian ke wajah tenang Zawin. “Erm...Zawin...ada satu perkara saya nak tanya. Boleh?”
            Zawin mengangguk perlahan.
            Fuad berdehem sekali. Matanya merenung glove merah di sisinya kemudian melontarkan pandangan ke wajah gadis itu. “Muay Thai dikatakan antara seni bela diri yang digunakan kerajaan Thailand zaman silam dalam pertempuran dengan musuh. Adakah kerana seni pertahankan diri ini yang menyebabkan Thailand tidak pernah dijajah kuasa besar dunia?” soalnya.
            Zharif menghela nafasnya. Dia juga ingin tahu mengenai persoalan itu sejak dulu namun sering terlupa untuk membuat pembacaan dan kajian. “Zharif pun hairan...Thailand bersama Venice dan Jepun, tidak pernah dijajah kuasa besar dunia. Zawin tahu tak sebabnya?” sampuknya pula.
            Zawin tersengih. “Zawin bukan ahli sejarah. Zawin tak tahu la.”
            Fuad mencebirkan bibirnya. “Nampaknya benar telahan saya yang Zawin hanya gadis melayu yang biasa.”
            Zawin tersenyum simpul. “Ya. Saya ini cuma manusia biasa, masih bergelar hamba di sisi-Nya, yang dangkal ilmunya dan serba kekurangan.”
            Fuad terkedu mendengar kata-kata gadis itu. “Err...err...saya minta maaf. Saya cuma ingin menguji pengetahuan sejarah yang awak ada,” ujarnya dalam rasa bersalah.
            “Erm...habis tu...awak tahu ke jawapan kepada persoalan tadi?” soal Zawin kembali.
            “Err...tak,” balas Fuad lambat-lambat. Telinganya terasa berdesing tiba-tiba.
            Zharif sudah tersenyum sendiri.
            “Kalau awak sendiri tak tahu, awak tak seharusnya memperlekehkan orang lain. Sifat itu bukan ciri-ciri bangsa yang hebat,” tegur Zawin.
            Fuad terasa malu sendiri. “Ya la. Saya minta maaf,” ucapnya dalam suara perlahan.
            “Tak apa. Untuk persoalan awak tu...saya tahu sedikit sahaja maklumat. Ramai  sejarahwan berpendapat bahawa Raja Thai ketika itu iaitu Raja Chulanglakorn adalah seorang terbuka kepada budaya Barat. Beliau menerapkan banyak elemen-elemen barat dalam undang-undang dan perlembagaan malah Chulanglakorn bijak berkompromi dengan pemimpin-pemimpin kuasa penjajah bagi mengekalkan kedaulatan negaranya. Dalam satu pandangan lain, ahli sejarah membuat kesimpulan bahawa Thai tidak dijajah disebabkan Thai menjadi sempadan semulajadi bagi kuasa-kuasa penjajah. Ini bermaksud, Inggeris di Tanah Melayu akan disempadani oleh Thai di tengah-tengah kepada Perancis yang berkuasa di Vietnam dan Indo-China dan bergitulah sebaliknya. Dalam pendapat ketiga pula, negara Thai kekurangan hasil bumi,” jelas Zawin panjang lebar.
            “Kekurangan hasil bumi?” Mata Fuad membulat.
            Zawin mengangguk. “Ya. Thai tidak mempunyai hasil bumi yang istimewa sepertimana yang terdapat di Tanah Melayu seperti bijih timah, emas, dan sebagainya. Oleh kerana itu, Thai telah bernasib baik daripada menjadi sasaran kuasa barat yang tamak.”
            “Bagaimana pula ketika penaklukan Jepun?” soal Zharif pula.
            Zawin merenung sejenak sebelum menjawab. “Ada yang mengatakan Thai adalah negara pembelot sebab memberikan laluan tentera Jepun memasuki tanah melayu. Raja Thai pada waktu itu, King Ananda Mahidol dan perdana menterinya, telah membuat beberapa penjanjian dengan pengawai tentera imperialis Jepun. Antara bukti kukuh terdapatnya penjanjian sulit antara Raja Ananda Mahidol dengan Jeneral Tentera Imperialis Jepun di Asia Tenggara, Jeneral Yamashita adalah dengan tertampalnya notis pemberitahuan mengenai kerjasama antara Jepun dan Thai. Notis ini mengandungi beberapa amaran kepada rakyat Thai jika mereka tidak memberi kerjasama kepada tentera-tentera Jepun. Ini sahaja la maklumat yang Zawin tahu.”
            Fuad menepuk tangannya beberapa kali. “Hebat. Zawin dah macam sejarahwan,” pujinya dalam rasa kagum.
            “Saya hanya hamba Allah yang penuh dengan kelemahan. Saya tak hebat,” sangkal Zawin.
            Fuad menggeleng. “Saya tarik kata-kata saya tadi. Awak...gadis melayu yang hebat.”
            Zawin merenung selamba wajah ceria jejaka itu. “Sudah saya katakan, saya hanya manusia biasa, hamba Allah yang masih dangkal ilmunya,” ulangnya lagi.
            Fuad terdiam. Matanya bersabung pandang dengan mata Zharif.
            Zharif mengangkat keningnya. “Aku tak pernah salah dalam menilai orang bukan?”
            Zawin menghela nafasnya lalu berdiri. “Zawin nak balik. Ada panjang umur, kita jumpa lagi.” Zawin mencapai beg sukannya di sebelah Zharif, memasukkan bekas makanan berisi pisang dan tuala di bahunya. Zip beg kuning hitam itu ditarik ke atas. “Jumpa lagi. Assalamualaikum,” ucapnya lalu terus beredar menuju ke pintu keluar.
            Fuad menjawab salam dalam hati. Matanya mengekori langkah gadis itu sehingga hilang di pandangan.
            “Kenapa? Ada apa-apa berlaku ke?” soal Zharif dalam renungan nakal.
            Fuad mengangkat bahunya. “Zawin Az-Zahra...sungguh misteri, unik dan penuh daya tarikan,” komennya sambil berpeluk tubuh.
            Zharif mengangguk. “Biarlah dia dengan sifat misterinya, biarlah dia dengan keanggungannya yang tersendiri kerana sifat-sifat itu yang membezakan dia dengan gadis biasa.”
            Fuad tersenyum sendiri. “Aku rasa...aku dah jatuh cinta,” ucapnya tiba-tiba.
            Zharif terkedu, merenung wajah serius sahabatnya itu bersungguh.

1 awesome commentator:

  1. Kak mIa!!!!!!!
    suke sgt bce karya kak mIa...!!!
    please post lg yg puteri pelangi...!!
    menangis sy bce....!!
    huhuhuhu...
    pndai kak mIa main dgn emosi kitorang...!!

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top