BAB 15

            “Lelaki india.”
            “Lagi?”
            “Erm...kenapa Abang Zharif nak tahu sangat?” soal Tengku Azura penuh sangsi.
            Zharif mengangkat kedua bahunya. “Saja. Mana lah tahu kalau lelaki tu orang gila ke tak betul ke. Susah Cik Zawin tu nanti,” jelasnya menyatakan kegusaran hatinya.
            Tengku Azura berpeluk tubuh. Hidangan makanan jepun dihadapannya tidak jadi disentuh. “Kenapa Abang risaukan perihal Cik Zawin?”
            “Sebab...dia kawan Abang,” jawab Zharif.
            Tengku Azura mencemberutkan bibirnya. “Jangan risau lah. Lelaki india ni waras.”
            “Apa lagi yang Zura tahu tentang lelaki penghantar bunga tu?”
            “Jurutera mekanikal,” sahut Tengku Azura tidak acuh. “Ala...abang, bosanlah cakap tentang Cik Zawin dan penghantar bunga misteri tu,” rungutnya dalam suara manja.
            Zharif menelan liurnya. Dia ingin menggali lebih dalam tentang lelaki india itu tetapi melihat pada riak bosan pada wajah gadis itu, dia membatalkan hasrat. “Erm...Zura belajar apa tadidalam kuliah?” soalnya berbasa basi.
            “Belajar macam-macam la. Sampai kepala dah penat nak masuk ilmu. Abang Zharif memang tak ada kekasih kan?” soal Tengku Azura semula. Dia ingin mengenali latar belakang lelaki ini lebih dalam. Cerita sepupunya mengenai Zharif Zahir tidak memberikan banyak input yang memuaskan hatinya.
            “Siapa yang cakap abang tak ada kekasih?” Zharif melonggarkan ikatan tali leher biru di lehernya. Dia menunduk, menghirup teh jepun didalam cawan comel. Sungguh kurang selesa berlaga pandang dengan gadis lincah itu. Mata gadis itu seakan mahu melahapnya.
            “Abang Wan la yang cakap. Kenapa Abang tak ada kekasih? Abang kan hensem. Sangat hensem tau.” Tengku Azura merenung manja. Matanya tidak jemu menatap wajah tampan dihadapannya.
            Zharif berdehem sekali. Dia tidak suka pada puji pujian begitu. “Kekasih? Abang tak cari kekasih tetapi Abang mencari bakal ibu untuk zuriat Abang.”
            “Wah...apa ciri-ciri perempuan tu? Cantik, seksi, tinggi atau macam mana?” soal Tengku Azura teruja.
            “Hiasan dunia yang terindah,” sahut Zharif sambil mengukir senyum. Tengku Azura menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Apa tu?”
            “Perempuan solehah yang menjaga pandangannya, menutup auratnya, memelihara agamanya dan wajahnya memberi ketenangan apabila dipadang. Perempuan begini lah yang Abang cari.”
            Tengku Azura termanggu sendiri. “Maknanya...Abang suka jenis perempuan yang bungkus bungkus satu badan. Macam tu?”
            “Bungkus?” Zharif mengangkat keningnya.
            “Ya la. Bungkus. Yang pakai tudung la.” Tengku Azura menjuihkan bibirnya.
            Zharif menggelengkan kepalanya. “Tengku Azura...dengar sini ya. Formula mudah dalam islam begini. Aurat adalah keaiban. Orang yang membuka aurat adalah orang yang membuka keaiban diri.”
            “Ala...Abang. Zura masih muda lagi. Kolotlah pakai tudung ni. Pakai baju kurung,” tingkah Tengku Azura.
            “Kolot? Apa yang kolotnya. Mungkin Zura rasa kolot. Zura tak rasa aib dedahkan aurat di dunia, malah rasa  kagum dengan kecantikan badan dan rambut Zura. Tapi jangan lupa Zura, hidup kita bukan di dunia saja, tapi kita akan melalui persidangan di mahkamah mahsyar nanti. Pada waktu itu, tiada siapa pun yang dapat bantu kita, hanya anggota badan yang akan jadi saksi untuk berhujah di hadapan Allah Ta'ala nati. Rambut akan mengadu bahawa si fulan binti si fulan ini tidak menutupnya daripada pandangan bukan mahram. Anggota badan akan mengadu bahawa tuannya sering menayangkan bentuk tubuh badannya dengan berpakaian ketat ketika di luar rumah. Maka, bersedialah tuan empunya badan. Anggota badan yang kita kagumi di dunia ini dulu, telah memboikot kita dengan mendedahkan keaiban kita kerana melanggar suruhan Allah. Kita hidup dalam dunia ni untuk beribadah kepada Allah, Zura. Kita hanya makhluk tuhan yang lemah dan sungguh tidak layak menentang segala suruhan Allah S.W.T,” nasihat Zharif panjang lebar.
            Tengku Azura termanggu lama mendengar ceramah tidak bertauliah itu. “Cik Zawin...adakah Cik Zawin ada ciri-ciri perempuan yang Abang cari?” soalnya tiba-tiba apabila wajah pensyarahnya itu melintas ruang fikirannya.
            Zharif tersentak. “Kenapa Zura tanya begitu?”
            Tengku Azura merenung anak mata coklat milik lelaki itu. “Saja tanya.”
            Zharif tersenyum sendiri. “Zawin Az-Zahra...dia memang hiasan dunia yang terindah,” ujarnya penuh perasaan.
            Tengku Azura membulatkan matanya. Hatinya tiba-tiba bergelodak dengan perasaan cemburu bersulam marah yang menggunung. Tanpa sepatah kata, dia mencapai beg tangan di atas meja lalu menapak laju  keluar dari restoren jepun itu.
            Zharif terpinga-pinga sendiri.
********
            “Gembira sangat nampaknya?” tegur Najla apabila melihat Zawin tergelak besar sambil menatap I-Phone nya. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah Zawin setelah mengeluarkan duit dari mesin ATM.
            “Ni ha...Iskandar. Dia suruh baca satu komen dalam video Billy Jean di youtube. Nah, cuba kau baca. Aku jamin kau pun akan tergelak.” Zawin menghulurkan I-Phone putih itu kepada Najla.
            Najla menatap skrin telefon bimbit jenama Apple itu.
            Dearest God, Please give us Michael Jackson back and we will give you Justin Bieber... and we'll throw Lady GaGa in for free.
            Najla turut tergelak besar usai membaca komen itu. “Padanlah kau ketawa tak berhenti. Iskandar ni ada saja benda yang boleh buatkan kau tergelak kan?”
            Zawin masih ketawa sambil memegang perutnya. “Daniel Iskandar...dia memang funny guy.”
            Najla menggelengkan kepalanya dalam senyum simpul. “Ya la. Gemini guy kan memang the joker,” ujarnya. “Erm...apa nama khas yang kau letak untuk Is dalam telefon?” soalnya ingin tahu.
            My love,” sahut Zawin bersulam senyuman.
            “Dan...nama kau dalam phone dia?”
            My kidney.”
            Kidney?” Najla mengangkat keningnya.
            Zawin ketawa halus. “Unik kan? Is kata, ada tiga organ penting dalam tubuh. Pertama, jantung yang mewakili mak dia. Kedua, otak yang mewakili ayah dia dan...organ terpenting ketiga adalah buah pinggang. Is kata...aku orang ketiga terpenting dalam hidup dia. Itu yang dia kadang-kadang panggil aku kidney. Sungguh tak romantik bunyinya,” ceritanya sambil menjuihkan bibirnya.
            Najla turut ketawa kecil. Kalau rakannya itu bahagia, dia tiada sebarang rungutan untuk lelaki gemini bernama Daniel Iskandar. Najla menyentuh lengan Zawin. “Zawin...jom shopping,” ajaknya sambil berdiri. Wajahnya benar-benar teruja. Dia telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli belah hari itu.
            “Angin kau tak elok ke?” soal Zawin merenung sangsi wajah sahabatnya itu.
            Najla mengangkat bahunya. “Nanti kau ingatkan aku untuk beli sejadah tau,” pesannya.
            Zawin mengangguk. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran rakannya itu.
            “Arr...satu lagi.” Najla menoleh, menatap wajah Zawin. “Aku lupa nak beritahu. Kau masih ingat dengan Vinod?” soalnya.
            Zawin mengerutkan keningnya.
            “Ala...Vinod. Lelaki india kelas kita yang pindah ke luar negara semasa tingkatan tiga. Ingat tak?”
            Zawin sedikit tersentak dalam mata yang membulat usai mindanya berjaya memanggil wajah macho seorang jejaka india. “Wah...ingat! Rindunya pada dia...Kau jumpa dengan dia ke? Bila? Di mana?” soalnya tidak sabar. Lelaki india itu pernah menjadi sahabatnya semasa remaja. Satu persatu kenangan menggamit memorinya langsung menghadirkan rasa rindu.
            Najla mengangkatkan keningnya. “Dia add aku dalam Facebook semalam. Vinod ada tanya tentang kau terutamanya tentang status kau. Aku beritahu la kau sedang berpacaran dengan Daniel Iskandar,” beritahu Najla.
            “Apa reaksi dia?”
            “Dia seakan kecewa tau. Nampaknya dia memang masih sukakan kau,” usik Najla dalam senyuman nakal
            Zawin ketawa halus. “Ala...Vinod tu bergurau sahaja,” nafinya. Kenangan bersama lelaki india itu mula memenuhi benaknya. Lelaki india itu sangat berbeza dan istimewa buat dirinya kerana sangat meminati lagu melayu tradisional. “Dia dimana sekarang?” soalnya ingin tahu.
            “Mengejutkan tau. Dia ada di Shah Alam.”
            “Betul? La...dekat sangat tu. Boleh sangat jumpa kan?”
            “Memang. Kau check di Facebook, dia ada add kau?” soal Najla.
            Zawin menggeleng. “Tak ada pula...”
            “Hairan juga...” Najla mengusap-usap hujung dagunya.
            “Kau...ada perkara lain nak cakap kan?” tebak Zawin apabila menyedari wajah rakannya itu tidak ceria seperti selalu.
            “Kita pergi beli sejadah dulu,” ajak Najla tanpa menjawab soalan Zawin. Dia menarik lengan Zawin, menuju ke sebuah booth menjual barangan muslim. “Adik, saya nak sejadah warna biru muda tu.” Najla mengunjukkan jarinya pada sejadah yang dilipat pada lapisan kedua.
            Gadis bertudung hitam itu cekatan mengambil sejadah yang dimaksudkan lalu menghulurkan kepada pelanggannya.
            Najla meneliti kain sejadah itu, menggosok-gosok perlahan lalu menganggukkan kepalanya. “Saya ambil yang ini,” putusnya lalu menghulurkan kembali sejadah biru itu.
            “Ok.” Gadis bertudung hitam itu cekatan melakukan tugasnya.
            “Kau nak beri siapa?” celah Zawin.
             “Berapa?” soal Najla kepada gadis itu.
            “Empat belas ringgit.”
            Najla memberikan sehelai not merah dan sehali not hijau kepada gadis itu. “Keep the changes,” ujarnya sambil tersenyum. Matanya dikalihkan pada wajah Zawin yang setia menunggu ceritanya. “Iqram. Aku nak beri pada Iqram.”
            Zawin menjungkitkan keningnya. “Ada apa-apa berlaku?”
            Najla mengeluh perlahan. “Dia...sudah jauh terpesong. Sangat jauh Zawin.” Najla melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi besi.
            “Erk...ada sesuatu yang kau nak cerita pada aku?” soal Zawin sejurus mengambil tempat duduk di sebelah Najla.
            Najla menghela nafas dalam-dalam. “Semalam...Iqram hantar aku pulang dari USJ. Anas telefon semasa kami hampir sampai di Shah Alam. Sedang aku seronok berbual dengan Anas, aku perasan kereta yang dipandu Iqram semakin laju. Iqram suruh aku berhenti berbual dan tutup telefon.”
            “Gila!” Zawin membulatkan matanya.
            Najla terdiam sebelum menyambung cerita. “Aku marah pada Iqram. Kata dia tiada hak untuk halang aku berbual dengan suami aku. Tanpa disangka, Iqram ambil telefon aku, langsung di tekan butang off.”
            “Apa tindakan kau pada dia?” soal Zawin pantas. Dia sudah mengepal penumbuknya.
“Memang aku nak marah tapi lepas tu Iqram berhentikan kereta di bahu jalan dan dia menangis bagaikan anak kecil. Anehnya, terus hilang rasa marah pada dia. Aku cuba cungkil apa yang membuatkan dia menjadi seperti itu. Zawin...” Najla menatap wajah sahabatnya itu. “Iqram merasa hidup dia tidak adil. Dia antara anak yang menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga, sama...seperti kita juga. Ayah dia...lelaki yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai ramai teman wanita. Dia...takut yang dia akan ulang semula kesilapan yang ayah dia buat umtuk keluarga dia nanti.”
            Zawin menggelengkan kepalanya. Perasaan marah terus hilang. Hatinya turut tersentuh dengan dengan cerita Najla. “Eh, bukan kah mama dia tak beri restu dia nak kahwin ni?”
            Najla mengangguk. “Tetapi dia terpaksa kahwin.”
            “Kenapa?”
            Najla terdiam. “Dia memang harus kahwin,” balasnya perlahan.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. Dia tahu Najla tahu sesuatu tetapi temannya itu seakan berat untuk memberitahu. “Erm...Iqram Ibtisam...lelaki yang sangat bijak dan kacak. Kenapa kau tolak cinta dia dulu?” soalnya ingin mengorek rahsia hati wanita itu.
            Najla tersengih. “Dia...Scorpio dan aku Leo. Sangat banyak karakter bertentangan. Scorpio ada sikap setia yang Leo inginkan tetapi Scorpio sangat possessive dan cemburu. Leo...cuma inginkan kebebasan dan Scorpio bagaikan tidak memberi kebebasan yang Leo inginkan. Ada astrologer yang pernah buat tagline tentang hubungan Leo-Scorpio. We feel with our hearts and they think with their heads. Memang sangat betul pun. Sejak dulu, aku elakkan diri daripada terjebak dengan lelaki Scorpio, sebab bila dah terjebak...memang susah nak lepaskan diri daripada Scorpio.”
            Zawin berpeluk tubuh, tersenyum lebar. “Anas...beri banyak kau kebebasan kan?”
Najla tersenyum manis lalu mengangguk. “The Libra and Leo match is an A+.  Leo-Libra inspiring each other with their love for creativity and positive outlook in life. They never run out of things to talk about since they are both adventurous and always have a lot of ideas in mind. Dengan Anas, aku sangat bahagia dan bebas ekpresi kan diri aku dengan sepenuhnya. Dia suami aku di dunia dan akhirat. Nokhtah,” ujarnya dengan yakin dan bersungguh.
            “Aku memang cemburu lihat kau dan Anas bila bersama. Aku harap nanti aku dan Daniel Iskandar pun begitu.” Zawin tersenyum sendiri.
            Najla memeluk bahu Zawin. “One thing is for certain when it comes to a lifetime with a Leo woman, there would never be bored. However, learning to live with a Leo woman is a skill set all its own, but other fire signs such as Aries and Sagittarius are usually up for the challenge. Air signs, Gemini, Aquarius and Libra can make great matches for Leo since fire cannot exist without air. Gemini especially knows how to fan the flames of a fire and keep life interesting. Erm...Daniel Iskandar golongan lelaki Gemini kan? Memang dia pandai buat kau ketawa.”
            Zawin tersenyum lebar. “Leo and Gemini go great together because of their personalities. Leo always needs a backbone to their independence and Gemini's are the right medication for that. Is it right?” Zawin mengangkat keningnya pada Najla.
            Najla ketawa besar mendengar kata-kata Zawin. “Sejak bila kau mula baca kajian-kajian astrologer ni?” soalnya dalam reaksi wajah tidak percaya.
            “Sejak aku rasa dapatan kajian yang kau beri selalu ada yang tepat. Dulu aku ingat kau cakap berdasarkan ramalan tetapi rupanya daripada kajian terhadap ramai pasangan. Itu yang buat aku yakin. Lagi pula, memang gabungan gemleo sangat padan...cuma aku tak suka sikap Is yang suka flirt walaupun dia ada bersama aku.” Zawin menjuihkan bibirnya.
            “Hmm...ada kau mention benda ni pada dia?”          
            “Ada. Dia cakap...dia akan berubah tetapi ambil masa la. Aku pun malas nak panjang-panjangkan cerita. Aku terima dia seadanya. Apa hak aku nak ubah dia kan? Lagi pula, sikap itu memang dah ada dalam golongan tipikal Gemini kan?”
            Najla ketawa kecil. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku teringat ada satu komen dari satu laman web astrologer. Gemini guy akan kata begini bila teman wanita mereka menegur sikap suka menggoda mereka. I'll change and never do it again tetapi maksudnya adalah I'll flirt a little less and make sure you won't know.”
            Zawin terdiam dengan kata-kata sahabatnya itu. Matanya lama merenung Najla. “Kau rasa...Is...begitu?” soalnya teragak-agak.
            Najla memincingkan pandangannya lalu mengangkat bahu.
******
            Zawin memegang dadanya yang tiba-tiba diserang debaran maha hebat usai melihat sebuah kereta memasuki kawasan parkir di Pusat Akuatik itu. Matanya meneliti kereta itu dengan penuh minat, penuh teruja sehingga kereta berwarna baby blue itu mengambil parkir si sebelah keretanya. Melihat tubuh yang keluar dari perut kereta itu, mata Zawin membulat luas. Matanya berkerdip beberapa kali apabila lelaki itu perlahan-lahan mendekatinya yang sedang bersandar di kereta kelisa kuningnya.
            Zharif tersengih melihat wajah terkejut gadis melayu yang mengenakan sepasang pakaian sukan Adidas berwarna merah hati. “Kenapa? Tak percaya?” usiknya lalu mengenyetkan mata.
            “Errr...Honda...Jazz?” soal Zawin lambat-lambat. Matanya merenung Honda Jazz baby blue kemudian ke wajah kacak jejaka thai itu.
            “Err...salah ke?” soal Zharif kembali.
            Zawin menahan senyum lalu menggeleng.
            “Cuba cakap...mesti ada apa-apa kan?” tebak Zharif ingin tahu.
            Zawin tetap menggeleng dalam kuntuman senyum.
            Sebuah kereta Honda Jazz berwarna merah masuk ke dalam kawasan parkir lalu mengambil parkir di sebelah Honda Jazz baby blue. Fuad tersenyum lebar usai keluar dari perut kereta itu.
            “La...Fuad pun...?” Zawin menutup mulutnya dan kemudian tawa besarnya terhambur keluar. Hatinya terasa geli apabila teringat cerita tentang Honda Jazz dan kaitannya dengan lelaki.
            Fuad dan Zharif saling mengerutkan dahi masing-masing.
            Zawin menutup mulutnya sekali lagi. Berusaha mengawal tawa daripada berlanjutan. “Maaf...” ucapnya perlahan.
            Zharif tersengih. “Apa yang lucu sangatnya?” soalnya lagi.
            Zawin berdehem beberapa kali. Matanya menatap anak mata coklat Zharif kemudian pada anak mata hitam Fuad. “Pernah dengar cerita tentang perkaitan Jazz dengan gay? Katanya...lelaki yang gunakan Honda Jazz ni...gay,” beritahunya dalam sisa tawa.
            Fuad ketawa kecil mendengar kata-kata itu. “Kereta pun jadi penentu gay ke tak ek?”
            “Kita gay ya Fuad?” Zharif turut ketawa apabila Fuad melampiaskan tawa besarnya.
Zawin menahan senyum.
            “Pelik juga...” Fuad menggaru dagunya sambil matanya tetap menatap seraut wajah ayu itu. “Kereta yang diundi the most sexy car by gay adalah BMW Z4, tetapi kenapa orang yang pakai kereta itu tak dipanggil gay. Siap orang cakap macho lagi bila bawa BMW Z4. Pelik dan ajaib kan?” Fuad mengangkat-angkatkan keningnya.
            “Oh ya ke?” Zawin agak terkejut dengan fakta diberikan jejaka sederhana tinggi berpakaian sukan putih dari jenama NIKE itu.
            Zharif tersengih melihat wajah Zawin berubah begitu. “Dari mana Zawin dengar perkaitan tentang jazz dan gay ni?”
            “Erm...pernah dengar budak-budak kereta panggil jazz ni VTEC pondan,” jelas Zawin.
            Zharif tersengih. “Sebenarnya, masa mula-mula Jazz keluar dulu orang biasa tak mampu beli, tak berbaloi kot dengan saiz. Itu yang keluar kata-kata macam pondan la, macam perempuan, tak jantan la...Kiranya maki hamun semua keluar masa tu dan melekat sampai sekarang,” jelasnya.
            Zawin menganggukkan kepalanya. “Ooh...begitu.” Matanya tidak lepas meneliti Honda Jazz baby blue milik Zharif.
            “Zawin suka Jazz ke?” soal Fuad tiba-tiba.
            Zawin mengangguk.
            “Kenapa?”
            Zawin mengangkat bahu. “Tak tau kenapa, tetapi masa mula-mula saya lihat Jazz beberapa tahun lalu, jantung saya berdebar-debar. Sehingga kini, rasa berdebar-debar itu masih ada seperti tadi bila melihat kereta kalian.”
            Zharif tersengih. “Like falling in love?”
            Zawin ketawa halus. “Mungkin.”
            “Kenapa masih guna kereta kelisa? Zawin kan mampu beli Jazz?”  soal Fuad ingin tahu. Dia  benar-benar ingin mengenali gadis berdagu lekuk itu dengan lebih dekat.
            Zawin mencemberutkan bibirnya. “Belum sampai seru,” beritahunya. Zawin menatap wajah lelaki berkumis nipis, berkaca mata itu. “Fuad memang suka Honda Jazz? Berapa banyak koleksi kereta?” Zawin baru menyedari dia dikelilingi lelaki-lelaki yang mempunyai kuasa wang ditangan.
            Fuad tersenyum lebar. “Ada beberapa koleksi sahaja. Dulu semasa belajar di Jepun, pernah membeli Honda Fit yang dipasarkan di pasaran Jepun sahaja. Honda Fit adalah model kereta yang sama dengan Jazz,cuma bezanya ditukar nama kepada Jazz untuk pasaran luar Jepun. Kalau diikutkan, Honda Jazz dah masuk hampir satu dekad tetapi setiap keluaran berbeza design dan teknologi. Jika dulu Jazz Idsi...sekarang Jazz Vtec. Kebetulan keluaran Jazz 2009 lalu menarik pada pandangan saya, itu yang saya jual FIT dan beli Jazz yang baru,” ceritanya panjang lebar.
            “Apa beza Idsi dan Vtec?” soal Zawin lagi.
            Vtec ni kuat sikit tujahan berbanding Idsi...kuasa lebih sikit la pada rpm tertentu. Idsi ni pula direka sebagai kenderaan harian yang menjimatkan minyak.”
            Zawin merenung kedua kereta Honda Jazz berhampirannya berdiri. “Erm...Honda Jazz, bukan sekadar cantik dipandangan sahaja kan?”
            Fuad ketawa kecil. “Ya. Kelebihan Honda Jazz lebih daripada rupa luaran. Jazz ada teknologi yang mengawal stabiliti kereta bila membelok walaupun laju yamg tak akan menyebabkan terbabas. Saya biasa bawa Jazz jalan-jalan di kawasan kampung sebab kecil, ringan, laju dan mudah mencilok. Kadang-kadang tu, dah terbiasa pula memotong laju di selekoh. Pokoknya, tak perlu nak brek sangat, cuma lepas minyak dah boleh ambil corner sedap.”
            “Betul,” sokong Zharif. “Body kereta pun safety tinggi even nampak kecil, kerangka Jazz memang direka untuk elak penumpang parah bila terjadi kemalangan. Berat pintu dan bonet belakang kereta pun kita boleh tahu  rangka Jazz ni terbaik.”
            “Terus...apa kekurangan Jazz?” soal Zawin lagi. Pengetahuan yang tohor dalam bidang pemotoran membuatkan dia ingin mengetahui dengan lebih lanjut.
            Zharif menguman sebelum membalas. “Kalau lihat pada spec honda jazz ni pakai suspention torsion beam yang semua orang sedia maklum yang suspention ni memang handling tak best langsung. Torsion beam ini juga digunakan Vios, Myvi dan kereta seangkatan dengannya yang handling dianggap sampah pakai berbanding dengan kereta seperti Satria Neo, Gen 2 dan Persona. Kereta-kereta keluaran Proton biasanya pakai suspention Multi link, walaupun lebih murah tapi suspention jauh lebih baik.”
            Fuad mengangguk setuju. “Honda jazz bukan direka untuk pengendalian yang baik tetapi direka untuk praktikal seperti keupayaan mengangkut barang, keluasan, dan penjimatan. Semua orang tahu torsion beam bukanlah suspention yang baik sebab ringkas supaya tidak guna ruang yang banyak, jadi banyak space boleh dijimatkan utk keluasan penumpang dan barang. Jazz biarpun nampak kecil tetapi ruang dalam luas kerana menggunakan suspention yang ringkas.”
            Zawin menggaru dagunya. “Pelik juga bila harga Jazz lebih mahal daripada kereta yang menggunakan suspention multi link. Mungkin honda jazz ni mahal, dipandang tinggi masyarakat kerana jenama honda dan diletakkan dalam ketegori premium. Secara automatik orang yang memandu Jazz terasa kereta ni best walaupun ada kereta yang lebih murah tetapi lebih baik. Tak gitu?”
            Fuad dan Zharif sama-sama tersenyum.
            “Ya rabbi...lama sungguh kita di sini,” tegur Zawin apabila terasa cahaya matahari mula memancar terik di kawasan parkir Pusat Akuatik itu.
            “Tau tak apa. Kalau cerita tentang kereta memang sampai esok pagi pun tak akan habis,” balas Zharif.
            “Apa kata, kita lepak tempat lain hari ni,” saran Fuad tiba-tiba.
            “Di mana?” soal Zawin dan Zharif hampir serentak.
            “Sunway Lagoon,” balas Fuad ringkas sambil mengangkat keningnya.
            “Jangan kata kau nak buat Bungy Jumping di sana?” tebak Zharif dalam riak bimbang.
            “Eh, mana hang tau?” balas Fuad dalam tawa berdekah-dekah.
            Zawin mengerutkan keningnya. Tidak faham dengan wajah kelat Zharif juga ketawa Fuad yang semakin galak.
            “Kita teruskan latihan Boxing hari ni okey. Teknik minggu lepas yang aku ajar pun kau tak kuasai lagi,” ujar Zharif dalam suara tegas.
            Fuad semakin besar tawanya malah bertukar kepada melekek-lekek.
            Zawin mengerutkan dahinya. Masih tidak dapat memahami punca angin perubahan dua lelaki muda itu.
            Fuad memegang perutnya, mengawal tawa lalu menatap wajah Zawin yang kelihatan terpinga-pinga. “Zawin, kalau nak tahu...Zharif Zahir fobia pada ketinggian,” beritahunya membuka rahsia sahabatnya itu.
            “Ooh...” Zawin menatap wajah kelat Zharif. “Benar ke?” soal Zawin meminta kepastian.
            “Ala kau ni Fuad. Jatuh standard aku depan Zawin.” Zharif mencemberutkan bibirnya.     Fuad masih ketawa panjang. “Kau kena atasi fobia kau tu. Kalau tak, sia-sia kau jadi
Fighter Jet Engineer.”
             “Jurutera Jet Pejuang?” soal Zawin dalam mata membulat.
            “Eh, Zharif tak cerita pada Zawin ke? Dia ni jurutera penerbangan di Britain. Kerajaan Britain tak nak lepas Zharif ni dulu sebab dia cipta formula sendiri untuk sistem Jet Pejuang di sana. Bijak budak ni,” beritahu Fuad lagi.
            Zawin menatap wajah Zharif dengan penuh kagum. “Wahh...terus...kenapa Zharif tak teruskan karier di Britain?”
            Zharif menatap wajah Zawin lama. “Sebab jiwa Zharif ada di sini. Di Malaysia,” balasnya bersahaja.
            Zawin terdiam.
            “Zawin tak nak tahu ke siapa ‘jiwa’ si Zharif Zahir ni?” giat Fuad sambil mengangkatkan keningnya.
            “Eh, kau la jiwa aku. Fuad kan bererti jiwa. Kita kan gay,” potong Zharif dalam seloroh sekaligus melencongkan topik perbualan mereka.
            Zawin menutup mulutnya. Sungguh dia geli hati melihat wajah cemberut Fuad dengan wajah selamba Zharif. Zawin cepat-cepat membuka zip tas tangannya apabila telefon bimbitnya melagukan nada dering Yakinlah Aku Menjemputmu. Wajah Daniel Iskandar menjelma di kotak fikiran. Terasa pelik kerana jejaka itu tidak pernah menghubunginya dalam waktu bekerja. Panggilan itu lantas disambutnya.
            “Ma...cepat ke hospital. Arnida dah tenat...”
 *******
            “Zawin ok?” tegur Puteri apabila melihat wajah sugul gadis itu di muka pintu rumah.
            Zawin mengangguk lemah. Tas tangan di letakkan di atas meja lalu melabuhkan punggungnya di sofa sebelah wanita itu. Tudung putih dirungkai dari kepala. Zawin membiarkan rambutnya terurai lalu kepalanya disandarkan pada belakang sofa. Matanya merenung syiling rumah.
            Puteri turut memandang syiling atas, cuba mencari apa yang sedang direnungkan Zawin.
            Zawin menghela nafasnya dalam-dalam. Wajah Arnida muncul di syiling berwarna putih itu. permintaan terakhir wanita itu sukar untuk ditunaikannya. Wajah ayahnya pula muncul di syiling itu. Zawin mengetap bibirnya. Hatinya begitu sukar sekali memberikan kemaafan pada lelaki itu. Dia bangun dari sofa menuju ke balkoni. Lama matanya merenung langit yang membiru.
            “Ada sesuatu yang menganggu fikiran Zawin?” soal Puteri prihatin. Dia turut berdiri di sisi gadis itu.
            Zawin berpaling, menatap wajah wanita lingkungan 30-an itu. Bibirnya menguntum senyum lalu merenung langit kembali. “Merenung penciptaan langit juga teringat hadis nabi mengenai roh orang mati yang melalui pintu-pintu langit.”
            “Roh? Ceritakan pada akak, boleh?” soal Puteri menunjukkan minat.
            ”Roh orang mukmim yang baik...sejak di langit pertama baunya seharum kasturi dan malaikat meraikan kedatangan roh itu dengan gembira. Tetapi jika roh org muslim yang banyak dosanya akan berbau busuk dan malaikat tidak membenarkan masuk menembusi langit ALLAH. Roh yang tidak diterima oleh ALLAH inilah yang tergantung di antara bumi dan langit...dan menganggu manusia.”
            “Erkk...” Puteri mengerdipkan matanya beberapa kali. “Bagaimana pula dengan roh orang kafir?”
            “Menurut Abu Bakar As-Sidiq...roh orang kafir...terus dihantar ke neraka sijjin dan disiksa bersama jasadnya sekali.”
            Puteri mengerutkan keningnya. “Habis tu...kenapa ada juga jelmaan roh orang kafir yang menganggu manusia?”
            “Kak Puteri pernah dengar tentang qarin?”    Zawin kembali menatap wajah wanita itu.
            “Qarin?” soal Puteri kembali.
            Zawin mengangguk. “Kembar manusia...dari keturunan jin,” jelasnya.
            “Hah?” Puteri dilanda kejutan. “Kita ada kembar? Jin?”
            “Ya. Semua manusia termasuk nabi Muhammad S.A.W ada kembar dari golongan jin. Manusia...jika hanya ada roh, jasadnya tidak dapat bergerak. Qarin ini yang membantu jasad manusia bergerak. Sebab itu kadang-kadang apabila kita tidak bergerak pun, anggota badan kita terasa bergerak sendiri seperti jari jemari kerana qarin akan keluar masuk dalam tubuh kita.”
            “Err...kalau tak silap akak la...sejahat-jahat manusia itulah sebaik-baik jin. Jadi, qarin ni kurang baik la kan?” celah Puteri.
            Zawin mengangguk. “Ya. Qarin akan mencari jalan untuk membawa kita ke arah kejahatan tetapi qarin ini akan ikut pada amalan manusia itu sendiri. Jika baik manusia itu, maka qarinnya akan ikut jadi baik juga. Itu sebab...apabila roh dan jasad orang kafir diseksa di neraka sijjin, qarinnya akan berlegar-legar di bumi. Paling teruk jika qarin seseorang itu adalah amalan manusia yang buruk dan bersifat jahat. Itu yang ada kes hantu-hantu askar jepun muncul berkawad.”
            “Ooooo...” Puteri menganggukkan kepalanya. Sungguh dia menyedari ketohoran ilmu dan pengetahuan dalam agama. Mujur ada gadis ini di sisi. Dapatlah dia berguru serba sedikit.
            “Semoga roh Arnida termasuk dalam golongan mukmim yang bahagia,” doa Zawin lalu memejam matanya rapat-rapat.”
            “Amin,” sahut Puteri. Matanya merenung sisi wajah gadis itu. “Zawin cerita semalam...arwah Arnida meninggal dalam keadaan sujud. Itu dikira sebagai husnul khatimah?”
            Zawin mengangguk. Biarpun separuh hidup sahabatnya itu ada kesilapan besar yang dilakukan, namun bukankah rahmat ALLAH itu sungguh luas terutama untuk hambaNya yang ingin kembali semula pada pencipta-Nya? “Meninggal cara baik seperti itu menjadi idaman semua mukmim. Arnida...seorang mukmim yang beruntung.”
            Puteri terdiam. “Kalau Zawin tidak risaukan tentang arwah Arnida, habis itu...apa yang menganggu fikiran Zawin?” soalnya penuh hati-hati.
            Zawin menghela nafasnya lagi, menatap wajah wanita berkurung biru itu. “Kadang-kadang ada perkara yang kita sukar untuk memberikan kemaafan.”
            Puteri mengangguk perlahan-lahan. Dia tahu gerangan yang dimaksudkan Zawin. Tangannya menepuk perlahan bahu gadis itu. “Ya. Memang ada perkara yang kita sukar untuk memberi kemaafan.”
            Zawin tersenyum nipis. Matanya kembali dilarikan ke dada langit yang membiru. Wajah Iskandar muncul di situ. Dia tersenyum lebar.
            “Zawin dengan Is...apa cerita?” soal Puteri sambil berpeluk tubuh. Matanya tidak jemu menatap sisi wajah gadis itu. Ada iras-iras Thalia, pelakon latin kegemarannya yang memegang watak Rosalinda.
            Zawin tersenyum lebih lebar. “Ok. Walaupun dia sangat sibuk, selalu tak ada masa untuk Zawin, tapi Zawin tak kisah.” Zawin menatap wajah wanita disebelahnya. “Akak ok dengan Amir?”
            Puteri tersengih lalu mengangguk. Dia juga bahagia biarpun lelaki kesayangannya sering tiada masa untuknya. Puteri merenung wajah Zawin. ”Err...boleh akak minta tolong tak?”
            “Apa dia?”
            “Macam ni...akak ada kawan di rumah sewa dulu. Namanya Zeyra, jiran sekampung akak. Sekarang ni, dia ada masalah dan dia perlukan akak. Boleh...tak...kalau akak ajak dia tinggal dengan kita?” pinta Puteri penuh mengharap.
            Zawin mengangguk dalam senyuman lebar. “Ajak lah dia. Baru sahaja berkira-kira nak menambah housemate. Meriah sikit rumah ni.”
            “Tapi...bayarannya?”
            Zawin memegang bahu Puteri. “Jangan risau. Semuanya biar Zawin yang uruskan.”
            Puteri tersenyum kelat. “Akak bukan apa...segan sangat dengan Zawin. Dah la Zawin yang bayar sewa rumah. Akak nak bayar bil rumah pun Zawin tak bagi. Ini pula...akak nak ajak orang luar pula masuk.”
            “Kak Puteri...kan Zawin kata...Zawin tak kisah.”
            “Tapi...kesian Zawin...”
            “Sysss...tak mahu cakap pasal ni dah.” Zawin merapatkan jari telunjuk pada dua ulas bibirnya sendiri.
            Puteri tersengih sambil mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah.
            “Bila akak nak ajak Zeyra tu masuk?”
            “Malam ini juga.”
            Zawin menganggukkan kepalanya. “Ok. Zawin nak mandi,” beritahunya sambil menapak perlahan keluar dari balkoni.
           

4 awesome commentator:

  1. salam, ble gemleo nak habis? xsabar nak tahu ending.. ke tunggu nak publish??

    ReplyDelete
  2. Salam Akma...terima kasih kerana membaca karya biasa ini. Nantikan Karya ini terbit tidak lama lagi

    ReplyDelete

terima kasih berikan komen ya.

 
Back To Top